Post on 13-Jan-2017
1
MANHAJ DAKWAH MELALUI KASIH SAYANG1
Dr. Yusri bin Mohamad2
Timbalan Yang diPertua,
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
Abstrak
Tulisan ini bertujuan menegaskan kembali dimensi kasih sayang
dalam sifat dakwah Islam dan Islam itu sendiri. Kasih sayang
digariskan takrif dan skopnya dalam hubungannya dengan pelbagai
inti utama agama Islam. Sifat kasih sayang dalam dakwah juga
dihuraikan diikuti dengan himbauan konteks masyarakat majmuk
negara kita. Akhirnya tulisan ini mencadangkan suatu indeks yang
boleh dijadikan sebagai senarai semakan bagi menilai amalan
sesebuah negara dalam aspek ini.
PENDAHULUAN
Kita hidup dalam zaman yang memaparkan imej perjuangan dan pejuang Islam sering di
zahirkan dan dikaitkan dengan kekerasan dan keganasan. Didapati di beberapa buah negara
Islam muncul kumpulan militan atas nama Islam yang membawa imej yang ganas dan keras.
Di gelanggang politik pula parti-parti umat Islam yang bersaing, hatta sesama Islam sering
menggunakan strategi, budaya dan bahasa yang keras dan kasar. Dalam konteks hubungan
kekeluargaan pula, imej Islam di sesetengah negara turut tercemar dengan gejala keganasan
dalam rumah tangga yang mangsa utamanya ialah wanita dan kanak-kanak.
Hakikatnya gejala negatif ini bukanlah mewakili sikap dan amalan majoriti umat
Islam tetapi dalam dunia ledakan informasi tanpa sempadan ini, perbuatan segelintir atas
nama Islam tetap menjejaskan imej Islam secara amnya. Dek nila setitik rosak susu
sebelanga.
Bertolak daripada latar belakang tersebut, tulisan ringkas ini bertujuan menegaskan
kembali dimensi kasih sayang dalam sifat dakwah Islam dan Islam itu sendiri. Sudut kasih
2
sayang ini juga perlu digariskan takrif dan skopnya dengan jelas agar tidak hanya difahami
secara umum dan abstrak. Tulisan ini menjelaskan skop kasih sayang dalam hubungannya
dengan pelbagai inti utama agama Islam. Seterusnya tajuk ini akan dibincangkan dalam
konteks masyarakat majmuk negara ini. Akhirnya dicadangkan suatu indeks yang boleh
dijadikan sebagai senarai semakan bagi memantau amalan sesebuah negara dalam aspek ini.
TAKRIF, SKOP DAN KEDUDUKAN KASIH SAYANG DALAM ISLAM
Kegagalan memahami Islam seutuh dan sepenuhnya mengakibatkan hilangnya dimensi
rahmah dan kasih sayang yang pasti akan mencacatkan seri dakwah Islam. Oleh itu perlu
dihuraikan tentang takrif dan mafhum kasih sayang dalam Islam selain kedudukannya dalam
kerangka tasawur hidup Islam.
Dari segi bahasa, rahiman atau rahmat yang berasal daripada kata akar rahima yang
merupakan tema perbahasan kita dapat diterjemahkan sebagai kasih sayang dan juga
membawa maksud belas ihsan, peri kemanusiaan. Istilah kasih sayang itu sebenarnya tidak
mampu membawa maksud istilah asalnya sepenuhnya dalam bahasa Arab rahiman jika kata
ini tidak difahami sebagai merangkumi faham kasih, sayang, belas ihsan dan prihatin sekali
gus. Oleh itu, bagi tujuan tulisan ini istilah kasih sayang digunakan sebagai istilah yang
mewakili semua maksud tersebut.
Seterusnya, untuk lebih memahami skop dan kedudukan kasih sayang dalam Islam,
sifat tersebut akan ditinjau dalam kaitannya dengan unsur utama agama, iaitu Allah SWT
sebagai al-Khaliq, Rasulullah SAW dan syariat agama Islam.
SIFAT UTAMA AL-KHALIQ
Dakwah Islam pastinya sangat terikat dengan sifat Allah SWT sebagai awal dan akhirnya
segala sesuatu dalam Islam. Allah SWT sendiri telah menegaskan dan menjelaskan betapa
sifat rahiman merupakan sifat utama bagi zat-Nya Yang Maha Mulia. Antara dalil yang jelas
mendukung fakta ini termasuklah pemilihan nama al-Rahman dan al-Rahim dalam kalimah
basmalah dan pengulangannya sebanyak dua kali dalam surah al-Fatihah. Basmalah dan
surah al-Fatihah ialah bacaan al-Quran yang paling kerap diulang-ulang oleh seseorang
3
Muslim dalam kehidupan sehariannya. Solat fardu lima waktu tidak sah hukumnya tanpa
bacaan al-Fatihah.
Apabila dua istilah yang berkait rapat dengan kasih sayang ini dipilih oleh Allah SWT
untuk ditonjolkan dalam Surah al-Fatihah dan bacaan basmalah, maka tentulah ada mesej
tersendiri yang hendak disampaikan di sini. Allah SWT ingin memberikan gambaran bahawa
kasih sayang dan belas ihsan merupakan nilai utama dalam tasawur atau pandangan alam
Islam. Umum maklum bahawa terdapat banyak lagi nama Allah yang lain dan 99 daripadanya
yang masyhur, manakala segala nama dan sifat kesempurnaan milik Allah SWT jua tanpa
batasan jumlah tertentu.
Selain ayat al-Quran, pelbagai hadis Nabi SAW juga mengkhabarkan kepada kita
betapa sifat al-Rahim itu adalah antara sifat utama Allah SWT.
Daripada Sayyiduna Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ن هللا كتب كتااب قبل أ ن خيلق إخللق ن رمحيت: إ س بقت غضيب، فهو مكتوب عنده فوق إلعرش إ
(روإه إلبخاري)
Maksud: Sebelum Allah SWT menciptakan makhluk, Dia telah menetapkan
bahawa, “Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku.” Ia tertulis
di atas Arasy.
(Al-Bukhari)
Dalam hadis lain, Sayyidah Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ن هللا حيب إلرفق ويعطي عىل إلرفق ما ال يعطي عىل إلعنف وما ال يعطي عىل ما سوإه إ
(روإه إبن حبان يف حصيحه)
Maksud: Sesungguhnya Allah sukakan sikap belas kasihan. Disebabkan
sikap belas kasihan, Dia memberikan bahagian yang tidak diberikan kepada
sikap kasar dan lain-lainnya.
(Ibnu Hibban)
4
Satu lagi sisi yang jelas menunjukkan tingginya kedudukan kasih sayang dalam
neraca Ilahi ialah kesediaan Allah SWT untuk mengampunkan dosa dan kesalahan yang
dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Sifat Maha Pengampun ini bertolak dari maha luasnya
sifat al-Rahman dan al-Rahim Allah SWT terhadap makhluk ciptaan-Nya. Luasnya sifat
pengampun Allah SWT adalah sangat luar biasa dan mungkin tidak tergambar oleh logik akal
manusia jika tidak dijelaskan sendiri oleh Allah SWT. Misalnya, hadis yang berikut
memberikan gambaran yang luar biasa tentang luasnya sifat Maha Pengampun Allah SWT.
Sayyiduna Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ذلهب هللا بمك وجلاء بقوم يذنبون فيس تغفرون هللا فيغفر هلم وإذلي نفيس بيده، لو مل تذنبوإ
(روإه مسمل)
Maksud: Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggaman kekuasaan-
Nya! Kalau kamu tidak melakukan sebarang dosa, nescaya Allah akan
menghapuskan kamu semua kemudian Dia akan mendatangkan suatu kaum
yang melakukan dosa lalu mereka beristighfar kepada Allah dan Dia
mengampunkan mereka.
(Muslim)
Satu lagi hadis yang sangat menarik dalam menjelaskan tingginya cemburu Allah
SWT dalam sudut ini, iaitu hadis riwayat Imam Abu Dawud r.a. seperti di bawah.
Abu Hurairah r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ada
dua orang lelaki bersaudara daripada Bani Israel. Salah seorang sering
melakukan dosa dan seorang lagi bersungguh-sungguh beribadah. Lelaki
yang bersungguh-sungguh dalam ibadah ini setiap kali dia melihat
saudaranya melakukan dosa dia akan berkata: Tinggalkanlah dosa ini. Pada
suatu hari, dia mendapati saudaranya sedang melakukan dosa lalu dia
berkata: Tinggalkanlah dosa ini. Lalu saudaranya menjawab: Biarkan aku
dan Tuhanku. Adakah engkau diutuskan kepadaku untuk menjadi pemerhati
atasku? Saudaranya menjawab: Demi Allah, Allah tidak akan mengampuni
engkau, Dia tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga. Lalu nyawa
mereka diambil dan mereka berkumpul di hadapan Tuhan sekalian alam.
Allah berkata kepada lelaki yang kuat beribadah: Adakah engkau tahu apa
5
yang Aku tahu? Adakah engkau berkuasa atas apa yang ada pada-Ku? Allah
berkata kepada yang sering berdosa: Pergilah, masuklah ke dalam syurga
dengan rahmat-Ku. Allah berkata kepada yang lain pula: Pergilah
bersamanya (iaitu lelaki yang rajin beribadah itu) ke neraka.”
Abu Hurairah berkata: Demi tuhan yang diriku tertakluk kepada kuasa-Nya,
lelaki itu (iaitu yang kuat beribadah itu) telah berkata dengan satu perkataan
yang memusnahkan dunia dan akhiratnya.1
(Abu Daud)
Daripada hadis ini, dapat disimpulkan bahawa Allah SWT lebih murka terhadap sikap
kasar dan perbuatan menutup pintu pengampunan berbanding dengan kemurkaan-Nya
terhadap perbuatan maksiat atau dosa itu sendiri.
SIFAT UTAMA NABI SAW
Sifat Rahiman dalam Islam juga sangat jelas jika kita menyorot peribadi Rasulullah SAW
sebagai insan contoh serta paling mulia dalam Islam. Malah antara gelaran yang masyhur
bagi Nabi SAW ialah Nabi al-Rahmah. Hakikat Nabi SAW sebagai rahmat ini diisytiharkan
sendiri oleh Rabbul Jalil dalam firman-Nya dalam surah al-Anbiya’ ayat 107:
ال رمحة للعاملني وما أ رسلناك إ
Maksud: Kami tidak mengutuskan engkau (wahai Nabi) melainkan sebagai
rahmat buat sekalian alam.
(Surah al-Anbiya’ 21:107)
Syeikh Muhammad Sayyid al-Tantawi menulis di dalam kitab tafsir beliau al-Wasit
mengenai ayat ini:
Allah SWT menjelaskan bahawa antara tanda anugerah-Nya buat manusia
ialah dengan mengutuskan nabi-Nya kepada mereka untuk menjadi rahmat
1 Sunan Abi Daud, Kitab al-Adab, hadis no: 4883
6
buat mereka. Ertinya, Kami telah mengutuskan engkau wahai nabi yang
mulia dengan agama yang benar ini hanya untuk menjadi rahmat buat
sekalian manusia dan jin. Kami mengutuskan engkau dengan perkara yang
membahagiakan mereka di dunia dan akhirat jika mereka mengikutmu,
menyahut seruan dakwahmu, melaksanakan perintahmu dan meninggalkan
laranganmu.3
Syeikh Muhammad Tohir Ibn ‘Asyur pula menulis dalam tafsir beliau al-Tahrir wat
Tanwir mengenai ayat ini:
Ayat ini diungkapkan dalam bentuk yang paling lengkap, lafaznya yang
ringkas mengandungi pujian terhadap Rasulullah SAW, pujian terhadap
Allah SWT dan pujian terhadap risalah Baginda yang merupakan wadah
rahmat Allah SWT buat manusia keseluruhannya malah ia pada hakikatnya
merupakan rahmat Allah SWT buat makhlukNya.4
Hal ini dapat dihuraikan lagi melalui dua aspek, iaitu akhlak Rasulullah SAW yang
bersifat rahmat serta syariat Baginda yang berasaskan rahmat.
Tentang aspek pertama, iaitu akhlak Rasulullah SAW yang bersifat rahmat, Syeikh
Abu Bakar Muhammad bin Tohir al-Qaisi al-Isybili berkata, “Allah SWT menghiasi Nabi
Muhammad SAW dengan perhiasan rahmat. Kewujudan baginda merupakan rahmat, semua
aspek diri baginda merupakan rahmat dan segala sifat baginda juga adalah rahmat buat
sekalian makhluk.”
Syeikh Ibn‘Asyur pula berkomentar, “Erti kata-kata beliau ini ialah Nabi Muhammad
SAW secara fitrahnya memiliki akhlak rahmat dalam segenap aspek muamalah baginda
bersama-sama umat supaya roh baginda yang suci bersesuaian dan serasi dengan wahyu yang
juga merupakan rahmat.”5
Apabila kita meneliti khazanah hadis Nabi SAW, terdapat banyak penegasan tentang
kepentingan rahmat dalam tasawur hidup Islam. Antaranya Sayyiduna Abdullah bin Amru
r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
7
إلرإمحون يرمحهم إلرمحن، إرمحوإ من يف إل رض يرمحمك من يف إلسامء
(حسن حصيح: روإه إلرتمذي وقال)
Maksud: Orang-orang yang penyayang disayangi oleh Allah Yang Maha
Penyayang. Oleh itu, sayangilah mereka yang berada di bumi, pasti
penduduk langit akan menyayangi kamu.”
(al-Tirmizi. Beliau berkata: Ini hadis hasan sahih)
Dalam satu hadis lain Sayyiduna Abu Hurairah RA meriwayatkan, bahawa Rasulullah
SAW bersabda:
منا أ ان رمحة همدإة أ هيا إلناس، إ
Maksud: Wahai manusia! Sesungguhnya aku ialah rahmat yang dihadiahkan
kepada kamu.
(Riwayat al-Tirmidzi dalam kitab al-‘Ilal al-Kabir, hadis no. 442)
Baginda SAW bukan hanya mengajarkan kasih sayang sebagai suatu teori tetapi sifat
itu terjelma dalam perilaku dan kehidupan seharian Baginda SAW. Misalnya Baginda SAW
terkenal dengan layanan mesra terhadap anak-anak. Baginda SAW tidak menganggap
perbuatan ini sebagai sesuatu yang mengaibkan atau mengurangkan maqam Baginda SAW.
Imam Bukhari RH meriwayatkan dalam Bab Rahmah Al-Walad wa Taqbilihi wa
Mu’anaqatihi, (Bab Kasih, mencium dan memeluk Kanak-kanak):
ن بن عيل أ ن أ اب هريرة ريض هللا عنه قال قبل رسول هللا صىل هللا عليه وسمل إحلس
ن يل عرشة من إلودل ما قبلت مهنم وعنده إل قرع بن حابس إلمتميي جالسا فقال إل قرع إ
ليه رسول هللا صىل هللا عليه وسمل مث قال من ال يرمح ال يرمح أ حدإ فنظر إ
Maksud: Sesungguhnya Abu Hurairah RA telah berkata: “Rasulullah SAW
telah mencium (cucunya) Al-Hasan Ibn ‘Ali r.a. sedang Al-Aqra’ Ibn Habis
8
At-Tamimi duduk di sisi Baginda SAW. Maka Al-Aqra’ pun berkata:
“Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku tidak pernah
pun mencium walau seorang daripada mereka”. Lalu Baginda SAW
memandangnya dan kemudiannya bersabda: “Sesiapa yang tidak mengasihi,
tidak akan dikasihi”. (Hadith No. 5651) Dalam satu riwayat lain, jawaban
Baginda SAW berbunyi, “Apakah yang mampu aku lakukan jika Allah telah
mencabut sifat rahmah daripada hati kamu?”
(Hadith No. 5652)
SYARIAT ISLAM YANG BERASASKAN RAHMAT
Selain akhlak dan peribadi Baginda SAW bersifat Rahiman, syariat Islam yang dibawa oleh
Baginda SAW juga berasaskan rahmat buat sekalian alam dan makhluk yang ada di
dalamnya. Manusia adalah antara komponen utama alam, maka syariat Islam ialah rahmat
yang paling luas buat sekalian manusia kerana rahmat dibina atas dasar kasih sayang,
kelembutan dan kemudahan.
1) Kasih Sayang dalam Perlaksanaan Hukum Jenayah
Hukum jenayah Islam terutamanya hukum hudud sering dilihat sebagai sisi paling keras
dalam syariat Islam. Sebenarnya jika dikaji dengan mendalam, syariat Islam tidaklah terlalu
memberatkan atau obses tentang pelaksanaan hukuman terhadap seseorang pesalah. Beban
bukti dalam kes Hudud adalah sangat berat dan hukumannya pula akan gugur apabila
terdapat apa-apa syubhah tentang dakwaan terhadap seseorang tertuduh. Para pesalah pula
tidaklah diwajibkan untuk mengaku salah atau melaporkan kesalahan yang sudah dilakukan
dan lebih digalakkan bertaubat dalam kesalahan yang tidak melibatkan hak orang lain.
Dalam hadis mengenai pelaksanaan hudud zina pada zaman Nabi SAW, didapati
bagaimana Nabi SAW memberikan peluang atau melepaskan pesalah walaupun mereka
sendiri yang menghadap Nabi SAW agar dikenakan hukuman. Apabila ada dalam kalangan
para sahabat mengeluarkan kata-kata negatif terhadap mereka yang dihukum ini, Baginda
SAW segera menegur dan sebaliknya memuji sahabat yang telah dihukum rejam tersebut.
9
Dalam Sahih Muslim, iaitu Hadith Nombor 1696, Baginda SAW bersabda berkenaan
dengan taubat wanita Ghamidiyah:
لقد اتبت توبة لو قسمت بني س بعني من أ هل إملدينة لوسعهتم وهل وجدت توبة أ فضل من أ ن
جادت بنفسها هلل تعاىل
Maksud: Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan taubat yang mana jika
sekiranya taubat tersebut dibahagikan kepada 70 orang dari kalangan
penduduk Madinah, nescaya taubatnya itu akan meliputi mereka semuanya
(dengan pengampunan Allah). Adakah kamu pernah menjumpai taubat yang
lebih baik daripada taubat wanita ini?
Dalam riwayat lain yang juga terdalam dalam Sahih Muslim, iaitu hadith nombor
1695, Rasulullah SAW bersabda berkenaan dengan taubat sahabat bernama Ma’iz bin Malik
r.a.:
لقد اتب توبة لو قسمت بني أ مة لوسعهتم
Maksud: Sesungguhnya dia telah benar-benar bertaubat yang mana jika
dibahagikan kepada seluruh umat, nescaya akan meliputi mereka semuanya.
Jelas bahawa hatta dalam pelaksanaan hukuman jenayah kepada mereka yang terbukti
bersalah semangatnya pada zaman Rasulullah SAW tetap diselubungi rahmat. Hari ini kita
menyaksikan keghairahan kumpulan militan atas nama Islam melaksanakan hukum hudud
dalam wilayah yang jatuh ke tangan mereka. Kita bimbang, semangat dan caranya tidak
mengikut acuan Nabawi yang akhirnya memberikan imej yang buruk terhadap Islam.
Kumpulan ini juga menunjukkan kepada dunia gambaran yang salah tentang layanan Islam
terhadap tawanan perang. Sedangkan Nabi SAW menggariskan batas yang perlu dihormati
hatta dalam situasi perang. Misalnya, sirah merakamkan bagaimana Baginda SAW murka
apabila Khalid Al-Walid r.a. terkhilaf membunuh tawanan perang Bani Juzaimah.
10
عن سامل عن أ بيه قال بعث إلنيب صىل هللا عليه وسمل خادل بن إلوليد إ ىل بين جذمية فمل
ىل لك رجل منا حيس نوإ أ ن يقولوإ أ سلمنا فقالوإ صبأ ان صبأ ان جفعل خادل يقتل ويأ رس ودفع إ
أ قتل أ سريي وال يقتل رجل من أ سريه فأ مر لك رجل منا أ ن يقتل أ سريه فقلت وهللا ال
ليك مما صنع ين أ برأ إ أ حصايب أ سريه فذكران ذكل للنيب صىل هللا عليه وسمل فقال إللهم إ
.خادل بن إلوليد مرتني
Maksud: Daripada Salim, daripada bapanya (Abdullah Ibnu Umar), beliau
berkata: “Nabi SAW telah mengutuskan Khalid Ibn Al-Walid kepada Bani
Juzaimah, namun mereka (Bani Juzaimah) tidak dapat mengucapkan “kami
memeluk Islam” dengan (bahasa yang) baik, lalu mereka berkata “kami
telah murtad”. (Disebabkan itu) Khalid telah membunuh dan menawan
mereka. Khalid telah mengagihkan setiap tawanan kepada setiap orang
daripada kami dan kemudian beliau telah memerintahkan setiap orang
daripada kami membunuh tawanan masing-masing. Aku (Ibnu Umar)
berkata: “Demi Allah, aku tidak akan membunuh tawananku dan aku tidak
membenarkan mana-mana sahabatku membunuhnya.” Peristiwa ini
diceritakan kepada Baginda SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai
Allah, sesungguhnya Aku berlepas diri daripada apa yang dilakukan oleh
Khalid Ibn Al-Walid (dua kali).”
2) Kasih Sayang terhadap Mereka yang Bukan Islam
Adapun rahmat Islam kepada golongan bukan Islam ialah rahmat buat golongan yang berada
di bawah kekuasaan Islam daripada ahli dzimmah. Islam tidak memaksa mereka
meninggalkan agama asal dan melaksanakan keadilan buat mereka.
Daripada Sayyiduna Abu Hurairah, bahawa dalam satu situasi perang, seseorang telah
berkata kepada Rasulullah SAW:
11
إدع عىل إملرشكني! اي رسول هللا
Maksud: Ya Rasulullah! Tolong doakan kebinasaan buat kaum musyrikin.
Lantas baginda menjawab:
ين مل أ بعث لعاان منا بعثت رمحة . إ وإ
(مسملروإه )
Maksud: Aku tidak diutus sebagai tukang laknat. Aku hanya diutuskan
sebagai rahmat.
(Muslim)
Baginda juga memberikan amaran keras terhadap sesiapa yang menyakiti seseorang
kafir dzimmi serta mengelak daripada membalas layanan buruk yang diterima daripada
mereka. Baginda SAW juga tidak memutuskan hubungan muamalah dengan mereka
sehingga diriwayatkan bahawa ketika wafatnya, baju besi Baginda SAW masih tergadai pada
seorang Yahudi.
3) Kasih Sayang terhadap Alam dan Haiwan
Syariat Islam turut menekankan penghayatan sifat rahmat terhadap haiwan, tumbuhan dan
alam sekitar. Sesuai dengan semangat pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat
bagi sekalian alam, Islam turut meluaskan perintah untuk berkasih sayang terhadap makhluk
lain. Misalnya, kita dilarang daripada memusnahkan tanaman dan pohon-pohon tanpa
keperluan termasuklah ketika perang. Kita juga sering diingatkan tentang dua hadis
berkenaan dengan sikap terhadap haiwan dan ganjarannya di sisi Allah.
Hadis pertama mengenai seorang perempuan yang buruk akhlaknya tetapi telah
diampunkan dosa-dosanya oleh Allah serta terselamat daripada neraka kerana bersikap belas
ihsan kepada seekor anjing terbiar yang sangat kehausan (riwayat Bukhari dan Muslim).
Anjing secara umumnya dianggap najis dan bukanlah haiwan yang dimuliakan dalam syariat
Islam. Pun begitu kita tetap disarankan berbuat baik terhadap anjing.
12
Dalam hadis kedua, Baginda SAW mengkhabarkan tentang seorang wanita yang
dicampakkan ke neraka kerana mengikat kucingnya sehingga mati kelaparan. (riwayat
Bukhari dan Muslim).6
4) Kasih Sayang dan Ketegasan dalam Islam
Perbincangan kita setakat ini jelas menunjukkan betapa pentingnya sifat rahmat dalam agama
Islam. Walau bagaimanapun, kita perlu menegaskan juga bahawa konsep rahmat dalam Islam
bukan hanya tampil dalam bentuk yang lembut atau positif sahaja. Realiti hidup manusia
bukanlah semuanya serba sempurna dan indah. Sebaliknya manusia sentiasa berada antara
persaingan antara kebaikan dengan kejahatan, cahaya dengan kegelapan, hak dengan batil.
Menginsafi hal ini, wahyu dan syariat Islam turut hadir dengan sisi kasih sayang
dalam bentuk yang tegas dan keras pada masa-masanya. Ibarat seorang bapa atau ibu yang
perlu pada ketikanya bertegas dengan anak-anak mereka kerana kasih dan mahu melindungi
mereka daripada sesuatu yang dapat memudaratkan mereka.
Atas semangat inilah Islam turut melengkapkan syariatnya dengan hukum-hakam
jenayah dan larangan yang perlu dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa pada setiap
peringkat. Pada peringkat keluarga, seorang bapa yang bertanggungjawab diperintah
menyuruh anaknya solat apabila sudah mencapai umur tujuh tahun dan menghukum mereka
dengan pukulan jika mereka sudah mencapai umur 10 tahun tetapi masih enggan solat. Pada
peringkat masyarakat dan negara pula, hukum-hakam jenayah seperti qisas, hudud dan ta’zir
serta hisbah seperti pencegahan maksiat diwajibkan bagi mengawal mereka yang enggan
tunduk kepada pendekatan tarbiyah dan pendidikan semata-mata.
Hukum-hakam ini walaupun kelihatan keras dari sudut tertentu, sangat diperlukan
atas semangat menolak mudarat agar unsur yang baik dan soleh beroleh ruang untuk hidup
dan berkembang. Al-Quran mengibaratkan hal ini dengan jelas apabila menyatakan
pensyariatan hukum Qisas yang zahirnya membawa kematian sebenarnya membawa kesan
menghidupkan, bagi mereka yang mampu menilai secara mendalam. “Dan bagi kamu pada
Qisas itu ada kehidupan wahai para Ulil Albab moga-moga kamu bertaqwa.” (Surah al-
Baqarah: 179)
13
DAKWAH ISLAM IALAH DAKWAH BERPAKSIKAN KASIH SAYANG
Dakwah merujuk usaha menyeru kepada Islam. Dakwah bukan hanya merujuk usaha
menyebarkan Islam kepada mereka yang bukan Islam tetapi juga usaha meningkatkan
kesedaran, kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan penganut Islam itu sendiri.
Tugas dan peranan dakwah merupakan tugas paling mulia dan utama dalam Islam.
Dakwah ialah tugas dan peranan makhluk yang paling mulia di sisi Tuhan, iaitu para anbia.
Dalam perbahasan ilmu aqidah, sifat tabligh yang bermaksud “menyampaikan” tersenarai
sebagai salah satu sifat yang wajib ada pada sekalian rasul. Penegasan kedudukan mulia
dakwah ini juga dapat dilihat dengan jelas dalam ayat suci Al-Quran:
ني ن إلمسلم ين م نا وقال إ وعل صالحا ىل إلل
ن دعا إ م ومن أحسن قوالا م
Maksud: Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari seorang yang
berdakwah kepada Allah dan dia beramal soleh seraya berkata
‘sesungguhnya aku dari kalangan para Muslimin
(Surah al-Fussilat: 33)
Sebagai tugas yang begitu penting dan mulia sudah, tentu Islam turut menggariskan
falsafah dan panduan pelaksanaan dakwah Islam yang sangat berpaksikan dan
berorientasikan kasih sayang. Hal ini selari dengan sifat utama ajaran Islam seperti
perbincangan yang baru kita himbau tadi. Jika Tuhan, nabi dan syariat Islam itu sangat
bersifat dengan kasih sayang, maka sudah pasti dakwah dalam Islam juga turut bersifatkan
dan bertunjangkan prinsip kasih sayang.
Dalam Surah Ali-‘Imran, ayat ke 159, Allah SWT dengan jelas menekankan peri
pentingnya sifat rahiman atau kasih sayang dalam berdakwah. Dalam ayat ini Rasulullah
SAW sendiri yang merupakan penghulu dan qudwah para dai diingatkan oleh Allah SWT
agar bersifat kasih sayang terhadap mereka yang berada di sekeliling Baginda SAW. Allah
SWT berfirman, maksudnya, “Dan dengan sebab rahmat Allah, kamu bersikap lembut
terhadap mereka. Jika kamu kasar dan keras hati nescaya mereka akan lari meninggalkan
kamu.” Mesej yang sangat jelas terzahir dalam ayat ini ialah Allah SWT memerintahkan Nabi
SAW agar bersikap rahim dan berlembut dengan para sahabat serta tidak bersikap kasar
14
dengan mereka. Dalam sambungan ayat yang sama, Baginda SAW dianjurkan supaya bersifat
memaafkan mereka, memohon keampunan bagi mereka dan bermusyawarah dengan mereka.
Rasulullah SAW sendiri berpesan agar kita mengambil pendekatan menjinakkan dan
memudahkan serta jangan mengambil pendekatan yang meliarkan dalam berdakwah.
Daripada Sayyiduna Abu Musa al-Asy’ari beliau berkata: Apabila Rasulullah SAW
mengutuskan seseorang untuk melakukan sesuatu urusan, baginda akan berpesan dengan
sabdanya:
برشوإ وال تنفروإ، ويرسوإ وال تعرسوإ
(روإه مسمل)
Maksud: Gembirakan orang lain. Jangan buatkan mereka lari. Permudahkan
jangan menyusahkan.
(Muslim)
Semua amalan ini merupakan manifestasi sifat kasih sayang seorang dai terhadap
khalayak dakwahnya.
Dalam menggariskan kaedah berdakwah pula Allah SWT berfirman dalam Surah Al-
Nahl, ayat 125 yang bermaksud, “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan
pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik.” Ayat ini
menggariskan bahawa dakwah seharusnya dicirikan dengan hikmah, peringatan yang baik
dan kalau perlu kepada proses jidal pun harus diadakan dengan cara yang paling baik. Semua
ciri dakwah mithali ini merupakan pendekatan dan cara yang bertolak daripada sifat kasih
sayang.
Syeikh Said Ramadhan al-Buti dalam karyanya Jihad dalam Islam, menegaskan peri
pentingnya kasih sayang dalam diri seorang pendakwah, “Salah satu asas dakwah ialah usaha
ini sewajarnya hanya diusahakan oleh seseorang yang dikuasai oleh rasa belas dan kasih
terhadap semua saudaranya dalam kalangan insan. Sang pendakwah harus bersikap pengasih
terhadap semua orang tanpa mengira bangsa, agama, warganegara atau ideologi. Seorang
penyeru kepada jalan Allah sepatutnya bersedia mengorbankan kepentingan diri dan peribadi
15
demi kebaikan sasaran dakwahnya. Selagi suatu usaha dakwah tidak berpaksikan asas
seumpama itu, maka perlakuan atau perbuatan itu tidak layak dianggap sebagai suatu usaha
jihad.”7
Sentimen yang sama berkenaan dengan dakwah dapat kita lihat dengan jelas dalam
karya dua tokoh dakwah dan tarbiyah yang tulisan dan manhaj mereka sangat berpengaruh
dalam realiti dakwah hinggalah hari ini, iaitu Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.a. dan Qutb
al-Irsyad Imam Abdullah Alawi Al-Haddad.
Dalam Ihya Ulumiddin, sesudah menghuraikan panjang lebar tentang dakwah dan
pelbagai sisi dan bentuknya, Imam Al-Ghazali r.a. memilih untuk mengakhiri kitabnya yang
masyhur itu dengan satu bab khusus yang membicarakan besarnya rahmat Allah dan
pentingnya pergantungan utama seseorang hamba. Seolah-olah imam besar ini ingin
menegaskan bahawa apa-apa pun amalan dan pegangan agama seseorang itu seperti yang
telah dihuraikan dalam bab-bab yang sebelum itu akhirnya pengakhirannya tertakluk pada
rahmat Allah SWT. Dalam bab tersebut, Imam Al-Ghazali menghimpunkan beberapa ayat
dan hadis yang menunjukkan betapa logiknya rahmat dan pengampunan Allah serta sangat
menakjubkan dan terkeluar daripada perkiraan logik akal dan perasaan manusia biasa.8
Imam Al-Ghazali dan Imam Al-Haddad tidaklah pula mengajar kita untuk bergantung
semata-mata pada sifat rahmat Allah tanpa beramal dengan sewajarnya. Bahkan manhaj
dakwah mereka turut berasaskan ingatan bahawa keluasan rahmat Allah SWT tidak boleh
menjadi alasan untuk kita tidak beramal dan hanya bergantung harap pada rahmat-Nya
semata-mata.9
DAKWAH KASIH SAYANG DAN MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA
Setiap usaha dakwah harus mengambil kira realiti situasi dan keadaan setempat sesebuah
negara yang menjadi gelanggang dakwah tersebut. Setiap negara menyajikan cabaran dan
realitinya yang tersendiri bagi para pendakwah. Dalam sesebuah masyarakat majmuk,
hubungan antara kaum dan kelompok yang tidak harmoni akan menjejaskan suasana serta
iklim dakwah.
Malaysia dalam konteks ini merupakan sebuah negara majmuk yang tersendiri, yang
terbentuk atas kerangka tolak ansur yang unik dan kompleks. Hakikatnya, pembahagian
16
kekayaan dan kuasa dalam konteks Malaysia masih sangat terkesan dan dipengaruhi oleh
sentimen kaum dan bangsa.
Walaupun sentimen kaum dan agama adalah sangat sensitif dan berpotensi
menimbulkan kemelut sosial dan keamanan, setakat ini rekod negara kita masih dapat
dibanggakan jika diambil kira komposisi etnik dan agama yang begitu rencam di Malaysia.
Hal ini demikian kerana selama ini walaupun terdapat perbezaan dan persaingan antara
pelbagai kumpulan etnik dan agama tetapi rata-rata disederhanakan oleh faktor sikap tolak
ansur, persefahaman dan kawalan oleh undang-undang. Akhir-akhir ini kita seperti
merasakan bahawa faktor ini kian terhakis dan pudar.
Mungkin ada yang berpendapat bahawa proses melonggarkan dan meliberalkan
pendekatan dalam menguruskan kemajmukan di Malaysia merupakan suatu perkembangan
yang sihat dan perlu. Mungkin juga hal ini dilihat sebagai lebih selari dengan falsafah
rahiman dalam Islam. Walau bagaimanapun, telah dibincangkan bahawa kasih sayang perlu
juga tampil dalam bentuk yang tegas menurut konteksnya. Nilai kasih sayang tidak boleh
sampai melemahkan sistem dan autoriti yang memegang kerangka pembinaan negara bangsa.
Selain peringatan ini, apa-apa usaha menampilkan Islam dalam bentuk yang lebih
mesra kemajmukan adalah sangat wajar digalakkan di negara kita. Misalnya penggunaan
medium pelbagai bahasa sebagai medium dakwah, penghayatan kepelbagaian adat etnik
dalam usaha dakwah dan penonjolan institusi dan tokoh pendakwah daripada pelbagai latar
etnik.
INDEKS DAKWAH KASIH SAYANG
Untuk mengukur setakat mana dakwah yang berasaskan sifat Rahiman atau kasih sayang
diamalkan dan dihayati dalam negara kita adalah sukar. Senarai di bawah mungkin boleh
dianggap sebagai percubaan awal bagi membentuk satu indeks bagi tujuan ini.
Indeks ini dibahagikan kepada dua kategori, iaitu dakwah sesama Islam dan dakwah
kepada yang bukan Islam.
17
1) Dakwah Sesama Islam
Skala 1-5 : 1= tidak lazim / diamalkan ----- 5= sangat lazim / diamalkan
1 2 3 4 5
1 Budaya menyebarkan salam
2 Amalan saling menziarahi ketika sakit, kenduri atau
kematian
3 Amalan mendoakan rakan dan saingan
4 Budaya memberikan hadiah
5 Sambutan bersama hari-hari kebesaran Islam
6 Program penjelasan tentang aliran ekstrem
7 Program dakwah dengan tajuk dan tokoh berimej positif
8 Program kebajikan dan sokongan sosial setempat
9 Ruang tempat dan masa untuk aktiviti keluarga
10 Tapisan terhadap imej dan bahan negatif
2) Dakwah Kepada Bukan Islam
Skala : 1= tidak lazim / diamalkan ------5 = sangat lazim / diamalkan
1 2 3 4 5
1 Jenayah atau kekerasan bermotifkan agama
2 Insiden penghinaan terhadap agama lain dalam media
3 Ruang meraikan perayaan agama
4 Ruang untuk mendirikan rumah ibadat
5 Perkahwinan campur
6 Terjemahan bahan dakwah
7 Program dakwah pelbagai bahasa
8 Program kebajikan anjuran masjid dan surau
9 Tapisan terhadap mesej mengelirukan dalam media
10 Memaksimumkan khidmat kepada asnaf mualaf
18
PENUTUP
Jika diteliti mafhum dan skop dakwah yang bertunjangkan kasih sayang dalam Islam seperti
yang dihimbau di atas, jelaslah bahawa dakwah dalam Islam sangat terikat dan dicorak oleh
sifat rahiman itu. Pada masa yang sama sifat ini tidaklah sampai menafikan peranan
ketegasan, malah kekerasan dalam situasi tertentu diperlukan tetapi tetap dibatasi syarat-
syarat yang ketat.
Harus diinsafi bahawa realiti amalan dakwah kasih sayang dalam masyarakat Muslim
hari ini masih jauh daripada tahap yang ideal dan diimpikan. Masih banyak ruang yang perlu
diusahakan untuk peningkatannya. Jika kita merasakan dakwah dalam masyarakat kita
kurang berkembang, mungkin sahaja antara puncanya adalah kerana tahap penghayatan nilai
rahiman yang belum mencukupi.
Dalam kesuraman senario negara Islam, Malaysia masih diakui ramai sebagai antara
negara Islam yang memberikan harapan dan mampu memberikan contoh dalam pelbagai
sudut. Baru-baru ini seorang tokoh ulama dan pendakwah dari Amerika Syarikat, Syeikh
Hamzah Yusuf dalam ziarah dakwahnya ke Kuala Lumpur berpesan agar kita di Malaysia
setia memelihara dan mempertahankan ciri kasih sayang dan rahmat yang ada pada
penghayatan Islam di Malaysia. Beliau juga memberikan amaran agar umat Islam di
Malaysia berwaspada terhadap penyusupan masuk fikrah yang boleh mengubah ciri ini dan
memecah-belahkan umat Islam. Tulisan ini diakhiri dengan memetik bahagian yang
berkenaan daripada ucapan beliau tersebut.
Ada mereka yang datang ke negara ini dan mula menimbulkan kekeliruan
dalam kalangan kamu tentang agama kamu. Asas pegangan agama kamu
adalah benar. Islam dibawa ke negara ini oleh mereka yang cukup tahu
tentang agama ini. Sebab itulah kamu menerima Islam. Berlainan halnya
dengan sesetengah kelompok yang baru muncul hari ini kita lihat bagaimana
orang ramai lari daripada mereka. Lihatlah bagaimana orang ramai lari dari
kota-kota di Iraq. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya) “Dan dengan
sebab rahmat Allah yang dikurniakan padamu kamu bersikap lembut
terhadap mereka. Jika kamu kasar dan keras hati nescaya mereka akan lari
meninggalkan kamu.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 159). Ini bukti bahawa mereka
ini sebenarnya tidak ada kena mengena dengan jalannya Nabi Muhammad
SAW. Tak ada kaitan langsung. Tak ada kena mengena langsung kerana
19
jalan Nabi kita SAW ialah jalan membawa manusia ke dalam, menyatukan
mereka, menjinakkan hati-hati mereka…
Nabi sudah memberikan jaminan bahawa ilmu agama dalam setiap generasi
umat ini dipikul oleh para ulama yang adil lagi dipercayai, yang akan
membersihkan agama ini daripada pelampauan para pelampau, kebatilan
mereka yang batil dan tafsiran mereka yang jahil.
Mereka ini mengambil agama ini secara bersanad, generasi demi generasi
sampailah kepada Rasulullah SAW. Inilah tradisi kita dan inilah tradisi kamu
di Malaysia. Saya ingin memperingatkan kamu di Malaysia. Memberikan
amaran dan peringatan adalah wajib dalam Islam. Kalau kamu benarkan
fikrah-fikrah berunsur hasutan dan subversif ini masuk ke negara ini, nescaya
kamu akan saksikan perpecahan dan pertembungan puak dan mazhab,
perpecahan dalam rumah-rumah kamu dan agama akan menjadi punca fitnah
dan bencana. Kamu bermazhab Shafii, aqidah kamu aqidah yang betul, kamu
percaya pada tazkiyah. Ini tradisi kamu dan peganglah tradisi ini dengan
kuat. Jangan biarkan sesiapa pun merosakkan tradisi kamu ini. Tanpa
menafikan bahawa tradisi juga perlu dinilai dan dimurnikan. Tapi ini ialah
kerja para ulama dan tidak boleh menjadi alasan untuk menolak tradisi itu
secara borong dan semberono. Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu
dibakar.
Inilah peringatan kepada kamu. Orang-orang di Malaysia amnya orang yang
baik-baik. Semua orang pasti ada kelemahan, tapi secara umumnya saya
sudah tiga kali datang ke negara ini dan saya rasa takjub dengan kebaikan
hati, kehalusan pertimbangan, ketinggian adab dan kelembutan watak orang-
orang di sini. Demi Allah, saya katakan kepada kamu perkara yang sebenar.
Wajah-wajah kamu masih murah dengan senyuman meskipun pelbagai
perkara berlaku dalam dunia sekeliling kita.
Peganglah kuat-kuat dengan apa yang kamu ada. Jagalah kasih sayang yang
ada dalam hati-hati kamu. Agama ini ialah agama kasih sayang.
“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara.” Bagi mereka yang
cenderung menyebarkan perpecahan dan perselisihan, ingatlah pesan
Sayyidina Ali r.a.
20
إمجلاعة مع إلقذورة خري من إلفرقة مع إلصفوة
Maksud: Berjemaah dan bersatu walaupun adanya kecacatan itu lebih baik
daripada berpecah-pecah dalam kesempurnaan.
Semua orang Islam ahli syahadah berhak untuk dilayan dengan hormat dan
kasih sayang walaupun ada dalam kalangan mereka yang melakukan silap dan
salah. Mereka semua merupakan sebahagian daripada umat ini. Kita patut
mengasihi mereka semua, mengambil berat terhadap mereka, menyimpan rasa
belas rahmat dalam hati kita bagi mereka dan mengharapkan agar mereka
bertaubat.”10
Semoga Allah SWT menyubur kasih sayang dalam diri, keluarga, masyarakat dan
ummah dan semoga kita dihimpunkan oleh-Nya di dalam syurga-Nya bersama-sama para
kekasih-Nya dengan limpahan kasih dan rahmat-Nya. Wallahua’lam.
21
RUJUKAN
Abdullah Al-Haddad, 1986. Risalah al-Mu’awanah (Thariqah Menuju Kebahagiaan).
Bandung:Mizan.
Abu Hamid Al-Ghazali, 2011. Ihya Ulumiddin. Jeddah: Dar al-Minhaj.
Al-Nawawi, t.t. Syarh Sahih Muslim. Dar al-Khair.
Ibn Asyur, t.t. Tafsir Asrar al-Tanweer, http://quran.ksu.edu.sa/tafseer/tanweer/sura21-
aya107.html
Ibnu Hajar Al-Asqalani, t.t. Fath Al-Bari Sharh Sahih Bukhari. Dar ar-Rayyan Li
at-Turath.
Khurram Murad, t.t. In The Early Hours. U.K.: Revival Publications.
Muhammad Said Tantawi, t.t. Tafsir Al-Waseet,
http://quran.ksu.edu.sa/tafseer/waseet/sura21-aya107.html
Sahih Muslim. Dar Ihya’ al-kutub al-‘Arabiyyah.
Said Ramadhan Al-Buti, 1995. Jihad in Islam. Beirut: Dar al-Fikr.
Sunan Abi Daud, t.t. Al-Maktabah al-‘Asriyyah.
Sunan Ibn Majah, t.t. Al-Maktabah al-‘Ilmiyyah.
Tirmidzi, t.t. al-‘Ilal al-Kabir.
22
1 Dibentangkan dalam Wacana Keputeraan Sultan Muhammad V 1436H/2014M anjuran Kerajaan Negeri
Kelantan, JAKIM, MAWIP, DBP dan YADIM pada 16 -17 November 2014 di Institut Latihan Islam Malaysia
(ILIM), Bangi, Selangor. 2 LLB, LLB (Shariah), PhD (UIAM), LLM (SOAS, London), Timbalan Yang diPertua Yayasan Dakwah
Islamiah Malaysia (YADIM), Presiden, Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI). 3 Tantawi, Muhammad Said, Tafsir Al-Waseet, http://quran.ksu.edu.sa/tafseer/waseet/sura21-aya107.html
4 Ibn Asyur, Tafsir Asrar al-Tanweer, http://quran.ksu.edu.sa/tafseer/tanweer/sura21-aya107.html
5 Ibid.
6 Dipetik dari buku In The Early Hours karya Khurram Murad, yang diterbitkan oleh Revival Publications,
Markfield, U.K., hlm.127-128. 7Al-Buti, Said Ramadhana, 1995. Jihad in Islam, Beirut: Dar Al-Fikr, Lubnan, hlm.66.
8Al-Ghazali, Abu Hamid, 2011. Ihya Ulumiddin, Jilid 9, Jeddah: Dar al-Minhaj, hlm.. 629-641.
9 Lihat misalnya, Imam Abdullah Al-Haddad, 1986. Risalah al-Mu’awanah (Thariqah Menuju Kebahagiaan),
Bandung: Mizan, hlm. 243-246. 10
Syaykh Hamzah Yusuf, Syarahan Umum, Global Tawbah, 28 Ogos 2014, Dewan Merdeka, Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC), anjuran Al-Naqi Islamic Solutions Sdn. Bhd. dan International Institute of Advanced
Islamic Studies Malaysia, minit ke 34-40. Syarahan penuh boleh di capai di http://youtube/REEyQ1fF2_Y