Parameter Pilihan Pengguna Islam Dalam Produk...
Click here to load reader
-
Upload
nguyentram -
Category
Documents
-
view
241 -
download
7
Transcript of Parameter Pilihan Pengguna Islam Dalam Produk...
287
Parameter Pilihan Pengguna Islam Dalam Produk Pembiayaan Perumahan
Berasaskan Maqasid Syariah
Zamzuri Zakaria & Farah Farhanah Safie
Universiti Kebangsaan Malaysia
ABSTRAK
Pembiayaan perumahan merupakan salah satu proses pemilikan harta yang ditawarkan
dalam bentuk produk oleh institusi kewangan pada masa kini. Islam sememangnya
mengharuskan pemilikan harta tetapi ia mestilah menepati peraturan dan prinsip yang
ditetapkan. Namun terdapat kajian lepas yang menunjukkan bahawa faktor agama tidak
menjadi kriteria utama pilihan pengguna Islam ketika memilih sesuatu produk
pembiayaan perumahan. Faktor-faktor lain seperti perkhidmatan yang cepat dan cekap
adalah lebih diutamakan. Ia dikaitkan dengan kurangnya kefahaman dan juga ketiadaan
panduan yang tepat dan komprehensif dalam membuat pilihan. Oleh itu, kertas ini
bertujuan untuk membina parameter pilihan pengguna Islam dalam memilih produk
pembiayaan perumahan. Teori maqasid syariah akan diadaptasikan dengan kriteria
pilihan popular pengguna bagi memastikan ia memenuhi kehendak syarak dan juga
kehendak pengguna. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan mengambil pendekatan
penganalisisan dokumen. Hasil kajian menunjukkan bahawa pengguna mestilah
meletakkan prinsip-prinsip halal dan haram sebagai kriteria utama pemilihan produk
pembiayaan perumahan. Kemudian diikuti pula dengan melihat kepada tingkat
keperluan daruriyyat yang diperlukan bagi setiap pengguna. Seterusnya, pemilihan
tersebut hendaklah terhindar dari kemudaratan disamping menawarkan produk yang
berkualiti. Implikasi kajian ini bukan sahaja boleh menjadi panduan kepada pengguna
ketika membuat keputusan pemilihan, bahkan ia juga boleh menjadi parameter sama
ada untuk produk baru, penambahbaikan atau penilaian kepada produk pembiayaan
perumahan sedia ada.
Kata kunci: Kriteria Pilihan Pengguna, Parameter Pilihan Pengguna, Produk
Pembiayaan Perumahan, Maqasid syariah.
Pendahuluan
Kediaman merupakan salah satu daripada keperluan daruri kepada seseorang individu.
Purata mereka tidak mampu untuk memiliki kediaman kecuali melalui pembiayaan
yang ditawarkan oleh institusi kewangan sama ada pembiayaan secara Islam atau
pinjaman secara konvensional. Di Malaysia, pembiayaan perumahan secara Islam
bermula apabila tertubuhnya Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada tahun 1983
sebagai alternatif baru kepada pengguna dalam pemilihan produk pinjaman perumahan
yang sebelumnya hanya ditawarkan oleh institusi kewangan konvensional (Fadzila
Azni Ahmad 2003).
Oleh itu, pengguna di Malaysia hari ini mempunyai pilihan sama ada untuk memilih
produk pembiayaan perumahan secara Islam atau pinjaman perumahan konvensional.
288
Namun, bagi pengguna Islam, mereka wajib mengambil produk yang patuh syarak iaitu
produk yang selaras dengan prinsip-prinsip syariah yang telah digariskan oleh Islam.
Bagi produk yang patuh syarak, mereka bebas untuk memilih jenis produk dan institusi
kewangan mengikut kehendak mereka berdasarkan yang mana lebih memberi kebaikan
atau kemaslahatan.
Namun kajian lepas yang berkaitan dengan kriteria pilihan pengguna Islam,
menunjukkan bahawa pengguna tidak meletakkan elemen “prinsip syariah” sebagai
kriteria pilihan utama dalam pemilihan produk pembiayaan perumahan mereka.
Menurut kajian Haron et al. (1994) dan Ahmad & Haron (2002) berkaitan faktor
pemilihan perbankan Islam oleh pelanggan, mereka mendapati bahawa responden
Islam tidak memilih faktor agama dalam senarai lima pilihan utama yang diberikan.
Responden Islam lebih mengutamakan faktor perkhidmatan yang efisyen, kos dan
untung. Begitu juga dalam kajian Mokhtar dan Izah (2010), meskipun faktor agama
termasuk dalam senarai pilihan pengguna, tetapi ia hanya berada pada pilihan ketiga.
Oleh itu timbul persoalan, mengapa pengguna Islam meminggirkan faktor agama dalam
pilihan mereka? Apakah parameter terbaik sebagai panduan pengguna Islam dalam
pemilihan sesuatu produk pembiayaan perumahan agar memenuhi kehendak mereka
dan kehendak syarak?
Selain faktor pengetahuan (Haron 1994), penulis mendapati belum ada satu panduan
khusus tentang pilihan pengguna dalam pembiayaan perumahan secara Islam.
Sekiranya pengguna merujuk kepada bank, mereka biasanya akan mengetengahkan
kelebihan masing-masing agar pengguna menggunakan perkhidmatan pembiayaan atau
pinjaman yang ditawarkan oleh mereka. Manakala kajian-kajian lepas yang berkaitan
hanya menyusun kriteria secara umum dalam pemilihan perbankan Islam, dan tidak
mengkhususkan kepada produk pembiayaan perumahan. Walaupun terdapat artikel
secara khusus yang memberi panduan dalam mengambil hutang perumahan (Victor
2013), namun di dalamnya tiada perbincangan berkaitan nilai-nilai Islam. Oleh itu,
kertas kerja ini bertujuan untuk membina parameter pilihan pengguna Islam dalam
produk pembiayaan perumahan berdasarkan kepada pilihan popular pengguna dan teori
maqasid syariah.
Metodologi
Kajian ini berbentuk kualitatif berdasarkan permasalahan kajian yang telah
dikemukakan. Seterusnya, kajian ini menggunakan teknik pengumpulan data secara
analisa kandungan daripada sumber primer dan sumber sekunder. Kaedah deduktif
adalah kaedah penyelidikan yang paling sesuai bagi mengenalpasti kehendak pengguna
dan kehendak syarak dalam pembiayaan perumahan. Ini kerana ia memerlukan
penelitian menyeluruh daripada data-data yang dikumpulkan seterusnya akan dianalisis
sehingga menghasilkan satu parameter yang dikehendaki.
Kriteria pilihan pengguna dalam produk pembiayaan perumahan
Kajian lepas berkaitan kriteria pilihan terhadap produk pembiayaan perumahan telah
dilakukan oleh beberapa pengkaji, antaranya ialah Tan & Chua (1986), Kaynak et.al
(1991), Khazeh & Decker (1992), Boyd et.al (1994), Sudin Haron & Norafifah Ahmad
289
& Sandra L. Planisek (1994), Reeves & Bednar (1996), Kennington et.al (1996), Elliot
et.al (1996), Metawa & Almossawi (1998), Almossawi (2001), Gerrard & Cunningham
(2001), Ford & Jones (2001), James Francis Devlin (2002), Norafifah Ahmad & Sudin
Haron (2002), Devlin & Ennew (2005), Constantine Lymperopulos & Ioannis &
E.Chaniotakis & Magdalini Souveli (2006), Zarehan Selamat & Hazlina Abdul Kadir
(2012) dan Afroza Parvin & Rumana Perveen (2012).
Meskipun kajian Metawa & Almossawi (1998) mendapati bahawa penyediaan produk
dan perkhidmatan yang patuh syariah adalah faktor utama oleh majoriti pelanggan
dalam pemilihan perbankan diikuti dengan faktor lain yang turut dianggap penting iaitu
pengaruh bank, lokasi bank yang selesa, kadar faedah yang ditawarkan bank dan
pengetahuan pelanggan. Namun kajian yang dibuat di Malaysia yang mempunyai dwi-
perbankan, perbankan konvensional dan Islam, seperti kajian Sudin Haron et.al (1994)
dan Ahmad & Haron (2002) terhadap faktor yang mempengaruhi pemilihan perbankan
Islam oleh pengguna mendapati responden Islam tidak memilih faktor agama dalam
senarai lima pilihan utama yang diberikan. Mereka lebih mengutamakan faktor
perkhidmatan yang cepat dan cekap, kemesraan kakitangan, kelajuan transaksi, reputasi
bank serta kos dan untung. Disamping itu, kajian Haron et.al (1994) juga menunjukkan
bahawa caj perkhidmatan yang rendah memberi pengaruh yang kuat bagi orang Islam
dan bukan Islam dalam proses pemilihan perbankan. Hasil yang sama juga diperolehi
dalam kajian Zarehan Selamat & Hazlina Abdul Kadir (2012) dan Afroza Parvin &
Rumana Perveen (2012).
Pilihan ini sama dengan kajian ke atas pelanggan di negara luar. Antaranya ialah kajian
James Francis Devlin (2002) berkaitan kriteria pilihan pelanggan dalam pinjaman
perumahan di United Kingdom mendapati bahawa nasihat professional merupakan
kriteria utama yang menjadi keutamaan pelanggan ketika membuat pemilihan pinjaman
perumahan. Hasil kajian ini turut disokong oleh Devlin & Ennew (2005). Kriteria lain
yang turut dianggap penting adalah kadar faedah dan jumlah pinjaman yang ditawarkan
oleh perbankan. Manakala kriteria yang kurang menjadi pilihan pelanggan adalah
kualiti perkhidmatan bank. Hasil kajian ini sekaligus bercanggah dengan apa yang
ditemui oleh Lymperopoulus (2006) yang mendakwa bahawa kualiti perkhidmatan
merupakan pilihan utama oleh pelanggan dalam mendapatkan pembiayaan perumahan.
Selain itu, kajian oleh Tan & Chua (1986) di Singapura menunjukkan bahawa nasihat
daripada keluarga dan rakan-rakan adalah faktor utama yang mendorong pemilihan
perbankan berbanding faktor-faktor yang lain seperti reputasi, waktu operasi, kelajuan
perkhidmatan, kesopanan kakitangan dan lokasi. Walaubagaimanapun, hasil kajian ini
bercanggah dengan kajian Gerrard & Cunningham (2001) dimana pengaruh pihak
ketiga seperti pengaruh rakan, keluarga dan guru tidak lagi penting manakala faktor
utama yang mempengaruhi pemilihan adalah faktor keselamatan.
Sementara itu, kajian Khazeh & Decker (1992) mendapati bahawa caj perkhidmatan,
reputasi, kadar pinjaman, masa yang diperlukan bagi kelulusan pinjaman dan
keramahan juruwang adalah faktor yang paling penting dalam mempengaruhi
pengguna dalam pemilihan perbankan. Berbeza pula dengan kajian oleh Kaynak et.al
(1991), faktor-faktor utama yang mempengaruhi pengguna adalah kemesraan pekerja,
lokasi cawangan berhampiran dengan tempat tinggal, perkhidmatan yang cepat dan
cekap, ketersediaan kredit dan kaunseling kewangan adalah merupakan faktor yang
paling penting bagi pengguna dalam pemilihan perbankan.
290
Berbeza pula di Amerika Syarikat, Boyt et.al (1994) mendapati bahawa reputasi bank,
faedah ke atas akaun simpanan, faedah yang dikenakan ke atas pinjaman, perkhidmatan
yang cepat dan lokasi bank di bandar adalah merupakan lima faktor terpenting yang
mempengaruhi pilihan pelanggan. Hasil kajian ini turut disokong oleh Kennington et.al
(1996) di Poland dimana, reputasi bank juga turut merupakan kriteria utama yang
menjadi pilihan pengguna selain daripada faktor harga dan perkhidmatan, imej,
kestabilan bank, caj perkhidmatan, kesopanan dan keramahan. Sementara itu, Elliot
et.al (1996) turut melakukan kajian yang sama di Amerika Syarikat dan mendapati
bahawa harga, kepantasan dan akses merupakan faktor terpenting yang mempengaruhi
pengguna. Menurut Elliot et.al (1996), kebanyakan pengguna lebih mementingkan
harga yang lebih rendah dan urus niaga yang lebih cepat berbanding kualiti
perkhidmatan pelanggan. Sebaliknya, Reeves & Bednar (1996) dalam kajiannya
menyatakan bahawa perkhidmatan pelanggan berkemungkinan lebih penting dan utama
daripada harga yang rendah.
Kajian Almossawi (2001) juga selari dengan apa yang didapati oleh Boyd (1994) iaitu
reputasi bank merupakan faktor utama yang mendorong pengguna dalam pemilihan
perbankan. Selain itu, ruang letak kereta yang berhampiran bank, keramahan
kakitangan dan ketersediaan mesin ATM adalah faktor-faktor lain yang turut dianggap
penting dalam mempengaruhi pilihan pengguna terhadap pemilihan perbankan di
Bahrain. Sementara itu, kajian Ford & Jones (2001) di London yang dirujuk dalam
Lymperopulos et.al (2006) mendapati bahawa kriteria pilihan untuk pembiayaan
perumahan terutamanya dipengaruhi oleh faktor pengalaman pengguna dengan
pembekal sebelummya. Di samping itu, nasihat pengantara turut mempengaruhi
individu dalam memilih pembiayaan perumahan yang dikehendaki. Ford & Jones
(2001) juga mendapati bahawa reputasi sesebuah bank juga menjadi kriteria penting
dalam pemilihan pembiayaan perumahan oleh pengguna.
Berdasarkan sorotan kajian yang telah dilakukan, penulis mendapati bahawa
kecenderungan pengguna untuk mengambil pinjaman perumahan konvensional adalah
lebih tinggi berbanding dengan pembiayaan perumahan Islam yang ditawarkan di
perbankan Islam. Hal ini kerana, majoriti hasil kajian yang dilakukan oleh pengkaji
lepas menunjukkan bahawa pengguna lebih mengutamakan faktor-faktor seperti:
1. Nasihat professional
2. Kualiti perkhidmatan bank
3. Perkhidmatan yang cepat dan cekap
4. Kemesraan kakitangan bank
5. Kos perkhidmatan dan produk yang rendah
6. Pengalaman pengguna sebelumnya dengan perbankan
7. Reputasi dan imej bank yang baik
8. Harga yang lebih rendah yang ditawarkan oleh bank
9. Kadar pinjaman dan masa yang diperlukan untuk kelulusan pinjaman
10. Lokasi cawangan perbankan yang berhampiran dengan tempat tinggal
11. Nasihat daripada pihak ketiga iaitu keluarga dan rakan-rakan dan faktor
keselamatan.
Manakala, hanya satu kajian yang menunjukkan bahawa penyediaan produk dan
perkhidmatan yang patuh syariah menjadi pilihan utama oleh majoriti pelanggan dalam
pemilihan produk perbankan. Sehubungan dengan itu, kebanyakan pengguna juga
291
dilihat mempunyai kehendak yang signifikan dalam pembiayaan perumahan. Namun,
terdapat percanggahan dari segi keutamaan kriteria pilihan. Malangnya, penulis
mendapati, percanggahan ini tidak meletakkan prinsip syariah sebagai kriteria utama
pemilihan. Justeru timbul persoalan, adakah pilihan pengguna dalam pembiayaan
perumahan ini bertepatan dengan maqasid syariah?
Pengenalan maqasid syariah
Secara umumnya, maqasid syariah bermaksud segala tujuan disebalik penciptaan
syariat pada keseluruhannya dan disebalik setiap hukum di dalamnya secara satu
persatu (Mahmood Zuhdi 2012). Namun, pengertian ini bukanlah pengertian yang
disandarkan oleh mana-mana ulama terdahulu. Hal ini kerana, mereka tidak meletakkan
pengertian maqasid syariah secara khusus, tepat dan menyeluruh. Malah, al-Shatibi
yang amat sinonim dalam lapangan ilmu maqasid ini juga tidak pernah memberikan
definisi yang spesifik bagi istilah ini. Ini kerana beliau berpendapat bahawa istilah
tersebut sudah difahami secara umum (Mohd Fikri 2012).
Walaubagaimanapun, mereka mempunyai aliran pemahaman yang hampir sama dalam
menentukan tujuan pensyariatan sesuatu hukum iaitu mereka telah memberi penekanan
terhadap konsep menjaga kemaslahatan manusia dan menolak kemudharatan di dunia
dan akhirat sebagai konsep utama maqasid syariah. Oleh itu, setiap hukum yang
disyariatkan Allah s.w.t. mengandungi hikmah dan tujuan tertentu sama ada yang
mampu difikirkan manusia ataupun tidak (Zaharudin 2014).
Pengertian maqasid ini diberi definisi secara khusus oleh ulama-ulama kontemporari
sahaja Ibn Ashur, Alal al-Fasi, Muhammad Zuhaili, Yusuf al-Qaradawi dan Ahmad al-
Raisuni. Menurut Ibn Ashur, definisi maqasid berdasarkan kepada pembahagian
maqasid itu sendiri yang terdiri daripada Maqasid Ammah (maqasid umum) dan
Maqasid Khassah (maqasid khusus). Bertitik tolak dari pembahagian ini, beliau
mendefinisikan maqasid umum sebagai objektif yang merangkumi keseluruhan atau
sebahagian besar hukum yang terdapat di dalam syariat itu sendiri. Manakala, maqasid
khusus pula didefinisikan sebagai realisasi kepada objektif umum berkenaan mana-
mana perlakuan manusia yang khusus (Mahmood Zuhdi 2012).
Sementara itu, Ilal al-Fasi pula mendefinisikan maqasid yang merangkumi kedua-dua
pembahagian maqasid tersebut, iaitu sebagai idealisme kepada syariat itu sendiri dan
rahsia di sebalik ketentuan setiap hukum di dalamnya. Menurut Yusuf al-Qaradawi,
maqasid syariah ialah mendatangkan maslahah kepada manusia dan menolak
kemudharatan. Berdasarkan kepada pelbagai definisi yang telah dikemukakan, al-
Raisuni menyimpulkan definisi maqasid syariah sebagai matlamat atau objektif yang
ingin dicapai oleh syarak demi kepentingan manusia. Oleh itu, beliau membahagikan
maqasid kepada tiga kategori agar konsep ini lebih jelas, iaitu Maqasid Ammah
(maqasid umum), Maqasid Khassah (maqasid khusus) dan Maqasid Juz’iyyah
(maqasid cabang).
Maqasid Ammah bermaksud objektif yang diambil kira oleh syarak dalam menentukan
semua hukum di dalamnya, atau sekurang-kurangnya sebahagian besar daripada
hukum-hukum itu (Mahmmod Zuhdi 2012). Ianya bertujuan bagi menjaga dan
memelihara keamanan dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang merangkumi
lima perkara utama yang dikenali sebagai al-Dharuriyat al-Khams iaitu memelihara
292
agama, jiwa, keturunan, akal dan harta. Maqasid Khassah pula ialah objektif yang ingin
direalisasikan oleh syariah dalam bidang-bidang tertentu seperti bidang kewangan,
bidang kekeluargaan dan sebagainya. Manakala Maqasid Juz’iyyah ialah objektif yang
ingin direalisasikan oleh syariah dalam setiap hukum yang ditentukan. Maqasid ini
merupakan objektif pecahan yang lebih kecil komponennya, dimana setiap hukum
terbahagi secara berasingan sama ada wajib, sunat, makruh, harus, haram, bersyarat dan
sebagainya (Mohd Fikri 2012).
Kepenggunaan dalam produk pembiayaan perumahan menurut maqasid syariah
Allah SWT telah menyediakan semua keperluan manusia di dunia ini secara
menyeluruh bagi memudahkan manusia dalam menjalani kehidupan harian serta
mentadbir dan memakmurkan alam termasuklah dalam soal kehartaan. Syariat secara
umumnya telah menyediakan peraturan serta hukum yang menyeluruh bagi memandu
manusia dalam menguruskan sesuatu pemilikan, penguasaan dan kepenggunaan
terhadap sesuatu harta. Untuk itu, produk dan perkhidmatan yang dapat memberikan
manfaat kepenggunaan kepada manusia yang bertujuan bagi penambahbaikan serta
meningkatkan taraf hidup seseorang individu itu juga adalah termasuk dalam kelompok
istilah harta.
Oleh yang demikian, pemilikan harta hendaklah diusahakan melalui cara dan
pendekatan yang diharuskan. Pengguna pada hari ini perlulah bijak dalam menguruskan
pemilikan harta disamping memastikan ianya memenuhi tuntutan maqasid syariah
daripada segenap aspek. Istilah pengguna ini adalah merujuk kepada individu yang
mengguna, memakan, menghabiskan, memakai atau membelanjakan sesuatu barangan
atau perkhidmatan (Abdul Halim et al. 2013). Untuk itu, perbincangan dalam kertas
kerja ini akan memfokuskan kepada istilah penggunaan dalam membelanjakan sesuatu
perkhidmatan yang menjurus kepada perkhidmatan produk pembiayaan perumahan.
Hal ini kerana permintaan pengguna terhadap pemilikan perumahan pada hari ini dilihat
semakin meningkat dari hari ke hari. Rentetan itu, perkhidmatan produk pembiayaan
perumahan dilihat sebagai satu alternatif yang paling baik bagi pengguna yang
mempunyai tahap ekonomi yang rendah. Ketika membuat keputusan mengambil
produk tersebut, para pengguna sudah pasti memiliki kriteria-kriteria tertentu yang
menjadi pilihan mereka. Apatah lagi, kini terdapat pelbagai produk pembiayaan
perumahan sama ada pembiayaan secara Islam atau pinjaman secara konvensional.
Walau apapun, pemilihan produk ini haruslah mengikut acuan yang dikehendaki oleh
syarak. Ini kerana, akal manusia meskipun secara asasnya diberikan kebebasan
membuat pilihan, namun mereka masih perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan
oleh syarak
Menurut pencetus awal idea maqasid syariah iaitu al-Imam al-Juwayni, kemampuan
akal manusia dalam menentukan mana yang baik dan mana yang buruk adalah memang
tidak dapat dinafikan, namun kemampuan itu hanyalah berkaitan dengan diri manusia
itu sendiri, sebaliknya manusia tidak mampu untuk menentukan baik buruk yang
berkaitan dengan hukum Allah (Mahmood Zuhdi 2012). Oleh itu, pemilihan pengguna
ini haruslah mengikut kehendak syarak berbanding kehendak nafsu semata-mata.
Dengan kata lain, keinginan yang didorong oleh nafsu hendaklah disaring berdasarkan
pertimbangan rasional akal dan objektif syariah. Setelah itu, hanya kehendak yang tidak
bertentangan dengan syarak sahaja wajar dituruti (Abdul Halim et al. 2013).
293
Dalam Islam, syarat-syarat perkhidmatan yang menepati maqasid syariah itu sendiri
adalah perkhidmatan yang memenuhi hajat dan keperluan manusia, sah dan halal di sisi
syarak, mampu digunakan oleh manusia dan mendatangkan manfaat serta kesejahteraan
kepada manusia (Abdul Karim et al. 2013). Apa yang dimaksudkan dengan keperluan
hidup dalam konteks perkhidmatan produk pembiayaan perumahan ialah, ia merujuk
kepada tanpa adanya pembiayaan tersebut, orang ramai tidak akan mampu untuk
mempunyai tempat tinggal yang boleh menyebabkan seseorang itu terancam dan mati
kerana tidak memiliki tempat berlindung. Ini semua adalah bagi memelihara maqasid
syariah yang umum iaitu menghasilkan kebaikan dan membanteras keburukan (Jalb
al-Maslahah Wa Daf’ al-Madarrah). Seterusnya, pemilihan pengguna terhadap
perkhidmatan ini perlulah mengikut aras atau kategori maqasid tertentu yang telah
ditetapkan oleh Islam. Aras tersebut dapat dirumuskan sebagaimana berikut:
i. Maqasid Dharuriyyah (asas) iaitu tujuan atau objektif untuk menjaga
kepentingan hidup. Menurut al-Shatibi, yang dimaksudkan dengan kepentingan
hidup itu adalah sesuatu yang menjadi asas kepada penerusan hidup itu sendiri.
Tanpanya, manusia tidak mampu menjalani kehidupan dan akan binasa. Ini
termasuklah keperluan bagi memelihara agama, nyawa, akal, harta dan
keturunan. Bagi pemeliharaan harta, terdapat pelbagai cara yang digariskan oleh
Islam, antaranya ialah (Abdul Halim et al. 2013):
a. Mematuhi rukun dan syarat yang ditetapkan dalam sesuatu akad
b. Mengharamkan pembaziran dan pemusnahan
c. Mewajibkan kesaksian dan rekod tentang hutang
Oleh itu, pengguna perlulah bijak dalam memilih produk pembiayaan mengikut
tahap daruriyyat yang diperlukan bagi mengelakkan daripada berlakunya
pembaziran. Disamping itu, setiap transaksi pembayaran dalam produk
pembiayaan perumahan yang digunakan hendaklah direkodkan sepanjang
tempoh pembiayaan. Objektif pensyariatan ini adalah bagi mengelakkan
daripada berlakunya pertelingkahan dan agar pihak yang berkontrak saling
reda-meredai antara satu sama lain. Syarat ini juga dapat menzahirkan
kemahuan kedua-dua belah pihak yang berakad dengan jelas. Sekiranya Islam
tidak mensyariatkan syarat ini, sudah pasti manusia berada dalam permusuhan
yang membawa kepada kebinasaan.
ii. Maqasid Hajiyyah (keperluan) iaitu objektif untuk menjaga keperluan hidup
serta apa-apa keperluan yang bertujuan untuk melegakan suasana hidup dan
menghapuskan rasa sempit dan serba salah. Menurut al-Shatibi, tanpanya hidup
dirasakan susah dan tidak selesa. Bagaimanapun, manusia boleh terus hidup dan
tidak akan musnah kerananya.
iii. Maqasid Tahsiniyyah (pelengkap) iaitu objektif untuk menjaga kemewahan
hidup dan ianya bersifat nilai tambah yang tidak menyentuh soal keperluan dan
kepentingan hidup. Menurut Al-Ghazali, ia bersifat tidak penting bahkan tidak
perlu. Sebaliknya, kewujudannya hanyalah bersifat untuk memperelokkan lagi
nilai pencapaian atau lebih melicinkan lagi cara atau kaedah yang digunakan.
Manakala al-Shatibi menyatakan bahawa ia menyokong maqasid daruriyyah
294
dan melengkapkannya, sama ada secara langsung atau dengan cara
melengkapkan maqasid hajiyyah (Mahmood Zuhdi 2012).
Berdasarkan kepada aras maqasid syariah tersebut, seluruh aktiviti kepenggunaan
mestilah diselaraskan mengikut keutamaan, keperluan semasa, situasi masyarakat dan
kemampuan ekonomi pengguna itu sendiri. Oleh itu, perkara daruriyyat mestilah
diutamakan berbanding perkara hajiyyat dan tahsiniyyat. Pemilihan sesuatu produk
pembiayaan perumahan itu hendaklah berpadanan dengan pendapatan yang diperolehi
setiap pengguna agar ianya tidak membebani mereka dengan bebanan hutang di
kemudian hari. Penggunaan secara besederhana dan tidak membazir pula sangat
dituntut dalam Islam.
Disamping itu, perkara yang paling utama yang perlu dititikberatkan oleh pengguna
ketika membuat keputusan pemilihan sesuatu produk yang hendak digunakan itu
mestilah menepati prinsip halal haram yang telah ditetapkan dalam Islam iaitu ianya
mestilah bebas daripada sebarang unsur yang dilarang oleh syarak. Misalnya, unsur
gharar dan pengharaman riba. Selain itu, produk pembiayaan yang dijalankan
hendaklah menepati prinsip-prinsip syariah yang telah digariskan oleh Islam iaitu
dengan melihat kepada kesahihan sesuatu akad yang bakal digunakan dalam
pembiayaan tersebut Hal ini kerana, unsur-unsur tersebut berpotensi dalam
mengundang kemudharatan dalam diri pengguna dan masyarakat.
Justeru itu, konsep halalan toyyiban iaitu produk yang bermutu, bermanfaat, tiada kesan
sampingan dan tidak mengundang kemudharatan dan kerosakan kepada pengguna
mahupun masyarakat sekelilingnya haruslah dijadikan keutamaan. Hal ini selaras
dengan kaedah fiqh la darar wala dhirar yang menegah manusia melakukan sebarang
bentuk kemudharatan kepada diri sendiri dan juga sekeliling. Pemilihan produk yang
memenuhi tuntutan syarak ini sekaligus dapat mencapai maqasid syariah yang umum
sepertimana yang dinyatakan oleh al-Ghazali, iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal,
keturunan dan harta (Abdul Halim et al. 2013).
Parameter pilihan pengguna islam dalam produk pembiayaan perumahan
berdasarkan maqasid syariah
Setelah penulis menyoroti kajian-kajian lepas berkaitan dengan kriteria pilihan
pengguna serta kepenggunaan dan pembiayaan perumahan menurut kerangka maqasid
syariah, jelas disini bahawa sesuatu produk pembiayaan perumahan yang ingin
digunakan oleh pengguna pada hari ini mestilah menepati objektif syariat secara
menyeluruh. Mengaitkan hukum dengan maqasid adalah satu perkara yang amat
diperlukan agar setiap pengguna Islam mengetahui bahawa syariat yang terbina di atas
akidah yang kukuh menuntut mereka untuk hidup dalam persekitaran yang baik. Di
samping itu, ianya bertujuan supaya proses pembiayaan perumahan yang dilakukan
menjadi bersih dan telus, seterusnya mampu melahirkan individu dan masyarakat yang
baik.
Oleh itu, parameter pilihan pengguna Islam dalam produk pembiayaan perumahan
adalah sebagaimana berikut:
295
Parameter pertama (1): Mengenalpasti prinsip halal haram
Pengguna Islam pada hari ini wajib membuat pertimbangan yang rasional dalam
membuat pemilihan produk pembiayaan perumahan dengan cara memilih produk
pembiayaan yang memenuhi syarat-syarat berikut:
Halal serta bebas dari sebarang perkara-perkara shubhah yang tidak jelas status
kehalalannya dan unsur-unsur terlarang dalam Islam seperti gharar dan riba.
Prinsip kontrak muamalat terbaik yang ditawarkan dengan pertimbangan
keputusan pandangan fuqaha dan memenuhi kemaslahatan pengguna.
Setiap akad yang dilaksanakan dalam sesuatu produk mestilah memenuhi
semua rukun dan syarat yang digariskan oleh Islam.
Parameter kedua (2): Mengenalpasti aras keperluan
Pemilihan sesuatu produk pembiayaan perumahan yang ingin digunakan oleh pengguna
mestilah berdasarkan kepada keperluan sebenar pengguna. Pemilihan yang dilakukan
hendaklah mengutamakan tingkat daruriyyat berbanding keperluan hajiyyat dan
tahsiniyyat. Pengguna tidak boleh mengikut keinginan nafsu semata-mata, sebaliknya
keputusan pemilihan tersebut hendaklah dibuat dengan melihat kepada perkara-perkara
seperti berikut:
Status pendapatan atau tahap kemampuan pengguna dalam kewangan.
Tidak melampau-lampau dalam membelanjakan harta dengan cara besederhana
dalam memilih produk pembiayaan perumahan yang diperlukan.
Tidak membazir dalam melakukan pembiayaan yang mana ianya bukanlah
keperluan yang daruriyyat atau hajiyyat.
Parameter ketiga (3): Mengenalpasti jaminan keselamatan sesuatu produk
Pengguna hendaklah memilih produk pembiayaan perumahan yang selamat digunakan
serta tidak mendatangkan kemudharatan kepada diri termasuklah dalam memelihara
daruriyyat khams iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta.
Parameter keempat (4): Mengenalpasti kriteria-kriteria yang menjamin kualiti
produk dan perkhidmatan
Pengguna perlu memilih produk pembiayaan perumahan yang mampu menyediakan
kualiti produk yang baik. Ini termasuklah kemampuan sesuatu pihak yang
mengendalikan pembiayaan dalam menawarkan:
Kualiti perkhidmatan yang cekap.
Kos perkhidmatan dan produk yang rendah.
Kadar pembiayaan dan masa yang diperlukan untuk kelulusan.
Prosedur yang mudah dan pakej yang menarik.
Reputasi dan imej institusi yang baik.
Lokasi institusi berhampiran dan mudah akses.
Nasihat yang profesional dan jelas dari pihak pembiaya produk.
Kemesraan kakitangan bank.
296
Oleh itu, pengguna disarankan agar mengikut parameter yang telah disediakan secara
menyeluruh mengikut keutamaan yang telah dinyatakan. Ini bagi mencapai maqasid
syariah itu sendiri iaitu mencapai kebaikan (maslahah) dan mengelakkan kerosakan
(mafsadah) di dunia dan akhirat serta mencapai keperluan yang dinginkan bagi
menjalani kehidupan yang selesa demi mencapai kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.
Kesimpulan
Pengguna Islam dalam memenuhi kehendak mereka, mereka juga perlu memenuhi
kehendak syarak ketika membuat pilihan produk pembiayaan perumahan yang diambil.
Parameter pilihan pembiayaan perumahan yang dibina berasaskan teori maqasid
syariah dengan adaptasi pilihan popular mengikut kehendak pengguna ini diharap dapat
menjadi panduan terbaik kepada pengguna dalam membuat keputusan pemilihan
pembiayaan. Hal ini kerana Islam mensyariatkan sesuatu hukum itu sesuai dengan
kemaslahatan manusia dalam jangka masa pendek dan panjang. Hukum-hukum yang
terdapat dalam prinsip syariah ini mengandungi maqasid dan illah tertentu yang
dipelihara oleh syarak demi kemaslahatan manusia. Seterusnya, pengguna perlu
memilih sesuatu produk berdasarkan tingkat keperluan yang daruriyyat terlebih dahulu,
kemudian barulah diikuti dengan keperluan hajiyyat secara besederhana. Disamping
itu, pengguna perlu memastikan produk pembiayaan yang digunakan terhindar dari
segala kemudaratan bagi menjamin keselamatan pengguna dan masyarakat sekeliling.
Dalam pada masa yang sama, Islam tidak menafikan kehendak kepada produk yang
menawarkan perkhidmatan yang cepat dan cekap, nasihat professional, kadar faedah
yang rendah dan reputasi bank yang baik selagimana ianya tidak bercanggah dengan
syarak. Pembiayaan perumahan yang ditawarkan bukan sahaja perlu mementingkan
keuntungan semata-mata tetapi juga perlu melihat kepada objektif syariah disebalik
pensyariatan sesuatu hukum yang ditetapkan dalam prinsip-prinsip syariah yang
terdapat dalam pembiayaan perumahan Islam. Implikasi kajian ini bukan sahaja dapat
menjadi panduan kepada pengguna ketika membuat keputusan pemilihan, bahkan ia
juga boleh menjadi parameter sama ada untuk produk baru, penambahbaikan atau
penilaian kepada produk pembiayaan perumahan sedia ada. Ini semua dalam usaha
menghasilkan pelanggan Islam dan juga produk yang bukan sahaja mematuhi peraturan
dari segi hukum fekah bahkan juga memenuhi nilai-nilai akhlak muamalat Islam.
297
Rujukan
Al-Quran Al-Karim.
Abdul Halim & Nor Azzah Kamri & Baharom Kassim. 2013. Maqasid syariah: Isu-isu
Kepenggunaan, Realiti dan Cabaran. Selangor: Persatuan Ulama Malaysia.
Abu Umar Faruq Ahmad. 2011. Shariah Parameters of Musharakah Mutanaqisah in
Islamic Finance: The Experience of Australian Institutions Offering Islamic
financial Services. ISRA International Journal of Islamic finance 3(2):7-40.
Afroza Parvin & Rumana Perveen. 2012. Commercial Bank Selection Process Used By
Individual Customers: Faktor Analysis On Banks Of Bangladesh. Journal Of
Business And Technology (Dhaka) VII(2):19-35.
Almossawi. 2001. Bank Selection Criteria Employed By College Students In Bahrain:
An Empirical Analysis. International Journal Of Bank Marketing 19 (3):115-25.
Asyraf Wajdi Dusuki & Nurdianawati Irwani Abdullah. 2007. Why Do Malaysian
Customers Patronise Islamic Banks?. International Journal Of Bank Marketing
25(3): 142-160.
Ayesha Hamid & Omar Masood. 2011. Selection Criteria For Islamic Home Financing:
A Case Study Of Pakistan. Qualitative Research In Financial Markets 3(2): 117-
130.
Aznan Hasan 2011. Fundamentals of Shariah in Islamic Finance. Kuala Lumpur:
IBFIM.
Boyd & W.L & Leonard & M. & White & C. 1994. Customer Preferences For Financial
Services: An Analysis. International Journal Of Bank Marketing 12(1): 9-15.
Constantine Lymperopoulos & Ioannis E. Chaniotakis & Magdalini Soureli. 2006. The
Importance Of Service Quality In Bank Selection For Mortgage Loans. Managing
Service Quality: An International Journal 16(4): 365-379.
Daud Vicary Abdullah & Keon Chee. 2010. Islamic Finance: Why It Makes Sense.
Singapore: Marshall Cavendish Business.
Ejaz Ahmad Samadani. 2007. Islamic Banking and Uncertainty. Pakistan: Darul Ishaat.
Fadzila Azni Ahmad. 2003. Pembiayaan Perumahan Secara Islam: Antara Nilai
Komersial dan Tanggungjawab Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publicatios &
Distributors Sdn Bhd.
James Francis Devlin. 2002. An Analysis Of Choice Criteria In The Home Loans
Market. International Journal Of Bank Marketing 20(5): 212-226.
Kennington & C & Hill & J.& Rakowska, A. 1996. Customer Selection Criteria For
Banks In Poland. International Journal Of Bank Marketing 14(4): 12-21.
298
Md Taib & F.M. & Ramayah & T. & Abdul-Razak. 2008. Faktor Influencing Intention
To Use Diminishing Partnership Home Financing. International Journal Of
Islamic And Middle Eastern Finance And Management 1 (3): 235-248.
Metawa & S.A. & Almossawi & M. 1998. Banking Behaviour Of Islamic Bank
Customers: Perspectives And Implications. International Journal Of Bank
Marketing 16 (7): 299-313.
Mohd Fikri Che Hussain. 2012. Pengenalan Ilmu Maqasid syariah. Johor Bahru:
Perniagaan Jahabersa.
Mokhtar Mahamad & Izah Mohd Tahir. 2010. Persepsi Pelanggan Bukan Islam
Terhadap Perbankan Islam : Satu Kajian rintis. Jurnal Kemanusiaan 16: 45-61.
Muhamad Abduh & Mohd Azmi Omar. 2012. Islamic Bank Selection Criteria In
Malaysia: An Ahp Approach. Bussines Intelligent Journal 5(2): 271-281.
Muhammad al-Tahir Ibn Ashur. 2006. Ibn Ashur Treatise on Maqasid al-Shariah.
London: The International Institute of Islamic Thought.
Muhammad Ayub. 2007. Understanding Islamic Finance. England: John Wiley & Sons
Ltd.
Norafifah Ahmad & Sudin Haron. 2002. Perceptions Of Malaysian Corporate
Customers Towards Islamic Banking Products & Services. International Journal
Of Islamic Financial Services 3(4)
Noraziah Che Arshad & Abdul Ghafar Ismail. 2012. Parameterizing the shariah Rulings
For Partnership Financial Transactions. Malaysia:UUM Press.
Nuruddin Abdul Karim. 2008. Al-Musharakah Al-Mutanaqisah wa tatbiqotiha Al-
Muassaroh fii Al-Fiqh Al-Islami. Jordan: Dar An-Nafais.
Razli Ramli & Khairul Sabudin & Khairul Anuar Hashim. 2011. Panduan Asas
Perbankan Islam. Kuala Lumpur: IBFIM.
Saad Abdul Sattar Al-Harran. 1993. Musharakah Financing: Concept, Principles and
Methodology. Malaysia: Institut Kajian Dasar.
Sharifah Faigah Syed Alwi. 2006. Pembiayaan Hutang dalam Perbankan Islam. Shah
Alam: UPENA.
Sudin Haron, Norafifah Ahmad Sandra, L. Planisek. 1994. Bank Patronage Faktors of
Muslim and Non-Muslim Customers. International Journal of Bank Marketing
12(1): 32-40.
Taqi Usmani. 2008. Musharakah and Mudarabah as Modes of Finance dalam Islamic
Banking & Finance: Shariah Guidance on Principles and Practices. India: IFA
Publications.
299
Zaharuddin Abdul Rahman. 2009. Maqasid syariah fi Ahkam Al-Buyu’. Selangor:
IIUM Press.
Zaharuddin Abdul Rahman. 2014. Fiqh Kewangan Islam. Selangor: PTS Islamika Sdn
Bhd.
Zarehan Selamat & Hazlina Abdul Kadir. 2012. Attitude and Patronage Faktors of Bank
Customers in Malaysia: Muslim and non-Muslim Views. Journal of Islamic
Economics, Banking and Finance 8(4): 87-99.
Zubair Hasan. 2011. Islamic Home Finance In The Social Mirror. ISRA International
Journal of Islamic Finance 3(1): 7-24.