Hormati Reservasi CEDAW | 1
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pendahuluan
Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita atau lebih
dikenali sebagai “CEDAW” merupakan satu perjanjian antarabangsa yang bertujuan
untuk memberikan hak yang sama rata kepada wanita dengan cara menghapuskan
diskriminasi jantina, menamatkan keganasan terhadap wanita dan memperkukuh
hak wanita. Malaysia telah meratifikasi (mengesahkan) CEDAW pada tahun 1995.
Konvensyen Vienna 1969 berkenaan Undang-undang Triti (Konvensyen Vienna
1969) telah mensyaratkan Negara Pihak yang meratifikasi sesuatu Perjanjian Hak
Asasi Manusia Antarabangsa mesti mematuhi segala kewajipan undang-undang
yang dinyatakan dalam Perjanjian dan tidak boleh mengelak tanpa sebarang
justifikasi yang kuat dan sah.
Meratifikasi sesuatu perjanjian tanpa niat yang bersungguh-sungguh untuk
mematuhinya adalah menyalahi prinsip suci hati (good faith) atau turut dikenali
sebagai doktrin pacta sunt servanda iaitu kewajipan Negara Pihak kepada Perjanjian
untuk menepati janji. Hal ini bermaksud, dengan meratifikasi sesebuah Perjanjian
Antarabangsa, Negara Pihak secara sukarela mahu memikul tanggungjawab untuk
mengubah undang-undang negara selaras dengan kandungan Perjanjian.
Menurut CEDAW, Negara Pihak wajib menghantar laporan kepada Jawatankuasa
CEDAW setiap empat tahun sekali. Laporan itu mesti mengandungi langkah-langkah
perundangan, kehakiman dan pentadbiran yang telah diambil oleh kerajaan dalam
tempoh tersebut bagi melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan oleh artikel-
artikel yang terkandung dalam Konvensyen. Laporan yang dihantar oleh kerajaan
akan dinilai oleh Jawatankuasa CEDAW melalui satu sesi penilaian yang dibuat
dalam bentuk dialog interaktif.
Selepas Jawatankuasa CEDAW meneliti dan membincangkan respons yang
diberikan oleh Malaysia terhadap senarai isu dan soalan yang diajukan oleh
Jawatankuasa, Jawatankuasa akan mengeluarkan satu Pemerhatian Akhir
(Concluding Observations) yang mengandungi syor dan cadangan kepada kerajaan.
Proses pemantauan ini wajib disertai oleh Negara Pihak sebagai salah satu
tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah CEDAW.
Tidak dapat dinafikan, agenda kesamarataan gender dalam CEDAW telah
menyumbang banyak kemajuan terhadap penglibatan wanita terutamanya dalam
peluang dan penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan serta
penguasaan politik di Malaysia. Hal ini dibuktikan apabila kedudukan Malaysia setiap
tahun bertambah baik berdasarkan skor Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI),
mendahului Indonesia, China dan Brunei Darussalam.
Hormati Reservasi CEDAW | 2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Antara isu-isu penting lain yang turut menjadi keutamaan CEDAW adalah isu
keganasan terhadap wanita, pemerdagangan seks wanita dan diskriminasi wanita di
tempat kerja.
Namun begitu, Kerajaan Malaysia telah melakukan reservasi (pengecualian)
terhadap sebahagian Artikel 16 CEDAW iaitu membabitkan hak sama rata lelaki dan
wanita dalam perkahwinan dan hubungan kekeluargaan kerana bercanggah dengan
undang-undang Syariah dan Perlembagaan Persekutuan.
Banyak pihak yang telah memberikan tekanan supaya Malaysia menggugurkan
reservasi tersebut kerana menganggap perbezaan hukum dalam Islam yang
membabitkan lelaki dan wanita seperti ketetapan poligami, wali, talak dan
perwarisan adalah satu bentuk penindasan terhadap wanita yang mesti dihapuskan.
Hakikatnya, reservasi merupakan pilihan sah yang diberikan kepada setiap Negara
Pihak. Justeru, reservasi yang tidak bertentangan dengan objektif dan tujuan
Konvensyen wajar dihormati oleh semua pihak.
Hak Negara Pihak Melakukan Reservasi
Walaupun wujud kewajipan antarabangsa untuk mematuhi Perjanjian, Artikel 2(d)
Konvensyen Vienna 1969 turut memberikan kuasa kepada Negara Pihak untuk
melakukan reservasi. Reservasi boleh dilakukan bagi mengecualikan kewajipan di
bawah peruntukan-peruntukan tertentu, di mana peruntukan yang direservasi tidak
akan terpakai ke atas negara tersebut.
Kemampuan Negara Pihak untuk memasukkan reservasi dalam sesebuah
Perjanjian Antarabangsa menggambarkan prinsip kedaulatan negara (state
sovereignty), bermaksud setiap negara boleh menolak untuk terikat dengan mana-
mana peruntukan yang khusus.
Walau bagaimanapun, reservasi tidak boleh dilakukan jika reservasi itu tidak
dibenarkan oleh Perjanjian tersebut, atau apabila Perjanjian memperuntukkan
reservasi tertentu sahaja yang boleh dilakukan, atau apabila reservasi yang
dilakukan bertentangan dengan objektif dan tujuan Perjanjian. Ujian bagi
menentukan sama ada reservasi itu bertentangan dengan objektif dan tujuan
Perjanjian pula sangat subjektif dan biasanya bergantung kepada tafsiran yang
dilakukan oleh Jawatankuasa Perjanjian.
Merujuk kepada tafsiran Jawatankuasa CEDAW, “kesamarataan gender” diwajibkan
dalam setiap perkara tanpa pengecualian. Sebarang perbezaan hak dikira sebagai
satu bentuk diskriminasi terhadap kaum wanita.
Hormati Reservasi CEDAW | 3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Tafsiran ini sangat berbeza dengan Islam, di mana dalam hukum-hukum tertentu,
wujud perbezaan hak serta tanggungjawab antara lelaki dan wanita. Perbezaan ini
tidak dikira sebagai diskriminasi kerana tujuannya adalah untuk melindungi wanita,
iaitu seiring dengan objektif dan tujuan CEDAW.
Disebabkan oleh perbezaan tafsiran ini, banyak negara Islam seperti Arab Saudi,
Libya, Bangladesh, Mesir dan Iraq memasukkan reservasi terhadap Artikel 16
CEDAW kerana peruntukan tersebut menuntut agar hak sama rata perlu diberikan
kepada wanita dalam perkahwinan dan hubungan kekeluargaan. Jika reservasi tidak
dimasukkan, Negara Pihak perlu menukar undang-undang untuk mengharamkan
poligami, menggugurkan hak wali, memberikan hak kepada wanita untuk
melafazkan talak dan membahagikan harta pusaka secara sama rata.
Walaupun reservasi ini dikritik sebagai bertentangan dengan objektif dan tujuan
CEDAW, Jawatankuasa CEDAW tidak memiliki kuasa akhir untuk menentukan sama
ada sesuatu reservasi yang dimasukkan adalah tidak selari dengan objektif dan
tujuan Konvensyen. Bahkan, Jawatankuasa juga tidak mempunyai kuasa untuk
mengisytiharkan sesuatu reservasi itu sebagai batal dan tidak sah (null and void).
Namun begitu, hak Malaysia untuk melakukan reservasi seolah-olah tidak dihormati.
Tekanan demi tekanan yang diberikan memberikan persepsi bahawa keengganan
Kerajaan Malaysia menggugurkan reservasi menunjukkan Malaysia tiada kemajuan
langsung dalam melindungi dan menegakkan hak wanita, sekaligus memburukkan
imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
Tekanan untuk Menggugurkan Reservasi CEDAW
Jawatankuasa CEDAW
Ketika Sesi ke-69 Jawatankuasa CEDAW yang berlangsung pada 20 Februari 2018,
Jawatankuasa CEDAW telah mengkaji dan menimbang laporan berkala ketiga
hingga kelima Malaysia tentang kemajuannya dalam pelaksanaan CEDAW.
Sepanjang dialog berlangsung, Jawatankuasa CEDAW telah mengkritik prestasi hak
asasi manusia di Malaysia, antara lainnya turut menyentuh kelemahan perundangan
sedia ada, diskriminasi terhadap transgender, hak penjagaan anak, pendidikan seks,
perwarisan, poligami dan amalan berkhitan bagi kanak-kanak perempuan (FGM).
Malaysia telah mengalami situasi yang sukar sepanjang proses dialog berlangsung.
Sebagai contoh, Jawatankuasa CEDAW mempersoalkan tindakan yang telah
dilakukan kerajaan bagi memastikan undang-undang perwarisan tidak
mendiskriminasi wanita. Jawatankuasa turut menekan wakil kerajaan tentang sebab
kerajaan tidak boleh berganjak daripada undang-undang Islam berkaitan perwarisan
apabila realiti hari ini wanita juga perlu menanggung keluarga.
Hormati Reservasi CEDAW | 4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Berhubung dengan reservasi yang telah dilakukan Malaysia, Jawatankuasa sekali
lagi telah menyarankan dalam Pemerhatian Akhir (Concluding Observations) agar
kerajaan menggugurkan semua reservasi terhadap kandungan CEDAW bagi
menunjukkan komitmen penuh kerajaan dalam menghapuskan semua jenis
diskriminasi terhadap wanita.
Desakan ini dipercayai akan berterusan pada setiap kali sesi penilaian sehinggalah
Malaysia akur untuk menggugurkan semua reservasi. Jawatankuasa tidak akan
berhenti mempersoalkan kenapa tiada tindakan diambil untuk menggugurkan
reservasi sebagaimana cadangan yang diberikan oleh Jawatankuasa.
Hal ini dilihat sebagai tidak menghormati pilihan sah yang dibuat oleh sesebuah
negara yang berdaulat. Tidak hairanlah apabila banyak negara Islam melihat
CEDAW dan Konvensyen Antarabangsa yang lain sebagai satu alat yang digunakan
oleh Barat untuk mengubah norma budaya dan memusnahkan masyarakat
beragama.
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
Pada masa yang sama, NGO juga diberi peluang untuk menghantar laporan
alternatif bagi mengetengahkan kelompongan yang wujud dalam laporan kerajaan
serta membekalkan maklumat berkaitan isu-isu pelanggaran hak wanita khususnya
yang melibatkan agensi penguatkuasa kerajaan. NGO juga berpeluang untuk
mengambil bahagian dalam Sesi Penilaian Jawatankuasa CEDAW dan pre-session
working group bagi memberikan maklumat secara lisan.
Dalam laporan alternatif yang disediakan bagi sesi Penilaian yang ke-69, gabungan
NGO yang dikoordinasi oleh Women’s Aid Organisation (WAO) dan Joint Action
Group for Gender Equality (JAG) telah mengkritik Kerajaan yang tidak menyatakan
kehendak untuk menggugurkan reservasi sedia ada. Laporan tersebut turut
menyelar Kerajaan yang berterusan menjustifikasikan reservasi tersebut sebagai
kontekstual dan termasuk dalam skop undang-undang Islam.
Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRI)
SUHAKAM sebagai salah satu pihak berkepentingan turut menyertai Sesi ke-69
Jawatankuasa CEDAW dengan membentangkan maklumat khusus secara lisan
berkenaan Malaysia. Antara isu yang dibentangkan SUHAKAM untuk pertimbangan
Jawatankuasa adalah mengenai undang-undang Kesamarataan Gender, pindaan
terhadap Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976
mengenai penukaran agama anak secara sepihak dan diskriminasi terhadap
golongan transgender.
Hormati Reservasi CEDAW | 5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, SUHAKAM beranggapan bahawa terdapat
penekanan yang berlebihan oleh delegasi Kerajaan tentang agama dalam menjawab
soalan-soalan yang ditanyakan semasa sesi tersebut. SUHAKAM juga telah
mencadangkan agar Malaysia menggugurkan reservasi dalam semua instrumen
yang diratifikasi oleh Malaysia termasuk CEDAW dalam laporan yang disediakan
bagi tujuan Semakan Berkala Sejagat (UPR) Malaysia yang Ketiga.
Penutup
Walaupun terdapat komen-komen yang sah dan relevan telah dibuat oleh pihak-
pihak yang menentang reservasi terhadap CEDAW, perbuatan mendesak Malaysia
untuk menggugurkan semua reservasi adalah keterlaluan memandangkan reservasi
yang dibuat terhadap Artikel 16 adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip Syariah
yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
Oleh itu, beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan adalah sesi dialog antara
Jawatankuasa CEDAW dan wakil negara-negara Islam perlu dilakukan secara suci
hati (good faith) bagi memastikan bahawa Jawatankuasa mendapat kefahaman
yang betul tentang sifat undang-undang Islam yang tersendiri. Keberjayaan sesi
dialog ini akan bergantung kepada kesediaan Jawatankuasa CEDAW untuk
mengguna pakai pendekatan yang lebih liberal dalam menafsirkan konsep
“kesamarataan” agar negara-negara Islam masih boleh menjayakan agenda
CEDAW dengan mematuhi hukum-hakam Islam.
Bagi tujuan tersebut, jawatankuasa juga boleh mengguna pakai doktrin “margin of
appreciation” seperti yang dipraktiskan oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah
(European Court of Human Rights). Doktrin ini membenarkan negara untuk
membuat beberapa kompromi di antara aspirasi konvensyen dan realiti yang dialami
oleh Negara Pihak kepada Perjanjian.
Namun begitu, penilaian berat sebelah seperti yang berlaku pada hari ini akan
berterusan sekiranya tokoh-tokoh yang berada dalam Jawatankuasa CEDAW, NGO
Hak Asasi Wanita dan SUHAKAM terus bersikap prejudis dengan hukum Islam
sehingga enggan memahami tujuan pensyariatan setiap hukum yang tidak
bertentang dengan objektif dan tujuan Konvensyen.
Top Related