TEKS UCAPAN YB DATO’ SRI RICHARD RIOT ANAK · PDF filePekerjaan Return to Work PERKESO...
Transcript of TEKS UCAPAN YB DATO’ SRI RICHARD RIOT ANAK · PDF filePekerjaan Return to Work PERKESO...
TEKS UCAPAN YB DATO’ SRI RICHARD RIOT ANAK JAEM
MENTERI SUMBER MANUSIA
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
“KARNIVAL PEKERJAAN RETURN TO WORK PERKESO 2015”
6 OKTOBER 2015 (SELASA) 11.30 PAGI
NU SENTRAL, KL
1
Salam sejahtera, salam 1Malaysia dan salam sehati sejiwa
Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Saripuddin bin Haji Kasim
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia
Yang Berbahagia Datuk Abu Huraira bin Abu Yazid
Pengerusi Lembaga PERKESO
Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Lee Lam Thye
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara
(NIOSH)
Yang Berbahagia Dato’ Dr Mohammed Azman bin Dato’ Aziz
Mohammed
Ketua Eksekutif PERKESO
Timbalan - Timbalan Ketua Eksekutif PERKESO
Ketua-ketua Jabatan, Agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia
Ahli-ahli Lembaga PERKESO
Dato’-Dato’, Datin-Datin,
Pegawai-pegawai Kanan PERKESO, wakil-wakil Majikan, wakil media
massa, peserta Program Return to Work, agensi-agensi Kerajaan dan
badan-badan bukan Kerajaan (NGO) serta tuan-tuan dan puan-puan
yang saya hormati sekalian.
2
1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan terima kasih dan
penghargaan kepada PERKESO kerana menganjurkan “Karnival
Pekerjaan Return to Work PERKESO 2015 yang saya difahamkan telah
memasuki tahun ke-6. Saya amat berbangga dengan usaha dan
kesungguhan PERKESO dalam membantu golongan pekerja yang
hilang upaya untuk kembali semula bekerja dan kekal produktif.
2. PERKESO, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian
Sumber Manusia memainkan peranan amat penting dalam
menyediakan perlindungan keselamatan sosial yang komprehensif
kepada golongan pekerja dan majikan di negara ini. Peranan ini dilihat
semakin hari semakin berkembang menerusi perluasan skop
perlindungan sosial yang bukan sahaja meliputi aspek pemberian
pampasan tetapi turut menjangkau aspek pemulihan dan pencegahan
secara lebih meluas.
3. Pada tahun 2007, PERKESO telah menambah baik sistem
penyampaian perkhidmatannya dengan memperkenalkan program
Return to Work. Program ini adalah satu program pemulihan yang
komprehensif berlandaskan konsep biopsychosocial dan pendekatan
multi disiplin yang bertujuan membantu pencarum PERKESO yang
mengalami hilang upaya untuk dipulihkan dan kembali semula bekerja.
Menerusi program ini, pencarum akan dibantu kembali bekerja semula
sama ada dengan majikan asal ataupun majikan yang baru, bersesuaian
dengan kemahiran dan kemampuan mereka.
4. Di peringkat antarabangsa, International Social Security
Association (ISSA) telah mengiktiraf program Return To Work
PERKESO sebagai salah satu amalan baik dalam keselamatan sosial
3
(good practice in social security). Menurut ISSA, program ini memberi
kesan positif kepada pencarum, majikan, PERKESO dan stakeholders
yang lain. Para pekerja dapat dipulihkan dan kembali semula bekerja
pada kadar yang lebih cepat manakala pihak majikan dapat
mengekalkan pekerja mahir dan mengoptimumkan produktiviti.
Hadirin sekalian,
5. PERKESO menganjurkan Karnival Pekerjaan Return To Work
PERKESO ini untuk memastikan perlindungan sosial melalui pekerjaan
kepada golongan yang mengalami hilang upaya. Ia bertujuan
mengurangkan risiko golongan mudah terjejas ini (vulnerable groups)
terjerumus ke jurang kemiskinan. Program ini sangat penting bukan
sahaja kepada golongan yang ditimpa bencana malah kepada majikan
yang menggajikan mereka. Tanpa hala tuju yang jelas, ia akan
melambatkan proses pemulihan orang terbencana dan dikhuatiri pekerja
tersebut tidak berupaya bekerja hingga menyebabkan majikan hilang
pekerja yang diperlukan. Keadaan ini boleh mengakibatkan masalah
pengangguran memandangkan risiko pengangguran di kalangan
golongan orang kurang upaya (OKU) adalah lebih tinggi.
6. Kajian-kajian antarabangsa mendapati bahawa pengangguran
mempunyai hubungan yang signifikan dengan penurunan tahap
kesihatan fizikal dan mental serta mampu mengancam nyawa. Walau
pun negara kita secara konsisten mencatatkan kadar guna tenaga
penuh iaitu kadar pengangguran di bawah 4 peratus, Kerajaan amat
memandang serius dan sentiasa melaksanakan program-program
pengupayaan bagi meningkatkan lagi kebolehkerjaan tenaga kerja
termasuk di kalangan OKU.
4
7. Kementerian Sumber Manusia umpamanya sentiasa
melaksanakan pelbagai program dan aktiviti seperti karnival pekerjaan,
menyediakan latihan kemahiran bagi mewujudkan tenaga mahir,
bantuan penempatan pekerjaan dan bekerjasama dengan majikan
dalam menyediakan peluang pekerjaan. Kerajaan yang mendukung
tinggi prinsip keterangkuman amat komited untuk memastikan bahawa
tiada golongan yang terpinggir dalam menikmati kemakmuran ekonomi
negara.
Hadirin sekalian,
8. Untuk memastikan penawaran dan permintaan pekerjaan dapat
dipadankan seterusnya membendung isu pengangguran di kalangan
OKU atau mereka yang ditimpa bencana kerja, pendekatan strategik
dan sistematik perlu dilaksanakan. Selain membantu mewujudkan
peluang-peluang pekerjaan, pelaksanaan pengurusan proses pencarian
pekerja juga mestilah dipantau dengan sempurna supaya dapat
memberi kesan positif kepada golongan sasaran.
9. Dalam hal ini, saya memuji langkah PERKESO menggunakan
pendekatan pengurusan kes yang sistematik dan komprehensif yang
bukan sahaja dipraktikkan dalam pengurusan pemulihan tetapi turut
mencakupi proses penempatan pekerjaan. Penempatan pekerjaan tidak
harus bergantung kepada penggunaan sistem berkomputer sahaja
untuk mendapatkan peluang pekerjaan atau padanan pekerjaan.
Penglibatan aspek kepakaran teknikal, dedikasi dan kreativiti khususnya
sentuhan manusia (human touch) dalam mengurus dan memudahkan
invididu yang mengalamai kecedaraan atau penyakit untuk kembali
bekerja juga tidak kurang pentingnya.
5
10. Saya difahamkan bahawa PERKESO melaksanakan langkah-
langkah intervensi awal sebelum peserta program bersedia untuk
kembali bekerja. Ini termasuklah penyediaan pemulihan yang
maksimum, latihan pekerjaan bagi membimbing mereka dari segi
penyediaan resume, pemilihan kerja yang bersesuaian (job matching),
work hardening, job coach, khidmat perundingan dan perbincangan
dengan doktor yang merawat peserta.
11. Majikan juga diberi pendedahan mengenai aspek hilang upaya
dan kaedah mengendalikan golongan ini di tempat kerja. Selain itu,
karnival pekerjaan ini bukan sahaja memaparkan maklumat kekosongan
jawatan, malah para peserta juga berpeluang mengikuti sesi kaunseling
dan persediaan memohon jawatan yang dikendalikan sendiri oleh
pegawai-pegawai PERKESO yang mesra dan prihatin. Ini boleh
dikatakan sebagai satu perkhidmatan yang melebihi ekspektasi
pelanggan dan memperlihatkan keprihatinan PERKESO. Syabas dan
tahniah kepada PERKESO! Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa
pendekatan seumpama ini akan membantu para peserta Return To
Work dan golongan kurang upaya dalam proses penempatan pekerjaan
dengan lebih baik.
Hadirin sekalian,
12. Saya melihat pendekatan pengurusan kes yang dilaksanakan oleh
PERKESO ini adalah satu strategi yang efektif dalam membantu pencari
kerja mendapatkan pekerjaan yang sesuai, sebagaimana kejayaan
program Return To Work.
6
13. Sehubungan itu, saya mencadangkan supaya proses pengurusan
kes ini turut dilaksanakan oleh agensi-agensi lain yang menyediakan
perkhidmatan penempatan pekerjaan memandangkan pemantauan dan
bantuan yang rapi telah terbukti berkesan meningkatkan kadar
penempatan pekerjaan.
14. Melalui perkongsian kepakaran PERKESO, organisasi seperti
Talent Corporation, Suruhanjaya Keselamatan Sosial Namibia dan
BPJS Ketenagakerjaan Indonesia juga memaklumkan bahawa kaedah
penempatan ini sangat berjaya. Saya meminta PERKESO untuk terus
memperluaskan perkongsian kepakaran ini dengan agensi-agensi lain
supaya lebih ramai orang mendapat manfaat.
Hadirin yang saya hormati,
15. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada 26 majikan yang mengambil
bahagian dalam Karnival Pekerjaan Return To Work PERKESO 2015
ini. Besarlah harapan saya supaya peluang yang sewajarnya diberikan
kepada pencari kerja khususnya dari kalangan peserta program Return
To Work dan golongan OKU. Saya juga berharap supaya majikan-
majikan lain dapat menyertai karnival ini pada masa akan datang
seterusnya memberi peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada lebih
ramai orang yang memerlukan. Kepada para peserta, berikanlah yang
terbaik dan komitmen yang tinggi supaya berjaya mendapatkan
pekerjaan. Saya percaya PERKESO sentiasa bersedia untuk membantu
tuan-tuan dan puan-puan dari segi bimbingan dan khidmat nasihat.
Saya ucapkan selamat maju jaya.
7
16. Akhir kata, saya mengucapkan syabas kepada PERKESO atas
usaha murni membantu golongan hilang upaya untuk kembali semula
bekerja dan terus menyumbang bakti kepada negara yang tercinta.
17. Dengan ini, sukacita saya merasmikan Karnival Pekerjaan Return
to Work PERKESO 2015.
Sekian,terima kasih.
MENTERI SUMBER MANUSIA 6 OKTOBER 2015