UCAPAN DASAR KERAJAAN TUAN YANG TERUTAMA … · ditambahbaik di dalam menghadapi cabaran yang...
Transcript of UCAPAN DASAR KERAJAAN TUAN YANG TERUTAMA … · ditambahbaik di dalam menghadapi cabaran yang...
1
UCAPAN DASAR KERAJAAN
OLEH
TUAN YANG TERUTAMA
YANG DI-PERTUA NEGERI
TUN DATUK SERI PANGLIMA
HAJI AHMADSHAH BIN ABDULLAH
SEMPENA
PEMBUKAAN RASMI PENGGAL KETIGA
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KETIGA BELAS
PADA 15 APRIL 2010
2
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian
1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan
ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-
Nya, maka dapatlah kita berhimpun dalam Dewan yang mulia
ini untuk mengadakan Persidangan Penggal Ketiga Dewan
Undangan Negeri ke-13 ini.
2. Tahun ini adalah amat penting kerana ia merupakan
tahun terakhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9)
dan kini kita berada di ambang Rancangan Malaysia
Kesepuluh (RMKe-10). Saya percaya inilah waktunya untuk
kita melihat ke belakang dan menilai semula pencapaian kita
di sepanjang tempoh RMKe-9 dan di samping itu,
membolehkan kita mengkaji kekuatan-kekuatan yang kita
3
miliki dan juga mengenalpasti bidang-bidang yang boleh
ditambahbaik di dalam menghadapi cabaran yang mendatang.
3. Dekad yang mendatang bukan sahaja penting malah
boleh dianggap kritikal, sesuai dengan hasrat kita untuk
menjadikan Sabah sebuah negeri yang berpendapatan tinggi
selaras dengan hasrat dan matlamat menjadikan Sabah
antara negeri termaju di Malaysia.
4. Sehubungan itu, saya berasa bangga kerana sejak
lebih sedekad lalu, negeri Sabah telah melalui perubahan
demi perubahan yang meliputi hampir seluruh daerah serta
bandar-bandar utama di negeri ini. Akibat perubahan itu,
negeri Sabah dilihat sebagai antara negeri yang bukan sahaja
cepat malah pesat membangun, hasil daripada usaha gigih
dan kesungguhan yang diperjuangkan oleh Kerajaan Barisan
Nasional Negeri Sabah.
5. Justeru, suka saya mengambil kesempatan ini untuk
merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Barisan
Nasional Negeri Sabah, kini di bawah pimpinan YAB Datuk
4
Seri Panglima Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah,
berserta barisan kabinet beliau, yang bekerja keras,
berkomitmen tinggi dan berkhidmat dengan penuh dedikasi
dalam memastikan pembangunan tercapai, perubahan
berlaku dan taraf hidup ditingkatkan demi kemajuan dan
kesejahteraan rakyat seluruhnya.
6. Amalan turun padang, meninjau masalah rakyat dan
menyelami hati nurani golongan akar umbi yang kini menjadi
amalan pemimpin Barisan Nasional di seluruh negara,
termasuk di negeri ini, bukan sahaja amat dialu-alukan,
bahkan disanjung tinggi. Amalan ini perlu diperhebatkan lagi
dengan mengadakan lebih banyak program-program mesra
rakyat agar rintihan rakyat dapat terus didengar dan nasib
mereka dapat terus dibela sesuai dengan Gagasan
1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
KEMAJUAN DI BAWAH RMKe-9
5
7. Tempoh tahun 2006-2010 merupakan satu tempoh
yang sangat mencabar di mana kita menghadapi cabaran-
cabaran yang hebat seperti krisis kewangan dan ekonomi
global, wabak selesema H1N1, isu kekurangan makanan
global, kekerapan berlaku bencana seperti gempa bumi, ribut,
banjir, kebakaran dan cuaca yang tidak menentu.
8. Sungguhpun tidak terkecuali daripada mengalami
kesan daripada krisis ekonomi global, pelaburan swasta di
negeri ini telah bertahan pada tahap sederhana. Sebahagian
besar pelaburan tersebut telah disalurkan kepada sektor-
sektor hartanah, insurans dan pembinaan. Pelaburan-
pelaburan baru dalam 4 tahun pertama RMKe-9 telah
mencapai RM15.6 bilion.
9. Di bawah tempoh RMKe-9, pertumbuhan pesat sektor
pelancongan terus dirasai walaupun dengan keadaan
kelembapan ekonomi global. Jumlah ketibaan pelancong pada
4 tahun pertama RMKe-9 direkodkan mencapai sekitar 9 juta
orang, berbanding lebih kurang 7 juta orang pada lima tahun
pertama dalam tempoh RMKe-8. Selari dengan trend
6
peningkatan itu, jumlah hotel di negeri ini juga meningkat
kepada 443 buah hotel pada tahun 2009 berbanding 279
buah hotel pada tahun 2005 iaitu penghujung RMKe-8.
Jumlah bilik hotel juga bertambah daripada 11,528 bilik
dalam tahun 2005 kepada 18,065 bilik dalam tahun 2009.
Jumlah penerbangan terus antarabangsa (direct flight) ke
negeri Sabah juga telah diperluaskan daripada hanya 78
penerbangan dalam tahun 2006 kepada 108 penerbangan
bagi 13 destinasi dalam tahun 2009.
10. Sumbangan positif sektor pelancongan kepada negeri
adalah amat memberangsangkan. Pada tahun 2009,
pendapatan daripada sektor ini mencecah kepada RM3.86
bilion. Dari segi peluang pekerjaan, sektor hotel dan restoran
telah menawarkan sejumlah 83,384 peluang kerja pada tahun
2009, berbanding sebanyak 64,977 peluang kerja pada
tahun 2006.
11. Sektor pertanian juga berkembang di mana jumlah
kawasan tanah untuk pertanian telah meningkat iaitu daripada
1.41 juta hektar pada tahun 2006 kepada 1.48 juta hektar
7
pada tahun 2008. Peningkatan ini disebabkan oleh
pertambahan tanah pertanian untuk tanaman kelapa sawit
yang telah meningkat daripada 1.24 juta hektar pada tahun
2006 kepada 1.33 juta hektar pada tahun 2008. Di samping
itu, perkembangan sektor ini juga adalah disebabkan oleh
peningkatan penyertaan yang signifikan oleh pekebun-
pekebun kecil yang berkecimpung dalam bidang perusahaan
minyak kelapa sawit.
12. Pengeluaran sektor perikanan juga telah menunjukkan
prestasi yang memberangsangkan dalam tempoh RMKe-9.
Pengeluaran di sektor ini telah meningkat sebanyak 8,000 tan
untuk mencapai pengeluaran sebanyak 200,000 tan pada
tahun 2008. Pengeluaran daripada aktiviti-aktiviti akuakultur
juga telah menunjukkan peningkatan yang besar iaitu
daripada 4,373 tan kepada 7,821 tan bagi tempoh yang sama.
Demikian juga, nilai pengeluaran rumpai laut turut
menunjukkan peningkatan iaitu daripada RM6.9 juta pada
tahun 2006 kepada RM44.5 juta pada tahun 2008. Dalam
tempoh dua tahun, jumlah nilai pengeluaran perikanan negeri
telah meningkat daripada RM700 juta kepada RM750 juta
pada tahun 2008.
8
13. Sektor penternakan juga menunjukkan kemajuan
dengan jumlah pengeluaran daging lembu telah meningkat
daripada 250 tan dalam tahun 2006 kepada 340 tan pada
tahun 2008 iaitu mewakili lebih kurang 30% daripada jumlah
permintaan domestik. Sabah telah mencapai tahap sara diri
100% dalam pengeluaran hasil-hasil ternakan lain.
14. Dalam tempoh empat tahun pertama di RMKe-9 (2006-
2009), jumlah pelaburan yang telah diluluskan di sektor
pembuatan mencapai RM15.6 bilion berbanding hanya RM5.9
bilion dalam RMKe-8. Ini merangkumi 251 buah projek dengan
jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan sekitar 16,000. Di
Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) sahaja, terdapat 206
buah entiti yang sedang beroperasi dan menyediakan
pekerjaan kepada 6,189 orang. Tahun 2010 ini juga
menyaksikan permulaan bagi Terminal Simen Pukal yang
berkapasiti 400,000 metrik tan di Lahad Datu. Manakala bagi
Kelompok Industri Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, terdapat
sejumlah 24 pelabur yang melabur di dalam negeri dengan
jumlah nilai pelaburan mencecah RM1.7 bilion. Daripada 24
9
buah projek tersebut, 4 buah kilang telahpun beroperasi dan
menawarkan pekerjaan kepada 450 orang. Pelabuhan khusus
untuk kegunaan POIC di Lahad Datu juga sedang
dibangunkan.
15. Pembangunan di dalam Koridor Pembangunan Sabah
(SDC) ketika ini juga menunjukkan prestasi yang baik.
Sebahagian besar projek-projek di bawah SDC telahpun mula
dilaksanakan. Setakat bulan Februari 2010, sebanyak RM116
juta telahpun dibelanjakan. Pelaburan pihak swasta di dalam
SDC setakat ini adalah sebanyak RM17.7 bilion.
16. Saya juga berbesar hati untuk memaklumkan bahawa
kualiti hidup rakyat telah meningkat iaitu dengan penyediaan
pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang berkualiti sejak
tahun 2006. Dari segi kemudahan kesihatan, terdapat 22 buah
hospital dan 270 buah klinik kesihatan kerajaan termasuk
klinik-klinik di kawasan Pedalaman dan 298 buah klinik
swasta. Nisbah antara doktor-penduduk adalah bertambah
baik iaitu daripada 2,935 orang penduduk bagi seorang doktor
dalam tahun 2006 kepada 2,650 orang penduduk bagi
10
seorang doktor dalam tahun 2009. Manakala dalam bidang
pendidikan pula, jumlah sekolah rendah, menengah dan
teknikal telah bertambah daripada 1,257 buah pada tahun
2006 kepada 1,271 buah pada tahun 2008.
17. Dengan jumlah pelaburan yang besar dalam sektor
infrastruktur, kemudahan-kemudahan dan utiliti-utiliti asas di
negeri ini juga semakin baik dan efisien. Dalam tahun 2008,
jumlah jalan raya yang berturap di negeri ini adalah
sepanjang 5,610 km, berbanding 5,425 km pada tahun
2006. Di bawah tempoh RMKe-9, Pelabuhan Teluk Sapangar,
Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dan
Terminal Tambang Murah (Low Cost Terminal) telah
dibesarkan dan dinaik taraf. Pada masa yang sama,
penjanaan elektrik telah dipertingkatkan daripada 3552 gwh
(gigawatt hour) pada tahun 2006 kepada 4176 gwh (gigawatt
hour) dalam tahun 2008. Jumlah bekalan air terawat yang
direkodkan pada tahap 742.8 juta liter pada tahun 2006 telah
meningkat kepada 820.5 juta liter dalam tahun 2008.
11
18. Di bawah RMKe-9, pembasmian kemiskinan kekal
menjadi agenda utama pembangunan negeri. Peningkatan
pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan telah
menampakkan beberapa kesan positif yang ketara iaitu tahap
kadar kemiskinan telah menurun daripada 23% dalam tahun
2004 kepada 16% dalam tahun 2007. Di samping itu,
kemiskinan tegar telah menurun daripada 6.5% pada tahun
2004 kepada 3.7% pada tahun 2007.
19. Dalam pada itu, peruntukan pembangunan biayaan
Kerajaan Negeri telah meningkat daripada RM2.23 bilion di
bawah RMKe-8 kepada RM4.20 bilion di bawah RMKe-9.
Pada masa yang sama, saya bagi pihak Kerajaan Negeri
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima
kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberikan
sejumlah peruntukan yang besar dalam RMKe-9 sebanyak
RM25.01 bilion, termasuk peruntukan tambahan daripada
pakej-pakej rangsangan ekonomi, Peruntukan Khas RM1
bilion dan peruntukan untuk Koridor Pembangunan Sabah
(SDC). Memandangkan tahun ini merupakan tahun terakhir
bagi RMKe-9, kita perlu memastikan semua peruntukan
dibelanjakan dengan sepenuhnya dan perbelanjaan tersebut
12
hendaklah memberi kesan langsung kepada kesejahteraan
rakyat di negeri ini.
MENUJU KE RANCANGAN MALAYSIA KESEPULUH
(RMKe-10)
20. Walaupun kita telah menyaksikan banyak
pembangunan yang positif dalam tempoh RMKe-9, negeri ini
masih berhadapan dengan cabaran-cabaran luaran dan
dalaman yang perlu ditangani. Antara cabaran utama ialah
untuk menjadikan Sabah daripada sebuah negeri yang
berpendapatan sederhana rendah kepada negeri yang
berpendapatan sederhana tinggi dan seterusnya menjadi
negeri yang berpendapatan tinggi. Untuk mencapai matlamat
ini, Sabah perlu beralih kepada negeri pengeluar produk dan
perkhidmatan yang dinilai tambah tinggi. Input-input
berasaskan pengetahuan dan inovasi yang lebih tinggi perlu
disepadukan dalam semua peringkat rantaian pengeluaran
produk dan perkhidmatan.
13
21. Piawaian antarabangsa dan tahap profesionalisme
yang tinggi perlu digunakan untuk bersaing di peringkat global
agar menjadi lebih berdaya tahan dalam jangka masa
panjang. Pada masa yang sama, persekitaran perniagaan
yang kondusif perlu diwujudkan untuk menarik pelaburan
bernilai tinggi dan berimpak besar. Untuk mencapai matlamat
itu, modal insan yang berpengetahuan dan inovatif amatlah
diperlukan untuk menyokong aktiviti-aktiviti tersebut.
22. Di samping memberi fokus untuk mengukuhkan
pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negeri, kita
hendaklah menangani isu-isu ketidakseimbangan sosio-
ekonomi dan wilayah. Ini termasuklah menangani masalah
kemiskinan, kekurangan infrastruktur serta kemudahan dan
utiliti asas seperti jalanraya, perumahan, bekalan elektrik dan
air. Di kawasan bandar, masalah-masalah berkaitan
setinggan, sistem pembetungan, pengurusan sisa pepejal,
kebersihan dan kesesakan lalu lintas perlu ditangani.
Selain itu, masalah-masalah sosial seperti buruh asing tanpa
izin, kegiatan penyeludupan, penyalahgunaan dadah dan
gejala-gejala sosial yang lain perlu ditangani secara lebih
berkesan.
14
23. Pada masa sama, ekonomi negeri Sabah juga
berhadapan dengan cabaran-cabaran yang memberi kesan
jangka panjang, mahupun secara langsung atau tidak
langsung dalam ekonomi kita. Antaranya ialah persaingan
dari negara-negara membangun dalam bidang-bidang
pelaburan, perubahan teknologi yang pantas, tsunami
ekonomi digital tanpa sempadan, negara-negara peneraju
dalam bidang pengetahuan dan inovasi, tekanan daripada
organisasi-organisasi perdagangan antarabangsa dan
peningkatan dalam perdagangan dua hala antara negara,
mobiliti pekerja dan sebagainya.
24. Dengan itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan
tujuh (7) Halatuju Strategik Pembangunan yang akan
disokong oleh Bidang-Bidang Keberhasilan Utama (KRA) di
bawah RMKe-10 iaitu:
15
1) Meningkatkan produktiviti dan kualiti dalam rantaian
ekonomi melalui penggunaan teknologi moden dan
inovasi;
2) Mempergiatkan sektor swasta yang berdaya saing
sebagai peneraju pertumbuhan termasuk bidang-
bidang baru;
3) Meningkatkan kualiti hidup masyarakat agar ia lebih
progresif;
4) Memperkasakan pendekatan pembangunan sosio-
ekonomi yang bersepadu dan seimbang;
5) Menyediakan modal insan minda kelas pertama yang
kompeten;
16
6) Memperkasakan perlindungan dan pengurusan mapan
alam sekitar serta proses pembangunan ekonomi
negeri; dan
7) Meningkatkan peranan kerajaan sebagai pemudah
cara yang efektif dan berintegriti.
MENINGKATKAN PRODUKTIVITI DAN KUALITI DALAM
RANTAIAN EKONOMI MELALUI PENGGUNAAN
TEKNOLOGI MODEN DAN INOVASI
25. Pelaburan yang lebih besar dalam Penyelidikan dan
Pembangunan (R & D) adalah diperlukan untuk meningkatkan
hasil dan produktiviti pertanian. Di samping menerima-pakai
amalan-amalan terbaik pertanian, kita juga perlu menjalankan
lebih banyak latihan pertanian untuk para petani kita di
samping mekanisma pemantauan yang efektif. Selain itu,
17
aplikasi kepakaran daripada luar negeri perlu digalakkan untuk
menyebarluaskan pengetahuan dan amalan-amalan pertanian
yang lebih berinovatif.
26. Begitu juga dalam sektor perikanan dan penternakan,
usaha perlu dipertingkatkan bagi menghasilkan bahan baka
yang berkualiti dan diusahakan secara tempatan yang
bertujuan menggantikan import baka ternakan daripada luar
negeri. Pengeluaran komersil berskala besar perlu difokuskan
kepada beberapa keluaran pertanian bernilai tinggi untuk
pasaran antarabangsa.
27. Dalam hal ini, kerjasama di antara sektor awam dan
swasta adalah penting untuk meningkatkan potensi
pertumbuhan di sektor pertanian. Tanah yang sesuai dan
mencukupi untuk aktiviti-aktiviti pertanian yang spesifik perlu
dikenal pasti dan diwartakan untuk menggalakkan pelaburan
serta mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pertanian
yang telah dirancang. Kemudahan infrastruktur pertanian dan
utiliti sokongan seperti jalan raya, sistem pengairan, bekalan
air dan elektrik yang baik perlu disediakan untuk menarik
pelabur. Sebagai contoh, Taman Kekal Pengeluaran
18
Makanan yang dilengkapi dengan kemudahan dan utiliti
sokongan akan menjadi faktor tarikan kepada pelabur-pelabur
untuk melabur di sektor pertanian di negeri ini.
28. Kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan sokongan
lain seperti pengangkutan, akses kepada teknologi dan
pengetahuan mengenai amalan-amalan terbaik pertanian,
cold storage facilities, perkhidmatan pembungkusan,
pemasaran dan kemudahan-kemudahan logistik lain yang
diperlukan dalam seluruh rantaian pengeluaran perlu dinaik
taraf serta diperluaskan.
29. Dalam usaha memastikan bekalan makanan yang
mencukupi di masa hadapan, penanaman padi akan terus
digalakkan ke arah mencapai tahap sara diri sekurang-
kurangnya 60% menjelang akhir RMKe-10. Memandangkan
negeri Sabah masih mengimport 70% daripada keperluan
daging lembu untuk penggunaan domestik, maka usaha-
usaha akan dibuat untuk meningkatkan pengeluaran daging
tersebut. Keluaran akuakultur yang bernilai tinggi dan
19
mempunyai permintaan tinggi di pasaran antarabangsa juga
perlu dipertingkatkan.
MEMBANGUNKAN SEKTOR PELANCONGAN YANG
BERINOVATIF DAN BERTARAF DUNIA
30. Kerajaan Negeri akan terus membangunkan produk-
produk dan perkhidmatan pelancongan baru dan unik untuk
menarik pelancong ke Sabah. Produk-produk pelancongan
sedia ada akan ditambah nilai dengan lebih banyak
kandungan pengetahuan, manakala perkhidmatan-
perkhidmatan pelancongan akan dinaik taraf untuk menepati
piawaian antarabangsa. Latihan dan latihan semula
gunatenaga tempatan akan terus disediakan untuk menambah
baik industri pelancongan. Usaha-usaha yang berterusan
untuk meningkatkan kreativiti pemasaran produk dan
perkhidmatan-perkhidmatan pelancongan negeri akan diberi
penekanan.
20
31. Eco-certification standards dan penggunaan teknologi
yang bersih juga akan digalakkan. Penghargaan kepada
keindahan dan keunikan flora dan fauna serta kepelbagaian
budaya dan tradisi tempatan melalui lebih banyak
dokumentasi akan digalakkan. Industri seni dan persembahan
akan dipromosikan dan disokong melalui pembinaan pusat
seni persembahan dan galeri-galeri kesenian yang dilengkapi
dengan kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang
menyokong penganjuran acara-acara bertaraf antarabangsa
seperti Mesyuarat, Konvensyen Antarabangsa, Pameran
(MICE) dan sebagainya. Bagi menggalakkan penglibatan
masyarakat tempatan terutama di kawasan Pedalaman,
program homestay akan terus dipergiatkan. Dalam hal ini,
perkara-perkara berkaitan kebersihan dan aspek
keselamatan perlu ditambah baik. Selain itu, aktiviti-aktiviti
dan acara antarabangsa dengan kesan pengganda yang
tinggi akan dipromosikan di Sabah.
INDUSTRI-INDUSTRI BERASASKAN SUMBER DAN
TEKNOLOGI YANG BERSIH
21
32. Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber
alam semulajadi, adalah sesuai bagi negeri Sabah untuk
beralih daripada aktiviti-aktiviti pembuatan bernilai rendah
kepada aktiviti-aktiviti pembuatan bernilai tinggi. Selain
daripada pembangunan dua industri kelompok minyak sawit
sedia ada, kerajaan juga akan membangunkan kelompok
industri minyak dan gas yang terdiri daripada pembuatan
berintensifkan pengetahuan dan teknologi yang tinggi.
Berasaskan kepada kekayaan sumber alam dan biodiversiti
yang dimiliki oleh negeri Sabah, maka terdapat potensi yang
besar untuk memacu industri-industri bioteknologi di negeri ini.
33. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan
melipatgandakan usaha menarik syarikat-syarikat bioteknologi
untuk melabur di Sabah. Pelaburan oleh syarikat-syarikat
besar di dalam industri pembuatan berasaskan sumber
bernilai tinggi dan teknologi hijau adalah digalakkan. Ini akan
membantu pewujudan industri dan perkhidmatan sokongan
yang diperlukan untuk membangunkan kapasiti dan
keupayaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) domestik.
Selain itu, hubungan dengan syarikat-syarikat pembuatan
22
bernilai tinggi akan menjurus pemindahan pengetahuan dan
teknologi kepada IKS tempatan.
MEMPERGIATKAN SEKTOR SWASTA YANG BERDAYA
SAING SEBAGAI PENERAJU PERTUMBUHAN TERMASUK
BIDANG-BIDANG BARU
34. Bagi membolehkan peralihan kepada ekonomi
bernilai tinggi di dalam bidang-bidang pertumbuhan baru,
adalah penting bagi negeri Sabah untuk meningkatkan daya
saing input yang diperlukan untuk menarik pelaburan
seumpama itu. Selain itu, satu lagi input utama iaitu
kecekapan perniagaan yang mana meliputi produktiviti yang
tinggi dan efisien, akses kepada dana-dana, standard amalan
pengurusan yang tinggi di samping tenaga kerja yang mahir
dan inovatif.
35. Untuk memudahcara peranan sektor swasta,
perundangan perniagaan dan rangka kerja institusi yang
23
mempunyai dasar-dasar yang jelas dan telus perlu
diwujudkan. Insentif-insentif khusus perlu disediakan untuk
mendorong pembangunan industri-industri baru.
MENINGKATKAN KUALITI HIDUP MASYARAKAT LEBIH
PROGRESIF
36. Saya berbangga kerana negeri Sabah dikurniakan
dengan kepelbagaian etnik dan budaya yang diadun dengan
prinsip-prinsip utama yang mendasari Konsep Satu Malaysia
iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of
belonging). Dengan kelebihan-kelebihan tersebut, kualiti
hidup di negeri ini boleh dipertingkatkan lagi dengan adanya
kemudahan yang berkualiti tinggi, khususnya dalam bidang
pendidikan, perkhidmatan kesihatan, pengangkutan awam,
infostruktur ICT, perumahan serta kemudahan sukan dan
rekreasi.
24
37. Selain itu, selaras dengan objektif pembangunan sosial
negara, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada
pengukuhan institusi keluarga, pewujudan masyarakat
penyayang dan bersatu padu. Sehubungan itu, perkhidmatan
kebajikan am akan terus disedia dan ditingkatkan bagi
memastikan penyaluran bantuan yang teratur kepada
golongan yang memerlukan. Program perkhidmatan
kebajikan kerajaan akan terus menumpu kepada golongan
yang teraniaya, keluarga, kanak-kanak, orang kurang upaya,
warga emas, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim dan juga
individu yang kurang bernasib baik.
38. Pada masa sama, adalah penting untuk menyemai
penghargaan kepada alam sekitar dan harta awam. Semangat
sukarelawan perlu digalakkan iaitu melalui penglibatan oleh
Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan syarikat-
syarikat korporat melalui tanggungjawab sosial korporat
masing-masing atau Corporate Social Responsibilities (CSR).
Di samping itu, usaha-usaha perlu dipertingkatkan untuk
mempromosi penghargaan kepada budaya, kesenian dan
warisan tempatan.
25
MEMPERKASAKAN PENDEKATAN PEMBANGUNAN
SOSIOEKONOMI YANG BERSEPADU DAN SEIMBANG
39. Ketidakseimbangan sosio-ekonomi masih lagi wujud di
negeri Sabah di mana kawasan-kawasan di Pedalaman
khususnya, kemiskinan masih menjadi isu utama yang perlu
ditangani. Program pembasmian kemiskinan perlu lebih
bersepadu, holistic, berimpak tinggi dan mampan. Untuk
meningkatkan taraf hidup di kawasan luar bandar, penyediaan
infrastruktur fizikal, kemudahan-kemudahan asas dan sosial
seperti yang terdapat di kawasan bandar perlu
dipertingkatkan. Sehubungan ini, saya dimaklumkan bahawa
tiga daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional
(KRA) adalah untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di
kawasan luar bandar. Penduduk luar bandar perlu dilengkapi
dengan kemahiran-kemahiran asas dan keusahawanan bagi
membantu mereka meningkatkan pendapatan yang
membolehkan mereka keluar dari belenggu kemiskinan.
26
40. Usaha-usaha untuk meningkatkan penglibatan
golongan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan industri
akan diteruskan. Latihan-latihan kemahiran dan
keusahawanan perlu diasah agar golongan Bumiputera ini
dapat melibatkan diri dengan lebih efektif dalam bidang
perniagaan. Selain itu, syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan
(GLCs) juga akan digalakkan untuk menceburkan diri dalam
pelbagai sektor ekonomi untuk menggalakkan penyertaan
golongan Bumiputera. Pada masa sama, syarikat-syarikat
Bumiputera juga adalah digalakkan untuk mengadakan
kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat besar dan maju
supaya syarikat-syarikat Bumiputera ini dapat membangun
dan berkembang.
41. Sumbangan golongan wanita kepada pembangunan
dan masyarakat akan terus dihargai. Penyertaan golongan
wanita pada semua peringkat pembangunan ekonomi dan
sosial akan digalakkan. Lebih banyak peluang-peluang
perniagaan akan diberikan kepada golongan wanita untuk
terlibat dalam program-program keusahawanan dan latihan-
27
latihan kemahiran. Selain itu, lebih ramai golongan wanita
digalakkan untuk melibatkan diri dalam forum-forum di
peringkat nasional dan antarabangsa untuk mendapat
pendedahan dan menyumbang kepada isu-isu pembangunan
sosio-ekonomi di peringkat global.
MENYEDIAKAN MODAL INSAN MINDA KELAS PERTAMA
YANG KOMPETEN
42. Modal insan merupakan satu daripada pemacu utama
kepada pembangunan. Pembangunan sumber manusia
merupakan syarat utama untuk kemajuan ekonomi. Bagi
membolehkan negeri Sabah mencapai matlamat untuk beralih
kepada aktiviti-aktiviti ekonomi yang bernilai tinggi, maka kita
perlu melahirkan sumber manusia yang berpengetahuan dan
berkemahiran. Institusi pendidikan dan latihan kemahiran
haruslah bekerjasama dengan sektor swasta dan penggubal
dasar untuk merancang pembangunan tenaga kerja yang
mahir dan berkelayakan bagi menggerakkan pembangunan
negeri ke tahap yang lebih tinggi. Memandangkan Kerajaan
Negeri berhasrat untuk mengeksploitasi bidang-bidang
28
pertumbuhan berpotensi di dalam sektor minyak dan gas,
bioteknologi, teknologi hijau, industri kreatif, kesihatan dan
pelancongan, maka sumber manusia yang terlatih dalam
bidang-bidang ini perlu disediakan bagi menyokong sektor-
sektor tersebut.
43. Sehubungan itu, sebagai persediaan untuk melahirkan
sumber manusia yang berkualiti, lebih banyak peluang-
peluang pendidikan di peringkat menengah dan pengajian
tinggi akan diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat
Malaysia di Sabah, selaras dengan pembangunan Sandakan
Education Hub yang diilhamkan sendiri oleh YAB Ketua
Menteri. Lebih dua puluh (20) buah institusi telah menyatakan
komitmen mereka untuk membuka cawangan masing-masing
dalam Education Hub tersebut, antaranya ialah Universiti
Malaysia Sabah, Maktab Rendah Sains MARA, Politeknik,
Pusat Latihan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Asian
Tourism Institute dan Kolej PTPL. Projek yang dijangka siap
sepenuhnya menjelang 2016 ini dengan jumlah pelaburan
bernilai RM2.0 bilion, akan menjadikan Sabah satu-satunya
29
negeri di Malaysia yang membangunkan dan memiliki
Education Hub yang bersepadu dan berskala besar.
44. Sukacita juga saya memaklumkan kepada Dewan
yang mulia ini, bahawa Pusat Penyelidikan Lembah Danum
adalah antara tiga yang terkemuka di dunia dalam bidang
penyelidikan hutan hujan tropika. Pusat penyelidikan yang
unggul seperti itu perlu diwujudkan dalam bidang-bidang
penyelidikan lain seperti marin dan sumber-sumber alam
semulajadi di mana kita mempunyai kekuatan dan kelebihan.
Selain itu, pembangunan pusat-pusat kecemerlangan bio-
penyelidikan juga mempunyai potensi yang sangat besar di
Sabah. Oleh yang demikian, pembangunan dalam sektor ini
perlu disokong sepenuhnya oleh Kerajaan.
MEMPERKASAKAN PERLINDUNGAN DAN PENGURUSAN
MAPAN ALAM SEKITAR DAN PROSES PEMBANGUNAN
EKONOMI NEGERI
30
45. Kerajaan akan terus komited untuk melindungi dan
memulihara kekayaan sumber alam semulajadi, habitat,
biodiversiti dan eko-sistem khususnya di kawasan-kawasan
sensitif di negeri ini. Pertimbangan mengenai alam sekitar
akan disepadukan di dalam perancangan pembangunan untuk
memastikan pembangunan yang seimbang dan mapan. Di
samping itu, implikasi perubahan iklim global juga akan turut
diambilkira dalam perancangan pembangunan. Di mana
bersesuaian, kerjasama dengan negara luar akan dijalankan
untuk mendapatkan sokongan kewangan dan teknologi ke
arah mengurangkan kesan perubahan iklim dan degradasi
alam sekitar.
46. Program-program kesedaran awam akan
diperbanyakkan untuk menyebar luas maklumat mengenai
kepentingan perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar,
pengurangan pelepasan gas rumah hijau , penjimatan tenaga,
aplikasi teknologi bersih dan sebagainya. Sektor swasta perlu
digalakkan supaya menjalankan lebih banyak program-
program kesedaran awam melalui ‘Corporate Social
Responsibility’ (CSR).
31
47. Penguatkuasaan undang-undang juga akan
ditingkatkan untuk mengawal dan mengelakkan degradasi
alam sekitar, pencemaran dan kemusnahan biodiversiti yang
berterusan. Langkah-langkah akan diambil untuk
memperkenalkan pengurusan dan instrumen-instrumen
perancangan serta pelaksanaan strategik alam sekitar. Dalam
hubungan ini, pengumpulan data-data berkaitan alam sekitar
juga akan dipertingkatkan bagi memudahkan kerja-kerja
analisa.
48. Beberapa inisiatif seperti ‘Corridor of Life’ dan ‘ Heart
of Borneo’ akan terus disokong untuk mengekal dan
menguruskan secara lestari kekayaan biodiversiti
terutamanya spesies-spesies yang berhadapan dengan
ancaman kepupusan. Lembangan Maliau (Maliau Basin) yang
sudah terkenal di peringkat antarabangsa juga akan
disenaraikan sebagai salah satu warisan dunia.
32
49. Selaras dengan aspirasi negara, pelaburan dan
penggunaan sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui
dan teknologi-teknologi bersih akan digalakkan. Peningkatan
dalam aplikasi kecekapan tenaga juga akan dipromosikan.
Bangunan-bangunan industri dan kediaman adalah
disarankan untuk menggunakan teknologi yang bersih dan
mesra alam untuk kebaikan rakyat dalam jangka masa
panjang.
MENINGKATKAN PERANAN KERAJAAN SEBAGAI
PEMUDAH- CARA YANG EFEKTIF DAN BERINTEGRITI
50. Perubahan dunia yang semakin pantas dan dinamik
menjadikan peranan sektor awam semakin penting dan
kritikal. Sektor awam perlu ditransformasikan agar menjadi
lebih kreatif, inovatif, efektif dan efisien. Prestasi sektor
awam perlu ditanda aras berdasarkan amalan-amalan terbaik
agar dapat memainkan peranannya sebagai pemudahcara
dalam menyediakan persekitaran yang kondusif kepada sektor
swasta untuk berkembang maju.
33
51. Sektor awam adalah digalakkan untuk membangunkan
‘Key Performance Indicator’ (KPI) di semua peringkat demi
memperbaiki lagi prestasi serta menjadi lebih telus dan
bertanggungjawab kepada masyarakat keseluruhannya.
Perkhidmatan-perkhidmatan sektor awam akan terus
diperbaiki iaitu melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif E-
Kerajaan dan pengambilan secara berterusan sumber
manusia yang berkelayakan dan kompeten.
52. Sehubungan itu, Program Transformasi Kerajaan yang
diperkenalkan di peringkat Persekutuan oleh YAB Perdana
Menteri adalah bertujuan untuk memastikan sistem
penyampaian sektor awam berkesan dan berintegriti. Dengan
itu, saya menyarankan agar program seumpama ini akan juga
diperkenalkan di peringkat negeri.
PENUTUP
34
53. Misi dan visi serta hala tuju kita adalah jelas. Kita
mampu mencapai misi dan visi tersebut sekiranya kita bersatu
padu menggembleng tenaga dan membangun secara kreatif
dan berinovatif. Negeri Sabah memiliki kekuatan dan
kekayaan sumbernya. Oleh yang demikian, kita mesti
berusaha untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber
yang kita miliki dan seterusnya meningkatkan keupayaan dan
kemampuan kita. Selain itu, kita juga perlu memastikan
supaya program dan projek pembangunan difokuskan untuk
merealisasikan teras dan hala tuju strategik negeri yang telah
ditetapkan.
54. Akhir sekali, saya menyeru kepada semua Ahli-Ahli
Yang Berhormat, agar sentiasa memainkan peranan yang
aktif dan positif selaras dengan proses transformasi negeri ini
ke arah kecemerlangan dan kemakmuran yang berkekalan.
Sayugia diingat, bahawa keutamaan kita ialah untuk
membangunkan negeri yang kita cintai ini seiring dengan
transformasi negara ke arah sebuah negara maju berasaskan
Model Ekonomi Baru sebagaimana yang diilhamkan oleh YAB
35
Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana
Menteri Malaysia yang kita kasihi.
55. Negeri Sabah yang kaya dengan sumber alam dan
dianugerahkan lagi dengan keindahan alam semulajadi di
samping keunikan flora dan faunanya, perlulah dipelihara,
ditadbir dan diurus secekap-cekapnya dan seikhlas mungkin,
agar negeri yang kita warisi ini dapat kita wariskan pula
kepada anak cucu kita dalam keadaan yang sempurna dan
maju tetapi terpelihara keindahan kekayaan alam
semulajadinya.
56. Dengan harapan itu, dan dengan keyakinan bahawa
Kerajaan Barisan Nasional Negeri Sabah di bawah pimpinan
YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman berserta barisan
Kabinet Negeri Sabah yang prihatin dan dinamik, insya-Allah
negeri Sabah akan terus membangun dengan pesat dan
hebat sebagaimana yang kita semua harapkan. Kestabilan
politik dan keharmonian kaum yang kita kecapi selama ini
perlu terus dipelihara kerana itulah kunci kekuatan kita dalam
36
memperteguhkan perpaduan rakyat ke arah membentuk
sebuah negeri yang bersatu padu dan maju.
57. Semoga Allah SWT senantiasa melindungi kita semua
dan menjauhkan negeri yang kita cintai ini dari bahaya dan
bencana, agar kita semua dapat mengecapi nikmat
pembangunan dalam suasana yang harmoni di dalam sebuah
negeri yang maju, aman, indah dan makmur.
Wabilahi Taufik Walhidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.