1.0 KONSEP BUDAYA, MASYARAKAT DAN KEBUDAYAAN MELAYU
Istilah budaya sering dikaitkan dengan sesebuah masyarakat. Hal ini terjadi kerana
kebudayaan akan berkembang selaras dengan kemajuan masyarakat. Menurut Nik Safiah
Haji Abdul Karim (1963), perkataan budaya berasal daripada cantuman perkataan Sanskrit
dan Melayu, iaitu 'budhi' dan 'daya’. Perkataan 'budhi' yang dipinjam daripada bahasa
Sanskrit bermaksud kecergasan fikiran dan akal. Perkataan 'daya' pula ialah perkataan
Melayu Polinesia yang bermakna kekuatan kuasa, tenaga dan pengaruh. Jika dicantumkan
kedua-dua perkataan tersebut, budaya membawa maksud tenaga fikiran, usaha rohani atau
kuasa menggerakkan jiwa.
Seterusnya, definisi budaya menurut Kamus Dewan (2005), pula adalah kemajuan
fikiran, akal budi atau cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Tegasnya, budaya boleh
didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi
sistem sosial, susunan organisasi ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap
dan nilai.
Sebagai tambahan, pengertian masyarakat pula boleh dilihat dari berbagai-bagai
sudut. Dalam penggunaan harian, masyarakat merupakan kelompok individu. Pengertian
bahasa secara umum pula ialah satu kesatuan kelompok manusia yang mempunyai interaksi
dalam sistem hidup yang tertentu. Menurut Sabree Hussien (2009), masyarakat membawa
maksud kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara
tertentu. Individu, keluarga dan kumpulan-kumpulan kecil merupakan anggota sesebuah
masyarakat.
Vatoni LV (2012) pulamenyatakan kebudayaan sangat erat hubungannya dengan
masyarakat. Menurutnya lagi, segala sesuatu yang terdapat dalam masyarakat ditentukan
oleh kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Menurut Edward Burnett Tylor,
kebudayaan merupakan keseluruhan yang kompleks, yang di dalamnya terkandung
pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat, dan kemampuan-
kemampuan lain yang didapat seseorang sebagai anggota masyarakat.
Kesimpulannya, masyarakat merupakan elemen penting dalam perkembangan
sesuatu kebudayaan. Malah, kejayaan dan tamadun sesebuah masyarakat dapat dinilai
melalui kebudayaan yang menjadi amalan mereka. Oleh yang demikian, pentingnya usaha
menjaga kebudayaan sendiri demi pandangan masyarakat lain sentiasa dalam keadaan
baik, khususnya aspek politik, ekonomi dan sosial. Jika tidak, maka adalah penilaian yang
bakal dijadikan streotaip, sindiran dan prejudis yang bakal menyebabkan adanya masalah-
masalah yang tidak dijangka. Maka, lebih baik mengamalkan budaya yang baik agar menjadi
salah satu masyarakat yang disegani dan contoh kepada budaya yang lain.
1
1.1 Konsep Budaya, Masyarakat dan Kebudayaan Melayu dalam Sudut Politik.
Dalam satu laman sesawang yang ditulis oleh Arif Hertanto, beliau telah menulis pendapat-
pendapat daripada beberapa orang tokoh tentang definisi budaya dalam aspek
politik. Menurut Almond dan Verba, budaya dalam sudut politik merupakan sikap tertentu
daripada warga negara terhadap sistem politik. Manakala, Samuel Beer pula mentafsirkan
budaya dalam sudut politik sebagai nilai-nilai keyakinan dan sikap-sikap emosi tentang
bagaimana pemerintahan seharusnya dilaksanakan dan tentang apa yang harus
dilaksanakan oleh pemerintah. Seterusnya, Rusardi Kantaprawira pula mendefinisikan
budaya politik sebagai persepsi manusia, pola sikapnya terhadap berbagai-bagai masalah
politik dan peristiwa politik ke dalam pembentukan struktur dan proses kegiatan politik
masyarakat mahupun pemerintahan.
Di Malaysia, budaya dalam sudut politik dapat dilihat dari aspek pemerintahan dan
pentadbiran yang dijalankan di negara ini. Di negara kita dapat lihat kepelbagaian politik
yang merangkumi pelbagai kaum. Pluralisme masyarakat di Malaysia menjadikan negara
kita mempunyai pelbagai bentuk dan corak acuan parti politik yang dipimpin mengikut
pelbagai kaum. Namun hal ini masih di dalam kawalan kerana masyarakat di Malaysia masih
mempunya nilai-nilai patriotisme, hormat menghormati, serta menghargai antara satu sama
lain. Walau bagaimanapun, pengaruh penjajah sebelum ini telah menyebabkan kita
mengamalkan pemerintahan dan pentadbiran demokrasi.
1.2 Konsep Budaya, Masyarakat dan Kebudayaan Melayu dalam Sudut Sosial.
Dalam kebudayaan melayu, terdapat pelbagai aspek yang boleh dikaitkan dengan sudut
sosial. Antaranya ialah agama dan kepercayaan. Orang Melayu hampir keseluruhannya
beragama Islam. Namun demikian, sisa-sisa unsur agama Hindu dan animisme masih dapat
dilihat dalam sistem kepercayaan mereka. Islam tidak dapat menghapuskan seluruh unsur
kepercayaan tersebut. Selain itu, sudut sosial dalam kebudayaan melayu juga dapat dilihat
dalam amalan adat istiadat. Adat istiadat Melayu banyak memperlihatkan campuran unsur
tempatan dan unsur pengaruh luar selaras dengan kedatangan pengaruh Hindu, Islam, dan
Barat ke Alam Melayu pada suatu masa dahulu.
Sebagai tambahan, dalam pemerintahan Malaysia, unsur-unsur adat yang tidak
bertentangan dengan ajaran Islam adalah dibenarkan untuk diamalkan. Melalui “principle of
co-existence”, orang Melayu dapat menyesuaikan adat dan agama secara harmonis,
walaupun ada aspek-aspek tertentu yang bertentangan tapi terus diamalkan. Sistem
kekeluargaan dan perkawinan juga boleh dikategorikan dalam aspek sosial bagi kebudayaan
Melayu. Dari segi kekeluargaan, masyarakat Melayu dibagikan kepada dua kelompok.
Kelompok pertama ialah kelompok yang mengamalkan sistem kekeluargaan dwisisi
2
(bilateral) dan kelompok kedua ialah kelompok yang mengamalkan sistem kekeluargaan
nasab ibu (matrilineal system). Tetapi disebabkan kedua-dua kelompok tersebut menganut
agama Islam, maka sistem kekeluargaan Melayu itu banyak dipengaruhi oleh sistem
kekeluargaan Islam.
Seterusnya, kebudayaan Melayu juga boleh dilihat dari sudut kesenian. Dalam
masyarakat Melayu, seni dapat dibahagikan kepada beberapa aspek iaitu seni persembahan
seperti tarian, nyanyian, persembahan pentas seperti makyong, wayang kulit, ghazal,
hadrah, dan kuda kepang serta seni tampak seperti seni ukir, seni bina, seni hias,
pertukangan tangan, tenunan, anyaman dan lain-lain. Permainan tradisi seperti gasing, wau,
congkak juga termasuk dalam kategori seni persembahan. Kegiatan seni Melayu mempunyai
identiti tersendiri yang juga memperlihatkan gabungan berbagai-bagai unsur tempatan dan
unsur luar.
1.3 Konsep Budaya, Masyarakat dan Kebudayaan Melayu dalam Sudut Ekonomi.
Ekonomi adalah satu bidang ilmu sains sosial yang mengkaji tentang individu dan
masyarakat dalam membuat pilihan yang cekap bagi menggunakan sumber ekonomi yang
terhad seperti tanah, buruh, modal dan usahawan dengan kehendak manusia yang tidak
terhad.
Di Malaysia, sistem ekonomi terbahagi kepada dua iaitu sistem ekonomi kapitalis dan
sistem ekonomi Islam. Sistem ekonomi Islam mula diperkenalkan secara menyeluruh pada
tahun 1983 dengan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Kini sistem ekonomi
yang berteraskan Islam ini mula mendapat perhatian masyarakat. Buktinya, terdapat
pelbagai produk kewangan telah diperkenalkan antaranya ialah takaful, al-Wadiah,
Mudharabah dan ar-Rahnu.
Selain itu, budaya Melayu dari sudut ekonomi di Malaysia juga boleh dilihat
berdasarkan aktiviti yang dijalankan oleh masyarakat Melayu di negara ini. Bagi orang
Melayu yang tinggal di desa, majoritinya menjalankan aktiviti pertanian dan menangkap ikan.
Orang Melayu yang tinggal di kota pula kebanyakannya bekerja di sektor perindustrian,
perdagangan, pengangkutan, dan lain-lain. Kesimpulannya,ekonomi bangsa Melayu masih
di tahap yang rendah jika dibandingkan dengan penguasaan ekonomi oleh penduduk bukan
Melayu, terutamanya orang Cina. Tetapi kini telah ramai orang Melayu yang telah berjaya
dalam bidang perniagaan dan menjadi ahli korporat. Selain itu juga, ramai orang Melayu
yang mempunyai pendidikan yang tinggi, sama ada universiti di dalam mahu pun di luar
negara. Dengan adanya pendidikan yang tinggi maka senanglah untuk menguasai ekonomi
yang baik.
3
2.0 PENGENALAN PERIBAHASA
Orang Melayu memang terkenal dengan kehalusan budi dan kelembutan berbahasa.
Sesuatu hajat, hasrat dan permintaan tidak dinyatakan secara terus terang tetapi lebih manis
kalau diungkapkan secara berkias dan beribarat. Budaya Melayu yang telah diwarisi sejak
zaman berzaman jelas memancarkan kelembutan bahasa dan kelunakan pengucapan.
Kelembutan pengucapan dan kehalusan berbahasa ini dipertahankan generasi demi
generasi melalui apa yang dianggap sebagai kelompok kata atau ayat yang mempunyai
susunan dan bentuk yang tetap dan mendukung maksud yang tertentu. Jenis yang lazim
terpakai di kalangan masyarakat ialah peribahasa, pepatah, bidalan, perumpamaan, kiasan
dan simpulan.
Peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan
mengandungi pengertian yang tertentu, sama ada secara tersurat atau tersirat. Simpulan
Bahasa ialah ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan
mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan-perkataan
tersebut. Pepatah ialah ungkapan-ungkapan yang berasal usul daripada pusaka adat resam.
Makna ungkapan itu tidak akan berubah-ubah. Bidalan ialah peribahasa yang berfungsi
sebagai penasihat yang didalamnya terkandung unsur nasihat. Perumpamaan ialah
perbandingan makna yang sangat jelas kerana ia didahului oleh perkataan seolah-olah,
ibarat, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan umpama.
Pada hari ini, dalam dunia tanpa sempadan peribahasa masih merupakan salah satu
keistimewaan bangsa Melayu. Keistimewaan itu hadir kerana kekayaan bahasa Melayu yang
digunakan kaya dengan pelbagai bentuk peribahasa di dalamnya. Bentuk-bentuk ini sangat
aktif digunakan dalam kehidupan sehari-harian. Seperti zaman dahulu, peribahasa masih
lagi digunakan dengan tujuan mengajar, mendidik, menyindir serta menegur seseorang
ataupun masyarakat. Pada zaman ini pula, terdapat beberapa orang ahli bahasa yang giat
mengkaji semula peribahasa-peribahasa lama kerana nilai-nilai tersebut. Justeru, nilai
estetika yang amat tinggi menyebabkan penggunaan peribahasa masih dapat dipertahankan
hingga ke kini.
Sehubungan dengan itu, kajian terhadap peribahasa yang mempunyai kaitan dengan
aspek kebudayaan Melayu seperti politik, ekonomi dan sosial seharusnya dipertingkatkan
lagi agar dapat memahami maklumat yang ingin disampaikan pada masa dahulu.
Seterusnya, langkah ini juga membolehkan kita mengetahui ciri dan kebudayaan masyarakat
Melayu pada zaman dahulu seterusnya membuat keputusan agar menjadikan amalan bagi
kebudayaan yang baik manakala yang buruk pula dijadikan sebagai pengajaran.
4
3.0 Penjelasan Peribahasa terhadap World View Masyarakat Melayu
Politik
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, politik boleh ditakrifkan sebagai ilmu (pengetahuan)
dan bukannya cara pemerintahan ( dasar-dasar pemerintahan), ilmu siasah dan kenegaraan.
Ini bermakna, politik bukan hanya tertumpu kepada aspek pemerintahan tetapi berfokus
kepada aspek ilmu pengetahuan yang mengandungi tentang ilmu pemerintahan dan cara
mentadbir sesuatu tempat atau kawasan. Oleh yang demikian, cara pemerintahan itu sudah
tentu mengandungi mengenai ilmu siasah dan tatacara kenegaraan. Dengan ilmu
pengetahuan seperti ini, maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang dipimpin
menggunakan ilmu yang selayaknya dengan mengamalkan kebudayaan yang boleh
dikagumi. Secara tidak langsung, hal ini akan membuatkan sesebuah masyarakat menjadi
contoh tauladan kepada budaya masyarakat lain.
Sebagai tambahan, perkembangan kebudayaan sesebuah masyarakat sebenarnya
boleh dinilai melalui hasil seni yang terkandung dalam masyarakat tersebut. Hal ini
bermaksud, kebudayaan dapat dilihat melalui aspek seperti tarian, lukisan dan tulisan. Salah
satu aspek yang berkaitan dengan hasil seni tulisan ialah peribahasa. Secara umumnya,
peribahasa yang dicipta mempunyai perkaitan dengan aspek yang tertentu. Selain itu,
peribahasa juga kadang kala dicipta dengan tujuan untuk memberi sindiran, pujian dan
sebagainya. Oleh itu, sudah tentu terdapat beberapa peribahasa yang berkaitan dengan
politik masyarakat Melayu. Hal ini dapat dibuktikan melalui contoh-contoh peribahasa yang
akan dinyatakan nanti.
Peribahasa yang pertama yang berkaitan dengan aspek politik ialah ‘seperti langau
di ekor gajah’. Peribahasa ini bermaksud orang kecil atau penakut itu akan menurut sahaja
kemahuan atau kehendak orang yang lebih besar atau berani daripadanya. Hal ini bermakna
orang yang berkerja di bawah orang ‘besar’ akan mengikut ke mana sahaja seseorang itu
pergi. Perkataan ‘langau’ ialah sejenis lalat yang berwarna hijau yang berdengung-dengung
bunyinya. Langau dalam peribahasa pula menerangkan seekor lalat hanya mengikut sahaja
apabila berada di ekor gajah.
Pada pendapat saya, peribahasa ini adalah releven kerana ada sesetengah
pemimpin yang asyik berdamping dengan orang atasan yakni orang yang mempunyai lebih
banyak kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Contohnya, pihak A adalah pekerja manakala
pihak B adalah majikan atau ketua. Pihak A akan membodek pihak B untuk kenaikan
pangkat dan mendapat projek demi mendapatkan kehidupan yang lebih baik.
5
Seterusnya, peribahasa yang berkaitan dengan politik ialah ‘bagai anjing buruk
kepala’. Peribahasa ini bermaksud orang yang selalu menjadi kebencian masyarakat.
Peribahasa ini menepati keadaan politik negara kita yang ditadbir oleh segolongan individu
yang tidak disukai oleh masyarakat. Sebenarnya, tindakan masyarakat tidak menyukai
pemimpin yang mentadbir negara itu sebenarnya suatu sikap yang tidak baik untuk
diamalkan. Namun, sejak kebelakangan ini, perkara seperti ini sudah banyak kali terjadi
sehinggakan ada yang meyebabkan berlakunya perhimpunan haram, pertunjukkan perasaan
dan sebagainya. Secara tidak langsung, hal ini boleh memperlihatkan keadaan politik yang
diamalkan oleh negera kita sudah berada di tahap yang sungguh runcing.
Walau bagaimanapun, sesuatu perkara yang terjadi biasanya disebabkan oleh
beberapa perkara yang tertentu. Masyarakat tidak akan memandang serong terhadap
pemimpin jika tidak disebabkan hal-hal yang tertentu. Selain itu, sesebuah perhimpunan
haram dan pertunjukkan perasaan tidak akan berlaku jika masyarakat yang ditadbir
mempunyai tahap kesedaraan dan daya hormat kepada pemimpin dengan nilai yang tinggi.
Oleh yang demikian, bagi menyelesaikan isu politik negara kita yang sudah semakin
merisaukan, alangkah baiknya jika negara kita dipimpin dengan parti politik yang saling
berganding bahu demi melahirkan pentadbiran yang boleh dikagumi dan disanjungi oleh
pelbagai kaum dalam masyarakat kita. Jika kepelbagaian politik masih wujud dengan hanya
menumpukan aspek perbezaan setiap parti tersebut, sudah tentu akan lahirnya perasaan
ingin menandingi seterusnya akan menyebabkan pelbagai lagi masalah yang tidak dijangka.
Sebagai tambahan, peribahasa ketiga yang berkaitan dengan sistem politik negara
kita ialah ‘bagaimana bunyi gendang begitulah tarinya’. Maksud peribahasa ini adalah
tindakan yang dilakukan harus menurut aturan dan arahan. Ini bermakna, sistem politik
negara kita mempunyai orang atasan yang perlu dipatuhi arahannya. Segala tindakan dan
perbuatan yang dilakukan seharusnya berpaksikan kepada arahan dan permintaan ketua.
Jika tindakan yang dilakukan bertentangan dengan arahan ketua, sudah tentu hal yang
sebaliknya akan berlaku. Hal ini amat penting difahami oleh para pekerja memandangkan
seorang ketua tahu strategi dan hala tuju yang ingin dicapai oleh kerajaannya. Secara tidak
langsung, hal ini akan menyebabkan tahap pencapaian sesuatu masyarakat dan akan
mencorakkan kebudayaan yang akan menjadi amalan.
Kesimpulannya, peribahasa yang berkaitan dengan sistem politik sebenarnya
terdapat pelbagai jenis. Peribahasa ini dicipta sejak dahulu lagi dan masih diamalkan
sehingga sekarang. Secara tidak langsung, peribahasa ini membolehkan kita mengetahui
amalan politik yang diamalkan oleh masyarakat seterusnya memberi panduan kepada pihak
pentdbir untuk melakukan perubahan atau sebaliknya demi kebaikan politik negara.
6
Sosial
Perkataaan ‘sosial’ ditakrifkan segala hal yang berkaitan dengan masyarakat, faham
atau ajaran yang bertujuan mebangunkan masyarakat secara damai untuk mencapai
masyarakat sosialis. Ini bermakna, terdapatnya ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan
cara hendak membangunkan masyarakat secara terperinci dan maju ke hadapan. Biasanya,
individu yang hidup dalam kelompok manusia di sesebuah kawasan atau tempat itulah yang
dinamakan masyarakat. Selain itu, cara hendak mengenali masyarakat ialah kelompok
manusia yang mengamalkan budaya yang sama sehinggakan boleh dikesan budaya yang
diamalkannya itu.
Secara umumnya, terdapat pelbagai jenis peribahasa yang terkandung dalam
bahasa Melayu. Malah, pasti akan ada peribahasa yang berkaitan dengan aspek sosial.
Contoh peribahasa yang pertama ialah ‘banyak lemak’, yang bermaksud seseorang yang
dimanja-manjakan dan sesuatu tindakan seseorang yang melampaui batas. Perkataan
‘lemak’ membawa maksud terdiri daripada tubuh-tumbuhan, sejenis tisu dan juga pelakuan.
Berdasarkan perkataan ‘lemak’ dalam ayat menjelaskan apabila terdapatnya banyak lemak,
seseorang itu akan menjadi semakin bahaya apabila lemak yang terkumpul menjadi suatu
‘penyakit’.
Pada pendapat saya, peribahasa ini adalah releven kerana peribahasa ini
menerangkan dengan mudah sesuatu pelakuan yang dilakukan melampaui batas.
Contohnya, baru – baru ini, kita digemparkan dengan cerita seorang ibu yang sedang
menyediakan juadah makan tengah hari telah ditetak oleh anaknya sendiri semata-mata
mahu mendapatkan wang untuk membeli dadah. Dari kejadian ini, kita dapat lihat seseorang
anak yang ditatang bagai minyak yang penuh sanggup membunuh ibu yang melahirkannya
hanya untuk membeli najis dadah. Kita dapat lihat apabila nafsu sendiri telah mengawal
minda dan hati sehingga iman dan akidah agama tidak dijadikan benteng dan asas dalam
hidup.
7
Seterusnya, contoh peribahasa yang lain ialah ‘hancur badan dikandung tanah,
budi yang baik dikenang juga’. Maksud peribahasa ini ialah walaupun sudah meninggal
dunia, budi yang baik akan dikenang juga. Hal ini bermakna, dalam kebudayaan masyarakat
Melayu, aspek menghargai budi seseorang amatlah dipentingkan. Oleh yang demikian,
sudah tentu amalan berbudi dengan manusia amatlah perlu dilaksanakan memandangkan
ianaya akan mendatangkan kesan yang positif pada masa hadapan. Biasanya, budi
seseorang yang dikenang bukan setakat menjadi ingatan sahaja malah turut disertai dengan
penghormatan yang tinggi. Ini bermakna, seseorang yang berbudi akan sentiasa menjadi
ingatan dan dihormati oleh sesebuah masyarakat itu sampai bila-bila. Buktinya, seseorang
yang mendermakan wang untuk membina masjid akan sentiasa diingati kerana budi dan
jasa yang telah diberikan.
Sebagai tambahan, peribahasa yang berkaitan dengan hubungan sosial dalam
kebudayaan Melayu ialah ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ yang bermaksud
seseorang yang terlalu kita percaya dan boleh diharapkan telah mengkhianati kita. Dalam
peribahasa ini, pagar diharapkan untuk menjaga padi namun pagar pula yang memakan
padi. Peribahasa ini telah menggunakan unsur gaya bahasa personifikasi yakni
menggunakan perbuatan manusia bagi objek tidak bernyawa. Kewujudan peribahasa ini
sudah tentu kerana ada terjadi hal-hal yang tidak dijangka dalam masyarakat Melayu sejak
zaman dahulu lagi. Selain itu, peribahasa ini juga masih releven digunakan pada masa
sekarang kerana adanya masalah-masalah sosial yang tidak dijangka telah berlaku. Hal ini
menunjukkan tamadun yang dicorakkan dalam masyarakat negara kita kini sudah berubah
wajah. Buktinya, terjadinya kes seorang datuk merogol cucunya, kes pembantu rumah yang
mendera anak majikannya dan banyak lagi kisah yang boleh mengotorkan kejernihan
budaya masyarakat kita.
Kesimpulannya, sebenarnya banyak lagi peribahasa yang berkaitan dengan aspek
sosial masyarakat kita. Walau bagaimanapun, contoh yang dapat saya berikan hanya sedikit
memandangkan hanya ketiga-tiga peribahasa inilah yang amat tertarik dalam diri saya. Jelas
menunjukkan terdapat kepelbagaian jenis peribahasa yang terkandung dalam masyarakat
kita, termasuklah sindiran dan nasihat. Secara tidak langsung, dapatlah kita mengetahui
bahawa sosial dalam masyarakat kita bukan hanya tertumpu kepada aspek kebaikan sahaja,
malah tutut mengandungi unsur sosial yang negatif. Hal ini sebenarnya menjadi lumrah
dalam kehidupan manusia memandangkan adanya perwatakan yang baik dan buruk dalam
diri manusia kerana hadirnya ego, nafsu dan super ego dalam diri setiap insan. Oleh itu,
perlunya aspek kawalan diri yang utuh agar segala tindakan yang negatif tidak akan
menguasai kehidupan sesorang itu.
8
Ekonomi
Aspek ekonomi ditakrifkan ilmu tentang asas – asas pengeluaran, pembahagian,
penggunaan barang-barang dan perkhidmatan serta masalah-masalah kewangan
(kemasyarakatan) yang bersangkutan dengannya. Ini bermakna, dalam sesebuah
masyarakat pasti akan ada barang-barang yang menjadi hasil tempatan dan hasil daripada
luar. Oleh itu, perlunya ilmu pengetahuan untuk menguruskan barangan tersebut dengan
baik bagi memastikan setiap individu menerima barangan secara adil dan saksama.
Pemberian barangan ini bukanlah secara percuma tetapi menggunakan satu item yang
dinamakan sebagai wang ringgit. Jika ada masalah seperti inflasi dan kekurangan wang
ringgit, maka perlunya ilmu pengetahuan bagi mengatasi masalah itu agar masyarakat tidak
menderita dengan kesan yang telah menimpa mereka. Oleh yang demikian, terdapat
pelbagai peribahasa yang juga mempunyai perkaitan dengan aspek ekonomi.
Peribahasa dari aspek ekonomi yang pertama ialah ‘cicir dipungut, hilang dicari’
bermaksud jangan melakukan pembaziran. Perkataan ‘cicir’ mempunyai makna tumpah atau
jatuh sedikit – sedikit. Pada pendapat saya, peribahasa ini adalah releven kerana apabila
ketiadaan sesuatu barulah kita merasai kenikmatannya dan menghargai seterusnya berjimat
– cermat apabila menggunakannya. Berdasarkan situasi pada hari ini, Malaysia telah
mengalami masalah cuaca yang sangat panas dan kering sehingga menyebabkan beberapa
empangan utama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor telah susut paras airnya dan tidak
dapat menampung keperluan penduduk. Cuaca panas yang pernah mencatatkan suhu
tertinggi 37O di Perlis berlaku disebabkan ketiadaan hujan secara berterusan dan hal ini telah
menyebabkan para pengkaji memikirkan cara melakukan pembenihan awam.
Sumber air dirasakan sangat berharga pada ketika ini kerana air menjadi sumber
yang sangat penting dalam kehidupan seharian untuk kegunaan kebersihan diri, sumber
minuman dan sebagainya.Terdapat beberapa tempat terpaksa dicatu penggunaan airnya.
Hal ini menyebabakan penggunaan air adalah terhad kepada sesuatu isi rumah atau
institusi. Jika sebelum ini, kita akan mandi dalam jangka masa yang lama atau membazir air,
kita tidak boleh bersikap seperti tu sekarang kerana jika kita bersikap demikian, kita adalah
orang yang tidak bertimbang rasa. Oleh itu, kita perlu berubah sikap ke arah yang lebih baik.
9
Sebagai tambaha, peribahasa yang berkaitan dengan aspek ekonomi ialah
‘digenggam tiada tiris’ yang bermaksud sangat berhati-hati dan berhemat dalam
membelanjakan wang. Peribahasa ini juga berkaitan dengan ekonomi yang bermakna
seseorang yang amat berhati-hati semasa menggunakan wang. Ini bermakna, sebelum
membelanjakan wang, seseorang individu akan berfikir dahulu apakah kebaikan jika
membeli barangan tersebut. Selain itu, aspek yang perlu dipertikaikan adakah barangan
yang ingin dibeli tergolong dalam aspek kehendak atau keperluan. Barangan yang tergolong
dalam senarai keperluan lebih diutamakan berbanding dengan senarai kehendak. Jika sikap
berhati-hati diamalkan semasa hendak membeli barangan, sudah tentu wang yang ada akan
tersimpan dengan lebih baik dan boleh digunakan pada masa-masa kecemasan.
Seterusnya, peribahasa yang mempunyai kaitan dengan aspek ekonomi ialah ‘dapur
tidak berasap’ yang bermaksud kehidupan yang terlalu miskin. Pada pendapat saya,
peribahasa ini sangat menepati aspek ekonomi dalam negara kita. Hal ini bermakna, dalam
kebudayaan negara, masih ada keluarga yang mempunyai tahap kemiskina yang amat
kritikal. Ekonomi dalam masyarakat kita adalah pelbagai tahap. Ada individu yang berada
pada tahap yang tertinggi malah ada yang berada pada tahap yang terendah. Ini bermakna,
individu yang berada pada tahap yang tertinggi seharusnya berusaha membantu golongan
yang lebih memerlukan. Ini kerana, saya beranggapan bahawa rezeki adalah kurniaan
Tuhan yang perlu dikongsi antara semua pihak dan bukannya hanya dibelanjakan untuk
kepentingan diri sendiri. Hal ini penting kerana roda kehidupan manusia bukanlah tetap
setiap masa. Ada kalanya berada pada tahap yang atas, ada kalanya berada pada tahap
yang paling bawah. Oleh itu, perlunya kita membantu golongan yang memerlukan agar
menjamin kesejahteraan masyarakat.
Kesimpulannya, ekonomi merupakan aspek yang luas. Terdapat pelbagai cara untuk
mengembangkan ekonomi masyarakat. Selain itu, ekonomi juga mempunyai tahap yang
pelbagai dan ditandai dengan tahap yang pelbagai aras. Oleh itu, lahirnya peribahasa yang
pelbagai agar masyarakat memahami bukan semua individu memiliki kekayaan yang sama.
4.0 KESIMPULAN
Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa peribahasa memainkan peranan penting dalam
kehidupan masyarakat Melayu hingga ke saat ini. Peribahasa merupakan salah satu cabang
bahasa terpenting dalam pembelajaran bahasa Melayu. Budaya Melayu yang penuh dengan
kesantunan dan kehalusan budi pekerti juga turut terserlah melalui penciptaan peribahasa.
10
Justeru, peribahasa menjadi khazanah budaya dan bahasa Melayu yang mempunyai
nilai estetika tinggi. Penggunaannya yang meluas secara tulisan atau pun pertuturan masih
kekal relevan dalam konteks masyarakat Melayu hingga kini. Peribahasa mengandungi
pelbagai nasihat, ilmu serta unsur-unsur didaktik untuk masyarakat umum.
Oleh itu, setiap individu Melayu harus memainkan peranan aktif untuk memastikan
penggunaan serta keaslian peribahasa tetap dipelihara. Segala nilai murni dalam setiap
peribahasa yang dicipta itu dapat dihayati dan direnungi demi kesejahteraan kita bersama.
Bak kata pepatah, bahasa dijunjung, budaya disanjung. Peribahasa adalah cerminan akal
budi dan lambang jati diri orang Melayu.
5.0 REFLEKSI
NAMA :
NO. KP:
UNIT : PISMP BAHASA MELAYU SEMESTER 7
11
Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat ILLAHI kerana dengan limpah kurniaNYA dapat
saya menyiapkan tugasan ini tepat pada masanya. Setelah bertungkus-lumus mengikut
tempoh yang telah diberikan, maka inilah yang dapat saya persembahkan. Sepanjang
melakukan tugasan ini, saya tidak menghadapi masalah yang besar. Hal ini demikian kerana
pensyarah pembimbing saya telah memberi penerangan dengan jelas mengenai tugasan
Kerja Kursus Projek (KKP) pada kali ini. Kerja kursus ini memerlukan saya mengkaji
peribahasa yang mempunyai perkaitan dengan aspek kebudayaan Melayu dalam segi
politik, sosial dan ekonomi.
Tugasan ini perlu dilaksanakan secara individu. Selain itu, tugasan ini memerlukan
saya membuat pengenalan mengenai kebudyaan. Secara ummnya, kebudayaan mempunyai
pelbagai definisi. Antaranya ialah budaya didefinisikan sebagai suatu cara hidup yang
diamalkan oleh kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi ekonomi,
politik, agama, kepercayaan, adat resam , sikapdan nilai. Kebudayaan pula merujuk kepada
tamadun sesuatu masyarakat yang diwarisidan yang bersifat dinamik. Di samping itu, ada
unsur menerima dan menolak yang dipraktiskan oleh sesuatu masyarakat dalam satu
keseluruhan sistem kehidupan,didalamnya terkandung unsur teknologi, ekonomi, organisasi
sosial, kepercayaan dan sistem simbol yang menjadi milik bersama sesuatu masyarakat.
Pengalaman semasa menyiapkan tugasan ini adalah saya dapat memahami dengan lebih
mendalam tentang kebudayaan Melayu yang mempunyai perkaitan dengan peribahasa
Melayu dalam aspek sosial, ekonomi dan politik.
Melalui tugasan ini, pelbagai pengetahuan baharu yang telah saya pelajari.
Antaranya ialah kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu. Sebenarnya, aspek
ini sudah menjadi pengetahuan umum bagi diri saya memandangkan saya juga berbangsa
Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat banyak lagi perkara yang masih saya tidak ketahui.
Salah satu aspek yang menarik saya untuk lebih mengkaji mengenai kebudayaan Melayu
ialah keindahan seni bahasa yang terkandung dalam bangsa Melayu seperti peribahasa.
Lazimnya, peribahasa terkandung dalam pelbagai jenis dan cabang. Oleh itu, sudah tentu
terdapat peribahasa yang berrkait dengan politik, sosial dan ekonomi. Pelaksanaan kerja
kursus ini juga menyebabkan saya mengetahui banyak lagi jenis peribahasa yang saya
belum pernah ketahui sebelum ini seperti digenggam tiada tiris dan sebagainya.
Hanya satu masalah yang saya hadapi iaitu panjang tugasan adalah terhad
sedangkan banyak perkara yang ingin dijelaskan dalam tugasan ini. Hal ini menyebabkan
saya perlu mengehadkan dan memuatkan hanya perkara yang penting dalam tugasan ini.
Masa untuk menyiapkan tugasan ini juga mencukupi. Apabila bahan rujukan banyak, masa
12
untuk menyiapkan tugasan akan menjadi lebih singkat. Tambahan pula, soalan tugasan
diberikan awal, jadi saya dapat memulakan tugasan dengan lebih awal. Melalui tugasan ini
juga, saya mendapat pengetahuan yang lebih mendalam tentang kebudayaan Melayu
khususnya aspek seni bahasa. Secara kesuluruhannya, saya dapat lebih kefahaman,
pengetahuan dan dapatmengaplikasi apa yang diajar oleh pensyarah semasa proses
menyediakan kerja kursus ini. Saya berharap masyarakat Melayu masa kini memartabatkan
bahasa ibunda kita kerana bahasa Melayu mempunyai keindahan dan keunikan yang
berbeza berbanding bahasa-bahasa lain di dunia ini seperti kata pepatah ‘’ Bahasa Jiwa
Bangsa ‘’.
6.0 BIBLIOGRAFI
A.Aziz Deraman. (2000). Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Melayu Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
13
Abdul Rahman Al-Ahmadi. (2003). Tamadun Rumpun Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, kesenian dan Warisan Malaysia.
Che Ibrahim Salleh. (2008). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Universiti Putra Malaysia. Serdang.
Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Hajar Abdul Aziz. (2011). Bahasa Melayu II Edisi Kedua. Shah Alam. Oxford Fajar Sdn.Bhd.
Wan Abdul Kadir. (2010). Pembangunan Industri Budaya dan Identiti Melayu (Malaysia-
Indonesia). ccm.um.edu.my(02/02/2010)
14
Top Related