Post on 03-Feb-2016
description
QUOTE
Keaslian Tasauf
Oleh : Syeikh Hubaib
Assalamualaikum Kepada Para Ikhwan Yang Dikasihi.
Firman Allah SWT : "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah
perkataan yang tepat dan benar (dalam segala hal), supaya ia memberi taufik dengan
menjayakan amal-amal kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu."
Para Ikhwan yang dikasihi,
Segala yang berlaku (dalam kehidupan) tidak lain adalah untuk menguji hati-hati hambaNya
sama ada benarkah iman mereka atau tidak. Bagi orang yang beriman, apabila berlaku
sesuatu perkara, mereka mengatakan, "Sesungguhnya ia datang dari Allah dan kembali
kepada Allah SWT". Disini kita perlu berpegang pada akhlak tasauf yang menekankan
mujahadah dengan kesabaran, keredhaan dan tawakal kepadaNya. Apa yang perlu kita
lakukan ialah muhasabah diri kita, kesilapan kita sebelum kita menuding sepenuhnya pada
yang lain.
Para Ikhwan sekelian,
Saya perhatikan bahawa kebanyakan para penuntut Ilmu Tasauf yang ingin menempuh
perjalanannya jahil dalam beberapa kaedah Ilmu Tasauf dan Adab-Adab dalam berguru serta
kesalahan dalam pentafsiran tentang istilah tasauf, tarekah, syeikh, salsilah, karamah, kasyaf
, ilham, mimpi, kisah para Auliya', matlamat dan tujuan bertasauf. Disini saya menggariskan
beberapa perkara yang boleh (menyumbang kepada) berlakunya penyelewengan
berdasarkan penelitian dan pengalaman saya yang beberapa kali terperangkap dengan guru
dan pengajaran yang tidak membawa kepada tujuan tasauf hakiki, malah boleh
membahayakan akidah.
1. Keikhlasan.
Sabda Nabi SAW : "Bermula amal itu dengan niat."
Niat yang ikhlas adalah semata-mata mendapatkan redha Allah SWT. Lafaz yang masyhur di
kalangan para ahli sufi ialah "Illahi anta maqsudi waridhaka matlubi", maksudnya "Tuhanku,
tiada lain yang ku maksudkan, dan keredhaan Engkaulah yang ku cari."
Apa yang berlaku, ramai di kalangan penuntut Tasauf telah subahat dalam mencari
keredhaanNya. Mereka inginkan kelebihan dalam bentuk maqam seperti menjadi para
auliya', Sultan Auliya', penghubung dengan Imam Mahadi, setiausaha wali-wali, khalifah,
syeikh, karamah, kasyaf, firasat, perubatan, bersahabat dengan auliya' yang ghaib, dengan
Jin, malaikat dan sebagainya. Justeru itu mereka mencari dan menilai kehebatan dan
kebenaran Guru berdasarkan hal-hal tersebut. Itulah ukuran kebenaran Guru mereka
sehingga hal ini menjadi tajuk awal dan perbincangan diantara mereka.
Disinilah (pada permulaannya) sudah rosak, apabila permulaannya tidak betul ia akan
berakhir dengan natijah yang tidak betul. Niat-niat yang seperti itu tidak lain adalah niat
mencari keduniaan. Ia tidak lari dari perasaan inginkan kemasyhuran atau dimuliakan oleh
manusia. Apabila niatnya bersubahat dengan hal-hal dunia, ia tidak akan mendapat natijah
yang benar. Apabila ia berzikir, zikirnya tidak akan membentuk sifat hati yang mulia sehingga
tersingkap hatinya dengan rahsia Tuhan, ia terhijab dengan nafsu kebodohannya dengan
nilai yang rendah dalam kaca mata para 'ArifbiLlah.
Biasanya para murid yang mempunyai perasaan seperti ini berada dalam martabat nafsu
ammarah, lawammah dan malhamah.Apabila niat ingin mencari hal tersebut, mereka
sebenarnya telah membuka pintu syaitan untuk masuk ke dalam jiwanya sehinggalah ia
membawa pengamal zikir tersebut kepada penyelewengan tanpa disedari. Guru-guru yang
haq wajib menutup pintu tipu daya syaitan yang ada pada muridnya dengan tidak menunjuk
atau menceritakan kelebihan apa-apa yang dikurniakan Tuhan, serta melarang hal ini
dibicarakan kerana bimbang tercedera hati para muridnya dalam menuju Tuhan.
Ia wajib memastikan hati muridnya sentiasa ikhlas dalam membersihkan diri menuju Allah.
Apabila Guru tersebut suka membuka kelebihan dirinya, suka menceritakan tentang karamah
walaupun karamah tersebut dari para auliya' sekalipun dan tidak melarang ianya menjadi
tajuk perbincangan, maka tinggalkan guru tersebut kerana ia bukannya Guru Mursyid yang
hakiki, ia masih ahli dunia.
Nabi SAW bersabda, "Tidaklah berbicara seseorang itu akan sesuatu hal melainkan ia kasih
padanya".
Membicarakan kelebihan atau memesongkan matlamat tasauf kepada hal-hal yang lain
sehingga murid menyangka apabila mereka dapat berubat, dapat melihat alam kubur, dapat
berjumpa Nabi, dapat melihat wali yang ghaib dan sebagainya, mereka mengatakan mereka
sudah tinggi dan mencapai maqam (tertentu), padahal perkara tersebut bukannya dapat
menentukan kedudukan dan ketinggiannya, malah disana adanya tipu daya yang makin
menyuburkan nafsu takaburnya. Apabila keegoannya bertambah, maka semakin jauhlah ia
dengan Allah SWT, malah syaitanlah yang menjadi sahabanya.
Saya melihat sendiri bagaimana akhlak guru yang Haq ketika berdamping dengan mereka. Ia
amat takut berlakunya hal-hal kelebihan (diri) dilihat oleh murid, malah guru saya, Tuan Guru
Haji Ismail Bukit Payung telah diberi amaran keras oleh gurunya iaitu Tuan Guru Haji Daud
Bukit Abal, seorang ulama dan sufi terkenal supaya tidak menceritakan kelebihan yang
dilihatnya pada murid yang lain apabila bergaul dengannya.
Telah berkata Ibnu 'Athaillah, "Barangsiapa yang ingin manusia mengetahui kelebihan yang
ada pada dirinya, dia tidak ikhlas dalam menuju pada Allah SWT."
Berkata Ibrahim Adham, "Siapa yang ingin kemasyhuran, ia tidak ikhlas."
Berkata Ibnu 'Athaillah lagi, "Sesiapa yang mencintai karamah, tanda ia jauh dengan Tuhan
kerana karamah adalah hal dunia."
Karamah dalam pandangan ahli sufi tidak lain hanyalah untuk menambah keyakinan para arif
tadi pada Allah, sebagaimana Nabi Ibrahim (a.s) meminta Allah menunjukkan kepada
Baginda bagaimanakah manusia dicantumkan kembali tubuh badan mereka. Adapun
dizaman sahabat radiaLlahu anhum, mereka tidak perlu kepada karamah kerana keimanan
yang ada pada mereka begitu tinggi dan mukjizat Nabi SAW menenggelamkan segala
kelebihan yang dimiliki oleh mereka.
2. Ilmu
Niat yang baik jika tidak berdasarkan ilmu yang haq juga boleh menyebabkan berlakunya
penyelewengan.
Sabda Nabi SAW, "Ilmu itu imamnya amal, sedangkan amal makmunnya."
Berkata Saidina Ali karamaLlahu wajhah, "Kenalilah Islam dahulu barulah kamu kenal
manusia, nescaya kamu boleh melihat kebenaran dan kebatilannya. Jika kenal manusia
dahulu baru Islam, nescaya kebenaran Islam hanya dilihat melalui kata-kata dan
perbuatannya walaupun ia adalah batil."
Disini Saidina Ali meminta kita memahami kebenaran melalui KitabuLlah, Sunnah RasulNya,
Sahabat-Sahabat dan dari kitab Ulama-Ulama yang muktabar. Dengannya kita boleh menilai
kebenaran seorang manusia sama ada ia benar atau dusta.
Pernah berlaku pada Abu Yazid Al-Bustami apabila didengar disatu tempat ada seorang
'Arifbillah, lantas dia mengajak muridnya pergi menziarahi orang tersebut untuk mendapat
mutiara-mutiara hikmahnya. Apabila sampai sahaja di sana, ia melihat lelaki tersebut
meludah ke arah kiblat ketika keluar dari masjid. Apabila dilihat sahaja hal tersebut, beliau
terus pulang tanpa berjumpa dengan orang itu, lalu mengatakan kepada muridnya bahawa
jika (benar) ia seorang yang arif, ia tidak akan meludah ke arah kiblat.
Wahai Ikhwan,
Dalam menuntut ilmu, kita tidak boleh bersandarkan emosi seperti kasih sayang, hubungan
keluarga, sahabat atau mengenangkan jasa-jasa dan sebagainya tetapi mesti bersandarkan
Kebenaran. Kesilapan yang besar berlaku dikalangan murid adalah melihat benar atau tidak
seseorang itu berdasarkan kelebihan, cerita yang ia didampingi wali-wali ghaib, adanya guru
ghaib, adanya Nabi Khidir atau Syeikh Abdul Qadir Jalani sebagai guru, atau mendakwa ia
boleh terbang atau berjalan atas air, kasyaf dan sebagainya. (Sedangkan) kebenaran yang
harus dilihat adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran bahawa orang yang paling
mulia di sisi Allah adalah orang bertakwa.
Ketakwaannya akan dapat dilihat dengan lahirnya sifat warak, sabar, redha, tawakal, ikhlas,
tawadhuk, kasih sayang, zuhud, tenang, syukur, pemaaf dan berakhlak baik dengan ibu
bapa,ahli keluarga dan begitu cinta untuk mengamalkan Sunnah Nabi SAW.
Nabi SAW bersabda, "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, barang siapa yang
berpegang kepada kedua-duanya, ia tidak akan sesat selamanya (iaitu) Al-Quran dan As-
Sunnah."
Jauhi guru yang mendakwa dirinya mempunyai dampingan ghaib dalam memimpinnya,
kerana seorang yang warak akan meninggalkan perkara yang tidak nyata kebenarannya.
Alam ghaib adalah alam yang penuh dengan tipu daya. Syaitan sanggup bersabar (selama)
70 puluh tahun untuk menipu manusia, apalagi guru yang mempunyai pengikut yang ramai,
(sudah tentu) syaitan memberi tumpuan (yang lebih) kerana bila tertipunya guru, maka tertipu
semua murid kecuali mereka yang dirahmati Allah SWT. Ia memberi kebenaran selama 70
tahun sehingga guru tersebut amat yakin ia adalah benar. Apabila ia sudah mendapat
keyakinan, disitulah jarum penipuan yang halus akan bermula sehingga tidak disedari guru
tadi.
Apakah lagi perkara yang lebih tinggi dari Nas dan Sunnah Nabi SAW? Apabila guru berilmu
dan kuat berpegang pada syariah tanpa menghiraukan bisikan-bisikan atau petunjuk-petunjuk
ghaib, ia membawa jalan keselamatan. Syaitan tidak boleh menipu orang yang kuat
pegangannya pada syariat Nabi yang zahir dan batin. Guru yang tidak mantap ilmu dalam
permasalahan ilmu syariah dan kitab-kitab muktabar dalam perjalanan tasauf amat mudah
terpedaya.
Mereka menjadikan dampingan yang ghaib, ilham, kasyaf, firasat, mimpi sebagai hujah dalam
menentukan kebenaran sehingga ada dikalangan mereka yang menolak hadis sahih apabila
bercanggah dengan ilham yang mereka terima. Ini amat bahaya, malah guru itu kadangkala
tidak sedar dirinya tertipu, apalagi murid. Justeru itu ramai guru dahulu amat mementingkan
ilmu syariah dan hakikat dalam dada anak muridnya supaya menjadi penasihatnya apabila
melihat ia tersalah.
Dia tidak malu menerima kebenaran walaupun kebenaran itu dari seorang budak, apa yang
penting ialah ia amat takut pada Allah SWT kerana azab yang pedih disediakan kepada
mereka yang menyeleweng pada jalannya. Justeru itu bagi saya, berdasarkan pesanan Guru
saya, sebaiknya murid itu mendalami syariah atau belajar dari mana-mana guru, dalami ilmu
Usul iaitu Sifat 20 dengan baik, kitab Minhajul Abidin atau Sirras Salikin, kitab Al-Fathur
Rabbani Wal Faidhur Rahman karangan Syeikh Abdul Qadir Jailani. Juga kitab Al-Hikam Ibnu
'Athaillah dengan memahami setiap matannya dengan baik kerana didalam mutiara-mutiara
hikmah itu terdapatnya kaedah-kaedah ilmu tasauf yang tinggi dan suci. Dalam bab terakhir,
ia banyak membincangkan kaedah-kaedah yang mesti difahami dan dimiliki oleh para
mursyid.
Apabila jelas pada diri murid itu sifat istiqamah dalam amalnya dan terbuka baginya rahsia
Illahi sama ada Asma', Afa'alNya atau SifatNya, (maka) dalamkan (ilmu) mereka dengan kitab
Darul an-Nafis yang membicarakan lebih mendalam lagi tentang tauhid dan rahsia makrifat.
Penekanan ilmu amat penting kerana amal tanpa ilmu bagaikan debu dibawa angin. Tuan
Guru saya (Allahyarham Tuan Guru Haji Mamat Merbau Patah) sentiasa mengulangi kitab Al-
Hikam dalam pengajarannya sehingga ia meninggal dunia. Kitab itu bagaikan zikir padanya
agar selamat dari tipu daya syaitan, nafsu dan dunia. Beliau mengatakan bahawa jika
seorang murid mempelajari Al-Quran sehingga ia mengenal kaedah bacaan dan hukum-
hukumnya dengan guru dan disahkan betul bacaannya, jika gurunya meninggal tidak perlu ia
teraba-raba mencari guru lain kerana dengan ilmunya ia boleh membaca, boleh menentukan
salah dan betul. Apa yang penting padanya ialah sentiasa membaca untuk melancarkan
bacaannya. Begitu juga perjalanan tasauf, apabila kaedah difahami, ia boleh berjalan tanpa
perlu adanya guru lagi.
3. Masalah Mursyid atau Syeikh, tarekah, salsilah, ukuran natijah dan tasauf.
Dalam hal ini, saya melihat banyak berlaku penyelewengan dalam penafsiran-penafsiran
yang dibuat. Malah, saya melihat penghuraian yang dibuat banyak kepada tujuan untuk
kepentingan peribadi. Ada yang mengatakan bahawa dalam satu tempat atau zaman tidak
boleh berhimpun ramai mursyid. Disinilah akan lahirnya kejahilan dikalangan murid sehingga
mengatakan bahawa Guru mereka adalah paling Mursyid.
Guru-guru yang ada kepentingan untuk menghimpunkan pengikut (yang ramai) akan mula
mendakwa pada mereka ada kelebihan, atau ada yang menunjukkan kelebihan diri mereka.
Kemudian, murid mereka menyebarkan cerita diatas pendakwaan guru tadi untuk
mendapatkan ramai lagi murid. Mereka ahli dunia yang berselindung dibawah selendang
tasauf.
Apabila satu kaedah dikeluarkan oleh Ulama Tasauf, ia mesti dilihat sebagai satu pendidikan
bukannya hukum. Kaedah itu adalah untuk lingkungan ahli mereka sahaja, bukannya untuk
umum, (contohnya kaedah) seperti disatu tempat hanya perlu satu Syeikh sahaja. Ini tidak
lain supaya tidak berlakunya perpecahan dikalangan murid dan memelihara institusi aliran
Tarekah mereka. Jika ada dua syeikh di satu-satu tempat dibawah satu aliran Tarekah yang
sama, sebaiknya mereka muafakat dalam membimbing manusia pada Tuhan agar tidak
berlakunya kecelaruan.
Yang paling penting mesti difahami bahawa tidaklah semestinya mereka yang diijazahkan
sebagai syeikh dalam tarekah aliran mereka sudah mencapai maqam 'arifbillah yang hakiki
disisi Islam. Saya banyak meneliti dan mempelajari amalan-amalan Tarekah tidak kira dari
apa aliran. Yang musykilnya, apabila saya berjumpa, bersahabat atau berguru dengan
mereka, kebanyakan mereka yang dianggap mursyid masih melekat pada diri mereka sifat
mazmumah dan amat longgar ilmunya dan memandang ringan persoalan syariah. Akhirnya
saya mendapat satu jawaban yang telah membenarkan kata Guru saya bahawa aliran
tarekah hari ini sudah perlu diselidiki sebaik-baiknya kerana ia sudah menjadi satu bentuk
sekolah zikir, bukannya mendapat hakikat zikir tersebut. Apabila seorang itu murid itu
menghabiskan pelajaran zikir mengikut natijah kerohaniannya, ia akan diangkat menjadi
Mursyid dalam Tarekahnya. Sebab itu dalam tarekah amat mementingkan salsilah agar
mereka yang dibenarkan mengajar adalah mereka yang benar-benar arif dalam sistem
pendidikan mereka.
Lain Tarekah lain caranya. Apabila seorang syeikh dalam Tarekah Naqsyabandi ingin belajar
Tarekah Ahmadiah, ia tidak lagi mursyid dalam tarekah ini malah ia perlu meninggalkan
dahulu pelajaran dalam Naqsyabandi untuk mempelajari kaedah baru dalam latihan zikir
mengikut sistem Ahmadiah. Ia tidak lain adalah zikir atau muraqabah atau musyahadah
dalam bentuk teori bukannya pratikal. Ia seperti seorang yang mendapat PHD dalam
pelajaran membaiki kereta, tidak semestinya ia sudah boleh membaiki kereta jika diberikan
kereta yang rosak. Ia hanya boleh memberi syarahan dalam bentuk ilmu tetapi dalam
praktikalnya mungkin ia gagal.
Bagi orang yang ingin membaiki kereta, mereka tidak mementingkan nilai sijil atau tauliah.
Yang penting kereta mereka sudah elok walaupun yang membaikinya tiada sijil atau tauliah
tetapi mendapat ilmu secara pratikal dari gurunya di bengkel. Kecelaruan dalam Tarekah
ialah apabila orang yang diberi memimpin adalah orang tidak layak memikulnya, Inilah yang
disabda Nabi SAW, "Rosaknya agama apabila urusan agama dipimpin atau diketuai oleh
mereka yang bukan ahlinya."
Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa kerosakan agama akhir zaman adalah apabila orang
jahil berlagak alim. Justeru kita wajib menentang apabila dilihat hal agama dipegang oleh
mereka yang bukan ahli malah orang yang jahil. Inilah kesilapan yang besar berlaku dalam
aliran tarekah dimana mereka melantik seseorang untuk memimpin berdasarkan kedapatan
kerohanian semata-mata, bukan berdasarkan ilmu, ketakwaan, memiliki sifat mahmudah
yang mantap, warak dalam zahir dan batin, kepimpinannya jelas dalam masyarakat, dirinya,
rumahtangga dan sebagainya.
Kaedah ini amat bercanggah sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani
bahawa setiap perasaan kerohanian mesti disuluh berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Jika
dalam kerohanian seorang Guru mendapat petunjuk bahawa seseorang itu boleh diangkat
menjadi khalifah, ia wajib menyuluh murid tersebut, adakah murid itu mempunyai ciri
kepimpinan, sifat , ilmu, akhlak batin, kekuatan tauhid dan makrifat dalam menilik Af 'aluLlah
berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Apabila ia tidak melantik berdasarkan kaedah tersebut,
perlantikan itu adalah batil.
Hukum darurat boleh berlaku dimana syeikh tadi tidak sempat untuk membuat penelitian
mendalam terhadap lantikan khalifah atau syeikh, ia adalah diharuskan apabila syeikh itu
kedatangan hampir ajalnya. Justeru itu Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa Murysid yang
hakiki yang bertaraf irsyad sudah tiada lagi dizamannya, kebanyakan mursyid hari ini ramai
yang bertaraf barakah.
Sifat Mursyid mengikut ukuran Imam Al Ghazali :
a. Seorang Guru yang berpaling daripada mencintai dunia dan mencintai pangkat.
b. Beliau telah berguru dengan Gurunya yang Mursyid yang banyak mengetahui tentang
segala halnya dan Gurunya yang Mursyid juga telah berguru dengan guru Mursyid
sebelumnya sehingga sampai kepada Nabi Muhamad SAW.
c. Beliau ialah seorang Guru yang benar telah berjaya dalam mendidik dirinya dengan
menyedikitkan makan, sedikit bercakap-cakap, sedikit tidur , banyak ibadah, banyak sedekah
dan banyak puasanya.
d. Beliau dengan sebab berguru dengannya Guru yang Mursyid tadi telah mampu menjadikan
yang mulia sebagai cara hidupnya seperti ikhlas,redha, syukur, cinta, tawadhuk, pemurah,
zuhud, sabar, kuat ibadah, syukur, tawakal, yakin ,Qanaah, tenang jiwa, banyak ilmu, benar,
malu, menyempurnakan janji, tenang pendirian, tenang pembawaan, berhati-hati dalam
segala urusan.
Kesilapan yang berlaku dikalangan salik mengejar perkara yang bukan utama seperti kasyaf,
kelebihan dan lain lagi. Keutamaan dalam Tasuf ialah membersihkan diri dari segala syirik,
membuang ingatan kepada yang lain dalam hatinya selain dari Allah dan berzikir serta
mujahadah untuk mendapatkan sifat yang mulia dalam hatinya iaitu sifat mutmainah. Apabila
nafsu mencapai mutmainah, dengan sendiri hatinya sudah memperolehi kasyaf, laduni dan
mukasafah.
e. Harus meninggalkan pekerjaan yang adanya sumber subahat.
f. Diam dalam menghadapi cercaan, tidak boleh menjawab sebagaimana yang berlaku
kepada Saidina Abu Bakar ketika seorang Ansar mencercanya dihadapan Nabi saw, Nabi
hanya tersenyum tetapi apabila Saidina Abu Bakar bangun menjawabnya, lalu Nabi bangun .
Ditanya Saidina Abu Bakar kenapakah Nabi berkelakuan sedemikan, lalu dijawab oleh
Baginda saw " Ketika engkau diam dicerca, malaikat ada disisimu menjawab cercaanya,
tetapi apabila engkau menjawab malaikat lari dan syaitan hadir disisimu." Ulama sufi
mengkiaskan bahawa orang yang bertaraf syeikh tidak boleh menjawab cercaan orang
apalagi mendoakan bala pada manusia.
g. Bersabar dan berlemah lembut dengan murid , dilarang meminta-minta dari apa yang ada
ditangan murid untuk peribadi.
Saidina Omar r.a. apabila datangnya hadiah yang dikirim oleh Rasulullah saw, ia
memulangkan kembali lalu ditanya oleh Baginda, ia mengatakan bahawa Baginda telah
melarang meminta dengan manusia, lalu dijawab oleh Baginda, aku melarangnya engkau
meminta tetapi jika diberi tanpa diminta, hendaklah diambilnya.
Ramai hari ini yang menjadikan amanah seperti mendirikan madrasah, kelas agama,
memelihara anak yatim sebagai mencari keutungan peribadi, inilah yang disebut oleh Nabi
saw " Diakhir zaman berlakunya kerosakan ummah apabila amanah menjadi rebutan untuk
mendapatkan keuntungan".
Tambahan
Kesilapan yang berlaku ialah apabila mentafsirkan salsilah hanya dalam bentuk zikir Tarekah
semata-semata. Apa yang ditekankan ialah barakah Guru yang mempunyai salsilah
perguruan yang benar sehingga ia dikenali oleh masyarakat sebagai orang yang alim dan
ramai manusia yang berubah menjadi baik setelah menerima pengajaran ilmu dan tarbiah
darinya. Adapun zikir yang hakiki yang berasal dari Rasulullah SAW adalah LailahaiLlah,
adapun zikir dan kaedah yang dipelajari dari beberapa syeikh adalah sebagai suatu
penambahan mengikut ijtihad.
Seorang yang bertemu dengan Guru yang haq yang mempunyai sifat yang benar, boleh
diamalkan zikir yang diberi kepada kita yang berbentuk zikir yang bukannya dari kaedah zikir
tarekah. Ia boleh diamalkan dan ia akan mendatangkan jazbah. Bukanlah sistem zikir yang
penting tetapi barakah Guru yang bersalsilah itu yang utama kerana mengambil barakah
yang bersambung salsilahnya dengan Rasulullah SAW. Mengambil zikir dari buku atau dari
Guru yang tidak beramal dengan ilmunya walaupun banyak ilmunya, tidak adanya rantaian
salsilah, ia tidak akan memberi kesan kepada rohaninya.
Seorang yang alim tidak semestinya boleh mendidik atau layak menjadi pengganti Rasulullah
SAW. Untuk mendapat Guru yang benar beramal dengan syariat, hakikat dan boleh mendidik
murid kepada kebaikan sehingga hidup hatinya dengan Allah, mengenal tipu daya nafsu dan
syaitan amatlah payah. Imam Al-Ghazali mengatakan ia bagaikan belerang merah, tetapi ia
tidak menafikan wujudnya mereka ini. Kalau di zaman Nabi saw beribu orang seperti ini,
begitu juga zaman Tabie, begitu juga zaman Hasan Al-Basri, begitu juga dizaman Al-Junaid
Al-Bagdadi dimana ramai anak muridnya menjadi mursyid yang bertaraf irsyad, (menjadi
contoh tauladan kepada muridnya dari sudut akhlak, keyakinan, tawakal, cinta Allah dan
Rasulnya, zuhud, qanaah, sabar, ikhlas, redha, syukur, kuat ibadahnya, besar jiwanya,
kepimpinan, bijaksana, ketenangan, pendidikan rumahtangganya, pergaulannya dengan
masyarakat, dia menjadi contoh kepada muridnya dalam semua hal baik syariatnya atau
hakikatnya).
Begitu juga dengan zaman Syeikh Abdul Qadir Jailani, dizaman Tok Kenali yang dapat
melahirkan ramai ulama yang bertaraf Mursyid, juga dizaman Tokku Paloh. Mereka yang
mengatakan disatu zaman atau tempat hanya perlu satu mursyid adalah batil dalam kaedah
umum tetapi benar dalam kaedah psikologi untuk pendidikan tarekah mereka supaya tidak
bergaduh sesama murid. Ini boleh dilihat dalam Qawaa' idul Tasawwuf karangan Syeikh
Ahmad Zarwaq. Apabila kita melihat seorang syeikh yang pernah berguru dengan Guru yang
Mursyid tetapi terdapat kecacatan dalam akhlaknya yang tidak melibatkan kesalahan yang
besar atau dosa yang besar, kita boleh berguru dengannya dan mengambil zikir sekadar
mengambil barakah salsilah dan perbincangan ilmu.
Mengambil zikir dari guru yang mempunyai salsilah sudah masyhur dimana guru-guru diatas
sudah mencapai makrifat yang kamil adalah penting kerana ia disebut oleh Syeikh Abdul
Qadir Jailani dalam kitab Sirrul Asrar. Selagi Guru yang kemudian ini tidak melakukan dosa
yang besar sehingga terbatalnya barakah, boleh diambil zikir dengannya kerana ia masih
bertalian dengan mereka yang mencapai rahsia illahi, mereka yang ikhlas yang
mengamalkan zikir ini dan bermujahadah dengan bersungguh-sungguh, ia akan memperolehi
limpahan yang membawa kepada makrifat dan ketakwaan. Setiap pintu makrifat dibuka,
bertambah seorang itu takut kepada Allah dan warok dalam melihat perjalanan hawa nafsu
walaupun dalam perkara yang halal. Kesalahan yang besar ramai mereka yang mengatakan
apabila terbukanya kepada rahsia makrifat makin semakin rendah ia dalam pegangan syariah
dan hidup menyuburkan hawa nafsu. Ini adalah Golongan yang tertipu dan ahli tasauf yang
batil. Syaitan adalah ahli makrifat malah boleh bercakap dengan Tuhan tetapi apabila ia tidak
mahu sujud pada Adam iaitu syariat, maka ia murkai oleh Allah walaupun dalam dadanya ada
makrifat sehingga ia terhijab , ia tidak merasai berdosa apabila melakukan kesalahan.
Kesalahannya hanya satu tetapi apabila ia tidak mahu bertaubat, maka kesalahannya
menjadi berpanjangan.
Dalam adab berguru sebaiknya mestilah mengambil Guru yang sudah terkenal dimana
ulama-ulama dan orang baik sezamannya berbaiksangka padanya dan maklum dengan
ilmunya.Ilmunya terbuka untuk siapa saja untuk mendengarnya. Sudah terbukti
pengajarannya memberi kebaikan ramai pada manusia, lahir padanya manusia-manusia
yang rosak akhlak dahulu menjadi baik. Ketenangan semakin bertambah dalam hidup
muridnya. Tasauf akan membawa seorang itu tenang jiwa, fikiran, badannya, keluarga dan
masyarakat sekelilingnya.
4.Kasyaf bukan menjadi syarat penting sebagai Muryid
Apa yang mesti difahami, apabila seorang yang benar tauhidnya dan amalannya, mujahadah
neccaya hatinya akan diberi nur sehingga ia mendapat kasyaf atau firasat .Inilah yang disebut
oleh Nabi saw " Berhati-hatilah firasat orang mukmin kerana firasatnya dari Allah".
Kebanyakan orang yang benar beramal hatinya dikurniakan kasyaf tetapi kasyaf mengikut
darjah kebersihan rohaninya. Dalam kaedah hukum syariah, kasyaf , firasat, ilham tidak boleh
dijadikan sandaran hukum, ia hanya sebagai satu pertunjuk untuk mentahkikkan lagi apa
yang dilihat pada syariatnya. Apabila ia melihat seorang itu baik ilmunya, akhlaknya, jiwanya
maka ia membenarkan lagi kasyaf yang diperolehi pada orang tersebut. Kasyaf yang hakiki
yang wajib ada pada seoarang Mursyid adalah kasyaf dalam melihat tipudaya nafsunya dan
syaitan sehingga tipudaya halus yang tidak difahami oleh orang awam, ahli, abid, ulama
dibukakan rahsia itu oleh Allah didalam hatinya.
Apabila seorang Guru dapat mengetahui kejahatan nafsunya dibawah didikan guru sehingga
menjadi manusia yang baik, soleh dan amat takut pada Allah, ia boleh mendidik manusia
yang lain kerana perjalanan hawa nafsu manusia adalah sama.
5.Natijah Kerohanian, zikir dan suluk.
Apabila seorang menerima zikir dari seorang yang mempunyai salsilah yang benar, zikirnya
akan adanya jazbah seperti kedatangan Dzauk dan sebagainya. Kebanyakkan jazbah adalah
benar berlaku kepada murid tetapi apa yang penting pendidikan setelah memperolehi jazbah.
Jazabah datang dalam bentuk memberi kesedaran sehingga melihat kesalahan diri, dalam
bentuk rindu, cinta, takut, cinta ibadah, asyik dengan zikir, dan sebagainya. Justeru itu
dikalangan Syeikh menyusun suluk untuk menyusun pendidikan akhlak agar jazbah yang
diterima akan membinanya menjadi manusia yang muslim yang benar imannya, akhlaknya,
makrifatnya kepada Allah. Apabila hati menjadi baik dengan limpahan kerohanian, nescaya
akan bertambah baiklah tauhidnya, keyakinan, tawakal, redha, syukur, zuhud, qanaan, sabar,
tenang, elok akhlaknya dan sebagainya. Setiap limpahan atau natijah kerohanian tidak
mengubah sifat hati ia adalah batil walaupun berjumpa dengan Nabi saw sekalipun. Ia
berdasarkan firman Allah " Apabila datangnya kebenaran , akan hilanglah kebatilan"
Berjumpa Nabi kadangkala ujian dari Allah kepada para sufi yang siang dan malam berzikir
dan mujahadah tetapi dengan ujian tadi boleh menimbulkan ujub , takbur, riak dan mula
berbangga dengan hal tersebut sehingga jatuhlah kembali ia kepada maqam orang awam.
Begitulah jua dengan kelebihan seperti karamah, kasyaf, doa makbul, dibukakan pintu
nikmat, pengikut yang ramai berkhidmat dan sebagainya.
Guru yang haq tidak mengukur ketinggian murid berdasarkan jazbah semata-mata tetapi
berdasarkan akhlak yang lahir selepas jazbah tersebut.Ketinggian mesti diukur dengan
kacamata syariah iaitu takut pada Allah swt dan mencintai Rasulullah sehingga beramal
dengan sifat dan akhlak Rasulullah saw.
Suluk tidak lain melainkan melatih, mendidik nafsu menjadi baik dengan sedikit makan, tidur,
bercakap, beribadah sehingga lemahnya nafsu, diajarnya adab dan ilmu. Apabila keluar suluk
lahirlah peribadi yang mulia bagaikan anak yang baru lahir. Tetapi apa yang berlaku pada
suluk hari ini ialah tidak lahirnya peribadi yang mulia walaupun dilakukan mujahadah tersebut
dan diberikan pelajaran zikir muraqabah, muyshadah dan sebagainya. Apa yang mereka
dapat ialah pelajaran zikir dan jawatan khalifah. Guru yang ada kepentingan biasanya cepat
menaikkan seoarang menjadi khalifah agar khalifah tadi bergerak mendapat seramai murid
untuk bersuluk dengannya. Ini amat bercanggah dengan sifat para ahlimakrifat yang takut
pada Allah, mereka amat payah menerima murid kerana murid adalah tanggungjawab yang
akan disoal diakhirat kelak. Justeru itu kata syeikh Abdul Qadir Jailani, jika diberi pilihan
nescaya para Arifbillah memilih untuk jauh dari manusia dan bersunyi-sunyi dengan Allah sw
namun kerana tanggung jawab ilmu yang padanya menyebabkan mereka terpaksa berada
didalam masyarakat. Dalam masalah suluk pula, ada mursyid yang memilih muridnya untuk
beruzlah bersamanya selama 10 ,20 atau 40 hari untuk senang ia memberi ilmu dan
pendidikan, tetapi ada mursyid yang mendidik muridnya dalam masyarakat, apabila berlaku
satu hal disitulah ia mendidik muridnya kepada tauhid dan akhlak. Imam As Syazili
mengalakkkan muridnya bercampur gaul dengan masyarakat, bekerja seperti biasa,
mengambil nikmat Allah dan bermujahadah syukur dengan banyak ibadah pada Allah setiap
kali dilihatnya nikmat bertambah. Bagaimaca cara pendidikan adalah merupakan ijitihad para
Syeikhnya. Kebanyakkan syeikh asalnya dari Naqsabandi tetapi apabila mereka mendapat
keizinan untuk mendidik manusia, ramai yang menyusun kembali zikir dan mujahadah
mengikiut masa, zaman dan hal ehwal muridnya. Mereka digelar sebagai Syeikh muqallid
mujtahid iaitu meneruskan amalan dari Syeikhnya tetapi berijtihad dalam beberapa perkara
yang dilihat sebagai keperluan berasaskan kemaslahatan..Ada yang cenderung kepada
berasingan hatinya hidup kepada Allah ada yang dalam khalayak ramai hatinya lebih hidup
kepada Allah. Inilah yang disebut oleh Iman Al Ghazali dalam ihya Ullumudin kerana
perbezaan jiwa dan tahap manusia , para pendidik manusia perlu arif dan tidak terikat dengan
satu kaedah. Justeru itu termasuk syarat syeikh ialah mempunyai keluasan ilmu. Begitu juga
dengan zikir ada yang lebih cenderung kepada zikir jahar dan ada yang cenderung kepada
zikir sirr. Yang pentingnya zikir tersebut diambil dari salsilah orang soleh dan para aulia.
Hanya mengamalkan zikir nafi isbat ramai mencapai maqam aulia. Uwais Al Qarani yang
terkenal dizaman tabii kerana ketinggian kerohanian , tidak mendapat pendidikan langsung
dari Rasulullah saw walaupun berada dizamannya atau dari sahabat-sahabat Nabi, tetapi apa
yang disepakati oleh ulama sufi adalah disebabkan banyak selawat dan cinta rindu pada
Rasulullah saw sert kuatnya ia berkhidmat untuk Ibunya.
6. Tarekah dan zikir
Semua Tarekah atau zikir adalah baik, justeru itu saya tidak bersetuju apabila melebihkan
ilmu tentang Tarekah, zikir dan Syeikh dikalangan mereka diutamakan dari ilmu tasauf yang
hakiki yang mengajak manusia membuang ego diri kepada fakir pada Allah. Apabila hal ini
ditekankan , akan timbul kalimah yang mengatakan Tarekah mereka yang benar dan yang
paling kuat jazbah, syeikh mereka yang paling hebat. Masing masing dengan hujah masing-
masing sehingga mewujudkan pecah hati dikalangan pengamal tasauf yang mengajak
kesucian jiwa. Telah wujud aliran fekah dalam amalan tasauf iaitu mujadalah yang tidak
memberi kebaikan hanya sedikit sahaja walaupun benar sekalipun. Mendakwa amalan atau
syeikh mereka yang baik dan merendahkan amalan dan syeikh yang lain sedangkan mereka
berada diatas pengamalan yang benar adalah melanggar adab tasauf. Seorang syeikh telah
melanggar adab apabila merendahkan syeikh yang lain atau ulama-ulama lain diatas
martabat ilmu masing-masing kecuali apabila berlakunya kesalahan yang besar. Sebenarnya
apabila murid ditanamkan cerita kelebihan syeikh dalam salsilah ,bukan akhlak dan ubudiah
syeikh itu yang ditekankan, secara halus ia ingin menyatakan kepada murid bahawa beliau
juga sebagai syeikh mempunyai kelebihan dan juga mencapai taraf aulia. Apabila murid telah
terpengaruh secara tidak langsung amat percaya sehingga melahirkan budaya taksub
kepadanya. Disini ia akan mendapat imuniti atau kekebalan sehingga kesalahan mereka
disangka baik oleh murid. Cerita Nabi Khidir as disebarkan untuk kepentingan peribadi
sedangkan Nabi Allah khidir adalah Nabi, apa yang dilakukan adalah wahyu sedangkan para
aulia berdasarka ilham , firasat atau kasyaf.Ianya tidak menjamin kebenaran.
7.Tasauf
Tasauf tidak lain adalah mendalami lagi ilmu tauhid, membebaskan diri dari syirik-syririk yang
halus yang kadangkala boeh membahaya kepada akidah dan menghilang pahala. Membina
nafsunya hingga sampai jiwa yang tenang. Membina akhlak untuk menepati akhlak
Rasulullah saw. Ia membawa kedalaman kehambaan bukan dalam bentuk ilmu hafalan
seperti usuluddin tetapi kepada penghayatan dan penglihatan. Jika selama ini ia belajar
tauhid mengatakan bahawa segala perbuatannya dari Allah, kini ia beramal sehingga hatinya
merasai ( ainul yaqin) dan akhirnya hati diberikan nur sehingga ia menyaksikan dengan
matahati setiap gerakdiamnya dari Allah. Martabat ini dikupas secara mendalam dalam kitab
Darul Nafis.
Memuja atau terlalu memuliakan makhluk adalah perlu dijauhi dalam pendakian kerohanian.
Tarekah dengan Tasauf adalah dua perkara yang yang berasingan,Tarekah berbentuk umum
sedangkan tasauf berbentuk khusus. Tidak semestinya seorang yang alim dalam ilmu
tarekah dan beramalnya adalah orang telah mencapai hakikat tasauf dan menjadi ahli sufi
yang hakiki ,tetapi seorang yang mencapai hakikat Tasauf dan menjadi ahli sufi adalah ahli
Tarekah. Inilah yang disebut Syeikh Al Hujwiri menegaskan bahawa sufi ialah mukmin yang
telah mencapai kedarjah kamal, yang telah fana dirinya dan mencapai baqabillah. Sedangkan
orang yang baru belajar berzikir dan bermujahadah dijalan Allah dengan ilmu tasauf itu pula
dikenali sebagai mutasawwif dan golongan yang meniru-niru kehidupan sufi dipanggil
mustasawwif. Janganlah dihairan jika kita bertemu dengan seorang yang mencapai darjah
syeikh dalam tarekah, alim dalam masalah ilmu tarekah dari sudut syarahan tentang zikir,
suluk salsilah dan sebagainya tetapi masih mempunyai sifat yang bertentangan dengan
akhlak sufi kerana apa yang mereka pelajari dan amalkan baru pintu sufi , mereka belum
masuk kedalam lautan sufi dengan ertikata yang sebenar. Mereka yang benar mencapai
maqam fana atau zuhud pasti memalingkan dirinya dengan hal dunia makhluk darinya,
baginya kemuliaan dan kehinaan adalah sama, ia tidak kecewa atau terlalu gembira dengan
nikmat dan tidak sedih dengan kesusahan. Hati mereka tenggelam dalam lautan makrifat,
melihat Allah dalam segala hal sebagaiman firman Allah " Dimana kamu hadap disitulah
wajah Allah." Sufi yang sebenar sudah tidak ada lagi kegembiraan terhadap dunia dan
makhluk, hatinya asyik dengan Allah sehingga makhluk dianggap sebagai gangguan kepada
jiwanya. Mereka cintakan bersunyian. Berkata Imam Al Ghazali, " Seorang itu tidak
dinamakan zuhud walau berada dalam hutan dalam rumah yang buruk sekalipun selagi
hatinya suka diziarahi oleh manusia."
Inilah yang disebut oleh Syeikh Abdul Qadir Jailani " Lidah mereka alim menyebut tentang
Allah tetapi hati mereka jahil dengan Allah." Mereka tidak melihat Allah dalam setiap kejadian
dibelakang segala peristiwa samada baik dan buruk, justeru itu mereka akan menuding pada
makhluk dan marah sehingga ada mereka yang mendoakan bala apabila satu peristiwa.
Mereka yang terburu-buru dalam tindakan adalah termasuk dalam nafsu ammarah dan
lawammah sedangkan orang yang mencapai mutmainnah ialah mereka yang bersifat tenang
dalam semua hal sehingga manusia tidak mengetahui ia dalam kesusahan atau
kegembiraan. Inilah yang difirman Allah " Sesungguhnya para wali itu tidak merasa ketakutan
dan kesusahan."
8.Perlukah berguru untuk mencapai maqam tersebut.?
Dalam hal ini dsebut dalam kitab Qawaa'idul Tasawwuf oleh Syeikh Zakaria terdapat tiga
peringkat.
1. Melihat pada seorang itu.
a. Dalam bidang ilmu , jika ia memiliki kemampuan untuk mengetahui sumber-sumber ilmu,
cukup baginya kitab-kitab tanpa syeikh.
b. Dalam pendidikan.
Jika sudah memiliki kemampuan agama ,pandai dan boleh memberi nasihat serta pendidikan
, cukup baginya ia bersahabat dengan syeikh.
c. Dalam pendakian kerohanian, cukup baginya mengambil barakah salsilah dengan
mengamalkan zikir yang diberi, apabila hal ehwah kerohanian berlaku padanya , boleh ia
mengadakan murjaah atau perbincangan dengan para syeikh dimerata tempat..
2. Bagi murid yang kurang kemampuan untuk merujuk sendiri kitab-kitab untuk memahami
ilmu, perlu ia berguru. Apa yang penting Guru tersebut adalah alim, memahami dan kuat
berpegang dengan syariah,beramal dengan ilmunya, mempunyai akhlak yang baik, ikhlas,
memahami dan bermujahadah dengan nafsunya dan mempunyai salsilah yang benar .
Al Junaid mengatakan " Tinggalkan Guru yang mengaku wali"
Imam Al Ghazali mengatakan " Tinggalkan Guru yang kamu ragui keikhlasannya atau cacat
akhlaknya".
Dalam pendidikan tidak boleh berlaku paksaan pada murid untuk terus belajar dengan
seorang syeikh, jika ia merasakan pendidikan syeikh ini tidak sesuai dengannya , syeikh
sebaiknya terbuka jiwanya dan menunjukkan dimanakah syeikh yang sesuai dengannya.
Semakin kurang murid semakin kurang tanggungjawab syeikh dihadapan Allah. Dengan
jumlah jutaan umat Islam hari ini, umat Islam perlu dididik seramai mungkin para Murabbi (
Syeikh) agar umat Islam dapat menghayati ajaran Islam dengan baiknya dan selamat hati
dari fitnah dunia. Mereka bersepakat dan berganding bahu dengan ilmu yang mereka milki
untuk membimbing manusia kepada Allah swt. Pengajian Ilmu yang melimpah tanpa adanya
perjalanan pendidikan mengikut ajaran sufi, ia tidak akan memberi perubahan kepada
masyarakat Islam dalam membina diri menjadi ummah yang hebat. Ilmu ulama adalah dari
akal pada akal tetapi ilmu para sufi adalah dari dada kedada. Seorang yang dalam dadanya
tidak hidup hatinya dengan kalimah Allah,ketakwaan, makrifat, kosong dengan cinta pada
Allah tidak akan dapat mengubah hati manusia. Ubahlah diri kamu dahulu kepada takut dan
cinta pada Allah yang sebenarnya, nescaya akan dapat mengubah manusia kepadanya.
3. Dalam aspek mujahadah. Ketakwaan tidak berhajatkan syeikh kerana ia adalah perkara
yang begitu jelas pada umum. Orang yang berilmu yang memahami sumbernya dan mampu
merujuk kitab-kitab,ia tidak memerlukan syeikh, cukup baginya kitab serta terus
bermujahadah untuk meraih kasyaf atau makrifat. Ia hanya perlu merujuk atau berbincang
dengan para para syeikh dari apa aliran jika terbukanya rahsia illahi yang tinggi.
Ba'iah
Bai'ah dalam tarekah adalah bai'ah pengamalan bukannya perjanjiaan untuk terus mengikuti
Syeikh dalam semua aspek dan memperhambakan diri padanya, ia hanya termasuk dalam
adab berguru. Seorang murid itu selagi ia beramal dengan amalan Guru tersebut, ia perlulah
menjaga adab kepadanya, Apabila ia meninggalkan amalannya dengan sendiri Bai'ah itu
hilang. Beramal tidak boleh dipaksa, ia mesti datang dari lubuk keikhlasan seorang murid.
Beramal tanpa ikhlas tidak membawa apa natijah pada murid apalagi apabila hati murid
sudah tercedara hatinya pada akhlak Guru. Adapun khidmat adalah satu latihan Guru untuk
mencabut mazmumah dalam hati muridnya bukan untuk kepentingan peribadi. Saidina Omar
tidak benar orang berkhidmat kepadanya dalam memikul gandum kepada orang miskin,
begitu juga Saidina Abu Bakar tidak benar orang berkhidmat padanya untuk memeras susu
kambing pada jirannya yang Tua walaupun bergelar Amirulmukminin. Walaubagaimanapun
ImamalGhazali menekan juga khidmat dalam kitab sirrasalilkin agar dapat barakah dari Guru
tetapi apa yang penting Guru tersebut memelihara dirinya dari perasaaan sombong dan
menyusahkan murid dalam melakukan khidmat.
Adab akan berlaku bukannya dari satu latihan dan arahan tetapi ia datang ilmu atau
kehalusan jiwa para murid, semakin tinggi ilmunya semakin tinggi adabnya.
Bai'ah kepada manusia tidak boleh mutlak, Allah swt menggunakan perkataan waathi kepada
Allah dan Rasul tetapi menggunakan kalimah waullu kepada manusia, pemimpin, Guru,
ibubapa dan sebagainya walaupun maksudnya adalah taat. Dalam tafsir Ibnu Katsir telah
menghuraikannya bahawa perkataan wauulu adalah bermakna ketaatan yang tidak mutlak.
Ketaatan berlaku selagi seorang pemimpin itu menyuruh atau melakukan perkara yang
mengikuti Al Quran dan Hadis, jika berlakunya arahan atau kelakuan yang bercanggah
dengan Al Quran dan Hadis tidak boleh mentaatinya lagi. Jika seorang Guru melakukan
perkara yang bercanggah dengan syarak, nasihati ia baik, bersangka baik ,mungkin Guru
tersebut tidak mengetahui adanya hukum yang tidak boleh melakukan perkara tersebut, jika
dinasihati ia tidak mahu menerimanya, tinggalkannya.Ini disebut dalam kitab Qawaa'idul
Tasauf. Jika kita terus mengikuti mereka yang tidak mengikuti Al Quran dan Sunnah, kita
telah menentang ajaran agama sendiri. Saidina Abu Bakar, Saidina Omar dan para khalifah
Arrasidin telah mengatakan satu lafaz yang masyhur apabila mereka menerima bai'ah taat
setia dari penduduk madinah dengan mengatakan " Aku bukannya orang paling terbaik
dikalangan kamu, ikutilah aku selagi aku berpegang Al Quran dan Sunnah, nasihatkan aku
atau tinggalkan aku jika aku menyalahi Al Quran dan Sunnah." Emosi kasihan dan kasih
sayang tidak boleh dikompromi dalam masalah hukum. Berkata Syeikh abdul Qadir Jailani
dalam kitab Pembukaan yang Ghaib, " Jika hati kamu kasih pada seorang sedangkan kamu
melihat kelakuannya tidak menepati Al Quran dan Sunnah, kasih kamu itu dari nafsu dan
syaitan, jika kamu membenci seorang itu sedangkan kelakuannya menepati Al Quran dan
Sunnah, kebencian kamu dari nafsu dan syaitan, maka wajib kamu bertaubat dan memohon
maaf padanya." Kebenaran mesti diukur dari kacamata syariah bukannya pemikiran, emosi
dan sebagainya. Justeru itu walaupun Nabi khidir mempunyai ilmu kerohanian yang lebih
hebat dari nabi Musa a.s. tetapi dalam memimpin umatnya, Nabi Musa adalah syeikhnya
kerana agama itu berada pada syariah kerana tanpa berpegang pada syariah hancurlah
agama. Justeru syeikh dahulu seperti Al Junaid mensyaratkan orang mahu mengikuti
perjalanan tasauf ketuhanan ini adalah ahli hadis.
Semoga dengan sedikit penjelasan ini memberi sedikit manfaat kepada pencinta jalan
kesufian.
harap saudara2 boleh memberikan sedikit pandangan