pembangunan insan yang berterusan: asas inisiatif pembinaan ...
Transcript of pembangunan insan yang berterusan: asas inisiatif pembinaan ...
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1055
PEMBANGUNAN INSAN YANG BERTERUSAN: ASAS INISIATIF PEMBINAAN
MODEL PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT WARGA EMAS
AHMAD ZABIDI ABDUL RAZAK (PHD)
Jabatan Pengurusan, Perancangan dan Dasar Pendidikan,
Fakulti Pendidikan,Universiti Malaya
MARIAM ABD. MAJID (PHD)
Jabatan Dakwah dan Pengurusan, KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR
Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, KUIS
SAFINAH ISMAIL
Jabatan Dakwah dan Pengurusan, KUIS
ABSTRAK
Konsep pembangunan insan yang berterusan memberi ruang dan peluang yang seluasnya kepada setiap
individu untuk meningkatkan kualiti diri tanpa ada batasan masa dan had umur. Konsep ini hanya dapat
dilaksanakan melalui pencarian dan penerokaan ilmu pengetahuan secara berterusan. Memandangkan dalam
konteks pendidikan di Malaysia, apabila disebut soal pelaksanaan pemerolehan ilmu pengetahuan,
kecenderungan masyarakat lebih cendrung kepada pembelajaran secara formal daripada peringkat pra-sekolah
sehingga ke peringkat universiti, sedangkan setiap individu termasuk warga emas juga berhak menggarap
minat serta kecenderungan mereka ke arah memperkayakan pengetahuan dan kemahiran. Oleh yang demikian
penulisan ini akan membincangkan satu inisiatif pembinaan model bagi pembelajaran sepanjang hayat warga
emas di Malaysia. Pada peringkat awal penulisan ini akan memberi fokus kepada keperluan warga emas dan
seterusnya akan dikaitkan dengan asas pembentukan model pembelajaran sepanjang hayat warga emas.
Berdasarkan perbincangan ini akan menghasilkan kriteria yang jelas ke arah pembinaan model pembelajaran
warga emas yang komprehensif.
Keywords: Pembangunan Insan, Model Pembelajaran, Warga Emas
PENGENALAN
Warga emas adalah sumber manusia yang bernilai, baik kepada keluarga mahupun kepada
masyarakat dan negara. Dalam konteks Malaysia, masyarakat hari ini sepatutnya berterima
kasih kepada golongan warga tua yang telah menyumbangkan bakti, tenaga dan berkorban
demi untuk mencapai kemakmuran negara. Tanpa pengorbanan mereka, negara tidak
mungkin mencapai tahap yang membanggakan seperti hari ini.
1088
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1056
Terdapat beberapa definisi yang diberikan kepada warga emas. Di antaranya ialah,
warga yang berusia melebihi 60 tahun. Warga tua juga lebih dikenali sebagai ‘warga usia
emas’ (http://www.kempadu.gov.my/jkm/). Manakala Sabitha, di dalam rencananya yang
bertajuk ‘Penelitiaan ke atas perkembangan warga tua dalam mencapai dasar masyarakat
penyayang’ pula memberikan definisi warga emas sebagai mereka yang berusia 60 tahun dan
lebih (Surina Nayan). Selain daripada itu, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010),
warga emas ditakrifkan sebagai orang yang sudah tua. Warga tua atau warga emas ditakrifkan
kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Takrifan ini berpandukan kepada takrifan
yang dibuat di ‘World Assembly on Aging in 1982’ Vienna.
Sementara itu, Dasar Warga Tua Negara menjelaskan bahawa warga emas atau warga
tua adalah mereka yang umur melebihi 60 tahun. Di negara maju dan membangun, Nor
Raudah (2015) memberikan takrifan warga tua ialah mereka yang melebihi 65 tahun
(disebabkan oleh taraf ekonomi, pendidikan, taraf kesihatan yang lebih tinggi, kemudahan
perubatan yang lebih mantap dan jangka hayat yang lebih panjang, berbanding dengan negara
yang sedang membangun).
Secara rumusannya kebanyakan pengkaji yang melakukan kajian ke atas warga emas
telah bersetuju bahawa umur enam puluh lima tahun adalah merupakan had umur yang
realistik untuk digelar sebagai warga emas.
Sementara itu juga pandangan sarjana Islam mengenai warga emas seperti yang
diutarakan oleh Abu Hayyan (1993M/1413H: Jilid 5; 498) pula warga emas ialah mereka
yang telah lemah pancaindera yang ditandai dengan kelemahan pada perkataan dan fikiran
mereka terutamanya terhadap daya ingatan mereka terhadap sesuatu perkara. Manakala,al-
Alữsῖ (1994M/1415H: Jilid 7; 425) pula menyatakan warga emas adalah mereka yang telah
lemah kekuatan fizikal, telah rosak pancaindera sepertimana di waktu mereka kanak-kanak
dahulu. Sedangkan al-Tabari (1992M/1412H: Jilid 7: 615) pula menyatakan warga emas
adalah mereka yang telah berumur 75 tahun ke atas dan akan beransur-ansur menjadi bodoh
seperti di zaman kanak-kanak. Begitu juga pandangan al-Razi (200M/1421H: Jilid 20; 62)
tentang usia emas adalah perpindahan manusia daripada sempurna kepada kekurangan,
daripada kuat kepada uzur dan daripada akal sempurna kepada pelupa (Elmi & Zainab,
2013).
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1057
Kesimpulan daripada perbincangan pada bahagian pengenalan ini memberi gambaran
mengenai had umur yang layak dipanggil warga emas dan ciri-ciri yang mereka miliki.
Gambaran mengenai latar belakang ini bagi membolehkan ditentukan asas yang perlu
disediakan bagi pembinaan model pembelajaran berterusan warga emas di Malaysia.
ASAS KEPERLUAN WARGA EMAS DALAM PEMBINAAN MODEL
PEMBELAJARAN BERTERUSAN
Bahagian ini akan membincangkan asas keperluan yang perlu dipertimbangkan dalam
pembinaan Model pembelajaran Berterusan Warga Emas. Asas pertama ialah, keperluan
kerohanian. Kajian yang dilakukan oleh Aishah @ Eshah Haji Mohamed dan Katimah
Rostam (2012) di dalam kajiannya iaitu Warga Tua Melayu Di Pinggir Wilayah
Metropolitan, Selangor: Pengalaman Dan Persepsi Tentang Diri, mereka mendapati bahawa
antara salah satu keperluan yang penting oleh warga emas adalah keperluan kerohanian.
Majoriti warga emas menghadapi dilema dalam soal kerohanian akibat daripada peningkatan
umur. Tua disamakan oleh mereka dengan penghujung hidup, iaitu sama dengan apa yang
diistilahkan oleh Donatelle pada tahun 2008 sebagai perjalanan terakhir sebelum ‘rehat yang
panjang’. Hal ini berikutan dengan kebimbangan bahawa hakikat sesebuah kematian yang
semakin menghampiri terutama mereka yang menghidap penyakit kronik dan tidak ada
harapan untuk sembuh.
Ketakupayaan diri untuk melakukan ibadah akibat daripada kekurangan fizikal telah
menyebabkan sesetengah daripada warga emas semakin menjauhkan diri mereka dari Allah
SWT. Ada pula yang berusaha untuk beribadah, namun dek kerana sudah uzur, solat mereka
tidak begitu sempurna kerana sudah lupa bacaan, perbuatan dan tertib di dalam solat tersebut.
Ada juga warga emas yang memberi alasan bahawa mereka tidak dapat melakukan atau
menunaikan tuntutan agama itu kerana sakit dan mereka merasakan bahawa Islam memberi
pengecualian bagi golongan seperti mereka. Rata-rata mereka tidak mempunyai persiapan
rohani yang baik untuk melalui hari tua. Ini mungkin dapat juga dikaitkan dengan usia ketika
mereka muda yang kurang dari sudut pendidikan, kemiskinan, cara hidup dan budaya yang
kurang acuh dan tidak prihatin terhadap pendidikan dan amalan agama menyebabkan ramai
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1058
warga emas yang tidak mempunyai persediaan kerohanian yang sepatutnya untuk melalui
hari tua yang penuh cabaran(Elmi & Zainab, 2013).
Kejadian manusia dari unsur roh dan jasad menunjukkan gabungan penting antara
material dan spiritual yang secara tidak langsung dapat membentuk cara hidup manusia agar
lebih tersusun dan sempurna. Hakikatnya manusia atau lebih khususnya warga emas ini
mempunyai kecerdasan rohaniah hidup dalam keadaan yang tenang dan bahagia. Bahkan
kehidupan mereka akan lebih tersusun menyebabkan mereka redha dengan apa jua yang telah
diaturkan oleh Allah SWT di samping usaha yang berterusan dalam diri (Elmi & Zainab,
2013).
Oleh yang demikian, secara jelas di sini di dalam penyediaan model pembelajaran
berterusan kepada warga emas, aspek kerohanian perlu diutamakan. Walaupun tidak
dinafikan kebanyakan warga emas sangat mementingkan unsure kerohanian di dalam
kehidupan mereka. Namun demikian di dalam penyediaan model pembelajaran kepada
mereka, para pendidik perlu memberi perhatian yang serius terhadap kemampuan fizikal,
mental dan emosi serta kemampuan mereka memahami isi pengajaran yang ingin
disampaikan. Pendidik perlu mengelakkan desakan terlalu banyak ilmu sehingga boleh
menyebabkan warga emas menjadi bimbang dan takut sekiranya mereka tidak dapat
menguasai ilmu kerohanian tersebut. Biar lah penerapana nilai kerohanian disampaikan oleh
para pendidik mengikut kemampuan kebolehan warga emas dan mereka dapat menguasai
ilmu yang disampaikan dengan baik.
Bagi memastikan penyampaian ilmu kerohanian kepada warga emas dapat
dilaksanakan dengan berkesan, maka para pendidik di pondok juga perlu mengikuti latihan
yang bersesuaian kerana hanya dengan latihan akan menambah kemahiran seseorang
pendidik tersebut. Akhirnya akan memberi hasil pelaksanaan pengajaran pembelajaran yang
lebih berkesan terhadap warga emas.
Asas kedua yang perlu diberi perhatian ialah keperluan dorongan dan kasih
sayang. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Rosnah Ismail dan Habibie Ibrahim,
Universiti Malaysia Sabah yang bertajuk Wanita dan Penjagaan Warga Tua: Satu Kajian
Awalan di Daerah Tuaran, Sabah. Ia menunjukkan sebanyak 12.1 peratus responden
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1059
memerlukan dorongan dan kasih sayang. Hasil kajian tersebut menunjukkan warga emas
berasa diberi perhatian sekiranya sentiasa ada seseorang menemaninya, sentiasa ada orang
yang mengambil tahu kebajikannya, sentiasa ada seseorang yang berbual-bual dengannya dan
sentiasa dikunjunginya.
Menyentuh mengenai keperluan warga emas, ia menunjukkan selain keperluan asas
seperti makan, minum, rawatan kesihatan dan ubat-ubatan dan kewangan, yang paling utama
sekali warga emas memerlukan dorongan kasih sayang. Keperluan-keperluan asas telah dan
boleh disedia dan diberikan oleh pihak kerajaan, swasta, badan-badan sukarela dan keluarga.
Tetapi, keperluan penting yang bersifat intrinsik dan melibatkan emosi amatlah penting bagi
warga emas serta memerlukan perhatian serius. Sememangnya di peringkat ini, mereka
merasakan diri mereka diabaikan, tidak disayangi dan diambil peduli, disisihkan daripada
keluarga yang mungkin menimbulkan perasaan sedih, kemurungan, kesunyian, rendah ‘self
esteem’ lemah semangat dan sebagainya (Rosnah & Habibie, 2002).
Kesimpulannya para pendidik kepada warga emas perlu menitikberatkan soal
penerapan kasih sayang dalam pelaksanaan pengajaran pembelajaran terhadap warga emas.
Aspek kasih sayang kepada warga emas perlu dititikberatkan kerana pada umur mereka
sebegini, mereka lebih sensitif. Oleh yang demikian, jika pelaksanaan pengajaran yang
mungkin boleh dianggap agak kasar kepada warga emas kemungkinan boleh membawa
kepada sikap penolakan dalam kalangan mereka dan lebih serius mereka akan menolak untuk
menambah ilmu pengetahuan sebaliknya memilih jalan untuk bersendirian sahaja di pondok.
Oleh yang demikian, seseorang pendidik warga emas perlu menyampaikan ilmu dengan lebih
berhikmah dan penuh kasih sayang. Jika semasa pelaksanaan proses pengajaran dan
pembelajaran kepada warga emas mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk
memahamkan mereka dengan sesuatu topic perbincangan, para pendidik perlu lebih sabar dan
tabah serta terus menyampaikan ilmu tersebut dengan penuh kasih sayang kepada warga
emas. Dengan cara ini akan menjadikan jiwa warga emas lebih lembut dan bersedia
menambah ilmu pengetahuan mereka.
Bagi merealisasikan pembelajaran yang berasaskan kerohanian dan kasih sayang,
maka sebaiknya para pendidik warga emas menguasai ciri pendidikan dewasa kerana konsep
ini akan menjelaskan cara penyampaian ilmu yang bersesuaian kepada warga emas.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1060
Perbincangan ini dimulakan dengan teori pembelajaran dewasa kerana dengan memahami
sesuatu teori akan membantu cara pelaksanaan cara pengajaran dan pembelajaran dewasa.
TEORI PEMBELAJARAN DEWASA
Menyentuh tentang teori pembelajaran, banyak pendapat menyatakan mengapa seseorang
dewasa belajar. Seseorang dewasa dikatakan bersedia untuk belajar apabila mereka
berhadapan dengan situasi yang rumit, yang menuntut agar mereka belajar bagi memperbaiki
kualiti hasil kerja atau peringkat kehidupan seharian. Ini termasuk individu sama ada seorang
pekerja, suami atau isteri, ibu atau bapa, seorang ketua sesebuah organisasi atau pekerja
dalam organisasi. Pelajar dewasa lebih suka pembelajaran yang berkaitan dengan pengalaman
hidupnya dan ia akan menjadi lebih bermakna apabila pembelajaran itu boleh diaplikasikan
dalam menyelesaikan sebarang masalah harian atau masalah-masalah di tempat kerja
(Reizen, 1996).
Daripada pandangan Knowles(1984) pula ia mengatakan bahawa pada suatu peringkat
kehidupan seseorang dewasa, orientasi pembelajaran lebih tertumpu kepada keperluan diri,
sama ada ia berorientasikan masalah, pekerjaan ataupun kehidupan. Sekiranya
berkemampuan, ia mahu mengaplikasikan apa sahaja yang telah dipelajarinya secepat
mungkin.
Aslanian dan Brickell (1980) seterusnya menambah bahawa faktor penyebab
seseorang untuk belajar ialah akibat perubahan dalam hidup keluarga seperti perkahwinan,
kelahiran, perceraian dan kematian serta faktor-faktor lain seperti penggunaan masa lapang
dan mahu mencapai kepuasan tugas yang lebih tinggi. Namun begitu, perkara ini agak
dinamik untuk dinilai berdasarkan keperluan dari segi kasta, budaya, sosio-ekonomi dan
tahap kematangan.
Dalam aspek tahap kematangan contohnya, Merriam (2001) mengklasifikasikannya ke dalam
tiga peringkat umur iaitu:
1. Dewasa awal (18-30 tahun), tugas kedewasannya meliputi pemilihan calon pasangan
untuk pembentukan dan pembangunan keluarga serta pemantapan kerjaya.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1061
2. Dewasa pertengahan (35-60 tahun), tugas kedewasaannya meliputi tanggung jawab
sebagai warga negara dan anggota masyarakat, memantapkan keluarga dalam membantu
anak untuk menuju tahap kematangan.
3. Dewasa matang (65 tahun ke atas), tugas kedewasaannya meliputi penyesuaian diri
dengan penurunan keupayaan diri serta kestabilan hidup dari aspek kemasyarakatan,
mental, fizikal dan rohani.
Berdasarkan pengertian di atas dapat disimpulkan bahwa pendidikan orang dewasa
adalah suatu proses belajar yang sistematik dan berterusan pada seseorang yang telah
memiliki status dewasa dengan tujuan untuk mencapai perubahan pada pengetahuan, sikap
dan keterampilan. Namun demikian, berdasarkan perbincangan di atas berkaitan teori
pembelajaran dewasa menunjukkan golongan dewasa mempelajari sesuatu kerana unsur
desakan, sebaliknya dalam konteks warga emas, mereka belajar bukan lagi kerana terpaksa,
tetapi lebih kepada bagi mengisi masa terluang dan juga sebagai kesedaran untuk menambah
ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, dalam penggunaan teori pembelajaran dewasa ini,
para pendidik warga emas perlu memilih pendekatan daripada teori yang sesuai untuk
digunakan terhadap warga emas dan bukannya mengikuti sepenuhnya tuntutan teori ini. Oleh
yang demikian, bagi memastikan pelaksanaan pengajaran pembelajaran terhadap warga emas
lebih berkesan, maka sebaiknya pendidik warga emas perlu memahami ciri pendidikan
dewasa.
CIRI PENDIDIKAN DEWASA
Bahagian ini menghuraikan bahawa secara umumnya, pendidikan orang dewasa terbahagi
kepada dua bahagian (Abduhak, 2000):
1. Pendidikan asas (Adult Basic Education), iaitu tahap pendidikan kepada golongan
dewasa yang pendidikan kepada golongan dewasa yang tidak berkesempatan atau tidak
berpeluang untk mendapatkan ilmu asas dalam bidang-bidang tertentu tetapi ianya perlu
dimiliki sebagai ilmu asas di dalam masyarakat. Kedudukan pendidikan ini menjadi dasar
untuk mengikuti tahap pembelajaran yang lebih tinggi. Pemberatan untuk menguasai ilmu di
tahap ini agak rendah dan boleh disampaikan dengan cara santai.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1062
2. Pendidikan lanjutan (continuing Education), iaitu tahap pembelajaran yang mempelajari
sesuatu ilmu untuk menjadi seorang yang lebih pakar sesuai dengan keperluan perkembangan
dalam bidang yang diceburi. Ia akhirnya boleh dijadikan nilai tambah untuk kehidupan yang
lebih sempurna. Ilmu ini dipelajari dengan cara yang lebih serius, fokus dan disampaikan
dengan cara yang penuh teliti dan memerlukan kepakaran yang tinggi.
Berdasarkan kepada dua ciri pendidikan dewasa ini menunjukkan bahawa golongan
warga emas mempunyai kedua-dua ciri tersebut. Terdapat dalam kalangan warga emas yang
memenuhi ciri pertama iaitu mereka yang tidak berkesempatan untuk mengikuti ilmu
kerohanian secara lebih endalam ketika usia muda, dan ada juga dalam kalangan mereka yang
memenuhi cirri kedua iaitu tidak pakar atau banyak tidak mengetahui mengenai ilmu
kerohanian. Oleh yang demikian, pendidik warga emas ciri warga emas yang mereka didik
agar dapat memenuhi kehendak kedua-dua ciri pembelajaran dewasa tersebut
Sementara itu menurut Al-Rawi (1993), beberapa ciri pendidikan dewasa menurut
Islam ialah: Pertama, pendidikan dewasa merupakan satu proses pembelajaran sepanjang
hayat iaitu dari “buaian hingga ke liang lahad”. Hanya yang membataskan pendidikan
seseorang ialah kebolehannya untuk belajar kerana individu yang berlainan mempunyai
kemampuan yang berbeza untuk belajar. Kedua, pembelajaran yang berulang-ulang
merupakan amalan umat Islam yang terdahulu. Ini kerana di awal tamadun Islam, sistem
pendidikan formal tidak begitu kemas seperti masa kini, yang mana individu sering belajar
dan bekerja secara tukar ganti mengikut kesesuaian masa. Ini kerana dalam pembelajaran
terdapat kata-kata hikmat seperti “Seseorang tidak sempurna amalnya jika ia tidak belajar,
dan tidak menjadi orang yang terdidik jika ia tidak melakukan sesuatu mengikut apa yang
dipelajari.”
Ketiga, ialah konsep masyarakat berpelajaran (Learning Society) merupakan satu
tuntutan dalam Islam. Walaupun konsep ini sering dilaung-laungkan dewasa ini, tetapi
mengikut sejarah Islam, dalam era pemerintahan Abbasiah seluruh masyarakat Arab ketika
itu telah mengalami transformasi pendidikan iaitu masyarakat tersebut dianggap sebagai satu
institusi pembelajaran yang besar. Bidang-bidang pendidikan yang telah bertapak ketika itu
ialah undang-undang Islam, kenegaraan dan politik.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1063
Ulasan di atas menunjukkan bahawa Islam sangat mementingkan umatnya menuntut
ilmu bagi menjamin kebahagian hidup dunia dan akhirat. Manusia keseluruhannya, termasuk
mereka yang baru memeluk Islam ditugaskan untuk menjadi khalifah atau pengatur kepada
alam semesta ini.
Oleh itu perkara utama yang mereka mesti laksanakan ialah menuntut ilmu mengenai
agama yang baru dianuti. Ini mencadangkan bahawa suatu program pembelajaran khususnya
secara tidak formal dibentuk bagi memudahkan mereka menjalani tuntutan hakiki tersebut
dan dapat memenuhi kehendak asas kerohanian dan kasih sayang. Seterusnya dibincangkan
mengenai konsep pelaksanaan ciri-ciri pembelajaran dewasa.
KONSEP PELAKSANA TENTANG CIRI-CIRI PEMBELAJARAN DEWASA.
Titik fokus pendidikan Islam tidak terbatas pada kemampuan beribadah, tetapi mencakup
seluruh aspek kehidupan. Dengan demikian semua ilmu yang dikembangkan para ahli
pemikir Islam adalah ilmu Islam, yang harus diajarkan dalam proses pembelajaran Islam.
Menurut Langgulung (1980), “Kelebihan manusia sehingga diangkat oleh Allah sebagai
khalifah sedangkan malaikat tidak dipilih adalah kerana manusia itu memiliki ilmu. Jadi ilmu
itulah yang menjadi isi kandungan pendidikan”.
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya:
“Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diminta kepada kamu
memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka
lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala
halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka
bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang
beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu
pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1064
(ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang
kamu lakukan”.
Al-Mujaadīlah (58): 11
Ia menyoroti pembelajaran sebagai hal yang bukan hanya sekadar pengetahuan tetapi
ia perlu di amalkan di dalam kehidupan. Faktor yang menggalakkan pembelajaran dewasa
dan penggunaan pengalaman dalam pembelajaran dewasa. Ku Md. Ali (1997) melaporkan
bahawa ahli psikologi berpendapat bimbingan adalah sebahagian daripada komponen dalam
program pendidikan dewasa. Perkhidmatan bimbingan merupakan nadi terpenting dalam
menpastikan saudara baru untuk terus kekal di atas dasar tauhid, menghayati tuntutan agama
dan memandu untuk menjalani kehidupan ke jalan yang diredhai serta dibenarkan oleh
syariat.
Dalam konteks penghidupan seseorang insan, selain pembimbing, “role model”
adalah juga penting. Mereka sangat memerlukan seseorang yang boleh menjadi contoh
seperti fasilitator kelas agama, ustaz, imam masjid, pegawai organisasi dan pemimpin
tempatan lain yang beragama Islam serta jiran dan rakan. Ini bertepatan dengan teori “
Pembelajaran Sosial” Bandura (1977) yang mana seseorang individu belajar melalui
pemerhatian dan interaksi dengan anggota sosial lain dalam aktiviti seharian. Oleh itu para
pelajar perlu didedahkan dengan pengetahuan dan amalan yang betul mengenai Islam. Ini
mencadangkan betapa pentingnya diwujudkan program pembelajaran khusus untuk mereka
dan model ini akan dapat dibentuk dengan lebih berkesan dengan memahami sukatan
pendidikan yang bersesuaian bagi golongan dewasa.
SUKATAN PENDIDIKAN DEWASA
Bahagian ini membincangkan mengenai sukatan pendidikan yang bersesuaian bagi
pendidikan dewasa. Menyedari akan hakikat bahawa Islam itu merangkumi keseluruhan cara
hidup dan amalan setiap detik bagi seorang muslim, maka Pendidikan Islam menekankan
aspek ilmu, amalan dan penghayatan. Warga emas perlu diberi pengetahuan dan kefahaman
yang mendalam serta mencukupi tentang pelbagai persoalan dan isu kehidupan yang luas
bagi mencorak dan mempengaruhi budaya serta cara hidup mereka. Walaupun tidak
dinafikan dengan tempoh masa kehidupan mereka yang lebih lama, sudah banyak perkara
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1065
yang mereka ketahui, tetapi dalam konteks ilmu, lagi banyak seseorang itu mendalami ilmu,
lagi banyak sebenarnay dia belum mengetahuinya. Oleh yang demikian, warga emas masih
lagi perlu didedahkan dengan kepelbagaian ilmu yang bersesuaian dengan tahap kemampuan
mereka. Rentetan itu, sukatan pendidikan yang jelas dapat membantu menentukan ilmu yang
bersesuaian kepada warga emas.
Perkara ini telah ditegaskan oleh Mahfuz (1992) yang mana beliau menyatakan,
sukatan pelajaran hendaklah bukan sekadar peringkat asas sahaja, tetapi perlu lebih
mendalam. Daripada segi teknik penyampaian oleh fasilitator, dicadangkan bahawa program
dakwah perlu dimulakan dengan perkara-perkara yang menjadi kegemaran mereka dahulu,
contohnya kemasyarakatan atau pergaulan sosial kemudian sedikit demi sedikit dikaitkan
dengan agama. Pendidik juga perlu menghalusi percakapan mereka kerana dengan demikian
perkara yang dipelajari mudah meresap ke dalam jiwa seseorang. Pendidik perlu sensitif
terhadap sasaran yang dituju. Sebagai contoh, mereka boleh memulakan sesi pembelajaran
dengan mengajak memikirkan tentang kejadian alam, kehebatan pencipta alam ini dan
sebagainya.
Dalam konteks pendidikan di pondok, sukatan pendidikan juga boleh merujuk kepada
kitab Islam klasik yang lebih popular dengan kitab kuning atau kitab gundul. Pengajaran
kitab klasik di pondok merupakan upaya memelihara literature Islam klasik. Pengajaran kitab
Islam klasik dijadikan sebagai sarana untuk bekalan kepada para santri dengan pemahaman
warisan keilmuan Islam masa lampau atau jalan kebenaran menuju kesedaran diri dan
pembersihan hati (tazkiyah al-nafs), bahkan juga dengan tugas masa depan dalam kehidupan
masyarakat. Pengajaran kitab Islam merupakan salah satu cara yang ditempuh untuk
membekalkan santri sebagai calon ulama dengan ilmu keislaman yang kelak berpindah
kepada masyarakat secara lebih luas. Adapun metode yang lazim digunakan dalam pondok
atau pesantren adalah metode wetonan, bandongan dan sorogan (Muhammad Idris).
Dengan kepelbagaian pendekatan yang berhikmah kepada warga emas ini akan
memastikan pelaksanaan model pengajaran pembelajaran kepada mereka akan lebih berkesan
dan membuahkan hasil yang bermakna kepada warga emas.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1066
RUMUSAN
Berdasarkan perbincangan ini menunjukkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
kepada warga emas akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan sekiranya pendidik warga
emas menerapkan dua asas utama iaitu aspek kerohanian dan juga kasih sayang. Kedua
aspek ini perlu pula dikaitkan dengan ciri-ciri pembelajaran dewasa agar para warga emas
tidak merasa tertekan di dalam mempelajari sesuatu ilmu di pondok-pondok. Model
pengajaran yang mementingkan kerohanian dan kasih sayang serta berasaskan pembelajaran
dewasa dapat direalisasikan di insititusi pondok kerana kebanyakan warga emas memilih
untuk menetap di pondok ketika usia emas mereka.
Oleh yang demikian dicadangkan antara model pendekatan yang digunakan di pondok
ini adalah berbentuk tradisional dan moden. Sukatan-sukatan pelajarannya juga sedikit
berbeza berbanding dengan sekolah aliran biasa. Pendekatan pengajaran institusi ini lazimnya
dalam bentuk sehala, di mana guru menerangkan tanpa banyak persoalan balas daripada
pelajar. Pelajar juga diajar secara amali tentang pelaksanaan Islam dalam kehidupan. Sebagai
contoh, mereka mengikut secara langsung amalan guru-guru dalam perkara ibadah dan
kemasyarakatan (Badriyyah Hj.Salleh, 1984). Guru yang dimaksudkan di sini ialah bagi ciri
yang paling sesuai bagi sesebuah pondok adalah adanya seorang kiyai. Kiyai atau
anregurutta pada hakikatnya adalah gelaran yang diberikan kepada seorang yang mempunyai
ilmu agama yang luas, karisma dan berwibawa. Keberadaan kiyai dalam pondok ini sangat
sistematik dan berpusat. Lembaga pendidikan Islam disebut pondok atau pesanteran apabila
memiliki tokoh sentral yang disebut kiyai. Bahkan turun naiknya pondok ditentukan oleh
wibawa dan karisma seorang kiya. Tuntasnya, dengan cara pembelajaran berguru kan kiyai
sebegini akan memberikan penerapan nilai kerohanian dan kasih sayang kerana warga emas
rapat dengan guru mereka serta menghormati kiyai tersebut
Pelajar-pelajar yang tamat pengajian pulang ke kampung halaman masing-masing dan
membuka pondok pengajian mereka pula di sana. Justeru, tidak hairanlah institusi ini
memainkan peranan yang penting dalam perkembangan Islam walaupun mungkin tidak
begitu terbuka sebagaimana sistem pendidikan yang terdapat pada hari ini. Sekolah pondok
boleh dianggap sebagai suatu legasi pendidikan tertua yang berpengaruh di Tanah Melayu
pada waktu ketika dahulu (Muhd Nur Manutty, 1984).
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1067
Berdasarkan kurikulum atau sistem pendidikan yang digunakan, sistem pondok dapat
dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu:
i) Pondok Tradisional (salaf)
Pondok ini masih mempertahankan bentuk aslinya dengan mengajarkan kitab yang ditulis
oleh ulama abad ke-15 dengan menggunakan bahasa Arab. Pola pengajarannya dengan
menerapkan sistem halaqah yang dilaksanakan di masjid. Hakikat dari sistem pengajaran
halaqah ini adalah penghafalan yang titik akhirnya dari segi metodologi cenderung
kepada terciptanya santri yang menerima dan memiliki ilmu. Maksudnya ilmu tidak
berkembang kea rah penyempurnaan ilmu itu, melainkan hanya terbatas pada apa yang
diberikan kyai. Kurikulum sepenuhnya ditentukan oleh para kyai pengasuh pondok.
ii) Pondok Moden (Khalaf atau asri)
Pondok ini merupakan perkembangan pondok yang orientasinya pembelajarannya
cenderung kearah seluruh sistem pembelajaran yang klasik dan meninggalkan sistem
pembelajaran tradisional. Penerapan sistem pembelajaran moden ini terutamanya Nampak
pada penggunaan kelas pembelajarannya baik dalam bentuk madrasah mahupun sekolah.
Kurikulum yang dipakai atau digunakan adalah kurikulum nasional atau negara.
kedudukan para kyai sebagai koordinator pelaksana proses pembelajaran dan sebagai
pengajar di kelas. Perbezaannya dengan sekolah dan madrasah terletak pada tahap
pendidikan agama Islam dan bahasa Arab lebih menonjol sebagai kurikulum tempatan.
iii) Pondok Komprehensif
Jenis pondok ini merupakan sistem pendidikan dan pengajaran gabungan antara
tradisional dan moden. Pendidikan diterapkan dengan pengajaran kitab kuning dengan
metode sorongan, bandongan dan wetonan yang biasanya diajarkan pada malam hari
sesudah solat Maghrib dan sesudah solat Subuh. Proses pembelajaran sistem klasikal
dilaksanakan pada waktu pagi sehingga waktu tengah hari seperti di madrasah atau
sekolah secara amnya.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1068
Dengan penyebaran ilmu daripada kepelbagaian jenis pondok sebegini akan
menjadikan konsep pembelajaran sepanjang hayat tanpa mengira batasa masa dan tempat
akan lebih meluas dan ini akan menjadikan masyarakat lebih berilmu dan seterusnya boleh
meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat yang bertakwa kepada Allah s.w.t.
RUJUKAN
Abduhak, I. (2000). Metodologi Pembelajaran Orang Dewasa.Bandung: Andira.
Aishah@Eshah Haji Mohamed & Katiman Rostam. (2012) .Warga Tua Melayu Di Pinggir
Wilayah Metropolitan, Selangor:Pengalaman Dan Persepsi Tentang Diri.
GEOGRAFIA Online Malaysia Journal of Society and Space 8 issue 6(1 - 14) ISSN
2180-2491.
Al-Rawi, Musare. (1993). Islam and Adult Education. Covergence 26 (1):hlm 83-91.
Aslanian, G. B. dan H. M. Brickell. (1980). Americans in Transition: Life Change as Reasons
for Adult Learning. New York: College Entrance Examination Board.
Badlihisham Mohd Nasir (2010). Pendidikan dalam Gerakan Islam di Malaysia: Satu
Tinjauan. Journal of Islamic and Arabic Education 2(1), ms 4.
Bandura, A. (1977). Social Learning Theory. New Jersey: Prentice Hall.
Elmi Baharuddin & Zainab Ismail (2013). Hubungan Kecerdasan Rohaniah Warga Tua
dengan Amalan Agama di Rumah Kebajikan. Islamiyyat 35 (1). ms 20-21.
Hasan Langgulung. (1980). Beberapa Pemikiran Tentang Pendidikan Islam. Bandung: Al-
Ma’arif.
Knowles, M. (1984). The Adult Learner : A Neglected Species. Houston: Gulf Publishing.
INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016) SEMINAR ANTARABANGSA AKIDAH, DAKWAH DAN SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)
1069
Ku Md. Ali B. Hj. Ku Ramli. (1997). Dakwah kepada saudara baru: satu kajian mengenai
pendekatan dalam aspek bimbingan dan kebajikan. Kertas projek Sarjana Muda,
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor.
Mahfuz Haji Teh. (1992). Kefahaman tentang Islam dan pengamalannya oleh saudara baru:
satu kajian khusus di Kuala Lumpur. Kertas projek Sarjana Muda, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Merriam, S. B. (2001). Andragogy and Self-Directed Learning: Pillars of Adult Learning
Theory. New Directions for Adult and Continuing Education, 2001: 3–14.
doi: 10.1002/ace.3
Muhammad Idris Usman.(tt). Pesantren Sebagai Lembaga Pendidikan Islam. Indonesia.
Nor Raudah Siren (2015). Psikologi dan Penerimaan Warga Emas di kompleks Warga Emas
al-Jenderami. Jurnal Usuluddin 41. ms 75.
Reizen, K. V. (1996). Non-Formal Education And Community Development: Improving The
Quality. Convergence XXIX (1):hlm 82-93.
Rosnah Ismail & Habibie Ibrahim. (2002). Wanita dan Penjagaan Warga Tua: Satu Kajian
Awalan di Daerah Tuaran, Sabah. Sekolah Psikologi Dan Kerja Sosial. Universiti
Malaysia Sabah. Jilid 4& 5/ Jun & Dis 2002. ms 43-44.
Surina Nayan. Keperihatinan Yang Luntur Terhadap Warga Emas. Jurnal Intelek. ms 2-3.
http://www.kempadu.gov.my/jkm/