SALAH PAPAR AMALAN PERUBATAN DALAM DRAMA MELAYU …
Transcript of SALAH PAPAR AMALAN PERUBATAN DALAM DRAMA MELAYU …
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
SALAH PAPAR AMALAN PERUBATAN DALAM DRAMA
MELAYU TEMPATAN (Misportrayal of Medical Practice in Local Malay Drama)
Siti Aishah Binti Hj Mohammad Razi, Fauziah Binti Ahmad, Adli Azam Bin Hj Mohammad
Razi & Emma Mohammad
ABSTRAK
Menonton drama televisyen sebagai bahan hiburan, dan sumber pengetahuan tidak dapat
disangkal lagi sejak sekian lama. Mudah untuk diakses samada melalui televisyen itu sendiri,
atau secara atas talian, setiap drama Melayu tempatan mempunyai para pengikut dan
peminatnya tersendiri yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang sama atau berbeza.
Walaubagaimanapun, kewujudan elemen dan babak perubatan di dalam drama Melayu
sedikit terganggu apabila terdapat kesilapan – kesilapan di dalam pemaparannya di televisyen
yang nyata boleh mengelirukan para penonton, serta mampu mencemarkan imej industri
drama tempatan, juga imej institusi perubatan negara kita. Oleh itu, bagi mengelakkan
kesilapan ini daripada terus berulang, beberapa saranan yang diperoleh melalui metode temu
bual secara mendalam bersama enam orang penerbit drama tempatan telah dikenal pasti.
Dipandu oleh penggunaan faktor struktur pengetahuan daripada model Teori Literasi Media
yang dibangunkan oleh Potter (2004), terdapat lima elemen saranan yang telah dikenal pasti
iaitu kesan media, kandungan media, industri media, dunia sebenar, dan yang terakhir diri
sendiri. Justeru, hasil kajian ini harap dapat digunakan oleh semua pihak yang terlibat dengan
industri drama tempatan dalam mengatasi kesilapan salah papar elemen perubatan di dalam
drama Melayu tempatan.
Kata Kunci: elemen perubatan, drama, televisyen, industri drama tempatan, saranan
ABSTRACT
Watching television drama as a source of entertainment and knowledge has been undeniably
time immemorial. Easy access via the television or online, local Malay drama has its own
followers from different or surprisingly similar background. Unfortunately, the misportrayal
of medical scenes and elements in local dramas has been quite disturbing as they are able to
create confusion among viewers, and tarnishing the image of local drama industries as well as
our local medical institutions. Therefore, to avoid continuous misportrayal of medical related
scenes, this study has come with a few suggestions in the attempt to rectify this problem
through in depth interview with six local drama producers. Driven with the use of structured
knowledge from the Theory of Media Literacy, Potter (2004), highlighted five suggestions
which are media effect, media, content, media industries, the real world, and last but not least
oneself. It is hoped that this research can be of benefit to all parties involved in the local
drama industries to prevent the misportrayal of medical issues in local Malay drama.
Keywords: medical elements, drama, television, local drama industries, suggestions
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
2
PENGENALAN
Sebagai satu medium penting dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat, drama
dilihat berjaya mempengaruhi pemikiran para penonton secara sedar atau tidak. Menyedari
akan hakikat itu, para penerbit berusaha untuk menerbitkan drama yang penuh dan padat
dengan maklumat yang boleh membawa kepada kebaikan buat para penonton di luar sana.
Antara langkah yang dilakukan adalah dengan memilih elemen perubatan untuk dimuatkan di
dalam drama terbitan mereka kerana elemen perubatan dilihat berjaya dalam menimbulkan
perasaan, juga konflik yang memacu jalan cerita untuk kelihatan lebih menarik.
Selain daripada itu, elemen perubatan menjadi pilihan kerana berupaya menjadi satu
mesej kesedaran buat para penonton akan kepentingan ilmu perubatan di dalam kehidupan
mereka. Elemen-elemen seperti bantuan pernafasan, balutan luka, dan nombor panggilan
kecemasan adalah antara perkara asas yang boleh digunakan oleh para penerbit untuk
diselitkan di dalam drama mereka. Ilmu-ilmu ini pada dasarnya adalah penting, namun sering
diambil mudah dalam kehidupan seharian menyebabkan masyarakat terlalu bergantung harap
kepada petugas-petugas perubatan sekiranya berlaku hal-hal kecemasan.
Pemilihan elemen-elemen perubatan juga menjadi pilihan para penerbit untuk
dipaparkan di dalam drama mereka sebagai salah satu cara memberi gambaran mengenai
fungsi, atau persekitaran dunia perubatan kepada masyarakat penonton. Sebagai satu
profesion yang dilihat eksklusif dan dipandang tinggi, pemaparan elemen perubatan sedikit
sebanyak dapat membuka mata para penonton, dan mendekatkan mereka dengan dunia
perubatan. Walaupun adegan atau elemen perubatan yang ditunjukkan adalah sedikit,
pastinya perkara tersebut akan memberi satu dimensi baru buat para penonton lebih-lebih lagi
buat peminat drama tempatan.
Disebabkan itu, elemen perubatan menjadi antara elemen penting yang sering dipilih
untuk dipaparkan di dalam drama kerana kepentingannya buat para penonton. Walaupun
berbeza bidang, nyata keberanian para penerbit ini untuk menerima naskah yang
mengandungi elemen sebegini harus dipuji kerana banyak kajian yang perlu dilakukan
sebelum berjaya untuk dilaksanakan.
LATAR BELAKANG KAJIAN
Baru-baru ini tular dilaman sosial akan sebuah drama popular telah memaparkan kesilapan
fakta perubatan sehingga mencetuskan persoalan di kalangan para pengamal perubatan,
pelakon, juga netizen laman sosial. Keadaan tersebut menarik minat pengamal perubatan
untuk mengulas dari sisi bidang mereka yang penuh dan padat dengan fakta-fakta perubatan.
Namun, jika diperhatikan, sebenarnya isu ini sudah berlarutan sebelum ini lagi apabila
banyak kesilapan fakta mengenai elemen perubatan di dalam drama Melayu terlepas untuk
paparan penonton di televisyen. Kesilapan – kesilapan yang dipaparkan menjadikan segelintir
para penonton bukan sahaja keliru, tetapi menjadi kurang hormat dengan industri drama
tempatan yang nyata mencemarkan imej industri ini sendiri.
Selain daripada itu, kekerapan yang berlaku ini menimbulkan tanda tanya di hati
pengkaji terhadap tanggungjawab bukan sahaja penerbit, tetapi juga kepada pihak penilai
stesen televisyen sendiri. Walaupun kita tidak boleh menyalahkan penilai stesen seratus
peratus kerana bidang perubatan bukan bidangnya, namun kegagalan untuk mengenalpasti
kesilapan fakta yang ringkas seperti nombor talian kecemasan tidak dapat diterima.
Seharusnya, perkara-perkara asas sebegini perlu diketahui umum. Sebagai seorang penilai
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
3
yang telah diamanahkan untuk menilai setiap produk yang dihantar untuk dinilai sebelum
ditayangkan, mereka perlulah menjalankan tanggungjawab mereka dengan teliti, dan
bukannya secara lewa. Dengan ini, sekiranya pihak penerbitan terlepas pandang akan
kesilapan sebegini, maka penilai yang menyedarinya boleh lah melaporkannya kepada pihak
penerbit drama agar pembetulan boleh dilakukan sebelum diterima dan ditayangkan di stesen
televisyen. Ketelitian dalam menjalankan tugas ini bukan sahaja dapat mengelakkan
kesilapan daripada terlepas untuk paparan masyarakat, tetapi juga dapat menjamin nama baik
stesen televisyen.
Kerjasama antara pihak penerbit drama dengan pihak pengamal perubatan juga boleh
dipersoalkan. Ini kerana, jika kerjasama terjadi, kesilapan fakta perubatan di dalam drama
pasti tidak akan berlaku. Jika di Hollywood, terdapat persatuan seperti Hollywood, Health,
and Society Program yang akan memantau, memberi nasihat juga membantu para penebit
dan penulis skrip drama dalam membina skrip yang berkaitan dengan perubatan. Di
Malaysia, walaupun ada persatuan – persatuan bukan kerajaan yang sedia membantu seperti
My MedTweet, Medical Mythbuster Malaysia, juga Persatuan Sukarelawan Perubatan
Malaysia, namun persatuan – persatuan ini masih lagi tidak dikenali dan kurang mendapat
perhatian daripada industri drama tempatan, atau pun bayaran yang dikenakan untuk
perkhidmatan yang diberikan adalah mahal.
Kekangan bajet yang terhad daripada pihak stesen televisyen juga menjadi salah satu
punca mengapa elemen perubatan di dalam drama sering berlakunya kurang ketepatan fakta.
Sejak tahun 2011 lagi, Datuk Seri Utama Rais Yatim telah mengutarakan isu bajet rendah ini
kepada pihak stesen televisyen terutamanya RTM (Portal Rasmi Kementerian Komunikasi
dan Multimedia Malaysia, 2011). Ini menunjukkan bahawa masalah kekangan bajet adalah
masalah yang sudah lama dan masih belum ada jalan penyelesaiannya. Justeru, Dengan
kadar bajet yang diberikan masih lagi sama seperti berbelas tahun dahulu, tidak mustahil para
penerbit berasa berat hati untuk mengeluarkan belanja mereka untuk mendapatkan khidmat
daripada para pengamal perubatan, atau sewaan peralatan perubatan yang sesuai. Ini kerana,
dengan sewa peralatan yang tinggi, bayaran pelakon pilihan stesen televisyen yang nyata
mahal, pasti akan memberi kesan kepada bayaran para krew yang terlibat. Oleh itu, bagi
mengelakkan pengurangan bayaran gaji kepada krew, maka banyak perkara terpaksa
dikorbankan oleh pihak penerbit.
Antara lain yang menjadi persoalan adalah, sejauh mana kajian yang dilakukan oleh
pihak produksi sendiri dalam mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan perubatan.
Seperti yang diketahui, pre produksi menjadi keutamaan bagi sesebuah produksi sebelum
memulakan sebarang penggambaran bagi memastikan setiap aspek adalah sempurna dan
difahami dengan jelas oleh setiap ahli dan krew yang terlibat. Ini termasuklah melakukan
kajian bagi memahami perkara mengenai perubatan yang terlibat di dalam drama mereka.
Namun, jika kajian dilakukan, mengapa masih terdapat lagi salah papar elemen perubatan di
dalam drama Melayu yang ditayangkan?
Merujuk perkara – perkara di atas, terdapat banyak punca berlakunya salah papar
elemen perubatan yang boleh diberi perhatian sebagai mencari langkah mengatasi. Perkara-
perkara inilah yang mencetuskan idea buat pengkaji untuk melakukan kajian ini kerana salah
papar elemen perubatan di dalam drama Melayu tempatan bukanlah satu perkara yang perlu
dipandang remeh. Perkara ini penting untuk diatasi kerana kesannya kepada banyak pihak
boleh menjurus kepada situasi yang tidak sihat. Boleh mengelirukan para penonton,
mencemarkan imej para penerbit bukan sahaja yang terlibat, tetapi juga yang lain. Industri
perubatan negara turut akan terkena tempiasnya kerana dilihat tidak peka dan tidak mahu
memberikan bantuan dan kerjasama di dalam industri drama tempatan.
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
4
ULASAN PERPUSTAKAAN
Literasi Media
Literasi media pada asasnya membawa maksud kemampuan untuk membaca dan menulis.
Namun sejajar dengan perkembangan masa, dan teknologi, definisinya menjadi lebih luas
lagi. Menurut Centre of Media Literacy, dan Media Literacy Project, literasi media
bermaksud kemampuan untuk mengakses, menganalisa, menilai, dan juga membina media.
Manakala National Association for Media Literacy Education pula memberi definasi
kemampuan untuk mengakses, menganalisa, menilai, dan berkomunikasi untuk maksud
literasi media. Kerana itu, literasi media juga boleh ditafsirkan sebagai kemampuan seseorang
individu untuk menggunakan saluran media serta tahu untuk membezakan maklumat yang
positif dan negatif. Melalui kemampuan tersebut, individu akan berada dalam keadaan sedar
semasa proses penerimaan mesej media menjadikannya lebih berhati-hati dalam tujuan dan
pemilihan informasi agar tiada mesej yang silap atau negatif mempengaruhinya. Berbanding
jika kemampuannya untuk mengawal mesej media adalah terhad, kemungkinan untuk dia
menerima mesej media secara tidak sedar adalah tinggi, mengakibatkannya tidak mampu
untuk mengawal penerimaan, dan pengaruh mesej media yang ada.
Di samping itu, literasi media juga penting kerana dapat menunjukkan isi kandungan
yang biasa didedahkan kepada seseorang individu, dan corak pemikirannya (Potter, 2011), di
samping mengajar para penonton untuk membuat keputusan terhadap kandungan media yang
diterima oleh mereka (Stribbling 2008). Melalui ilmu ini, kita dapat lihat sejauh mana
seseorang itu didedahkan dan mengusai sesuatu perkara serta tindak balas penerimaan media
mereka. Ini kerana, apabila mereka sering didedahkan dan terdedah dengan sesuatu perkara,
mereka dapat menilai dan menapis mesej media yang diterima secara sedar. Tetapi berbeza
jika sebaliknya.
Sejajar dengan perkembangan sosial dan budaya, literasi media juga akan terus
berkembang hasil daripada tindak balas terhadap perubahan sekitarnya (Dauglass Kellner &
Jeff Share. 2007). Oleh itu, semakin terdedah individu dengan sesuatu perkara, semakin
tinggi literasi medianya kerana kemahiran mengakses, menganalisa, menilai, dan juga
membina media semakin bertambah. Kesannya, tahap kesedaran dan kemampuannya untuk
mengawal mesej media dalam mempengaruhinya adalah semakin tinggi. Dengan ilmu literasi
media yang ada, persepsi seseorang terhadap perkara sekelilingnya juga semakin luas dan
terbuka mendorongnya untuk menambah, dan memperluaskan lagi pengetahuannya yang
sedia ada.
Literasi media juga menjadi pencetus kepada masyarakat yang aktif membaca, dan
menulis, di samping berkebolehan dalam menerbitkan drama dan filem yang bermaklumat
untuk kehidupan, dan kebaikan masyarakat sosial (Balraj. S. 2001). Minat yang mendalam
terhadap aktiviti membaca dan menulis adalah satu perkara yang sangat penting dan
diperlukan dalam membina tamadun manusia. Melalui pembacaan dan penulisan, idea-idea
serta maklumat yang berguna, dapat digunakan untuk membimbing dan melahirkan
masyarakat yang celik ilmu serta berpengetahuan luas terhadap ilmu persekitarannya. Lebih-
lebih lagi dengan arus kemodenan yang pesat, kegagalan untuk mengejar dan menambah
ilmu akan menyebabkan masyarakat ketinggalan zaman dan dangkal kerana hanya menerima
sahaja maklumat tanpa mampu dapat mengawal dan menapis mesej kandungannya.
Jika ditinjau dari segi kesan media terhadap masyarakat sosial, lambakan maklumat di
media banyak mempengaruhi kehidupan, dan tingkah laku sehari-hari. Tanpa ilmu literasi
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
5
media, sukar untuk masyarakat menilai fungsi maklumat yang diterima dengan baik. Kerana
itu menurut Kellner, D. , Shane, J. (2007), ilmu literasi media banyak membantu individu
dalam menilai, dan menyiasat mesej media yang diterima. Kegagalan dalam menilai dan
menyiasat mesej media, tidak mustahil akan memberi kesan yang negatif kepada individu,
juga kepada masyarakat.
Tegasnya, ilmu literasi media adalah sangat penting bagi mengelakkan masyarakat
yang dangkal mempengaruhi perkembangan intelektual masyarakat itu sendiri.
Kepentingannya dalam diri individu tidak dapat dinafikan turut memberi pengaruh yang
besar kepada masyarakat sekitar, termasuklah di alam maya.
Drama Perubatan
Memaparkan watak-watak perawat, atau pengamal perubatan sama ada di dalam atau di luar
institusi perubatan, drama perubatan antara drama yang mendambakan kajian yang teliti dan
lengkap agar maklumat- maklumat dan fakta-fakta yang disebarkan di dalam drama adalah
tepat dan tidak mengelirukan. Sesuai sebagai sebuah medium yang menyalurkan budaya, dan
masyarakat sosial kepada para penonton, drama menjadi antara sumber maklumat yang
dicari, dan dipercayai. Memaparkan situasi proses rawatan untuk hal-hal kecemasan, atau
meibatkan perubatan, Joseph Turrow (2012) turut berpendapat bahawa drama perubatan tidak
lari daripada menggambarkan watak-watak yang berpengaruh dan berkuasa di dalam
sesebuah sistem perubatan.
Menjadi pilihan oleh para penerbit untuk menyelitkan elemen perubatan di dalam
drama mereka, elemen sebegini dilihat membantu sesebuah drama untuk menjadi lebih
menarik kerana mampu menimbulkan konflik, juga mainan perasaan di antara watak-watak
yang ada. Bukan itu sahaja, disebabkan adegan yang dipaparkan menyerupai dengan situasi
sebenar yang dialami di luar drama, para pengamal perubatan sebenar menjadikan drama-
drama ini sebagai rujukan mereka, lebih-lebih lagi dengan kehadiran watak-watak perawat
yang digambarkan mahir dan cekap dalam menyelesaikan kes-kes yang diterima mereka
(Turrow J., 1996). Para penonton juga oleh menjadikan adegan yang dipaparkan sebagai satu
ilmu asas perubatan yang bermanfaat dan mampu dipraktikkan di dalam kehidupan sebenar
mereka. kerana itu, Bishop J., (2009) setuju bahawa drama perubatan sesuai untu dijadikan
sebagai sumber informasi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Penulis skrip kebanyakannya menulis berdasarkan imaginasi mereka. Disebabkan itu,
kajian perlu dilakukan oleh mereka dan pihak produksi apabila ingin mengetengahkan
sesuatu tema, atau subjek yang luar dari normal kehidupan sosial mereka. Menjadi
tanggungjawab seorang penerbit untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat yang
dipaparkan di dalam drama mereka agar tidak mengelirukan para penonton. Ini kerana,
kebanyakan penulis skrip tidak mempunyai pendidikan dan latihan di dalam bidang
perubatan yang formal(Lolley S., 2008), memungkinkan pemaparan maklumat, atau fakta
perubatan di dalam drama tidak tepat sepenuhnya (Goodwin E., 2015). Oleh itu, kebanyakan
adegan dengan elemen perubatan yang dihasilkan oleh penulis-penulis skrip lebih ke arah
hiburan, berbanding pendidikan.
Jika dilihat dari segi penyampaian, penonton sebenarnya lebih gemar dan tertarik
untuk melihat watak-watak yang dilakonkan, berbanding memerhati dan mempelajari ilmu-
ilmu perubatan yang dipaparkan. Landau (2011), memberi contoh bahawa di dalam sesebuah
adegan pembedahan yang dilakukan oleh doktor, perwatakan doktor itu sendiri yang menjadi
perhatian, bukannya perbuatan yang dilakukan oleh watak tersebut. Kerana itu, para penonton
tidak mengambil kisah dengan kesilapan yang dilakonkan, dan hanya beranggapan
pemaparan adegan itu hanyalah lakonan semata-mata yang tidak perlu diambil serius akan
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
6
kesalahan yang dilakukan. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan bahawa para penonton kini
sudah semakin bijak dan ada yang mengambil peduli akan salah papar yang dilakukan adalah
perkara yang serius, lebih-lebih lagi melibatkan hal-hal perubatan.
Bukan sahaja di dalam tempatan, kesilapan fakta perubatan di dalam drama turut
menjadi perhatian pengkaji terhadap drama-drama bersiri popular di Hollywood. Menurut
Stobbe M. (2007), walaupun drama seperti “Law and Order” mengandungi fakta yang salah,
namun hasil daripada kajian yang dilakukan menunjukkan apa yang ditunjukkan di televisyen
tetap dipercayai oleh para penonton. Keadaan ini sebenarnya menyukarkan para pengamal
perubatan di alam realiti kerana mereka terpaksa berdepan dengan karenah pesakit yang
keliru dengan rawatan di dalam drama, juga dengan keadaan sebenar.
Justeru, penghasilan drama perubatan perlulah didatangi dengan fakta-fakta yang
benar dan tepat agar tidak mengelirukan masyarakat penonton lebih-lebih lagi yang
menjadikan drama sebagai salah sebuah medium pendidikan mereka. Kepentingan
penghasilannya tidak boleh dinafikan kerana elemen perubatan adalah elemen yang penuh
dengan mesej pendidikan jika disampaikan dengan betul, dan menjadi tanggungjawab
penerbit bagi memastikan ketepatan faktanya dengan tidak culas dalam melakukan kajian
yang teliti.
HUBUNGKAIT ANTARA TEORI LITERASI MEDIA DAN KAJIAN
Merujuk kepada pernyataan yang diberikan oleh (Potter 2011), dan (Stribbling 2008), ilmu
literasi media nyata dapat mendedahkan pengetahuan seseorang terhadap sesuatu perkara.
Sebagai contoh, para penerbit yang tidak fasih dengan ilmu, dan dunia asas perubatan past i
tidak sedar dengan mesej mengenai perubatan yang diletakkan di dalam skrip yang diterima.
Apabila pengetahuannya kurang, maka tidak mustahil dia gagal untuk menapis kesilapan
yang terdapat di dalam skrip, atau jalan cerita tersebut. Berbeza jika seorang penerbit
mempunyai ilmu literasi media, sekiranya dia mengenalpasti kesilapan, atau timbul persoalan
mengenai elemen perubatan yang disertakan, pasti dia akan melakukan kajian, atau
memastikan ketepatan maklumat tersebut sebelum menerimanya.
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
7
Rajah 4.1. Model Kognitif Literasi Media James W. Potter (2004).
Merujuk gambar rajah 4.1 di atas, struktur pengetahuan seseorang banyak
mempengaruhi tindak balas seseorang dalam membuat keputusan melalui pemprosesan dan
aliran kerja maklumat sebelum menjadi satu mesej yang baru. Model yang dibina oleh Potter
(2004) sangat bersesuaian dengan kajian ini kerana kajian ini melibatkan struktur
pengetahuan seseorang penerbit drama. Namun, pengkaji hanya memfokuskan kepada
elemen-elemen struktur pengetahuan sahaja iaitu kesan media, kandungan media, industri
media, dunia sebenar,dan diri sendiri.Kelima-lima elemen ini merupakan jika diteliti dengan
mendalam, adalah antara sumber rujukan media yang berkesan dalam menambah dan
mengukuhkan struktur pengetahuan seseorang penerbit.
Sebagai contoh, sesuai dengan peranan seorang penerbit dalam menghasilkan drama
untuk mendidik masyarakat, pendedahan dirinya dengan perkara – perkara di sekitar, serta
perkara- perkara baru banyak membantu meningkatkan tahap literasi medianya. Dauglass
Kellner & Jeff Share 2007, percaya bahawa disebabkan oleh tindak balas terhadap perubahan
budaya dan sosial masyarakat literasi media akan terus berkembang dan berubah. Apabila
seseorang penerbit didedahkan dengan mesej media berkaitan perubatan, maka
pengetahuannya akan bertambah. Oleh itu, semasa proses pembacaan, memahami, dan
mengakses skrip, dia mampu menilai mesej-mesej media mana yang perlu ditapis, atau tidak.
Justeru, sekiranya berlaku ketidakpastian, atau kesilapan di dalam maklumat yang disediakan,
maka penerbit dan pembantunya boleh memperbetulkannya sebelum penggambaran
dilakukan.
Jika diteliti dengan mendalam, teori ini turut menyarankan agar setiap individu
perlulah rajin menambah ilmu pengetahuan melalui pembacaan dan penulisan, lebih-lebih
lagi untuk seorang penerbit drama. Dengan tercetusnya minat ini, pengetahuan mengenai
ilmu perubatan boleh diketahui, dan difahami membolehkan kesilapan pemaparan maklumat
dapat dikenalpasti dengan lebih awal. Malahan, ilmu yang ada juga boleh digunakan untuk
menambah baik dan mencatikkan lagi skrip agar elemen perubatan yang disuntik terhasil
dengan lebih berkualiti. Berbanding jika tiada ilmu di dalam bidang perubatan, maka
kepercayaan yang diletakkan kepada penulis skrip mungkin boleh menyebabkan salah papar
berlaku. Tidak menyalahkan penulis skrip, tetapi adalah lebih elok sekiranya hal-hal
mengenai ketepatan maklumat dapat dilakukan, dan dibincang bersama-sama bagi
mendapatkan kata sepakat yang baik.
PERMASALAHAN KAJIAN
Menjadi masalah apabila masih lagi ada kesilapan fakta-fakta, juga maklumat-maklumat
perubatan yang dipaparkan di dalam drama Melayu tempatan walaupun isu ini sering
diutarakan lebih-lebih lagi di laman sosial. Tidak menidakkan kredibiliti para penerbit drama
tempatan, kerana masih ada penerbit yang berjaya membawa adegan berunsurkan perubatan
dengan baik sekali, tetapi kelihatannya seperti tiada jalan penyelesaian yang berjaya diambil.
Situasi ini jika dibiarkan, boleh mencemarkan imej industri drama tempatan kerana setiap
kesilapan yang terjadi, menjadi bahan lawak oleh para netizen yang sentiasa mencari peluang
untuk menyerang atas kesilapan individu atau pun pihak lain.
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
8
Gambar Rajah 5.1
Gambar rajah di atas merupakan antara kesilapan elemen perubatan yang sangat
ketara di dalam salah sebuah drama bersiri. Pemakaian cervical collar yang sepatutnya di
bahagian leher, kelihatan janggal sekali apabila dipasang dibahagian muka. Menjadi
persoalan, mengapa hal sebegini boleh berlaku, kerana jika difikirkan secara logik walaupun
tidak mempunyai ilmu dalam bidang perubatan, perkataan collar, atau kolar itu sendiri sudah
membayangkan leher, ataupun kolar kemeja. Namun, mungkin ada masalah-masalah dalaman
yang tidak dapat diketahui, seperti kekurangan dana, atau kekurangan masa untuk membuat
kajian yang memungkinkan kejadian seperti ini berlaku.
Gambar Rajah 5.2
Manakala di dalam Gambar Rajah 5.2 di atas ini pula, kesilapan terjadi apabila alatan
yang sepatutnya dikendalikan secara manual dibiarkan tergantung. Bag Valve Mask
merupakan alatan yang membekalkan bekalan oksigen kepada pesakit melalui beg yang
mengandungi udara tersebut. Justeru, jika tidak dikendalikan oleh jururawat, atau mana-mana
pegawai perubatan, maka bagaimana oksigen dapat dibekalkan kepada mangsa?
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
9
Gambar Rajah 5.3
Kerana kesilapan-kesilapan sebeginilah yang banyak mengundang perspektif negatif
para penonton terhadap industri drama Melayu tempatan. Lihat sahaja seperti gambar rajah
5.3 di atas ini. Kesan daripada kesilapan yang dilakukan oleh sebuah produksi drama, maka
perkara tersebut menjadi bahan jenaka oleh segelintir masyarakat yang memahami dan
mengetahu amalan sebenar penggunaan alat perubatan tersebut. Situasi sebegini pastinya
mengundang sesuatu perkara yang boleh menjatuhkan maruah para penerbit drama Melayu
tempatan. Tanpa disedari, jika perkara sebegini dibiarkan berlarutan, pasti akan melahirkan
masyarakat yang dangkal kerana hanya menerima perkara yang dipaparkan, juga masyarakat
yang suka menjatuhkan industri drama kita walaupun tidak tahu punca-punca masalahnya.
KAEDAH KAJIAN
Memandangkan kajian ini bertujuan untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini,
pendapat mereka yang pakar, dan terlibat dalam bidang ini diperlukan bagi membantu
pengkaji. Oleh itu, kaedah temu bual secara mendalam telah dipilih kerana kaedah ini
berkemampuan untuk mendapatkan maklumat dengan terperinci dengan seramai enam orang
penerbit drama tempatan telah dipilih dari enam syarikat penerbitan drama yang berbeza.
Selain daripada itu, Bogdan, Biklen (1998), berpendapat temu bual mendalam membolehkan
seseorang pengkaji mendapat pandangan subjek yang ditemu bual mengenai sesuatu topik
melalui perkataan, atau ayat mereka sendiri. Maka, pandangan yang diberikan oleh mereka
adalah bebas daripada pengaruh pihak ketiga.
Selain daripada itu, kaedah temu bual mendalam juga membolehkan pengkaji
mendapatkan pandangan yang lebih meluas merangkumi pelbagai aspek, sekaligus menjadi
nilai tambah dalam data yang dikumpul pengkaji. Malah, kepercayaan yang timbul di antara
kedua belah pihak mampu menguatkan lagi hubungan ynag terjalin, membolehkan kerjasama
berlaku lagi di masa hadapan.
DAPATAN KAJIAN
Melalui sesi temu bual yang dijalankan, diakui dengan jujur oleh setiap responden bahawa
masalah salah papar ini memang banyak berlaku dan disedari oleh mereka. Seperti yang
diakui oleh responden R4:
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
10
Ada kadang-kadang scene-scene...scene yang salah dibuat
kerana tidak faham prosedur, atau pun tidak faham apa, apa
ni...bagaimana dia sepatutnya dilakukan scene-scene yang
seterusnya, jadi memang, kita memang ambil beratlah. Ada
banyak, saya tahu ada banyak...,R4
Pendapat itu turut disokong oleh responden R5:
Memang tidak ada unsur-unsur perubatan yang betul
dalam drama-drama Melayu. Memang tidak ada. Dan tak minat.
Kebanyakannya tak berminat untuk mendalami. R5.
Menurut responden R5, kekurangan usaha, dan minat untuk mengkaji dan mendalami
ilmu perubatan yang ingin dipaparkan di dalam drama mereka turut menyumbang kepada
salah papar amalan perubatan di dalam drama Melayu tempatan. Selain daripada itu,
kekangan kewangan atau bayaran daripada pihak stesen juga menjadi salah satu punca
kepada masalah yang dikaji ini seperti yang diluahkan oleh responden R4 dibawah:
Macam saya cakap tadi. Ya, kewangan memang boleh
menjadi punca kenapa penerbit tak dapat hasilkan drama yang
bermutu. Kenapa? Sebab kewangan yang terhad telah banyak
dihabiskan kepada bayaran pelakon-pelakon yang mahal
harganya. Kadang-kadang, sebab terhad itu juga kita terlepas
pandang untuk membuat kajian yang lebih mendalam kerana itu
semua melibatkan kos. Kos masa, kos pengangkutan, dan kos-kos
lain…,R4.
Ditambah dengan karenah pihak stesen televisyen yang campur tangan atas pemilihan
para pelakon terutamanya, pihak penerbit terpaksa berbelanja besar untuk membayar pelakon
yang ditentukan oleh pihak stesen membuatkan kos untuk membuat kajian terpaksa
dikecilkan, atau dilupakan terus. Kesan lain juga, pihak penerbit terpaksa mengekang
kreativiti dan kemampuan mereka untuk menghasilkan adegan dengan elemen perubatan
yang lebih canggih kerana tidak dapat menyewa alatan perubatan yang nyata memerlukan
kos. Maka, terhasillah adegan yang nampak murah, dan kurang teliti yang akan megundang
kecaman masyarakat penonton.
SARANAN
Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya dan pengkaji ingin turut mencadangkan saranan-
saranan yang boleh digunakan untuk mengurangkan salah papar elemen perubatan ini melalui
temu bual yang telah berlangsung. Terdapat lima cara yang oleh digunakan iaitu melalui
kesan media, kandungan media, industri media, dunia sebenar, dan diri sendiri. Kelima-lima
cara ini juga merupakan antara punca kepada struktur pengetahuan yang disarankan di dalam
Teori Literasi Media oleh Potter (2004).
Kesan media
Penularan salah papar amalan perubatan di dalam drama Melayu tempatan menjadi antara
topik yang sering dibincangkan di kalangan netizen menyebabkan imej industri drama
tempatan sedikit tercemar, menjadikan para penerbit yang lain perlu lebih berhati-hati dalam
memaparkan elemen perubatan di dalam drama mereka. Menurut responden R6:
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
11
Ish..memang. Zaman ni, penonton mesti cemuh, lepas tu
viral. Memang confirm. So benda-benda macam ni saya memang
berhati-hati sikit, sebab saya ni boleh dikatakan producer yang
dikenali. Kan? Orang kenal kita sebagai pelakon semua. Lagi
orang suka nak viralkan. So i always take extra carefull on that.
Malu juga bila viral-viral benda macam ni kan? Kerana kesilapan
dekat set, kita produser yang kena tanggung...,R6.
Mengambil kira kesan negatif yang terhasil daripada salah papar amalan perubatan
yang terjadi, para penerbit hendaklah mengambil iktibar, dan inisiatif yang efektif agar
kesilapan tidak berulang lagi. Kerana, bukan sahaja industri drama yang akan terkesan, tetapi
juga insitusi perubatan negara.
Kandungan media
Dalam usaha dan idea untuk menyuntik elemen perubatan di dalam drama mereka, pihak
penerbit haruslah memastikan amalan perubatan yang dipaparkan itu logik, dan sesuai dengan
situasi yang dipaparkan. Pihak penerbit juga perlu memastikan setiap elemen perubatan yang
dipaparkan betul dari segi faktanya, juga prosedurnya. Sebagai contoh rawatan
cardiopulmonary resuscitation (CPR ) dan nombor talian kecemasan. Tidak dilupa juga
tampalan balutan luka, walaupun sikit tetapi tetap memberi kesan. Menurut responden R4:
Kadang-kadang bila kita tidak ambil peduli, dia akan jadi
scene-scene yang nampak sangat kita tak buat homework dan
salah. Ada baru-baru ni saya terbaca, even di Facebook pun
memperlekehkan scene yang mana pesakit tu sepatutnya macam
ni...macam ni...macam ni, dia buat taruk drip ke apa, tak silap
saya, benda macam tulah. Lawak tu. R4.
Merujuk kenyataan di atas, kandungan yang silap nyata sukar untuk diterima oleh
penerbit drama yang lain juga. Kerana itu, penerbit terutamanya perlu mengenal pasti dan
meneliti kandungan skrip yang ingin divisualkan agar tiada kesilapan yang berlaku. Malah,
sebelum dihantar ke pihak stesen juga drama yang siap disunting perlu diperiksa agar
kandungan dan jalan ceritanya tiada yang silap.
Industri media
Saranan seterusnya adalah melalui industri media itu sendiri yang memerlukan
kerjasama dan tindak balas daripada pihak stesen televisyen. Ini termasuklah peranan, juga
kadar bayaran kepada pihak penerbit drama yang perlulah ditingkatkan lagi. Tidak dinafikan
stesen televisyen mementingkan memainkan peranan penting dalam memberi peluang kepada
pihak penerbit untuk menyiarkan drama-drama terbitan mereka, namun kebajikan serta sikap
yang adil juga perlu diterapkan agar kedua-dua pihak mendapat keuntungan dan kebaikan
bersama.
Dari segi kadar bayaran terutamanya, kadar yang diterima masih tidak banyak
berubah sejak dari dahulu lagi menyebabkan pihak penerbitan tersepit dalam membahagikan
kos-kos yang terlibat. Bukan itu sahaja, situasi ini juga akan melemahkan semangat pihak
penerbit untuk menghasilkan elemen perubatan yang berimpak tinggi kerana semua itu
memerlukan kos.
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
12
Kita boleh buat. Tapi kita cuma tak boleh tunjuk belah
la...itulah...sedut darah ke apa...whatever. Kalau kita tengok cerita
orang putih, semua dia buat kan? Real. Tapi kita buat...boleh
buatlah, tapi kemampuan kita terhad lah. Dan kat situ penonton
tempatan akan membezakan..”tengoklah cerita Melayu,
Malaywood”. Well, itu yang masih lagi kita tak capai kan? Sebab,
even program TV hari ni pun masih harga yang sama…R4
Oleh itu, permintaan dan situasi ekonomi sekarang dalam mempengaruhi kadar
bayaran, juga hasil perlu diberi perhatian wajar kerana kita tidak mahu industri kita menjadi
tenat kerana kreativiti pengamal industri kreatif media disekat.
Dunia sebenar
Kebanyakan drama yang dihasilkan adalah berinspirasikan daripada dunia sebenar.
Walaubagaimanapun, tidak semua penulis skrip, dan penerbit drama datang dari latar
belakang perubatan. Oleh itu, cara lain untuk mengetahui dan mendalami subjek yang ingin
diketengahkan adalah dengan menjalinkan kerjasama bersama institusi perubatan tempatan.
Berbanding Malaysia, industri Hollywood mempunya persatuan yang membantu para
penerbit, atau penulis yang ingin menghasilkan skrip dengan unsur perubatan. Melalui
Hollywood, Health, and Society Programs, para pengamal kesihatan di sana telah mengambil
inisiatif bukan sahaja untuk menegur kesilapan, tetapi juga memberi khidmat nasihat, dan
bimbingan kepada para penerbit drama, dan filem dalam menerbitkan hal yang berkaitan
kesihatan. Bukan sahaja menyediakan khidmat nasihat secara percuma, malahan program
yang beroperasi sejak 2001 ini turut mengadakan pelbagai program untuk meningkatkan
kualiti kesihatan melalui drama, atau filem seperti seminar, anugerah, atau tayangan video
yang berkaitan (Hollywood, Health, and Society Programs ).
Menurut responden R6:
Ha, itu yang saya nak cadangkan tadi tu. Kerjasama tu. Its
timely ya, produser-produser ni mula bekerjasama dengan agensi-
agensi, dengan jabatan-jabatan, dengan kementerian. Dan juga
dengan yang sepatutnya lah. Dengan pihak yang sepatutnya, yang
kita nak bawa cerita mereka ni...,R6
Justeru, jalinan kerjasama antara pihak penerbit drama dan pengamal
perubatan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kesilapan pemaparan elemen
perubatan daripada terus berlaku.
Diri sendiri
Tanggungjawab sebagai seorang penerbit itu sendiri adalah besar yang memerlukan
ketahanan dari segi fizikal dan mental. Bukan sahaja memerlukan kewangan, dan pasukan
yang kukuh, tetapi juga tahap pengetahuan yang tinggi. Ini kerana, sebarang keputusan untuk
menerima, atau menolak sesuatu skrip untuk divisualkan adalah milik penerbit. Disebabkan
itu, saranan terhadap diri sendiri, atau penerbit drama merupakan antara saranan yang
penting sekali untuk diberi perhatian.
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
13
Pengetahuan yang ada perlulah sentiasa ditambah agar penerbit tidak ketinggalan
dalam sebarang ilmu yang berpotensi untuk diketengahkan di dalam drama mereka,
contohnya seperti ilmu perubatan. Kajian demi kajian perlu dilakukan bukan sahaja melalui
pembacaan, tetapi juga melalui komunikasi, dan juga pemerhatian seperti yang dinyatakan
oleh responden R1:
Yes, definitely i will do a research on the story first.
Aaa...so kata kalaulah kita buat cerita pasal orang buta for
examples. I will see how do they live, how do they talk, how do
they mix, how do they walk. Then only baru kita boleh direct kita
punya artis. Kalau kita punya tak buat homework, kita macam
mana kita nak direct artis tu. Unless artis tu rajin, will go to the
extra mile to do the homework themselves, aaa....R2
Dengan pengetahuan yang ada, bukan sahaja penerbit akan dihormati, tetapi juga
karya-karya hasil terbitannya juga akan dihormati dan diikuti oleh para penonton.
PERBINCANGAN
Isu salah papar amalan dan elemen perubatan tidak akan terhenti selagi tiada tindakan untuk
mengatasi dari semua pihak yang terlibat seperti para penerbit drama, institusi perubatan,
stesen televisyen, dan juga dari masyarakat penonton. Sebagai individu yang pernah terlibat
secara langsung di dalam industri penerbitan drama, pengkaji secara peribadi melihat isu ini
tidak seharusnya dipandang remeh kerana kesannya melibatkan banyak pihak. Penerbit yang
tidak berpengetahuan akan menghasilkan pasukan yang kurang berpengetahuan kerana
mereka menurut keputusan penerbit. Manakala stesen televisyen yang memikirkan
keuntungan, pasti akan mengakibatkan ada pihak lain yang akan mengalami kerugian.
Selain daripada itu, institusi perubatan pula pasti akan terkena tempias disebabkan
kesilapan salah papar tersebut kerana dilihat seperti tidak membantu dan memberikan
kerjasama kepada industri drama tempatan. Namun, pasti ada penyelesaiannya kerana ketika
ini, pihak pengamal perubatan turut menubuhkan badan, dan juga persatuan yang boleh
membantu pihak penerbit drama dalam isu mengenai amalan perubatan ini. Antara persatuan,
dan badan yang aktif adalah Medical Mythbuster Malaysia, MedTweetMy, The Dressar &
Co, juga Sukarelawan Perubatan Malaysia. Oleh itu, promosi, dan kerjasama perlulah
diperluaskan agar usahasama yang terjalin mampu membawa kebaikan buat semua.
KESIMPULAN
Kepentingan ilmu literasi media bagi penerbit drama terutamanya, tidak dapat disangkal lagi
kerana ilmu tersebut mampu membantu penerbit mencari sumber-sumber rujukan daripada
sumber media yang berbeza. Disebabkan itu, para penerbit hendaklah berusaha untuk
menggunakan segala medium media dengan semaksima mungkin dalam mencari maklumat
yang diperlukan. Kerajinan dalam berkomunikasi juga sangat dituntut agar sebanyak
mungkin maklumat dapat dikumpul selain daripada melalui pembacaan.
Menghasilkan drama yang berkualiti tinggi adalah matlamat dan wawasan yang perlu
dicapai oleh industri drama tempatan. Namun, usaha dan cita-cita ini tidak akan terlaksana
tanpa usahasama, dan pertolongan dari pihak-pihak yang lain, kerana industri ini tidak
mampu untuk bergerak sendiri. Justeru, diharap dengan segala usaha dari setiap pihak,
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
14
mampu mengukuhkan, dan mengembangkan lagi industri drama kita yang dipenuhi dengan
individu-individu yang kreatif.
BIODATA PENULIS
Siti Aishah Mohammad Razi merupakan calon Phd di Pusat Penyelidikan Industri Kreatif
dan Impak Media di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pengkhususan kajian beliau adalah
dalam bidang penyiaran.
Fauziah Ahmad merupakan Professor Madya di Pusat Penyelidikan Industri Kreatif dan
Impak Media, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Adli Azam Mohammad Razi merupakan Pensyarah Kanan di Unit Pembedahan
Kardiovaskular dan Torasik di Rumpun Sains Pembedahan Fakulti Perubatan UiTM, Kampus
Sungai Buloh.
Emma Mirza Wati Mohamad merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Penyelidikan Industri
Kreatif dan Impak Media, Universiti Kebangsaan Malaysia.
RUJUKAN
Dauglass Kellner, Jeff Share. 2007. Critical Media Literacy, Democracy, and the
Reconstruction of Education. Dlm. D. Maeeda and S.R. Steinberg (penyt.) Media
Literacy: A Reader, hlm. 3-23. New York: Peter Lang Publishing.
Goodman K. 2007. Imagining Doctors: Medical Students and the TV Medical Drama.
American Medical Association Journal of Ethics. 9 (3): 12-187.
http://virtualmentor.ama-assn.org/2007/03/medu1-0703.html [18 August 2014].
Jacquelyn Bishop. 2009. The Negative Images of Nursing Portrayed on Grey’s Anatomy,
House, and ER and its Effects on Public Perception and the Contemporary Nursing
Shortage. Annual Celebration of Student Scholarship adn Creativity.
Kellner, D. , Shane, J. 2007. Critical Media Literacy, Democracy, and the Reconstruction of
Education. In Media Literacy: A Reader , edited by D. Maeeda and S.R. Steinberg , 3-
23. New York: Peter Lang Publishing.
Lolley S. 2008. Medical Professional and the Fictional TV Medical Drama House MD.
McGill University.
Rais Yatim. 2011. Memperkasakan Dunia Penyiaran Secara Kreatif dan Inovatif. Portal
rasmi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Angkaspuri. Retrieved
from
http://kkmm.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=3394:ucapan-
pemukiman-rtm&catid=174&lang=ms on 11 Sep 2017.
Shanti Balraj. 2001. Dlm. Media Literacy in Malaysia: Making Connections with Critical
Awareness. Peny. Mary Kalantzi and Ambigapathy Pandian. Literacy Metters: Issues for
New Times. hlm 161-171. Common Ground Publishing Pty Ltd in Association with
Universiti Sains Malaysia.
Vol. 12, No. 3 (2017), 012 ISSN: 1823-884x
15
Stribbling. L. 2008. Media Literacy From the Perspective of Broadcasters, and User
Generate Content Producers Around the World. Commenwealth Broadcasting
Association.
Stobbe M. 2007. U.S Health Officials Prescribing Doses of Medical Accuracy for TV Shows.
Deseret News. http://www.deseretnews.com/article/660213843/US-health-officials-
prescribing-doses-of-medical-accuracy-for-TV-shows.html?pg=2 [12 Februari 2016]
Tessa Jolls. 2011. Temubual bersama W. James Potter.
Turrow J. 1996. Television Entertainment and the US Health Care Debate. The Lancate, Vol
347: hlm. 1240-1243. University of Pennsylvania Scholarly Commons.
Turow J. 2012. Nurses and Doctors in Prime Time Series: The Dynamics of Depicting
Professional Power. SceinceDirect. http://www.nursingoutlook.org/article/S0029-
6554(12)00142-X/pdf. [17 October 2014]
SITI AISHAH BINTI HJ MOHAMMAD RAZI
Universiti Kebangsaan Malaysia
FAUZIAH BINTI AHMAD
Universiti Kebangsaan Malaysia
ADLI AZAM BIN HJ MOHAMMAD RAZI
Universiti Teknologi Mara
EMMA MOHAMMAD
Universiti Kebangsaan Malaysia