1
SYARAHAN PERDANA TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM
24 JULAI 2016
DEWAN SULTAN ISKANDAR, UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam “1Malaysia: Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan Salam Sehati Sejiwa.
Yang Berbahagia Profesor Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar
Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia
Yang Berbahagia Datuk Jalil Marzuki
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan)
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Mazlan Yusoff
Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara
Timbalan-Timbalan Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia
Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan Perkhidmatan Awam
Pegawai-Pegawai Kanan Universiti Teknologi Malaysia
2
Yang Berbahagia Profesor, Datuk, Datin, Dr., Tuan-tuan dan Puan-puan yang
dikasihi sekalian.
2. Alhamdulillah, saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah
SWT kerana atas limpah kurnia-Nya jua, dapat kita bertemu dalam majlis yang
begitu signifikan lagi bersejarah ini, bersempena Syarahan Perdana Transformasi
Perkhidmatan Awam yang pada kali ini menjelajah ke selatan tanah air, iaitu ke
Universiti Teknologi Malaysia.
3. Izinkan saya memulakan mukadimah perbicaraan saya hari ini dengan
petikan mutiara hikmah dalam sebuah kitab Minhajul Abidin (Jalan Ahli Ibadah) yang
pernah diungkapkan Imam Al-Ghazali, “Menuntut Ilmu adalah takwa; Menyampaikan
ilmu adalah ibadah; Mengulang ilmu adalah zikir; Mencari ilmu adalah jihad”. Tersirat
dalam nasihat tersebut ialah kepentingan menuntut ilmu dan menyebarluaskan ilmu
tersebut. Sesungguhnya perkongsian ilmu ini bererti menyebarkan petunjuk Allah
SWT yang merupakan cahaya dalam menerangi jalan kebenaran dan menjadi
pembuka pintu kesejahteraan alam semesta untuk dinikmati oleh segala
penghuninya.
KEAGUNGAN TRADISI KEILMUAN SAINS DAN TEKNOLOGI DUNIA ISLAM
Para hadirin yang dikasihi sekalian,
4. Kegemilangan tamadun Islam dalam tempoh tidak kurang dari empat abad
menjadi sejarah dan momen teragung untuk dikenang bahawa suatu masa dahulu,
3
umat Islam sangat terkehadapan dalam bidang sains dan tradisi keilmuan. Saintis
muslim membintangi dunia kesarjanaan dengan tamadun Baghdad ditandai sebagai
puncak kegemilangannya khususnya di era pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid
dan puteranya Khalifah al-Makmum.
5. Harapkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di siang hari. Teraju
keilmuan sains dan teknologi di dunia Islam gagal untuk terus bertapak kukuh. Panji
kecemerlangan ini akhirnya telah diambil alih oleh dunia barat yang begitu
mencemburui era keemasan dunia Islam yang sebelum itu telah diranapkan oleh
tentera Mongol pada abad ke-13. Era sains dan teknologi dunia Islam yang
mengalami zaman gerhana telah membuka episod baharu kepada tamadun Eropah
yang mula bangkit dari zaman kegelapan atau lebih dikenali sebagai zaman
Renaissance. Cengkaman pihak gereja yang sebelum ini begitu dominan dalam
mewarnai landskap kehidupan masyarakat eropah menjadi semakin longgar. Zaman
kebangkitan menyaksikan golongan ilmuan dan saintis mula menerajui
perkembangan ilmu dan pengetahuan menerusi kajian dan penemuan-penemuan
baharu.
6. Di dunia nusantara, konflik yang wujud di antara ahli agama dan golongan
cerdik pandai telah menimbulkan pertembungan yang dahsyat sehingga
mempengaruhi rakyat menolak pengkajian saintifik barat dan melihatnya sebagai
satu perkara yang syirik dan harus ditentang. Lebih malang pegangan seperti ini
masih lagi berlegar dalam segelintir masyarakat sehingga kini. Polemik vaksinasi
dalam kalangan masyarakat hari ini yang menjadi isu besar di media sosial dan
4
perdana adalah antara contoh pertembungan pendapat dalam kalangan rakyat yang
membenarkan hakikat ini.
7. Kegagalan melihat sains dan teknologi sebagai pemangkin dalam
meningkatkan kesejahteraan dan martabat umat memberikan kesan yang sangat
negatif dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam seperti yang dibanggakan
pada suatu masa dahulu. Isu-isu yang sering membelenggu ialah bagaimana
negara-negara Islam yang mempunyai majoriti penduduk bumi dapat mempelopori
semula penemuan dan ciptaan baharu sains dan teknologi selepas beberapa abad
hanya sekadar menjadi pengguna dan pengekor kepada kemajuan teknologi barat.
Ledakan sains dan teknologi barat juga telah memunculkan globalisasi. Pada abad
ke-20 sehingga kini, dampak dari kemajuan sains dan teknologi terus berkembang
pesat meninggalkan kesan yang begitu mendalam dalam kehidupan manusia.
Dekad 80-an pula menyaksikan perkembangan sains kuantum yang membuka era
baharu dengan kemunculan teknologi perkomputeran, teknologi maklumat, kawalan
jarak jauh, teknologi angkasa, teknologi imej, teknologi elektronik dan fotonik dan
terkini nanoteknologi.
8. Maka, berdiri di atas hujahan inilah saya berkeyakinan usaha mengangkat
dan menjulang obor keilmuan dalam bidang sains dan teknologi bukan lagi menjadi
suatu keperluan, bahkan ia menjadi satu kefardhuan yang wajib digalas oleh kita
semua sebagai penjawat awam.
5
LAKARAN TRADISI KEGEMILANGAN UTM
Para hadirin yang dikasihi sekalian,
9. Institusi pengajian tinggi mempunyai peranan dan sumbangan yang sangat
signifikan dalam melaksanakan Agenda Transformasi Negara. Penghasilan modal
insan yang berkualiti tinggi merupakan salah satu faktor penentu kejayaan Malaysia
ke arah status negara maju berpendapatan tinggi. Untuk itu, institusi pengajian tinggi
dituntut untuk melakukan pengislahan dengan terus menjalankan usaha-usaha
rejuvenasi dan penyuburan semula tamadun ilmu ke arah mengangkat martabat
pengajian tinggi negara. Kebitaraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dinobatkan
sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan atau Research University telah
memberi peluang untuk memposisikan dirinya dalam satu trajektori yang tepat
sebagai peneraju kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang
kejuruteraan teknologi. Testimoni kecemerlangan ini terzahir menerusi kejayaan
tersenarai dalam ranking ke-100 dunia dalam bidang kejuruteraan dan teknologi
serta menempatkan dirinya di kedudukan ke-63 Asia sebagaimana penarafan yang
dikeluarkan oleh QS World Rankings 2016.
10. Namun kita amat menyedari untuk mengekalkan kelestarian dan kebitaraan,
sesebuah institusi pengajian tinggi perlu memartabatkan persekitaran universiti yang
membolehkan wujudnya kombinasi unik pembudayaan penyelidikan, pengajaran
dan pembelajaran serta profesionalisme – a unique fusion of education, research
and professional practice. Sejajar dengan itu, UTM perlulah mencabar dirinya untuk
sentiasa menerokai penyelidikan dan penemuan baharu yang bukan sahaja sekadar
6
memenuhi repositori ilmu universiti, bahkan membawa perubahan besar kepada
kehidupan rakyat selaras dengan moto keramatnya, iaitu “Kerana Tuhan Untuk
Manusia”
11. Tanpa usaha dan komitmen padu seluruh warganya, saya yakin UTM tidak
dapat berada di tahap yang membanggakan sepertimana yang ada pada hari ini.
Atas dasar ini, saya mengajak warga UTM agar terus mengekalkan momentum
kejayaan ini dan mengukir kegemilangan sebagai salah sebuah universiti
penyelidikan tersohor bertaraf dunia.
KEMUNCULAN MEGA TRENDS YANG MEMBENTUK LANDSKAP BAHARU
GLOBAL
Para hadirin yang dikasihi sekalian,
12. Badan konsultasi global tersohor, Frost & Sullivan dalam kajiannya bertajuk
Global Mega Trends and Innovation Trends and Implications to Business, Society
and Culture telah mengenal pasti beberapa trend transformatif dan global forces
yang berpotensi memberi kesan yang amat ketara kepada masyarakat sedunia
menjelang tahun 2025. Kajian pada tahun 2014 tersebut telah mengenal pasti 12
mega trends yang akan memberi pengaruh hebat terhadap ekonomi, bisnes, budaya
dan kehidupan harian setiap individu. Dua belas mega trends tersebut ialah
“Urbanisation – City as a Customer”; “Bricks and Clicks”; “Future Infrastructure
Development”; “Smart is the New Green”; “Innovating to Zero”; “Health, Wellness
and Wellbeing”; “Social Trends: Gen Y, Middle Bulge, She-economy and Geo-
7
socialisation”; “Future of Energy”; “Future of Mobility”; “Connectivity and
Convergence”; “Economy: Beyond BRICS: The Next Game Changers”; dan “New
Business Models: Value for Many”.
13. Sebahagian besar daripada 12 mega trends ini yang akan menerjah ke
seluruh pelosok dunia dalam tempoh 30 tahun akan datang, bukanlah sesuatu yang
asing kepada kita. Ada di antaranya telah pun mula berakar dan kesannya juga telah
kita rasai pada masa ini. Dalam konteks syarahan ini, saya berpandangan terdapat
lima mega trends yang sesuai kita tekuni dan amati. Yang pertama adalah
“Urbanisation – City as a Customer”. Buat julung kalinya dalam sejarah peradaban
dunia, dianggarkan sebanyak 56 peratus daripada populasi dunia mendiami
kawasan bandar pada tahun 2020 atau mewakili jumlah seramai 4.3 billion orang.
Migrasi mega penduduk pula akan mentransformasikan bandar kepada hab ekonomi
yang lebih besar dan menyaksikan munculnya fenomena megacities. Pelebaran kota
ini akan membawa kepada terjelmanya “Mega Regions”, “Mega Corridors” dan
malangnya barangkali turut membiakkan “Mega Slums”.
14. Menjelang tahun 2025, Frost & Sullivan meramalkan sebanyak 35 mega
cities akan muncul di seantero dunia dengan benua Asia akan memiliki hampir 18
mega cities. Negara China sahaja akan mempunyai sebanyak 13 daripada 18 mega
cities di Asia.
15. Dalam konteks Malaysia, Kerajaan mensasarkan untuk membangunkan
empat bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu
sebagai Bandar Berdaya Saing menjelang tahun 2020. Matlamat ini adalah selaras
8
dengan pemacu perubahan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) iaitu
pelaburan bandar berdaya saing. Bandar raya terbesar di Malaysia iaitu Kuala
Lumpur sahaja telah menyumbang 14.8% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
pada tahun 2015.
16. Perbandaran memainkan peranan penting dalam pertumbuhan negara
dengan menyediakan peluang pelaburan dan perdagangan serta meningkatkan
keterhubungan dengan kawasan pinggir dan luar bandar. Selaras dengan matlamat
Malaysia untuk merekayasa dan merangsang pertumbuhan ekonomi, pembangunan
dan pembaharuan bandar adalah sangat penting dalam mewujudkan nadi
aglomerasi ekonomi yang kukuh. Dalam hal ini, saya melihat bahawa perkongsian
strategik di antara pentadbiran mega city, agensi swasta dan ahli akademik
merupakan model kerjasama terbaik di dalam mengurus fenomena ini.
17. Seterusnya yang kedua adalah “Smart Is The New Green”. Fenomena ini
memperlihatkan bagaimana produk dan perkhidmatan mesra alam pada masa kini
bakal digantikan dengan produk dan perkhidmatan pintar yang ditambah nilai
dengan teknologi imbasan pintar atau intelligent sensing technology. Dengan
dimobilisasikan oleh Internet of Things (IoT) dan komunikasi Mesin kepada Mesin
(M2M), teknologi pintar digital akan menjadi pemacu utama yang menentukan
kecekapan dan kemampanan pelbagai aplikasi yang digunakan secara meluas
dalam kehidupan moden hari ini dan masa hadapan. Melalui ramalan tersebut,
teknologi pintar digital ini akan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia
sejagat yang meliputi pelbagai bidang seperti smart energy, smart mobility, smart
9
healthcare, smart infrastructure, smart buildings, smart governance and of course
smart citizens.
18. Bab Keenam RMK11 menunjukkan bahawa kita telah berada di landasan
yang tepat menerusi gerakan revolusi bangunan hijau yang memfokuskan kepada
pembangunan teknologi yang mesra alam terhadap kawasan kediaman dan pejabat.
Strategi ini diambil bukan sahaja sebagai langkah meningkatkan kecekapan dan
keberkesanan penggunaan tenaga dan air, malah berdaya tahan terhadap
perubahan iklim. Dalam merealisasikan strategi ini, antara isu besar yang mungkin
menjadi persoalan kepada institusi-institusi penyelidikan seperti UTM adalah
bagaimana Tuan-tuan dan Puan-puan boleh memainkan peranan signifikan dalam
menjana ekonomi baharu berasaskan teknologi pintar?
19. Kemudiannya, yang ketiga adalah “Future Infrastructure Development”.
Sekiranya Tuan-tuan dan Puan-puan menjangkakan kos dan pelaburan untuk
menyediakan infrastruktur pada hari ini amat tinggi, then you have to think twice.
Dijangkakan pelaburan global untuk pembangunan infrastruktur akan mencecah
USD 27 trillion pada tahun 2025 dengan koridor Asia Pasific sahaja memiliki 37
peratus daripada jumlah pelaburan tersebut.
20. Hari ini, dengan komunikasi komuniti antarabangsa hanya berada di hujung
jari, dunia seolah-olah semakin mengecil. Atlas global semacam menghimpunkan
seluruh umat manusia dalam satu kota yang maha luas. Perjalanan dari benua ke
benua yang dahulunya memakan masa berbulan-bulan lamanya barangkali
memerlukan tempoh cuma sehari dua. Frost & Sullivan menjangkakan pembinaan
10
High Speed Rail atau HSR yang menghubungkan Asia Pasific dan Eropah bakal
diletakkan batu asasnya pada tahun 2025. Pada masa hadapan kelak, sebaik sahaja
gerabak pertamanya meluncur pantas di atas landasan tersebut, ungkapan bahawa
dunia ini adalah sebuah perkampongan global telah menjadi satu realiti.
21. Mega trend yang diramalkan Frost & Sullivan ini turut berlaku di negara kita
apabila pada minggu lalu, telah termerainya perjanjian persefahaman pembinaan
HSR yang bakal menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dengan melibatkan
kos pelaburan sebanyak USD 11 billion. Dijangkakan sebaik sahaja ia beroperasi
pada tahun 2026, masa perjalanan yang diambil hanyalah selama 90 minit sahaja.
Kemunculan HSR yang terkenal di Jepun, China dan negara Eropah dalam
pembangunan infrastruktur negara pastinya akan membuka peluang yang besar
kepada industri baharu berteknologi tinggi seperti rolling stock, teknologi landasan
yang sofistikated dan arkitektur stesyen yang canggih.
22. Sebagai sebuah institusi penyelidikan, Tuan-tuan dan Puan-puan perlulah
melihat perkara ini sebagai ruang dan peluang untuk kita mengembangkan lagi
kepakaran dan mempertingkatkan lagi teknologi yang sedia ada sekarang. Inilah
antara lontaran cabaran saya kepada Tuan-tuan dan Puan-puan sebagai warga
ilmuan.
23. Seterusnya, yang keempat adalah “Innovation to Zero’”. Mega trends
“Innovation to Zero” menggagaskan konsep dunia yang sempurna tanpa sebarang
kesilapan – zero emissions, zero accidents, zero fatalities, zero defects dan zero
11
breaches of security. Masyarakat hari ini berkiblatkan kepada kesempurnaan.
Mereka mengekspektasikan produk dan perkhidmatan yang terbaik tanpa sebarang
cacat cela. Seboleh mungkin ruang untuk terjadinya kesilapan akan ditutupi dan
dicari penyelesaian paling berkesan untuk mengisi ruang tersebut. Fenomena ini
turut membawa kepada perdebatan ekologi tentang masa depan bumi dan alam
sekitar. Kritikan terhadap pembangunan kontemporari yang didakwa menyebabkan
berlakunya kesan terhadap pemanasan global, penipisan ozon serta gangguan
terhadap ekosistem alam semakin rancak dan kencang diutarakan oleh pelbagai
pihak. Frost & Sullivan menjangkakan pada tahun 2030, kebanyakan negara maju
bakal melaksanakan konsep pembangunan hijau di semua bangunan milik kerajaan.
24. Perbahasan tentang isu alam sekitar turut membawa bersamanya perkaitan
dengan apa yang disebut sebagai “Circular Economy” – sebuah kitaran ekonomi
yang merupakan jawapan terhadap konflik sumber alam yang semakin terhad hari
ini. Idea “Circular Economy” menampilkan kesedaran terhadap pentingnya kita
memikirkan bagaimana untuk menggerakkan pembangunan ekonomi secara holistik
tanpa mengabaikan aspek kemampanan produk atau perkhidmatan dan kelestarian
alam semulajadi.
25. Jika ditinjau perdagangan dan pembangunan ekonomi kini, kebanyakan
material dan produk yang dikeluarkan kebanyakan kilang telah menghasilkan bahan
buangan yang begitu banyak. Dianggarkan 90 peratus daripada bahan materials
yang digunakan dalam industri perkilangan bertukar menjadi bahan sisa buangan
setelah sesebuah produk itu siap. Manakala, 80 peratus produk yang telah dijual,
akan dibuang oleh pengguna selepas 6 bulan membelinya. Oleh demikian, “Circular
12
Economy” menawarkan kita sebuah gagasan ekonomi baharu dalam memantapkan
pelbagai bidang pembangunan iktisad negara dengan menggalakkan lebih banyak
inovasi dan kreativiti demi mencipta dunia baharu yang lebih mampan dan menuju
kepada kesempurnaan. Sebagai universiti yang menerajui penyelidikan teknologi,
Tuan-tuan dan Puan-puan perlulah melihat bagaimana kemajuan teknologi yang
dicapai mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, dalam
konteks ini, adalah menerusi idea “Circular Economy” seperti yang saya hujahkan
tadi.
26. Seterusnya, saya ingin membawakan mega trend yang kelima iaitu “Future
of Mobility”. Pada dekad yang lalu, dunia automatif masih terperangkap dalam
kebimbangan terhadap isu penggunaan tenaga, jumlah pengeluaran kenderaan,
keperluan pembangunan infrastruktur jalan serta impaknya terhadap alam. Frost &
Sullivan menjangkakan landskap baharu dunia mobiliti masa hadapan akan berkisar
terhadap e-mobility. Dijangkakan lebih 40 juta kenderaan elektrik termasuklah
basikal, motorsikal, pacuan empat roda dan bas akan menjadi tumpuan dalam
pasaran di segenap penjuru dunia. Dalam pada itu, konsep perkongsian kereta dan
motosikal, khidmat pengangkutan pintu-ke-pintu serta pewujudan aplikasi mobiliti
dalam bandar akan menjadi sesuatu yang normal menjelang tahun 2020. Dan pada
tahun tersebut juga, dengan munculnya “sensorization of things” dan aplikasi mobil,
para pengguna boleh mengetahui sama ada ruang parkir di tempat yang hendak
dituju itu mempunyai kekosongan atau pun tidak, hanya dari rumah lagi!
27. “Future of Mobility” bakal dan mungkin telah pun meletuskan fenomena
tersendiri dalam dunia automotif. Uber, sebuah jenama baharu syarikat
13
pengangkutan global telah mencetuskan kemarahan ratusan malah ribuan pemandu
teksi seluruh negara. Syarikat yang tidak memiliki walau satu pun kenderaan
komersil ini, pintar menggunakan perkongsian komoditi dan memanfaatkan potensi
pasaran untuk mencipta gelombang masa hadapan dunia pengangkutan.
28. Jika mega trend “Innovation to Zero” telah memunculkan konsep “Circular
Economy”, maka “Future of Mobility” kelihatannya mengenengahkan konsep
“Sharing Economy”. Berbanding potensi pasaran “Circular Economy” yang
dijangkakan menyumbang sebanyak USD 1 trillion kepada ekonomi global
menjelang tahun 2025, maka “Sharing Economy” pula berpotensi menyumbang
sebanyak USD 155 billion dalam pasaran menjelang 2020.
29. Selain Uber dan GrabCar yang mendominasi perkhidmatan perkongsian
kenderaan yang begitu popular di seluruh dunia, malah di negara kita kini, antara
potensi baharu yang lain adalah perkongsian ruang atau hartanah, perkongsian
busana dan pakaian serta perkhidmatan perkongsian barangan. Inilah antara
perkara-perkara baharu yang mungkin dalam sedikit masa sahaja lagi akan menjadi
fenomena dan mendominasi ekonomi negara kita.
Para hadirin sekalian,
30. Sekarang, izinkan saya untuk membawa Tuan-tuan dan Puan-puan
menerobos realiti menyusuri selangkah sedekad ke hadapan. Pada pagi 1 Januari
2025, sebaik bangkit dari lena di waktu pagi, di saat Tuan-tuan dan Puan-puan
14
menikmati sarapan pagi di meja santapan, Tuan-tuan dan Puan-puan sempat
membelek keratan akhbar mahu pun melayari gajet di sebelah. Maka, Tuan-tuan
dan Puan-puan akan menyaksikan himpunan tajuk berita seperti “Robots Have
Entered Our Homes For Personal Use”, “Big Data Tiba Di Era Zettabyte”, “High
Speed Rail To Connect From China To Europe”, “Jualan Musim Panas:
Pelancongan Ke Angkasa”, “Peralihan Dari Pencetakan 3D ke Pencetakan 4D” dan
“There Are 6 Million Autonomous Cars In Europe And North America”.
31. Begitulah ramalan masa hadapan, meski pun sekadar jangkaan, namun
bakal mencorakkan dunia baharu yang mungkin tidak disangka oleh kita hari ini.
Mega trends yang diunjurkan ini pula memberi isyarat yang jelas kepada kita
bahawa sesuatu harus dilakukan dalam perancangan dasar dan perencanaan polisi
perkhidmatan awam negara pada masa kini. Pada hemat saya kombinasi mega
trends ini akan memberi cabaran besar kepada masyarakat secara keseluruhan
sama ada institusi kerajaan, korporat, badan bukan Kerajaan, malah lebih penting,
institusi akademik dan penyelidikan seperti UTM. Let us be ready for the challenge.
RE-THINKING GLOBALISATION: MENCABAR ALIRAN PEMIKIRAN DAN ALUR
PARADIGMA MASYARAKAT DUNIA
Para hadirin yang dikasihi sekalian,
32. Pada 23 Jun 2016, dalam satu referendum penuh bersejarah, rakyat Britain
telah mempaterikan sebuah keputusan maha penting dalam sejarah dunia, iaitu undi
15
untuk memisahkan diri mereka dari Kesatuan Eropah. Tidak semena-mena dalam
beberapa jam sahaja selepas dunia digemparkan dengan berita tersebut, harga stok
dan pasaran saham dunia mengalami ketidakstabilan. Mata wang Pound Sterling
berada di hujung tanduk dan seluruh komuniti global terpinga-pinga apakah yang
bakal terjadi.
33. Umum mengetahui bahawa, dalam minggu tersebut, Britain turut melakar
sejarah yang tidak ada mana-mana negara mampu melaksanakannya. Britain
“keluar” Eropah sebanyak dua kali. Pertama semasa rakyatnya memilih untuk
meninggalkan Kesatuan Eropah dan kedua ketika disingkirkan dalam peringkat
kumpulan Kejuaraan Piala Eropah. Saya mohon maaf kepada peminat England.
Sekadar bergurau sahaja.
34. Dalam hiruk-pikuk kegemparan berita Britain keluar Eropah ini atau lebih
popular dengan akronim Brexit, terkandung padanya sebuah tindak balas yang lebih
besar dari sekadar Brexit sendiri. Ia adalah tentang reaksi dunia terhadap
globalisasi. Sebagaimana dihujahkan oleh Profesor Nouriel Roubini, profesor
ekonomi dari New York University, Brexit melambangkan satu reaksi berbeza
masyarakat terhadap globalisasi yang dahulunya dianggap sebagai fenomena hebat
yang menghubungkan dunia dari pelbagai sudut. Sarjana tersohor yang lain seperti
pemenang Hadiah Nobel ekonomi, Joseph Stiglitz dalam kritikan beliau terhadap
globalisasi, mengaitkan peristiwa Brexit dengan kegagalan democratic globalisation
berfungsi dengan sempurna. Di mana, kelompangan sifat keterbukaan dan
ketelusan menyebabkan manfaat kerjasama di antara Britain dan Kesatuan Eropah
hanya dinikmati oleh sesetengah daripada rakyatnya sahaja.
16
Para hadirin sekalian,
35. Ternyata, globalisasi juga turut membawa permasalahan-permasalahan
keganasan atau terrorisme yang dahulunya bersifat serantau menjadi satu
malapetaka besar yang menimpa hampir kebanyakan negara maju di dunia. Tragedi
rempuhan bas di Nice, pengeboman di Paris, letupan bom di Lapangan Terbang
Ataturk di Turki serta tragedi pengeboman di salah sebuah pusat hiburan di
Puchong, Selangor baru-baru ini adalah antara episod keganasan yang dikaitkan
dengan pengganas Daesh serta rangkaian pengganas global Islamic State (IS).
36. Keganasan juga tidak mengenal tempat dan masa. Di saat umat Islam
bertungkus lumus menyempurnakan 10 malam terakhir Ramadan, bandar yang
menempatkan Kota Suci Madinah yang di dalamnya terletak Masjid Nabawi - salah
sebuah masjid yang sangat dihormati oleh umat Islam seluruh dunia, telah dinodai
kesuciannya. Puluhan nyawa melayang, lantas mengundang ketakutan kepada
orang ramai. Belum pun reda kisah tragedi menyayat hati di Madinah, dunia sekali
lagi terpaku dengan kisah kegagalan kudeta merampas pemerintahan negara
demokratik Turki di bawah kepimpinan Presiden Erdohan. Cubaan rampasan kuasa
yang begitu pantas berlaku dalam tempoh tidak sampai dua hari tersebut berjaya
dipatahkan menerusi perhubungan mantap di antara Kerajaan dan rakyat menerusi
aplikasi FaceTime sahaja. Akibat kegagalan cubaan yang mengorbankan ratusan
nyawa tersebut, media melaporkan bahawa rakyat Turki telah bersatu padu untuk
mempertahankan kedaulatan negara mereka dengan ribuan tentera yang terlibat
dalam cubaan kudeta telah ditangkap.
17
37. Saya berpandangan keganasan global terjadi kerana faktor-faktor yang
bersifat rentas sempadan hari ini. Dengan maklumat dan informasi membanjiri
media sosial dan mudah diakses di mana-mana, hasutan dan suara-suara yang
menyeru kepada keganasan mampu mempengaruhi mereka yang lemah pegangan
iman dan akalnya. Hal ini seperti juga permainan Pokemon Go! yang mencetuskan
fenemona baharu dalam dunia permainan elektronik hari ini. Pokemon Go! yang
berjaya mempengaruhi jutaan manusia di seluruh dunia ini dimainkan melalui telefon
bimbit mereka untuk mengejar dan menangkap makhluk maya yang seolah-olah
muncul di sekeliling pemainnya itu sendiri. Permainan yang menggunakan teknologi
kamera dan GPS dalam telefon bimbit untuk mencipta peta digital bagi mencari
makhluk maya tersebut telah membangkitkan isu-isu keselamatan yang mampu
membahayakan pemainnya, isu perhubungan sosial serta kesannya terhadap
produktiviti kerja. Telah pun ada laporan yang menyatakan permainan ini telah
membawa kepada kematian pemainnya dek kerana kelekaan dan keasyikan mereka
sendiri.
38. Pengajaran terbesar yang boleh kita hadami dan mengambil pedoman dari
semua fenomena yang dinyatakan tadi adalah bagaimana kita harus mentakrifkan
semula globalisasi dalam acuan dan rangka negara Malaysia. Unsur-unsur
ekstremisme, hasutan yang melampau sehingga mencabar kedaulatan serta
cabaran mendidik masyarakat dan mengawal rempuhan lambakan informasi,
mampu menjadikan kita tidak relevan di mata dunia. Usaha menangani
permasalahan ini memerlukan pengurusan risiko yang komprehensif dengan
meletakkan kesiapsiagaan untuk menghadapinya sebagai keutamaan. Kaedah
menguruskan risiko yang melibatkan pengimbasan organisasi, penilaian risiko,
18
penganalisisan risiko, langkah mitigasi serta pemulihan risiko adalah antara perkara
yang perlu diberi perhatian serius oleh setiap jabatan.
39. Peringatan yang saya utarakan ini amat moleklah sekiranya ia didakapi dan
diteliti oleh warga UTM dan seluruh cendekiawannya kerana tingginya akal budi
bangsa serta maju mundurnya umat ini adalah terletak kepada kita semua sebagai
golongan yang memartabatkan ilmu.
MENGGAGASKAN AGENDA TRANSFORMASI PERKHIDMATAN AWAM
Para hadirin sekalian,
40. Pengalaman lebih 35 tahun dalam perkhidmatan awam telah memberi
peluang kepada saya untuk mengenali dan mengamati cabaran yang dihadapi oleh
perkhidmatan awam. Kesempatan berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri
Perlis telah membuka dimensi baharu dalam memahami cabaran-cabaran
menguruskan pentadbiran negeri dan budaya kerja unik di peringkat negeri.
Kembara perkhidmatan saya seterusnya menempatkan saya di Unit Pemodenan
Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana
Menteri, sebuah agensi Persekutuan yang bertanggungjawab terhadap usaha-usaha
pemodenan penyampaian perkhidmatan dan pembangunan teknologi maklumat dan
komunikasi sektor awam. Sebagai Ketua Pengarah MAMPU, saya telah berpeluang
menerokai isu-isu yang melingkari penyampaian perkhidmatan dan cabaran digital
perkhidmatan awam dari perspektif yang berbeza. Ketika inilah, agenda transformasi
19
menjadi begitu kritikal kepada saya. Agenda transformasi menjadi sebahagian dari
diri saya.
41. Saya telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)
pada 15 Mac 2013. Sebagai KPPA, saya perlu melihat dan mengamati keperluan
dan isu yang dihadapi oleh lebih 1.6 juta penjawat awam. Mendepani suasana yang
penuh cabaran sejurus memulakan tugas, menuntut saya untuk melihat sekeliling,
membaca tanda dan menafsir isyarat atau dalam istilah pengurusan strategik
dikenali sebagai analisis persekitaran. Hasilnya, saya telah merumuskan sembilan
cabaran yang dihadapi oleh perkhidmatan awam untuk melaksanakan transformasi
iaitu:
i. Pemusatan kuasa;
ii. Karenah birokrasi;
iii. Hierarki pelaporan;
iv. Kurang kompetensi strategik;
v. Kurang mentoring dan coaching;
vi. Terperangkap dalam zon selesa;
vii. Kurang kesedaran dan respons terhadap kehendak luaran;
viii. Mentaliti bersifat silo dan menjauhi perundingan; dan
ix. Ekspetasi dan harapan rakyat yang kian meningkat.
42. Mengambil sembilan cabaran ini sebagai asas memulakan agenda
transformasi, perjalanan transformasi di JPA dengan itu dimulakan dengan sesi khas
brainstorming melibatkan pegawai kanan JPA di Institut Tadbiran Awam Negara
20
(INTAN) Kampus Wilayah Utara. Asas kepada perbincangan ini ialah pendekatan
outside-in berbanding inside-out sebagaimana yang dihujahkan oleh Profesor Dave
Ulrich, seorang guru yang mendapat jolokan Father of Modern Human Resource.
43. Di sinilah detik-detik bersejarah terciptanya Kerangka Transformasi Jabatan
Perkhidmatan Awam (KTJPA), yang saya sifatkan sebagai enjin penggerak
keseluruhan inisiatif transformasi di JPA. KTJPA menggagaskan lima teras strategik
yang melakar wajah baharu perkhidmatan awam. Pertama, adalah MENDAYA
UPAYA BAKAT yang bermatlamatkan untuk melahirkan penjawat awam dengan
daya saing dan ilmu pengetahuan yang tinggi, kompetensi, bakat, dan kemahiran
dalam pelbagai bidang bagi meningkat prestasi, produktiviti dan daya inovasi.
Pendayaupayaan bakat diletakkan sebagai keutamaan tertinggi atas kesedaran
bahawa modal insan merupakan the ultimate resource. Ia adalah selaras dengan
idea yang dikemukakan oleh Birger Wernerfelt yang mencadangkan kriteria
Valuable; Rare; In-imitable; and Non-Substitutable (V-R-I-N) sebagai pra-syarat
kepada pembentukan bakat dan pembangunan modal insan terbaik dalam sesebuah
organisasi.
44. Pengenalan progam Kadet Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebagai
syarat kemasukan dalam perkhidmatan PTD sebagai contoh telah memberi peluang
kepada para kadet untuk diberi pendedahan istimewa sebagai persiapan menjadikan
mereka pemimpin sektor awam yang memiliki ciri-ciri V-R-I-N yang dimaksudkan.
Dalam hal ini juga, pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia atau MQA
terhadap program diploma pasca siswazah dalam latihan Kadet PTD menjadi
21
testimoni jelas bagaimana kerajaan benar-benar mengangkat agenda mendaya
upayakan bakat terbaik sektor awam.
45. Kedua, MEREKAYASA ORGANISASI yang menumpukan kepada
peningkatan keupayaan dan penambahbaikan struktur organisasi melalui proses
perekayasaan agar lebih dinamik, tangkas dan fleksibel serta berupaya berubah
agar dapat menyesuaikan diri untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik
mengikut kehendak dan keperluan semasa. Dalam hal ini, Nick Manning dan Neil
Parison dari World Bank pula berhujah bahawa perekayasaan organisasi mencakupi
dua dimensi utama iaitu struktur dan dasar. Perekayasaan struktur dikaitkan dengan
usaha untuk memantapkan kecekapan operasi sesebuah organisasi. Manakala,
perekayasaan dasar melihat kepada keberkesanan dan keberhasilan setiap dasar
dan program yang dilaksanakan.
46. Manning dan Parison kemudiannya mencadangkan lima langkah untuk
memantapkan kecekapan dan keberkesanan struktur dan dasar organisasi, iaitu
“Assigning efficiency targets to ministries”; “Using targeted staff cuts”; “Utilizing hiring
freezes, wage freezes, base pay cuts and furloughs”; “Considering across-the-board
staff cuts”; dan “Early retirement schemes”. Sebagai contoh, kejayaan JPA
memansuhkan sebanyak 507 perjawatan daripada 3 253 kepada 2 746 telah
melibatkan penjimatan emolumen sebanyak RM12.8 juta tanpa menjejaskan
produktiviti organisasi, malah telah berjaya melonjakkan lagi kecemerlangan JPA.
47. Secara keseluruhannya dalam perkhidmatan awam, sebanyak 38 051
perjawatan telah dimansuhkan membabitkan penjimatan emolumen sebanyak
22
RM195 juta. Manakala 66 agensi telah distruktur semula menerusi proses delayering
dan secara matriks. Pengejatan dilaksanakan menerusi kaedah tukar-ganti atau
trade-off, re-deployment dan juga Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Ini
adalah satu pencapaian transformasi yang besar dan pantas dari segi
pelaksanaannya.
48. Ketiga, MERAKYATKAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN yang
menitikberatkan pemantapan kecekapan dan keberkesanan penyampaian
perkhidmatan awam yang berasaskan pelanggan dan rakyat (citizen-centric) agar
lebih cepat, tepat, berkualiti, proaktif dan responsif. Dalam konteks Merakyatkan
Perkhidmatan Awam, sebab musabab atau raison d’etre kepada kewujudan
perkhidmatan awam itu sendiri adalah untuk memberi khidmat kepada rakyat
dengan menampilkan kelainan dan nilai tambah. Peter F. Drucker, pakar
pengurusan tersohor yang juga mendapat jolokan The Father Of Modern
Management pernah menukilkan, “The customer never buys a product. The
customer buys value”.
49. Keempat, MERANGKUM DAN SEPUNYA yang memberi penekanan kepada
usaha melebar luaskan jaringan kerja dan kolaboratif strategik dalam dan luar
negara bagi mendapat pandangan dan maklum balas yang lebih inklusif dan
terangkum. Merangkum dan Sepunya membawa penjelasan semula kepada
pandangan tradisional di bawah Old Public Administration dengan tidak hanya
melihat rakyat sebagai sasaran semata-mata, sebaliknya menjadikan mereka
sebagai agen dan kolaborator. Menerusi konsep ini, lahir beberapa pendekatan
baharu yang lebih bersifat manusiawi seperti engagement, co-creation dan co-
23
production. Pengalaman Kerajaan Australia dalam melaksanakan pendekatan ini
boleh dijadikan kes panduan seperti yang diterangkan oleh Brenton Holmes dalam
kertas penyelidikan kepada Parlimen Australia bertajuk Citizens' Engagement in
Policymaking and The Design of Public Services pada tahun 2011.
50. Dalam konteks JPA sebagai contoh, semasa kita melaksanakan kajian
terhadap 252 skim perkhidmatan, kita telah mengadakan sebanyak 88 siri
engagement dengan pelbagai pihak seperti CUEPACS, NUTP, polis, tentera dan
sebagainya. Selain itu juga, saya turut turun padang bertemu dengan pelanggan-
pelanggan JPA yang lain seperti pelajar-pelajar tajaan, bakal-bakal pesara dan
pesara-pesara kerajaan serta orang awam bagi merasai dan mendapatkan
gambaran sebenar apakah kehendak dan kemahuan mereka.
51. Kelima, MEMBUDAYA NILAI yang mengutamakan pembudayaan
patriotisme, nilai-nilai murni, etos dan integriti bagi melahirkan penjawat awam yang
cintakan negara, berbudi pekerti dan beretika tinggi. Seperti yang dinyatakan oleh
David Andrew Syultz dalam tulisannya Encyclopedia of Public Administration and
Public Policy, perkhidmatan awam dan penjawat awam merupakan dua entiti yang
tidak dapat dipisahkan. Sementara perkhidmatan awam merupakan penjaga kepada
kemaslahatan rakyat melalui pelbagai institusi yang ditubuhkan, penjawat awam
pula bertindak sebagai pemegang amanah pertiwi atau custodian of the public
interest.
52. Berdasarkan 5 teras strategik ini, sebanyak 190 inisiatif transformasi telah
dikenal pasti untuk digerakkan dalam masa tiga tahun bermula 2013 hingga 2015,
24
yang kemudiannya diperluaskan ke seluruh spektrum perkhidmatan awam melalui
Kerangka Transformasi Perkhidmatan Awam atau KTPA. Lebih membanggakan,
KTJPA telah mendapat perakuan daripada YAB Perdana Menteri dan Jemaah
Menteri di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Transformasi
Perkhidmatan Awam. KTJPA turut diiktiraf oleh Profesor Dave Ulrich yang hadir ke
negara ini dalam program INTAN Leadership and Transformation Summit 2014.
INISIATIF KEJAYAAN TRANSFORMASI
Seterusnya, izinkan saya meneruskan wacana ini dengan berkongsi beberapa buah
kisah kejayaan inisiatif transformasi yang telah dilaksanakan oleh JPA sejak tahun
2013.
BLUE OCEAN LEADERSHIP
Para hadirin sekalian,
53. JPA telah menerokai inisiatif strategik baharu yang dinamakan Blue Ocean
Leadership atau B.O.L. Diilhamkan dari konsep Blue Ocean Strategy oleh Profesor
W. Chan Kim dan Rene Mauborgne, B.O.L. merupakan satu pendekatan sistematik
bagi memantapkan amalan kepimpinan ke arah memaksimumkan bakat dan modal
insan dalam usaha meningkatkan prestasi organisasi. Inisiatif B.O.L. menampilkan
naratif baharu dalam wacana kepimpinan global dengan memberi penegasan
kepada empat pendekatan, iaitu “Memfokus Kepada Tindakan dan Aktiviti”;
“Berhubung Rapat Dengan Realiti”; “Kepimpinan Merentasi Semua Peringkat
25
Pengurusan”; dan “Membawa Natijah Atau Impak Yang Tinggi Dengan Kos Yang
Rendah”.
54. Inisiatif B.O.L di JPA bermula pada bulan Mac 2015 dengan menggunakan
kepakaran JPA dan INTAN. Pelaksanaan inisiatif ini menyaksikan pewujudan 32
orang profiling experts selaku penggerak B.O.L.; 125 orang responden dari pelbagai
peringkat pengurusan di JPA dan INTAN; proses engagement dan temubual selama
lebih tiga bulan termasuk melaksanakan analisis kualitatif ke atas transkrip yang
dihasilkan; dan penghasilan 16 kanvas kepimpinan merentasi empat tahap
pengurusan di JPA. Empat tahap pengurusan tersebut adalah “Kepimpinan
Transformatif dan Humanistik Bagi Gred JUSA C dan Ke Atas”, “Kesiapsiagaan
Pelapis Kepimpinan Bagi Gred 48 Hingga 54”, “Kepimpinan Proaktif dan Analitikal
Bagi Gred 41 – 44” dan “Berpengetahuan dan Memimpin Dengan Ceria Bagi Gred
22 – 36”.
55. Kini, pelaksanaan B.O.L sedang berada di peringkat penginstitusian dengan
pengisian pelbagai program dan aktiviti bagi mencapai aktiviti kepimpinan utama
yang dihasratkan oleh warga JPA. Pencapaian gemilang ini telah meletakkan JPA
dan INTAN di persada global sebagai organisasi perkhidmatan awam pertama
berjaya menerapkan amalan kepemimpinan lautan biru terbaik di JPA. Hasil
kejayaan inisiatif B.O.L di JPA dan INTAN, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri
dalam NBOS Summit pada 24 Mac 2016 telah bersetuju agar pelaksanaannya
diperluaskan kepada lima kementerian terpilih dalam tahun 2016. Lima kementerian
tersebut adalah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian
Dalam Negeri, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perumahan,
26
Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani.
1MALAYSIA CUSTOMER SERVICE OF CIVIL SERVANTS (1SERVE)
Hadirin sekalian,
56. JPA telah diberi mandat untuk menerajui inisiatif 1Serve dengan kerjasama
MAMPU, Kementerian Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan,
dan Pejabat Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri. 1Serve merupakan satu
inisiatif transformasi yang digagaskan Kerajaan melalui pendekatan NBOS dan telah
dilancarkan pada 2 November 2015 yang lalu. Ia merupakan penambahbaikan
kepada perkhidmatan kaunter kerajaan, yang mana sebelum ini mengamalkan
konsep satu kaunter satu perkhidmatan kepada konsep satu kaunter pelbagai
perkhidmatan. Ini adalah selaras dengan prinsip “Doing More With Less For More”.
57. Melalui pendekatan ini, rakyat boleh mendapatkan semua perkhidmatan yang
ditawarkan hanya melalui satu kaunter. Kaunter 1Serve JPA4U bukan sahaja
menawarkan perkhidmatan JPA, malah menyediakan perkhidmatan merentas
jabatan seperti perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen
Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
58. Inisiatif ini telah melebarkan horizon perkhidmatan kaunter melalui suntikan
nilai tambah yang signifikan dan di luar amalan biasa. Pada masa ini, Kaunter
1Serve ini telah diperluaskan ke agensi dan lokasi tertentu. Sistem penyampaian
27
petugas barisan hadapan (front liners) di sektor awam juga diperkasakan dengan
menerapkan 8 ciri utama penyampaian perkhidmatan, iaitu “Senyum”; “Mendengar”;
“Menunjukkan Empati”; “Psikologi Berbalik”; “Memahami Pelanggan”; “Kebersihan
Perkhidmatan”; “Kepantasan dan Kecekapan Penyelesaian Masalah”; dan
“Kesungguhan dan Pengetahuan Melahirkan Juara Bertindak”.
59. Baru-baru ini di JPA, saya turut melancarkan 1Serve Transit Lounge@JPA4U
sebagai nilai tambah kepada inisiatif 1Serve JPA4U. Melalui inisiatif ini, JPA
menyediakan ruang menunggu kepada pelanggan yang ingin mendapatkan
perkhidmatan shuttle buggy. Sejak pelancarannya pada 8 April 2016, khidmat buggy
telah memanfaatkan seramai 5 560 pelanggan JPA.
60. Kerajaan juga telah memutuskan untuk menempatkan kaunter 1Serve ini di
Pusat Transformasi Bandar atau UTC yang merupakan pusat sehenti pelbagai
perkhidmatan kerajaan dan swasta. Sejak UTC beroperasi pada tahun 2013,
sehingga kini lebih daripada 34 juta transaksi telah pun dikendalikan. Bagi tempoh
enam bulan pada tahun 2016, sebanyak 6.8 juta transaksi telah direkodkan.
Pendekatan 1Serve akan digunakan bagi mewujudkan perkhidmatan 1Government
Counter di semua UTC. Pada masa kini, pelaksanaan rintis sedang dilaksanakan di
dua UTC.
61. Saya berpandangan UTM sebagai sebuah universiti terulung yang diiktiraf
dunia, barangkali boleh melihat di mana ada kesesuaiannya untuk pihak pentadbiran
memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada pelanggannya dengan
mengaplikasikan inisiatif BOS seumpama konsep UTC dan 1Serve ini. Insya-Allah,
28
permasalahan seperti isu penggunaan kad matriks pelajar, bilangan kaunter yang
terlalu banyak melibatkan hal ehwal pelajar seperti kaunter kewangan, peperiksaan,
sukan dan latihan, perpustakaan dapat diintegrasikan dalam satu kaunter yang lebih
bersifat inklusif.
1MALAYSIA CIVIL SERVICE RETIREMENT SUPPORT (1PESARA)
62. Inisiatif seterusnya adalah 1Pesara. Kita sering memperkatakan tentang
kebajikan penjawat awam, namun jangan sekali-kali dilupakan pesara yang telah
banyak menyumbang dan berkorban ketika dalam perkhidmatan kerajaan. Sehingga
kini, jumlah pesara penjawat awam adalah melebihi 739 000 orang termasuk 109
000 pesara tentera. Sehubungan dengan hal itu, untuk menjaga kebajikan mereka,
JPA telah memperkenalkan 1Pesara. Inisiatif 1Pesara memberi fokus perkhidmatan
kepada golongan pesara kerajaan dalam empat aspek utama, iaitu “Kesihatan”,
“Keusahawanan”, “Bekerja Semula” dan “Pengurusan Kewangan”.
63. Matlamat inisiatif ini adalah untuk membantu golongan pesara dan bakal
pesara terus produktif dalam menyusuri alam persaraan; menyediakan
perkhidmatan yang holistik dan merentasi pelbagai agensi; dan membantu kerajaan
dalam menjelaskan dasar-dasar dan program-program kerajaan kepada rakyat.
Inisiatif ini kemudiannya dipermudahkan lagi dengan pembangunan Portal 1Pesara
yang menjadi satu pusat sehenti perkhidmatan pesara penjawat awam dengan
pelbagai perkhidmatan yang melibatkan agensi kerajaan dan bukan kerajaan dapat
diperoleh di sini.
29
64. Dalam konteks ini, JPA turut memberi perhatian terhadap mereka yang bakal
bersara melalui pelaksanaan kursus pra-persaraan. Menerusi kursus ini, bakal
pesara diberi pendedahan secara komprehensif tentang aspek-aspek yang bakal
dihadapi oleh mereka selepas perkhidmatan.
MODEL BAHARU PENAJAAN JPA 2016: MEMPERKASA MODAL INSAN,
MEMARTABATKAN INSTITUSI PENGAJIAN TEMPATAN
65. Model baharu penajaan JPA adalah satu lagi usaha strategik di bawah
agenda Transformasi Perkhidmatan Awam. Model tersebut dirangka berdasarkan
empat teras utama iaitu “Merit dan Inklusiviti”; “Fokus Kepada Golongan B40 dan
M40 serta Technical Vocational Education And Training (TVET)”; “Pembangunan
Malaysia Sebagai Hab Pendidikan”; dan “Pulangan Pelaburan”. Model baharu ini
membolehkan penajaan dilaksanakan secara komprehensif merangkumi aspek merit
dan kecemerlangan serta keperluan membantu golongan berpendapatan rendah
dalam kategori B40 terutama dalam bidang Teknikal dan Vokasional.
66. Di bawah model baharu ini juga, tumpuan akan diberikan kepada penajaan
pelajar ke IPT dalam negara bagi menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan
Malaysia sebagai hab pendidikan serantau. Model baharu penajaan merangkumi
enam program, iaitu “Program Penajaan Nasional”; “Program Khas Kejuruteraan
Jepun, Korea, Perancis dan Jerman”; “Program Ijazah Dalam Negara”; “Program
Dermasiswa B40”; “Program Lepasan Bursary”; dan “Program Bursary”.
30
67. Sebagai langkah untuk memastikan pulangan yang setimpal dengan
pelaburan yang dikeluarkan oleh kerajaan, mulai tahun 2016 program penajaan
akan dilaksanakan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah kecuali bagi Program
Dermasiswa B40. Ia berteraskan prinsip pulangan pelaburan kepada negara dalam
memastikan kerajaan akan memperoleh bakat yang terbaik untuk perkhidmatan
awam.
68. Secara keseluruhannya, Model Baharu Penajaan JPA 2016 dirangka bagi
mencapai objektif pembangunan modal insan negara untuk memberi peluang
kepada lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi
tempatan serta memfokuskan kepada pelajar daripada golongan berpendapatan
tinggi.
PELAKSANAAN DASAR PEMISAH
Para hadirin yang saya kasihi,
69. Pelaksanaan Dasar Pemisah merupakan salah satu inisiatif di bawah RMK11
dan merupakan mekanisme strategik kerajaan yang terbaik dalam mewujudkan
perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, produktif dan berintegriti. Bagi
memastikan dasar ini diterima oleh penjawat awam, JPA telah melaksanakan
kaedah pendampingan (engagement) dengan pelbagai pihak khususnya pihak
Kongres CUEPACS, Majlis Bersama Kebangsaan dan Pengurus-Pengurus Sumber
Manusia. Ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri supaya perkhidmatan
31
awam menekankan kepada produktiviti dan inovasi bagi mewujudkan sebuah
negara berpendapatan tinggi. Pengukuhan budaya kerja berprestasi tinggi dalam
persekitaran perkhidmatan awam yang kompetitif adalah perkara yang sentiasa
diberikan penekanan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua
Setiausaha Negara kepada penjawat awam.
70. Rasional pelaksanaan Dasar Pemisah adalah untuk mengekalkan pegawai
yang komited dan berprestasi tinggi; meningkatkan daya saing dalam menghadapi
cabaran persekitaran masa kini dan akan datang dan mewujudkan perkhidmatan
awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti. Dasar Pemisah ini menyediakan
mekanisme untuk menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah,
serta mereka yang gagal mempamerkan kemajuan kerjaya atau mengalami masalah
kesihatan yang menjejaskan keupayaan untuk menjalankan tugas.
71. Pelaksanaan dasar ini bukanlah satu bentuk penganiayaan kepada penjawat
awam tetapi bertujuan untuk membolehkan perkhidmatan awam meningkatkan lagi
daya saingnya dalam mendepani cabaran persekitaran masa kini dan akan datang.
Pegawai berprestasi tinggi tidak perlu bimbang. Dasar ini adalah bersifat
developmental dan bukannya bersifat punitif.
32
FLAGSHIP JPA4U
Hadirin yang dikasihi sekalian,
72. Inisiatif flagship JPA4U merupakan program untuk menjalin hubungan lebih
dekat dengan pelanggan melalui “Khidmat Konsultasi Pengurusan Sumber
Manusia”; “Turun Padang dan Libat Urus”; “Penyebaran Maklumat” dan “Khidmat
Masyarakat”. Antara program yang mendapat sambutan ramai ialah Karnival JPA4U
(Penajaan) di MAEPS Serdang, JPA4U-Psycare Outreach Psikologi di Kangar, Misi
Bantuan Kemanusiaan@ Kempen Derma Darah JPA4U dan Program Moh Senam
JPA4U.
73. Pelaksanaan agenda transformasi perkhidmatan awam adalah bertujuan
untuk meningkatkan imej serta mengubah persepsi pelanggan yang lebih positif
kepada JPA melalui pengenalan pelbagai perkhidmatan-perkhidmatan baharu yang
lebih mesra serta turun padang mendekati rakyat. Menerusi pelaksanaannya,
JPA4U telah dapat memupuk kerjasama berpasukan, persefahaman dan kekuatan
warga JPA ke arah kelestarian transformasi agar kekal relevan. Menerusi pelbagai
program unik dan aktiviti turun padang, JPA4U kini telah menjadi brand atau jenama
yang meniti bibir setiap warga perkhidmatan awam, stakeholders dan masyarakat
keseluruhannya.
33
KEBERHASILAN TRANSFORMASI JPA
74. Setelah tiga tahun pelaksanaan inisiatif transformasi di JPA, satu kajian telah
dilaksanakan dari 3 Mac hingga 1 April 2016 untuk meninjau persepsi pelanggan
terhadap kualiti penyampaian perkhidmatan dan kepuasan pelanggan JPA. Tinjauan
tersebut dibuat ke atas 790 responden dalam kalangan pegawai kerajaan, pelajar
tajaan, pesara dan pembekal. Hasil kajian menunjukkan 93.33 peratus responden
berpandangan JPA adalah responsif dan peka kepada pelanggan, manakala 89.42
peratus pula berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan JPA. Selanjutnya,
85.65 peratus berpuas hati dengan konsultasi yang diberikan oleh pegawai JPA dan
84.31 peratus berpuas hati dengan kompetensi pegawai JPA dalam mengendalikan
tugas dan tanggungjawab mereka. Akhir sekali, sebanyak 76.17 peratus pelanggan
bersetuju bahawa JPA tidak lagi bekerja secara silo.
75. Walaupun hasil kajian ini menunjukkan bahawa perkhidmatan JPA telah
mencapai satu tahap yang membanggakan, namun JPA tidak sekali-kali boleh
memperlahankan momentum transformasi ini. Masih banyak onak dan duri yang
harus ditempuhi dalam liku kembara ini demi mengangkat perkhidmatan awam
negara ke mercu keterbilangan.
34
AKHIR KALAM
Hadirin yang dikasihi sekalian,
76. Melunasi tanggungjawab paling besar, iaitu kesejahteraan rakyat sebagai
matlamat akhir, maka saya mengajak semua hadirin agar dapat memperhebat
rentak kecemerlangan, memantapkan barisan kepimpinan, memperkukuhkan jalinan
permuafakatan sebagai landasan menuju ke destinasi kejayaan. Dalam hubungan
ini, saya penuh yakin dan percaya seluruh warga UTM yang berada di hadapan saya
ini, telah bersedia untuk mendakap kemas iltizam dan cita-cita bagi menjayakan
agenda Transformasi Perkhidmatan Awam demi menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara maju, inklusif dan lestari.
Saya akhiri sesi Syarahan Perdana ini dengan lafaz Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
Top Related