PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN...

19
1 PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN BAHASA Nor Hashimah Jalaluddin Institut Alam dan Tamadun Melayu [email protected] Pengenalan Bahasa bersifat dinamik. Bahasa terus berkembang dengan adanya pertembungan budaya lain. Maka, secara tidak langsung berlaku peminjaman bahasa. Ini sedikit sebanyak akan memperkaya perbendaharaan bahasa itu sendiri. Selain daripada perkembangan perbendaharaan kata, bahasa juga perlu diberikan pendekatan baharu dalam memahami fenomena bahasa. Bahasa harus terus diselidiki. Banyak aspek yang perlu dilihat semula agar bahasa itu terus segar dan kekal relevan. Hari ini, bahasa tidak dikaji secara bersendirian. Penyelidikan hari ini telah melangkah ke arah penyelidikan multidisiplin. Penyelidikan multidisiplin ini telah menjadikan penyelidikan bahasa lebih mencabar dan lebih banyak perbincangan dapat dilakukan. Input baharu merentas disiplin juga dapat memberkan nafas baharu pada penyelidikan bahasa. Kajian seumpama ini juga dapat membawa penyelidikan kita ke tahap yang membanggakan dan setaraf dengan penyelidikan bertaraf antarabangsa. Bahasa dan Falsafah Sebelum memulakan perbincangan mengenai pemugaran penyelidikan bahasa, kita mesti tidak boleh lupa kepada sejarah bahasa kita. Bahasa kita mempunyai nilai dan falsafah yang tersendiri. Menurut Asmah (1986), melalui persepsi terhadap alam sekeliling, manusia seterusnya menimbulkan penggolongan atau pengkategorian bagi apa-apa yang disaksikannya itu. Lantaran daripada persepsi, timbullah konseptualisasi yang menjadi lambang bahasa untuk merakamkan fikiran serta pengalaman. Hassan (2003) pula menegaskan bahawa melalui proses konseptualisasi yang dibentuk oleh minda inilah, manusia mentakrif dirinya, menanggapi alamnya, membentuk pandangan hidup sejagat dan mencipta tamadunnya. Hal ini bermakna bahawa bahasa mendukung world view dan keintelektualan penuturnya. Daripada pendapat ini, kita akan dapati bagaimana dua bangsa yang berbeza pastinya mempunyai persamaan dan perbezaan dalam mempersepsi dan mengkonseptualisasi alam ini. Ini dikukuhkan lagi dengan pendapat Tenas Effendy:

Transcript of PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN...

Page 1: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

1

PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN BAHASA

Nor Hashimah Jalaluddin

Institut Alam dan Tamadun Melayu

[email protected]

Pengenalan

Bahasa bersifat dinamik. Bahasa terus berkembang dengan adanya pertembungan budaya lain.

Maka, secara tidak langsung berlaku peminjaman bahasa. Ini sedikit sebanyak akan memperkaya

perbendaharaan bahasa itu sendiri. Selain daripada perkembangan perbendaharaan kata, bahasa

juga perlu diberikan pendekatan baharu dalam memahami fenomena bahasa. Bahasa harus terus

diselidiki.

Banyak aspek yang perlu dilihat semula agar bahasa itu terus segar dan kekal relevan.

Hari ini, bahasa tidak dikaji secara bersendirian. Penyelidikan hari ini telah melangkah ke arah

penyelidikan multidisiplin. Penyelidikan multidisiplin ini telah menjadikan penyelidikan bahasa

lebih mencabar dan lebih banyak perbincangan dapat dilakukan. Input baharu merentas disiplin

juga dapat memberkan nafas baharu pada penyelidikan bahasa. Kajian seumpama ini juga dapat

membawa penyelidikan kita ke tahap yang membanggakan dan setaraf dengan penyelidikan

bertaraf antarabangsa.

Bahasa dan Falsafah

Sebelum memulakan perbincangan mengenai pemugaran penyelidikan bahasa, kita mesti tidak

boleh lupa kepada sejarah bahasa kita. Bahasa kita mempunyai nilai dan falsafah yang tersendiri.

Menurut Asmah (1986), melalui persepsi terhadap alam sekeliling, manusia seterusnya

menimbulkan penggolongan atau pengkategorian bagi apa-apa yang disaksikannya itu. Lantaran

daripada persepsi, timbullah konseptualisasi yang menjadi lambang bahasa untuk merakamkan

fikiran serta pengalaman. Hassan (2003) pula menegaskan bahawa melalui proses

konseptualisasi yang dibentuk oleh minda inilah, manusia mentakrif dirinya, menanggapi

alamnya, membentuk pandangan hidup sejagat dan mencipta tamadunnya.

Hal ini bermakna bahawa bahasa mendukung world view dan keintelektualan penuturnya.

Daripada pendapat ini, kita akan dapati bagaimana dua bangsa yang berbeza pastinya

mempunyai persamaan dan perbezaan dalam mempersepsi dan mengkonseptualisasi alam ini. Ini

dikukuhkan lagi dengan pendapat Tenas Effendy:

Page 2: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

2

apa tanda Melayu yang bijak, berfikir dahulu sebelum bertindak,

apa tanda Melayu beradab, berfikir dahulu sebelum bercakap,

apa tanda Melayu bertuah, berfikir dahulu sebelum bermadah,

dan apa tanda Melayu berakal, berfikir dahulu sebelum berbual.

(Tenas Effendy, 2008).

Madah yang mendalam maksudnya ini adalah mengenai akal budi, pemikiran, falsafah dan

maruah bangsa dalam mempertahankan bahasa dan bangsa Melayu. Dalam madah di atas,

berfikir menjadi kata kunci dan pertanda bagi orang yang bijak, beradab, bertuah dan berakal.

Pak Tenas seterusnya menambah, orang Melayu cuba menempatkan dirinya pada kedudukan

yang benar dalam setiap perbincangan, terutama dengan memilih kata-kata yang santun, padat,

singkat dan sarat makna, dan menyampaikannya dengan santun dan terpuji pula. Sikap ini

lambat laun menjadikan mereka orang-orang yang cermat dalam bertutur kata, orang yang arif

dan bijak dalam menyampaikan pendapat dan fikirannya, sebagai cerminan keperibadian Melayu

yang Islami lagi terpuji yang menjadi anutan mereka. Lihat pula Gurindam 12 karangan Raja Ali

Haji (1847), seorang ulama, sejarawan, dan pujangga abad ke-19 mengenai cara Melayu

berbahasa:

Jika hendak mengenal orang berbangsa.

Lihat kepada budi dan bahasa

'Tanda orang tahukan diri, bercakap dengan bahasa sendiri'

'Tanda orang memuliakan bangsa, kepada bahasanya ia berbangga'

'Tanda orang menjaga maruah, bahasanya tidak dipandang rendah'

'Tanda orang memegang adat, bahasa sendiri yang dia angkat'

'Tanda orang yang berakal budi, bangga kepada bahasa sendiri'

'Tanda orang berfikiran panjang, bahasa sendiri yang ia julang'

'Tanda orang berhati mulia, bahasa sendiri yang ia pelihara'

Orang Melayu dahulu menjadikan gurimdam ini sebagai pegangan dalam mengadun

bahasa dan bertingkah laku. Malah, sarjana Barat seperti Maxwell, Wilkinson dan Winstedt turut

mengakui kehebatan bahasa Melayu. Menurut mereka, dengan mengenali peribahasa dan

pantun Melayu, barulah mudah bagi orang mengenali hati budi bangsa Melayu. Maxwell (1878)

menegaskan bahawa:

Page 3: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

3

Untuk membolehkan kita benar-benar memahami tingkah laku

masyarakat timur, yang tidak pernah mempunyai nama penulis dalam

hasil kesusasteraan mereka, yang terpisah dengan kita berdasarkan

bangsa, bahasa dan agama, maka kajian peribahasa tidak dapat tidak

mesti dikaji. Pemahaman akan diperolehi dan menjurus kepada cara

pemikiran, tindak tanduk, dan prinsip-prisip yang mereka pupuk,

maka dari sini adalah mungkin untuk kita membuat beberapa

kesimpulan mengenai apa yang mereka jauhi dan apa yang mereka

kagumi.

Pendapat Maxwell disokong pula oleh Wilkinson dan Winstedt (1957):

Satu daripada perkara penting dalam menyelidiki orang Melayu ialah

kemampuan penyelidik memahami pemikiran mereka. Tiada siapa

yang boleh menerangkan mengenai sejarah pemikiran England tanpa

mengkaji kesusasteraannya, Scot dengan kajian Burn dan juga tiada

siapa yang boleh menghuraikan skop pemikiran Melayu tanpa

memahami pantun malah peribahasa atau simili seperti ‘pagar makan

padi’.

Perhatikan bahawa Maxwell (1878), Wilkinson dan Winstedt (1957) mengetengahkan

peribahasa, pantun demi memahami pemikiran Melayu. Apa-apa yang diutarakan oleh sarjana-

sarjana di atas adalah benar belaka. Mengapa peribahasa dan pantun? Ini adalah kerana

banyaknya pengajaran yang boleh dicungkil di sebalik peribahasa dan pantun ini. Peribahasa dan

pantun ini tidak dapat difahami secara harfiah kerana maknanya tersimpul secara tersirat. Ini

bermakna pemikiran Melayu hanya akan dapat dicungkil setelah kita berjaya memahami apa-

apa yang terselindung di sebalik susunan kata-kata yang indah ini. Ini memerlukan penafsiran

kognitif aras tinggi. Kita lihat contoh pantun di bawah:

Lancang kuning belayar malam,

Belayar menuju ke lautan dalam;

Kalau nakhoda kurang faham,

Alamat kapal akan tenggelam.

Pantun yang indah ini mempunyai gaya tafsiran yang mendalam. Ada falsafah di sebalik pantun

ini. Falsafahnya mengandungi pengajaran yang sangat berguna. Yang hendak disampaikan

adalah seperti berikut:

Page 4: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

4

Lancang ialah sampan kecil yang digunakan oleh orang Melayu sebagai salah satu alat

pengangkutan. Lancang ini kecil saiznya dan tidak sesuai untuk belayar di lautan dalam.

Kalau masih tetap ingin menggunakannya, si nakhoda harus bijak mengendalikannya.

Lautan dalam mempunyai batu yang keras dan ombak yang ganas.

Pantun ini merupakan pantun nasihat yang tiada penciptanya. Ini bermaksud tarikh

dicipta pantun ini telah lama. Walau bagaimanapun, pengajaran yang tertanam di dalamnya tetap

relevan sehingga ke hari ini. Untuk memahami pantun ini memerlukan tafsiran mata hati yang

tinggi. Adakah pantun ini relevan pada zaman yang serba moden ini? Jawapannya ya. Jika

Winstedt, Wilkinson, Brown telah mengakui kehebatan bahasa Melayu ini, malah masih ada

sarjana Barat pada abad millennium ini turut mengakuinya seperti Goddard (1997) dan Charteris

Black (2000, 2002). Maka kita sebagai penutur jati bahasa ini patut berbangga dan terus

menelaah dan membuat penyelidikan pada bahasa Melayu. Di sinilah pemugaran penyelidikan

diperlukan. Caranya adalah sama ada melihat dari kaca mata, perspektif, pendekatan atau teori

baharu. Tafsir semula berdasarkan ilmu baharu agar penghuraian kita akan nampak lebih

meyakinkan. Dengan itu, bahasa Melayu akan tetap relevan. Nor Hashimah (2014)

menganjurkan agar penyelidikan bahasa ini harus diteroka hingga kita temui akal budinya.

Data Lama Nafas Baharu

Kertas ini akan membincangkan dua aspek, iaitu bahasa kiasan dan dialek. Bahasa kiasan akan

menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan peribahasa harus diberikan

nafas baharu sedangkan telah banyak buku tentang peribahasa dan pantun yang dihasilkan?

Jawapannya adalah adakah kita berpuas hati dengan kajian yang setakat terhenti pada peringkat

makna harfiah tentang peribahasa dan pantun. Bukankah kita perlu meneroka makna peribahasa

sehingga tercungkil falsafah dan akal budi yang tertanam di sebalik peribahasa dan pantun ini.

Metodologi semantik inkuisitif yang diketengahkan oleh Nor Hashimah (2014) akan dihuraikan.

Sementara kajian dialek akan memperlihatkan inovasi pada kajian dialek Melayu di Perak.

Kajian dialek ini akan menggabungkan teknologi perisian, iaitu Geograhical Information System

(GIS), perisian excel dan SPSS. Kita lihat satu per satu.

Page 5: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

5

Kajian Pemugaran Bahasa Kiasan

Kajian bahasa kiasan seperti peribahasa dan simpulan bahasa telah banyak dilakukan. Saya

membahagikan kajian ini kepada beberapa tahap. Tahap 1 yang lebih merupakan paparan harfiah

dan makna permukaan telah banyak dilakukan. Berikut adalah contoh yang dimaksudkan:

1. Banyak makan garam Banyak pengalaman

2. Banyak udang banyak garamnya,

banyak orang banyak ragamnya

Semakin banyak orang semakin banyak

pendapat dan kemahuan

3. Gula terlampau serai tentu maung Perbuatan yang berlebih-lebihan akan

mendatangkan rasa mual bagi orang yang

melihatnya

4. Menanam tebu di tepi bibir Orang yang bercakap dengan baik atau

mengeluarkan kata-kata manis tetapi

hatinya bermaksud jahat

5. Asam garam Pengalaman

6. Alang-alang menyeluk pekasam,

biar sampai ke pangkal lengan

Kalau berbuat jahat biarlah sampai beroleh

faedahnya

7. Pahit dahulu, manis kemudian Yang rumit hendaklah dijelaskan atau

dibincangkan dahulu supaya senang

kemudiannya

8. Bagai timun dendang, di luar

merah di dalam pahit

Mulut manis, hati busuk

Persoalannya, adakah memadai kajian peribahasa berhenti setakat di sini sahaja. Saya

namakan kaedah kajian semantik seumpama ini sebagai semantik skrip. Pengkaji hanya melihat

kepada skrip yang ada di depan mata kemudian cuba dicarikan makna setaranya. Kajian ini

bersifat harfiah.

Pastinya kajian semantik skrip di atas tidak memadai. Telah mula ada kajian yang cuba

menelusuri makna ke peringkat kognitif. Kajian semantik setahap lagi saya namakan semantik

resonans (Nor Hashimah 2014). Kali ini kajian ini akan cuba mengaitkan data, teori dengan

kognisi penuturnya. Contohnya berdasarkan peribahasa seperti di atas, Nor Hashimah (1988,

Page 6: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

6

2000) telah cuba mengupas ke dalam sedikit mengenai peribahasa ini hingga menemui

penjelasan kognitif penuturnya. Hasil cungkilannya mendapati bahawa kesemua peribahasa

Melayu berkisar pada alam sekitar, seperti “bagai aur dengan tebing”, “air dicincang tidak akan

putus” dan banyak lagi. Selain makna harfiah, Nor Hashimah (1988) cuba melihat kesaintifikan

peribahasa tersebut dengan mengaitkan dengan ilmu fizik, botani, dan genetik secara mudah.

Begitu juga kajian beliau (2000) yang ingin menjelaskan mengapa terdapatnya peribahasa yang

berpasangan, sebenarnya ingin mengaitkan hubungan objek tersebut dengan kehidupan manusia

yang berpasangan, seperti “perigi mencari timba, ulam dengan sambal, dan antan dan alu”.

Ternyata peribahasa seumpama ini memberikan penjelasan kognitif yang mampu sedikit

sebanyak menjelaskan hubungan sesama manusia.

Seorang sarjana Barat, iaitu Chateris-Black (2000) ada mengkaji simpulan bahasa. Kajian

Chateris-Black (2000) menyimpulkan bahawa berasaskan “kaki” dan “mata”, banyak ciri

ketara yang penting dapat ditonjolkan dalam memahami masyarakat Melayu. Contohnya,

MELIHAT ITU MENGETAHUI/MERASAI (SEEING is KNOWING/FEELING) seperti “mata

kepala, menjolok mata, mata hati, buka mata, mengabui mata, mata duitan, tanda mata”. Ada

juga simpulan bahasa mata yang menandakan “X menyerupai ini (X adalah rujukan).

Contohnya, cahaya mata, mata dunia, mata kasar, gelap mata”. Seterusnya makna ini

melahirkan konsep; MATA MENGALIRKAN MAKLUMAT RAHSIA MENGENAI

PERASAAN seperti “mata merah, bermain mata, mata keranjang, bertemu mata”. Juga MATA

SEBAGAI SUMBER seperti “mata air, mata pencarian, mata gergaji”. Kajian ini selain

daripada menafsir makna ungkapan, turut menyingkap kognitif penuturnya.

Metafora mempunyai asas untuk membentuk fikiran dan makna yang luar biasa, bukan

hanya lahir sebagai bunga-bunga bahasa tetapi mengandungi konsep yang tersirat. Ungkapan

berkonsep ialah ungkapan yang mempunyai nilai intelektual. Hassan (2003) menggelarkan nilai

intelektual ini sebagai akal budi atau kehalusan akal dan ini menjadi teras kepada pemahaman

corak pemikiran Melayu.

Kita kupas dengan teliti apa-apa yang dimaksudkan oleh Hassan Ahmad dengan

kenyataan di atas. Hassan Ahmad (2003) telah menghuraikan bagaimana pemikiran masyarakat

Melayu membentuk makna implisit melalui metafora. Tiga proses utama terlibat, iaitu (a)

metafora dan hasilnya, iaitu pemikiran Melayu terbentuk melalui proses pengalaman, akliah dan

Page 7: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

7

renungan, dan intuisi atau rasa hati sekali gus; (b) metafora Melayu dibentuk oleh manusia yang

bijak dan pantas fikirannya; dan (c) metafora Melayu menghasilkan suatu sistem pandangan

hidup bersama bangsa Melayu atau sistem rangkaian sosial pemikiran Melayu melalui evolusi

sosial. Ketiga-tiga aspek ini memandu kepada penghasilan metafora Melayu. Sebagaimana yang

disebutkan di awal syarahan, penghasilan metafora ini bukan semberono sifatnya tetapi sarat

dengan falsafah yang mencerminkan minda masyarakat Melayu.

Apa bezanya kaedah semantik resonans dengan semantik inkuisitif? Semantik inkuisitif

melibatkan data, teori, kognisi dan falsafah dan akal budi penuturnya. Bukti kukuh analisis

semantik inkuisitif dapat menjelaskan metafora Melayu adalah melalui kajian simpulan bahasa.

Kali ini kita merujuk semula kepada semantik tatacara resonans yang dikemukakan oleh

Charteris-Black (2000, 2002) tentang simpulan bahasa “kaki”, “hati”, “mata” dan “tangan”.

Charteris-Black telah menunjukkan bahawa kata “kaki” contohnya boleh menggambarkan

kognitif Melayu tentang benda yang berada di bawah, boleh mencerminkan tentang

pengetahuan, perasaan dan sumber. Ini tamsil ibarat yang baik untuk bahasa Melayu tetapi ada

lagi yang masih perlu dihuraikan. Chateris-Black gagal memberikan sebab kepada persoalan

kenapa “kaki” yang dipilih bukan tangan bagi menggambarkan kognitif Melayu tadi. Kenapa

tangan tidak sesuai sebagai “tangan judi” padahal tangan yang selalu terlibat dengan berjudi;

kenapa tidak “mulut botol” yang jelasnya berkaitan dengan kegemaran meminum arak? Sekali

lagi kita dapat lihat soalan kenapa dan kenapa ini muncul lagi dan menepati tatakaedah semantik

inkuisitif . Setiap pilihan kosa kata dalam metafora Melayu pasti ada justifikasi dan falsafahnya.

Hanya dengan meneroka lebih mendalam akan membawa kita kepada jawapan yang sekaligus

mampu menggambarkan akal budi Melayu ( Nor Hashimah Jalaluddin 2014).

Ini selari dengan pendapat Hassan Ahmad. Sekali lagi Hassan (2003) yang banyak

mengkaji mengenai kognitif dan metafora Melayu menjelaskan bahawa masyarakat Melayu ini

bersifat pragmatis bahasa. Perubahan kategori gramatikal daripada kata “kaki” sebagai kata nama

kepada kata sifat adalah untuk menjelaskan

proses kognitif yang berlaku dalam minda Melayu. Sebenarnya domain fisiologi kaki yang

mempunyai konsep “kuat” dipindahkan kepada sifat seperti “kuat berjudi”, “kuat mabuk”. Dari

segi nahu pula “kaki” kini boleh menjadi predikat, seperti ungkapan “dia itu kaki”. Dalam

ungkapan ini “kaki” disamakan dengan makna “kuat”. Jadi, bergantung pada konteks, “dia itu

Page 8: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

8

kaki" boleh merujuk kepada kaki botol yang sama maksudnya dengan “dia kuat minum arak”,

kaki bola sama dengan “dia kuat menonton bola”. Walau bagaimanapun, perkara sebaliknya

tidak boleh berlaku seperti “dia itu kuat” tidak akan sama dengan “dia itu kaki”. Makna “kuat”

adalah bersifat harfiah, iaitu kuat dari segi tenaga manusia. Jadi kategori makna “kaki” diperluas

untuk mencakup makna “kekuatan” berdasarkan pengalaman bahawa kaki manusia juga boleh

digunakan sebagai alat kekuatan, misalnya untuk menendang (Hassan 2003). Kajian semantik

yang berjaya mengaitkan data, teori, kognitif daan falsafah serta akal budi penuturnya saya

namakan kajian semantik inkuisitif (2014). Ternyata kajian Hassan (2003) berjaya sampai ke

tahap semantik inkuisitif.

Tafsiran Peribahasa dan Pantun

Kita kupas beberapa contoh yang dikatakan kajian semantik yang bersifat inkuisitif.

Bagai menanam tebu di tepi bibir = memberikan janji-janji manis.

Tanam tebu di tepi bibir – maksudnya membuat janji-janji manis tetapi janji itu tidak ditepati.

Persoalan mengapa yang pertama – kenapa tebu dan bibir? Tebu secara alamiahnya berasa manis

dan sedap rasanya. Kenapa pula bibir? Bibir adalah alat artikulasi yang sangat berguna untuk

bertutur. Kenapa pula air yang sesedap itu dikaitkan dengan tingkah laku negatif?

Perhatikan struktur tebu. Tebu mempunyai daun yang tajam, kasap dan miang. Tebu juga

mempunyai kulit yang keras dan liat. Ditambah lagi dengan ruas-ruas yang keras. Namun ia

menghasilkan air yang manis dan enak rasanya. Begitulah dengan janji-janji yang ditaburkan,

manis didengar dan enak untuk ditelah tetapi ciri janji itu ada mempunyai ciri tajam, keras,

Page 9: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

9

miang dan liat. Sifat miang boleh melukakan, sifat keras boleh memudaratkan dan sifat menegak

tebu boleh meliuk lentuk apabila ditiup angin. Inilah juga ciri-ciri yang boleh diaplikasikan

kepada manusia yang menanam tebu di tepi bibir. Ketelitian masyarakat Melayu yang memilih

alam flora dan dikaitkan dengan sifat dan makna peribahasa tersebut dapat diteroka. Peringkat

pertama data, kemudian teori semantiknya dan akhirnya tafsiran mendalam sehingga membawa

kepada makna yang hendak kita temui. Maklumat konteks dan budaya yan gmenglingkungi

masyarakat penutur harus dipadukan bagi mencungkil falsafah di sebalik makna yang hendak

disampaikan.

Kita perhatikan pula pantun di bawah:

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga;

Yang baik itu budi,

Yang indah itu Bahasa.

Pada masyarakat Melayu, ukuran kesopanan, akal budi terletak pada budi dan bahasa.

Kurik pada kundi dan merah pada saga adalah dua kilauan warna yang sangat menyerlah. Kurik

yang berbintik-bintik dan nyalaan merah pada saga senang menarik perhatian orang ramai.

Malah kurik dan saga ini dijadikan alat pengukur penting bagi emas. Tempatnya begitu berharga

boleh diibaratkan sama berharganya dengan budi dan bahasa. Dari akal budi yang bijaksana

disalurkan melalui bahasa yang indah akan melengkapkan diri seorang Melayu. Perhatikan

bahawa setiap baris dalam pantun itu harus ditafsir. Pembayang dan maksud memang berkait

rapat dan bukannya dicipta di luar konteks. Sebuah pantun mesti ada nilai logik, estetik dan

etika.

Page 10: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

10

Sekali lagi kalau kita teliti, terdapat nilai inkuisitifnya. Kita mungkin hanya dapat

membayangkan warna yang berkilat bagi saga. Walau bagaimanapun, kita harus juga dapat

kaitkan nilai saga itu. Selain ringan, kecil dan menyerlah, saga dijadikan timbangan bagi emas

(sila rujuk buku undang-undang Melaka). Jadi, bagaimana nilai saga dipentingkan lalu dikaitkan

dengan budi bahasa pastinya ada hubungan istimewa yang dapapt membantu kita mentafsir

pantun itu.

Satu lagi pantun yang menarik adalah seperti di bawah:

Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti;

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi di bawa mati.

Pembayang pantun ini sangat berkait rapat dengan maksudnya. Dalam pembayang

dinyatakan makanan yang paling seusia untuk dibawa belayar. Ternyata pisang yang dipilih.

Kenapa?

i. Mengandungi segala nutrient (karbohidrat, mineral dan vitamin) yang diperlukan

oleh badan ketika lapar;

ii. Mengandungi vitamin B6 yang berguna untuk mengawal rasa mual dan muntah;

iii. Masa masaknya tidak serentak; dan

iv. Mempunyai kulit yang mudah untuk dibawa dan dimakan.

Mengapa hutang?

i. Orang merantau memerlukan wang dan terpaksa berhutang bagi menampung kos

pelayaran yang lama;

ii. Hutang wajib di bayar balik;

iii. Orang berhutang meras terhutang budi; dan

iv. Hanya ini kekal abadi dalam ingatan.

Tafsiran sambil menyingkap akal budi Melayu dapat menunjukkan bahawa tersemat falsafah

bahasa yang mendalam pada masyaraakt penuturnya. Pantun bukan sahaja sebagai penghibur

malah terselit ilmu dan falsafah yan tinggi di sebaliknya.

Kajian Dialek: Satu Inovasi

Jika kajian peribahasa dan pantun lebih merupakan kajian dokumen, kita beralih pula ke satu lagi

kajian tetapi berbentuk lapangan. Pemugaran penyelidikan seharusnya meluas dan tidak terhad

Page 11: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

11

kepada kajian teks sahaja. Salah satu kajian yang memerlukan pemugaran penyelidikan ialah

kajian dialek. Kajian dialek sebelum ini terutamanya kajian dialek geografi banyak

menggunakan lakaran kasar dan impresionistik bagi kawasan yang bakal dibuat kajian.

Contohnya kajian dialek geografi yang terkenal adalah oleh Ajid Che Kob (1985), Rohani Yusof

(1986) dan Collins (1983). Yang dilakukan oleh mereka adalah dengan mengambil peta dareah

kajian dan memplot ciri fonologi bagi memperlihatkan kesamaan dan perbezaan dialek yang ada

di kawasan itu. Lakaran dilakukan secara manual dan boleh menyebabkan ketidaktepatan peta

yang dilakarkan. Ini bersesuaian dengan zaman kajian dialek dilakukan pada waktu itu (lihat peta

1 di bawah).

Peta 1: Dialek Geografi Kuala Kangsar.

Kini dengan adanya kemajuan teknologi dan penyelidikan multi disiplin, kajian dialek

menjadi semakin menarik. Satu inovasi kepada kajian dialek telah pernah dilakukan oleh

kumpulan penyelidik Thai, iaitu Teerarojanarat, S dan Tingsabadh, K. (2011) yang telah

menghasilkan garis sempadan bagi dialek di negara Thai. Mereka telah menggunakan

pendekatan Geograhical Information System (GIS). Kajian mereka seterusnya telah diteroka oleh

Nor Hashimah et al. (2013) di negeri Perak.

Inovasi yang ada pada kajian ini adalah dengan menjadikan kajian ini bersifat multi

disiplin. Jika dahulu kajian dialek lebih kepada kajian bersifat linguistik semata-mata tetapi pada

Page 12: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

12

hari ini telah ada elemen geografi, statistik dilibatkan sama. Bentuk muka bumi sangat

berperanan dalam penyebaran dialek. Dialek akan mudah tersebar jika tanah yang

melingkunginya dan kawasan sekitar bersifat landai. Faktor sungai merupakan faktor paling

penting dalam alam Melayu. Melalui sungai dialek akan lebih cepat tersebar. Pengangkutan

utama menggunakan sungai menyebabkan berlakunya pertembungan bahasa. Ini disokong pula

oleh aktiviti perniagaan. Contoh terbaik ialah Kuala Kangsar. Sebaliknya pula bagi kawasan

yang bergunung-ganang. Ada kalanya dialek luar pula masuk dan mempengaruhi dialek di Perak.

Contohnya Selama, Larut Matang dan Hulu Perak.

Peta 2: Sebaran Dialek di Perak Berasaskan GIS (Nor Hashimah et al., 2014).

Perhatikan sungai Perak yang berpunca dari Hulu Perak dan membawa ke Hilir Perak.

Perhatikan juga tanah tinggi yang terletak di banjaraan Titiwangsa yng memenuhi ruang

pedalaman Perak, terutama yang bersempadan dengan Pahang. Di bahagian timur iaitu Tapah,

kawasan itu dikelilingi oleh tanah tinggi dan menyekat dialek Minang daripada menembusi

dialek Perak. Berbeza pula dengan dialek Selangor. Daerah Perak yang menganjur ke Selangor

memperlihatkan tanah landai yang membolehkan dialek Selangor masuk ke Perak. Dengan sebab

itu, kita dapati ramai penutur di Tanjung Malim ke selatan menggunakan dialek Selangor dan

Page 13: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

13

bukannya dialek Perak. Dialek Perak tengah, khusus menjadi milik Perak dan berlegar di

kawasan berhampiran sungai. Bermula dari selatan Kuala Kangsar hingga Pasir Salak jelas

penggunaan dialek Perak tengah. Kuala Kangsar mempunyai dialek tersendiri dan dikatakan

kawasan transisi dialek. Yang paling menarik ialah dialek Kedah yang bermula dari Selama

hingga pesisir laut bersempadan dengan Perak tengah. Inilah pengaruh sungai, iaitu Sungai

Kerian dan Sungai Manik. Di sebelah timur laut pula, terdapat pengaruh dari dialek Patani.

Begitulah warna-warninya penyebaran dialek di Perak.

Jadi, dengan melibatkan penerangan bentuk muka bumi, kita dapat menjelaskan proses

terjadinya penyebaran dialek. Selain daripada bentuk muka bumi, faktor sejarah, migrasi,

ekonomi dan sosial turut boleh diikutsertakan dalam mengukuhkan lagi penghuraian dialek

Melayu di Perak. Kita bandingkan isoglos ini dengan isoglos terdahulu yang dilakar oleh Asmah.

Peta di bawah menujukkan bahawa ada penambahbaikan pada peta terdahulu.

Peta 3: Penyebaran Dialek Melayu di Perak (Asmah, 1986).

Kajian dialek melibatkan kajian lapangan. Responden tidak sahaja melibatkan

pendekatan NORM (non-mobile, old, rural, male). Satu inovasi dilakukan dengan mengambil

Page 14: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

14

kira golongan perempuan dan kanak-kanak. Kumpulan penyelidik telah mendapatkan bantuan

Penghulu Mukim bagi mengenal pasti kampung yang benar-benar asli dengan penutur Perak.

Setelah data dikutip, data dimasukkan dalam program excel dan data atribut sebelum

interpolation technic dan overlay daripada perisian GIS dapat dilakukan

Rajah 1: Contoh Masukan Data Pada Excel.

Seterusnya data diproses mengikut kiraan statistik. Kiraan statistik adalah untuk

mendapatkan gambaran pola penyebaran dialek pada hari ini. Contohnya, dalam Rajah 2 di

bawah, penggunaan kata g anti nama “saya” telah dikaji dan didapati ada empat jenis KGN

“saya” yang terhasil. Daripada pengiraan didapati kedua-dua kawasan Larut Matang Selama

(LMS) dan Hulu Perak menggunakan /sayә/ dan /aku/. Ini ada kaitan dengan dialek Patani dan

dialek standard. Maksudnya, selain Hulu Perak, ada juga kawsan di LMS yang terpengaruh

dengan dialek Patani. Hanya LMS menggunakan /saya/ yang jelasnya mempunyai unsur dialek

dari Kedah. Yang hendak ditekankan di sini adalah penggunaan statistik, yang akan

membolehkan kita mendapat gambaran yang jelas mengenai taburan dialek ini.

Page 15: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

15

Rajah 2: Taburan statistit penggunaan KGN “saya” Hulu Perak dan LMS.

Sebagaimana yang telah dijelaskan di bahagian awal tadi, bentuk muka bumi mampu

mempengaruhi penyebaran dialek, diperturunkan peta di bawah untuk menjelaskannya.

Peta 4: Bentuk muka bumi dan dialek di Selama.

Perhatikan bahawa di kawasan LMS terdapat banyak tanah tinggi. Kawasan ini bersempadan

dengan Hulu Perak dan Kuala Kangsar. Kawasan tanah tinggi ini telah menghalang dialek

Perak, seperti dialek Kuala Kangsar dari merebak ke Selama. Sebaliknya kawasan yang

Leksikal (L)

Larut, Matang &

Selama

Hulu Perak Jumlah

L1- saya

2

(50%) 0

(0%) 2

(25%)

L2- sayә

3

(75%) 4

(100%) 7

(87.5%)

L3- sayɔ

1

(25%) 2

(50%) 3

(37.5%)

L4 – aku

4

(100%) 4

(100%) 8

(100%)

L9 – kami

2 (50%) 1 (25%) 3 (37.5%)

Page 16: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

16

bersempadan dengan Kedah lebih landai dan membolehkan dialek Kedah masuk ke negeri Perak.

Leksikal seperti [lni, dәp, tʔ dʔ] menggambarkan pengaruh dialek Kedah yang ditutrkan di

daerah Selama.

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, teknik coropleth dilakukan. Coropleth

membolehkan penandaan secara tepat bagi tempat dialek tertentu dituturkan. Contohnya,

Yusmaniza (2014) telah memplot kampung-kampung yang menggunakan sebutan tepat bagi

lekasikal “bantal” di Kuala kangsar dan LMS. Hasilnya, didapati kawasan yang dilingkungi oleh

gunung menggunakan satu bentuk sahaja, seperti [bt]. Ini daerah Kuala Kurau yang

terpengaruh dengan dialek Patani. Ada menggunakan [bntj] yangd ipengaruhi oleh dialek

Kedah dan [bntɛ] yang jelasnya dialek Kuala Kangsar. Yang menariknya, terciptanya leksikal

baharu yang menggabungkan dialek Kuala Kangsar dan Patani, iaitu [bnt].

Peta 5: Taburan “bantal” menggunakan teknik “coropleth”.

Akhir sekali kajian dialek menggunakan GIS ini akan dapat memberikan gambaran yang

jelas, sistematik dan saintifik mengenai penyebaran dialek Melayu di Perak. Norli Safina (2014)

telah berjaya melakarkan penyebaran dialek di pesisir sungai Perak bagi kata ganti nama.

Bermula daripada Hulu Perak membawa ke Hilir Perak. Dalam peta ini juga, dinyatakan jenis

Page 17: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

17

KGN yang digunakan, tempat digunakan dan sebab pola itu digunakan. Banyak jawapan yang

dapat diberikan hanya dengan berbantukan pendekatan multi disiplin ini.

Peta 6: Penyebaran KGN di Pesisir Sungai Perak.

Kesimpulan

Bahasa sangat dinamik. Pertembungan bahasa terutama dalam kehidupan hari ini menyaksikan

banyak lagi aspek bahasa yang boleh dikaji. Fenomena sosiolinguistik dengan adanya komuikasi

alam maya telah memberikan impak kepada bahasa Melayu itu sendiri. Penggunaan singkatan

dalam laman sosial seperti tidak terbendung lagi. Perkembangan seumpama ini telah mencabar

ahli bahasa untuk memikirkan cara untuk menangani gejala ini.

Maka dengan itu, penyelidikan bahasa khasnya bahasa Melayu harus direkayasa dari

masa ke masa. Penyelidikan harus berkembang seiring dengan kemajuan ilmu pada hari ini.

Memang ada bahagian bahasa, seperti tatabahasa yang mungkin tidak boleh dimultidisiplinkan

dan tetap dengan kemurniaan bidang tersebut. Walau bagaimanapun, bantuan korpus selalunya

Page 18: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

18

akan dapat memberikan jawapan yang lebih baik kepada persoalan tatabahasa. Namun ada

kajian aspek linguistik yang lain telah mula melangkah ke arah penyelidikan multi disiplin.

Kajian dialek, kepupusan bahasa, dan bahasa kiasan menuntut kajian yang lebih terkini

sifatnya. Dengan itu, bahasa Melayu akan terus relevan dikaji. Azhar (1993) ada menyebut

bahawa kajian dual linguistik tidak semestinya sesuai dengan kajian bahasa Melayu. Contohnya,

beliau menyebut tentang cara-cara ayat pasif Melayu harus dicerna menggunakan analisis

tempatan. Kenyataan itu ada kebenarannya. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, jika

pendekatan multidisiplin itu baik untuk perkembangaan dan pemugaran bahasa itu sendiri, maka

adalah baik jika diikuti demi kelangsungan bahasa Melayu itu sendiri.

Rujukan

Ajib Che Kob, 1985. Dialek geografi Pasir Mas. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan

Malaysia.

Asmah Haji Omar, 1985. Susur galur bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Asmah Haji Omar, 1986. Alam dan Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Azhar M.Simin, 1993. Sintaksis wacana ‘yang’dalam bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Charteris Black, Jonathan, 2000. Figuration, Lexis and Cultural Resonance: A Corpus Based

Study of Malay. Pragmatics 10:3, 281-300.

Charteris Black, Jonathan, 2002. Second Language Figurative Language Proficiency: A

Comparative Study of Malay and English. Applied Linguistcs 23/1, 104-133.

Charteris Black, Jonathan. 2003. Speaking With Forked Tongue: A Comparative Study of

Metaphor and Metonymy in English and Malay Phraseology. Metaphor And Symbol,

18(4), 289-308.

Collins, J.T., 1983. Dialek Ulu Terengganu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hassan Ahmad, 2003. Metafora Melayu: Bagaimana pemikir Melayu mencipta makna dan

membentuk epistemologinya. Siri Monograf Akademi Kajian Ketamadunan. Bangi:

Akademi Kajian Ketamadunan.

Maxwell, W. E. 1878. Malay proverbs. Pt. I. JSBRAS 1 (July): 85-98.

Nor Hashimah Jalaluddin, 2000. “Seksis atau Sosialisasi: Satu Interpretasi Makna Berdasarkan

Peribahasa Melayu” dlm. Rampak Serantau, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei. 7: 142-

161.

Nor Hashimah Jalaluddin, Zaharani Ahmad, Harishon Radzi, Mustaffa Omar & Mokhtar Jaafar,

2013. Lexical variation and distribution in Perak Malay: A GIS Approach. Dlm Seminar

on Southeast Asian Linguistics (SEALS), 29-31 Mei 2013: Universiti Chulalongkorn,

Bangkok.

Nor Hashimah Jalaluddin, 1988. “Bahasa Melayu sebagai Bingkai Pemikiran Masyarakat

Melayu” dlm. Jurnal Bahasa. 32(11): 820-831.

Page 19: PEMUGARAN PENYELIDIKAN UNTUK PEMERKASAAN …eseminar.dbp.gov.my/ceramahnj/kertas_kerja_norhashimah_jalaluddin.pdf · menyentuh peribahasa dan pantun. Mengapakah kajian pantun dan

19

Norli Safina Sanit, 2014. Penyebaran Dialek Melayu Perak di Pesisir Sungai Perak: Analisis

GIS. Kertas Projek Sarjana, UKM: Bangi

R. J Wilkinson dan Richard Winstedt. 1957. Malay grammar. Oxford: Clarendon Press.

Raja Ali Haji http://id.wikipedia.org/wiki/Ali_Haji_bin_Raja_Haji_Ahmad [dicapai 10 Ogos

2012].

Rohani Yusof. 1986. Dialek geografi Kuala Kangsar: Suatu Kajian Perbandingan. Tesis Sarjana.

Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Teerarojanarat,S dan Tingsabadh, K, 2011. “A GIS-Based Approach for Dialect Boundary

Studies” dlm. Jurnal Dialectologia of Universitat de Barcelona 6: 55-75.

Tenas Effendi. 2008. Kearifan orang Melayu berbahasa. Syarahan Raja Ali Haji. Kuala Lumpur:

Persatuan Linguistik Malaysia.

Yusmaniza Yusoff, 2014. Penyebaran Dialek Melayu di Perak: Pemetaan Menggunakan

Aplikasi GIS. Kertas Projek Sarjana, UKM: Bangi