Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
378
MENDEPANI CABARAN DAN MENANGANI FITNAH
WANITA MENERUSI KISAH NABI YUSUF
ROSMALIZAWATI AB RASHID
Abstrak: Yusuf ‘alaihissalam, seorang nabi yang dikurniakan kelebihan dari segi paras rupa mengundang
kisah yang panjang disebut di dalam al-Quran, bahkan diabadikan sebagai nama surah yang mengandungi
seratus sebelas ayat. Bukanlah suatu kisah yang biasa sekiranya disebut oleh Allah Taala melainkan terdapat
pelbagai iktibar yang terselit di dalamnya. Bermula dari kisah beliau bersama keluarga, dibuang ke dalam
hutan, berhadapan dengan fitnah wanita-wanita disekelilingnya sehingga dilantik menjadi penguasa, al-Quran
tidak putus-putus menterjemahkan kehidupan suka-duka beliau semata-mata untuk menjelaskan kepada umat
bahawa kisah ini sangat penting untuk dijadikan sebagai teladan apatah lagi ketika mengharungi dunia akhir
zaman ini. Fokus kertas kerja ini juga ingin menggali nasihat dan panduan yang bermanfaat untuk lelaki dan
wanita menerusi kisah godaan wanita cantik yang disebut oleh Allah di dalam kisah ini. Sesuai dengan reality
akhir zaman di mana fitnah dating dari lelaki dan wanita, umat memerlukan panduan dan nasihat untuk
menangani pelbagai cabaran akhir zaman ini.. Oleh yang demikian, melalui kajian perpustakaan, artikel ini
mengupas berkenaan nasihat dan panduan yang dapat diambil dari kisah Nabi Yusuf ini dengan menelusuri
kitab-kitab tafsir yang membahaskan berkenaan kisah tersebut serta pandangan-pandangan kontemporari
berkenaan dengan pesanan al-Quran dan Sunnah dalam menghadapi fitnah wanita dan membina pertahanan
diri yang sewajarnya. Dalam pada itu juga, artikel ini mengambilkira isu-isu masyarakat masakini untuk
dikaitkan agar perbincangan menjadi satu sumbangan dalam merawat kebejatan sosial yang sedang dihadapi
oleh masyarakat masakini.
Kata kunci: Yusuf ‘Alaihissalam, Nasihat dan Panduan, Lelaki dan Wanita, Kisah al-Quran, Tafsir
Maudhui..
PENGENALAN
Kisah Nabi Yusuf merupakan kisah yang selalu disebut-sebut bahkan dijadikan bahan
perbincangan umat dari dahulu sampai sekarang. Yusuf ‘alaihissalam merupakan anak
kepada nabi Yaakub alaihissalam dan cucu kepada nabi Ishaq alaihissalam dan cicit
kepada nabi Ibrahim alaihissalam. Beliau adalah anak yang ketujuh daripada dua belas
orang anak nabi Yaakub. Beliau merupakan anak yang sangat disayangi oleh bapanya.
Allah mengurniakan kepadanya rupa paras yang cantik, serta ilmu pengetahuan tentang
tafsir mimpi, diberikan pemerintahan di Mesir dan akhlak serta budi pekerti yang mulia.1
Surah Yusuf dipilih kerana padanya mengandungi teladan yang sangat bermanfaat
terutamanya dalam merawat penyakit-penyakit hati dan masalah sosial yang berlaku pada
masa kini. Pada surah ini diceritakan tentang perjalanan hidup Nabi Yusuf sejak kecil
sehingga beliau diangkat menjadi nabi dan pemerintah.
Apabila sesuatu kisah disebut di dalam al-Quran bermakna ada hikmah dan mesej
yang sangat penting untuk dihayati. Ia bukan berkisar tentang apakah nama isteri penguasa
Mesir yang menggoda nabi Yusuf, bukan juga menjadikan ia sebagai kiasan perumpamaan
pasangan yang bahagia, antara nabi Yusuf dan yang dikenali sebagai Zulaikha. Ini kerana
semua ini bukanlah bersandar kepada nas-nas yang disebut di dalam al-Quran dan hadith.
Bahkan bukan juga menjadi kepentingan bagi al-Quran untuk merakamkan perkara
tersebut2.
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018 Penyunting: Mohamad Zaidin Mat @ Mohamad, Hanif Md Lateh @ Junid, Tengku Fatimah
Muliana Tengku Muda, Syh Noorul Madihah Syed Husin, Sharifah Norshah Bani Syed Bidin,
Sumayyah Abdul Aziz, Nooraihan Ali, Kamaruddin Awang Mat, Azzyati Mohd Nazim,
Nadhirah Nordin, Raja Hazirah Raja Sulaiman & Noorsafuan Che Noh
© Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
ISBN 978-967-0899-96-1 (2018), http: //www.fki.unisza.edu.my
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
379
Mesej yang ingin disampaikan lebih dari itu, iaitu sebagai role-model kepada umat
Islam, menjadi contoh dalam pembentukan personaliti yang hebat, menjadi teladan di
dalam setiap detik peristiwa yang disebut di dalam al-Quran. Allah Taala berfirman:
“wahai Muhammad, sebutkan kepada umatmu dalam ceritamu tentang kisah nabi Yusuf
A.S ketika ia berkata kepada ayahnya Ibn Ishaq, bin Ibrahim A.S.
Sebagaimana dikatakan imam Ahmad dari Ibn Umar, Nabi Muhammad SAW ketika
ditanya tentang peribadi nabi Yusuf, ini jawapan beliau:
إذا قيل من الكريم فقولوا الكريم ابن الكريم ابن الكريم ابن الكريم يوسف بن يعقوب بن إسحاق بن
إبراهيم عليه السالم.
“Orang yang mulia, putera orang mulia, putera orang yang mulia, putera orang
yang mulia; Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim.”3
LATAR BELAKANG SURAH YUSUF
Surah ini termasuk di dalam surah makkiyah, mengandungi seratus sebelas ayat. Menurut
al-Suyuti, di dalam satu riwayat dikemukakan bahawa setelah sekian lama ayat-ayat al-
Quran diturunkan kepada nabi dan dibacakan kepada sahabat, mereka berkata:” ya
Rasulullah, bagaimana pula jika tuan bercerita kepada kami?” maka Allah menurunkan
ayat ini (surah al-Zumar: 23) sebagai penjelasan bahawa Allah telah menurunkan sebaik-
baik cerita.4
Menurut Ibnu Abi Hatim, para sahabat berkata lagi, “ya Rasulullah, bagaimana pula
jika tuan mengingatkan kami?” lalu Allah turunkan ayat ini (surah al-Hadid:16) sebagai
peringatan bahawa terdapat banyak ayat yang telah diturunkan oleh Allah agar mereka taat
dan patuh kepadaNya.(diriwayatkan oleh al-Hakim dan yang lainnya daripada Saad bin
Abi Waqqas).5
Manakala di dalam riwayat yang lain pula para sahabat berkata: “ya Rasulullah,
bagaimana jika tuan menceritakan sesuatu kepada kami”. Lalu Allah menurunkan ayat ini
(surah Yusuf: 3) sebagai penjelasan bahawa di dalam al-Quran telah terdapat kisah-kisah
yang baik untuk dijadikan teladan kepada orang mukmin. (diriwayatkan oleh Ibn Jarir dari
Ibn Abbas. Diriwayatkan oleh Ibn Mardawaih daripada Ibn Mas’ud).6
Sayyid Qutb di dalam tafsirnya, fi Zilal al-Quran menjelaskan bahawa surah Yusuf
ini diturunkan sesudah surah Hud, ketika Rasulullah SAW berhadapan dengan tahun
dukacita, iaitu ketika kematian dua orang kesayangan baginda, Abu Talib dan Khadijah,
dan ketika di antara Baiat Aqabah pertama dan Aqabah kedua. Pada waktu ini baginda
SAW dan kaum muslimin keluar berdakwah. Oleh yang demikian, surah ini menjadi satu-
satunya surah yang diturunkan pada masa tersebut, sebagai hiburan dan pengajaran kepada
baginda SAW.7
Sehubungan dengan itu, Allah mengungkapkan keindahan kisah ini di dalam
kalamNya:
Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan
jalan Kami wahyukan kepadamu al-Quran ini, padahal sebenarnya Engkau
sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah
menyedari akan halnya.(surah Yusuf (12): 3).
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
380
Sayyid Qutub menyatakan bahawa ketika rasulullah SAW berhadapan dengan ujian
ini, Allah menceritakan kepada baginda kisah saudaranya yang juga mulia iaitu Yusuf A.S,
pernah ditimpa ujian sejak beliau masih kecil, berhadapan dengan tipu daya saudaranya
sendiri, berhadapan dengan fitnah wanita dan tuduhan yang berat sehingga dipenjarakan.
Namun, semua itu tidak memutuskan semangatnya untuk terus mengharap perlindungan
dari Allah, memohon diberikan kekuatan dan berakhir dengan kebaikan terhadapa diri dan
agamanya.8
RINGKASAN KISAH NABI YUSUF MENURUT AL-QURAN
Kisah ini bermula dengan mimpi Nabi Yusuf yang ditafsirkan oleh ayahandanya bahawa
beliau akan menjadi seorang yang ditinggikan darjatnya oleh Allah Taala, lalu beliau
dinasihatkan oleh ayahnya agar merahsiakan perkara tersebut kerana dibimbangi apabila
diketahui oleh saudara-saudaranya akan menyebabkan mereka iri hati dan melakukan
sesuatu terhadap nabi Yusuf.9
Seterusnya Allah menceritakan tentang perancangan saudara-saudara Yusuf untuk
membunuh Yusuf ataupun membuangnya jauh dari pandangan bapanya. Ini kerana mereka
merasakan bapanya tidak adil dalam membahagikan kasih sayang antara mereka. Oleh
sebab itu, jika Yusuf dipinggirkan sudah pasti perhatian bapanya akan beralih kepada
mereka. Perancangan ini diteruskan dengan membawa Yusuf keluar bermain di hutan
dengan alasan mereka dapat menjaganya dengan baik. Setelah itu, mereka membuang
Yusuf di dalam sebuah sumur (telaga) yang lama di dalam hutan seterusnya membawa
perkhabaran bahawa adiknya itu telah dibaham serigala.10
Namun, Yusuf telahpun diberitahu oleh Allah Taala bahawa beliau akan
diselamatkan. Sekumpulan pengembara melalui kawasan tersebut untuk mendapatkan air,
namun menemui Yusuf yang berada di dalam perigi tersebut. Kerana keelokan paras
rupanya membuatkan mereka membawa pulang Yusf untuk dijual. Janji Allah untuk
memelihara Yusuf terlaksana apabila beliau dibeli oleh seorang pembesar Mesir pada
waktu itu, yang disebut di dalam al-Quran sebagai al-Aziz. Ketika dibawa pulang beliau
berpesan kepada isterinya agar menjaga Yusuf dengan baik.11
Walaubagaimanapun, Yusuf berhadapan dengan ujian seterusnya apabila beliau
disukai oleh isteri pembesar tersebut dan cuba untuk memujuknya melakukan maksiat.
Namun, kerana keimanan yang teguh pada Allah dan menghormati al-Aziz sebagai
majikannya, Yusuf menolak ajakan tersebut sehingga terjadi perebutan di antara mereka
yang menyebabkan baju Yusuf koyak dari belakang. Tatkala al-Aziz meminta penjelasan,
isterinya menuduh Yusuf yang mengajak untuk melakukan maksiat namun Yusf
menafikan. Sebagai bukti, baju Yusuf yang koyak dari belakang membuktikan bahawa
Yusuf tidak bersalah. Walaupun demikian, untuk menyembunyikan aib yang berlaku, al-
Aziz mengarahkan agar Yusuf dihantar ke penjara.12
Peristiwa ini tidak terhenti setakat itu, kerana tohmahan dari wanita-wanita lain
menyebabkan isteri al-Aziz memanggil mereka untuk melihat sendiri ketampanan Yusuf di
dalam satu majlis. Oleh kerana terpegun dengan ketampanan Yusuf membuatkan mereka
memotong tangan mereka dengan pisau yang digunakan untuk memotong epal.13 Ibn
Kathir merujuk kepada pernyataan imam Abul Qasim al-Suhaili tentang rupa Yusuf, “
Yusuf mempunyai separuh dari keelokan Adam A.S, kerana Allah menciptakan Adam
dengan tanganNya dalam bentuk yang paling sempurna dan paling baik, dan tidak ada
seorang pun dari keturunannya yang menyamai keelokannya, lalu Yusuf diberi sebahagian
dari keelokan Adam A.S.14
Kerana fitnah yang tidak berakhir ini, Yusuf memilih untuk berada di penjara agar
dapat memelihara dirinya dari ditimpa fitnah. Ibn Kathir menyebut bahawa beliau
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
381
dipenjarakan kerana tersebar cerita tentang perbuatan isteri al-Aziz terhadap Yusuf yang
mana boleh mengaibkan keluarga tersebut.15
Ujian di penjara semakin menampakkan kebenaran Yusuf apabila beliau berhadapan
dengan dua orang lagi tahanan yang lain yang bertanya kepadanya tentang maksud mimpi
mereka. Di sinilah bermula dakwah nabi Allah Yusuf ketika beliau terbukti mampu
mentafsirkan mimpi dan dalam masa yang sama berjaya memulakan dakwahnya kepada
orang-orang sekelilingnya.16
Rentetan daripada peristiwa itu, ketika raja mencari orang yang boleh mentafsirkan
mimpinya, menyebabkan nabi Yusuf diperkenalkan dan beliau ternyata mampu
memberikan tafsiran terhadap mimpi raja tersebut. Kerana kebaikan, keperibadian unggul
yang ditonjolkan oleh nabi Yusuf membuatkan raja menjemputnya untuk menjadi
penasihat terutamanya yang berkaitan dengan kewangan. Namun, nabi Allah Yusuf
meminta agar namanya dibersihkan dan mendapatkan pengakuan dari mereka yang
menuduhnya agar kebenaran dapat ditegakkan.17
Lanjutan dari peristiwa yang berlaku, ketika musim kemarau ini, saudara-
saudaranya kembali ke Mesir memohon bantuan. Kesempatan di ambil oleh nabi Yusuf
untuk mengambil adik bongsunya, bunyamin agar beliau dapat menceritakan perkara yang
sebenar. Oleh kerana helah ini membuatkan mereka menyedari kesilapan dan mengakui
kesalahan yang telah mereka lakukan. Setelah itu, keluarga ini kembali bersatu dan
bapanya kembali melihat kerana mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada nabi
Yusuf.18
IKITIBAR KISAH NABI YUSUF DALAM PEMBENTUKAN JATIDIRI INSAN
Sabar dan Positif Membuahkan Ganjaran
Allah Taala sentiasa mengingatkan hambaNya agar sentiasa bertakwa dan seiring dengan
ketakwaan itu adalah bersikap sabar, setiap kesukaran dan penderitaan sekiranya dihadapi
dengan tabah dan sabar selalunya akan dibalas dengan kejayaan dan kesenangan. Allah
menyebut di dalam firmanNya:
Katakanlah (Wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang
berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! bertaqwalah
kepada Tuhan kamu. (ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini
akan beroleh kebaikan (yang sebenar di Akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini
luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang
yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak
terkira".(surah al-Zumar (39):10).
Seorang mukmin yang percaya kepada takdir, tidak sepatutnya merasa kecewa dan
berkcil hati apabila ditimpa musibah, orang mukmin mesti menerima dengan penuh
kesabaran dan tawakkal. Kesabaran nabi Yusuf terbukti menghasilkan ganjaran kebaikan,
ketika beliau mengucapkan kepada ayahandanya, tatkala mereka kembali bersatu, Allah
menceritakan:
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
382
Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi
kebesaran. dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada
Yusuf. dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah Dia
tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu
benar. dan Sesungguhnya ia telah melimpahkan kebaikan kepadaKu ketika ia
mengeluarkan daku dari penjara; dan ia membawa kamu ke mari dari dosa
sesudah syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku
dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya
bagi apa yang dikehendakiNya; Sesungguhnya Dia lah Yang Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (surah Yusuf (12): 100.
Hikmah Ujian Menetapkan Iman
Qaradhawi ketika membahaskan tentang sabar, ia merupakan keperluan manusia
seluruhnya, apatah lagi bagi ahli iman – lebih khusus lagi lantaran mereka terdedah kepada
kesusahan dan ujian, juga cabaran terhadap harta benda mereka, juga kemuliaan yang ada
di sisi mereka. Sebagaimanan hukum alam, musuh –musuh mereka akan sentiasa
merencana yang buruk terhadap mereka, menipudaya dan menunggu untuk
menghancurkan mereka. Demikianlah Allah menjadikan Iblis musuh kepada nabi Adam
dan musuh-musuh seterusnya bagi setiap nabi.19
Demikian berlaku kepada nabi Allah Yaakub, ketika kehilangan Yusuf, anak
kesayangan, yang memiliki sifat-sifat yang disenanginya sehingga menimbulkan
kecemburuan di hati anak-anaknya yang lain. Namun, apabila mendapat perkhabaran
tersebut, beliau tetap bertahan dan bersabar serta mengharapkan redha dari Tuhannya.
Firman Allah SWT:
(setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka)
berkatalah ia: "(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu
telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu
rancangkan). jika demikian, Bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, Mudah-
mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaKu. Sesungguhnya Dia
lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.(surah Yusuf (12): 83).
Sabar Di Kala Kesedihan Sifat Orang Beriman
Yusuf al-Qaradhawi, menjelaskan tentang keadaan nabi Yaakob ketika berhadapan dengan
ujian yang kedua, apabila beliau sekali lagi kehilangan anaknya iaitu Bunyamin. Namun
kesedihan beliau ini diselangi dengan kerinduan dan menyempitkan dadanya sehingga
mengalir airmata menahan kesedihan dan dirakamkan di dalam al-Quran bahawa beliau
merintih menyatakan dukacita kerana ujian tersebut20. Namun kesedihannya dihalakan
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
383
kepada pengaduannya kepada Allah Taala tanpa mengeluh mahupun mempersoalkan ujian
tersebut. Firman Allah Taala:
Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba kami: Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak
serta Nabi Yaakub, yang mempunyai kekuatan (melaksanakan taat setianya)
dan pandangan yang mendalam (memahami ugamanya).[surah Shad (38): 45].
Pada ketika ini juga, kesabaran Nabi Yusuf juga teruji, sejak kecil melalui tipudaya
saudara-saudaranya , seterusnya dipisahkan dari keluarga, berhadapan dengan fitnah dunia
dan tuduhan yang hina, pastinya ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilalui.
Namun, di sebalik ujian tersebut, Allah memberikan kebaikan dan ketinggian darjatnya.
Al-Qaradhawi menceritakan tentang imam al-Syafie ketika ditanya: manakah yang
lebih utama bagi orang mukmin, dia dipuji atau diberi jawatan dan kedudukan? Lalu beliau
menjawab: bukankah terjadinya pemberian kedudukan itu setelah mereka diuji? Lalu
beliau merujuk kepada kisah ini sebagai iktibar.21
Berpegang Kepada Syariat Menjamin Keberkatan Hidup
Satu ujian yang getir terpaksa dilalui oleh Nabi Yusuf adalah ketika beliau berhadapan
dengan seorang wanita cantik yang merayu untuk bermesra dengannya. Allah Taala
menceritakan:
Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan
Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia
tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu).
Demikianlah (takdir kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang
tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari
hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. Dan mereka berdua
pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari
belakang; lalu terserempaklah keduanya Dengan suami perempuan itu di muka
pintu. tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): tidak ada balasan
bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan
dipenjarakan Dia atau dikenakan azab Yang menyiksanya". Yusuf pula
berkata: "Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku". (Suaminya
tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada
bersama-sama) tampil memberi pendapatnya Dengan berkata:" "Jika baju
Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah
Yusuf dari orang-orang yang dusta.(surah Yusuf (12): 24-26).
Allah SWT ingin menunjukkan kepada kita ketinggian peribadi yang ada pada nabi
Yusuf, keteguhan jiwanya membuktikan beliau berada di dalam penjagaan Allah. Jelas
daripada perkataan beliau yang beliau dapat menguasai dirinya kerana rahmat Allah,
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
384
menolak ajakan isteri majikannya kerana takutkan Allah dan sikap berpegang pada
amanah, tidak sanggup mengkhianati majikannya.
Menurut al-Razi, nabi Yusuf itu suci dari kecenderungan kepada nafsu kerana beliau
adalah nabi, yang dipelihara dari segala maksiat22. Fadhal Abbas, ketika mengulas perkara
ini menyebut bahawa Allah Taala memberikan kebaikan kepada nabi Yusuf A.S dan
pemeliharaan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat, maka adalah mustahil Allah
membiarkan beliau terjatuh di dalam maksiat.23 Demikian juga disebutkan di dalam buku
“Lessons From the Stories of the Quran” bahawa nabi Yusuf memiliki pandangan mata
hati yang merasakan keberadaan Allah di mana-mana membuatkan beliau terpelihara dari
ajakan tersebut.24
Namun, ujian ini mahal harganya. Akibat penolakan tersebut beliau rela dipenjarakan
demi mempertahankan keluhuran budinya, keteguhan jiwanya dan kemurnian jiwanyanya.
Allah menceritakan rintihan nabi Yusuf:
Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku
lebih suka kepada penjara dari apa Yang perempuan-perempuan itu ajak Aku
kepadaNya. dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka,
mungkin Aku akan cenderung kepada mereka, dan Aku menjadi dari orang-
orang Yang tidak mengamalkan ilmunya".(surah Yusuf (12):33).
Sikap yang diambil oleh nabi Yusuf membuktikan bahawa beliau tetap
mempertahankan kebenaran yang ada pada pihaknya dan sanggup berhadapan dengan
risiko yang bakal diambil. Sikap ini merupakan salah satu cirri yang ada dalam membentuk
jatidiri. Sebagaimana dinyatakan di dalam buku Jatidiri Penggerak Perubahan, Norman
Vincent merujuk kepada sikap yang membawa kepada kejayaan adalah apabila seseorang
itu berani berterus terang dan menerima akibat dalam mempertahankan prinsipnya.25
Bahkan Nabi SAW pernah bersabda:
Ada tujuh orang yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada
naungan kecuali naunganNya. Mereka itu adalah: Pemimpin (imam) yang adil,
pemuda yang hidup (tumbuh) untuk beribadah kepada Allah, orang yang
hatinya terpaut dengan masjid, jika keluar darinya pasti kembali ke sana lagi,
dan orang yang saling mencintai kerana Allah ketika berhimpun ataupun ketika
berpisah, orang yang bersedekah secara diam-diam sehingga tangan kirinya
tidak mengetahui apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya, seorang
yang dirayu oleh wanita yang berkedudukan tinggi, cantik jelita tetapi ia
mengatakan: Aku takut kepada Allah dan seorang lagi yang sentiasa berzikir
kepada Allah (ketika bersendirian) sehingga kedua airmatanya berlinang.26
Allah menegaskan di dalam firmanNya:
(Apa Yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang
menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula
berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi
Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak
baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.(surah al-
Baqarah (2):112).
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
385
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini di dalam kitab-nya, Tafsir al-Quran al-Azim:
(ayat ini) menjelaskan, “Allah hanya menerima amal yang mempunyai dua kriteria,
pertamanya ihklas dan keduanya muhsin. Muhsin bermaksud melakukan sesuatu sesuai
dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jika sesuatu amal dilakukan dengan
tulus ikhlas tetapi caranya tidak mengikut (syariat) ia tidak diterima (oleh Allah).”27
Imam Tantawi ketika merujuk kepada ayat ini menyatakan bahawa kerana sifat
konsisten yang ada pada nabi Yusuf, akhlak yang mulia, kesabaran yang tinggi dan
berpegang kepada amanah membuatkan beliau meminta agar namanya dibersihkan dari
segala tuduhan.28
Berani Adalah Kekuatan Tersembunyi
Satu perkara yang jelas ada pada Nabi Yusuf adalah beliau yang diuji sejak kecil, bertahan
dan melaluinya dengan sabar, mampu menjadi seorang pemuda yang bermanfaat kepada
umat. Beliau yang ditakdirkan oleh Allah menjadi nabi, bukan sekadar ingin menonjolkan
sifat kenabian yang ada pada beliau, namun al-Quran juga ingin memaparkan peranan
seorang pemuda yang patut dicontohi oleh generasi muda pada hari ini.
Kekuatan jatidiri yang ada pada beliau terbukti apabila beliau meminta agar segala
fitnah yang dilemparkan kepadanya dibersihkan sebelum beliau dikeluarkan dari penjara.
Walau beliau sebenarnya boleh dikeluarkan dengan permintaan dari pemerintah pada
waktu itu, namun untuk mempertahankan kebenaran dan membuktikan bahawa beliau
berada pada pihak yang benar, beliau meminta agar tuduhan yang dilemparkan kepadanya
disiasat dan ditentukan kebenarannya.
Oleh yang demikian, pemerintah meminta penyaksian dari mereka yang menuduh
termasuklah isteri majikannya dan wanita-wanita bangsawan pada masa itu. Sebagaimana
yang diceritakan di dalam al-Quran:
Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir:" bawalah Dia
kepadaku! "Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya
mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya: kembalilah kepada tuanmu
kemudian Bertanyalah kepadanya: "Apa halnya perempuan-perempuan Yang
melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Maha mengetahui tipu
daya mereka". Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya
kepada mereka: "Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai
dirinya?" mereka menjawab: JauhNya Allah dari Segala cacat cela, Kami tidak
mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf". isteri Al-Aziz pun berkata:
"Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), Akulah Yang
memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi ia telah menolak); dan
Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang Yang benar. "(Pengakuanku) Yang
demikian supaya ia Mengetahui, Bahawa Aku tidak mengkhianatinya semasa
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
386
ia tidak hadir (bersama di sini); dan Bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya
orang-orang Yang khianat."Dan tiadalah Aku berani membersihkan diriku;
Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan,
kecuali orang-orang Yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka
terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Ardis Whitman mengungkapkan di dalam tulisannya tentang kekuatan yang
tersembunyi, beliau menyebut orang yang mampu mempamerkan contoh teladan adalah
mereka yang mempunyai kekuatan yang tersembunyi, lalu kekuatan itu dimaksimumkan
untuk mencipta diri sendiri. Orang yang berwibawa menurut beliau tidak hanya bermanfaat
untuk dirinya bahkan dimanfaatkan untuk orang lain.29
Keteguhan Iman dan Takwa
Dr Danial menyebut bahawa antara tips menjadi cemerlang adalah apabila seseorang itu
mempunyai keteguhan iman dan takwa. Ini kerana seseorang yang teguh imannya, tidak
akan goyah dengan ujian di dunia, sentiasa meletakkan kebergantungannya kepada Allah
dan berjalan di atas muka bumi dengan penuh keyakinan30. Perkara ini jelas dinyatakan
oleh Allah SWT:
Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya
dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya
jalan keluar (dari Segala perkara Yang menyusahkannya). Serta memberinya
rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa berserah
diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong
dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala perkara
yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi
berlakunya tiap-tiap sesuatu.(surah al-Thalaq: 2-3).
Kesinambungan dari sifat taqwa ini juga membuatkan nabi Yusuf memaafkan
perbuatan orang-orang yang mengkhianatinya serta menfitnahnya tanpa ada rasa dendam.
Beliau merasakan Allah adalah sebaik-baik tempat kembali dan menyerahkan segala
urusannya kepada Allah. Sifat hasad yang ada pada saudaranya mendorong mereka
melakukan perbuatan tersebut, namun bagi nabi Yusuf, sifat tersebut adalah berpunca dari
bisikan syaitan kepada mereka agar mengkhianatinya. Di dalam kata-katanya yang
dinukilkan ketika bertemu semula dengan bapanya, beliau menyebut: “dan ia membawa
kamu ke mari dari dosa sesudah syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan
antaraku dengan saudara-saudaraku.
Di dalam tulisan Ahmad M. Raba disebutkan bahawa sifat hasad yang ada pada
saudara Yusuf membuatkan mereka mempunyai motif yang kuat untuk melakukan
kejahatan terhadap Yusuf, dan ini menjadi sebab bagaimana mereka boleh melakukan
sesuatu perkara terhadap orang yang tidak pernah berbuat jahat terhadapnya.31
Seterusnya, kerana takwa jugalah yang membentuk peribadi nabi Yusuf sebagai
seorang yang sentiasa berdoa kepada Tuhannya dalam setiap kejadian yang menimpa
dirinya. Ketika ditimpa musibah, beliau mengadu kepada Tuhannya: sama sahaja
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
387
kepadanya: sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang
menyatakannya; juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan
pada waktu siang.
Orang yang Berilmu Mampu Membentuk Personaliti yang Hebat
Allah Taala telah menetapkan bahawa Yusuf akan diangkat menjadi nabi, menjadi insan
yang ditinggikan martabatnya. Oleh yang demikian, Allah mengurniakannya ilmu dan
hikmah sebagai bekal perjalanan, bahkan menundukkan hati sesiapa yang menemuinya
untuk berbuat baik kepada beliau. Untuk itu, Allah menetapkan beliau dijual kepada
penguasa kerajaan pada waktu itu sebagaimana firmanNya:
Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli
Yusuf kepada isterinya: "Berilah Dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia
berguna kepada kita, atau kita jadikan Dia anak". dan Demikianlah caranya
Kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan
disayangi), dan untuk Kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi.
dan Allah Maha Kuasa melakukan Segala perkara Yang telah ditetapkanNya,
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Surah Yusuf (12):21).
Dapat kita simpulkan di sini, Allah telah membentuk personaliti yang hebat pada
nabi Yusuf dengan kehebatan ilmunya dalam mentafsir mimpi bahkan kerana darjatnya
sebagai seorang nabi.
Seorang yang mempunyai ilmu, tidak sekadar memanfaatkan ilmu untuk dirinya,
namun juga menggunakan ilmu tersebut sebagai jalan untuk berdakwah. Ini dapat dilihat
dari tuturcara percakapan nabi Yusuf ketika diminta oleh rakan sepenjara untuk
mentafsirkan mimpinya:
Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-
bilang Tuhan Yang bercerai-berai itukah Yang lebih baik atau menyembah
Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?
Sebelum mentafsirkan mimpi yang ditanya kepadanya, beliau mengajukan
pertanyaan untuk menyampaikan dakwah kepada rakannya tentang keesaan Tuhan. Beliau
menerangkan kepada rakannya bahawa Tuhan manusia sekalian alam adalah Allah itu
lebih baik dari memuja dan menyembah tuhan yang berbagai, lalu dikuatkan lagi
pernyataan tersebut dengan hujah akal, sebagaimana Allah menceritakan:
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
388
Yusuf menjawab: "(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu
itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada
kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu
kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang
demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku.
Dengan sebab itu aku meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada
Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.(surah Yusuf (12): 37).
Louay Fatoohi, di dalam bukunya “The Prophet Joseph: in the Quran, the Bible and
the History” ketika menjelaskan ayat ini menyatakan:
“Joseph clearly purposefully started off his sermon by mentioning that “no
food comes (in due course) as sustenance for you but I will inform you of its
kind before it comes to you”. In order to tell the two men that this and all other
kinds of knowledge that he had were favours conferred on him by his Lord:
“that is of what my Lord has taught me”. He then told them that this
knowledgeable Lord is ‘Allah’.”32
Sehubungan dengan itu, dapat kita lihat bahawa nabi Yusuf menggunakan ilmunya
untuk kebaikan diri dan umatnya, bukan sebagai alat melepaskan diri dari kesusahan
namun bertanggungjawab terhadap ilmu yang dimiliki. Sayyid Qutub melihat peranan
Nabi Yusuf di dalam menyebarkan dakwah walau berada di penjara ini adalah satu contoh
yang perlu dipraktikkan oleh semua umat Islam.33
Berperancangan dan Tidak Berputus Asa
Gambaran sikap berperancangan dapat dilihat dari strategi yang digunakan oleh Nabi
Yusuf bermula dari saat beliau mempamerkan keperibadian yang mulia, memulakan
dakwah kepada rakan sepenjara, dengan cara menggunakan hujah akal agar dapat memberi
peluang kepada rakannya untuk berfikir.
Lanjutan dari peristiwa itu juga, Nabi Yusuf sempat berpesan kepada rakan yang
dibebaskan itu agar menyebarkan tentang perbualan mereka kepada orang ramai
terutamanya kepada penguasa agar kelebihan yang ada pada beliau diketahui. Sudah pasti
tindakan ini bukan kerana untuk meraih populariti, bukan pula untuk menunjuk-nunjuk
akan tetapi bertujuan untuk meneruskan misinya sebagai nabi. Bahkan, beliau juga
mengetahui bahawa pada masa akan datang negerinya ini akan berhadapan dengan musim
kemarau yang memerlukan kepada sumbangan beliau dalam hal tersebut.
Setelah berhasil mentafsirkan mimpi raja tersebut, beliau mencadangkan langkah-
langkah yang perlu diambil agar tindakan tersebut memberikan penyelesaian yang
terbaik34. Di dalam firmanNya:
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
389
Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh
tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah ia pada
tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk
makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang
besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali
sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).Kemudian akan
datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan,
dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".
Di dalam buku Hidup Berperancangan disebutkan bahawa antara watak dan
keperibadian yang ada pada seseorang yang berperancangan ialah, mereka berani
mempertahankan pendirian dan keyakinan, cinta kepada kebenaran adalah satu hal yang
mutlak. Oleh kerana watak dan keperibadian yang tinggi ini menjadi unsur yang penting
dalam menentukan untuk mencapai prestasi dan kejayaan dalam segala bidang
kehidupan.35
Menerusi kata-kata Nabi Yaakub tentang usaha mencari anaknya, Yusuf juga
merupakan sikap yang perlu diambil iktibar di mana beliau menasihati anak-anaknya agar
terus mencari nabi Yusuf dan tidak berputus asa. Di dalam firmanNya:
Wahai anak-anakku! pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan
saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta
pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan
pertolongan Allah itu melainkan kaum Yang kafir".(surah Yusuf (12): 87).
WANITA SEBAGAI UJIAN DAN FITNAH
Antara intipati penting di dalam kisah Nabi Yusuf ini juga adalah berkenaan tipudaya
wanita yang disebut oleh al-Quran sebagai perempuan al-Aziz, iaitu isteri kepada
pemerintah Mesir ketika itu. Bukanlah nama atau gelaran yang menjadi keutamaan al-
Quran namun ibrah yang dapat diambil dari perlakuan wanita yang cenderung melakukan
tipudaya dan godaan kepada lelaki yang disukainya walaupun ketika itu beliau telah
menjadi isteri kepada seorang yang ternama. Al-Quran mencatatkan bahawa wanita adalah
antara ujian dunia, Allah berfirman:
Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang
diingini, iaitu; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas,
perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, dan sawah bendang. Itulah
kesenangan hidup didunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik.
[surah Ali ‘Imran (3):14].
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
390
Ibnu Hajar ketika mentafsirkan ayat ini melihat kepada kecintaan terhadap wanita itu
mengatasi kecintaan kepada yang lainnya, ini jelas dapat dilihat apabila Allah
mendahulukan menyebut wanita sebagai ujian dalam kehidupan di dunia bahkan kelihatan
seperti wanita adalah punca kepada fitnah yang lainnya.
Fitnah yang menjadi ujian kepada Nabi Yusuf ini memberi gambaran perlunya lelaki
berhati-hati dan sentiasa memperingatkan diri dengan godaan yang datang dari wanita ini.
Secara zahirnya wanita kelihatan lemah dan lembut namun kelembutan itu mampu menjadi
senjata yang boleh menjatuhkan lelaki jika tidak dididik dan diuruskan sebaiknya.
Sebagaimana nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang wanita:
‹‹ ما تركت بعدي فتنة أضّر على الرجال من النساء ››
“Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan lelaki
selain fitnah wanita’.36
Bahkan betapa umat terdahulu juga binasa kerana fitnah wanita, sebagaimana
sabda baginda shallallahu ‘alaihi wasallam:
وإن هللا مستخلفكم فيها فينظر كيف تعملون فاتقوا الدنيا واتقوا النساء فإن أول حلوة خضرة إن الدنيا»
«فتنة بنى إسرائيل كانت فى النساء
Sesungguhnya dunia ini begitu manis nan hijau, dan Allah mempercayai kamu
untuk menguruskannya. Allah ingin melihat bagaimana kamu memimpin
(menguruskan). Maka jauhilah fitnah dunia dan jauhilah fitnah wanita kerana
sesungguhnya fitnah pertama kali berlaku dalam kalangan bani Israel adalah
berpunca dari wanita.
KESIMPULAN
Dari perbahasan tadi, dapat kita simpulkan bahawa, untuk membentuk jatidiri yang hebat
ia memerlukan kepada pemuda yang tahan diuji, mampu melalui ujian-ujian keperitan
hidup dengan penuh kesabaran. Dengan adanya ujian, manusia akan menjadi lebih berdaya
tahan, meneguhkan keimanan, dan mampu berdiri dengan sendiri untuk membina
kejayaan.
Melalui kesabaran yang ditonjolkan oleh Nabi Yusuf, dalam berhadapan permusuhan
dan iri hati saudara-saudaranya, tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan
kehidupan. Bahkan beliau berani mengatakan yang benar, walau terpaksa menentang orang
yang menjaganya sebagaimana berlaku di antara beliau dan isteri majikannya.
Tidak dinafikan juga, hasutan dan bisikan syaitan menjadi punca kepada ikatan
sesuatu persaudaraan akan menjadi retak. Ini dapat dilihat daripada peristiwa sauda-
saudara Nabi Yusuf sanggup membuangnya hanya kerana hasad. Hasad dengki adalah
kesan daripada dendam. Daripada al-Zubair telah bersabda Nabi: "Telah merebak kepada
kamu semua penyakit umat-umat yang sebelum kamu iaitu; hasad dan kebencian". Nabi
bersabda lagi; "Sesungguhnya hasad dengki itu memakan kebaikan-kebaikan sepertimana
api yang memakan (membakar) kayu api."37
Rentetan dari kisah Nabi Yusuf ini juga menggambarkan kepada kita hubungan di
antara penguasa dan rakyat ketika mana pemerintah pada masa itu menerima nasihat yang
datang dari Nabi Yusuf walaupun beliau tidak mengetahui bahawa orang tersebut adalah
nabi. Oleh kerana sifat ini juga menyebabkan krisis makanan dapat di atasi dan dilalui
dengan sebaiknya. Dari sini, dapat kita simpulkan bahawa untuk menjamin kebaikan pada
sesuatu tamadun, ia memerlukan kepada rakyat, iaitu mereka yang ikhlas dalam memberi
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
391
nasihat kepada pemerintah, menyatakan yang benar tanpa mempunyai apa-apa
kepentingan. Generasi seperti ini akan melahirkan umat yang cemerlang dan tamadun yang
disegani.
Sayyid Qutub menyebut di dalam tafsirnya bahawa kisah nabi Allah Yusuf ini
menggambarkan sebuah contoh yang sempurna bagi manhaj Islam dalam menyampaikan
cerita secara teoritis, sebagaimana kesempurnaan manhaj ini dalam menyampaikan hal-hal
yang berkaitan dengan hati dan jiwa, kepercayaan, pendidikan dan langkah-langkah
kehidupan.38
Demikian juga menurut Harun Yahya, hanya mereka yang memiliki hikmah sahaja
yang mneyedari bahawa dirinya sedang diuji, dan mereka akan berjaya mengharungi ujian
ini juga kerana menggunakan hikmah yang ada pada mereka. Oleh sebab itu, seorang
mukmin tidak boleh menyangka bahawa dia akan masuk syurga hanya dengan
mengucapkan, ‘saya percaya’39.
Begitu juga apabila dibandingkan kisah ini dengan kisah yang disebutkan di dalam
Bible, terdapat perbezaan yang jelas di mana Bible hanya merujuk kepada nabi Yusuf
sebagai seorang manusia biasa, menggambarkan nabi Yusuf juga mempunyai keinginan
terhadap isteri al-Aziz dan pelbagai tafsiran yang berbeza di antara satu versi dengan versi
yang lain. Hakikat ini berbeza dengan al-Quran di mana Allah mengangkat nabi Yusuf
sebagai seorang yang mempunyai personaliti yang sangat mulia, berani menyatakan
kebenaran bahkan dipelihara dari segala maksiat dan kejahatan.40
Kisah Nabi Yusuf juga merupakan bukti jelas menunjukkan bahawa wanita adalah
ujian terbesar dalam kehidupan lelaki. Seringkali kita melihat wanita dijadikan sebagai alat
untuk memancing iklan-iklan produk, digambarkan sebagai ikon yang menggiurkan,
dijadikan alat untuk menarik awam kepada kerosakan sedangkan hakikatnya Islam telah
mengangkat martabat wanita ke darjat yang tinggi, menghapuskan tradisi jahiliah dan
memberikan penghormatan yang tidak diberikan oleh agama-agama yang lain.
Sepanjang perjalanan hidup nabi Yusuf ini, Allah menceritakan dan menggambarkan
kepada kita agar diambil iktibar, perjuangan meneruskan hidup hanya akan diterajui oleh
mereka yang mempunyai jatidiri yang kuat, bersandarkan kepada keteguhan iman,
menelusuri cara hidup yang bersyariat, ikhlas kerana Allah dan sentiasa berada di atas
petunjukNya. Demikianlah iktibar yang seiring dengan zaman dan akan sentiasa kekal
mukjizatnya hingga ke akhir zaman. Maka benarlah kata-kata Allah sebagai penutup surah
ini:
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran Yang
mendatangkan iktibar bagi orang-orang Yang mempunyai akal fikiran. (kisah
Nabi-nabi Yang terkandung Dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita Yang
diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa Yang tersebut di Dalam Kitab-kitab
ugama Yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang
menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi
kaum Yang (mahu) beriman.(surah Yusuf (12):111).
Dengan al-Quran, kita mengharapkan rahmat dari Allah untuk kehidupan di dunia
dan di akhirat. Moga kita termasuk di dalam kalangan mereka yang mengambil iktibar,
mereka yang bahagia di dunia dan di akhirat.
Prosiding Seminar Antarabangsa al-Quran dalam Masyarakat Kontemporari 2018, 15-16 September 2018
392
Rujukan
al-Quran al-Karim.
‘Abbas, Fadhal Hassan.(2000). Qasas al-Quran al-Karim. Jordan: Dar al-Furqan.
Abu ‘Abbas, Muhammad Ali (t.t). Yusuf alaihissalam Baina Makr al-Ikhwah wa Kayd al-
Niswah fi Kitab mafatih al-Ghaib li al-Razi. Arab Saudi: Maktabah al-Sai.
Alu Syaikh, Abdullah bin Muhammad. (2006). Lubab al-Tafsir min Ibn Kathir. Edisi
terjemahan: M. Abdul Ghafar E.M. Jakarta: Pustaka Imam Syafie.
Alia, N.Athar,(1993). Prophets: Models for Humanity. Pakistan: KAZI Publications.
Ahmad Sarji Abdul Hamid, Et. Al. (2008). Amalan Pendekatan Islam Hadhari. KL:
Institut Kefahaman Islam Malaysia.
al-Hulaysi, Nawwaf. (1995). al-Manhaj al-Iqtisodi fi al-Takhtit al-Nabi Yusuf
alaihissalam. Kaherah: Dar al-Kutub al-Qaumiyyah.
Ahmed M. Raba (2001). Major Personalities in the Quran. KL: A.S Noordeen.
al-Suyuti, Jalaluddin. (200). Lubab al-nuqul fi Asbab al-Nuzul, ed.terjemahan. KL: Dar al-
Fajr.
al-Wahidi, Abu hasan Ali bin Ahmad. (1991). Asbab al-Nuzul. Arab Saudi: Dar al-Islah.
Batocci, Barbara. Et. Al. (1997). Jatidiri Penggerak Perubahan. Selangor: Thinker’s
Library Sdn. Bhd.
Danial Zainal Abidin (2008). Tips-tips Cemerlang Daripada al-Quran. KL: PTS Millenia
sdn.bhd.
Fatoohi, Louay. (2005). The Prophet Joseph in the Quran, the Bible and the History. KL:
Islamic Book Trust.
Harun yahya (2003). The Moral Values of the Quran. New Delhi: Goodword Books PVT.
LTD.
Hidayatullah mohd Syarif Aziz.(2008). Doa-doa Taubat Para Nabi. KL: Pustaka Ilmi.
Husayn, Abd Qadir. (1994). Drama al-Hasad wa al-Gharizah Kisah Yusuf AS. Cetakan
Pertama, Kaherah: Arabian Gulf Est.
Muhajir, Ali Musa Raja. (1976). Lessons from the Stories of the Quran. Lahore: SH
Muhammad Ashraf.
Pusat Penyelidikan Islam. (1989). Ayat-ayat Dialog Nabi-nabi Dalam al-Quran. KL:
Jabatan Perdana Menteri.
Qaradhawi, Yusuf. (1992). Sabar Dalam Islam. Ed. Terjemahan Ramli Awang. Johor
Bharu: Bismi Publishers.
Qutb, Sayyid. (1982). Fi Zilal al-Quran. Kaherah: Dar al-Sayrq.
Rasyid Redha. (1982). Tafsir al-Manar. Cetakan Kedua, Juz: 12, Beirut: Dar al-Ma’rifat.
Rasyid Redha. (2000). Hidup Berperancangan. KL: Ciptaan Jiwa Seni Sdn. Bhd. 1 Et. Al, Ayat Dialog Nabi-nabi dalam al-Quran: Huraian dan Pengajaran, KL: Jabatan Perdana Menteri,
m.s 117. 2 Artikel berkenaan israiliyat boleh di dapati dari tulisan Dr. Ahmad Najib Abdullah, bertajuk: Israiliyat;
Pengenalan dan Kaedah Pengecamannya. http://www.darulkautsar.net/article.php?ArticleID=546 3 Al-Bukhari, Sahih al-Mukhtasar, kitab al-Tafsir: Tafsir Surah Yusuf, no: 4/142. 4 Al-Suyuti, Jalaluddin. Lubab al-Nuqul fi Asbab al-Nuzul. Ed. Terjemahan, Peristiwa Penurunan Ayat al-
Quran, KL: Darul Fajar, m.s 427. Juga di dalan karangan al-Wahidi, Abi Hasan Ali bin Ahmad, Asbab al-
Nuzul, cetakan pertama, Arab Saudi: Dar al-Islah. M.s 269. 5 Ibid. 6 Ibid. 7 Qutub, Sayyid, fi Zilal al-Quran, Kaherah: Dar al-Syuruq, m.s 301. 8 Ibid, m.s 302. 9 Surah Yusuf (12): 4-5. 10 Surah Yusuf (12): 7-18. 11 Surah Yusuf (12): 19-22.
International Seminar on al-Quran in Contemporary Society 2018, 15-16 September 2018
393
12 Surah Yusuf (12): 23-29. 13 Surah Yusuf (12): 30-32. 14 Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, m.s 419. 15 Ibid, m.s 421. 16 Surah Yusuf (12): 32-42. 17 Surah Yusuf (12): 42-55. 18 Surah Yusuf (12): 56-111. 19 Qaradhawi, Yusuf. Sabar Dalam Islam. Edisi Terjemahan. Johor Bharu: Bismi Publishers.m.s 160. 20 Ibid, m.s 161. 21 Ibid, m.s 164. 22 Al-Razi, Fakhruddin. Mafatih al-Ghaib, cetakan Pertama, Kaherah: Dar al-Arabi. m.s 421. 23 Abbas, Fadhal Hasan. Qasas al-Quran al-Karim. Jordan: Dar al-Furqan. m.s 387. 24 Ali Musa Raja Muhajir, Lessons from the Stories of the Quran. Lahore: SH. Muhammad Ashraf. M.s 111. 25 Barbara Bartocci, et. Al. Jatidiri Penggerak Perubahan, Selangor: Thinker’s Library Sdn. Bhd. m.s 86. 26 Al-Bukhari, Bab Man Jalasa fi al-Masjid Yantaziru al-Solat, juz 1, Hadis no: 239. 27 Ibn Kathir, m.s 413. 28 Tantawi, al-Jawahir fi Tafsir al-Quran al-Karim, m.s 48.www.altafsir.com. 29 Barbara, et. Al. m.s 122. 30 Danial Zainal Abidin, Tips-tips Cemerlang Daripada al-Quran. KL: PTS Millenia Sdn. Bhd. m.s 20. 31 Ahmad M.Raba, Major Personalities in the Quran, KL: A.S Noordeen. m.s 89. 32 Fatoohi, Louay. The Prophet Joseph: in the Quran, the Bible and the History.1st Edition, pg 18. 33 Qutub, m.s 309. 34 Al-Hulaysi, Nawwaf. Al Manhaj al Iqtisodi fi al Takhtit al nabi Yusuf Alaihissalam. Kaherah: Dar al-
Kutub al-Qaumiyyah. m.s 351. 35 Rasyid Redha. Hidup Berperancangan, KL: Ciptaan Jiwa Seni Sdn Bhd.m.s 15. 36 Muslim 37 Abu Daud, Sunan Abu Daud, hadis no:4885. 38 Qutub, m.s 304. 39 Harun Yahya, The Moral Values of the Quran, New Delhi: Goodword Bokks PVT.LTD. m.s 67. 40 Fatoohi, m.s 227.
Top Related