sejarah

download sejarah

of 12

description

kaedah pengajaran

Transcript of sejarah

Menjelaskan konsep-konsep utama pembelajaran aktif dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah. Berdasarkan contoh-contoh kaedah dan teknik yang sesuai, jelaskan bagaimana pembelajaran aktif boleh diaplikasikan di dalam pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah rendah.Sesungguhnya, kunci penting dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang baik adalah terciptanya situasi pembelajaran yang aktif. Pembelajaran aktif atau sering dikenali sebagai active learning ialah proses di mana pelajar-pelajar melibatkan diri dalam aktiviti seperti membaca, menulis, perbincangan, atau penyelesaian masalah yang menggalakkan analisis, sintesis, dan penilaian kandungan kelas. Oleh hal yang demikian, guru harus menciptakan suasana sedemikian rupa sehingga murid-murid dapat berperanan atau bergiat aktif untuk bertanya, mempertanyakan, dan mengemukakan gagasan atau idea dalam suasana PdP. Pembelajaran aktif juga boleh dikatakan bahawa proses mempelajari sesuatu dengan cepat, menyenangkan, penuh semangat, dan penglibatan yang aktif oleh setiap murid. Ia juga adalah proses belajar di mana murid-murid mendapat kesempatan untuk lebih banyak melakukan aktivitas belajar, berupa hubungan interaktif dengan matapelajaran sehingga terdorong untuk menyimpulkan pemahaman daripada hanya sekadar menerima pelajaran yang diberikan oleh guru. Meyer & Jones (1993) mengemukakan bahawa dalam pembelajaran aktif terjadi aktivitas berbicara dan mendengar, menulis, membaca, dan refleksi yang mengiring ke arah pemaknaan mengenai isi pelajaran, idea-idea, dan berbagai hal yang berkaitan dengan satu topik yang sedang dipelajari. Dalam pembelajaran aktif, guru lebih berperanan sebagai fasilitator atau pembimbing sahaja bukan pemberi ilmu kepada murid manakala murid yang akan melibatkan diri secara sepenuhnya. Antara kepentingan pembelajaran aktif adalah: meningkatkan pengetahuan kandungan, pemikiran kritikal dan kebolehan menyelesaikan masalah, dan sikap positif murid terhadap pembelajaran berbanding dengan penghantaran berbentuk syarahan tradisional. meningkatkan semangat murid untuk belajar membangunkan keupayaan murid seperti pemikiran kritis dan kreatif , penyelesaian masalah, keupayaan menyesuaikan diri, komunikasi dan kemahiran interpersonal meningkatkan persepsi dan sikap murid terhadap literasi maklumatJika menyelusuri dengan lebih mendalam, dalam pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Sejarah kaedah pengajaran yang digunakan oleh setiap guru semasa mengajar matapelajaran Sejarah juga perlu diambil kira dalam melaksanakan pembelajaran aktif dalam diri kalangan murid sejak di sekolah rendah lagi. Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada prinsip-prinsip dan kaedah yang digunakan untuk pengajaran. Pemilihan kaedah pengajaran atau kaedah-kaedah yang akan digunakan bergantung kepada maklumat atau kemahiran yang diajar dan juga boleh dipengaruhi oleh kebolehan dan kesungguhan murid. Satu perancangan yang dipilih untuk mencapai apa yang diingini, seperti pencapaian matlamat atau penyelesaian kepada masalah. Strategi pengajaran merangkumi semua pendekatan yang guru boleh ambil secara aktif bagi melibatkan murid dalam pembelajaran. Strategi ini memerlukan guru membuat arahan supaya murid bekerja untuk mencapai objektif pembelajaran yang khusus. Strategi pengajaran berkesan memenuhi semua gaya pembelajaran dan keperluan pembangunan murid.Sehubungan dengan itu, salah satu kaedah yang sesuai merupakan kaedah perbincangan. Kaedah perbincangan merupakan satu aktiviti berkumpulan di mana murid-murid berinteraksi sesama mereka dalam membincangkan satu isu atau masalah. Perbincangan melibatkan perbualan antara murid yang berbilang kaum dengan guru dalam sebuah kelas atau antara sekumpulan murid. Strategi ini menggalakkan murid bertukar pendapat, idea atau maklumat secara berkesan bersama guru mereka atau di kalangan murid. Murid-murid berpeluang mengemukakan isu-isu, pendapat dan idea-idea tentang sesuatu topik dan guru bersama murid-murid membuat rumusan pada akhir sesi perbincangan. Oleh itu, kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang melibatkan pembelajaran aktif di mana golongan murid melibatkan diri dalam aktiviti tersebut dengan sepenuhnya.Perbincangan juga boleh merangsang pemikiran kritikal dan menggalak murid-murid yang berkebolehan sederhana dan kurang berupaya melibatkan diri dalam proses pembelajaran. Perbincangan boleh digunakan untuk mencapai objektif-objektif kognitif dan afektif. Dalam domain kogntif, perbincangan boleh menggalakkan murid-murid menganalisis idea-idea dan fakta-fakta dari pelajaran baru dan mengaitkannya dengan pelajaran yang lampau. Dari sudut afektif, perbincangan menggalakkan murid-murid meninjau pendapat-pendapat mereka, berinteraksi dan menilai idea-idea murid-murid lain serta mengembangkan kemahiran mendengar dengan baik. Walau apa pun objektifnya, perbincangan mesti dirancang dengan baik dan soalan-soalan penting dibentuk sebelum pengajaran dijalankan. Justeru, kaedah ini akan mewujudkan semangat bekerjasama antara murid yang berbilang kaum semasa mereka bersama-sama berkongsi idea dan pendapat.Sebagai contoh, guru matapelajaran Sejarah boleh mengemukakan soalan seperti Apakah kebaikan dan keburukan perjuangan tokoh-tokoh tersebut?. Soalan ini secara tidak langsung akan melibatkan aras analisis. Soalan ini memerlukan murid untuk berfikir secara kritis tetapi bukan mengulang pengetahuan yang dipelajari. Apabila murid menganalisis, berhujah, mengeluarkan pendapat dan idea tentang kebaikan dan keburukan perjuangan tokoh-tokoh, mereka akan mengenali kesan-kesan perjuangan dengan lebih mendalam dan melahirkan kesedaran dalam diri sendiri. Hal ini turut meningkatkan semangat cinta akan negara di samping menyemaikan kemahiran menganalisis untuk membuat suatu rumusan dalam diri murid-murid. Oleh itu, kaedah ini secara tidak langsung membantu murid untuk berfikir secara kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).Pada masa yang sama, kaedah inkuiri juga merupakan salah satu kaedah yang memainkan peranan penting dalam proses pengajaran Sejarah di sekolah rendah serta melibatkan pembelajaran aktif. Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah tinjau siasat kerana ia melibatkan proses mencari kesimpulan daripada soalan-soalan yang dibentuk serta dapatan-dapatan penyelidikan. Selain daripada itu, kaedah ini juga melibatkan proses penyelesaian masalah berdasarkan persoalan-persoalan yang ditimbulkan dengan menggunakan maklumat-maklumat yang diperoleh.Kaedah inkuiri dapat mewujudkan proses kognitif yang tinggi dalam kalangan murid. Proses pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan kaedah ini dapat melahirkan individu yang berfikiran secara logik dan berani menyoal kesahihan sesuatu pandangan atau pendapat seseorang mengenai sesuatu perkara atau kejadian. Kaedah ini juga dapat mematangkan buah fikiran murid kerana mereka digilap dengan pemikiran kritikal. Murid juga dilatih membuat penilaian sendiri mengenai sesuatu peristiwa atau kejadian berasaskan bukti dan maklumat yang mereka peroleh daripada sumber rujukan yang sahih.Sudah terang lagi bersuluh, kaedah inkuiri dalam subjek Sejarah memerlukan proses penyiasatan. Murid akan diminta menyiasat dan mencari maklumat bagi mendapatkan penyelesaian atau jawapan mengenai sesuatu persoalan yang dikemukakan. Melalui pengalaman murid dalam proses tersebut, murid akan lebih mudah mengingat sesuatu maklumat dan murid juga mendapat kepuasan intrinsik hasil daripada usaha kendiri mereka melakukan proses pencarian dan pembuktian mengenai sesuatu perkara atau peristiwa sejarah. Pengalaman pembelajaran melalui kaedah inkuiri ini akan membantu murid melalui suatu proses penemuan dan kesimpulan mengenai sesuatu perkara dengan berdasarkan bukti dan pemikiran rasional. Di sini, guru akan menjadi fasilitator atau pembimbing sahaja manakala murid akan melibatkan diri secara sepenuhnya. Oleh hal yang demikian, berlakulah pembelajaran aktif dalam kalangan murid secara tidak langsung.Contohnya, guru boleh mengemukakan penyoalan kepada murid seperti Ramalkan apa yang akan berlaku jika tokoh-tokoh pejuang yang terkenal seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock tidak menuntut kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Pada soalan ini, murid akan membuat ramalan mengenai apa yang akan berlaku jika tokoh-tokoh tidak menuntut kemerdekaan. Pelajar akan dapat mengetahui kesan daripada perkara tersebut. Justeru, hal ini turut akan menyedarkan setiap murid tentang perjuangan tokoh-tokoh tersebut serta melahirkan sikap penghormatan terhadap mereka. Sebagai penyimpul kata, kaedah pengajaran ini secara automatiknya melibatkan setiap murid secara aktif. Dengan kaedah ini, guru turut membantu murid untuk berfikir secara kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).Tambahan lagi, kaedah simulasi adalah gambaran realiti, model ciri-ciri penting dalam dunia sebenar. Kaedah ini juga melibatkan pelajar-pelajar secara aktif dalam melakonkan sesuatu perkara (secara berpura-pura) dalam suatu suasana yang terancang. Simulasi dengan ciri-ciri permainan, iaitu melibatkan peserta untuk bersaing atau bekerjasama mengikut peraturan yang ditetapkan. Kaedah ini boleh digunakan untuk memberi motivasi kepada murid melalui pembelajaran yang menimbulkan keseronokan. Kaedah ini akan memberi peluang kepada murid untuk mengamalkan kemahiran dan menggunakan prinsip-prinsip yang mereka telah belajar dalam persekitaran yang bebas daripada risiko. Guru perlu mempunyai kemahiran sebelum membuat keputusan untuk menggunakan kaedah ini. Perancangan yang teliti diperlukan supaya kaedah ini dapat memberikan kesan yang baik. Terdapat beberapa contoh kaedah simulasi seperti main peranan, perbahasan, sosio drama dan permainan. Kaedah pengajaran berkesan yang boleh digunakan semasa mengajar matapelajaran Sejarah dalam kalangan murid sekolah rendah ialah kaedah main peranan. Main peranan bermaksud melakonkan sesuatu situasi atau masalah atau peristiwa yang dianggap penting. Murid diberi peranan dan bertindak sebagai watak-watak yang ditentukan dalam satu situasi yang disediakan. Main peranan ialah dramatisasi yang tiada kaitan atau penghafalan skrip, di mana pelakon-pelakon cuba menyelesaikan atau menjelaskan situasi kepada kepada murid-murid lain supaya mempraktikkan kepada diri mereka berdasarkan peranan yang dimainkan secara spontan. Proses ini biasanya dimulakan dengan pemikiran masalah yang sesuai. Masalah ini dikemukakan kepada murid dengan cara membacakannya atau memperlihatkannya melalui filem, televisyen, mendengar rakaman dan sebagainya.Jika diteliti dengan lebih mendalam, selain membantu murid yang bersifat pendiam membina keyakinan diri dan menggalakkan murid menggunakan bahasa yang bernas kaedah ini turut dapat meningkatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri seseorang murid apabila mereka diberi peluang untuk memainkan watak seperti tokoh-tokoh Malaysia yang terkenal seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock. Dengan ini, setiap murid akan sedar sebab dan akibat sesuatu perjuangan watak yang dimainkan oleh murid itu dan menjadikannya sebagai satu pengajaran dalam kehidupan mereka. Kaedah ini turut melahirkan murid-murid yang berkeupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.Kaedah Sokratik pula mengutamakan penyoalan. Kaedah ini bertujuan untuk meningkatkan taraf pemikiran pelajar secara logik dari yang belum diketahui kepada yang diketahui. Taraf pemikiran yang boleh dicapai bergantung kepada jenis soalan yang ditanya oleh guru dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi. Guru mengemukakan berbagai soalan kepada murid supaya mereka melibatkan diri secara aktif, berfikir, menyusun dan menyedari pengalaman yang telah ada pada mereka, menjawab soalan dan seterusnya membuat kesimpulan.Kaedah ini juga adalah sejenis kaedah interaksi pengajaran dan pembelajaran antara guru dengan murid. Kaedah ini turut merangsang tahap pemikiran murid secara tidak langsung. Menyoal merupakan sebahagian daripada setiap interaksi pengajaran dan pembelajaran antara guru dengan murid. Penyoalan dapat dilakukan sepanjang masa pengajaran, sama ada pada peringkat awal, tengah ataupun akhir bagi menguji dan menilai tahap kognitif pengetahuan ataupun pemahaman serta membangkitkan kecerdasan dan menggalakkan berfikir. Fenomena ini akan dapat menumpukan perhatian dan fikiran tentang apa yang diingati. Situasi ini seolah-olah menggambarkan bahawa kaedah sokratik mewujudkan pembelajaran aktif dalam kalangan murid sekolah rendah.Pada peringkat kemahiran berfikir aras tinggi, guru boleh mengemukakan soalan daripada aras mencipta seperti Bolehkah anda cadangkan cara-cara untuk mengelakkan penjajahan di Tanah Melayu?. Aras mencipta ini menggalakkan pelajar memikirkan penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia semasa penjajahan di Tanah Melayu dan mencipta cara-cara baru untuk mengatasi masalah tersebut. Hal ini turut menerapkan semangat patriotik dan cinta akan tanah air dalam sanubari setiap murid sekolah rendah.Rentetan daripada itu, strategi pengajaran yang berpusatkan murid perlu diberi keutamaan sewaktu menjalankan pembelajaran dan pengajaran matapelajaran Sejarah agar murid-murid dapat melibatkan diri secara aktif. Guru perlu menggalakkan pelajar belajar secara pembelajaran koperatif yang memerlukan penglibatan pelajar secara aktif untuk berdikari dan membina pengetahuan sendiri. Dengan mengaplikasikan pembelajaran secara koperatif dalam pengajaran Sejarah, pelajar akan bekerjsama dalam kumpulan kecil dan menyelesaikan tugasan yang diberikan. Pembelajaran secara berkumpulan akan membantu dirinya dan rakan-rakan kumpulan belajar bersama-sama untuk mencapai matlamat yang sama. Melalui pembelajaran ini, pelajar perlu mencari maklumat yang diperlukan, berbincang dengan rakan untuk membina pengetahuan yang baru dan mengolahkannya sendiri untuk menjana pengetahuan dan menjadikannya pembelajaran itu lebih bermakna dan kekal. Dengan mengaplikasikan kedua-dua teknik pembelajaran ini, guru akan memahami pelbagai cara pelajar-pelajar belajar dan seterusnya menghubungkaitkan prinsip dan hukumnya dengan kaedah dan teknik mengajar untuk mencapai objektif pelajaran dengan berkesan.Sebagai seorang guru matapelajaran Sejarah, haruslah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mendalam tentang Sejarah. Oleh itu, perancangan guru seharusnya lebih kreatif dari segi mengadakan pelbagai kemudahan dan sumber rujukan supaya aktiviti PdP menjadi lebih bermakna dalam mendorong proses PdP menjadi lebih sempurna. Dalam proses membentuk kumpulan, guru perlu mempelbagaikan cara untuk membahagikan kumpulan supaya murid-murid dapat merasai pengalaman bersama murid-murid yang lain. Bagi memastikan disiplin murid semasa pembelajaran aktif sentiasa terkawal, guru hendaklah memberitahu murid supaya berbincang dalam keadaan yang tidak mengganggu murid-murid yang lain sebelum mengarahkan murid melakukan sesuatu aktiviti. Sekiranya murid masih dalam keadaan bising, guru perlu bertindak cepat untuk memberi amaran kepada murid yang membuat bising.Kesimpulannya, sejarah merupakan satu matapelajaran yang penting. Hal ini demikian kerana pengajaran sejarah mampu membentuk jiwa, akhlak, dan jati diri bangsa khususnya dalam memupuk semangat patriotisme. Oleh itu, guru berperanan untuk menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis dan menciptakan pengajaran yang berkesan bagi menarik minat dan membantu pelajar-pelajar mempelajari Sejarah dengan mudah. Dalam menghadapi arus globalisasi dalam dunia pendidikan ini, guru perlu bersiap sedia dengan ilmu pengetahuan dan mempelbagaikan strategi, kaedah serta teknik pengajaran yang sesuai bagi menjadikan suasana kelas lebih menarik seterusnya dapat menghasilkan PdP yang berkesan di sekolah rendah.

RUJUKANAbdullah Hassan, Ainon Mohd. (2014). Kemahiran Berfikir Aras Tinggi: Untuk Institut Pendidikan Guru Dan Universiti. Kuala Lumpur: Zizi Press Sdn. Bhd.Dr. Aminudin Mansor. (2014). Mantapkan mata pelajaran Sejarah asas patriotisme. Dimuat turun daripada: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140812/re_07/Mantapkan-mata-pelajaran-Sejarah-asas-patriotismeMuhd. Yusof Ibrahim. (2013). Ilmu Sejarah Falsafah Pengertian Kaedah dan Pensejarahan. Selangor: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.Muhd. Yusof Ibrahim. (2009). Ilmu Sejarah Falsafah, Pengertian, dan Kaedah. Selangor: Dawama Sdn. Bhd.Omardin Haji Ashaari, Yunus Muhamad. (1996). Kaedah Pengajaran Sejarah. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.Salhah Abdullah. (2005). Guru Sebagai Fasilitator. Selangor: PTS Professional Publications.Salhah Abdullah, Ainon Mohd. (2005). Guru Sebagai Mentor. Selangor: PTS Professional Publications.Tengku Sarina Aini Tengku Kasim, Yusmini Md Yusoff. (2006). Kaedah Mengajar dan Kemahiran Interpersonal Guru. Selangor: PTS Professional Publications.Titian Ilmu. (2012). Matapelajaran sejarah sekolah rendah 2014. Dimuat turun daripada: http://sekolahpulauaman.blogspot.com/2012/08/matapelajaran-sejarah-sekolah-rendah.html

LAMPIRAN