Post on 25-Oct-2020
1
HIBAH DAN HADIAH: HUKUM, PROSEDUR DAN PENGALAMAN DI MALAYSIA
Mohd Faiz bin Adnan
Peguam Syarie, Tetuan Faiz Adnan & Associates
Siti Shamsiah Md Supi
Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat SYARAK, IKIM
Pendahuluan
Hibah ialah satu instrumen yang penting dalam perancangan harta menurut Undang-undang
Syariah. Mekanisme ini sempurna apabila berlakunya pemberian harta atau pindah milik satu-
satu harta pada ketika pemilik harta masih hidup. Pendekatan ini berbeza dengan wasiat yang
hanya akan berkuat kuasa selepas kematian pemilik harta, dan dilakukan tanpa
mengharapkan balasan daripada penerima harta tersebut.
Sehubungan dengan hal ini, sekiranya instrumen ini dilakukan dengan bijak dan betul,
serta selari dengan prinsip-prinsip syarak, ia boleh memberi kebaikan, menjaga kepentingan
atau maslahah serta dapat membantu kaum kerabat yang mempunyai keperluan tertentu.
Lanjutan daripada itu, dengan pelaksanaan yang bijak, ia boleh mengelakkan daripada
berlakunya pelbagai konflik, pertikaian dan perebutan harta selepas berlakunya kematian
pemilik harta berkenaan.
Walau bagaimanapun, sesetengah orang menganggap bahawa melakukan hibah
telah menyalahi ketetapan hukum Islam kerana faraid dan wasiat telah pun disediakan dalam
syariah. Tanggapan ini sebenarnya tidak tepat kerana instrumen ini juga mempunyai peranan
yang tersendiri menurut syariah dalam pengurusan harta. Sebagaimana ia telah diberi fokus
dan kedudukan yang tersendiri dalam Islam.
2
Konsep: Hukum dan Pensyariatan Hibah
Hibah dari sudut bahasa bermaksud pemberian ini sama ada dalam bentuk ain (benda/fizikal)
atau manfaat. Perbincangan mengenai hibah turut merangkumi hadiah dan juga sedekah.
Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai pengertian yang hampir sama. Perbezaan yang
terdapat pada ketiga-tiganya boleh dilihat dari sudut tujuan perbuatan memberi sesuatu
barang atau perkara.
Dalam hal ini sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mengeratkan
hubungan dengan Allah SWT dan mendapat pahala di akhirat. Biasanya sedekah merupakan
pemberian kepada golongan yang tidak bernasib baik. Sementara hadiah pula ialah
pemberian untuk memuliakan seseorang, berkasih-sayang dan mengukuhkan silaturahim.
Sebagai rumusannya, setiap sedekah dan hadiah ialah hibah, tetapi bukan semua hibah itu
merupakan sedekah atau hadiah.
Hibah dari sudut istilah pula bermakna pemindahan hak milik atas suatu benda tanpa
ganti, atau ada tukar ganti (Hj. Ahmad Muhammad Abd. Ghaffar, 2005: 63). Dari sudut syarak,
Sayyid Sabiq berpandangan hibah merupakan suatu akad yang tujuannya adalah
memberikan hak milik suatu harta daripada tuannya (pemiliknya) kepada pihak lain semasa
hidupnya tanpa apa-apa ganti (Sayyid Sabiq, 1995).
Dari segi hukum, hibah merupakan amalan sunat yang digalakkan Islam terutama
sekali kepada kaum keluarga terdekat. Galakan ini boleh dilihat dalam dalil-dalil al-Quran,
3
Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah adalah
sebagaimana ayat empat Surah an-Nisaa’ yang bermaksud:
“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mahar-mahar mereka
sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya
memberikan kepada kamu sebahagian daripada mahar mereka, maka
makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang
lazat, lagi baik kesudahannya.”
Begitu juga dalam ayat 177 Surah al-Baqarah Allah SWT berfirman, “...dan
mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, -
kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan
orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang
meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi...”
Rukun dan Syarat Hibah
Sebagaimana instrumen pengurusan harta yang lain. Hibah juga mempunyai rukun yang
tersendiri sebagaimana yang berikut (as-Syarbini al-Khatib, 397):
1. pemberi hibah (wahib) dan penerima hibah (mawhub lahu),
2. barang/barangan yang hendak dihibahkan, dan
3. ijab dan qabul antara pemberi dengan penerima.
Sebagai pemberi, ia perlulah melepasi syarat-syarat yang berikut, iaitu:
1. pemilik sah dan mutlak barang yang hendak dihibahkan,
2. sui juris yakni mukalaf (berakal dan baligh),
3. matang dan cerdik (rushd),
4. tidak dihalang atau ditegah daripada menguruskan harta sendiri,
4
5. mempunyai kemampuan untuk melakukan untuk menguruskan harta, dan
6. melakukan hibah secara sukarela tanpa tekanan atau paksaan mana-mana
pihak.
Bagi penerima (mawhub lahu) pula tidak syaratkan dengan syarat-syarat tertentu
tetapi ia mestilah benar-benar wujud. Lanjutan daripada hal ini, tidak boleh membuat hibah
kepada janin atau bayi yang berada di dalam kandungan, atau individu yang telah meninggal
dunia. Bagi penerima yang masih di bawah umur atau tidak sempurna akal, hibah
memerlukan pelantikan wakil atau penjaga bagi pihaknya untuk menerima barang tersebut.
Sementara syarat-syarat barang (juga barangan) yang hendak dihibahkan itu pula
ialah:
1. kewujudan barang tersebut jelas,
2. halal, bernilai dan ada manfaat,
3. mestilah daripada hak milik penghibah (barang tersebut benar-benar berada
dalam penguasaan pemilik harta),
4. harta yang dihibahkan tidak bercampur dengan harta pemilik. Contohnya pokok-
pokok dan bangunan yang tidak termasuk tanah.
Manakala ijab dan qabul dalam hibah adalah sebagai lafaz atau perbuatan yang
membawa maksud kepada pemberian atau hibah. Dalam hal ini menurut Mazhab Maliki dan
Shafi’i penerimaan (qabul) mestilah diambil kira dalam menentukan keesahan hibah.
Sementara itu Mazhab Hanafi pula berpendapat ijab sahaja sudah pun memadai untuk
menentukan pelaksanaan hibah.
5
Terdapat satu lagi elemen dalam instrumen hibah, iaitu al-qabd. Al-qabd bermaksud
tindakan penerima hibah dalam menerima serahan oleh pemilik harta dengan memegang dan
menguasai barang tersebut dan menjadikan barang itu sebagai harta miliknya. Sebagai
contoh, harta tidak alih seperti rumah dan bangunan tertentu telah qabd apabila berlaku
penyerahan kunci. Penyerahan kunci bermakna pemilik harta telah melepaskan hak mutlak
beliau (Jurnal Hukum, September 2010: 81).1 Dalam Majallah al-Ahkam al-Adliyah Fasal 837
telah memperuntukkan bahawa, “hibah berlaku dan sah dengan ijab dan qabul dan ia menjadi
sempurna dengan qabd.”
Dalam kes Amirul Syafiq Mohd Noor Ezanie & 1 org lagi lawan Razali bin Samsudin &
1 org lagi, dalam Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan (Jurnal Hukum, 1437H:
29). Surat Ikatan Hibah telah dibuat oleh si mati kepada Perayu 1 dan 2 ketika itu masing-
masing berumur 15 dan 13 tahun. Sebelum kematian si mati, beliau selalu berpesan akan
membuat pindah milik hartanah yang menjadi subjek dalam hibah yang dibuatnya apabila
masing-masing berumur 18 tahun. Dalam kes ini mahkamah telah membuat keputusan
bahawa qabd dikira telah berlaku dengan izin pemberi, walaupun dalam keadaan hasil diambil
oleh si mati.
Prosedur dan Aplikasi Hibah: Pengalaman di Malaysia
Sebagaimana yang kita maklum, sama ada hibah, hadiah dan juga sedekah sebenarnya
sudah menjadi budaya kepada masyarakat Islam di negara ini. Tinggal sahaja lagi persoalan
1 Rujukan kes lain: Jariah binti Yahya dan 3 yang lain lawan Nor Haisah binti Harun.
6
yang timbul di sini, bagaimanakah pelaksanaan hibah oleh mana-mana individu diurus agar
ia menjadi hibah yang sah?
Punca Bidang Kuasa Mahkamah Syariah
Dari sudut realiti di Malaysia, masih belum ada lagi sebarang peruntukan atau undang-undang
yang khusus dikanunkan mengenai hibah. Hal ini bermakna Dewan Perundangan Negeri dan
Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) tidak pernah meluluskan sebarang statut
khusus mengenai hibah orang Islam untuk dilaksanakan di Mahkamah-mahkamah syariah.
Setakat yang ada sehingga kini hanyalah peruntukan yang menjelaskan tentang bidang kuasa
mahkamah dalam Butiran 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan terbabit menunjukkan bahawa hibah adalah sebahagian daripada perkara
yang diletakkan di bawah pentadbiran agama Islam di setiap negeri, dan secara langsung hal-
ehwal mengenainya terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah. Sehubungan dengan
itu, Seksyen 46(2)(b)(v) dan (vi), Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1993 (Akta 505) memperuntukkan bahawa:
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan
dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang
berhubungan dengan-
(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;
(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang
memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;...
Dalam hal ini, penggunaan perkataan “alang” sama ada semasa marad al-maut atau
semasa hidup dan “penyelesaian yang dibuat tanpa balasan” adalah merujuk kepada hibah
7
atau pemberian. Penggunaan perkataan yang sama dapat dilihat di negeri-negeri lain seperti
Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Perak, Kedah, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, Negeri Sembilan menggunakan perkataan “hibah”, manakala Pahang dan
Perlis menggunakan perkataan “pemberian” dan Kelantan menggunakan perkataan “alang
hayat.”
Daripada peruntukan di atas, kita mendapati bahawa mahkamah tinggi syariah bukan
sahaja berbidang kuasa terhadap pelaksanaan hibah, malah turut berbidang kuasa terhadap
hibah semasa marad al-maut. Di sini, marad al-maut boleh difahami sebagai sebarang
penyakit yang membawa maut, atau berkemungkinan tinggi membawa maut, dan mempunyai
tanda penyakit serius. Selanjutnya, kes-kes hibah di mahkamah-mahkamah syariah di
Malaysia selalunya melibatkan pengesahan hibah, pertikaian takat atau kadar hibah dan
penarikan balik hibah.
Dalam kes Harun bin Muda dan Lain-lain lawan Mandak binti Mamat dan Lain-lain
(Jurnal Hukum, 1999: 63) melibatkan kes pertikaian takat hibah yang dikemukakan oleh
plaintif ke atas sebidang tanah. Tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh plaintif antara lain, untuk
mengesahkan bahawa tanah tersebut sebagai pemberian hibah si mati (Muda bin Tahir)
kepada mereka. Di samping itu, tuntutan juga dibuat supaya mahkamah mensabitkan bahawa
tanah itu menjadi milik sah plaintif menurut takat yang telah disebutkan. Dalam keputusannya,
Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah membuat keputuskan bahawa tuntutan plaintif-
plaintif mengenai takat keluasan masing-masing yang dinyatakan di atas tanah tersebut
adalah benar, dan mahkamah telah berpuas hati terhafap kebenaran tuntutan itu dan
memberikan keputusan bahawa hibah si mati kepada plaintif-plaintif telah sabit. Dalam kes ini
8
juga, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu berpendapat bahawa hibah telah pun sempurna
dalam keadaan qabul berlaku secara perbuatan, iaitu selepas berlakunya ijab harta itu telah
dimajukan atau diusahakan atau dimanfaatkan oleh plaintif.
Sementara dalam kes Eshah binti Abdullah dan Lima Yang Lain lwn Che Aminah binti
Abdul Razak dan Dua Yang Lain (Jurnal Hukum, 2004: 47). Isu yang timbul adalah, sama ada
qabul perlu disyaratkan secara terang dan jelas selepas pemberian, atau cukup dengan
qarinah-qarinah lain yang membuktikan adanya penerimaan. Dalam kes ini, pemberi hibah
telah meninggal dunia dan tidak ada sebarang bukti tentang penarikan balik hibah.
Pelaksanaan hibah tersebut juga telah disaksikan oleh saksi-saksi, namun bangunan yang
dipertikaikan sebagai harta hibah masih menggunakan nama si mati. Mahkamah Rayuan
Syariah Terengganu telah menerima rayuan yang dibuat oleh perayu-perayu berdasarkan
qarinah penerimaan daripada penerima, dalam keadaan ketiga-tiga penerima hibah mengaku
bahawa mereka telah menerima hasil sewaan bangunan tersebut sejak si mati masih hidup.
Berdasarkan keterangan kes-kes yang disebutkan ini juga kes-kes lain yang
membicarakan hibah, rumusannya ialah sesuatu hibah boleh dicabar di mahkamah syariah,
tidak kira sama ada ia dibuat secara lisan atau didokumentasikan secara bertulis oleh peguam
tertentu atau orang perseorangan. Walau bagaimanapun hibah hanya boleh dicabar atau
dipertikaikan dari sudut keabsahannya mengikut hukum syarak, atau jika terdapat waris yang
tidak bersetuju dengan kandungan hibah itu selepas kematian pemberi hibah.
Kes-kes yang dinyatakan ini telah pun dapat menjelaskan bahawa mahkamah syariah
mempunyai bidang kuasa terhadap kes-kes hibah. Mungkin terdapat persoalan sama ada
9
bidang kuasa dalam membicarakan kes hibah ini hanya dimiliki secara eksklusif oleh
mahkamah syariah sahaja atau ia turut dikongsi oleh mahkamah sivil (Naziree bin Md Yusof,
2006: 47). Maka dalam hal ini perkara yang perlu ambil perhatian ialah bidang kuasa
mahkamah syariah yang mempunyai kuasa untuk menentukan status keabsahan hibah;
penentuan takat bahagian; dan penarikan (pembatalan) hibah. Jika terdapat isu-isu lain
diketengahkan, maka isu tersebut tetap tidak boleh menafikan bidang kuasa mahkamah
syariah terhadap kes hibah. Dengan kata lain, mahkamah syariah hendaklah dirujuk untuk
menentukan status hibah tersebut dari sudut Undang-undang Islam. Setelah itu barulah ruang
diberi kepada mahkamah sivil bagi membicarakan kes tersebut.
Hibah Sementara: Konsep ‘Umra dan Ruqba
Hibah sementara ialah pemberian seperti hibah biasa tetapi melibatkan tempoh masa yang
tertentu. Terdapat dua jenis hibah sementara iaitu hibah ‘umra dan hibah ruqba.
Hibah ‘umra ialah pemberian semasa tempoh hayat penerima faedah hibah dengan
syarat harta tersebut dipulangkan kepada pemberi hibah (al-wahib), sekiranya berlaku
kematian penerima hibah dalam keadaan pemberi hibah masih hidup. Atau dengan
perkataan lain, penerima hibah boleh memanfaatkan harta hibah selama mana pemberi hibah
masih hidup dan/atau penerima hibah masih hidup. Hibah ‘umra juga akan mengembalikan
harta hibah kepada waris pemberi hibah. Contohnya pemberi hibah berkata, “Aku hibahkan
rumah itu untuk kamu sementara aku atau kamu hidup. Kalau aku mati, rumah itu jadi pusaka
untuk waris aku. Kalau kamu mati dulu, rumah itu jadi milik aku kembali.”
10
Manakala hibah ruqba pula dilaksanakan dengan syarat yang meletakkan keadaan
begini, apabila berlaku kematian salah seorang daripada pemberi atau penerima hibah (al-
mawhub lahu), maka yang hidup akan memiliki harta tersebut. Atau dengan perkataan lain,
pemberi hibah mensyaratkan bahawa harta hibah hanya diberikan kepada penerima hibah
selepas pemberi hibah meninggal dunia. Jika penerima hibah meninggal terlebih dahulu
sebelum pemberi hibah, maka harta hibah akan kembali kepada pemberi hibah. Contoh hibah
ruqba adalah sebegini, “Aku hibahkan rumah itu kepada kamu. Tetapi kamu akan dapat rumah
itu lepas aku mati. Kalau kamu mati dulu, rumah itu jadi rumah aku, bukan milik waris kamu.”
Dari sudut hukum, menurut Mazhab Shafi’i dan Hambali hibah ‘umra dan ruqba adalah
sah, dan syarat-syarat yang diletak adalah terbatal. Manakala Mazhab Maliki dan Hanafi
mengatakan bahawa hibah ‘umra dan ruqba adalah sah yang turut memberi maksud ia
merangkumi syarat-syarat yang diletakkan.
Dalam Kes Rafizah bt Abd Karim lawan Kamar bin Ab Karim dan Empat Defendan
yang lain, ibu plaintif yang bernama Lamah binti Sa’at telah meninggal dunia pada 15 Mei
2011. Plaintif dalam tuntutannya menyatakan bahawa ketika hayat ibunya, beliau telah
membuat hibah secara bertulis melalui dokumen perisytiharan harta pada 20 Januari 2011
dengan menyatakan dalam dokumen tersebut bahawa harta yang dihibahkan menjadi
kepunyaan penerima hibah iaitu plaintif setelah ibu plaintif meninggal dunia. Dalam kes ini,
plaintif telah memohon supaya mahkamah mengesahkan hibah yang dibuat oleh ibunya itu,
Lamah binti Sa’at. Mahkamah telah mendapati bahawa terdapatnya isu hibah ruqba kerana
dalam lafaz yang diucapkan ketika akad hibah ia dikaitkan dengan kematian salah satu pihak.
Hakim dalam kes ini telah merujuk keputusan Majlis Penasihat Suruhanjaya Syariah yang
11
mengharuskan hibah ruqba dilakukan dalam pelaksanaan borang akuan hibah untuk
transaksi yang melibatkan akaun bersama Tabung Unit Amanah bagi akaun yang dipegang
oleh orang Islam. Maka hakim memutuskan bahawa hibah berkenaan adalah hibah ruqba
yang berlaku antara pemberi hibah dan penerima hibah melalui dokumen pengisytiharan
hibah, dan hibah berkenaan adalah sah (Nurul Syuhadah binti Azalan & Noor Lizza binti
Mohamed Said, 2016).
Hibah Bersyarat atau Pindah Milik Harta selepas Kematian Pemberi Hibah
Dalam kalangan orang yang berharta ada yang berhasrat untuk menghibahkan harta mereka
kepada anak-anak dan orang-orang yang dikasihi. Namun, ada juga yang rasa ragu-ragu
untuk terus menyerahkan hak pemilikan harta kepada mereka yang berkenaan. Perasaan
ragu-ragu itu mungkin disebabkan oleh perasaan tidak selamat (insecure) atau tidak sanggup
melihat harta yang dihibahkan akan disalahgunakan. Selain itu, ada kalanya pemberi hibah
teragak-agak untuk memindahkan hak milik harta tersebut ketika hidup kerana bimbang akan
dipinggirkan oleh penerima hibah setelah menerima harta tersebut.
Oleh yang demikian, maka satu bentuk produk hibah diwujudkan dengan meletakkan
syarat pengambil milikan cuma akan berlaku setelah kematian pemberi hibah (Naziree bin Md
Yusof, 54-56). Walaupun pada dasarnya umum memaklumi bahawa pemberian hibah akan
berkuat kuasa semasa hayat pemberi, namun hibah yang diletakkan syarat dengan
menggunakan mekanisme pemegang amanah boleh dilihat sebagai jalan penyelesaian
kepada kemungkinan-kemungkinan perkara yang tidak diingini untuk berlaku.
12
Dalam mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan
kali ke-56 pada 5 Oktober 2000 memutuskan bahawa peletakan syarat adalah dibenarkan
antara pemberi dan penerima hibah setelah berlaku ijab dan qabul. Begitu juga dengan
keputusan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti dalam Mesyuarat ke-44 pada
15 Januari 2003 yang menerima pakai prinsip hibah ruqba sebagai asas syariah dalam
pelaksanaan borang akuan hibah untuk transaksi yang melibatkan akaun bersama tabung
unit amanah, terutamanya akaun yang dipegang oleh orang Islam.
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa suatu undang-undang yang khusus berkaitan
dengan pemberian hibah dan pentadbirannya amat diperlukan. Dengan adanya undang-
undang yang khusus, ia dapat mengurangkan kekeliruan yang timbul dalam kalangan mereka
yang berkepentingan termasuk masyarakat awam. Selain itu juga, jika undang-undang yang
khusus untuk hibah digubal atau diperuntukkan, ia juga akan dapat menambahkan serta
meninggikan wibawa dan kredibiliti mahkamah syariah dalam membicarakan kes-kes yang
berkaitan dengan hibah.
Sehubungan dengan itu juga, pada masa yang sama, ia boleh menjadi panduan
kepada masyarakat yang berhasrat untuk membuat hibah secara peribadi secara
berdokumentasi agar pelaksanaan hibah itu dibuat lebih sempurna. Atau dengan kata lain,
lama-kelamaan masyarakat awam dapat menguruskan harta mereka dengan cara yang lebih
teratur dan kemas.
13
Hibah Amanah
Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa hibah adalah pemberian harta atau
barangan yang dibuat atas dasar kasih sayang kepada seseorang tanpa balasan. Selanjutnya
harta hibah diberi dan diterima semasa hayat kedua-kedua belah pihak, iaitu penghibah dan
penerima hibah. Menariknya instrumen ini boleh digabungkan dengan konsep amanah yang
menerbitkan produk hibah amanah.
Dalam Surah an-Nisaa’ ayat 58, Allah SWT berfirman yang bermaksud,
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya
(yang berhak menerimanya).” Manakala dalam Surah al-Anfaal ayat 27 Allah SWT berfirman
dengan maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan kamu mengkhianati Allah
dan Rasul-Nya, dan jangan kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu
mengetahui.” Berdasarkan konsep amanah, harta yang terlibat dalam hibah amanah akan
dipegang oleh pemegang amanah untuk tempoh yang dipersetujui sebelum ia diserahkan
kepada penerima hibah sepenuhnya.
Dalam Islam, pelantikan pemegang amanah biasanya wujud dalam bentuk agensi
(wakalah), iaitu apabila seseorang itu memberikan kuasa kepada orang lain untuk
menggantikannya bagi menjalankan hak-hak sivil. Pelantikan pemegang amanah juga boleh
dibuat melalui wisoyah yang merujuk pelantikan atau kepercayaan terhadap seseorang
untuk mentadbir harta pusaka si mati dan harta anaknya yang masih kecil selepas
kematiannya. Dalam kes wisoyah, seseorang wasi yang dilantik akan mentadbirkan apa-apa
14
harta yang menjadi milik anak si mati yang masih kecil selepas kematiannya. Maka, had
berkenaan dengan wasiat kepada ahli waris dan wasiat tidak lebih daripada 1/3 tidak
terpakai dalam kes ini.
Amanah juga wujud dalam bentuk wadi’ah yang membolehkan seseorang menyimpan
harta atau aset yang dimilikinya atas nama orang lain bagi tujuan keselamatan. Di Malaysia,
majlis agama Islam bagi setiap negeri dilantik sebagai pemegang amanah tunggal bagi harta
wakaf. Pelantikan tersebut dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang yang
membatalkan semua pelantikan pemegang amanah, kecuali pihak majlis agama Islam.
Hibah amanah dalam Islam hanya wujud dalam kes hibah kepada yang bukan
mukalaf seperti kanak-kanak ataupun orang gila (Dr. Mustafa al-Khin). Seseorang perlu
menerima hibah tersebut bagi pihak kanak-kanak atau orang gila tersebut, dan secara tidak
langsung mentadbir dan menguruskan harta tersebut sebagai pemegang amanah. Dalam hal
ini seseorang akan dianggap sebagai dewasa apabila mencapai umur 18 tahun.
Apabila seseorang kanak-kanak telah mencapai umur dewasa, maka harta tersebut
akan dipindahkan kepada kanak-kanak berkenaan. Pada waktu itu, pemegang amanah akan
bebas daripada tugasnya menguruskan dan mentadbir harta amanah (Rujuk Seksyen 2 Akta
Umur Majoriti 1971). Di bawah ini dinyatakan prosedur penting dalam pengurusan hibah dan
hibah amanah.
15
Prosedur Pertama: Rukun dan Syarat Hibah Yang Sempurna
Prosedur Kedua: Surat Ikatan Amanah
PENGHIBAH PENERIMA
IJAB ASET QABUL
Saya hibah serta menyerahkan milikan
harta ini kepada kamu dan saya izinkan kamu mengambil milikan
• Hartanah • Tunai • Saham • Kenderaan • Harta-harta lain
Saya menerima hibah nama si pemberi serta
mengambil milikan
SAH HIBAH TERSEBUT SAKSI 1 & SAKSI 2
PENERIMA PEMEGANG AMANAH PENGHIBAH
SETUJU MELANTIK PEMEGANG AMANAH DAN
MELETAKKAN SYARAT
PELETAKAN SYARAT RUQBA & UMRA
SYARAT DIMAKTUB DALAM SURAT IKATAN AMANAH
SKIM PEMBAHAGIAN ASET
ASET
SETUJU MELANTIK PEMEGANG AMANAH
16
Carta Aliran Proses Hibah Amanah
Terima Permohonan
Penyemakan skim pembahagian, syarat dan pembatalan
Carta di atas menunjukkan carta aliran proses pengurusan harta secara hibah yang
“normal” yakni tiada sebarang konflik yang wujud. Walau bagaimanapun, perkara yang
menjadi pertikaian di mahkamah adalah apabila pemberi, penerima atau salah seorang
daripada mereka meninggal dunia, dan waris kemudiannya membuat tuntutan pengesahan
hibah itu di mahkamah dan pihak defendan tidak wujud. Dalam hal ini, menjadi kewajipan
kepada pihak yang menuntut untuk membuktikan kewujudan hibah tersebut. Di sini, persoalan
Khidmat nasihat Pengesahan penghibah, penerima dan aset hibah Bincang Skim Pembahagian, peletakan Syarat dan lain-
lain
Persetujuan pihak-pihak Sesi tandatangan Bayaran fi trustee Perlaksanaan borang pindah milik
Matikan setem dan daftar aset hibah
Pendaftaran aset tak alih di pejabat tanah Pendaftaran aset alih di institusi berkaitan
Pemegang amanah sebagai tuan punya
aset hibah
Dokumen penting disimpan dengan selamat Salinan sighah, surat ikatan amanah dihantar ke
penghibah
Kematian penghibah mengikut syarat umra
Pemegang amanah menerima arahan penerima Melaksanakan pindah milik kepada penerima
Kematian penerima mengikut syarat ruqba
Menerima arahan penghibah
Melaksanakan pindahmilik kepada penghibah
17
Proses untuk hibah amanah (minimum 6 bulan)
Proses untuk hibah (kurang daripada sebulan)
akan timbul, sama ada pemberi hibah telah menyatakan dalam aqadnya kepada penerima
serta disaksikan oleh yang mendengar hibah tersebut. Kebiasaannya, apabila situasi begini
berlaku, keterangan mengenai akad ini adalah panjang dan rumit.
Bagi mengelakkan sebarang konflik daripada berlaku maka pihak-pihak disarankan
untuk mendapatkan khidmat peguam syarie bagi menderafkan satu perjanjian akad hibah
untuk disemak oleh pihak-pihak berkenaan. Pihak peguam juga seterusnya akan
menyediakan dokumentasi yang diperlukan pelanggan dengan mudah, lancar malah
mengikut peraturan undang-undang dan hukum syarak. Pada masa kini, perakuan dan
dokumen hibah juga turut boleh dibuat dan dilaksanakan melalui organisasi-organisasi
penyedia dokumen hibah dan pengurusan harta orang Islam. Antaranya ialah Hibah Amanah
Tabung Haji, Amanah Raya dan As-Salihin Trustee.
Prosedur Pengurusan Hibah dan Hibah Amanah di Pejabat Tanah
Borang 14A + Surat ikatan dokumen Bawa geran Resit cukai tanah
bayar cukai taksiran di Lembaga Hasil
matikan setem
daftar di Pejabat Tanah
Nota: Surat ikatan dokumen yang diperlukan boleh dilakukan/dibuat sendiri oleh pihak pemberi hibah yang
kemudiannya disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah. Perkhidmatan peguam syarie juga boleh diguanakan untuk
pengurusan dokumen surat ikatan amanah tersebut yang kemudiannya akan dibawa ke mahkamah bagi tujuan
pengesahan (endorsement).
Apa yang perlu dilakukan untuk proses hibah di
Pejabat Tanah
18
Dalam hal pengurusan hibah dan hibah amanah di pejabat tanah, fungsi pejabat tanah
adalah dalam urusan pendaftaran sahaja. Perkara-perkara lain diuruskan oleh pemberi
hibah/pemegang amanah sendiri. Untuk harta hibah yang melibatkan tanah rezab, ia perlu
ditanda tangan di pejabat tanah, manakala tanah biasa pengendorsan boleh dibuat di
mahkamah sahaja. Kebiasaannya, hibah amanah ini adalah untuk penerima hibah yang
masih belum cukup umur, ataupun sekiranya tanah yang hendak dihibahkan itu berkeluasan
kecil. Contohnya di bawah satu ekar. Hibah amanah (“helah” seperti dinyatakan oleh pihak
pejabat tanah) ataupun sebenarnya terma yang tepat adalah bersyarat, juga perlu menjalani
prosedur yang sama. Cuma tempoh masa pengurusan yang diperlukan adalah lebih lama.
Isu: Hibah Hartanah Yang Masih dalam Hutang Bank atau Gadaian
Untuk menghibahkan hartanah yang dimiliki secara sempurna cara yang paling mudah dan
lancar adalah dengan mencari perunding pewarisan harta pusaka yang akan menyediakan
dokumen hibah dan kemudiannya mendapatkan pengesahan mahkamah. Tindakan yang
terbaik selepas itu adalah dengan membuat penukaran penama dalam geran hartanah
tersebut. Walau bagaimanapun, persoalannya, adakah hibah boleh dilaksanakan dalam
situasi sebegini? Sekiranya boleh, bagaimana ia dilaksanakan?
Dalam Kitab Kifayatul Akhyar menyebutkan bahawa, “Tidak boleh menghibahkan
barang yang sedang dalam gadaian” (Imam Taqiyuddin Abu Bakar, 729). Manakala al-
Sharbini pula menyebut, “Tidak memiliki akan benda yang dihibah itu melainkan dengan izin
daripada yang memberinya.”
19
Dalam kes Raihanah Mohd Ali lawan Kamarudin, mahkamah telah menolak
permohonan plaintif untuk mengesahkan hibah yang dibuat terhadap harta dalam cagaran
perbendaharaan negara malaysia atas alasan tiada keterangan yang menunjukkan telah
diperolehi daripada pihak tersebut bagi membolehkan harta tersebut dihibahkan. Selanjutnya
dalam kes ini, jika ada keizinan maka hibah berkenaan adalah sah.
Keadaan rumah yang masih berada dalam hutang bank sebenarnya menyentuh rukun
hibah, iaitu merujuk rukun barang yang hendak dihibahkan (mawhub) dengan barang tersebut
benar-benar berada dalam penguasaan pemilik harta. Persoalan di sini, bolehkah rumah
yang masih lagi dalam cagaran bank dihibahkan?
Secara ringkas, Mazhab Shafi’i dan Hambali menganggap hibah hartanah bercagar
adalah tidak sah. Hal ini kerana ia berkait rapat dengan persoalan pemilikan harta pemberi
hibah, iaitu dikategorikan sebagai pemilikan tidak sempurna (milk al-naqis). Berbeza pula
dengan pandangan daripada Mazhab Hanafi dan Maliki, hibah harta bercagar masih
dibolehkan dengan syarat mendapat kebenaran pemilik harta tersebut. Oleh sebab terdapat
perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang hibah hartanah bercagar, mahkamah
syariah di Malaysia mempunyai keputusan yang berbeza-beza bagi kes hibah hartanah
bercagar. Ada kes hibah hartanah bercagar yang diterima oleh mahkamah syariah, dan ada
juga yang ditolak.2 Dalam hal ini hakim syarie bebas untuk berijtihad bagi setiap kes yang
dibawa ke hadapan mereka. Maka rumusannya, masih terdapat ruang bagi hartanah terbabit
2 Rujukan beberapa kes hibah pada harta dalam gadaian. Kes Murshida Mustakin lawan Hashim Abdullah, CLJ
(Sya), 1 (2006): 229. Kes Raihanah bt Mohd Ali lawan Kamarudin in Mohd Noor & 3 yang lain, Jurnal Hukum, jil.
26, bhg. 2 (Sept 2008): 253.
20
(boleh diusahakan) untuk dihibahkan dalam keadaan ia masih dalam hutang, tetapi tertakluk
pada budi bicara hakim syarie yang membicarakannya.
Perkara yang penting dalam hal ini ialah, dokumen hibah mestilah disediakan dengan
lengkap dan sempurna. Walau bagaimanapun, rumah yang masih dalam cagaran bank
tersebut mestilah dilindungi dengan Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT)/ Mortgage
Reducing Term Assurance (MRTA) secara penuh (dalam hal ini assurance merujuk kepada
insurans konvensional manakala takaful merujuk kepada insurans Islamik). MRTT adalah
jaminan pembeli/pemilik hartanah kepada pihak bank sekiranya berlaku apa-apa kepada
pembeli, dan hutang rumah tersebut akan diselesaikan. Adalah amat baik sekiranya dokumen
hibah yang dibuat itu, disahkan terus di mahkamah syariah semasa si pemberi hibah masih
hidup lagi. Hal yang demikian bagi mengelakkan daripada berbangkitnya persoalan faraid
harta pusaka daripada waris lain.
Penarikan Balik Hibah
Sesuatu hibah yang telah sempurna rukunnya akan berkuat kuasa serta merta dan tidak boleh
ditarik balik. Jumhur fuqaha tidak mengharuskan penarikan balik hibah bersandarkan sabda
Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan Ibn Umar dengan maksudnya:
“Tidak halal bagi seorang lelaki memberikan sesuatu pemberian atau
menganugerahkan sesuatu kemudian dia memintanya semula kecuali si
bapa meminta semula apa yang diberikan kepada anaknya.” Hadis riwayat
Ahmad dan empat perawi lain dan disahkan oleh Tirmizi, Ibn Hibban dan
al-Hakim (al-Sanani, 1978: 192).
21
Maka adalah jelas bahawa sebarang hibah tidak boleh ditarik balik melainkan hibah
daripada seorang bapa kepada anaknya. Dalam hal ini jumhur fuqaha telah berselisih
pendapat tentang individu (siapa) selain daripada bapa yang mempunyai kedudukan yang
sama iaitu harus baginya untuk menarik balik hibah. Mazhab Shafi’i dan Hanbali pula
berpendapat penarikan balik hibah diharuskan kepada bapa dan usulnya iaitu datuk dan
nenek, begitu juga kepada ibu dan usulnya.
Dalam kes Omar Harun lawan Abdullah Omar (Jurnal Hukum, 2016: 252), isu yang
dibangkitkan adalah tentang dakwaan sama ada berlaku atau tidak penarikan balik hibah.
Dalam keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, mahkamah telah meluluskan dan membenarkan
permohonan plaintif (responden) untuk menarik balik 1/5 bahagian miliknya kepada defendan.
Manakala dalam keputusan Mahkamah Rayuan, mahkamah telah sebulat suara
menerima rayuan perayu dan membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang
membenarkan penarikan balik 1/5 bahagian tanah milik perayu kepada responden dan
membatalkan juga perintah Pentadbir Tanah Jajahan Pasir Mas memindah hak milik perayu
1/5 bahagian tanah. Alasan keputusan mahkamah tersebut ialah, dakwaan seorang yang
mendakwa itu hendaklah terang dan jelas. Dakwaan bahawa responden dipaksa juga tiada
sokongan saksi. Saksi yang dikemukakan ke mahkamah ialah anak kepada responden sendiri
yang tidak boleh diterima kerana ada tohmah (yang membawa manfaat).
Dalam kes Salmiah bt Che Hat lawan Zakaria bin Hashim (Jurnal Hukun, 2001: 79),
bapa boleh menarik balik pemberian atau hibah ke atas anaknya termasuk juga hadiah dan
22
sedekah. Antara syarat yang dibolehkan untuk menarik balik hibah tersebut ialah barang yang
dihibah masih dalam milik anaknya. Oleh yang demikian, ditegah daripada menarik balik
barang yang telah hilang kuasa milik anak seperti dia telah menjualkannya atau diwakafkan.
Kesimpulan
Sebagai rumusan, hibah ialah satu instrumen dan alternatif kepada perancangan harta
seseorang selain daripada menggunakan wasiat dan faraid. Merancang harta melalui kaedah
hibah bukanlah bermakna seseorang individu itu telah menolak fungsi instrumen lain seperti
faraid dan juga wasiat. Bahkan sebenarnya, kepelbagaian mekanisme yang disediakan oleh
syariah telah menjadikan umat Islam mempunyai beberapa alternatif dan masing-masing
boleh membuat pilihan yang terbaik menurut kepada keperluan individu dan realiti semasa.
Hibah mempunyai kedudukan sekali gus peranan yang tersendiri kerana ia sama-
sama disyariatkan oleh syariah sebagaimana instrumen atau kaedah yang lain. Sebarang
pertikaian terhadap hibah biasanya disebabkan ketidakjelasan terhadap kedudukannya,
hukum-hakam serta prosedur mengenainya yang menyebabkan timbulnya persepsi yang
kurang baik terhadapnya. Lebih malang lagi apabila terdapat pihak-pihak mempromosikan
produk hibah tetapi tanpa kefahaman yang benar-benar mencukupi.
Dalam hal ini sudah tentu, yang akan menjadi mangsanya ialah masyarakat awam itu
sendiri yang mendapatkan perkhidmatan daripada mereka. Dalam perkhidmatan tersebut,
pelanggan tidak mendapat perkhidmatan yang wajar dan tepat dalam menguruskan harta
23
mereka, dan ini menyebabkan masalah yang sedia ada tidak selesai malah mungkin menjadi
lebih buruk.
Oleh yang demikian, menjadi keperluan kepada umat Islam untuk mempelajari dan
memahami ilmu dan kemahiran yang berkaitan dengan hibah, termasuk konsep, prosedur
dan kesan hibah, sebelum melaksanakannya dalam pengurusan harta mereka. Penyediaan
dokumentasi hibah seharusnya dibuat oleh pihak yang benar-benar faham seperti kalangan
profesional atau organisasi tertentu yang benar-benar mempunyai pengetahuan dan
beroperasi dalam ruang lingkup peruntukan undang-undang supaya ia dapat berfungsi
mengikut kehendak pemilik harta tersebut. Hibah yang sempurna akan dapat memastikan
harta yang diusahakan dengan jerit perih semasa hidup tidak akan menjadi bahan
pertelingkahan antara kaum keluarga (Rusnadewi Abdul Rashid dan Nor Hisyam Ahmad,
2013: 91-104). Dari satu dimensi, kes-kes berkaitan dengan hibah yang telah diputuskan di
mahkamah turut memberikan pengajaran kepada masyarakat Islam dari pelbagai sudut.
Selanjutnya, pengurusan harta yang sempurna bukan sahaja dapat memberi faedah
kepada pihak-pihak yang terlibat, tetapi juga mampu mengembangkan ekonomi masyarakat
dan negara. Antara kelebihan hibah ini sebenarnya ia dapat mengurangkan lambakan harta
yang tidak dituntut dan diuruskan selepas kematian. Oleh yang demikian, cabaran dalam
prosedur perundangan dan prosedur-prosedur yang berkaitan tidak sewajarnya mematikan
semangat pemilik harta, malah ia harus dilakukan dengan penuh kesedaran demi memastikan
ahli keluarga, waris dan orang-orang yang telah memberi makna dalam kehidupan akan terus
hidup dalam keadaan yang terbela.
24
Rujukan
Akta Umur Majoriti 1971.
Dr. Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugho & Ali asy-Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji: Mazhab al-
Syafie. Terj. Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri & rakan-rakan.
Hj Ahmad Muhammad Abd. Ghaffar. Pengurusan Harta: Pusaka, Wasiat, Hibah, Wakaf.
Kuala Lumpur: Pustaka Syuhada, 2005.
Imam Taqiyudin Abu Bakar. Kitab Kifayatul Akhyar. Jil. Pertama. Surabaya: Bina Aman.
Jurnal Hukum. Jil. XIII, 1, 1999.
Jurnal Hukum, jil. XIV, bhg. 1, 1422H/Jun 2001.
Jurnal Hukum. XVIII, I, 2004.
Jurnal Hukum. Jil. 26, bhg. 2, Sept 2008.
Jurnal Hukum. Jil. 31, bhg. 1, September 2010.
Jurnal Hukum. Jil. 42, bhg. 1, 437H.
Jurnal Hukum, jil. 43 bhg. 2, Disember 2016.
Muhammad bin Ismail al-Sanani. Subul al-Salam. Jil. 3. Cet. Ke-4. Kaherah: Dar al-
Rayyan li al-Turath, 1978M/1407H.
Naziree b. Md. Yusof. “Hibah dan Aplikasinya di Malaysia.” ShLR. 2006.
Nurul Syuhadah binti Azalan & Noor Lizza binti Mohamed Said. “Keputusan Hakim Syarie
dalam Kes-kes Pengesahan Hibah Ruqba.” Journal of Contemporary Islamic Law. Vol.
1(2), 2016. http://www.ukm.my/jcil/wp-content/uploads/2017/07/JCIL-2016-1-2-Article-
2.pdf (capaian pada 9 Disember 2019).
Rusnadewi Abdul Rashid dan Nor Hisyam Ahmad. “Pengurusan Harta Melalui Hibah:
Kepentingan dan Manfaat dari pelbagai aspek untuk Kemajuan Ummah.” Jurnal Hadhari.
1, 2013.
25
Shamsudin Muhammad bin Muhammad Khatib al-Syarbini. Kitab Al-Mughni Muhtaj, Jil. 3.
Dar al-Kutub al-Ilmiah.
Sayyid Sabiq. Fiqh al-Sunah. Jil. 3. Kaherah: Dar al-Fath li al-I’lam al-‘Arabi.