Post on 16-Dec-2015
description
Biodata Murid
Nama : Aliah (bukan nama sebenar)
Jantina : Perempuan
Asal : Semeling, Kedah.
Umur : 10 tahun
Bangsa : Melayu
Agama : Islam
Tarikh Lahir : 1 November 2005
Tempat Lahir : Hospital Sultan Abdul Halim, Sg. Petani.
Bil. Adik-beradik : Anak Sulung dari dua orang.
Nama Bapa : Ghani b. Abu Hassan
Pekerjaan Bapa : Penjual Ayam
Nama Ibu : Sanisah bt. Md. Ali
Pekerjaan Ibu : Suri Rumah
Tinggal bersama : Ayah, ibu dan adik 4 tahun.
LATAR BELAKANG MURID
Aliah adalah salah seorang murid di Sekolah Kebangsaan Semeling. Aliah
berada di kelas ketiga untuk tahun 4 iaitu 4 Azam. Aliah merupakan anak sulung
kepada sebuah keluarga yang ekonominya sederhana. Setiap pagi sebelum ke
sekolah, Aliah menolong ayahnya ke kedai untuk bersiap sedia untuk menjual ayam
di pasar. Kebiasaannya selepas selesai membantu ayahnya, Aliah pulang ke rumah
untuk bersiap ke sekolah. Ibunya adalah seorang suri rumah. Ibu Aliah tidak mampu
bekerja kerana beliau mempunyai masalah kesihatan.
Oleh kerana Aliah anak sulung dan sering membantu ayahnya menjual ayam,
Aliah kerap ponteng sekolah terutamanya apabila hari tersebut mempunyai subjek
Bahasa Inggeris. Tingkahlaku ini telah menjadi kebiasaan kepada Aliah sejak dia
berada di tahun 3 lagi. Bagi Aliah subjek Bahasa Inggeris ini susah dan tidak menarik.
Oleh itu tidak perlu baginya untuk menghadirkan diri ke sekolah pada hari yang
mempunyai subjek itu ditambah lagi dengan kepenatan membantu ayahnya.
Keadaan ini disokong lagi dengan tindakan ibu bapa Aliah sendiri. Mereka tidak
mengendahkan tentang kehadiran anak mereka ke sekolah. Guru kelas Aliah juga
ada menyatakan bahawa usaha untuk menghubungi bapa Aliah gagal kerana
ayahnya tiada telefon bimbit. Jika pergi ke rumah sekali pun ayahnya kerap tiada di
rumah.
Masalah ponteng sekolah ini adalah mungkin disebabkan beberapa faktor
seperti keluarga Aliah sendiri tidak mengutamakan pendidikan, tidak minat belajar
terutamanya untuk subjek Bahasa Inggeris, dan masalah ekonomi keluarga.
TEORI KAUNSELING DAN ANALISA FAKTOR-FAKTOR
PONTENG SEKOLAH
Teori Rasional Emotif
Teori Rasional Emotif ini secara umumnya bermula dengan sistem
kepercayaan dalam diri individu yang memberi kesan ke atas emosi dan
tingkahlakunya yang ada pada kebiasaannya bersifat negatif. Menurut Albert Ellis,
manusia pada dasarnya adalah unik yang memiliki kecenderungan untuk berpikir
rasional mahupun tidak. Ketika berpikir dan bertingkahlaku rasional segala perbuatan
atau kerja individu itu sangat efektif, mampu berasa bahagia, dan juga berkompeten.
Ketika berpikir dan bertingkahlaku tidak rasional individu itu menjadi tidak efektif.
Teori Rasional Emotif ini mementingkan tiga aspek utama iaitu kognitif, emosi
dan aspek tingkah laku ataupun behavioris. Dalam erti kata lain teori ini memberi
penekanan kepada pemikiran, penganaliasaan, penilaian, perlakuan dan membuat
keputusan. Teori ini juga menggunakan pendekatan yang bercorak deduktif iaitu
mengajar, mengarah, dan juga mengutamakan kepada pemikiran daripada
kepercayaan yang tidak rasional. Terapi ini yakin bahawa setiap individu mempunyai
sistem kepercayaan yang tidak rasional. Kepercayaan ini perlu dicabar dan
diperbetulkan supaya dapat mewujudkan sistem kepercayaan yang baik dan rasional.
Dalam konteks ini ia merupakan satu sistem pendidikan semula yang mengajar
individu untuk melihat semula sistem kepercayaan yang membuatkan dirinya
menderita dengan menggantikan semula dengan satu set kepercayaan yang
membawa kesejahteraan dan kebahagiaan pada diri seseorang individu dan
seterusnya kepada orang yang signifikan dengannya.
Kekuatan Teori Rasional Emotif ini adalah ianya bermatlamat untuk mengajar
individu berfikir dan bertingkahlaku secara rasional. Walau bagaimanapun, mereka
bebas untuk memilih antara tingkah laku negatif dan tingkah laku positif. Dengan kata
lain mereka diajar untuk bertanggungjawab atas pemikiran masing-masing dan
konsekuen tingkah laku yang berikutan. Secara amnya, dapat dilihat pendekatan ini
cepat sampai kepada masalah yang dihadapi oleh klien iaitu Aliah. Oleh itu,
penyelesaian masalah juga dapat dilakukan dengan segera. Kaedah pemikiran logik
yang akan ditunjukkan dan diajarkan kepada Aliah dapat digunakan dalam sesi
kaunseling bersama. Hal ini kerana melalui Teori Rasional Emotif ini, klien iaitu Aliah
diajar untuk menerima diri sendiri. Khayalan rasional emotif melatih Aliah untuk
berfikir, berasa dan bertindak sama seperti dalam realiti kehidupan masing-masing.
Faktor-faktor Kes Berlaku Berdasarkan Teori
Sepanjang saya di Sekolah Kebangsaan Semeling, saya tidak berpeluang
untuk menebual dengan Aliah untuk suatu tempoh masa lama. Hal ini adalah kerana
kekangan masa serta Aliah sering ponteng dikala saya kepalangan. Kebanyakan
infomasi yang saya peroleh adalah dari guru kaunseling dan juga guru-guru lain di
sekolah yang pernah atau masih mengajar kelas Aliah. Terdapat beberapa faktor serta
punca sebenar yang mendorong Aliah sering ponteng sekolah.
Berdasarkan temubual ringkas yang telah saya jalankan bersama Aliah, faktor
pertama adalah kurangnya minat dengan subjek Bahasa Inggeris. Aliah merasakan
bahawa subjek ini tidak menarik dan membosankan. Tambahan pula ianya adalah
satu bahasa asing yang bukan bahasa pencakapan Aliah di rumah dan dia sangat
lemah di berbahasa inggeris. Oleh itu, Aliah bertindak untuk mengelak dari belajar
subjek Bahasa Inggeris ini. Cara pemikiran Aliah ini akan membawa aura negatif di
dalam diri dan membuatkannya untuk terus berada di dalam jalan yang salah.
Berdasarkan teori ini juga, manusia bermasalah adalah bukan akibat daripada
sesuatu perkara atau peristiwa tetapi adalah disebabkan oleh pandangan atau
pemikiran mereka sendiri terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku. Selain itu,
seseorang akan menghadapi neurosis atau psikosis bukan disebabkan oleh sesuatu
peristiwa tetapi kerana idea-idea dan kepercayaan-kepercayaan yang tidak rasional,
tidak realistik dan tidak logik. Implikasi daripada pemikiran yang karut dan songsang
ini akan menimbulkan gangguan emosi dan tingkah laku yang bersifat self defeating.
Corey (1996) menjelaskan prinsip asas kepada gangguan emosi adalah sebahagian
besarnya akibat daripada hasil pemikiran tidak rasional dan pemikiran kalah diri.
Keadaan ini yang telah terjadi kepada Aliah di mana dia sendiri yang mencipta satu
tanggapan bahawa Bahasa Inggeris itu satu subjek yang susah, tidak menarik, dan
tidak penting untuk dirinya untuk belajar sejurus mengambil keputusan untuk ponteng
pada hari-hari yang mempunyai subjek Bahasa Inggeris.
Antara faktor lain yang menyebabkan Aliah tidak mahu hadir ke sekolah adalah
kerana takut dimarahi guru Bahasa Inggeris. Faktor tersebut telah dikenalpasti
berdasarkan perbualan bersama Aliah. Menurut Aliah, dia tidak mahu datang ke
sekolah kerana takut dimarahi guru tersebut. Hal ini kerana, Aliah sering kali dimarahi
guru tersebut setiap kali dia hadir sehingga menyebabkan dia sudah tidak mahu lagi
datang ke sekolah kerana menganggap guru Bahasa Inggeris yang memarahi dirinya
itu sangat benci dan tidak suka kepada dirinya. Walaupun Aliah menyedari akan
kesilapannya tidak menyiapkan kerja rumah menjadi faktor utama dimarahi guru,
namun begitu akibat dimarahi oleh guru yang sama terlalu kerap menyebabkan Aliah
menganggap dirinya dibenci dan tidak disukai oleh guru tersebut. Hal tersebut
menyebabkan Aliah tidak mahu dan sangat takut untuk datang ke sekolah dan
bertemu dengan guru tersebut. Namun begitu pada hari-hari lain yang guru tersebut
tidak mengajar, Aliah akan datang ke sekolah.
Sikap ayah dan ibu Aliah yang tidak tegas serta terlalu berlembut dengan Aliah
menyebabkan dia berasa selesa dengan keadaan dia sekarang ini. Aliah tidak berasa
dia sudah melakukan satu kesalahan yang serius di dalam hidupnya. Perkara ini dapat
dikuatkan lagi apabila guru kelasnya memberitahu bahawa untuk menghubungi ayah
Aliah adalah sangat sukar. Beliau tiada telefon bimbit dan sering tiada di rumah.
Ibunya pula tidak berapa sihat. Perkara ini lebih membuatkan masalah ini makin
menjadi-jadi.
Kesimpulannya, saya telah berjaya mengenalpasti beberapa faktor yang
menjadi sebab utama Aliah ponteng sekolah. Diharapkan, kes Aliah ini dapat
diselesaikan dan Aliah akan mula membuka minda dan celik akal serta mempunyai
kesedaran diri yang tinggi untuk berubah dan mengatasi masalahnya sendiri dan
menjadi murid yang tidak bermasalah di sekolah mahupun di rumah.
Matlamat Sesi Kaunseling
Matlamat Teori Rasional Emotif (REBT) adalah bertujuan untuk membantu
klien memperkembang pemikiran rasional dan logikal melalui galakan mereka memikir
dan memahami pemikiran tidak rasional yang diwarisi masa dahulu. Di dalam kes ini
Aliah berasakan bahawa dirinya sangat dibenci oleh guru subjek Bahasa Inggerisnya.
Oleh itu, bersama harapan selepas beberapa kali menjalani sesi kaunseling, segala
perilaku atau pemikiran yang tidak rasional atau tidak logik Aliah dapat diperbaiki dan
diubah supaya klien iaitu Aliah dapat mengembangkan diri sendiri ke arah yang lebih
baik.
REBT berusaha ke arah satu perubahan falsafah hidup dan idealogi
berpandukan kepada andaian atau andaian bahawa masalah emosi dan perlakuan
manusia adalah berpunca daripada falsafah hidup manusia itu sendiri. Oleh itu tujuan
asas REBT ialah bukan sahaja untuk menghapuskan gejala atau masalah klien tetapi
ke arah mendorongkan klien agar dapat menguji secara kritis nilai-nilai dalam dirinya.
Sekiranya masalah yang dihadapi klien seperti ketakutan atau kegagalan dalam
sesuatu perkara maka sasaran terapis bukan hanya untuk mengurangkan rasa
ketakutan tetapi juga untuk menangani perasaan kegagalan seterusnya. Dalam
maksud yang lain tujuan utama proses teraputik REBT ialah untuk membantu klien
membebaskan dirinya daripada masalah-masalah yang telah dinyatakan atau yang
tidak diluahkan kepada terapis.
Proses teraputik REBT merupakan suntikan penyembuhan pemikiran yang
tidak rasional kepada pemikiran yang lebih rasional. REBT membuat andaian bahawa
manusia merupakan makhluk yang rasional dan gangguan emosi adalah disebabkan
oleh pemikiran yang tidak rasional yang wujud dalam hidup seseorang yang telah
dipelajari daripada ibu bapa, rakan-rakan dan masyarakat amnya. Seseorang individu
itu boleh memperolehi kebahagiaan sekiranya ia mempelajari cara berfikiran rasional
dan membuang pemikiran yang tidak rasional.
REFLEKSI
Bissmillahirahmanirrahim. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W
serta para sahabat baginda.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi dengan limpah serta kurnianya dapat juga saya
menyiapkan tugasan yang diberikan dalam masa yang ditetapkan. Terima kasih juga
diucapkan kepada Encik Tarmizi, pensyarah bagi mata Bimbingan dan Kaunseling
Kanak-kanak (EDU 3073), tanpa bantuan mereka saya pasti tidak akan dapat
menyiapkan tugasan ini.
Dalam kerja kursus ini, terdapat dua tugasan yang perlu dibuat oleh setiap
guru pelatih semester 7 iaitu tugasan pertama ialah kajian kes manakala tugasan
kedua ialah penulisan akademik. Dalam tugasan pertama, saya perlu membuat
rumusan berdasarkan perancangan tahunan unit bimbingan dan kaunseling sekolah
dan membuat laporan tentang kepentingan program yang dirancang kepada murid
sekolah tersebut manakala tugasan kedua, saya perlu memilih klien yang bermasalah,
menganalisa faktor yang menyumbang kepada permasalahan klien serta justifikasi
teori yang dipilih dalam menyelesaikan masalah klien.
Sepanjang menjalankan tugas ini, saya mengalami pelbagai masalah dan
kesukaran seperti menemui jalan buntu apabila saya tidak dapat memikirkan apakah
teori yang sesuai untuk digunakan bagi kes ponteng sekolah. Bagi saya tugasan untuk
mata pelajaran ini tidaklah begitu sukar, tetapi memerlukan saya untuk banyak
membaca artikel-artikel serta buku-buku ilmiah berkenaan dengan teori-teori di dalam
bimbingan dan kaunseling. Ianya lebih menyenangkan apabila rakan-rakan saya
banyak membantu saya untuk memahamkan masalah soalan yang telah diberi untuk
tugasan kali ini. Ternyata mereka amat membantu, tanpa mereka sudah pasti saya
tidak dapat mengyiapkan tugasan Kerja Khusus Berasaskan Ilmu (KKBI) untuk subjek
ini.
Proses pengumpulan maklumat telah bermula 2 minggu sebelum tarikh saya
memulakan sebarang penulisan ilmiah lagi. Pada mulanya, saya mengalami
kesukaran dalam pemilihan kes yang menarik dan mudah bagi tahap guru pelatih
seperti saya ini. Alhamdulillah dengan bantuan guru-guru di sekolah itu pelbagai
informasi yang telah saya peroleh.
Antara pengalaman lain yang saya peroleh sepanjang proses pengumpulan
maklumat ini adalah kesabaran. Tugasan untuk subjek ini boleh dikatakan banyak
serta memerlukan analisis secara terperinci. Saya percaya dengan pengalaman ini
saya akan lebih bersedia sebagai seorang bakal guru. Ilmu yang diperoleh sudah
tentu tidak ternilai harganya.
Sudah semestinya setiap perkara yang kita lakukan mempunyai masalah dan
juga kelemahan. Sepanjang menyiapkan tugasan ini, masalah pertama yang timbul
adalah masa yang terhad untuk mengumpul maklumat. Disebabkan waktu yang
diberikan untuk menyiapkan kerja khusus ini adalah di sepanjang sesi praktikum fasa
3. Kesukaran semakin menyelubungi diri apabila berlaku kekangan masa disebabkan
saya perlu membahagikan masa diantara kehidupan sebagai pelajar dan juga sebagai
suami dan bapa. Adakalanya saya berasakan yang saya akan gagal untuk
menyiapkan dalam masa yang ditetapkan. Akan tetapi, saya terus tegar dengan
prinsip hidup saya yang saya pegang iaitu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke
tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. Walaupun saya agak
sibuk untuk menguruskan perihal peribadi, saya tetap cuba untuk melakukannya.
Pengorbanan itu perlu untuk menempah kejayaan. Bak kata pepatah, tiada kejayaan
tanpa pengorbanan.
Banyak pengajaran yang saya peroleh dari tugasan ini. Antaranya, saya
menjadi seorang yang lebih tekun berusaha, sabar dan berdisiplin. Tanpa kesabaran
yang utuh, saya pasti akan berputus asa dalam mencari segala maklumat yang
diperlukan.
Akhir sekali, saya berharap agar tugasan ini dapat memenuhi kriteria yang
telah ditetapkan dan memuaskan hati semua pihak terutamanya kepada pensyarah
subjek ini Encik Tarmizi.
RUJUKAN
http://kotakkati.blogspot.com/2012/05/teori-rasional-emotif-siri-ii.html
http://awekcool.blogspot.com/2010/04/teori-rebt-teori-ret.html
Choong Lean Keow. (2010). Bimbingan dan Kaunseling Kanak-Kanak: Program
Ijazah Sarjana Muda Perguruan Dengan Kepujian Institut Pendidikan Guru Malaysia.
Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Shertzer & Stone. (1974). Fundamentals of Counseling. Boston: Houghton Mifflin Co.
Mok Song Sang. (2010). Bimbingan dan Kaunseling Kanak-Kanak. Puchong,
Selangor Darul Ehsan: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
BIODATA & LATAR
BELAKANG MURID
TEORI KAUNSELING &
ANALISA FAKTOR-
FAKTOR
REFLEKSI
RUJUKAN
MATLAMAT