Pengajaran mikro
Transcript of Pengajaran mikro
INSTITUT PERKEMBANGAN AWAL KANAK-KANAK
PEDAGOGI PAK (DTM 301 )
Disediakan Oleh
FARAH NAJWA BINTI ASRI
DPAK A1002143
KOHORT 9A (G3)
017-4722417
Disediakan Untuk
TUAN RANI
(PENSYARAH PEDAGOGI PAK)
4 OGOS 2011
PENGHARGAAN
Bersyukur ke hadrat ilahi kerana saya berjaya menyiapkan tugasan kerja kursus Pedagogi pada
masa yang telah ditetapkan. Saya, Farah Najwa binti Asri mengucapkan jutaan terima kasih kepada
para pensyarah dan terutama sekali kepada pesyarah kursus ini kerana telah membantu dalam
memberi maklumat sedikit sebanyak dalam menyiapkan tugasan ini. Tidak lupa juga pada ahli
keluarga saya, terutamanya kepada kakak saya yang banyak membantu mencari maklumat untuk kerja
kursus ini, serta para rakan yang secara tidak langsung turut membantu dalam menyiapkan tugasan
ini.
Saya telah merancang dengan teraturnya dalam menyiapkan tugasan ini. Pada permulaan saya
mendapat tugasan ini, saya serta rakan-rakan telah bersama-sama mengumpul maklumat di
perpustakaan. Disebabkan cuti semester hampir tiba, masa tidak mencukupi untuk kami mencari
maklumat di perputakaan. Namun saya tetap meminjam buku berkaitan dengan tugasan untuk mencari
maklumat lebih senang dirumah.
Selepas berjaya menyiapkan tugasan ini, secara tidak langsung dapat membantu saya mengulang
kaji subjek ini. Saya juga mendapat gambaran yang semakin jelas mengena ipedagogi. . Fakta-fakta
seperti ini perlu diketahui oleh saya sebagai bakal guru agar sesi pembelajaran dan pengajaran dapat
berjalan dengan jayanya. Saya berbangga kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai
dasar pendidikan yang bagus dan sentiasa diperbaharui ke arah penambahbaikan dan sejajar dengan
pembangunan yang sedang diharungi.
1.0 PENGENALAN
1.1 Rasional
Pengajaran mikro diaplikasikan sepenuhnya dalam menghasilkan guru permulaan yang berkesan.
Memandangkan betapa penting dan berfaedahnya pendekatan pengajaran mikro dalam konteks
Praktikum, Bahagian Pendidikan Guru telah menekankan agar diaplikasikan teknik pengajaran
mikro ini dalam kurikulum dimaktab/institut perguruan di Malaysia.
1.2 Tujuan
Menghasilkan pelajar meminati profesyen perguruan, dan merangsang keinginan untuk membaiki
diri sendiri.
Membolehkan guru pelatih menguasai kemahiran mengajar dengan cepat dan menyeronokkan.
Membentuk pelajar membaiki kelemahan praktikum dengan cepat dan berkesan melalui proses
yang boleh memberikan maklumbalas segera dan meyakinkan serta latihan ulangan pembetulan
selanjutnya.
Agar pelajar dapat menghasilkan pengajaran yang lebih menarik dan berkesan.
Mengurangkan ketegangan yang dialami oleh guru pelatih apabila menghadapi kelas sebenar
semasa praktikum nanti.
1.3 Pendahuluan
Guru dalam bilik darjah menggunakan berbagai teknik dan kaedah untuk membolehkan murid
melakukan proses pembelajaran. Aktiviti pembelajaran seperti set induksi, penerangan, penyoalan,
tunjukcara, variasi rangsangan, peneguhan, penggunaan gerak-geri , gerak-isyarat, sikap(‘gesture’)
dan perlakuan bukan lisan seperti senyum , anggukan kepala dan gerakan tangan dan sebagainya akan
menentukan keberkesan guru.
Guru yang berkesan akan memilih kemahiran-kemahiran yang sesuai dengan umur dan kebolehan
murid serta objektif pelajaran, juga perlu memikirkan organisasi dan disiplin bilik darjah.
Pengajaran mikro membolehkan guru pelatih melatih diri dengan satu kemahiran pada satu masa, dan
apabila satu kemahiran itu telah dikuasai, barulah dapat digabungjalinkan kemahiran-kemahiran yang
diperlukan dalam pengajaran mereka. Pengajaran mikro juga dapat meningkatkan latihan perguruan
dan kesedaran terhadap teknik pengajaran.
2.0 Pengajaran Mikro
Mengikut Micheel J. Wallace – Pengajaran mikro adalah penemuan pengajaran yang dimudahkan.
Pengertian itu membawa makna iaitu satu situasi pengajaran yang telah dikurangkan skopnya, iaitu
tugas guru dipermudahkan, mata pelajaran dipendekkan dan bilangan murid dikecilkan.
2.1 Pengajaran Mikro diaplikasikan
Tidak banyak penulis tentang pengajaran mikro mengusulkannya sebagai ganti Praktikum di sekolah,
malah kebanyakan daripada mereka berpendapat, pengajaran mikro sebagai tambahan kepada teknik-
teknik latihan perguruan yang ada,alasan yang diberikan adalah kerana,
1. Membolehkan pelajar menumpukan perhatian kepada tugasan mengajar tanpa gangguan masalah
pengurusan bilik darjah, yang biasa terdapat dalam praktikum disekolah.
2. Pelajar dapat menumpukan perhatian kepada satu kemahiran mengajar pada satu masa.
3. Membolehkan pelajar meneliti pengajarannya dengan cara yang sistematik, dan mendapat
maklumbalas dengan segera dan kemudiannya membuat perubahan untuk membaikinya di mana
yang difikirkan perlu.
4. Dengan menekankan penganalisaan pengajaran kepada kemahiran-kemahiran komponennya,
pengajaran mikro meletakkan asas bagi pendekatan saintifik yang sebenarnya dalam latihan
perguruan.
5. Pendekatan pengajaran mikro adalah mudahubah dan boleh digunakan dalam berbagai situasi
seperti persediaan untuk praktikum di sekolah, langkah diagnosis semasa atau selepas praktikum,
dan kajian keatas proses pengajaran dan pembelajaran.
2.2 Bagaimana Mengendalikan Pengajaran Mikro
Pengajaran mikro sebagai sampingan praktikum di sekolah, langkah persediaan sebelum praktikum,
langkah diagnosis semasa atau selepas praktikum atau langkah peneguhan pengajaran mata pelajaran
di sekolah. Perinsip asas pengendalian pengajaran mikro ialah;
1. Pelajar mengajar satu pelajaran yang pendek antara 5 hingga 10 minit sahaja.
2. Mengajar pelajaran itu kepada satu kumpulan murid atau rakannya antara 4 hingga 6 orang
sahaja.
3. Apabila pelajaran itu tamat, murid atau rakannya keluar, dan ia membincangkan pengajarannya
itu dengan penyelianya.
4. Selepas membuat perubahan di mana yang diperlukan ke atas pendekatannya yang lalu, ia
mengajar pelajaran itu kepada satu set murid atau rakannya yang lain.
2.3 Perkara yang penting dalam pengajaran mikro
1. Pelajar yang telah menguasai kemahiran pengajaran tidak perlu ulang latihan pengajarannya.
2. Pelajar yang belum menguasai kemahiran pengajarannya perlu mengulangi pengajarn mikronya.
3. Jika penggunaan perakam video panduan penilaian dan penaksiran tidak perlu digunakan.
4. Pengajaran mikro boleh dibuat di maktab/intitut dengan murid-murid sekolah dibawa ke
maktab/institut, atau dijalankan di sekolah dengan pelajar dan penyelianya pergi ke sekolah.
5. Maklumbalas yang segera dan tepat membolehkan pelajar mengubah perlakuannya.
6. Perkembangan kemahiran pengajaran mikro tidak boleh dibuat berasingan dengan isi pelajaran.
7. Perakam vedeo mempunyai kelebihan, mengandungi unsur komunikasi lisan dan bukan lisan.
8. Walaupun panduan penilaian dan penaksiran tidak perlu jika penggunaan perakam video, tetapi ia
boleh digunakan bersama kerana ia dapat menambahkan keberkesanan latihan dari segi panduan
pemerhatian dan maklumbalas yang bertulis.
2.4 Kemahiran Pengajaran Mikro
Pengajaran mikro tidak memberi semua kemahiran yang diperlukan oleh pelajar dalam profesyen
perguruannya. Ia berkaitan hanya dengan kemahiran-kemahiran yang digunakan oleh guru dalam
perhubungan persemukaan di bilik darjah. Dengan itu, kemahiran pengajaran mikro adalah perlakuan
bilik darjah yang tertentu, boleh dilihat, ditakrifkan, ditunjukkan perkaitan dengan pembelajaran
murid.
Pengajaran mikro adalah melatih diri sendiri, pelajar dilatih pengajarannya dari segi kemahiran
mengajar yang boleh diukur, dinyatakan, dilihat dan dikawal, membantu pelajar bersiap sedia untuk
membuat latihan pengajaran mikro dengan berkesan.
Kemahiran-kemahiran berikut adalah komunikasi dua hala guru-murid dalam bidang pengajaran dan
pengajaran seperti kemahiran: –
Set induksi
Tunjuk cara
Variasi rangsangan
Peneguhan
Penyoalan
Mengilustrasi dengan menggunakan contoh
Penerangan
Aprisiasi
Penggunaan Bahan Sumber Pengajaran & Pembelajaran
Penutup
2.5 KEMAHIRAN SET INDUKSI
Kemahiran ini ada kaitan dengan cara guru memperkenal atau memulakan sesuatu pelajaran atau satu
unit tertentu sesuatu pelajaran. Pada setiap epesod pengajaran, guru hendaklah menegaskan kepada
muridnya tugasan yang akan dibuat. Guru perlu mengekalkan dan menarik perhatian muridnya serta
menggerakkan mereka untuk membuat aktiviti, berfikir dan belajar. Memandu muridnya kearah
manakah tujuannya, membina perkaitan yang jelas dengan pengalaman lalu/sedia ada.
1. Menarik perhatian
Guru boleh menggunakan suara, gerakgeri dan pandangan mata untuk menarik perhatian murid
kearah pelajaran yang diajar. Ia juga boleh menggunakan bahan bantu mengajar atau alat bantu
mengajar dan pelbagai intraksi yang lain.
2. Menimbulkan pergerakan
Guru boleh menggerakkan muridnya dengan menunjukkan kemesraan dan menunjukkan semangat
serta kesungguhan perkara yang diajarnya. Guru boleh juga menggerakkan muridnya dengan
merangsang naluri ingin tahu atau menarik minat murid dengan bercerita atau memulakan aktiviti.
3. Struktur
Guru menentukan hal bagi tugasan yang diberikan kepada muridnya, seperti – Tengah hari ini kita
akan melihat beberapa keping gambar dan kemudian kita akan bincangkannya. Selepas perbincangan
itu kamu akan menulis ceritanya. Guru menolong muridnya dengan mencandangkan beberapa cara
menulis cerita itu.
4. Membuat perkaitan
Guru boleh membuat perbandingan dan perbezaan, seperti membandingkan papan tanda berlampu
yang terdapat di Semenanjung Malaysia dengan yang terdapat di Sabah atau Sarawak. Guru
merujuk kepada situasi semasa untuk menarik perhatian.
Set induksi yang berkesan ialah,
1. Set induksi hendaklah bermakna kepada murid dari segi umur, kebolehan dan minat.
2. Set induksi hendaklah berkait dengan isi pelajaran dan objektif pelajaran.
3. Pelajaran baru hendaklah dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada murid, belajar daripada yang
telah diketahui kepada yang akan diketuhui.
2.6 KEMAHIRAN VARIASI RANGSANGAN
Kemahiran ini meliputi aktiviti yang boleh digunakan oleh pelajar untuk mempelbagaikan kaedah dan
teknik penyampaian. Latihan dalam kemahiran ini dapat menolong pelajar mengajar dengan berkesan
dan menarik minat murid kepada pelajaran yang diajarnya.
1. Pergerakan
Pergerakan guru dalam kelas seperti beberapa langkah di sepenjang bahagian hadapan atau di antara
barisan-barisan murid boleh menolong murid sentiasa bersedia dan menumpukan perhatian kepada
pelajaran. Elakkan pergerakan ke hadapan dan ke belakang yang resah akan mengganggu tumpuan
murid kepada pelajaran.
2. Gerakgeri semulajadi guru (gesture)
Penggunaan pergerakan badan, tangan dan muka yang semulajadi untuk menguatkan perkataan yang
dituturkan dapat menarik perhatian murid. Sebaliknya pergerakan tubuh badan semulajadi yang
tidak bermakna seperti mengejepkan mata atau mengelengkan kepala atau melambungkan sesuatu
akan menghalang tumpuan kepada pelajaran.
3. Mengubah nada pertuturan
Mengubah intonasi, nada suara dan kelajuan perkataan dapat mengekal minat murid terhadap
pelajaran. Suara yang mendadak, sentiasa tinggi dan kuat menimbulkan rasa kebimbangan,
sebaliknya suara yang mendatar, kurang kuat dan kurang bertenaga menimbulkan rasa bosan terhadap
pelajaran.
4. Penglibatan murid secara lisan
Soalan, perbincangan murid dan peluang diberi kepada murid untuk melahirkan pendapat
menggalakkan murid melibatkan diri secara lisan dalam pelajaran. Ini akan memberikan rasa
seronok kepada murid.
5. Penggunaan Pancaindera
Guru yang mengubah-ubah aktivitinya dan melibatkan pancaindera seperti penggunaan gambar atau
model, dapat menambah tarikan dan minat murid kepada pelajaran, juga menambah kesan
penyampaian maklumat kepada muridnya.
5. Aktiviti Fizikal
Guru yang memberi peluang kepada murid membuat aktivi yang pelbagai akan menyeronokkan murid
semasa mereka belajar.
Variasi Rangsangan yang berkesan ialah:-
1. Matlamat guru hendaklah jelas tentang tujuan perubahan-perubahan dalam aktiviti yang
digunakan dan ada perkaitan dengan isi pelajaran.
2. Guru hendaklah menjalankan variasi rangsangan dengan licin agar tidak mengganggu perjalanan
pelajaran.
3. Guru hendaklah merancang dengan teliti, jika hendak menggunakan bahan bantu mengajar dan
alat bantu mengajar.
4. Guru perlu mengubah variasi rangsangan untuk memberi rangsangan kepada tindak balas murid.
2.7 KEMAHIRAN PENEGUHAN
Melibatkan satu teknik mengajar yang boleh mengubah perlakuan murid dalam beberapa cara yang
positif seperti guru memberi peneguhan dengan senyuman, angguk kepala, memuji murid kerana
memberi jawapan yang baik, menggalakkan murid yang lambat belajar supaya terus tekun belajar,
atau menulis ‘syabas’ dalam buku murid kerana kerja yang telah disempurnakan. Peneguhan seperti
ini akan membawa kepada perulangan perlakuan yang baik dan seterusnya akan membina sikap yang
positif . Peneguhan ini boleh diberikan kepada individu, kumpulan atau seluruh kelas. Bidang utama
dalam peneguhan ialah;-
1. Peneguhan lisan
Guru boleh menggalakkan murid belajar dengan menggunakan perkataan seperti ‘baik’, ‘ia’, ‘betul’,
‘itu jawapan yang tepat’, ‘bijak’, ‘pandai’, ‘ bagus’, ‘kerja kamu sempurna’, ‘itu adalah cadangan
yang baik’, dan lain-lain peneguahn yang positif.
2. Peneguhan gerakgeri
Guru boleh memberi peneguhan dengan menunjukkan perasaan pada mukanya seperti senyuman,
ketawa yang menyukakan, atau menggunakan gerakgeri tubuh badan sebagai isyarat persetujuan,
seperti menganggukkkan kepala, mengangkat tangan, angkat bahu, menepuk tangan dan sebagainya.
3. Peneguhan dampingan
Guru boleh menunjukkan minat atas prestasi muridnya dengan mendekatinya, berdiri di sebelahnya
dan duduk di sisi muridnya.
4. Peneguhan sentuhan
Guru boleh menunjukkan persetujuan dengan menepuk bahu atau belakang muridnya (sama jantina).
5. Peneguhan aktiviti
Guru melakukan aktiviti yang boleh menyukakan muridnya kerana murid menghasilkan kerja yang
baik.
6. Peneguhan ganjaran
Guru menulis kata pujian atau memberi markah yang tinggi dalam buku kerja murid kerana telah
menghasilkan kerja yang baik. Bagi murid sekolah kebangsaan guru boleh memberi hadiah seperti
pensil, gula-gula dan sebagainya untuk menggalakkan murid maju dalam pelajaranya.
Peneguhan yang berkesan ialah:-
1. Kemesraan dan semangat
Kemesraan, semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh guru terhadap perlakuan dan
pencapaian murid adalah aspek penting dalam kemahiran peneguhan.
2. Mempelbagaikan penggunaan peneguhan
Guru hendaklah mempelbagaikan peneguhan, peneguhan perkataan atau gerak-geri yang selalu
diulang akan hilang maknanya.
3. Peneguhan positif
Kajian telah menunjukkan bahawa peneguhan positif seperti pujian untuk jawapan yang belum
selesai adalah lebih berkesan daripada peneguhan negatif seperti ‘itu salah’ atau ‘jawapan kamu tidak
tepat’.
4. Kefahaman murid tentang peneguhan
Peneguhan yang berkesan, murid hendaklah mengetahui perkaitan antara peneguhan dengan
perlakuan dan pencapaian mereka. Guru hendaklah memikirkan faktor umur, jantina dan kumpulan
sosial murid.
2.8 KEMAHIRAN PENYOALAN
Kemahiran penyoalan ialah kemahiran yang sangat kompleks berbanding dengan kemahiran yang
lain. Kemahiran ini tidak diberi penilaian dan tempat yang sewajarnya oleh guru semasa ia
mengajar. Ada bukti yang menunjukkkan kemahiran ini tidak digunakan dengan sepenuhnya dan
soalan-soalan yang ditanya adalah dari jenis soalan aras rendah yang tidak memerlukan poemikiran
yang kritis dan membina aras kognatif aras tinggi. Penggunaan kemahiran penyoalan dapat
meningkat tahap pencapaian murid dan dapat mewujudkan suasana pembelajaran sosial yang
berkesan.
Penyoalan yang mudah atau asas
Pembentukan soalan - Guru hendaklah membuat soalan bentuk pendek, padat dan
menggunakan perkataan yang mudah difahami oleh murid.
Fokus - Guru hendaklah menyoal soalan yang umum supaya dapat melibatkan ramai murid ,
hendaklah difokuskan kepada satu tugasan sahaja, sementara maklumat yang diperlukan
mula mendapat idea, guru bolehlah menyoal soalan yang lebih khusus.
Arah – Guru mengemukan soalan kepada semua murid dalam kelas, selepas berhenti sejenak,
tujukan soalan itu kepada murid tertentu dengan memanggil nama murid itu, atau menunjuk
dengan tangan atau menganggukkkan kepala kearah murid yang hendak disoal.
Penyebaran - Guru hendaklah menyebarkan soalannya secara rawak supaya dapat menyoal
semua kumpulan dalam kelasnya.
Pemberitahuan - Guru hendaklah membuat tanda dalam soalannya yang boleh menunjujkkan
skop atau jenis jawapan yang ia perlukan. Tanda itu mungkin juga boleh membawa kepada
jawapan kepada soalan itu.
Penyoalan yang kompleks
PERTAMA
Mempelbagaikan peringkat soalan
Guru menyoal soalan yang berbeza aras kesukarannya, dan meminta aras pemikiran
yang berbeza.
Ingat semula
Penyoalan yang memerlukan murid mengingat semula maklumat-maklumat yang
mereka telah pelajari, kemudian guru bolehlah menyoal soalan yang lebih kompleks.
Kefahaman
Soalan yang menguji kefahaman murid mengenai sesuatu perkara.
Aplikasi
Soalan yang memberi peluang kepada murid agar dapat menggunakan pengetahuan
yang lalu.
Analisis
Guru menyoal murid yang membolehkan murid memeriksa bukti-bukti dan
kemudian membuat rumusan yang membolehkan mereka mengurus dan melahirkan
pemikiran mereka.
Sintisis
Guru melibatkan seorang murid atau beberapa orang murid dalam aktiviti kreatif
mengenai sesuatu situasi atau kejadian yang memerlukan penyatuan beberapa idea.
Penilaian
Guru menyoal murid soalan yang memerlukan mereka membuat anggapan mengenai
idea-idea atau nilai-nilai, dan kemudiannya memberi sebab-sebab untuk menyokong
anggapan itu.
KEDUA
Penyungkilan
Guru menyoal murid soalan yang membolehkan murid memikirkan jawapan yang
lebih baik daripada jawapan yang sebelumnya.
Soalan penjelasan
Guru meminta jawapan yang lebih jelas dan padat.
Soalan Penyokongan
Guru bertanyakan sebab mengapa jawapan tertentu itu diberikan oleh muridnya.
Soalan Persetujuan
Guru menanya muridnya adakah mereka setuju atau tidak dengan jawapan yang telah
diberikan sebentar tadi.
Soalan Contoh
Guru mengarahkan muridnya memberi contoh-contoh yang menunjukkan maksud
jawapan yang lalu.
Kemahiran penyoalan dalan Pengajaran mikro
1. Sebagai peraturan am, soalan dikemukakan kepada seluruh kelas dengan peruntukan masa diberi
kepada murid untuk berfikir.
2. Guru hendaklah sesuaikan soalan dengan umur dan kebolehan yang berbeza dalam kumpulan
kelas itu.
3. Guru perlu merancang soalan utama sebelum pengajaran itu dimulakan.
4. Guru hendaklah berhati-hati mengemukakan soalan dan teliti jawapan murid.
2.9 KEMAHIRAN MENGILUSTRASI DENGAN CONTOH
Kemahiran ini memudahkan guru menyampaikan idea dan konsep yang abstrak. Guru meminta
contoh daripada murid dan menyemak idea dan konsep itu telah difahami atau tidak. Contoh yang
baik dalam kemahiran ini ialah contoh yang biasa kepada murid. Dengan mengaitkan contoh dan
idea atau konsep, guru telah mengajar daripada perkara yang diketahui kepada perkara yang akan
diketahui. Dengan menggunakan contoh dalam kehidupan seharian, guru boleh menarik perhatian
dan menimbulkan minat terhadap pelajarannya.
Pendekatan induktif dan deduktif dalam penggunaan contoh-contoh
Dua jenis pendekatan boleh digunakan dalam latihan kemahiran ini, iaitu pendekatan induktif :
contoh diikuti dengan peraturan, dan pendekatan deduktif: peraturan diikuti dengan contoh, soalan
digunakan untuk mendapatkan contoh;
1) Contoh mudah
Guru menggunakan contoh mudah, dinyatakan dengan jelas dan boleh dikaitkan
dengan pengetahuan yang lalu.
2) Contoh yang berkait dengan peraturan atau konsep
Menggunakan contoh di mana peraturan atau konsep boleh digunakan.
3) Contoh ingin tahu
Menggunakan contoh yang boleh membangkitkan naluri ingin tahu dan minat murid.
4) Media yang sesuai
Menggunakan media yang sesuai dengan kebolehan , umur dan pelajaran yang
diajar.
5) Pendekatan
Memilih pendekatan yang sesuai dengan peringkat umur dan kebolehan murid dan
pelajaran yang diajar.
6) Penglibatan murid
Murid dilibatkan secara lisan, seperti menjawab atau menyoal, atau bukan lisan,
seperti menulis di papan hitam atau menunjukcara dengan menggunakan contoh atau
model
3.0 KEMAHIRAN PENERANGAN
Penerangan ialah satu proses memberi kefahaman kepada orang lain, dan kemahirannya ialah
menentukan yang penerangan itu difahami. Kemahiran memberi penerangan dengan tepat dan
berkesan salah satu kemahiran yang mesti ada pada guru. Oleh itu ada banyak peringkat dan
bentuk kefahaman, juga banyak peringkat penerangan,
a. Pentarifan - menjelaskan sesuatu isu
b. Penerangan - menerangkan proses, struktur dan langkah-langkah.
c. Sebab - pemberian alasan
Penerangan berstruktur
(a) Penggunaan keutamaan - guru nyatakan dengan jelas, tepat dan padat fakta utama yang
terlibat.
(b) Penggunaan contoh - perkara yang dititik beratkan ialah mudah, berkait, penggunaan media
yang sesuai dan menimbulkan minat.
(c) Penyimpulan - guru menyatakan perkara utama dalam penerangannya. Dr. G.A. Brown,
‘Penerangan ringkas sangat penting untuk penerangan yang berkesan’.
Penerangan Penyampaian
(a) Penggunaan penyampaian yang jelas - guru menerangkan sesuatu aspek pada satu masa,
dan memfokuskan semula dengan menggunakan ringkasan atau ilastrasi. Ia hendaklah
menggunakan bahasa yang sesuai dan berhenti sejenak sebelum sesuatu aspek penting diterangkan.
(b) Penggunaan penekanan variasi rangsangan - guru hendaklah menggunakan peringkat, nada
dan intonasi suara yang boleh menyampaikan kepentingan yang berkaitan dengan sesuatu. Gerak
geri dan pergerakan hendaklah digunakan dengan sewajarnya.
(c) Penggunaan penekanan – petunjuk dan perkaitan dan keutamaan - menggunakan perkataan
atau rangkai kata yang boleh membawa kepada sesuatu yang penting dalam penerangannya - contoh:
Petunjuk - ‘Tiga bidang utama………….’
Perkaitan - ‘Ini membawa kepada……………’
Keutamaan - ‘Dengan ini……………….’
(d) Jauhkan kekaburan - ini ada kaitan dengan penerangan yang jelas. Elakkan menggunakan
perkataan ‘…….. dan lain-lain, ……. dan sebagainya…….. dan yang sama sepertinya’.
(e) Sekuens - guru boleh menggunakn pendekatan induktif atau deduktif, pelbagai rangsangan dan
kaitan untuk menunjukkkan penerangan ke arah yang betul.
(f) Maklumat balas - penerangan guru janganlah panjang lebar, beri peluang murid menjelaskan
kefahaman, sikap dan minat dan memberi peluang mendapat maklum balas. Guru hendaklah
mengawal penyampaian, kelancaran, bahasa dan bilangan contoh yang digunakan.
3.1 KEMAHIRAN PENUTUP
Kaitkan penutup dengan minat, pengalaman dan reaksi murid;-
1. Menegaskan semula perkara-perkara penting.
2. Penilaian, peneguhan pembelajaran murid (Melibatkan kognetif).
3. Kaitan pelajaran dengan kehidupan sosial.
4. Cadangan aktiviti
i. Menegaskan semula
Menegaskan perkara utama, fakta penting, ingat semula dan kajI
Semula ( boleh melibatkan murid )
(a) Menegaskan semula melalui ringkasan - teguran akhir, ringkasan perkara
penting dan mengaitkan semula aktiviti yang telah dijalankan.
(b) Menegaskan semula sebagai satu aspek kemahiran variasi
Rangsangan - Guru merumus isi pelajaran hasil maklumat murid.
ii. Penilaian
Penilaian dalam aktiviti mengesan pencapaian objektif pembelajaran, adakah murid
telah memahami isi pelajaran hari ini, rumusan kognetif.
1.Kaitan kehidupan social
Mengaitkan isi pelajaran dengan kehidupan seharian murid.
2. Cadangan aktiviti
(a) Kaitkan dengan kognitif - Membuat latihan,membuat projek baru dan menjalankan kajian.
(b) Perkaitan sosial - Menimbulkan perasaan kejayaan dengan peneguhan dan menyatakan
peringkat kejayaan murid, menggalakkan murid mencuba kejayaan yang lebih tinggi.
(c) Galakan motivasi - Kemesraan dan semangat untuk mengekalkan minat.
Penutup yang berkesan ialah;-
1. Penutup hendaklah bermakna dari segi umur, kebolehan dan minat murid.
2. Penutup hendaklah berkait dengan isi dan objektif pelajaran.
3. Membina perkaitan perkara yang diketahui dan perkara yang dialami.
4. Mengaitkan aspek penting sesuatu topik yang dibicarakan.
5. Mengukur pembelajaran murid.
6. Mencadangkan aktiviti berkaitan.
RUJUKAN
http://eprints.utm.my/10460
http://www.slideshare.net/artventure/pengajaran-mikro
PengenalanPedagogi
Pengarang: Esah Sulaiman