Page 1 of 3
LHDNM TUAN RUMAH MESYUARAT SGATAR KALI KE-41
Kota Kinabalu, 21 November – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sekali
lagi telah diberikan penghormatan sebagai tuan rumah kepada Mesyuarat Kumpulan
Kajian Pentadbiran dan Penyelidikan Cukai Asia (Study Group on Asian Tax
Administration and Research) atau ringkasnya SGATAR kali ke-41 pada tahun ini.
Mesyuarat yang menghimpunkan 16 Agensi Pentadbir Cukai dari Asia Pasifik ini telah
dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman di Nexus Resort & Spa,
Karambunai, Sabah pada pagi ini.
Mesyuarat SGATAR kali ke-41 akan berlangsung selama 5 hari bermula pada semalam
dan akan berakhir pada 24 November 2011. Sebelum ini Malaysia melalui LHDNM
telah berjaya menganjurkan mesyuarat serupa sebanyak 4 kali iaitu pada tahun 1974,
1982, 1991 dan 2001 di Kuala Lumpur. LHDNM mengangkat polisi Go Green dalam
penganjuran SGATAR kali ini. Di mana semua delegasi tidak lagi dibekalkan dengan
fail serta bahan mesyuarat secara fizikal sebaliknya kebanyakan bahan mesyuarat
disediakan dalam bentuk softcopy. Peralatan berkaitan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) juga digunakan secara meluas sepanjang mesyuarat ini berlangsung.
Atas pertimbangan inilah Negeri Sabah telah dipilih sebagai lokasi mesyuarat SGATAR
pada kali ini kerana Sabah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan kehijauan
alam semulajadinya yang masih terpelihara. Tambahan pula negeri ini terkenal dengan
masyarakat yang berbilang suku kaum dan budaya.
Untuk siaran segera
Page 2 of 3
Menurut Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah dalam ucapan
perasmian SGATAR 2011, kerajaan sentiasa menyokong penganjuran mesyuarat
bertaraf antarabangsa sebegini. Ini kerana ia boleh dijadikan medan oleh anggota
SGATAR untuk membincangkan sesuatu isu serta cabaran di kalangan mereka dalam
usaha meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Seramai 107 orang delegasi dan 53 orang pemerhati menyertai Mesyuarat SGATAR
tahun ini. Bilangan ini merupakan penyertaan yang teramai semenjak mesyuarat ini
mula dianjurkan pada tahun 1971 di Filipina. Para delegasi akan membincangkan tiga
topik khusus yang telah diputuskan melalui undian tertinggi daripada para anggota
SGATAR yang telah diusulkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia sebagai
tuan rumah pada tahun ini. Topik-topik tersebut adalah :
i. Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa(IFRS) : Isu dan Kebimbangannya
[International Financial Reporting Standard (IFRS) : Issues and concerns]
ii. Teknologi Maklumat dan Komunikasi - Memaksimakan penggunaannya dalam
semua aspek pentadbiran cukai pada kos yang paling minima.
[Information and Communication Technology (ICT) – Maximising its usage in
all aspects of tax administration at a minimum cost]
iii. e-Perdagangan : Cabaran percukaian dan isu-isu perundangan.
[e-Commerce : Taxation challenges and legal issues]
Topik IFRS telah menjadi perbincangan hangat di kalangan semua delegasi di mana
dalam globalisasi pasaran kewangan dan perniagaan kini, pelaksanaan IFRS di seluruh
dunia telah menjadi sangat mendesak. Keseragaman amalan pelaporan kewangan
mengikut piawaian yang telah dipersetujui bersama akan membantu setiap anggota
SGATAR mewujudkan suasana pelaburan serta perniagaan yang lebih berdaya saing.
Page 3 of 3
Ini kerana perbezaan dalam amalan pelaporan kewangan antara anggota akan
menyukarkan jalinan pelaburan dilakukan.
Menurut Dato’ Dr. Mohd Shukor Mahfar, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Malaysia
harus segera menyesuaikan diri dengan piawaian pelaporan kewangan yang terbaru
ini. Ini kerana mulai tahun 2012 Negara kita akan mula menggunakan IFRS secara
lebih meluas bagi menggantikan Piawaian Perakaunan Antarabangsa (International
Accounting Standard) yang masih lagi digunakan sekarang. “Kita tidak mempunyai
banyak pilihan sekarang ini, di mana IFRS perlu segera diamalkan. Sekiranya kita
bertangguh dikhuatiri Negara kita akan ketinggalan berbanding dengan Negara-negara
yang lain. Justeru, mesyuarat SGATAR ini sangat penting bagi kami di mana
perbincangan serta pertukaran maklumat di kalangan anggota akan membantu kami
memahami sebarang isu serta cabaran dalam pelaksanaannya nanti”, kata beliau ketika
menjawab pertanyaan pihak media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat SGATAR kali
ke-41 di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Maklumat lanjut sila layari http://www.hasil.gov.my/sgatar/ .
SEKIAN, TERIMA KASIH
# # #
Dikeluarkan oleh : Masrun bin Maslim
Pegawai Perhubungan Awam
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tarikh : 21 November 2011
Nombor Telefon : 03-6203 1380
Nombor Faks : 03-6201 2434
Pusat Khidmat Pelanggan : 1-300-88-3010
www.hasil.gov.my
Top Related