YBHG. DR. ASMAYANI BINTI KHALIB PENGARAH JABATAN...
Transcript of YBHG. DR. ASMAYANI BINTI KHALIB PENGARAH JABATAN...
1
YBHG. DR. ASMAYANI BINTI KHALIB
PENGARAH JABATAN KESIHATAN
NEGERI PULAU PINANG
MAJLIS AMANAT TAHUN BARU 2020
PENGARAH KESIHATAN NEGERI PULAU PINANG
8 JANUARI 2020 (RABU), 9.30 PAGI
BAHAGIAN PENGURUSAN
2
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Yang Berusaha Saudara / Saudari Pengacara Majlis,
YBrs. En. Velan Supramaniam,
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan) selaku penganjur majlis kita
pada pagi ini;
YBrs. Dr. Elizabeth Anthony,
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan);
YBrs. Dr. Marina binti Kamaruddin
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam)
YBrs. Dr. Ong Ai Leng
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian)
YBrs. Puan Zubaidah bt Che ‘Embee,
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi)
YBrs. Pn. Ku Nafishah bt Ku Ariffin,
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Keselamatan dan Kualiti Makanan)
Pengarah-pengarah Hospital,
Pegawai-pegawai Kesihatan Daerah,
3
Pegawai-pegawai Pergigian Daerah,
Pegawai-pegawai Kanan,
Ketua-ketua Unit,
Seterusnya YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan & Puan-puan warga
Jabatan Kesihatan Negeri yang saya hormati.
PENDAHULUAN
1. Alhamdullillah, dengan penentuan dari Allah s.w.t. Majlis Perhimpunan
Bulanan yang pertama bagi tahun 2020 dapat dilangsungkan pada pagi ini. Saya
berasa bersyukur atas izin dan limpah kurniaNya, kita sama-sama dapat bertemu
bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama, memperolehi aspirasi bersama,
menghargai lakaran-lakaran kejayan yang telah diukir sepanjang tahun 2019 dan
seterusnya memahatkan hala tuju untuk tahun 2020.
2. Terlebih dahulu, tidak terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun
Baru 2020 kepada semua warga JKN Pulau Pinag. Semoga dengan bermulanya
tahun baru ini, maka bermulalah azam dan semangat baharu dalam diri setiap
daripada kita untuk mempamerkan kesungguhan dan kreativiti masing-masing
dalam melaksanakan tugasan yang telah diamanahkan. Harapan saya agar
segala usaha kita pada tahun 2020 ini mengukir lebih banyak kejayaan gemilang
buat Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang.
Buah salak di dalam kantung,
Kulitnya keras isinya kelat;
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat
4
TAHUN 2020 TELAH TIBA
3. Pada tahun 1991, Perdana Menteri ketika itu, yang juga Perdana Menteri sekarang telah memperkenalkan satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 yang dikenali sebagai "Wawasan 2020". Dan pada hari ini kita telah tiba ke tahun yang dinanti-nantikan itu.
4. Tun Mahathir dalam ucapan tahun baru 2020 menyatakan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan sedar bahawa sasaran itu tidak dapat kita capai sepenuhnya dan kerana itu kerajaan telah menyediakan blueprint yang baharu yang dikenali sebagai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Dalam lain perkataan, kerajaan telah melanjutkan sasaran tersebut ke tahun 2030 dan kita percaya, kita akan dapat mencapai objektif tersebut.
5. Inilah cabaran yang menanti kita semua. Memastikan semua agenda dan matlamat yang ditetapkan berjaya dicapai dan dilaksanakan walaupun berdepan dengan kegawatan akibat perang dagang antara kuasa besar dan kemajuan teknologi yang begitu cepat dan mendadak. Dua inilah faktor utama yang akan melakar hala tuju dunia dan negara. Kita perlu menerima keadaan ini dan berusaha memajukan diri untuk menangani perubahan dan cabaran ini.
6. Kita telah lihat bagaimana kemajuan teknologi digital telah mengubah cara perniagaan dan perkhidmatan, termasuklah perkhidmatan kesihatan dan perubatan. Mereka yang memahami perubahan ini telah mencari peluang untuk mencipta pekerjaan dan pendapatan. Yang tidak berubah telah kehilangan punca kehidupan. Maka marilah kita bersama-sama dengan kerajaan untuk memaju negara ini dengan memajukan diri supaya menjadi rakyat kelas pertama.
KEJAYAAN & PENCAPAIAN 2019
YBhg. Dato’-Dato’, Datin-datin dan para hadirin sekalian,
7. Tahun 2019 telah menyaksikan banyak inisiatif baru yang diperkenalkan
oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Antaranya adalah perlaksanaan
PEKA B40 dan mySalam sebagai usaha kerajaan membantu mereka yang
berpendapatan rendah untuk menikmati kemudahan kesihatan dan perubatan
yang lebih baik. Selain itu, perlaksanaan larangan merokok di premis makanan
juga telah mewujudkan senario baru dalam lanskap budaya rakyat Malaysia.
5
8. Mengimbas kembali tahun 2019, ternyata banyak pencapaian Jabatan
Kesihatan Negeri Pulau Pinang yang boleh dibanggakan. Antaranya, Kluster
Pulau telah dilancarkan oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr.
Dzulkefly Ahmad pada 1hb Mac 2019 di Hospital Balik Pulau yang melibatkan
Hospital Pulau Pinang sebagai Lead Hospital dan Hospital Balik Pulau yang pada
masa ini menawarkan Perkhidmatan Perubatan, Geriatrik, Kecemasan dan
Farmasi.
9. Seterusnya penganjuran 6th Asia Pacific Conference On Public Health
pada 22-25 Julai 2019. Program kolaborasi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau
Pinang bersama College Of Public Health Medicine Academy Of Medicine Of
Malaysia dan Malaysian Armed Forces Health Services ini melibatkan
penyertaan delegasi pelbagai negara telah diadakan di Hotel Equatorial Pulau
Pinang.
10. Satu lagi program bertaraf antarabangsa yang telah berjaya dilaksanakan
pada tahun lalu adalah Asian Conference Of Oral Health Promotion For School
Children (ACOHPSC) yang berlangsung pada 22-22hb September 2019 di The
Wembley –A St Giles Hotel. Persidangan yang dirasmikan oleh YAB Ketua
Menteri Pulau Pinang telah dihadiri oleh hampir 500 para delegasi yang terdiri
dari 13 buah negara Asia.
11. Selain itu, untuk julung kalinya Bahagian Perubatan dengan kerjasama
Universiti Sains Malaysia telah berjaya menganjurkan National Medico-Legal
Conference 2019 pada 2-4 Oktober 2019 di City Bayview Hotel, Georgetown.
Konferen yang menampilkan pakar-pakar dalam bidang medico-legal ini telah
mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengamal perubatan
kerajaan dan swasta.
12. Sesuatu yang membanggakan apabila Pulau Pinang dipilih sebagai Negeri
Terbaik Profesion Fisioterapi Bagi Tahun 2019 Peringkat Kesihatan Primer
keseluruhan berdasarkan pencapaian nisbah kuantiti dan kualiti hasil kerja dan
penganjuran program di klinik kesihatan. Sijil Penghargaan telah diserahkan
semasa Mesyuarat Perkhidmatan Rehabilitasi Kesihatan Primer Peringkat
Kebangsaan Bil 1/2019 pada 7-9 Oktober 2019 di Hotel MITC, Melaka.
13. Kejayaan-kejayaan lain yang dicatatkan pada tahun lalu adalah:
i) Anugerah Pingat Gangsa pada Public Service Innovation Award 2019
(PSI) sempena The 18th International Expo on Invention and
Innovations pada 21 – 23 /2/2019 di PWTC Kuala Lumpur - Kumpulan
6
i-Click (Hospital Sungai Bakap) untuk projek K-Sot Board hasil
kolaborasi dengan Penjara Seberang Perai dan Universiti Sains
Malaysia;
ii) Johan Poster Presentation di East Coast Anaesthesia & Intensive Care
Conference, 28-30/3/2019 - Hospital Pulau Pinang dengan tajuk,
“Incidence And Outcomes Of In-Hospital Cardiac Arrest In A Tertiary
Care Hospital: A Pioneer Audit In Malaysia”
iii) Johan Oral Presentation di Malaysian Society of Anaesthesia Congress,
2019 – Hospital Pulau Pinang dengan tajuk “Incidence And Outcomes
Of In-Hospital Cardiac Arrest(IHCA): A 12-Month Audit In A Malaysian
Tertiary Care Hospital”
iv) Johan Pertandingan Mencipta Lagu bertemakan Kesihatan Oral Tanpa
Asap Rokok (KOTAK) Peringkat Program Kesihatan Pergigian
Kementerian Kesihatan Malaysia – Bahagian Pergigian JKNPP melalui
lagu berjudul, “Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok” ciptaan Dental
Penang United Buskers dan penulis lirik Dr Hafizuddin B Mohd Yusof;
v) Johan Pertandingan Poster Konvensyen Rekod Perubatan Peringkat
Kebangsaan (9 – 11.4.2019) - Hospital Seberang Jaya;
vi) Johan poster aktiviti pencegahan dan kawalan infeksi tangan di
Seminar Kawalan Infeksi dan Sambutan Hari Kebersihan Tangan
Peringkat Kesihatan Awam 2019 anjuran Bahagian Pembangunan
Kesihatan Keluarga KKM - Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai
Utara (PKDSPU);
vii) Dr Nazihah Binti Mohd Khalid, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan
Jalan Perak - tempat kedua dalam kategori poster di 7th Asia Pacific
Primary Care Research Conference dengan tajuk penyelidikan “The
Effectiveness Of Prompt Sheet In Initiating Discussion Of Sexual
Dysfunction Among Male Patients With Diabetes In A Primary Care
Setting: An Open-Label Control Trial”.
viii) Pn Vijitha Rajendran, Pegawai Farmasi Klinik Kesihatan Lebuh Muntri -
tempat kedua dalam National Scientific Seminar In Pharmacy & Health
Sciences 2019. dengan tajuk penyelidikan “Doctor’s Perceived Barriers
and Enablers of Deprescribing among Elderly Patients in Government
Health Clinics in Northeast Penang Island District: A Qualitative Study”;
ix) Tempat Ketiga Pertandingan Poster Inovasi Produk Konvensyen
COMBI Peringkat Kebangsaan 2019 – PKD Seberang Perai Selatan iaitu
hasil usaha dan idea En. Tan Kean Poay dan Pn. Tan An Li dari
7
Jawatankuasa COMBI Bukit Panchor (Taman Merbah), Seberang Perai
Selatan;
x) Tempat ketiga kategori poster Konvensyen QA KKM - Jabatan Farmasi
Hospital Pulau Pinang dengan tajuk “Towards Reducing Antimicrobial
Injection Preparation Errrors in Paediatric Ward Hospital Pulau
Pinang”;
xi) Tempat ketiga dalam Kategori Inovasi Teknologi Konvensyen Inovasi
dan Kreativiti Farmasi Tahun 2019 - Hospital Seberang Jaya melalui
projek “Antimicrobial Stewardship Database (AMD)”;
xii) Tempat ketiga Kategori Penang Open Data Apps Challenge 2019
peringkat Negeri Pulau Pinang sempena Seminar Kerajaan Digital
anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang - Kumpulan
IT Warrior Hospital Kepala Batas melalui projek “my Course”.
14. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang. Menjadi harapan saya,
pada tahun 2020 ini, semua Bahagian dan PTJ akan meningkatkan usaha dan
terus menyemarakkan cetusan-cetusan idea inovatif dan kreatif daripada
anggota kita dan menggalakkan penyertaan mereka dalam pelbagai
pertandingan yang dianjurkan oleh kerajaan mahupun swasta, kerana
penglibatan seperti ini memberi impak dan nilai tambah kepada pegawai itu
sendiri terutama dalam kemajuan kerjaya mereka dan seterusnya
mengharumkan nama jabatan.
15. Seterusnya saya ingin merakamkan juga ucapan tahniah kepada
Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKNPP kerana berjaya merangkul beberapa
anugerah peringkat Kementerian iaitu, Johan Cawangan Penguatkuasaan
Farmasi Terbaik dan menerima Piala Pusingan Pengarah Penguatkuasaan
Farmasi 2019, Johan Anugerah Pengurusan Pemeriksaan Premis Berlesen
(MaLPI) 2019 dan Johan Anugerah Perisikan Taktikal Penguatkuasaan Farmasi
2019. Syabas dan teruskan kecemerlangan.
16. Selain daripada itu, dalam memastikan anggota-anggota kita sentiasa
berada dalam keadaan siapsiaga, beberapa aktiviti simulasi telah dilakukan
sepanjang 2019, antaranya:
i) Simulasi Penyakit Berjangkit Lapangan Terbang Antarabangsa, 16 Jun
2019
ii) Latihan Simulasi Pandemik Influenza (#PENFSX19) pada 19 Jun 2019.
iii) Latihan Simulasi CBRNe Radiation Awareness, 29 Julai 2019
8
iv) Simulasi Bencana Udara Lapangan Terbang Antarabangsa, 23 Oktober
2019
AKTIVITI PENGUATKUASAAN
Sidang hadirin sekalian,
17. Dalam usaha memastikan pematuhan kepada peraturan-peraturan yang
berkuatkuasa, aktiviti penguatkuasaan giat dilaksanakan oleh Bahagian-
bahagian yang terlibat.
18. Meneruskan momentum tahun 2018, Operasi Penang Sihat iaitu satu
operasi bersepadu yang dikoordinasikan oleh Bahagian Kesihatan Awam telah
dijalankan sebanyak 12 siri pada tahun 2019. Jumlah keseluruhan kutipan dan
denda hasil operasi-operasi tersebut adalah sebanyak RM1.8 juta. Antaranya
adalah:
i) RM24,000.00 - Denda kesalahan di bawah Akta Makanan 1983;
ii) RM588,077.00 kompaun dibayar dengan denda mahkamah sebanyak
RM12,440.00 - di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan
2009;
iii) RM407,127.00 kompaun yang dibayar dengan denda mahkamah
sebanyak RM11,680.00 - di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil
Tembakau 2004;
iv) RM273,750 kompaun yang dibayar dengan denda mahkamah
sebanyak RM6,610.00 - di bawah Peraturan-Peraturam Makanan
1985;
v) RM359,435.00 kompaun yang dibayar dengan denda mahkamah
sebanyak RM128,310.00 - Akta Pemusnahan Serangga Pembawa
Penyakit 1975
19. Dari Bahagian Farmasi pula, sepanjang tahun 2019, Cawangan
Penguatkuasaan Farmasi JKN Pulau Pinang telah menjalankan sebanyak 115
serbuan dengan nilai rampasan sebanyak RM5.167 juta. Bagi membendung
jenayah penjualan ubat tidak berdaftar dalam talian, sebanyak 220 saringan
laman media sosial FB telah dilakukan serta 25 profiling telah berjaya
dilengkapkan menggunakan kemahiran “Open Source Intellingence”. 15 peranti
digital telah dirampas dalam operasi “Ops Broken Window” termasuk telefon
9
pintar, komputer peribadi dan komputer riba dengan nilai rampasan sebanyak
RM18,686.00.
20. Selain itu, kawalan di pintu masuk juga dipertingkatkan dengan menyertai
Operasi Bersepadu Seaport Interdiction Task Force (SITF) Pulau Pinang 2019.
Dalam operasi ini sebanyak 275 item telah dirampas dengan nilai rampasan
sebanyak RM 23,539.00
21. Tidak terhenti di situ, pihak pendakwaan telah berjaya mendakwa 88 kes
di mahkamah dengan kutipan denda sebanyak RM410,000.00. Ini membuktikan
kesungguhan JKN Pulau Pinang dalam memastikan penguatkuasaan yang
dilakukan berkesan demi menjaga kesejahteraan awam.
22. Di Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan pula, kolabrasi dengan
beberapa agensi kerajaan seperti pihak Kerajaan Tempatan, KASTAM, POLIS,
KPDNHEP, MAQIS dan termasuk Bahagian Farmasi telah dilaksanakan dalam
memastikan penguatkuasaan adalah menyeluruh dan berimpak tinggi. Antara
aktiviti Penguatkuasaan yang telah dilaksanakan ialah:
a) Penguatkuasaan Premis Makanan Tidak Bersih
b) Penguatkuasaan Produk-Produk Yang Tidak Mematuhi Piawai
c) Iklan Makanan yang Mempunyai Akuan Kesihatan Yang Tidak
Dibenarkan
d) Penguatkuasaan Ke Atas Pemilik Mesin Jual Air Yang Tidak
Memohon Lesen
e) Penguatkuasaan Ke Atas Penjualan Arak Haram
i) Penguatkuasaan Pelabelan Produk Makanan di pasaran
j) Penguatkuasaan Pengimportan Air Zam Zam dan Penjualan Air Zam
Zam di pasaran.
23. Hasil daripada operasi-operasi penguatkuasaan yang dijalankan sebanyak
2,717 kompaun premis makanan tidak bersih telah dikeluarkan dengan nilai
RM861,827.00, berbanding pada tahun 2018 iaitu 2,301 kompaun dengan nilai
RM681,709.00.
24. Manakala bagi penguatkuasaan minuman arak haram, jumlah notis
kesalahan minuman arak haram yang dikeluarkan adalah 31 berbanding 27 pada
tahun sebelumnya dengan nilai kompaun RM77,500.00, peningkatan daripada
RM67,500.00 pada tahun 2018.
10
25. Bahagian Perubatan juga menerusi CKAPS turut mengadakan aktiviti
penguatkuasaan bagi memastikan klinik-klinik swasta dan pusat penjagaan
kesihatan swasta di negeri ini mematuhi kehendak dam keperluan Akta 586 dan
Peraturan-peraturan KPJKS yang telah ditetapkan. Sehingga kini, sebanyak 40
fail risikan yang masih aktif dan dalam tindakan CKAPS JKNPP.
26. Sepanjang 2019, sebanyak 51 intipan dan risikan telah dilakukan dan
enam (6) aktiviti serbuan telah dijalankan yang melibatkan kes-kes premis tidak
berdaftar dan klinik-klinik perubatan swasta menyediakan perkhidmatan di luar
skop. Selain itu, CKAPS juga bekerjasama dengan Unit TCM dan Cawangan
Penguatkuasa Farmasi melakukan aktiviti pemantauan dan serbuan secara
bersepadu dalam memastikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak swasta
adalah selamat dan mengikut batas undang-undang.
BAJET MENGURUS & PEMBANGUNAN
YBhg. Dato’-Dato’ dan para hadirin sekalian,
27. Pada tahun tahun 2019, peruntukan yang telah diterima oleh JKNPP di
bawah bajet mengurus adalah sebanyak RM 1.32 billion. Daripada jumlah
tersebut kita telah berbelanja sebanyak RM1.34 billion iaitu 101.6% di mana
lebihan 1.6% adalah pada pembayaran emolumen dan utiliti. Manakala untuk
tahun 2020 ini, batas peruntukan yang diterima daripada KKM adalah sebanyak
RM1.05 billion di samping RM2.5 juta untuk pembelian kenderaan dan aset.
Justeru semua Ketua Jabatan perlu meneliti keperluan sebenar fasiliti masing-
masing dan memastikan perolehan yang dibuat adalah berdasarkan keperluan
sebenar dan menjimatkan kerajaan.
28. Dari aspek pembangunan pula, pada 2019 KKM telah memperuntukkan
RM20.22 juta, peningkatan berbanding RM19.97 juta pada tahun sebelumnya
kepada JKNPP untuk projek-projek pembinaan dan naiktaraf, penyelenggaraan
dan pembaikan infrastruktur fasiliti sedia ada, pembelian kenderaan, perolehan
alatan perubatan dan juga latihan kepada pegawai dan anggota.
29. Pada tahun 2019 juga, sebanyak 92 premis telah disewakan untuk
kemudahan kakitangan dan pelanggan yang terdiri daripada kantin, kiosk
makanan, bangunan pejabat syarikat konsesi, mesin ATM, Vending Machine dan
lain-lain telah menjanakan hasil sebanyak RM184 Ribu sebulan. Hal ini telah
mendatangkan win-win situation kepada kerajaan dan pelanggan dimana
11
kerajaan dapat memungut hasil pendapatan dan pelanggan dapat
menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh premis sewaan. Oleh yang
demikian, semua ketua PTJ hendaklah memastikan penguatkuasaan kepada
peraturan–peraturan semasa berkaitan penyewaan premis diberi perhatian
agar ketirisan hasil Negara dapat dielakkan.
30. Bagi peruntukan pembangunan untuk tahun 2020 pula, melalui
Rancangan Malaysia ke 11, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang telah
diluluskan oleh kerajaan pusat dua projek baharu bagi meningkatkan taraf
kesihatan awam setempat iaitu, projek membina baru Klinik Kesihatan Jenis 2
Bayan Lepas, Daerah Barat Daya dan Klinik Kesihatan Jenis 3 Bandar Tasek
Mutiara, Daerah Seberang Perai Selatan di samping projek-projek yang sedang
dijalankan seperti Klinik Kesihatan Jenis 2 Bandar Perda, Daerah Seberang Perai
Tengah dan Klinik Kesihatan Jenis 3 Air Puteh, Daerah Barat Daya. Selain itu
hospital-hospital juga sedang dalam dinaiktaraf seperti Bangunan Multistorey,
Hospital Seberang Jaya, Naiktaraf Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Balik
Pulau, Blok Pakar Hospital Pulau Pinang, Blok Wanita dan Kanak-Kanak Hospital
Pulau Pinang, Membina Bangunan Kuarters, Hospital Pulau Pinang dan Naiktaraf
transplan dan Sum-sum Tulang Hospital Pulau Pinang.
31. Selain itu, sebanyak RM4.5 Juta telah diperuntukkan melalui Butiran
Projek Naiktaraf, Ubahsuai dan Pembaikan bagi kerja-kerja pembaikan dan
naiktarag fasiliti kesihatan di seluruh Pulau Pinang. Sebanyak RM2.5 Juta
daripada peruntukan tersebut adalah dikhaskan bagi pembangunan semula
Kolej Kejururawatan Georgetown kepada Kompleks Kecemerlangan Kesihatan
Fasa I yang melibatkan pembangunan pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Pulau
Pinang, serta Blok Kuliah Pos-Basic Kejururawatan. Selebihnya peruntukan RM2
Juta adalah untuk diagihkan kepada PTJ yang memerlukan pembaikan dan
pengubahsuaian yang bersesuaian.
PERANCANGAN UTAMA 2020
Sidang hadirin sekalian,
32. Melalui pembentangan Bajet 2020, Kementerian Kesihatan Malaysia
berada di kedudukan ketiga dengan peruntukan sebanyak 30.6 billion ringgit
selepas Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan. Ini menunjukkan
komitmen kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan
12
perubatan yang terbaik kepada rakyat. Antara inisiatif baru yang akan
dilaksanakan pada tahun ini adalah:
i) Vaksin Pneumokokkal yang akan dimasukkan dalam program imunisasi
kebangsaan utk bayi/kanak-kanak berumur kurang dari 2 tahun; dan
ii) Saringan HPV (Human Papilloma Virus) yang akan diperkenalkan
kepada semua wanita reproduktif yang berumur diantara 30-49 tahun.
Saringan HPV ini akan mengesan tanda-tanda awal kanser serviks (pre
cancerous changes) pada wanita.
33. Untuk makluman semua, pada 2 Oktober 2019, ILKKM Kejururawatan
(Georgetown) yang terletak di Jalan Residensi, secara rasmi telah diserahkan
kepada JKN Pulau Pinang dan akan dibangunkan sebagai Kompleks
Kecemerlangan Kesihatan Pulau Pinang yang akan menempatkan Jabatan
Kesihatan Negeri, Pusat Latihan Amali (PLA) ILKKM (Kejururawatan) Bertam dan
KK Georgetown. Untuk tahun 2020 ini, sebagaimana yang dinyatakan tadi, fasa
1 akan dilaksanakan yang melibatkan pembangunan pejabat Jabatan Kesihatan
Negeri Pulau Pinang (Pejabat Pengarah, Bahagian Pengurusan dan Bahagian
Perubatan) dan PLA yang dijangka akan siap pada September tahun 2020. Ini
akan membawa satu perubahan besar kepada Bahagian Pengurusan JKN yang
akhirnya akan menduduki bangunan sendiri.
34. Selain itu, untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada para pesakit,
satu koordinasi ambulans & perkhidmatan pra-hospital antara Bahagian
Perubatan dan Kesihatan Awam akan dilaksanakan pada tahun ini. Koordinasi
ini akan membantu mengurangkan beban tugas yang tinggi di Hospital Pulau
Pinang, mempercepatkan response time panggilan kecemasan dan
mengurangkan masa menunggu.
35. Seterusnya, sebagaimana yang umum sedia maklum, Tahun 2020
merupakan Tahun Melawat Malaysia dan juga akan berlangsungnya
Persidangan APEC 2020. Sinonim dengan gelaran “Surga Makanan”,
peningkatan kemasukan pelancong dalam dan luar negara dan delegasi negara-
negara APEC ke negeri Pulau Pinang adalahdijangkakan. Oleh itu, pemeriksaan
tempat penyediaan makanan di hotel, rumah penginapan dan tempat tumpuan
pelancongan akan dipertingkatkan melalui aktiviti-aktiviti operasi yang “visible”
bagi memberikan lebih “coverage” berkaitan Keselamatan Makanan. Ini bagi
memastikan semua pemain industri berkaitan pelancongan mengambil
13
perhatian serius berkaitan keselamatan makanan melalui penguatkuasaan Akta
Makanan dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
36. Selain itu, pada tahun 2020, Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan
Pulau Pinang akan melangkah ke satu era baru di mana Makmal Keselamatan
dan Kualiti Makanan Pulau Pinang akan menjadi Central Lab untuk analisis racun
makhluk perosak bagi seluruh negara. Untuk itu Makmal Analisa Pesticide telah
mendapat suntikan dana sebanyak RM4.4 juta untuk kerja-kerja menaiktaraf
dan perolehan lima buah peralatan yang lebih canggih untuk tujuan analisa
pesticide. Sebagai tambahan dua buah peralatan telah dibawa dari MKKM Perlis
ke Pulau Pinang.
37. Seterusnya dalam perkhidmatan farmasi, JKN Pulau Pinang komited
dalam melaksanakan program berkonsepkan Uberisation in Healthcare seiring
dengan inisiatif Delivering Healthcare to the Community dalam perkhidmatan
farmasi untuk meningkatkan kepatuhan pesakit kepada rawatan dan
pengurusan ubat-ubatan yang betul. Antara program yang akan dijalankan
adalah Perkhidmatan Pharmacy Integrated Community Care (PICC) yang
merupakan perkhidmatan penjagaan pesakit kronik secara berpusat di komuniti
melibatkan beberapa sesi santai interaktif secara berkumpulan bersama
anggota farmasi disusuli dengan lawatan ke rumah pesakit melalui program
perkhidmatan pharmacy home care. PICC akan mula dilaksanakan di 5 Daerah
Negeri Pulau Pinang bermula bulan April 2020.
38. Bahagian Kesihatan Pergigian pula akan memulakan National Oral Health
Survey of Adults 2020 (NHMS) pada Mei hingga Julai 2020 yang meliputi 1,074
isi rumah di Negeri Pulau Pinang.
39. Selain daripada itu, pada tahun 2020 ini, satu Klinik Pergigian yang baru
akan dibuka di UTC, Komtar yang dijangkakan akan memulakan operasi pada
1hb April 2020.
40. Untuk makluman sidang hadirin juga, pada tahun ini Pulau Pinang telah
terpilih menjadi hos beberapa program peringkat kebangsaan iaitu:
i) Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan peringkat Kebangsaan
2020 yang bakal diadakan pada 22-24 Jun 2020 di Hotel St. Giles -
Wembley, Pulau Pinang. Pada konvensyen ini juga akan diadakan
sambutan Jubli Perak sempena ulang tahun yang ke-25 penubuhan Panel
Penasihat Klinik Kesihatan;
14
ii) Konvensyen Ikon Gigi Peringkat Kebangsaan pada 19-20hb September
2020 di Midtown Perda, Kubang Menerong.
iii) Simposium Pintu Masuk Antarabangsa (SPMA 2020) “Engaging
Together To Safeguard Our Entries”. Simposium Pintu Masuk
Antarabangsa (SPMA 2020) adalah program yang julung kali diadakan dan
dirancang pada bulan September 2020 bertujuan bagi meningkatkan
pengetahuan tentang pencegahan penyakit dan kawalan di pintu masuk
negara.
41. Dalam menggalas tanggungjawab besar ini, keterlibatan tuan-tuan dan
puan-puan sangat diperlukan. Justeru saya berharap semua pihak yang terlibat
akan bekerja keras bagi memastikan penganjuran program berskala besar ini
akan meninggalkan impak besar yang menaikkan nama JKN Pulau Pinang.
Don’t say NO, say NOW
Para hadirin yang saya hormati,
42. Dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai penjawat
awam, saya berpegang kepada prinsip bahawa kita perlu memudahkan urusan
orang lain terutamanya stakeholders kita. Siapakah stakeholders terpenting kita
di JKN Pulau Pinang? Tidak lain dan tidak bukan adalah masyarakat umum,
rakyat negeri yang tercinta ini.
43. So, lets facilitate and don’t frustrate! How are we going to facilitate?
Firstly, don’t say NO, say NOW! Segerakan segala urusan pelanggan-pelanggan
kita. Jika sebelum ini, apabila diminta melakukan sesuatu terutamanya perkara
yang baru, “TIDAK BOLEH, SUSAH” adalah reaksi pertama kita, maka pada tahun
ini kita ubah cara pemikiran kita kepada yang lebih positif. Marilah kita bersama-
sama menukar mentaliti tersebut dan berfikir bagaimana boleh kita membantu
dan memudahcara urusan pelanggan kita.
44. Sabda Rasulullah S.A.W. “Barangsiapa yang mempermudahkan kesulitan
orang lain, Allah akan mempermudahkan urusannya di dunia dan akhirat.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
45. Walau bagaimanapun, harus diambil perhatian bahawa dalam ruang
lingkup kerja kita sehari-hari, ada peraturan dan SOP yang perlu dipatuhi. Setiap
peraturan dan SOP yang wujud ada tujuannya maka pastikan semua tindakan
15
kita adalah mengikut SOP yang digariskan dan batas peraturan yang
berkuatkuasa. Facilitate but within reasons.
PENUTUP
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
46. Saya percaya bahawa sistem kesihatan Malaysia amnya dan Pulau Pinang
khususnya mampu menjadi antara yang terbaik di dunia.
47. Oleh itu, saya berharap agar seluruh warga JKN dapat menjulang sikap
penyayang, profesionalisme dan kerja berpasukan, dapat menyumbang
kepakaran, dan kesemua ini dipertingkatkan dengan asimilasi teknologi.
48. Dengan itu, marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar
segala perancangan yang digariskan pada tahun ini dapat direalisasikan dengan
penuh integriti dan etika agar perkhidmatan kita akan mendapat
keberkatanNya.
49. Selamat menjalankan tugas dan selamat maju jaya. Buat rakan-rakan yang
bakal menyambut Tahun Baru Cina pada 24 Januari ini, Selamat Tahun Baru
Cina.
恭喜发财 / 恭喜發財 (Gōngxǐ fācái) (maksud : 'Happiness and prosperity!')
50. Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
Terima kasih.