Penyelesaian Kemungkiran Dalam Kontrak Hutang...
-
Upload
vuongkhuong -
Category
Documents
-
view
301 -
download
7
Transcript of Penyelesaian Kemungkiran Dalam Kontrak Hutang...
259
Penyelesaian Kemungkiran Dalam Kontrak Hutang
Perbankan Menurut Perspektif Islam
Mat Noor Mat Zain, Norwajia Umi Ismail, Salmy Edawati Yaacob
&
Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani
Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Kemungkiran kontrak sering berlaku dalam pembiayaan hutang, terutamanya dalam
melunaskan hutang. Hal ini menyebabkan institusi-institusi perbankan sentiasa
meneliti dan menggunakan pelbagai kaedah yang sesuai untuk menangani
permasalahan ini. Oleh itu, objektif utama kajian ini adalah menganalisis kaedah
penyelesaian masalah kemungkiran dalam pembiayaan hutang menurut Islam.
Pengumpulan data dalam kajian ini dilakukan melalui analisis dokumen. Kajian ini
menggunakan pendekatan deskriptif dalam menganalisis data yang dikumpulkan.
Terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan oleh pihak pemuitang untuk
mengurangkan masalah mungkir dalam membayar hutang dalam kalangan penghutang
namun masih ia terpulang kepada pihak pemuitang dalam membuat penilaian kaedah-
kaedah yang terbaik yang boleh digunakan dalam kes kemungkiran ini.
Pengenalan
Kemungkiran kontrak boleh berlaku dalam pelbagai jenis kontrak dengan pelbagai
bentuk kemungkiran dan perlanggaran. Namun, dalam perbankan perkara ini sering
terjadi di dalam pembiayaan yang berasaskan hutang. Masalah ini sedikit sebanyak
telah membebankan institusi perbankan apabila terpaksa menanggung kerugian
disebabkan kemungkiran tersebut, terutamanya dalam kes penghutang lewat
melunaskan hutang. Pihak bank perlu mencari solusi bagi menangani masalah ini dan
sebaik-baiknya kaedah penyelesaian tersebut hendaklah tidak bertentangan dengan
hukum Syarak dengan tidak berlaku kezaliman, penindasan, terutamanya tidak
mempunyai unsur riba kerana bank konvensional telah mengambil langkah
mengenakan riba sejak bermula berlaku kelewatan tanpa mengira penghutang terbabit
mampu atau tidak untuk menyelesaikan hutangnya. Terdapat beberapa kaedah yang
telah dibincangkan para ulama dan pakar undang-undang bagi menangani
permasalahan ini dan masih terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama terhadap
kaedah-kaedah yang dicadangkan. Oleh itu, perbincangan akan dilakukan mengenai
kemungkiran kontrak yang berlaku dalam institusi perbankan dan kaedah
penyelesaiannya.
Konsep Hutang
Hutang menurut Kamus Dewan (2005) digunakan dengan dua maksud; Pertama, wang
dan lain-lain yang dipinjam daripada orang lain. Hutang belian atau jualan adalah
yang bayarannya ditangguhkan. Kedua, kewajiban (perasaan berkewajiban)
membayar balik sesuatu yg diterima. Sementara hutang piutang pula adalah wang
yang dipinjam daripada orang lain dan yang dipinjamkan kepada orang lain.
260
Sementara hutang dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan ‘al-dayn’ (الدين), iaitu
lawan kepada perkataan ain atau ‘al-cayn’ (العين). Ibn Manzur (1990) memberi maksud
hutang sebagai setaip sesuatu yang tidak ada di hadapan mata. Selain itu, al-dayn juga
boleh digunakan dengan maksud sesuatu perbuatan meninggalkan sebahagian haknya
kepada yang lain (al-Tabari 1992, al-Raghib 1997). Sementara Fayyumi (2000)
menyatakan bahawa hutang digunakan dari segi bahasa bagi maksud pinjaman dan
harga barang.
Hutang menurut istilah secara umum adalah bermaksud setiap hak atau
tanggungjawab yang wajib dilaksanakan oleh manusia sama ada dalam bentuk harta
atau tidak seperti solat, puasa, nazar, haji dan sebagainya (Ibn Humam 2003; al-
Dakhil 2012). Istilah hutang secara khusus pula adalah lebih menjurus kepada harta
iaitu hutang adalah sesuatu yang sabit atas tanggungan sesuatu harta beserta sebab-
sebab yang membawa kepada tanggungan tersebut (al-Mazid 2010). Tanggungan yang
dimaksudkan ini adalah meliputi semua aspek hutang dalam harta seperti dalam
penentuan harga barang, penentuan mahar, bayaran sewa pinjaman, jual beli secara
tangguh juga hutang manusia dengan Allah iaitu zakat. Oleh yang demikian,
tanggungan hutang ini tadi boleh berlaku dalam tiga keadaan iaitu kontrak yang
melibatkan pertukaran yang memberikan adanya hak pemilikan terhadap harta
tersebut, pinjaman dan tanggungjawab terhadap kerosakan harta tersebut (al-Hamawi
1985).
Sebab-Sebab Hutang
Dari segi prinsip, setiap individu adalah bebas daripada menanggung sebarang hutang,
obligasi, tanggungan dan tanggungjawab sama ada berkaitan perkara sivil atau
jenayah. Namun demikian, seseorang itu akan menanggung bebanan tersebut apabila
berlaku sesuatu sebab yang membentuknya. Faktor yang boleh membentuk bebanan
hutang itu banyak sebagaimana dinyatakan dalam al-Muwsucah al-Fiqhiyyah. Secara
ringkasnya adalah (Lihat al-Muwsucah al-Fiqhiyyah; Qalcah Ji, 2000):
i- Pembentukan sesuatu obligasi atau iltizam sesuatu harta melalui sesuatu akad
tertentu seperti akad jual beli, sewaan, pinjaman, perkahwinan dan
seumpamanya. Begitu juga melalui tindakan secara berseorangan (peribadi)
membentuk obligasi seperti melakukan nazar sesuatu harta dan menjanjikan
untuk memberikan sesuatu ganjaran tertentu (al-jucalah).
ii- Sesuatu tindakan yang tidak dibenarkan oleh syarak yang kemudiannya
menyebabkan wujud tanggungan hutang ke atas pelaku seperti pembunuhan
yang mewajibkan adanya diyat, jenayah yang mewajibkan pampasan,
menghilangkan harta orang lain, pecah amanah sesuatu harta dan cuai dalam
penjagaan sesuatu yang diserahkan. Sekiranya seseorang melakukan salah satu
daripada perkara tersebut maka telah menyebabkan beliau menanggung hutang
di atas dirinya.
iii- Kerosakan harta pada pegangan penerima, jika pegangan itu berbentuk jaminan
(kena bayar ganti rugi jika rosak) walau apa pun sebab kerosakan itu, meskipun
tanpa sengaja dan cuai seperti kerosakan barang yang dirampas pada pegangan
perampas, hilang barangan pada pegangan pekerja umum mengikut pandangan
jumhur ulama dan penerima barang dalam belian berasaskan tawar menawar.
261
Jika harta dalam keadaan tersebut hilang atau rosak maka wajib membayar
nialiannya sebagai hutang yang di atas tanggungan.
iv- Wujud sebab asas yang dijadikan oleh syarak bagi membentuk sesuatu hak
harta seperti cukup haul bagi nisab zakat, penyerahan wanita kepada suami
dalam mewujudkan nafkah dan keperluan oleh waris terdekat dalam
mewujudkan nafkah kaum kerabat. Jika berlaku sebab tersebut maka seseorang
mukalaf akan memikul bebanan hutang secara langsung.
v- Pemerintah mewajibkan pihak-pihak yang kaya/mampu memberikan sejumlah
harta bagi menyempurnakan kemaslahatan umum umat Islam dalamsituasi
baitulmal tidak mampu membiayainya, menyertai bantuan bencana alam,
membantu mangsa gempa bumi, puting beliung, kebakaran dahsyat, peperangan
dan seumpamanya dengan syarat ditentukan keperluan, tindak tanduk
pemerintah berasaskan keadilan, membelanjakan harta berdasarkan keperluan
dan maslahat. Punggutan itu dilakukan terhadap yang mampu tanpa
memudaratkan dan prejudis.
vi- Penunaian sesuatu yang disangka wajib oleh seseorang tetapi terbukti
sebaliknya dia bebas, maka ia adalah hutang kepada pihak yang telah dibayar.
vii- Pembayaran kewajipan orang lain berbentuk harta berasaskan permintaannya
seperti seseorang menyuruh beliau menjelaskan hutangnya, maka pihak yang
membayar mempunyai hak hutang di atas pihak yang dibayar.
viii- Tindakan yang dibolehkan oleh syarak semasa darurat/terdesak jika
mengakibatkan kehilangan harta orang lain seperti orang yang makan hak orang
lain dalam keadaan terdesak maka bayar balik kerana keadaan terdesak tidak
membatalkan pemilikan orang lain maka ia menjadi hutang ke atasnya.
ix- Melakukan sesuatu kerja bermanfaat kepada orang lain tanpa izinnya seperti
seseorang memberi nafkah wajib bagi pihak orang lain atau menuanaikan
hutang tanggungan pihak lain tanpa permintaanya dan beliau tidak meniatkan
pembayaran itu sebagai tabarruk. Dengan ini, apa yang diberikannya itu dikira
hutang ke atas pihak tersebut mengikut mazhab Maliki dan Hanbali.
Semua sebab dan punca hutang tersebut berlaku dalam pelbagai aspek khidupan
seharian tetapi punca hutang yang paling banyak berlaku dengan pilihan dan kerelaan
pihak-pihak terbabit adalah punca yang pertama, iaitu sebarang pembentukan
tanggungan dan obligasi berasaskan kontrak atau akad. Ia juga paling banyak berlaku
dalam produk-produk di institusi kewangan Islam terutamanya perbankan.
Kontrak Hutang Piutang Dalam Perbankan Islam
Terdapat dua jenis pembiayaan yang ditawarkan dalam sistem perbankan iaitu
pembiayaan ekuiti dan pembiayaan hutang. Pembiayaan ekuiti bermaksud suatu
bentuk pembiayaan yang memerlukan kerjasama di antara dua belah pihak dengan
bermatlamatkan keuntungan. Keuntungan yang diperolehi dibahagi berdasarkan
nisbah keuntungan yang telah dipersetujui. Pembiayaan hutang pula merujuk kepada
suatu bentuk kontrak pertukaran di antara dua pihak yang berkontrak yang melibatkan
pembayaran bertangguh (Sudin Haron 2005). Oleh yang demikian, faktor berlakunya
262
hutang sudah semestinya wujud di dalam pembiayaan ini. Antara kontrak-kontrak
berasaskan pembiayaan ekuiti yang terdapat di bank-bank Islam adalah seperti seperti
musharakah mutanaqisah (MM), ijarah mausufah fi zimmah dan istisnac (Hussin
Salamon 2009). Sementara kontrak pembiayaan hutang adalah seperti seperti bayc
bithaman ajil (BBA), Murabahah (Helmi Haris 2007). Semua produk yang berbentuk
pembiayaan yang melibatkan pembayaran salah satu subjek akad dikira kontrak
hutang, termasuklah yang berasaskan kontrak salam, istina’ dan juga al-qard al-
hasan.
Bai bithaman ajil (BBA) adalah kontrak jualan dengan bayaran bertangguh yang
telah dipersetujui. Kontrak ini berlaku antara dua pihak di mana barangan yang
dijualkan itu diserahkan semasa majlis akad tetapi pembayarannya ditangguhkan
mengikut masa yang telah ditetapkan. Ia digunakan sangat meluas di Malaysia
terutamanya di dalam kontrak pembiayaan rumah, kenderaan dan sebagainya. Bayaran
secara bertanangguh itu yang menjadikan pembeli berhutang kepada bank (Abdul
Halim el Muhammady 2002).
Sementara bayc al-cinah pula adalah kontrak jual beli barang yang kemudiannya akan
kembali semula kepada penjual. Menurut al-Dasuki dinamakan ‘inah kerana bertujuan
untuk memberi baantuan (cinah) pembeli yang sedang terdesak untuk mendapatkan
sesuatu (al-Dasuki 1980). Ia ditakrifkan sebagai seseorang menjual milikannya dengan
harga tertangguh kemudiannya membelinya semula dalam majlis yang sama dengan
harga tunai yang berbeza kadarnya untuk mengelakkan daripada berlakunya riba
(Azizi Abu Bakar 2009).
Prinsip kontrak ini melibatkan kontrak jualan oleh penjual kepada pembeli dan pada
masa yang sama penjual bersetuju membeli semula barangan tersebut daripada
pembeli. Penjual akan menjual dengan kredit kepada pembeli dan kemudiannya
membeli semula dengan cara tunai barangan yang dijualnya itu dengan harga belian
semula ini biasanya lebih rendah dari harga jualan pertama yang dibuat secara kredit
(Sudin Haron 2005). Struktur bai al-Inah ini banyak diaplikasikan dalam produk
pembiayaan hutang di Malaysia seperti pembiayaan peribadi, pembiayaan modal
kerja, kad kredit, sukuk BBA dan murabahah, overdraf Islam dan murabahah trade
financing (Zaharuddin Abd Rahman 2009). Penjualan semula oleh penjual secara
kredit itu akan menyebabkan pembeli, iaitu pelanggan akan berhutang dengan penjual.
Ia adalah BBA tetapi dalam sturktur bayc al-cinah.
Sementara musyarakah mutanaqisah adalah kontrak pensyarikatan di antara pembiaya
sebagai rakan kongsi dan telah memberikan hak kepada pihak yang ingin memiliki
aset dengan sekali atau bayaran secara beransur-ansur berdasarkan kepada syarat
yang telah dipersetujui kedua belah pihak (al-Sawi 1990). Maka kontrak ini terbentuk
untuk menentukan perpindahan hak milik daripada satu pihak kepada pihak yang lain
hingga berakhir dengan pemilikan sepenuhnya. Kontrak ini turut dikenali sebagai
kontrak hybrid (campuran) kerana terdapat tiga kontrak yang digunakan di dalamnya
iaitu al-musyarakah, al-ijarah dan al-Bayc.
Sementara jual beli al-salam atau al-salaf pula adalah jual beli dengan membayar
wang sepenuhnya atau sebahagian besarnya terlebih dahulu untuk mendapatkan
barangan yang masih belum wujud sekarang tetapi pada waktu yang telah ditentukan
263
pada masa hadapan. Contohnya melanggan majalah. Bayar dahulu, majalah masih
belum wujud untuk setahun atau dua tahun akan datang. Biasanya harga lebih murah
berbanding jika beli pada waktu selepas majalah terbit. Ijmak mengharuskan jual beli
sebegini tetapi wang itu mesti diberi sekarang dan tidak ditangguhkan. Mazhab Maliki
membenarkan wang ditangguhkan tetapi untuk sekadar tiga hari sahaja.
Kontrak al-istisnac adalah jual beli berbentuk tempahan dengan pembeli membayar
setelah tamat tempahan, atau membayar sedikit modal pada awal tempahan, kemudian
melangsaikan sebahagian lagi bayaran selepas barangan siap. Sepakat para fuqaha
mengganggap kontrak ini adalah harus sekalipun barangan masih lagi belum wujud
pada waktu tempahan.
Sementara kontrak al-qard adalah kontrak yang jelas membentuk hutang sebab ia
adalah akad pemberian harta kepada pihak lain sebagai pinjaman dan dibalas semula
pada tempoh yang dijanjikan dengan nilai yang sama tanpa apa-apa tambahan
ganjaran atau manfaat yang dijanjikan atau tidak dijanjikan tetapi pada kebiasaannya
diberikan. Kontrak ini harus di sisi Syariah dengan syarat tidak dijanjikan apa-apa
manfaat kepada si pemberi pinjam. Sebarang bentuk manfaat yang diperoleh oleh
pemberi pinjam yang dijanjikan atau pada kebiasaannya perlu diberikan, dianggap
riba dan haram di sisi Syariah.
Maksud Kemungkiran Kontrak
Mungkir menurut kamus dewan (2005) ialah tidak mengakui, menyangkal, ingkar dan
menolak perjanjian. Manakala dalam bahasa Arab perkataannya adalah ‘al-matl’ (مطل)
yang bermaksud berdolak–dalih atau mengelak daripada menunaikan hak dan
tanggungjawabnya. Selain itu, al-matl bi al-dayn pula bermaksud menangguhkan atau
memanjangkan tempoh pembayaran hutang atau memungkiri janji untuk melunaskan
pembayaran hutang mengikut waktu yang ditetapkan (Fayruzabadi 1952; Ibrahim et.
al 1973).
Dari segi istilah, tidak terdapat banyak perbezaan dengan bahasa dan sebahagian
ulama telah membahagikan takrifannya dari sudut umum dan khusus. Kemungkiran
menurut istilah secara umum ditafsirkan sebagai halangan untuk melaksanakan
sesuatu perkara yang sepatutnya ditunaikan (al-Nawawi 1987). Merujuk kepada
perkara hutang, halangan itu adalah dengan melewatkan pembayaran hutang mengikut
waktu yang ditetapkan setelah diminta untuk membayarnya (al-Dakhil 2012). Menurut
istilah secara khusus pula ialah melewatkan pembayaran hutang tanpa sebab yang
munasabah walaupun selepas diminta untuk membayarnya. Lafaz khusus ini adalah
merujuk kepada sabda nabi SAW yang menyebut seseorang yang mampu untuk
membayar hutangnya tetapi sengaja melengah-lengahkannya adalah zalim.
Tindakan Yang Boleh Dikenakan Kepada Penghutang Yang Mungkir.
Kaedah Penguatkuasaan.
Sebelum meneliti tindakan-tindakan yang boleh dikenakan ke atas penghutang ini,
perlulah diketahui di dalam Islam apabila berlakunya urusan di antara dua pihak yang
berkontrak dan adanya elemen hutang maka hutang yang ada itu perlulah direkodkan
dan akadnya disaksikan jika ia melibatkan hutang yang bertempoh. Langkah ini
dianggap sebagai suatu kuat kuasa yang dijalankan pihak yang berkontrak agar patuh
264
terhadap syarat-syarat yang telai dinyatakan di dalam kontrak. Kaedah ini disebut
sebagai dokumentasi (al-Tauthik) . Firman Allah S.W.T:
ى فاكتبوه وليكتب بينكم كاتب يا أيها الذين آمنوا إذا تداينتم بدين إلى أجل مسم 23 بالعد
Maksudnya:
Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu
urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu
masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa
bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu
menulisnya dengan adil (benar).
Ayat ini telah memberikan peringatan kepada kita agar merekodkan segala urusan
hutang supaya rekod simpanan hutang tersebut boleh menjadi bukti kepada pemiutang
untuk menuntut kembali hutang tersebut sekiranya salah seorang daripada pihak yang
berkontrak ini terlupa untuk menunaikan obligasi ini. Sebahagian ulama menyatakan
proses merekodkan hutang serta adanya saksi adalah sunat bahkan ada juga yang
mewajibkan proses merekodkan hutang tersebut (Ibn al-cArabi 2002).
Dalam ayat yang seterusnya pula menyarankan agar merekodkan hutang menerusi
gadaian ( al-rahn). Firman Allah S.W.T:
ا فليؤد ال ربه وإن كنتم على سفر ولم تجدوا كاتبا فرهان مقبوضة فإن أمن بعضكم بعض ذي اؤتمن أمانته وليتق للا
بما تعملون عليم وال تكتموا الشهادة ومن يكتمها فإنه آثم قلبه وللا24
Maksudnya:
Dan jika kamu berada Dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi
hutang Yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka
hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang Yang
memberi hutang). kemudian kalau Yang memberi hutang percaya kepada
Yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian),
maka hendaklah orang (yang berhutang) Yang dipercayai itu menyempurnakan
bayaran hutang Yang diamanahkan kepadaNya, dan hendaklah ia bertaqwa
kepada Allah Tuhannya. dan janganlah kamu (Wahai orang-orang Yang
menjadi saksi) menyembunyikan perkara Yang dipersaksikan itu. dan sesiapa
Yang menyembunyikannya, maka Sesungguhnya ia adalah orang Yang
berdosa hatinya. dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan apa Yang
kamu kerjakan.
Berdasarkan ayat ini sebahagian ulama menyatakan, gadaian hanya akan berlaku
apabila penghutang sedang musafir dan tidak wujud di tempat berkenaan (Ammar
1984). Namun begitu mengikut aplikasi masa kini, bagi kes hutang yang tidak dibayar
mengikut tempoh yang ditetapkan, pemiutang berhak untuk menuntut setelah harta
pihak tersebut dicagarkan atau pemiutang boleh menjual terus harta yang dicagarkan
itu bagi membolehkannya menyelesaikan baki hutang oleh penghutang tersebut dan
23 al-Quran,al-Baqarah 2:282
24 al-Quran,al-Baqarah 2:283
265
jika terdapat lebihan daripada cagaran tersebut pihak pemiutang terbabit hendaklah
mengembalikan semula lebihan itu (Ibn Rushd 2004; Ibn Abidin 2003).
Selain gadaian, tindakan merekodkan hutang menerusi jaminan (kafalah) iaitu
menggabungkan tanggungjawab penjamin terhadap penghutang dalam menanggung
hutang. Kaedah ini memerlukan komitmen daripada pihak penjamin dan pihak yang
dijamin. Perkara ini juga menjadikan seseorang yang bersetuju untuk bersama-sama
menanggung hutang tersebut perlulah bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang
akan berlaku ke atasnya sekiranya penghutang itu tadi berniat untuk mengelak
daripada menjelaskan hutang. Kaedah ini juga pada masa kini menjadi antara syarat-
syarat yang telah diletakkan di dalam dokumen perjanjian untuk memeterai kontrak.
Apabila syarat sedemikian diletakkan di dalam dokumen perjanjian, ini dapat
menimbulkan rasa tanggungjawab ke atas penghutang agar tidak membebankan pihak
penjamin semata-mata ingin menanggung hutang yang sengaja tidak dlunaskan.
Berikut adalah beberapa syarat dan tindakan daripada resolusi Akademi Fiqh Islam
dan piawaian AAOIFI terhadap penghutang yang menangguhkan pembayaran
hutangnya (Majallah Majma` al-fiqh al-Islami 2004):
i. Harus mengisytiharkan nama pihak yang sengaja menangguhkan pembayaran
hutangnya di media massa.
ii. Bagi pembelian barang menerusi kontrak murabahah, sekiranya barang
tersebut masih ada dan penghutang menangguhkan pembayaran hutang dan
kemudian menjadi muflis, pihak bank berhak untuk menuntut barangan
tersebut. Tindakan ini adalah lebih baik berbanding campur tangan untuk
memufliskan penghutang tersebut.
iii. Bank boleh mendapatkan segala kerugian dan perbelanjaaan tanggungan atas
sebab kelewatan pembayaran hutang.
iv. Harus meletakkan jaminan terhadap penghutang untuk kerugian kerana susut
nilai matawang berpunca daripada inflasi.
v. Menyelesaikan masalah menerusi jaminan kontrak pada permulaan kontrak
dimeterai di antara kedua belah pihak dan diistilahkan sebagai syarat balasan
(syart al-jaza’i).
vi. Pihak bank dan penghutang boleh melakukan kerjasama dengan membuat
perkongsian bagi aset tidak alih (‘aqar) dengan nilaian hutang. Melalui
perkongsian ini, pihak bank boleh mendapatkan semula hutangnya melalui
sewaan aset tersebut. Kaedah ini bersesuaian bagi penghutang yang tidak
mampu dari segi kewangan namun berazam untuk melunaskan hutangnya.
vii. Pihak bank boleh menuntut ganti rugi disebabkan kerugian terhadap
penghutang yang enggan membayar hutangnya sepanjang tempoh urusan
mengeluarkan keputusan daripada mahkamah atau proses penghakiman.
Kaedah Pemulihan.
Kaedah pemulihan ini boleh dikenakan apabila diketahui penghutang mula lewat
untuk membayar hutang. Langkah ini boleh diambil bagi memastikan keadaan sebenar
penghutang itu sama ada benar-benar berada di dalam kesusahan atau sengaja
melengah-lengahkan waktu pembayaran hutangnya. Berikut adalah antara kaedah
pemulihan yang boleh dilaksanakan:
266
i. Syarat Balasan (Syart al-Jaza’i)
Syarat balasan atau syart al-jaza’ bermaksud persetujuan di antara dua pihak dalam
penentuan awal bagi ganti rugi yang mana pemiutang berhak menuntut apabila
penghutang tidak melaksanakan kewajipannya atau terlewat dalam pembayaran (al-
Badrawi 1971).
Syarat balasan yang terdapat di dalam kontrak pada masa kini adalah penting kerana
dengan adanya syarat balasan ini, ia dapat melindungi pihak yang berkontrak
sekiranya dalam tempoh kontrak berjalan, akan berlakunya kemungkiran kontrak.
Syarat balasan juga berlaku dalam dua bentuk kontrak (al-Qaradaghi 2007), iaitu:
1. Syarat balasan dalam kontrak bukan hutang. Syarat balasan ini
mengandungi nilaian ganti rugi yang ditentukan berdasarkan kepada kontrak
yang tidak berkait dengan hutang contohnya kelewatan pelaksanaan kerja-
kerja atau tiada langsung pelaksanaan kerja kontrak pembuatan/ tempahan
(istisna). Nilaian ganti rugi tersebut adalah mengandungi tempoh kelewatan
pelaksanaan kerja. Kadarnya ditentukan berdasarkan kepada berapa hari atau
bulan yang dikira hasil daripada tempoh kelewatan itu. Selain itu, syarat
balasan juga diletakkan di dalam kontrak kerja atau upah. Syarat ini terpakai
jika pekerja tidak melaksanakan kerja yang telah ditetapkan ke atasnya maka
syarat balasan dikenakan dengan menetapkan bayaran berdasarkan hari atau
tempoh bulanan yang lewat daripada tarikh yang telah ditetapkan. Ini dikenali
dalam undang-undang sebagai terma-terma pekerjaan. Syarat balasan dalam
kontrak ini adalah harus dan wajib disempurnakan berdasarkan perjanjian dan
syarat yang telah disepakati.25
2. Syarat balasan dalam kontrak hutang. Syarat balasan dalam kategori ini
pula mengandungi nilaian ganti rugi hasil daripada kelewatan melunaskan
hutang dan berlaku di dalam kontrak pembiayaan yang berasaskan hutang
seperti murabahah, Bai’ bithaman al-ajil (BBA), al-Ijarah Thumma al-Bai’
(AITAB) dan seumpama dengannya. Penetapan syarat balasan telah menjadi
fokus perbincangan ulama bagi keadaan penghutang yang enggan melunaskan
hutang. Tindakan penghutang tersebut adalah dianggap zalim kerana telah
membebankan pihak bank menanggung hutang pelanggan tersebut dan
menyebabkan pihak bank menanggung kerugian. Sebahagian ulama
berpendapat tindakan mengenakan denda di atas kelewatan melunaskan
hutang adalah haram kerana perbuatan ini termasuk di dalam riba’ al-
Jahiliyyah. Namun begitu, ada juga ulama yang mengharuskan adanya syarat
balasan dengan beberapa syarat yang tertentu.
Setiap nilaian ganti rugi hendaklah ditetapkan oleh pihak berkuasa atau
hakim dan bukannya ditentukan oleh individu atau pihak bank. Hasil kutipan
itu nanti juga tidak boleh disalurkan kepada pihak bank atau pemiutang namun
perlu diserahkan kepada badan-badan kebajikan kerana tindakan sedemikian
boleh menghindari daripada berlakunya riba’. Selain itu, syarat balasan jika
ketetapan yang dibuat melibatkan hutang ke atas seseorang tidak diharuskan
adanya persetujuan awal untuk melunaskan bayaran tambahan akibat
25 “Diharuskan untuk memasukkan syarat balasan dalam kontrak istisna’ berdasarkan apa yang
telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berakad iaitu sebagaimana tidak wujud keadaan yang
mendesak” Resolusi Akademi Fiqh Islam ke-7.
267
berlakunya kelewatan kerana ia adalah salah satu bentuk riba secara
bertangguh.
ii. Denda (Gharamah)
Denda (al-Gharamah) pula dari segi bahasa ialah sesuatu perkara yang mesti
dilakukan oleh seseorang yang pada asalnya tidak wajib untuk menunaikannya.
Sebahagian ulama menyatakan bahawa denda (al-Gharamah) ialah apa yang diambil
daripada harta mereka dan mesti ditunaikan sebagai hukuman disebabkan kerugian
dan kekurangan ( Hammad 1995).
Denda yang dikenakan juga dianggap sebagai hukuman dan bukan untuk
memberikan ganti rugi kepada pihak yang menerima kesan kerugian. Selain itu, denda
juga dihadkan atas kelewatan penghutang melunaskan bayaran sehingga pihak yang
satu lagi mengalami kerugian. Kerugian atau mudarat ini hendaklah berpunca
daripada kemudaratan yang benar-benar ditanggung oleh pihak yang terjejas itu.
Namun begitu, hasil daripada denda tersebut tidak boleh dimanfaatkan bank tetapi
sebaliknya hendaklah disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang memerlukan
(BNM 2010).
iii. Ganti rugi (al-Ta’widh)
al-Ta’widh atau ganti rugi berasal daripada perkataan al-cIwad yang bermaksud ganti.
Dari segi istilah pula ganti rugi ialah harta yang diambil sebagai hukuman ke atas
orang yang melakukan kemudaratan terhadap harta atau jiwa orang lain (Busak 1999).
Terdapat sebahagian ulama meletakkan kaedah ganti rugi ini sebagai satu bentuk
hukuman ta’zir dengan harta (Mani' 1985). Ta’zir dengan harta pula bermaksud
mengambil harta pesalah sebagai suatu hukuman ke atasnya. Bagi maksud harta (al-
mal), ulama telah berbeza pendapat di dalam menentukan maksud al-mal (harta),
menurut mazhab Hanafi, al-mal ialah suatu nama bagi selain manusia, diciptakan
untuk kemaslahatan manusia boleh dijaga dan boleh digunakan ketika dikehendaki
(al-Kasani 2003). Namun begitu, ada juga ulama tidak menetapkan bahawa ia sebagai
ta’zir tetapi lebih kepada hukuman ganti rugi itu sendiri. Berkenaan hukuman ta’zir
dengan harta atau ganti rugi, terdapat sebahagian ulama yang tidak mengharuskan
penggunaannya kerana hukuman seperti ini adalah menghampiri riba (Hammad 1985)
Konsep umum di dalam masalah ganti rugi ialah menghilangkan kemudaratan
secara hakiki seperti membaiki sesuatu barangan yang telah rosak, sekiranya sukar
untuk berbuat demikian maka pihak tersebut perlu membayar ganti rugi dengan
sejumlah wang menyamai kadar yang perlu diperolehinya. Prinsip asas ganti rugi di
dalam Islam adalah haramnya memakan harta orang lain secara batil (al-Khafif 1973).
Ini secara jelas menunjukkan kehendak Syariah untuk menjaga kemaslahatan manusia
dengan menjaga harta. Perintah ini dapat kita lihat di dalam firman Allah S.W.T:
ام لتأكلوا فريقا من أموا 26الناس باإلثم وأنتم تعلمون وال تأكلوا أموالكم بينكم بالباطل وتدلوا بها إلى الحك
Maksudnya:
26 al-Quran, al-Baqarah 2:188
268
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain)
di antara kamu Dengan jalan Yang salah, dan jangan pula kamu
menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim
kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta
manusia Dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
Ayat di atas menjelaskan bahawa haram bagi sesiapa yang mengambil harta
manusia yang lain secara batil (Busak 1999). Oleh itu, Islam membenarkan kaedah
ganti rugi bagi mengelakkan daripada berlakunya kezaliman. Selain itu, kaedah ganti
rugi juga dapat menutup pintu kemudaratan yang berlaku secara melampaui batas.
Kadar ganti rugi ini juga hanyalah diambil pada mudarat yang sebenar sahaja tanpa
ada berlakunya sebarang pengurangan atau penambahan. Oleh itu, ia hendaklah
dibayar dengan kadar yang tertentu atau yang dipersetujui bersama.
iv. Penjadualan semula (I’adah Jadual).
Kaedah penjadualan semula merupakan satu kaedah pemulihan yang diperlukan oleh
penghutang yang lewat membayar hutang. Kaedah ini diperlukan bagi meringankan
bebanan penghutang dengan mengurangkan kadar bayaran bulanan dan menambah
tempoh pembayaran hutang. Penghutang perlu menjelaskan keadaan mereka agar
pihak pemiutang tidak perlu mengambil tindakan yang keras terhadap mereka
sedangkan ada cara yang boleh diselesaikan dengan baik (al-Dakhil 2012). Selain itu,
kaedah penjadualan semula ini juga amat digalakkan bagi sesiapa yang menghampiri
muflis.
Terdapat dua keadaan penjadualan semula dijalankan iaitu:
1. Penjadualan semula hutang dengan pertambahan kadar. Keadaan ini
tidak diharuskan kerana ia boleh membawa unsur riba jahilyyah27. Ini
dikuatkan lagi melalui resolusi Majma’ fiqh al-Islami yang tidak
membenarkan ba’i al-dayn dengan kadar yang lebih tinggi daripada
jumlah hutang sebenar kerana ia jelas menggambarkan adanya riba
(Majallah Majma` al-fiqh al-Islami 2004).
2. Penjadualan semula tanpa adanya pertambahan kadar. Kaedah ini
bermaksud memberi kelonggaran dan keringanan kepada penghutang
untuk melunaskan hutang dan ia adalah diharuskan. Ia juga dianggap
sebagai suatu tindakan yang baik untuk dilaksanakan terutama bagi
penghutang yang mampu dan lewat untuk membayar hutangnya. Malah
amat baik jika kaedah ini turut disarankan oleh pihak pemiutang sendiri
kerana ini merupakan di antara kaedah sulh yang perlu diambil kira (Ibn
Taimiyyah 2002; al-Dakhil 2012).
27 Rujuk hlm 74.
269
Kaedah Penyelesaian Semasa Yang Diaplikasikan Oleh Bank Negara Malaysia
(BNM)
Sebelum meneliti kaedah penyelesaian semasa, setiap pihak yang terbabit iaitu pihak
bank dan pelanggan perlulah mengetahui tanggungjawab dan batasan yang boleh
dikenakan kepada mana-mana pihak. Sebagai penghutang, ada beberapa
tanggungjawab yang mesti dipatuhi mereka apabila bersetuju untuk memohon sesuatu
pembiayaan. Selain itu, setiap pelanggan yang datang kepada bank haruslah sedar
bahawa setiap bank yang beroperasi di Malaysia sama ada Islam mahupun
konvensional bertujuan untuk menjalankan perniagaan dan mendapatkan keuntungan.
Oleh yang demikian, pihak bank berhak mengenakan apa jua tindakan yang
bersesuaian dengan kehendak Syarak dan melalui apa yang telah dipersetujui di dalam
kontrak. Berikut adalah beberapa tanggungjawab bagi seorang penghutang sekiranya
mereka menangguhkan pembayaran hutang mereka:
i. Haram bagi penghutang yang mampu sengaja melewatkan pembayaran
hutangnya.
ii. Harus bagi penghutang yang tidak mampu untuk menangguhkan pembayaran
hutangnya, pemiutang hanya boleh menuntut hutang tersebut apabila
penghutang tersebut telah terbukti mampu untuk melunaskan hutangnya.
iii. Pemiutang berhak untuk mengisytiharkan nama penghutang yang sengaja
melewatkan bayaran hutang kepada umum.
iv. Penghutang berhak untuk diberi peringatan terhadap hutang yang belum
dijelaskannya. Peringatan ini boleh dilakukan oleh pemiutang melalui
panggilan telefon, surat-menyurat dan sebagainya. Keadaan ini memberi ruang
kepada pemiutang untuk mengenal pasti keadaan penghutang tersebut sama
ada individu terbabit prihatin atau sambil lewa terhadap masalah hutang yang
dialaminya (Mohammad Akram Laldin 2006).
v. Penghutang juga harus mengetahui bahawa pemiutang berhak meletakkan
syarat membenarkan penjualan barang gadaian untuk melunaskan bayaran
hutang tersebut.
vi. Sekiranya penghutang masih lagi enggan atau mengemukakan
ketidakmampuannya untuk melunaskan hutang, maka pemiutang berhak
mendakwanya di mahkamah dan penghutang hendaklah menanggung segala
kos pendakwaan mahkamah.
Bagi pihak bank pula boleh memulakan beberapa langkah sebagai usaha memberi
peringatan kepada pihak yang lewat menjelaskan hutang mereka. Langkah-langkah
ini juga dilihat sebagai satu usaha yang komited cuba dilakukan pihak bank bagi
mengurangkan risiko berlakunya masalah kemungkiran kontrak ini. Antara langkah-
langkah awal yang boleh di ambil ialah:
i. Meneliti latar belakang ekonomi pelanggan yang memohon pembiayaan sama
ada individu atau syarikat.
ii. Mendokumentasikan dokumen permohonan pembiayaan tersebut dan
memasukkan klausa gadaian (ar- rahnu) dan jaminan (al- kafalah). Cara ini
juga bertepatan dengan apa yang disarankan di dalam surah al-Baqarah ayat
282 supaya menulis setiap hutang yang diberikan kepada seseorang.
iii. Pihak institusi kewangan dan kerajaan perlu saling bantu-membantu di antara
satu sama lain dalam pertukaran maklumat terhadap pelanggan yang
270
bermasalah. Kaedah membolehkan nama individu terbabit disenaraihitamkan
dengan tujuan memberi amaran kepada individu terbabit. Selain itu, Akademi
fiqh Islami juga membolehkan untuk menjual harta (gadaian) golongan ini
sekiranya masih lagi berdegil untuk melunaskan hutangnya (al-Qaradaghi
2007).
iv. Memberi surat peringatan atau menghubungi pelanggan tersebut melalui
telefon peribadi atau pejabat sebagai peringatan awal untuk tidak
menangguhkan pelunasan hutang.
v. Pihak bank berhak untuk menuntut barang atau aset yang dijual serta menolak
baki akaun simpanan bagi pelanggan tersebut.
Selepas melalui proses-proses tersebut, sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi
kemungkinan keengganan penghutang untuk melunaskan hutang mereka Majlis
Penasihat Syariah di Malaysia telah memilih pendapat yang mengharuskan kaedah
pengenaan ganti rugi dan denda dalam aktiviti kewangan Islam di Malaysia meliputi
aspek kemungkiran pelunasan pembiayaan, hutang penghakiman dan penyelesaian
hutang awal (Bank Negara Malaysia 2010). Umum mengetahui bahawa dalam sistem
kewangan konvensional, masalah kemungkiran kontrak hutang telah ditangani
menerusi pengenaan faedah atau riba terhadap pelanggan. Hal ini sangat bertentangan
dengan prinsip Syarak. Sehubungan itu, dua kaedah ini telah dipilih bagi memastikan
bahawa masalah kemungkiran kontrak ini dapat diselesaikan sejajar dengan hukum
Syarak.
Dalam konteks pembiayaan, ta`widh ialah ganti rugi yang dikenakan ke atas kerugian
sebenar yang dialami oleh pembiaya kesan kelewatan pembayaran pembiayaan oleh
penerima biaya. Gharamah pula ialah penalti atau denda yang dikenakan kerana
kelewatan melunaskan hutang, tanpa perlu pembuktian kewujudan kerugian sebenar
(Bank Negara Malaysia 2010). Majlis Penasihat Syariah Bank Negara telah
bermesyuarat sebanyak tiga kali bagi membincangkan kaedah penyelesaian bagi
mengatasi masalah kemungkiran kontrak dengan beberapa syarat yang telah
dipersetujui iaitu:
i. Ganti rugi boleh dikenakan ke atas kelewatan pembayaran obligasi kewangan
yang terhasil daripada kontrak-kontrak pertukaran (mu’awadhat).
ii. Ganti rugi hanya boleh dikenakan selepas tamat tempoh pelunasan hutang yang
dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak yang berkontrak.
iii. Institusi perbankan Islam boleh mengiktiraf ganti rugi sebagai pendapatan atas
dasar ia dikenakan sebagai ganti rugi di atas kerugian sebenar yang dialami oleh
pihak bank.
iv. Denda (gharamah) tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan akan tetapi
sebaiknya perlu disalurkan kepada badan-badan kebajikan tertentu.
Asas pertimbangan penggunaan kaedah ini adalah berpandukan kepada dalil hadis
Rasulullah S.A.W yang menyifatkan pelanggan yang mungkir dan enggan
melunaskan hutang telah melakukan kezaliman. Kezaliman yang dimaksudkan ialah
keengganan mereka telah menyebabkan pihak bank mengalami kerugian dan hilang
manfaat modal. Tindakan ini juga telah memudaratkan keadaan pihak bank kerana
perlu menanggung kos kerugian seperti bayaran perbelanjaan untuk mengeluarkan
notis dan surat, yuran guaman dan bayaran lain yang berkaitan dengannya. Ganti rugi
yang dikenakan juga hendaklah tidak melebihi kadar satu peratus daripada jumlah
271
pembiayaan. Selain itu, masalah kemungkiran kontrak oleh pelanggan yang mungkir
ini juga telah diqiyaskan dengan hukum rampasan harta secara tidak sah yang mana
keduanya berkongsi illah28 yang sama iaitu menghalang penggunaan harta dan
memanipulasikannya secara zalim. Setiap manfaat harta yang dirampas adalah dalam
jaminan dan perlu dibayar ganti rugi (al-Khafif 1973)
Berdasarkan penilaian, keharusan kaedah pengenaan ganti rugi dan denda ini menjadi
khilaf di kalangan ulama kerana boleh menjerumuskan seseorang ke dalam riba al-
Jahiliyyah. Walaupun garis panduan telah dikeluarkan oleh pihak Bank Negara
Malaysia, ketidakseragaman pelaksanaannya masih lagi berlaku di antara bank bank
di Malaysia terutama kepada pembahagian hasil kutipan ganti rugi. Penentuan maksud
kerugian sebenar pula adalah mengikut kehendak pihak bank asalkan tuntutannya
masih lagi di bawah satu peratus. Masalah seumpama sedikit sebanyak boleh
menimbulkan kekeliruan dikalangan pelanggan khususnya apabila berdepan dengan
masalah ini (Anuar Elias 2013). Justeru, bagi memastikan kelangsungan
pelaksanaannya pihak bank perlu bersedia dengan beberapa alternatif penyelesaian
masalah lewat bayar dan mungkir.
Kesimpulan
Secara umumnya, masalah kemungkiran kontrak adalah melibatkan isu hak dan
keadilan di antara kedua belah pihak. Masalah ini juga berkemungkinan berlaku
dalam pelbagai cara sama ada atas sebab yang positif atau negatif. Oleh yang
demikian, bentuk-bentuk kemungkiran kontrak yang berlaku ini kebiasaannya
memberikan kesan yang berbeza dari segi hukuman kerana setiap bentuk-bentuk
kemungkiran kontrak mempunyai justifikasi yang berbeza.
Masalah kemungkiran kontrak dalam kewangan Islam kebiasaannya akan berlaku di
dalam pembiayaan yang berasaskan hutang kerana hampir semua bentuk pembiayaan
yang digunakan dalam sistem kewangan Islam sekarang adalah secara hutang.
Sehubungan itu, para cendiakawan Islam telah berusaha mencari alternatif atau
kaedah penyelesaian bagi menyelesaikan permasalahan kemungkiran kontrak ini.
Antara kaedah yang telah dibincangkan ialah hukuman ta’zir pada individu dan harta.
Ulama berselisih pendapat pada hukuman ta’zir harta ataupun ganti rugi kerana
hukuman seperti ini menyamai riba secara praktikalnya yang mengenakan hukuman
ganti rugi dan denda kepada pelanggan yang mungkir dan lewat dalam melunaskan
hutangnya.
Namun begitu, terdapat juga golongan yang mengharuskan penggunaan ganti rugi atas
fakotr kemaslahatan terutamanya bagi pihak bank yang terpaksa menanggung
kerugian disebabkan masalah kemungkiran kontrak ini. Berdasarkan analisis terhadap
beberapa permasalahan kaedah ganti rugi dan denda, kaedah ini menjadi pilihan
kebanyakan bank atas kewajarannya dalam praktis perbankan Islam pada masa kini
termasuk di Malaysia sekalipun terdapat segelintir yang menolak kaedah ini namun
adalah lebih baik pendekatan berhikmah digabungkan dengan kaedah ganti rugi
supaya dapat melancarkan usaha mencegah berlakunya kemungkiran. Selain itu,
penilaian terhadap kaedah lain yang dilihat berpotensi seperti kaedah sulh dan
28 Illah bermaksud suatu pernyataan atau sebab kewujudan hukum yang sama dengannya. (al-
Jurjani, Mu’jam al-Ta’rifat ms:130)
272
penjadualan semula boleh menjadi alternatif kepada kaedah ganti rugi perlu diberi
perhatian agar dapat mengharmonikan peranan bank Islam itu sendiri dalam
menangani permasalahan ini. Justeru, dalam bab seterusnya beberapa alternatif akan
dibincangkan sesuai dengan prinsip yang telah digariskan Syarak.
Rujukan
al-Qur`an
Abadi al-Azim. 2001. cAwn al- Macbud Sharh Sunan Abi Dawud. Beirut: Dar al-Fikr.
Abdul Aziz Husin. 1990. Pengenalan Kepada Undang-Undang Kontrak. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Halim el Muhammady. 2002. Undang-undang Muamalat dan Aplikasinya
kepada Produk-produk Perbankan Islam. Selangor: Aras Mega.
Anuar Elias. 2013. Alternatif kaedah penyelesaian masalah lewat bayar dan mungkir,
Kuala Lumpur, BIMB. Temu bual 21 Mac
Azizi Abu Bakar.2009. "Pelaksanaan Bay al-Inah dalam Pembiayaan Peribadi di
Malaysia." International Conference on Corporate Law (ICCL). Surabaya,
Indonesia.
al-Badrawi, Abd al-Mun'im. 1971. al-Nazariyat al-Ammah li'l Ittizamat al-Ahkam.
Lubnan: Dar al-Fikr.
al-Bahuti, Mansur bin Yunus bin Idris.1999. Kasyaf al-Qina'. Beirut: Dar Ihya' al-
Turath al-'Arabi.
al-Baji, Abi al-Walid Sulaiman bin Khalaf bin Saad bin Ayub. 1999. Al-Muntaqa
Syarh Muwatta' Malik. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah.
BNM. 2010. Resolusi Syariah dalam Kewangan Islam. Kuala Lumpur: Bank Negara
Malaysia.
Darir, Muhammad Siddiq al-Amin . 1985. al-Ittifaq 'ala Ilzam al-Madin al-mu'sir bi
Ta'widh Darar al- Mumatil. Jeddah: Majallah Abhas al-Iqtisod al-Islami.
al-Dakhil, Salman bin Soleh. 2009. al-Ta'widh an al-Adrar al-Mutaratabah ala al-
Mumatilah fi al-Duyun. Riyadh: Dar al-Ulum.
al-Dakhil, Salman bin Soleh. 2012. Al-Mumatalah fi al-Duyun Dirasat Fiqhiah
Ta’siliah Tatbiqiah. Riyadh: Dar Kanuz Ishbiliya.
al-Darimi, Muhammad Abdullah bin Abdul Rahman bin al-Fadl. 1996. Sunan al-
Darimi. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah.
al-Dasuki, Shamsuddin Muhammad Arif. 1980. Hashiah al-Dusuki 'ala al-Syarh al-
Kabir. Beirut: Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiah.
273
Fayyumi, Ahmad bin Muhammad bin Ali. 2000. al-Misbah al-Munir. Kaherah: Dar
al-Hadis.
al-Hamawi, Ahmad bin Muhammad Husaini. 1985. Ghamz al-'uyun al-Basoir Syarh
kitab al-ashbah wa al-Nazoir. Lubnan: Dar al-Kutub al-Ilmiah.
Hammad, Nazih Kamal. 1985a. al-Muayyidat al-Shar'iyah li Haml al-Madin al-
Mumatil 'ala al-Wafa'. Jeddah.
Hammad, Nazih Kamal. 1985b. Mu'jam al- Mustolahat al- Iqtisodiah fi
Lughatilfuqaha'. Riyadh: Dar al- 'Alamiah lil Kitab al-Islami.
Hammad, Nazih Kamal. 2001. Qodhoya fiqhiah mu'asarah fi al-Mal al- Iqtisod.
Syria: Dar al-Qalam.
Helmi Haris. 2007. Pembiayaan Kepemilikan Rumah (Sebuah Inovasi Pembiayaan
Perbankan Syari`ah).
Hussin Salamon. 2009. Perkembangan Pasaran Modal Islam dalam Pembangunan
Ekonomi Negara. Jurnal Teknologi. 50(E).
Ibn al-cArabi, Abu Bakr Muhammad bin Abdullah. 2002. Ahkam al-Qu'ran. Beirut:
Dar al-Kutub al-cIlmiah.
al-Kasani, Alauddin Abu Bakar bin Mas'ud. 2003. Bada'i al-Sonai' fi tartib al-Syarai'.
Beirut: Dar al-Kutub Ilmiah.
al-Khafif, Sheikh Ali. 1973. al-Daman fi al-Fiqh al-Islami. Beirut: Dar al-Fikr.
Ibn Abidin, Muhammad Amin. 2003. Raddu al-mukhtar ‘ala al-Dar al-Mukhtar.
Riyadh: Dar Alim al-Kutub.
Ibn Hazm, Abi Muhammad Ali Bin Muhammad Bin Said Bin. 1996. Muhalla. Beirut,
Lubnan: Dar Jil.
Ibn Manzur, Muhammad Makram. 1990. Lisan al-cArab. Cet. 1. Beirut : Dar al-Sadir.
Ibn Rushd, Abi al-Walid Muhammad bin Ahmad. 1970. al-Muqaddimat al-
Mumahhidat. Baghdad: Maktabah al-Musanna.
Ibn Rushd, Abi al-Walid Muhammad bin Ahmad. 2004. al-Bidayah al-Mujtahid wa
al-Nihayah al-Mujtahid. Kaherah: Dar al Hadis.
Ibn Taimiyyah, Taqi alDin Ahmad Ibn Abdul Halim. 2002. Majmu’ al-Fatawa Sheikh
al-Islam Ibn Taimiyyah. Riyadh: Dar alam al-Kutub.
Kharofa, Ala' Eddin. 2007. Transaksi dalam Perundangan Islam. Kuala Lumpur:
Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
274
Laldin, Mohammad Akram. 2006. Isu-isu Semasa dalam Perbankan Islam: Prosiding
Dialog Cendiakawan Syariah Antarabangsa 2006. Putrajaya, Kuala Lumpur:
Bank Negara Malaysia.
Manic, Abdullah bin Sulaiman .1985. Matl al-Ghaniy Zulmun wa annahu yuhillu
Irduhu wa uqubatahu. Riyadh: Majmu' al-Fatawa wa buhuth.
Mazid, Ibrahim Soleh. 2010. Istifaa al-Duyun fi Fiqh al-Islami. Arab Saudi:Dar Ibnu
al-Jauzi. Mazid, Ibrahim Soleh. 2010. Istifaa al Duyun fi Fiqh al-Islami. Arab Saudi:Dar Ibnu al
Jauzi.
Mohd Sollehudin bin Shuib et al .2011. "Musyarakah Mutanaqisah Home Financing
Products: an Implementation Analysis, product Advantages and Issues at
Citibank(Malaysia) Berhad." Journal of Techno Social, 2011: 43-53.
al-Misri, Rafiq Yunus. 1986. al-Nizom al-Masrafi al-Islami bahs fi dirasat fi al-
Iqtisod al-Islami. Jeddah: al-Markaz lil Abhath al-Islami.
al-Munawi, Abdul Raouf bin Tajul Arifin. 1972. Faidul Qadir: Syarh al-Jamic al-
Soghir. Beirut : Dar al-Ma’rifah.
Qalcah Ji, Muhammad Rawwas. 2000. al-Mawsucah al-Fiqhiyyah al-Muyasarah.
Beirut: Dar al-Nafa`is.
al-Qaradaghi, Ali Muhyi al-Din . 2002. Mabda' al-Ridho fi al- Uqud. Beirut: Dar al-
Bashair al-Islamiah
al-Qaradaghi, Ali Muhyi al-Din. 2007. Buhuth fi Fiqh al-Bunuk al-Islamiah. Beirut:
Dar al- Bashair al-Islamiah.
al-Raghib, Abi al-Qasim al-Hussin bin Muhammad bin Mufaddal al-Asfhani. 1997.
Mucjam Mufradat Alfaz al-Qu'ran. Beirut, Lubnan: Dar al-Kutub al-Ilmiah.
al-Sawi. 1990. Musykilah al-Istithmar fi al-Bunuk al-Islamiyah. Kaherah: Dar al-Wafa
Salleh Buang & Nordin Torji. 1992. Undang-undang Kontrak di Malaysia. Kuala
Lumpur: Central law Book.
Saudah Sulaiman. 2000. Pengenalan Undang-undang Kontrak dan Agensi. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shamsiah Mohamad, Asmak Ab Rahman, Iman Salleh. 2010. Bay al-Tawarruq dan
Aplikasinya dalam Pembiayaan Peribadi di Malaysia. Jurnal Syariah,
010:333-360.
al-Shirbini, Muhammad Khatib. 1978. Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani alfaz al-
Minhaj. Mesir: Dar al-Fikr
275
Shubair, Muhammad Uthman. 2001. al-Mua'malat al-Maliah al-Mu'asoroh fi al-Fiqh
al-Islami. Jordan: Dar al-Nafais.
Sudin Haron. 2005. Sistem Kewangan dan Perbankan Islam. Kuala Lumpur: Kuala
Lumpur Business School Sdn Bhd.
Syacban, Zakiyuddin. 1989. Ta’liq Bahs Mustafa Ahmad al-Zarqa “ Hal
YaqbalSyar’an al-Hukm ‘ala alMadin al-Mumatil bi al-Ta’widh ala ad-Dain.
Jeddah: Majalah al-Iqtisod.
al-Tabari, Abi Jaafar Muhammad bin Jarir. 1992. Jami' al-Bayan fi Ta'awil al-Qu'ran.
Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah.
Zaharuddin Abd Rahman. 2009. Panduan Perbankan Islam Kontrak dan Produk
Asas.Kuala Lumpur: Telaga Biru.
Zaharuddin Abd Rahman. 2010. Riba dan Isu Kewangan Semasa. Selangor: Telaga
Biru.
al-Zarqa, Mustafa Ahmad. 1985. Hawla Jawaz Ilzam al-Madin al-Mumatil bi Ta'widh
al- Dayn. Jeddah: Majallah Abhas Iqtisod al- Islami.
al-Zuhayli, Wahbah. 1985. al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu. Beirut: Dar al-Fikr.