PENINGKATAN KEMAHIRAN DAN KUALITI KERJA AMIL MELALUI ...
Transcript of PENINGKATAN KEMAHIRAN DAN KUALITI KERJA AMIL MELALUI ...
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
1
PENINGKATAN KEMAHIRAN DAN KUALITI KERJA AMIL
MELALUI PEMBANGUNAN MODEL KOMPETENSI AMIL ZAKAT
[IMPROVING THE SKILLS AND QUALITY AMIL THROUGH THE
DEVELOPMENT OF THE MODEL OF AMIL ZAKAT COMPETENCY]
AMMAR BADRUDDIN ROMLI1 & MOHD NOOR DAUD2
1* Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong
Malim, Perak, MALAYSIA. E-mail: [email protected] 2 Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong
Malim, Perak, MALAYSIA
Received: 03 March 2021 Accepted: 22 March 2021 Published: 29 March 2021
Abstrak: Isu kegagalan institusi zakat dalam pembasmian kemiskinan sering dikaitkan dengan tahap
kompetensi amil zakat menjalankan tugas. Hal ini menyebabkan pembayar zakat lebih selesa
menyumbangkan zakat terus kepada asnaf. Masyarakat kurang yakin dengan kredibiliti pusat zakat
untuk menguruskan sumbangan mereka. Terdapat keperluan untuk mewujudkan satu garis panduan
yang membantu amil zakat menjalankan tugasan seperti yang diharapkan oleh masyarakat. Oleh itu,
kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti elemen-elemen yang dapat meningkatkan kompetensi amil
zakat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan model yang bersepadu dan komprehensif. Dapatan
kajian dikumpulkan melalui tinjauan literatur dan temubual temu bual separa berstruktur. Seramai empat
orang amil zakat dan dua orang pegawai zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak
(MAIPk) telah menyertai kajian ini. Data-data dianalisis secara manual dengan menggunakan
pendekatan deskriptif. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat lima elemen kompetensi amil zakat yang
membentuk Model Kompetensi Amil Zakat, iaitu; keperibadian, keilmuan, kemahiran, inovasi dan
konsultasi. Penghasilan model ini merupakan usaha menambah baik tadbir urus pengurusan zakat di
negara ini agar memenuhi peranannya seperti yang ditetapkan oleh syarak serta dijadikan sebagai
rujukan dan panduan bagi institusi zakat di Malaysia.
Kata Kunci: Kompetensi, Amil Zakat, Kutipan dan Agihan Zakat
Abstract: The issue regarding the failure of zakat institutions to eradicate poverty among the community
is associated with the competency level of the amil zakat in performing tasks. It causes the zakat payers
to feel more comfortable contributing zakat directly to the asnaf. The community is less confident in the
credibility of the zakat institutions to manage their contributions. There is a need to create a guideline
that helps amil zakat to carry out tasks as expected by the community. Therefore, this study was
conducted to identify the elements of competency among amil zakat, thus contributed to the
development of an integrated and comprehensive model. The findings of the study were collected
through semi-structured interviews. A total of four amil zakat and two zakat officers from Majlis Agama
Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) participated in this study. The data were analyzed using a
descriptive approach. The results of the study found that there are five elements of amil zakat
competency which have formed the Model of Amil Zakat Competency; personality, knowledge, skills,
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
2
innovation, and consultation. The development of this model is an effort to improve the governance of
zakat management in this country so as to fulfill its role as prescribed by the syarak and to be used as a
reference and guide for the management of zakat in Malaysia
Keywords: Competency, amil zakat, zakat collection and distribution..
Cite This Article:
Ammar Badruddin Romli & Mohd Noor Daud (2021). Peningkatan Kemahiran dan Kualiti Kerja Amil melalui
Pembangunan Model Kompetensi Amil Zakat [Improving the Skills and Quality Amil through the Development
of the Model of Amil Zakat Competency]. TIJARI International Journal of Islamic Economics,Business and
Entrepreneurship 1(1), 01-17.
PENGENALAN
Kompetensi secara umumnya dianggap sebagai kemampuan untuk melakukan sesuatu tugasan
dengan cekap dan berkesan. Perbincangan mengenai kompetensi telah melatari kajian dalam
pelbagai bidang kerjaya seperti psikologi, pendidikan, kewangan, perubatan, perundangan dan
perkhidmatan awam secara umumnya. McClelland (1973) merupakan individu terawal yang
mengemukakan teori kompetensi dengan menyatakan bahawa kepintaran dalam akademik
bukan jaminan untuk seseorang mempunyai prestasi yang baik di tempat kerja. Rentetan itu,
model kompetensi telah menjadi komponen utama dalam pengurusan sumber manusia yang
digunakan secara meluas untuk meningkatkan kecekapan individu dan organisasi sejak lebih
empat dekat yang lalu (Chouhan & Srivastava, 2014).
Kompetensi amil zakat merujuk kepada tahap kecekapan amil dalam melaksanakan
urusan kutipan zakat serta mengagihkannya kepada golongan yang berhak (al-Qaradawi, 2000).
Konsep lokalisasi zakat yang diperkenalkan di masjid-masjid dan institusi-institusi pendidikan
telah merancakkan lagi perbincangan mengenai kompetensi dan professionalisme amil zakat di
Malaysia (Azman, Hairunnizam & Mahazan, 2019). Melalui konsep ini, amil diberi peranan
besar untuk mentadbir urusan zakat melalui unit pengurusan yang dibentuk di lokaliti masing-
masing sesuai dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap dimiliki mereka. Justeru pengamalan
aspek kompetensi dapat membentuk budaya kerja yang cemerlang seterusnya meningkatkan
keberkesanan organisasi (Hoge, Tondora & Marrellu, 2005).
Sungguh pun begitu, terdapat pelbagai isu yang timbul berkenaan dengan kompetensi
amil zakat di Malaysia. Isu mengenai integriti amil seperti penyelewengan dan tahap kemahiran
amil terus mendapat perhatian ramai pengkaji walaupun pendapatan zakat meningkat saban
tahun (Azizi, Ram & Md Hairi, 2011; Azman, Ahmad Anis & Abdulsoma, 2016; Akhyar, 2017;
Azman et al., 2019). Hal ini sangat membimbangkan kerana boleh menghakis kepercayaaan
masyarakat terhadap amil sehingga mewujudkan kelompok masyarakat yang lebih selesa
membayar zakat secara terus kepada asnaf. Dari aspek kajian pula, pengkaji mendapati bahawa
sumber rujukan terhadap model kompetensi individu Muslim yang dikemukakan oleh sarjana
adalah terhad. Kebanyakan model yang dihasilkan lebih berfokuskan bidang kepimpinan.
Oleh itu, kajian ini sangat penting bagi membantu institusi zakat meningkatkan prestasi
terutamanya dalam aspek pembasmian kemiskinan melalui pemerkasaan kompetensi amil
zakat, sepertimana yang dikehendaki oleh masyarakat.
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
3
DEFINISI KOMPETENSI
McClelland (1973) mendefinisikan kompetensi sebagai suatu set sifat peribadi atau tabiat yang
membawa kepada prestasi kerja yang lebih berkesan dan unggul. Ia merupakan ukuran
terpenting yang membentuk sebuah organisasi berjaya. Oleh itu, nilai kompetensi yang sesuai
perlu dipadankan dengan jawatan bagi memastikan kualiti perkhidmatan adalah terjamin seperti
yang diharapkan oleh pemegang taruh dan pelanggan (Chouhan & Srivastava, 2014).
Kompetensi juga dilihat sebagai kemahiran dan kebolehan yang diperolehi melalui
pengalaman kerja, pengalaman hidup, pembelajaran dan latihan (Spancer & Spancer, 1993).
Berlainan pula dengan pandangan Gilbert (1996) yang mendefinisikan kompetensi sebagai
kemampuan untuk menghasilkan tugasan yang diperlukan secara konsisten dengan pencapaian
yang efisien dan berkesan sesuai dengan matlamat organisasi.
MODEL KOMPETENSI
Model Kompetensi adalah senarai pengetahuan, kemahiran, dan sikap yang dapat diamati, dan
diukur melalui tingkah laku yang menghasilkan prestasi terbaik dalam konteks kerja tertentu
(Chouhan & Srivastava, 2014). Ramai pengkaji membangunkan model kompetensi bagi
menangani isu sebenar pekerjaan yang kompleks dengan menunjukkan hubung kait antara
prestasi individu dengan ciri peribadi yang perlu dihayati oleh pekerja. Terdapat banyak jenis
model yang dikembangkan mengikut pelbagai bidang seperti model yang berorientasikan
tingkah laku, model berasaskan generik, model berasaskan tugas, model gabungan tugas dan
tingkah laku, dan model alternatif (Adsule & Badrinarayan, 2014). Beberapa model kompetensi
yang relevan untuk pembinaan kerangka kajian ini telah dikenal pasti, iaitu, Model Iceberg
(Spencer & Spencer, 1993), Model Docking (2006), Hellriegal et al. (2005), Al-Attas & Wan
Mohd Nor (2014), dan Azman et al. (2016).
MODEL ICEBERG (SPENCER & SPENCER, 1993)
Terdapat dua komponen dalam Model Iceberg, iaitu; komponen Pengetahuan dan Kemahiran,
serta Komponen Keperibadian (yang terdiri daripada nilai, peranan sosial, sifat dan motif).
Secara umumnya, komponen Pengetahuan dan Kemahiran yang diletakkan di atas permukaan
air merupakan dua ciri yang mudah dilihat dan boleh dikembangkan melalui program latihan
(Spencer & Spencer, 1993). Walau bagaimana pun, komponen elemen keperibadian yang
kelihatan lebih besar, merupakan teras tersembunyi dan sangat penting dalam pelaksanaan
tugas. Malah ia lebih berupaya membezakan individu cemerlang (outstanding performer)
dengan individu biasa (average performer).
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
4
Rajah 1: Model Iceberg (Adaptasi dari sumber: Spencer & Spencer, 1993)
MODEL DOCKING (2006)
Model kompetensi Docking (2006) dibina dengan memberi tumpuan terhadap organisasi
perniagaan. Namun, ia tetap sesuai digunakan dalam organisasi lain yang tidak berteraskan
keuntungan (Nik Mutasim, Nur Atiqah, Khairul Akmaliah, & Norazila, 2014). Secara
umumnya, model ini telah mengembangkan elemen kemahiran yang terdapat dalam model
Spencer & Spencer (1993). Dua jenis kemahiran yang dikemukakan oleh Docking (2006) iaitu
pertama, kemahiran berfikir yang merangkumi aspek menganalisis dan menyelesaikan masalah,
membuat perancangan, serta menulis laporan. Kemahiran kedua pula ialah kemahiran
pergerakan yang melibatkan aktiviti fizikal seperti kepantasan menulis, mengira atau
melakukan kerja pertukangan.
MODEL HELLRIEGAL ET AL. (2005)
Dua elemen kompetensi iaitu kemahiran dan kualiti peribadi dihuraikan secara mendalam
melibatkan enam ciri utama yang sesuai dengan keperluan tugasan individu dalam organisasi
iaitu komunikasi, perancangan dan pentadbiran, tindakan strategik, pengurusan diri, kesedaran
global, dan kerja berpasukan. Secara perbandingan, dengan model Spencer & Spencer (1993)
dan Docking (2006), model yang dibina oleh Hellriegal et al. (2005) lebih menekankan aspek
hubungan dengan individu lain seperti rakan sekerja dan pihak berkepentingan dalam
pembentukan elemen kompetensi. Tambah beliau lagi, individu perlu bersikap peka dan sedar
mengenai persekitaran, budaya dan keperluan sekeliling bagi membentuk kompetensi mereka
(Hellriegal et al., 2005).
MODEL AL-ATTAS & WAN MOHD NOR (2014)
Model yang dicadangkan oleh Al-Attas & Wan Mohd Nor (2014) telah menyentuh mengenai
kompetensi Muslim secara umum yang menekankan terhadap kepatuhan kepada hukum
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
5
Syariah melalui proses dan penghasilan sesuatu tugas. Elemen keperibadian atau akhlak
menjadi asas terpenting model ini. Selain itu, mereka turut menekankan aspek keilmuan dan
kemahiran yang berteraskan prinsip syariah seperti yang ditetapkan dalam al-Quran dan al-
Sunnah. Walaupun begitu, aspek kreatif dan inovatif tetap menjadi keutamaan dalam aspek
kompetensi bagi menggalakkan penggunaan kaedah baharu dalam penyelesaian masalah. Sama
seperti model yang dibangunkan oleh Hellriegal et al. (2005), pembangunan model Al-Attas &
Wan Mohd Nor (2014) turut memberi penekanan terhadap sikap dengan memberi dorongan
kepada pihak berkepentingan untuk melaksanakan perubahan serta mengutamakan
kesejahteraan masyarakat.
MODEL AZMAN ET AL. (2016)
Model yang dibangunkan oleh Azman et al. (2016) seperti dalam rajah 2 di bawah adalah model
pertama yang berasaskan modul pembangunan amil bersepadu sebagai syarat perolehan
pensijilan amil professional di Malaysia. Selain menekankan aspek kemahiran dan konsep asas
zakat, Azman et al. (2016) telah memberikan perspektif umum terhadap tugas sebenar amil
dalam masyarakat dengan memberi penekanan terhadap peranan mereka sebagai pendakwah
dan pemimpin. Peranan ini sangat diperlukan amil bagi mendidik masyarakat agar sentiasa
menunaikan zakat serta prihatin terhadap golongan asnaf.
Rajah 2: Model Amil Bersepadu (Adaptasi dari sumber: Azman et al., 2016)
Kesalinghubungan antara amil dengan masyarakat perlulah berfokus terhadap
komitmen asal mereka iaitu membasmi kemiskinan serta memenuhi keperluan melalui aktiviti
konsultasi dan jalinan kerjasama yang pintar (Hairullfazli & Azman, 2011). Namun perkara
tersebut tidak disentuh oleh Azman et al. (2016). Berdasarkan sorotan literatur, pengkaji
merasakan bahawa aspek tersebut amat penting untuk turut diberi penekanan dalam
pelaksanaan kajian ini. Malah, Hellriegal et al. (2005) dan Al-Attas & Wan Mohd Nor (2014)
turut mengakui akan kepentingan kemahiran konsultasi dengan memberi keutamaan terhadap
kualiti perundingan bagi mencapai matlamat organisasi. Dalam konteks pengurusan zakat,
kemahiran konsultasi diterapkan melalui bimbingan amil dalam meningkatkan kesejahteraan
hidup asnaf. Selain itu, konsultasi amil juga diperlukan semasa membimbing pembayar zakat
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
6
membuat pengiraan zakat mereka bagi memastikan item dan jumlah yang dizakatkan tepat dan
telus.
Elemen-elemen yang dibincangkan oleh model-model di atas dapat dilihat dengan jelas
dalam jadual yang berikut.
Jadual 1: Perbandingan Elemen-Elemen Kompetensi Mengikut Model Kompetensi
Spencer & Spencer
(1993)
Docking (2006) Hellriegal et al.
(2005)
Al-Attas & Wan
Mohd Nor (2014)
Azman et al. (2016)
3 elemen kompetensi
Model Iceberg
4 elemen
kompetensi Model
Docking
3 elemen kompetensi
individu dalam
organisasi
4 aspek kompetensi
seimbang individu
muslim
2 elemen
kompetensi model
profesionalisme
amil
• Kemahiran
• Keilmuan
• Keperibadian
• Keilmuan
• Kualiti Peribadi
• Kemahiran
Berfikir
• Kemahiran
Pergerakan
• Kualiti Peribadi
• Kemahiran
Merancang dan
Mengurus
• Konsultasi
• Keperibadian/Akhlak
• Keilmuan
• Kemahiran
berteraskan al-Quran
& al-Sunnah.
• Inovasi
• Pengetahuan
Konsep asas
• Kemahiran
Pengurusan Zakat
Beberapa kesimpulan dapat dibuat daripada elemen-elemen kompetensi daripada kelima-lima
model ini. Pertama, terdapat tiga elemen asas yang membentuk kompetensi individu iaitu
kemahiran, pengetahuan dan kualiti keperibadian. Kedua, setiap elemen asas ini boleh
dikembangkan bergantung kepada ciri-ciri organisasi. Contohnya, elemen kemahiran yang
diperlukan oleh amil zakat ialah membuat perancangan, membuat kutipan dan agihan,
perakaunan zakat. Selain itu, inovasi dan khidmat konsultasi adalah elemen pelengkap yang
sangat penting dalam pembentukan kompetensi individu. Berdasarkan kelima-lima model ini,
satu kerangka konseptual kajian dibina bagi memberi gambaran yang jelas seperti rajah 3.
Rajah 3: Kerangka Konseptual Model Kompetensi Amil Zakat
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
7
Kajian ini akan meneliti lima elemen kompetensi individu iaitu keperibadian, keilmuan,
kemahiran, inovasi dan konsultasi yang diperolehi daripada Spencer & Spencer (1993),
Docking (2006), Hellriegal et al. (2005), al-Attas & Wan Mohd Nor (2014), dan Azman et al.
(2016) bagi menghasilkan sebuah model kompetensi amil zakat yang dikaji menurut perspektif
amil dan pegawai zakat.
METODOLOGI
Kajian dijalankan secara kualitatif iaitu melalui tinjauan literatur dan temu bual separa
berstruktur. Seramai empat orang amil zakat dan dua orang pegawai zakat daripada Majlis
Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) telah menyertai kajian ini. Mereka dipilih
berdasarkan pengalaman lebih lapan tahun dalam pengurusan zakat. Data temu bual ditranskrip
secara verbatim dan dianalisis secara manual dengan menggunakan pendekatan deskriptif. Bagi
memudahkan analisis dibuat dan menjaga kerahsiaan, nama peserta kajian akan dikodkan
sebagai AK1 hingga AK4 yang mewakili amil kompeten. Manakala kod PZ1 dan PZ2 mewakili
pegawai zakat.
DAPATAN DAN PERBINCANGAN
Berdasarkan analisis yang telah dibuat, kajian ini telah mengenal pasti enam elemen yang
diperlukan sebagai satu panduan komprehensif dan bersepadu bagi meningkatkan tahap
kompetensi amil zakat di Malaysia, seterusnya menyumbang kepada pembinaan Model
Kompetensi Amil Zakat yang terdiri daripada keperibadian, keilmuan, kemahiran, inovasi dan
konsultasi. Elemen kemahiran dibahagikan kepada dua iaitu kemahiran kutipan dan agihan dan
perakaunan zakat bagi memperincikan lagi perbezaan dua jenis kemahiran yang sangat
signifikan dalam perlaksanaan tugas amil.
ELEMEN KEPERIBADIAN
Keperibadian merupakan jati diri seseorang yang dibentuk melalui cara berfikir dan cara
berperilaku (Ghozali, 2015). Islam telah menggariskan panduan keperibadian yang lengkap
meliputi aspek fizikal dan spiritual dengan menjadikan akidah sebagai landasan untuk berfikir
dan bertindak (Silahudin, 2019). Sebagai individu yang berkhidmat untuk kesejahteraan
masyarakat, amil perlu menerapkan kualiti keperibadian yang kukuh bagi membentuk sikap
dan prestasi yang cemerlang. Dalam konteks seorang amil, keperibadian ini boleh dikelaskan
kepada aspek sahsiah dan komunikasi.
Sahsiah atau akhlak kepada Allah SWT mencerminkan ciri kompetensi yang paling
tinggi bagi seorang amil. Ia merangkumi segala bentuk ketaatan kepada Allah seperti bertakwa
kepada Allah dengan melaksanakan ibadah dengan bersungguh-sungguh serta mematuhi
perintah dan menjauhi laranganNya (Azizi et al., 2011). Selain itu, sahsiah terhadap diri sendiri
seperti berusaha menambah ilmu dan bekerja dengan tekun juga penting bagi meningkatkan
kualiti hidup serta mendapatkan rezeki yang halal dan berkat (Ghozali, 2015). Bagi menjamin
kelangsungan pendapatan zakat, amil juga perlu membentuk nilai kepercayaan yang kukuh
daripada muzakki.
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
8
Selain itu, amil perlu memiliki keperibadian yang luhur terhadap asnaf seperti menjaga
kerahsiaan mereka, amanah, mesra dan bersopan santun (Azizi et al., 2011). Mereka perlu lebih
adil ketika membanci dan mengagihkan zakat bagi memastikan nasib asnaf sentiasa terbela.
Perkara ini dijelaskan oleh informan kajian AK1 seperti berikut:
“Saya percaya kerja amil ni amanah Allah. Akhlak kita dengan muzakki dan asnaf
bukan setakat tunjuk-tunjuk tapi ikhlas buat dari hati. Tak boleh nak buat baik terhadap
muzakki saja, atau asnaf saja. Kena santuni dua-dua. Kadang-kadang saya temuduga
asnaf, depa cerita masalah keluarga kat saya walaupun tau saya bukan boleh
selesaikan masalah keluarga depa pun. Tapi kita dengar, masalah peribadi tu kita
simpan, dan kita tunaikan hak depa sebagai asnaf.”
(AK1, 2020)
Amalan komunikasi yang baik dapat menyerlahkan ciri-ciri keperibadian yang unggul
serta membantu dalam melancarkan tugasan amil seharian. Amil perlu mempunyai sikap, cara
berfikir, kepercayaan dan kemampuan untuk menganalsis persekitaran agar tidak gugup,
mampu menyelesaikan konflik dan hanya menyampaikan maklumat yang jelas dan tepat
semasa berurusan dengan muzakki dan asnaf. Amalan ini selari dengan pandangan informan
kajian AK2 yang menyatakan:
“Amil ni memang kena sentiasa berkomunikasi dengan orang. Bukan setakat dengan
asnaf dan pembayar zakat ja. Dengan ahli jemaah lain, dengan tok siak, dengan tok
bilal. Kena ada ilmu kemahiran komunikasi yang sesuai jugak. Contoh cara bercakap
dengan orang tua, tak sama dengan cara cakap dengan budak, pelajar. Kena tau
bezakanlah.”
(AK2, 2020)
Justeru, amil seharusnya bijak dalam berkomunikasi dengan menghadkan maklumat
mengikut kesesuian masa, relevan, berobjektif serta menggunakan kaedah penyampaian yang
sesuai dan berkesan.
ELEMEN KEILMUAN
Al-Ghazali (1990) menyatakan menuntut ilmu adalah satu kewajipan dalam meningkatkan
kompetensi individu. Malah, kemajuan seseorang dalam pekerjaan adalah terletak kepada tahap
keilmuan dan bakat yang kembangkannya (Mohd Fauzi & Mohd Khairul Naim, 2012). Bagi
memastikan konsep ilmu difahami dan dihayati secara menyeluruh, para ulama seperti Imam
Syafie telah membahagikan ilmu kepada dua bahagian iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu
kifayah (Ahmad Hassan, 1970). Ilmu fardu ain ialah ilmu yang memandu manusia untuk
mengabdikan diri kepada Allah melalui perbuatan, percakapan, tindakan, dan pemikiran yang
bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah (Ridzuan, Arman, & Razlina, 2018). Manakala ilmu
fardu kifayah pula ialah ilmu yang dituntut untuk melengkapi persoalan duniawi serta
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
9
memenuhi keperluan manusia sehari-harian seperti ilmu perubatan, matematik, pertanian,
bahasa dan teknologi (Mukhlas, 2017).
Ilmu fardu ain amat penting bagi seorang amil kerana dapat membentuk nilai, pemikiran
dan sikap yang positif melalui penerapan prinsip-prinsip Iman, Islam, Takwa dan Ihsan
sepanjang perkhidmatan mereka (Azizi et al., 2011). Manakala pengamalan ilmu fardu kifayah
pula boleh membentuk tingkah laku profesional amil yang melibatkan tugasan seperti mentaksir
harta muzakki, menyiasat kelayakan asnaf, mengurus bantuan serta menyimpan dan
merekodkan segala urusan (Hairullfazli & Azman, 2011). Kedua-dua jenis ilmu ini dapat
membantu amil mengharungi cabaran dalam melaksanakan tugas mereka seharian.
Hal ini berdasarkan pandangan informan AK1 dan AK3 yang menyatakan:
“Beramal dengan ilmu fardu ain ni boleh lembutkan hati kita. Solat, puasa, berzakat,
haji semua tu tanggungjawab kita kepada Allah. Dia pemilik hati kita. Bila kita buat,
Dia akan bagi ketenangan kat kita. Kalau ditimpa masalah berat macam mana pun,
kita rasa tenang kan. Macam fardu kifayah pun penting. Yang tu antara kita dengan
manusia. Kita tau cara kira zakat, buat laporan, agih dengan adil maka mudahlah kerja
kita sebagai amil. Orang pun suka, kita pun senang, kan.”
(AK1, 2020)
“Ramai orang anggap kerja amil ni mudah. Sebenarnya tak mudah jugak. Kena ada
ilmu, kena ada kemahiran, hati kena kental. Sebab tu tak semua orang mampu dan
layak jadi amil. Orang belajar agama mungkin dia tau secara umum tentang zakat.
Tapi amil ni kena tau cara kiraannya, haul, nisab, jenis2 zakat tak sama. Nak mengurus
pula kena tau teknik pengurusan yang betul. Contoh cara nak agih, nak kenal pasti
asnaf, nak buat rekod untuk MAIPk, yang tu semua kena tau, kena belajar.”
(AK3, 2020)
Oleh itu, pengamalan ilmu yang sangat penting dalam membentuk kompetensi amil
sesuai dengan fungsi mereka yang sentiasa menjadi rujukan masyarakat berkenaan dengan
zakat.
ELEMEN KEMAHIRAN KUTIPAN DAN AGIHAN
Urusan kutipan dan agihan zakat merupakan tanggungjawab asas yang perlu
dilaksanakan sebaiknya oleh amil kerana sekiranya gagal, ia akan memberi kesan buruk kepada
perjuangan memperkasakan masyarakat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan
memerlukan bantuan. Justeru, peningkatan kemahiran mengutip dan mengagih zakat oleh amil
perlu dilakukan secara berterusan seiring dengan peningkatan kutipan zakat dan perkembangan
teknologi semasa. Di antara kemahiran dalam kutipan zakat ialah kemahiran mempromosikan
zakat dan penggunaan aplikasi teknologi untuk memudahkan urusan kutipan (Muhsin, 2014,
Mohd Faisol, 2014). Perkara ini diakui oleh PZ1, PZ2 dan AK1 yang menyatakan:
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
10
“Zaman sekarang ni dah makin canggih. Amil sepatutnya bijak ambil peluang. Kalau
dulu nak suruh orang bayar zakat harta, kena pergi rumah ke rumah. Sekarang dah
boleh guna facebook, twitter, whatsapp. Contoh, sekarang kan dah ada group promote
jual barang ikut kawasan, Ipoh, Gopeng, Taiping. ada lagi ikut taman-taman pula.
masuk je iklan zakat kita kat situ. Tapi kena buat selalulah baru orang ingat,. Jangan
buat sekali je, diam.”
(PZ1, 2020)
“Nak promote kutipan zakat pun kena ada ilmu. Kalau amil tu advance, dia tak
bergantung kepada promosi MAIPk sahaja. Memang kita tau ada amil yang kreatif, dia
belajar adobe photoshop, buat banner sendiri, promote dalam Facebook, Twitter,
Instagram. Ada juga yang buat video pendek pasal zakat nak promote orang bayar.
Memang bagus tu, saya ada simpan lagi video tu.”
(PZ2, 2020)
“Kaedah pembayaran sekarang pun dah pelbagai. Zakat pendapatan memang guna
potongan gaji terus masuk ke dalam akaun MAIPk. Tapi, untuk orang bayar zakat
harta, zakat perniagaan, ada yang masih jumpa kita. Mula-mula hanya nak minta kita
kirakan sahaja, lepas tu berubah fikiran nak terus bayar tapi tak bawa cash. Jadi kita
ready dengan pembayaran secara online atau boleh guna kad.”
(AK2, 2020)
Menurut Muhsin (2014) kebanyakan isu yang timbul dalam pengurusan zakat adalah
berkisar mengenai kecekapan agihan zakat. Isu seperti bantuan yang tidak selaras dan data asnaf
yang tidak dikemaskini dapat diselesaikan sekiranya mereka mempunyai perancangan agihan
yang rapi dan berkesan. Penggunaan data asnaf yang tepat sangat diperlukan bagi memastikan
bantuan yang diberikan adalah mencukupi serta sesuai dengan purata garis kemiskinan zakat
(had kifayah) semasa (Ahmad Fahme & Mohd Faisol, 2014). Hal ini disokong oleh pernyataan
daripada informan AK2 dan AK4:
“Saya perlu selalu update maklumat asnaf. Kena ada jangka masa tertentu untuk
update, contoh setahun sekali, dua tahun sekali. Kalau macam kami kat sini, saya akan
update setiap semester. Lagipun student sini pun tak lama, sekejap ja belajar dah habis.
Jadi lepas satu sem kita tanggung yuran dia, dia perlu isi semula borang untuk sem-
sem seterusnya. Bukan nak susahkan dia, cuma nak tau keberadaan dan prestasi
akademik dia.”
(AK2, 2020)
“Setiap tahun asnaf perlu kemaskini maklumat keluarga mereka. Kita dapati ada asnaf
yang dulu layak memohon, tapi sekarang tak layak pula sebab dah melepasi had
kifayah.”
(AK4, 2020)
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
11
Selain itu, pengurusan sumber yang efisyen turut membantu dalam membina kemahiran
kutipan dan agihan yang baik. Menurut Dessler (2000) pengurusan sumber yang efisyen dapat
menjimatkan kos serta meminimumkan jumlah guna tenaga manusia. Oleh itu, bagi
memastikan tugas agihan zakat dilakukan dengan efektif, amil perlu merancang kos operasi
yang melibatkan pengangkutan dan operasi pejabat dengan sebaiknya bagi mengelakkan
pembaziran terutama melibatkan wang zakat yang diperuntukkan kepada mereka.
“Perbelanjaan pejabat ni sebahagiannya datang daripada institusi, sebahagian lagi
daripada portion amil sendiri. Sebab institusi tak mampu nak tanggung semua kan..
Jadi walaupun guna duit peruntukan amil, kami tetap uruskan macam perolehan
kerajaan, kena berjimat, beli apa yang patut sahaja.”
(AK2,2020)
Elemen kemahiran kutipan dan agihan merupakan kemahiran utama yang diperlukan
oleh amil. Kedua-dua elemen ini perlu ditekuni dengan sebaiknya melalui kursus atau seminar
yang dianjurkan oleh pihak institusi zakat.
ELEMEN KEMAHIRAN PERAKAUNAN ZAKAT
Kemahiran perakaunan zakat ialah kemahiran dalam mentaksir harta yang diwajibkan zakat
menurut kaedah yang ditetapkan oleh syarak (Husain Shahatah, 2003). Keperluan untuk amil
mahir dalam perakaunan zakat telah dijelaskan Allah SWT dalam al-Quran (al-Taubah 9:60)
yang secara terperinci mewajibkan amil untuk meneliti, mengira, mengaudit, merekod serta
membuat laporan bagi kegunaan pihak yang berkepentingan. Kajian Astuti & Asrori (2016)
mendapati kecekapan dalam perakaunan zakat amat mempengaruhi kualiti pengurusan zakat
secara umumnya. Malah Akhyar Adnan (2017) mencadangkan agar ujian pensijilan kemahiran
perakaunan zakat dibuat ke atas amil bagi memperakui kemahiran mereka adalah menepati
tahap yang dikehendaki institusi zakat. Malah isu kelestarian dalam perakaunan zakat seperti
disentuh oleh Nurul Ilyana et al. (2020) dapat di atasi apabila amil menguasai kemahiran ini
dengan baik. Hal ini diakui oleh PZ 1:
“Kalau nak lihat kecekapan amil, kena tengok bagaimana dia mampu kira zakat
perniagaan, zakat saham dan zakat pendapatan. Sebab bagi saya, jenis-jenis zakat tadi
ni rumit nak kira. Ada sebahagian amil di masjid tak berani nak kira sebab susah.
Sedangkan ramai pembayar zakat ni peniaga, petani, pekerja kerajaan yang jumpa
depa di masjid nak bayar zakat ni.”
(PZ1, 2020)
Berdasarkan pernyataan di atas, amil perlu menerapkan perakaunan zakat yang yang
betul dengan mengambil kira keperluan dan keadaan setempat. Bagi mencapai maksud tersebut,
mereka perlu menganalisis latar belakang masyarakat berdasarkan kepada jenis pekerjaan dan
jenis zakat yang kerap dibayar seterusnya mendalami kemahiran perakaunan zakat mengikut
kaedah yang ditetapkan oleh institusi zakat masing-masing.
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
12
ELEMEN INOVASI
Pengurusan zakat telah melalui proses inovasi sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Ini dapat
dilihat melalui perkembangan item zakat, panduan pengiraan dan penciptaan pelbagai aplikasi
yang dapat memudahkan urusan kutipan agihan zakat dilakukan. Hasil inovasi dan
penyelidikan ini adalah sebahagian daripada inisiatif para amil dan penyelidik untuk
merancakkan lagi usaha kutipan zakat serta memudahkan agihannya kepada golongan asnaf.
Oleh itu, amil perlu memanfaatkan perkembangan teknologi untuk mencipta idea dan kaedah
yang mampu menyelesaikan masalah dalam pengurusan zakat. Pandangan ini diakui oleh
informan AK2 yang menyatakan:
“Macam orang bisnes juga lah, kalau nak pendapatan meningkat, kita kena create cara
baru, sesuai dengan customer sekarang. Kena guna IT. Zakat pun macam tu juga. Orang
sekarang semuanya nak cepat, bayar zakat nak cepat, nak kita agih cepat. Kita pun
create sesuatu yang boleh percepatkan proses.”
(AK2, 2020)
Langkah institusi zakat yang melaksanakan konsep lokalisasi kutipan dan agihan zakat
telah memberi peluang kepada amil untuk meningkatkan daya kreativiti dan inovatif masing-
masing (Muhammad Rizal, Hairunnizam & Sanep, 2017). Misalnya, inisiatif amil di beberapa
institusi pendidikan mewujudkan laman sesawang yang menyediakan pelbagai kemudahan
pembayaran serta agihan zakat merupakan di antara inovasi yang memudahkan pelbagai pihak
untuk berurusan dengan mereka (Mohd Faisol, 2014). Selain maklumat asas mengenai hukum
dan jenis zakat, pengguna dapat mengakses aktiviti terkini amil, kalkulator zakat, nisab semasa,
statistik kutipan dan agihan dengan paparan yang ringkas dan menarik. Cara ini walaupun
dilihat hampir sama dengan laman sesawang yang dibangunkan oleh institusi zakat, namun ia
lebih bersasar serta mempunyai kreativiti dan pengikut yang tersendiri.
ELEMEN KHIDMAT KONSULTASI
Menurut Patton (2005) konsultasi atau perundingan merupakan suatu pendekatan bagi
mempengaruhi dan memujuk seseorang untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak atau
keperluan tertentu. Keupayaan amil untuk melakukan konsultasi bersama muzakki amat
diperlukan dalam memastikan urusan kutipan zakat berjalan lancar dan berterusan sepanjang
tahun.
Khidmat konsultasi turut melibatkan golongan asnaf khususnya golongan fakir dan
miskin dengan memberikan nasihat kepada mereka untuk memanfaatkan sumbangan yang
diterima dengan kaedah yang betul. Malah, Mantle & Backwith (2010) menekankan akan
keperluan individu berkhidmat untuk membimbing masyarakat bagi membasmi kemiskinan
melalui jalinan hubungan rapat dengan kumpulan miskin. Tanggungjawab membasmi
kemiskinan dalam kalangan asnaf bukan sekadar mengagihkan dana zakat sahaja, tetapi mereka
juga perlulah dibimbing untuk terus berusaha bagi memperoleh rezeki yang halal. Perkara ini
turut disokong oleh informan AK3 dan AK2 yang menyatakan:
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
13
“Memang ada dalam perancangan kami untuk sediakan peruntukan zakat bagi
program keusahawanan asnaf. Kat sini kita ada ramai pensyarah bidang
keusahawanan yang boleh jadi pembimbing. Jadi bukan sekadar kita bagi ikan, kita
bagi juga kail untuk dia pancing ikan. Amil pun perlu bimbing asnaf ni sampai dia
keluar dari kemiskinan.”
(AK3, 2020)
“Saya ni jenis peramah, suka ambil tau hal orang, kadang-kadang saya terserampak
dengan pelajar asnaf yang pernah ditemuduga dulu, saya akan tanya pasal family dia,
pelajaran dia, macam mana dengan duit zakat yang dapat dulu. Haa, memang nak kena
tanya tu. Pernah satu ketika kita panggil semula pelajar asnaf ni, kita bagi taklimat
khas macam mana nak guna duit zakat dengan betul. Bagi kita nampak macam simple
ja, ustaz. Tapi bagi budak-budak ni ada yang tak tau cara. Lepas dapat zakat beli
telefon baru, belanja kawan, ubahsuai ekzos motor. haha. memang ada.”
(AK2, 2020)
Oleh itu, amil perlu berupaya mendidik asnaf untuk meningkatkan taraf hidup sesuai
dengan keupayaan dan kemahiran mereka seperti melibatkan diri dengan jahitan pakaian,
memasak, berniaga dan bertani.
Selain itu, amil perlu bertindak lebih komprehensif dengan menjalinkan hubungan
bersama badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau masyarakat bagi
menyalurkan maklumat zakat disamping menerima input-input mengenai keperluan dan jenis
bantuan asnaf. Kenyataan ini dipersetujui oleh informan PZ2 yang berpandangan:
“Perlu ada hubungan dengan pihak-pihak luar yang sudi bantu tugasan agihan zakat.
Contohnya macam NGO, persatuan, kelab-kelab. Memang kami di sini pun sentiasa
berhubung dengan NGO-NGO Islam untuk agihkan sumbangan kepada asnaf. Mereka
beri kita maklumat, kita buat siasatan, kemudian kita berikan sumbangan kepada
mereka untuk disampaikan kepada asnaf kita pantaulah. Memang biasa macam tu. Amil
di institusi pun sama juga. Kena berbicang dan berundinglah dengan sesiapa yang
boleh bantu kita.”
(PZ2, 2020)
Oleh itu kemahiran konsultasi yang baik diperlukan bagi menyelesaikan masalah
kekurangan data asnaf yang sering dihadapi oleh amil. Malah melalui hasil kerjasama ini, amil
akan dibantu melalui aktiviti turun padang yang dianjurkan pelbagai pihak bagi menyampaikan
bantuan kepada asnaf khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman.
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
14
CADANGAN MODEL KOMPETENSI AMIL ZAKAT
Sebuah model kompetensi amil zakat yang bersifat konklusif dan komprehensif diperlukan
sebagai penanda aras dalam penilaian prestasi, keperluan latihan, dan perkembangan skop tugas
agar para amil zakat menjadi lebih efektif dan produktif semasa memikul tanggungjawab.
Model ini dapat membantu pihak institusi zakat menjelaskan deskripsi tugas serta mengenal
pasti jurang kemahiran semasa dan kemahiran yang diperlukan oleh amil pada masa hadapan.
Rajah 4: Model Kompetensi Amil Zakat Malaysia
Sebanyak lima elemen kompetensi yang sesuai dengan tugas amil telah dikenalpasti
dalam model kompetensi amil seperti dalam Rajah 4. Elemen tersebut ialah keperibadian,
keilmuan, kemahiran, inovasi dan konsultasi. Keperibadian dan keilmuan merupakan elemen
tunjang yang membentuk kompetensi amil zakat. Sebagai contoh, seorang amil yang
mempunyai sahsiah dan kemahiran komunikasi yang baik akan lebih dipercayai oleh
masyarakat. Malah mereka akan lebih dihormati apabila mempunyai tahap pengetahuan yang
tinggi terutama berkenaan zakat serta kaedah pengurusannya.
Kemahiran kutipan dan agihan yang baik adalah penentu kepada keberkesanan tugas
amil. Namun ia tidak lengkap tanpa kemahiran perakaunan zakat yang cekap dan efektif.
Kedua-dua elemen ini menjamin kelangsungan pendapatan zakat serta meningkatkan kualiti
tadbir urus zakat.
Amil zakat yang cemerlang ialah mereka yang mempunyai sikap inovatif, kreatif dan
berdedikasi. Mereka akan mencipta pelbagai inovasi bagi mengoptimumkan pendapatan zakat
serta berusaha menyantuni asnaf dan pembayar zakat melalui aktiviti konsultasi yang lebih
berkesan dan dekat dengan golongan tersebut.
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
15
Aspek keperibadian, keilmuan, kemahiran kutipan dan agihan, dan kemahiran
perakaunan zakat adalah berkait rapat dengan kriteria utama yang ditetapkan dalam syariat
Islam. Oleh itu ia menjadi kualiti asas yang perlu dipenuhi untuk menjadi seorang amil.
Manakala aspek inovasi dan konsultasi pula menjadi kualiti pelengkap yang memberi nilai
tambah dalam pembentukan kompetensi amil.
KESIMPULAN
Kompetensi amil zakat merupakan isu yang perlu dipandang berat oleh semua pihak terutama
institusi pengurusan zakat. Usaha ini perlu dimulakan dengan perancangan yang rapi
merangkumi aspek pemilihan amil, latihan, penilaian dan pemantauan secara berterusan. Oleh
itu, penghasilan model kompetensi amil zakat ini diharapkan dapat memandu institusi zakat
dengan menyediakan asas yang kukuh bagi melahirkan amil zakat yang berkualiti dan
berprestasi tinggi. Natijahnya, masyarakat akan sentiasa yakin dengan kemampuan institusi
zakat dalam menyelesaikan isu kemiskinan dan seterusnya meningkatkan hasil kutipan dari
semasa ke semasa.
RUJUKAN
Al-Quran Al-Karim.
Adsule, K., & Badrinarayan, S. R. 2014. Analysing Competency Based Models with its
Industrial Application. International Journal of Organizational Behaviour & Management
Perspectives, 3(2), 936–946.
Ahmad Fahme Mohd Ali, Mohd Faisol Ibrahim, M. R. A. A. & F. J. 2014. Konsep dan Isu Had
Kifayah, Kemiskinan Bandar dan Jantina dalam Pengagihan Zakat. Labuan E-Journal of
Muamalat and Society, 14–26.
Ahmad Hasan. 1970. The Early Development of Islamic Jurisprudence, Islamabad Islamic
Research Institute, 74
AK1. 2020. Teks Temubual Bersama Amil 1. Ipoh. Bilik Mesyuarat Masjid Sultan Azlan Shah.
22 Februari 2020
AK2. 2020. Teks Temubual Bersama Amil 2. Ipoh. Pejabat Unit Zakat dan Wakaf Politeknik
Ungku Omar. 15 September 2020
AK3. 2020. Teks Temubual Bersama Amil 3. Tanjung Malim. Pejabat Amil Politeknik Sultan
Azlan Shah. 25 Februari 2020
AK4. 2020. Teks Temubual Bersama Amil 4. Ipoh. Bilik Mesyuarat Masjid Sultan Azlan Shah.
2 September 2020
Akhyar Adnan, M. 2017. The Need of Establishment of Professional Amil Zakat to Enhance
the Future Zakat Development. International Journal of Zakat, 2(1), 71–79.
https://doi.org/10.37706/ijaz.v2i1.16
Al-Attas, M. N., & Wan Mohd Nor, W. D. 2014. The ICLIF Leadership Competency Model
(LCM): An Islamic Alternative. Kuala Lumpur: IBFIM.
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
16
Al-Ghazālī, Abū Hamid Muḥammad bin Muhammad. 1990. Iḥyā’ Ulūm al-Dīn, Jilid 3.
Damsyik: Dār al-Khayr.
Al-Qardawi, Yusuf. 2000. Fiqh Zakah: Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha Fi
Daw’ al-Quran wa al-Sunnah. (Edisi 24). Beirut: Mu’assasat al-Risalah.
Astuti, S., & Asrori. 2016. The Analysis of Amil Competency and Its Effects on The
Implementation of Zakat on Amil Zakat Institution. Accounting Analysis Journal, 5(3),
248–255. https://doi.org/10.15294/aaj.v5i3.12744
Azizi @ Hamizi, H., Ram Al Jaffri, S., & Md Hairi, M. H. 2011. Kod Etika Amil Zakat: Satu
Cadangan. The World Universities 1st Zakat Conference 2011 (WU1ZC 2011), PWTC,
Kuala Lumpur, 22-24 November 2011.
Azman Ab Rahman, A., Najib, M., Wakil, A., Mohd, S., Syed, N., Hashim, H., Junaidi, M.
2019. Kutipan Zakat di Negeri Lain oleh Ejen dan Amil Tidak Bertauliah Menurut Syarak.
Azman Ab Rahman, Ahmad Anis, M. F., & Abdulsoma, T. 2016. The Development of an
Intergrated Model for Amil Zakat in Malaysia. International Journal of Islamic Business
Ethics, 1(2), 131. https://doi.org/10.30659/ijibe.1.2.131-142
Azman Ab Rahman, Hairunnizam Wahid, & Mahazan Abdul Mutalib. 2019. Tadbir Urus
Pengurusan Zakat bagi Institusi Masjid di Malaysia. Nilai: Penerbit USIM.
Chouhan, V. S., & Srivastava, S. 2014. Understanding Competencies and Competency
Modeling: A Literature Survey. IOSR Journal of Business and Management, 16(1), 14–22.
https://doi.org/10.9790/487x-16111422
Docking, R., A Guide to Competency-Based Management CBM, Skill Resource Management
Systems
Dessler, G,. 2000. Human Resource Management. New Jersey: Prentice Hall, pp. 204.
Ghozali, M. 2015. Keperibadian Islam dan Profesionalisme Dalam Pekerjaan: Satu Analisis
Teoritis. Jurnal Syariah, 23(2), 255–286.
Gilbert, T. 1996. Human Competence. Silver Spring, MD: International Society for
Performance Improvement
Hairullfazli, M., & Azman Ab Rahman. 2011. Konsep Amil dan Peranannnya dalam
Pengurusan Zakat. In I. M. Subri (Ed.), Kajian Syariah dan Undang-Undang (3rd ed.). Nilai:
Universiti Sains Islam Malaysia.
Hairunnizam, W., & Sanep, A. 2005. Lokalisasi Pengagihan Zakat dan Cadangan Khidmat
Sosial: Satu Tinjauan Awal di Malaysia.
Hellriegel, D., Jackson, S.E. & Slocum, J.J. 2005. Management: A Competence-Based
Approach. Singapore: Thomson South Western.
Hoge, M.A., Tondora, J. & Marrelli, A.F. 2005. The Fundamentals of Workforce Competency:
Implications for Behavioral Health. Administration and Policy in Mental Health
32(5/6):509-531.
Husain Shahatah. 2003. Kaedah Agihan Zakat Harta, Pengertian, Sistem dan Agihannya. Terj.
Hamid Fahmy Zarkasyi & Harun Ar-Rashid Hj. Tuskan. Kuala Lumpur: Pustaka Al-Shafa.
Mantle, G., & Backwith, D. 2010. Poverty and Social Work. British Journal of Social Work,
40(8), 2380–2397. https://doi.org/10.1093/bjsw/bcq068
McClelland, D.C. 1973. Testing for Competency Rather Than Intelligence. American
Psychologist, Vol. 28 No. 1, pp. 1-40.
TIJARI International Journal of Islamic Economics, Business and Entrepreneurship
Volume 1, Issue 1, 2021
17
Mohd Faisol, I. 2014. Sistem pengurusan zakat di Malaysia: Analisis Strategi Penyebaran
Maklumat Menerusi Laman Sesawang. Jurnal Pengurusan, 42(2014), 119–130.
Mohd Fauzi Hamat, & Mohd Khairul Naim Che Nordin. 2012. Tinjauan Kepentingan
Pembangunan modal Insan Di Malaysia. Journal of Al-Tamaddun, 7(1), 75-89.
doi:10.22452/jat.vol7no1.5
Muhammad Rizal Jalil, Hairunnizam Wahid, & Sanep Ahmad. 2018. Lokalisasi Unit Zakat
Institusi Pengajian Tinggi Sebagai Model One Stop Center Agihan Zakat Pendidikan.
Journal of Fatwa Management and Research, 10(1), 51-72.
doi:10.33102/jfatwa.vol10no1.28
Muhammad Syukri Salleh. 2006. Lokalisasi Zakat: Satu Cadangan Teoritis. In Abdul Ghafar
Ismail & Hailani Muji Tahir (Eds.), Zakat: Pensyariatan, perekonomian, dan perundangan
(P. 213). Bangi: Penerbit UKM.
Muhsin, N. P. 2014. Perlaksanaan Zakat di Wilayah Persekutuan: Satu Pemerhatian Terhadap
OPerasi Kutipan & Agihan Zakat. Jurnal Hadhari, 6(2), 97–111.
Mukhlas Nugraha. 2017. Konsep Ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah dan Kepentingan
Amalannya dalam Kurikulum Pendidikan Islam. TAFHIM: IKIM Journal of Islam and The
Contemporary World, Vol 10, 103–149.
Nik Mutasim Nik Ab. Rahman, Nur Atiqah Abdullah, Khairul Akmaliah Adham, & Norazila
Mat. 2014. Managerial Competencies: Comparing Conventional and Islamic Perspectives.
Jurnal Pengurusan, 41, 91-100. doi:10.17576/pengurusan-2014-41-08
Nurul Ilyana, M. A., Zahri, H., Noor Izzati, A. R., & Azlin alisa, A. (2020). Kelestarian
Perakaunan Zakat di Malaysia. 42(1), 75–84.
Patton, B. 2005. Negotiation. In Michael L. Moffitt and Robert C. Bordone. (Eds). The
Handbook of Dispute Resolution. San Francisco, CA, USA: Jossey-Bass. 279 - 303.
PZ1. 2020. Teks Temubual Bersama Pegawai Zakat 1. Bilik Mesyuarat Bahagian Pemasaran
MAIPk. 10 Jun 2020
PZ2. 2020. Teks temubual Bersama Pegawai Zakat 2. Bilik Mesyuarat Bahagian Pemasaran
MAIPk. 13 Julai 2020
Ridzuan Masri, Arman Ahmad, & Razlina Abd Rani. 2018. Teori Maslow dalam Konteks
Memenuhi Keperluan Asas Pekerja dan Peranannya dalam Meningkalkan Prestasi
Organisasi: Kajian dan Perspektif Islam. Jurnal Hadhari, 10(1), 1-27.
Silahudin, A. 2019. Perbandingan Konsep Kepribadian Menurut Barat Dan Islam. Al-Fikra:
Jurnal Ilmiah Keislaman, 17(2), 249. https://doi.org/10.24014/af.v17i2.6343
Spencer, L.M. and Spencer, S. 1993. Competence at Work: Models for Superior Performance,
Wiley, New York.