1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN, MALAYSIA, DI PUTRAJAYA
(BIDANGKUASA RAYUAN)
RAYUAN JENAYAH NO. P-05(M)-216-08/2015
ANTARA
HAFEDZ SAIFOL SAURI BIN YAACOB …PERAYU
DAN
PENDAKWA RAYA …RESPONDEN
(Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya Di Pulau Pinang
Dalam Negeri Pulau Pinang
Perbicaraan Jenayah No.45A-38-11/2013
Antara
Pendakwa Raya
Dan
Hafedz Saifol Sauri Bin Yaacob)
KORAM:
TENGKU MAIMUN BINTI TUAN MAT, HMR
AHMADI BIN HAJI ASNAWI, HMR
KAMARDIN BIN HASHIM, HMR
2
PENGHAKIMAN
[1] Perayu melalui rayuan ini telah merayu ke atas sabitan dan
hukuman mati mandatori yang telah dijatuhkan ke atasnya oleh
Mahkamah Tinggi atas satu kesalahan di bawah s.39B(1)(a), Akta Dadah
Berbahaya, 1952 (‘ADB, 1952’) seperti berikut:
“Bahawa kamu pada 27.5.2013, jam lebih kurang 1500 hrs bertempat di
310-01-08, Jalan Bukit Gambir, Taman Jade View, Daerah Timur Laut,
Dalam Negeri Pulau Pinang telah mengedar dadah berbahaya iaitu
methamphetamine seberat 158.9 gram dan dengan itu kamu telah
melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah
Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang
sama.”
[2] Perayu juga menghadapi dan telah disabitkan di atas pertuduhan
kedua di bawah s.12(2), ADB, 1952, dan boleh dihukum di bawah
s.39A(1) Akta yang sama kerana memiliki campuran dadah berbahaya
jenis heroin seberat 3.14 gram dan monoacetylpmorphines seberat 1.80
gram pada masa dan di tempat yang sama dan telah dihukum penjara
selama 4 tahun, bermula dari tarikh tangkap dan juga dikenakan 5 kali
sebatan dengan rotan.
[3] Di akhir pendengaran, kami mendapati rayuan perayu terhadap
kedua-dua sabitan kesalahan-kesalahan di atas tidak mempunyai
3
sebarang merit. Dengan itu kami telah menolak rayuan perayu. Alasan-
alasannya adalah seperti dinyatakan berikut.
Kes Pihak Pendakwaan
[4] Pada 27.5.2013, SP-3 (ASP Poobalan a/l Krishnasamy), bertindak
atas maklumat, telah mengetuai satu pasukan serbuan untuk menyerbu
sebuah pangsapuri di alamat No. 310-1-8, Jalan Bukit Gambir, Taman
Jade View, Pulau Pinang.
[5] Di pangsapuri tersebut, SP-3 telah mengarahkan SP-7 (Sarjan
Ahmad bin Yahya) dan Sarjan Taufik untuk membuat kawalan dan
pemantauan di bahagian bawah pangsapuri berkenaan, khususnya di
kawasan kolam renang di mana unit yang akan diserbu dapat dilihat dari
kawasan tersebut.
[6] Sementara itu SP-3 bersama anggota-anggotanya telah naik ke
pangsapuri berkenaan. Beliau mendapati gril dan pintu kayu unit No. 310-
1-8 berkunci. SP-3 lantas mengarahkan anggotanya untuk memecahkan
gril dan pintu kayu unit berkenaan.
4
[7] SP-3 dan anggota-anggotanya telah masuk ke unit tersebut setelah
pintu unit tersebut dipecahkan tetapi mendapati tiada sesiapa berada di
dalamnya.
[8] Pada masa yang sama, SP-7 yang berkawal di bahagian bawah
pangsapuri tersebut telah melihat perayu memanjat balkoni dari unit yang
diserbu lalu memanjat ke tingkat dua pangsapuri tersebut dan masuk ke
rumah No. 310-02-01. SP-7 terus menelefon SP-3 memaklumkan
perkara yang sama.
[9] SP-3 bersama-sama anggota-anggotanya terus ke tingkat 2,
menuju ke unit No. 310-02-01. Beliau mendapati unit tersebut berkunci.
Pada masa yang sama SP-3 sekali lagi menerima panggilan dari SP-7
yang menyatakan perayu telah memanjat balkoni unit tersebut lalu masuk
ke unit sebelah iaitu unit No. 310-02-02. SP-3 dan anggota-anggotanya
lantas bergegas ke unit berkenaan.
[10] Di dalam unit No. 310-02-02 tersebut, SP-3 telah menjumpai perayu
di belakang pintu tandas unit berkenaan. Perayu hanya berseluar jeans
warna biru tanpa berbaju. Kakinya juga didapati berdarah.
5
[11] Pemeriksaan ke atas seluar jeans yang dipakai oleh perayu
menjumpai kad akses yang tercatat no. unit 310-1-8. Perayu telah dibawa
kembali ke unit No. 310-1-8 oleh SP-3 untuk pemeriksaan lanjut.
[12] Pemeriksaan di bilik pertama unit No. 310-1-8 tersebut
menghasilkan penemuan satu kotak pertolongan cemas di atas meja
berhampiran katil yang mengandungi 2 paket plastik lut sinar yang dibalut
dengan aluminium foil. Ahli kimia, SP-9 (Kalaivaani a/p Balachandran),
mengesahkan kandungannya adalah 158.9 methamphetamine. Dadah
ini adalah hal perkara dalam pertuduhan pertama di bawah s.39B(1)(a),
ADB, 1952.
[13] Di atas meja yang sama SP-3 juga menjumpai paket-paket plastik
kecil kosong dan satu alat penimbang digital.
[14] Di atas katil di bilik tersebut pula SP-3 menjumpai sebuah beg
jenama ‘Playboy’ mengandungi kad pengenalan dan pasport perayu dan
satu sijil cuti sakit atas nama perayu.
6
[15] Pemeriksaan di bilik kedua unit tersebut menghasilkan penemuan
satu plastik lut sinar berisi ketulan-ketulan di atas almari yang
kemudiannya disahkan oleh SP-9 sebagai campuran 3.14 gram heroin
dan 1.80 gram monoacetylmorphines. Dadah ini adalah hal perkara
dalam pertuduhan kedua.
[16] SP-3 juga telah mengambil sehelai baju dan seluar jeans dari bilik
pertama tersebut dan didapati berpadanan dengan perayu setelah
diacupakai – sila lihat gambar-gambar eksibit P11(M, N, O) di m.s. 415,
416 dan eksibit P12(B, C, D, E, F) di m.s. 418, 419 dan 420, Jilid 4, RR.
[17] SP-3 juga telah menemui serangkai anak kunci di atas meja makan
di ruang tamu unit tersebut.
[18] Perayu dan barang-barang kes yang dirampas oleh SP-3 telah
diserahkan kepada pegawai penyiasat, SP-8 (Insp. Mohd Khairi b.
Mohamed Ali), untuk siasatan lanjut.
7
[19] Keterangan yang dibawa oleh pihak pendakwaan menunjukkan
bahawa unit No. 310-1-8 tersebut telah disewakan oleh pemiliknya, SP-4
(Chong Ghaik Yin) kepada SP-5 (Ahmad Faizal bin Ahmad Zahari)
melalui satu perjanjian tenansi yang ditandatangani oleh mereka pada
22.10.2012.
[20] Keterangan juga menunjukkan bahawa kurang dari satu bulan dari
tarikh perjanjian tersebut ditandatangani, SP-5 telah menyewakan unit
tersebut kepada perayu dan SP-5 tidak lagi tinggal di unit tersebut selepas
itu.
[21] Di akhir kes pendakwaan, pesuruhjaya kehakiman yang bijaksana
(selepas ini disebut sebagai ‘hakim bicara’) mendapati bahawa pihak
pendakwaan telah berjaya membuktikan perayu mempunyai milikan ke
atas 158.9 gram methamphetamine yang ditemui dalam bilik pertama unit
tersebut. Beliau juga mendapati bahawa anggapan undang-undang di
bawah s.37(da), ADB, 1952 adalah terpakai ke atas perayu iaitu perayu
dianggap telah mengedarkan dadah berkenaan sehingga dibuktikan
sebaliknya. Pada akhirnya beliau mendapati bahawa pihak pendakwaan
telah berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas perayu di atas
8
kesalahan di bawah s.39B(1)(a) tersebut. Dengan itu perayu telah
dipanggil untuk membela diri.
[22] Hakim bicara yang bijaksana juga mendapati bahawa pihak
pendakwaan telah berjaya membuktikan perayu mempunyai milikan ke
atas campuran 3.14 gram dadah heroin dan 1.80 gram dadah
monoacetylmorphines yang dijumpai di dalam bilik kedua unit tersebut.
Perayu telah dipanggil untuk membela diri di atas pertuduhan kedua
tersebut setelah hakim bicara berpuas hati bahawa satu kes prima facie
telah berjaya dibuktikan terhadap perayu.
Kes Pihak Pembelaan
[23] Dalam keterangan bersumpahnya perayu menyatakan pada
27.5.2013, ketika berada di unit No. 310-1-8 dia mendengar hentakan
kuat pada pintu unit tersebut dan seseorang menjerit perkataan ‘Polis’.
[24] Perayu merasa cemas dan takut lalu lari memanjat balkoni unit
tersebut dan naik ke tingkat atas dan masuk ke rumah kedua di tingkat
tersebut.
9
[25] Perayu menyatakan dia lari dari polis kerana menghadapi satu
tuduhan memiliki dadah di bawah s.12(2) ADB, 1952, di Mahkamah
Rendah Pulau Pinang dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap
dirinya. Perayu takut tertangkap dan tidak akan diberikan sebarang
jaminan lagi.
[26] Perayu seterusnya menyatakan dia ditangkap oleh polis di dalam
unit di tingkat atas di mana dia melarikan diri. Perayu kemudian telah
dibawa semula ke unit 310-1-8 di mana dadah berbahaya ditemui di
dalam kotak kecemasan dalam bilik pertama dan di atas almari dalam bilik
kedua unit tersebut.
[27] Perayu menyatakan bahawa kotak pertolongan cemas yang
mengandungi dadah tersebut adalah milik seorang perempuan bernama
Maria dan menyatakan bahawa dia tidak mengetahui siapa pemilik dadah
yang ditemui di atas almari di dalam bilik kedua tersebut.
[28] Perayu juga menyatakan dia tidak tahu siapa pemilik alat
penimbang digital dan plastik-plastik kosong di atas meja di dalam bilik
pertama tersebut.
10
[29] Perayu selanjutnya mendakwa dia tidak tinggal atau menyewa di
unit No. 310-1-8 tersebut. Sebaliknya Maria dan seorang lagi bernama
Zana dan anaknyalah yang sebenarnya tinggal di unit itu. Kawan-kawan
Maria dan Zana iaitu Sue dan Bee juga sering bertandang ke unit
berkenaan.
[30] Perayu tidak mengetahui nama sebenar Maria dan Zana manakala
nama sebenar Sue adalah Ng Ying Ngok. Perayu mengesahkan tidak
memaklumkan nama-nama Maria, Zana, Sue dan Bee dalam rakaman
percakapannya kepada polis. Dia hanya menyebut ‘kawan-kawan’
sahaja kepada pihak polis.
[31] Perayu juga mendakwa Sue dan Bee akan tinggal di unit tersebut
apabila dia pergi melancong ke Thailand.
[32] Perayu menyatakan kad akses untuk unit No. 310-1-8 tersebut
ditemui di dalam bilik pertama unit itu dan tidak dari seluar jeans yang dia
pakai ketika ditangkap di unit No. 310-02-02. Dan kad akses berkenaan
adalah kepunyaan Maria.
11
[33] Perayu turut menyatakan dia ada dibawa ke tempat parkir kereta di
mana sebuah kereta Wira berwarna biru diparkir di situ. Perayu
mendakwa kereta berkenaan adalah kepunyaan Maria.
[34] Menurut perayu semasa diserbu oleh pihak polis pada hari kejadian,
dia sedang berehat di atas katil di dalam bilik pertama. Maria dan Zana
juga ada di unit tersebut pada hari kejadian tetapi telah keluar terlebih
dahulu bersama kawan-kawannya sebelum pihak polis datang membuat
serbuan.
[35] Perayu menafikan memiliki dadah-dadah yang ditemui di bilik
pertama dan kedua unit No. 310-1-8 tersebut.
[36] SD-2 (Ahmad Tajudin bin Zain), yang bertugas sebagai Penolong
Pendaftar, Mahkamah Sesyen (Jenayah) Pulau Pinang, mengesahkan
melalui Nota Keterangan yang dikemukakan (eksibit D54, m.s. 480, Jilid
4, (RR)) bahawa perayu memang ada menghadapi satu pertuduhan di
bawah s.12(2), ADB, 1952, kerana memiliki 0.661 gram
methamphetamines di Mahkamah Rendah Pulau Pinang.
12
[37] Di akhir kes pembelaan, hakim bicara yang bijaksana telah
berpuashati bahawa pihak pembelaan telah gagal untuk menimbulkan
keraguan yang munasabah terhadap isu pemilikan dadah-dadah yang
ditemui di dalam bilik pertama dan kedua unit tersebut. Beliau juga
mendapati bagi pertuduhan pertama, pihak pembelaan juga telah gagal
untuk menyangkal anggapan pengedaran dadah tersebut yang terpakai
ke atasnya di atas imbangan kebarangkalian. Hakim bicara telah
mendapati perayu bersalah dan sabit di atas kedua-dua kesalahan yang
dipertuduhkan ke atasnya setelah berpuashati bahawa pihak
pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan yang
munasabah.
Alasan-alasan Rayuan
[38] Terkilan dengan keputusan-keputusan di atas, perayu telah
memfailkan rayuan ini beralaskan:
(i) bahawa hakim bicara gagal untuk menimbangkan bahawa
unit No. 310-1-8 tersebut boleh diakses oleh pihak lain;
(ii) bahawa kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil Ng
Ying Ngok, penama yang dibilkan dalam bil bekalan air, PBA
(eksibit P35) untuk memberi keterangan atau
13
menawarkannya kepada pihak pembelaan adalah fatal
kepada kes pendakwaan; dan
(iii) Adverse inference yang dibuat oleh hakim bicara yang
menggunapakai keterangan yang diambil dalam satu
perbicaraan yang lain telah memudaratkan kes pembelaan.
Keputusan Kami
Alasan Pertama – Unit No. 310-1-8 tersebut boleh diakses oleh pihak
lain
[39] Dihujahkan oleh peguam bela yang bijaksana bahawa pihak
pendakwaan telah gagal melepaskan bebanan untuk exclude akses ke
unit tersebut oleh pihak lain. Lantas diunjurkan bahawa unit tersebut
sememangnya diakses oleh pihak lain selain daripada perayu seperti
ditunjukkan dalam gambar P13(F) di m.s. 424, Jilid 4 RR, yang
menunjukkan kereta mainan berhampiran katil di bilik pertama; gambar-
gambar P13(J) dan (N) di m.s. 426 dan 428 Jilid yang sama yang
menunjukkan pakaian wanita bercorak leopard skin; gambar P13(N) di
m.s. 428 Jilid yang sama yang menunjukkan seluar jeans pelbagai gender
(bukan seluar jeans lelaki); dan gambar-gambar P13(M) dan (N) di m.s.
428, Jilid yang sama yang menunjukkan longgokkan pakaian di atas katil
tanpa dapat dipastikan sama ada pakaian tersebut adalah pakaian lelaki
14
atau perempuan. Seterusnya di bawah TV di gambar P13(G) m.s. 427,
Jilid yang sama pula menunjukkan alat permainan kanak-kanak.
[40] Dihujahkan seterusnya bahawa bilik pertama dan kedua unit
tersebut tidak berkunci dan dengan itu sesiapa pun boleh mengakses
kedua-dua bilik tersebut.
[41] Peguam bela yang bijaksana turut menghujahkan bahawa bil PBA
(eksibit P35) seperti ditunjukkan di m.s. 413, Jilid 4, RR dibilkan di atas
nama Ng Ying Ngok. Tidak ada pencerahan daripada pihak pendakwaan
gerangan siapa penama ini.
[42] Selanjutnya dihujahkan bahawa pembelaan yang mengunjurkan
penama-penama Maria, Zana dan anaknya yang dikatakan tinggal di unit
tersebut dan Sue dan Bee yang dikatakan sering bertandang ke unit
tersebut bukanlah figura rekaan dan pembelaan yang berteraskan
kepada kewujudan Maria dan Zana dan anaknya bukan pembelaan
afterthought.
15
[43] Juga dihujahkan bahawa perayu belum berkahwin dan kewujudan
kereta dan alat permainan serta pakaian wanita seperti dalam gambar-
gambar yang diperincikan di atas menyokong keterangan perayu bahawa
unit tersebut sebenarnya dihuni oleh Maria dan Zana dan anaknya serta
sering dikunjungi oleh Sue dan Bee. Maka hakim bicara yang bijaksana
terkhilaf apabila memutuskan pembelaan perayu adalah pembelaan
afterthought.
[44] Setelah menghalusi pembelaan perayu secara cermat, kami
mendapati teras (core) pembelaan perayu berkisar tentang dakwaannya
bahawa dia tidak tinggal di unit tersebut dan bahawa Maria dan Zana dan
anaknyalah yang sebenarnya tinggal di unit tersebut dan akses ke unit
tersebut oleh Sue dan Bee.
[45] Sungguhpun begitu, kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara
yang bijaksana yang mendapati watak-watak Maria, Zana dan anaknya,
Sue dan Bee tidak pernah ditimbulkan oleh perayu di peringkat
penyiasatan kes dan secara khususnya kepada SP-3, orang pertama
yang confront perayu dengan dadah yang ditemui dalam kedua-dua bilik
di unit tersebut. Lebih parah lagi penama-penama ini hanya ditimbulkan
16
di peringkat perbicaraan setelah bertahun-tahun kejadian itu berlaku, itu
pun hanya di ‘put’ kepada pegawai penyiasat (SP-8).
[46] Pendedahan tentang Maria, Zana, Sue dan Bee dan peranan yang
dimainkan oleh mereka yang didedahkan hanya di peringkat perbicaraan
kes yang berlangsung bertahun-tahun selepas perayu ditangkap
merupakan satu belated disclosure yang mencadangkan ia hasil nukilan
afterthought dan rekaan semata-mata.
[47] Kewujudan Maria dan kuncu-kuncunya dan peranan yang
dimainkan oleh mereka merupakan teras pembelaan perayu. Maka
sewajarnya pembelaan ini didedahkan seawal mungkin iaitu sebaik
sahaja dadah tersebut dijumpai oleh SP-3 dari dalam kedua-dua bilik
tersebut. Namun perayu gagal berbuat demikian. Maka ia
membangkitkan persoalan: apakah yang menghalang perayu untuk
memberitahu SP-3 bahawa dadah-dadah tersebut sebenarnya
kepunyaan Maria, selaras dengan pembelaannya?
17
[48] Kegagalan untuk memberi notis tentang Maria dan kuncu-kuncunya
seawal mungkin melalui SP-3 memberi kesan akan keberatan yang wajar
diberikan ke atas pembelaan yang berteraskan kepada peranan yang
dimainkan oleh Maria dan kuncu-kuncunya. Dalam kes PP v Badrulsham
bin Baharom (1988) 2 MLJ 585, Mahkamah berpendapat kegagalan
tertuduh untuk memaklumkan pegawai-pegawai serbuan bahawa beg
plastik warna putih yang berada dalam milikan tertuduh adalah
kepunyaan seorang lain (Noor Azlan) pada masa tertuduh ditangkap dan
hanya mendedahkan maklumat tersebut semasa disoal siasat 2 jam
selepas penangkapannya, adalah fatal dan fakta kegagalan ini jelas
menyokong kes pihak pendakwaan. Dapatan ini telah disetujui
sepenuhnya oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Teng Howe Sing v
PP (2009) 3 MLJ 46 di m.s. 62.
[49] Hakim bicara yang bijaksana turut menangani isu Maria dan kuncu-
kuncunya seperti berikut (di m.s. 29, 30, Jilid RR):
“[59] Tertuduh juga menegaskan bahawa Maria dan Zana yang tinggal di
rumah tersebut, selain kawan-kawan mereka iaitu Sue dan Bee.
Seterusnya tertuduh menyatakan kotak pertolongan cemas di mana
dadah berkenaan ditemui adalah milik Maria.
Selain dari tidak mengetahui nama penuh Maria dan Zana, tertuduh
mengesahkan tidak pernah memaklumkan kepada pihak polis berhubung
nama-nama Maria, Zana, Sue dan Bee ini termasuk ketika percakapan
tertuduh dirakamkan oleh pihak polis.
18
[60] Saya berpendapat, nama-nama Maria, Zana, Sue dan Bee ini amat
penting dalam kes pembelaan tertuduh dan sepatutnya reaksi pertama
tertuduh apabila disoalsiasat oleh polis adalah memaklumkan nama-nama
ini kepada pihak polis. Lebih-lebih lagi Maria dan Zana yang dikatakan
merupakan penghuni rumah 310-1-8 tersebut dan kotak pertolongan
kecemasan yang mengandungi dadah dikatakan adalah milik Maria. Ini
pastinya membolehkan pihak polis membuat siasatan yang terperinci
terhadap penama-penama yang disebut oleh tertuduh ini bagi
menentukan kebenaran pembelaan tertuduh.
[61] Walau bagaimanapun, perkara ini gagal dilakukan oleh tertuduh dan
kegagalan tertuduh memaklumkan nama-nama tersebut seawal mungkin
membolehkan mahkamah membuat kesimpulan bahawa versi pembelaan
berhubung penama-penama ini adalah ‘afterthought’ dan membolehkan
keterangan tersebut tidak diterima.
[62] Berhubung isu ini, Mahkamah Persekutuan dalam kes Teng Howe
Seng v PP [2009] 3 CLJ 733 di m.s. 750 menyatakan:
“Applying the principle in Badrulhisham’s case to the facts of the
instant case, the learned trial judge was correct to conclude that
the appellant had two opportunities to provide information about
‘Ho Seng’, i.e., at the time of his arrest and five days later during
recording of his cautioned statement but he failed to do so. We
are therefore of the view that in the circumstances, the
appellant’s failure to provide relevant information about ‘Ho
Seng’ for the police to carry out a thorough investigation into the
probability of his defence, entitled the learned trial judge to
disbelieve him”.
[50] Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan hakim bicara yang
bijaksana tersebut. Peguam bela yang bijaksana gagal untuk
menunjukkan di manakah khilafnya dapatan hakim bicara tersebut dari
segi fakta dan undang-undang untuk mencetuskan (to prompt) campur
tangan kami.
19
[51] SP-3 menyatakan barangan yang bercorak leopard skin dalam
gambar eksibit P13(J) dan (N) di m.s. 426 dan 428, Jilid 4, RR, bukanlah
pakaian wanita tetapi adalah sebuah bantal besar. Keterangan ini telah
disokong oleh SP-5. SP-3 turut menyatakan gambar eksibit P13(F) di
m.s. 424, Jilid yang sama bukanlah kereta mainan tetapi kereta hiasan
untuk menghias rumah. Demikian juga gambar eksibit P13(9) bukanlah
gambar mainan kanak-kanak tetapi barang hiasan rumah. Seterusnya
SP-3 menjelaskan keadaan bilik atau katil ketika diserbu tidaklah seperti
ditunjukkan dalam gambar-gambar P13(M) dan (N) di m.s. 428, Jilid 4,
RR. Menurutnya beliau telah melonggok pakaian-pakaian dan barang-
barang yang digeledah di atas katil tersebut untuk kemudahan
penggelidahannya dan beliau pasti tidak ada pakaian wanita dalam
longgokkan pakaian di atas katil tersebut.
[52] Tiada alasan untuk menolak keterangan SP-3 berkaitan dengan isu-
isu ini lantaran secara keseluruhannya kredibiliti SP-3 tidak pernah
menjadi isu pertikaian. Keterangan SP-3 juga bukan sesuatu yang
inherently incredible yang mewajarkan penerimaan keterangannya.
20
[53] Hakim bicara yang bijaksana sendiri menyatakan bahawa beliau
telah meneliti keterangan dan demeanour saksi-saksi pendakwaan dan
mendapati mereka adalah saksi-saksi yang boleh dipercayai; tidak ada
alasan untuk saksi-saksi tersebut mengada-adakan cerita bagi
menganiayai perayu; dan keterangan saksi tersebut bukanlah sesuatu
yang inherently incredible dan oleh itu wajar diterima (lihat Alasan
Penghakiman di m.s. 19, Jilid 1, RR). Dapatan ini adalah dapatan fakta
hakim bicara di mana inti patinya adalah sesuatu yang sememangnya
dalam bidang kuasa asas hakim bicara untuk memutuskannya kerana
beliau telah melihat dan mendengar sendiri saksi-saksi tersebut memberi
keterangan di hadapannya. Dengan itu dapatan ini wajar diberi the
greatest of respect and weight dan tidak sewenang-wenangnya
diketepikan tanpa kewajaran yang kukuh.
[54] Jika pun wujud pakaian wanita dan alat-alat permainan kanak-
kanak seperti didakwa oleh peguam bela yang bijaksana, isu ini wajar
dilihat/diputuskan dengan mengambil kira keseluruhan hal ehwal
keadaan keseluruhan kes ini. Fakta-fakta dan keterangan yang tidak
dipertikaikan (uncontroverted) menunjukkan bahawa unit tersebut adalah
milik SP-4 yang telah menyewakannya kepada SP-5 melalui satu
perjanjian tenansi; SP-5 kemudian telah menyewakan unit tersebut
21
kepada perayu; selepas itu SP-5 tidak lagi tinggal di unit tersebut; perayu
berada di atas katil dalam bilik pertama unit tersebut ketika polis
menyerbu unit tersebut; tidak ada orang lain dalam unit tersebut ketika
polis membuat serbuan; perayu telah melarikan diri apabila unit tersebut
diserbu polis; perayu ditangkap di sebuah unit di tingkat atas di sebalik
pintu tandas; dan watak-watak Maria dan kuncu-kuncunya hanya
ditimbulkan di peringkat perbicaraan kes bertahun-tahun selepas
kejadian.
[55] Dengan mengambil panduan kes Siew Yoke Keong v PP [2013] 4
CLJ 149, yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan (yang turut
dirujuk oleh hakim bicara yang bijaksana), dalam keadaan seperti ini,
persoalan terpenting ialah sama ada perayu adalah so situated dengan
dadah-dadah yang dijumpai dalam bilik pertama dan kedua tersebut that
he had the power to deal with the drugs as owner to the exclusion of all
other persons, and when the circumstances are such that he may be
presumed to intend to do so in case of need. Perkara ini adalah persoalan
fakta yang hanya boleh dibuktikan melalui inferens dari keseluruhan hal
ehwal keadaan yang menyelubungi kes ini.
22
[56] Berdasarkan kepada keseluruhan fakta-fakta yang menyelubungi
keseluruhan kes ini dan keterangan yang tidak dipertikaikan seperti
diperincikan dalam para 54 di atas, pada hemat kami adalah selamat
untuk membuat inferens bahawa perayu mampu atau boleh berurusan
(deal) dengan dadah-dadah tersebut seolah-olah dadah-dadah tersebut
adalah kepunyaannya dan dia bermaksud untuk berurusan dengan
dadah-dadah tersebut seolah-olah dadah tersebut adalah kepunyaannya
sekiranya keadaan memerlukan dia berbuat atau bertindak sedemikian.
[57] Seterusnya tindakan perayu melarikan diri dengan memanjat
balkoni ke tingkat 2 tanpa menghiraukan keselamatan dirinya
menunjukkan perayu amat terdesak untuk melarikan diri apabila diserbu
oleh pihak polis dan inferens munasabah yang boleh dirumuskan dari
fakta ini ialah bahawa perayu mempunyai milikan dan pengetahuan
mengenai dadah-dadah di dalam unit berkenaan. Dalih perayu melarikan
diri kerana ada waran tangkap dikeluarkan ke atasnya dalam satu kes
dadah yang dihadapinya di Mahkamah Rendah Pulau Pinang nyata tidak
berasas apabila Nota Keterangan prosiding kes tersebut (eksibit D54 m.s.
480, Jilid 4, RR) yang dikemukakan melalui SD-2 tidak menunjukkan
adanya waran tangkap dikeluarkan ke atas perayu.
23
[58] Keputusan yang relevan dalam kes Siew Yoke Keong v PP (supra)
yang dirujuk oleh hakim bicara yang bijaksana adalah para 35
penghakiman kes tersebut seperti berikut:
“[35] So, in our judgment in the circumstances of this case, the presence
of the ladies clothing (two female upper garments and two pairs of female
jeans) along with male clothing in the third room of the first house does not
mean that no possession was established against Siew. The crucial
question is whether Siew was so situated with respect to the proscribed
drugs found in the second and third rooms of the first house that he had
the power to deal with the drugs as owner to the exclusion of all other
persons, and when the circumstances are such that he may be presumed
to intend to do so in case of need. In other words Siew must be so situated
that he can deal with the proscribed drugs as if it belonged to him, and it
must be shown that he had the intention of dealing with it as if it belonged
to him should he see any occasion to do so (he had animus possidendi).
Invariably this is a fact which can only be proved by inference from the
surrounding circumstances of this case. It must be clear from the
circumstances in which the proscribed drugs were found, that Siew had
the intention of dealing with the drugs as if they belonged to him. The list
of such possible circumstances is not exhaustive.”
[59] Setelah mengambilkira keseluruhan keadaan kes, hakim bicara
telah membuat inferens berikut (di para 43, m.s. 22, Alasan Penghakiman,
Jilid 1, RR):
“[43] Oleh itu, memandangkan inferen munasabah yang boleh dibuat
dari keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah
dadah-dadah berkenaan terletak di tempat di mana tertuduh mempunyai
kuasa untuk berurusan mengenainya sebagai pemilik tanpa penglibatan
orang lain dan tertuduh diandaikan akan melakukannya dalam keadaan
yang memerlukan.”
24
[60] Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan di atas. Hakim bicara
yang bijaksana tidak melakukan sebarang kekhilafan apabila beliau
merumuskan inferens di atas setelah mengambilkira keseluruhan fakta-
fakta dan keterangan yang dibentangkan di hadapannya.
Alasan Kedua – Kegagalan Pihak Pendakwaan Untuk Memanggil Ng
Ying Ngok Memberi keterangan atau Menawarkannya Kepada Pihak
Pembelaan
[61] Peguam bela yang bijaksana menghujahkan bahawa bil PBA
(eksibit P35, di m.s. 413, Jilid 4, RR) yang dijumpai di dalam unit tersebut
dan membawa alamat yang sama dengan unit tersebut dibilkan atas
nama Ng Ying Ngok. Dihujahkan Ng Ying Ngok berada di unit tersebut
dan dialah orang yang membuka kunci unit tersebut ketika pegawai
penyiasat, SP-8, menyiasat unit tersebut.
[62] Peguam bela yang bijaksana menyatakan bahawa Ng Ying Ngok
tidak dipanggil untuk memberi keterangan dan tidak juga ditawarkan
kepada pihak pembelaan. Dihujahkan seterusnya bahawa kegagalan ini
telah menimbulkan kelompangan dalam kes pihak pendakwaan.
25
[63] Hakim bicara yang bijaksana telah menangani isu ini di para 46 m.s.
23, Alasan Penghakiman, Jilid 1, RR, di mana beliau menyatakan:
“[46] Berhubung dengan isu penama Ng Yik Ngok yang tidak
dipanggil memberi keterangan atau ditawarkan kepada pihak
pembelaan, saya mendapati Ng Yik Ngok yang namanya tercatat
pada bil air rumah berkenaan bukanlah saksi yang material kepada
pihak pendakwaan. Ketiadaan saksi ini tidak menjejaskan
keterangan pihak pendakwaan bahawa tertuduh mempunyai milikan
terhadap dadah-dadah yang ditemui di rumah tersebut. Oleh itu saya
berpendapat tiada kelompangan berlaku dalam kes pendakwaan
tanpa keterangan saksi ini.”
[64] Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan di atas. Ini kerana SP-
4, tuan punya unit tersebut menyatakan beliau telah membeli unit tersebut
melalui lelongan awam dalam tahun 2009. Beliau tidak mengetahui siapa
Ng Ying Ngok. SP-5 pula mengesahkan beliau telah menyewa unit
tersebut daripada SP-4 melalui satu perjanjian tenansi dan kira-kira
kurang satu bulan dari tarikh kejadian beliau telah menyewakan unit
tersebut kepada perayu. Selepas itu beliau tidak lagi tinggal di unit
tersebut. Keterangan SP-5 ini tidak dipertikaikan oleh perayu. Dan
semasa unit tersebut diserbu, hanya perayu yang tinggal di unit tersebut.
Seterusnya sepasang pakaian yang diambil dari unit tersebut berpadanan
dengan susuk tubuh perayu apabila di acu pakai. Jelas tidak wujud
sebarang kelompangan dalam naratif kes pendakwaan. Dadah-dadah
tersebut dijumpai dalam unit yang disewakan kepada perayu dan semasa
26
serbuan, perayu sememangnya berada di unit tersebut. Perayu pula tidak
memberikan sebarang penjelasan kenapa dia berada di unit tersebut
pada ketika itu dan apa yang dia buat di unit tersebut, mengambilkira
pembelaannya yang menafikan dia tinggal di unit tersebut.
[65] Seterusnya SP-8 menyatakan ketika menyiasat unit tersebut, pintu
unit telah dibuka oleh tuan punya unit iaitu SP-4 dan bukan oleh Ng Ying
Ngok.
[66] Kami mendapati tidak ada sebab untuk meragui keterangan SP-8 di
atas. Lebih-lebih lagi apabila perayu menyatakan nama sebenar Sue,
salah seorang rakan Maria yang dikatakan sering bertandang ke unit
tersebut, adalah Ng Ying Ngok. Namun begitu, seperti diketahui, penama
Sue @ Ng Ying Ngok tidak pernah didedahkan oleh perayu kepada SP-8
pada bila-bila masa semasa siasatan sedang dijalankan. Namanya
ditimbulkan hanya bertahun-tahun kemudian semasa kes sedang
dibicarakan. Ini telah menafikan ruang kepada SP-8 untuk menyiasat
penama Sue @ Ng Ying Ngok.
27
[67] Mengambilkira keseluruhan keadaan yang menyelubungi kes ini,
kegagalan pihak pendakwaan untuk mengesan Ng Ying Ngok dan
memanggil beliau untuk memberi keterangan atau menawarkannya
kepada pihak pembelaan tidak sama sekali mewujudkan kelompangan
dalam keseluruhan naratif kes pendakwaan. Kami mendapati isu ini tidak
mempunyai sebarang merit.
Alasan Ketiga – Adverse Inference yang dibuat oleh hakim bicara
dengan mengguna pakai keterangan yang diambil dalam satu
perbicaraan yang lain telah memudaratkan kes pembelaan
[68] Peguam bela yang bijaksana telah membawa perhatian kami
kepada para 70, Alasan Penghakiman, m.s. 32, Jilid 1 RR seperti berikut:
“….Walaupun tertuduh pernah dituduh dengan kesalahan dadah
sebelum ini, tetapi perbuatan tidak mempedulikan barang-barang
berkaitan penjualan dadah tersebut membolehkan inferen dibuat
bahawa dadah yang ditemui atas meja adalah milik tertuduh.”
[69] Dihujahkan seterusnya bahawa hakim bicara yang bijaksana telah
terkhilaf dari 3 sudut pertimbangan:
(a) tentang perayu ‘tidak mempedulikan’ barang-barang berkaitan
penjualan dadah tersebut;
28
(b) tentang perayu pernah dituduh dengan kesalahan dadah
sebelum ini maka dia sepatutnya tahu barang-barang tersebut
adalah barang-barang berkaitan dengan dadah (drug
apparels); dan
(c) tentang penemuan fakta barang-barang tersebut adalah
barang-barang berkaitan dadah.
[70] Berkaitan dengan isu (a) dihujahkan oleh kerana perayu ‘tidak
mempedulikan’ barang-barang tersebut, maka inferens yang memihak
kepada perayu yang sepatutnya diambil oleh Mahkamah adalah beliau
tidak mengetahui dadah tersebut dan tidak ‘exercise care or dominion or
deal with it if he wanted to’.
[71] Berkaitan dengan isu (b) dan (c), dihujahkan hakim bicara telah
membuat penemuan dan inferens yang salah terhadap perayu kerana
SP-3 dan SP-8 atau mana-mana saksi pendakwaan tidak menyatakan
bahawa alat penimbang digital tersebut dan plastik-plastik kosong
tersebut adalah barang-barang berkaitan penjualan dadah. Tanpa
keterangan saksi, mahkamah tidak berhak untuk membuat inferens yang
29
sebegitu. Turut dihujahkan bahawa hakim bicara yang bijaksana telah
menggunakan fakta bahawa perayu pernah dituduh di bawah kesalahan
dadah maka dengan itu dia tahu barang-barang tersebut adalah berkaitan
dadah atau pun tahu tentang dadah tersebut.
[72] Pada hemat kami dapatan hakim bicara yang bijaksana seperti
dipetik oleh peguam bela di atas adalah dapatan sampingan, mirip
kepada verbosity. Tanpa dapatan tersebut pun ia tidak menjejaskan
dapatan asas bahawa dadah-dadah tersebut memang dalam milikan
perayu. Tambahan pula perayu tidak mengemukakan apa-apa
keterangan untuk menyangkal anggapan mengedar dadah-dadah
tersebut di bawah s.37(da), ADB, 1952, yang terpakai ke atasnya.
Perayu, dalam pembelaannya hanya menafikan mempunyai milikan ke
atas dadah-dadah tersebut. Namun pada hemat kami, keterangan untuk
mengaitkan pemilikan dadah-dadah tersebut dengan perayu adalah
overwhelming dan tidak terjejas dengan verbosity tersebut.
30
Kesimpulan
[73] Kami menolak rayuan perayu berdasarkan kepada alasan-alasan
yang diperincikan di atas. Kami mendapati kedua-dua sabitan dan
hukuman yang dijatuhkan ke atas perayu adalah selamat. Dengan itu
kami mengesahkan dan mengekalkan sabitan-sabitan dan hukuman-
hukuman yang dijatuhi ke atas perayu oleh Mahkamah Tinggi.
BERTARIKH: 5hb. Julai, 2017
( AHMADI HAJI ASNAWI )
Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia
Peguambela Perayu:
Jason Khor & JH Sheng
Tetuan Jit Sheng & Co.
Peguambela Responden:
Puan Dhiya Syazwani Izyan Bt. Mohd. Akhir
Timbalan Pendakwa Raya
Jabatan Peguam Negara
Top Related