Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan ......Penularan penyakit Covid-19 pada tahun ini...
Transcript of Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan ......Penularan penyakit Covid-19 pada tahun ini...
Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Pandemik COVID-19 | 1
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pendahuluan
Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan pada hari Jumaat, 6
November 2020 yang lalu memberikan nafas baru terhadap ekonomi negara selepas
berhadapan dengan impak penularan pandemik Covid-19. Tema “Teguh Kita,
Menang Bersama” memberikan mesej yang jelas mengenai keprihatinan Kerajaan
untuk membimbing rakyat bersama-sama keluar daripada kemelut penyakit Covid-
19 yang masih berleluasa dalam negara.
Fasa yang paling penting adalah fasa untuk bangkit semula memperkasa ekonomi
rakyat dan negara yang terkesan teruk. Kita telah berada pada fasa strategi R ke-5
daripada strategi 6R (Resolve, Resilence, Restart, Recovery, Revitalize, Reform).
Ketika ini kita telah memasuki fasa Revitalize (Memperkasa) yang menjadi tunjang
dan asas kepada penggubalan Belanjawan 2021.
Belanjawan 2021 masih mengekalkan tiga teras penting; rakyat, perniagaan dan
ekonomi yang menjadi fokus sepanjang pakej rangsangan ekonomi diperkenalkan
beberapa bulan yang lalu. Hal yang demikian menjadikan Belanjawan 2021 adalah
salah satu pakej survival yang lebih bersasar kepada rakyat dan negara bagi
setahun akan datang.
Penulisan ini akan melihat daripada dua perspektif. Pertama, meneliti tinjauan
prospek ekonomi semasa dan unjuran pada masa akan datang termasuklah dengan
melihat kepada daya ketahanan fiskal yang diunjurkan pada tahun 2021. Kedua,
penulisan ini juga memberikan fokus kepada tumpuan umum program-program dan
inisiatif yang termaktub dalam pembentangan Belanjawan 2021.
Tinjauan Ekonomi Negara
Penularan penyakit Covid-19 pada tahun ini telah memberikan kesan langsung
terhadap ekonomi negara dan global secara umumnya. Keluaran Dalam Kasar
Negara (KDNK) negara diunjurkan kepada -4.5 peratus bagi tahun 2020. Tabung
Kewangan Dunia (IMF) serta Bank Dunia masing-masing mengunjurkan KDNK
negara yang lebih rendah iaitu masing-masing -6.0 peratus dan -4.9 peratus.
Walau bagaimanapun, kedudukan unjuran KDNK negara ini sebenarnya telah
mengalami lonjakan daripada fasa penguncupan KDNK pada suku kedua tahun
2020 yang lalu. Data daripada Bank Negara Malaysia menunjukkan kedudukan
KDNK negara suku kedua yang lalu berada pada paras -17.0 peratus. Dapatan
tersebut bukan sahaja menunjukkan ekonomi negara sedang mengalami kejatuhan,
bahkan penggunaan swasta atau perbelanjaaan rakyat juga menunjukkan trend
yang membimbangkan.
Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Pandemik COVID-19 | 2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Kementerian Kewangan mengunjurkan KDNK negara bangkit semula bagi tahun
2021. KDNK pada tahun 2021 dijangka mencapai 6.5 hingga 7.5 peratus disokong
oleh sumbangan daripada sektor pembinaan 13.9 peratus, perkhidmatan dan
pembuatan masing-masing 7.0 peratus manakala sektor pertanian pula dijangka
menyumbang sebanyak 4.7 peratus.
Dasar Pengembangan Fiskal dan Unjuran Defisit
Berhadapan dengan prospek kelembapan ekonomi global yang tidak menentu,
Kerajaan mengambil langkah mengekalkan dasar pengembangan fiskal
(expansionary fiscal). Perbelanjaan keseluruhan tahun 2021 merangkumi
perbelanjaan mengurus, perbelanjaan pembangunan dan suatu kumpulan wang
amanah bagi mengurus serta menyelaras berkaitan Covid-19 iaitu Kumpulan Wang
Covid-19 mencecah RM322.5 bilion.
Dasar pengembangan fiskal ini mendorong Kerajaan berbelanja besar bagi
memastikan counter cyclical terhadap kemerosotan ekonomi semasa. Ia juga
bertujuan bagi meningkatkan permintaan agregat (aggregate demand),
mengukuhkan semula kuasa beli rakyat selain mengatasi masalah pengangguran
disebabkan oleh kemerosotan ekonomi yang berlaku.
Perbelanjaan mengurus berjumlah RM236.5 bilion dan hasil Kerajaan masih
berupaya untuk menampung keseluruhan perbelanjaan mengurus namun dengan
lebihan (surplus) yang semakin tipis iaitu RM360 juta. Perbelanjaan pembangunan
pula berjumlah RM69 bilion akan dibayai daripada baki Akaun Semasa serta
terimaan pinjaman oleh Kerajaan.
Selain itu, Kerajaan juga akan berbelanja sejumlah RM17 bilion bagi Kumpulan
Wang Covid-19 selaras dengan Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan
Kerajaan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 yang telah diluluskan di
Parlimen pada September 2020 yang lalu. Segala peruntukan yang terdapat dalam
akta ini akan terpakai selama 3 tahun sehingga tahun berakhir 31 Disember 2022.
Dalam akta tersebut, Kerajaan dibolehkan untuk membuat pinjaman tambahan
sehingga 5 peratus KDNK di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta
Pembiayaan Kerajaan 1983. Kerajaan juga telah menaikkan had siling hutang
Kerajaan Persekutuan yang dibenarkan oleh undang-undang daripada 55 peratus
KDNK kepada 60 peratus. Peningkatan ini memberikan lebih ruang fiskal (fiscal
space) kepada Kerajaan untuk melakukan sebarang intervensi berhadapan dengan
ketidaktentuan pandemik Covid-19.
Terimaan pinjaman tambahan berjumlah 5 peratus daripada KDNK tersebut akan
dimasukkan terus ke kumpulan wang amanah yang disebut sebagai Kumpulan
Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Pandemik COVID-19 | 3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Wang Covid-19 dan akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan yang berkaitan dengan
mengatasi isu penularan Covid-19 di negara ini. Kerajaan telah memperuntukkan
RM38 bilion dalam Kumpulan Wang Covid-19 bagi tahun 2020 manakala bagi tahun
2021, jumlah tersebut dijangka berkurang kepada RM17 bilion sahaja.
Langkah pengembangan fiskal ini akan menyaksikan Kerajaan terus berhadapan
dengan defisit fiskal yang diunjurkan pada paras 5.4 peratus KDNK. Pada tahun
2020, defisit fiskal Kerajaan mencatatkan peningkatan sehingga 6.0 peratus KDNK.
Hal yang demikian disebabkan faktor pengurangan harga minyak global yang
berkurang kepada USD40 setong berbanding sasaran asal USD62 setong serta
dalam masa yang sama peningkatan perbelanjaan melalui penyaluran pakej-pakej
rangsangan ekonomi.
Keseluruhan suntikan fiskal bagi pakej rangsangan sehingga September 2020
adalah berjumlah RM55 bilion daripada jumlah keseluruhan RM305 bilion. Jumlah
bantuan keseluruhan pakej rangsangan tersebut adalah tertinggi berbanding ketika
negara berhadapan dengna krisis kewangan 1998/1999 serta krisis subprima
2008/2009.
Hasil Kerajaan pada tahun 2021 diunjurkan meningkat kepada RM236.9 bilion
berbanding RM227.3 bilion pada 2020. Peningkatan hasil ini didorong oleh faktor
peningkatan kutipan hasil cukai langsung cukai pendapatan syarikat (CITA) dan
Petroleum (PITA). Malah, kutipan hasil cukai tidak langsung melalui kutipan SST dan
duti eksais disebabkan jangkaan peningkatan jualan kenderaan bermotor juga akan
meningkatkan hasil Kerajaan.
Dividen Petronas diunjurkan berjumlah RM18 bilion serta Khazanah Nasional
Berhad pula berjumla RM1 bilion. Kerajaan juga dijangka akan mendapat jumlah
pembayaran royalti berjumlah RM4.3 bilion.
Daripada aspek hutang pula Kerajan masih mengekalkan disiplin fiskal yang jitu
meskipun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi semasa. Terimaan pinjaman
Kerajaan sepenuhnya digunakan bagi membiayai perbelanjaan pembangunan selain
membayar bond atau sukuk yang telah matang. Berdasarkan tahun 2020, pinjaman
keseluruhan Kerajaan adalah berjumlah RM181.4 bilion dengan RM87 bilion
digunakan bagi menampung perbelanjaan defisit, manakala baki RM94.7 bilion pula
digunakan bagi membayar hutang yang telah matang.
Hutang Kerajaan Persekutuan kekal terkawal iaitu pada RM874.3 bilion atau 60.7
peratus daripada KDNK. 96 peratus daripada hutang-hutang tersebut adalah
daripada institusi kewangan domestik justeru mengurangkan risiko pertukaran wang
asing dan ketidaktentuan ekonomi global. Pegangan hutang Kerajaan dimiliki oleh
institusi perbankan sebanyak 34.6 peratus, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Pandemik COVID-19 | 4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
(KWSP) 26.9 peratus, syarikat insurans 4.3 peratus, Kumpulan Wang Persaraan
(Diperbadankan) 2.8 peratus dan lain-lain.
Kesemua prospek ekonomi semasa dan akan datang ini merupakan batu asas
kepada penggubalan sebuah belanjawan. Satu-satu belanjawan yang dirangka
mesti diteliti berdasarkan kedudukan ekonomi serta unjuran yang perlu diletakkan
pada masa akan datang bagi memastikan suatu pengagihan ekonomi yang realistik.
Kerangka Strategik Belanjawan 2021
‘Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kejahatan yang tersusun’.
Bagi menjayakan tiga matlamat yang telah digariskan, beberapa strategi telah
disusun di dalam Belanjawan 2021 meliputi pelbagai aspek dan golongan sasaran
tertentu.
Matlamat 1: Kesejahteraan Rakyat
Di dalam matlamat kesejahteraan rakyat, terdapat lima strategi berkesan yang
dirancang. Pertama adalah langkah Kerajaan dalam menangani COVID-19. Melalui
strategi ini, sejumlah RM 4 billion telah diperuntukkan dalam usaha memperoleh
vaksin dan membendung gelombang COVID-19.
Berdasarkan statistik yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM), seramai 1.23 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas (29.2
peratus) mengalami masalah kesihatan mental. Jumlah ini dianggarkan meningkat
pada tahun ini berikutan pandemik COVID-19 dan perlaksanaan Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) yang telah mengakibatkan kehilangan pekerjaan, kekurangan
pendapatan serta komitmen hutang yang menekan. Justeru, sejumlah RM 24 juta
diperuntukkan dalam menangani situasi kesihatan mental ini.
Strategi kedua meliputi bantuan kepada golongan rentan iaitu golongan yang mudah
terjejas dari sudut pendapatan dan pekerjaan terutamanya di dalam fasa pandemik.
Lebih tepat lagi golongan ini dikategorikan sebagai golongan B40 iaitu
berpendapatan RM 4,400 dan ke bawah (DOSM, 2020), Orang Kelainan Upaya
(OKU) serta warga emas. Antaranya ialah inisiatif Bantuan Prihatin Rakyat (BPR)
yang diberikan mengikut kategori tertentu dengan keseluruhannya berjumlah RM 6.5
billion, subsidi dan bantuan khusus tertentu (RM 28 billion), program Jaringan
Prihatin yang memberikan akses internet secara percuma (RM 1.5 billion) dan Elaun
Mencari Pekerjaan (RM 150 juta).
Strategi ketiga pula adalah berkaitan perlindungan pekerjaan untuk rakyat. Strategi
ini adalah usaha memastikan rakyat tetap mempunyai pekerjaan dalam suasana
Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Pandemik COVID-19 | 5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
pandemik yang masih belum pulih sepenuhnya. Inisiatif di bawah strategi ini
kebanyakannya adalah kesinambungan dari empat Pakej Rangsangan Ekonomi
(PRE) yang pernah dilaksanakan sebelum ini dan telah memberikan kesan yang
baik. Antaranya ialah Program Jana Kerja yang berjumlah RM 3.7 billion, Program
Subsidi Upah bersasar (RM 1.5 billion) serta program reskilling dan upskilling (RM
1.0 billion).
Menariknya, strategi keempat adalah manfaat yang diperolehi hampir keseluruhan
kelompok demografi di Malaysia iaitu Orang Asli, penduduk luar bandar, golongan
belia, para atlit, dan peruntukan khusus bagi pembangunan komuniti Cina, India dan
kaum minoriti. Selain itu, apa yang menjadi kelegaan bagi majoriti rakyat Malaysia
yang beragama Islam adalah peruntukan sebanyak RM 1.4 billion yang diberikan
bagi pembangunan dan pengukuhan Islam di Malaysia.
Strategi terakhir melibatkan jaminan kesejahteraan rakyat melalui peruntukan dalam
aspek keselamatan di dalam dan luar negeri, pendidikan berkualiti bermula dari
kanak-kanak sehingga pelajar di peringkat pengajian tinggi dan kemudahan akses
internet melalui perkhidmatan jalur lebar.
Matlamat 2 : Kelangsungan Perniagaan
Sektor perniagaan melalui Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah
menyumbang hampir 97 peratus kepada kegiatan ekonomi di dalam negara yang
sudah pastinya memberikan sumbangan besar kepada KDNK. Justeru, tidak hairan
mengapa sektor ini menjadi tumpuan Kerajaan sejak PRE pertama iaitu Pakej
Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sehingga di dalam Belanjawan
2021.
Perlu difahami bahawa perniagaan yang dimaksudkan bukan sahaja perniagaan
melibatkan barangan, bahkan juga perniagaan perkhidmatan kerana sumbangan
kedua-dua barangan dan perkhidmatan adalah hampir sekata iaitu 50-50 (DOSM,
2020). Strategi pertama di dalam matlamat ini adalah memacu pelaburan melalui
pembangunan sektor maritim dan logistik, infrastruktur pelancongan serta
perkhidmatan pengangkutan awam yang berjumlah RM 3.7 billion. Strategi ini juga
menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan sains, teknologi
dan kajian penyakit berjangkit yang diberikan peruntukan sebanyak RM 500 juta.
Strategi kedua pula memberikan fokus kepada pengukuhan sektor tumpuan yang
memberikan pulangan yang signifikan kepada negara. Antaranya ialah
memperkukuh sektor pertanian melalui variasi dan kepelbagaian projek seperti
pertanian organik, kebun komuniti dan program ladang e-satelit. Selain itu, dengan
hasil sektor komoditi dan perladangan yang memberangsangkan ketika wabak
COVID-19 masih berlaku dan hubungan baik dengan rakan dagangan
Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Pandemik COVID-19 | 6
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
antarabangsa, sektor tersebut telah diperuntukkan sebanyak RM 729.39 juta, iaitu
peningkatan sebanyak 8.84 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sebagai persediaan menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, Kerajaan
memberikan fokus melalui strategi ketiga iaitu keutamaan automasi dan pendigitalan
dengan peruntukan sebanyak RM 1 billion bagi menyokong aktiviti automasi dan
modenisasi industri di Malaysia.
Strategi terakhir di dalam matlamat kedua ini adalah peruntukan khusus bagi
individu, persatuan dan syarikat yang menjalankan perniagaan. Inisiatif yang
disediakan adalah berbentuk kemudahan kepada akses pembiayaan yang menelan
belanja hampir RM 13 billion seperti jaminan perniagaan, pinjaman mudah untuk
PKS dan PKS mikro serta pembiayaan mikro kredit.
Matlamat 3 : Ketahanan Ekonomi
Dalam mencapai matlamat ketiga Belanjawan 2021, Kerajaan telah menetapkan
lima strategi. Pertamanya adalah mekanisma belanjawan pengembangan dengan
peruntukan kepada projek infrastruktur pengangkutan yang berjumlah RM15 billion,
beberapa projek baharu (RM3.8 billion) dan pembangunan di lima Koridor Wilayah
Pembangunan Ekonomi (RM780 juta).
Strategi kedua melibatkan agenda pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-
12 (RMK-12) yang memberikan fokus kepada pelaburan dan pembangunan
beberapa projek berimpak tinggi seperti pembangunan Kwasa Damansara (RM50
billion), pembangunan infrastruktur di negeri Sabah dan Sarawak yang masing-
masing berjumlah RM5.1 billion dan RM4.5 billion.
Bagi melaksanakan strategi ketiga, iaitu memperkasakan peranan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) dan masyarakat sivil, Kerajaan akan menjalankan kerjasama
dengan organisasi bukan kerajaan (NGO) dan perusahaan sosial dalam agenda
pembangunan negara melalui konsep geran padanan berjumlah RM100 juta dan
akan diagihkan untuk tiga tujuan, iaitu: i) Penjanaan pendapatan dan pekerjaan
(RM50 juta), ii) Isu sosial (RM30 juta) dan, iii) Pemeliharaan alam sekitar (RM20
juta).
Selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals,
SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), strategi keempat di dalam
matlamat ketiga ini menekankan berkenaan usaha Kerajaan dalam memastikan
jaminan kelestarian sumber. Antaranya ialah pemberian berdasarkan pemberian
berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup
(TAHAP) kepada semua kerajaan negeri berjumlah RM400 juta, pemulihan sungai
(RM50 juta) dan penguatkuasaan pemantauan kualiti alam sekitar (RM40 juta).
Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Pandemik COVID-19 | 7
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Strategi terakhir adalah pemerkasaan dalam penyampaian perkhidmatan awam
dengan beberapa inisiatif seperti pembinaan UTC di beberapa bandar utama bagi
memudahkan urusan rakyat, peruntukan sebanyak RM14 juta untuk menaik taraf
kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi serta menjaga kebajikan penjawat
awam dan pesara kerajaan yang tidak berpencen.
Belanjawan 2021 Dari Helicopter View
Berikut adalah perbandingan keutamaan yang disusun di dalam Belanjawan 2020
dan 2021:
2020 (RM bilion) 2021 (RM bilion)
Hasil 227.3 236.9
Perbelanjaan Mengurus 226.7 236.5
Perbelanjaan Membangun 49.0 69.0
Kumpulan Wang Covid-19 38.0 17.0
Di dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, amat wajar
Kerajaan memperuntukkan sebanyak 5.3 peratus dari keseluruhan Belanjawan 2021
khusus membendung wabak ini.
Selain itu, Kerajaan menaikkan peruntukan pembangunan sebanyak 2 peratus
berbanding tahun 2020 selari dengan keadaan ekonomi semasa negara yang
menghadapi kejatuhan sejak perlaksanaan PKP pada Mac 2020 yang lalu. Ia juga
berikutan anggaran KDNK negara yang merosot pada tahun ini berbanding tahun
sebelumnya.
Sektor sosial mendahului sektor lain dengan hampir separuh daripada perbelanjaan
mengurus diperuntukkan bagi sektor ini. Secara terperincinya, sub-sektor yang
paling banyak menerima peruntukan adalah sub-sektor pelajaran dan latihan dengan
jumlah sebanyak RM59.1 bilion bersamaan 61 peratus dari peruntukan sektor sosial.
Sub-sektor kedua di dalam sektor sosial diperuntukkan kepada kesihatan dan
kependudukan (RM27.5 bilion, 28.4 peratus).
Kedua-dua jumlah ini bertepatan dengan jumlah secara keseluruhan yang
menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) adalah tiga kementerian yang tertinggi menerima
peruntukan dengan masing-masing adalah RM50.4 billion dan RM31.9 billion.
Bagi anggaran perbelanjaan membangun mengikut sektor seperti di dalam
Belanjawan 2021 adalah seperti berikut:
Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Pandemik COVID-19 | 8
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Perbelanjaan Membangun (RM bilion)/Bahagian
Ekonomi 38.9 54.7%
Sosial 18.4 25.9%
Keselamatan 7.9 11.0%
Pentadbiran 4.0 5.6%
Simpanan Luar Jangka 2.0 2.8%
Seperti tahun-tahun sebelum ini, sektor ekonomi menerima peruntukan tertinggi di
dalam perbelanjaan membangun bagi merangsang pertumbuhan KDNK negara
dengan nilai yang melebihi separuh dari keseluruhan perbelanjaan, iaitu hampir RM
39 billion. Secara lebih terperinci, tiga sub-sektor tertinggi masih diperuntukkan
kepada sub-sektor pengangkutan, kewangan serta tenaga dan kemudahan awam.
Sub-sektor pengangkutan menerima kenaikan peruntukan sebanyak 23.3 peratus
dari RM12.2 billion (2020) kepada RM15.0 billion (2021). Menariknya, sub-sektor
menerima kenaikan secara drastik, iaitu sebanyak 80.3 peratus dari RM6.2 billion
(2020) kepada RM11.2 billion (2021). Namun begitu, walaupun sub-sektor tenaga
dan kemudahan awam menerima peningkatan peruntukan pada tahun 2020
berbanding 2019, namun bagi tahun 2021, sub-sektor ini menerima penurunan
peruntukan sebanyak 23.2 peratus dari RM4.3 billion (2020) kepada RM3.3 billion
(2021).
Penutup
Belanjawan 2021 adalah merupakan perbelanjaan yang paling tinggi dalam sejarah
berikutan negara secara khususnya dan dunia umumnya menghadapi cabaran
pandemik COVID-19 secara lebih serius. Justeru itu, belanjawan pada kali ini lebih
menumpukan kepada peruntukan untuk survival pasca COVID-19. Selain itu,
Belanjawan 2021 juga boleh dikategorikan sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi
(PRE) kelima akibat COVID-19 dalam tempoh lapan bulan selepas PRE pertama
diumumkan pada Mac 2020. Empat PRE sebelum ini adalah PRE Prihatin Rakyat
(PRIHATIN), Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana Tambahan, Pelan Jana
Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin
(KITA PRIHATIN) yang memberi suntikan fiskal melebihi RM55 billion.
Belanjawan 2021: Belanjawan Survival Pandemik COVID-19 | 9
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
SENARAI RUJUKAN
Kementerian Kewangan Malaysia. (t.t). Tinjauan Ekonomi 2021. Didapatkan dari
treasury.gov: https://www.treasury.gov.my/index.php/fiskal-ekonomi/tinjauan-
ekonomi-2021.html
Kementerian Kewangan Malaysia. (t.t). Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan
2021. Didapatkan dari treasury.gov:
https://www.treasury.gov.my/index.php/fiskal-ekonomi/tinjauan-fiskal-
2021.html
Department of Statistic Malaysia. (t.t). Didapatkan dari dosm:
https://www.dosm.gov.my/v1/index.php