PENYALAHGUNAAN DADAH DIKALANGAN REMAJA DARI SUDUT PSIKOLOGI
Oleh :
DIPLOMA PENDIDIKAN LEPAS IJAZAH 2008UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
ROSIADI BIN TAJUDINMOHD FARIDZUL AKMAM BIN
ZULKIFLISARIZAL BIN JAMALUDIN
KEMAR BIN MOHD NOHMUHAMAD BASTHAMI BIN ABDULLAH
Isi KandunganMuka Surat
PENGENALAN
1.0 REMAJA DARI SUDUT PSIKOLOGI PERKEMBANGAN
1.1 Siapa Remaja? 2
1.2 Perkembangan Fizikal Remaja 4
1.3 Perkembangan Psikososial Remaja 6
1.4 Perkembangan Kognitif dan Moral Remaja 7
1.5 Apa Itu Dadah? 8
1.6 Contoh Kes 10
2.0 BAGAIMANA REMAJA BOLEH TERJEBAK DENGAN PENYALAHGUNAAN DADAH
2.1 Faktor Peranan Ibubapa 12
2.2 Faktor Masalah Keluarga 13
2.3 Faktor Pengaruh Sekolah 14
2.4 Faktor Pengaruh Rakan Sebaya 15
2.5 Faktor Masyarakat 16
2.6 Faktor Diri Sendiri 16
3.0 KESAN PENYALAHGUNAAN DADAH DIKALANGAN REMAJA DARI SUDUT PSIKOLOGI
3.1 Kesan Kepada Fizikal Remaja 18
3.2 Kesan Kepada Emosi Remaja 19
3.3 Kesan Kepada Sosial Remaja 20
4.0 CARA MENGATASI PENYALAHGUNAAN DADAH DARI SUDUT PSIKOLOGI
4.1 Melalui Peranan Ibu Bapa 21
4.2 Melalui Peranan Sekolah 22
4.3 Melalui Peranan Masyarakat 22
4.4 Melalui Tanggungjawab Diri Sendiri 24
4.5 Melalui Pelaksanaan Undang-Undang 24
5.0 KESIMPULAN 25
BIBLIOGRAFI
LAMPIRAN
PENGENALAN
Dadah bukanlah satu perkara baru dalam konteks kehidupan pada hari ini. Di
Malaysia sahaja bilangan penagih dadah semakin bertambah saban tahun. Apa yang
lebih membimbangkan ialah golongan remaja terutamanya pelajar sekolah terlibat
dengan aktiviti yang tidak sihat ini. Menurut laporan Agensi Antidadah Kebangsaan
pada tahun 2005 sahaja lebih 5% daripada 32808 penagih dadah yang dikesan terdiri
daripada mereka yang berusia 13-20 tahun. (Rujuk Lampiran A: Profil Penagih
Mengikut Umur Ketika Dikesan)
Manakala berdasarkan laporan Dadah Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu 2007, dianggarkan 200 juta atau 5 peratus daripada penduduk dunia (1
daripada 200 orang) mengambil dadah. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula
melaporkan bagi setiap penagih yang dikesan ada empat lagi yang tidak dilaporkan.
Jikalah ini benar, ini bermakna jumlah sebenar penagih dadah di Malaysia boleh
menjadi sejuta orang berbanding hanya 250,000 yang dilaporkan. Kajian Yayasan
Perlindungan Jenayah Malaysia pula mendapati, kebanyakkan penagih dadah di
negara ini mula mengenali dadah dalam lingkungan usia 13-15 tahun dan 71 peratus
daripada penagih baru terdiri daripada golongan muda antara 19-39 tahun.
Berdasarkan kepada angka yang menunjukkan peningkatan keterlibatan
golongan muda khasnya remaja dalam kegiatan pengaihan dadah, maka dalam
tugasan ini penulis cuba membincangkan isu penyalahgunaan dadah dikalangan
remaja dari sudut psikologi. Perkara-perkara yang dibincangkan termasuklah
menghuraikan siapa remaja dari sudut psikologi perkembangan bagi mengetahui
corak tingkahlaku mereka, bagaimana mereka boleh terjebak dengan penyalahgunaan
dadah dengan mencari sebab bagaimana tingkahlaku itu berlaku, meramal kesan
daripada tingkahlaku tersebut iaitu kesan dan akibat daripada penyalahgunaan dadah
kepada remaja, dan akhir sekali mencadangkan cara untuk mengatasi penyalahgunaan
dadah dikalangan remaja yang bertujuan bagi mengubah tingkahlaku tersebut.
1.0 REMAJA DARI SUDUT PSIKOLOGI PERKEMBANGAN
Perubahan daripada alam remaja kepada alam dewasa merupakan satu masa yang
amat penting, di mana perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru lebih-lebih lagi
dengan dadah akan bermula. Dadah mungkin mempunyai tarikan yang kuat kepada
golongan remaja yang sedang berada di peringkat awal berdikari mereka serta pada
masa yang sama sedang mencari identiti diri. Terdapat pelbagai sebab yang membawa
kepada seseorang remaja itu terjerumus ke kancah penyalahgunaan dadah
(Dibincangkan dalam Bahagian 2.0).
Apa yang membimbangkan ialah golongan remaja yang terdiri daripada
pelajar sekolah turut terlibat dengan kegiatan ini. Ini pastinya merupakan satu
kerugian kepada negara kerana remaja merupakan pewaris kepimpinan negara pada
masa hadapan.
1.1 Siapa Remaja?
Memahami siapa remaja adalah penting bagi mengetahui mengapa mereka terlibat
dengan penyalahgunaan dadah. In kerana faktor personaliti individu itu sendiri serta
faktor perkembangannya mempengaruhi tingkahlaku yang dilakukan olehnya.
Perkataan remaja ataupun adolescene berasal dari perkataan Latin iaitu
“adolscere” yang bermaksud “membesar” atau “membesar menjadi matang” (Rogers,
1981). Menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga), remaja merupakan seorang yang mulai
dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin dan sedang melalui
proses inginkan cinta. Dari segi perspektif Islam pula, remaja dianggap sebagai
mereka yang sudah cukup umur atau diistilahkan sebagai baligh. Pada peringkat ini,
golongan remaja mengalami peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman
dewasa.
Definisi remaja ini banyak diperkatakan oleh ahli psikologi dan ada di
antaranya mendefinisikan remaja sebagai suatu tempoh perkembangan fizikal, satu
konsep yang abstrak, satu fenomena sosiobudaya atau berdasarkan sikap remaja
terhadap kehidupannya. Persoalan yang sering dikaitkan dengan pencarian identiti
adalah merupakan persoalan utama bagi remaja. Persoalan seperti "Siapakah saya?",
"Apakah bidang kerjaya yang sesuai dengan saya?", dan sebagainya yang membawa
maksud identiti apa yang membuatkan seseorang itu berbeza dengan orang lain.
Mengikut seorang ahli psikologi Stanley Hall (1904), zaman remaja ialah
jangka masa seseorang itu mengalami berbagai cabaran dan tekanan ( storm and
stress ). Ini kerana pada peringkat ini remaja mengalami perubahan fizikal, intelek
serta emosi dan terpaksa berhadapan dengan berbagai konflik di dalam dirinya dan
juga masyarakat. Perkembangan fizikal remaja perlu diketahui bagi membantu
memahami tentang sesetengah remaja yang lambat atau cepat dalam pekembangan
mereka dan apakah kesan-kesan disebaliknya. DeBrun (1990) pula, mendefinisikan
remaja sebagai tempoh pertumbuhan antara masa kanak-kanak dengan masa dewasa
yang pada umumnya bermula pada usia 12 tahun atau 13 tahun dan berakhir pada usia
awal dua puluhan.
Manakala menurut Adams & Gullota (1997), masa remaja meliputi usia antara
11 tahun hingga 20 tahun. Havighurst dalam Ramlah Jantan dan Mahani Razali
(2004) pula, membahagikan masa remaja kepada dua iaitu awal remaja (12 hingga 18
tahun) dan akhir remaja (18 hingga 22 tahun). Anna Freud (1990) pula berpendapat,
pada masa remaja berlaku proses perkembangan yang meliputi perubahan-perubahan
yang berhubung dengan perkembangan psikoseksual dan merupakan proses
pembentukan orientasi masa depan.
Daripada defini remaja yang telah diberikan, secara keseluruhannya
menyatakan bahawa remaja merupakan satu tempoh peralihan dari zaman kanak-
kanak ke alam dewasa yang berlangsung dalam usia sekitar 13 tahun hingga 20 tahun.
Pada peringkat ini berlakunya perubahan yang pesat sama ada perubahan biologi,
fizikal, mental dan emosi serta perubahan tenggungjawab dan peranan. Jadi, untuk
mengimbangi perubahan-perubahan ini, golongan remaja sering berhadapan dengan
masalah dan konflik dalam mencari identiti diri. Oleh itu, berlakulah ketegangan dan
tekanan emosi dalam diri remaja. Jika diteliti secara mendalam zaman remaja
sebenarnya merupakan suatu proses dan bukannya satu jangkamasa. Kerana pada
tahap ini berlakunya proses mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan yang
diperlukan demi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat.
1.2 Perkembangan Fizikal Remaja
Perkembangan fizikal remaja boleh dirujuk kepada perkembangan remaja dari aspek
biologi. Ketika ini remaja-remaja lelaki dan perempuan secara sedar atau tidak akan
mengalami perubahan dari segi bentuk tubuh dan emosi. Perubahan ini berlaku akibat
tindakan hormon. Kadar pembesaran dan perubahan remaja lelaki dan perempuan
juga adalah berbeza dan begitu juga dengan seorang individu dengan individu yang
lain. Antara perkembangan fizikal yang dilalui oleh remaja seperti kematangan
biologi, tingkahlaku heteroseksual dan akil baligh.
Dari segi kematangan biologi, pada awal alam keremajaan, remaja selalunya
sibuk menyesuaikan diri dengan pertumbuhan yang berlaku pada tubuhnya.
Kesedaran ke atas kejantinaan diri semakin bertambah. Hal ini akan memberi kesan
kepada imej tubuh serta konsep kendiri. Pada usia beginilah remaja akan lebih
prihatin dengan keadaan tubuhnya. Mereka akan sering membezakan dirinya dengan
rakan sebaya yang lain. Remaja yang cepat matang mempunyai beberapa kelebihan
apabila dibandingkan dengan yang lambat matang. Mereka terlebih dahulu
mengambil tempat dalam masyarakat remaja sementara mereka yang lambat matang
perlu bersaing daripada sudut fizikal dan sosial bagi mendapat tempat yang istimewa
dalam kelompok remaja.
Dari segi tingkahlaku heteroseksual pula, remaja zaman dahulu mempunyai
sikap yang berbeza ke atas pelbagai aspek seksual berbanding dengan remaja zaman
sekarang, terutamanya remaja perempuan. Sebuah kajian ke atas kelompok pelajar
sebuah kolej di Amerika Syarikat di antara tahun 1900 dengan tahun 1980
menunjukkan peratusan orang muda yang melakukan hubungan seks meningkat, dan
kadar pelajar perempuan yang melakukan hubungan seks meningkat lebih cepat
dibandingkan dengan pelajar lelaki. Beberapa buah kajian di Barat menunjukkan
bahawa cinta adalah faktor utama ramai remaja perempuan melakukan hubungan
seks. Keinginan berkahwin dengan pasangan mereka juga wujud di kalangan pelajar
wanita tetapi kurang bagi pelajar lelaki. Faktor-faktor lain adalah seperti desakan
teman lelaki, perasaan ingin tahu dan keinginan seks yang tidak berkaitan dengan
cinta.
Baligh pula merupakan perubahan biologi yang menandakan permulaan
remaja. Ianya bermula apabila tahap hormon yang memasuki saluran darah meningkat
ekoran respon kepada isyarat daripada bahagian otak iaitu hipotalamus. Apabila tahap
pertumbuhan hormon bertambah dalam badan, lonjakan pertumbuhan kanak-kanak
dengan tiba-tiba akan berlaku. Lonjakan ini merupakan tanda yang nyata tentang
permulaan akhil baligh. Perkara yang paling ketara semasa baligh adalah merupakan
perkembangan permatangan seksual iaitu kebolehan pembiakan.
Menurut Jean Jacques Rousseau (1712-1778), akil baligh bermula pada usia
15 tahun atau mungkin lebih awal dari yang dianggarkan. Pada masa ini, kanak-kanak
melalui peringkat kedua kelahiran, bentuk badan mula berubah dan keinginan muncul
dari dalam, "Perubahan angin, kemarahan, perubahan fikiran, membuatkan mereka
tidak dapat mengawal". Mula berasa segan atau malu apabila berhadapan dengan
kehadiran orang yang berlainan jantina, dan mereka mula merasai perasaan seksual.
Dengan kata lain mereka mula tertarik antara satu sama lain.
Manakala menurut Sigmund Freud dan Anna Freud, awal remaja adalah
peringkat yang paling bermasalah disebabkan perubahan dramatik psikologi yang
berlaku pada masa tersebut. Dorongan seksual dan agresif, yang bukan semasa
peringkat latensi, sekarang mengganggu ego dan daya tahannya. Zon genital, khasnya
didorong tenaga seksual yang hebat, dan remaja ini sekali lagi dilanda fantasi oedipal.
Remaja ini mungkin rasa susah atau tidak selesa apabila berada di kalangan ibu
bapanya.
Stanley Hall (1904) berpendapat perkembanagan seseorang individu
ditentukan oleh naluri iaitu tenaga-tenaga biologi dan faktor genetik dan bukannya
persekitaran. Beliau mengatakan zaman remaja sebagai zaman 'storm and stress' yang
bersifat biologikal yang terhasil daripada perubahan-perubahan yang berlaku semasa
baligh yang tidak dapat dielakkan. Mencapai akil baligh merupakan satu masa apabila
emosi menjadi tidak stabil dan tergugat. Hall percaya bahawa hasil daripada tekanan-
tekanan dan perubahan tersebut, remaja akhirnya akan menjadi individu yang matang
dan bermoral.
1.3 Perkembangan Psikososial Remaja
Zaman remaja bukan sahaja suatu jangka masa yang dapat menggugat diri remaja
tetapi juga keluarganya. Proses pembesaran dan usaha ke arah kematangan bukanlah
suatu perjalanan yang mudah. Dalam usaha menyatupadukan tuntutan biologi dan
sosial yang mungkin bertentangan, kekeliruan boleh terjana dalam kehidupan seorang
remaja. Umpamanya dorongan syahwatnya wajib dikekang menurut ajaran agama
serta norma-norma sosial. Dari segi perkembangan psikososial remaja, perkara yang
penting ialah perkembangan identiti.
Secara ringkasnya, identiti ialah satu set ciri personaliti yang lebih kurang
stabil. Dari segi perkembangan identiti, remaja terdapat satu proses yang dinamakan
individuasi di mana remaja mula mempunyai satu identiti yang berbeza antara satu
dengan yang lain. Proses ini melibatkan empat fasa iaitu perbezaan, amalan dan
eksperimen, membaharui perhubungan dan konsolidasi.
Fasa perbezaan berlaku pada awal remaja, di mana remaja akan tahu bahawa
wujud perbezaan antaranya dengan ibu bapa dari segi psikologi. Ini akan menjadikan
remaja menyoal dan mempertikaikan nilai dan nasihat ibu bapa walaupun ianya
adalah betul.
Semasa fasa amalan dan eksperimen pula, remaja berpendapat dia tahu
segalanya dan tidak akan melakukan kesilapan. Remaja pada masa ini tidak akan
menerima nasihat dan mencabar kewibawaan ibu bapa dalam keadaan tertentu.
Remaja meningkatkan komitmen terhadap rakan sebaya yang memberinya sokongan
dan persetujuan yang dicari-carinya.
Membaharui perhubungan merupakan fasa yang berlaku pada pertengahan
zaman remaja apabila dia telah dapat mengasingkan dirinya daripada ibu bapa.
Kesedaran yang menimbulkan sedikit rasa gundah dan ketakutan akibat pengasingan
ini membawanya kembali ke pangkuan ibu bapa dan menerima semula autoriti ibu
bapa tetapi dengan syarat.
Konsolidasi pula merupakan fasa keempat yang akan berlarutan sehingga
akhir remaja. Pada masa ini remaja akan membina identiti personaliti dan ini menjadi
asas memahami dirinya dan orang lain serta mengekalkan autonomi, kebebasan dan
individulitinya.
1.4 Perkembangan Kognitif Dan Moral Remaja
Pada zaman remaja, boleh dikatakan pemikiran mereka mulai berubah dengan cepat
dan kadang-kadang susah bagi ibu bapa memahaminya. Boleh dikatakan masa ini
remaja banyak menyelesaikan masalah melalui cara yang berbentuk logik dan bukan
berdasarkan fakta sahaja. Ini selaras dengan pendapat Jean Piaget di mana kanak-
kanak yang berumur 12 tahun ke atas pemikiran mereka lebih mirip ke arah olahan
formal. Pemikiran mengalami banyak peubahan semasa zaman remaja. Bukan sahaja
pemikiran remaja berubah dari segi daya penaakulan, tetapi juga pemikiran menjadi
abstrak serta wujud pemikiran sosial.
Apabila remaja mula mentaakul secara abstrak, mereka sering menjadi amat
bangga dengan kemahiran ini kerana berfikir bahawa mereka boleh menyelesaikan
segala masalah. Sikap ini menjadikan remaja terlalu idealistik dan kurang menghargai
batasan logik (Piaget 1967). Contohnya remaja hairan mengapa ibu bapa tidak sedar
beberapa kesilapan yang mereka lakukan semasa membesarkan anak-anak.
Perkembangan pemikiran formal juga membawa kepada kekeliruan, iaitu antara
pemikiran mereka sendiri dengan pemikiran orang lain. Kekeliruan pandangan
merupakan satu bentuk egosentrisme yang menekankan masalah dan pemikiran
abstrak. Remaja yang egosentrik ini akan mengandaikan yang orang lain akan terus
memikirkan tentang prestasinya secara terperinci seperti apa yang sedang lakukan
olehnya. Sebenarnya remaja tidak ada bukti tentang wujudnya situasi itu.
Semasa remaja, peraturan sosial mula dipersoalkan kerana remaja mula sedar
tentang piawai moral yang bersifat subjektif yang dibina oleh individu-individu
tertentu boleh berubah dan boleh ditentang. Peraturan sosial dilihat sebagai jangkaan
sosial, sama ada daripada ibu bapa atau masyarakat yang tidak semestinya dipatuhi.
Pemikiran remaja dalam bidang kognitif sosial seperti tanggapan terhadap orang lain,
pengambilan peranan, serta penaakulan moral.
Para remaja akhirnya sedar bahawa peraturan sosial itu perlu demi mengawal
tingkah laku manusia. Ia mungkin bersifat sementara dan berubah, tetapi kita harus
mematuhinya kerana kita semua diharapkan mematuhinya dan bertingkah laku
dengan betul atau selaras dengan tuntutan masyarakat. Lama kelamaan remaja juga
sedar bahawa peraturan sosial berperanan dalam menyelaraskan interaksi dengan
orang lain.
Apabila remaja dapat mengatasi egosentrisme dalam perhubungan dengan
orang lain, mereka menunjukkan kemajuan secara signifikan dalam penilaian moral,
atau pemahaman tentang tindakan yang meningkatkan kebajikan manusia dalam
pelbagai situasi. Akan tetapi pengetahuan ini tidak semestinya diterjemahkan kepada
tingkah laku sebenar. Walaupun begitu, sekurang-kurangnya keadaan akan
memperlihatkan ciri itu ( Hoffman 1980).
Aspek lain dalam perkembangan moral ialah ‘rasa bersalah’ yang berubah
daripada perasaan bersalah kanak-kanak dari segi ciri dan fokus. Remaja akan berasa
bersalah jikalau tidak melakukan sesuatu atau apabila melakukan sesuatu yang salah.
Perubahan berlaku sama ada remaja menilai apa yang dipaparkan dari perbuatan salah
atau memperlihatkan situasi dalam hidupnya sendiri. Contohnya tidak menjemput
rakan ke rumah boleh melukakan hati rakan kerana kesannya serupa dengan apabila
mengkritik rakan secara terbuka. Pandangan ini memerlukan pemikiran formal: iaitu
mengenal pasti tentang sesuatu yang mungkin berlaku dan bukan sahaja tentang apa
yang dilakukan sebenar.
Dari sini jelas bahawa remaja berupaya berfikir secara formal, iaitu kebolehan
berfikir tentang idea. Pemikiran formal merupakan kebolehan berfikir tentang
kemungkinan, penaakulan saintifk dan kebolehan mengabungkan idea secara logik.
Secara amnya dapat dikatakan pemikiran formal meningkatkan penyelesaian
sistematik kepada banyak masalah kognitif.
1.5 Apa Itu Dadah?
Menurut Agensi Dadah Kebangsaan, Dadah merupakan satu istilah khas kepada
sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratn kepada kesihatan seseorang dari segi
jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkah-laku pengguna apabila
digunakan. Akibat daripada kesan ini seseorang yang menggunakan dadah akan terus
bergantung hidup kepada dadah tersebut dan menyebabkan ketagihan. Seseorang
penagih sanggup menggadai maruah serta memperhambakan diri kepada sesiapa saja
walau dalam apa jua keadaan asalkan bekalan dadahnya terjamin. Akibatnya ramai
yang sanggup mengemis dan melacurkan diri.
Walaupun dadah yang dikenali umum terdiri daripada heroin, morfin, dan
ganja, pada hakikatnya ia merangkumi juga semua bahan yang boleh memberi kesan
seperti yang dinyatakan di atas. Ini termasuk tembakau dan arak. Malah, sesetengah
ubat-ubatan jika tidak digunakan mengikut peraturan dan sukatan yang betul boleh
memberi kesan negatif yang sama seperti dadah. Contohnya morfin dan sebatian
terbitan daripadanya yang banyak digunakan sebagai ubat penghilang kesakitan
semasa merawat kecederaan yang serius. Dengan perkataan lain dadah membawa
risio yang amat tinggi sehingga boleh mengakibatkan maut. Semua jenis dadah yang
telah disebutkan pada dasarnya menunjukkan kesan ketagihan dalam bentuk
pergantungan fizikal, mental dan emosi yang sama.
Secara kasarnya, kecelaruan penyalahgunaan dadah terbahagi kepada empat
jenis utama seperti berikut:
Jenis Dadah Kesan/ Tindakan Contoh
Depressants
(Penenang)
Kumpulan dadah yang boleh
mengurangkan aktiviti sistem saraf pusat.
Fungsi dadah ini ialah menurunkan aras
rangsangan psikologikal agar dapat
menenagkan fikiran manusia.
Alkohol,
barbiturates,
transquillizers,
dan
zodiazepines.
Stimulants
(Perangsang)
Berbeza dengan depressants
Ia boleh meningkatkan daya tahanan dan
menjadikan seseorang itu lebih
bertenaga.
Amphetamine,
kokain, nikotin,
dan kafein.
Opiates Lebih banyak digunakan untuk
mengurangkan kesakitan serta membantu
Heroin, morfin
dan kodein.
individu supaya tidur dengan lebih
nyenyak.
Hallucinogens
(Pengkhayal)
Boleh menghasilkan sensasi khayalan
yang mempesonakan penggunanya.
Marijuana dan
LSD.
Antara semua dadah yang disebut kan di
atas, amphetamine (stimulants)
merupakan salah satu jenis dadah yang
amat popular dan agak berleluasa
penggunaannya dikalangan pemuda-
pemudi di Malaysia.
Jadual 1.1: Jenis dadah, kesan dan contohnya.
Di petik daripada:
Mingguan Malaysia, “Bahaya Dadah Di Kalangan Remaja”, Ahad, 16 Disember
2007
1.6 Contoh Kes
Berikut merupakan satu kisah benar berhubung kait dengan dadah amphetamine
(ekstasi).
Long Seng berasal daripada keluarga yang miskin. Bapanya meninggal dunia ketika
Long Seng berusia 6 tahun. Ibunya pula terpaksa memikul tanggungjawab menyara
kehidupan seisi keluarga dengan menjual kuetiau di sebuah gerai kecil. Long Seng
dan ke empat-empat adik-beradiknya hidup dalam keadaan yang miskin seperti resmi
ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Long Seng tidak suka belajar
dan selalu ponteng sekolah. Dia juga mula berkawan dengan kumpulan gangster dan
mulai keluar pada waktu malam. Tidak lama kemudian, Long Seng mula melibatkan
diri dengan jenayah delinkuen.
Long Seng mula mengambil pil khayal ekstasi yang mudah diperolehi dari
pusat hiburan untuk mendapatkan perasaan ‘up’ atau melayang yang begitu
mengghairahkan dirinya. Dia juga berasa amat seronok dengan fantasi yang
diperolehi, seolah-olah sampai ke syurga ataupun berada di puncak langit dengan lagu
yang rancak. Perbuatannya itu menyebabkan ibu Long Seng berasa amat sedih dengan
perbuatan anaknya. Demi mencari wang untuk memenuhi ketagihan diri, Long Seng
turut mengedar pil ekstasi kepada pemuda-pemudi yang lain. Walaupun puas dipujuk
oleh ibu, saudara-mara dan guru supaya berpatah balik daripada jalan yang sesat itu,
dia langsung tidak memperdulikannya. Bagaimanapun malang tida berbau dan
setahun selepas keluar dari bangku sekolah, Long Seng telah ditangkap oleh polis dan
terus dihantar ke pusat pemulihan.
Dalam kes ini Long Seng mengambil dadah kerana ingin:
i) Melarikan diri daripada memikirkan masalah keluarganya yang miskin
ii) Memenuhi perasaan ingin tahu tentang apa itu dadah sebenarnya.
iii) Mengambil dadah bersama-sama dengan kawan dan meyakinkan mereka
bahawa dia adalah ahli kumpulan (geng) mereka.
iv) Mengalami perasaan memberontak dan ingin menentang nilai norma
masyarakat.
Di petik daripada:
Mingguan Malaysia, “Bahaya Dadah Di Kalangan Remaja”, Ahad, 16 Disember
2007
2.0 BAGAIMANA REMAJA BOLEH TERJEBAK DENGAN
PENYALAHGUNAAN DADAH
Terdapat pelbagai perkara yang boleh menyebabkan remaja terlibat dengan
penyalahgunaan dadah. Faktor yang paling utama ialah kurangnya peranan ibubapa,
masalah keluarga, faktor diri sendiri dan pengaruh rakan sebaya. Faktor-faktor lain
pula seperti sekolah dan masyarakat.
2.1 Faktor Kurangnya Peranan Ibu Bapa
Sering kali dinyatakan ibu bapa mempengaruhi kejayaan remaja khasnya pelajar di
dalam pelajaran. Ini kerana ibu bapa yang sentiasa memberi galakan dan perangsang
sehingga mereka timbul minat, semangat ketekunan dan keyakinan diri dalam
menghadapi pelajaran (Jamal Darus, 1989). Ibu bapa juga yang menentukan pola-pola
tingkah laku remaja. Faktor-faktor seperti dorongan dan galakkan, disiplin di rumah,
hubungan mesra antara ibu bapa dan anak serta keluarga yang utuh memberi kesan ke
atas pembentukkan personaliti, motivasi dan pencapaian akademik remaja yang masih
bergelar pelajar. Ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan dan bantuan dikaitkan
dengan kejayaan yang tinggi (T. Marimuthu, 1990). Disiplin yang berterusan dan
hubungan baik antara ibu bapa dengan remaja meningkatkan motivasi kejayaan di
dalam pelajaran.
Dalam kajian ke atas 408 orang kanak-kanak, pengkaji mendapati keadaan di
rumah adalah lebih cepat dikaitkan dengan kemajuan sekolah daripada kecerdasan.
Sungguhpun begitu, kedua-duanya mempunyai hubungan signifikan (Ibid; 1990).
Dengan ini jelaslah betapa penting dan besarnya peranan ibu bapa dalam membentuk,
mendidik dan mengasuh anak-anak. Dengan kata lain, keutuhan institusi kekeluargaan
dapat menjamin kecemerlangan remaja khususnya dalam alam pendidikan dan
perkembangan personaliti.
Ibu bapa khususnya, adalah salah satu faktor persekitaran yang banyak
mempengaruhi pembentukan dan perkembangan personaliti atau sahsiah remaja. Ini
kerana, ibu bapa menjadi sumber utama dan pertama proses pembelajaran dan
pembentukan keperibadian remaja. Hakikat ini jelas dinyatakan oleh bapa psikologi
moden, Freud (1983). Oleh itu, ibu bapa yang tidak memainkan peranan dalam
pembentukan tingkah laku remaja menyebabkan berlakunya kemunduran
pembentukan dan perkembangan personaliti atau sahsiah remaja tersebut.
Cara gaya keibubapaan atau cara asuhan dipercayai banyak mempengaruhi
personaliti remaja khususnya pelajar sama ada di dalam kelas mahupun di luar kelas.
Contohnya, ibu bapa yang mengamalkan cara gaya asuhan yang bersifat autokratik
dipercayai menyebabkan lahirnya personaliti yang terlalu agresif, memberontak
ataupun sebaliknya iaitu melahirkan individu pesimis. Remaja yang bersifat agresif
dan memberontak kebiasaannya lebih gemar menghabiskan masanya di luar rumah
kerana berasa terkongkong berada di dalam rumah. Maka, dari sini bermulalah
pengaruh-pengaruh luar yang negatif seperti pengaruh kawan-kawan yang devian,
rasa ingin kebebasan seterusnya menyebabkan punca berjinak-jinak dengan najis
dadah.
2.2 Faktor Masalah keluarga
Remaja daripada keluarga yang berpecah belah atau yang ketiadaan ibu bapa atau
kedua-duanya mengalami kehilangan tempat bergantung, tempat menumpahkan kasih
sayang serta tempat menerima contoh dan teladan untuk menjadi bekal penghidupan
di hari dewasa sebagai ahli masyarakat yang lebih aktif dan dinamis. Keadaan seperti
ini boleh menjejaskan perkembangan remaja terutamanya dalam pencapaian
akademik serta proses pembentukan personaliti. Ini bersesuaian dengan salah satu
keperluan iaitu keperluan termilik dan kasih sayang (Maslow, 1954). Menurut
Maslow, kekurangan perhubungan kasih sayang menjadi punca kecelaruan personaliti
yang mungkin melibatkan tingkah laku agresif dan anti sosial.
Sebagai contohnya, remaja daripada keluarga yang ibubapanya bercerai
mempunyai IQ yang lebih rendah di samping melahirkan ciri-ciri tingkah laku yang
negatif seperti permusuhan, zalim dan tiada kasih sayang (Goldfarb: Petikan Wan
Azmi, 1987). Krisis keluarga seperti penceraian dan pertengkaran ibu bapa juga boleh
menyebabkan remaja kehilangan obor panduan hidup. Maka, lahirlah personaliti
remaja yang tidak sihat dan lemah pencapaian akademiknya. Seterusnya menyumbang
kepada pelbagai gejala negatif termasuklah penagihan dadah.
Kedudukan kewangan sesebuah keluarga menentukan jenis-jenis kemudahan
yang dapat disediakan untuk anak-anak. Keluarga yang berada mampu menyediakan
bahan-bahan pengajaran tambahan seperti komputer, tutor bimbingan, alat permainan
(raket, tenis, skuasy, alat muzik seperti piano, organ elektrik) dan sebagainya. Dengan
kemudahan ini anak-anak mendapat pendedahan yang begitu luas. Seseorang remaja
yang memperoleh pencapaian akademik yang baik serta dapat bermain pelbagai
permainan dan alat muzik, memang mempunyai aras keyakinan diri yang tinggi.
Sebaliknya, remaja daripada keluarga yang miskin mengalami pelbagai jenis masalah
seperti ketiadaan tempat khas hendak belajar ataupun ketiadaan tutor ataupun buku
panduan tambahan. Walaupun remaja itu mungkin hendak menyertai permainan tenis
ataupun skuasy, mereka menghadapi masalah hendak membeli raket berkenaan.
Perkembangan personaliti remaja berkenaan turut terjejas dan mempengaruhi proses
pembelajarannya. Hal ini, jika tidak dibimbing dengan baik akan membawa kepada
hilangnya minat belajar, ponteng kelas atau sekolah seterusnya membawa kepada
masalah yang lebih serius seperti menghidu gam, mencuri, dan menagih dadah.
2.3 Faktor Pengaruh Sekolah
Remaja menghabiskan hampir seluruh masanya di sekolah. Pengaruh sekolah adalah
kedua pentingnya berbanding dengan pengaruh keluarga. Organisasi dan struktur
belajar di sekolah seperti pengagihan pelajar mengikut pencapaian, pihak berkuasa
yang menekankan peperiksaan, bentuk, struktur ganjaran dan hukuman, sikap dan
harapan guru, kesemuanya menggalakkan masalah disiplin di kalangan pelajar-pelajar
yang lemah daripada segi akademik (T. Marimuthu, 1980).
Jenis kepimpinan dan suasana sekolah mempengaruhi perkembangan
personaliti remaja. Contohnya pengetua yang tegas melaksanakan disiplin pasti
menegaskan kepada remaja, keadaan disiplin adalah penting bagi menjamin kejayaan
pelaksanaan satu-satu tugasan Sebaliknya pengetua yang tidak tegas boleh
mendatangkan kesan yang negatif pula. Ini boleh menyebabkan remaja menjadi pasif,
menarik diri, takut mengambil risiko, kurang inovatif dan takut mendatangkan
perubahan. Sifat-sifat kepimpinan juga terbantut perkembangannya.
Disamping itu terdapat juga guru yang melabelkan pelajar sebagai cerdik dan
bodoh, pelajar yang pada mulanya berminat dan bermotivasi pasti menunjukkan minat
yang bertentangan setelah dilabelkan oleh guru sebagai pemalas atau bodoh, ini boleh
menjejas pencapaian pelajar dalam pelajaran (Lacey, 1970). Hal ini seterusnya
menyebabkan keinginan untuk ponteng dari kelas atau sekolah, kerana semangat
untuk belajar kian luntur dari diri remaja terbabit. Apabila gejala ponteng telah
menyerap masuk ke dalam diri remaja, maka, pelbagai pengaruh negatif akan
melanda remaja tersebut antaranya ialah penyalahgunaan dadah.
2.4 Faktor Pengaruh Rakan Sebaya
Pada diri remaja, pengaruh lingkungan dalam menentukan perilaku diakui cukup kuat.
Walaupun remaja telah mencapai tahap perkembangan kognitif yang memadai untuk
menentukan tindakannya sendiri, namun penentuan diri remaja dalam berperilaku
banyak dipengaruhi oleh tekanan dari kelompok teman sebaya (Conger, 1991).
Kelompok teman sebaya diakui dapat mempengaruhi pertimbangan dan keputusan
seorang remaja tentang perilakunya (Beyth-Marom, et al., 1993; Conger, 1991;
Deaux, et al, 1993; Papalia & Olds, 2001)
Rakan sebaya mempunyai nilai-nilai tersendiri dan mempunyai pengaruh yang
ketara. Rakan sebaya di sekolah dapat mempengaruhi disiplin seseorang remaja.
Sekiranya nilai-nilai rakan sebaya tidak mementingkan ketekunan, tanggungjawab,
kerjasama, menepati masa, menghormati guru dan mematuhi peraturan, begitulah
sikap pelajar berkenaan. Sebaliknya sifat-sifat sosial positif rakan sebaya akan
menghasilkan seseorang individu yang amat menekankan nilai moral dalam satu-satu
masyarakat seperti sifat-sifat kepimpinan, bertimbang rasa dan bekerjasama.
Rakan sebaya juga memainkan peranan yang penting bagi membentuk konsep
diri, sikap dan pandangan seseorang pada dirinya sendiri sama ada dirinya dihargai
ataupun tidak di mata kumpulan masyarakat sekelilingnya.. Contohnya, cara
berpakaian, hobi, aktiviti-aktiviti sosial, jenis permainan, kumpulan belajar dan
sebagainya. Sekiranya kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat baik, maka
remaja ini terpengaruh hendak menjalankan aktiviti yang sihat. Tetapi sekiranya
kumpulan sebaya yang dipilih cenderung berbuat jahat, maka remaja ini akan
cenderung melakukan aktiviti-aktivit yang negatif.
Ini kerana remaja ingin dirinya diterima oleh rakan-rakan. Dengan itu, mereka
sentiasa sanggup melakukan apa sahaja supaya diterima oleh ahli kumpulannya.
Remaja yang berasal daripada keluarga bermasalah lebih mudah dipengaruhi oleh
rakan sebaya yang mungkin senasib dengannya dan membentuk kumpulan sendiri.
Kumpulan ini mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Apabila rakan sebaya
membentuk kumpulan yang bersifat negatif, remaja turut melakukan perkara yang
sama supaya diterima oleh kumpulannya seperti meniru dalam peperiksaan, merokok
dan lain-lain yang boleh menjejaskan pelajaran. Paling teruk lagi ialah pengaruh rakan
sebaya ini akan mengaruh remaja terlibat dengan najis dadah.
2.5 Faktor Masyarakat
Aspirasi, harapan dan nilai satu-satu masyarakat dapat mempengaruhi pembentukan
personaliti remaja. Apabila nilai-nilai dan norma-norma masyarakat adalah sihat,
remaja yang membesar dalam situasi itu turut menjadi anggota masyarakat yang
bertanggungjawab, berdedikasi, rajin berusaha dalam pelajaran dan sedia berkorban
untuk menolong orang lain.
Sebaliknya, masyarakat kebendaan menegaskan betapa pentingnya kekayaan
dan harta benda. Dengan itu, remaja membesar dengan menjadi individu dan remaja
yang sentiasa mengejar kekayaan dan harta benda. Nilai-nilai murni ini mungkin
ditinggalkan menyebabkan remaja sanggup menipu dalam peperiksaan, bergaduh,
mencuri, mencederakan guru, minum arak dan tidak mustahillah sama sekali untuk
terlibat dengan penagihan dadah. Keadaan ini menunjukkan dengan jelas bagaimana
nilai masyarakat dapat mempengaruhi perkembangan dan personaliti remaja sehingga
boleh membawa kepada masalah penyalahgunaan dadah.
2.6 Faktor Diri Sendiri (Rasa Ingin Tahu)
Faktor lain yang membawa kepada berlakunya penagihan dadah adalah sikap remaja
yang ingin mencari sesuatu yang baru atau sikap ingin tahu. Sikap ingin tahu memang
wujud dalam diri remaja. Biasanya mereka gemar mencuba sesuatu yang baru. Setiap
perkara yang dilarang, itulah yang ingin diteroka oleh mereka. Sebagai contohnya
fenomena lumba haram, di mana mereka ingin menunjukkan belang mengecap
keseronokan bersama rakan sebaya.
Selain itu juga, remaja sekarang lebih suka kepada cabaran dan mudah terikut
dengan gaya, cara hidup lain daripada orang lain. Jika tidak kena pada caranya,
masalah seperti hamil luar nikah mudah terjadi. Ini dapat dibuktikan daripada
kenyataan akhbar Utusan Malaysia (30 September 2002) menyatakan, sikap terpedaya
dan sukar mengawal nafsu dikenal pasti sebagai antara punca utama berlakunya gejala
kehamilan luar nikah di kalangan remaja. Ini membuktikan, sikap remaja yang ingin
mencuba sesuatu tanpa mengetahui baik dan buruknya serta akibat yang bakal
diterima. Perkara sedemikian hanya mengundang pada keruntuhan akhlaknya sendiri.
Masalah jenayah seperti penyalahgunaan dadah juga adalah daripada sikap
ingin tahu yang tidak kena pada tempatnya. Menurut Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi, ” Masalah dadah yang merupakan masalah utama, masih merupakan
ancaman besar negara” (Utusan Malasyai, 2004). Ini membuktikan, betapa seriusnya
masalah dadah yang kebanyakan penagihnya terdiri daripada golongan remaja.
Selain itu, remaja sering dilabelkan sebagai moodiness kerana sekiranya
remaja gagal menangani gangguan emosi yang melanda, maka ia membawa pada
masalah remaja seperti penyalahgunaan dadah, delinkuensi dan kecenderungan
hendak membunuh diri. Menurut penterjemah buku berjudul Psikologi Pendidikan
iaitu Noran Fauziah Yaakub (1991), beliau menyatakan sebab utama berlakunya
delinkuensi adalah perasaan kekecewaan. Keadaan ini menunjukkan remaja yang
mengalami tekanan dalam diri cenderung melakukan masalah. Mereka tidak dapat
mengawal emosi dan kematangan fikiran lantas mengambil jalan mudah dengan
melibatkan diri dalam pelbagai perkara negatif seperti mengambil dadah.
Menurut Dr Syed Hasan Ahmad (2004) menyatakan, ”Apabila remaja
membuat andaian bahawa ibubapa cuai dalam tanggungjawab mereka dan berlaku
sesuatu yang tidak diingini dalam keluarga terbabit, remaja itu akan berasa marah,
kecewa dan memendam perasaan.” Keadaan ini membawa pada perilaku yang tidak
baik seperti vandalisme, lepak dan penyalahgunaan dadah kerana mereka ingin
mengelak daripada berada di rumah. Andaian yang dibuat oleh remaja ini
menjejaskan hubungan antara ahli keluarga dan sekiranya tidak diatasi pasti semakin
seriuslah masalah remaja. Begitu juga dengan apa yang diperkatakan oleh pakar
motivasi iaitu Rubiah Hamzah (Utusan Malaysia, 1999) iaitu sikap marah dan tidak
puas hati dapat memberi kesan negatif dan positif. Kesan negatif adalah apabila
seorang itu mengambil sikap berdiam diri serta memendam rasa tanpa mahu
meluahkan atau menceritakan masalah yang membelenggu diri kepada orang lain.
3.0 KESAN-KESAN PENYALAHGUNAAN DADAH DARI SUDUT
PSIKOLOGI
3.1 Kesan Penyalahgunaan Dadah Pada Fizikal Remaja
Dadah yang disalahguna mempunyai impikasi atau risiko yang menjejaskan kesihatan
tubuh badan manusia. Setiap jenis dadah yang diambil mempunyai tindakbalas yang
berbeza. Sebagai contoh kesan pengambilan dadah jenis Stimulants (Perangsang)
seperti amphetamine menyebabkan seseorang itu mengalami perubahan tekanan
darah, berpeluh, muntah, kehilangan berat badan, sakit dada, koma dan lain-lain.
Malahan, kesan jangka panjang hasil pengambilan dadah tersebut berkemungkinan
diserang sakit jantung yang menyebabkan kematian.
Secara rasionalnya, perkembangan fizikal remaja akan terjejas akibat
penyalahgunaan dadah. Menurut teori tugas perkembangan Havinghurst, di peringkat
remaja seseorang manusia mengalami pertumbuhan fizikal yang pesat. James E.
Gardner menyebut fasa remaja sebagai masa turbulence (masa penuh gelojak). Di
peringkat ini, remaja perempuan cenderung untuk menjaga penampilan diri supaya
kelihatan menarik. Tanpa bimbingan yang betul, ada di antara mereka ini mengambil
dadah untuk melangsingkan badan. Kesannya, mereka akan mengalami ketagihan
dadah tersebut sehingga mengalami anorexia nervosa iaitu keadaan di mana
seseorang individu itu mengalami gangguan diet pemakanan yang serius sehingga
menyebabkan susut berat badan yang terlampau.
Remaja lelaki pula pada awalnya terlibat dalam aktiviti merokok sehingga
segelintir mereka ini ingin cuba mencari sesuatu yang lebih memberi impak kepada
mereka. Dadah merupakan jalan penyelesaian untuk mereka memenuhi keinginan
mereka ini. Akibat yang ditanggung bukan sedikit, kesan negatif pada perkembangan
fizikal seperti kemerosotan berat badan dan daya ketahanan badan mungkin akan
berlaku. Kaedah perkongsian jarum suntikan umpamanya menyebabkan seseorang
remaja itu terdedah kepada penyakit berjangkit malahan lebih teruk lagi mereka ini
mungkin menerima risiko penyakit HIV Aids. Secara umumnya, kesan
penyalahgunaan dadah di kalangan remaja akan merencatkan proses perkembangan
fizikal remaja yang pesat berlaku. Gangguan perkembangan fizikal remaja ini juga
akan mempengaruhi perkembangan emosi remaja yang ketagihan dadah.
3.2 Kesan-Kesan Penyalahgunaan Dadah Pada Emosi Remaja
William James (1884) menyatakan emosi adalah perubahan perasaan yang bertindak
sebagai reaksi kepada sesuatu yang menarik yang berlaku disekeliling. Di peringkat
usia remaja, mereka mengalami konflik atau krisis mencari identiti dan kekeliruan
peranan. Fasa remaja sering dianggap sebagai fasa yang sangat tidak stabil dalam
perkembangan manusia. Pendapat Elkind menyatakan bahawa remaja memiliki
semacam perasaan invulnerability iaitu keyakinan bahawa diri mereka tidak mungkin
mengalami keadaan yang membahayakan diri. Keadaan ini menyebabkan remaja
seringkali terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Kesan emosi yang ketara hasil
tindak balas dadah terhadap remaja tersebut seperti cepat marah, panik dan mungkin
mengalami kemurungan.
Remaja yang ketagihan dadah menunjukkkan perubahan emosi yang sangat
jelas, sama ada menjadi terlalu gembira, asyik ketawa, berperangai buruk atau
menjadi pendiam dan tidak mahu melakukan aktiviti. Remaja yang mengambil ganja
suka bunyi bising, jadi mereka mungkin memasang radio atau televisyen sekuat hati.
Emosi akan menjadi tidak stabil akibat kesan dadah. Apabila mengambil dadah,
mereka berasa lebih yakin dan gembira, sebaliknya menjadi murung dan gelisah jika
tidak mendapat dadah. Apabila keinginan untuk mendapatkan dadah tidak dapat
dipenuhi, akan berlaku gangguan dan ketidaktenteram jiwa. Remaja yang dalam
keadaan ketagihan dadah yang memuncak mungkin akan bertindak agresif untuk
menghilangkan ketagihan dadah yang sedang dialami.
Menurut Teori Emosi Plutchik (1980), gabungan emosi primer marah dan
benci akan menghasilkan emosi sekunder iaitu emosi agresif. Emosi agresif akan
diterjemah melalui tindakan agresif remaja yang ketagihan dadah. Untuk mengatasi
rasa gian dadah remaja sanggup melakukan apa sahaja sehingga bertindak ganas
malahan sanggup melakukan pembunuhan. Menurut Perunding Terapi Penagihan
Chris Sekar, kesan kronik penyalahgunaan dadah adalah kebergantungan kepada
dadah yang dipecahkan kepada tiga jenis iaitu kebergantungan yang membolehkan
seseorang itu berfungsi seperti berasa gembira, kebergantungan fizikal seperti badan
ada keinginan memuncak pada dadah dan kebergantungan minda seperti fikiran asyik
tertumpu pada dadah. Penyalahgunaan dadah seperti ganja memberi impak yang kuat
kepada otak sehingga menyebabkan penagih mengalami psikosis iaitu sakit mental
yang teruk.
3.3 Kesan-Kesan Penyalahgunaan Dadah Pada Sosial Remaja
Perkembangan sosial pada waktu remaja lebih melibatkan kelompok teman sebaya
dibandingkan orang tua (Congar, 1991; Papalia & Olds, 2001). Dalam tahap
perkembangan psikososial yang dikemukakan oleh Erikson, tugas utama yang
dihadapi oleh remaja ialah membentuk identiti yang stabil, kesedaran mengenai
perubahan pengalaman dan peranan yang mereka miliki dan mengakhiri zaman
kanak-kanak dan memasuki alam dewasa yang akan mereka tempuhi (Stevens-Long
& Cobb, 1993). Kegagalan menyedari peranan dan membentuk personaliti yang betul
dan faktor tekanan psiko-sosial menyebabkan remaja sering terjebak dalam kancah
najis dadah dan juga pelbagai perkara negatif yang lain.
Secara umumnya, remaja yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah akan
mula menjauhkan diri daripada keluarga dan rakan-rakannya. Mereka lebih cenderung
untuk bersama kelompok yang terlibat sama dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Kebanyakan penagih akan hilang minat dan tidak memperdulikan tanggungjawab
terhadap dirinya sendiri, keluarga da masyarakat. Prestasi dalam bidang akademik
mahupun pekerjaan merosot, tingkah laku dan sikap berubah daripada apa yang biasa
diamalkan atau diperhatikan sebelumnya. Mereka juga tidak menghiraukan kesihatan
dan kebajikan sebelumnya.
Remaja yang ketagihan dadah tiada kecerdasan interpersonal. Kecerdasan
Interpersonal menurut teori pelbagai kecerdasan Gardner ialah keupayaan untuk
memahami niat orang lain dan mengenalpasti matlamat pendorong orang lain untuk
bekerja. Mereka ini tidak suka mempunyai ramai kawan, tidak gemar menyertai
aktiviti berkumpulan dengan rakan-rakan dan tidak bijak bersosialisasi dalam
masyarakat.
Kesan Penyalahgunaan dadah mendorong remaja melakukan jenayah seperti
merompak, mencuri dan jenayah yang boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat.
Implikasi dadah juga mengakibatkan remaja hilang kawalan dalam pergaulan sosial.
Mereka cenderung untuk melakukan seks bebas di bawah pengaruh dadah. Kesan
pengambilan dadah Metamfetamin atau ICE misalnya boleh menyebabkan remaja
tersebut bertindak ganas dan berkemungkinan terlibat dalam pergaduhan dan
cenderung melakukan delinkuen. Masalah-masalah lain mungkin interaksi antara
ibubapa dan remaja itu sendiri akan semakin renggang dan berkemungkinan remaja
tersebut melarikan diri dari rumah dan tinggal bersama rakan-rakan yang sealiran
dengannya.
4.0 CARA MENGATASI PENYALAHGUNAAN DADAH DARI SUDUT
PSIKOLOGI
4.1 Melalui Peranan Ibu Bapa
Telah kita ketahui antara punca utama dalam penagihan dadah adalah kurangnya
perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga. Bagi mengatasi masalah
ini dari terus berpanjangan, para ibu bapa seharusnya memberi perhatian, kasih
sayang dan bimbingan kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi pada peringkat
remaja. Ini bertepatan dengan teori motivasi Maslow (1954) yang menyatakan teori
motivasi melalui hirarki keperluan. Manusia perlu memenuhi keperluan peringkat
asas atau keperluan hayat atau fisiologi terlebih dahulu sebelum timbul keperluan
peringkat berikutnya iaitu keperluan keselamatan. Seterusnya keperluan kasih sayang
dan pada peringkat berikutnya keperluan peringkat kendiri. Peringkat yang terakhir
adalah sempurna kendiri.
Berdasarkan teori ini kasih sayang diletakkan pada peringkat ketiga di mana
memberi gambaran bahawa penghargaan dan kasih sayang sangat penting kepada
manusia lebih-lebih lagi diperingkat remaja. Ini termasuklah keinginan kasih sayang
dari ibu bapa atau rakan sebaya dalam kumpulannya. Sekiranya ibu bapa kurang atau
tidak memberi kasih sayang yang secukupnya maka anak-anak akan mencari kasih
sayang tersebut dari orang lain seperti rakan sebaya.
4.2 Melalui Peranan Sekolah
Mewujudkan Sekolah Bebas Dadah dengan mengadakan pendidikan pencegahan
dadah secara komprehensif melalui kurikulum dan ko-kurikulum di sekolah/IPT,
intervensi, latihan guru dan penglibatan ibubapa. Pendidikan pencegahan dadah
adalah elemen penting dalam strategi pencegahan dan sekolah merupakan institusi
penting bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bebas dari dadah. Kementerian
Pelajaran telah diberi tanggungjawab bagi mengenalpasti, merancang dan
melaksanakan segala program dan aktiviti tindakan berhubung dengan pendidikan
pencegahan dadah di peringkat sekolah, Institusi Latihan Guru dan IPT untuk
mewujudkan pemikiran generasi muda supaya menjauhi dadah, menyediakan
alternatif-alternatif berfaedah yang dapat mencegah daripada terlibat dengan dadah
dan mewujudkan suasana sekitar yang menjadikan dadah itu dibenci dan jijik. Bagi
mencapai hasrat diatas semua pihak perlu memberikan komitmen, kerjasama dan
berusaha melaksanakan pelbagai pendekatan diantaranya seperti:
Semua guru mestilah mempunyai pengetahuan tentang dadah dan pendidikan
pencegahan dadah melalui KBSR dan KBSM mula dilaksanakan.
Melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah di Tadika/Pra sekolah.
Melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah melalui KBSR dan KBSM
yang lebih mantap.
Melaksanakan program pendidikan pencegahan dadah di IPTA/IPTS.
Semua guru mempunyai kemahiran untuk mengendalikan pelajar-pelajar yang
bermasalah.
Antara program-program yang boleh dilaksanakan adalah seperti; program
intelek asuhan rohani (pintar), kem pintar, latihan tenaga pengajar (TOT), program
untuk pibg/guru, program sekolah anak didik kami, ujian saringan air kencing,
seminar/ceramah/pameran/tayangan video, program kampus sejahtera dan
menubuhkan skuad antidadah di ipt.
4.3 Melalui Peranan Masyarakat
Pencegahan merupakan strategi jangka panjang yang bertujuan mencegah seseorang
daripada terlibat dengan dadah. Sungguh pun masalah dadah bermula dengan masalah
individu tetapi jika tidak dibendung ianya akan memberi kesan kepada keseluruhan
masyarakat sekitarnya. Masalah dadah berkaitan rapat dengan masalah jenayah,
keganasan, keselamatan dan HIV/AIDS di satu-satu kawasan. Oleh itu semua pihak
mestilah mewujudkan kesedaran tentang kesan dan bahaya dadah disamping
merangsang penglibatan seluruh masyarakat setempat dalam usaha memerangi dadah.
Setiap individu, keluarga dan masyarakat di satu-satu kawasan bekerjasama dan
mempunyai peranan dalam pencegahan dadah dan memastikan kawasan mereka
bersih daripada gejala dadah.
Pemimpin-pemimpin masyarakat setempat juga perlu tampil ke hadapan bagi
membantu kerajaan terutamanya Agensi Antidadah Kebangsaan dalam melaksanakan
program-program pencegahan dadah di kawasan mereka. Strategi jangka panjang ini
juga untuk mewujudkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat bahawa dadah
akan membawa mudarat kepada diri, keluarga dan masyarakat. Oleh itu dalam
menangani masalah dadah, penglibatan secara sukarela masyarakat setempat amat
diperlukan. Antara perkara yang perlu diberi perhatian dalam menangani maslaah
dadah dalam masyarakat adalah:
Meningkatkan kesedaran penduduk di satu-satu kawasan tentang bahaya dan
ancaman dadah.
Menimbulkan kesedaran penduduk satu-satu kawasan bahawa masalah dadah
perlu ditangani bersama.
Meningkatkan pengetahuan penduduk satu-satu kawasan tentang peranan yang
boleh dilakukan bagi menangani masalah dadah.
Meningkat kerjasama pemimpin masyarakat dalam satu-satu kawasan untuk
menghapus/membersihkan gejala dadah di kawasan mereka.
Antara program-program yang boleh dilaksanakan adalah seperti;
GEMPADAH (Gempur Dadah), Hari Antidadah Kebangsaan, program gerak tindak
NGO/ JKKK, ujian saringan air kencing, program belia berwawasan, program
bersama kementerian belia dan sukan, forum perdana, aktiviti ceramah, pameran, dan
tayangan video.
4.4 Melalui Tanggungjawab Diri Sendiri
Remaja perlu bijak mengawal diri dan maklum tentang bahaya dadah. Mereka perlu
diberi maklumat tentang bahaya dadah. Pendedahan tersebut perlu datang dari ibu
bapa, sekolah dan juga masyarakat. Mereka perlu dibimbing dalam membina identiti
dan personaliti diri mereka. Perhatian dan sokongan dari semua pihak penting untuk
membantu remaja dalam membentuk keyakinan dan kekuatan diri dalam menempuh
kehidupan yang penuh cabaran. Dengan wujudnya kekuatan ini, setiap individu akan
berjaya mencegah dirinya daripada dengan gejala negative ini walaupun ia mudah dan
senang diperolehi. Strategi ini dianggap paling berkesan dalam usaha membanteras
masalah penyalahgunaan dadah.
Disamping itu, memilih rakan yang baik juga perlu diambil kira. Ini kerana
rakan mempunyai pengaruh yang besar dalam pembentukkan akhlak remaja. Kawan
yang baik akan membawa kepada perkara kebaikan manakala kawan yang tidak
bermoral akan membawa kepada sebaliknya.
4.5 Melalui Pelaksanaan Undang-Undang
Disamping beberapa cara yang telah disebutkan sebelum ini perkara yang tidak
kurang pentingnya dalam pencegahan penyalahgunaan dadah ialah melalui
penggubalan undang-undang yang berkesan terhadap pesalah-pesalah dadah. Undang-
undang dadah di Malaysia meliputi aspek-aspek pencegahan hinggalah pemulihan. Di
dalam pelaksanaannya, terdapat kelemahan-kelemahan perundangan yang
dikenalpasti secara berterusan dibuat pindaan supaya lebih berkesan. Penalti berat
yang dikenakan adalah menggambarkan kesungguhan Kerajaan Malaysia
membanteras masalah dadah. Lima (5) undang-undang utama yang berkaitan dengan
dadah ialah :-
Akta Dadah Berbahaya, 1952
Akta Racun 1952
Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan), 1983 Pindaan 1998
Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas), 1985
Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta), 1988
5.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, hasil daripada kajian yang telah dilakukan dalam tugasan ini
penulis telah mendapati bahawa penyalahgunaan dadah dikalangan remaja adalah
amat sukar untuk dibendung tanpa kerjasama daripada semua pihak terutamanya
ibubapa, sekolah, dan masyarakat. Sebagai pewaris kepada kepimpinan negara pada
masa hadapan tumpuan haruslah diberikan kepada remaja dari segenap aspek
perkembangan mereka. Ini kerana kesilapan pada satu aras perkembangan dimana
adanya pihak yang tidak memainkan peranan pada tahap tersebut terutamanya
ibubapa akan menyebabkan kecacatan pada tingkahlaku remaja yang seterusnya
mengaruh remaja terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti
penyalahgunaan dadah. Oleh itu, kajian terhadap remaja dari sudut psikologi amat
penting dalam mencari kenapa remaja itu terlibat dengan penyalahgunaan dadah,
mencari kesan daripada kegiatan tersebut dan akhirnya mencari cara untuk mengatasi
tingkahlaku negatif tersebut. Adalah diharapkan hasil daripada kajian ini sedikit
sebanyak dapat memberi penerangan tentang isu penyalahgunaan dadah dikalangan
remaja yang tidak diketahui bila kesudahan akhirnya.
BAHAN RUJUKAN
Atan Long. 1976. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Yahya dan Jaafar Sidek Latif. 2005. Membentuk Identiti Remaja: Identiti Adalah Cermin Diri Remaja. Pahang: PTS Publications & Distributers Sdn. Bhd.
Jamal Darus, 1989.Membimbing Anak Muda Dengan Sempurna. Singapura: Sempurna Jaya Publishing.
Kasmini Kassim. 1998. Penderaan Emosi Kanak-kanak : Trauma Terselindung. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Maslow, A. H. 1954. Motivation and personality. New York: Harper and Row Publishers.
McCrae.R Robert and Costa Jr. Paul. 1990. Personality in Adulthood. USA: Guiford Press.
Ramlah Jantan dan Mahani Razali. 2004. Psikologi Pendidikan Pendekatan Kontemporari, Edisi Revisi. Malaysia: Mc Graw Hill Sdn. Bhd.
T. Marimuthu, 1990.Pengenalan Sosiologi Pendidikan. Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Terry F. Pettijohn. 1998. Psychology : A connectext. Fourth Edition. Dushkin/Mc Graw-Hill.
Wan Azmi Ramli. 1987. Membina keluarga sejahtera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azizi Yahya, Jamaludin Ramli dan Wei May Lin. 2002. “Hubungan Antara Tingkahlaku Keibubapaan dan Penghargaan Kendiri di Kalangan Remaja”.
Dr Tam Cai Lian. 2007. Bahaya Dadah Di kalangan Remaja. Mingguan Malaysia. Muka Surat 8. 16 Disember 2007.
Norlaila Hamima Jamaluddin 2007. Penagihan bermula pada zaman remaja. Metro Ahad. Muka Surat 28. 9 Disember 2007.
http://www.pemadam.org.my/cda/m_fakta/fkt_sta_penagihan78_files/filelist.xml (akses 29 Februari 2008).
Margot Trotter Davis. 2004. Spirituality in Adolescent Decision to use drugs : A review of the literature and theory. http : //www.brandeis.edu/gradjournal (akses 18 Februari 2008).
Prof. Madya Dzulkifli Abdul Razak. Dadah : Senario Sejagat Yang Membimbangkan http://www.esmartstart.com/ad.html (akses 15 Februari 2008).
LAMPIRAN A
Profil Penagih Mengikut Umur Ketika Dikesan
Sumber daripada:
Laman web PEMADAM, “Data Penagih Terkumpul Di Malaysia Bagi Tahun 2005”,
akses pada 29 Februari 2008.
LAMPIRAN A
Keratan Akhbar Yang Digunakan Sebagai Rujukan Isu
Sumber daripada:
Mingguan Malaysia, Bahaya Dadah Di kalangan Remaja. Muka Surat 8. 16 Disember 2007.
Top Related