Penulisan Ilmiah (Pensijilan Guru)
-
Upload
ili-hawari -
Category
Education
-
view
3.843 -
download
12
Transcript of Penulisan Ilmiah (Pensijilan Guru)
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
35900 TANJUNG MALIM,
PERAK DARUL RIDZUAN
TRENDS AND ISSUES IN EDUCATION FOR MATHEMATICAL SCIENCES
(SME 3023)
PENULISAN ILMIAH
TAJUK : ISU DALAM PENSIJILAN GURU
NAMA PENSYARAH :
PROF. DR. MARZITA BINTI PUTEH
NAMA NO. MATRIK
ILI SAFURA BINTI MOHAMAD HAWARI D20091034969
ATIKAH BINTI ABDUL SAMAT D20091035050
ISI KANDUNGAN
M/S
1.0 Pengenalan 1
2.0 Definisi Guru 2
3.0 Definisi Pensijilan Guru 3
4.0 Jenis Pendidikan Perguruan Di Malaysia 7
5.0 Matlamat Kursus Perguruan 10
6.0 Isu-isu Pensijilan Guru
6.1 Isu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Dipinggirkan 11
6.2 Isu Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Pendidikan 12
Lepasan Ijazah (DPLI)
6.3 Isu Guru Luar Bidang 14
6.4 Isu Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) 19
6.5 Isu Guru Interim 23
7.0 Kesimpulan 24
8.0 Rujukan 25
Lampiran 27
1.0 Pengenalan
Pendidik memainkan peranan yang penting di dalam merealisasikan aspirasi negara
dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidik pada hari ini telah membuktikan bahawa mereka
telah mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan
negara. Guru merupakan agen kepada keberkesanan pendidikan. Mereka bukan sahaja berfungsi
untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malahan juga kepada pelajar, masyarakat dan
seterusnya kepada seluruh manusia di bumi. Perpaduan kaum juga dapat dicapai sekiranya guru
menerapkan nilai-nilai murni seperti saling hormat menghormati antara satu sama lain tidak
mengira bangsa dan juga agama.
Sejarah tidak menipu manusia dan sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidik
memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan
negara. Masyarakat ketika itu menjadikan guru sebagai idola dan pakar rujuk dalam segala hal.
Kalau dahulu guru terpaksa berhadapan dengan pihak penjajah secara terang-terangan, kini
jajahannya diterjemahkan dalam bentuk yang lain pula iaitu lebih mencabar lagi kerana ia
melibatkan jajahan pemikiran, budaya dan jati diri yang perlu dihadapi secara profesional dan
kreatif. Kedudukan perguruan sebagai profesion di dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK)
turut juga dipenuhi dengan cabaran-cabaran yang mesti dihadapi oleh seseorang guru.
Profesion perguruan adalah satu profesion mulia yang mencurahkan ilmu pengetahuan
dan mendidik pelajar sehingga mereka berjaya ke peringkat pengajian tinggi dan akhirnya
menjadi insan yang berguna kepada bangsa, negara dan agama. Tanpa seorang yang bergelar
guru yang mendidik di peringkat sekolah, pastinya tidak akan lahir golongan profesional seperti
doktor perubatan, doktor pergigian, jurutera, saintis dan sebagainya.
2.0 Definisi Guru
Menurut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh. Seorang
guru ialah merupakan pembimbing dalam proses pembelajaran. Menurut Mok Soon Sang (1990)
pula, guru merupakan seorang ahli masyarakat yang mempunyai perhubungan sosial yang saling
berkait rapat dengan masyarakat berstatus. Guru merupakan tenaga ikhtisas di dalam bidang
perguruan yang dipertanggungjawab untuk mendidik pelajar di sekolah. Guru juga sebagai
anggota masyarakat, harus pandai bergaul dengan masyarakat. Untuk itu, guru harus menguasai
psikologi sosial, memiliki pengetahuan tentang hubungan antara manusia dan sebagai anggota
masyarakat, guru mempunyai keterampilan membina kelompok, berkerjasama dalam kelompok
untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Dalam bahasa Arab pula dipanggil sebagai mudarris yang bermaksud sebagai pengajar.
Walau bagaimanapun dalam islam guru itu bukan sahaja bertugas sebagai pengajar sahaja.
Mereka akan dipanggil dengan pelbagai penggilan yang merujuk kepada tanggungjawab guru
yang sebenar. Antara pnggilan tersebut ialah al-Mu’allim, al-Murabbi, al-Mu’addib dan al-
Mursyid. Al-Mu’allim bermaksu menyampaikan ilmu yang benar. manakala al-Murabbi pula
merujuk kepada menjayakan proses tarbiah atau mendidik. Al-Mu’addib pula bermaksud
mengajar adab dan budi pekerti dan al-Mursyid yang bermaksud membentuk kepimpinan insan.
Antara fungsi dan peranan guru ialah guru sebagai pendidik dan pengajar haruslah
memiliki kestabilan emosi, ingin memajukan pelajar, bersikap realistik, bersikap jujur dan
terbuka, peka terhadap perkembangan terutamanya dalam inovasi pendidikan. Maka guru harus
memiliki dan menguasai berbagai jenis bahan pelajaran, menguasai teori dan praktikal
pendidikan, menguasai kurikulum dan metodologi pengajaran.
3.0 Definisi Pensijilan Guru
Menurut Kamus Dewan edisi kedua, pensijilan bermaksud pemberian sijil kepada
seseorang atau pihak kerana telah mencapai piawai dan syarat yang ditetapkan bagi
membuktikan barangan yang dikeluarkan adalah berkualiti. Pensijilan guru adalah pemberian
sijil kepada seorang guru yang telah mencapai syarat yang ditetapkan oleh kerajaan dan
merupakan guru yang berkualiti.
Kretiria bagi mendapatkan pensijilan guru ialah memerlukan pelajaran yang tinggi dan
latihan khas, kemahiran diiktiraf, lulus peperiksaan profesional, mengutamakan dan
bertanggungjawab terhadap pelanggan, mematuhi kod etika dan mempunyai satu badan bebas
yang mengawal kualiti. Latihan perguruan bertujuan untuk membolehkan guru pelatih
menyesuaikan diri dengan suasana sekolah, mendapat pengalaman dan mencari kaedah
pengajaran yang sesuai. Seorang guru bukan sahaja mengajar mata pelajaran yang diajar dan
mempunyai ilmu pengetahuan opsyen yang diajar sahaja, tetapi juga perlu mengetahui teori
pengajaran dan pembelajaran dan teknik-teknik pengajaran yang betul.
Memang tidak dinafikan bahawa perguruan adalah salah satu profesion yang mencabar
dan amat mendesak (Noriati Rashid, Boon Pong Ying & Wong Kiet Wah, 2010). Guru diharap
mengetahui serba serbi tingkah laku manusia dan memainkan pelbagai peranan untuk
menjadikan dirinya seorang profesional yang berkesan. Ciri-ciri profesion perguruan adalah
perkhidmatan unik, pengetahuan dan kemahiran, latihan khusus, autonomi, tanggungjawab,
badan profesional dan kod etika.
Pertama ialah Perkhidmatan Unik. Profesion perguruan adalah bidang yang memberi
perkhidmatan yang unik dan diperlukan oleh masyarakat. Keunikannya hanya akan dirasai dan
diketahui oleh mereka yang terlibat dalam profesion ini. Hanya guru sahaja yang berkemampuan
memberi perkhidmatan pendidikan terbaik kepada masyarakat untuk membangankan personaliti,
kebolehan mental dan fizikal setiap pelajar (Noran Fauziah dan Ahmad Mahdzan, 1993).
Profesion perguruan tidak hanya profesion yang tertua di dunia tetapi adalah unik dan pelbagai.
Guru tidak hanya penyampai ilmu tetapi juga kaunselor, pentadbir, perangsang (motivator),
sebagai ibu bapa, pemimpin, pengurus instruksional dan lain-lain. Walau pun kanak-kanak boleh
didik oleh ibu bapa mereka, televisyen atau internet, namum guru adalah pakar yang dilatih
untuk mewariskan pengetahuan dan kemahiran.
Kedua, ialah Pengetahuan dan Kemahiran. Untuk menjadi guru bertauliah, seseorang
mesti memperoleh pengetahuan dan kemahiran spesifik melalui latihan dalam suatu tempoh yang
berpanjangan. Mengikut Shulman (1987), pengetahuan yang perlu dikuasai oleh guru
termasuk:
Pengetahuan tentang falsafah dan sejarah pendidikan
Pengetahuan isi kandungan mata pelajaran (Content Knowledge)
Pengetahuan kandungan pedagogi (Pedagogical Content Knowledge)
Pengetahuan mengenai kurikulum (iaitu, sukatan pelajaran, bahan pembelajaran,
alat bantuan mengajar dan sebagainya)
Pengetahuan tentang pengurusan bilik darjah
Pengetahuan mengenai pentadbiran dan budaya sekolah
Ketiga, ialah Latihan Khusus. Untuk menjadi guru, individu perlu menerima latihan yang
khusus. Program-program Sarjana Muda Pendidikan (B.Ed) yang di tawarkan universiti-
universiti dan Institut Pendidikan Guru (IPG) mengambil masa 4 tahun yang termasuk praktikum
atau latihan mengajar yang wajib untuk semua guru pelatih. Program-program Sarjana Muda
Pendidikan yang ditawarkan meliputi berbagai-bagai pengkhususan seperti pengajaran Bahasa
Inggeris, Bahasa Melayu, sains, matematik, sejarah dan sebaginya. Juga ditawarkan ialah Kursus
Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) untuk mereka yang sudah memiliki ijazah sarjana muda
daripada apa jua bidang pun yang ingin dilatih menjadi guru. Institut Pendidikan Guru (IPG)
pernah menawarkan program sijil and diploma pendidikan selama 3 tahun. Walau pun terdapat,
berbagai-bagai program latihan guru, masih terdapat
beribu-ribu guru yang mengajar di tadika dan prasekolah yang tidak memiliki latihan perguruan.
Juga terdapat guru-guru sandaran mengajar di sekolah sekolah dan tidak mempunyai kelayakan
perguruan.
Keempat, ialah Autonomi. Walau pun guru mempunyai autonomi, ia adalah terhad
berbanding dengan profesion lain. Contohnya, seorang peguam atau akuantan boleh menolak dan
memilih pelanggannya (walau pun amalan ini tidak digalakkan), guru tidak boleh memilih
pelajar yang diajar. Begitu juga dengan kurikulum yang perlu diajarnya telah ditentukan orang
lain tetapi guru bebas menentukan kaedah mengajar yang memadai. “Bilik darjah seseorang guru
adalah mahligainya, kerana di sini ia boleh mencuba berbagai-bagai cara pengajaran dan
mempunyai autonomi yang jarang dipersoalkan” (Sharifah Alwiah Alsagoff, 1986, h: 223).
Kelima, ialah Tanggungjawab. Menurut Tatasusila Kementerian Pendidikan Malaysia,
guru bertanggungjawab terhadap pelajar, terhadap ibu bapa, kepada masyarakat dan negara, dan
kepada rakan sejawat dan profesion. Bagaimana pun guru jarang sekali, atau tidak pernah dipecat
jawatannya kerana sebahagian murid dalam kelasnya tidak dapat membaca. Setelah seseorang
guru disahkan dalam jawatan, memang sukar bagi guru berkenaan dipecat, kecuali atas alasan-
alasan jenayah atau kerana hukuman mahkamah.
Keenam, ialah Badan Profesional. Mengenai badan atau kesatuan perguruan mengawasi
kod etika perguruan, perkara ini tidak begitu berkesan. Kesatuan-kesatuan tersebut lebih
mengutamakan perkara yang berkaitan dengan skim perhidmatan seperti gaji dan faedah-faedah
lain. Bukan semua guru diwajibkan menjadi ahli sesuatu kesatuan. Tambahan pula terdapat
banyak kesatuan dan persatuan guru yang mempunyai matlamat penubuhan mereka yang
berbeza.
Ketujuh ialah Kod Etika. Kod etika profesion perguruan ditentukan oleh ‘Ikrar Guru’ dan
‘Tatasusila Kementerian Pendidikan Malaysia’. Oleh kerana guru (kecuali guru disektor swasta)
adalah pekerja kerajaan, tingkah laku dan tindakan mereka dipantau melalui Perintah-Perintah
Am Kerajaan yang memperincikan tindakan yang dilarang sama sekali dan tindakan yang boleh
dilakukan dengan izin. Perintah-Perintah Am juga memperincikan hukuman yang boleh
dikenakan bersabit dengan pelanggaran sesuatu peraturan.
Pada umumnya, kerjaya perguruan menepati ketujuh-tujuh ciri sesuatu profesion.
Bagaimana pun terdapat beberapa kriteria yang kurang meyakinkan bahawa perguruan ialah
suatu profesion. Contohnya, mereka yang tidak mempunyai kelayakan perguruan dibenarkan
mengajar di sekolah dan di tadika. Keadaan sedemikian tidak akan dibenarkan sama sekali bagi
profesion perubatan, profesion undang-undang atau profesion kejuruteraan.
Jadual 1.1 menunjukkan bilangan guru di Malaysia yang mengajar lebih kurang 5.4 juta
pelajar. Adalah dianggarkan terdapat kira-kira 10,000 guru tadika yang mengajar di tadika tajaan
kerajaan dan swasta.
LELAKI PEREMPUAN
RENDAH 72 266 164 047
MENENGAH 55 155 121 252
JUMLAH 127 421 285 299
Jadual 1.1 Bilangan guru sekolah rendah dan menengah di Malaysia (KPM, 2012)
4.0 Jenis Pendidikan Guru di Malaysia
Istilah pendidikan guru mula digunakan secara rasmi pada tahun 1981 bagi menggantikan
istilah latihan perguruan yang telah digunakan sebelumnya. Perubahan ini adalah berikutan
penukaran nama Bahagian Latihan Guru (BLG) kepada Bahagian Pendidikan Guru (BPG).
Seiringan dengan itu, berlaku pula perubahan dalam program pendidikan guru di peringkat
maktab perguruan dengan tempoh berkursus telah dilanjutkan daripada dua tahun kepada tiga
tahun (Laporan Jawatan Kuasa Kabinet, 1979: 61).
Pendidikan guru merupakan salah satu bahagian yang terpenting dalam sistem
pendidikan. Kejayaan pelaksanaan kurikulum dalam pendidikan adalah bergantung sejauh mana
seseorang guru dapat membentuk muridnya menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat
dan negara. Hal ini adalah kerana kemahiran profesional seseorang guru terletak pada
keupayaannya menggunakan ilmu pengetahuan dan dengan itu membentuk sikap dan nilai yang
betul (Workshop Reports, 1970: 7).
Peranan guru menjadi semakin mencabar berikutan perkembangan bidang pendidikan
yang begitu pesat sekali. Pendidikan guru di Malaysia adalah satu tindakan yang dilakukan oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mendedahkan kaedah dan teknik pengajaran secara
formal kepada setiap bakal guru, sama ada di maktab-maktab perguruan atau di pusat-pusat
pengajian tinggi awam bagi menyesuaikan bakal guru dengan tugas apabila berada dalam bilik
darjah nanti. Malaysia sebagai sebuah negara membangun telah berusaha untuk membentuk
perkembangan sistem pendidikannya yang tersendiri. Oleh hal yang demikian Dasar Pelajaran
Kebangsaan (1956) telah dibentuk bertujuan memberi arah tuju kepada perkembangan
masyarakat negara ini agar hasrat yang dicita-citakan itu tercapai. Selepas negara mencapai
kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan telah mula melaksanakan program pendidikan kepada
masyarakat secara bersungguh-sungguh. Langkah pertama telah diambil pada tahun 1957 ialah
dengan menukarkan sekolah rendah yang sedia ada kepada sekolah kebangsaan. Tindakan ini
telah menyebabkan guru menjalani latihan perguruan yang sama (EPRD,1968: 20).
Perubahan dan perkembangan kurikulum pendidikan guru di Malaysia berlaku ekoran
usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan dari
peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat universiti. Justeru, tumpuan kepada pendidikan
guru secara besar-besaran bermula pada tahun 1956 dan pada tahun 1957 Maktab Perguruan
Harian (DTC) dan Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang serta Maktab Perguruan
Persekutuan Kuala Lumpur ditubuhkan.
Secara kronologinya, sejarah pendidikan guru sekolah menengah bermula sejak
penubuhan Jawatankuasa Barnes dan Fenn-Wu pada tahun 1951, Penyata Razak tahun 1956,
Ordinan Pelajaran 1957, Penyata Abdul Rahman Talib tahun 1960, Akta Pelajaran 1961,
Jawatankuasa Kabinet 1974, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 sehingga Jawatankuasa
Pendidikan 1981. Seterusnya pada tahun 1987 Akta Pelajaran 1961 telah diadakan semakan
semula bertujuan mengkaji semula Dasar Pendidikan Kebangsaan dalam Akta Pelajaran 1961
tersebut (Esah Sulaiman, 2003: 146).
Bagi melaksanakan dasar pendidikan, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah
melatih tenaga pengajar untuk mengajar di peringkat sekolah rendah, menengah rendah dan
menengah atas. Pada tahun 1960, Kementerian Pelajaran telah menubuhkan Bahagian Latihan
Guru untuk menyelaraskan program-program di peringkat maktab. Penubuhannya merupakan
usaha kerajaan memberi kepentingan kepada pendidikan guru. Pembinaan beberapa buah maktab
perguruan membuktikan bahawa betapa pentingnya usaha untuk melahirkan guru-guru yang
bertauliah. Hal ini adalah kerana pendidikan guru merupakan satu aspek yang amat penting
dalam menentukan kejayaan polisi kerajaan.
Sehingga tahun 1963, pendidikan guru bagi guru-guru sekolah menengah telah diadakan
di lima buah maktab perguruan iaitu Maktab Perguruan Kirkby di England (1952), Maktab
Perguruan Kota Bharu (1954), Maktab Perguruan Briensford Lodge di England (1956), Maktab
Perguruan Persekutuan Pulau Pinang (1957) dan Maktab Perguruan Persekutuan Kuala Lumpur
(1963). Namun begitu, dengan pembangunan negara yang begitu pesat maka bagi memenuhi
tuntutan masyarakat terhadap keperluan pendidikan, sehingga tahun 1986 terdapat sebanyak 29
buah maktab perguruan telah berjaya ditubuhkan oleh kerajaan. Daripada jumlah tersebut
terdapat maktab perguruan yang melatih guru-guru untuk mengajar di sekolah rendah dan ada
maktab yang hanya melatih guru untuk mengajar di sekolah menengah. Namun begitu, terdapat
juga maktab yang melatih guru-guru yang mengajar di sekolah rendah dan juga di sekolah
menengah. Sekarang maktab lebih dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG)
yang memperkenalkan program pendidikan guru pra perkhidmatan bagi sekolah menengah dan
sekolah rendah.
Terdapat juga beberapa isntitusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang pendidikan
seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris. Sepanjang mengikuti bidang pendidikan ini para bakal
guru akan mempelajari 3 komponen utama iaitu ikhtisas yakni yang berkaitan dengan profesion
pendidikan dan keguruan seperti psikologi, sosiologi, falsafah, pedagogi dan sejarah pendidikan.
Manakala komponen yang kedua ialah akademik yang mana setiap bakal guru akan mendalami
subjek atau mana-mana mata pelajaran yang bakal mereka ajar di sekolah kelak. Di samping itu
bakal guru juga akan dibekalkan ilmu tentang kaedah pengajaran, pengajaran mikro, membina
bahan pengajaran, dan membina penilaian dan pengukuran bagi sesuatu pengajaran kelak.
Komponen yang ketiga pula melibatkan perkembangan diri seseorang calon guru itu. Guru-guru
diwajibkan untuk menyertai berbagai-bagai kegiatan kokurikulum bagi membina sahsiah dan
perwatakan guru yang berdedikasi, fleksibel dan berhemah tinggi.
5.0 Matlamat Kursus Perguruan
Matlamat kursus perguruan adalah untuk menghasilkan insan guru yang berwibawa
dalam aspek seperti sahsiah, ilmu pengetahuan, kemahiran ikhtisas, amalan nilai-nilai murni,
nilai keguruan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru
serta perkembangan teknologi.
Setiap guru haruslah mempunyai setiap aspek yang dinyatakan di atas bagi mencapai
matlamat yang ditetapkan oleh kerajaan kepada institusi perguruan di Malaysia. Antara
tujuannya adalah untuk mewujudkan guru yang berkualiti dan bersifat profesional serta cekap,
yakin dan berhemah tinggi.
6.0 Isu-isu Pensijilan Guru
6.1 Isu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan ( ISMP) dipinggirkan
Menurut Utusan Malaysia ( 3 November 2011) seramai 5000 mahasiswa Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berdemo untuk mendapatkan jaminan yang sama dengan
penempatan Guru Sandaran Tak Terlatih (GSTT). Mengapakah suasana ini berlaku kepada
tempat yang melahirkan guru-guru yang berkualiti dan bitara? Hal ini kerana pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia( KPM) telah menyerap 7079 GSTT ke jawatan sebagai guru di seluruh
negara selepas menawarkan peluang mengikuti kursus Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah
(DPLI) dalam bidang perguruan di Institusi Pendidikan guru Malaysia dan Institut Pengajian
Tinggi Awam (IPTA).
Jadi yang menjadi isu terbesar adalah seramai 7000 pelajar lepasan ISMP belum
ditawarkan tempat untuk dipostingkan menyebabkan ada dalam kalangan mereka menganggur
kerana sukar mendapat pekerjaan yang sesuai menurut Berita Harian (20 Disember 2011)
Cadangan yang telah dibincangkan adalah Kementerian Pelajaran hendaklah
mengeluarkan unjuran yang lebih tepat dan telus agar pihak universiti dapat menyediakan jumlah
gaduan yang mencukupi. Seterusnya, kerajaan hendaklah memastikan sistem KPLI dan DPLI
diperkemas bagi memastikan pelajar betul-betul berminat untuk menjadi seseorang guru yang
bukan sekadar memerlukan kerjaya sahaja.
6.2 Isu Kursus Pendidikan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Diploma Pendidikan
Lepasan Ijazah (DPLI).
Terdapat empat isu yang melibatkan guru-guru KPLI dan DPLI ini. Antaranya ialah
minat, jalan mudah mencari pekerjaan, penguasaan kemahiran pelajar KPLI dan DPLI dalam
kursus ikhtisas dan menolak hak pelajar ISMP yang layak.
Bagi isu yang pertama iaitu isu minat, isu ini sentiasa dibangkitkan ialah sama ada calon
guru KPLI dan DPLI yang berjaya dipilih adalah benar-benar layak dan ingin menjadi seorang
guru. Terdapat sebilangan kecil guru yang memilih profesion perguruan dengan motif peribadi
seperti mendapat gaji yang tetap, cuti yang panjang dan pada jangkaan mereka bidang ini mudah
serta tidak mencabar. Faktor keupayaan menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja dalam
bentuk kesesuaian jenis personaliti seseorang dengan persekitaran itu merupakan satu faktor
yang besar. Apabila jenis personaliti tersebut tidak sepadan dengan persekitarannya, maka
berlakulah punca kepada sikap tidak berminat terhadap kerja mahupun perkembangannya
( Holland, 1973). Kajian yang dijalankan terhadap beberapa orang guru mengenai kejadian burn-
out terhadap guru jelas menunjukkan faktor bahawa guru yang seringkali menghadapi masalah
ini adalah guru yang kurang berminat sejak dari awal lagi dalam bidang yang diceburi (Wan
Mohd Zahid Nordin). Maka, tidak hairanlah hasil kajian Trends In International Mathematics
and Science Study ( TIMSS) menunjukkan penurunan dalam pencapaian pelajar Malaysia
berbanding negara lain seperti Hong Kong, Singapura dan Korea Selatan (Jabatan Perdana
Menteri, 2009)
Bagi isu yang kedua pula ialah isu mengenai jalan mudah mencari pekerjaan. Ramai yang
menganggap kerjaya perguruan ini merupakan salah satu kerjaya yang diceburi sebagai batu
loncatan sahaja. Menurut Daisy Ee (1974) dan Obura (1974), ramai yang memilih kerjaya
perguruan ini setelah gagal memasuki bidang-bidang lain dan guru menjadi pilihan mereka yang
terakhir. Jadi kebanyakan daripada mereka asalnya gagal bersaing dalam pasaran kerja yang
semakin mencabar membuatkan mereka mengambil inisiatif mudah dengan masuk ke dalam
bidang pendidikan atas tiket KPLI dan DPLI. Hal ini dikukuhkan lagi dengan kajian yang
dilakukan oleh Mahadi Hj. Khalid dan Salehudin Hj. Sabar (2005) yang menunjukkan sebanyak
53.10 peratus pelajar KPLI tiada pilihan lain yang mendorong mereka mengambil Kursus
Pendidikan Lepasan Ijazah.
Selain itu, isu yang diketengahkan ialah tahap penguasaan kemahiran palajar KPLI dan
DPLI dalam kursus ikhtisas. Penekanan banyak diberikan kepada kursus-kursus ikhtisas
pendidikan untuk membolehkan pelajar-pelajar menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam
pengajaran dan pembelajaran. Kursus-kursus tumpuan kedua kurang diberi penekanan walaupun
ianya amat penting bagi melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran
kandungan kursus pendidikan teknikal yang menjadi opsyen utama. Keadaan ini akan
mendorong Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melahirkan guru-guru pelatih KPLI dan
DPLI yang kurang berkemahiran mengajar pedagogi, kurang menguasai bidang pengkhususan
dan kurang mahir dalam komunikasi ( Akhbar Utusan Malaysia, 31 Oktober 2004).
Seterusnya, isu menolak hak pelajar ISMP yang layak. Kewujudan guru-guru lepasan
KPLI dan DPLI sedikit sebanyak telah mengganggu penempatan guru-guru lepasan ijazah
pendidikan. Hal ini adalah guru-guru lepasan KPLI dan DPLI ini merupakan pelajar tajaan
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Guru-guru lepasan KPLI dan DPLI ini dijamin
penempatannya dan ditempatkan terlebih dahulu kemudian sekiranya ada kekosongan guru-guru
lepasan ijazah pendidikan pula yang akan diserap. Ini sekaligus akan meningkatkan
pengangguran negara. Tujuan utama pelaksanaan KPLI dan DPLI sebelum ini adalah untuk
menampung kekurangan guru lepasan pengajian pendidikan namun situasi yang berlaku kini
menjadi sebaliknya.
Kesan-kesan daripada isu-isu yag disebutkan adalah dengan adanya pengangguran pelajar
ISMP maka ini akan meningkatkan kadar pengangguran negara. Di samping itu, ia tidak dapat
memartabatkan profesion perguruan maka akan lahirlah modal insan yang tidak berkualiti.
Langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini ialah untuk individu itu sendiri hendaklah
menceburi bidang pendidikan adalah kerana mempunyai minat yang mendalam dalam bidang ini
dan sanggup berkorban demi kepentingan pendidikan anak bangsa. Kemudian bagi kerajaan
pula, KPLI dan DPLI hendaklah dibuka hanya apabila ada keperluan bagi menampung
kekosongan yang dilakukan oleh pelajar ISMP. Seterusnya pemilihan dan kelayakan
permohonan untuk masuk ke dalam profesion perguruan perlu diperhalusi dan diperketatkan.
6.3 Isu Guru Luar Bidang
Sehingga hari ini, isu ini masih tidak dapat diselesaikan dan menjadi satu masalah yang
semakin menular di setiap sekolah di seluruh negara. Guru luar bidang bermaksud guru yang
tidak mempunyai kelayakan sijil atau major dalam mata pelajaran yang diajar. Guru ini
dikehendaki mengajar subjek bukan bidang setelah mendapat penempatan. Penempatan mereka
mengikut kekosongan guru subjek yang terlibat. Bekas Menteri Pelajaran, Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein telah membuat kenyataan sebagai reaksi kepada rungutan bahawa
berlaku masalah kekurangan guru di negara ini; di sebaliknya beliau melaporkan terdapat lebihan
6000 guru (Penempatanguru tidak seimbang, 2006). Beliau dilaporkan memberitahu bahawa
lebihan itu berpunca daripada pengagihan penempatan guru yang tidak seimbang (mismatch):
kawasan bandar mempunyai terlalu ramai guru sementara kawasan luar bandar tidak mempunyai
guru yang mencukupi. Pelbagai kajian yang menunjukkan isu guru luar bidang ini
mempengaruhi profesion perguruan. Guru luar bidang ini sama juga dengan guru bukan opsyen.
Kenapa isu guru luar bidang ini timbul dan tiada jalan penyelesaian hingga kini?. Pendidikan di
negara ini adalah satu usaha berterusan untuk melahirkan insan yang modal insan dan seimbang.
Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan telah merangka beberapa strategi termasuklah melahirkan
graduan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi dan Institut Pendidikan Guru Awam. Usaha ini
bertujuan untuk melahirkan guru yang berilmu, berkualiti dan bertanggungjawab untuk
melaksanakan kurikulum yang telah digubal. Terdapat juga masalah yang melanda di mana-
mana sekolah satu daerah, di mana terdapat beberapa sekolah masih mengalami masalah
kekurangan guru dan guru subjek tertentu, sehingga menyebabkan guru bukan opsyen diminta
memikul tanggungjawab untuk mengajar mata pelajaran yang bukan pakar mereka. Hal ini akan
memberikan kesan terhadap pelajar kerana guru tidak dapat mengajar dengan sebaiknya serta
menyampaikan ilmu pengetahuan dengan sepenuhnya dan berkesan. Guru-guru ini terpaksa akur
dengan arahan dan perintah pihak sekolah dan pentadbir untuk menggantikan tempat guru yang
kekosongan tanpa memikirkan akibat pada masa hadapan. Satu situasi pasti akan berlaku,
‘pelajar dahagakan ilmu, guru terkejar-kejar mempelajari ilmu terbabit’. Situasi lain juga turut
dialami apabila seorang pelajar bertanya mengenai satu soalan, kemudian guru tidak tahu akan
jawapannya. Oleh itu, guru akan menjawab “Kita simpan dulu, esok-esok kita bincang” atau pun
“Soalan ini sudah berada di luar pengetahuan awak, tidak perlu tahu pun “ . Terdapat juga situasi
di mana guru bukan opsyen mengajar Bahasa Inggeris dan Matematik, guru tersebut tidak
mengkaji tahap pencapaian para pelajar yang mana berkemungkinan terdapat pelajar yang bijak
dalam subjek tersebut. Akhirnya guru yang akan belajar daripada pelajar tersebut. Keadaan ini
bukan saja mengaibkan guru berkenaan, malah menjatuhkan kredibiliti guru untuk menjadi
penyampai ilmu dan pelaksana kurikulum yang berkesan. Apakah IPT di negara ini gagal
memenuhi keperluan guru di negara ini?. Pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting
dalam menggubal pelaksanaan kurikulum yang berkaitan kreadibiliti serta kualiti guru yang
dapat meningkatkan taraf pendidikan di Malaysia. Sehingga hari ini guru-guru yang baru
menamatkan pengajian tidak ditempatkan di atas landasan yang sebenar dan khidmat guru GSTT
masih diperlukan. Mungkin masalah ini berpunca daripada pengurusan data di sekolah dan
mungkin kurangnya pemantauan terhadap isu ini dari pihak yang dipertanggungjawabkan.
Sekiranya hal ini tidak dipantau dan diselesaikan, ramai guru yang akur untuk mengajar subjek
bukan opsyen, kerana mereka terikat dengan jolokan “Saya yang menurut perintah”.
Walaubagaimanapun, guru tersebut boleh mengisi kekosongan dan keperluan mata pelajaran itu,
tetapi mungkin gagal menyampaikan sesuatu ilmu itu dengan berkesan.
Terdapat kajian dari luar Negara dan juga di Malaysia mengenai isu guru luar bidang ini.
Berdasarkan kajian di luar negara, menurut Ingersoll (20011) iaitu guru terutamanya yang
mengajar di sekolah menengah hendaklah mempunyai latar belakang pendidikan dan latihan
dalam mata pelajaran yang mereka ajar disekolah. Setiap guru perlu mengajar bidang yang
mereka pakar untuk menyampaikan pengetahuan dalam bidang tersebut dengan sepenuhnya serta
dapat mencapai matlamat dengan berkesan. Selain itu, terdapat juga kajian di Malaysia yang
menyatakan Matematik adalah mata pelajaran teras dalam kurikulum sekolah menengah yang
diajar oleh guru pelbagai bidang (Intensification of Research in Priority Areas , 2003-2005).
Rajah 1 : Pengkhususan guru yang mengajar subjek Matematik
Analisis data di atas menunjukkan 41% (18 orang) daripada 42 orang guru mengajar mata
pelajaran pengkhususan Matematik sementara yang selebihnya iaitu 59% (24 orang) bukan
berpengkhususan Matematik. Menurut data ini juga menunjukkan hanya 27% (5 orang) daripada
17 orang guru yang didapati mengajar mata pelajaran ini mempunyai pengkhususan dalam
bidang Sejarah; 73% (12 orang) lagi terdiri daripada guru yang pengkhususan pertama mereka
merangkumi pelbagai bidang yang tidak berkaitan. Rajah 1 menunjukkan 10% (2 orang)
daripada mereka terdiri daripada guru yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Geografi,
masing-masing 11% (2 orang) dalam bidang Ekonomi, Bimbingan dan Kaunseling, dan Sastera
Melayu, manakala masing-masing seorang (6%) berlatarbelakangkan Perakaunan, Biologi,
Bahasa Melayu, Sains Sukan dan Sains Politik. Hal ini, menunjukkan kadar ketidaksepadanan
bidang yang tinggi dibimbangi akan mempengaruhi dan memberikan kesan secara langsung
terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Kesannya kepada guru, guru tidak dapat mengajar dengan berkualiti dan berkesan.
Disebabkan kandungan isi pelajaran yang tidak lengkap untuk mengajar subjek tersebut. Guru ini
hanya pakar dalam bidang pengkhususannya sahaja. Semestinya apabila , guru tersebut dapat
mengajar bidang pengkhususannya tiada lagi masalah guru menghadapi kesukaran untuk
menyampaikan ilmu pengetahuan yang berguna dan berkualiti. Hal ini, menyebabkan guru
merasa tertekan kernan mereka perlu belajr mengenai subjek yang bukan bidang mereka. Mereka
menganggap ia satu bebanan tugas bukannya sebagai satu tanggunggjawab. Seterusnya, guru
akan menjadi malas untuk belajar mengenai subjek bukan opsyen dan mengajar pelajar dengan
pengetahuan yan sedia ada sahaja tanpa menjana idea pelajar. Justeru, ia membuktikan guru
kurang berkeyakinan, kompetensi dan komited dalam pengajaran. Kesan kepada pelajar pula,
pelajar merasa bosan dengan isi pengajaran guru. Guru tidak menggunakan kaedah pengajaran
yang dapat menarik minat pelajar. Hal ini kerana, guru tidak yakin dengan pengajaran yang
disampaikan. Manakala pelajar pula merasa tidak yakin dengan pengajaran yang disampaikan
oleh guru tersebut. Seterusnya, ia akan melibatkan prestasi pelajar dalam subjek Matematik yang
mengakibatkan keputusan peperiksaan subjek Matematik tidak memuaskan. Disebabkan itu,
pelajar menganggap mata pelajaran Matematik susah disebabkan tidak boleh menguasai subjek
Matematik dengan sepenuhnya. Perkara yang paling merugikan, pelajar akan hilang minat
terhadap Matematik.
Langkah untuk mengatasi masalah ini, pihak kerajaan perlu mengkaji semula penempatan
guru mengikut opsyen untuk mengelakkan lebihan guru di sesebuah sekolah. Sekiranya terdapat
guru yang bukan opsyen, berikan keadilan dan keutamaan terhadap bidang pengkhususannya.
Selain itu, untuk mengelakkan masalah graduan guru daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT)
mengalami masalah pengangguran, unjuran kekosongan penempatan guru perlu mendapat
kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan IPT. Satu lagi usaha yang
dilakukan kerajaan perlu dikaji semula umur persaraan bagi pegawai kerajaan untuk memberikan
peluang kepada guru yang baru.
6.4 Isu Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)
Pada masa kini, hangat dengan isu guru sandaran tidak terlatih (GSTT) ini diserap
menjadi guru tetap melalui program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI). Guru sandaran
tidak terlatih merupakan individu yang berminat untuk menjadi guru tetapi tidak mempunyai
sebarang sijil dan kelayakan seperti diploma atau ijazah yang berkaitan dengan perguruan.
Mereka Tertakluk dibawah kontrak tertentu dan boleh ditamatkan tempoh perkhidmatan pada
bila-bila masa sahaja mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh KPM. Isu ini telah menggugat
kedudukan graduan pendidikan yang telah menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan
selama empat tahun. Hal ini, tidak adil bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Pemdidikan (ISMP)
kerana tempoh pelaksanaan kursus DPLI hamya dalam masa yang singkat iaitu satu tahun
setengah sahaja. Sebaliknya bagi graduan ISMP mengambil masa yang lama bagi menamatkan
pengajian. Di petik daripada Rancangan Malaysia Ke-10 dalam “Membangun dan Mengekalkan
Modal Insan Bertaraf Dunia” satu usaha dilaksanakan iaitu Penghapusan Jaminan Penempatan
Guru Pelatih. Usaha ini bertujuan memastikan penetapan keperluan kualiti minimum bagi guru
baru. Pada masa kini, guru pelatih dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pengajian
Tinggi Awam (IPTA) dijamin perlantikan mereka sebagai guru tanpa mengambil kira tentang
prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh rancangan ini. Oleh itu,
hanya guru pelatih yang memperolehi pencapaian dan prestasi yang terbaik dan berkelayakan
akan ditawarkan jawatan guru. Usaha yang kedua adalah peralihan kepada “Sistem Terbuka”
dalam Latihan Guru. Pelaksanaan akan diperluaskan kepada universiti swasta berbanding hanya
daripada IPG dan IPTA. Hal ini, dapat merapatkan jurang antara guru pelatih IPG dan IPTA
dengan graduan IPTS bagi bersaing untuk mendapatkan jawatan guru. Usaha ini akan
meliberalisasikan sistem latihan guru dan beralih kepada “sistem terbuka” bagi menambah
sumber guru pelatih. Dengan penambahan ini, lebih ramai lagi guru pelatih yang cemerlang
dapat dilantik sebagai guru di sekolah rendah dan menengah. Selain itu, dapat meningkatkan
persaingan dalam kalangan guru pelatih dan menambah baik kualiti sistem pendidikan negara
secara keseluruhannya.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah melantik semula 6,280 orang Guru Sandaran Tidak
Terlatih (GSTT) manakala seramai 4,433 dikenal pasti tidak memenuhi syarat dan seramai 7,258
orang lagi masih menerima surat perlantikan semula sehingga akhir Julai 2011. Bilangan ini
tidak termasuk sebanyak 2,153 orang yang melapor diri selepas menerima surat perlantikan.
Syarat-syarat lantikan berdasarkan syarat berumur tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember
2010 dan berkhidmat tidak kurang dari dua tahun sehingga akhir tahun lalu. Mereka perlu
menerima syarat penempatan yang tidak tertakluk kepada opsyen atau asal dan lokasi yang
dipohon. Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan, keutamaan telah diberikan untuk
menyokong pelaksanaan dasar-dasar baru KPM, iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Memperkukuh Bahasa Inggeris, Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Penilaian Berasaskan
Sekolah. Selain itu, kaedah perlantikan yang dilaksanakan adalah berdasarkan contract for
service berbanding dahulunya contract of service. Contract for service bermaksud satu perjanjian
untuk menyediakan perkhidmatan kepada sesorang atau sekumpulan orang. Individu yang
menyediakan perkhidmatan adalah bebas daripada apa-apa kawalan dan pemantauan oleh orang
atau kumpulan yang menerima perkhidmatan. Tujuannya adalah untuk menampung keperluan
semula GSTT di bawah program “one-off” .contract of service pula bermaksud seseorang
bersetuju untuk mengambil seseorang bekerja sebagai seorang pekerja dan seseorang bersetuju
untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai seorang pekerja. Tujuannya adalah mengisi
kekosongan jawatan sehingga sekolah menerima bekalan guru terlatih. Kaedah pembayaran
elaun adalah berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bil 1 Tahun 2007 bagi perlantikan
secara contract of service. Bagi kaedah contract for service gaji dibayar berdasarkan gred
jawatan misalnya Gred 41 sebanyak RM 2,331, Gred 29 sebanyak RM 1,610 dan Gred 17
sebanyak RM 1,200 sebulan. Seterusnya, bagi mereka yang sudah mempunyai ijazah, Iatihan
selama 18 bulan akan dilaksanakan di IPG iaitu program DPLI dan KPLI manakala bagi yang
tidak mempunyai ijazah akan mengikuti latihan di IPTA selama 66 bulan di bawah program
ljazah Sarjana Muda Pendidikan.
Menurut Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, seramai 13,000 GSTT
akan diserap sebagai guru tetap di sekolah kerajaan. Beliau berkata "Namun mereka perlu
memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah berkhidmat sebagai GSTT selama dua tahun
berturut-turut dan umur mereka tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010," . Mereka
ditawarkan kursus DPLI bagi melayakkan diri untuk jawatan yang tetap tanpa melanjutkan
sebarang kontrak. Oleh itu, mereka dihantar ke IPG dan IPTA diseluruh negara untuk
menyambung pengajian dalam bidang pendidikan. Penyerapan ini bertujuan untuk menghargai
jasa dan sumbangan GSTT yang telah berkhidmat melebihi 2 tahun di sekolah-sekolah KPM.
Perkara ini amat tidak adil kepada graduan ISMP kerana mereka mempunyai hak yang utama
dalam penempatan guru tetap. Selain itu, mereka juga perlu bersedia untuk ditempatkan di
kawasan yang kekosongan di seluruh negara.
Isu guru sandaran tidak terlatih ini memberikan kesan yang sangat mendalam terhadap
graduan ISMP di mana menggugat kedudukan siswazah dari ISMP dan IPG yang baru
menamatkan pengajian. Mereka mempunyai masalah untuk penempatan di sekolah. Ia juga telah
mencabar kreadibiliti mahasiswa yang menceburi bidang pendidikan. Masalah ini berterusan
sehingga berlakunya masalah pengangguran dalam kalangan guru yang mana graduan ISMP
terpaksa menjadi guru ganti sahaja di sekolah. Kelemahan guru sandaran tidak terlatih ini,
sesetengah daripada mereka kurang pengetahuan dalam isi pengajaran dan pedagogi. Segelintir
juga yang tiada langsung pengetahuan mengenai pedagogi dalam pengajaran. Hal ini dapat
mempengaruhi pengajaran guru sandaran tidak terlatih di sekolah. Mereka hanya mengajar
mengikut pengetahuan sendiri tanpa berpandukan kemahiran dan teknik yang sepatutnya diterap
dan diguna pakai. Selain itu, terdapat juga segelintir GSTT yang mempunyai masalah disiplin
dan juga sahsiah yang kurang memuaskan kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang
etika perguruan. Langkah untuk mengatasi masalah ini, kerajaan perlu menyediakan latihan yang
mencukupi kepada GSTT untuk berkhidmat dalam bidang pendidikan. Latihan yang sedia ada
sekarang tidak cukup untuk menjadikan mereka seorang guru yang ccemerlang dan berkualiti.
Seterusnya, meningkatkan jangka masa untuk latihan perguruan bagi GSTT supaya lebih mahir
dalam bidang pendidikan. Bak kata pepatah “ sikit-sikit, lama-lama, jadi bukit”, di mana
pengalaman yang kita kumpul dari masa ke semasa, akan menjadi banyak dalam jangka masa
yang lama. Akhir sekali, kerajaan perlu adil dalam mengisi penempatan bagi GSTT dan GST
supaya kerajaan tidak rugi dalam membiayai pengajian graduan ISMP selama empat tahun tanpa
memberikan keutamaan terhadap mereka berbanding GSTT.
6.5 Isu Guru Interim
Isu guru interim ini masih baru diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Tujuan program Guru
Interim ini bagi mengisi kekosongan penempatan yang ditinggalkan oleh GSTT yang ditawarkan
pengajian DPLI di seleruh IPT di Malaysia. Guru Interim adalah guru yang dilantik oleh Jabatan
Pelajaran Negeri (JPN) bagi mengisi kekosongan sementara di sekolah-sekolah KPM.
Perkhidmatan mereka adalah sehingga akhir tahun 2012 dan boleh ditamatkan dengan notis
sebulan apabila terdapat bekalan guru tetap yang diterima dari Suruhanjaya Perkhidmatan
Pelajaran (SPP). Pada Januari 2012, KPM telah melantik 2,397 graduan IPTA daripada 5,510
graduan sebagai Guru Interim bagi memenuhi keperluan pengisian guru-guru di Sekolah
Menengah. Berikutan penempatan ini, perkhidmatan Guru Interim tersebut akan ditamatkan.
Walaubagaimanapun, Guru Interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik
sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) pada 23 Mei 2012 berdasarkan
keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan,
SJKC dan SJKT. Oleh itu, perkhidmatan mereka juga berdasarkan kontrak sekiranya tamat
tempoh mereka perlu mendapat persetujuan daripada SPP untuk meneruskan kontrak tertakluk
pada kekosongan guru. Isu ini masih baru dan tidak lagi menunjukkan kesan yang begitu
membimbangkan. Tiada kajian juga dijalankan mengenai isu in. Oleh itu, setiap pelaksanaan
sesuatu dasar pasti akan memberikan kesan kepada pihak tertentu. Kesan yang paling ketara
terhadap graduan pendidikan yang baru menamatkan pengajian di mana bekerja mengikut
kontrak tanpa mendapatkan jawatan yang tetap. Ini tidak adil bagi mereka yang sepatutnya di
dahulukan penempatan daripada graduan dari program KPLI dan DPLI. Selain itu, proses
penempatan kepada graduan baru mengambil jangka masa yang lama kerana graduan ISMP tidak
lagi mendapat penempatan yang tetap.
7.0 Kesimpulan
Profesion perguruan adalah satu bidang yang amat mulia dan dipandang tinggi.
Masyarakat tidak perlu pandang rendah terhadap jasa guru yang telah banyak menyumbangkan
ilmu pengetahuan dan mengerah tenaga untuk melahirkan pewaris ketua negara untuk masa
hadapan. Bagi meningkat dan memartabatkan profesion perguruan, pelbagai pihak perlu
memainkan peranan penting untuk menangani isu kelayakan guru. Ianya, bertujuan untuk
melahirkan guru yang dapat menepati saranan KPM supaya mencapai matlamat yang produktif
dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu “Pendidikan di Malaysia adalah
satu usaha berterusan ke arah memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan
negara.". Saya amat tidak bersetuju sekiranya mayarakat menganggap profesion perguruan ini
sebagai kerjaya terakhir untuk diceburi. Masyarakat harus buka mata dan minda untuk menilai
bebanan yang ditanggung oleh seorang guru dalam mendidikan anak bangsa dan negara.
8.0 Rujukan
Definisi guru ( 1996). Diperoleh pada 26 April 2012 daripada
http://www.ipislam.edu.my/uploaded/file/saifo.pdf
Bilangan Guru Di Malaysia (2012). Diperoleh pada 24 April 2012 daripada
http://www.moe.gov.my/?id=1&lang=my
Aini Hassan Wan Hasmah Wan Mamat. Mengajar Diluar Bidang Pengkhususan : Sejauh Manakah Seriusnya Masalah Ini Di Malaysia?. Jurnal Pendidikn 2007. Jilid 27.
Haika Khazi (2011). 7,079 GSTT Ke Jawatan Tetap. Berita Harian Online. Diperoleh pada 3 Mei 2012 daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/7_079GSTTkejawatantetap/Article/index_html
13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih Diserap. Berita Harian Online. Diperolehi pada 5 Mei 2012 daripada http://www.bharian.com.my/articles/13_000gurusandarantidakterlatihdiserap/Article/
Pensijilan guru (2012). Diperolehi pada 12 April 2010 daripada http://www.slideshare.net/hudaliciouss/pensijilan-guru
Lantikan Semula Guru Sandaran Tidak Terlatih (2011). Blog Rasmi Kemeterian Pelajaran Malaysia. Diperolehi pada 27 April 2012 daripada http://buletinkpm.blogspot.com/2011/09/lantikan-semula-guru-sandaran-tidak.html