lamanbahasa.files.wordpress.com … · Web viewZahar membayangkan reaksi Suhaili setelah tahu...
Transcript of lamanbahasa.files.wordpress.com … · Web viewZahar membayangkan reaksi Suhaili setelah tahu...
NOVEL : MENITI IMPIAN
SINOPSIS BAB DEMI BAB
BAB SINOPSIS
1 Pak Yusuf gelisah menanti sarapan pagi daripada isterinya Mak
Temah. Kegelisahannya itu dapat dikesan oleh anak saudaranya
Zahar yang sedang menggergaji kayu di bengkel kayu milik Pak
Yusuf. Mak temah datang membawa dulang berisi air kopi dan
dua pinggan bihun. Mak temah meminta maaf daripada Zahar
kerana lewat menghantar sarapan dan Zahar menyatakan Mak
Temah perlu meminta maaf kepada Pak Yusuf kerana dari tadi
menunggu air kopi yang merupakan minuman kegemarannya
setiap pagi. Mak Temah berlalu dengan pesanan daripada Pak
Yusuf supaya menyediakan makan tengah hari dan juga
mempelawa anak buahnya Zahar makan tengah hari bersama
mereka. Zahar mencadangkan supaya rak kasut yang sedang
mereka buat ini di siapkan lebih awal supaya masalah ketiadaan
tempat meletak kasut di surau dapat diatasi. Pak Imam pasti
sangat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Pak
Yusuf kerana menyiapkan rak kasut lebih awal daripada yang di
minta. Pak Yusuf bukanlah tukang kayu yang berkelulusan tinggi,
dia hanya belajar sendiri untuk menjadi tukang kayu yang mahir.
Hasil tukangannya dapat dijual dengan harga yang murah dan
berkualiti. Pak Yusuf bertanyakan Zahar mengenai permohonan
ke IKM namun Zahar masih lagi menunggu keputusan yang
dijangka keluar minggu hadapan. Zahar menyatakan jika suatu
hari dia menjadi seorang tukang kayu yang mahir dia akan
memberitahu orang yang pendorong utama dia berjaya dalam
bidang ini adalah bapa saudaranya Pak Yusuf.
2 Mak Kiah tersenyum melihat kepulangan Zahar terus bertanya
kenapa Zahar tidak pulang makan tengah hari di rumah. Zahar
makan di rumah Pak Yusuf kerana tidak sampai hati menolak
pelawaan bapa saudaranya itu. Mak Kiah menunjukkan sekeping
surat yang dihantar Posmen pagi tadi. Dari fizikal surat tersebut
Zahar dapat mengagak surat tersebut daripada IKM dan setelah
dibuka Zahar tersenyum kerana telah ditawarkan mengikuti
kursus pertukangan perabut di IKM Sungai Petani. Setelah
selesai solat magrib, Zahar, Bakar dan Rahim duduk di bangku
luar masjid. Bakar mengusahakan kedai peninggalan arwah
ayahnya dan sedang berusaha mengembangkan perniagaannya.
Zahar memberitahu rakannya bahawa dia telah ditawarkan untuk
ke IKM dan rakanya mengucapkan tahniah kepada zahar. Bakar
mengusik Zahar tentang hubungannya dengan suhaili yang
merupakan rakan rapat Zahar sewaktu di bangku sekolah. Suhaili
kini melanjutkan pelajaran di ITM dan sudah berada tiga dan
menunggu keputusan peperiksaan akhir. Zahar membaca
semula surat tawaran memasuki IKM yang terletak di atas meja.
Surat itu dengan pantas mengembalikan ingatanya ke alam
persekolahan yang telah ditinggalkannya lebih tiga tahun lalu.
Namun Zahar cepat sedar bahawa pelajaran yang akan
diikutinya nanti amat jauh berbeza dengan pelajaran yang pernah
diikutinya semasa di sekolah menengah dulu.
3 Zahar gelisah mencari jalan untuk berhubung dengan suhaili.
Kebetulan pada waktu itu jaringan telefon telah di pasang di
kampung mereka. Orang yang berkemampuan seperti Pak Karim
iaitu ayah kepada Suhaili telah memasang telefon di rumah
mereka. Zahar berjaya menghubungi Suhaili dengan bantuan
Rahim. Zahar dan Suhaili berjanji untuk berjumpa pada keesokan
hari di City Point Alor Setar. Zahar terimbas kembali kenangan
sewaktu berada di bangku sekolah. Suhaili seorang pelajar yang
pandai tetapi pendiam. Sukar untuk pelajar lain terutama pelajar
lelaki untuk dekat dengannya kecuali Zahar. Mereka berdua
sering diusik oleh rakan-rakan sekelas. Zahar dicabar oleh
Suhaili untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan SPM. Beberapa hari sebelum peperiksaan Zahar
demam dan semasa peperiksaan berlangsung Zahar masih
kurang sihat. Dia tidak mampu menjawab soalan peperiksaan
dengan baik. Zahar membayangkan reaksi Suhaili setelah tahu
yang dia akan melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.
4 Zahar ke Alor Setar untuk berjumpa dengan Suhaili dengan
menaiki bas. Zahar sengaja datang awal untuk duduk-duduk
sambil minum di sebuah warung. Mereka sengaja berjumpa di
Alor Setar supaya tidak di ketahui oleh orang kampung dan tidak
mahu perjumpaan mereka boleh menimbulkan cerita yang
kurang enak. Zahar mundar-mandir di ruang legar tingkat bawah
City Point sementara menuggu kehadiran Suhaili. Ketika Zahar
berdiri di tepi tangga menghadap jalan, kelihatan Suhaili sedang
melintas jalan dan datang ke arahnya. Suhaili yang berpakaian
skirt berwarna merah jambu, kembang berkedut dan baju juga
berkedut di bahagian hadapan cukup menarik hati Zahar. Mereka
ke Restoran KFC yang terletak di sebelah kompleks MPKS.
Selepas duduk membuat pesanan mereka bertanya khabar.
Sambil menikmati hidangan Zahar menyatakan tujuannya
berjumpa dengan Suhaili. Zahar memberitahu yang dia telah
mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke IKM. Suhaili
memandang rendah dan mempersoalkan cabaran yang pernah
dilontarkannya kepada Zahar ketika di bangku sekolah dahulu.
Zahar menjelaskan yang dia tidak pernah melupakan cabaran
yang pernah dibuat oleh Suhaili tetapi memberikan alasan
bahawa ibunya tidak mampu untuk menampung pengajiannya.
Zahar juga menyatakan walaupun gagal menyahut cabaran
Suhaili dia tetap ingin membuktikan bahawa masih ada jalan lain
untuk berjaya dalam hidup. Suhaili tetap dengan pendiriannya
dan memperlekehkan hasrat Zahar. Suhaili tergesa-gesa
membuat bayaran dan terus meninggalkan Zahar. Zahar berasa
curiga dan mengikori Suhaili tampa pengetahuannya dan
mendapati Suhaili menaiki kereta yang dipandu oleh seorang
lelaki tampan yang berusia lingkungan tiga puluhan dan terus
meninggalkan tempat tersebut.
5 Pak Yusuf menegur sikap zahar yang dari pagi kelihatan muram.
Pak Yusuf cuba bertanya tentang masalah Zahar yang
menyebabkan dia bersikap demikian. Zahar menyembunyikan
sebab sebenar dan memberikan alasan yang lain. Mak Temah
bertanya Zahar kemana Zahar pergi semalam dan tidak
kelihatan. Zahar menyatakan yang dia ke Alor Setar untuk
membeli barang keperluan sebagai persediaan ke IKM. Pak
Yusuf mempelawa Zahar untuk makan tengah hari di rumahnya.
6 Zahar ditemani Pak Yusuf pergi ke Sungai Petani dengan
menaiki teksi kepunyaan Pak Usin untuk mendaftar di IKM. Teksi
tersebut juga dinaiki oleh Tauke Lim yang mempunyai hal
mustahak di Sungai Petani. Dalam perjalanan mereka
bersembang mengenai masa depan pelajar lulusan ITM dan IKM.
Peluang kerja bagi pelajar lepasan ITM dan IKM dikatakan
mempunyai peluang kerja yang baik dalam sektor kerajaan dan
juga swasta. Ingatan Zahar terimbas kejadian Suhaili dan
pemuda kacak di Alor Setar tempoh hari. Sesampainya di IKM
Zahar terus menuju ke tempat pendaftaran. Setelah selesai
mendaftar Zahar kembali mendapatkan Pak Yusuf. Kelihatan Pak
Yusuf sedang duduk di bangku simen dengan seorang lelaki
separuh umur, berbadan tegap dan bersongkok. Pak Yusuf
memperkenalkan Zahar kepada Pak Cik Kamil yang sama-sama
datang mendaftarkan anak perempuanya yang bernama Norimi.
Ketika Norimi datang kepada mereka Pak Cik Kamil
memperkenalkan Norimi kepada Zahar dan Pak Yusuf. Mereka
berbual seketika dan seterusnya beredar ke asrama. Setelah
mendapatkan kunci bilik Zahar dan Pak Yusuf bergerak ke
asrama. Mereka tertarik dengan beberapa orang pelajar yang
sedang berkerumun di hadapan papan kenyataan. Zahar
membaca poster berkenaan minggu suai kenal pelajar baru yang
perlu berkumpul di padang pada jam 230 petang. Zahar kembali
melangkah di ikuti pak Yusuf dengan persoalan yang bermain di
fikirannya mengenai minggu suai kenal tersebut.
7 Bermulanya kehidupan Zahar sebagai pelajar IKM. Pada waktu
petang selepas pendaftaran bermula program oriantasi pelajar
baharu IKM. Pelajar senior mengarahkan semua pelajar baru
berkumpul di padang untuk tujuan gotong royong. Zahar bersama
rakan-rakan baharunya membersihkan kawasan belakang IKM
yang akan didirikan bangunan asrama baharu. Pelajar-pelajar
dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang di ketuai oleh
seorang pelajar senior. Pelajar perempuan ditugaskan untuk
mengangkat rumput yang telah ditebas untuk dibawa ke tempat
pembakaran. Selepas selesai gotong royong mereka diarahkan
ke dewan makan untuk minum petang. Setelah selesai minum
pelajar diberi masa untuk berehat dan menguruskan diri.
Program disambung pada sebelah malamnya.
8 Minggu suai kenal sudah berakhir. Semua pelatih baru telah
ditempatkan dalam kelas mengikut bidang kursus masing-
masing. Cikgu Baharum, guru kelas Zahar memulakan kelas
dengan memberi peluang kepada pelatih-pelatihnya untuk
berkenal-kenalan dengan lebih dekat. Seterusnya cikgu Baharum
memberikan penerangan ringkas latihan Pertukangan Perabut.
Zahar berasa kagum melihat peralatan yang serba lengkap di
dalam bengkel. Cikgu Baharum membawa semua pelatihnya ke
stor menyimpan pelbagai jenis kayu dan papan bermacam-
macam ukuran. Zahar dan pelatih-pelatih lain tertarik melihat
deretan mesin yang terletak di sebelah stor itu. Pada akhir kelas,
Cikgu Baharum membahagi-bahagikan alat pertukangan yang
perlu kepada pelatih-pelatihnya. Cikgu Baharum menyampaikan
sedikit nasihat kepada semua pelatih. Zahar berjanji pada dirinya
untuk berusaha bersungguh-sungguh menjadi seorang pelatih
yang berjaya dan membuktikan anggapan sesetengah orang
yang memandang rendah terhadap lulusan IKM itu tidak benar.
Selepas minum petan, Zahar berjumpa dengan Norimi untuk kali
pertama sejak selesainya minggu suai kenal. Mereka berbual-
bual sambil ditemani oleh Ramli dan Habsah. Mereka merancang
untuk keluar ke Sungai Petani untuk membeli alat-alat lukisan
untuk kegunaan Norimi dan Habsah.
9 Zahar pulang ke kampung pada pagi hari sabtu setelah beberapa
minggu berada di IKM. Zahar berasa pelik dengan suasana
kampung setelah mula melangkah masuk ke kampungnya. Dua
tiga orang laju berbasikal menuju ke rumah Pak Karim. Di sudut
halaman rumah Pak Karim yang luas itu kelihatan orang sedang
memasak menggunakan kawah yang besar dan suasana agak
riuh rendah. Zahar terfikir bermacam-macam perkara walaupun
pada hakikatnya dia tidak mahu memikirkan hal keluarga Pak
Karim. Zahar terus melangkah pulang ke rumahnya. Adiknya
Zakri memaklumkan bahawa abang dan emaknya pergi ke rumah
pak karim makan kenduri. Zahar menyalin pakaian dan terus
turun untuk ke rumah Pak Yusuf. Rumah Pak Yusuf lenggan
kerana Pak Yusuf dan isnterinya ke rumah Pak Karim. Zahar
masuk kebangsal pertukangan Pak Yusuf melihat keadaan
sekeliling yang tidak banyak berubah. Terdapat sebuah almari
pakaian yang sudah berdiri tegak. Dia teringat akan pesanan
Cikgu Baharum bahawa perabut yang bermutu tinggi bukan
terletak pada ukiran yang unik tetapi juga pada kerja yang
cermat, teliti, halus dan berseni. Zahir terbayang suasana kenduri
di rumah Pak Karim. Zahar di sapa oleh Pak Yusuf yang baharu
saja tiba di rumah. Pak Yusuf bertanyakan zahar bilakah dia
sampai dan adakah dia pergi ke majlis kenduri di rumah Pak
Karim. Zahar mengatakan yang dia baru sahaja tiba dan segan
untuk ke majlis tersebut. Zahar terbayang bengkel baru yang
lebih maju beroperasi di rumah Pak Yusuf. Lamunan Zahar putus
dan dia melihat Mak Temah berjalan menuju ke arahnya. Mak
Temah mengusik Zahar dan bertanyakan soal Suhaili. Mak
Temah mengajak Zahar untuk makan nasi kenduri yang dibawa
pulang dari rumah Pak Karim.
10 Setiap awal bulan, suasana di pejabat IKM agak sibuk. Zahar dan
pelatih-pelatih berbaris menunggu giliran untuk mengambil wang
imbuhan masing-masing. Setelah menandatanggani baucar,
wang imbuhan sebanyak RM 200 yang diterimanya dengan
perasaan gembira dan bersyukur. Dengan wang itulah dia
menampung perbelanjaannya di IKM. Setelah mengambil
imbuhan, Zahar segera keluar menuju ke tempat surat. Kelihatan
Norimi dan Habsah sedang melihat sampul-sampul surat yang
hampir memenuhi rak. Habsah menyatakan ada surat untuk
Zahar. Norimi bertanyakan daripada siapa surat tersebut dan
Zahar menjelaskan bahawa surat ini datangnya daripada adiknya
di kampung. Norimi tidak berpuas hati dan merampas surat itu
daripada Zahar untuk melihat sampulnya. Norimi menyatakan
surat itu bercop posnya di Shah Alam dan tulisan orang
perempuan sambil melirik senyuman kelat kepada Zahar. Zahar
meminta semula surat itu daripada Norimi dan menafikan
dakwaan Norimi itu. Perbualan mereka terhenti apabila pengetua
keluar dari pejabat dan Zahar melangkah pantas menuju ke
kelasnya. Zahar membelok ke tandas dan menatap sampul surat
di tanganya. Dengan tidak sabar dia terus membuka sampul
surat dan membacanya. Rupa-rupanya surat itu dikirim oleh
suhaili. Isi surat tersebut menyatakan hasrat Suhaili untuk
meleraikan ikatan hati kerana masing-masing memilih haluan
yang berbeza. Suhaili juga menyatakan rasa hampa dengan jalan
yang dipilih oleh Zahar dan beranggapan haluan yang dipilih oleh
Zahar tiada masa depan. Niatnya untuk membuang air kecil
terbantut disitu sahaja dan terus bergegas keluar dan berlajan
pantas masuk semula ke kelasnya. Zahar meneruskan kerjanya
menyiapkan sebuah kerusi. Sementara menunggu cikgu
Baharum datang untuk melihat hasil kerjanya, fikirannya terbawa
kembali pada surat yang diterimanya. Surat itu tidak akan
mematahkan semangat, sebaliknya terus menguatkan tekadnya
untuk mencapai cita-citanya .Zahar berazam untuk membuktikan
bahawa dia boleh menjadi manusia yang berjaya dalam hidup
yang penuh pancaroba ini.
11 Norimi dan Zahar bertengkar mengenai surat yang diterima
Zahar tempoh hari. Dengan rasa tidak puas hati Zahar
memberikan surat tersebut untuk di baca oleh Norimi. Setelah
selesai membaca barulah Norimi tahu perkara sebenar yang di
hadapi Zahar. Norimi datang menghampiri Zahar yang ketika itu
sedang berdiri menghadap padang memerhatikan rakannya
bermain bola sepak. Zahar tidak menghiraukan Norimi. Norimi
meminta maaf atas sikapnya yang suka mengusik Zahar
mengenai surat tersebut. Zahar berharap agar Norimi berpuas
hati dengan ini kandungan surat tersebut dan meminta Norimi
menjadi penawar luka hatinya. Ramli menjerit memanggil Zahar
dari tengah padang dan Maarof berlari-lari anak menghampiri
zahar dan mengajak Zahar dan mengajaknya berlatih bersama
kerana kekurangan pemain.
12 Bas yang membawa pasukan bola sepak IKM Sungai Petani dan
penyokong-penyokongnya bergerak meninggalkan perkarangan
IKM Alor Setar. Maarof sebagai ketua pasukan memuji Zahar
kerana menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan
persahabatan tersebut dan meminta rakan-rakan memberikan
tepukan kepada Zahar. Zahar dengan rasa rendah diri
menyatakan kejayaan pasukannya bukan hanya bergantung
kepada dirinya seorang tetapi kerjasama semua pemain dan
penyokong-penyokong. Maarof juga meminta semua pemain
turun berlatih untuk memperkemaskan permainan bagi
menghadapi perlawanan akan datang.
13 Perlawanan timbal balik pertandingan bola sepak di antara
pasukan bola IKM Alor Setar dan pasukan IKM Sungai Petani
berlangsung sengit. Namun pasukan bola sepak IKM Sungai
Petani memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan 1-0.
Kemenangan mereka dibantu oleh ketangkasan Redzuan
menjaga gawang dan sokongan pelatih dan tenaga pengajar
yang memberikan sokongan di tepi padang. Pasukan bola sepak
Sungai Petani tidak begitu meraikan kejayaan kerana
menghormati pasukan lawan sehingga mereka pulang. Mereka
merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan
dengan pihak luar untuk mengeratkan perhubungan.
14 Sebelum bermulanya peperiksaan, semua kegiatan luar
ditangguhkan sementara waktu. Semua pelatih gigih membuat
persediaan untuk peperiksaan. Pelatih-pelatih baharu akan
mengambil peperiksaan asas. Zahar awal-awal lagi berazam
untuk mencapai kejayaan yang cemerlang. Tiba hari peperiksaan
semua pelatih awal-awal lagi sudah berada di dalam bengkel.
Tanpa melupakan pesanan Cikgu Baharum, Zahar memulakan
peperiksaan dengan tenang. Hari pertama peperiksaan berakhir,
Zahar berasa cukup puas hati dengan hasil kerjanya. Bila
peperiksaan di sambung keesokan harinya, Zahar semakin yakin
dengan kebolehan dirinya. Dua minggu selepas peperiksaan,
semua pelatih bercuti semester selama tiga minggu. Cuti adalah
peluang yang dinantikan oleh Zahar untuk mempraktikkan
kemahiran yang ditimbanya di IKM bagi membantu Pak Yusuf di
bengkelnya.
15 Kesempatan bercuti di kampung memang menggembirakan
Zahar. Apatah lagi keadaan ibunya sihat dan dapat bekerja
dengan baik. Cuma mengusik hatinya apabila terpaksa melintasi
rumah Suhaili untuk sampai ke rumahnya.Walaupun hatinya
terusik, pada masa yang sama usikan itu menguatkan lagi
awamnya untuk mengorak langkah hingga ke mercu kejayaan.
Selepas sarapan pagi, Zahar terus ke rumah Pak Yusuf. Pak
Yusuf terkejut dengan kepulangan Zahar dan mereka berbual-
bual dengan mesra. Kemunculan Mak Temah membantutkan
perbualan mereka. Mak Temah juga terkejut dengan kedatangan
Zahar pada pagi itu. Pada masa yang sama gembira kerana
Zahar dapat membantu Pak Yusuf yang akhir-akhir ini banyak
mendapat tempahan membuat perabot.
16 Setelah tiga bulan menunggu denga penuh debaran, keputusan
peperiksaan yang di nanti-nantipun diumumkan. Zahar telah lulus
dengan cemerlang. Cikgu Baharum juga tersenyum girang
kerana hanya seorang sahaja pelatihnya gagal dan dikehendaki
mengulang semula peperiksaan. Cikgu Baharum memberi
nasihat kepada semua pelatihnya agar tidak lalai dan berpuas
hati dengan kejayaan yang dicapai. Suasana gembira dengan
keputusan peperiksaan bukan sahaja tercetus dalam kalangan
pelatih-pelatih Pertukangan Perabut tetapi juga semua pelatih
yang mengambil peperiksaan asas. Norimi juga mendapat
keputusan yang cemerlang.
17 Enam bulan yang dilalui terasa cukup singkat. Pelatih-pelatih
perlu bekerja keras menjalani latihan yang lebih intensif kerana
akan menduduki dua peperiksaan dalam masa yang singkat.
Zahar tidak menghadapi sebarang masalah. Doa restu daripada
ibu dan dorongan daripada Pak Yusuf membuatkan fikirannya
sentiasa tenteram dan bersemangat untuk berjaya dalam
peperiksaan berikutnya. Dalam masa yang sama, ingatannya
pada Suhaili kian luput. Pengalaman pertama semasa
menduduki peperiksaan asas, bayak membantu Zahar dan
rakan-rakannya ketika menduduki peperiksaan peringkat
pertengahan. Peperiksaan akhir sijil IKM pula diadakan selepas
tiga minggu peperiksaan peringkat pertengahan. Zahar dan
rakan-rakannya menduduki peperiksaan itu dengan lebih yakin.
Seminggu sebelum bermulanya cuti semester ketiga, pelatih-
pelatih di maklumkan mengenai latihan di dalam loji yang
diwajibkan kepada mereka. Zahar yang tidak banyak kerenah
dan sanggup di hantar kemana sahaja, menerima dengan
senang hati tawaran latihan di dalam loji di sebuah kilang perabot
di Kemunting, Perak. Begitu juga dengan Ramli, Habsah, dan
Norimi yang mendapat tempat latihan dalam loji pilihan masing-
masing. Satu majlis perpisahan telah diadakan secara sederhana
sahaja. Pengetua berucap memberikan kata-kata nasihat kepada
pelatih-pelatih yang telah tamat kursus mereka. Majlis
peperiksaan yang diatur secara tidak formal pada malam itu
berlangsung dalam suasana yang mengharukan kerana
mengenagkan kemesraan yang terjalin selama ini akan berakhir
dengan peperiksaan.
18 Selama tiga minggu bercuti di kampung, Zahar sibuk dengan
kerjanya. Setelah seminggu membantu ibunya, barulah zahar
berpeluang pak Yusuf pula. Selepas menghabiskan cuti, Zahar
ke Taiping untuk menjalani latihan dalam loji di kilang perabot
Usaha Bersatu Sendirian Berhad. Ketua Unit Personel
menyambut ketibaan Zahar dengan mesra. Seterusnya Zahar
diperkenalkan kepada Encik Manaf, Penyelia Unit Pengeluaran.
Zahar di bawa ke blok pengeluaran untuk melihat operasi
pengeluaran perabot. Pada waktu rehat tengah hari, Zahar
berpeluang berkenalan dan beramah mesra dengan pekerja
kilang. Di situlah Zahar berkenalan dengan Razali yang
mengajaknya tinggal bersama-sama.
19 Suhaili gelisah apabila terpandang Zahar dari dalam pejabatnya.
Suasana pejabat yang dingin ibarat haba pada waktu itu.
Perasaan Suhaili bercampur baur dan dia berasa tidak
bersemangat untuk meneruskan kerjanya. Suhaili berjalan ke
bahagian Personel yang terletak tidak jauh dari bahagian
pemasaran untuk berjumpa Miss Ooi, Ketua Unit Personel
bertanyakan tentang Zahar.
20 Setelah dua minggu mengikuti latihan, Zahar sudah dapat
menyesuaikan diri sepenuhnya dengan suasana kerja di kilang.
Dia mudah didekati dan hubunganya dengan rakan-rakan sekerja
begitu mesra walaupun baru dua minggu bertegur sapa. Zahar
bertuah dapat berkawan dengan Razali yang rajin dan tidak
banyak kerenah. Zahar yang ditugaskan di bahagian
pemasangan, bekerja dengan tekun. Zahar dikejutkan oleh
kedatangan Encik Manaf yang memaklumkan Ketua Unit
Pemasaran ingin berjumpa dengannya. Zahar terus ke bahagian
pemasaran dengan perasaan berdebar dan tertanya-tanya.
Zahar amat terkejut kerana orang yang ingin berjumpanya ialah
kawan lamanya, Suhaili. Zahar serius dalam perbualan mereka
namun Suhaili kelihatan cuba untuk senyum dan berbaik-baik.
Kerana berselisih pendapat Zahar dan Suhaili bertengkar
sehingga menyebabkan Zahar bangun meninggalkan bilik
dengan tergesa-gesa.
21 Zahar duduk di meja ruang tamu menghirup kopi setelah pulang
dari kerja. Dia teringat rakan-rakannya di kampung dan juga
Norimi yang merupakan kawannya di IKM. Surat tidak sempat
untuk di hantar kerana dia tidak ada perasan untuk menulis
surat. Ketika mula menulis, Razali tiba dengan membawa
bungkusan plastik berisi kuih. Zahar berhenti menulis dan
menikmati minum petang bersama Razali. Ketika minum
bersama, razali bertanyakn Zahar yang kelihatan muram setelah
berjumpa dengan Penolong Ketua Unit Pemasaran. Pada
mulanya Razali ingin merahsiakan hal tersebut tetapi akhirnya
terpaksa menceritakan perkara yang sebenar kepada Razali.
22 Setelah berbulan bulan menjalani latihan, Zahar menerima berita
gembira yang dia telah lulus dengan cemerlang dalam
peperiksaan pertengahan tahun dengan mendapat pangkat satu.
Zahar sedar Suhaili cuba berbaik semula dengannya tetapi dia
masih mampu mengelak daripada berselisih dengan Suhaili. Dia
juga tahu Suhaili masih berhasrat untuk menemuinya. Bukan dia
tidak mahu menemui Suhaili, tetapi bagi Zahar tiada gunanya dia
menemui Suhaili untuk berbual kosong kerana hal tersebut hanya
akan mengembalikan kenangan lama. Kenangan lama akan
tetap di padamkan dengan apa jua cara. Dia lebih senang
berehat selepas pulang dari kerja. Jika tidak berjoging atau ke
bandar Taiping untuk membeli keperluan, masanya dihabiskan
dengan menulis dan membalas surat kawan-kawannya. Zahar
lebih tertarik membaca surat daripada Norimi yang penuh dengan
kata-kata puitis dan ada persoalan yang sukar untuk dijawab.
Pengalaman telah mengajarnya supaya tidak terlalu emosional.
Dia tidak mahu terperangkap dalam sangkar rasa yang boleh
menggoyahkan cita-cita yang belum tercapai. Tempoh enam
bulan menemui kesudahannya. Begitu cepat masa berlalu
meninggalkan kenangan manis dan pahit sepanjang menjalani
latihan di dalam loji. Zahar terharu apabila diraikan dalam satu
majlis ringkas yang di adakan untuknya. Selepas majlis itu
berakhir, dia sempat bertemu dengan Suhaili.
23 Setelah berfikir masak-masak Zahar membuat keputusan
bahawa bengkel perabot yang akan didirikannya mestilah terletak
atas tanah milik ibunya sendiri. Zahar bersyukur dengan
pembangunan kampungnya dan berasa rugi jika pembangunan
yang di salurkan oleh kerajaan tidak di manfaatkan sepenuhnya
oleh masyarakat setempat. Ibunya cukup gembira mendengar
perancangannya untuk membina bengkel perabot di halaman
rumah mereka dan Pak Yusuf tidak membantah. Zahar berasa
dirinya cukup bernasib baik kerana pinjaman yang dimohonnya
lulus dalam masa yang singkat. Sumbangan Pak Yusuf dan wang
elaun serta saguhati semasa menjalani latihan di dalam loji
dahulu membolehkannya membina sebuah bengkel lengkap
dengan mesin utama. Masyarakat kampung bekerjasama
mendirikan bengkel tersebut dan disajikan dengan jamuan
makan tengah hari.
24 Bengkel Perabot Meniti Impian semakin dikenali ramai setelah
tersiarnya rencana “Kejar Kejayaan Selepas Dihina Kekasih”.
Zahar memilih nama “Meniti Impian” kerana nama itulah paling
sesuai bagi mendukung makna yang besar dan tersendiri pada
dirinya. Perniagaanya semakin maju, malah Zahar juga
menawarkan tiga tempat di bengkelnya kepada pelatih
Pertukangan Perabot yang terlibat dengan latihan di dalam loji.
Pak Yusuf memainkan peranan penting dalam membantu Zahar
memasarkan perabutnya. Zahar sendiri juga berusaha untuk
mendapatkan pasaran luar bagi mengembangkan lagi
perniagaannya. Pihak mara juga cuba membantu untuk
memasarkan barangan pengusaha-pengusaha perabut
bumiputera. Ketika berehat di ruang tamu bersama Pak Yusuf
selepas makan tengah hari, posmen tiba dan menghulurkan dua
pucuk surat kepada zahar. Zahar mendapat dua pucuk surat
daripada Suhaili dan Norimi. Pak Yusuf dan Mak Kiah
bertanyakan Zahar dari mana datangnya surat tersebut. Zahar
menyatakan surat tersebut daripada Norimi yang mengatakan
akan datang pada hari penyampaian sijil di IKM bersama
ayahnya nanti.
SINOPSIS
KESELURUHAN
Mengisahkan kegigihan seorang remaja, Zahar yang menjadi
pelatih di IKM dalam bidang pembuatan perabot. Zahar
merupakan seorang remaja yang amat yakin dengan pegangan
hidupnya dan ingin berdikari untuk mencapai cita-citanya.
Perjalanan hidupnya dipenuhi pelbagai konflik tetapi dia terus
berusaha memastikan konflik yang dialami tidak menghalang
cita-citanya. Kehadiran Suhaili dan Norimi dalam hidupnya
mempertemukannya dengan konflik cinta, cemburu dan
semacam dendam. Suhaili merupakan sahabat baiknya ketika di
bangku sekolah seperti menghinanya kerana menyambung
pelajaran di IKM dan meninggalkannya. Norimi pula cuba
memahami keadaannya dan bersimpati tetapi agak cemburu.
Dengan keyakinan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-
sungguh serta sokongan keluarga, rakan-rakan dan pihak MARA,
akhirnya Zahar berjaya mendirikan bengkel perabutnya sendiri.
TEMA Kegigihan seorang remaja dalam mengejar cita-citanya untuk
menjadi seorang usahawan.
- Zahar gigih menuntut ilmu di IKM dalam bidang
pertukangan kerana ingin mencapai cita-citanya untuk
menjadi usahawan perabot yang cemerlang.
- Kegigihan juga dapat digambarkan melalui usahanya
membantu bengkel Pak Yusuf dalam menyiapkan
tempahan setiapa kali pulang bercuti di kampung.
PERSOALAN 1. Usaha yang membawa kejayaan
- Zahar sangat tekun berusaha menuntut ilmu di IKM dan
menjalani latihan dalam loji yang akhirnya berjaya
mempunyai bengkel perabotnya sendiri.
2. Minat dan kebolehan diri
- Pak Yusuf membuka bengkel perabot secara kecil-kecilan
walaupun dia tidak mempunyai sijil kemahiran dalam
bidang tersebut.
- Zahar sangat meminati bidang pertukangan dan banyak
belajar daripada Pak Yusuf sehingga dia berjaya menjadi
pelajar cemerlang di IKM
3. Konflik percintaan dalam kalangan remaja
- Zahar mempunyai perasaan terhadap Suhaili tetapi Suhaili
tidak menyukai Zahar kerana taraf pendidikan mereka
berbeza.
- Norimi menaruh perasaan kepada Zahar tetapi amat
cemburu.
4. Keharmonian hidup di kampung
- Majlis kenduri kesyukuran yang berlangsung di rumah Pak
Karim dihadiri oleh semua orang kampung yang
membantu dalam menyediakan hidangan untuk majlis
tersebut.
- Orang kampung bergotong-royong membantu Zahar untuk
mendirikan bengkel perabotnya dan Zahar menjamu
mereka dengan hidangan tengah hari.
5. Persahabatan yang ikhlas
- Razali ikhlas membantu Zahar ketika Zahar menjalani
latihan dalam loji dengan menumpangkan Zahar di
rumahnya.
- Zahar dan rakan-rakan di IKM serta di kampung saling
memberi sokongan antara satu sama lain.