SALUTASI DIRAJA - pnc.ump.edu.my
Transcript of SALUTASI DIRAJA - pnc.ump.edu.my
1
PERSEMBAHAN UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ DR. DAING NASIR IBRAHIM
NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KE-9 UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG SESI PERTAMA
PADA HARI SABTU, 11 OKTOBER 2014, PUKUL 8:30 PAGI DI DEWAN KOMPLEKS SUKAN UNIVERSITI, UMP KAMPUS GAMBANG
SALUTASI DIRAJA
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Menghadap:
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang
Tengku Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah
al-Musta’in Billah,
Tuanku Canselor;
2
Menghadap:
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang
Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
binti al-Marhum Sultan Iskandar al-Haj;
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
Sembah patik mohon diampun.
SERU BUKAAN
1. Dengan penuh hormat dan takzimnya, patik merafak
sembah menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang
Teramat Mulia Tuanku atas limpah perkenan berangkat
bercemar duli bagi menyempurnakan Majlis Konvokesyen
Ke-8 Universiti Malaysia Pahang pada pagi yang bersejarah
lagi barakah ini.
3
2. Berkat naungan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku
dan kepedulian pihak Lembaga Pengarah Universiti, patik dan
warga pengurusan Universiti ini sentiasa memberikan perhatian
yang serius terhadap keberkesanan pelaksanaan Pelan
Strategik UMP 2011-2015.
3. Dengan perhatian istimewa dari Kebawah Duli Tuanku
tersebut, langkah-langkah bagi menjadikan UMP sebuah
teknologi pilihan utama menjelang tahun 2015 akan terus
dimantapkan.
4. Justeru, persembahan ucapan patik pada pagi ini akan
melaporkan secara ringkas, perkembangan, pencapaian dan
kemajuan semasa UMP dalam pelbagai lapangan sepanjang
tahun 2014.
4
MAKLUMAN AM MAJLIS KONVOKESYEN KE-9
5. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
Sembah patik mohon diampun;
Sejak Majlis Konvokesyen yang pertama pada tahun 2006,
UMP setakat ini telah menghasilkan seramai 9,301 orang
graduan dalam pelbagai lapangan pengajian.
6. Untuk Majlis Konvokesyen Ke-9 ini, seramai 2,453 orang
graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.
Daripada jumlah tersebut, seramai 22 orang merupakan
graduan Doktor Falsafah, 88 orang graduan Sarjana, 1,510
orang graduan Sarjana Muda dan 833 orang graduan Diploma.
5
7. Dengan keupayaannya kini, UMP menawarkan sebanyak 27
program pengajian Sarjana Muda iaitu 13 program
kejuruteraan, lima program teknologi kejuruteraan, dua
program dwi-ijazah dan masing-masing satu program sains
komputer, sains gunaan, pengurusan serta keselamatan dan
kesihatan pekerjaan.
8. Justeru, bilangan 2,453 graduan yang dihasilkan dalam Majlis
Konvokesyen Ke-9 ini merupakan angka tertinggi graduan
dalam sejarah Universiti Malaysia Pahang.
9. Antara pencapaian signifikan dalam konvokesyen kali ini ialah
berkenaan bilangan graduan pasca-siswazah. Sukacita patik
menyembah maklum ke sisi pengetahuan Kebawah Duli
Tuanku bahawa bilangan graduan pasca siswazah turut
mencatatkan peningkatan 32.5 % pada tahun ini.
6
10. Seramai 22 graduan telah dikurniakan ijazah Doktor Falsafah
pada tahun ini iaitu peningkatan 10% berbanding hanya 20
orang pada tahun 2013. Manakala jumlah graduan ijazah
Sarjana pula telah meningkat sebanyak 39.68% kepada 88
berbanding 63 orang pada tahun 2013.
11. Pelan Strategik UMP 2011-2015 yang kini dilaksanakan oleh
pihak pengurusan turut memberikan perhatian yang serius
kepada peningkatan kualiti akademik bagi program-program
pra-siswazah.
12. Strategi dan inisiatif yang dirangka tersebut telah
menampakkan hasil yang amat positif. Sukacita juga saya
maklumkan bahawa bagi pendaftaran mahasiswa baharu bagi
Sesi Akademik 2014/2015 pada September lalu, 70% daripada
1,952 calon bagi program Sarjana Muda merupakan kelompok
pelajar cemerlang.
7
13. Mereka yang cemerlang ini mencapai CGPA sekurang-
kurangnya 3.0 di peringkat Matrikulasi, Asasi, STPM atau
setaraf, sekaligus membuktikan UMP, sememangnya sebuah
universiti teknologi pilihan utama.
14. Malah, dalam sesi kemasukan September 2014/2015 ini juga,
UMP telah turut menerima 54 orang mahasiswa antarabangsa
terdiri daripada 37 pelajar pra-siswazah dan 17 pelajar pasca-
siswazah yang datang dari 14 buah negara antaranya Republik
Rakyat China, India, Jordan, Syria, Yemen dan Palestin.
15. Hasil koloborasi antarabangsanya juga, maka UMP akan mula
menawarkan program dwi-ijazahnya yang terbaharu iaitu
Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan secara usahasama
dengan Reutlingen Universiti di Jerman. Insya-Allah, kumpulan
mahasiswa perintis program ini akan mula mendaftar pada
bulan Februari 2015.
8
16. Pencapaian-pencapaian yang menggalakkan ini semakin
bermakna dengan pengiktirafan antarabangsa. Sukacita patik
menyembah maklum bahawa pihak Pertubuhan Pendidikan,
Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu atau UNESCO
telah mengiktiraf UMP sebagai universiti terbaik di Asia.
17. Pengiktirafan ini dibuat berdasarkan penilaian UNESCO
terhadap kejayaan UMP mencatatkan peningkatan 131%
dalam penghasilan penerbitan dan kerjasama serantau dalam
bidang kejuruteraan.
PENYEDIAAN INFRASTRUKTUR BERKUALITI
18. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
Sembah patik mohon diampun;
Penyediaan iklim kampus yang kondusif dan sejahtera amat
berkait rapat dengan kerja-kerja pembangunan infrastrastruktur
bagi kesejahteraan warga Universiti ini.
9
19. UMP mencatatkan sejarah yang membanggakan dalam industri
pembinaan negara apabila berjaya membangunkan kompleks
Modular Craft berasaskan teknologi hijau yang dilancarkan
pada 2 Oktober yang lalu.
20. Projek rintis yang menggunakan kontena terpakai ini adalah
yang pertama seumpamanya di Malaysia. Inovasi bangunan
teknologi hijau yang kini tersergam di UMP Kampus Gambang
ini menyediakan 72 unit bilik untuk kegunaan pensyarah
berjaya dibangunkan dengan tempoh masa yang minimal.
21. Projek pembinaan bangunan baharu Kompleks Pentadbiran
Utama (KPU), Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan
(PBMSK) serta Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi
(PTMK) di UMP Pekan sedang giat dijalankan.
10
22. Dengan kemajuan kerja pembangunan yang rancak iaitu 87%
bagi bangunan KPU dan 80% bagi bangunan PBMSK dan
PTMK, adalah dijangkakan bahawa pentadbiran Universiti ini
akan keseluruhannya berpindah ke UMP Pekan mulai bulan
Januari 2015.
PENYELIDIKAN, PENGKOMERSILAN DAN HARTA INTELEK
23. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
Sembah patik mohon diampun;
Dari sudut penyelidikan pula, sehingga Oktober 2014,
sebanyak 535 projek penyelidikan aktif dijalankan di UMP
dengan nilai pembiayaan RM53.02 juta. Ini adalah lonjakan
106% berbanding tahun 2013 yang mana projek penyelidikan
aktif ketika itu berjumlah 259 dengan nilai RM 16 juta.
24. Lebih membanggakan, UMP juga telah berjaya meningkatkan
pembiayaan projek penyelidikan daripada peruntukan geran
antarabangsa bernilai RM 98,275.
11
25. Dua daripada projek ini, yang diketuai oleh Dr. Gurumuthy
Hedge dari Fakulti Sains & Teknologi Industri menerima geran
dari Kerajaan India. Manakala satu lagi projek, yang dijalankan
oleh Dr. Saiful Nizam Tajuddin, juga dari Fakulti Sains &
Teknologi Industri dibiayai oleh geran CRDF Global di Amerika
Syarikat.
26. Di samping geran–geran tersebut, UMP terus diberi
kepercayaan melaksanakan projek konsultansi untuk
membangunkan kompleks pemprosesan makanan laut yang
bernilai RM 6 juta di Mukim Kuala Pahang, Daerah Pekan.
27. Projek yang dijalankan oleh sekumpulan pensyarah dari Fakulti
Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA) ini sudah pasti
akan mengubah lanskap dan persekitaran di kawasan tersebut.
12
28. Selain itu, UMP juga telah berjaya mendapatkan geran dari
Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjumlah RM20 juta untuk
membangunkan projek Gelatin Halal. Projek yang pertama
seumpamanya di Malaysia ini akan dibangunkan di satu
kawasan yang dinamakan UMP Industrial Technology
Engineering Creativity Space (ITECS) yang telah dikenalpasti
sebagai pembangunan Science Park UMP.
29. Kesedaran untuk mendaftarkan produk penyelidikan yang
dihasilkan oleh warga UMP juga semakin meningkat. Sehingga
bulan Oktober 2014, sebanyak 27 harta intelek dalam bentuk
paten, hakcipta dan rekabentuk industri telah didaftarkan oleh
para penyelidik UMP.
13
30. Terkini, projek penyelidikan yang diketuai oleh Profesor Madya
Dr. Noraziah Ahmad dari Fakulti Sistem Komputer &
Kejuruteraan Perisian (FSKKP) telah dipilih sebagai pemenang
Anugerah Harta Intelek Negara 2014 (Kategori Hak Cipta) pada
2 Oktober 2014 yang lalu.
31. Projek penyelidikan beliau iaitu “Binary Vote Assignment on Grid
Quorum (BVAGQ)” adalah berkaitan dengan pengurusan
pangkalan data teragih bagi meningkatkan kebolehan capaian
data dengan efektif serta pengurusan storan yang minimum
untuk mengelakkan pembaziran.
32. Dari sudut penerbitan ilmiah pula, UMP terus konsisten
memberi tumpuan kepada kualiti berbanding dengan kuantiti.
Sehingga September 2014, sebanyak 486 penerbitan ilmiah
telah dihasilkan oleh para pensyarah UMP, merangkumi karya
asli, monograf, artikel jurnal, kertas persidangan, bab di dalam
buku (Chapter of book) dan rencana ilmiah.
14
34. Lebih manis lagi apabila International Journal of Automotive
and Mechanical Engineering (IJAME) telah diindeks oleh
pangkalan data terkenal dunia iaitu SCOPUS dan Elsevier
Bibliographic Database (EBD) dalam tempoh yang singkat,
sekaligus membuktikan kemampuan UMP dalam menghasilkan
kualiti penerbitan bertaraf dunia.
35. SCOPUS juga telah merekodkan bahawa dalam bidang kajian
dye-sensitized solar cell dan electrospinning, UMP berada di
kedudukan pertama di Malaysia dari aspek jumlah sitasi yang
diperoleh daripada penerbitan artikel-artikel jurnalnya, sekali
gus mengatasi universiti penyelidikan lain.
36. Manakala dari segi jumlah keseluruhan sitasi pula, UMP berada
di kedudukan tertinggi dalam kalangan MTUN (Rangkaian
Universiti Teknikal Malaysia).
15
37. Dan yang terkini, menurut laporan daripada Source Normalized
Impact per Paper (SNIP), Impact per Publication (IPP) dan
SCImago Journal Ranking (SJR), IJAME merupakan jurnal
yang mempunyai impak tertinggi berbanding dengan jurnal-
jurnal sains di negara ini, sekali gus meletakkannya di tangga
pertama dalam kedudukan jurnal Scopus di Malaysia. Selain
itu, IJAME juga berada di ranking ke-237 daripada 683 jurnal
mekanikal di dunia berdasarkan laporan SJR.
PENCAPAIAN PENYELIDIK UMP
38. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
Sembah patik mohon diampun;
Sepanjang tahun 2014, para penyelidik UMP terus mencipta
nama di pentas negara dan juga antarabangsa melalui pelbagai
pameran dan pertandingan penyelidikan. Penyertaan ini telah
berjaya menerima pengiktirafan keseluruhan 23 pingat emas,
13 pingat perak, lima pingat gangsa dan lima Anugerah Khas.
16
39. Di peringkat antarabangsa, penyertaan UMP dalam 17th
Moscow International Salon of Inventions and Innovation
Technologies (ARCHIMEDES) yang diadakan di Russia pada 1
hingga 4 April 2014 yang lalu berjaya memenangi empat pingat
emas dan dua anugerah khas.
40. Selain itu, dalam The Invention and New Product Exposition
(INPEX) di Pittsburgh, Amerika Syarikat pada 24 Jun 2014
pula, para penyelidik UMP telah berjaya merangkul lima pingat
emas dan satu anugerah khas.
41. Alhamdulillah, para mahasiswa UMP juga telah
memperlihatkan minat yang mendalam dan bakat yang besar
dalam aktiviti penyelidikan dan inovasi.
42. Dalam konteks tersebut, sukacita saya memaklumkan bahawa
mahasiswa UMP telah berjaya membawa pulang tujuh pingat
emas, dua pingat gangsa serta turut memenangi dua anugerah
khas dalam International Youth Convention Contest (IYIC) pada
8 hingga 9 Ogos 2014 di Seoul, Korea Selatan.
17
HARAPAN
42. Ampun Tuanku beribu ampun,
Sembah patik mohon diampun;
Bersempena detik yang bersejarah ini, patik ingin mengambil
peluang untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah
kepada para graduan yang menerima ijazah masing-masing
pada pagi ini.
43. Oleh yang demikian, maka sewajarnyalah detik bermakna ini
diraikan bersama ibu bapa, penjaga dan keluarga yang telah
banyak berkorban sehingga terciptanya kejayaan ini. Kepada
para ibu bapa yang hadir, tahniah atas kejayaan anak-anak
tuan-tuan dan puan-puan.
18
ALU-ALUAN KEPADA DIF-DIF
44. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
Sembah patik mohon diampun;
Sebelum mengakhiri persembahan ucapan ini, patik mohon
ampuni limpah perkenan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia
Tuanku bagi patik merakamkan ucapan penghargaan dan
terima kasih kepada tetamu-tetamu yang hadir:
- Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Diraja
Haji Adnan bin Haji Yaakob,
Menteri Besar Pahang dan
Yang Amat Berbahagia Datin Sri Diraja;
- Yang Amat Mulia Kerabat-kerabat Bergelar dan Ahli-ahli
Jumaah Pangkuan Diraja;
19
- Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri, Ahli-ahli Dewan Negara, Ahli-ahli Dewan Rakyat
dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang;
- Yang Hormat Dato’ Mohd Hilmey Mohd Taib,
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP
dan Yang Berbahagia Datin;
- Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang;
- Yang Berbahagia Naib-naib Canselor Universiti;
- Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri
serta Yang Hormat Dato’-Dato’ dan Yang Berbahagia
Datin-datin;
- Yang Berbahagia Ketua-ketua Jabatan Negeri dan
Persekutuan;
20
- Ahli-ahli Senat Universiti, Dekan-dekan, Pengarah-
pengarah dan Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab;
- Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar;
- Para siswazah, ibu bapa dan penjaga;
- Tuan-tuan dan Puan-puan.
SEMBAH PENUTUP
45. Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,
Sembah patik mohon diampun;
Sekianlah saja persembahan ucapan patik. Patik merafak
sembah memohon ampun dan maaf jika terdapat kecacatan
dalam majlis ini.
21
46. Selanjutnya patik berdoa ke hadrat Allah Taala moga-moga
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang; Duli Yang
Maha Mulia Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom;
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang;
Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang;
Yang Amat Mulia Paduka-paduka Anakanda Putera dan Puteri
serta Yang Mulia Paduka-paduka Cucunda Putera dan Puteri
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang sentiasa di
dalam aman sentosa, sihat wal’afiat serta dilanjutkan usia.
Amin.
Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun,
Sembah patik mohon Diampun;
Wabillahi taufiq walhidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.