Post on 06-Feb-2016
1.0 PENGENALAN
1.1 Definisi dan Konsep Kaedah Pengajaran
Menurut Kamus Dewan, kaedah bermaksud cara atau aturan (membuat sesuatu), hukum
atau prinsip. Sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan
tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. Kaedah pengajaran pula terdiri daripada
beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan tertentu. Pengajaran yang
dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku
yang agak kekal dalam diri seseorang yang lain. Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran
adalah seperti cercerita, perbincangan, bermain, latih tubi, main peranan, menyelesaikan
masalah, brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan, projek, soalan atau Socratik dan lain-
lain lagi.
1.2 Definisi dan Konsep Teknik Pengajaran
Teknik pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat
dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik yang
ada apda sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak
berhasil. Misalnya katakanlah seorang ingin menggunakan kaedah bercerita untuk mengajar
sesuatu tajuk pelajaran. Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan nada
suara, penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat murid, gerakan
tangan "facial expression", serta kedudukan murid-murid semasa aktiviti bercerita itu
berlangsung.
Kaedah mengajar seperti syarahan juga mempunyai teknik-teknik yang tersendiri.
Teknik-teknik syarahan adalah seperti mempelbagaikan nada sera kadar percakapan,
bahasa yang sesuai, penggunaan LCD garis kasar kuliah yang disampaikan, menyoal
soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajra dan lain-lain lagi. Satu lagi contoh kaedah
mengajar ialah kaedah soalan. Jika kita ingin mengajar dengan kaedah soalan maka kita
pelu menggunakan teknik-teknik menyoal yang baik seperti soalan-soalan yang ditanya
haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar diberi masa untuk memikirkan jawapan soalan
sebelum sesiapa dipanggil untuk menjawab, layanan yang munasabah bagi semua tindak
balas daripada murid, suara haruslah jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang ditanya
dan sebagainya.
1.3 Definisi dan Konsep Pendekatan Pengajaran
Pendekatan pengajaran pula merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk
mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata
pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan
wujud berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi
perhatian yang lebih utama. Sebab itu ada kalanya pendekatan menyerupai klasifikasi
pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan wujud berdasarkan kriteria-kriteria yang kita
gunakan untuk meneliti proses pengajaran. Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh
digolongkan mengikut cara pengelolaan murid, cara-cara fakta disampaikan, keaktifan
pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain.
Pendekatan pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti
pendekatan individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas,
pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini tidak
menyentuh tentang kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru adalah bebas
memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan tersebut. Berdasarkan kriteria
bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan induktif, pendekatan
deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi mudah ke isi susah dan pendekatan
dari isi maujud ke isi abstrak.
Pendekatan yang memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan
memusatkan guru manakala pengajaran yang mementingkan murid disebut sebagai
pendekatan memusatkan murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan yang
memusatkan guru adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi manakala
kaedah-kaedah pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran yang memusatkan
murid adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah bermain dan kaedah
perbincangan kumpulan.
Akhir sekali dalam pengajaran bahasa terdapat pendekatan-pendekatan seperti
pendekatan komunikasi, pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan
terjemahan dan pendekatan nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul berasaskan teori-teori
pembelajaran yang berbentuk mentalis atau behavouris. Contohnya jika kita mengikut teori
mentalis atau kognitif maka pendekatan yang digunakan adalah seperti pendekatan
terjemahan dan pendekatan nahu.
1.2 Definisi dan Konsep Strategi Pengajaran
Untuk mencapai objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya
menggunakan gabungan berapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu. Rancangan
gabungan pendekatan dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan
merupakan strategi pengajaran. Sebagai contoh, untuk mengajar sebuah kelas berenang,
strategi pengajaran harus mempertimbangkan pendekatan yang digunakan serta kaedah-
kaedah yang perlu digunakan. Adakah kita gunakan pendekatan individu atau pendekatan
kumpulan kecil? Bila kita menerangkan cara-cara berenang kepada pelajar patutkah kita
gunakan pendekatan induktif atau pendekatan deduktif? Di samping itu, apakah kaedah
pengajaran yang boleh kita gunakan. Antara kaedah syarahan, kaedah demostrasi dan
kaedah latih tubi yang manakah kita gunakan terlebih dahulu? Bagaimanakah
kombinasinya? Ringkasnya rancangan yang lengkap yang mengandungi pendekatan dan
kaedah adalah strategi mengajar yang dimaksudkan.
Peranan strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar pelajar-
pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan serta minat yang
berbeza-beza. Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang digunakan untuk
mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya, dalam bilik darjah KBSR
yang biasanya terdiri daripada kumpulan lemah, kumpulan serdahana serta kumpulang
cergas. Guru terpaksa memikirkan strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai
kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan. Di samping itu, setiap bilik
darjah mempunyai halangan serta rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan
fizikal, kemudahan bilik darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan murid.
Lantaran itu, seseorang guru bukan sahaja mesti menguasi berbagai-bagai kaedah
mengajar tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun
kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran yang paling berkesan dalam
pengajarannya.
2.0 APLIKASI KAEDAH, TEKNIK, PENDEKATAN DAN STRATEGI DALAM
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN SENI VISUAL
Dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran dalam mata pelajaran Pendidikan
Seni Visual Tahun 4, aktiviti yang dipilih ialah membuat corak Batik yang terkandung dalam
bidang Mengenal Kraf Tradisional dimana teknik yang digunakan ialah teknik resis.
Pemilihan teknik resis dalam menghasilkan corak batik merupakan pendekatan yang paling
sesuai yang digunakan supaya murid didedahkan cara yang paling senang terlebih dahulu
sebelum berpindah kepada teknik yang lebih susah dalam membuat kraf tradisional batik.
2.1 Aplikasi Kaedah Dalam Pengajaran dan Pembelajaran PSV
Analisis merupakan suatu aspek yang sangat penting sebelum memulakan sesi
pengajaran dan pembelajaran. Sebelum itu, guru harus mengenalpasti latarbelakang sosio-
emosi, tahap kemampuan serta kepelbagaian kecerdasan murid tersebut supaya objektif
dan hasil pembelajaran dapat dicapai. Berpandukan Rancangan Pengajaran Harian yang
dirangka, kaedah yang paling sesuai digunakan kepada semua latarbelakang murid ialah
menggunakan kaedah perbincangan. Kaedah perbincangan ini boleh dilakukan dalam
kumpulan besar atau kumpulan kecil, terbuka dan terbimbing. Langkah yang pertama
digunakan ialah dengan membahagikan murid kepada 5 kumpulan yang terdiri daripada
pelbagai jantina dan tahap kemampuan dalam pelajaran. Seterusnya, guru akan
mengagihkan contoh sehelai pakaian tradisional kain batik sarung kepada setiap kumpulan
yang terdiri daripada pelbagai warna dan corak. Guru akan memperkenalkan serba ringkas
tentang pemakaian batik dalam budaya orang Melayu serta definisi batik supaya murid
didedah dan dirangsang pengetahuan mereka dengan lebih awal sebelum memulakan sesi
pembelajaran. Ini adalah bertepatan dengan teori kognitif yang diperkenalkan oleh Jean
Piaget kerana pengetahuan baru yang diambil daripada contoh batik yang diperkenalkan
kepada murid akan diasimilasikan dan disesuaikan dengan pengalaman sedia ada murid. Ini
secara tidak langsung dapat merangsang pemikiran mereka untuk belajar secara mendalam
dan mengekalkan pengetahuan mereka untuk jangka masa yang panjang.
Selain itu, melalui kaedah perbincangan ini guru dan pelajar akan sama-sama mendapat
manfaat, dimana mereka akan dapat berkongsi idea tentang unsur bahasa seni visual yang
terdapat pada corak batik. Contoh unsur seni tersebut seperti penggunaan garisan tebal
atau nipis, penggunaan rupa sama ada organik atau simetri dan juga penggunaan warna
sama ada primer, sekunder atau tertier. Seterusnya guru menerangkan contoh alat dan
bahan yang digunakan untuk membuat corak batik kepada murid supaya mereka mendapat
gambaran awal yang jelas tentang kaedah penghasilan batik secara lebih mendalam. Dalam
berkumpulan juga guru menggalakan murid untuk berbincang dan mengemukakan
cadangan mengenai alternatif lain dalam menghasilkan batik tanpa menggunakan alat yang
sedia ada. Dengan cara ini, guru akan dapat memahami dan mengenali tahap kecerdasan
seseorang pelajar, dan ia memudahkan guru mengaplikasi kaedah-kaedah pengajaran
kepada pelajar yang mempunyai pelbagai kecerdasan. Justeru, pengajaran secara
perbincangan lebih menekankan kepada pembelajaran berpusatkan pelajar. Keadaan ini
mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan. Hasilnya,
guru dan pelajar dapat mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran seperti yang
diperlukan dan dapat melahirkan pelajar yang lebih bersikap berdikari dalam memperolehi
sumber pengetahuan semasa proses pengajaran dijalankan.
Dalam pengajaran, kaedah perbincangan juga disusuli dengan kaedah syarahan supaya
murid jelas dengan metodologi penghasilan batik yang akan dilakukan oleh mereka.
Misalnya penerokaan media dan cara yang akan digunakan untuk menghasilkan corak batik
daripada teknik resis. Lazimnya, kognitif murid dirangsang apabila guru mengemukakan
contoh yang jelas dan mudah. Contoh yang dikemukakan akan disertai dengan penyoalan
supaya mereka mengemukakan pendapat masing-masing tentang cara penghasilan batik
yang menarik dengan menggunakan teknik resis dengan berkesan. Ini menggalakkan
perkongsian idea dalam suasana yang tidak terancam, sesuai dengan falsafah
konstruktivisme yang diasaskan oleh John Dewey. Justeru, aplikasi seni berlaku dalam bilik
darjah secara sendiri melalui bimbingan guru.
Melalui kaedah ini, guru menggalakan murid mempamerkan serta menceritakan tentang
karya batik yang mereka hasilkan. Murid akan rasa dihargai dan berkeyakinan untuk
melibatkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran apabila guru menerima dan
memberikan pujian atas hasil kerja yang mereka lakukan. Ini secara tidak langsung
mengeratkan hubungan antara guru dengan murid dan ini akan memperlihatkan minat dan
kesungguhan murid dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
2.2 Aplikasi Teknik Dalam Pengajaran dan Pembelajaran PSV
Dalam menghasilkan kraf tradisional batik, beberapa teknik harus dipraktikkan supaya
mereka dapat menghasilkan produk bercorak batik dengan garis panduan betul. Antaranya
ialah penggunaan teknik sumbang saran. Teknik yang dikenali sebagai brainstorming ini
berbentuk perbincangan dan ia membolehkan sesuatu kumpulan berfikir secara kreatif dan
aktif. Setiap ahli dalam kumpulan kecil diberikan peluang untuk menyampaikan idea dan
pendapat mengenai unsur seni dan prinsip rekaan yang terdapat pada contoh batik. Guru
harus menerima idea-idea atau cadangan murid walaupun ada kalanya idea mereka kurang
tepat tetapi idea itu perlu diperhalusi dan diolah oleh guru supaya pendapat murid dapat
diterima dan berkait dengan isi pelajaran yang ingin disampaikan. Misalnya semasa ingin
menghasilkan batik menggunakan teknik resis, murid mengemukakan pendapat bahawa
bahan yang digunakan untuk membuat resis pada batik iaitu oil paster boleh digantikan
bahan kitar semula seperti tepung. Kemudian guru harus menerima cadangan murid
tersebut dengan membuat kesimpulan bahawa teknik resis bukan sahaja menggunakan oil
paster tetapi apa-apa bahan yang menghalang kedua-dua cat yang berlainan warna
daripada bercantum antara satu sama lain supaya garisan yang memisahkan kedua-dua cat
berlainan warna tersebut membentuk corak batik. Justeru, dalam teknik ini murid-murid
digalakkan membuat huraian hasil pendapat-pendapat yang telah dikemukakan. Perkara
yang telah dicadangkan oleh seorang murid akan diperkembangkan oleh murid-murid lain
sehingga idea atau pendapat tadi dapat dikembangkan hingga ke peringkat yang lebih luas.
Dalam pengajaran dan pembelajaran PSV tidak boleh lari daripada penggunaan teknik
simulasi atau tunjuk cara. Simulasi adalah suatu situasi pembelajaran dalam keadaan yang
terkawal dan sengaja diwujudkan sama dengan situasi sebenar dengan tujuan menjalankan
latihan menyelesaikan satu-satu masalah. Terdapat dua jenis Simulasi yang biasa
digunakan dalam aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah, iaitu Teknik Sosiodrama dan
Main Peranan. Dalam suasana pembelajaran PSV, main peranan merupakan teknik yang
sesuai digunakan. Selepas guru memberikan contoh batik dan memberi garis panduan
tentang cara membuat batik teknik resis melalui simulasi yang dilakukan oleh salah seorang
daripada wakil murid untuk cuba menghasilkan corak batik menggunakan bahan yang
sesuai sambil diperhatikan oleh rakan sebaya mereka yang lain dengan penerangan dan
bimbingan guru. Kesan daripada teknik ini, ia memberi peluang kepada murid untuk
memikirkan cara penyelesaian secara spontan dalam situasi bermasalah yang diwujudkan
serta membawa kepada suasana pembelajaran yang berkesan, seronok dan menarik.
Kedua-dua teknik tersebut akan disusuli pula menggunakan teknik penyoalan. Teknik ini
dilaksanakan dengan cara guru mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan isi
pelajaran dan pelajar dikehendaki memberi tindak balas yang sewajarnya. Di awal
pembelajaran, teknik penyoalan berdasarkan kemampuan murid menjawab secara spontan
perlu supaya ia dapat merangsang pemikiran dan menarik perhatian murid untuk
mempelajari cara untuk membuat kraf tradisional batik. Semasa set induksi, guru
mengemukakan soalan mengikut aras kesukaran berdasarkan aras Taxonomi Bloom, iaitu
cara yang paling mudah untuk menarik perhatian murid ialah menggunakan aras
pengetahuan yang sedia ada. Guru boleh bertanyakan murid tentang tatacara pemakaian
batik dan unsur-unsur serta motif yang terdapat pada batik. Contohnya soalan tersebut
seperti bilakah batik akan dipakai oleh kakitangan awam pada hari bekerja? Apakah corak
yang terdapat pada batik? Apakah warna yang terdapat batik? Untuk pengetahuan kamu,
apakah cara yang digunakan untuk membuat batik? Melalui teknik penyoalan seperti ini,
guru dapat merangsang dan mencungkil fikiran pelajar semasa sesi soal jawab dengan
menggunakan teknik soalan kemahiran berfikir kreatif dan kritis terutamanya ketika
mengajar tajuk baru. Pada masa yang sama, guru boleh menimbulkan minat dan rasa ingin
tahu pelajar semasa sesi soal jawab dijalankan.
2.3 Aplikasi Pendekatan Dalam Pengajaran dan Pembelajaran PSV
Dalam pengajaran dan pembelajaran PSV yang menumpukan bidang Mengenal Kraf
Tradisional, pendekatan yang paling sesuai digunakan ialah pendekatan secara induktif.
Dalam pendekatan induktif, guru akan memulakan pengajaran dengan memberikan contoh-
contoh yang khusus berdasarkan satu prinsip yang sama. Guru perlu mengenal pasti
maklamat pengajaran dan pembelajaran dan menyediakan contoh-contoh yang berkaitan
dengan objektif pengajaran dan pembelajaran. Contohnya menyediakan kain batik sarung
yang telah siap kepada murid. Interaksi dua hala berlaku apabila guru mengemukakan
soalan yang membolehkan murid membuat perkaitan dengan apa yang akan diajar. Murid
dibimbing melalui aktiviti penyoalan oleh guru supaya mereka dapat membuat kesimpulan
yang tepat. Dalam langkah seterusnya, guru perlu memberi contoh-contoh tambahan
supaya murid memahami dan melihat persamaan daripada contoh-contoh tersebut.
Daripada contoh-contoh tadi, murid akan membuat satu kesimpulan serta membuat
generalisasi mengenai konsep yang diajar oleh guru. Misalnya kebolehan murid
mengaplikasikan proses dan teknik dalam penghasilan corak batik apabila melihat simulasi
yang dilakukan oleh wakil murid yang dibimbing oleh guru tersebut. Dalam pendekatan ini,
guru perlu menyediakan alat bantu mengajar yang bersesuaian seperti contoh batik sarung.
Ini kerana murid boleh merasai pembelajaran secara kontekstual dan juga berkebolehan
membuat kesimpulan apabila mereka jelas dengan penerangan guru yang disertakan
dengan alat bantu mengajar yang merangsang pemikiran mereka.
Pendekatan Chapman (1986) adalah bersesuaian dengan mata pelajaran pendidikan
seni visual disekolah. Chapman telah menggunakan empat aspek utama dalam pelajaran
seni iaitu pemerhatian yang aktif, penerokaan, penghasilan (pembuatan), dan apresiasi.
Pemerhatian yang aktif dapat diperlihatkan apabila contoh hasil batik yang dikemukakan
dapat mencungkil pengetahuan sedia ada serta mencetus idea dan imaginasi murid
terhadap seni. Seterusnya melalui penerokaan, murid diberi peluang untuk mencuba, suai
kenal dan menerokai bahan yang disediakan supaya karya yang mereka hasilkan memberi
kepuasan. Contohnya melalui penggunaan bahan untuk teknik resis iaitu oil pastel atau
krayon perlu dicuba terlebih dahulu sebelum menghasilkan sesuatu karya. Melalui
penghasilan karya, guru harus memastikan tatacara, langkah dan proses membuat corak
batik yang betul. Apresiasi pula merupakan langkah akhir yang penting dalam pendidikan
seni visual. Aspek ini melibatkan aspek bahasa yang berkaitan dengan istilah seni seperti
sifat garisan, jalinan, warna, ton dan rupa bentuk yang terdapat pada corak batik yang
mereka hasilkan. Disamping itu, peranan guru juga perlu memastikan perasaan,
penghargaan dan refleksi diri berlaku dalam kalangan murid selepas aktiviti pengajaran dan
pembelajaran psv.
Penggunaan pendekatan inkuiri juga menggalakan pembinaan ilmu pengetahuan yang
baru dalam kalangan murid dan menyebabkan sesi pembelajaran menyeronokkan.
Contohnya diakhir pembelajaran, guru menyuruh murid menghasilkan fail kertas yang
bercorak batik daripada karya yang mereka hasilkan. Persaingan yang sihat dan pemikiran
secara kritis serta kreatif dapat diwujudkan apabila murid memikirkan cara untuk
menghasilkan fail kertas yang cantik bercorak batik. Pendekatan inkuiri ini adalah bertepatan
dengan teori Konstruktivisme yang diasaskan oleh John Dewewy. Menurut John Dewey
(1952), menyatakan bahawa pelajar akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima
dengan pengetahuan yang sedia ada untuk membina pengetahuan yang baru. Selain itu,
pembelajaran dan pengajaran berdasarkan konstruktif ini dilihat sebagai menyeimbangkan
peranan guru dan pelajar untuk saling bersandar di antara satu sama lain.
2.4 Aplikasi Strategi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran PSV
Dalam bidang Mengenal Kraf Tradisional, terdapat 2 strategi yang dikesan iaitu
pembelajaran kontekstual dan pembelajaran secara konstruktivisme. Pembelajaran
kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman
harian individu, masyarakat, dan alam pekerjaan. Teori ini menggalakkan pendidikan
memilik atau mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangkumi pelbagai
pengalaman sama ada dalam konteks sosial, budaya, fizikal atau psikologi untuk
mendapatkan hasil pembelajaran yang dihasratkan. Dalam pembelajaran kontekstual,
pengajaran dan pembelajaran perlu melalui empat proses iaitu proses motivasi,
pemahaman, aplikasi, dan refleksi. Langkah pertama guru harus menjadikan pengajaran
sebagai satu pengalaman yang berjaya melalui hasilan projek contohnya projek
menghasilkan fail kertas yang bercorak batik. Kedua, guru mengaitkan prinsip pembelajaran
dengan dunia pekerjaan dengan mencadangkan murid agar menjadi fail bercorak batik
sebagai barangan untuk dijual. Ini tidak langsung mewujudkan elemen keusahawanan
dalam kalangan murid. Langkah ketiga, murid mengaitkan pembelajaran kraf tradisional
batik dengan pekerjaan atau kehidupan harian dan belajar secara bekerjasama melalui
aktiviti berkumpulan. Kesannya, objektif pembelajaran tercapai apabila penguasaan
terhadap kaedah membuat batik dapat dipelajari dan murid dapat memahami perkaitan
antara teori pembelajaran disampaikan dengan amalan yang mereka ingin lakukan.
Strategi yang seterusnya ialah pembelajaran secara konstruktivisme yang diasaskan
oleh John Dewey. Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru
harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada diri mereka. Buktinya melalui
usaha guru yang menggalakan murid bertanyakan soalan atau mengemukakan idea dan
menggunakannya sebagai panduan merancang pembelajaran melalui contoh set induksi
diawal pembelajaran dengan menggunakan contoh kain batik sarung. Pembelajaran
koperatif atau dialog antara guru dan murid membolehkan murid membuat perkaitan dengan
pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan yang baru mengenai cara membuat
batik melalui teknik resis. John Dewey mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina
pengalaman secara berterusan. Penyertaan murid di dalam kelas menjadikan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran menyeronokkan dan perkongsian maklumat dan
pengetahuan dapat direalisasikan serta penghasilan kraf tradisional dapat dijadikan amalan
dalam diri murid.
3.0 KESIMPULAN
Pengajaran dan pembelajaran yang sistematik dalam pendidikan seni visual merangkumi
kaedah, teknik, pendekatan dan strategi yang sesuai supaya ia menyeronokkan serta hasil
dan objektif pengajaran dapat dicapai. Oleh itu penyediaan Rancangan Pengajaran Harian
(RPH) sudah menjadi kewajipan oleh setiap guru dalam merangka panduan yang
bersesuaian untuk diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran. Para guru
seharusnya bijak menggunakan kemahiran mengajar berpandukan elemen-elemen tersebut
untuk menarik minat pelajar untuk menimba ilmu pengetahuan seperti yang terdapat dalam
sukatan pelajaran yang ditetapkan. Para guru juga seharusnya memainkan peranan penting
dalam menyusun proforma atau rancangan pengajaran supaya setiap sukatan dipelajari
oleh pelajar dengan jayanya. Hal ini bermakna para guru tidak seharusnya hanya mengajar
bermatlamatkan untuk menghabiskan silibus semata tanpa menghiraukan hasil yang
diterima pelajar. Seharusnya, sukatan pelajaran perlu dihabiskan seiring dengan pelajar
dapat memahami dan menjadi pakar dalam setiap silibus yang telah dipelajari.
Para guru juga seharusnya bijak mengawal atau mengetahui keadaan serta keperluan
semasa pelajar agar proses pengajaran dan pembelajaran tidak akan dilaksanakan dalam
keadaan bosan. Para guru seharusnya menggunakan kemudahan teknologi (TMK) seperti
pertunjukan video, atau memasang lagu diawal kelas atau penghujung kelas agar murid
tidak merasa bosan dan supaya mereka berasa seronok. Kesimpulannya, para guru
seharusnya mengaplikasikan setiap teknik, pendekatan, kaedah mahupun strategi yang
terkini dan berkesan untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat
dilaksanakan demi mencapai matlamat yang terkandung dalam dasar pendidikan negara.