Pergerakan Kreatif Kepada Murid Berkeperluan Khas
description
Transcript of Pergerakan Kreatif Kepada Murid Berkeperluan Khas
ENTINGNYA PERGERAKAN KREATIF KEPADA MURID BERKEPERLUAN KHAS
ISU ;
KESEDARAN GURU TENTANG PENTINGNYA
PERGERAKAN KREATIF KEPADA MURID-MURID BERKEPERLUAN KHAS DI SEKOLAH
RENDAH
1.0 PENGENALAN
Kanak-kanak sejak dilahirkan suka bergerak bebas. Ingin melahirkan perasaan dan idea
serta ingin tahu tentang sesuatu demi mempelajari dan memahami konsep, isu dan
masalah persekitaran mereka. Mereka gemar mencipta dan tidak keberatan untuk
memberi penghargaan atau berasa bangga terhadap hasil ciptaan sendiri atau kelompok
sebaya. Kanak-kanak mempunyai naluri terhadap rentak dan irama, pergerakan yang
berirama dan kemampuan kreativiti yang semulajadi. Kanak-kanak dikenali sebagai
individu yang suka bermain. Naluri suka bermain ini boleh disalurkan kepada bentuk
pengalaman yang kreatif yang dapat membina situasi dan persekitaran yang sesuai untuk
pertumbuhan fizikal, mental dan sosial yang sihat. Oleh itu aktiviti pergerakan kreatif
hendaklah disusun berdasarkan ciri-ciri suka bermain, kreatif, ritma dan kebebasan
mencurahkan perasaan dan idea untuk memberikan keseronokan dan kepuasan. Mengikut
pendapat Dauer dan Prangrazi (1983),
kanak-kanak mempunyai keinginan-keinginan untuk bergerak, berlakon dan sentiasa aktif
yang tidak boleh dipuaskan. Mereka lari untuk mendapatkan kepuasan berlari semata-
mata. Aktiviti bagi mereka adalah intisari penghidupan.
Dauer dan Prangrazi (1983), telah mengenal pasti sembilan keinginan asas kanak-kanak
iaitu:
a. Keinginan untuk bergerak.
b. Keinginan untuk berjaya dan diperkenankan.
c. Keinginan untuk diterima oleh kelompok sebaya dan hidup bermasyarakat.
d. Keinginan untuk bersaing.
e. Keinginan untuk memperoleh kecergasan fizikal dan daya penarik.
f. Keinginan untuk mengembara.
g. Keinginan untuk memperoleh kepuasan kreativiti.
h. Keinginan untuk memperoleh kepuasan kreativiti.
i. Keinginan untuk mengetahui.
Keinginan-keinginan pada peringkat awal ini harus ditumpukan kepada pergerakan-
pergerakan kreatif yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu seperti pertumbuhan fisiologi
dan motor, perkembangan psikologi dan mental serta rohani dan sosial. Keinginan-
keinginan ini juga tidak terkecuali kepada murid berkeperluan khas.
2.0 DEFINISI
Pendidikan Pergerakan Moden, Pendidikan Pergerakan, Pergerakan Pendidikan Berirama,
Drama Kreatif dan Pergerakan Kreatif adalah di antara istilah-istilah yang kerap digunakan
dan kadangkala penggunaannya silih berganti antara satu sama lain. Namun maksudnya
menjurus ke arah yang hampir sama iaitu penggunaan pergerakan tubuh badan, irama dan
daya kreatif sebagai media oleh kanak-kanak untuk melahirkan daya ekspresi.
Gladys Andrew Fleming menggunakan istilah ‘Pergerakan Kreatif’ untuk pendidikan
geraktari kanak-kanak. Beliau mentakrifkan istilah ini sebagai penghubung antara fikiran
dan perasaan yang dipancarkan melalui perantaraan anggota tubuh badan. Ini
membayangkan cara seseorang individu menggunakan pergerakan dalam menyelesaikan
tiga komponen utama dalam geraktari : untuk tujuan-tujuan ekspresi, komunikasi atau
kepuasan peribadi (Fleming, 1976).
Mengikut pendapat Margaret H’Doubler; geraktari kreatif ialah sejenis tarian berunsur
pendidikan yang membantu proses pembesaran seseorang individu. Proses ini kemudian
membentuk pemikiran mental dan merencana aktiviti yang merangsang daya berfikir,
pertumbuhan fizikal dan spiritual. Ini akan membolehkan seseorang individu itu
menghayati serta menghadapi tuntutan-tuntutan hidup dengan berkesan (H’Doubler,
1925). Bentuk geraktari seperti yang digariskan oleh definisi di atas merujuk kepada daya
ekspresi mental dan jasmani yang dilakukan secara jujur dan spontan. Apa yang
dipersembahkan oleh penari-penari itu bukanlah bertujuan untuk menarik perhatian atau
mencetuskan sensasi tetapi untuk mencurahkan perasaan dalaman yang terbuku. Ini juga
merupakan ekspresi emosi kendiri yang disalurkan melalui aktiviti pergerakan berirama.
Berdasarkan difinisi dan takrifan yang diberikan, pergerakan kreatif mempunyai beberapa
ciri seperti berikut:
I. penggunaan elemen-elemen pergerakan seperti anggota tubuh, ruang,dan daya usaha,
bentuk, masa, tenaga dan hubungan di antara elemen-elemen tersebut sebagai asas
perancangan kandungan kurikulum (Joyce, 1973; Dimondstein, 1983; Stinson, 1982).
II. Tumpuan kepada pergerakan untuk kanak-kanak sebagai aktiviti yang bersifat
semulajadi dan tidak formal, dan pada masa yang sama pengalaman-pengalaman dalam
kegiatan pergerakan itu membantu kanak-kanak mengesan potensi-potensi mereka untuk
melahirkan perasaan serta menjadikannya sebagai alat perhubungan (Combest,1975;
Dimondstein, 1983).
III. Tumpuan kepada pengalaman geraktari sebagai aktiviti yang menyeronokkan, sihat dan
mudah dicapai. Ia membantu kanak-kanak menjalin paduan antara mental, fizikal dan
persekitaran serta membantu mereka untuk melahirkan segala perasaan dalaman yang
terpendam melalui perantaraan pergerakan. Ia melambangkan aktiviti yang menyentuh
jiwa kanak-kanak (Brearly, 1970; Fleming, 1976).
IV. Tumpuan kepada matlamat yang sama, iaitu perkembangan personaliti kanak-kanak
secara menyeluruh. Terdapat satu aspek penting berhubung dengan faktor ini.
Perkembangan personaliti individu memberi kesan terhadap nilai diri yang merangkumi
aspek-aspek fizikal, mental dan rohani. Faktor ini menjadi penggalak kepada
pengembangan personaliti dengan meyakinkan ketiga-tiga aspek tersebut untuk memberi
berbagai kemungkinan seperti merangsang daya imaginasi dan mencabar intelek.
(H’Doubler, 1972; Huskey, 1979; Joyce, 1984; Synder, 1975; Ayob, 1986).
V. Tumpuan kepada keupayaan individu untuk menyelesaikan sesuatu tugas yang diberi
mengikut caranya yang tersendiri dan pada masa yang sama, cuba mengekalkan hubungan
baik dengan kumpulan rakan sebaya (Stinson, 1982; Dimondstein, 1983).
VI. Tumpuan kepada aktiviti motor yang bersifat halus dan kasar, latihan koordinasi,
menghargai masa dan imbangan, pengetahuan tentang bahagian-bahagian tubuh,
pengetahuan tentang mekanisma pergerakan, kesedaran yang mendalam terhadap
hubungan perceptual dan peluang-peluang untuk meningkatkan kekuatan fizikal, daya
ketahanan serta fleksibiliti (Arrow, 1981; Synder, 1975).
1.0 KEPENTINGAN PERGERAKAN KREATIF
Jesse William (1964), pelopor pendidikan pergerakan kreatif yang banyak memberi
sumbangan serta mempengaruhi arah perkembangan program pendidikan jasmani di
sekitar tahun-tahun 1930-an hingga 1960-an berpendapat:
Pendidikan Jasmani sewajarnya bertujuan untuk menyediakan kepemimpinan yang cekap
serta menjadi alat kepada individu atau kelompok untuk bertindak dalam pelbagai situasi
secara konstruktif dari segi fizikal, mental dan sosial.
Objektif yang disarankan oleh William itu pada hakikatnya mencabar para pendidik
pendidikan jasmani untuk mempertingkatkan kemahiran mereka agar dapat mendidik
dengan lebih berkesan untuk mencorakkan kehidupan kanak-kanak sejajar dengan
matlamat yang disarankan. Bagaimanapun nilai-nilai positif yang bakal diperolehi daripada
pergerakan kreatif bergantung kepada penyertaan seseorang individu dalam bidang
tersebut.
Menurut Way (1967), pendidikan Jasmani kreatif ialah pendidikan seluruh individu melalui
pengalaman. Seperti dengan pengalaman-pengalaman kreatif yang lain, pergerakan ini
merangsang pemikiran yang beragama, imaginasi dan cara menyelesaikan masalah. Ia juga
mengukuhkan emosi, sifat humor, berlakon dengan yakin dan pemahaman terhadap
sesama insan yang berasaskan nilai-nilai kemanusiaan yang luhur (Davis, Helfert dan
Shapiro 1973; Way 1967) serta pemikiran yang kritis dan bebas (Carelli, 1982). Aktiviti ini
juga bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga untuk mencurah keluar jiwa dalaman yang
terdiri daripada perasaan dan mood (Russell,1975)
Melalui pendidikan Jasmani kreatif murid-murid berkeperluan khas juga akan memperolehi
banyak manfaat jika ia dilaksanakan dengan teratur dan sistematik oleh guru-guru. Untuk
mengajar pendidikan jasmani kreatif, guru tidak memerlukan ilmu yang luas cukup sekadar
minat dan rasa tanggungjawab terhadap murid-murid yang didik. Di antara kebaikan yang
yang diperolehi dengan aktiviti pergerakan kreatif ialah murid akan dapat:
5.1 Meningkatkan Kecergasan:
Murid-murid berkeperluan khas sering dilihat tidak berdaya dan mudah letih terutamanya
murid sindrom dowan. Otot kanak-kanak ini lemah dan mereka kelihatan tidak bertenaga.
Melalui pergerakan kreatif mereka akan seronok bermain dan secara tidak langsung akan
membina kecergasan pada diri kanak-kanak ini. Guru-guru hendaklah bijaksana mengatur
aktiviti ini kerana senaman yang sistematik serta pemakanan yang seimbang adalah
penting untuk menjamin kehidupan yang sihat dan tahan lasak. Kecergasan fizikal terdapat
empat komponen penting iaitu:
ü Kecergasan kardivaskular
ü Kecergasan kekuatan dan ketahanan otot
ü Kecergasan kelenturan dan
ü Kecergasab bverat badan.
Dalam tahun 1956 sebuah persidangan American Association for Health, physical
Education and Recreational Fitness telah bersetuju dengan takrif berhubung kecergasan
iaitu:
kecergasan ialah suatu keadaan yang menunjukkan sejauh mana seseorang itu mampu
untuk berfungsi. Kecergasan merupakan soal individu. Namun ia memberi implikasi
terhadap terhadap keupayaan seseorang individu untuk hidup dengan cara yang paling
efektif dengan potensi yang ada padanya. Keupayaan untuk berfungsi bergantung kepada
aspek-aspek fizikal, mental, emosi, social dan spiritual yang menjadi komponen-komponen
dalam konsep kecergasan yang mana kesemuanya saling berhubung dan berkait antara
satu sama lain. (Schurr, 1975).
Latihan jasmani yang sering dilakukan boleh mempertingkatkan kekuatan seseorang dan
elemen kekuatan ini merupakan factor penting dalam mempelajari kemahiran-kemahiran
motor (Rarick & Dobbins, 1975 : Pangrazi 1982). Aktiviti yang rancak juga menyebabkan
bebanan tekanan ke atas tulang-tulang dan ini akan menyebabkan ukuran garis pusat
tulang-tulang berkenaan menjadi bertambah besar serta memperbaiki strukturnya.
Osteoporosis atau demineralization (kekurangan garam galian) adalah berpunca daripada
kelembaman. Keadaan demikian akan menyebabkan tulang-tulang menjadi rapuh. Gejala
ini dapat diatasi melalui pergerakan kreatif kerana ia boleh membalikkan proses ini di
samping membina semula kekuatan tulang-tulang.
5.2 Alat Teraputik
Pergerakan kreatif sangat berkesan untuk mendidik kanak-kanak bermasalah fizikal dan
mental. Ini boleh dilakukan dengan menyediakan program latihan yang bersesuaian yang
boleh mendorong mereka menjadi cergas dan efektif dari segi fizikal.
Penggunaan pergerakan yang berkaitan dengan psikomotor, kognitif, efektif dan estetika
merupakan nilai-nilai yang sangat penting untuk murid-murid berkeperluan khas. Nancy
Brooks Schmitz (1980), dalam tulisannya antara lain telah menyentuh peri mustahaknya
pergerakan kreatif untuk kanak-kanak ini. Beliau bersetuju bahawa pergerakan kreatif
mempunyai nilai aktiviti yang dapat memperkayakan pengalaman kanak-kanak. Ia patut
digalakkan dan dimajukan oleh semua pihak. Guru pendidikan khas perlu mendalaminya
untuk kebaikan murid-murid berkperluan khas.
Dalam buku Nancy Brook Schmitz yang berjudul Developing Creative Mmovement
Experiences for the Handicapped, beliau menulis :
Pendidikan pergerakan kreatif dapat memberikan peluang-peluang kepada kanak-kanak
untuk merealisasikan potensi ereka dengan membangkitkan perkembangan imejkendiri
yang positif, dengan menggerakkan keinginan dalaman yang semulajadi untuk bergerak,
dengan meningkatkan keupayaan kanak-kanak untuk berfikir secara kreatif melalui
penyelesaian masalah, dengan memupuk interaksi sosial yang positif, dengan
membekalkan pengalaman-pengalaman yang boleh membantu kanak-kanak meneroka dan
mengembangkan kebolehan-kebolehan fizikal dan kinestetik mereka, dan menyuburkan
pengalaman-pengalaman estetika.
Setiap kanak-kanak mempunyai keistimewaan, bakat keperluan-keperluan yang unik dan
tersendiri. Kanak-kanak berkeperluan khas juga tidak berbeza dari segi ini. Mereka juga
perlukan kasih sayang, mahukan diri mereka diterima oleh orang ramai, menikmati rasa
keriangan dan keseronokan bergerak dan melakukan aktiviti-aktiviti untuk
memperintkatkan keupayaan, menumpukan perhatian terhadap sesuatu koordinasi dan
kecergasan. Mereka juga ingin berkongsi pengalaman dengan rakan sebaya, ingin merasai
cabaran dan kejayaan, ingin mencipta dan mengongsikan hasil-hasil ciptaan mereka dan
ingin berhubung. Matlamat-matlamat dan garis-garis panduan kurikulum mengenai
pendidikan khas ada menyatakan dengan jelas bahawa ia (pendidikan khas) :
… mesti merangkumi segala kemahiran yang berfungsi, termasuk tingkah laku, kawalan
kendiri dan kebolehan motor, sama ada yang seni ataupun yang kasar, komunikasi yang
besifat verbal dan non-verbal, keselamatan dan kesihatan, social dan rekreasi, dan
kemahiran-kemahiran akademik yang fungsional.
Guru-guru berkeperluan khas hendaklah sedar bahawa pergerakan kreatif mampu
dijadikan alat yang ampuh untuk mendidik murid-muridnya dengan cara yang efektif.
Umpamanya aktiviti geraktri mampu meredakan ketegangan atau tekanan emosi dan
menyemai rasa riang dalam kehidupan seseorang individu, dan ia boleh dijadikan sebagai
senaman yang lasak untuk menggalakkan mereka menjadi aktif dan cergas.
Pergerakan kreatif memainkan peranan yang berguna dalam pertumbuhan individu melalui
interaksi fizikal, mental dan ekspresi dengan geraktari teraputik yang pada dasarnya dibina
atas dasar kepercayaan bahawa ekspresi pergerakan mencerminkan unsur dinamik dalam
psikik atau batin (Leventhal, 1980).
Pergerakan kreatif mampu mencapai matlamat psikoterapeutik dengan meredakan
symptom, integrasi emosi dan fizikal dan perkembangan peribadi kanak-kanak, dan
memperkukuhkan pemahaman mereka. Mengikut pendapat Nellie Mc Caslin (1980),
berhubung dengan ini, terdapat satu persetujuan umum terhadap pergerakan kreatif dan
pergerakan ritual serta ekspresi sebagai wadah yang paling mujarab untuk merawat
kecelaan yang dihidapi oleh kanak-kanak. Aktiviti jasmani memberikan kanak-kanak rasa
kesedaran terhadap tubuh badan mereka, dan perlakuan pergerakan-pergerakan seperti
melompat tali (skipping), lompat seperti kuda, meregang dan menggerakkan tangan-tangan
adalah di antara senaman yang sungguh menarik, terutamanya kepada mereka yang lemah
daya koordinasinya.
Guru-guru pendidikan khas yang peka, mereka akan memberikan tumpuan kepada kanak-
kanak ceberal palsy dan mental retardation supaya kanak-kanak ini memberikan
penyertaan yang aktif untuk aktiviti pergerakan kreatif.
5.3 Sosialisasi
Aktiviti pergerakan merupakan usaha kerjasama, menjalin rasa saling mempercayai dan
memikul tanggungjawab menghadapi cabaran-cabaran, maka ia sewajarnya menjadi satu
seni ‘pergaulan’ (socialization) – suatu perlakuan sosial yang mengembelingkan individu
dalam dinamik berkumpulan. Murid-murid berkeperluan khas sangat sesuai melakukan
aktiviti ini kerana mereka begitu sukar untuk bergaul , menerima arahan dan kurang
motivasi. Melalui aktiviti ini murid berpeluang:
ü Menyertai kegiatan dengan rasa riang dan secara sihat
ü Bersosialisasi
ü Menyemai minat-minat baru
ü Meningkatkan keupayaan bergaul dengan orang lain
ü Membentuk gaya diri, personaliti dan kematangan dan
ü Mencari saluran untuk pernyataan kendiri.
Namun guru memainkan peranan penting untuk membimbing dan menunjukkan contoh-
contoh mengenai penerimaan sosial berdasarkan sanjungan terhadap hasil kerja yang
memuaskan dan jalinan ikatan yang termetri hasil daripada bentuk kegiatan bermain dan
mencipta yang dilakukan secara beramai-ramai. Tidak dapat dinafikan bahawa ia memberi
peluang luas kepada kanak-kanak untuk saling mempercayai, bekerjasama dan bersosial.
Clara Furst dan Mildred Rockefeller (1981), … kebanyakan kemahiran interaksi social yang
penting yang dibentuk itu boleh diaplikasikan di luar bidang …. Mereka belajar cara
memimpin dan juga cara-cara menurut.
Joyce Boorman (1971) menyatakan tentang pengalaman-pengalaman sosial yang
bermanfaat ini dari segi’memimpin’ dan ‘mengikut’, seperti berikut:
Adalah penting bagi kanak-kanak untuk mempelajari bagaimana hendak menjadikan diri
mereka diterima dari segi sosial, jika tidak cara hidup mereka akan menjadikan hidup
mereka bertambah sulit. Kerap kali kanak-kanak akan menghadapi masalah-masalah
berkawan; suatu hari nanti akan menjadi ketua dan dengan itu akan timbul kemungkinan
dirinya disisih oleh rakan-rakan utamanya. Dalam menghadapi dilema ini seseorang kanak-
kanak itu terpaksa membuat penyesuaian-penyesuaian yang mungkin menuntutnya
melupakan buat sementara waktu kepimpinan kelompoknya dan sebaliknya menjadi
sebagai pengikut. Seorang pengikut hendaklah digalakkan membina keyakinan motivasi
dan minat agar dirinya menjadi berwibawa dan diterima oleh orang ramai dan ini
membolehkannya memegang teraju kepemimpinan buat sementara waktu. Pergerakan
tidak boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam
kehidupan sehari-hari, namun ia amat berguna dalam membantu kanak-kanak meneroka
dan memahami kedua-dua kualiti iaitu ‘memimpin’ dan ‘mengikut’.
Fokus konsepsi sosialisasi dalam program pergerakan kreatif dengan menghubungkannya
dengan ciri-ciri dan maksud-maksud kerjasama, persaingan, ketertiban,
kebertanggungjawaban, saling mempercayai dan menghormati persahabatan dan
kepimpinan yang unggul untuk kedua-duanya iaitu diri sendiri dan orang lain. Murid-murid
khas boleh dibentuk ke arah ini walupun memerlukan masa yang agak lama. Guru
hendaklah bersabar dan tekun melatih mereka untuk mendengar dan mengikut arahan.
5.4 Meredakan Ketegangan Perasaan dan Tekanan Jiwa
Murid-murid berkeperluan khas terutamanya yang hiperaktif tidak dapat mengawal
peerasaan dan ketegangan yang dihadapi. Melalui pergerakan kreatif ketegangan tersebut
dapat diredakan. Ini disebabkan kanak-kanak ini gemar bergerak. Kebijaksanaan guru
menggunakan pergerakan kreatif untuk mengalihkan hiperaktif kanak-kanak dengan
aktiviti yang berfaedah. Ini disebabkan pergerakan kreatif mempunyai unsure-unsur
dorongan bermain yang semulajadi. Hartley, Frank dan Goldensen (1964), menyatakan :
Dengan membiarkan kanak-kanak bermain secara bebas dalam sesuatu persekitaran yang
sesuai dan selamat; kita membolehkannya untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah-
masalahnya yang paling membebankannya dengan cara yang memuaskan dan sihat.
Marion North juga mengatakan bahawa pergerakan kreatif adalah kaedah katarik yang
mampu melegakan tekanan-tekanan katanya:
Disiplin seni pergerakan adalah amat membebankan oleh kerana bukanlah tujuan
utamanya untuk melepaskan ‘tekanan perasaan’ semata-mata. Walaupun benar ‘tekanan
perasaan’ dapat diredakan namun itu bukanlah tujuan akhir; sebaliknya perasaan atau
emosi itu disalurkan kepada jenis aktiviti yang bertujuan dan berdisiplin disiplin terbit
daripada aktiviti itu sendiri, usaha untuk menggarap maksud yang lebih jitu daripada irama
, bentuk serta hubungan antara gerakan tubuh – gerakan yang merangkumi gerakan
sebenar dan pada ketika membuat persediaan dalaman untuk bergerak dengan gerakan
yang disudahi secara terkawal selepas selesainya sesuatu pergerakan. (North, 1973).
Di dalam kelas berkeperluan khas, murid yang slow learner juga kebanyakannya terdiri
dari pelajaryang nakal dan tidak boleh duduk diam. Aktiviti pergerakan kreatif juga boleh
dimanfaatkan untuk mereka. Murid-murid ini menjadi nakal kerana mereka tidak tahu hala
tuju. Guru berperanan membentuk mereka. Katarsis – konsep tujuan ‘meredakan
ketegangan’ adalah dinyatakan dalam contoh berikut:
Dikelilingi dan dihampiri oleh seribu orang musuh, kanak-kanak menentang mereka habis-
habisan demi servival mereka. Dengan menggunakan dan menjadikan tangan-tangan
mereka sebagai pedang-pedang khayalan, mereka memusingkan tangan-tangan mereka
menghala ke semua arah dalam pergerakan yang memaparkan rasa kemarahan mereka
terhadap musuh-musuh bayangan. (Ayob, 1985: 48)
Kebanyakan aktiviti yang melibatkan pergerakan yang berjaya melibatkan lakonan
peranan, improvisasi, sosio-drama tidak formal yang menggunakan tema-tema yang
dinamik dan penggunaan tingkah laku egosentrik yang ganjil. Dalam aktiviti-aktiviti kreatif
tersebut, kanak-kanak mempunyai kesempatan untuk melahir dan menangani emosi
mereka dengan cara yang kreatif. Adalah menjadi kebiasaan melihat kanak-kanak khas
gembira dan riang semasa bermain.
Winters(1975) menyediakan satu senarai berhubung dengan perasaan-perasaan dan idea-
idea yang dicurahkan oleh kanak-kanak melalui pergerakan iaitu:
ü Melahir perasaan terhadap apa yang menarik perhatian mereka.
ü Melahirkan perasaan mereka sejajar dengan tahap fizikal, psikologi, emosi dan sosial
rakan sebaya.
ü Lebih bersedia untuk melahirkan perasaan mereka secara non-verbal berbanding dengan
golongan dewasa.
ü Melahirkan perasaan mereka melalui pergerakan secara lebih spontan daripada golongan
dewasa.
ü Mempunyai masa yang terhad untuk mempelajari gerak-geri isyarat dan simbol-simbol
pergerakan yang bersifat univerrsal, dan oleh itu mereka melahirkan perasaan mereka
dengan cara yang lebih spontan, bebas daripada sebarang tekanan.
ü Tidak memiliki perbendaharaan kata yang berbentuk verbal yang mencukupi untuk
membolehkan mereka melahirkan perasaan mereka secara verbal (Winter, 1975)
Aktiviti-aktiviti pergerakan kreatif penting untuk mewujudkan persekitaran yang dapat
membantu kanak-kanak khas memahami perasaan dan idea-idea dan melahirkannya
melalui pergerakan.
5.5 Kemahiran Bertutur
Pada kebiasaanya pergerakan kreatif diiringi dengan nyanyian dan permainan alat-alat
muzik agar ia lebih menarik dan dan menambahkan minat murid terutamanya murid khas.
Dengan adanya aktiviti menyanyi ini akan dapat meningkatkan kemahiran murid bertutur
dan kemahiran fonologi. Ramai di kalangan murid khas yang gagal menyebut perkataan
dengan betul. Mereka menyebut hanya dihujung perkataan sahaja.
Menyanyi jika digabungkan dengan berbagai aktiviti akan lebih menarik minat murid dan
mereka berasa seronok dan gembira. Murid-murid khas akan menganggap menyanyi lebih
kepada bermain dan berehat. Melalui nyanyian mereka akan terhibur dan menenangkan
fikiran. Untuk mengukuhkan lisan murid, ia sangat membantu guru mencapai matlamat
tersebut. Ini kerana menyanyi memerlukan sebutan bunyi-bunyi yang jelas dan betul
mengikut rentak dan irama serta disampaikan mengikut tekanan, intonasi dan nada
tertentu. Secara tidak langsung ia membantu murid memperbaiki lisan.
5.6 Meningkatkan Kreativiti
Kreativiti merupakan elemen yang dinamik yang tersirat di dalam jiwa kanak-kanak.
Pergerakan menjadi printis bagi membolehkan kanak-kanak untuk memulakan proses
kreativiti mereka dan dalam ruang batas pendidikan yang tertentu mereka didorong untuk
mencurahkan tenaga kreatif mereka. kanak-kanak adalah individu yang unik. Murid-murid
khas tidak terkecuali mereka juga adalah insan yang unik dan kreatif. Potensi kreativiti
mereka berbeza antara satu sama lain sama seperti perkembangan fizikal dan
kecenderungan terhadap pembelajaran. Oleh kerana kreativiti merupakan proses yang
boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah mengikut pendekatan baru yang
menggunakan pengetahuan dan pemahaman yang bersifat unik dan individualisti, ia dapat
memberi penghidupan yang lebih jitu dan bermakna kepada kanak-kanak.
Murid-murid berkeperluan khas boleh meneroka dan mengembangkan daya kreativiti
mereka melalui improvisasi. Melalui kaedah ini kanak-kanak akan bertindak dan
melakonkan idea-idea pergerakan secara serentak, spontan dan tanpa perancangan
awalan. Kreativiti melambangkan bakat semulajadi kanak-kanak dan ia kerap kali tidak
dapat dikembangkan di dalam bilik darjah yang bersifat mengongkong. Menggunakan
pendekatan kreativiti adalah pendekatan pengajaran yang bersifat semulajadi dan
menyeronokkan. Dan ini amat digemari oleh pelajar-pelajar berkeperluan khas. Ini sesuai
dengan kata-kata Fleming :
Tenaga kreatif yang merupakan elemen yang dinamik dalam setiap diri kanak-kanak,
berkembang bersama penemuan dan penerokaan. Hasilnya ialah ekspresi yang
kreatif,kanak-kanak yang giat bekerja, iaitu mereka yang sedang mengalami proses
kreativiti ini, terpancar di wajah-wajah mereka rasa keriangan yang tercetus daripada
getaran penggunaan tenaga,(fizikal dan mental). Kepuasan yang sepenuhnya, dan
dihormatidi kalangan mereka. Seseorang dapat merasakan bagaimana kanak-kanak itu
‘berfikir’ serta turut bersama mereka merasakan kegembiraan yang terbit daripada
curahan perasaan mereka (Fleming, 1976)
Dalam diri setiap kanak-kanak termasuk murid khas terdapat kebebasan untuk berfikir
yang memerlukan saluran untuk mengeluarkan perasaan mereka berhubung dengan
pengalaman-pengalaman seharian: ekspresi yang spontan. Ini dapat dilakukan melalui
pergerakan jasmani kreatif.
Rumusan
Aktiviti pergerakan kreatif jika dijalankan dengan sempurna akan memberi kesan yang
mendalam kepoada mnurid-murid berkeperluan khas. Untuk melaksanakan aktiviti ini,
guru-guru tidak memerlukan latihan dan kepakaran yang tinggi. Apa yang diperlukan ialah
semangat yang cekal, keberanian dan sikap positif serta inisiatif dalam pengajaran kreatif.
Peranan guru ialah membimbing murid-murid meneroka, mencuba dan menemui cara
bergerak yang dapat dijadikan sebagai perantaraan untuk pernyataan kendiri. Selepas itu
guru-guru menerima gerakbalas berdasarkan pergerakan murid sebagai perkembangan
semulajadi mereka.
Guru-guru perlu membuang segala perasangka buruk terhadap murid-murid pendidikan
khas yang sering di label sebagai nakal, tidak mendengar kata, tidak berdaya dan
sebagainya. Sebaliknya guru hendaklah berusaha dan mencuba kerana setiap murid ada
kelebihannya. Murid pendidikan khas tidak berdaya untuk mencungkil bakat mereka
sendiri. Guru dan masyarakat disekelilingnya patut membantu mereka menjadi insan yang
sempurna. Semua manusia mempunyai hak asasi individu begitu juga dengan kanak-kanak
ini. Fleming (1976) telah mengubah satu “Akta Hak Asasi” untuk kanak-kanak yang
berbunyi:
Biarkan saya membesar mengikut keupayaan saya
Dan cuba memahami mengapa saya ingin membesar seperti saya;
Tidak seperti yang dikehendaki oleh emak
Atau tidak seperti yang diharapkan oleh bapa
Atau guru saya memikirkan apakah sepatutnya saya menjadi.
Tolong cuba memahami dan menolong saya membesar seperti saya!
(Fleming, 1976).
Bagaimanakah kita menolong murid-murid membesar dan menjadi seperti mereka? Guru-
guru mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk menolong murid-murid
membesar dan berkembang sebagai individu. Guru-guru juga bertanggungjawab memberi
peluang kepada murid-murid untuk mencipta dan melahirkan perasaan dan fikiran.
Melaksanakan program pergerakan kreatif bukanlah satu tanggungjawab yang mudah,
terutama jika kelas dipenuhi dengan kanak-kanak yang sangat aktif dan pelbagai masalah
dengan tempoh masa perhatian yang singkat. Kanak-kanak yang mempunyai daya tenaga
yang berlebihan sering mencabar keupayaan guru.
Namun jika guru mempunyai kesedaran yang tinggi tentang pentingnya pergerakan kreatif
kepada murid-murid berkeperluan khas ini, mereka akan mengajar bersungguh-sungguh di
sekolah agar dapat membentuk sahsiah murid berkeperluan khas sesuai dengan Falsafah
Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani
dan intelek.