Penerbitan Filem Patriotisme di Malaysia: Isu dan...
Transcript of Penerbitan Filem Patriotisme di Malaysia: Isu dan...
Proceeding of the 4th International Conference on Management and Muamalah 2017 (ICoMM 2017)
e-ISBN: 978-967-2122-15-9
568
Penerbitan Filem Patriotisme di Malaysia:
Isu dan Cabaran
MOHD DALY DAUD
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
MD. ROZALAFRI JOHORI
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
NURSYAMIMI HARUN
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
ABSTRAK
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan dalam usaha menyemai dan menerapkan
semangat patriotik dalam kalangan rakyat di Malaysia. Filem dianggap sebagai salah satu
agen yang bertanggungjawab untuk membawa mesej patriotik ini. Setiap kali menjelang
sambutan hari kemerdekaan dan Hari Malaysia, filem-filem patriotisme akan ditayangkan
bagi memperlihatkan kesungguhan stesen-stesen TV di negara ini untuk menyuburkan
semangat patriotik kepada rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun, filem-filem patriotisme
yang ditayangkan merupakan filem-filem yang sama di mana penonton sudah hafal jalan
ceritanya lantaran menonton filem-filem serupa saban tahun. Justeru, kertas kerja konsep ini
cuba memfokuskan hasil tinjauan literatur yang menjelaskan isu serta cabaran yang dihadapi
pembikin filem di Malaysia dalam menerbitkan filem berunsur patriotik di negara ini.
Dimensi yang difokuskan dalam kertas kerja ini adalah dari sudut permasalahan yang
dihadapi pembikin filem dalam usaha menerbitkan filem bergenre patriotik ini.
Kata Kunci: Filem Patriotisme, Patriotisme, Patriot
PENDAHULUAN Perpaduan yang wujud hasil sikap toleransi antara kaum di negara ini membolehkan
kestabilan dalam politik, ekonomi dan sosial dikecapi sejak dari kemerdekaan negara pada 31
Ogos, 1957 hingga ke hari ini. Shamsul Amri (2014) menegaskan bahawa intipati semangat
patriotisme dan nasionalisme akhirnya ialah perpaduan yang selanjutnya menatijahkan
keadaan yang aman damai yang dapat melahirkan suatu bentuk kestabilan politik, ekonomi
dan sosial yang baik. Keadaan ini membolehkan rakyat daripada pelbagai etnik dapat hidup
bersama dalam suasana aman dan bebas daripada konflik kekerasan etnik yang kerap dan
berpanjangan.
Manisfestasi atau menjelaskan perasaan cintakan negara seringkali dijelmakan melalui
pelbagai cara bagi melahirkan pembabitan atau sumbangan warga masyarakat dalam proses
pembangunan negara. Di Malaysia, manifestasi ini jelas terpancar setiap kali menjelang
Proceeding of the 4th International Conference on Management and Muamalah 2017 (ICoMM 2017)
e-ISBN: 978-967-2122-15-9
569
tarikh keramat hari kemerdekaan negara yang disambut pada 31 Ogos dan Hari Pembentukan
Malaysia pada 16 September setiap tahun.
Bagi agensi kerajaan, pelbagai persiapan diatur bagi sambutan ulang tahun kedua-dua tarikh
keramat ini sebagai tanda simbolik menzahirkan semangat dan jiwa patriotik dalam kalangan
warga kerjanya. Lain pula halnya dengan stesen-stesen televisyen (TV) di negara ini.
Sebagai stesen penyiar, tanggungjawab mereka dirasakan amat penting dalam menyemai
serta memupuk semangat cintakan tanah air kepada seluruh warga Malaysia. Rancangan-
rancangan khas berupa drama, dokumentari, majalah dan bual bicara diterbitkan khas bagi
menyuntik isi hati dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini. Begitu
juga dengan tayangan pelbagai jenis filem berunsur patriotik tanah air, turut dimuatkan di
kaca TV bagi mengisi dan menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan.
PATRIOTISME Patriotisme berasal daripada bahasa Greek, iaitu patriotes yang bermaksud fellow
countrymen, iaitu rakan senegara dan patrice yang bermakna fatherland atau country, iaitu
tanah air atau negara (Billig, 1995; Griffin, 2005). Menurut Abd. Rahim (1999), patriotisme
pada umumnya boleh dikaitkan dengan semangat, perasaan, sikap, kesedaran, idealisme yang
menyentuh soal-soal kebangsaan, kenegaraan, tanggungjawab, perjuangan, pengorbanan,
kecintaan, kesetiaan, ketahanan diri dan sumbangan warganegara terhadap negara bangsa dan
agama. Archard (1999) mendefinisikan patriotisme sebagai perasaan cinta yang kuat terhadap
tanah air iaitu individu yang sanggup berkorban demi tanah air tercinta.
Menurut Curtis (1946) patriotisme merupakan satu perasaan bangga dan cintakan negara di
samping bersedia untuk berkorban apa sahaja demi kepentingan negara. Takrif yang sama
turut dikongsi oleh Ku Hasnita (2007) menegaskan patriotisme sebagai satu tindakan yang
bersumberkan emosional, iaitu cinta dan setia kepada negara sehingga sanggup melakukan
apa sahaja demi negara. Patriotisme juga membawa erti fahaman atau pegangan serta
kepercayaan yang menggabungkan individu, kelompok dan wilayah di mana kelompok
tersebut menghuni. Ianya juga melibatkan slogan dan simbol yang mencetuskan pengaruh
yang kuat terhadap tingkahlaku manusia. Ianya sering kali dikaitkan dengan kesetiaan dan
kecintaan seseorang terhadap negaranya sendiri. Seseorang dianggap patriot apabila
tindakannya berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara (Nordin, 2003). Manakala
Muhamad Ali (2009), menegaskan bahawa kecintaan kepada negara bukan hanya setakat
ungkapan di bibir semata-mata atau hanya bersifat simbolik seperti menghormati simbol-
simbol negara seperti pemimpin, lagu dan bendera sahaja. Malah lebih dari itu kecintaaan
kepada negara boleh ditunjukkan dengan pelbagai cara. Oleh itu, apa-apa sahaja yang kita
lakukan demi untuk negara boleh sahaja dianggap sebagai patriotisme.
FILEM PATRIOTISME DI MALAYSIA Filem merupakan antara media yang popular di Malaysia dan telah menjadi satu industri
besar di Malaysia. Menurut Juliana dan Mahyuddin (2009) industri filem Malaysia adalah
salah satu cabang institusi dominan yang popular di Malaysia yang secara tidak langsung
memuat dan mengagihkan nilai-nilai dan pandangan-pandangan tertentu dalam masyarakat.
Industri filem tidak boleh disalahertikan sebagai institusi hiburan semata-mata, sebaliknya
perlu dilihat sebagai suatu institusi yang sarat dengan ideologi-ideologi tertentu.
Proceeding of the 4th International Conference on Management and Muamalah 2017 (ICoMM 2017)
e-ISBN: 978-967-2122-15-9
570
Asiah et. al (1996) mentakrifkan filem sebagai imej yang terhasil dalam bentuk visual
bergerak yang mengandungi unsur-unsur penceritaan yang ditulis dalam bentuk dialog, visual
dan bunyi, yang kemudiannya dirakamkan menggunakan kamera, diolah dengan
menggunakan pelbagai kaedah teknikal dan digarap menjadi hasil karya seni, yang
mempunyai pelbagai kepentingan dan matlamat untuk dipamerkan secara tayangan di
panggung-panggung wayang dan televisyen.
Ku Seman (2003) berpendapat filem adalah medium yang membawa cerita kepada penonton.
Pembikinan filem adalah seni menterjemah elemen teks ke lakon layar. Jill (2007) pula
menyatakan bahawa filem adalah medium yang indah dan luar biasa yang telah menjadi
terlalu biasa. Walaupun khalayak terkejut dengan jalan cerita dan plot, namun mereka
menjangkakan bahawa filem akan menghasilkan gambar dan jalan cerita yang bagus dengan
menghidupkan watak-watak lakonan. Salasiah dan Muhamad Kasim (2014) turut
menyatakan bahawa filem merupakan salah satu unsur hiburan yang terdapat di negara ini.
Pelbagai genre filem dipertontonkan kepada masyarakat Malaysia sejak dahulu hingga kini.
Dalam erti kata lain, filem merupakan satu alat penyampaian mesej secara audio dan visual.
Filem turut digambarkan sebagai cerminan budaya sosial masyarakat dan memberi impak
besar dalam kehidupan masyarakat. Filem bukan sahaja digunakan sebagai alat propaganda
malah turut dijadikan agen untuk memartabatkan sistem sosial sesuatu bangsa mahupun
untuk kepentingan agama dan warisan budaya. Justeru, tidak hairanlah jika pengkarya dan
pembikin filem sentiasa mencari kelainan dalam karya mereka untuk dipertontonkan kepada
masyarakat. Pelbagai genre filem dihasilkan demi memenuhi selera penonton yang pelbagai
ragam. Hal ini bukan sahaja terjadi di negara ini, malah turut dirasai oleh karyawan filem
antarabangsa. Sebagai cabang media, filem juga boleh mengkomunikasikan nilai kepada
masyarakat. Ini membuktikan bahawa kemunculan filem merupakan satu budaya teknologi
pada akhir abad ke-19 yang telah memberi kesan kepada kumpulan pengeluar budaya,
institusi dan penonton pada masa itu (Janet, 2002).
Umum mengetahui bahawa filem merupakan satu wadah penyampaian maklumat kepada
penonton. Sebagaimana fungsi komunikasi, filem juga berfungsi untuk memberi maklumat,
mendidik dan menghiburkan penonton tanpa mengira sempadan umur, agama, budaya dan
bangsa. Filem dilihat sebagai medium yang ampuh untuk menyemai semangat patriotik
dalam kalangan rakyat sesebuah negara. Layar perak ini cukup penting untuk diangkat
menjadi agen menyubur semangat patriotik dalam kalangan warga Malaysia khususnya.
Secara tidak langsung, filem patriotisme ini mampu menyemai dan menyampaikan mesej
cintakan negara. Jasa-jasa pejuang negara wajar diabadikan dan dikenang oleh generasi akan
datang.
Terdapat pelbagai genre filem yang dihasilkan oleh karyawan filem tempatan. Namun, dalam
keghairahan pengkarya kita menerbitkan filem bercorak cinta, komedi dan seram yang lebih
mendatangkan pulangan, filem patriotisme seolah-olah dipinggirkan. Penerbitan filem
patriotisme ini jauh lebih awal diterbitkan bagi memupuk semangat cintakan tanah air dan
yang lebih penting lagi untuk membangkitkan semangat juang mendapatkan kemerdekaan
tanah air. Filem Seruan Merdeka arahan B.S. Rajhans yang diterbitkan pada tahun 1947
secara jelas menunjukkan kebencian masyarakat terhadap pendudukan tentera Jepun semasa
Perang Dunia Kedua dahulu. Begitu juga dengan filem Sarjan Hassan yang diarahkan oleh
pengarah dari Filipina, Lamberto Avellana pada tahun 1958 turut berlatar belakangkan
pendudukan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Pada tahun yang sama, sebuah lagi
filem patriotisme berjudul Matahari terbitan Malay Film Production Ltd. telah ditayangkan.
Proceeding of the 4th International Conference on Management and Muamalah 2017 (ICoMM 2017)
e-ISBN: 978-967-2122-15-9
571
Filem ini turut membawakan kisah kekejaman tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua
dahulu.
Jadual 1: Senarai Filem Patriotik Di Malaysia
BIL TAHUN JUDUL FILEM PENGARAH
1 1947 Seruan Merdeka B.S Rajhans
2 1958 Sarjan Hassan Lamberto Avellana
3 1958 Matahari Ramon A. Estella
4 1979 Prebet Lapok Aziz Satar
5 1981 Bukit Kepong Jins Shamsuddin
6 1983 Darah Satria Aziz Satar
7 1984 Matinya Seorang Patriot Rahim Razali
8 1987 Wira Angkasa Aziz Jaafar
9 2000 Leftenan Adnan Aziz M. Osman
10 2002 Embun Erma Fatima
11 2003 Paloh Adman Salleh
12 2007 Hati Malaya 1957 Shuhaimi Baba
13 2012 Tanda Putera Shuhaimi Baba
14 2015 Bravo 5 M. Hitler Zami
15 2015 Kapsul Martias Mohd Ali
16 2016 Ola Bola Chiu Keng Guan
17 2017 Kanang anak Langkau Badarudin Azmi
18 2017 Malay Regiment Jurey Latiff Rosli
Sehingga tahun 2017 ini, sebanyak 18 filem yang boleh dikategorikan sebagai filem
patriotisme telah diterbitkan oleh karyawan filem termpatan (Lihat jadual 1). Berbanding
genre filem-filem yang lain, jumlah ini amat sedikit jika dibandingkan dengan usia
kemerdekaan negara yang kini mencecah 60 tahun. Di manakah silapnya? Adakah filem-
filem berunsur patriotik ini sukar untuk diterbitkan? Mengapa penerbit filem hari ini begitu
takut untuk menerbitkan filem-filem pengorbanan bangsa? Persoalan-persoalan inilah yang
sering terbayang difikiran kita setiap kali melihat filem yang sama diputarkan di kaca TV
apabila tiba hari kemerdekaan setiap tahun.
Industri seni kita ketandusan filem berunsur patriotik. Itu adalah fakta yang tidak boleh
dinafikan. Dan ia juga satu subjek yang sering dibangkitkan setiap kali memasuki bulan
kemerdekaan (Utusan Online 31 Ogos 2016). Namun, ramai yang tidak menyedari, penonton
kini sentiasa disogok dengan filem ringan yang lebih tertumpu kepada karya bercorak
komersial. Dalam keghairahan penggiat seni mencipta karya, mungkin mereka terlupa untuk
menghasilkan filem-filem yang boleh membawa masyarakat kepada perasaan jati diri atau
kecintaan kepada bangsa dan negara. Tidak salah sekiranya ada yang berpendapat, filem-
filem berunsur patriotik yang mengangkat fragmen sejarah negara semakin hilang di telan
zaman. Namun, jika diteliti, filem bercorak sejarah ini sebenarnya sukar mendapat tempat di
hati penonton, malah sambutan dari segi kutipan juga amat mengecewakan (Akmaliah, 2013).
Apakah makna patriotik kepada penonton filem tempatan? Persoalan ini timbul apabila
beberapa filem yang berunsur patriotik yang mengangkat fragmen-fragmen sejarah negara
tidak mendapat sambutan (Wanda, 2007).
Kos Penerbitan Tinggi
Tidak dinafikan, kos penerbitan filem bercorak sejarah dan patriotisme ini agak tinggi malah
mencecah jutaan ringgit. Peruntukan yang tinggi perlu dibelanjakan untuk setiap peringkat
produksi bagi membuat set, prop, pakaian, menempah peralatan penggambaran seterusnya
penyuntingan dan promosi filem. Menyedari pembikinan filem patriotik ini memerlukan dana
Proceeding of the 4th International Conference on Management and Muamalah 2017 (ICoMM 2017)
e-ISBN: 978-967-2122-15-9
572
yang besar, peruntukan yang sewajarnya perlu disediakan oleh pihak kerajaan bagi membantu
penerbit filem menerbitkan filem bercorak patriotik di negara ini dan bukannya dari kantung
penerbit filem semata-mata. Perkara ini turut mendapat perhatian daripada pengarah filem
terkenal Shuhaimi Baba yang mencadangkan agar pihak kerajaan memberikan geran penuh
kepada penerbit yang ingin menerbitkan filem patriotik ini. Sebelum ini kerajaan hanya
memberi geran separuh dengan alasan ia berisiko tinggi. Pemberian geran penuh ini mampu
untuk menggalakkan pihak penerbit untuk menerbitkan filem seperti ini. (Wanda, 2007).
Pelaburan Berisiko
Soal kutipan tiket yang begitu mengecewakan turut menjadi cabaran utama mengapa penerbit
filem negara ini sukar untuk menerbitkan filem patriotik. Dengan perbelanjaan besar yang
harus dikeluarkan, adalah tidak menghairankan jika penerbit filem di negara ini serik untuk
menerbitkan filem patriotik kerana jelas sambutan yang diterima daripada penonton tidak
memberangsangkan. Tiada penerbit yang mahu rugi dalam menerbitkan sesuatu filem.
Contoh terbaharu ialah filem Malay Regiment terbitan World Evolution Brain Sdn Bhd.
Menurut akhbar Harian Metro bertarikh 31 Ogos 2017, filem arahan Datuk Jurey Latiff Rosli
ini menelan belanja RM2.5 juta untuk diterbitkan dan filem ini turut menerapkan 30 peratus
teknik Imej Janaan Komputer (CGI). Pelaburan untuk filem ini agak besar dan pastinya
pihak penerbit mengharapkan pulangan yang setimpal dengan perbelanjaan yang telah
dilaburkan. Namun setelah 17 hari ditayangkan, filem patriotik ini hanya berjaya
memperolehi RM 60,060.06. Inilah hakikat dan dilema yang harus ditelan oleh penerbit
filem patriotik di Malaysia.
Ironiknya filem-filem yang mengutarakan isu-isu kecil dan remeh-temeh mencatatkan
kutipan yang besar. Sebagai pemodal, produser tentu tidak mahu mengambil risiko
menerbitkan filem yang menerapkan elemen patriotik. Sebaliknya filem begini diterbitkan
oleh kerajaan atau menggunakan pinjaman daripada kerajaan. (Wanda, 2007). Apakah orang
kita memang hanya mahu berhibur dengan kisah-kisah kosong, untuk tidak memberatkan
kepala atau belayar ke kisah cinta melankolik semata-mata? Kita tidak boleh salahkan
penerbit apabila langsung tidak ada filem berkonsep patriotik pada tahun ini dalam tayangan
di pawagam. Jika buat filem untuk rugi, siapa yang sanggup serah diri ‘ke tali gantung’
sebegitu sahaja? Bagaimanapun, peliknya, apabila dihidangkan filem patriotik dan sejarah
dari luar negara, kita menjadi penyokong tegar tanpa soal (Utusan Online 31 Ogos 2016).
Skrip Yang Tidak Mantap
Penerbitan filem patriotik memerlukan skrip yang benar-benar mantap untuk direalisasikan di
layar perak. Justeru, peranan penulis skrip dalam menerbitkan filem patriotik ini tentunya
tidak boleh dikesampingkan. Persoalannya ialah adakah penulis skrip di negara ini sudah
ketandusan idea untuk menulis skrip filem patriotik?
Filem-filem Hollywood seperti Black Hawk Down, Independance Day, Saving Private Ryan,
Forrest Gump, Apollo 13 dan Rocky IV, adalah antara filem yang menampilkan jiwa
kenegaraan yang tinggi dan mengangkat nilai patriotik. Unsur patriotik itu disadur dengan
baik menerusi jalan cerita fiksyen yang menyentuh hati serta penggunaan teknologi dalam
filem yang terkini. Tarikan sebegini membuatkan filem berunsur patriotik ini mampu
diterima semua dan masih mendapat tempat di hati penonton sehingga kini. Filem tempatan
nampaknya masih lagi belum mencapai ke tahap ini (Wanda, 2007).
Untuk menjadikan sesuatu filem itu menarik dan berkredibiliti, penulis skrip perlu banyak
membuat rujukan dan penyelidikan agar fakta yang dipaparkan tepat dan boleh
Proceeding of the 4th International Conference on Management and Muamalah 2017 (ICoMM 2017)
e-ISBN: 978-967-2122-15-9
573
dipertanggungjawabkan. Mohd Daly et al. (2015) menyatakan masalah kurang kajian atau
penyelidikan terhadap sesuatu topik yang cuba ditonjolkan penulis skrip adalah sesuatu yang
serius. Penulis skrip tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan pengamatannya sahaja.
Mereka perlu mendepani masalah ini dengan mengalaminya sendiri. Inilah pentingnya
penyelidikan. Asiah Sarji et al. (1997) dalam kajiannya mendapati bahawa penulis skrip sedar
dan faham tentang perlunya penyelidikan untuk menyiapkan sesebuah skrip. Melalui
penyelidikan temubual mendalam, responden mengakui bahawa memang ada penyelidikan
diadakan apabila keadaan memerlukannya namun dilakukan tidak begitu mendalam dan tidak
seteliti seperti sepatutnya kerana kesuntukan masa.
Umum mengetahui tugas penulis skrip adalah menulis naskhah untuk diterbitkan. Namun,
tidak ramai yang menyedari, tugas penulis skrip bukan sekadar menulis skrip malah lebih
daripada itu turut membuat penyelidikan agar skrip yang ditulis betul selain mampu
memaparkan jalan cerita yang menarik. Menulis jalan cerita yang menarik memerlukan masa
yang agak panjang kerana perlu disulami dengan penyelidikan bagi menentukan fakta yang
ditulis sahih agar tidak dipertikaikan oleh penonton. Penonton hari ini sudah cerdik untuk
menebak fakta sejarah kerana maklumat kini boleh diperolehi di hujung jari. Justeru, jangan
lagi disalahkan kepada penonton setiap kali filem yang ditayangkan gagal dipasaran. Ini
kerana penonton yang mengkritik adalah penonton yang ambil peduli dan patriotik.
KESIMPULAN Walau apa jua alasannya, penerbitan filem-filem patriotik di negara ini perlu diteruskan oleh
penerbit filem tempatan. Usaha murni ini tidak boleh berhenti kerana ia adalah satu bentuk
tanggungjawab sosial yang perlu diutamakan dalam membentuk jiwa patriotik dan jati diri
masyarakat negara ini. Syabas diucapkan kepada penerbit filem yang berani tampil
mengambil risiko untuk menerbitkan filem-filem patriotik di negara ini. Anggaplah kritikan
yang dilemparkan sebagai cabaran untuk menerbitkan filem-filem patriotik yang lebih baik
dan bermutu pada masa akan datang. Kepakaran yang ada wajar dimanfaatkan untuk
perpaduan dan kemakmuran negara. Kalau tidak anda yang menerbitkan, siapa lagi…
Rujukan:
Abd. Rahim Abd Rashid (1999) Pendidikan Sejarah: Falsafah, Teori dan Amalan. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Amirul Haswendy Ashari (2017) Mengenang 11 Wira Negara.
https://www.hmetro.com.my/rap/2017/08/259319/mengenang-11-wira-negara
dicapai 4 Julai 2017
Akmaliah Razak (2013) Filem Sejarah Makin Terpinggir.
http://www.sinarharian.com.my/hiburan/filem-sejarah-makin-terpinggir-1.144769
dicapai 4 Julai 2017
Archard D.( 1999) Should We Teach Patriotism? (157-173). Netherlands. Kluwer Academic
Publishers.
Asiah Sarji et al. (1996) Pola Pengamalan Profesionalisme dalam Industri Filem Malaysia.
Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),
Proceeding of the 4th International Conference on Management and Muamalah 2017 (ICoMM 2017)
e-ISBN: 978-967-2122-15-9
574
Billig M (1995) Banal Nationalism. London: Sage Publishers,
Curti, M (1946) The Roots of American Loyalty. London: Colobia University Press
Griffin D (2005) Patriotism And Poetry In Eighteenth-Century Britain. Cambridge:
Cambridge University Press.
Janet Harbord. (2002) Film Cultures. London : SAGE Publicationc Ltd.
Jill, Nelmes (2007) Introduction to Film Studies 4th
Edition. New York: Routledge Taylor &
Francis Group.
Juliana Abdul Wahab, Mahyuddin Ahmad (2009) Filem Box Office dan Ideologi: Satu
Kajian Terhadap Filem-Filem Terpilih di Malaysia. Wacana Seni Journal of Arts
Discourse. Jil./Vol.8. 2009
Kementerian Pendidikan Malaysia (1994) Buku Panduan Program Pengukuhan Pemupukan
Patriotisme Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: KPM.
Ku Hasnita Ku Samsu (2007) Patriotisme di Kalangan Generasi Muda Malaysia: Kajian Kes
Ke Atas Mahasiswa Bukan Melayu di Institusi Pengajian Tinggi. Universiti Malaya.
Malaysian Box Office (2017) http://www.finas.gov.my/en/malaysian-box-office/ dicapai 29
Julai 2017
Mohd Daly Daud, Nursyamimi Harun, & Md. Rozalafri Johori (2015) Isu-Isu Penulisan
Skrip: Masalah Yang Memerlukan Penyelesaian Journal of Management &
Muamalah, Vol. 5, No. 2, 2015
Muhamad Ali Embi (2009) Patriotisme dan Kepercayaan Rakyat di Malaysia (Pertama).
Kuala Lumpur: Utusan Publication.
Nordin Kardi (2003) Konsep patriotisme. http://www.btn.gov.my/kp.
Salasiah Hanin Hamjah & Muhamad Kasim Mat Yatin (2014) Analisis Unsur Khurafat
dalam Filem Melayu Dari Perspektif Islam. Dlm. Rosmawati Mohamad Rasit,
Salasiah Hanin Hamjah & Muhamad Faisal Ashaari (pnyt.). Dakwah, Media &
Masyarakat
Shamsul Amri Baharuddin (2014) Modul Hubungan Etnik. Kuala Lumpur: Institut Kajian
Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tuan Pah Rokiah, Shamsul Anuar, Zaheruddin (2016) Pembinaan Bangsa Malaysia (1):
Kajian Empirikal Tahap Patriotisme Belia. GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian
Journal of Society and Space 12 issue 10 (159 - 170)
Utusan Online (2016) Kontang Filem Patriotik: Tiada Filem Kenegaraan Untuk Sambutan
Merdeka Tahun Ini. http://www.utusan.com.my/hiburan/selebriti/kontang-8232-filem-
patriotik-1.376883 dicapai 4 Julai 2017
Proceeding of the 4th International Conference on Management and Muamalah 2017 (ICoMM 2017)
e-ISBN: 978-967-2122-15-9
575
Wanda Idris (2007) Nasib Malang Filem Patriotic.
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1118&pub=utusan_malaysia
&sec=hiburan&pg=hi_07.htm&arc=hive dicapai 4 Julai 2017