Tugasan 3 (kajian tinjauan)
-
Upload
nurrasyiqah -
Category
Documents
-
view
520 -
download
1
Transcript of Tugasan 3 (kajian tinjauan)
KPT6044 - PEMBELAJARAN BERASASKAN ELEKTRONIK
DAN WEB
TUGASAN 3 : KAJIAN TINJAUAN
TAJUK : Penggunaan Aplikasi Google Earth dalam Meningkatkan Prestasi Pelajar Mata Pelajaran Geografi Pelajar
Tingkatan 1
NAMA: NUR AZYAN RASYIQAH BT ABDUL HAMID
NO MATRIK : M20121000790
Disemak oleh :
PROFESOR MADYA DATO’ DR ABD LATIF HJ GAPOR
FAKULTI PENDIDIKAN DAN PEMBAGUNAN MANUSIA
UNIVERSITI PERGURUAN SULTAN IDRIS
PENDAHULUAN
ICT sememangnya mempengaruhi serta memberi impak yang mendalam kepada
peradaban manusia pada zaman ini. Di negara ini tiga dasar penting yang digubal oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia (2001) telah menjadi landasan dan hala tuju kepada
penggunaan dan pengintegrasian ICT secara komprehensif di semua sekolah awam. Dasar ini
memberi tumpuan kepada penguasaan ICT dalam kalangan pelajar, penggunaan ICT sebagai
kurikulum dan pengupayaan pengajaran dan pembelajaran serta kecekapan pengurusan
berasaskan ICT. Menurut sumber Pembangunan Pendidikan 2001-2010, salah satu punca
masalah ini adalah kerana majoriti guru masih menggunakan kaedah pengajaran konvensional
dan kurang menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk menarik minat
dan tidak mampu untuk merangsang proses pembelajaran pelajar di dalam mata pelajaran
tersebut (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2001).
Selain itu, strategi pengajaran ini juga dikenal pasti menjadi punca para pelajar
mempunyai tahap akademik yang lemah atau berisiko untuk menjadi kurang bermotivasi
terhadap pelajaran yang dikendalikan secara tradisional (Zaidatol Akmaliah, 2005).
Sebaliknya, kajian pengajaran dan pembelajaran menggunakan ICT sering dikatakan lebih
berkesan berbanding dengan kaedah konvensional (Bagui, 1998; Flecther, 2003; Mayer,
2002). Kajian dalam dan luar negara juga menunjukkan bahawa penggunaan ICT seperti
perisian pengajaran multimedia, web dan lain lain yang berkaitan mampu meningkatkan
minat dan pencapaian pelajar dalam akademik (Jamalludin dan Zaidatun, 2003; Macaulay,
2002; Al-Mikhlafi, 2006). Dapatan kajian ini seolah-olah memberi suatu penunjuk, andaian
dan gambaran berita gembira bagi membantu para pelajar yang berpencapaian rendah dalam
akademik khususnya bagi mata pelajaran yang penting seperti Geografi.
Kajian penggunaan aplikasi Google Earth di sekolah menengah diketengahkan bagi
melihat sejauh mana kesannya ke atas prestasi pelajar bagi mata pelajaran Geografi. Dengan
itu, penggunaan aplikasi Google Earth dipercayai dapat memberi kesan yang mendalam
kepada para pelajar. Ianya terbukti apabila aplikasi Google Earth yang merupakan suatu
aplikasi atau program Globe Virtual dapat melihat seluruh dunia atau diibaratkan kita menjadi
seorang penjelajah atau angkasawan yang mampu menjelajahi alam semesta dalam waktu
singkat. Pada aplikasi Google Earth ini juga, pelajar dapat melihat pelbagai jenis rumah,
warna kenderaan, bayangan manusia dan juga lalu lintas. Dengan kata lain, dengan aplikasi
Google Earth ini, pelajar mampu mengelilingi ke seluruh dunia, bahkan pelajar juga boleh ke
planet-planet lain apabila guru dan pelajar memang benar-benar menguasai aplikasi tersebut.
Dengan adanya aplikasi Google Earth, pelajar dapat melihat dengan lebih jelas lokasi
tempat tinggal mereka selain dapat menjelajah daerah-daerah di sekitarnya. Selain itu, aplikasi
Google Earth juga mampu menunjukkan dengan lebih tepat tempat-tempat yang dikehendaki
dengan menunjukkan gambar-gambar terkini melalui foto satelit selain menggunakan foto 3
dimensi (3D). Kebaikan aplikasi Google Earth ini juga membuatkan pelajar menjadi aktif
disebabkan sifat ingin tahu mereka adalah sangat tinggi dalam proses pengajaran dan
pembelajaran.
Di samping itu juga, aplikasi Google Earth memudahkan pengajaran seseorang guru di
mana seseorang guru tidak perlu membawa peta yang berukuran besar atau glob yang
berputar yang membuatkan pelajar bosan dan hilang fokus. Kini, guru hanya membawa
sebuah komputer bimbit dan broadband serta menayangnya pada skrin Liquid Crystal Display
(LCD) membolehkan pelajar melihat bumi berputar secara realiti. Justeru itu, perubahan harus
dilakukan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di bilik-bilik darjah yang mana
pendekatan konstruktivisme adalah diperlukan kerana ia dapat memupuk minat serta
menggalakkan pelajar lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran di samping
menerapkan amalan pembelajaran sepanjang hayat. Berhubung dengan teknik pedagogi,
Boyle (1997) melihat pengajaran berasakan ICT adalah sebagai satu pendekatan yang terbaik
digunakan oleh pendidik untuk mempersembahkan bahan-bahan yang hendak disampaikan
kepada pelajar.
TUJUAN KAJIAN
Tujuan penyelidik menjalankan kajian ini adalah untuk melihat sejauh mana tahap
penggunaan aplikasi Google Earth dalam meningkatkan prestasi pelajar mata pelajaran
Geografi di sekolah menengah. Aplikasi Google Earth dipilih sebagai medium dalam kajian
ini untuk melihat keberkesanan aplikasi ini terhadap prestasi pelajar di samping
mempelbagaikan kaedah pengajaran di mana bukan berfokuskan kaedah konvensional
semata-mata. Keadaan ini membolehkan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar dapat
diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dengan kaedah ini juga, pengajaran
dan pembelajaran akan lebih kepada berorientasikan penemuan inkuiri di kalangan pelajar.
PENYATAAN MASALAH
Pengkaji berpendapat bahawa penggunaan ICT adalah cara terbaik untuk menarik
perhatian dan minat pelajar mempelajari ilmu Geografi. Dalam kajian ini, beberapa
permasalahan telah dikenal pasti sebagai panduan menjalankan kajian. Antara masalah yang
dapat dikenal pasti seperti penggunaan kaedah konvensional yang masih diamalkan di
kalangan guru khususnya di luar bandar. Namun demikian, terdapat juga kemudahan yang
disediakan oleh pihak sekolah kepada guru-guru tetapi penggunaannya masih tidak
dioptimumkan. Ianya disokong oleh Zoraini (2005) yang menyatakan terdapat 87% sekolah
menengah di Malaysia memiliki komputer dan hanya 65% sahaja guru-guru yang tahu
menggunakannya. Selain itu, kaedah sedia ada yang digunakan guru-guru di sekolah juga
kurang pelbagai diintegrasikan. Didapati guru-guru masih kurang mengintegrasikan ICT
dalam pengajaran mereka agar pengajaran lebih menarik dan berkesan. Menurut Pusat
Perkembangan Kurikulum (2005), antara tahun 1996 hingga 2000, hanya 30% daripada guru-
guru yang telah dilatih dalam ICT dan daripada mereka yang terlatih ini, hanya sebilangan
kecil sahaja yang boleh mengintegrasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah. Walaupun terdapat juga guru-guru yang mengintegrasikan ICT dalam pengajaran
tetapi peneguhan konsep yang dilakukan adalah lemah.
Di samping itu, kaedah sedia ada juga lebih kepada berpusatkan guru dan kurang
berorientasikan kepada penemuan inkuiri. Menurut Ee Ah Meng (2005) pembelajaran
konvensional lebih menjurus kepada guru dan pelajar amat popular di kebanyakan sekolah.
Mengikut kaedah tersebut, guru dijadikan sumber ilmu semata-mata oleh pelajar. Perubahan
masa menyebabkan kaedah pembelajaran sedemikian tidak lagi sesuai untuk digunakan,
sebaliknya cara yang lebih sesuai adalah dengan menukar kaedah pengajaran dengan
menjadikan guru sebagai fasilitator atau pemudah cara dalam menjalankan proses pengajaran
dan pembelajaran mereka. Kaedah ini juga diperkenalkan oleh Pusat Perkembangan
Kurikulum (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2005), di mana proses pengajaran dan
pembelajaran adalah berpusatkan kepada murid. Masalah lain yang dapat dikenal pasti juga
seperti kaedah sedia ada menyebabkan pelajar kurang berminat bahagian Kemahiran
Geografi. Menurut Kastiman (2005), sebanyak 50% daripada pelajar yang dikaji paling tidak
digemari bidang dan topik kemahiran Geografi. Ia berlaku disebabkan kaedah yang digunakan
oleh guru-guru telah ketinggalan yang kurang menerapkan unsur-unsur pengajaran
berorientasikan ICT. Di samping itu, peta-peta yang digunakan oleh guru-guru adalah peta
lama dan kurang menarik.
OBJEKTIF KAJIAN
Secara umumnya, matlamat kajian ini ialah untuk melihat sejauh manakah penggunaan
aplikasi Google Earth dalam meningkatkan prestasi pelajar mata pelajaran Geografi di
sekolah menengah. Secara khususnya, objektif kajian ini adalah seperti berikut.
I. Mengenal pasti tahap persepsi pelajar dalam kaedah konvensional bagi pembelajaran
Geografi di Sekolah Menengah.
II. Mengenal pasti perbezaan tahap penguasaan Topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1
antara kumpulan kawalan dan rawatan.
III. Mengenal pasti hubungan penggunaan aplikasi Google Earth terhadap minat pelajar
dalam mata pelajaran Geografi.
SOROTAN KAJIAN
Sesuatu aplikasi ICT atau ABM merupakan faktor penting dalam menentukan sesuatu
pembelajaran serta mewujudkan rangsangan keinginan pelajar untuk mengetahui sesuatu dan
turut menjadikan pembelajaran lebih baik dan menarik. Aplikasi ICT merupakan bahan yang
digunakan oleh guru untuk membantunya dalam menyampaikan isi pelajaran di dalam kelas.
Peralatan ini tidak terhad kepada buku teks, papan putih dan gambar-gambar sahaja tetapi
merangkumi segala benda yang digunakan dalam pelajaran yang boleh dilihat, didengar,
dialami dan sebagainya. Aplikasi ICT juga merupakan rangsangan tambahan yang disertakan
bersama-sama isi pelajaran sebagai tujuan membantu menjelaskan lagi penerangan guru. Ia
dapat mengelakkan berlakunya salah faham dalam kalangan pelajar mengenai topik yang
dipelajari (Zulkafli, 1997). Menurut Robiah dan Nor Sakinah (2007), pengajaran berasaskan
ICT berupaya meningkatkan pencapaian dalam pengajaran. Pelajar didapati menggunakan
pemikiran pada aras tinggi dan tidak hanya menghafal fakta-fakta sahaja serta bekerjasama
antara satu sama lain semasa menyelesaikan masalah dan seterusnya lebih berdikari dan
bertanggungjawab terhadap pembelajaran. Mereka tidak mengharapkan semua aktiviti
pengajaran digerakkan oleh guru semata-mata. Dalam kajian yang telah dijalankan di sekolah
menengah luar bandar iaitu di kawasan Bentong, Pahang mendapati analisis ujian-t
menunjukkan nilai p adalah 0.002 yang menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan
dalam pencapaian tugasan membentuk laman web antara kumpulan rawatan dalam mata
pelajaran literasi komputer manakala kumpulan kawalan menggunakan kaedah tradisional.
Melalui kajian yang telah dilakukan oleh Aszoura (2007) di sebuah sekolah menengah
kebangsaan yang dikategorikan sebagai sekolah luar bandar di negeri Selangor mengenai
”Keberkesanan Kaedah Pembelajaran Berbantukan Komputer Terhadap Peningkatan Tahap
Penguasaan Konsep Sains dalam Tajuk Sel Sains” mendapati terdapat perbezaan pencapaian
yang ketara antara skor min bagi kumpulan rawatan lebih tinggi iaitu 5.33 berbanding
kumpulan kawalan hanya memperoleh skor min 4.09 bagi ujian yang telah dijalankan. Dalam
kajian ini juga menunjukkan apabila pembelajaran ICT digunakan di dalam kelas turut
memberi kesan yang positif ke atas minat pelajar di mana min yang diperoleh adalah 4.27
iaitu min yang sangat tinggi selepas kajian dilakukan. Mengikut kajian Jariah (2008)
mendapati kaedah pembelajaran berasaskan projek multimedia dan ICT menunjukkan pelajar
amat bermotivasi tinggi dan menunjukkan perubahan tingkah laku yang amat positif apabila
diberi peluang mengembangkan idea, minat dan kebolehan ketika sesi pengajaran dan
pembelajaran. Pelajar begitu teruja semasa membuat penyampaian laporan tugasan. Mereka
dapat menyampaikan hasil tugasan dengan penuh keyakinan dan bersemangat tinggi. Peluang
ini digunakan sepenuhnya oleh semua pelajar menunjukkan kebolehan dan kemampuan
kumpulan masing-masing dengan hasil yang baik dan menarik minat rakan lain untuk
mengikutinya.
Penggunaan aplikasi ICT atau ABM sememangnya sangat berguna di dalam bilik
darjah kerana penggunaan ABM ini membolehkan pelajar mengetahui sesuatu dengan lebih
abstrak (Clark dan Manthis, 2000). Secara realitinya, ABM berperanan untuk menjelaskan
idea kepada pelajar. Contohnya, aplikasi ArcGIS digunakan untuk memaparkan kawasan-
kawasan taburan hutan, kependudukan dan lain-lain dengan lebih jelas dan terkini berbanding
kaedah konvensional yang menggunakan buku teks di mana data-data yang digunakan adalah
data lama yang tidak dikemas kini. Penggunaan aplikasi ICT secara integrasi juga lebih
mudah apabila pengajaran dan pembelajaran menggunakan tajuk-tajuk berkaitan kemahiran
geografi kerana ia memberi ruang kepada pelajar untuk lebih meneroka dengan lebih
mendalam mengenai isi pengajaran yang disampaikan oleh guru (Watson, 1993). Dengan itu,
kajian Margerison dan Walker (1990) mendapati bahawa penggunaan aplikasi ICT dalam
proses pengajaran dan pembelajaran membawa banyak kebaikan berbanding dengan kaedah
konvensional. Ianya berlaku apabila pelajar-pelajar dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya
kepada pelajaran kerana paparan pada skrin LCD yang mempunyai pelbagai unsur animasi
menyebabkan pelajar mudah tertarik dengan pengajaran guru dalam kelas dan pelajar juga
tidak terhadap kepada grafik statik yang membosankan pada buku teks semata-mata. Ia turut
disokong Oldham (2003) yang menyatakan penggunaan ICT berupaya menunjukkan konsep
abstrak secara visual dan seterusnya membantu pelajar memahami konsep yang abstrak
tersebut menggunakan model, simulasi, permainan, video dan penjelajahan multimedia.
Peningkatan pencapaian pelajar juga turut dipengaruhi oleh penggunaan ICT secara
integrasi oleh guru ketika di dalam kelas. Rosenberg (2001) menjelaskan integrasi ICT dalam
pengajaran dan pembelajaran memberikan peluang kepada guru untuk memperkenalkan
pembelajaran secara kontekstual kepada murid-murid. Pembelajaran ini memfokuskan
pembelajaran dalam konteks aktiviti masalah sebenar dan meletakkan pelajar sebagai
penyelesai masalah. Melalui penggunaan ICT pelajar dapat menguasai pelbagai kemahiran
manipulatif seperti kemahiran pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan
dengan menggunakan alat-alat teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi akan
melahirkan pelajar yang lebih bersedia dan yakin untuk memasuki alam pekerjaan. Dalam
satu kajian yang dijalankan oleh Software and Information Industry Association (2000)
menunjukkan pelajar yang menggunakan ICT sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran
lebih tertarik untuk mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh guru
kerana merasakan mereka lebih berjaya di sekolah dalam menguasai mata pelajaran, lebih
bermotivasi dan mempunyai peningkatan dalam keyakinan kendiri dan harga diri. Dalam
konteks pembelajaran mata pelajaran Geografi, pelajar akan lebih mudah memahami
mengenai aspek bentuk muka bumi dengan bantuan Google Earth dan lebih memahami
tentang kepentingan kewujudan sesuatu ciri fizikal dalam mata pelajaran Geografi.
REKABENTUK KAJIAN
Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah eksperimen yang berasaskan kuasai
eksperimen yang melibatkan dua kelas tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan
Hosba iaitu kumpulan rawatan yang menggunakan aplikasi Google Earth dalam sesi
pembelajaran manakala kumpulan kawalan pula menggunakan kaedah konvensional semasa
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Kedua-dua kumpulan ini diberi ujian pra
dan pasca untuk melihat perbezaan skor min dan kekerapan. Kajian ini juga turut
menggunakan kaedah tinjauan di mana penggunaan borang soal selidik diedarkan kepada
responden-responden di dalam kumpulan rawatan sahaja. Kaedah ini digunakan untuk
mengkaji sisihan piawai antara min kumpulan rawatan dan mengkaji minat pelajar dalam
penggunaan aplikasi Google Earth terhadap pencapaian pelajar dan dianalisis menggunakan
perisian Statistical Package for Social Science (SPSS). Sampel dalam kajian ini sebanyak 60
orang pelajar yang terdiri daripada 30 orang pelajar yang dianggap sebagai kumpulan
eksperimen dan sebuah kelas lagi terdiri daripada 30 orang pelajar dianggap sebagai
kumpulan kawalan.
HASIL DAPATAN KAJIAN
Keputusan ujian pra dan ujian pasca dikumpulkan daripada kumpulan kawalan dan kumpulan
rawatan dan dianalisis dengan menggunakan ujian-t dalam perisian Statistical Package for
Social Science (SPSS) 17.0 untuk mengkaji hipotesis kajian. Hasil kajian menunjukkan sama
ada hipotesis yang ditolak sekiranya nilai p<0.05 atau diterima sekiranya nilai p>0.05.
Terdapat 3 hipotesis dalam kajian ini dan dinyatakan berserta dengan hasil analisis dapatan
kajian dengan menggunakan ujian-t dan korelasi adalah seperti berikut:
Tidak Terdapat Perbezaan Min Skor yang Signifikan dalam Min Ujian Pra dan Pasca
Antara Kumpulan Kawalan Bagi Topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1
Penyelidik telah membuat hipotesis nul yang pertama (H01) dalam kajian ini, iaitu tidak
terdapat perbezaan min skor yang signifikan dalam min ujian pra dan pasca antara kumpulan
kawalan bagi topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1. Bagi menguji hipotesis nul yang pertama
(H0 1), keputusan ujian pra dan ujian pasca bagi kumpulan kawalan di kumpul dan kemudian
dianalisis dengan menggunakan ujian-t berpasangan (paired t-test). Keputusan menunjukkan
perbezaan antara min skor yang signifikan dalam min ujian pra dan pasca antara kumpulan
kawalan bagi topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1. Nilai min ujian bagi kedua-dua ujian ini
iaitu ujian pra dan ujian pasca bagi kumpulan kawalan ialah 0.600. Bagi sisihan piawai pula,
ujian pra dan ujian pasca dapat diperhatikan bagi kumpulan kawalan iaitu sebanyak 0.621.
Berdasarkan analisis data nilai signifikan yang diperoleh ialah 0.00, iaitu lebih kecil daripada
aras signifikan p=0.05, hipotesis nul pertama (H0 1), ditolak. Ini bermakna sememangnya
terdapat perbezaan yang signifikan antara min ujian pra dan pasca antara kumpulan kawalan
bagi topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1.
Tidak Terdapat Perbezaan Min Skor yang Signifikan dalam Min Ujian Pra dan Pasca
Antara Kumpulan Rawatan Bagi Topik Bentuk Muka Bumi Tingkatan 1
Hipotesis nul yang kedua (H02) dalam kajian ini, iaitu tidak terdapat perbezaan min skor yang
signifikan dalam min ujian pra dan pasca antara kumpulan rawatan bagi topik Bentuk Muka
Bumi tingkatan 1. Bagi menguji hipotesis nul yang kedua (H02), keputusan ujian pra dan
ujian pasca bagi kumpulan rawatan di kumpul dan kemudian dianalisis dengan menggunakan
ujian-t berpasangan (paired t-test). Keputusan menunjukkan perbezaan antara min skor yang
signifikan dalam min ujian pra dan pasca antara kumpulan rawatan bagi topik Bentuk Muka
Bumi tingkatan 1. Nilai min ujian bagi kedua-dua ujian ini iaitu ujian pra dan ujian pasca bagi
kumpulan rawatan ialah 1.433. Bagi sisihan piawai pula, ujian pra dan ujian pasca dapat
diperhatikan bagi kumpulan rawatan iaitu sebanyak 0.817. Berdasarkan analisis data, nilai
signifikan yang diperoleh ialah 0.00, iaitu lebih kecil daripada aras signifikan p=0.05,
hipotesis nul kedua (H02), ditolak. Ini bermakna sememangnya terdapat perbezaan yang
signifikan antara min ujian pra dan pasca antara kumpulan rawatan bagi topik Bentuk Muka
Bumi tingkatan 1 dan ia menggambarkan penggunaan aplikasi Google Earth dalam topik ini
telah memberi kesan yang positif iaitu dapat meningkatkan kefahaman dan pencapaian
pelajar.
Tidak Terdapat Hubungan yang Signifikan dalam Penggunaan Aplikasi Google Earth
Terhadap Minat Pelajar Dalam Mata Pelajaran Geografi.
Hipotesis nul yang ketiga (H03) dalam kajian ini, iaitu tidak terdapat hubungan yang
signifikan dalam penggunaan aplikasi Google Earth terhadap minat pelajar dalam mata
pelajaran Geografi. Bagi menguji hipotesis nul yang ketiga (H03), borang soal selidik di
kumpul bagi kumpulan rawatan dan kemudian dianalisis dengan menggunakan kaedah
korelasi. Keputusan menunjukkan hubungan antara penggunaan aplikasi Google Earth
terhadap minat pelajar dalam mata pelajaran Geografi. Keputusan ujian korelasi yang
mendapati r=0.529 dengan nilai p<0.003. Ini menunjukkan terdapatnya hubungan yang
signifikan dalam penggunaan aplikasi Google Earth terhadap minat pelajar dalam mata
pelajaran Geografi dan hipotesis nul ketiga (H03), ditolak disebabkan nilai p lebih besar
daripada aras signifikan iaitu p=0.05. Nilai positif r=0.529 juga menjelaskan terdapatnya
hubungan positif (sederhana kuat) yang signifikan di antara penggunaan aplikasi Google
Earth terhadap minat pelajar dalam mata pelajaran Geografi. Bahkan, nilai ke signifikan yang
kurang daripada 0.05 ini menerangkan bahawa kebarangkalian berlakunya korelasi secara
tidak sengaja atau secara peluang adalah amat rendah sekali atau mungkin tidak akan berlaku
sama sekali.
9.0 PERBINCANGAN
Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat juga perbezaan yang signifikan dalam
ujian pra dalam kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Walau bagaimanapun
perbezaannya purata markah adalah sedikit iaitu 2.93 markah. Perkara ini berlaku disebabkan
pada permulaan, kesemua pelajar tidak mempunyai pengetahuan awal mengenai topik Bentuk
Muka Bumi. Justeru itu, semasa ujian pra, pelajar hanya dapat menjawab soalan-soalan yang
hanya berada pada aras rendah iaitu aras pengetahuan. Ini disokong oleh Saridah (2006)
mendapati min kumpulan eksperimen adalah lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan.
Namun perbezaannya tidak begitu jauh kerana kumpulan kawalan dan kumpulan eksperimen
mempunyai aras kecerdasan yang hampir sama. Kajian Sin Chow Lai (2006) dalam kajiannya
iaitu “Pendekatan Koperatif Model STAD Terhadap Pelajar Tingkatan 1 dalam Topik
Nombor Negatif” turut menyatakan bahawa purata skor markah yang diperolehnya pada
kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan bagi ujian pra juga tidak begitu ketara disebabkan
kedua-dua kumpulan pelajar menjawab soalan yang diberikan berdasarkan pengetahuan sedia
ada. Dengan ini dapat disimpulkan bahawa, pelajar bagi kumpulan kawalan dan kumpulan
rawatan ketika menjawab soalan yang diberikan adalah mempunyai pengetahuan dan
pengalaman yang hampir sama. Ia disokong oleh Khairuddin dan Normah (2011) melalui
dapatan mereka peroleh mendapati kedua-dua kumpulan memperoleh skor min yang hampir
sama bagi ujian pra walaupun kumpulan rawatan memperoleh skor min lebih tinggi iaitu 5.5
berbanding skor min kumpulan kawalan iaitu 5.6. Ini membuktikan bahawa kedua-dua
kumpulan seimbang dari segi pencapaian dan kebolehan.
Bagi kumpulan rawatan pula, hasil kajian menunjukkan terdapat perbezaan yang
signifikan dalam ujian pasca antara kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Skor purata
markah bagi ujian pasca rawatan melebihi purata markah ujian pasca bagi kumpulan kawalan.
Ini jelas menunjukkan keberkesanan penggunaan aplikasi Google Earth terhadap pencapaian
pelajar dalam subtopik Bentuk Muka Bumi berbanding penggunaan kaedah konvensional
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dengan penggunaan aplikasi Google
Earth yang menarik berupaya meningkatkan prestasi pelajar. Dapatan ini selari dengan
dapatan kajian Robiah dan Nor Sakinah (2007) yang menyatakan pengajaran berasaskan ICT
berupaya meningkatkan pencapaian dalam pengajaran. Mereka mendapati penggunaan
aplikasi ICT ketika di dalam kelas membolehkan pelajar berfikir di tahap aras tinggi dan tidak
hanya menghafal fakta-fakta yang diberikan semata-mata. Rosenberg (2001) turut
menjelaskan integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran memberikan peluang kepada
guru untuk memperkenalkan pembelajaran secara kontekstual kepada murid-murid.
Melalui penggunaan ICT juga, pelajar dapat menguasai pelbagai kemahiran
manipulatif seperti kemahiran pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan
dengan menggunakan alat-alat teknologi. Daripada analisis data yang dibuat jelas juga
menunjukkan sebahagian besar pelajar kumpulan rawatan memberi maklum balas yang positif
dan memberangsangkan terhadap penggunaan aplikasi Google Earth semasa proses
pengajaran dan pembelajaran pada subtopik Bentuk Muka Bumi. Analisis data dibuat
berasaskan min yang telah di kumpul daripada borang soal selidik dan ujian pencapaian ke
atas pelajar kumpulan kawalan dan rawatan. Hasil dapatan soal selidik menunjukkan aplikasi
Google Earth sememangnya dapat menarik minat pelajar dalam mempelajari subtopik Bentuk
Muka Bumi.
Dapatan kajian ini selari dengan dapatan kajian oleh Norazah dan Chai Hong (2009)
yang melihat dengan penggunaan aplikasi berasaskan Web-WebQuest dapat menghasilkan
persekitaran pembelajaran yang efektif dalam pembelajaran. Secara tidak langsung ia
membuatkan pelajar berasa seronok sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran dan
menarik minat pelajar di dalam kelas. Selain itu, di dapati, 96.6% pelajar bersetuju
penggunaan multimedia menarik minat pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran
dan 83.3% pelajar pula mudah memahami isi pengajaran yang diajar oleh guru serta, 86.7%
pelajar yakin penggunaan multimedia membantu meningkatkan pencapaian pelajar dalam
peperiksaan. Melalui kajian Aszoura (2007) mendapati pelajar lebih berminat dan tertarik
dengan kaedah penggunaan ICT sebagai satu medium pembelajaran disebabkan wujudnya
paparan grafik yang berwarna-warni pada papan skrin LCD berbanding kaedah melukis atau
grafik statik di papan putih semata-mata. Ianya turut disokong oleh Jariah (2008) mendapati
kaedah pembelajaran berasaskan projek multimedia dan ICT menunjukkan pelajar amat
bermotivasi tinggi dan menunjukkan perubahan tingkah laku yang amat positif apabila diberi
peluang mengembangkan idea, minat dan kebolehan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
10. KESIMPULAN
Daripada kajian yang telah dijalankan, boleh dirumuskan bahawa penggunaan aplikasi
Google Earth dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Geografi yang
bersubtopik Bentuk Muka Bumi berupaya menarik minat pelajar mempelajari topik tersebut
Di samping itu, dengan penggunaan aplikasi tersebut sebagai alat bantu mengajar juga dapat
meningkatkan pencapaian pelajar kumpulan rawatan yang terbukti pada ujian pasca. Secara
keseluruhannya, kajian ini dianggap berjaya kerana ketiga-tiga hipotesis yang dikemukakan
dapat dibuktikan kesahannya. Ini kerana responden yang terlibat dalam kumpulan rawatan
menunjukkan peningkatan dalam ujian pasca yang diberikan. Selari dengan kajian-kajian
lepas, proses pengajaran dan pembelajaran yang berpandukan aplikasi ini dapat menyediakan
suasana pembelajaran yang seronok dan seterusnya memotivasikan pelajar supaya menjadi
lebih semangat dan cenderung untuk belajar bersungguh-sungguh.
Akhir sekali, diharap bahawa maklumat-maklumat yang terdapat dalam penyelidikan
ini dapat dimanfaatkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri,
pentadbir sekolah dan guru-guru dalam usaha untuk meningkatkan kualiti proses pengajaran
dan pembelajaran di sekolah. Selain itu, diharap juga, hasil kajian ini dapat dimanfaatkan
sepenuhnya demi meningkatkan pencapaian pelajar pada masa akan datang.
RUJUKAN
Aszoura Muhammed Salleh. 2007. Keberkesanan Kaedah Pembelajaran Berbantukan Komputer Terhadap Peningkatan Penguasaan Konsep Sains dalam Tajuk Sel untukSains Tingkatan Satu. Tesis Sarjana Muda Pendidikan Sains. Univerisiti Terbuka Malaysia
Ee Ah Meng. 2005. Pedagogi Kaedah Am Mengajar. Petaling Jaya: Amiza Publising Sdn Bhd.
Jamalluddin Harun dan Zaidatun Tasir. 2003. Multimedia dalam Pendidikan. Bentong: PTS Publication.
Jariah Siran. 2008. Pembelajaran Berasaskan Projek Multimedia: Sebagai Satu Kaedah Meningkatkan Minat, Sikap Dan Pencapaian dan Pelajar Terhadap Mata Pelajaran Pengajian Perniagaan. Sintok: Universiti Utara Malaysia.
Khairuddin Nisa, Normah Dali, Norasikin Fabil dan Ramlah Mailok. 2011. Perbandingan Penggunaan Peta Pintar RG dan Penggunaan Peta Topografi Terhadap Pencapaian
Norazah Mohd Nordin dan Ngau Chai Hong. 2009. Pembangunan Dan Penilaian Bahan Pengajaran Dan Pembelajaran Berasaskan Web – Webquest Bagi Mata Pelajaran ICT (Development and Evaluation Of Webquest For Information and Communication Technology Subject). Jurnal Pendidikan Malaysia. 34(1):111–129
Saridah Hussein. 2006. Keberkesanaan Penggunaan Perisian Multimedia dalam Pengajaran dan Pembelajaran Lokus Dalam Dua Matra Terhadap Pelajar Tingkatan Dua. Universiti Terbuka Malaysia (OUM): Kuala Lumpur
Zoraini. 2005. Kajian Perbandingan Kesedaran, Pengetahuan dan Penggunaan ICT di Kalangan Guru-guru Sekolah Bandar dan Luar Bandar. Prosiding Seminar Kebangsaan Profesion Perguruan. 1:150-158.
Zulkafli Kamaruddin. 1997. Potensi Guru Merealisasikan Kecemerlangan Matematik di Sekolah Rendah. Journal Guru ke Arah Pembinaan Ilmu, Keluaran 9. Kuala Lumpur: Jawatankuasa Pengelola Hari Guru Peringkat Kebangsaan