Teori Pergantungan
-
Upload
fairuzsyazwani -
Category
Documents
-
view
309 -
download
31
description
Transcript of Teori Pergantungan
1.0 PENGENALAN
Teori Pergantungan dapat dihuraikan dengan beberapa definisi tetapi masih
dalam konteks yang sama. Teori ini banyak dikaji oleh ramai ahli falsafah bagi
memahami konsep pergantungan yang dimaksudkan, seperti penindasan dan
penguasaan negara-negara dunia ketiga oleh negara-negara maju. Dalam tugasan ini
teori ini akan dibincangkan secara terperinci dan jelas lagi.
Selain itu, tugasan ini juga turut membincangkan beberapa perkara-perkara lain
yang boleh dihubungkaitkan dengan teori ini. Antaranya, selepas pengenalan kepada
Teori Pergantungan, perkara yang turut dibincangkan ialah mengenai ciri-ciri negara
membangun kerana ia dapat memudahkan pembaca memahami ciri-ciri negara dunia
ketiga yang ditindas oleh negara- negara maju.
Seterusnya, perbincangan akan dilangsungkan dengan jenis-jenis penjajahan
kuasa-kuasa asing ke atas negara-negara dunia ketiga seperti mekantalisme,
kolonialisme dan neo-kolonialisme. Penjajahan kuasa-kuasa asing ini merupakan
lanjutan kepada masalah utama Teori Pergantungan.
Negara-negara dunia ketiga harus meletakkan satu landasan sebagai objektif
pembangunan supaya tidak lagi terlampau bergantung kepada negara-negara maju.
Objektif pembangunan ini dapat membantu negara-negara dunia ketiga agar berada di
tahap yang setaraf dengan negara-negara maju.
Perkara berikutnya adalah mengenai pendekatan dari sudut masyarakat yang
merasai sendiri kehidupan dalam Dunia Ketiga dan inginkan pembaharuan. Oleh itu,
pendekatan Rostow mencadangkan bahawa sekiranya semua masyarakat yang ingin
membangun perlulah melalui 5 tahap pembangunan. Selain itu juga, model-model
keperluan asas manusia juga akan dibincangkan kerana ianya berhubungkait dengan
keinginan manusia yang sentiasa inginkan kebebasan dan gaya hidup yang ingin
dimiliki.
1
2.0 TEORI PERGANTUNGAN
Teori pergantungan dapat difahami dengan mengenalpasti negara-negara
mundur yang ditindas atau dipergunakan oleh negara-negara maju bagi tujuan mereka
sendiri. Negara-negara yang kaya akan menjajah negara-negara miskin bagi
mendapatkan bekalan bahan mentah yang murah dan memprosesnya semula sebagai
barangan siap. Dengan penambahan sedikit nilai pada barangan tersebut, negara maju
akan menjual semula ke negara miskin itu tadi. Oleh itu, pulangan modal yang
diharapkan oleh negara miskin adalah kosong, malahan mereka semakin rugi besar. Hal
ini dikukuhkan lagi oleh Raul Prebisch melalui pendekatan Strukturalis yang
mengatakan “perdagangan penghususan antarabangsa akan menguntungkan negara
pengeksport barangan modal dan merugikan negara mengeksport barangan pertanian.
akibat struktur ekonomi negara pinggir dan bentuk pendedahan negara pinggir terhadap
sistem ekonomi antarabangsa”. (dlm http://pkukmweb.ukm.my/~doris/ex2333/bab
%20dua.htm)
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh negara Barat sedikit pun tidak memajukan
negara Dunia Ketiga malahan memundurkan mereka lagi. Mengikut Raul Prebisch (dlm
Zaheruddin Othman dan Yusof Pon, 2005: hlm 47), Pengarah Suruhanjaya Ekonomi
PBB mencadangkan beberapa penyelesaian mengenai senario ini. Antaranya, negara
miskin seharusnya memulakan langkah untuk menggantikan barangan import bagi
mengelak daripada membeli barangan keluaran negara-negara kaya. Cadangan
tersebut amatlah bernas dan dapat mengelakkan aliran wang yang banyak ke luar
negara. Walaubagaimanapun, saiz pasaran dalaman negara-negara miskin tidak cukup
besar untuk sama-sama bersaing dengan ekonomi negara kaya di pasaran dunia.
Disebabkan itu, negara miskin terpaksa membeli barangan keluaran dari negara-negara
kaya.
Cadangan lain yang dikemukakan oleh Prebisch ialah, negara miskin masih
boleh menjual barangan mereka kepada pasaran dunia tetapi simpanan kewangan
mereka tidak seharusnya digunakan untuk membeli barangan dari luar negara. Hal ini
bermaksud hasil jualan barangan mereka ke pasaran dunia hendaklah dilaburkan ke
dalam negara sahaja. Ini adalah untuk mengelakkan pengeluaran wang ke luar negara.
Dengan cara ini negara miskin dapat menjimatkan simpanan kewangan mereka.
2
Akan tetapi wujud persoalan negara miskin manakah yang mampu untuk mengawal
pengeluaran bahan mentahnya sendiri secara keseluruhan. Dengan kekuatan
kewangan dan pengurusan yang masih tidak stabil dan kukuh sudah pasti seandainya
mereka cuba memasuki pasaran dunia akan berlaku sesuatu yang buruk. Lantas
mereka hanya bergantung kepada pasaran penjajah sahaja.
Pergantungan juga secara mudahnya boleh ditafsirkan sebagai 2 bentuk buah
negara iaitu wujudnya negara yang dominan dengan bergantung, negara pusat dengan
negara pinggir dan negara metro dengan negara miskin. Negara dominan, pusat dan
metro dikenali sebagai negara yang kaya, terdapatnya sistem pentadbiran yang kukuh
dan organisasi yang stabil. Selain itu ia juga mempunyai industri yang maju dalam
kerjasama ekonomi dan pembangunan (OECD). Manakala negara bergantung, pinggir
dan miskin merupakan negara yang mempunyai KNK yang sangat rendah dan dikenali
sebagai negara dunia ketiga, antaranya ialah Amerika Latin, Asia dan Afrika. Perbezaan
antara kedua bentuk ini sudah cukup menggambarkan jurang yang sangat ketara.
Interaksi antara kedua buah bentuk negara ini memperlihatkan tekanan dari negara
maju dan kebergantungan negara miskin.
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, memperincikan seseorang individu
mempunya hak mutlak ke atas harta yang diusahakannya dan orang lain tidak berhak ke
atasnya (dlm Kuliyah Mazhab Dunia Islam, 2007). Didapati sistem ekonomi kapitalis
juga turut menjadi penyebab berlakunya transaksi pergantungan. Yang mana hal ini
dapat dijelaskan dengan perlakuan negara-negara miskin membekalkan bahan mentah
yang banyak dan murah kepada negara maju. Walaubagaimanapun, negara maju
menjual semula barangan tersebut dengan harga yang mahal kepada negara pengeluar.
Aktiviti ini sentiasa mementingkan ekonomi negara maju sahaja dan langsung tidak
berkongsi keuntungan bersama negara miskin.
Dalam hal ini, negara maju sentiasa mendapat kesan yang positif manakala
negara miskin mendapat impak yang negatif. Meskipun begitu, negara miskin masih lagi
mendapat beberapa faedah seperti kesan peninggalan sistem pentadbiran, pendidikan,
perubatan dan kepakaran dari negara maju. Walaubagaimanapun, negara miskin
terpaksa melalui pahit getir perjuangan yang harus dilalui untuk mendapatkannya.
3
3.0 CIRI-CIRI NEGARA MEMBANGUN
Walaupun setiap negara mempunyai pelbagai ciri-ciri yang berbeza sama ada
dari segi iklim, saiz keluasan, kedudukan geografi dan sebagainya namun masih
terdapat ciri-ciri yang sama di antara negara-negara yang berada di bawah garisan
negara dunia ketiga ini. Ciri-ciri ini adalah penting kerana ia membincangkan tentang
kesamaan yang wujud antara setiap negara-negara tersebut.
Ciri-ciri negara membangun boleh dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu
melibatkan ciri ekonomi, ciri sosial dan ciri politik (dlm Zaheruddin Othman dan Yusof
Pon, 2005: 24). Ekonomi, sosial dan politik merupakan perkara asas yang sangat
penting bagi menilai sesebuah negara. Hal ini membolehkan identiti dan kedudukan
sebenar sesebuah negara itu dapat dikenalpasti. Perbincangan berkenaan dengan
ketiga-tiga aspek tersebut membolehkan kedudukan dan kekukuhan serta masalah yang
dihadapi negara itu dapat dikesan.
Dalam proses meneliti ciri ekonomi, ianya boleh dibahagikan kepada beberapa
bahagian untuk ditumpukan iaitu dari segi pendapatan negara per kapita yang
digunakan untuk mengukur tahap aktiviti ekonomi negara, kadar relatif pertumbuhan
pendapatan negara (per kapita), pengagihan pendapatan negara di mana dapat
memperlihatkan ketidakseimbangan sosial, produktiviti yang rendah oleh penduduknya,
pergantungan terhadap keluaran pertanian dan eksport barangan asas dan yang
terakhir ialah dominasi dan kebergantungan dalam perdagangan antarabangsa.
Manakala ciri sosial lebih tertumpu kepada tahap kemiskinan, tahap kesihatan,
tahap pendidikan, pertumbuhan penduduk yang tinggi dan kadar pengangguran dan
guna tenaga tidak penuh yang tinggi. Ciri politik pula lebih bertumpu kepada corak
pentadbiran yang berjalan dan berlaku di negara membangun contohnya seperti politik
cara tradisi, tahap kematangan amalan politik dan sebagainya. Ciri politik ini adalah
perkara yang sangat penting kerana ia mempamerkan bagaimana pengukuhan negara
dapat dilakukan sekiranya organisasi sosial negara itu adalah kukuh.
4
3.1 Ciri Ekonomi
Sekitar tahun 1950an – 1960an Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah
mencadangkan satu indikator bagi mengenal pasti peningkatan Keluaran Negara Kasar
(KNK) sesebuah negara. Bagi negara yang berada pada tahap 5 – 7 peratus setahun
sudah dikira mencapai peningkatan yang memberangsangkan. Sehubungan itu, mana-
mana negara sekalipun sekiranya mencapai lebih daripada indikator yang ditetapkan
sudah dikira cukup membangun. Walaupun begitu, KNK negara sedang membangun
jauh lebih ketinggalan berbanding negara sedang membangun begitu juga dengan
negara dunia ketiga.
Selain daripada pendapatan negara per kapita, ciri ekonomi yang kedua ialah
kadar relatif pertumbuhan pendapatan negara (per kapita). Bagi negara membangun
kadar relatif pertumbuhan negara adalah sangan perlahan. Sebagai contoh, pada tahun
1965 dan 1985, sebanyak 31 buah negara Afrika memperoleh purata KNK per kapita
sebanyak 0.3 peratus berbanding di negara maju mencatatkan sebanyak 1.7 peratus
(Zaheruddin Othman dan Yusof Pon, 2005: 24). Kadar relatif pertumbuhan pendapatan
negara ini adalah dipengaruhi oleh pertumbuhan penduduk. Hal ini kerana penduduk
merupakan tenaga buruh yang terbesar di dalam negara. Oleh itu, sekiranya
pertumbuhan penduduk adalah sangat rendah, secara tidak langsung ianya turut
memberi kesan terhadap pertumbuhan pendapatan negara.
Pengagihan pendapatan negara juga turut diperhatikan selain daripada
pendapatan negara per kapita dan kadar relatif pertumbuhan pendapatan negara.
Melalui pengagihan pendapatan negara dapat memperlihatkan ketidakseimbangan
sosial yang sangat besar seperti jurang perbezaan antara negara kaya dan negara
miskin. Hal ini lebih ketara dialami sendiri oleh negara miskin dan sedang membangun.
Dalam mengenal pasti masalah ini pertumbuhan dan pembangunan ekonomi tidak boleh
disamaertikan. Pertumbuhan ekonomi melibatkan KNK negara tetapi pembangunan
ekonomi memperlihatkan kualiti kehidupan masyarakat. Oleh itu, pembangunan tidak
boleh diukur sama dengan pertumbuhan ekonomi kerana pembangunan tidak boleh
diukur berdasarkan KNK negara.
5
Ciri seterusnya adalah produktiviti yang rendah. Didapati tingkat produktiviti di
negara membangun adalah rendah. Hal ini kerana sumber manusia di negara
membangun amat terhad begitu juga dengan sistem pengurusan dan perindustriannya.
Untuk mendapatkan produktiviti yang tinggi keperluan terhadap pendidikan dan
kesihatan juga adalah amat penting. Faktor-faktor ini amat penting kerana untuk
menghasilkan produktiviti yang tinggi taraf hidup masyarakat perlu ditingkatkan. Taraf
pendidikan yang tinggi mampu meningkatkan kualiti hidup manakala kesihatan yang
stabil dapat menentukan kejayaan negara. Jatuh bangun sesebuah negara amat
bergantung kepada penduduknya.
Kebanyakan negara sedang membangun masih lagi bergantung sepenuhnya
kepada sektor pertanian. Negara yang memperolehi pendapatan ekonomi yang rendah
majoritinya bekerja di dalam bidang pertanian, nelayan dan memburu. Negara sedang
membangun menghasilkan barangan asas seperti makanan, pakaian, bahan mentah,
mineral dan lain-lain. Pergantungan terhadap keluaran pertanian dan eksport barangan
asas semata-mata tidak dapat menghasilkan tingkat pendapatan ekonomi yang tinggi.
Negara membangun seharusnya mengimbangkan sektor pertanian dengan
perindustrian kerana sektor perindustrian lebih berperanan menggerakkan pertumbuhan
ekonomi.
Di dalam Teori Pergantungan sudah dijelaskan bahawa negara mundur telah
digunakan oleh negara maju untuk mendapatkan keuntungan yang besar. Dalam tahap
Neo-Kolonialisme secara terang-terangan memperlihatkan kemasukan kuasa asing dan
syarikat-syarikat besar ke negara mundur. Pendominasian dan sikap saling
kebergantungan dalam perdagangan antarabangsa ini lebih merugikan negara miskin
lantas menghalang pembangunan negara miskin. Pergantungan ini melibatkan
pemilikan sumber, teknologi, kawalan pasaran dan sebagainya. Aktiviti perdagangan
antarabangsa ini menyebabkan wujudnya lagi jurang ketidakseimbangan sosial antara
kedua buah negara ini.
6
3.2 Ciri Sosial
Apabila persoalan terhadap ciri sosial diusulkan, topik utama yang akan
diutarakan ialah mengenai kemiskinan. Sudah jelas perkataan kemiskinan ini lebih
sinonim dengan negara dunia ketiga. Kemiskinan yang dimaksudkan di negara dunia
ketiga terjurus kepada kemiskinan mutlak iaitu yang mana keperluan asas manusia tidak
dapat dipenuhi seperti makanan, pakaian, tempat berlindung dan sebagainya. Mereka
terus terperangkap dalam kemiskinan disebabkan oleh kurangnya pendidikan dan
kesihatan yang sangat tidak cemerlang. Secara kasarnya, menurut kriteria Bank Dunia
masyarakat yang berada dalam lingkungan kemiskinan ialah apabila perbelanjaan
penghidupannya kurang daripada US$(PPP) 2 sehari manakala mereka yang hidup
dengan hanya kurang daripada US$(PPP) 1 sehari sudah dianggap berada dalam
kemiskinan yang keterlaluan (dlm http://ms.wikipedia.org/wiki/Kemiskinan ). Di Malaysia,
masih terdapat beberapa bilangan kecil keluarga yang berada di tahap kemiskinan
mutlak.
Perkara kedua dalam ciri sosial yang utama ialah kesihatan. Tahap kesihatan di
negara membangun masih berada di tahap yang rendah. Tatkala negara maju sudah
lama menggunakan kepakaran dan teknologi perubatan yang tinggi, negara
membangun masih lagi berada di takuk lama. Jumlah kadar penyakit berjangkit seperti
malaria, beri-beri, denggi dan sebagainya masih tinggi. Begitu juga dengan kadar jangka
hayat dan kadar kematian bayi, di negara membangun jangka hayat penduduk adalah
pendek berbanding negara maju. Negara membangun tidak mempunyai cukup
perkhidmatan doktor manyebabkan kadar kematiannya tinggi tetapi kadar kelahiran juga
adalah meningkat. Namun sejak akhir-akhir ini kemajuan dalam bidang kesihatan telah
mengatasi masalah-masalah seumpamanya.
Pendidikan adalah sangat penting bagi menjana pembangunan negara, oleh itu
ianya sangat penting sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia. Melalui
pendidikan. Peluang untuk mendapatkan pekerjaan, penciptaan, penyelidikan dapat
dilakukan dan membuka peluang persaingan dengan negara maju. Walaupun begitu,
sekiranya tahap kemiskinan negara dunia ketiga berada pada tahap kemiskinan mutlak,
maka sistem pendidikan dan kadar celik hurufnya juga adalah rendah. Kemiskinan
memberi pengaruh yang besar terhadap taraf pendidikan penduduk. Masalah yang
7
dihadapi menyebabkan hanya segelintir golongan elit sahaja yang mampu memperoleh
pendidikan, namun bagi penduduk yang lain pula tidak mampu memperolehinya.
Walaupun negara sedang membangun merupakan negara yang miskin tetapi
pertumbuhan semulajadinya adalah sangat tinggi. Hal ini kerana kurangnya
perancangan keluarga dan kemungkinan kadar kesuburan yang tinggi. Selain itu,
wanita-wanita dari negara dunia ketiga tidak bekerja dan merupakan suri rumah tangga
sepenuhnya dan ini menggalakkan kelahiran. Kebanyakan negara terdiri dari keuarga
yang besar kerana anak-anak merupakan sumber tenaga untuk membantu keluarga
memenuhi keperluan hidup. Anak-anak dijadikan buruh untuk memperolehi sumber
kewangan bagi menampung pendapatan ketua keluarga. Mereka menjalankan pelbagai
kegiatan seperti bercucuk tanam, meminta sedekah, bekerja sebagai buruh kasar dan
sebagainya. Menurut Abdul Rahman Mahmud, Utusan Malaysia Online, 2008 sehingga
kini populasi manusia mencecah ke angka 6.7 billion. Kadar peningkatan semakin
bertambah sehingga 1.2% setahun. Hal ini bermakna peningkatan populasi manusia
akan terus meningkat menjelang 2050 sebanyak 20%. Negara Dunia Ketiga merupakan
negara yang paling cepat dalam pertumbuhan manusia disebabkan faktor-faktor
tertentu.
Kadar pengangguran dan guna tenaga tidak penuh juga adalah amat tinggi. Hal
ini kerana pertambahan penduduk yang berlaku tanpa perancangan menyebabkan
kadar pengangguran semakin meningkat. Ianya terjadi kerana kurangnya peluang
pekerjaan memandangkan persaingan di antara penduduk dalam mencari sesuap nasi.
Dalam keadaan yang serba kekurangan, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan
sangat tinggi. Lantaran itu, menyebabkan negara maju memperhambakan mereka bagi
tujuan mengaut keuntungan di atas segala tenaga yang diberikan.
Selain itu, perpindahan dari desa ke bandar juga menyebabkan pengangguran di
bandar semakin bertambah dan guna tenaga yang sepenuhnya tidak dapat
dimanfaatkan. Pengangguran juga disebabkan taraf pendidikan dan kadar buta huruf
yang sangat tinggi. Semakin rendah tahap pendidikan seseorang maka semakin sukar
baginya untuk memperoleh pekerjaan yang mampu menampung keperluan hidup.
Lantaran itu, limpahan penduduk di bandar-bandar merebakkan lagi masalah sosial,
kesihatan dan keburukan.
8
3.3 Ciri Politik
Di negara-negara dunia ketiga pelbagai masalah dapat ditafsirkan. Dalam
mempersoalkan hal politik, perampasan kuasa, ancaman, darurat dan sebagainya
sering berlaku. Masalah-masalah sebegini memberikan gambaran keadaan politik yang
tidak matang dan stabil. Disebabkan tahap kematangan yang rendah dan kurang ini
banyak perkara telah berlaku sehingga menyebabkan peperangan yang melibatkan
rakyatnya sama. Kesan dari pergolakan ini telah menyebabkan golongan warga tua,
kaum wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya menjadi mangsa keadaan. Mereka
yang tidak berdosa terpaksa menerima musibah di atas kesilapan golongan pemerintah
yang tidak matang dalam mengendalikan sistem pentadbirannya.
Selain itu, aktiviti politik di negara membangun amat kurang mendapat
penyertaan oleh masyarakatnya. Mereka kurang terdedah dengan isu-isu politik dan hal
ehwal semasa sama ada di dalam dan luar negara mereka. Hal ini kerana mereka lebih
tertumpu kepada memenuhi kehendak dan keperluan seharian mereka berbanding
terlibat dengan aktiviti politik. Bidang politik hanya dimonopoli oleh segelintir golongan
elit. Segala agenda pembangunan, ekonomi, politik dan masyarakat tertakluk kepada
tahap kebijaksanaan golongan elit ini memandangkan rakyat tidak mengambil bahagian
menyuarakan pendapat mereka.
Selain itu, aktiviti politik yang dijalankan di negara membangun masih lagi terikat
dengan cara berpolitik tradisional seperti sistem feudal, raja bermonarki dan sebagainya.
Mereka tidak mahu menerima cara berpolitik di barat kerana tahap pemikiran mereka
yang masih kuno. Hal ini menyebabkan negara terhalang daripada melalui proses
pembangunan.
Ketiga-tiga ciri negara membangun ini iaitu ciri ekonomi, sosial dan politik
menyebabkan mereka masih terumbang-ambing dalam membentuk sistem pentadbiran
yang benar-benar stabil merangkumi sumber manusia, kebajikan rakyat, pertumbuhan
ekonomi dan pembangunan negara.
9
4.0 PENJAJAHAN KUASA ASING
Penjajah meletakkan satu tapak sebagai tujuan utama ke atas penjajahan
mereka iaitu 3G yang dikenali sebagai ‘Gospel, Gold and Glory’. Penjajahan negara
Barat bukan sahaja untuk menguasai bahan mentah malahan untuk menyebarkan
agama dan menjadi terkenal dan bangga kerana dapat menakluki negara lain. Ianya
merupakan suatu kemegahan dan menunjukkan betapa hebatnya dan besarnya
kekuatan mereka sehinggakan banyak negara jatuh ke dalam empayarnya.
Cita-cita mereka ini lebih terlaksana dengan cepatnya apabila dua penciptaan
terbesar dalam tamadun manusia iaitu kompas dan kapal layar membantu mereka untuk
menguasai dan menakluki negara yang lemah hampir keseluruh dunia. Kedua-dua
penciptaan ini merupakan penemuan terbesar oleh Tamadun China dan Tamadun Arab.
Kompas dan kapal layar adalah aset utama untuk memulakan pelayaran dan
penjelajahan dunia (dlm Abdul Rahman Aziz, 2004: 61)
Penjajahan kuasa asing ke atas negara Dunia Ketiga telah memberikan impak
yang besar ke atas negara. Hal ini termasuklah dari sudut politik,sosial, ekonomi
khususnya dan sebagainya milik negara Dunia Ketiga. Penjajahan mereka ke dalam
negara menyebabkan masyarakatnya menghadapi ancaman dan kecelakaan yang
besar dan teruk. Senario ini bukan sahaja memperlihatkan kemusnahan dan
kehancuran negara Dunia Ketiga malahan meninggalkan kesannya sehingga ke hari ini.
Pada masa kini kesan-kesan tersebut menyebabkan negara Dunia Ketiga masih
lagi terkapai-kapai bagi memperolehi kemajuan dalam erti kata sebenar pembangunan
seperti yang dimiliki oleh negara maju sekarang contohnya, Amerika Syarikat dan
negara-negara Eropah. Walaupun Negara Dunia Ketiga pada masa kini sedang
mengalami proses-proses pembangunan tetapi peperangan, kebuluran, kemiskinan
tegar dan sebagainya masih lagi berlaku. Penjajahan kuasa asing mengikut
perkembangannya terbahagi kepada tiga tahap iaitu mekantalisme, kolonialisme dan
neo-kolonialisme. Ketiga-tiga perluasan ini akan diulaskan dalam helaian yang lain.
10
4.1 Mekantalisme
Peringkat pertama dalam proses penjajahan kuasa asing ialah mekantalisme.
Ianya merupakan peringkat awal imperialisme negara barat di seluruh negara Dunia
Ketiga. Dari sudut istilah mekantalisme merupakan satu teori ekonomi yang dilakukan
untuk tujuan menambahkan kekayaan dan penguasaan negara dengan memiliki jumlah
modal yang banyak seperti logam-logam emas dan perak, mineral dan bahan-bahan
mentah yang lain. Menurut Rohaini, kekayaan dan penguasaan ini boleh diperolehi
melalui dua cara iaitu dengan melalui perdagangan ataupun peperangan dan
penaklukan ke atas negara-negara lain (dlm Zaheruddin Othman dan Yusof Pon, 2005:
28).
Imperialisme Barat juga berlaku disebabkan atas beberapa alasan yang logik
kononnya untuk membangunkan negara dunia ketiga, dan mereka menganggap mereka
bertanggungjawab untuk melakukannya. Tanggungjawab yang didakwa oleh mereka
sebenarnya hanyalah untuk mengaburi pemikiran masyarakat Dunia Ketiga sahaja. Bagi
memenuhi kehendak dan keinginan negara Barat, penjajah sentiasa berkata-kata manis
padahal terdapat agenda yang tersembunyi di sebaliknya.
Alasan pertama yang dianggap amat berharga bagi negara Barat ialah alasan
politik yang mana sekiranya sesebuah negara itu dapat menakluki seberapa banyak
negara lain lantas ia akan mendapat pengiktirafan yang tinggi dan akan dihormati oleh
negara-negara pesaing. Negara yang ditakluki dapat menunjukkan kekuatan negara
tersebut dalam menakluki dan menjajah negara lain. Semakin banyak negara yang
ditakluki, semakin tinggi penghormatan yang diperolehi.
Selain itu, bermulanya penjajahan negara Barat ke negara Dunia Ketiga adalah
ingin memiliki kuasa dan hak penuh ke atas sumber bahan mentah yang dimiliki oleh
negara Dunia Ketiga. Seperti yang diketahui, negara Dunia Ketiga sememangnya kaya
dengan sumber bahan mentah seperti getah, bijih timah, emas, besi, rempah ratus dan
sebagainya. Kesemua sumber bahan mentah tersebut amat penting dan berguna bagi
industri perusahaan di Eropah. Penguasaan dalam industri tersebut dapat memberikan
pulangan yang sangat lumayan kepada pengeluarnya. Lantaran itu mereka mangambil
inisiatif menakluki negara-negara yang memiliki sumber-sumber tersebut.
11
Alasan ketiga penjajahan negara Barat ialah imperialisme dilakukan kerana
mereke merasa bertanggungjawab mentamadunkan negara-negara dunia ketiga.
Kehidupan dan keadaan yang serba kekurangan, daif, miskin, mundur dan sebagainya
kononnya menimbulkan sikap keprihatinan negara Barat untuk membantu negara dunia
ketiga mengecapi pembangunan dan kemajuan negara. Mereka ingin membangunkan
masyarakat Dunia Ketiga supaya sama-sama maju dan memperolehi kekayaan dunia.
‘The White Man’s Burden’ dianggap sebagai proses dalam menjalankan tanggungjawab
membangunkan masyarakat yang mundur itu. Istilah tersebut telah diucapkan oleh
Senator Henry Cabot Lodge di senat Amerika Syarikat suatu ketika dulu (dlm
Zaheruddin Othman dan Yusof Pon, 2005: 28).
Negara-negara Barat memulakan operasinya dengan menawan pantai-pantai di
Afrika, Asia dan Amerika Latin. Hal ini kerana pantai-pantai merupakan tapak pelabuhan
bagi memudahkan aktiviti import dan eksport bahan mentah. Walaupun istilah
perdagangan berbunyi agak berperikemanusiaan dan agak sopan berbanding istilah
peperangan tetapi sebenarnya aktiviti perdagangan sebenarnya ibarat gunting dalam
lipatan. Selain berdagang, mereka terus menakluki kawasan-kawasan dagangan.
Tidak puas dengan memonopoli bahan mentah, pedagang-pedagang Eropah
memulakan aktiviti perdagangan hamba pula. Aktiviti ini bermula pada pertengahan
abad ke-16 yang mana hamba-hamba berkulit hitam menjadi pilihan mereka.
Perdagangan hamba ini menjadi penyumbang terbesar kepada perkembangan
imperialisme kerana hamba-hamba tersebut boleh dimiliki dengan harga yang sangat
murah dan mudah. Contohnya di Afrika, pertelingkahan antara ketua-ketua puak
menyebabkan mereka menukarkan ahli-ahli puaknya dengan senjata yang murah dan
rendah kualitinya daripada penjajah. Penukaran ini dilakukan bagi meneruskan
pertelingkahan yang berlaku apabila sudah memiliki senapang (dlm Zaheruddin Othman
dan Yusof Pon, 2005: 30).
12
Mekantalisme telah meninggalkan banyak kesan-kesan negatif terhadap negara-
negara Dunia Ketiga. Dasar pecah perintah yang diijalankan oleh Barat telah
menjatuhkan banyak negara Dunia Ketiga dari perspektif politiknya. Banyak negara
yang kehilangan pemimpin dan pemerintahnya sendiri.
4.2 Kolonialisme
Kolonialisme pula merupakan tahap kedua penjajahan kuasa asing ke atas
negara Dunia Ketiga. Bermulanya segala sejarah perubahan negara Dunia Ketiga dan
negara Barat adalah bermula dengan kolonialisme dan berakhir dengan neo-
kolonialisme. Sesudah dengan penaklukan terhadap negara Dunia Ketiga, keinginan
negara Barat untuk menguasai seluruh pentadbiran negara Dunia Ketiga semakin
membuak-buak. Pada tahap era kolonialisme ini, negara Barat turut berusaha untuk
membentuk sistem pentadbiran yang baru selaras dengan sistem pentadbiran di negara
asal mereka sendiri.
Sehubungan itu, bagi membentuk sebuah kerajaan baru yang sama dengan
negara asal di negara jajahan, pihak Barat telah membawa masuk segala jenis
peralatan, teknologi, sistem pentadbiran, organisasi sosial, kebudayaan, struktur politik
dan undang-undang Barat ke dalam negara Dunia Ketiga. Segala unsur-unsur ini masih
kekal di kebanyakan negara Dunia Ketiga sehingga ke hari ini. Seperti di negara kita
sendiri, terutamanya sistem perundangan dan politik. Selain itu, kebudayaan yang
ditinggalkan oleh penjajah masih kekal, begitu juga dengan masyarakatnya seperti yang
kita ketahui adanya bangsa Portugis dan bangsa Baba Nyonya di Melaka.
Sistem ekonomi kapitalis membawa maksud sekumpulan individu atau syarikat
yang berkuasa menentukan pengeluaran, kos, penetapan harga barang dan
perkhidmatan, pelaburan dan pendapatan (dlm Wikipedia Bahasa Melayu,
http://ms.wikipedia.org/wiki/Kapitalisme). Oleh itu, sistem yang dibawa oleh Barat ini
menyebabkan berlakunya jurang yang lebih luas dan besar antara negara Barat dan
negara Dunia Ketiga. Ekonomi Kapitalis memundurkan lagi negara yang dijajah. Hal ini
kerana sistem ekonomi kapitalis tidak menitikberatkan hal kebajikan masyarakatnya
seperti mana yang diamalkan sistem sosialisme dan komunisme. Sistem kapitalis
menjejaskan golongan proletariat dan lebih mementingkan keuntungan. Zaheruddin
13
Othman dan Yusof Pon dalam bukunya Pengantar Teori Pembangunan Dunia Ketiga
menjelaskan bahawa di negara Dunia Ketiga, sistem ekonomi kapitalis yang dibawa
oleh Barat dilakukan melalui beberapa cara iaitu pengenalan sistem cukai, pengelolaan
sumber bahan mentah, perlindungan barangan Eropah dan penggunaan mata wang
(2005: 32).
Pengenalan sistem cukai yang dilakukan oleh pihak Barat seperti ‘hux tax’ di
Afrika Selatan, ‘poll tax’ atau ‘head tax’ di Afrika, ‘mita system’ di Amerika Latin, ‘sistem
kultur’ di Indonesia dan skim ‘permanent settlement’ di India. Sistem ini kononnya untuk
membantu negara jajahan berdikari dalam urusan kewangan dan tetapi sebenarnya ia
lebih menguntungkan pihak penjajah.
Selain itu, pengelolaan dan penguasaan terhadap bahan-bahan mentah dikuasai
oleh syarikat-syarikat besar dari negara penjajah bagi memperluaskan lagi industri
negara penjajah. Penguasaan dalam mengendalikan perlombongan, tanah perladangan
dan sebagainya dilakukan. Kuasa monopoli ini memastikan penguasaan tidak akan
jatuh ke tangan pemerintah negara Dunia Ketiga pada suatu masa nanti.
Sistem ekonomi kapitalis juga mempraktikan dasar perlindungan barangan
Eropah di pasaran dunia. Dasar ini dilakukan dengan cara memastikan harga barangan
Eropah adalah lebih murah berbanding barangan yang dikeluarkan oleh negara Dunia
Ketiga. Dengan itu, para pelabur akan lebih berminat untuk melabur dengan hasil
barangan Eropah. Hal ini bagi memastikan negara Dunia Ketiga tidak dapat menyaingi
pasaran Eropah. Dasar ini serta merta mematikan industri negara jajahan kerana
sudahlah mereka hidup dalam kedaifan ditambah lagi dengan penindasan ekonomi oleh
penjajah.
Kesemua yang dilakukan oleh penjajah sentiasa menguntungkan mereka tanpa
membuka sedikit peluang untuk negara Dunia Ketiga. Penggunaan mata wang yang
sama dengan negara penjajah di negara jajahan sekali lagi merugikan negara jajahan.
Segala urusan kewangan antarabangsa seperti tukaran wang asing, kestabilan nilai,
simpanan tetap negara dan sebagainya memberi manfaat kepada negara penjajah.
Pengenalan ‘zon sterling’ dan ‘zon dollar’ menjatuhkan nilai mata wang negara Dunia
Ketiga kerana sudah diketahui nilai mata wang mereka adalah lebih rendah.
14
Jika diteliti, penjajahan melalui mekantalisme dilakukan secara terang-terangan
berbanding kolonialisme. Kenyataan ini membawa maksud kolonialisme seumpama
racun yang telah membunuh segala kegiatan dan pentadbiran negara Dunia Ketiga
secara senyap dengan mengubah segala struktur sama ada pentadbiran ataupun
ekonomi. Berbeza dengan mekantalisme dilakukan dengan cara peperangan dan
penaklukan melalui perdagangan yang dapat disedari dan nampak melalui mata kasar.
Namun, kolonialisme tidak hilang begitu sahaja, tetapi meninggalkan jejak-jejak dan
kesan terhadap negara jajahan secara abstrak sehingga kini.
4.3 Neo-Kolonialisme
Neo-Kolonialisme adalah lanjutan dari proses kolonialisme. Pada tahap ini,
aktiviti penjajahan sudah tidak melalui peperangan, melibatkan senjata, pertahanan
negara dan sebagainya. Setelah apa yang diusahakan oleh penjajah semasa tahap
Kolonialisme sudah benar-benar menular ke dalam Negara Dunia Ketiga, aktiviti
penjajahan dilakukan melalui kemasukan syarikat-syarikat besar atau lebih dikenali
sebagai Multi Nasional Cooperation (MNC).
Pergerakan MNC menjadi semakin mudah dan licin apabila racun yang diberi
oleh penjajah sudah mula sebati dengan masyarakat Dunia Ketiga. Dalam erti kata lain,
sikap penduduk bekas tanah jajahan yang tidak sedar sudah terpengaruh dengan
budaya Barat. Malahan, kadangkala ianya bertentangan dengan budaya asal penduduk.
Sebagai contohnya, pada masa kini anak-anak muda lebih menggemari muzik barat,
perfileman, cara pemakaian, bahasa, tingkah laku sehinggalah ke makanan ala Barat
yang mudah diperolehi seperti KFC, Mcdonalds, Pepsi dan pembuatan senjata api juga
masih diperolehi dari negara Barat seperti England.
Kesan dari syarikat-syarikat besar ini memundurkan lagi negara Dunia Ketiga
apabila negara Barat mendapatkan bahan mentah dengan harga yang paling murah
kemudian menjual semula ke negara jajahan dengan harga yang sangat mahal.
Bermula dari tahap inilah wujudnya Teori Pergantungan. Fenomena ini menjadikan
negara miskin menjadi semakin miskin manakala negara maju menjadi semakin kaya.
Justeru itu, negara miskin tidak pernah mendapat pulangan modal yang
15
menguntungkan. Kegiatan ini seolah-olah suatu penipuan yang diterima dengan rela
hati.
Negara membangun masih lagi memerlukan negara maju untuk mendapatkan
kepakaran dan tunjuk ajar yang secukupnya terutama memasuki pasaran dunia. Oleh
itu, negara membangun sentiasa perlu bergantung kepada negara maju untuk
memperoleh pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang stabil sehingga kini.
5.0 OBJEKTIF PEMBANGUNAN
Bagi memperoleh sebuah pembangunan yang serba lengkap dengan struktur
politik yang kukuh, organisasi yang teguh, infrastruktur yang baik, kedudukan ekonomi
yang meningkat dan sebagainya sesebuah negara perlulah mempunyai satu objektif
pembangunan bagi merealisasikannya. Hal ini adalah amat perlu sebagai satu garis
panduan untuk memperoleh pembangunan yang diidam-idamkan oleh semua
masyarakat.
Objektif merupakan satu matlamat dan tujuan khusus sesuatu perkara. Oleh itu
bersesuaianlah dengan apa yang diutarakan berkenaan objektif pembangunan. Menurut
Micheal P. Todaro (dlm Zaheruddin Othman dan Yusof Pon, 2005: 10) pembangunan
semua masyarakat perlu memiliki beberapa unsur-unsur tertentu. Antaranya ialah soal
meningkatkan kemampuan diri untuk memenuhi keperluan hidup seperti barangan asas
termasuklah makanan, pakaian, kesihatan, tempat tinggal, perlindungan dan
sebagainya. Kriteria-kriteria ini sangat diperlukan dalam apa jua keadaan maka ianya
memang wajarlah disenaraikan ke dalam objektif pembangunan seperti yang ditekankan
oleh Micheal P. Todaro. Seandainya negara mencapai pembangunan tetapi
masyarakatnya masih dalam keadaan yang mundur maka ianya masih belum mencapai
objektifnya.
Selain itu juga, kehendak terhadap keperluan sosial masyarakat perlu
dititikberatkan iaitu peluang pekerjaan, pendidikan, infrastruktur dan sebagainya.
Dengan ini dapat meningkatkan taraf kehidupan masyarakat dan negara. Hal-hal ini
adalah penting sebagai suatu pengisian terhadap nilai-nilai budaya dan hidup
16
masyarakat. Di dalam sebuah objektif pembangunan juga perlunya peningkatan hidup
dengan manghapuskan konsep teori pembangunan dunia ketiga. Yang mana setipa
individu perlu mempunyai pilihan dan kehendak dalam memperluaskan ekonomi dan
sosial tersendiri. Malahan setiap individu juga haruslah mengelakkan diri dari berterusan
terperangkap dalam kemiskinan dan kejahilan.
Objektif pembangunan adalah sebuah garis panduan bagi sesebuah negara
untuk berubah dari yang mundur kepada sebuah negara yang membangun. Oleh itu,
setiap matlamat sebuah objektif itu perlulah di ambil kira berdasarkan keseluruhan faktor
dari hal yang besar sehingga yan kecil termasuklah perihal kepentingan dan kebajikan
masyarakatnya. Lantaran itu, menurut Lim Chong Yah (dlm Zaheruddin Othman dan
Yusof Pon, 2005: 10-11) telah mambahgikan objektif pembangunan kepada 5 faktor lain.
Selaras dengan Micheal P. Todaro, beliau turut meletakkan peningkatan taraf kehidupan
sebuah masyarakat adalah sangat penting termasuklah pakaian, makanan, tempat
berlindung, kesihatan dan pendidikan. Menurut beliau lagi penyediaan terhadap perkara-
perkara asas turut menjadi petunjuk taraf kehidupan yang telah dicapai.
Selain itu, peluang pekerjaan yang terbuka luas dapat memberikan impak yang
baik terhadap negara. Pembangunan yang maju sudah tentu meningkatkan jumlah
penduduk sehingga boleh menyebabkan limpahan penduduk. Lantas itu, penyediaan
pekerjaan yang meluas dapat menjana ekonomi negara supaya meningkat tinggi
dengan adanya penggunaan tenaga kerja yang penuh. Walaubagaimanapun, sekiranya
limpahan penduduk ini tidak dapat dikawal dengan penyediaan pekerjaan yang banyak,
hal ini dapat meningkatkan kadar pengangguran dan sekaligus menjadi terhadap
masalah sosial. Seperti yang kita dapat kita lihat pada masa kini, di Malaysia sebuah
negara yang sedang membangun, kebanjiran migrasi dan limpahan penduduk
menyebabkan pelbagai masalah sosial turut sama membangun dengan ekonomi
negara.
Seperti di Malaysia, pelancaran Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1971 – 1975
dalam Rancangan Malaysia Kedua adalah untuk mengagihkan pendapatan dengan adil
dan lebih baik. Pembentukan dasar tersebut memperlihatkan bahawa Lim Chong Yah
menggambarkan setiap negara yang ingin mengalami pembangunan mestilah dirasai
oleh setiap lapisan masyarakatnya dan khusus untuk golongan elit sahaja. Oleh itu,
17
Pembentukan dasar yang dilakukan telah memastikan pembasmian kemiskinan,
memperbetulkan ketidakseimbangan sosial ekonomi, dan juga penghapusan
pengenalan kaum melalui ekonomi yang dijalankan. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat
mendapat setiap hak mereka sama adil dan saksama.
Di dalam kehidupan yang serba moden dan canggih ini setiap perkara
memerlukan kecanggihan teknologi untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan setiap
orang manusia di seluruh pelosok dunia. Lantaran itu, sebuah negara yang sedang
membangun harus meningkatkan imej negara dengan menanamkan minda intelek ke
dalam diri masyaraktnya. Dengan kemajuan teknologi dan sains dalam dunia yang
global ini ia dapat membantu memartabatkan negara dan melicinkan sistem pentadbiran
dengan mudah. Kini setiap negara di seluruh seantero dunia bergantung penuh
terhadap kemudahan teknologi yang ada, oleh itu seandainya masih ada lagi negara
yang tidak menitikberatkan perkembangan ini bermakna ia masih lagi berada di takuk
yang lama.
Faktor terakhir yang dikemukakan oleh Lim Chong Yah ialah memerangi inflasi.
Kadar inflasi yang tinggi mampu menggugat kedudukan ekonomi negara. Inflasi berlaku
disebabkan lebihan perbelanjaan daripada bajet yang sebenar. Oleh itu, ianya akan
mendatangkan pelabagi kesan kepada ekonomi negara sama ada dalam dan luar
negara. Antaranya kos hidup rakyat meningkat tetapi taraf hidup rakyat menurun. Selain
itu juga fenomena ini boleh mengurangkan jumlah eksport dan menambahkan jumlah
import negara. Sehubungan itu, kerajaan perlulah memainkan peranan agar taraf hidup
rakyat meningkat seiring dengan kos hidup mereka dengan cara menjalankan kempen
inflasi sifar dan sebagainya. Dengan cara itu, keadaan ekonomi dapat dilindungi
disamping membangun dan memajukan negara.
Dengan tercapainya setiap matlamat seperti yang dinyatakan oleh Micheal P.
Todaro dan Lim Chong Yah maka sudah pasti negara tersebut mampu memperoleh
objektif pembangunannya. Dengan itu, negara bukan sahaja membangun malahan
menjadi bertambah maju lengkap dengan segala keperluannya.
18
Pembangunan Dari Sudut Masyarakat
Sebelum ini pembangunan sesebuah negara hanya dipandang dari setiap sudut
dan dibincangkan secara umum. Pada kali ini perbincangan lebih tertumpu kepada
pembangunan dari sudut masyarakat itu sendiri. Hal ini bermaksud pembangunan
dibincangkan dari kaca mata masyarakat yang merasai proses pembangunan itu sendiri.
Pendekatan Persejarahan Rostow akan diutarakan dalam tajuk kali ini kerana tegas
beliau bahawa setiap masyarakat yang ingin membangun perlu melalui 5 tahap
pembangunan. Setelah kelima-lima tahap dilalui barulah boleh masyarakat itu dikira
sudah membangun. Hal ini diperkukuhkan lagi oleh W.W. Rostow (seperti dipetik dalam
Muhammad Syukri Salleh, t.t) yang mengatakan bahawa “pembangunan, di mana-mana
pun, mesti melalui satu sejarah perkembangan yang sama; yakni melalui lima
peringkat…”
Tahap pertama sesebuah masyarakat ialah Tahap Masyarakat Tradisi. Pada
tahap ini masyarakatnya dikawal rapi oleh golongan elit seperti tuan-tuan tanah. Hal ini
sekaligus turut mengawal pergerakan sosial mereka kerana dikawal oleh golongan
atasan. Mereka juga hidup dalam keadaan mundur. Manakala nilai-nilai sosial yang
diamalkan oleh mereka diwarisi dari zaman yang terlalu mundur.
Seterusnya peredaran masa yang berlalu telah membawa mereka ke tahap
kedua pembangunan iaitu pada Tahap Pra-syarat Pelancaran. Ketika ini masyarakat
yang dahulunya mengamalkan cara tradisional sudah mula berjinak-jinak dengan
penggunaan teknologi pengeluaran terutama dalam bidang pertanian dan industri.
Disebabkan oleh penggunaan teknologi tersebut, kehidupan sosial semakin meningkat
dan taraf hidup masyarakat juga sudah semakin mantap seperti pendidikan
berkembang, pembinaan syarikat-syarikat besar, bank-bank, perdagangan dan
pelaburan bertambah dan sebagainya. Walaupun masyarkat di peringkat ini sudah mula
menerima teknologi moden namun peringkat asal iaitu kaedah tradisi dan nilai
masyarakat yang lama masih kekal.
19
Pada tahap yang ketiga iaitu tahap pelancaran, masyarakat menjadi semakin
maju. Kadar pelaburan semakin meningkat tinggi lantas memperbanyakkan lagi
pembukaan industri-industri baru dan secara langsung dapat mengurangkan
pengangguran yang sebelum ini merebak dengan cepat. Penggunaan teknologi yang
lebih moden dipraktikan dalam sektor pertanian dan pelbagai lagi.
Pada tahap yang seterusnya iaitu tahap kematangan, dari sektor utama yang
dulu, pertanian pelbagai sektor turut berkembang seperti sektor pembuatan,
perindustrian dan pelbagai sektor utama yang lain. KNK negara juga sudah semakin
bertambah malahan ketika ini muncul golongan yang profesional, pakar dan
berpengalaman dalam mengendalikan organisasi yang besar dan gah. Penggunaan
teknologi telah berubah kepada peralatan elektronik yang lebih kompleks, bahan kimia
mesin-mesin yang mudah dikendalikan dan sebagainya. Dengan teknologi yang
semakin maju dan moden kepelbagaian dalam menaikkan pertumbuhan ekonomi sudah
tidak terbatas lagi.
Tahap penggunaan massa yang tinggi merupakan tahap terakhir yang perlu
dilalui oleh masyarakat yang inginkan pembangunan. Ketika ini setiap perkhidmatan
yang dilakukan lebih diperuntukkan untuk kebajikan dan keselamatan. Kedudukan
kukuh negara hanya memerlukan mereka untuk mengekalkan keadaan dan tumpuan
diberikan terhadap kebajikan dan keselamatan pula.
Begitulah peringkat-peringkat yang harus dilalui oleh tiap-tiap masyarakat yang
inginkan pembangunan. Pendekatan Rostow ini secara mudahnya boleh difahami
dengan melihat peringkat seorang bayi yang ingin memulakan langkah yang pertama.
Setiap bayi perlu meniarap, mengesot, merangkak dan akhirnya mampu berjalan dan
berlari. Tidak ada bayi di dunia ini yang dilahirkan dengan terus berlari. Begitu jugalah
dengan peringkat yang harus dilalui oleh masyarakat tersebut.
20
Bermula dari masyarakat yang mundur sehingga mencapai tahap pembangunan
yang diinginkan, setiap manusia mempunyai keinginan dan kehendak yang tersendiri.
Keperluan setiap manusia merupakan satu subjektif yang umum. Terdapat tiga tokoh
yang mengutarakan keperluan-keperluan yang menjadi kehendak pada setiap manusia.
Antaranya ialah model keperluan asas Galtung oleh Johan Galtung, Model Dube dan
yang paling penting ialah Model keperluan Hierarki manusia Maslow oleh Abraham
Maslow.
Di dalam model keperluan asas Galtung, beliau membahagikan keperluan
manusia kepada 4 bahagian yang utama iaitu di peringkat yan pertama ialah keperluan
keselamatan yang dapat menghindarkan masyarakat dari sebarang keganasan
kezaliman, peperangan dan sebagainya. Oleh itu, manusia amat memerlukan polis dan
askar sebagai pertahanan terhadap kehendak mereka. Bahagian yang kedua ialah
keperluan kebajikan. Keperluan kebajikan ini merangkumi keperluan asas manusia iaitu
makanan, pakaian, tempat berlindung, kesihatan dan pendidikan. Keperluan ini dapat
menghindarkan mereka dari kemiskinan. Wabak penyakit, peluang pekerjaan yang luas,
hak bersuara dan sebagainya.
Pada bahagian yang ketiga pula, Galtung meletakkan keperluan identiti sebagai
keperluan asas manusia. Bahagian ini menjelaskan keinginan manusia merasa gembira,
kasih sayang, makna kehidupan dan seumpamanya. Oleh itu manusia amat
memerlukan pekerjaan, kemewahan, keluarga, masyarakat sekeliling dan sebagainya.
Pada bahagian yang terakhir pula ialah keperluan kepada kebebasan. Ketika ini,
manusia inginkan kebebasan, tidak rasa tertekan dan bebas melakukan apa-apa sahaja
dan memerlukan komunikasi, media, pengangkutan untuk merealisasikannya.
Berbeza dengan model keperluan asas Galtung, model Dube mengandungi
beberapa struktur iaitu keperluan survival, keperluan masyarakat, keperluan budaya dan
fizikal, keperluan kebajikan, keperluan penyesuaian dan keperluan kemajuan. Keenam-
enam keperluan ini sama seperti model Galtung yang menerangkan kehendak-
kehendak manusia yang bukan sahaja terbatas kepada keperluan asas semata-mata
tetapi turut keperluan lain seperti masyarakat, penyesuaian dengan alam sekeliling,
kemajuan dalam diri dan sebagainya.
21
Antara ketiga-tiga model, model hierarki Maslow adalah yang terpenting sekali.
Model Maslow berbentuk hierarki yang bermula dari bawah dengan keperluan psikologi
yang merangkumi keperluan asas manusia seperti makanan, oksigen, udara, seks,
tempat berlindung, pakaian dan sebagainya. Tingkat ini merupakan tingkat yang paling
penting. Manakala peringkat kedua ialah keperluan keselamatan bagi setiap manusia
yang ingin merasa sentiasa selamat walau di mana berada. Selain itu peringkat ini
menerangkan manusia yang ingin menghindari dari perasaan gementar, terancam,
cemas dan sebagainya.
Peringkat ketiga ialah keperluan perasaan berkepunyaan dan sayang/cinta.
Keperluan ini merujuk kepada kehendak manusia yang ingin hidup berkeluarga, tidak
keseorangan, terasing dan sentiasa rasa disayangi. Peringkat yang keempat pula ialah
keperluaan penghormatan/penghargaan. Penghargaan yang diperolehi dapat
mengurangkan rasa ketakutan dalam diri manusia, menghindarkan dari rasa
dipinggirkan, lemah dan tersisih. Selain itu ia juga merangkumi perasaan yang ingin
dihormati oleh keluarga, rakan-rakan dan masyarakat. Peringkat yang paling atas ialah
keperluan menjdai diri yang sebenar. Maslow menjelaskan bahawa pada peringkat ini
setiap manusia yang dilahirkan perlu menjadi diri sendiri. Seandai seseorang telah
ditakdirkan untuk menjadi seorang arkitek, dia tidak akan boleh atau dengan mudah
menjadi seseorang yang lain contohnya sebagai pereka fesyen.
Setiap kehendak manusia itu merupakan satu keperluan asas yang amat
diperlukan oleh setiap manusia. Oleh itu setiap yang dinyatakan oleh ahli-ahli falsafah
adalah benar kerana setiap kehendak adalah tidak terbatas pada setiap manusia tetapi
ianya perlu dipenuhi kehendaknya oleh semua manusia dan bukan sahaja pada
golongan atasan dan berkemampuan sahaja.
22
PENUTUP
Apa yang cuba disampaikan dalam penulisan ini cuba menerangkan bagaimana
negara maju mengambil kesempatan atas kelemahan negara-negara miskin dan
mundur. Penjajahan yang dilakukan berlaku bertahun lamanya sehingga berlaku
beberapa peringkat dan cara jajahan dilakukan iaitu mekantalisme, kolonialisme dan
neo-kolonialisme.
Selain itu, ciri-ciri negara membangun manjadi pengenalan terhadap negara
Dunia Ketiga. Ciri-ciri tersebut sudah cukup memperlihatkan jurang yang amat ketara
den berbeza berbanding negara maju. Disebabkan oleh ciri-ciri tersebutlah menjadi
faktor mengapa penjajah menakluki negara tersebut dengan begitu mudah.
Setelah sekian lama negara Dunia Ketiga berada di bawah taklukan penjajah, akhirnya
masyarakatnya mula mendapat kesedaran untuk mencapai pembangunan seperti
negara maju. Lantaran itu wujud kehendak dan keinginan yang ingin dipenuhi oelh
setiap manusia untuk memenuhi keperluan hidup akibat dari objektif pembangunan yang
ingi dicapai.
Walaupun penaklukan penjajah terhadap negara Dunia Ketiga amatlah
membebankan masyarakatnya namun kesan daripada penjajahan tersebut turut
meninggalkan impak yang positif. Impak tersebut masih kekal sehingga kini seperti
pelbagai bidang kepakaran dan sebahagian besar dari sistem pemerintahan dan
pentadbiran negara Malaysia juga berpandukan sistem di British iaitu Westminster dan
Dwidewan.
Selain itu, penjajahan British membawa masuk produk-produk baru
memperkenalkan pelbagai jenis peralatan. Contohnya di Malaysia, barangan komoditi
dibawa masuk pada zaman dahulu dan kekal sehingga menjadi pasaran komoditi utama
seperti kelapa sawit, getah, koko dan sebagainya. Begitu juga dengan sistem
pendidikannya. Pendidikan yang dibawa oleh mereka berjaya menghasilkan
penggunaan teknologi yang canggih dan moden.
23
24
25
26
27
28
29
RUJUKAN
Abdul Rahman Aziz. (2004). Falsafah pembangunan. Sintok. Penerbit Universiti Utara
Malaysia.
Abdul Rahman Mahmud. (2008). Cabaran Perkembangan Populasi Dunia. Capaian 4
Ogos 2008, dari http://ausis.org/v3/content/view/172/72/
Boeree, C, G. (t.t). Abraham Maslow. Capaian 24 Ogos 2008, dari
http://en.wikipedia.org/wiki/Abraham_Maslow
Ekonomi Politik Pergantungan Negara-negara Miskin (t.t). Capaian 31 Julai 2008, dari
http://syaitan.wordpress.com/2007/05/20/hubungan-kuasa-ekonomi-dan-negara-
miskin/
Lai Mooi Chang. (2005). Teks pra-u makroekonomi. Petaling Jaya. Pearson Longman.
M Khaleel Khas. (t.t). Masyarakat Kini Diancam Dengan Produk Budaya Barat. Capaian
4 Ogos 2008, dari http://www.darulkautsar.com/senaraiarkibberita/68barat.htm
Muhammad Syukri Salleh. (t.t). Falsafah pembangunan kapitalis dan marxis: dua
falsafah dalam satu paradigme. Capaian 31 Julai 2008, dari
http://www.geocities.com/muhammadsyukri/VISIParadigme.html
Zaheruddin Othman & Yusof Pon. (2005). Pengantar teori pembangunan dunia ketiga.
Sintok. Penerbit Universiti Utara Malaysia.
30