PERIBAHASA SAUD group.doc

28
1.0 PENDAHULUAN 1.1 Pengenalan Peribahasa menyerikan sebarang bahasa dan memberikan nafas baru kepada bahasa sebagai alat perhubungan yang dinamis. Pengalaman matang terjalin dalam setiap peribahasa. Peribahasa adalah milik bangsa. Setiap bangsa di dunia ini memiliki ‘peribahasa’ masing-masing termasuk kata-kata hikmat yang dicipta oleh ahli-ahli falsafah dan pujangga-pujangga bangsanya yang menggambarkan ketajaman daya renung serta ketinggian falsafah sesuatu bangsa itu. Demikian juga halnya bangsa kita Melayu yang tidak kalah dengan peribahasanya yang setanding seperti apa yang dimiliki oleh bangsa-bangsa lain. Kata-kata hikmat yang mengungkapkan nilai-nilai falsafah yang mendalam memperlihatkan bangsa Melayu adalah satu bangsa yang bertamadun dan bermaruah sejak berkurun-kurun yang lalu. Dengan kata lain, peribahasa merupakan salah satu bayangan falsafah dan pemikiran bangsa. Peribahasa dalam sesuatu bahasa mempunyai peranannya yang istimewa, bukan sekadar memperkaya khazanah bahasa, bahkan lebih penting daripada itu, iaitu dengan memancarkan pandangan hidup,

Transcript of PERIBAHASA SAUD group.doc

1.0PENDAHULUAN

1.1Pengenalan

Peribahasa menyerikan sebarang bahasa dan memberikan nafas baru kepada bahasa sebagai alat perhubungan yang dinamis. Pengalaman matang terjalin dalam setiap peribahasa. Peribahasa adalah milik bangsa. Setiap bangsa di dunia ini memiliki peribahasa masing-masing termasuk kata-kata hikmat yang dicipta oleh ahli-ahli falsafah dan pujangga-pujangga bangsanya yang menggambarkan ketajaman daya renung serta ketinggian falsafah sesuatu bangsa itu. Demikian juga halnya bangsa kita Melayu yang tidak kalah dengan peribahasanya yang setanding seperti apa yang dimiliki oleh bangsa-bangsa lain. Kata-kata hikmat yang mengungkapkan nilai-nilai falsafah yang mendalam memperlihatkan bangsa Melayu adalah satu bangsa yang bertamadun dan bermaruah sejak berkurun-kurun yang lalu. Dengan kata lain, peribahasa merupakan salah satu bayangan falsafah dan pemikiran bangsa. Peribahasa dalam sesuatu bahasa mempunyai peranannya yang istimewa, bukan sekadar memperkaya khazanah bahasa, bahkan lebih penting daripada itu, iaitu dengan memancarkan pandangan hidup, nilai, sikap cara berfikir dan kepekaan akal budi masyarakat pengguna bahasa itu. Malah, peribahasa juga mempunyai takrifan yang pelbagai dan berbeza. Oleh itu, ketertinggian peribahasa dalam bahasa dan bangsa telah membawa kepada lambakan pelbagai definisi daripada penulis-penulis buku, para sarjana dan pujangga bahasa.

1.2Objektif

Objektif kerja kursus ini dijalankan adalah untuk menghurai secara mendalam mengenai nilai pengajaran dalam peribahasa Melayu dari aspek simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah serta memberikan beberapa contoh dan implikasi dengan aspek yang dihurai.

1.3Kaedah Kajian

Dalam tugasan ini , terdapat pelbagai kaedah yang telah digunakan sepanjang proses tersebut Antara kaedah utama yang telah dijalankan ialah kaedah mencari bahan di perpustakaan. Kaedah merujuk kepada bahan bacaan yang bersifat ilmiah ataupun media massa serta melayari internet. Selain itu, melalui perbincangan dengan rakan sekuliah untuk mendapatkan bahan kerja kursus.

1.4Batasan

Tugasan ini dibataskan hanya kepada nilai-nilai pengajaran dalan bahasa Melayu dari aspek simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah.

1.5Definisi Konsep

1.5.1Nilai

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005:1604) ,makna nilai diertikan sebagai taksiran harga sesuatu benda, bandingan harga, mutu atau taraf. Nilai juga diertikan sebagai suatu konsep tersurat atau tersirat bagi individu atau sifat-sifat bagi sesuatu kelompok yang dikehendaki yang mempengaruhi pemilihan ragam, maksud dan segala tindakan.

1.5.2Pengajaran

Pengajaran ialah sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru dan muridnya. Pengajaran ini adalah dirancangkan oleh guru secara sistematik dan teliti utuk melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar, demi memperoleh ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan.

1.5.3Peribahasa Melayu

Mengikut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), peribahasa ialah ayat atau kelompok kata (frasa/klausa) yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Mengikut Kamus Fajar (1984) pula, peribahasa ialah patah-patah kata, rangkai kata atau ayat yang telah sedia tersusun tetap dengan maksud tertentu. Secara jelasnya, peribahasa mengandungi pengertian yang tertentu berdasarkan susunan katanya yang lengkap. Maksud susunan kata peribahasa tidak boleh diterjemahkan perkataan demi perkataan. sebaliknya, susunan kata tersebut mempunyai maksud tertentu atau khusus dan mantap. Misalnya, peribahasa Bagai kaca terhempas ke batu. Susunan kata tersebut, sebagai peribahasa mempunyai maksud tertentu, iaitu sangat sedih atau kecewa. Dengan kata lain, peribahasa ini tidak boleh ditukar susunannya kepada bentuk lain seperti Ke batu terhempasnya kaca kerana ia tidak akan membawa maksud peribahasa tersebut. Oleh itu, peribahasa mempunyai susunan yang tetap dan tidak boleh ditukar susunannya kerana ia banyak mengandungi pengertian yang tertentu.

2.0Sorotan Kajian Lepas

Setakat yang dapat dikesan dan diketahui, kajian terhadap peribahasa telah dilakukan semenjak dahulu lagi. Sepanjang yang diketahui, ada banyak kajian mengenai peribahasa. Antaranya ialah menurut Sulaiman Zakaria dalam Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Rain Shaari (2009:107), mengatakan bahawa peribahasa mempunyai pengertian tertentu dan digunakan oleh masyarakat dahulu untuk menyampaikan sesuatu maksud secara halus. Pendapat beliau ini telah disokong oleh Rubiah Aksah (2005) ,yang mengatakan bahawa peribahasa merupakan suatu kiasan atau bunga bahasa dalam kata-kata yang mampu menggambarkan sesuatu maksud yang tertentu dan maksud yang dibawa itu berlainan daripada makna asalnya. Berdasarkan maksud tersebut dapatlah dijelaskan bahawa sesuatu peribahasa itu berupaya mendukung dan menjelaskan maksud tertentu. Peribahasa juga berfungsi sebagai kiasan yang dapat menerangkan maksud tertentu bagi menghiasi sesuatu percakapan atau tulisan supaya bersifat tidak menyindir dan lebih sopan. Hal ini dapat dilihat melalui beberapa contoh peribahasa seperti peribahasa yang berbunyi Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Secara tersurat, peribahasa ini bermaksud jangan mendirikan rumah atau tinggal di tepi pantai jika takut dilambung ombak. Namun, jika secara tersirat peribahasa ini merupakan kiasan yang mengandungi kata-kata sindiran yang bermaksud untuk memberi perangsang kepada orang-orang yang lemah, tetapi ingin mengerjakan sesuatu perkerjaan yang merbahaya. Oleh yang demikan, bahawa peribahasa ini mampu menggambarkan sesuatu yang tertentu dan maksud yang didukung oleh peribahasa tersebut juga berlainan daripada makna asalnya.

Menurut Zaba (1965), peribahasa ialah segala susunan cakap pendek yang melekat di mulut orang ramai sejak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya. Masyarakat menggunakan peribahasa sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Susunan kata-kata dalam peribahasa adalah ringkas, disusun khas, sedap didengar dan cukup bermakna. Satu sifat umum peribahasa ialah peribahasa diwarisi dari orang ramai secara turun-temurun dan berdasarkan ciri ini, kita dapati peribahasa boleh dibentuk dengan suatu ikatan bahasa yang indah dan padat. Peribahasa wujud hasil daripada pengalaman dan pengamatan orang Melayu terhadap kejadian alam yang berlaku dalam kehidupan mereka sehari-harian. Peribahasa digunakan oleh orang Melayu sebagai unsur kiasan,teladan dan pengajaran. Peribahasa selalunya pendek sahaja tetapi membawa erti yang padat, luas lagi mendalam. Penggunaan peribahasa sedemikan rupa dapat menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu dari perasaan, tindak tanduk, keagamaan, cara berfikir dan lain-lain.

Pendapat Mohd Tajuddin bin Haji Abdul Rahman (1984) pula menyatakan bahawa, peribahasa terhasil daripada pengalaman dan pengamatan alam sekeliling yang teliti oleh masyarakat Melayu lama. Sekiranya kita meneliti setiap peribahasa yang dihasilkan oleh masyarakat terdahulu, pastinya akan terdapat unsur-unsur alam sekeliling sama ada alam sekitar, perkara yang dilalukan seharian, haiwan-haiwan mahupun perkara yang difikirkan sesuai hasil setiap perkara yang mereka amati. Sebagai contoh, cakar ayam, seperti aur dengan tebing, bidan terjun, harapkan pagar, pagar makan padi dan pelbagai lagi. Apabila diteliti contoh-contoh peribahasa di atas, maka dapat dilihat bahawa setiap kata tersebut pastinya akan dikaitkan dengan perkara alam sekitar iaitu perkara-perkara yang dekat dengan masyarakat pada masa itu. Seperti resmi padi, makin berisi semakin tunduk memperlihatkan bahawa masyarakat dahulu yang hidupnya dikelilingi dengan aktiviti pertanian seperti bersawah menyebabkan mereka membina peribahasa di atas setelah mengamati keadaan padi dan menyamakan keadaan tersebut dengan keadaan sebenar manusia.

3.0Nilai Pengajaran Dalam Peribahasa Melayu

3.3.1Simpulan Bahasa

Simpulan Bahasa merupakan mutiara bahasa dan khazanah bahasa yang terdapat dalam bahasa Melayu. Simpulan bahasa juga merupakan salah satu jenis peribahasa yang amat luas digunakan serta diminati oleh masyarakat Melayu mementingkan ketepatan perkataan yang mengandungi unsur pengajaran. Simpulan bahasa juga disebut sebagai ungkapan iaitu rangkaian perkataan yang tetap bersimpati atau terbeku dengan susunan yang khas dan dipakai dengan erti yang berlainan daripada asal. Sementara itu, Abdullah Hassan (1986) mendefinisikan simpulan bahasa sebagai ungkapan yang terjadi dalam rentetan yang sesuai dengan pola frasa bahasa Melayu. Menurut Abdullah Hussein (1990) simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim.

Melalui penggunaan simpulan bahasa dalam komunikasi di kalangan masyarakat, nilai pengajaran ini dapat membantu menjalinkan hubungan yang erat di kalangan masyarakat tidak kira tua atau muda. Hal ini dapat dibuktikan apabila penggunaannya dapat memberikan kata yang tersirat yang tidak melampau dan sedap didengar.

Nasihat dan teguran yang disampaikan menggunakan simpulan bahasa dapat diterima kerana mereka tidak akan terasa dan merasa lebih selesa apabila ditegur secara berhemah dan tidak kasar .Kekasaran dalam bahasa dapat mengundang rasa tidak puas hati dan boleh mengundang perbalahan antara individu dan individu yang lain. Selain itu, simpulan bahasa bukan sahaja memberikan gambaran tentang sikap dan nilai sesebuah masyarakat tetapi memberikan pengajaran yang dapat menjadikan anggota masyarakat lebih memperlihatkan keintiman dalam perhubungan. Selain itu simpulan bahasa juga mempunyai nilai sebagai pembinaan sahsiah, pengajaran agama, pengajaran ilmu dan kepercayaan.

Makna yang tersirat dalam simpulan bahasa selalunya dihayati oleh anggota masyarakat kerana terdapat banyak makna yang dapat membentuk keperibadian manusia yang boleh menyumbang kepada pembentukan masyarakat khususnya dalam hal memberi nasihat dan perangsang seperti yang menjadi amalan bangsa Melayu. Tunjangan yang bermula daripada masyarakat yang mungkin kecil kelompoknya akan menjadi aspirasi kepada satu bangsa dan satu negara. Terdapat simpulan bahasa yang dapat membentuk anggota masyarakat menjadi insan yang lebih sopan dan pengasih. Malahan bukan itu sahaja ,ia juga dapat membentuk agar seseorang itu bersikap hormat-menghormati, tidak bercakap besar dan sebagainya.

3.1.2Contoh-contoh Simpulan Bahasa

1.Terang hati

Maksud: Lekas pandai

Ayat contoh: Amat mudah untuk mendidik pelajar yang terang hati kerana penerangan

yang dibuat oleh guru mudah difahami dan tidak perlu diulang berkali-kali.

2.Murah hati

Maksud : suka menderma, tidak kedekut, pemurah

Ayat contoh: Sifat murah hati tidak akan menyebabkan seseorang itu menjadi miskin

malah rezeki yang diperoleh akan bertambah dengan kehendak Allah.

3. tulang belakang

Maksud: Punca kekuatan/ orang harapan

Ayat Contoh: Ketiadaan tulang belakang pasukan bola sepak iaitu Safee Sali sedikit

sebanyak merencatkan corak serangan skuad Harimau Malaya ketika

menentang pasukan Singapura malam tadi.

Berdasarkan kepada contoh-contoh simpulan bahasa yang diberikan seperti di atas , menunjukkan bahawa simpulan bahasa mempunyai makna yang sangat mendalam berunsurkan nilai-nilai pengajaran dan pendidikan dalam memberi nasihat dan perangsang. Selain itu juga, makna yang tersirat dalam simpulan bahasa sangat dipersetujui oleh masyarakat dalam menyampaikan mesej serta nasihat kepada generasi muda. Simpulan bahasa menjadi panduan dan petunjuk kepada mereka dalam kehidupan seharian dan sebagai satu budaya Melayu yang terkenal dengan amalan nilai kesopanan walaupun semasa menegur, menyindir atau mengkritik secara halus.

3.3.2Perumpamaan

Perumpamaan ialah susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberikan makna khas dan berlainan daripada apa yang dikatakan.. Peribahasa yang seperti ini menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan kepada sesuatu perkara yang sebanding dengannya. Ada kalanya juga perumpamaan disebut juga sebagai bahasa kiasan atau kias ibarat.

Semua perumpamaan berasal daripada bahasa kiasan. Bahasa kiasan tersebut ialah untuk memberi contoh kepada sesuatu perkara yang lain dan maksudnya tersimpul dalam umpama yang dikiaskan itu.

Berikut diberikan contoh perumpamaan beserta maksud dan implikasinya.

Sebab tidak tahu menari, dikatakan lantai jongkang-jongkit.

Maksudnya : Kerana tidak tahu membuat sesuatu tetapi keadaan atau perkara lain dipersalahkan.

Implikasinya : Ini berlaku kepada orang yang selalu menyalahkan orang lain dan merasakan hanya dirinya sahaja yang betul dan sempurna, sedangkan dia tidak menyedari bahawa dirinya sendiri terdapat kekurangan. Orang yang sebegini sentiasa bersangka buruk terhadap orang lain, dan sering mengaitkan apa-apa yang tidak kena pada dirinya kepada orang lain. Sikap sebegini sangat tidak baik dan harus dikikis. Sebaliknya, kita harus cermin dahulu keupayaan kita, bak kata pepatah, Ukur baju di badan sendiri sebelum melakukan sesuatu.

Umpama duduk seperti kucing, melompat seperti harimau.

Maksudnya : Pendiam tetapi tangkas bekerja dan cepat berfikir.

Implikasinya : Jangan kita anggap orang yang tidak banyak bercakap itu lembab juga dalam segala perbuatannya. Biasanya orang yang sebegini lebih rela tidak popular tetapi hasil kerjaya dikagumi, berbanding dengan orang yang riuh rendah membangga-banggakan diri sedangkan hasilnya tidak seberapa.

c. Bagai berapa panjang sarung, begitulah panjang matanya.

Maksudnya : Pengetahuan bergantung kepada ilmu yang dimiliki.

Implikasi : Benar sekali kerana manusia dinilai daripada ilmu yang dimiliki dan diamalkan. Lebih banyak ilmu yang dicari, lebih banyaklah pengetahuan yang diperoleh. Itulah sebabnya kita dianjurkan supaya sentiasa menuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Tiada istilah berhenti dalam menuntut ilmu.

3.3.3Bidalan

Bidalan adalah susunan bahasa yang menarik dan mudah melekat di mulut orang ramai. Ia merupakan bahasa kiasan yang digunakan untuk melahirkan fikiran yang tajam, tepat, mengandungi perbandingan, teladan, pengajaran, nasihat dan kata-kata hikmat. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), bidalan merupakan kata-kata yang seringkali disebut dan mengandungi nasihat, peringatan dan sebagainya. Bidalan termasuk dalam kiasan Melayu sejak dahulu lagi yang diamalkan dalam masyarakat Melayu ketika dahulu dan tergolong dalam peribahasa Melayu tradisional. Namun pada masa kini, bidalan agak kurang digunakan dalam kehidupan seharian. Bidalan juga merupakan susunan kata-kata yang digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Di dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan dan pengajaran. Unsur ini penting diketahui oleh masyarakat Melayu.

Bidalan juga merupakan peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat seperti perumpamaan, bidalan juga mempunyai maksud dua lapis. Bagaimanapun bidalan tidak didahului oleh kata sendi nama seperti, bagai, laksana dan umpama. Menurut Abdullah Hassan, bidalan ialah pepatah atau peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat. Bidalan menggunakan perkataan-perkataan seperti , hendaklah,jangan, biar, lebih baik, harus dan usah. Menurut Muhammad Said (1992) pula dalam bukunya mengatakan bidalan itu cakapan terus dan kiaasan bercampur, kadang-kadang cakapan itu berlapis seperti contoh kata iaitu kerbau dipegang talinya, manusia dipegang katanya. Jelas, bidalan itu kata kiasan yang mempunyai makna yang tersirat dan memberi teladan dan pengajaran untuk diikuti dan dihayati. Ia juga menunjukkan betapa orang Melayu begitu kreatif untuk menyampaikan sesuatu misalnya nasihat, kebijaksanaan, pengajaran atau isi hati dan perasaan jiwa mereka. Di samping itu, bidalan juga menyokong falsafah didaktisme yang tinggi dalam masyarakat Melayu zaman silam. Malah dalam masyarakat Melayu hari ini, bidalan terus berperanan sebagai alat sindiran dan teguran yang amat praktikal dalam konteks mengkritik dan menegur secara halus. Bidalan juga tidak terkecuali diketengahkan dalam pendidikan di sekolah sama ada pada peringkat sekolah rendah, menengah atau sehinggalah peringkat universiti. Bidalan harus diketahui oleh masyarakat kini agar tidak pupus ditelan zaman. Langkah memasukkan dalam pembelajaran merupakan langkah yang cukup baik untuk terus menghidupkan peribahasa Melayu. Terdapat banyak koleksi bidalan yang dimiliki oleh masyarakat Melayu.Contoh Bidalan dan Maksudnya. Adat periuk berkerak, adat lesung berdedakJika ingin hidup mewah, mestilah berusaha.

Alur tempur, jalan berturutMelakukan sesuatu hendaklah menurut kebiasaan yang lazim

Biar genting, jangan putusBiar rugi sedikit daripada rugi banyak.

3.3.4Pepatah

Seperti mana yang kita ketahui bahawa pepatah mempunyai sifat yang sangat ringkas, berkerat-kerat atau berpatah-patah serta mementingkan ketepatan perkataan yang mengandungi unsur pengajaran. Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan ia disebut satu demi satu seolah-olah seseorang sedang membuat perbilangan. Menurut Rubiah Aksah (2005:174), pepatah berfungsi sebagai panduan dan pedoman daripada orang tua-tua agar masyarakat kini dapat menjalani kehidupan dan mengamalkan adat resam dengan lebih sempurna.

Di samping itu, nilai-nilai yang terdapat dalam pepatah bukan sekadar berfungsi untuk menyatukan anggota sesebuah masyarakat, malahan juga turut membentuk satu tamadun bagi sesebuah anggota masyarakat itu sendiri dari satu generasi ke satu generasi. Selain itu, pepatah bukan sahaja memberikan gambaran tentang sikap dan nilai anggota masyarakat tetapi juga turut memberikan pendidikan yang dapat menjadikan anggota masyarakat itu berhemah tinggi.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa pada kebiasaannya, pepatah berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang dan peraturan masyarakat. Walaubagaimana pun, pepatah juga bolehlah didefinisikan sebagai ungkapan-ungkapan yang dibentuk berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seharian yang bertujuan untuk mendidik masyarakat agar berfikir dahulu dan lebih berhati-hati sebelum melakukan sesuatu perkara.

Makna yang tersirat dalam pepatah selalunya dihayati oleh anggota masyarakat kerana terdapat banyak pepatah yang sememangnya memberikan makna yang dapat membentuk keperibadian manusia. Tunjangan yang bernula daripada masyarakat yang mungkin kecil kelompoknya akan menjadi aspirasi kepada satu bangsa dan satu negara. Terdapat pepatah yang membentuk ahli masyarakat menjadi orang yang lebih bijaksana dan penyayang. Malahan, bukan itu sahaja ada yang memberi makna agar seseorang itu perlu berjmat-cermat, tidak meninggi diri dan sebagainya.

Dalam konteks pendidikan, sebagai satu aspek Bahasa Melayu yang amat indah, pepatah Melayu seharusnya diajarkan kepada para pelajar di sekolah supaya mereka dapat menikmati dan melahirkan fikiran dan perasaan dengan tepat dan halus serta dapat memperolehi nilai dan pengajaran daripada pepatah yang dipelajari. Para guru seharusnya memainkan peranan yang penting dalam pengajaran mereka. Para guru itu sendiri seharusnya dengan betul-betul memahami sifat istimewa pepatah Melayu seandainya ia hendak mengajarkan pepatah Melayu dengan berkesan kepada anak didiknya. Keadaan ini menunjukkan satu prasyarat utama kerana penguasaan guru tentang isi pelajaran menjamin berkesannya pengajaran para guru tersebut. Hal ini bertepatan dengan pepatah Melayu menyatakan bahawa, tukang masak yang baik mengetahui betul-betul ramuan masakannya.

3.4.1 Contoh-Contoh Pepatah

i.Ada air adalah ikan.

Maksud : Sekiranya rajin berusaha, rezeki sememangnya ada di mana-mana sahaja.

Contoh : Pak Ramli tidak mahu mengikut rakan-rakannya berhijrah ke bandar untuk

mencari kerja kerana dia percaya ada air adalah ikan.

ii.Bakar air hendakkan abu.

Maksud : Melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Contoh : Hobi Amin berlumba haram adalah seperti bakar air hendakkan abu kerana per-

buatannya itu boleh mengancam nyawanya dan juga orang lain.

iii.Ada biduk, serempu pula.

Maksud : Masih berasa tidak cukup dengan apa yang ada.

Contoh : Orang kaya itu tidak pernah puas hati dengan apa yang dimilikinya. Dia seperti

ada biduk, serempu pula.

Berdasar contoh-contoh pepatah di atas, dapat dijelaskan bahawa pepatah mempunyai makna berunsurkan nilai pengajaran dan pendidikan. Di samping itu, makna yang tersirat dalam pepatah itu dipersetujui oleh semua anggota masyarakat. Pepatah ini menjadi rujukan serta petunjuk kepada mereka bagi memilih cara hidup yang baik. Pepatah ini juga dapat memberi panduan mengenai sikap yang harus mereka ikuti dan yang wajar mereka hindari.

4.0Penutup

4.1Kesimpulan

Peribahasa merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.Warisan bangsa ini memancarkan keistimewaannya tersendiri apabila maksud,pengajaran , nasihat serta teguran dapat disampaikan dengan menggunakan pendekatan yang halus dan tidak menyinggung perasaan pihak yang lain.Peribahasa yang kaya dengan unsur pengajaran dan nasihat berfungsi memberikan pedoman, menimbulkan kesedaran dan teladan yang amat berguna kepada anggota masyarakat dari dahulu sehingga kini.

Nilai pengajaran yang terdapat dalam peribahasa lebih menekankan kepada aspek kemasyarakatan yang memberikan penekanan kepada nilai-nilai positif . Siti Hajar Abdul Aziz (2011) menyatakan nilai dalam masyarakat Melayu diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya melalui proses sosiolisasi.Banyak nilai yang diamalkan dalam budaya Melayu seperti ketekunan, tolong menolong , memegang amanah, jujur, menghormati ibubapa , budi bahasa telah diserapkan dan disampaikan melalui peribahasa Melayu.

Masyarakat moden kini, sedikit sebanyak didedahkan dengan sistem nilai masyarakat pada zaman silam yang kaya dengan budi bahasa dalam menyampaikan sesuatu maksud secara tersirat, selain memperlihatkan ketajaman akal budi mereka menyampaikan pengajaran secara halus dan berkesan. Peribahasa dalam konteks memberikan pengajaran, masih dan terus relevan digunakan untuk mendidik masyarakat.Melentur buluh biarlah dari rebungnya,generasi muda sewajarnya didedahkan dengan peribahasa Melayu dalam pendidikan tidak formal di rumah dan pendidikan formal di sekolah dalam membentuk akal budi dan sahsiah diri .Peribahasa Melayu yang kaya dengan nilai-nilai murni dan estetika merupakan cerminan peradaban Melayu

4.2Cadangan

Pandangan dunia atau weltanschauung sesuatu masayarakat biasanya dicerminkan oleh peribahasa. Sehubungan dengan itu, pihak-pihak berkenaan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia dan dibantu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka seharusnya memainkan peranan yang lebih dengan cara memberi lebih pendedahan kepada guru-guru bahasa mengenai peribahasa dan pengertiannya yang banyak memberi pengajaran kepada masyarakat dalam menjalani kehidupan seharian sama ada secara disedari ataupun tidak. Guru seharusnya memainkan peranan yang lebih dengan menggalakkan para pelajar untuk menggunakan peribahasa dalam pengajaran bahasa.

Dalam kesibukan ibu dan bapa dalam mengejar arus kemodenan pembangunan negara, sewajarnya ibubapa tidak lupa untuk menitipkan khazanah warisan bangsa ini kepada anak-anak mereka.Anak-anak seharusnya didedahkan dengan penggunaan peribahasa ini sedari kecil lagi.Sungguhpun generasi muda kini lebih banyak didedahkan dengan ilmu sains dan teknologi, mereka juga perlu didedahkan dengan peribahasa. Bak kata pepatah yang lama dikelek, yang baharu didukung kerana di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung.

5.0BibliografiAbdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Rain Shaari (2009). Semantik dan

pragmantikBahasa Melayu. Kuala Lumpur : Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Abdullah Hassan.(1992).Semantik.Kuala Lumpur.Dewan Bahasa dan Pustaka & Kementerian Pelajaran Malaysia.

Abdullah Hassan & Ainon Mohd.(2006).Koleksi Terindah Peribahasa Melayu.(Edisi Semakan).

Kuala Lumpur:PTS Publications & Distributor Sdn Bhd.

Abdullah Hassan (2007),Linguistik Am - Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu,

Selangor: PTS Professional Publishing Sdn Bhd

Abdullah Hassan & Ainon Mohd.(1994), Bahasa Melayu Untuk Maktab Perguruan, Kuala

Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.

Ainon Mohd M.A & Abdullah Hassan Ph.D (2010), Kamus Pepatah, Bidalan & Perumpamaan Edisi Kedua, PTS Profesional Amazon.Com.

Ainon Mohd M.A & Abdullah HassanPh.D (2010), Kamus Simpulan Bahasa Edisi Kedua, ISBN-13:978-967-369-058-9, PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Asmah Haji Omar,(1995), Rekontruksi Kata dalam Bahasa Melayu Induk,Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia

Darwis Harahap, (1994), Binaan Makna.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat,(2007), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Fajar (1984), Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn Bhd

Mansoer Pateda,(1995), Kosa Kata dan Pengajarannya. Indonesia: Penerbit Nusa Indah.

Nik Hassan Basri.(2007).Komsas dan Tatabahasa Melayu.Bangsar Kuala Lumpur:Icon Region

Sdn. Bhd.

Shamsuddin Ahmad (2007), Kamus Peribahasa Melayu-Inggeris Edisi Kedua, ISBN-13:978-983-3586-26-4, PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Saodah Abdullah,(1990), Pemindahan makna dalam penterjemahan, Dalam Pelita Bahasa,

2(5), 40-41.

Siti Hajar Abdul Aziz.(2011). Bahasa Melayu I. Shah Alam.Oxford Fajar Sdn Bhd.

Semantik. Diperolehi daripada http://tatabahasabm.tripod.com/tata/perumpama.htm pada

September 20,2010.

Semantik. Diperoleh daripada http://www.tutor.com.my/tutor/stpm/semantik/semantik.htm pada

Ogos, 6,2008.