Post on 02-Aug-2015
IPG KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK
PENYERAPAN PENDIDIKAN SENI VISUAL
NAMA : RABIAATUL AISHAH BT AZAHAR
NO. KP : 770923-10-5152
KUMPULAN : MT4
MATAPELAJARAN : LITERASI BAHASA MELAYU WAJ 3102
NAMA PENSYARAH :EN. MOHAMAD RADZI BIN SALLEH
TARIKH SERAHAN : 30 APRIL 2012
BINCANGKAN TOKOH-TOKOH TAMADUN ISLAM DALAM BIDANG SAINS YANG MENJADI PEMANGKIN KEPADA
KEMAJUAN ILMU
IPG KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK
SENARAI ISI KANDUNGAN
1. PENGHARGAAN
2. PRAKATA
3. TOKOH-TOKOH TAMADUN ISLAM
DALAM BIDANG SAINS
4. BIBLOGRAFI
5. LAMPIRAN
6. PETA MINDA
PENGHARGAAN
Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh.
Bersyukur kehadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat juga saya
menyiapkan kerja kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Ribuan terima
kasih saya ucapkan kepada individu-individu penting yang banyak membantu
saya sepanjang saya menyiapkan projek folio saya ini.
Pertama sekali sekalung penghargaan kepada Puan Sharifah Nabilatul Huda
Bt Syed Abdullah kerana beliau telah banyak memberikan bimbingan,
semangat dan nasihat berguna kepada saya sepanjang saya menyiapkan
kerja kursus ini.
Seterusnya, terima kasih juga kepada keluarga saya kerana memberikan
sokongan dan dorongan kepada saya sepanjang kerja kursus ini disiapkan.
Tidak lupa juga kepada rakan-rakan seperjuangan yang sama-sama
berhempas pulas dalam menyempurnakan kerja kursus masing-masing.
Bantuan kalian dari segi informasi terkini mengenai kerja kursus amat saya
hargai. Budi kalian yang sanggup meluangkan masa untuk memberikan
saya maklumat, tidak akan saya lupakan.
Akhir sekali terima kasih kepada pihak-pihak yang telah membantu saya
secara langsung atau tidak langsung sepanjang kerja kursus saya disiapkan.
PRAKATA
Agama dan kepercayaan memainkan peranan yang penting dalam
perkembangan tamadun. Orang Islam telah memberi sumbangan yang begitu
besar terhadap peradaban dan tamadun manusia. Tamadun Islam
merupakan salah satu tamadun dunia yang terunggul. Sumbangan tamadun
Islam tidak ternilai dalam membentuk generasi manusia yang bertamadun,
berintelektual dan maju.
Intelektual bermaksud golongan cerdik pandai atau golongan
terpelajar. Hasil daya berfikir dan akal budi yang tinggi golongan ini telah
melahirkan pelbagai ilmu dan teori yang membolehkan masyarakat hidup
lebih beradab dan bertamadun. Bidang ilmu yang diterokai para intelektual
merangkumi ilmu sains tulen dan sains sosial termasuk ilmu-ilmu agama dan
bukan agama.
Dalam tamadun Islam terdapat ramai tokoh-tokoh intelektual yang
menyumbang kepada perkembangan tamadun islam. Antaranya tokoh-tokoh
tamadun Islam dalam bidang sains yang menjadi pemangkin kepada
kemajuan ilmu ialah Ibn Sina, Ibn Rusyd, Jabir Ibn Hayyan, Al-Razi, Ibnu Al-
Nafis dan ramai lagi.
1. JABIR IBN HAIYAN
Jabir Ibnu Haiyan hidup antara tahun 750-803 masihi). Beliau dikenali
sebagai Geber oleh orang-orang Barat. Beliau juga digelar sebagai “Bapa
Ilmu Kimia Moden”. Nama penuh beliau ialah Abu Musa Jabir Ibn Hayyan.
Beliau berasal dari Kufah, Iraq. Beliau bukan sahaja terkenal dalam bidang
perubatan tetapi juga dalam bidang kimia. Pada peringkat awal kerjayanya,
beliau pernah berguru dengan Barmaki Vizier iaitu semasa zaman Khalifah
Abbasiah pimpinan Harun Ar-Rasyid.
Sumbangan terbesar beliau ialah dalam ilmu kimia. Beliau terkenal
kerana hasil penulisan yang melebihi daripada seratus risalah yang telah
diabadikan sehingga kini. Terdapat sebanyak 22 risalah yang antaranya
berkaitan dengan alkimia (Al-Kimiya dari bahasa Arab) dan ilmu kimia.
Kajiannya dalam bidang kimia menyebabkan beliau disanjung pada
zamannya.
Beliau juga telah memperkenalkan model penelitian dengan cara
eksperimen di dunia alkimia. Maknanya, beliau yang menjana momentum
bagi perkembangan ilmu kimia moden. Beliau juga banyak mengabdikan
dirinya dengan melakukan eksperimen dan pengembangan kaedah untuk
mencapai kemajuan dalam bidang penyelidikan. Beliau mencurahkan daya
upayanya pada proses pengembangan kaedah asas ilmu kimia dan kajian
terhadap pelbagai mekanisme tindak balas kimia. Jadi, beliau
mengembangkan ilmu kimia sebagai cabang ilmu alkimia.
Beliau telah berjaya menggabungkan kaedah kajian secara
tradisional dengan kajian secara moden menerusi ekperimen dan makmal.
Antara sumbangannya yang paling bermakna ialah kejayaan mencipta teori
peleburan logam seperti raksa, pengewapan, penyaringan, penghabluran dan
penyulingan.
Disamping itu, beliau telah memperkenalkan beberapa istilah
kimia seperti alkali, (arab: al-qali) iaitu garam kalium untuk mebuat baja,
sabun dan bahan kimia. Antara beberapa kejayaannya yang lain dalam
bidang kimia, salah satunya ialah dalam penyediaan asid nitrik, hidroklorik,
sitrik, dan tartarik. Penekanan Jabir dalam bidang eksperimen sistematik ini
diketahui umum tidak ada tandingannya di dunia.
Oleh sebab itulah, Jabir diberi kehormatan sebagai "Bapa Ilmu
Kimia Moden" oleh rakan sejawatnya diseluruh dunia. Bahkan dalam tulisan
Max Mayerhaff, disebutkan bahawa jika ingin mencari susur galur
perkembangan ilmu kimia di Eropah maka bolehlah dijejaki secara langsung
pada karya-karya Jabir Ibnu Haiyan.
2. AL-RAZI
Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi atau dikenali sebagai
Rhazes di dunia barat merupakan salah seorang pakar sains dan ahli falsafah
Iran. Al-Razi dilahirkan di Rayy, Iran pada tahun 865 masihi (251 Hijrah), dan
meninggal di Rayy 925 masihi (313 Hijrah). Para sarjana berpendapat
bahawa al-Razi mengalami sakit mata dan kemudiannya buta pada
penghujung hayat-nya. Al-Razi menderita akibat ketekunannya menulis dan
membaca yang terlalu banyak.
Beliau merupakan pemain gambus sambil menyanyi ketika zaman
mudanya. Kemudian beliau meninggalkan pekerjaan itu dan mempelajari
bidang perubatan dan falsafah. Beliau belajar ilmu kedoktoran dengan Ali ibn
Rabban al-Thabari dan belajar ilmu falsafah dengan al-Balkhi. Dalam masa
yang sama beliau juga belajar matematik, astronomi, sastera, dan kimia.
Beliau telah menyumbang dalam bidang perubatan, kimia dan falsafah.
Al-Razi adalah seorang ahli perubatan, falsafah, dan sarjana Parsi
yang memberikan sumbangan asas dan berkekalan dalam bidang perubatan,
Alkhemi (Alchemy), dan falsafah, yang ditulis dalam lebih 184 buah buku dan
rencana dalam pelbagai bidang sains. Beliau fasih dalam pengetahuan
perubatan Yunani dan menambah sebahagian besar kepadanya dari
pemerhatiannya sendiri. Sebagai ahli alkhemi, Razi diakui sebagai menjumpai
asid sulfirik, yang digunakan secara meluas bagi kejuruteraan kimia dan kimia
moden. Beliau juga menjumpai ethanol dan hasil sulingannya, dan
kegunaannya dalam perubatan. Beliau merupakan salah seorang guru ilmuan
dalam Dunia Islam, dan mempunyai pengaruh yang besar kepada sains dan
perubatan Eropah.
Karya agung al-Razi dalam dunia perubatan ialah Kitab al-Mansur
(Liber medicinalis ad al Mansorem). Al-Razi telah menghasilkan buku ini
ketika beliau di Khurasan di bawah pemerintahan Gabenor al-Mansur Ibnu
Ishaq. Dalam buku ini terkandung 10 penemuan berkaitan tentang amalan
sains perubatan. Buku ini dianggap satu karya beliau yang tulen dan
mencerminkan kematangan dan kepakaran beliau dalam amalan perubatan
moden.
Dalam buku ini juga beliau menekankan betapa pentingnya cara
pemeriksaan yang teliti sebelum membuat sesuatu kesimpulan tentang
sesuatu penyakit. Satu falsafah yang terpenting dalam karya al-Razi ini ialah
kebenaran dalam ilmu perubatan. Ia merupakan sutu elemen penting dan
amalan seorang doktor yang sentiasa menggunakan kuasa pemikiran dan
logiknya. Al-Razi menentang sekeras-kerasnya amalan penipuan dan
penyelewengan dalam amalan perubatan. Padanya, penyakit jasmani tidak
boleh dipisahkan dengan penyakit rohani. Oleh sebab itu, dalam merawat
sesuatu penyakit, kedua-dua pendekatan iaitu rohani dan jasmani harus dikaji
bersama. Karya beliau dalam bidang falsafah yang berjudul Al'Thib al-Ruhani
pula berkisar tentang cara pengubatan penyakit jiwa dan pengubatan fizik
yang menyembuhkan tubuh badan.
Al-Razi juga menyedari mengenai pentingnya kebersihan, seperti
yang dapat dilihat dalam ketelitiannya ketika memilih tapak hospital Audidi. Al-
Razi telah menggantungkan seketul daging yang baru pada beberapa tempat
yang dicadangkan sebagai tapak hospital Audidi dan memilih tempat dimana
daging menjadi busuk paling lambat. Konsep kebersihan udara dan tempat
telah disedari oleh pakar perubatan Islam masa itu.
Al-Razi adalah seorang yang berfikiran rasional sepenuhnya, amat
yakin dengan kuasa logik. Beliau dianggap oleh rakan semasa dan penulis
bioliografi sebagai bebas dari sebarang prejudis, amat cekal dan berani
mengutarakan pendapatnya tanpa teragak-agak. Beliau percaya kepada
kemajuan manusia dan "Tuhan Maha Bijaksana". Beliau telah mengembara di
kebanyakan tempat dan memberikan khidmatnya kepada beberapa putera
dan pemerintah terutamanya di Baghdad di mana beliau mendirikan
makmalnya.
Sebagai guru dalam perubatan, beliau menarik minat ramai pelajar
dalam pelbagai bidang. Beliau juga baik, jujur, dan tegas ketika memberi
khidmat kepada pesakitnya, tidak kira kaya ataupun miskin. Institute Razi hari
ini di Tehran, Iran dinamakan sempena namanya,dan 'Hari Razi' (Hari
Farmasi) disambut di Iran setiap 27 Ogos.
Al-Razi turut memberi sumbangan yang besar dalam bidang kimia
dengan terhasilnya Kitab al-Asrar (The Book of Secrets). Buku ini telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan merupakan sumber utama
maklumat bahan kimia sehingga abad ke-14M. Antara lain kejayaan al-Razi
dalam dunia perubatan ialah penemuan rawatan kepada penyakit cacar dan
pengasingan alkohol dalam penghasilan antiseptik.
Sumbangan al-Razi dalam bidang falsafah tidak kurang hebatnya,
dengan terhasilnya banyak karya tentang falsafah sudah cukup untuk
membuktikan minat yang mendalam al-Razi dalam bidang falsafah.
3. IBN SINA
Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah Ibn Sina atau dikenali sebagai
Avicenna di dunia barat merupakan salah seorang pakar sains dari Iran. Ibnu
Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 Masihi. Beliau
berketurunan Tajik dan digelar Bapa Sejarah Sains. Ibnu Sina juga dikenali
sebagai Avicenna dalam dunia Barat. Pengajian peringkat awalnya bermula di
Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut
mempelajari ilmu-ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan
perubatan.
Beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sebagai seorang doktor.
Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit
Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain.
Kehebatan dan kepakaran beliau dalam bidang perubatan tiada tolok
bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru
Pertama). Beliau wafat pada 1037 Masihi atau 428 Hijrah.
Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al
Qanun fi al- Tibb telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum
dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Precepts of
Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak
ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan
sebagai bahan rujukan asas di universiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan
sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para
pelajar perubatan.
Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul Kitab
al-Shifa yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau
telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan
cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas
kepada ilmu perubatan sahaja.
Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik,muzik,
astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama. Penguasaannya
dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang tokoh sarjana
yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya
mencapai tahap kemuncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang
diceburinya.
Di samping menjadi puncak dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga
menduduki kedudukan yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar
guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan
karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada
empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini
memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung
kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Beliau berpendapat wujud
ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi,
selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga
memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan
dan proses penyembuhan.
Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah
disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali
telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada
Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan
pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi. Antara percanggahan yang diutarakan
oleh al-Ghazali ialah penyangkalan terhadap kepercayaan dalam keabadian
planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan al-Farabi
mengenai pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan
kesengsaraan di syurga atau neraka.
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina
dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan
beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu
falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja
unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah
mengatasi gurunya sendiri iaitu Abu Al-Nasr Al-Farabi (al-Farabi).
4. IBNU RUSYD
Ibnu Rusyd atau nama lengkapnya Abu Walid Muhammad Ibnu Ahmad
lahir di Kardova pada tahun 1126 dan meninggal dunia pada tahun 1198. Di
barat beliau lebih dikenali dengan nama Averroues. Keturunannya terdiri
daripada golongan yang berilmu dan ternama. Bapanya dan datuknya
merupakan kadi di Kardova.
Beliau pernah berguru kepada Ibnu Zuhr. Beliau lebih terkenal sebagai
ahli falsafah yang pemikirannya merintis kepada Renaissance di barat.
Namun demikian sumbangannya dalam bidang perubatan dan biologi sangat
besar.Beliau merupakan ahli falsafah yang paling agung pernah dilahirkan
dalam sejarah Islam. Pengaruhnya bukan sahaja berkembang luas di dunia
Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat di Eropah. Sebelum meninggal
dunia, beliau telah menghasilkan bukunya yang terkenal Al Taysir. Buku itu
telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris dengan judul
‘Faclititation of Treatment’.
Selain menjalin perhubungan yang akrab dengan Ibnu Zuhr, Ibnu
Rusyd juga mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Islam
Muwahidin. Hubungan ini telah membolehkan Ibnu Rusyd dilantik sebagai
hakim di Sevilla pada tahun 1169. Dua tahun kemudian, beliau dilantik
menjadi hakim di Kardova. Selepas beberapa waktu menjadi hakim, beliau
dilantik sebagai doktor istana pada tahun 1182 berikutan persaraan Ibn Tufail.
Sumbangan beliau bukan sahaja dalam bidang perubatan tetapi juga meliputi
bidang falsafah, ilmu kalam, falak, fiqh, muzik, kaji bintang, tatabahasa dan
nahu.
Antara karya besar yang pernah dihasilkan oleh Ibnu Rusyd
termasuklah Kulliyah fit-Thibb yang mengandungi 16 jilid (perubatan),
Mabadil Falsafah (Pengantar Ilmu Falsafah), Tafsir Urjuza (perubatan dan
tauhid), Taslul (ilmu kalam), Kasyful Adillah (falsafah dan agama), Tahafatul
Tahafut (ulasan terhadap buku Tahafatul Falaisafah), dan Muwafaqatil
Hikmah Wal Syari'a (persamaan antara falsafah dengan agama).
Siri karya tulisan tersebut menunjukkan betapa penguasaan Ibnu
Rusyd dalam pelbagai bidang dan cabang ilmu begitu ketara sekali sehingga
usaha untuk menterjemahkan tulisan beliau telah dilakukan ke dalam bahasa
lain. Buku Kulliyah fit-Thibb telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada
tahun 1255 oleh Bonacosa, orang Yahudi dari Padua. Kemudian buku itu
diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul ‘General Rules of
Medicine’. Hasil pemikiran yang dimuatkan dalam tulisannya, terutamanya
dalam bidang falsafah, telah mempengaruhi ahli falsafah Barat.
. Dalam bidang perubatan, Ibnu Rusyd memberi penekanan tentang
kepentingan menjaga kesihatan. Beberapa pandangan yang dikemukakan
dalam bidang perubatan juga didapati mendahului zamannya. Beliau pernah
menyatakan bahawa demam campak hanya akan dialami oleh setiap orang
sekali sahaja. Kehebatannya dalam bidang perubatan tidak berlegar di sekitar
perubatan umum, tetapi juga merangkum pembedahan dan fungsi organ di
dalam tubuh manusia.
Keterampilan Ibnu Rusyd dalam pelbagai bidang ini, menunjukkan
bahawa beliau merupakan tokoh ilmuwan Islam yang tiada tolok
bandingannya. Malahan dalam banyak perkara, pemikiran Ibnu Rusyd jauh
lebih besar dan berpengaruh jika dibandingkan dengan ahli falsafah yang
pernah hidup sebelum zamannya ataupun selepas kematiannya
5. IBNU AL-NAFIS
Nama penuh Ibnu al-Nafis ialah ‘Ala’uddin abu al-Hasan ali ibn abi al-
Hazam al-Qrasyi, seorang Arab berketurunan Quraisy.Beliau telah dilahirkan
di pinggir Bandar Damsyik pada tahun 607H(1210M). Di situlah beliau hidup
dan berguru dengan ahli perubatan, termasuk al-Syiekh Radhiuddin Abu al-
Hajjaj Yusuf Ibn Hidrah al-Rahibi. Antara guru beliau yang lain dalam bidang
perubatan ini termasuklah al-Hakim Muhazzibuddin Abu Muhammad Abdul
Rahim ibn Ali al-Dakhwar dan ‘Imran al-Isra’ili.
Ibnu a-Nafis ialah rakan sepengajian dengan Maufiquddin qabu AL-
Abbas Ahmad Iibnal-Qasim yang terkenal dengan nama Ibn Abi Usaiba’ah,
penulis buku yang masyhur yang menceritakan tentang kedudukan dan
kesarjanaan para ahli perubatan. Mereka kemudiannya berpindah ke Kaherah
dan sama-sama bekerja di al-Nasiri. Di hospital inilah Ibn al-Nafis telah
mencapai kemajuan menjadi ketua hospital berkenaan, sementara Ibn Abi
Usaiba’ah menumpukan perubatannya kepada perubatan mata. Beliau telah
menetap di Kaherah sehingga beliau meninggal dunia pada 686 H(1288
M)sewaktu umur beliau 80 tahun.
Meskipun bidang utama beliau adalah perubatan, namun Ibn al-Nafis
tetap mendalami ilmu-ilmu bahasa, fiqh, falsafah dan ilmu kalam. Dalam
bidang perubatan, ada orang yang menyamakan beliau dengan Ibnu Sina.
Malahan ada juga orang yang berpendapat bahawa beliau adalah lebih
terserlah dan terkemuka di dalam para sarjana islam yang ada.
Dalam bidang perubatan, Ibnu al-Nafis mempunyai kepakaran yang
tinggi dalam bidang pembedahan. Penemuan sistem peredaran darah kecil
juga telah membuatkan Ibnu al-Nafis terkenal sebagai tokoh sarjana islam
yang terkenal.
Selain itu juga Ibnu al-Nafis bersama doktor-doktor Mesir yang lain
melancarkan kempen memerangi wabak yang tidak mengenal mangsa sama
ada kanak-kanak mahupun kaum dewasa. Wabak ini merebak selama enam
bulan dan akhirnya ia berjaya dikawal oleh Ibnu al-Nafis. Dengan kejayaan ini
Ibnu al-Nafis telah digelar al-Misri oleh penduduk di negara Mesir. Sebelum
beliau meninggal dunia, beliau telah membina sebuah hospital.
Dalam bidang pembedahan, beliau sangat berminat dengan
pembedahan jantung dan kerongkong, kerana kerana beliau telah percaya
pada wujudnya pertalian yang rapat antara pernafasan dan denyutan jantung.
Bagi memajukan lagi bidang pembedahan ini, Ibnu al-Nafis menasihatkan
supaya pembedahan perbandingan dibuat dengan melakukannya ke atas
binatang. Menurut beliau, langkah seperti ini boleh membantu kita memahami
dengan lebih mendalam tentang tubuh manusia dan fungsi semua organ yang
terdapat dalam tubuh manusia. Perkara baru yang terpenting yang diajukan
oleh Ibnu al-Nafis dalam syarahannya dalam kitab anatomi ibn Sina ini ialah
teori tentang peredaran darah ialah pergerakan darah iaitu pergerakan darah
dalamkitaran. Peredaran darah ini dikenali pada zaman sekarang sebagai
‘sistem sirkulasi pulmonari’.
Orang zaman dahulu mempercayai bahawa darah bergerak daripada
jantung ke dalam jasad menerusi pembuluh dan saluran darah mengikuti
denyutan nadi. Kemudian, Galen iaitu sarjana perubatan Yunani yang
mengatakan bahawa darah tersebar ke dalam badan daripada jantung
menerusi pergerakan seperti alunan ombak melalui arteri itu sendiri. Para
doktor aliran Iskandariah merujuk semula kepada teori perubatan Mesir kuno.
Ibnu Sina telah mengikuti teori Galen, doktor Yunani itu tentang peredaran
darah. Ibnu al-Nafis pula dalam syarahannya dalam kitab anatomi Ibnu Sina
mengesahkan pendapat ini. Namun, menurut Ibnu al-Nafis ruang jantung
mempunyai dua sahaja tidak seperti yang didakwa oleh Ibnu Sina .
Katanya, aliran edaran darah ialah daripada ventrikal kanan kepada
paru-paru. Dalam paru-paru, uadara bertemu dengan darah. Darah itu
kemudiannya meninggalkan paru-paru dengan mengikuti arteri paru-paru lalu
masuk ke dalam ventrikal kiri dalam jantung, dari sini darah disebar keseluruh
badan.
Pendapat yang diajukan oleh Ibnu al-Nafis kepada ilmu perubatan
adalah teori yang baru. Teori ini menegaskan bahawa wujudnya peredaran
darah dari jantung ke paru-paru dan dari paru-paru kepada jantung. Oleh itu,
beliau telah mengasaskan ‘teori sirkulasipulmonari’. Akan tetapi Ibnu al-Nafis
tidak sempat untuk mengkaji sistem peredaran darah keseluruh tubuh dalam
waktu yang sama.
Semasa umur beliau mencecah lingkungan 74 tahun, beliau telah
ditugaskan oleh Sultan Qalawun untuk membina sebuah hospital baru di
Kaherah. Beliau menyelia pembinaan ini menurut keperluan perubatan
berkenaan bahagian-bahagian hospital tersebut, wad, farmasi, perpustakaan,
ruang menunggu, dan bilik khas untuk doktor. Selain itu juga, beliau
memperkalkan konsep teaching hospital. Hospital itu telah dirasmikan oleh
Sultan Qalawun dan dinamakannya dengan ‘al-Mansuri’.
Sebagaimana para sarjana islam yang lain,Ibnu al-Nafis telah menulis
banyak buku-buku dan rencana. Walaubagaimanapun, kebanyakan buku-
bukunya telah hilang. Antara buku beliau yang masih ada termasuklah al-
Kitab al-Syamil Fi al-Tibb (ensiklopedia perubatan), Kitab al-Muhadhdhab fi
al-Kuhl (opthalmilogi), al-Muhazzab (perubatan mata), al-Mukhtar
(pemakanan), Syarh al-Hidayah (ulasan terhadap karangan Ibnu Sina tentang
perubatan), al-Risalah al-Kamiliyyah fi al-Sirah al-nobawiyyah (kisah hidup
Nabi Muhammad). Selain itu al-Mujaziaiti ringkasan daripada kitab Ibnu Sina,
al-Qanun Fi ‘I-Tahibbi dan beberapa kritikan terhadap karya Hipokrotes, Ibnu
Sina dan Humaym Ibnu Ishaq. Beliau juga menulis buku ringkas karya
Aristotles tentang logik.
Beliau banyak menguasai bidang ilmu agama iaitu ilmu akhirat
meskipun yang paling utama sekali ialah bidang perubatan dan beliau
seorang ahli fizik yang terkemuka di Mesir dan di negara Islam yang lain.
Sumbangan beliau kepada pembangunan ilmu dan tamadun manusia adalah
sangat besar sekali kepada dunia islam pada zaman dahulu dan sekarang.
Tidak hairanlah mengapa beliau antara tokoh yang tercatat dalam sejarah
tamadun Islam.
Biblografi
Che Alim Che Haron. Ibn Sina.Tokoh-tokoh Islam. Retrieved from
http://alhakelantan.tripod.com/tokoh/index.html
Che Alim Che Haron. Jabir Ibn Haiyan.Tokoh-tokoh Islam. Retrieved from
http://alhakelantan.tripod.com/tokoh/index.html
Che Alim Che Haron. Al-Razi.Tokoh-tokoh Islam. Retrieved from
http://alhakelantan.tripod.com/tokoh/index.html
Che Alim Che Haron. Ibn Rusyd.Tokoh-tokoh Islam. Retrieved from
http://alhakelantan.tripod.com/tokoh/index.html
Yobot(2011), Ibn Nafis.Retrieved from
http://en.wikipedia.org/wiki/Ibn_al-Nafis
Magnus Manske(2004), Avicenna. Retrieved from
http://en.wikipedia.org/wiki/Avicenna#Poetry
LAMPIRAN