Post on 08-Sep-2020
SOKONGAN SOSIO-FIZIKAL DAN PENYERTAAN SOSIAL TERHADAP KESEJAHTERAAN HIDUP KOMUNITI BANDAR
1Juhari Ahmad2Abdul Razaq Ahmad
3Jalaluddin Abdul Malek
1&2Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia3Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Kajian ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti sokongan sosio-fizikal dan penyertaan sosial terhadap kesejahteraan hidup komuniti bandar. Kajian ini mengandungi empat konstruk utama iaitu (1) sokongan fizikal adalah merangkumi aspek kawasan penempatan, kemudahan awam, keselamatan, keceriaan dan kebersihan dan kawasan rekreasi, (2) sokongan sosial meliputi aspek institusi keluarga, rakan sebaya, komuniti setempat dan komuniti sekolah dan (3) penyertaan sosial berkaitan aktiviti kependidikan, kerohanian, kesukanan dan rekreasi, politik dan sivik serta kelestarian alam sekitar dan (4) kesejahteraan hidup komuniti bandar merujuk kepada kesejahteraan insan (diri, keluarga), kesejahteraan persekitaran (sosial, keselamatan, keselesaan) dan kesejahteraan Pendidikan (formal, non-formal). Kajian ini berbentuk tinjauan menggunakan instrumen soal selidik. Sampel kajian adalah berbentuk rawak mudah berstrata yang melibatkan 2100 responden yang melibatkan etnik Melayu, Cina dan India dari enam kawasan perbandaran di negeri Selangor. Kajian rintis akan dilaksanakan dengan merujuk tiga orang pakar dalam membuat pengesahan face validity bagi setiap item dalam kesemua konstruk dalam kajian ini dan seterusnya akan membuat kajian rintis menggunakan analisis Cronbach Alpha melibatkan 100 orang sampel bagi menentukan kebolehpercayaan item. Analisis data menggunakan perisian SPSS 23.0. Statistik deskriptif menggunakan min dan sisihan piawai manakala statistik inferensi menggunakan MANOVA dua hala dan Regrasi Berganda bagi menjawab setiap persoalan dan hipotesis dalam kajian ini.
Kata Kunci: Sokongan sosio-fizikal, komuniti bandar, kesejahteraan hidup
PENGENALAN
Secara keseluruhannya, masyarakat pelbagai etnik di Malaysia boleh dilihat dalam empat
dimensi iaitu politik, ekonomi, sosial dan budaya (Maurice, 1960). Mereka juga tinggal sebelah
menyebelah di dalam satu unit politik yang sama tetapi dalam beberapa hal mereka terpisah
(Mohd Anuar et al., 2011). Misalnya, pembahagian masyarakat dibahagikan berasaskan kepada
sektor ekonomi di mana terdapat pembahagian jenis pekerjaan yang berasaskan etnik
(Furnivall, 1956). Hal ini telah lama berlaku dalam kalangan masyarakat kita sejak dari zaman
penjajahan komunis lagi dan masih terjadi sehingga sekarang. Masyarakat Cina lebih
melibatkan diri dalam bidang perniagaan, manakala masyarakat melayu lebih kepada jawatan
dalam kerajaan serta dalam bidang pertanian. Di samping itu, masyarakat India pula lebih
kepada perladangan serta perindustrian (Ahamad et al., 2011).
Perkembangan pesat dalam sesebuah kawasan akan membuka peluang yang luas
kepada individu yang datang dari pelbagai latarbelakang sosioekonomi untuk menceburkan diri
dalam sektor ekonomi. Sebagai contoh revolusi di England telah melahirkan pertemuan antara
penduduk yang tinggal di selatan dan utara iaitu antara orang Irish dengan Inggeris. Selain itu,
hasil perkembangan pesat industri kapas di India telah menemukan orang India dari pelbagai
kasta dan agama dalam satu kawasan kerja yang sama. Manakala perkembangan perindustrian
di negara kita Malaysia juga telah membuka peluang kepada pelbagai jenis etnik, agama dan
bangsa untuk bekerja di bawah satu bumbung yang sama. Lantaran itu, penglibatan masyarakat
Melayu dalam industri telah membuka peluang untuk bergaul dan etnik lain dengan lebih kerap
berbanding keadaan sebelumnya. Sungguhpun begitu, jika peluang ini digunakan atau
dimanfaatkan sepenuhnya barulah ia dapat mengubah pola hubungan etnik di negara ini atau
setidak-tidaknya di kalangan mereka yang terlibat dalam industri. Jika tidak, peluang akan
hanya tinggal peluang seperti yang dikatakan oleh Williams (1964: 161) “… opportunity
clearly is not interaction”.
Secara tidak langsung masyarakat pelbagai etnik di Malaysia telah memberi impak ke
atas struktur masyarakat dan cara kehidupan penduduk dengan wujudnya pembandaran,
pemodenan dan perindustrian. Proses pembandaran khususnya telah mencetuskan berlaku
penghijrahan penduduk secara besar-besaran terutamanya dari desa ke bandar, dan dari bandar
kecil ke bandar besar. Kajian daripada Rabushka (1973) yang melihat perbezaan perwatakan
etnik dalam kalangan penduduk Kuala Lumpur dan Georgetown menunjukkan Orang Melayu
majoritinya tinggal di kawasan luar bandar hanya sebahagian kecil sahaja mendiami kawasan
bandar. Dalam kajian tingkahlaku sosial di kawasan bandar-bandar utama, didapati orang Cina
dapat meluangkan masa yang banyak dalam aktiviti membeli belah, bersiar-siar mahupun
jamuan. Fenomena ini berbeza dengan masyarakat Melayu yang tidak begitu ghairah
menghabiskan masa di kawasan pusat membeli belah mahupun makan di restoran mewah.
Kajian ethnosentrik menunjukkan etnik Cina di kawasan bandar lebih bersikap etnosentrik
berbanding masyarakat Melayu (Fee, 2004).
Terdapat beberapa kesan daripada proses pembandaran ini iaitu perubahan ke atas stratifikasi
sosial dengan kemunculan kelas-kelas baru dalam masyarakat yang tinggal di bandar.
Seterusnya, muncul cara hidup baru yang dikenali sebagai gaya hidup bandar. Gaya hidup
bandar terjadinya disebabkan oleh perubahan ciri-ciri masyarakat daripada ‘masyarakat
majmuk’ di mana penduduk berlainan kaum tinggal secara berasingan dan terpisah tanpa
interaksi (Abdul Rahman, 2011). Melihat dari perspektif yang lebih luas, kesejahteraan sosial
dan kualiti hidup sebenarnya merupakan konsep yang sukar dijelaskan. Walau bagaimanapun,
kebanyakan pengkaji-pengkaji terdahulu berpendapat bahawa kesejahteraan sama ada dilihat
dari lensa objektif mahupun subjektif, memberi harapan yang sangat bermakna kepada
peningkatan kualiti kehidupan penghuni bandar (Smith & Clay 2010; Zaimah et al., 2015).
Dinamika dalam pelbagai aspek di bandar berlaku dengan lebih pantas sehingga persoalan
kesejahteraan sering menjadi isu di pelbagai peringkat kehidupan. Umpamanya, perubahan dari
sudut teknologi komunikasi telah merubah banyak bentuk aktiviti ekonomi dan pembangunan
bandar yang mempunyai hubung kait dengan kesejahteraan komuniti.Perubahan tersebut turut
memberi kesan kepada interaksi sosial dan penyertaan sosial dalam komuniti bandar.
Pembangunan bandar yang sistematik dapat membantu dalam meningkatkan tahap
kesejahteraan hidup bandar di sesebuah negara sekiranya perancangan dilakukan mengikut
keperluan komuniti setempat (Katiman Rostam et al 2011).
Dengan pelbagai masalah jenayah yang semakin sukar dibendung, isu-isu pencemaran
alam sekitar, banjir kilat, kenaikan harga hartanah, pencerobohan penggunaan tanah serta
kesesakan lalu lintas, maka aspek keselamatan, ketenteraman dan kemasyarakatan dalam
kehidupan bandar kini telah mengalami dekadensi berbanding sebelumnya (Samruhaizad
Samian @ Samion et al., 2014). Ringkasnya, semakin tinggi tahap pembandaran, kehidupan
komuniti dianggap semakin terancam dan tidak selamat (Zurinah Tahir & Khadijah Hussin,
2012; Sepideh Sedaghatnia et al., 2013). Maka, sebarang usaha penambahbaikan terutamanya
dari aspek penyelidikan perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya kesejahteraaan hidup
individu terus boleh dipertingkatkan seiring dengan pembangunan yang berlangsung.
LATARBELAKANG KAJIAN
Menurut The Legathum Prosperity Index (2016) kesejahteraan penduduk di sesebuah negara
dapat dinilai daripada beberapa aspek iaitu dari aspek pendidikan, persekitaran semulajadi,
kesihatan, modal sosial, persekitaran perniagaan dan kualiti ekonomi. Negara Malaysia telah
tersenarai dalam tangga ke-38 dari 139 buah negara yang terlibat dalam penyelidikan tersebut.
5 negara yang dicatatkan mempunyai kesejahteraan yang tinggi adalah negara maju iaitu New
Zealand, Norway, Finland, Switzerland dan Kanada. Di Asia Tenggara, Malaysia dicatatkan
sebagai negara yang kedua sejahtera selepas Singapura (tempat pertama Asia Tenggara).
Walaubagaimanapun, kajian-kajian terhadap kesejahteraan di negara-negara maju
menunjukkan beberapa isu yang perlu diberi perhatian serius. Umpamanya, kajian oleh Robert
Putnam (1995) mendapati bahawa kebanyakan rakyat di Amerika Syarikat tidak berminat
untuk menyertai pelbagai bentuk kegiatan sosial yang akhirnya mewujudkan masyarakat
individualistik. Ekoran daripada isu tersebut, satu kajian yang lebih empirikal perlu dilakukan
untuk meneliti kesejahteraan hidup komuniti bandar sebagai hasil daripada sokongan
persekitaran serta komitmen ahli komuniti bandar dalam pelbagai aktiviti sosial. Kesejahteraan
komuniti banyak bergantung kepada persekitaran pembangunan. Justeru, pembangunan bandar
yang dirancang perlulah mengikut ciri-ciri pembangunan perbandaran yang efisien dan
mampan, pembangunan ekonomi bandar yang kukuh, dinamik dan berdaya saing, sistem
pengangkutan bandar yang bersepadu dan efisien, penyediaan perkhidmatan bandar,
infrastruktur, utiliti yang berkualiti dan sebagainya.(Dasar Perbandaran Negara, 2006).
Secara umumnya, di Negeri Selangor, terdapat enam Majlis Perbandaran, dua Majlis
Bandaraya dan satu Bandar Diraja. Terdapat beberapa matlamat yang telah digariskan
sepanjang penubuhan Majlis Perbandaran, dimana kesemuanya adalah untuk membangunkan
masyarakat dan meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti. Di antara matlamat tersebut
adalah dengan memberi dan meningkatkan perkhidmatan bandaran, menyedia dan
menyelenggara kemudahan infrastruktur, menyusun dan mengawasi pembangunan melalui
kawasan pembangunan yang teratur serta terancang, menggiatkan penyertaan sosial dan
dorongan sosial komuniti seperti penyediaan kemudahan taman dan rekreasi, mewujudkan
suasana kecantikan kawasan selaras dengan objektif untuk menjadikan kawasan Majlis Sebagai
"Kawasan Taman Dalam Bandar“, mengeratkan perpaduan di antara rakyat serta memainkan
peranan dalam usaha Kerajaan Negeri untuk menarik aspek perindustrian, merancang
perumahan kos rendah dan program-program menggiatkan pelancongan, meningkatkan aspek
ekuiti serta akses pendidikan yang dapat meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti di bandar.
Ringkasnya, kajian ini diadakan adalah bagi mengenalpasti hubungan dan sumbangan
di antara pembolehubah bersandar sokongan sosio-fizikal dan penyertaan sosial terhadap
pembolehubah tidak bersandar kesejahteraan hidup komuniti di bandar. Walaubagaimanapun,
dalam kajian ini, fokus hanya diberikan dalam konteks Majlis Perbandaran yang terdapat di
negeri Selangor sahaja.
ISU DAN PERMASALAHAN
Proses pembandaran di Malaysia telah berlaku sejak tiga dekad yang lalu. Malaysia pada awal
kurun ke-19 masih lagi dipenuhi hutan hujan khatulistiwa yang kaya dengan kepelbagaian
biologi dan bahan mineral. Pada tahun tersebut juga kawasan ini mempunyai kampung-
kampung terutamanya di tempat-tempat menghala ke muara lembangan sungai-sungai utama.
Walau bagaimanapun, perubahan berlaku secara perlahan dan terus meluas dalam empat dekad
kebelakangan berpunca dari pelbagai faktor. Antaranya disebabkan oleh meningkatnya jumlah
penduduk dalam lapisan-lapisan sosio-ekonomi menyebabkan penggemblengan pelbagai jenis
modal bagi menggerakkan satu gabungan kegiatan agar tuntutan keperluan asas serta kemajuan
penduduk dibangunkan. Tambahnya, ini memberi kesan kepada kawasan tempat tinggal dan
kawasan lingkungan kegiatan-kegiatan habitat yang mula berubah dari keadaan lebih asli
menuju ke suatu landskap binaan di mana komponen asas ekologi tabii mula terurai dan
diubahsuai (Abdul Samad, 2010).
Walaubagaimanapun, tidak semua proses pembandaran memberi impak positif kepada
komuniti, terdapat juga impak negatif kepada penduduk setempat. Contohnya, hasil daripada
terlalu banyak ruang dan peluang pekerjaan di bandar seperti sektor perindustrian dan
perkhidmatan telah menarik ramai golongan migran datang berhijrah ke bandar. Hal ini
menyebabkan penduduk di sesuatu bandar terlalu padat dan ramai mengakibatkan tempat itu
sesak dengan kenderaan dan pembangunan sekitarnya (Shaharudin Idrus, 2004). Sebagai
contoh Bandaraya Kuala Lumpur yang kini sedang mengalami proses pembandaran yang pesat
dengan melibatkan pelbagai aktiviti ekonomi, pergerakan barangan dan manusia serta
rangkaian pengangkutan yang semakin pesat dari hari ke hari. Selain itu, proses pembandaran
yang tidak terkawal serta keadaan sistem pembandaran yang tidak tersusun pada pringkat awal
telah mengakibatkan pelbagai masalah telah berlaku serta kesesakan lalu lintas. Pembangunan
yang pesat bermakna keluasan kawasan bandar menjadi bertambah dan kualiti hidup penduduk
menurun (Wan Rozali, 2007).
Tetapi masih tidak dapat dielakkan cabaran terbesar tinggal di bandar besar adalah
kenaikan kos sara hidup yang menjadi bebanan serta menghantui penduduk terutamanya
golongan bawahan. Walau bagaimanapun, masalah sosio-ekonomi seperti ini tidak dapat
dielakkan kerana kos sara hidup yang makin meningkat saban hari. Kebanyakkan isu seperti ini
melibatkan isu penyediaan kemudahan asas dan juga isu penghijrahan penduduk yang sangat
ekstrem. Rata-rata penduduk bandar yang kurang berkemampuan menetap di kawasan yang
kurang selesa dan mendapat kemudahan yang kurang mencukupi. Mereka akan tercicir
daripada arus pembangunan dan kemudahan yang disediakan di bandar tersebut. Isu ini akan
mendatangkan pelbagai masalah negatif kepada perkembangan pembandaran seperti
kekotoran, penyakit berjangkit dan kebakaran (Wan Rozali, 2007).
Hasil laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (2003, 2008) jumlah kejadian
jenayah tahun tersebut menunjukkan peningkatan yang ketara. Hal ini adalah kerana proses
pembangunan yang terlalu drastik menyebabkan ada segilintir masyarakat yang tersepit
sehingga menyebabkan mereka terdesak dan memaksa mereka mengambil jalan singkat dengan
melakukan jenayah untuk meneruskan kehidupan. Mereka terpaksa merompak dan mencuri
demi menampung hidup ditambah pula dengan masalah pengangguran yang tinggi. Selain itu,
mingrasi penduduk daripada pelbagai tempat juga telah membawa pelbagai budaya negatif
daripada tempat mereka seperti keganasan dan sebagainya (Haryati, 2010). Hal ini akan
menjejaskan kualiti hidup masyarakat di kawasan bandar. Isu keselamatan mereka menjadi
persoalan dan boleh mengganggu kehidupan harian masyarakat bandar. Pembangunnan dalam
pelbagai sektor terutamanya ekonomi, kemudahan infrastruktur, sosial dan budaya adalah bagi
meningkatkan kualiti hidup masyarakat di bandar (Hasnah et al., 2009). Walaubagaimanapun
dalam mendepani proses pembangunan, aspek fizikal, ekonomi dan sosial juga turut
menghambat kesejahteraan hidup individu. Seiring dengan aspirasi negara untuk mencapai
status negara maju, kajian empirikal perlu diadakan dari semasa ke semasa supaya
penambahbaikan boleh dilakukan agar kelestarian kehidupan manusia terus dapat dicapai.
KAJIAN-KAJIAN LEPAS
Kajian lepas daripada Hasnah Ali et al. (2009) menunjukkan bahawa kepuasan kawasan
perumahan merupakan petunjuk penting perumahan kualiti kejiranan yang memberi kesan
kepada kualiti individu hidup. Kajian beliau bertujuan untuk mengkaji ciri-ciri sosial, ekonomi
dan fizikal kawasan bandar yang menyumbang kepada kepuasan keseluruhan dengan kejiranan
yang seterusnya memberi kesan positif perasaan keseluruhan terhadap kehidupan. Data untuk
kajian ini dikumpul melalui temubual peribadi isi rumah yang dipilih secara rawak
menggunakan prosedur persampelan sistematik dari isi rumah yang tinggal di kawasan
perumahan berpendapatan sederhana di Pulau Pinang, Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan
penduduk secara umumnya berpuas hati dengan kualiti hidup keseluruhan. Walau
bagaimanapun, tahap kepuasan adalah rendah bagi pengangkutan awam, politik aktiviti dan
masing-masing kos sara hidup dari aspek fizikal, sosial dan ekonomi.
Mohd Yusof Hussain et al. (2011) telah menjalankan kajian melibatkan penduduk di
Kampung Berjaya dan Kampung Mempelam, Alor Setar, Kedah iaitu kampung yang wujud
dalam bandar sebagai responden. Objektif kajian ini untuk mengkaji persepsi penduduk
terhadap tahap kesejahteraan hidup mereka dalam aspek hubungan kekeluargaan dan kejiranan
dan seterusnya menganalisis faktor penentu tahap kesejahteraan hidup penduduk sebagai
penghuni di “urban village” ini. Seramai 132 orang ketua isi rumah telah ditemuselidik dan
jumlah ini mewakili 30% jumlah ketua isi rumah yang terdapat di Kampung Berjaya dan
Kampung Mempelam. Hasil kajian telah menunjukkan bahawa hubungan kekeluargaan sahaja
masih belum cukup untuk menjamin kesejahteraan, manakala hubungan kejiranan yang baik
telah dianggap sebagai penentu kesejahteraan hidup penduduk. Namun, gabungan kedua-dua
hubungan ini lebih memberi jaminan kesejahteraan hidup masyarakat “urban village”.
Kajian daripada Hasnah et al. (2009) menunjukkan kualiti hidup sangat penting bagi
mencerminkan corak taraf hidup, gaya hidup yang bersih, peluang untuk menimba ilmu
pengetahuan, kemudahan perumahan dan perubatan yang lebih baik, alam sekitar yang bersih
dan kemudahan rekreasi yang mencukupi serta membawa kepada pembangunan lestari negara
yang berterusan. Kualiti hidup yang baik juga sangat berkait rapat dengan aspek ketersampaian
(acessibility). Pelbagai kemudahan perkhidmatan asas diperlukan oleh penduduk, khususunya
golongan isi rumah termiskin bagi membolehkan mereka menikmati kehidupan pada tahap
keselesaan yang minimum. Justeru kajian ini dijalankan bagi menilai ketersampaian penduduk
di kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur kepada kemudahan awam yang terdapat ditempat
mereka. Data diperoleh daripada soal selidik terhadap 1800 responden. Hasil kajian mendapati
indeks ketersampaian kepada kemudahan asas masih belum begitu memuaskan. Jarak kawasan
yang jauh misalnya pusat kesihatan menyukarkan penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan
dengan kadar segera.
Kajian yang dijalankan oleh (Hoe & Wahab, 2014) bertujuan mengenal pasti perkaitan
antara tahap pendidikan, pekerjaan dan pendapatan dengan penyertaan komuniti Iban dalam
program pembangunan diri di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR).
Kajian yang berbentuk kuantitatif ini telah dilaksanakan di Daerah Song, Sarawak. Kajian
menunjukkan bahawa penyertaan komuniti setempat dalam sesuatu program adalah elemen
penting yang dapat menyumbang kepada kejayaan program yang dilaksanakan. Walau
bagaimanapun, tinjauan ke atas beberapa kajian membuktikan bahawa kesediaan komuniti
setempat untuk melibatkan diri dalam program yang diadakan sering kali dibatasi oleh pelbagai
faktor. Faktor sosio-ekonomi seperti tahap pendidikan, pekerjaan dan pendapatan bulanan
adalah antara elemen yang boleh mempengaruhi keterlibatan komuniti dalam program
pembangunan yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi.
Dilshad et al., (2010) telah menjalankan kajian ke atas 200 sampel bagi mengenal pasti
tahap penyertaan orang ramai dalam program pembangunan komuniti dan impaknya ke atas
taraf hidup mereka di Tehsil Dera Ghazi Khan, Pakistan. Hasil kajian telah mendapati bahawa
faktor sosioekonomi seperti pekerjaan, pendapatan dan tahap pendidikan mempunyai kaitan
secara langsung dengan tahap penyertaan orang ramai dalam program pembangunan komuniti.
Dapatan kajian ini mempunyai persamaan Augustine dan Paul (2012) dalam kajian yang telah
dijalankan bagi menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi penyertaan golongan petani
dalam organisasi sosial di Obubra Local Government Area (LGA). Hasil kajian mendapati
bahawa petani dengan tahap pendidikan dan pendapatan yang lebih tinggi lebih cenderung
dalam melibatkan diri dalam organisasi sosial berbanding dengan mereka yang mempunyai
tahap pendidikan serta pendapatan yang rendah.
Kajian daripada Abdul Rahman et al. (2016) telah mengkaji penglibatan sosial,
pembudayaan nilai melalui pembelajaran tidak formal dan amalan nilai murni dalam kalangan
penduduk di bandar raya pintar Putrajaya, Malaysia. Seramai 414 orang penduduk bandar raya
pintar Putrajaya telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Pengumpulan data dilakukan
dengan menggunakan soal selidik berdasarkan Teori Pembelajaran Tidak Formal Orang
Dewasa dan adaptasi soal selidik yang berkaitan dengan nilai komuniti bandar. Bagi
menentukan kesahan dan kebolehpercayaan soal selidik, kajian rintis telah dilakukan. Kajian
rintis ini melibatkan 30 orang penduduk bandar raya pintar Putrajaya dan hasil nilai alfa
Cronbach menunjukkan setiap item yang digunakan bagi mengukur konstruk yang dikaji
mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi. Analisis data telah dilakukan dengan
menggunakan statistik deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian menunjukkan bahawa
penglibatan sosial dalam kalangan penduduk bandar raya pintar Putrajaya berada pada tahap
rendah serta pembudayaan nilai melalui pembelajaran tidak formal dan amalan nilai murni
berada pada tahap sederhana. Analisis inferensi menunjukkan terdapat perbezaan yang
signifikan bagi penglibatan sosial penduduk bandar raya pintar Putrajaya berdasarkan jantina.
TUJUAN KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap sokongan sosial (social support), sokongan
fizikal (physical support), penyertaan sosial, dan kesejahteraan hidup komuniti bandar di
Negeri Selangor. Sokongan sosial meliputi aspek institusi keluarga, rakan sebaya, komuniti
setempat dan komuniti sekolah. Sementara sokongan fizikal meliputi aspek kawasan
penempatan, kemudahan awam, keselamatan, keceriaan dan kebersihan dan kawasan rekreasi.
Penyertaan sosial pula merujuk kepada aktiviti kependidikan, kerohanian, kesukanan dan
rekreasi, sivik serta kelestarian alam sekitar. Bagi kesejahteraan hidup komuniti bandar pula
merangkumi kesejahteraan insan (diri dan keluarga), kesejahteraan persekitaran (sosial,
keselamatan dan keselesaan) dan kesejahteraan pendidikan (formal dan non formal). Kajian ini
juga bertujuan untuk mengenalpasti sama ada terdapat perbezaan aspek-aspek tersebut
berdasarkan jantina, umur, etnik dan status sosio-ekonomi. Selain dari tu, kajian ini juga
bertujuan untuk mengenalpasti sumbangan pemboleh ubah dorongan sokongan sosial (social
support) dan sokongan fizikal (physical support) terhadap penyertaan sosial dan kesejahteraan
hidup komuniti bandar.
KERANGKA KONSEPTUAL
Kerangka kajian ini berdasarkan gabungan beberapa teori dan model diantaranya ialah Teori
Sistem Ekologi Bronfenbrenner (2005), Teori Modal Sosial Putnam (2001) dan Teori Kualiti
Hidup oleh Ventegodt (2003). Kajian ini mengandungi 4 konstruk yang utama iaitu sokongan
sosial, sokongan fizikal, penyertaan sosial dan kesejahteraan hidup komuniti bandar. Konstruk
sokongan sosial adalah merujuk kepada Teori Bronfenbrenner dalam lapisan mikrosistem.
Rajah 1.0 Kerangka Konseptual Kajian
Dalam kajian ini sokongan sosial merujuk kepada aspek institusi keluarga, rakan sebaya,
komuniti setempat dan komuniti sekolah yang mendorong kepada penyertaan sosial dan
kesejahteraan hidup dalam komuniti bandar. Bagi konstruk sokongan fizikal yang merujuk
kepada lapisan eksosistem dalam kajian ini merujuk kepada aspek kawasan penempatan,
kemudahan awam, keselamatan, keceriaan dan kebersihan serta kawasan rekreasi. Manakala,
bagi konstruk penyertaan sosial yang berasaskan kepada Teori Putnam pula merujuk kepada
aktiviti yang merujuk keterlibatan komuniti bandar dalam aktiviti yang berkaitan kependidikan,
kerohanian, kesukanan dan rekreasi, sivik, kelestarian dan alam sekitar. Seterusnya, konstruk
kesejahteraan hidup komuniti bandar adalah berasaskan kepada Teori Ventegolt, merujuk
kepada aspek kesejahteraan insan, kesejahteraan persekitaran dan kesejahteraan pendidikan.
Selain daripada itu, kajian ini turut mengenalpasti tahap dan perbezaan setiap konstruk yang
dikaji berdasarkan demografi iaitu jantina, etnik dan status sosio-ekonomi. Seterusnya,
sumbangan kajain turut dikaji sejauh mana konstruk sokongan sosio-fizikal terhadap
penyertaan aktiviti komuniti bandar dan turut dikaji sejauh mana ketiga-tiga pembolehubah
iaitu sokongan sosial, sokongan fizikal dan penyertaan aktiviti sosial terhadap kesejahteraan
komuniti hidup bandar di kawasan Majlis Perbandaran di Selangor.
KEPENTINGAN KAJIAN
Terdapat beberapa kepentingan di dalam kajian ini. Kepentingan yang pertama ialah mencari
dan merumuskan resolusi tentang kesedaran kebangsaan melalui pola interaksi sosial dalam
bentuk akomodasi dan asimilasi dalam kalangan rakyat pelbagai etnik di Malaysia sekaligus
menekankan peri pentingnya semangat kebersamaan dan peningkatan sifat kenegaraan melalui
kecintaan terhadap negara dan bangsa dengan mengukuhkan semangat perpaduan dan
membentuk jati diri bangsa sebagai bangsa Malaysia tanpa meleburkan identiti setiap etnik
sebaliknya mencari titik persamaan dan menyerap nilai-nilai positif antara etnik menerusi
integrasi antara wilayah, etnik dan kebudayaan. Selain itu, kajian ini juga diharapkan dapat
menambahbaik kajian-kajian empirikal dan ilmiah sebelum ini berkaitan dengan kesejahteraan
bandar dengan mengambil kira faktor-faktor yang mendorong kepada penyertaan sosial dalam
kalangan komuniti bandar. Akhir sekali, kajian ini dapat menyediakan bukti-bukti empirikal
faktor-faktor sosial apakah yang paling dominan dalam membantu meningkatkan
kesejahteraan hidup komuniti di bandar seterusnya dapat menyediakan data dan input berguna
dapat pembuatan polisi dan dasar-dasar pembangunan.
METODOLOGI
Rekabentuk kajian ini adalah sepenuhnya menggunakan pendekatan kaedah kuantitatif
berbentuk kaedah tinjauan menggunakan soal selidik. (Creswell, 2012; Mohd Majid Konting,
2004). Soal selidik ini menggunakan skala Likert 5 mata kerana ianya boleh memberi pilihan
yang lebih berbagai kepada responden serta seterusnya dapat menggambarkan range of
response yang lebih berterusan dalam mendapatkan maklumat daripada responden (Colman,
Norris & Preston, 1997).
Populasi dalam kajian ini akan melibatkan responden dari pelbagai etnik yang berusia
lingkungan 25 hingga 40 tahun di Negeri Selangor. Pemilihan kategori ini adalah berdasarkan
populasi di negeri Selangor yang terdiri daripada pelbagai etnik. Kajian ini hanya memilih etnik
melayu, Cina dan India. Manakala, dari segi umur pula, golongan ini adalah rata-ratanya
mempunyai pekerjaan dan terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh pihak Majlis
Perbandaran di Selangor. Sampel yang dicadangkan dalam kajian ini adalah seramai 2100
orang yang melibatkan seramai 175 Melayu, 105 Cina dan 70 India yang dibahagikan
mengikut 6 Majlis Perbandaran yang dipilih. Saiz sampel ini melebihi saiz sampel yang telah
ditetapkan oleh Krejcie & Morgan (1970), di mana penyelidik telah menetapkan bilangan saiz
sampel bagi setiap kawasan adalah seramai 350 responden.
Pemilihan sampel dilakukan secara rawak berstrata dengan mengambil kira Majlis
Perbandaran sekitar negeri Selangor serta jantina dan etnik responden selari dengan pandangan
yang dikemukakan oleh (Cohen et al., 2007; Jorgensen, 1989). Enam Majlis Perbandaran telah
dipilih secara rawak dalam kajian ini iaitu Majlis Perbandaran Klang, Kajang, Subang Jaya,
Selayang, Sepang dan Ampang Jaya.
Sementara itu, instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada lima
bahagian iaitu Bahagian A berkaitan dengan profil demografi responden, Bahagian B adalah
berkaitan dengan sokongan fizikal (kawasan penempatan, kemudahan awam, keselamatan,
keceriaan dan kebersihan serta kawasan rekreasi). Item dalam Bahagian C diadapatasi dan
dibina daripada Teori Sistem Ekologi Bronfrenbrenner, (2005) yang berkaitan dengan aspek
sokongan sosial (institusi keluarga, rakan sebaya, komuniti setempat dan komuniti sekolah)
Bahagian D pula berkaitan dengan penyertaan sosial (aktiviti kependidikan, kerohanian,
kesukanan dan rekreasi, sivik serta aktiviti kelestarian alam sekitar. Akhir sekali ialah Bahagian
E yang berkaitan dengan kesejahteraan hidup komuniti bandar. Antara aspek utama dalam
bahagian ini ialah kesejahteraan insan, kesejahteraan persekitaran dan kesejahteraan
pendidikan.
Kajian rintis
Sebelum kajian rintis dilakukan, pengkaji akan merujuk kepada 3 orang pakar bidang bagi
membuat kesahan dalaman (face validity) bagi memastikan bahawa item soal selidik adalah
sesuai dan seterusnya setiap pandangan dan komen daripada pakar tersebut. Seterusnya, item
yang diberi komen akan diperbaiki bagi memantapkan item dalam sola selidik bagi setiap
konstruk. Kajian rintis akan dilaksanakan yang melibatkan 100 orang sampel dari Lembah
Klang yang terdiri daripada pelbagai etnik menggunakan analisis Cronbach Alpha. Item yang
rendah daripada 0.6 akan digugurkan dan diganti dengan item baru atau digugurkan terus
sekiranya item dalam konstruk atau sub konstruk tersebut mencukupi untuk mengukur bagi
mendapatkan maklumat dalam kajian ini. Tatacara analisis data dalam kajian ini menggunakan
analisis deskriptif (min dan sisihan piawai) dan inferensi iaitu analisis ANOVA, MANOVA
sehala, MANOVA dua hala dan regrasi.
KESIMPULAN
Kesejahteraan hidup masyarakat harus dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi menjamin
keharmonian dan kesejahteraan hidup rakyat yang berbilang kaum di Malaysia tidak kira sama
ada masyarakat bandar mahupun luar bandar. Pencapaian ekonomi dan kepesatan
pembangunan dapat membantu kemajuan sesebuah negara. Pembangunan dalam pelbagai
bidang terutamanya dalam bidang ekonomi, kemudahan infrastuktur, sosial dan budaya adalah
bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Kajian ini juga jelas menunjukkan permasalahan
yang berlaku dalam masyarakat mengenai kesejahteraan hidup di bandar yang bakal dijadikan
panduan dalam kajian ini. Kajian empirikal terhadap kesejahteraan bandar dengan mengambil
kira faktor-faktor yang mendorong kepada penyertaan sosial dalam kalangan komuniti bandar
amat perlu dilakukan kerana kurangnya kajian ilmiah terhadap aspek-aspek tersebut. Kesemua
aspek telah dibuktikan ada pertalian tetapi kajian spesifik amat terhad di Malaysia. Negara
maju seperti Jepun, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat telah lama memberi
fokus kepada aspek sebegini.
RUJUKAN
Abdul Aziz Rahman, Abdul Razaq Ahmad, Jalaluddin Abdul Malek & Mohd Mahzan Awang. (2016). Penglibatan Sosial Dan Pembudayaan Nilai Murni Melalui Pembelajaran Tidak Formal Dalam Kalangan Penduduk Bandar Putrajaya. Kajian Malaysia, 34 (2): 75–100
Abdul Rahman Embong. (2011). Perbandaran dan kehidupan bandar di Semenanjung Malaysia. Akademika 81 (2) 2011: 23-39.
Abdul Samad Hadi. (2010). Urbanisasi di Malaysia: Mengaitkan Kepelbagaian Proses ke Bentuk Perbandaran. Malaysian Journal of Environmental Management 11(2) (2010): 21-31.
Ahamad b. Rahim, Azwani b. Ismail, Abdul Razaq Ahmad,Zahara bt Aziz dan Sharifah Nor Puteh. (2011). Kurikulum Sejarah ke Arah Pembentukan Perpaduan Kaum di Malaysia. Jurnal Pendidikan dan Latihan, 1 (3) : 1-18 ISSN 1985-9597. Penerbitan Majlis Amanah Rakyat (MARA)
Burgess, Robert G. (ed.) (1989). The Ethics of Educational Research. Falmer Press.Bunge, M.(1976). Indicators. Judging the Quality of Life. In Farlow, J. K and Shea, W. R.
(eds), Values and Quality of Life. New York: Science History Publications.Bronfenbrenner, U. (2005). Making Human Beings Human : Bioecological Perspectives on
Human Development. Thousand Oaks, CA : Sage Publications.Cresswell, J. W. ( 2012). Educational Research. Boston: Pearson Education.Colman, A.M, Norris, C.E dan Preston, C.C. (1997). Comparing Rating Scales of Different
Lengths: Equivalence of Scores from 5-Point and 7-Point Scales. Psychological Report, 80, 355-362.
Cohen, B. J. and Orbuch, T. L. (1990). Introduction to Sociology College Book Series. McGraw-Hill's college review books: McGraw-Hill. ISBN 0070115974, 9780070115972
Dilshad, T., Yasin, G., & Fani, M. I. (2010). Impacts of Socio- economic Factors on Participatory Community Development: A Case of Tehsil Dera Ghazi Khan. European Journal of Social Sciences, 18(2): 203-209.
Haryati Shafiii. (2010). Tempat tinggal dan kualiti hidup masyarakat di bandar. Tempat tinggal dan kualiti hidup masyarakat di bandar. Penerbit Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Batu Pahat. ISBN 9789675457203
Hasnah Ali, Arifin Zainal, Asmawati Desa, Mustaffa Omar, Fatimah Omar & Mohd Fuad Mat Jali. (2009). Kualiti Hidup Dan Ketersampaian Kepada Kemudahan Asas Di Kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer). Prosiding Perkem IV, 1: 370-381. ISSN: 2231-962x
Hoe, K. C. dan Wahab, H. A. (2014). Hubungan Antara Angkubah Sosioekonomi Dan Penyertaan Komuniti Iban Dalam Program Pembangunan Diri. Journal of Business and Social Development, 2 (1): 114-122
Lee Yok Fee, (2004). Kedinamikan Kecinaan dan Identiti Orang Cina di Malaysia. Laporan Penyelidikan/Research Report, Sari 22 (2004) 167 - 181 167
Jabatan Perangkaan Malaysia (2015) Banci Penduduk dan Perumahan 2010. Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (2010). Bank Data Negeri/Daerah Malaysia 2010. Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya.
John Sydenhem Furnivall. (1956). Colonial Policy and Practice: A Comparative Study of Burma and Netherlands India. New York: New York University Press, 304.
Jorgensen, D.L. (1989). Participant Observation: A Methodology for Human Studies, Sage,Newbury Park.
Maurice Freedman. (1960). “The Growth of a Plural Society in Malaya,” dalam Pacific Affairs. v. 3, h. 159.
Mohd Anuar Ramli dan Mohammad Aizat Jamaludin. (2011). ‘Uruf Majmuk: Konsep Dan Amalannya dalam Masyarakat Majmuk di Malaysia. Jurnal Fiqh, No. 8 (2011) 45-64.
Shaharudin Idrus, Lim Choun Sian & Abdul Samad Had. (2004). Kemudahterancaman (Vulnerability) Penduduk Terhadap Perubahan Guna Tanah di Selangor. Malaysian Journal of Environmental Management, 5: 79 - 98 Mohd Yusof Hussain, Mohamad Shaharudin Samsurijan, Suraiya Ishak, dan Abd. Hair Awang.
(2011). Hubungan kejiranan dalam membentuk kesejahteraan hidup masyarakat ‘kampung bandar’: Kes Kampung Berjaya dan Kampung Mempelam, Alor Setar, Malaysia. GEOGRAFIA Online Malaysian Journal of Society and Space, 7 (3): 36 – 44
Mohd Majid Konting.(2004). “Kaedah Penyelidikan Pendidikan.” Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Putnam, Robert D. (2001). "Social capital. Measurement and consequences." Canadian Journal of Policy Research 2:41-51.
Rabushka, A. (1973). Race and Politics in Urban Malaya. California : Stanford University, Hoover Institution Press.
Samruhaizad Samian @ Samion, Jamaluddin Md Jahi & Azahan Awang. 2014. IsuPerbandaran dan Kualiti Hidup Penduduk Pinggir Bandar. International Journal of theMalay and Civilisation (IMAN). 2(1) : 63-75.
Sepideh Sedaghatnia, Hasanuddin Lamit, Amir Ghahramanpouri & Sapura Bt Mohamad. 2013.An Evaluation of Residents Quality of Life through Neighborhood Satisfaction in Malaysia.Environmental Management and Sustainable Development 2(1): 114-125.
Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
Ventegodt, A.J. (2003). Quality of Life Theory I. The IQOL Theory: An Integrative Theory of The Global Quality of Life Concept. Research Article. The Scientific World Journal 1030 1040. ISSN 1537 744X; doi 10.1100/tsw.2003.82.
Wan Rozali Wan Hussin. 2007. Kualiti Hidup Sosial dan Proses Pembandaran di Malaysia. Pulau
Pinang: Universiti Sains Malaysia.Zaimah, R., Suhana Saad, Azima, A. M., Mohd Yusof Hussain, Mohd Samsudin, Mustaffa
Omar & Ishak Yussof. 2015. Kesejahteraan subjektif: Kajian kes nelayan di Sedili, Kota Tinggi, Johor. GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 11(2): 87-94.
Zaimah, R., Suhana Saad, Azima, A. M., Mohd Yusof Hussain, Mohd Samsudin, Mustaffa Omar & Ishak Yussof. 2015. Kesejahteraan subjektif: Kajian kes nelayan di Sedili, Kota Tinggi, Johor. GEOGRAFIA OnlineTM Malaysia Journal of Society and Space 11(2): 87-94.
Zurinah Tahir & Khadijah Hussin. 2012. Security Aspects of Gated Community Housing and the Concept of Safe Townships. Chinese Business Review 11(2): 242–250