Ucapan Bajet Negeri 2011
Transcript of Ucapan Bajet Negeri 2011
1
UCAPAN BAJET 2011
OLEH
Y.A.B. DATUK SERI PANGLIMA MUSA HJ. AMAN
KETUA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN SABAH
DI
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI
PADA
19 NOVEMBER 2010 (JUMAAT)
“KEMAKMURAN MELALUI PENDEKATAN HOLISTIK”
2
Bismillahir Rahmannir Rahim,
Tuan Speaker,
01. Saya mohon mencadangkan Bajet Negeri Sabah bagi tahun
2011 untuk kelulusan Dewan yang mulia ini.
Pendahuluan
02. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat
Allah SWT, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, pada
petang Jumaat yang penuh keberkatan ini, saya dapat terus
menunaikan amanah dan tanggungjawab dalam membentangkan
Bajet Negeri Sabah bagi tahun 2011 di Dewan yang mulia ini.
03. Selama memikul tanggungjawab sebagai Ketua Menteri
merangkap Menteri Kewangan sejak 7 tahun lalu, di samping
memimpin Kerajaan Barisan Nasional negeri Sabah, saya sentiasa
menyedari akan pentingnya mengukuhkan kedudukan kewangan
negeri ini agar agenda pembangunan dapat terus diperkasakan
sekaligus meningkatkan lagi taraf dan kualiti kehidupan rakyat.
3
Semua ini dapat dilaksanakan dengan strategi dan perancangan
kewangan yang teratur. Alhamdulillah, dengan pendapatan dan
rizab negeri yang semakin kukuh sekarang serta sokongan rakyat
terhadap rancangan-rancangan dan usaha-usaha kerajaan selama
ini, kemakmuran hidup rakyat di negeri ini akan dapat dikekalkan
dan seterusnya dipertingkatkan lagi, insya Allah.
04. Justeru, Bajet Negeri 2011 yang akan dibentangkan ini, amat
signifikan kerana ia merupakan bajet ulung yang akan
menggerakkan dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri sesuai
dengan permulaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10,
(RMK10) dalam konteks negeri Sabah. Sebagai parti dan
kerajaan yang telah diberikan mandat besar oleh rakyat dan terkini
kemenangan cemerlang Barisan Nasional pada pilihanraya kecil
Parlimen Batu Sapi yang lalu, maka saya ingin menekankan
bahawa kepentingan rakyat serta kemakmuran negeri tetap
menjadi agenda utama dan teras perjuangan Kerajaan Barisan
Nasional di negeri yang bertuah ini.
4
Tuan Speaker,
05. Rancangan Malaysia KeSembilan (RMK9) akan berakhir
apabila 2010 melabuhkan tirainya, manakala 2011 menanti untuk
dilayari dengan azam yang kental dan iltizam yang tinggi daripada
seluruh lapisan masyarakat. Kita tidak boleh leka walau sesaat
pun dan berasa selesa dengan nikmat hidup yang kita kecapi
selama ini kerana di hadapan kita menanti tugasan dan
tanggungjawab yang lebih besar agar kita terus sama-sama
berganding bahu dalam merealisasikan aspirasi negara khasnya
dalam usaha mentransformasikan Malaysia menjadi negara
berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020.
06. RMK10 sesungguhnya akan jadi penggerak dan pemacu
Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi
Ekonomi (ETP). Diperkukuhkan lagi dengan pengenalan enam
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Model Baru
Ekonomi, maka usaha murni kerajaan untuk mengangkat martabat
hidup rakyat ke tahap yang lebih tinggi dalam sebuah negara maju
yang berpendapatan tinggi tidak seharusnya dipersoalkan lagi.
Sebanyak 71 Projek Permulaan (Entry Point Projects) di bawah 10
National Key Economic Areas (NKEAs) diyakini mampu
5
memperkukuhkan ekonomi Sabah. Syabas dan tahniah kepada
Y.A.B Perdana Menteri yang kita kasihi kerana kesungguhan
beliau dalam usaha memakmurkan dan mentransformasi negara
sama ada di bidang ekonomi, politik mahupun sosial di bawah
konsep 1 Malaysia.
07. Di bawah Bajet 2011, usaha-usaha akan digembleng bagi
mempertingkatkan pelaksanaan program-program pembangunan
untuk merangsang ekonomi negeri, seterusnya menjadikan Sabah
sebuah negeri yang maju dan makmur. Track record Kerajaan
Barisan Nasional membuktikan kerajaan ini serius dalam
membawa arus pembangunan kepada rakyat seperti yang
dijanjikan dan sebagaimana yang dirancang. Janji kita bukan janji
omong kosong. Perancangan kita bukan hanya angan-angan.
Kerajaan merancang berdasarkan iltizam dan wawasan dalam
membawa perubahan dan transformasi kepada rakyat dan negeri.
Justeru, segala program telah direncanakan sebaik mungkin
dengan mengambilkira keperluan segenap lapisan rakyat di
negeri ini, bertepatan dengan tema Bajet 2011, “KEMAKMURAN
MELALUI PENDEKATAN HOLISTIK”
6
Tuan Speaker,
08. Bagi mengekalkan momentum pembangunan ekonomi di
negeri ini, kita tidak dapat mengelak daripada membelanjakan
sejumlah wang yang besar untuk menjana pertumbuhan
seterusnya kerana aktiviti pembangunan tidak harus ditangguh
atau dilengah-lengahkan kerana kelak kita akan terus ketinggalan.
Kerajaan akan terus memainkan peranan dan menjalankan
tanggungjawab dalam penyediaan prasarana untuk menggalakkan
pelaburan di samping memantapkan sistem penyampaian di
mana kerajaan akan bertindak sebagai pemudahcara dan
fasilitator. Adalah menjadi satu keutamaan dan amalan kita
selama ini untuk mengurus kewangan negeri dengan sebaik
mungkin agar ianya terus kukuh dan mampu membawa manfaat
kepada semua pihak. Walaupun kita berdepan dengan keadaan
bajet defisit namun berdasarkan pengalaman yang lepas, defisit
tersebut dapat diurus dan dikawal di tahap yang mampu
ditanggung oleh rizab negeri yang kukuh.
7
Prospek Ekonomi Dunia
Tuan Speaker,
09. Selepas daripada kemelesetan, ekonomi dunia mula
bergerak ke arah pemulihan pada tahun 2010. Dari kadar
pertumbuhan negatif 0.6 peratus pada tahun 2009, ekonomi dunia
diunjurkan berkembang pada kadar 4.8 peratus pada tahun 2010
sebelum berkembang secara sederhana pada kadar 4.2 peratus
pada tahun 2011.
10. Ekonomi Amerika Syarikat dijangka berkembang pada kadar
2.6 peratus pada tahun 2010 dan 2.3 peratus pada tahun 2011. Di
kawasan Kesatuan Eropah (European Union), pertumbuhan
ekonomi diunjurkan pada kadar 1.7 peratus pada tahun 2010 dan
1.5 peratus pada tahun 2011. Dalam kes Jepun, perkembangan
ekonomi diunjurkan pada 2.8 peratus pada tahun 2010 dan 1.5
peratus pada tahun 2011.
11. Disebabkan oleh penggunaan dan permintaan yang lembap,
pemulihan ekonomi di negara ekonomi maju (advanced
economies) kekal lemah berbanding ekonomi baru muncul
(emerging economies). Secara keseluruhan, ekonomi maju
8
diunjurkan berkembang pada 2.7 peratus pada tahun 2010 dan 2.2
peratus pada tahun 2011, sementara ekonomi baru muncul dan
membangun dijangka berkembang lebih pantas pada kadar 7.1
peratus pada tahun 2010 dan 6.4 peratus pada tahun 2011.
Ekonomi China diunjurkan mencapai kadar pertumbuhan 10.5
peratus pada tahun 2010 dan 9.6 peratus pada tahun 2011.
Ekonomi India turut diunjurkan berkembang pada kadar tinggi 9.7
peratus sebelum tumbuh secara sederhana pada kadar 8.4
peratus pada tahun 2011. Secara berkumpulan, ekonomi negara
ASEAN-5 (Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam)
dijangkakan berkembang pada kadar 6.6 peratus pada tahun 2010
dan 5.4 peratus pada tahun 2011.
Prospek Ekonomi Nasional
Tuan Speaker,
12. Selaras dengan pemulihan ekonomi global, ekonomi
Malaysia dijangka berkembang antara 5 peratus hingga 6 peratus
pada tahun 2011 didokong oleh permintaan domestik serta
strategi-strategi penggalakan pertumbuhan dan langkah-langkah
yang diperkenalkan dalam Bajet Nasional 2011. Pertumbuhan
dijangka berasas luas, diterajui oleh perluasan dalam sektor
9
pembuatan dan perkhidmatan dalam suasana harga yang stabil
dengan kadar inflasi di bawah 3.0 peratus.
13. Sektor pembuatan dan perkhidmatan diunjurkan
berkembang masing-masing pada kadar 6.7 peratus dan 5.3
peratus pada tahun 2011. Permintaan domestik diunjurkan
meningkat sejumlah 5.8 peratus pada tahun 2011, didorongi oleh
pertumbuhan pelaburan swasta sejumlah 10.2 peratus dan
perbelanjaan swasta sejumlah 7.0 peratus.
14. Pendapatan per kapita diunjurkan meningkat sejumlah 6
peratus dari RM26,355 pada tahun 2010 kepada RM27,950 pada
tahun 2011, atau dalam terma pariti kuasa beli (purchasing power
parity), dari Dollar Amerika Syarikat 14,102 kepada Dollar Amerika
Syarikat 16,028.
Ekonomi Negeri Sabah
Tuan Speaker,
15. Memandangkan RMK9 akan berakhir pada penghujung
tahun ini, maka saya berpendapat, inilah masa yang sesuai untuk
10
kita melihat prestasi dan pencapaian ekonomi negeri ini sepanjang
tempoh 5 tahun yang lepas. Sukacita saya ingin menyatakan di
sini bahawa ekonomi negeri ini sebenarnya mempunyai daya
tahan yang lebih tinggi berbanding apa yang dijangkakan terutama
sekali dalam menghadapi cabaran-cabaran dan kejutan-kejutan
luar dalam tempoh tersebut. Semasa krisis ekonomi global yang
berlaku pada tahun 2008, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)
telah mencatatkan pertumbuhan tinggi iaitu sebanyak 7.8 peratus.
Ini disebabkan oleh peningkatan dalam harga komoditi yang mana
serba sedikit telah mengurangkan kesan akibat daripada krisis
tersebut ke atas ekonomi negeri. Sungguhpun tidak terkecuali dari
menerima kesan akibat krisis ekonomi global, pertumbuhan KDNK
Sabah pada tahun 2009 hanya berkurang secara marginal
sebanyak 0.7 peratus disebabkan oleh kesan tertangguh atau
lagged tail effect. KDNK secara puratanya telah berkembang
sebanyak 4.0 peratus setahun sejak empat tahun yang lepas.
16. Pada tahun 2011, kadar inflasi dijangka akan berada pada
tahap 2.0 peratus manakala keadaan gunatenaga negeri dijangka
akan bertambah baik dengan pelaksanaan lebih banyak projek-
projek berimpak tinggi oleh kedua-dua sektor awam dan swasta
dalam RMK10. Selaras dengan inisiatif-inisiatif NKRA dan NKEA
11
yang memberikan penekanan kepada Sabah, ditambah dengan
insentif-insentif lain daripada pembentangan Bajet Nasional 2011
baru-baru ini, ekonomi Sabah diramal akan berkembang di antara
6.0 hingga 6.5 peratus pada tahun hadapan yang mana didorong
oleh pertumbuhan yang kuat ekonomi negara-negara membangun
dan prospek ekonomi dunia yang positif.
Objektif dan Strategi Bajet 2011
Tuan Speaker,
17. Dalam usaha menjadikan Sabah sebuah negeri berprestasi
dan berpendapatan tinggi yang setanding dengan negeri-negeri
lain di Malaysia, kita perlu menyusun strategi melalui bajet
tahunan dengan pendekatan yang holistik secara berterusan. Oleh
itu, strategi-strategi telah digubal demi mencapai objektif kerajaan
seperti berikut:
a. Memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri;
b. Mempertingkat dan memperbaiki infrastruktur asas di
kawasan bandar dan luar bandar untuk pembangunan
wilayah yang seimbang;
12
c. Mengekalkan momentum ekonomi melalui penyediaan
kewangan (bantuan kewangan, subsidi dan pemberian) dan
promosi pelaburan serta lain-lain kemudahan di negeri ini
khususnya dalam tiga sektor utama Halatuju ;
d. Memperkasakan sistem pentadbiran ke arah melahirkan
anggota yang kreatif, inovatif, bermaklumat, bekerja keras,
telus dan berintegriti dengan amalan tadbir urus korporat
yang baik untuk keberkesanan sistem penyampaian awam;
e. Memantapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat ;
f. Merancakkan program-program pembangunan luar bandar
untuk pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup;
g. Memesatkan pembangunan modal insan, ICT dan
kesukanan bagi melahirkan golongan belia yang lebih kreatif,
inovatif dan dinamik ;
13
Perbelanjaan Berhemat
Tuan Speaker,
18. Saya menyeru kepada semua kementerian, jabatan dan
agensi kerajaan supaya terus memberikan tumpuan dan
perhatian dalam usaha menguruskan perbelanjaan dengan lebih
berhemat. Sumber kewangan perlu diuruskan dengan lebih cekap
dengan memastikan perbelanjaan awam menepati konsep "value
for money" agar ianya dapat terus mendokong dan mencapai
objektif organisasi secara keseluruhannya dengan mengutamakan
peningkatan produktiviti serta inovasi. Perbelanjaan mengurus
hendaklah dikawal di tahap yang mapan dan dibuat mengikut
keperluan sebenar tanpa pembaziran. Semua aktiviti yang telah
diluluskan hendaklah dilaksanakan dengan cekap, berkesan dan
mengikut jadual yang telah ditetapkan agar ianya dapat
memberikan manfaat sebenar kepada golongan sasar.
Hasil Negeri 2011
Tuan Speaker,
19. Pada tahun 2011, adalah dianggarkan hasil negeri Sabah
berjumlah RM2,747.94 juta berbanding hasil negeri untuk tahun
14
2010 yang dianggarkan melebihi tahap RM3 bilion. Anggaran
tahun 2010 yang melebihi RM3 bilion adalah disebabkan
penerbitan bon oleh kerajaan negeri berjumlah RM544 juta.
Walaupun sasaran kutipan hasil pada tahun 2011 berada di bawah
paras RM3 bilion namun jumlah tersebut dijangkakan lebih tinggi
berbanding dengan anggaran asal untuk hasil tahun 2010 (tanpa
bon) yang berjumlah RM2.5 bilion .
20. Hasil negeri Sabah dipecahkan mengikut tiga kategori.
Kategori HASIL CUKAI dijangka menyumbang sebanyak
RM1,054.63 juta atau 38 peratus. Sumber hasil terbesar di
bawah kategori ini adalah Cukai Jualan yang dijangka dapat
menyumbang sekurang-kurangnya RM1,000 juta. Manakala
HASIL BUKAN CUKAI dijangka mengutip sebanyak RM1,397
juta atau 51 peratus di mana daripada jumlah ini sebanyak
RM721.70 juta adalah daripada Royalti Petroleum. Selebihnya
sebanyak RM296.31 juta atau 11 peratus adalah daripada
kategori TERIMAAN BUKAN HASIL. Jumlah Ini termasuklah
Pemberian daripada Kerajaan Persekutuan untuk menggantikan
Duti Import dan Eksais ke atas Petroleum sebanyak RM120
juta.
15
21. Melihat kepada anggaran hasil negeri bagi tahun 2011,
adalah dijangkakan bahawa Cukai Jualan atas Minyak Kelapa
Sawit dan Royalti Petroleum menyumbang hampir 60 peratus
kepada keseluruhan anggaran hasil. Seperti tahun lalu, Kerajaan
Negeri tidak berhasrat menambah bebanan orang awam, maka
anggaran hasil yang dibuat adalah dengan andaian tiada cukai
baru yang akan dikenakan pada tahun hadapan.
22. Usaha akan terus dilakukan untuk menambahbaik
kedudukan tunggakan hasil negeri. Mengikut laporan Ketua Audit
Negara bagi tahun 2009, tunggakan hasil Kerajaan Negeri
sehingga tahun 2009 berjumlah RM487.14 juta di mana, faedah
pinjaman yang dihutang oleh badan-badan berkanun dan agensi-
agensi kerajaan, bil air dan sewa tanah merangkumi lebih 90
peratus daripada tunggakan tersebut. Sehubungan ini, saya ingin
mengingatkan semua Pegawai Pengawal yang berkenaan supaya
lebih serius bagi mencari langkah-langkah berkesan untuk
mengutip hasil yang tertunggak.
23. Kerajaan Negeri juga akan terus berusaha untuk
memperolehi jumlah geran yang lebih tinggi daripada Kerajaan
Persekutuan. Dengan adanya hubungan yang baik antara kedua-
16
dua belah pihak, Kerajaan Negeri berkeyakinan bahawa
Kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan tambahan dalam
jumlah pemberian kepada Kerajaan Negeri.
24. Fokus juga akan diberikan atas urusan pelaburan negeri
supaya dapat menjana pulangan yang lebih baik melalui faedah
dan dividen di mana amaun yang dijangkakan pada tahun 2011
adalah sebanyak RM158.09 juta. Dengan adanya usaha-usaha
sedemikian, saya berkeyakinan penuh bahawa kutipan hasil tahun
hadapan akan melebihi daripada apa yang dianggarkan.
Anggaran Perbekalan Dan Pembangunan Tahun 2011
Anggaran Perbekalan
Tuan Speaker,
25. Dengan Strategi Bajet dan anggaran pendapatan sebanyak
RM2,747.94 juta seperti yang disebutkan tadi, saya
mencadangkan sejumlah RM3,068.66 juta wang negeri disediakan
bagi Perbelanjaan Perbekalan untuk tahun 2011. Cadangan
anggaran Emolumen bagi tahun 2011 adalah sebanyak RM597.56
juta yang menunjukkan kenaikan sebanyak RM14.08 juta atau
17
2.41 peratus berbanding dengan anggaran sebanyak RM583.48
juta dalam tahun 2010.
26. Anggaran sebanyak RM1,057.71 juta adalah disyorkan untuk
Perbelanjaan Berulang bagi tahun 2011 yang melibatkan kenaikan
sebanyak RM108.13 juta atau 11.39 peratus berbanding dengan
anggaran sebanyak RM949.57 juta dalam tahun 2010. Cadangan
sebanyak RM1,413.39 juta untuk Perbelanjaan Khas bagi tahun
2011 menunjukkan penurunan sebanyak RM357.94 juta atau
penurunan sebanyak 20.21 peratus berbanding dengan anggaran
sebanyak RM1,771.32 juta bagi tahun 2010.
Tuan Speaker,
27. Agihan peruntukan Perbekalan 2011 yang dicadangkan
mengikut Kementerian adalah seperti berikut:
Kementerian RM (Juta) %
Kementerian Kewangan 1,032.59 33.65
Kementerian Pembangunan Infrastruktur 660.93 21.54
Jabatan Ketua Menteri 422.74 13.78
18
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan 273.58 8.92
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal
Ehwal Pengguna
125.98 4.11
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam
Sekitar
105.37 3.43
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 88.70 2.89
Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan
Teknologi Maklumat
83.61 2.72
Kementerian Pembangunan Luar Bandar 62.68 2.04
Kementerian Belia dan Sukan 54.41 1.77
Kementerian Pembangunan Perindustrian 9.52 0.31
Perbelanjaan tidak termasuk dengan Kementerian 22.24 0.72
Perbelanjaan Tanggungan 126.31 4.12
Jumlah 3,068.66 100.00
19
Anggaran Pembangunan
Tuan Speaker,
28. Di bawah RMK9, kerajaan negeri telah menyediakan siling
sebanyak RM4,059 juta untuk pembangunan negeri. Setakat 11
November 2010 , prestasi pencapaian kewangan RMK9 adalah 81
peratus atau perbelanjaan sebanyak RM3,290 juta daripada
RM4,059 juta. Jumlah peruntukan yang diluluskan bagi RMK9
melibatkan sebanyak 837 buah projek ( tidak termasuk projek-
projek kecil di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar ).
Daripada itu, 391 buah projek telah disiapkan, 342 buah projek
sedang dalam pelaksanaan manakala 52 buah projek belum
dimulakan. Saya yakin bahawa pada akhir tahun ini pencapaian
ini akan mengalami peningkatan lagi.
29. Untuk RMK10 kerajaan telah mengambil pendekatan yang
baru dalam Perancangan Belanjawan Pembangunannya. Dalam
tempoh 5 tahun RMK10, tumpuan khas akan diberikan kepada 2
tahun pertama, iaitu tahun 2011 dan 2012. Pendekatan ini yang
juga disebutkan sebagai "The Rolling Plan" adalah untuk
memastikan program-program yang dilaksanakan di bawah RMK9
akan disiapkan sepenuhnya. Di samping itu, bagi projek-projek
20
baru pula, penyediaan awal serta persiapan yang menyeluruh
akan dilakukan pada tahun pertama iaitu tahun 2011 manakala
pelaksanaan program secara fizikal pada tahun berikutnya.
30. Sesuai dengan perancangan dan pendekatan di atas, maka
jumlah sebanyak RM827.40 juta adalah dicadangkan untuk
peruntukan pembangunan pada tahun 2011. Jumlah ini adalah
dikira sederhana dan sesuai dengan keperluan tahun pertama
RMK10. Daripada jumlah tersebut, RM470.13 juta adalah untuk
projek sambungan dan RM357.27 juta adalah untuk projek baru.
Pengagihan peruntukan tersebut mengikut sektor adalah seperti
berikut:-
RM (Juta) (%)
Ekonomi 581.44 70.27
Sosial 218.61 26.42
Pentadbiran 27.35 3.31
31. Sebanyak RM616.30 juta adalah dikhaskan untuk program-
program dan projek-projek bagi menyokong Dasar Halatuju
Pembangunan Negeri yang merupakan agenda utama
pembangunan negeri. Dari segi pengagihan mengikut
21
kementerian, Kementerian Pembangunan Infrastruktur akan
mendapat jumlah yang terbesar, iaitu RM354.86 juta atau 42.89
peratus. Ini diikuti oleh Jabatan Ketua Menteri dan Kementerian
Pertanian dan Industri Makanan yang masing-masing akan
mendapat sebanyak RM129.84 juta atau 15.69 peratus dan
RM116.60 juta atau 14.09 peratus. Pengagihan Anggaran
Pembangunan Tahun 2011 mengikut Kementerian adalah seperti
berikut:-
Kementerian
RM
(Juta) %
Kementerian Pembangunan Infrastruktur 354.86 42.89
Jabatan Ketua Menteri 129.84 15.69
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan 116.60 14.09 Kementerian Pembangunan Luar Bandar 94.22 11.39
Kementerian Kewangan 37.67 4.55
Kementerian Kerajaan Tempatan dan
Perumahan 27.39 3.31
Kementerian Pembangunan Perindustrian 21.89 2.65
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan
Alam Sekitar 15.95 1.93
Kementerian Belia dan Sukan 15.01 1.81
Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal
Ehwal Pengguna 10.72 1.30
Kementerian Pembangunan Sumber dan
Kemajuan Teknologi Maklumat 3.25 0.39
Jumlah 827.40 100.00
22
Peruntukan Persekutuan
Tuan Speaker,
32. Selama ini kita amat berbesar hati dan berterima kasih
terhadap peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan
kepada negeri Sabah. Ini menunjukkan komitmen yang berterusan
daripada Kerajaan Persekutuan dalam usaha pembangunan sosial
dan ekonomi di negeri ini. Peruntukan Persekutuan akan
disediakan khasnya untuk penyediaan infrastruktur seperti jalan
raya, jambatan, bekalan air dan elektrik serta pembetungan. Di
samping itu, sektor pertanian, perikanan dan perhutanan turut
diberi peruntukan. Pada tahun hadapan, sebanyak RM2,179.08
juta akan diberikan mengikut cara pembiayaan seperti berikut:
i) Imbuh Balik Persekutuan sebanyak RM 17.30 juta
ii) Pinjaman Persekutuan sebanyak RM 85.00 juta
iii) Pemberian cara langsung sebanyak RM2,076.78 juta
Justeru itu, saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan setinggi-
tinggi penghargaan kepada kepimpinan kerajaan pusat atas
sokongan padu yang diberikan kepada kerajaan negeri selama ini.
23
Pulau Labuan tidak berbukit
Ada bukit di Batu Arang
Budi mu tuan bukan sedikit
Dari dahulu hingga sekarang
Peruntukan Mengikut Sektor
Tuan Speaker,
33. Sejajar dengan Objektif dan Strategi Bajet 2011, sejumlah
RM2,162.12 juta diperuntukkan bagi pelbagai sektor
pembangunan utama yang meliputi infrastruktur; pembuatan;
pertanian; modal insan dan ICT; pelancongan; pembasmian
kemiskinan; Kebajikan dan sosial, serta pembangunan belia.
Kerajaan akan mengutamakan pendekatan yang bersepadu untuk
menyelaraskan pembangunan tersebut secara holistik. Semua
pihak yang terlibat perlu mengenal pasti dan memantau semua
elemen penting serta berusaha untuk menambahbaik sistem
penyampaian perkhidmatan ke atas program dan projek yang
dilaksanakan bagi memastikan kumpulan sasar menikmati faedah
secara optimum dan berkekalan.
24
Pembangunan Infrastruktur Dan Kemudahan Asas
Tuan Speaker,
34. Dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh
rakyat, Kerajaan Barisan Nasional akan terus memberi tumpuan
untuk membangun infrastruktur dan kemudahan awam untuk
membina kapasiti dan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi
yang lebih mapan demi kesejahteraan rakyat. Dengan itu, Bajet
2011 akan menyediakan sebanyak RM1,023.08 juta untuk
membiayai projek-projek yang menjadi keutamaan seperti:
peningkatan liputan dan penyenggaraan rangkaian jalan raya;
perkhidmatan rel; sistem pembetungan; pelabuhan dan maritim;
bekalan air; serta pembinaan dan penyenggaraan bangunan-
bangunan Kerajaan.
35. Orang yang ikhlas akan menerima hakikat bahawa Kerajaan
hari ini telah melakukan yang terbaik dalam sejarah pembangunan
di negeri Sabah, khususnya untuk membangunkan infrastruktur
dan kemudahan asas. Kepesatan dan kederasan pembangunan
ini boleh dilihat dengan jelas sekali oleh segenap lapisan
masyarakat di setiap ceruk rantau negeri Sabah, sama ada di Kota
Kinabalu, Sandakan, Tawau, Kudat, Keningau dan semua daerah
25
hatta di pelusuk pekan-pekan kecil dan ribuan kampung di negeri
ini.
36. Sesungguhnya, tiada siapa yang boleh menafikan manfaat
pembangunan yang disalurkan oleh Kerajaan hari ini. Apa yang
jelas, ianya telah menjadikan setiap ruang kehidupan kita
bertambah baik, selesa dan memuaskan. Ianya telah menjadikan
negeri kita ini suatu tempat yang maju, menarik dan makmur.
Ianya juga meningkatkan tahap aksesibiliti penduduk luar bandar
yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan nilai tambah
bagi produk atau hasil pertanian dan sebagainya.
Pembangunan Sektor Pertanian
Tuan Speaker,
37. Adalah menjadi aspirasi Kerajaan untuk melaksanakan
program-program transformasi yang menetapkan beberapa
Bidang Keberhasilan Utama yang perlu dicapai bermula pada
tahun 2011. Di bawah sektor pertanian, Bidang Keberhasilan
Utama yang telah ditetapkan antaranya; Meningkatkan Daya
Saing Sektor Pertanian; Meneroka Potensi Sumber Pertumbuhan
26
Baru Sektor Pertanian dengan Nilai Ditambah yang Tinggi;
Penggunaan Teknologi Moden Secara Meluas dan Galakan
Inovasi dalam Pertanian; Mengalakkan Penyertaan Sektor Swasta
yang lebih giat dalam Sektor Pertanian; Membangunkan Lebih
Ramai Usahawan Tani; dan sebagainya. Bagi merealisasikan
hasrat-hasrat kerajaan tersebut, sektor pertanian termasuk
perikanan, haiwan dan pengairan akan diperuntukkan sejumlah
RM413.81 juta bagi perbelanjaan operasi dan pembangunan
dalam Bajet 2011.
38. Agensi-agensi seperti Korporasi Pembangunan Desa,
Lembaga Industri Getah Sabah dan Ko-Nelayan telah memainkan
peranan penting dalam memajukan sektor pertanian. Oleh yang
demikian, sejumlah RM37.40 juta akan disalurkan kepada agensi-
agensi tersebut pada tahun hadapan.
Pembangunan Sektor Pelancongan
Tuan Speaker,
39. Bagi tahun 2011 sasaran ketibaan pelancong ke Sabah
adalah seramai 2.5 juta orang dan ini dijangka akan menjana
pendapatan sebanyak RM5,280 juta. Selaras dengan fokus dan
27
slogan pelancongan negeri Sabah iaitu "High Yield, Longer Stay,
Less Is more" , maka momentum pembangunan sektor ini akan
dipergiatkan lagi bukan sahaja dari segi promosi dan pemasaran
untuk menarik para pelancong mengunjungi destinasi ini, tetapi
juga termasuk penyediaan produk pelancongan baru yang
berkualiti tinggi bagi mencapai sasaran tersebut.
40. Oleh yang demikian, untuk meningkatkan lagi daya tarikan
negeri Sabah sebagai destinasi pelancongan utama, Kerajaan
telah memperuntukkan RM116.27 juta bagi pelaksanaan pelbagai
program, termasuk penyediaan dan peningkatan kemudahan
pelancongan serta mempelbagaikan produk pelancongan yang
dirancang oleh Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar serta
jabatan dan agensi di bawahnya. Penyediaan infrastuktur asas
dan kemudahan pelancongan, khususnya di kawasan luar bandar
juga akan ditingkatkan untuk menggalakkan penyertaan
masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan dan seterusnya
dapat membantu meningkatkan pendapatan luar bandar.
41. Kerajaan negeri juga mengalu-alukan inisiatif pihak
Penerbangan Malaysia (MAS) menjadikan Sabah sebagai Eastern
hub yang akan memperkukuhkan lagi kedudukan negeri Sabah
28
sebagai destinasi utama pelancongan dan pintu masuk ke
beberapa bandaraya di rantau ini.
42. Bagi memastikan sasaran ketibaan pelancong tercapai,
peruntukan sejumlah RM51 juta diberikan kepada Lembaga
Pelancongan Sabah dan Taman-taman Sabah dalam
mempertingkatkan lagi usaha promosi dalam dan luar negeri. Di
samping itu, sebanyak RM9.53 juta diperuntukkan kepada Jabatan
Perhutanan untuk melaksanakan program-program yang berkaitan
dengan aktiviti pelancongan seperti promosi dan pemuliharaan
hutan.
Pembangunan Sektor Perindustrian
Tuan Speaker,
43. Dalam Bajet 2011, sejumlah RM98.83 juta disediakan untuk
sektor pembangunan industri. Peruntukan ini antaranya bertujuan
meneruskan misi pelaburan dan perdagangan, menjalin hubungan
dengan rakan berpotensi untuk meneroka, menonjolkan peluang
dan mewujudkan pelaburan serta perniagaan baru yang terdapat
di negeri Sabah. Peruntukan tersebut juga meliputi pembangunan
29
usahawan yang berdaya saing di kalangan usahawan bumiputera.
Antara program yang dilaksanakan dan dibiayai ialah kos
perkhidmatan pakar runding untuk merekabentuk label, jenama,
pembungkusan, bar coding dan analisa kandungan produk
keluaran usahawan bumiputera.
Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Luar Bandar Dan
Membasmi Kemiskinan Tegar
Tuan Speaker,
44. Kerajaan Negeri mengamalkan dasar pembangunan
seimbang, dengan merapatkan jurang pembangunan antara
bandar dan luar bandar. Kerajaan bertekad mengatasi sebarang
kesukaran dan masalah yang menjadi keluhan masyarakat luar
bandar ketika menjalani kehidupan harian. Sebagai
kesinambungan usaha pembangunan luar bandar dan
pembasmian kemiskinan, sejumlah RM162.12 juta diperuntukkan
dalam Bajet 2011 yang antaranya digunakan untuk menyediakan
peruntukan khas untuk pembiayaan projek-projek kecil luar
bandar. Peruntukan tersebut tadi juga digunakan untuk
melaksanakan program yang berpotensi menaikkan taraf dan
30
kualiti hidup masyarakat luar bandar termasuk golongan mudah
miskin, miskin, dan miskin tegar. Antara program yang diteruskan
di bawah "Rolling Plan 2011-2012" ialah 30 buah projek MESEJ
Pertanian dan Akuakultur, Program Peningkatan Ekonomi
Setempat, Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Pembangunan
Usahawan Desa dan Satu Daerah Satu Produk.
45. Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus
bekerja sama memikul tanggungjawab menangani isu kemiskinan
di Sabah secara efektif dan jayanya. Usaha akan terus
digemblengkan untuk membanteras kemiskinan dari setiap aspek,
baik dari segi penyediaan infrastruktur asas, umpamanya bantuan
rumah, bekalan air dan elektrik luar bandar mahupun aktiviti
ekonomi yang boleh menjana pendapatan dan meningkatkan
kualiti hidup rakyat. Dalam usaha mensifarkan jumlah Ketua Isi
Rumah Miskin Tegar di negeri Sabah, satu ‘road map’ telah
dirangka di mana keseluruhan jumlah Ketua Isi Rumah Miskin
Tegar akan dilibatkan di bawah pelbagai program Kerajaan Negeri
dan Persekutuan misalnya, Kerajaan Persekutuan telah
menyumbangkan dana sebanyak RM40 juta di bawah Program 1
Azam.
31
Pembangunan Modal Insan Dan ICT
Tuan Speaker,
46. Peruntukan sejumlah RM201.84 juta disediakan dalam Bajet
2011 bagi memperkasa pembangunan modal insan ke arah
melahirkan generasi yang kompeten, berpengetahuan, berdaya
tahan dan berdaya saing demi memenuhi pelbagai perspektif
Program Transformasi Negeri Sabah. Daripada jumlah tersebut,
sejumlah RM47.94 juta diperuntukkan untuk melengkapkan
anggota Perkhidmatan Awam Negeri dengan kompetensi yang
relevan untuk menyampaikan perkhidmatan kerajaan dengan
cekap, berkesan dan berintegriti.
47. Sejumlah RM70.27 juta diperuntukkan bagi penyediaan dan
penyenggaraan kemudahan menjalankan kegiatan dan program
pembangunan rohani. Pemberian biasiswa kepada pelajar yang
layak dan cemerlang untuk melanjutkan pelajaran mereka ke
institusi pengajian tinggi akan diteruskan dan untuk ini peruntukan
sebanyak RM30 juta disediakan dengan tujuan melahirkan
generasi yang berilmu. Sejumlah RM58.56 juta adalah
diperuntukkan untuk meningkatkan pembangunan modal insan
dalam penggunaan dan penguasaan teknologi maklumat,
32
termasuklah usaha mengurangkan jurang digital (digital divide) di
antara penduduk bandar dan luar bandar.
48. Dalam menunaikan komitmen Kerajaan untuk membolehkan
para belia mudah mendapatkan pekerjaan dan menjadi tenaga
pekerja yang berkemahiran, berketerampilan dan produktif, maka
sejumlah RM53.63 juta telah diperuntukkan. Peruntukan ini akan
membiayai latihan dan kursus kemahiran industri seperti Latihan
Bumiputra; Pembangunan Teknopreneur dan Inkubator;
Bimbingan Perkhidmatan Dan Pekerjaan; Tajaan Latihan Dan
Kemahiran.
Pembangunan Belia
Tuan Speaker,
49. Golongan belia adalah bakal pemimpin hari esok. Oleh itu,
adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan menyedia dan meneroka
setiap ruang untuk menambahbaik potensi pembangunan belia di
negeri ini. Golongan ini perlu disediakan halatuju yang jelas,
kerjaya dan kemahiran supaya golongan ini akan menjadi modal
insan yang dinamik dan boleh memberi sumbangan kepada
masyarakat secara langsung atau tidak langsung demi
kesejahteraan dan pembangunan negeri ini. Sesungguhnya, kita
33
berbangga dengan pencapaian belia dari negeri ini dalam
pelbagai aspek termasuk bidang perniagaan, kesenian, fesyen,
sukan dan lain-lain lagi.
50. Saya ingin mengambil kesempatan di Dewan yang mulia ini
untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas
kepada Encik Aricco Jumitih, anak Sabah yang telah
mengharumkan nama Malaysia kerana telah berjaya memenangi
pingat emas untuk acara sukan angkat berat dalam Sukan
Komanwel di India, pada bulan Oktober lalu. Sukacita
dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menghadiahkan sejumlah
RM40 ribu kepada beliau sebagai insentif atas kemenangan
tersebut. Jumlah ini merupakan tambahan kepada insentif
sebanyak RM80 ribu yang telah beliau terima daripada Kerajaan
Persekutuan. Semoga kemenangan itu menjadi pencetus
semangat kepada para belia di negeri ini untuk mencapai kejayaan
dan kecemerlangan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi,
sesuai dengan semangat Malaysia Boleh, Sabah Boleh!
51. Bagi memastikan agar kecemerlangan belia negeri ini
berterusan, berkualiti dan akan terus menempa kejayaan bertaraf
dunia, saya mencadangkan agar peruntukan untuk aktiviti belia
34
termasuk kemudahan dan fasiliti bagi sukan, ICT, perdagangan,
pendidikan dan latihan di seluruh negeri Sabah diberikan
peruntukan sebanyak RM210.81 juta dalam Bajet 2011.
Peruntukan ini adalah yang tertinggi yang pernah diberikan
kepada golongan belia.
Tuan Speaker,
52. Inisiatif bersepadu akan dilaksanakan untuk membangunkan
belia melalui gerakan akar umbi di seluruh negeri, gerakan
penyertaan aktif belia berpersatuan dan gerakan memperkasakan
belia melalui program kepimpinan, kemahiran, keusahawanan,
kemasyarakatan, gaya hidup sihat, patriotisma dan sebagainya.
Kerajaan juga akan meneruskan usaha memperkasa persatuan-
persatuan belia, sukan dan kebudayaan di negeri ini sebagai
rakan kongsi dalam usaha memperhebatkan pembangunan belia
yang kita sayangi. Dengan itu Kerajaan Negeri memberi
peruntukan sejumlah RM24 juta pada tahun hadapan kepada
persatuan-persatuan berkenaan untuk melaksanakan program-
program yang dirancang.
35
Pembangunan Sosial Dan Kebajikan Am
Tuan Speaker,
53. Dalam usaha mewujudkan masyarakat penyayang, sejumlah
RM87.61 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan untuk membiayai
program Pembangunan Sosial dan Kebajikan Am. Daripada
jumlah tersebut, sejumlah RM68.65 juta disalurkan kepada
Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah untuk melaksanakan
pelbagai program seperti Skim Bantuan Am, Skim Bantuan Anak
Yatim, Tabung Derma, Bantuan Alat-alat Ortopedik dan
sebagainya. Pelaksanaan skim-skim bantuan tersebut
memperjelaskan keprihatinan Kerajaan untuk meningkatkan kualiti
hidup bagi rakyat yang memerlukan bantuan seperti, golongan
kurang berkemampuan, ibu tunggal, orang kurang upaya, anak
yatim serta mereka yang ditimpa musibah dan bencana seperti
angin ribut, kebakaran, banjir, tanah runtuh dan sebagainya.
Kuasa Tempatan
Tuan Speaker,
54. Kerajaan Negeri sedar akan peranan dan tanggungjawab
yang dimainkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dalam mentadbir
kawasan masing-masing dengan lebih teratur dan sistematik.
36
Untuk membolehkan mereka mencapai objektif-objektif dari segi
Penggantian Kadar; Pemeliharaan Kawasan Taman-taman dan
Pelbagai Kemudahan Awam; Sistem Pembetungan dan
Perparitan, maka sejumlah RM106.19 juta akan diperuntukkan
kepada Pihak Berkuasa Tempatan pada tahun 2011.
55. Institusi Mahkamah Anak Negeri adalah penting kerana
ianya merupakan jentera pentadbiran Undang-undang Adat Anak
Negeri Sabah, maka sejumlah RM17.68 juta disediakan bagi
maksud ini. Selain daripada tujuan pembayaran gaji dan elaun,
peruntukan ini antaranya digunakan untuk menganjurkan
persidangan dan kursus bagi Ketua-ketua Daerah, Ketua-ketua
Anak Negeri, Ketua Masyarakat Cina dan Ketua Kampung untuk
meningkatkan kecekapan mereka dalam menjalankan tugas-tugas
di Mahkamah Anak Negeri sejajar dengan aturcara dan
peruntukan undang-undang atau peraturan serta Enakmen Hal
Ehwal Anak Negeri.
37
Peranan Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan
Tuan Speaker,
56. Agensi Kerajaan memainkan peranan sebagai pemangkin
dalam melaksanakan polisi Kerajaan dan masih kekal relevan
terutama dalam pembangunan sosio ekonomi atau sektor
komersil. Usaha ini telah pun diperkukuhkan melalui penerapan
tadbir urus korporat yang baik. Kerajaan akan sentiasa memantau
Badan-badan berkanun dan Agensi-agensi Kerajaan.
Tuan Speaker,
57. Kerajaan Negeri menaruh harapan tinggi kepada agensi-
agensi peneraju dan berprestasi tinggi seperti Sabah Development
Bank Berhad, Perbadanan Pinjaman Sabah, Perbadanan
Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO), Warisan Harta
Sabah Sdn. Bhd., Kumpulan Yayasan Sabah, Sabah Energy
Corporation Sdn. Bhd., Progressive Insurance Berhad, Kumpulan
Sawit Kinabalu Berhad, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah,
serta Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar. Saya
berharap agar agensi-agensi ini dapat terus ditadbir-urus dengan
berkesan sekaligus mampu mempertingkatkan prestasi masing-
38
masing dan dengan demikian berupaya menyalurkan dividen
kepada Kerajaan Negeri secara berterusan, bagi menampung
keperluan pelaksanaan projek-projek pembangunan kepada
rakyat.
58. Di samping itu, Badan-badan Berkanun dan Agensi-agensi
Kerajaan yang masih lagi berhutang kepada kerajaan negeri
diminta mengambil serius hal bayaran balik hutang dan
memperuntukkan dalam bajet masing-masing jumlah bayaran
balik pinjaman yang telah matang. Sehubungan ini, Kerajaan
Negeri sedang mempertimbangkan untuk menjadikan keupayaan
dan rekod bayaran balik pinjaman oleh Badan-badan Berkanun
dan Agensi-agensi Kerajaan sebagai KPI masing-masing dan
permohonan pinjaman di masa hadapan akan ditentukan oleh
faktor bayaran balik masing-masing.
59. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada
agensi-agensi kerajaan yang membayar dividen pada tahun 2010.
Setakat Oktober 2010, sejumlah RM42.94 juta telah diterima
daripada Perbadanan Pinjaman Sabah, Sabah Energy Corporation
Sdn. Bhd., Progressive Insurance Berhad, Suria Capital Holdings
Bhd dan Warisan Harta Sdn.Bhd.
39
60. Kerajaan Negeri juga mengiktiraf sumbangan agensi-agensi
kerajaan dalam usaha pembasmian kemiskinan dan
pembangunan masyarakat. Sawit Kinabalu Bhd., Korporasi
Pembangunan Desa dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri
Sabah terlibat secara langsung dalam usaha pembasmian
kemiskinan menerusi pembangunan tanah untuk rakyat termiskin.
Beberapa buah agensi lain seperti Perbadanan Pinjaman Sabah,
Sabah Energy Corporation dan Sabah Development Bank turut
menyumbang ke arah pembangunan masyarakat menerusi
Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat masing-masing.
Sementara itu, Yayasan Usaha Maju (YUM) telah menunjukkan
pencapaian cemerlang dalam usaha membantu usahawan kecil
wanita luar bandar. Peratusan pembayaran balik kemudahan
pinjaman mikro YUM kini mencapai 98 peratus. Di sini, sukacita
saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.80 juta untuk
Dana Usahawan Wanita melalui YUM sebagaimana yang
dicadangkan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal
Ehwal Pengguna semasa Sambutan Hari Wanita Peringkat
Negeri yang telah diadakan di Kudat, baru-baru ini.
40
Pengumuman Khas
Tuan Speaker,
61. Selain daripada peruntukan untuk maksud perbelanjaan
yang telah dinyatakan tadi, tidak dinafikan bahawa masih terdapat
keperluan-keperluan yang harus ditampung dan perlu diberikan
perhatian yang sewajarnya di seluruh negeri. Saya sedar,
bahawa selama ini Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa bekerja
keras untuk menyelesaikan apa juga masalah rakyat di kawasan
masing-masing. Sesungguhnya, rakyat sentiasa menaruh
harapan yang tinggi terhadap kerajaan. Mandat yang diberikan
oleh rakyat tidak akan disia-siakan bahkan akan ditatang
sebagaimana menatang minyak yang penuh. Cepat atau lambat,
kerajaan berpegang pada prinsip, kata mesti dikota, janji mesti
ditepati. Rakyat adalah pelanggan yang menjadi keutamaan kita.
Tiada yang lebih mustahak dalam pentadbiran ini melainkan
menjaga kepentingan rakyat dengan membawa kemajuan dan
kemakmuran demi kesejahteraan semua. Oleh yang demikian,
sukacita saya mengumumkan bahawa Peruntukan Khas bagi
setiap kawasan Dewan Undangan Negeri akan ditambah
sebanyak RM 400 ribu, iaitu daripada RM 600 ribu kepada RM 1.0
41
juta mulai tahun hadapan. Sayugia diingatkan, peruntukan khas
yang diberikan ini adalah untuk dimanfaatkan secara adil dan
bijaksana demi kepentingan rakyat yang memerlukannya.
62. Selain daripada itu, kebajikan rakyat di setiap kawasan
Dewan Undangan Negeri wajar diberikan perhatian serius dan
bantuan kepada golongan yang memerlukan hendaklah
dipertingkatkan. Sehubungan itu, bantuan kepada orang susah
sebanyak RM 50 ribu setahun akan dinaikkan seratus peratus
kepada RM 100 ribu untuk setiap Ahli Dewan Undangan Negeri.
Diharapkan dengan kenaikan tersebut, lebih ramai golongan
susah dapat dibela dan diberikan bantuan.
Tuan Speaker,
63. Perkhidmatan awam adalah jentera kerajaan yang terpenting
bagi menjayakan apa juga dasar dan program-program
pembangunan. Cabaran besar yang dihadapi oleh penjawat
awam dalam memastikan keberkesanan sistem penyampaian
sememangnya disedari dan difahami oleh kerajaan. Dalam
memberikan perkhidmatan dan bantuan kepada rakyat, berbagai
keadaan dan cabaran akan ditempuhi, kerana demikianlah
42
hakikatnya pekerjaan dan tugasan golongan penjawat awam di
negeri ini. Untuk itu, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500
akan diberikan kepada setiap penjawat awam dari Gred 54 dan ke
bawah pada bulan Disember ini, selaras dengan pengumuman
oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam Bajet Nasional 2011 sebulan
lalu. Kepada mereka yang telah berkeluarga, diharapkan bantuan
khas ini akan dapat membantu menampung perbelanjaan anak-
anak sekolah menjelang Januari akan datang.
Penutup
Tuan Speaker,
64. Apa juga yang kerajaan lakukan, rakyat tidak pernah
diketepikan. Malah kepentingan dan kebajikan rakyat sentiasa
menjadi keutamaan, kerana pada rakyatlah letaknya nadi
kekuatan Kerajaan Barisan Nasional selama ini. Kemenangan
berganda Barisan Nasional di Galas dan Batu Sapi pada
pilihanraya kecil yang baru lalu, memberikan suntikan semangat
kepada Barisan Nasional untuk terus gigih berjuang demi
membela kepentingan nusa dan bangsa.
43
65. Majoriti berganda yang diperolehi Barisan Nasional di Batu
Sapi ini adalah petunjuk bahawa rakyat bukan sahaja masih
bersama kerajaan yang memerintah, tetapi tetap menyokong
malah sedia memberi mandat baru kepada Barisan Nasional,
untuk terus memerintah dan mengekalkan pelaksanaan agenda
pembangunan demi rakyat dan negeri tercinta ini.
66. Seperti yang pernah saya katakan, bahawa yang pipih itu
tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan datang
bergolek. Semuanya perlu usaha dan diusahakan. Tanpa
komitmen dan kesungguhan, tanpa kerjasama dan semangat kerja
berpasukan, kejayaan besar seperti di Batu Sapi tidak mungkin
tercapai. Justeru, saya mengajak kepada semua rakan-rakan
seperjuangan dalam Barisan Nasional, supaya momentum
cemerlang di Batu Sapi hendaklah kita kekalkan bagi memastikan
Barisan Nasional tetap menjadi Juara Rakyat!
Tuan Speaker,
67. Selagi hayat di kandung badan, perjuangan suci membela
rakyat akan tetap diteruskan. Dalam memastikan pertumbuhan
ekonomi negeri berkembang pesat, kerajaan menyambut baik
44
pelaksanaan Model Baru Ekonomi yang menepati matlamat
Dasar Halatuju Kerajaan Negeri yang memberi tumpuan kepada
pertumbuhan tiga sektor utama ekonomi, iaitu pertanian,
pelancongan dan pembuatan. Dalam memastikan kejayaan
pertumbuhan ekonomi yang mapan, Kerajaan Negeri akan
sentiasa berusaha menyediakan kemudahan, suasana perniagaan
yang kondusif serta memberi ruang dan peluang kepada semua,
khususnya golongan usahawan dan para pelabur dari dalam dan
luar negara. Di samping itu, usaha-usaha ke arah pewujudan
perkongsian pintar melibatkan sektor awam dan swasta adalah
digalakkan, malah harus terus diterokai dan dijadikan kenyataan.
68. Dengan semangat waja dan jiwa yang kental, serta dijana
oleh iltizam politik atau "political will" yang tinggi, insya Allah, kita
mampu melaksanakan segala program yang telah disusunatur
bagi mentransformasikan Malaysia sebuah negara maju yang
berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Untuk itu, saya
menyeru kepada semua pihak, terutama sektor pentadbiran
awam, badan korporat, badan profesional, para usahawan, badan-
badan bukan kerajaan, pihak media dan rakyat seluruhnya, agar
terus bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing
dengan lebih berkesan ke arah mewujudkan sebuah negeri yang
45
makmur, permai dan damai dengan masyarakatnya yang berilmu,
progresif, berdisiplin dan berdaya saing yang tinggi.
Tuan Speaker,
69. Bajet 2011 yang dibentangkan ini sekali lagi menzahirkan
komitmen dan iltizam politik Kerajaan Negeri yang ditunjangi oleh
Barisan Nasional untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik
kepada negeri Sabah dan rakyatnya.
70. Sesungguhnya, di mana bumi di pijak, di situlah langit di
junjung. Jika bukan kita yang membela dan memakmurkan tanah
tumpah darah ini, siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk
berbuat demikian? Tiada yang lebih membahagiakan dan
memuaskan hati, melainkan melihat negeri ini terus maju dan
makmur, dan rakyatnya hidup dalam keadaan aman dan
harmoni , insya Allah.
Sajak dicipta bersimpul ayat
Ilham datang di waktu pagi
Barisan Nasional pembela rakyat
Bukan BN siapa lagi?
Tuan Speaker,
Saya mohon mencadangkan.