Rohayati Hussin, Rusnadewi Abdul Rashid & Noor Inayah Yaakub

14
ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015] 9th ISDEV International Islamic Development Management Conference (IDMAC2015) 259 KE ARAH PEMBANGUNAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI WAKAF: KAJIAN DARI ASPEK PERUNDANGAN TANAH NEGARA Rohayati Hussin 1 Rusnadewi Abdul Rashid 2 Noor Inayah Yaakub 3 Abstrak Kanun Tanah Negara 1965 menjadi asas rujukan di samping undang-undang lain berkaitan tanah termasuklah urusan berkaitan tanah wakaf. Ini kerana tiada undang- undang khas berkaitan pengurusan tanah wakaf walaupun telah wujud enakmen wakaf di beberapa buah negeri. Asas kepada sesuatu pembangunan adalah bermula di atas tanah. Oleh itu, isu mengenai pembangunan tanah wakaf sentiasa menjadi perhatian dan perbahasan pelbagai pihak. Membangunkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) wakaf pula merupakan salah satu alternatif pembangunan tanah wakaf ke arah merealisasikan pembangunan keilmuan dalam arus perdana globalisasi negara supaya peluang pendidikan ini turut dikecapi oleh semua golongan masyarakat tanpa batasan. Sejajar dengan itu, pentingnya peruntukan perundangan berkaitan tanah diketahui agar penubuhan dan pembangunan IPT wakaf dapat dilestarikan. Justeru itu, artikel ini bertujuan untuk mengupas dua isu perundangan tanah yang penting berkaitan IPT wakaf iaitu aspek pendaftaran dan pengambilan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri. Berteraskan kepada kajian kualitatif yang menggunapakai kaedah analisa kandungan (content analysis), artikel ini diharap dapat memberi pendedahan tentang peranan perundangan tanah negara yang memberi kesan kepada pembangunan dan kelestarian IPT wakaf. Kata Kunci: Kanun Tanah Negara 1965; tanah wakaf; Institusi Pendidikan Tinggi Wakaf; pembangunan. 1 Pelajar PhD, Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam : [email protected] 2 Pensyarah Kanan (Dr), Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA Perlis : [email protected] 3 Prof Dato’ Dr, Universiti Islam Malaysia: [email protected]

Transcript of Rohayati Hussin, Rusnadewi Abdul Rashid & Noor Inayah Yaakub

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 259

KE ARAH PEMBANGUNAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI WAKAF:

KAJIAN DARI ASPEK PERUNDANGAN TANAH NEGARA

Rohayati Hussin1

Rusnadewi Abdul Rashid2

Noor Inayah Yaakub3

Abstrak

Kanun Tanah Negara 1965 menjadi asas rujukan di samping undang-undang lain

berkaitan tanah termasuklah urusan berkaitan tanah wakaf. Ini kerana tiada undang-

undang khas berkaitan pengurusan tanah wakaf walaupun telah wujud enakmen

wakaf di beberapa buah negeri. Asas kepada sesuatu pembangunan adalah bermula

di atas tanah. Oleh itu, isu mengenai pembangunan tanah wakaf sentiasa menjadi

perhatian dan perbahasan pelbagai pihak. Membangunkan Institusi Pendidikan

Tinggi (IPT) wakaf pula merupakan salah satu alternatif pembangunan tanah wakaf

ke arah merealisasikan pembangunan keilmuan dalam arus perdana globalisasi

negara supaya peluang pendidikan ini turut dikecapi oleh semua golongan

masyarakat tanpa batasan. Sejajar dengan itu, pentingnya peruntukan perundangan

berkaitan tanah diketahui agar penubuhan dan pembangunan IPT wakaf dapat

dilestarikan. Justeru itu, artikel ini bertujuan untuk mengupas dua isu perundangan

tanah yang penting berkaitan IPT wakaf iaitu aspek pendaftaran dan pengambilan

tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri. Berteraskan kepada kajian kualitatif yang

menggunapakai kaedah analisa kandungan (content analysis), artikel ini diharap

dapat memberi pendedahan tentang peranan perundangan tanah negara yang

memberi kesan kepada pembangunan dan kelestarian IPT wakaf.

Kata Kunci: Kanun Tanah Negara 1965; tanah wakaf; Institusi Pendidikan Tinggi

Wakaf; pembangunan.

1Pelajar PhD, Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam :

[email protected] 2Pensyarah Kanan (Dr), Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi MARA Perlis :

[email protected] 3 Prof Dato’ Dr, Universiti Islam Malaysia: [email protected]

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 260

PENGENALAN

Perkara berkaitan wakaf sentiasa relevan dan tidak pernah lekang dari

diperbincangkan dan diperbahaskan sama ada di dalam atau luar negara. Saban

tahun, banyak seminar dan konferensi dianjurkan berkaitan wakaf. Bezanya pada

masa kini terdapat fokus baru yang diberi perhatian dan diperbincangkan iaitu

mengenai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT)4. Pendidikan tertinggi merupakan

pemangkin bagi melahirkan tenaga-tenaga pakar dan ilmuwan. Oleh yang demikian,

peranan institusi pengajian tinggi adalah amat penting dalam melahirkan modal insan

kelas pertama (Siti Zakiah & Hairunnizam, 2014). IPT berkonsepkan wakaf masih

baru diberi perhatian dan diperbincangkan walaupun hakikatnya sudah terdapat

beberapa IPT wakaf yang telah wujud berkonsepkan wakaf di Malaysia. IPT wakaf

tidak dinafikan merupakan aset yang penting dalam pembangunan masyarakat Islam.

Dengan wujudnya IPT wakaf ia diharapkan dapat memberi peluang bukan sahaja

kepada masyarakat untuk mendapatkan ilmu malah memberi peluang kepada umat

Islam untuk melakukan kebajikan (Wan Kamal, 2014). IPT yang berkonsepkan

wakaf perlu dilaksanakan di samping kelestariannya juga memainkan peranan yang

penting bagi mengekalkan aspek kemajuan itu sendiri. Namun begitu harapan ini

agak sukar untuk dicapai sekiranya masyarakat masih kurang kesedaran untuk

memahami konsep wakaf.

Dengan tertubuhnya IPT wakaf, ia boleh dianggap sebagai satu institusi

pembangunan ekonomi ummah. Ini terbukti berdasarkan pengalaman wakaf dalam

membangunkan ekonomi ummah di negara Mesir, Turki, Arab Saudi dan Kuwait.

Universiti al-Azhar, Mesir umpamanya yang ditubuhkan dan ditadbirkan oleh sebuah

perbadanan wakaf negara itu dan kini telah lebih 1000 tahun penubuhannya masih

dibiayai oleh perbadanan tersebut.(Mohd Saharudin, Mohd Saifoul, & Jamal, 2003).

Dalam usaha menfokuskan kepada pembangunan IPT wakaf, tidak dapat tidak isu

yang berkaitan dengannya juga perlu diberi perhatian. Isu tanah wakaf perlu diberi

perhatian terlebih dahulu kerana ia adalah asas kepada sesuatu pembangunan.

Di Malaysia, semua tanah wakaf ditadbir dan diuruskan oleh Majlis Agama Islam

Negeri (MAIN)5 sama ada harta alih atau tak alih. Seperti sedia maklum tanah- tanah

wakaf yang didaftarkan adalah terletakhak kepada MAIN sebagai pemegang amanah

tunggal harta wakaf berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri dan

Enakmen Wakaf. Merujuk kepada Enakmen, MAIN adalah Pemegang Amanah

Tunggal bagi kesemua harta wakaf, termasuk Wakaf Am atau Wakaf Khas, bagi

semua Nazar Am dan jenis amanah yang menjadi Amanah Khairat kerana bantuan

dan kemajuan Islam dan faedah bagi orang-orang Islam mengikut hukum syarak.

Peruntukkan ini disebut secara jelas dalam enakmen sebagai contoh, Enakmen

Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal

Agama Islam (Terengganu) (No.2 Tahun 2001) :

“Walau apapun peruntukan yang berlawanan dalam mana-mana

suratcara atau pengisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau

menyentuh kepada perkara itu, maka hendaklah Majlis menjadi

pengawal tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf Am atau

4 Institusi Pendidikan Tinggi selepas ini disebut IPT

5 Majlis Agama Islam Negeri selepas ini disebut MAIN

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 261

Wakaf Khas dan semua nazar am dan semua amanah dari serba

jenis yang mewujudkan amanah khairat untuk bantuan dan

kemajuan Agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam

mengikut Hukum Syarak, dan yang terletak di negeri ini atau jika

orang yang membuat penyelesaian harta itu atau lain-lain orang yang

mewujudkan amanah, wakaf atau nazar am itu berdomisil di negeri

ini, setakat semua harta yang tersentuh olehnya di mana jua harta itu

terletak” (Seksyen 63).

Wakaf berasal daripada perkataan Arab, waqafa yang membawa maksud berhenti,

menegah dan menahan (Abdul Hamid dan Mohammad Tahir, 2014). Manakala

menurut istilah, wakaf ialah apa-apa harta yang menahan pewakaf daripada sebarang

urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber

fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada

Allah SWT (Razali, 2013). Manakala Syeikh Muhammad al-Syarbini al-Khatib

seorang ulama bermazhab Syafi'i, menjelaskan bahawa wakaf bermaksud menahan

harta yang boleh memberi manfaat dengannya, serta kekal fizikal harta, dengan

melupuskan hak pengurusan yang dimiliki oleh pewakaf untuk diberikan kepada

pihak yang dibenarkan oleh syarak yang wujud ketika itu (Ainul, Arieff Salleh, dan

Azman, 2014). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, wakaf membawa

maksud sesuatu yg diberikan untuk kegunaan orang ramai (sebagai derma) atau

sesuatu yang diberikan dan diperuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan

agama Islam (Sanep & Nurdiyana , 2011). Selain itu, menurut seksyen 2 Enakmen

Wakaf (Negeri Selangor) 1999, wakaf ertinya:

“menyerahkan apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat atau

faedahnya untuk apa-apa tujuan kebajikan sama ada sebagai wakaf

am atau wakaf khas menurut Hukum Syarak tetapi tidak termasuk

amanah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pemegang

Amanah 1949”.

PERKEMBANGAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI (IPT) WAKAF DI

MALAYSIA

Malaysia ialah sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasminya.

Sehubungan itu, institusi pengajian tinggi Islam (IPTI) sewajarnya dapat ditubuhkan

dengan mudah. Ada antara IPTI ini yang telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia,

manakala selebihnya ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Negeri, kerajaan negeri

dan pertubuhan bukan kerajaan. Kebanyakan IPTI yang ditubuhkan mengambil

pendekatan wakaf dalam membantu kelestarian ekonominya. Antara kelebihan wakaf

pendidikan di Malaysia ialah ia mendapat sokongan dari segenap lapisan masyarakat,

baik dari pihak kaum kerabat sultan, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri

sehinggalah kepada orang perseorangan. Keadaan semasa ekonomi negara yang

kukuh dengan pendapatan perkapita yang baik turut mempengaruhi sumbangan dana

wakaf IPTI (Mokhtar, Hairullfazli, Mohd Isa, & Muna, 2015).

Raja Nazrin (2013) telah menitahkan bahawa wakaf atau endowmen telah diiktiraf

mempunyai peranan yang amat besar dalam memastikan kelestarian institusi

pengajian tinggi Islam di mana sahaja ia berada, baik di negara Islam atau negara

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 262

sekular. Baginda menyarankan agar semua IPT mengurangkan kebergantungan

kepada pihak berkuasa, sebaliknya memperbanyakkan sumber pendapatan dalam

bentuk kurniaan, tajaan dan derma atau wakaf. Semua IPT yang ditubuhkan di

Malaysia adalah tertakluk kepada perundangan di Malaysia. Semua IPT yang

ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia, umumnya disebut IPT awam, adalah tertakluk

kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30). Manakala IPT yang

ditubuhkan oleh selain kerajaan Malaysia yang dikenali secara ringkas sebagai IPT

swasta pula adalah tertakluk kepada Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996

(Akta 555). Walaupun IPT ditubuhkan di bawah akta yang berbeza, namun segala

pemantauan masih tertakluk kepada Kementerian Pendidikan Malaysia melalui

beberapa agensi yang ditubuhkan khusus untuk memastikan taraf perkhidmatan yang

diberikan adalah yang terbaik dan setara dengan piawaian dalam dan luar negara.

Antara agensi yang berperanan besar dari segi peningkatan kualiti perkhidmatan

pendidikan ialah Malaysian Qualification Agency atau MQA. Agensi ini

bertanggungjawab untuk melaksanakan kerangka kelayakan Malaysia (Malaysia

Qualification Framework, MQF) sebagai asas penjaminan kualiti pendidikan tinggi

di negara ini. MQA juga berperanan sebagai pusat rujukan sehenti berkaitan kriteria

dan standard kelayakan kebangsaan (Malaysian Qualification Agency, 2013).

Menurut kajian yang dijalankan oleh Mokhtar et. al (2015), perkembangan

pendidikan tinggi di Malaysia pada masa kini amat membanggakan. Jumlah IPT

awam bertaraf universiti penuh yang telah ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia

sehingga kini ialah sebanyak 20 buah. Di samping itu, terdapat sebanyak 485 buah

institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia. Menurut seksyen 2 Akta IPTS

1996, definisi institusi pendidikan tinggi swasta ialah:

“institusi pendidikan, termasuklah Universiti atau Kolej Universiti

atau kampus cawangan yang diluluskan dan didaftarkan di bawah

Akta ini, yang tidak ditubuhkan atau disenggarakan oleh Kerajaan:

(a) yang menyediakan pendidikan tinggi;

(b) yang menyediakan pendidikan jarak jauh; atau

(c) yang menyediakan pendidikan tinggi atau pendidikan

jarak jauh secara bergabung, bersekutu atau bekerjasama

dengan—

(i) institusi pendidikan tinggi swasta yang diluluskan dan didaftarkan

di bawah Akta ini;

(ii) institusi pendidikan tinggi lain:

(aa) sama ada atau tidak ditubuhkan di bawah undang-

undang bertulis lain; atau

(bb) sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(iii) Universiti atau Kolej Universiti yang ditubuhkan di

bawah Akta ini;

(iv) Universiti atau Kolej Universiti yang ditubuhkan di bawah Akta

Universiti dan Kolej Universiti 1971 [Akta 30];

(v) Universiti atau Kolej Universiti lain—

(aa) sama ada atau tidak ditubuhkan di bawah undang-

undang bertulis lain; atau

(bb) sama ada di dalam atau di luar Malaysia;

(vi) kampus cawangan; atau

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 263

(vii) badan profesional sama ada di dalam atau di luar Malaysia yang

membawa kepada penganugerahan keanggotaan profesional

badan profesional itu.

Berdasarkan definisi di atas, IPTS yang ditubuhkan berasaskan konsep wakaf juga

adalah tertakluk kepada semua perundangan yang terdapat dalam Akta 555.

Antaranya ialah Universiti Kolej Bestari di Terengganu atau University College

Bestari (UCB), Universiti Islam Malaysia (UIM) di Cyberjaya dan Kolej Universiti

Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) di Perak.

Univeristi Islam Malaysia (UIM)

Penubuhan UIM adalah salah satu usaha murni yang telah dipengerusikan oleh

YBhg. Tan Sri Prof. Dr. Mohd Yusof Noor dalam meneruskan perjuangan untuk

memartabatkan kembali wakaf sebagai institusi wakaf pendidikan tinggi negara.

Sejarah penubuhan Kolej Islam Malaya (KIM) atau Muslim College Malaya bermula

pada 24 Februari 1955. Ia berjaya direalisasikan dua tahun selepas kemerdekaan

Tanah Melayu. Penubuhan ini sebagai usaha bagi mempertingkatkan kefahaman dan

pengetahuan mengenai pengajian Islam di kalangan masyarakat. Semasa itu,

pendedahan pengajian Islam dibuat melalui kaedah tradisional. Ini menyebabkan,

masyarakat Muslim menjadi terasing daripada silibus arus pendidikan moden seperti

pendidikan sains, kemanusiaan dan teknologi (Abd. Manaf, 2012).

Penubuhan KIM ini telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada ketika

itu. Pengurusan dan pentadbiran KIM adalah melalui tabung kewangan wakaf atau

sumbangan derma dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk daripada bukan Islam.

Negara-negara luar seperti Brunei, Kuwait, Arab Saudi dan Bahrin turut

menyumbang bagi tabung kewangan wakaf KIM. Malahan, bangunan pertama KIM

telah disumbangkan oleh Almarhum Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam

Shah. Baginda mengurniakan Istana Jameah beserta sebidang tanah terletak di Jalan

Kampung Jawa Kelang sebagai wakaf khas bagi kegunaan KIM (Abd. Manaf, 2010).

Pada awal penubuhannya, KIM merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi Islam

yang diiktiraf oleh Universiti Al-Azhar, Cambridge dan Oxford. Kumpulan pelajar

pertama seramai 55 orang yang datang dari seluruh Tanah Melayu, Singapura,

Brunei, Sabah dan Sarawak yang telah melepasi ujian kemasukan kolej. Namum,

penubuhan KIM ditangguhkan operasinya bermula Disember 1970 bagi memberi

laluan kepada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (Abd. Manaf,

2012). Berikutan penubuhan UKM, KIM telah diserap sebagai salah sebuah fakulti di

UKM iaitu Fakulti Pengajian Islam. Berikutan itu, seluruh harta wakaf KIM seperti

tanah, bangunan, saham dan wang tunai diuruskan oleh Lembaga Amanah Kolej

Islam Malaya (LAKIM) (Abd. Manaf, 2010). Setelah berjuang bersungguh-sungguh

sehingga ke peringkat mendapatkan sokongan menteri kabinet dan memohon sembah

perkenan dari Majlis Raja-raja Melayu, KIM akhirnya diaktifkan semula sebagai

sebuah universiti swasta dengan nama Universiti Islam Malaysia pada 13 Julai 2014

(Universiti Islam Malaysia, 2014). UIM dianggap sebagai IPTS berkonsepkan wakaf

yang pertama di Malaysia yang dizahirkan dengan perkenan Majlis Raja-raja

Melayu dan bergerak sepenuhnya di atas landasan wakaf dari orang ramai serta

institusi korporat. Banyak sumbangan wakaf diterima sepanjang tempoh perjuangan

mewujudkan semula KIM sebagai UIM. Contohnya, pada 2012, UIM menerima

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 264

sumbangan dana wakaf tunai berjumlah RM5.18 juta dari tujuh pihak yang terdiri

dari syarikat, pertubuhan dan individu (Sinar Harian, 2012) iaitu seperti berikut:

a) Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebanyak RM5 juta

b) Shahpadu Corp Sdn Bhd sebanyak RM100,000.00

c) Datuk Dr. Haron Din mewakili bekas pelajar Kolej Islam Malaya (KIM)

sebanyak RM30,675.00

d) Waris dan warga KIM Petaling Jaya sebanyak RM17,000.00

e) Alumni Kolej Islam (ALKIS) yang diwakili Datuk Sallehuddin Ishak

sebanyak RM11,000.00

f) Persatuan Bekas Pelajar KIM sebanyak RM10,000.00

g) Bekas ketua pelajar Kolej Islam Klang tahun 1975 Puzi Dahman sebanyak

RM10,000.00

Universiti Kolej Bestari atau University College Bestari (UCB)

Universiti Kolej Bestari atau University College Bestari (UCB) merupakan sebuah

institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang telah ditubuhkan oleh Pertubuhan

Kebajikan Anak Yatim Malaysia atau PEYATIM pada 1998 dengan nama asalnya

Kolej Teknologi Bestari. IPT ini telah dinaik taraf pada 1 Ogos 2012 menjadi sebuah

kolej universiti. PEYATIM merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang

berusaha memartabatkan anak-anak melayu miskin, golongan Program

Pembangunan Rakyat Miskin (PPRT) dan anak yatim seluruh Malaysia yang

berkemampuan dalam bidang akademik untuk mendapat peluang melanjutkan

pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sehubungan itu, penubuhan Kolej

Universiti Bestari yang tidak bermotifkan keuntungan semata-mata (non-profit

making institution) tetapi lebih ke arah kebajikan ini cuba merealisasikan

pembangunan keilmuan dalam arus perdana globalisasi negara supaya peluang

pendidikan ini turut sama dikecapi oleh masyarakat luar bandar dan anak-anak yatim

di seluruh negara.

Jika ditinjau dari aspek kronologi penubuhan UCB ini, ia bermula dari kegiatan dan

gerakan kumpulan yang terlibat dengan aktiviti kebajikan anak yatim Malaysia. Pada

tahap pertama perjuangan mereka adalah berkonsepkan memberi perlindungan dan

penjagaan kepada anak-anak yatim. Setelah melangkaui lebih 20 tahun mereka

bergiat dalam perjuangan tersebut, mereka dapati untuk mencapai matlamat akhir

perjuangan membela nasib anak-anak yatim sukar dicapai kalau hanya tumpuan

pembangunan kanak-kanak terhenti pada aspek penjagaan dan pemeliharaan semata-

mata. Dari itu kumpulan 'Think tank' PEYATIM yang diketuai oleh YM Dato' Dr.

Tengku Mahmud bin Mansor telah merancang untuk membangunkan sebuah kolej

yang bermatlamat untuk menjadikannya sebagai satu saluran (outlet) kepada anak-

anak yatim bagi mendapat peluang pengajian tinggi sebaik mungkin, kerana ada di

kalangan anak-anak yatim mempunyai kemampuan tersebut. Di samping itu,

perubahan paradigma aktiviti-aktiviti di rumah anak-anak yatim itu mula berlaku dan

mejurus kepada pembangunan pendidikan. Sungguhpun pada peringkat

perancangannya, penubuhan kolej ini semata- mata untuk menampung keperluan

aliran bagi anak-anak yatim, tetapi mungkin aspek perluasan peluang kepada pihak-

pihak lain perlu juga diberi, seperti anak-anak dari golongan PPRT, anak-anak

Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), anak- anak luar bandar dan sebagainya

yang tidak dapat ditampungi oleh Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).Oleh yang

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 265

demikian, penubuhan UC Bestari ini terbukti memberi manfaat kepada semua pihak.

Lantaran itu, usaha yang berani dan bijaksana ini perlu diberi sokongan oleh semua

pihak dan segenap lapisan masyarakat bagi menjayakan cita-cita pembangunan umat

yang sebahagiannya tersisih dan tertinggal ini.

PERUNDANGAN TANAH BERKAITAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI

(IPT) WAKAF

Perbincangan mengenai tanah wakaf tidak terlepas dari dikaitkan dengan

perundangan tanah negara yang mengikat perkembangan dan pembangunan hartanah

wakaf negara ini. Perbincangan artikel ini lebih menfokuskan kepada dua isu

perundangan yang berkait rapat dengan undang-undang tanah wakaf iaitu

pendaftaran di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan pengambilan balik tanah oleh

Pihak Berkuasa Negeri di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Kanun Tanah Negara 1965

Seksyen 4(2) (e) Kanun Tanah Negara 1965 (KTN 1965) memperuntukkan bahawa

mana-mana peruntukan di bawah KTN 1965 adalah tidak terpakai kepada tanah

wakaf kecuali diperuntukkan sebaliknya. Peruntukan ini dilihat sebagai suatu

jaminan bahawa KTN 1965 yang merupakan undang-undang utama berhubung

dengan tanah telah mengiktiraf undang-undang Islam mengenai wakaf bagi semua

tanah wakaf. Oleh itu, dari segi pemakaiannya, prinsip-prinsip umum dalam KTN

1965 adalah tidak terpakai dalam pengurusan dan pentadbiran tanah wakaf

(Mahamad Naser, 2012). Menurut Mohidin (2012), sungguhpun KTN 1965 tidak

menyediakan peruntukan khusus mengenai perkara wakaf, namun amalan

pentadbiran tanah terutama dari aspek pendaftaran tanah wakaf hari ini menunjukkan

bahawa KTN 1965 masih lagi digunapakai sebagai sumber utama. Peruntukan

mengenai pendaftaran harta wakaf terdapat dalam beberapa enakmen negeri

misalnya, Seksyen 4 Enakmen Wakaf (Negeri Melaka) 2005 yang menyatakan

bahawa setiap wakaf hendaklah didaftarkan dengan secepat mungkin menurut apa-

apa bentuk atau cara yang telah ditetapkan oleh Majlis. Selain itu, Enakmen Wakaf

(Negeri Sembilan) 2005 juga memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang

hendak mewakafkan hartanya hendaklah mendaftarkan harta itu dengan Majlis

mengikut apa-apa cara yang ditetapkan oleh Majlis. Berdasarkan enakmen-enakmen

wakaf tersebut dapat difahami bahawa pendaftaran harta wakaf amat penting namun

tidak ada peruntukan secara jelas mengenai bagaimana tatacara pendaftaran harta

wakaf terutama berkaitan tatacara pendaftaran tanah wakaf. Kebiasaannya,

pendaftaran yang dibuat adalah mengikut amalan MAIN yang berbeza-beza bagi

setiap negeri berdasarkan tatacara yang terdapat di dalam KTN 1965. Ini

menunjukkan bahawa KTN 1965 masih relevan sebagai rujukan utama berkaitan

pendaftaran tanah wakaf. Namun begitu, secara umumnya terdapat tiga cara yang

boleh digunakan bagi tujuan pendaftaran tanah wakaf iaitu:

i. Kaedah Peletakhakan Berkanun (Statutory Vesting) - Seksyen 416C KTN

1965

Seksyen 416C KTN 1965 memperuntukan kaedah pendaftaran tanah termasuk

pendaftaran tanah wakaf melalui Peletakhakan Berkanun (Statutory Vesting). Kaedah

pindahmilik ini tidak membabitkan prosedur yang rumit. Penyempurnaan dibuat

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 266

tanpa pengisian apa-apa instrumen oleh MAIN kerana permohonan boleh dibuat

sekadar dengan menulis surat dengan melampirkan surat lafaz wakaf dan suratcara

wakaf kepada Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah (mengikut mana yang

berkenaan) bagi tujuan tersebut. Selain itu, salinan peruntukan statutori berkaitan

perletakhakan tanah wakaf kepada MAIN di bawah akta atau enakmen negeri

berkenaan juga perlu turut dikemukakan. Sekiranya permohonan diluluskan,

Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah akan mengendorskan hak pemohon di

dalam daftar dokumen hak milik tanah. Melalui Pekeliling Ketua Pengarah Tanah

dan Galian Persekutuan(Bil.8/1999), semua Pendaftar Hakmilik dan Pentadbir Tanah

telah dinasihatkan supaya menggunakan kaedah yang terbaru dalam meletakhak

tanah wakaf kepada Majlis Agama Islam Negeri. Kaedah pindahmilik melalui cara

ini sewajarnya dilaksanakan kerana ia tidak membabitkan prosedur yang kompleks

(Sayuti, Mohd Hamran, Hasan Al-Banna, Basri 2011). Sekiranya permohonan ini

diluluskan, Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir tanah akan mengendoskan hak

pemohon di dalam daftar dokumen hak milk tanah itu, iaitu setelah berpuas hati

bahawa letakhak satutori pada hak atau kelayakan penerima pindahan telahpun

berkuatkuasa (Siti Mashitoh, 2006).

ii. Kaedah Serahan (Surrender) - Seksyen 195, 197 dan 200 KTN 1965

Kaedah ini juga merupakan salah satu cara yang membolehkan tanah wakaf

didaftarkan atas nama MAIN sebagai pemegang amanah tunggal. Pendaftaran tanah

melalui penyerahan balik dan permohonan semula ini adalah selaras dengan

peruntukan yang terkandung dalam KTN 1965. Permohonan hendaklah dibuat secara

bertulis oleh tuanpunya tanah yang ingin mewakaf dengan menyatakan tujuan

penyerahannya kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Apa-apa bayaran yang belum

dijelaskan ke atas tanah berkenaan seperti cukai tanah yang tertunggak dan

sebagainya termasuk yuran bagi urusan penyerahan berkenaan hendaklah dilunaskan

terlebih dahulu. Bagi tujuan tersebut, lakaran pelan hartanah berkenaan juga perlu

dilampirkan bersama. Selepas penyerahan diterima oleh PBN, MAIN dikehendaki

memohon semula hartanah berkenaan bagi menyempurnakan pelaksanaan wakaf

tersebut. Penyerahan balik (surrender) tanah yang terkandung dalam hakmilik

kepada kerajaan atau PBN boleh dilakukan secara bertulis kepada Pentadbir Tanah

dengan menggunakan Borang 12A (seksyen 197 jika bagi maksud keseluruhan

tanah) atau Borang 12B (seksyen 200 jika bagi maksud sebahagian tanah).

Sebagaimana yang di peruntukkan dalam seksyen 197 dalam KTN 1965yang

memperuntukan pendaftaran tanah dengan cara penyerahan semula tanah kepada

PBN maka MAIN akan membuat permohonan ke atas tanah tersebut. Semua ini

adalah untuk menyempurnakan perwakafan pihak pewakaf berkenaan disamping

merealisasikan tanggungjawab sebagi pemegang amanah tunggal hartanah yang

diwakafkan ini (Siti Mashitoh, 2006).

iii. Kaedah Pindah Milik (Transfer) - Seksyen 215 dan 216 KTN 1965

Proses pindahmilik tanah di bawah peruntukan seksyen ini telah banyak diamalkan

oleh MAIN (Sallehuddin Ishak, 2013). Permohonan dibuat dengan pewakaf mengisi

Borang 14A KTN 1965 yang mengandungi antara lain butir-butir peribadi pemindah

milik (pewakaf) dan pihak penerima pindahan milik (MAIN) termasuk juga butiran

hartanah. Setelah permohonan tersebut diluluskan, pihak Pendaftar Tanah akan

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 267

mendaftarkan nama MAIN sebagai penerima pindahan yang sah di sisi undang-

undang.

Justeru itu, setelah pendaftaran dilakukan terhadap tanah wakaf, hanya MAIN yang

berhak mengurus tadbir tanah-tanah wakaf tersebut. Pihak –pihak lain misalnya

pewakaf, ahli waris termausk anak-anak pewakaf atau penerima amanah wakaf tidak

berhak mencampuri urusan pentadbiran tanah wakaf tersebut. Namun begitu, ada

beberepa pihak lain yang diberi pengecualian oleh MAIN untuk mengurus dan

mengawal selia tanah wakaf seperti ahli jawatankuasa masjid, surau dan lain-lain.

Kebiasaannya adalah tanah jenis masjid dan surau (Mohd Afendi, 2008).

iv. Keperluan Pendaftaran dan Implikasi Kegagalan Pendaftaran Tanah Wakaf

Terhadap Pembangunan IPT Wakaf

Menurut kajian yang dilakukan oleh Sayuti et.al (2011), tiada sebarang nas al-Quran

mahupun Hadith menyatakan secara khusus tentang pendaftaran tanah wakaf.

Namun, untuk kepentingan umum atau “Maslahah Ammah” menjadi keperluan atau

kepentingan untuk mendaftarkan tanah wakaf sebagai bahan bukti ke atas hak dan

pemilikan seseorang serta badan-badan tertentu. Pendaftaran tanah wakaf juga dapat

memastikan kelangsungan pembangunan terhadap tanah wakaf. Pendaftaran tanah

wakaf dapat mengelakkan konflik pada masa hadapan bertepatan dengan prinsip

Torrens iaitu ‘daftar adalah segala-galanya’. Biar apapun pembangunan yang

dicadangkan di atas tanah wakaf tersebut, perkara asas mengenai pendaftaran tanah

wakaf perlu diberi perhatian terlebih dahulu. Begitu juga dengan pembangunan tanah

wakaf untuk mewujudkan IPT wakaf.

UCB sebagai sebuah IPTS memiliki satu-satunya aset iaitu tanah seluas 128 hektar/

320 ekar ( 1,299,000 meter persegi ) di Setiu Terengganu yang telah dianugerahkan

oleh Kerajaan Terengganu. UCB berhasrat menjadikan tapak tanah tersebut sebagai

tanah wakaf. Oleh kerana perkara berkaitan wakaf tertakluk di bawah MAIN, maka

UCB perlu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat

Melayu Terengganu (MAIDAM) terlebih dahulu. Pelbagai usaha dilakukan bagi

memenuhi tujuan tersebut, maka pada bulan Mei 2009 (MAIDAM.03-003/46-(11)

bertarikh 13 Julai 2009 hasrat tersebut tercapai (Baharuddin & Muhammad Hamizan,

2015). Jika diteliti kembali dalam kajian yang dilakukan oleh Sayuti et.al (2011),

dapat difahami bahawa amalan pendaftaran tanah wakaf oleh MAIDAM hanyalah

melalui satu cara iaitu melalui pindah milik dengan menggunakan (Borang 14A).

Oleh itu, penulis merasakan bahawa cara ini juga dipraktikan oleh MAIDAM dalam

proses mendaftarkan tapak tanah UCB. Justeru itu MAIDAM adalah pemegang

amanah tunggal kepada tanah tapak kampus UCB manakala PEYATIM adalah

pentadbir yang diberi kuasa untuk mengurus tadbir tanah wakaf tersebut.

UCB sebagai sebuah IPTS perlu menjana dana kewangan sendiri dari semasa ke

semasa. Terdapat dua acara untuk menjana dana kepada UCB iaitu secara langsung

menggunakan prinsipal aset sedia ada iaitu tapak tanah UCB dengan mengaplikasi

konsep wakaf kaki serta serta sumbangan secara tidak langsung dengan kerjasama

agensi korporat di Malaysia seperti Pos Malaysia Berhad dan Bank Simpanan

Nasional Berhad. Sebagai memenuhi hasrat kedua-dua cara itu, PEYATIM telah

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 268

menubuhkan Yayasan Wakaf Pendidikan Anak Yatim atau Miskin Malaysia atau

YAWATIM pada November 2011 supaya membolehkan mereka menerima deposit

daripada orang ramai secara sah. Ini adalah bertepatan dengan undang-undang di

Malaysia bahawa badan yang menerima deposit daripada orang ramai perlu

didaftarkan sebagai sebuah syarikat berhad (Mokhtar Ismail et al., 2015). Selepas

tertubuhnya YAWATIM, segala dana yang diperolehi melalui skim wakaf kaki di

depositkan kepada YAWATIM. Skim wakaf kaki atau lot diaplikasikan di mana

tapak UCB dijual dalam lot kecil serendah RM30.00 sekaki untuk 0.1 meter persegi

atau RM300 satu meter persegi dengan syarat pembeli mewakafkan semula tanah

tersebut kepada UCB. Jualan tanah wakaf ini bermula awal tahun 2011 dan

dijangkakan akan habis terjual dalam tempoh 5 tahun. Pengecualian cukai akan

diberikan kepada setiap pembelian tanah wakaf ini (No.LHDN:01/35/42/51/179-

6.3872) (Baharuddin & Muhammad Hamizan, 2015).

Menurut kenyataan akhbar Sinar Harian 16 Januari 2015 bertajuk “Derma Tanah

Wakaf Meningkat”, sambutan menggalakkan terhadap Skim Derma Tanah Wakaf

Pendidikan Anak Yatim dan Miskin bakal merealisasikan hasrat untuk menjadikan

Kolej Universiti Bestari (UCB) sebagai kolej universiti wakaf pertama negara.

Pengerusi Lembaga Pengelola UCB, Prof Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor

berkata, jumlah umat Islam yang menderma untuk tanah wakaf di kampus UCB

seluas 128 hektar itu semakin meningkat setiap tahun. Menurutnya, beberapa lokasi

tanah wakaf di bawah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM)

turut dibuka sejak 2013. Melalui dana yang terkumpul, ia dapat digunakan untuk

membangunkan pelbagai projek insfrastruktur dan projek yang memberi impak yang

positif kearah memebri pulangan ekonomi yang tinggi bagi meningkatkan lagi

kitaran ekonomi harta wakaf pada masa akan datang (Baharuddin & Muhammad

Hamizan, 2015).

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat difahami bahawa kemajuan dan

pembangunan IPT wakaf dapat dimajukan dan diperkembangkan sekiranya

perundangan tanah secara khususnya dipatuhi. Pendaftaran tanah wakaf mengikut

peruntukan sedia ada memudahkan perancangan pembangunan dilakukan di atas

tanah wakaf tersebut sebagai usaha memperkembangkan lagi IPT wakaf. Sekiranya

tanah wakaf tidak didaftarkan seperti yang dikehendaki undang-undang ia terdedah

kepada pelbagai konflik. Selain itu, bukan sahaja tanah wakaf yang perlu didaftar

dengan MAIN, bangunan yang dibina di atas tanah wakaf juga tertakluk kepada

pendaftaran. Ini adalah berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis

Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada

10 - 12 April 2007 telah membincangkan Hukum Berkaitan Pembangunan Tanah

Wakaf Di Bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9). Muzakarah telah

memutuskan bahawa:

1. Status Bangunan yang telah siap dibina di atas tanah wakaf

i. Bangunan yang telah siap dibina di atas tanah wakaf tidak menjadi

wakaf secara automatik. Sekiranya pihak JWZH ingin mewakafkannya,

ia tidak menjadi halangan.

ii. Bangunan tersebut perlu didaftarkan sebagai harta wakaf yang baru dan

perlu memenuhi rukun-rukun wakaf dan enakmen negeri-negeri.

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 269

Oleh itu, jelas di sini bahawa bangunan baru yang dibina di atas IPT wakaf juga

perlu didaftarkan sebagai aset wakaf di bawah MAIN.

Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960

Menurut Akta Pengambilan Tanah 1960, terdapat beberapa kategori tanah yang

boleh diambil semula oleh kerajaan atau Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Seksyen 2

akta ini secara terperinci mendefinisikan bahawa tanah yang boleh diambil ialah

tanah bermilik dalam pengertian undang-undang tanah negeri yang mempunyai hak

milik berdaftar melainkan tanah kerajaan, tanah yang diduduki di bawah hak adat

dan tanah yang diduduki dengan harapan menjadi hak milik. Dalam konteks hak

pemilikan tanah berdaftar dengan merujuk kepada takrifan di atas, KTN 1965 telah

memperuntukkan kuasa bagi membolehkan wakaf yang berbentuk tanah diletakkan

di bawah milikan badan yang mentadbir tanah tersebut iaitu MAIN (Mohd Afendi,

2008). Implikasi daripada peruntukan Seksyen 2 APT 1960 jelas menunjukkan

bahawa pihak Kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil semula tanah wakaf

yang diletakkan di bawah kawalan MAIN melalui undang-undang sebagaimana yang

dijamin dalam Perkara 13 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana status

tanah yang diwakafkan adalah tanah yang dikategorikan sebagai tanah hak milik.

Kesan perlucutan hak milik ini telah diperuntukan secara jelas di dalam Seksyen 131

(a), (b) dan (c) KTN 1965 iaitu seperti berikut:

a) Tanah itu hendaklah dikembalikan dan menjadi hak kepada pihak Berkuasa

Negeri sebagai tanah Kerajaan, dibebas dan dilepaskan dari semua hak milik

dan kepentingan yang sedia ada atau yang boleh timbul sejurus sebelum

pelucuthakan itu mula berkuat kuasa;

b) Maka hendaklah juga terletak hak kepada Pihak Berkuasa Negeri, dan tanpa

bayaran pampasan, apa-apa bangunan yang pada masa itu wujud di atas tanah

itu; dan

c) Apa-apa item hasil tanah yang pada masa itu terhutang kepada Pihak Berkuasa

Negeri berkenaan dengan tanah itu hendaklah dihapuskan.

Berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri dan Enakmen Wakaf di

beberapa buah negeri, ia memberi kuasa kepada MAIN sebagai pemegang amanah

terhadap harta-harta wakaf termasuk harta alih dan tak alih. Sebagai pemegang

amanah, MAIN berfungsi sebagai pentadbir terhadap segala urus tadbir harta-harta

wakaf tersebut. Oleh itu, sebagai pemegang amanah tunggal terhadap tanah wakaf,

MAIN berhak mendapat pampasan sekiranya berlaku pengambilan harta tanah

wakaf. Menurut Mohd Afendi (2008), prosedur pengambilan tanah adalah sama bagi

setiap negeri berdasarkan APT 1960 namun dari segi pelaksanaannya adalah berbeza.

Tanah wakaf yang dibangunkan IPT juga tertakluk kepada pengambilan oleh PBN.

Sehingga kini belum ada lagi peruntukan khas di dalam APT 1960 yang

mengecualikan tanah wakaf diambil oleh PBN. Pengambilan tanah wakaf yang

melibatkan IPT wakaf amatlah rumit sekiranya berlaku kerana ia melibatkan

kepentingan banyak pihak. Walaupun istibdal boleh digunakan sebagai alternatif

namun ia amat tidak patut dilakukan. Namun begitu, selagi tiada peruntukan yang

jelas mengenai perkara ini, tanah wakaf juga sentiasa terdedah kepada risiko

pengambilan oleh PBN. IPT wakaf juga secara tidak langsung akan terpalit kesannya

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 270

sekiranya pengambilan berlaku. Namun begitu, sekiranya pengambilan tanah wakaf

yang wujudnya IPT wakaf di atasnya terpaksa diambil, maka PBN perlu lebih

prihatin dengan menggantikan tanah yang sesuai dan memberi pampasan yang

sewajarnya. Namun perlu diingatkan bahawa keistimewaan ini hanya diberikan

sekiranya tanah wakaf tersebut didaftarkan secara sah menurut peruntukan undang-

undang.

PENUTUP

Peruntukan undang-undang utama berkaitan tanah di Malaysia melalui dua akta yang

telah dibincangkan telah dipakai secara umum termasuk bagi tanah wakaf. Tidak

dinafikan bahawa peruntukan perundangan tanah sedia ada mampu membantu proses

pembangunan IPT wakaf agar dapat berjalan lancar dan mampu memberikan

perlindungan kepada tanah wakaf seperti dalam aspek pendaftaran tanah.

Sungguhpun demikian, disebabkan pemakaian akta-akta tersebut adalah bersifat

umum, ada kalanya ia memberikan kesan yang kurang memuaskan bagi IPT wakaf

yang dibangunkan. Adalah diharapkan agar aplikasi perundangan sedia ada yang

dilihat kurang harmoni dengan ruh wakaf ini dapat diberikan pengecualian kepada

tanah-tanah wakaf. Ini adalah kerana pembangunan IPT wakaf di atas tanah adalah

merupakan suatu usaha murni yang perlu didokong dari semua aspek termasuk isu

perundangan agar ia mampu dilestarikan sesuai dengan tujuan ia dibangunkan.

PENGHARGAAN

Kertas kerja ini adalah sebahagian daripada hasil penyelidikan pengajian peringkat

Doktor Falsafah. Untuk itu penghargaan ditujukan kepada geran LRGS [LRGS

/2013/UKM–UKM/SI/03] di bawah tajuk ‘Pelestarian Institusi Wakaf Untuk

Memperkasa Pendidikan Tinggi Negara’ kerana telah menaja pengajian dan secara

langsung membiayai penyelidikan ini.

RUJUKAN

Abd. Manaf Ahmad. (2012). Mengapa Perlunya Universiti Islam Malaysia. Matang

Cipta Sdn. Bhd.

Abd. Manaf Ahmad. (2010). Misteri Kolej Islam Malaya-KIM. Persatuan Bekas

Siswa Kolej Islam Malaya.

Abdul Hamid Mar Iman, & Mohammad Tahir Sabit Mohammad. (2014). Waqf

property: Concept, Management, Development, and Financing. Jobor Baharu:

Penerbit UTM Press.

Ahmad Isyafiq Mad. Desa. (2015). Bangunkan Tanah Wakaf di Malaysia, Kosmo,

25 Mei 2015.

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30).

Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

Ainul Kauthar Karim, Arieff Salleh Rosman, & Azman Ab Rahman. (2014). Konsep

wakaf Kesihatan dan Perkembangannya di Malaysia. In The Asean Islamic

Endowment Seminar. Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.

Baharuddin Sayin, & Muhammad Hamizan Abd Hamid. (2015). Wakaf Tunai: Satu

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 271

Cadangan Penguatkuasaan Perkara 11 (2) Perlembagaan. In International

Conference on Waqf 2015 (ICW2015), UNISZA (Vol. 2015, pp. 1–462).

Mahamad Naser Disa. (2012). Peletakhakan Tanah Wakaf dalam Perspektif

Perundangan, 1–18.

Mokhtar Ismail, Hairullfazli Muhammad Som, Mohd Isa Mohd Deni, & Muna

Sulaiman. (2015). Model Operasi Wakaf Pendidikan di Malaysia. In

International Conference on Cash Waqf (ICCW) (pp. 215–228).

Mohd Afendi Mat Rani. (2008). Tesis Phd. Pegambilan Tanah Wakaf oleh Pihak

Berkuasa Negeri: Analisis Menurut Hukum Syarak dan Aplikasi di Malaysia.

Universiti Malaya.

Metamorfosis transformasi KIM-UIM. (2014, March). UIM Bulletin.

Malaysian Qualification Agency. (2013). MQA at a Glance. Diambil pada 18

Oktober 2015 daripada http://www.mqa.gov.my/

Mohd Saharudin Shakrani, Mohd Saifoul Zamzuri Noor, & Jamal Ali. (2003).

Tinjauan Isu-Isu Yang Membataskan Penggunaan Wakaf Dalam Pembangunan

Ekonomi Ummah di Malaysia. Jurnal Syariah, 11, 73–98. Retrieved from

http://myais.fsktm.um.edu.my/7524/

Raja Nazrin Shah. (2013). Titah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Draul

Ridzuan di Majlis Perasmian Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah dan

Istiadat Konvokesysen Kali Keeman. Kuala Kangsar. Diambil pada on 17

October, 2015, daripada http://www.rajanazrin.com/html/pdf/41)%2019.12.13-

RM-KUISAS-KONVOKESYEN%20KE%206%20(FINAL).pdf

Razali Othman. (2013). Institutsi Wakaf Sejarah dan Amalan Masa Kini. Bandar

Baru Bangi: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.

Sallehuddin Ishak. (2013). Kuasa Menghurai Model Goodchild Dan Munton (1986)

Dan Van Assen (2009) Dalam Masalah Pembangunan Tanah Wakaf Di

Malaysia. Jurnal Pentadbiran Tanah. (3) bil. 1, 1-24.

Sayuti Ab Ghani, Mohd Hamran Mohamad, Hasan Al-Banna Mohamed & Basri

Abdul Ghani. (2011). Amalan Pendaftaran Tanah Wakaf: Satu Kajian Kes Di

Bawah Majlis Agama Islam Negeri Di Malaysia, International Conference

2011: Future Education in Global Challenges (ICETA 3), Hotel Garden

Palace, and Jawa Timur, Indonesia. 19 April 2011

Sayuti Ab Ghani, Mohd Hamran Mohamad, Hasan Al-Banna Mohamed & Basri

Abdul Ghani. (2011). Pengurusan dan Amalan Pendaftaran Tanah Wakaf di

Majlis-Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia. Peyelidikan Geran Dalaman

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sanep Ahmad, & Nurdiyana Muhamed. (2011). Institusi Wakaf dan Pembangunan

Ekonomi Negara: Kes Pembangunan Tanah Wakaf di Malaysia. In

Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VI (PERKEM VI) (Vol. 1,

pp. 138–147).

Sinar Harian. (2012). Universiti Islam Malaysia Terima Dana Wakaf RM5.18 Juta.

Sinar Harian. Shah Alam: Author. Diambil pada 20 S=Oktober 2015 daripada

http://www.sinarharian.com.my/nasional/universiti-islam-malaysia-terima-

dana-wakaf-rm5-18-juta-1.82722

Siti Zakiah Ali, & Hairunnizam Wahid. (2014). Peranan dan Kepentingan Dana

Wakaf Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia. In Prosiding PERKEM (Vol.

9, pp. 216–225).

ISBN 978-967-394-230-5 [PROCEEDINGS OF IDMAC2015]

9th ISDEV International Islamic Development Management Conference

(IDMAC2015) 272

Siti Mashitoh Mahamood. (2006). Perundangan Wakaf Dan Isu-Isu Berbangkit.

Konvensyen Wakaf Kebangsaan 12-14 September 2006, Hotel Legend Kuala

Lumpur, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri.

Sinar Harian, 16 Januari 2015, Derma Tanah Wakaf Meningkat

Wan Kamal Mujani. (2014). Prakata Prosiding Pelestarian Institusi Wakaf:

Memperkasa Pendidikan Tinggi Negara.UKM.

AKTA

Enakmen Wakaf (Negeri Melaka) 2005

Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005

Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999

Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 2001

Kanun Tanah Negara 1965

Akta Pengambilan Tanah 1960