0
LAPORAN SIASATAN AWAM KE ATAS INSIDEN SEMASA DAN SELEPAS
PERHIMPUNAN AWAM PADA 28 APRIL 2012
1
I. PENGENALAN
1. Pada 9 Julai 2011, satu perhimpunan awam telah diadakan di Kuala Lumpur
untuk menunjukkan sokongan kepada tuntutan yang dibuat oleh Gabungan
Pilihan Raya Adil dan Bebas ("BERSIH 2.0")1 untuk pilihanraya yang bebas dan
adil.2 Pada 15 Ogos 2011, Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib
Tun Razak telah mengumumkan bahawa pihak Kerajaan akan menubuhkan
satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Parliamentary Select Committee)
mengenai Pembaharuan Pilihan Raya, sebagai respon kepada dakwaan
manipulasi dalam sistem pilihan raya di negara ini serta permintaan BERSIH
2.0 dan pelbagai pihak lain untuk pilihanraya yang bebas dan adil.
2. Berikutan itu, Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan
Parlimen (PSC) mengenai Pembaharuan Pilihan Raya pada 2 Oktober 2011.
Pada awal April 2012, PSC telah mengeluarkan laporan beserta 22 cadangan
untuk memperbaiki sistem pilihanraya. Laporan tersebut telah diterima dan
diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 April 2012.
3. Pada 4 April 2012, BERSIH 2.0 melahirkan rasa tidak puas hati dengan laporan
tersebut dan menyatakan lapan tuntutan mereka telah tidak diberi perhatian
sepenuhnya oleh PSC. BERSIH 2.0 mengumumkan bahawa ia akan
menganjurkan satu lagi perhimpunan, yang dipanggil 'Duduk Bantah', pada 28
April 2012 dari jam 2.00-4.00 petang di beberapa lokasi di dalam negara
termasuk Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Menurut BERSIH 2.0, perhimpunan
ini bertujuan untuk mewujudkan dan meningkatkan kesedaran di kalangan
orang ramai tentang kepentingan pembaharuan pilihanraya dan untuk
1Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil adalah gabungan 82 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat
sivil, yang bertujuan untuk mereformasikan sistem pilihan raya di Malaysia untuk memastikan pilihan raya bebas, bersih dan adil. Ia ditubuhkan secara rasmi pada 23 November 2006:www.bersih.org.
2Selepas perhimpunan awam 9 Julai 2011, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia telah menjalankan siasatan
awam untuk menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia sebelum dan semasa perhimpunan tersebut:
lihat Report of the Public Inquiry into the Infringement of Human Rights including the Use of Excessive Force Before and During the Assembly on 9 July 2011.
2
menggesa Kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan tersebut sebelum
pilihanraya umum ke-13.
4. Pada 27 April, pihak polis mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa ia telah
memperoleh perintah mahkamah secara ex-parte bertarikh 26 April di bawah
seksyen 98 Kanun Prosedur Jenayah dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur
yang melarang sebarang perhimpunan dan orang ramai daripada menghadiri,
berada atau mengambil bahagian dalam mana-mana perhimpunan di Dataran
Merdeka dari 28 April sehingga 1 Mei 2012. Berikutan itu, Kementerian Dalam
Negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan tempat
alternatif seperti Stadium Merdeka, Titiwangsa dan Stadium Bukit Jalil tetapi
ini telah ditolak oleh pihak penganjur atas alasan kesuntukan masa bagi
membuat perubahan yang perlu.
5. Walau bagaimanapun, media3 melaporkan bahawa polis membenarkan orang
ramai untuk berhimpun di enam lokasi seperti yang diumumkan oleh BERSIH
2.0 dengan syarat bahawa tiada perarakan dan perhimpunan diadakan di
Dataran Merdeka. Pihak polis kemudiannya menyekat beberapa jalan raya di
sekitar bandaraya dan Dataran Merdeka telah dikepung dengan penghadang
dan dikawal rapi. Namun, perhimpunan diteruskan pada 28 April 2012 dan
menurut laporan beberapa kejadian yang tidak diingini berlaku dan pengataan
(dakwaan) mengenai pencabulan hak asasi manusia berlaku terutamanya
selepas jam 3 petang.
6. Perhimpunan BERSIH-’Duduk Bantah’ juga turut diadakan di bandar-bandar
lain termasuk Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan, Johor Bahru, Seremban, Melaka,
Kota Kinabalu, Kuching, Miri dan Sibu. Turut dilaporkan bahawa perhimpunan
yang seumpama ini telah diadakan di 35 buah negara yang dikenali sebagai
Global BERSIH sebagai menyokong seruan BERSIH 2.0 untuk pembaharuan
sistem pilihanraya. Semua perhimpunan telah diadakan tanpa sebarang
3 Malaysian Insider, 27 April 2012
3
kejadian yang tidak diingini kecuali perhimpunan yang diadakan di Kuala
Lumpur.
7. Selepas perhimpunan tersebut, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
("Suruhanjaya") telah menerima 16 aduan daripada orang awam dan satu
memorandum mengenai pengataan (dakwaan) pencabulan hak asasi manusia
terutamanya tentang penggunaan kekasaran tidak seimbang atau tidak wajar
terhadap peserta perhimpunan dan pihak media dan menggesa Suruhanjaya
untuk menjalankan siasatan awam. Selaras dengan itu, pada 3 Mei 2012,
Suruhanjaya telah menyeru kepada orang awam, media dan pihak berkuasa
yang berkaitan untuk mengemukakan sebarang maklumat, dokumen dan bukti
untuk siasatan dan pertimbangan.
8. Sementara itu, pada 9 Mei 2012, Kerajaan telah mengumumkan penubuhan
Panel Bebas yang diketuai oleh bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed
Haniff Omar, untuk menyiasat insiden yang berlaku semasa perhimpunan
awam pada 28 April 2012.
9. Walaupun ia telah memutuskan untuk menunggu pengumuman terma rujukan
Panel Bebas tersebut sebelum membuat sebarang keputusan, Suruhanjaya
pada 21 Mei 2102 mengumumkan keputusan untuk mengadakan satu siasatan
awam ke atas pengataan (dakwaan) pencabulan hak asasi manusia semasa
dan selepas perhimpunan awam pada 28 April 2012. Keputusan Suruhanjaya
itu dibuat berdasarkan laporan pasukan pemantauannya dan selepas memberi
pertimbangan serius ke atas aduan, laporan dan memorandum daripada orang
awam, kumpulan hak asasi manusia dan profesional serta anggota masyarakat
yang lain.
10. Surat telah dihantar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memaklumkan
keputusan Suruhanjaya dan untuk memohon kerjasama mereka dalam
memberikan apa-apa bukti yang berkaitan dengan perhimpunan termasuk
4
senarai anggota yang dikerahkan semasa perhimpunan di Kuala Lumpur pada
28 April 2012.
11. Suruhanjaya juga mengeluarkan kenyataan mempelawa orang awam,
pengamal media dan organisasi lain untuk tampil sebagai saksi dengan
memberikan kenyataan berhubung dengan apa-apa tindakan yang melanggar
hak asasi manusia pada 28 April 2012 yang mungkin membantu Suruhanjaya
dalam Siasatan Awam ini.
12. Sebagai maklumbalas terhadap kenyataan tersebut dan surat yang dihantar,
sebanyak 109 nama telah dikemukakan oleh organisasi masyarakat sivil dan
59 nama dikemukakan oleh PDRM sebagai saksi untuk Siasatan Awam.
13. Terma-terma rujukan Siasatan Awam adalah seperti berikut:
i. Untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi
manusia terhadap mana-mana individu atau pihak semasa dan selepas
perhimpunan pada 28 April 2012;
ii. Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, untuk menentukan:
a. Bagaimana pelanggaran itu terjadi;
b. Apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang
menyebabkan pelanggaran tersebut; dan
c. Individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran
tersebut.
iii. Untuk mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan
pelanggaran tersebut tidak akan berulang.
14. Kuasa Suruhanjaya untuk menjalankan siasatan itu adalah selaras dengan
seksyen 12 (1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta
597):
5
12. (1) Suruhanjaya boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas suatu aduan
yang dibuat kepada Suruhanjaya oleh orang atau kumpulan orang yang
terkilan atau seseorang yang bertindak bagi pihak orang atau
sekumpulan orang yang terkilan, menyiasat pengataan mengenai
pelanggaran hak asasi manusia orang atau kumpulan orang itu.
(2) Suruhanjaya tidaklah boleh menyiasat apa-apa aduan yang
berhubungan dengan apa-apa pengataan pelanggaran hak asasi
manusia yang—
a. merupakan hal perkara apa-apa prosiding yang belum selesai di
mana-mana mahkamah, termasuklah apa-apa rayuan; atau
b. telah diputuskan secara muktamad oleh mana-mana mahkamah.
(3) Jika Suruhanjaya menyiasat suatu pengataan di bawah subseksyen
12 (1) dan sementara menunggu penyelesaian siasatan itu,
pengataan itu menjadi hal perkara mana-mana prosiding di mana-
mana mahkamah, Suruhanjaya hendaklah berhenti dengan serta-
merta daripada melakukan siasatan itu.
15. Kuasa-kuasa yang berhubung dengan siasatan di bawah Akta yang
diperuntukkan di bawah seksyen 14, yang menyatakan:
14. (1) Suruhanjaya hendaklah, bagi maksud sesuatu siasatan di bawah Akta
ini, mempunyai kuasa—
a. untuk mendapatkan dan menerima segala keterangan, bertulis
atau lisan, dan untuk memeriksa semua orang sebagai saksi,
sebagaimana yang difikirkan oleh Suruhanjaya perlu atau patut
didapatkan atau diperiksa;
6
b. untuk menghendaki supaya keterangan itu, sama ada bertulis
atau lisan, mana-mana saksi dibuat dengan bersumpah atau
berikrar, sumpah atau ikrar itu yang berupa sumpah atau ikrar
yang dikehendaki daripada saksi itu jika saksi itu memberikan
keterangan dalam mahkamah undang-undang, dan untuk
mentadbirkan atau menyebabkan ditadbirkan oleh seseorang
pegawai yang diberi kuasa bagi maksud itu oleh Suruhanjaya,
suatu sumpah atau ikrar kepada tiap-tiap saksi itu;
c. untuk memanggil mana-mana orang yang bermastautin di
Malaysia supaya menghadiri mana-mana mesyuarat Suruhanjaya
bagi memberikan keterangan atau mengemukakan apa-apa
dokumen atau benda lain yang ada dalam miliknya, dan untuk
memeriksa orang itu sebagai saksi atau menghendakinya
mengemukakan apa-apa dokumen atau benda lain yang ada
dalam miliknya;
d. untuk menerima, walau apa pun apa-apa peruntukan Akta
Keterangan 1950 [Akta 56], apa-apa keterangan, sama ada
bertulis atau lisan, yang tidak boleh diterima dalam prosiding sivil
atau jenayah; dan
e. untuk membenarkan atau tidak membenarkan orang ramai
mengikuti siasatan itu atau mana-mana bahagian siasatan itu.
(2) Walau apa pun perenggan (1) (c), jika orang yang dipanggil ialah
seseorang yang berada dalam tahanan di bawah mana-mana
undang-undang bertulis lain, saman itu hendaklah dikeluarkan
mengikut undang-undang
7
16. Satu Panel Siasatan telah ditubuhkan yang terdiri daripada tiga orang ahli
Suruhanjaya:
• Datuk Dr. Khaw Lake Tee (Pengerusi)
• Profesor Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi bin Hj Ab Majid (Ahli Panel)
• Encik Detta Samen (Ahli Panel)
17. Panel kemudian telah menubuhkan Sekretariat untuk membantu
Siasatan yang terdiri daripada pegawai-pegawai Suruhanjaya:
Sekretariat Pegawai Pembentang
• En. Simon Karunagaram
• En. Shahizad Sulaiman
• Cik Yustina Ishak
• En. Helmi Fendy Mohammad Idris
• Pn. Norashikin Hamzah
• En. Ahmad Zaidi Baharuddin
• Pn. Nurulhidayati Masdim
• Cik Nur Hariza Abd Aziz
• En. Roslan Mohd Ali
• Cik Intan Farida Adnan
• Cik Nur Syamimi
• En. Ameer Izyanif
• En. Shahizad Sulaiman
• Cik Lau Sor Pian
Perhimpunan Selepas Penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman 2012
(APA 2012)
18. Perhimpunan pada 28 April 2012 adalah perhimpunan awam pertama yang
diadakan selepas penguatkuasaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012)
pada 23 April 2012.4 APA 2012 telah digubal dengan objektif seperti berikut
sebagaimana yang dinyatakan di bawah seksyen2:
4 Rang Undang-undang Perhimpunan Aman telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 22 November 2011 dan
diluluskan tujuh hari kemudian pada 29 November. Ia telah diluluskan oleh Dewan Negara pada 20 Disember 2011 dan diterbitkan di dalam Warta pada 9 Februari 2012.
8
(a) selagi wajar untuk berbuat demikian, bahawa semua warganegara perlu
mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan atau untuk menyertai
perhimpunan, secara aman dan tanpa senjata; dan
(b) bahawa penggunaan hak untuk menganjurkan perhimpunan atau
menyertai perhimpunan, secara aman dan tanpa senjata, adalah tertakluk
hanya kepada sekatan-sekatan yang didapati perlu atau suai manafaat
dalam sesuatu masyarakat demokrasi demi kepentingan keselamatan
Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam,
termasuk perlidungan hak dan kebebasan hak orang lain.
19. Selain memudahcara perhimpunan awam, APA 2012 juga telah menggantikan
seksyen 27 Akta Polis 1967, di mana penganjur perhimpunan awam tidak
perlu memohon permit daripada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan
awam. Sebaliknya, di bawah APA 2012, penganjur perhimpunan awam hanya
perlu memaklumkan Ketua Polis Daerah (KPD) dalam tempoh 10 hari sebelum
perhimpunan yang dimaksudkan. KPD akan memberi maklumbalas dalam
tempoh lima hari, menggariskan sekatan dan syarat yang dikenakan. APA
2012 juga meletakkan tanggungjawab kepada pihak polis untuk memastikan
perhimpunan berjalan dengan aman.
20. Semasa pendengaran, saksi-saksi polis termasuk W49, Ketua Pegawai Polis
(CPO) di KL dan W37, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, memberi keterangan
bahawa adalah mustahil bagi pihak PDRM untuk melaksanakan sepenuhnya
APA 2012 yang telah yang berkuatkuasa lima hari sebelum perhimpunan.
Sebaliknya, ia menerima pakai apa yang dianggap sebagai 'spirit’ atau
semangat APA 2012 dalam mengendalikan perhimpunan tersebut. Secara
khususnya, PDRM menerima pakai apa yang disebut sebagai pendekatan 3R
1C 1E- iaitu, Restraint, Restraint, Restraint; Caution and Enforce. Walau
bagaimanapun, Panel berpendapat bahawa pendekatan ini tidak
mencerminkan ‘spirit’ atau semangat APA 2012; sebaliknya, ia kelihatan
seperti pihak polis telah diarahkan untuk menjauhkan diri daripada peserta
9
dan dilarang membuat sebarang penahanan tanpa arahan selanjutnya. Hanya
bertahan adalah tidak sama dengan memudahcarakan (perhimpunan), yang
memerlukan peranan dan penglibatan pihak polis yang lebih aktif. Ini
merupakan peranan yang diperuntukkan di bawah APA 2012 di mana pihak
polis perlu bertindak sebagai pemain utama dalam memastikan perjalanan dan
perhimpunan awam tersebut tidak melanggar undang-undang.
II. PERJALANAN INKUIRI
Saksi dan Pendengaran Awam
21. Pendengaran awam bermula pada 5 Julai 2012 dan berakhir pada 10 Januari
2013. Panel Siasatan telah bersidang sebanyak 29 hari dan sebanyak 49 saksi
telah dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Panel. Kebanyakan
saksi awam dan media telah dipanggil berdasarkan senarai yang disediakan
oleh pertubuhan masyarakat sivil manakala anggota polis dipanggil
berdasarkan senarai yang disediakan oleh PDRM dan keterangan saksi semasa
pendengaran awam. Suruhanjaya telah menghantar sapina kepada semua
saksi di bawah seksyen 14 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
1999.
Jadual di bawah menunjukkan bilangan saksi mengikut kategori:
No Kategori Jumlah Saksi
1 Orang Awam 19
2 Pengamal Media 4
3 Polis 18
4 Profesional/ Pakar 8
Jumlah 49
10
22. Sepanjang Pendengaran Awam, Panel telah menerima 67 eksibit dan identified
documents (ID), termasuk dokumen, gambar, rakaman video, keratan akhbar,
laporan perubatan, dan laporan polis.
Lawatan ke Lapangan
23. Selain mengadakan Pendengaran Awam, Panel Siasatan juga telah membuat
dua lawatan di lapangan:
a. Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya, Jalan Tun Perak, Masjid
India, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan bangunan DBKL; dan
b. Kompleks Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) di Cheras di mana
pihak polis telah menunjukkan penggunaan kawat berduri, gas
pemedih mata, command vehicle, sound commander serta menjelaskan
prosedur untuk mengawal orang ramai.
Pemerhati
24. Panel Siasatan telah menjemput Polis Diraja Malaysia, Majlis Peguam, dan
BERSIH 2.0 untuk menjadi pemerhati serta membantu Panel dalam pelbagai
perkara, di mana perlu. Jabatan Peguam Negara telah menolak jemputan
sebagai pemerhati dalam prosiding ini. Pemerhati telah dibenarkan untuk
menyoal saksi melalui Panel Siasatan. Pada 10 Januari 2013, ketiga-tiga
pemerhati telah membuat penghujahan secara lisan dan bertulis untuk
pertimbangan Panel.
25. Suruhanjaya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua saksi dan
pemerhati di atas kerjasama dan bantuan yang diberikan semasa Siasatan
Awam; Pejabat Ketua Polis Negara (KPN) yang telah memberikan nama-nama
anggota polis dan beberapa dokumen; Urusetia BERSIH 2.0 yang telah
memberikan senarai mangsa yang mendakwa dikasari; dan pengamal-
11
pengamal media, elektronik dan juga media cetak, kerana membuat liputan
semasa pendengaran.
Syor Dari Pendengaran Awam Terdahulu
26. Panel mengambil maklum pelbagai syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya
terdahulu khususnya, “Report of SUHAKAM Public Inquiry Into The Incident at
KLCC on 28 May 2006” dan ”Report of the Public Inquiry Into The
Infringement of Human Rights Including the Use of Excessive Force Before
and During The Assembly on 9 July 2011”. Panel berpendapat bahawa syor-
syor yang terkandung di dalam laporan tersebut masih relevan, dan setakat
mana yang berkenaan dan beserta cadangan lain, Panel menerima pakai syor
tersebut, dan mengulangi sebahagian daripada syor tersebut untuk memberi
penekanan.
Kekangan
27. Hasil penemuan Siasatan ini adalah berdasarkan keterangan saksi dan bukti
yang dikemukakan kepada Panel Siasatan. Panel mengambil maklum bahawa
terdapat mereka yang terlibat dalam kejadian semasa dan selepas
perhimpunan awam tetapi, di atas sebab-sebab tersendiri, tidak tampil ke
hadapan untuk membantu Panel dalam siasatan. Terdapat juga beberapa
saksi yang berpotensi dari senarai nama yang disediakan oleh BERSIH 2.0
yang tidak tampil memberi keterangan atau tidak dapat dihubungi.
28. Panel mengambil maklum terdapat beberapa orang saksi yang tidak dapat
dipanggil disebabkan prosiding mahkamah yang belum selesai atau masih
berterusan, misalnya, saksi-saksi polis yang tercedera dan peserta yang
didakwa terlibat dalam insiden merempuh penghadang di sekitar kawasan
Dataran Merdeka.
12
29. Walaupun Panel menghargai kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh
PDRM dalam menyediakan nama-nama anggota polis, Panel berasa kecewa
kerana walaupun telah berulang kali membuat permohonan, PDRM gagal
untuk menyediakan nama-nama anggota polis yang bertugas di Jalan Tun
Perak selepas jam 3.00 petang di mana penggunaan kekasaran yang tidak
seimbang atau tidak wajar terhadap peserta perhimpunan didakwa berlaku.
Secara khususnya, nama anggota tugasan am (GDs) tidak diserahkan kepada
Panel. PDRM juga tidak menghantar anggota atau pegawai yang boleh
menjawab pelbagai pengataan (dakwaan) yang dikemukakan semasa
keterangan saksi awam. Oleh itu, Panel tidak mendapat jawapan kepada
pengataan (dakwaan) yang dibuat semasa pendengaran, sekali gus memaksa
Panel untuk membuat pelbagai kesimpulan, tidak semesti kesemuanya
memihak kepada PDRM.
30. Panel juga ingin menyatakan bahawa terdapat beberapa saksi utama tidak
memberi bantuan yang terupaya atau gagal untuk memberikan atau tidak
menyediakan maklumat penting semasa pendengaran. Salah satu saksi utama
dari PDRM juga gagal atau tidak dapat mengenal pasti anggota polis yang
digambarkan di dalam klip video walaupun Panel telah mengarahkan untuk
membekalkan maklumat apabila beliau dipanggil semula untuk memberi
keterangan.
31. Terdapat juga beberapa kakitangan perubatan yang tidak memberi kerjasama
dan tidak membantu Panel dalam menyediakan keterangan berdasarkan
laporan perubatan yang disediakan oleh mereka.
13
III. HASIL DAPATAN PANEL INKUIRI
A. Insiden Semasa Perhimpunan pada 28 April 2012
32. Hasil penemuan Panel Siasatan adalah berdasarkan keterangan saksi, dibantu
dengan soalan dan penghujahan oleh pemerhati serta eksibit yang
dikemukakan.
Pihak Penganjur
33. Menurut APA 2012, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 6 (2)
(f), salah satu daripada tanggungjawab penganjur mana-mana perhimpunan
aman adalah untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa awam untuk
memastikan pengendalian perhimpunan yang teratur dan secara sah. Seksyen
9 (1) APA 2012 juga memerlukan penganjur mengemukakan notis
pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) sepuluh hari sebelum hari
perhimpunan. Menurut keterangan Dato' Ambiga Sreenevasan (W48), BERSIH
2.0 telah menulis surat kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi (KPD Dang
Wangi) melalui surat bertarikh 16 April 2012, memaklumkan tentang
penganjuran perhimpunan aman di Dataran Merdeka pada 28 April 2012 dan
memohon kerjasama dalam memastikan perhimpunan pada hari tersebut
berlangsung dalam keadaan aman dan selamat. Pihak penganjur juga telah
menulis surat yang sama kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
pada 16 April 2012 memberitahu pihak DBKL hasrat untuk mengadakan
perhimpunan di Dataran Merdeka.
34. Panel mengambil maklum bahawa pada 16 April, pada tarikh surat tersebut,
APA 2012 masih belum berkuatkuasa. Sehubungan itu, persoalan sama ada
tempoh notis yang diberikan mencukupi seperti yang dikehendaki di bawah
seksyen 9 (1) APA 2012 tidak timbul. Memadai untuk dikatakan bahawa, notis
telah diberikan kepada KPD untuk acara tersebut, namun begitu samada ia
14
selari dengan seksyen 27 Akta Polis yang telah dibatalkan atau seksyen 9 (1)
APA 2012 adalah tidak relevan bagi tujuan Siasatan ini.
35. Panel mengambil maklum bahawa, DBKL telah menolak permintaan penganjur
untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka melalui surat bertarikh
19 April 2012. Tiada tempat alternatif dicadangkan di dalam surat tersebut.
36. Sementara itu, Ketua Polis Daerah di dalam surat bertarikh 23 April 2012,
memaklumkan penganjur seperti berikut:“Dukacita dimaklumkan setelah
membuat penelitian, saya selaku Ketua Polis Daerah Dang Wangi tidak
meluluskan di atas keselamatan permohonan puan untuk menganjurkan acara
sepertimana yang dipohon”.
Sekali lagi, Panel mengambil maklum bahawa pada 23 April, APA 2012 telah
berkuatkuasa, dan sama ada kelulusan KPD perlu untuk menganjurkan
perhimpunan awam adalah tidak relevan bagi tujuan Siasatan ini.
37. Panel juga mengambil maklum bahawa BERSIH 2.0 memberi maklumbalas
kepada DBKL dan pihak polis melalui surat bertarikh 24 April 2012, dan
memohon untuk mengadakan pertemuan bersama mereka pada 25 April
2012. DBKL bersetuju untuk bertemu dengan pihak penganjur dan menurut
Dato' Ambiga Sreenevasan (W48), semasa mesyuarat bersama Datuk Bandar,
beliau telah mencadangkan Stadium Merdeka sebagai tempat alternatif untuk
perhimpunan tersebut. Walau bagaimanapun, cadangan ini tidak diterima oleh
pihak penganjur kerana notis yang diberikan amat singkat. Panel mengambil
maklum bahawa tidak ada pertemuan antara KPD dan penganjur.
Pemasangan Penghadang
38. Panel mendapati bahawa penghadang besi telah dipasang di sekitar perimeter
Dataran Merdeka adalah menurut Perintah Mahkamah yang bertarikh 26 April
2012. Memandangkan Perintah Mahkamah tersebut telah menjadi sebahagian
15
dari prosiding mahkamah semasa Siasatan Awam ini berjalan, dan seperti
yang diperintahkan oleh seksyen 12 (2) (a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia Malaysia 1999, Panel tidak membuat dapatan mengenai kesahihan
atau sebaliknya Perintah tersebut atau skopnya.
39. Penghadang juga telah dipasang menurut kuasa polis di bawah seksyen 26
Akta Polis 1967 di pelbagai lokasi iaitu, Jalan Bunus, Jalan Masjid India, Leboh
Pasar Besar dan di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Parlimen. Penghadang
ini telah didirikan untuk menghalang peserta daripada memasuki dan duduk di
Dataran Merdeka.
40. Walaupun Panel tidak memberi dapatan berkenaan kesahihan atau sebaliknya
berkenaan pemasangan penghadang tersebut, namun, Panel mempersoalkan
sama ada perlu atau tidak, pemasangan penghadang yang terdiri daripada
tiga lapisan, iaitu, wayar dannert, juga dikenali sebagai concertina razor,
barbed wires, penghadang berisi air dan penghadang besi. Walaupun pihak
polis mendakwa bahawa wayar dannert tidak membahayakan orang ramai,
panel mempersoalkan kesesuaian dan penggunaan wayar tersebut
terutamanya di tempat-tempat di mana orang ramai dijangka berkumpul.
Panel memandang serius serta menyatakan kebimbangan terhadap
pengakuan pihak polis bahawa jika wayar tersebut tidak dikendalikan dengan
betul atau mengikut prosedur, ia boleh menyebabkan kecederaan ringan.
Mendirikan wayar berduri di kawasan di mana sejumlah besar orang ramai
akan berkumpul dan emosi boleh meletus, yang boleh membawa kepada
kejadian yang tidak diingini, boleh menimbulkan bahaya kepada orang ramai
yang berkumpul di kawasan tersebut. Adalah tidak munasabah jika pihak polis
berpendapat orang awam mengetahui cara yang betul dalam mengendalikan
wayar tersebut, lebih-lebih lagi, apabila pihak polis menegaskan bahawa
wayar tersebut hanya boleh dialihkan oleh mereka yang berpengalaman.
Panel tertanya-tanya sama ada pihak PDRM lebih mementingkan perlindungan
Dataran Merdeka daripada keselamatan orang ramai yang berkumpul di
16
kawasan pada hari tersebut untuk menyuarakan pendapat dan berhimpun
secara aman yang merupakan hak mereka.
Sebelum jam 3.00 pm
41. Semua anggota polis yang bertugas pada hari perhimpunan telah diberikan
beberapa taklimat sebelum 28 April 2012. Menurut keterangan yang diberikan
oleh anggota polis, semua anggota dan trup dikehendaki mengendalikan
peserta menggunakan pendekatan 3R 1C 1E (Restrain, Restrain, Restrain;
Caution and Enforce).
42. Panel mendapati bahawa bilangan peserta adalah lebih ramai daripada
bilangan polis yang bertugas. Menurut Dato' Ambiga Sreenevasan (W48),
terdapat kira-kira 250,000 peserta di perhimpunan tersebut, manakala
menurut Dato' Mohmad bin Salleh (W49), Ketua Polis Kuala Lumpur, terdapat
hanya 25,000-30,000 peserta. Sementara itu, PDRM memaklumkan kepada
Panel bahawa terdapat 3,000 anggota polis bertugas pada hari tersebut.
Walaupun Panel tidak membuat sebarang dapatan berkenaan bilangan
sebenar peserta, namun dapat membuat kesimpulan, berdasarkan anggaran
yang diberikan oleh saksi-saksi, bilangan peserta mengatasi bilangan anggota
polis yang bertugas pada hari perhimpunan.
43. Walaupun dengan bilangan peserta yang ramai, berdasarkan dapatan Panel,
serta disokong oleh keterangan dari orang awam serta polis bahawa pada jam
sebelum 3.00 petang, kelakuan peserta, secara amnya, aman dan terkawal,
dan suasana adalah seperti karnival di mana mereka beryanyi, ketawa dan
berbual.
17
Insiden Selepas 3.00 petang
Pembukaan Penghadang
44. Panel juga mendapati, di mana ia turut disokong oleh keterangan, keadaan
telah mula berubah pada atau sekitar jam 3.00 petang, serentak dengan
pembukaan benteng penghadang yang dipasang di persimpangan Jalan Raja
dan Jalan Parlimen oleh individu yang tidak diketahui oleh Panel. Menurut YB
Teresa Kok Suh Sim (W47), beliau telah dimaklumkan oleh pegawai DBKL
bahawa PSP telah bersedia untuk mengambil tindakan untuk menyuraikan
orang ramai pada kira-kira jam 3.00 petang, yang mana ia berlaku.
45. Panel tidak membuat kesimpulan sama ada tembakan meriam air dan gas
pemedih mata oleh polis pada atau sekitar jam 3.00 petang adalah sesuatu
yang dirancang. Kesimpulannya, PSP telah mula mengambil tindakan untuk
menyuraikan para peserta dengan menggunakan meriam air dan gas pemedih
mata selepas benteng tersebut dibuka di persimpangan Jalan Raja dan Jalan
Parlimen.
Pemberian Amaran
46. Panel mendapati bahawa PSP memberi amaran kepada para peserta untuk
bersurai hanya sebelum tembakan pertama meriam air dan gas pemedih mata
tetapi tiada amaran selepas itu.
47. Panel mendapati bahawa amaran pertama yang diberikan oleh PSP tidak
dapat didengari oleh peserta. Menurut ACP Jamaludin, amaran dan arahan
yang diberikan oleh PSP adalah melalui pembesar suara dan sound
commanders; namun ia tidak dapat didengari oleh semua peserta. Penemuan
ini disokong oleh testimoni dari Kunabal a/l K. Rajagopal (W1), Chong Min
Shih (W4) dan Mohd Radzi bin Abd Razak (W17).
18
48. Menurut Superintenden Zahari bin Hj. Mohd Yusoff (W23), kain rentang
sepatutnya digunakan untuk memberi amaran kepada peserta di dalam
keadaan yang melibatkan ramai peserta seperti pada 28 April 2012. Walau
bagaimanapun, Panel telah dimaklumkan bahawa pihak polis tidak dapat
menggunakan kain rentang pada hari tersebut kerana perkataan-perkataan
yang digunakan pada kain rentang tersebut adalah tidak tepat.
49. Berbeza dengan pendapat orang ramai, panel mendapati deringan loceng yang
digunakan oleh PSP bukan bertujuaan untuk memberi amaran kepada orang
ramai; sebaliknya ia adalah satu isyarat untuk anggota PSP bersiap sedia
sebelum tembakan meriam air dan gas pemedih mata.
50. Panel telah dimaklumkan bahawa pihak polis telah menembak air yang
bercampur bahan kimia, 909 gas pemedih mata dan 58 gas hand grenades
pada hari tersebut.
51. Menurut saksi, apabila meriam air dan gas pemedih mata ditembak, mereka
tidak dapat bersurai kerana tiada jalan keluar atau jalan lain yang boleh
digunakan. Berdasarkan lawatan ke kawasan kejadian, Panel mendapati
bahawa terdapat beberapa laluan dan lorong di Jalan Tun Perak dan Jalan
Tuanku Abdul Rahman, tetapi mendapati ianya sempit dan di tempat-tempat
tertentu, disempitkan lagi oleh struktur bangunan sementara. Jumlah peserta
yang ramai serta tembakan gas pemedih mata yang berulang kearah orang
ramai juga membuatkan ianya sukar dan agak mustahil untuk peserta bersurai
dengan teratur, selamat dan tepat pada masanya. Mereka tidak dapat bersurai
dengan kadar segera dan perlu bergerak perlahan-lahan untuk mengelakkan
sebarang kejadian terutama rempuhan.
52. Terdapat juga laporan bahawa beberapa jalan turut ditutup, dan hanya
terdapat pergerakan lalu lintas yang terhad, termasuk pengangkutan awam,
kerana penutupan jalan di kawasan sekitar bandar oleh pihak berkuasa.
19
Beberapa stesen LRT di kawasan itu juga telah ditutup bermula dari jam 3.00
petang sehingga jam 5.30 petang.
53. Berdasarkan keterangan Hanif bin Ahmad Zainuddin (W9), para peserta gagal
bersurai dan meninggalkan kawasan perhimpunan dengan segera kerana
kebanyakan jalan raya telah ditutup oleh polis. Stesen LRT juga telah ditutup.
Stesen di Masjid Jamek telah ditutup dari jam 3.00 petang sehingga jam 5.30
petang. Stesen-stesen lain juga turut ditutup semasa perhimpunan seperti
Dang Wangi, Pasar Seni (Laluan Kelana Jaya), Plaza Rakyat, Bandaraya dan
Sultan Ismail (Laluan Ampang).
54. Panel mendapati bahawa pada satu masa, peserta didapati terkepung di Jalan
Melayu. Menurut Christopher Leong Sau Foo (W40), peserta di Jalan Melayu
telah terperangkap kerana sekumpulan orang ramai telah bergerak dari arah
bertentangan jalan tersebut. W40 memaklumkan kepada Panel bahawa gas
pemedih mata telah ditembak dari kedua-dua arah jalan dan orang ramai
tidak dapat bergerak dan menyebabkan mereka terperangkap di sana. W40
turut menyatakan bahawa dia melihat kira-kira 20-30 orang anggota polis
berada di pondok polis di kawasan tersebut tetapi mereka tidak berbuat apa-
apa untuk membantu peserta atau memudahcarakan pergerakan mereka.
55. Panel berpendapat bahawa PDRM sepatutnya mempertimbangkan secara
serius perkara-perkara seperti jumlah peserta, keadaan lokasi, susun atur
tempat, dan laluan keluar yang sedia ada, sebelum mengambil tindakan untuk
menyuraikan orang ramai selepas jam 3.00 petang. Melihat kepada faktor-
faktor tersebut,adalah mustahil untuk para peserta bersurai dengan selamat
dan teratur tanpa memberi mereka tempoh yang munasabah untuk berbuat
demikian.
56. Panel juga mendapati bahawa pihak polis tidak membantu atau
memudahcarakan penyuraian peserta. Tembakan meriam air dan gas pemedih
20
mata yang berterusan juga menghalang usaha mereka untuk bersurai, dan
sebagai contoh, mengakibatkan peserta terperangkap.
Proses Tangkapan dan Penggunaan Kekerasan yang Tidak Seimbang
57. Panel berpendapat, berdasarkan keterangan saksi serta rakaman video,
terdapat penggunaan kekasaran yang tidak seimbang dan salahlaku oleh
pihak polis terhadap peserta.
58. Arshad bin Abbas (W5), Kumar Suppiah (W6), Asrul Wadi bin Ahmad (W13),
Koh Jun Lin (W16) dan Mohd Radzi bin Abdul Razak (W17) memberi
keterangan bahawa mereka telah dikasari oleh anggota polis. Chong Min Shih
(W4), W5 (W5 tidak memberikan laporan perubatan), Low Kok Swee Adrian
(W7), W13 dan W16 juga mengalami kecederaan. Panel menerima
keterangan bahawa kecederaan W5, W7, W13 dan W16 berlaku semasa
mereka ditangkap.
59. Panel tidak dapat mengenal pasti individu yang menyebabkan kecederaan
yang dialami oleh Chong Min Shih (W4). Walau bagaimanapun, bentuk dan
saiz kecederaan beliau adalah konsisten dengan kesan dari kanister gas
pemedih mata. Ini kemudiannya disahkan semasa lawatan ke Kompleks
Pasukan Simpanan Persekutuan Polis Diraja Malaysia, Cheras dimana Panel
telah memeriksa kanister gas pemedih mata. Oleh itu, Panel percaya bahawa
kecederaan yang dialami oleh W4 disebabkan oleh kanister gas pemedih mata
yang mungkin ditembak oleh anggota dari unit PSP, walaupun Panel tidak
dapat mengenal pasti anggota yang berkenaan.
60. Berdasarkan keterangan Baharudin bin Hashim (W2), beliau telah dicekik,
ditendang, ditumbuk dan diheret oleh anggota polis ketika beliau dibawa ke
kawasan pengumpulan (holding area) di Dataran Merdeka walaupun akhirnya,
beliau dibebaskan. W2 telah mengemukakan laporan polis yang dibuat
olehnya sebagai bukti.
21
61. Arshad bin Abbas (W5) telah dipukul, ditumbuk dan ditendang pada seluruh
badan oleh anggota polis yang berpakaian operasi. Kesannya, beliau
menerima lima jahitan di kening kanan. W5 telah mengemukakan laporan
polis yang dibuat olehnya sebagai bukti.
62. Kumar Suppiah (W6) memberi keterangan bahawa sekumpulan anggota polis
termasuk kakitangan dari DBKL telah menyerang beliau. Beliau telah
ditampar, kepala beliau telah dihentak ke pintu cermin di bilik mesin ATM di
dalam bangunan DBKL. Beliau kemudiannya telah diheret keluar dari bilik ATM
di mana anggota polis terus menendang dan memijak beliau. Beliau turut
diejek dengan kata-kata yang menghina. W6 mengemukakan laporan polis
yang dibuat sebagai bukti.
63. Panel juga mendapati bahawa kebanyakan peserta telah dikasari sepanjang
jalan ke kawasan pengumpulan di Dataran Merdeka atau lebih khusus,
berhampiran Kelab DiRaja Selangor, walaupun tiada bukti menunjukkan
bahawa mereka telah melawan tangkapan atau berkelakuan agresif. Panel
berpendapat adalah agak membimbangkan kerana sesetengah daripada
mereka telah diserang bukan oleh anggota polis yang membuat tangkapan
tersebut tetapi oleh anggota polis lain yang telah ditempatkan di sepanjang
jalan ke kawasan pengumpulan. Anggota polis kelihatan seperti bertindak di
dalam kumpulan. Panel mempersoalkan keperluan kekasaran dan penderaan
tersebut apabila tiada sebarang bukti mereka yang ditahan melawan atau
bertindak kasar. Walaupun Panel sedar akan kuasa polis yang boleh
menggunakan kekerasan yang munasabah untuk membuat tangkapan dan
menyuraikan peserta di dalam perhimpunan awam, Panel berpendapat,
kecuali jika adanya bukti yang berlawanan, kekerasan yang berlebihan telah
digunakan untuk melakukan tangkapan ke atas saksi-saksi yang menyebabkan
kecederaan kepada mereka. Penemuan ini telah disahkan oleh keterangan
W5, W21 dan W30 serta video dari PDRM dan kedua-dua saksi.
22
64. Hee Jenn Wei (W21) memberi keterangan bahawa anggota polis yang
menangkap beliau telah memegang bahunya, menumbuk di bahagian
belakang, dan kemudian ditarik keluar dari hotel, dan membawanya ke
Dataran Merdeka. W21 mengemukakan laporan polis yang dibuat olehnya
sebagai bukti.
65. Dalam pemerhatian Panel, mereka yang ditangkap dan ditahan di kawasan
pengumpulan di Dataran Merdeka, tidak dibekalkan air dan telah dilarang
daripada menggunakan telefon bimbit mereka. W21 dan Selamat bin Abu
Hamid (W30) memaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan untuk
menggunakan telefon mereka sehingga dibawa ke PULAPOL. W30 juga
memberi keterangan bahawa keluarganya telah dibiarkan berdiri di bawah
panas matahari selama kira-kira 15 minit.
66. Panel juga mendapati bahawa kebanyakan mereka yang ditangkap tidak
dimaklumkan mengenai sebab penangkapan mereka seperti yang disokong
oleh keterangan W5, Kumar Suppiah (W6) dan W21.
67. Panel mendapati bahawa polis telah mensasarkan peserta yang memakai
kemeja-t kuning khususnya, kemeja-T yang mengandungi perkataan atau logo
'Bersih'. Arshad bin Abbas (W5) telah diarahkan untuk membuka kemeja-t
kuning beliau sebelum diserang oleh pihak polis. Karam Singh a/l Charan
Singh (W14) di dalam keterangan beliau memaklumkan ketika beliau sedang
minum di restoran A&W, anggota polis telah menghampiri mejanya dan
mengarahkan beliau dan rakan beliau untuk membuka kemeja-t kuning
mereka. Hee Jenn Wei (W21) telah diheret dari hotel kerana dikatakan
memakai kemeja-t berwarna kuning.
68. Tanpa sebarang keterangan bahawa pemakaian kemeja-t kuning, yang
berkaitan dengan ‘Bersih’ atau tanda-tanda yang membawa maksud yang
sama, adalah bertentangan dengan undang-undang, Panel tidak memahami
kenapa saksi-saksi tersebut telah menjadi sasaran dan diarahkan untuk
23
membuka kemeja-t mereka. Tindakan polis yang sewenang-wenang ini
merupakan satu pencabulan kepada kebebasan hak untuk bersuara dan hak
untuk memakai pakaian pilihan mereka.
69. Dr. Siti Makkiah binti Yunus (W42) memberi keterangan bahawa kecederaan
yang dialami di mata kanan Asrul Wadi (W13) adalah hasil daripada impak
objek tumpul pada kelajuan tinggi. Ini telah disokong oleh laporan perubatan.
W13 memberi keterangan bahawa beliau menerima 9 jahitan pada mata
kanannya dan dua lagi pada hidungnya. Mata beliau mengalami kerosakan
yang kekal dimana mata kanannya kini hanya mempunyai 15-20%
penglihatan biasa. Panel berpendapat bahawa berdasarkan bukti, ia
berkemungkinan bahawa mata kanan W13 telah terkena kanister gas pemedih
mata.
70. Arshad bin Abbas (W5) tidak menerima sebarang rawatan perubatan semasa
berada dalam tahanan. Beliau hanya menerima rawatan awal di PULAPOL
sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
71. Dari testimoni Lans Koperal Abu Bakar bin Abdul Rahman (W43), Panel
mendapati bahawa beliau telah mengalami kecederaan akibat tindakan
beberapa peserta yang tidak dikenali di luar bangunan SOGO.
72. Pelbagai punca dibangkitkan berkenaan penggunaan kekerasan yang tidak
seimbang oleh anggota polis dalam melakukan tangkapan dan juga tingkah
laku mereka terhadap orang yang ditahan. Salah satunya adalah khabar angin
yang tersebar mengatakan kematian seorang anggota polis. Khabar angin
tersebut mungkin menjadi salah satu punca dan ia diakui oleh Dato’ Mohmad
Salleh (W49). Antara sebab lain adalah untuk menghalang peserta dari
berkumpul semula. Walau bagaimanapun, ia tidak menjelaskan serangan ke
atas mereka yang ditahan ketika dibawa ke kawasan pengumpulan di Dataran
Merdeka. Apapun alasan yang diberikan di sebalik penggunaan kekerasan
yang tidak seimbang oleh pihak polis pada hari tersebut, Panel tidak dapat
24
melihat sebarang justifikasi yang sebenar untuk pihak polis melakukan
tindakan sedemikian. Panel melihat tindakan pihak polis lebih didorong oleh
kemarahan, kekecewaan dan kehendak untuk menghukum berbanding
dengan menjalankan tugasan.
73. Panel juga mendapati bahawa terdapat beberapa anggota polis yang tidak
memakai tanda nama dan nombor badan. Terdapat juga beberapa anggota
polis yang berpakaian biasa dan tanpa memakai jaket polis, yang dilihat dari
rakaman video yang ditunjukkan kepada Panel.
74. Panel mengambil maklum bahawa anggota polis telah dilengkapi dengan
walkie-talkie, topi keledar dan senjata. Menurut saksi polis, mereka telah
diarahkan untuk tidak menggunakan senjata api semasa perhimpunan tetapi
dari rakaman video yang ditunjukkan kepada Panel, anggota polis trafik
dilihat mengacukan pistol ke arah peserta. Khairul Anuar bin Pawanchik (W3)
mengesahkan bahawa beliau menyaksikan seorang anggota polis trafik
mengacukan pistol ke arah orang ramai.
75. Berdasarkan testimoni Superintenden Zahari bin Hj Mohd Yusoff (W23) dan
ASP Alekzandra bin Dawam (W25), mereka telah bertindak selaras dengan
Perintah Tetap Ketua Polis Negara dalam menjalankan tugas mereka pada 28
April 2012. W23 dan W25 telah mengarahkan trup mereka untuk menembak
gas pemedih mata ke arah atas tetapi dari rakaman video yang ditunjukkan
kepada Panel, beberapa pegawai PSP dilihat menembak terus ke arah peserta
yang mana bertentangan dengan perintah tersebut.
76. Walaupun terdapat keterangan yang berbeza, Panel tidak dapat membuat
kesimpulan bahawa PDRM telah berpandukan ‘spirit’ atau semangat APA 2012
dalam operasi dan semasa mengurus serta mengendalikan peserta semasa
perhimpunan awam pada 28 April 2012. Malah, adalah terlalu awal selepas
penguatkuasaan APA 2012 untuk mengharapkan sebarang perubahan sebenar
25
atau keberkesanan pendekatan yang diambil oleh PDRM dalam menangani
perhimpunan awam.
Kegagalan komunikasi
77. Panel mengambil maklum bahawa terdapat gangguan komunikasi pada hari
perhimpunan, yang membawa kepada kegagalan komunikasi dan rangkaian
perintah di kalangan anggota polis.
78. ACP Mohamad Zulkarnain bin Abd Rahman (W37) memaklumkan kepada
Panel akibat dari kegagalan komunikasi, beliau tidak dapat menyampaikan
arahan beliau kepada pegawainya semasa benteng tersebut dirempuh.
Sehubungan itu, beliau percaya bahawa anggota beliau telah bertindak sendiri
menggunakan budi bicara mereka selaras dengan taklimat yang telah mereka
terima sebelum perhimpunan.
79. Dato' Mohmad Salleh (W49) memberi keterangan bahawa beliau pada jam
kira-kira 5 petang mengarahkan kakitangan untuk berundur tetapi mengakui
bahawa terdapat kemungkinan mereka tidak menerima arahan tersebut
kerana keadaan menjadi tidak terkawal pada masa tersebut atau mereka tidak
dapat memberi fokus dalam menjalankan tugas mereka semasa perhimpunan
akibat kegagalan sistem komunikasi.
80. Panel dimaklumkan oleh Arshad bin Abas (W5) telah berlaku masalah dalam
sistem komunikasi elektronik di kawasan perhimpunan pada jam 3.00 petang.
Menurut Hanif bin Ahmad Zainudin (W9), beliau tidak dapat menghubungi
rakan-rakannya melalui telefon atau sistem pesanan ringkas (SMS) kerana
tiada liputan komunikasi. Beliau hanya dapat menerima mesej pada atau
sekitar jam 6.00 petang.
26
Peralatan yang dirampas
81. Panel mendapati terdapat rampasan ke atas peralatan semasa perhimpunan.
Menurut W5, telefon bimbit, jam tangan, bluetooth, Samsung tablet dan pen
drive telah dirampas oleh anggota polis yang menyerang beliau.
82. Koh Jun Lin (W16) memaklumkan kepada panel bahawa pihak polis telah
merampas kamera dan tag media beliau ketika beliau ditangkap di
persimpangan Jalan Raja Laut dan Jalan Tun Perak. Selepas itu, kamera
beliau telah dikembalikan ketika berada di luar Kelab DiRaja Selangor. Walau
bagaimanapun, kad memori (memory card) dari kameranya telah dirampas
oleh seorang pegawai polis atas alasan ianya diperlukan sebagai bahan bukti
oleh pihak atasan.
Tangkapan di Premis
83. Panel mendapati bahawa peserta juga telah ditangkap ketika mereka berada
di dalam premis tertentu, seperti hotel dan restoran. Dari keterangan yang
diberikan, Panel mendapati pihak polis telah masuk ke dalam restoran dan
hotel untuk mencari dan menahan peserta yang terlibat di dalam
perhimpunan. Panel berpendapat tangkapan dilakukan ketika peserta telah
meninggalkan kawasan perhimpunan dan berkemungkinan merancang untuk
pulang ke rumah atau hotel di mana mereka telah mendaftar sebagai tetamu.
84. Berdasarkan keterangan Hee Jenn Wei (W21), beliau telah meninggalkan
perhimpunan dan berjalan ke Citin Hotel, di mana beliau telah mendaftar
sebagai tetamu, dan ketika berada di lobi hotel, beliau telah ditangkap dan
diarahkan untuk mengikut pihak polis ke Dataran Merdeka.
85. Selamat bin Abdul Hamid (W30) memberi keterangan bahawa sekumpulan
anggota polis telah masuk ke lobi Swiss Hotel dan menampar serta
menendang peserta. W30 kemudian telah ditangkap oleh pihak polis.
27
86. Zaidatul Akhmar binti Zainon (W24), yang pernah bekerja di sebuah restoran
A&W pada hari tersebut, telah memberi keterangan di hadapan Panel bahawa
anggota polis yang berpakaian preman telah memasuki restoran A&W dan
mengarahkan peserta yang berada di dalam restoran itu, membuka kemeja-t
yang berwarna kuning.
87. Panel juga telah melihat rakaman video di mana anggota polis memasuki
restoran dan seterusnya bertindak kasar kepada pelanggan yang berada di
dalam.
88. Panel mengambil maklum bahawa tiada justifikasi atau penjelasan diberikan
oleh PDRM berhubung dengan tangkapan yang dibuat oleh pihak polis di
dalam hotel dan restoran atau penjelasan ke atas tindakan dan tingkah laku
mereka.
Di PULAPOL
89. DSP Rajakopal a/l Arumugam (W46) yang merupakan pegawai yang
bertanggungjawab di PULAPOL, memberi keterangan di hadapan Panel
bahawa keadaan di PULAPOL adalah tenang pada sebelah pagi sehingga jam
3.00 petang.
90. Berdasarkan testimoni oleh Selamat bin Abdul Hamid (W30) dan DSP
Rajakopal a/l Arumugam (W46), semua peserta yang dibawa ke PULAPOL
diberikan makanan, minuman, tempat untuk menunaikan solat dan rawatan
perubatan. Pegawai kebajikan juga ditempatkan di PULAPOL untuk
membantu. Dari keterangan Arshad bin Abas (W5) yang tercedera, beliau
telah diberikan rawatan awal semasa tiba di PULAPOL oleh pegawai perubatan
sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). Terdapat kawasan yang
berasingan untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.
28
91. Christopher Leong Sau Foo (W40) memberi keterangan bahawa beliau telah
ke PULAPOL dan dimaklumkan bahawa pihak polis tidak membenarkan
sebarang pertemuan bersama pihak keluarga atau peguam. Beliau
kemudiannya pergi ke pintu pagar dan memohon untuk masuk ke PULAPOL
tetapi telah ditolak. Walau bagaimanapun, menurut DSP Rajakopal a/l
Arumugam (W46), tiada seorang pun daripada tahanan telah meminta beliau
untuk berjumpa dengan penasihat undang-undang mereka. Menurut W46 lagi,
beliau tidak membenarkan peguam untuk masuk dan berjumpa kerana tiada
nama anak guaman diberikan. Selain itu, penahanan di PULAPOL adalah untuk
tujuan mendokumentasi dan menentukan sama ada terdapat sebarang bukti
untuk mengenakan pertuduhan ke atas mereka yang ditahan. Menurut W46,
oleh kerana mereka belum didakwa, maka mereka tidak memerlukan akses
kepada peguam mereka.
92. Panel mendapati sejumlah 512 peserta telah ditangkap dan dibawa ke
PULAPOL. Walau bagaimanapun, Panel mengambil maklum hanya seorang
peserta didakwa manakala yang lain dibebaskan. Panel juga mengambil
maklum bahawa semua yang ditahan telah dibebaskan di antara pukul 12.00
pagi dan 5.00 pagi pada 29hb April 2012.
93. Walau apapun penjelasan oleh W46, Panel ingin menegaskan peruntukan di
bawah Perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan di mana apabila seseorang
ditangkap ia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh sebab-
sebab ia ditangkap dan ia hendaklah dibenarkan berunding dengan seorang
pengamal undang-undang yang dipilih olehnya dan dibela oleh pengamal
undang-undang itu. Kegagalan membenarkan mereka yang ditahan mendapat
akses kepada peguam mereka adalah dianggap melanggar kedua-dua
Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip asas hak asasi manusia.
29
Agents Provocateurs
94. Terdapat juga testimoni yang mengatakan ada di antara mereka yang hadir
pada hari perhimpunan bukan dari pihak polis mahupun peserta perhimpunan,
tetapi kelakuan dan tindakan menzahirkan mereka kemungkinan adalah
agents provocateurs. Walaupun Panel tidak menafikan kemungkinan wujudnya
agents provocateurs, Panel tidak dapat mengesahkan fakta tersebut atau
menentukan siapakah individu yang terlibat. Juga, tidak seorang pun tampil
kepada Panel untuk mengesahkan kewujudan kumpulan-kumpulan tersebut.
95. Terdapat sekumpulan lelaki yang memakai kemeja-t hitam dilihat berdiri
berhampiran atau bersama pihak polis; juga bekerjasama dengan polis dan
membuka penghadang. Menurut keterangan Kunabal a/l Rajagopal (W1),
beliau menyaksikan beberapa lelaki berpakaian kemeja-t hitam membuka
wayar berduri yang didirikan di jambatan berhadapan Bangunan Majlis
Peguam sekitar jam 3.00 petang tetapi pihak polis tidak mengambil sebarang
tindakan. Khairul Anuar bin Pawanchik (W3) dalam keterangannya
memaklumkan Panel bahawa pengalaman dan kepakaran diperlukan dalam
membuka wayar berduri tersebut. Keterangan ini disokong oleh pengakuan
pihak polis bahawa sekiranya wayar duri tidak dikendalikan dengan teliti atau
mengikut prosedur, ianya boleh menyebabkan kecederaan ringan.
96. Menurut Christopher Leong Sau Foo (W40), beliau ada terlihat beberapa orang
berpakaian hitam dan memakai seluar/jeans berdiri bersama dengan pihak
polis, di sekitar kawasan Masjid India. W40 mengisahkan satu kejadian yang
berlaku di mana pada masa beliau sedang meminta orang ramai bergerak ke
belakang untuk mengelakkan kesesakan di Jalan Melayu, seorang lelaki yang
memakai baju dan seluar jeans berwarna hitam datang ke arahnya dan
meminta beliau berhenti menjerit. W40 kemudiannya memperkenalkan diri
beliau sebagai pemerhati dari Majlis Peguam, dan yang mana lelaki tersebut
menjawab “So what?”. Pada ketika itu beberapa peserta telah mengelilingi
W40 dan lelaki tersebut meninggalkan beliau.
30
97. Chen Shaua Fui (W15) memberi keterangan bahawa beliau telah melihat
beberapa buah kereta Proton Perdana, bercermin gelap, memandu dengan
laju ke arah orang ramai di Jalan Tun Perak. Beliau berpendapat kenderaan
tersebut adalah kereta polis kerana terdapat pengiring yang menunggang di
depan kenderaan tersebut. Mereka membuat pusingan U yang tajam, yang
menimbulkan kemarahan orang ramai di mana mereka mula bertindak
membaling botol ke arah kereta tersebut.
98. Terdapat beberapa anggota polis yang berpakaian biasa yang tidak memakai
jaket polis yang dilihat sedang memukul orang ramai dalam rakaman video
dan gambar.
Anggota Media
99. Penemuan Panel adalah berdasarkan keterangan saksi, dibantu dengan
penghujahan dan soalan oleh para pemerhati serta eksibit yang diberikan.
Rujukan juga dibuat kepada dokumen-dokumen berikut: Special Report on the
Handling of the Media during Political Demonstrations by the Representative
on Freedom of Media for the Organization for Security and Co-operation in
Europe, 21 June 2007; dan the Handbook of the National Union of Journalists.
100. Saksi-saksi berikut, ke semuanya adalah anggota media yang ditugaskan
untuk membuat liputan perhimpunan awam 28 April 2012, telah memberi
keterangan seperti berikut:
i. Mohd Radzi bin Abdul Razak (W17) memberi keterangan bahawa beliau telah
dipukul dan ditumbuk oleh sekumpulan anggota polis menyebabkan beliau
mengalami kecederaan, antara lain, patah tulang rusuk.
31
ii. Koh Jun Lin (W16) memberi keterangan bahawa selepas beliau ditangkap,
beliau dipukul dan ditumbuk oleh anggota polis semasa beliau dibawa menuju
ke kawasan pengumpulan berhampiran Kelab Diraja Selangor.
iii. Sementara itu, Chen Shaua Fui (W15), seorang wartawan wanita, memberi
keterangan bahawa dia telah dikasari oleh empat anggota polis.
101. Saksi-saksi juga memberi keterangan bahawa mereka mempunyai dua jenis
tag bersama mereka: satu yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan,
dan satu lagi yang dikeluarkan oleh majikan mereka. Ada yang memakai jaket
yang memperkenalkan diri mereka adalah dari pihak media.
102. Saksi-saksi memberi keterangan bahawa apabila mereka dihampiri oleh pihak
polis, mereka telah memperkenalkan diri sebagai wakil media dan
menunjukkan tag media mereka.
103. Saksi-saksi juga memberi keterangan bahawa majikan mereka telah
mengarahkan mereka untuk tidak memakai, dan mereka juga tidak memakai
sebarang pakaian yang boleh menyebabkan mereka dikenal pasti atau
dikaitkan sebagai sebahagian daripada peserta perhimpunan.
104. Walaupun mereka telah menunjukkan tag pengenalan, saksi-saksi memberi
keterangan bahawa mereka tetap dikasari, atau ditangkap, atau, di dalam kes
Koh Jun Lin (W16), tag akhbar dan kamera beliau telah dirampas oleh pihak
polis.
105. Saksi-saksi juga memberi keterangan bahawa anggota polis telah menghalang
mereka semasa menjalankan tugas sebagai wartawan. Menurut Puspanathan
a/l Periannan (W20), beliau telah diarahkan untuk memadam gambar-gambar
yang telah diambil manakala Chen Shaua Fui (W15) telah diberi amaran oleh
seorang anggota polis untuk tidak mengambil sebarang gambar dengan
kamera, walaupun beliau memaklumkan kepada anggota polis tersebut yang
32
beliau adalah wartawan. Kamera kepunyaan Koh Jun Lin (W16) telah
dirampas dan kemudian dikembalikan tanpa kad memori yang mana ia telah
disimpan pihak polis yang mendakwa akan digunakan sebagai bukti.
106. PDRM tidak menawarkan mana-mana saksi atau bukti untuk memberi
maklumbalas atau menangkis mana-mana dakwaan di atas.
107. Panel membuat penemuan bahawa PDRM tidak mencabar atau menjawab
dakwaan saksi-saksi dari media mengenai kekasaran ketika membuat liputan
perhimpunan.
108. Panel mengambil maklum kesukaran pihak polis untuk membezakan anggota
media daripada peserta di dalam perhimpunan awam terutamanya apabila
keadaan menjadi kelam kabut. Oleh itu, adalah penting bahawa anggota
media mempunyai pengenalan yang sah dan tag akhbar untuk membezakan
mereka daripada peserta dan membolehkan pihak berkuasa untuk mengenal
pasti mereka.
109. Panel walau bagaimanapun mendapati bahawa saksi-saksi berkenaan
mempunyai tag yang sah yang memperkenalkani mereka sebagai dari pihak
media.
110. Panel juga mendapati bahawa tiada seorang pun anggota media yang telah
memberi keterangan memakai pakaian yang mungkin memperlihatkan mereka
sebagai peserta perhimpunan.
111. Daripada keterangan yang diberikan, Panel mendapati bahawa tiada sebarang
bukti, sama ada secara lisan, dokumentasi atau audio-visual, yang mana
anggota media telah bertindak atau melakukan sesuatu yang boleh ditafsirkan
sebagai berada di luar perintah atau melampaui peranan dan tanggungjawab
mereka. Tiada sebarang bukti yang menunjukkan mereka telah menimbulkan
sebarang ancaman kepada keamanan dan keselamatan di kawasan tersebut
33
pada hari itu. Oleh itu, adalah sukar bagi Panel untuk mencari asas bagi pihak
polis untuk bertindak sedemikian dalam menghalang anggota media membuat
liputan peristiwa tersebut, merampas peralatan, memadam gambar-gambar
yang telah diambil, menangkap atau menyerang mereka.
112. Walaupun diandaikan bahawa anggota polis tidak tahu bahawa saksi-saksi
tersebut adalah dari pihak media, mereka tidak mempunyai sebarang alasan
untuk bertindak sedemikian.
113. Panel mendapati bahawa polis telah bertindak dengan niat yang tidak baik;
malahan tindakan mereka menunjukkan bahawa terdapat usaha yang
disengajakan untuk menyekat anggota media, membuat pelaporan dan
mengambil gambar mengenai pelbagai insiden yang berlaku pada hari
tersebut, khususnya, yang melibatkan pihak polis dan peserta. Cubaan
menghalang media daripada menjalankan peranan dan tanggungjawab
mereka amat dikesali dan jelas melanggar hak untuk bersuara dan kebebasan
media.
114. Apa yang lebih dikesali adalah testimoni berkenaan serangan dan kecederaan
yang dialami oleh anggota media. Tanpa sebarang maklum balas atau
bantahan dari PDRM, Panel menerima keterangan saksi-saksi, yang turut
disokong oleh laporan perubatan dan gambar. Oleh yang demikian Panel
mendapati bahawa pihak polis telah melakukan serangan fizikal, kecederaan,
kekasaran dan membuat ugutan ke atas anggota media seperti Chen Shaua
Fui (W15), Koh Jun Lin (W16), Mohd. Radzi bin Abdul Razak (W17) dan
Puspanathan a/l Periannan (W20) ketika membuat liputan semasa
perhimpunan pada 28 April 2012, walaupun usaha diambil untuk
memperkenalkan diri mereka sebagai pihak media.
115. Panel meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penganiayaan ke atas anggota
media dan tindakan menafikan hak mereka untuk menjalankan tugas mereka
tanpa halangan atau kecederaan fizikal.
34
B. Insiden Selepas Perhimpunan pada 28 April 2012
116. Pelbagai insiden terus berlaku selepas perhimpunan pada 28 April 2012. Pihak
berkuasa mengutuk penganjur terutamanya melalui media arus perdana,
manakala penganjur dan orang awam secara terbuka telah mengkritik pihak
berkuasa terutamanya polis berkenaan pengurusan dan cara mereka
mengendalikan peserta perhimpunan dan kakitangan media.
117. Terdapat juga beberapa siri serangan peribadi ke atas pihak penganjur
terutamanya mensasarkan kepada Dato' Ambiga Sreenevasan (W48).
Insiden di hadapan rumah kediaman Dato’ Ambiga Sreenevasan
118. Menurut keterangan yang diberikan oleh Dato' Ambiga Sreenevasan (W48),
pelbagai aktiviti dan demonstrasi telah diadakan di hadapan rumah beliau
beberapa minggu selepas perhimpunan, kononnya untuk membantah peranan
beliau sebagai penganjur bersama perhimpunan pada 28 April 2012.
119. Menurut W48, pada 10 Mei 2012, sekumpulan peniaga berkumpul di luar
kediamannya di Bukit Damansara dan membuka gerai menjual burger.
120. Pada 15 Mei 2012, sekumpulan pesara tentera telah berkumpul di hadapan
kediaman beliau dan telah mengadakan sesi senaman fizikal, termasuk
senaman yang menunjukkan dan menggoyang bahagian belakang mereka.
121. Satu lagi kumpulan, pada 21 Mei 2012, dilaporkan mahu membuka gerai pasar
malam di sepanjang jalan di mana terletaknya kediaman W48. Pada 24 Mei
2012, kira-kira 150 orang yang menggelarkan diri mereka 'Bersih 4.0' dan
'Halau 1.0' berkumpul di hadapan kediaman W48 dan menuntut permohonan
maaf dari beliau di atas kerosakan yang disebabkan keganasan yang berlaku
pada 28 April 2012.
35
122. Menurut W48, beliau juga telah dilabelkan sebagai musuh negara, dan Hindu
kafir. Terdapat juga permintaan untuk membatalkan kewarganegaraan beliau
dan mengusir beliau dari negara ini.
123. W48 juga memberi keterangan bahawa beliau menerima ancaman bunuh dan
dimaklumkan bahawa dua orang telah diupah untuk membunuh beliau.
Kenyataan dari PDRM
124. Dalam keterangannya, W48 juga memetik kata-kata Timbalan Ketua Polis
Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa penunjuk perasaan adalah bebas
untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap W48 di hadapan
rumahnya, selagi ianya tidak menjejaskan ketenteraman awam.
Kelewatan tindakan pihak polis ke atas laporan yang dibuat oleh mangsa
125. Dalam kebanyakan kes, saksi-saksi yang mendakwa bahawa mereka telah
diserang atau dicederakan oleh anggota polis semasa perhimpunan pada 28
April 2012, telah memaklumkan kepada Panel bahawa mereka ada membuat
laporan polis. Walau bagaimanapun, hanya sebilangan kecil sahaja tindakan
susulan diambil oleh pihak polis. Anggota media, Mohd Radzi bin Abdul Razak
(W17) telah dipanggil oleh pihak polis sebulan selepas perhimpunan untuk
kawat cam. Walau bagaimanapun, W17 tidak dapat mengenal pasti mereka
yang menyerang beliau semasa kawat cam tersebut. Menurut W17, kawat
cam yang dilakukan terdiri dari anggota yang lebih tua dan tidak mempunyai
susuk fizikal seperti anggota muda, walaupun beliau telah menyatakan secara
khusus di dalam laporan polis bahawa beliau telah diserang oleh sekumpulan
anggota polis muda.
36
126. Menurut Kanun Prosedur Jenayah, setiap siasatan hendaklah diselesaikan
tanpa sebarang kelewatan.5 Walau bagaimanapun, menurut ACP Mohamad
Zulkarnain bin Abd Rahman (W37), Lans Koperal Abu Bakar bin Abdul Rahman
(W43) dan Dato' Mohmad Salleh (W49), semua laporan polis yang telah
dibuat oleh orang awam berhubung dengan perhimpunan 28 April 2012,
masih belum selesai.
127. Menurut ACP Khairi bin Ahrasa (W36), tidak ada tempoh tertentu untuk
menyelesaikan penyiasatan. Walau bagaimanapun, bagi setiap laporan polis,
satu kertas siasatan perlu dibuka. W36 memberi keterangan bahawa 10
individu telah didakwa di mahkamah: dua anggota polis dan lapan orang
awam. Kes-kes tersebut masih dibicarakan di mahkamah ketika Inkuiri
dijalankan.
128. Saksi-saksi polis yang memberi keterangan menyatakan mereka tidak
diwajibkan untuk menyediakan satu laporan bertulis, atau mengemukakan
laporan tersebut kepada pegawai atasan mereka. Menurut Inspektor
Norazmee bin Mohamed (W29) yang berada di bawah pengawasan ASP
Ahmad Jais bin Ujang (W28), beliau tidak diminta untuk menyediakan atau
mengemukakansebarang laporan. Beliau menganggap bahawa W28 sebagai
pegawai atasan dan pegawai zon untuk Dataran Merdeka akan menyediakan
satu laporan. Begitu juga, Inspektor Farid bin Sairi (W31) yang tidak
mengemukakan laporan, walaupun melaporkan secara lisan kepada Ketua
Polis Daerah (KPD) pada jam 8.12 malam semasa taklimat di akhir tugasan.
Walau bagaimanapun, menurut Superintenden Zahari bin Haji Mohd Yusoff
(W23), dua hari selepas perhimpunan, pegawai atasan beliau meminta untuk
menghadiri mesyuarat di mana mereka telah diminta untuk menyedia dan
mengemukakan satu laporan. Begitu juga, ASP Alekzandra bin Dawam (W25)
5Seksyen 120 Kanun Prosedur Jenayah menyatakan (1) Tiap-tiap penyiasatan di bawah Bab ini hendaklah
diselesaikan tanpa sebarang kelewatan, dan pegawai yang menjalankan penyiasatan itu hendaklah, kecuali jika kesalahan itu adalah dari jenis yang Pendakwa Raya telah mengarahkan tidak payah dilaporkan kepadanya,
meyerahkan kepada Pendakwaraya laporan penyiasatannya bersama dengan kertas penyiasatan tersebut dalam
masa satu minggu dari tarikh tamat tempoh tiga bulan daripada tarikh maklumat yang diberikan di bawah seksyen 107.
37
telah menyediakan satu laporan yang telah beliau serahkan kepada pegawai
atasannya. W23 dan W25 adalah pegawai yang memimpin Trup 4A dan 4B
pada 28 April 2012.
IV. PEMERHATIAN PANEL
A. Pemerhatian terhadap Insiden semasa 28 April 2012
129. Panel berpendapat bahawa selaras dengan ‘spirit’ atau semangat APA 2012,
PDRM seharusnya membantu di dalam perhimpunan pada 28 April 2012.
Menurut APA 2012 seperti yang ditetapkan di bawah seksyen 8, "seorang
pegawai polis boleh mengambil apa-apa langkah-langkah yang difikirkannya
perlu untuk memastikan perhimpunan dikendalikan dengan teratur mengikut
Akta ini dan mana-mana undang-undang bertulis yang lain". Oleh yang
demikian, pihak polis bertanggungjawab untuk membantu atau memudahcara
pergerakan serta pengurusan peserta, orang awam, dan lalu lintas, di
samping memastikan terdapat jalan keluar. Walaupun pasukan polis
mempunyai kuasa untuk melakukan tangkapan dan menyuraikan
perhimpunan di bawah seksyen 20 dan 21 APA 2012, mereka harus memberi
masa yang mencukupi dan munasabah untuk para peserta bersurai secara
sukarela sebelum mengambil tindakan lanjut untuk menyuraikan atau
menangkap mereka. Namun begitu, dalam menyuraikan atau melakukan
tangkapan, pihak polis sepatutnya menggunakan kekerasan yang sewajarnya
dalam mencapai objektif; kekerasan yang tidak seimbang seharusnya
dielakkan pada setiap masa. Dalam hal ini Panel ingin mengucapkan tahniah
kepada PDRM dalam mengatur dan menguruskan KL112 (Himpunan
Kebangkitan Rakyat) pada 12 Januari 2013 lepas.
130. Para Panel percaya PDRM yang mempunyai pengalaman yang luas dalam
mengurus dan mengawal orang ramai walaupun melibatkan jumlah yang
besar, seperti yang diperhatikan semasa pengendalian acara-acara awam
seperti Sambutan Hari Merdeka, Sambutan Hari Malaysia dan Malam
38
Sambutan Tahun Baru, yang diadakan di Dataran Merdeka. Dengan
pengalaman yang mereka ada, Panel yakin bahawa pihak polis mempunyai
keupayaan untuk memudahkan perhimpunan pada 28 April 2012 dan
bertindak sewajarnya untuk memastikan ia aman dan bebas dari sebarang
insiden.
131. Panel berpendapat bahawa polis sepatutnya dan seharusnya dengan segera
menangkap individu yang membuka penghadang tersebut, lebih-lebih lagi
apabila ia berlaku di hadapan pihak polis atau dalam jarak penglihatan pihak
polis. Sebaliknya, di atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh mereka
sendiri, pihak polis mengambil keputusan untuk menyuraikan peserta dengan
menggunakan meriam air dan gas pemedih mata tanpa melakukan tangkapan
ke atas individu-individu yang membuka penghadang tersebut.
132. Panel memandang serius dengan kelakuan polis trafik yang mengacukan pistol
ke arah orang ramai yang boleh membahayakan nyawa.
133. Dari pemerhatian, Panel telah mendapati bahawa pihak penganjur telah
menyediakan garis panduan dan diedarkan kepada semua peserta. Garis
panduan tersebut, iaitu Garis Panduan Bersih 3.0 – 28 April telah disediakan di
laman web dan laman web Facebook BERSIH. Di dalam garis panduan
tersebut, pihak penganjur telah menyenaraikan langkah-langkah yang perlu
diambil oleh para peserta sebelum, semasa dan selepas perhimpunan seperti
"Jangan bawa sebarang Benda Tajam", "Jangan bawa Benda Yang Mudah
melutup", "Berkumpul di Tempat pertemuan yang ditetapkan” dan “Pastikan
bersurai secara secara perlahan-lahan dan aman selepas arahan bersurai".
Walau bagaimanapun, Panel berasa tidak senang terhadap beberapa
penggunaan bahasa yang di dalam garis panduan mereka, khususnya, di
perenggan yang berikut: “sesungguhnya anda akan rasa lebih hebat dan
berani lagi selepas ditangkap kerana tidak semua orang berpeluang merasai
apa yang anda lalui ketika ditahan”,“peristiwa ini adalah peluang anda sekali
seumur hidup dan ianya akan kekal menjadi sejarah yang akan menjadi
39
sebutan kepada anak cucu kita. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi
sebahagian dari sejarah ini” dan “Ikutilah arahan dari Unit Amal atau Field
Commander sepanjang program. Jangan pedulikan arahan lain tanpa merujuk
kepada Field Commander”. Panel berpendapat bahawa bahasa yang
digunakan dalam perenggan tersebut boleh menimbulkan salah faham kepada
pihak peserta atau menggalakkan mereka untuk bertindak bertentangan
dengan undang-undang dan mungkin boleh mengakibatkan perkara atau
tindakan yang tidak diingini.
134. Panel mengambil maklum bahawa pihak polis tidak memberikan bantahan
kepada dakwaan yang dibuat oleh saksi-saksi. Panel juga mengambil maklum
terdapat kurangnya kerjasama dari PDRM terutama dalam mengenal pasti
anggota yang terlibat dalam serangan tersebut. Panel juga menolak testimoni
bahawa PDRM tidak dapat mengenal pasti anggota mereka atas alasan
bahawa mereka adalah dari kontijen dan negeri yang berbeza.
135. Semasa pendengaran, satu cadangan dikemukakan bahawa suatu taklimat
sepatutnya diadakan kepada media sebelum perhimpunan 28 April
kemungkinan untuk membolehkan pihak polis dan media memahami peranan
dan tanggungjawab masing-masing, dan bertindak dengan sewajarnya.
Walaupun Panel tidak menafikan kebaikan taklimat tersebut, namun ia
berpendapat bahawa sama ada taklimat diadakan atau tidak, pihak polis dan
media seharusnya menjalankan kewajiban mereka secara profesional dan
mengikut undang-undang. Sungguhpun Panel merasakan taklimat tersebut
menjadi penunjuk kesediaan pihak berkuasa untuk bekerjasama dan mencapai
persefahaman, ia tidak seharusnya menghadkan petugas media dari
menjalankan tugas mereka.
136. Seksyen 24 APA 2012 memberikan media akses yang munasabah ke tempat
perhimpunan. Ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa mempunyai tanggung
jawab untuk memberikan akses tersebut kepada pihak media. Menurut Koh
Jun Lin (W16), beliau telah diminta untuk menyertai anggota media lain yang
40
berada di belakang anggota polis di persimpangan Jalan Raja dan Jalan
Parlimen. Pihak polis seharusnya dipuji kerana bertindak dalam memastikan
keselamatan pihak media, namun pada masa yang sama langkah tersebut
tidak seharusnya menghalang pihak media dari menjalankan tugas mereka.
137. Walaupun adalah menjadi tugas media untuk membuat liputan dan
melaporkan kepada pihak awam, orang ramai juga mempunyai hak untuk
mengumpulkan dan menyebarkan maklumat. Perkara 19 UDHR menyatakan
bahawa setiap warganegara mempunyai hak untuk menyuarakan idea mereka
kepada individu lain. Perkara ini memberi jaminan kepada setiap orang yang
berhimpun untuk mengambil gambar dan pihak berkuasa tidak mempunyai
justifikasi untuk menghalang orang awam daripada berbuat demikian
melainkan jika dalam atau di sekitar kawasan yang dilarang.
138. Garis Panduan NUJ akan dirujuk apabila perlu dan di mana berkenaan.
Bertentangan dengan pendapat yang dikemukakan oleh wakil PDRM semasa
pendengaran, perhimpunan pada 28 April bukanlah zon peperangan mahupun
pergolakkan sosial pada sebelah pagi, dan tidak pernah terjadi sebegitu
walaupun selepas jam 3.00 petang. Oleh yang demikian, wartawan tidak perlu
disediakan topi keledar atau topeng gas seperti yang dicadangkan oleh
pemerhati dari PDRM.
B. Pemerhatian Panel mengenai Pelanggaran Hak Asasi Manusia
selepas 28 April 2012
140. Panel ingin menegaskan bahawa setiap manusia berhak untuk menikmati
semua hak-hak dan kebebasan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan dan UDHR. Pada masa yang sama, seperti yang dinyatakan oleh
Perlembagaan Persekutuan serta UDHR, hak dan kebebasan itu tidak mutlak.
Perkara 29(2) UDHR dengan jelas membayangkan perlunya keseimbangan
dalam menikmati hak dan kebebasan apabila ia menegaskan bahawa batasan
mungkin dikenakan bertujuan untuk menjamin pengiktirafan dan
41
penghormatan hak dan kebebasan orang lain, dan untuk mencapai keperluan-
norma moral, ketenteraman awam dan kebajikan secara umum di dalam
masyarakat yang demokratik. Pada masa yang sama APA 2012 menegaskan
keseimbangan yang perlu dalam menikmati hak dan kebebasan orang lain
serta keselamatan Negara.
140. Panel mengakui hak dan kebebasan mereka yang mengadakan bantahan dan
menjalankan pelbagai aktiviti lain di luar rumah kediaman W48, dalam
mempergunakan hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman
mereka. Pada masa yang sama, hak tersebut haruslah dilaksanakan dengan
mengiktiraf dan menghormati hak dan kebebasan orang lain. Dalam hal ini,
hak untuk privasi, kebebasan dan keselamatan bukan sahaja menjurus kepada
W48 yang juga perlu dipertahankan tetapi juga kepada mereka tinggal di
sepanjang jalan dan dalam kawasan yang sama dengan W48. Ia perlu
dilaksanakan berlandaskan undang-undang seperti APA 2012, undang-undang
yang lain atau peraturan dari pihak berkuasa tempatan.
141. Panel memerhatikan bahawa pihak berkuasa tidak mengambil sebarang
tindakan atau bertindak dengan segera apabila gerai-gerai didirikan di
hadapan rumah kediaman Dato' Ambiga Sreenevasan (W48), walaupun
aktiviti tersebut jelas melanggar beberapa peraturan pihak berkuasa
tempatan, peraturan-peraturan atau undang-undang lain. Panel memandang
serius kegagalan pihak berkuasa untuk bertindak ke atas mereka yang
melanggar undang-undang dan peraturan yang ada. Kegagalan untuk
bertindak membuatkan Panel berpendapat bahawa pihak berkuasa tidak mahu
bertindak atau, berat sebelah, bersikap tidak endah, dan telah
menyalahgunakan kuasa di pihak mereka. Ketiadaan sebarang tindakan dari
mereka turut menggalakkan perlanggaran, menganggu ketenteraman, dan
menjejaskan kuasa pihak berkuasa yang terbabit.
42
142. Pemerhatian Panel juga mendapati kurangnya susulan ke atas semua laporan
polis yang dibuat oleh orang ramai. Sehingga siasatan ini berakhir pada
Januari 2013, tiada satu pun laporan polis yang telah dibuat oleh beberapa
orang saksi berjaya diselesaikan oleh PDRM.
143. Panel membuat pemerhatian bahawa tidak ada keperluan khusus bagi
anggota polis untuk mengemukakan laporan bertulis selepas tugasan mereka
pada 28 April. Tidak semua saksi polis mengemukakan laporan selepas
perhimpunan tersebut.
V. SYOR-SYOR
144. PDRM dalam melaksanakan fungsi mereka juga perlu mengambil kira hak-hak
individu dan memastikan bahawa mereka mampu untuk mempergunakan hak-
hak mereka seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan
undang-undang lain di negara ini.6 Pihak polis tidak harus beranggapan
perhimpunan awam mencabar mereka sebagai pihak berkuasa.
145. PDRM seharusnya memudahcarakan perhimpunan aman seperti yang
dinyatakan di bawah APA 2012. Bagi maksud memudahcara, mengawal dan
mengurus pergerakan trafik dan orang ramai, dan mengurangkan gangguan
kepada orang awam dan aktiviti-aktiviti di tempat berkenaan, pihak berkuasa
dan penganjur harus berjumpa dan mencapai kata sepakat terhadap perkara-
perkara yang berkaitan. Pihak berkuasa juga perlu diingatkan bahawa seksyen
27 Akta Polis tidak lagi digunapakai untuk perhimpunan awam.
146. Pihak polis perlu menjalani latihan dan bengkel yang berterusan mengenai
pengurusan dan kawalan orang ramai sejajar dengan piawaian antarabangsa.
6 Lihat Laporan Siasatan Awam ke atas Perlanggaran Hak Asasi Manusia termasuk kegunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2011, mukasurat 25.
43
147. Pihak polis harus mengurangkan gangguan terhadap trafik dan pengangkutan
awam untuk memastikan pergerakan dan penyuraian yang mudah dan teratur
sebelum, semasa dan selepas perhimpunan awam.
148. Pihak polis perlu membezakan di antara perhimpunan aman dan rusuhan.
Mereka juga perlu dilihat neutral dan memastikan keselamatan peserta dan
orang ramai terutamanya dalam perhimpunan awam yang melibatkan dua
atau lebih kumpulan yang berbeza dalam kawasan yang sama.
149. PDRM perlu mengkaji dan meminda semula Prosedur Operasi Standard
mereka (SOP)/Perintah Tetap dalam penyuraian perhimpunan selaras dengan
piawaian hak asasi manusia antarabangsa seperti Perisytiharan Hak Asasi
Manusia Sejagat (UDHR), Konvensyen Antarabangsa (ICCPR) Sivil dan Politik,
Konvensyen Hak kanak-kanak (CRC), Konvensyen Eropah dan Amerika
mengenai Hak Asasi Manusia and mencontohi amalan baik pasukan polis lain
di dunia.
150. Pihak polis perlu meneroka alternatif lain untuk memberi amaran dan
menyuraikan peserta dan bukan semata-mata bergantung kepada kaedah
yang sedia ada terutamanya apabila berhadapan dengan orang yang ramai di
dalam mana-mana perhimpunan awam.
151. Dalam menyuraikan peserta, PDRM perlu memastikan peserta diberi masa
yang mencukupi dan munasabah untuk bersurai secara teratur dan selamat,
dan jalan keluar yang sesuai untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak
diingini. Sebarang tindakan PDRM tidak harus menyebabkan peserta
terperangkap (‘kettling’).
152. Untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini atau arahan yang
bercanggah, Panel mengesyorkan supaya arahan yang dikeluarkan dari
Pegawai Perintah dan jikalau tugas diturunkuasakan kepada pegawai yang
44
lain, perkara itu perlu dimaklumkan kepada pegawai-pegawai polis lain yang
bertugas semasa perhimpunan awam.
153. Panel mengambil maklum kegagalan sistem komunikasi semasa perhimpunan
tersebut. Oleh itu, PDRM harus menambah atau menggunakan cara lain untuk
memastikan pegawai dan anggota polis sentiasa berkomunikasi antara satu
sama lain dan tiada kekeliruan berkenaan perintah atau tindakan yang diambil
oleh trup.
154. Panel berpendapat bahawa pegawai yang melakukan tangkapan harus
berhati-hati dan mengelakkan daripada menggunakan kekerasan yang tidak
seimbang atau sewajarnya. Panel mengambil maklum bahawa pegawai-
pegawai polis mempunyai kuasa untuk menangkap atau menyuraikan peserta
mengikut undang-undang. Walau bagaimanapun, penggunaan kekerasan
mestilah berkadar dengan tahap risiko pada masa tangkapan dilakukan.
155 Orang ramai terutamanya peserta perhimpunan awam tidak harus mengambil
undang-undang di tangan mereka sendiri dan harus pada setiap masa
menghargai dan menghormati pihak polis yang mempunyai peranan dan
tanggungjawab dalam mengekalkan dan memelihara keselamatan, keamanan
dan undang-undang.
156. Anggota polis perlu menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi pada
setiap masa dan dapat mengendalikan tekanan apabila berhadapan dengan
isu yang berkaitan dengan kerja mereka.
157. Pihak polis perlu memakai tag nama yang tetap atau nombor pengenalan
badan pada setiap masa apabila mereka menjalankan tugas. Panel mengiktiraf
keperluan untuk pegawai berpakaian biasa terutamanya ketika memantau,
membuat pemerhatian dan merekodkan keadaan semasa tetapi pegawai-
pegawai ini tidak boleh terlibat dalam proses menyurai atau tangkapan,
melainkan mereka memperkenalkan diri mereka.
45
158. Panel mencadangkan bahawa demi ketelusan dan kepentingan awam, PDRM
harus membenarkan orang awam mengetahui SOP mereka supaya orang
ramai dapat memahami dan menghargai tindakan yang diambil oleh pihak
polis. Ia juga bertujuan untuk memastikan anggota polis bertindak mengikut
SOP.
159. Mereka yang ditangkap perlu dimaklumkan sebab penangkapan dan tidak
boleh dinafikan akses kepada pengamal undang-undang.
160. Panel ingin merujuk kepada laporan OSCE Special Report on the Handling of
the Media,7 yang mengandungi garis panduan mengenai, antara lain,
bagaimana pihak berkuasa perlu mengendalikan media semasa perhimpunan,
serta bagaimana media perlu bersedia dalam melaporkan peristiwa tersebut.
161. Komunikasi atau taklimat di antara pihak polis dan media sebelum
perhimpunan dapat membantu kedua-dua pihak dalam menghargai peranan
dan tugas masing-masing semasa perhimpunan, dan dapat menjangkakan
perkara yang mungkin berlaku. Dalam hal ini, Panel ingin mengucapkan
tahniah kepada PDRM dalam membantu pihak media semasa Perhimpunan
KL112 (Himpunan Kebangkitan Rakyat) yang berlangsung pada 12 Januari
2013.
162. Panel bersetuju dengan laporan OSCE yang menyatakan bahawa sama ada
perhimpunan yang dibenarkan atau tidak (perhimpunan sah/ tidak sah atau
dengan / tanpa permit), kenyataannya adalah demonstrasi besar-besaran
sedang berlaku dan ia melibatkan kepentingan awam. Tambahan pula,
sebagai pengamal media yang profesional mereka perlu neutral dan tidak
berat sebelah ke atas peristiwa yang berlaku. Oleh itu, pihak media harus
7 Organization for Security and Co-operation in Europe (OSCE)’s Special report: Handling of the media during political demonstrations (Observations and Recommendations)
46
diberikan hak yang sama sepertimana mereka melaporkan acara awam yang
lain.
163. Dalam menjalankan tugas mereka sebagai seorang wartawan, pakaian mereka
seharusnya tidak menyerupai para peserta. Tag media harus dipakai dan
boleh dilihat pada setiap masa. Wartawan juga tidak boleh menyertai peserta
dalam aktiviti-aktiviti seperti melaungkan dan bernyanyi untuk mengelakkan
dari dilihat sebagai peserta perhimpunan.
164. Panel juga menjemput pihak berkuasa untuk mengadakan taklimat dan latihan
untuk kakitangan dalam mengurus dan membantu petugas media semasa
perhimpunan. Pihak polis dan media harus mengakui peranan yang dimainkan
oleh kedua belah pihak demi kepentingan awam dan negara dan rasa hormat
menghormati perlu dikekalkan.
165. Panel menggesa pihak berkuasa terutamanya pegawai-pegawai atasan supaya
bertindak secara profesional, tidak berat sebelah dan adil dalam menjalankan
tugas dan tanggungjawab supaya tidak dilihat sebagai menyokong atau berat
sebelah kepada mana-mana parti atau kumpulan tertentu.
166. Di samping itu, Panel menggesa pihak berkuasa terutamanya pegawai atasan
supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan yang boleh ditafsirkan
sebagai membiarkan atau menyokong pelanggaran hak asasi manusia dan
yang tidak mematuhi undang-undang di negara ini.
167. Panel mengesyorkan PDRM untuk melengkapkan siasatan ke atas laporan
polis yang telah dibuat oleh orang awam, walaupun laporan tersebut
melibatkan oleh anggota polis. Walaupun tiada tempoh masa untuk
melengkapkan siasatan, PDRM perlu bertindak segera untuk menyelesaikan
siasatan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan anggota polis mereka sendiri
untuk mengelakkan tuduhan berat sebelah dan tidak telus.
47
168. Panel juga ingin mencadangkan PDRM untuk mengkaji semula SOP dan
mewajibkan anggota dan pegawai membuat laporan selepas menjalankan
tugas dengan memperincikan semua tindakan yang dilakukan dan dalam kes
ini, selepas perhimpunan. Ini adalah untuk memastikan tahap profesionalisme
dan memastikan semua kakitangan adalah bertanggungjawab terhadap
perbuatan mereka.
Dengan ini disahkan bahawa penemuan, pemerhatian dan syor-syor seperti yang
terkandung dalam laporan ini adalah keputusan bersama Ahli-ahli Suruhanjaya yang
membentuk Panel Siasatan Awam:
..............................................................................
DATUK DR KHAW LAKE TEE (Pengerusi)
..............................................................................
PROFESOR EMERITUS DATO’ DR MAHMOOD ZUHDI BIN AB MAJID (Ahli)
...........................................................................
DATUK DETTA SAMEN (Ahli)
Tarikh: 17 April 2013
Top Related