Penguasaan Dan Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Kalangan Pelajar
MASALAH PENGUASAAN BAHASA MELAYU DI KALANGAN PELAJAR TAHUN 6
description
Transcript of MASALAH PENGUASAAN BAHASA MELAYU DI KALANGAN PELAJAR TAHUN 6
1.0Pendahuluan
1.1 Pengenalan
Artikel 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu menegaskan
bahawa sebagai bahasa kebangsaan negara yang berdaulat, bahasa Melayu
dikehendaki memikul beban tugas baru. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara,
bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum dan bahasa penghantar serta bahasa
ilmiah di sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi. Peruntukan mengenai hal ini
disebutkan pada Perkara 152 iaitu:
“Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis
dengan apa-apa tulisan sebagaimana yang diperintahkan dengan
undang-undang oleh Parlimen.”
(Perlembagaan Persekutuan, 1992:221)
Seharusnya bahasa ibunda ini tidak menjadi beban kepada masyarakat
penuturnya. Malangnya masalah penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar
Melayu dewasa ini begitu ketara. Hal ini terbukti melalui keputusan-keputusan
1
peperiksaan yang dikeluarkan. Walaupun ada pihak yang berpendapat bahawa
kelemahan bahasa para pelajar tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan keputusan
yang mereka perolehi, namun layak dijadikan sandaran terbaik bagi mengukur masalah
yang berlaku.
Masalah-masalah yang wujud dan kebimbangan yang dilahirkan ini seharusnya
difikirkan dan diberi perhatian kerana perkara ini bukan sahaja mempengaruhi masa
depan para pelajar tersebut akibat kegagalan dalam bahasa Melayu, tetapi juga
mempengaruhi masa depan bahasa Melayu pada masa akan datang. Awang
Mohammad Amin (1987:199) pernah menyuarakan pendapatnya mengenai golongan
pelajar seperti ini.1 Menurut beliau:
“Pelajar-pelajar yang tamat persekolahan, SPM contohnya masih
melakukan kesalahan bahasa dan mereka ini merupakan ‘nyamuk
aedes’ yang paling merbahaya kerana mereka berada dimana-
mana; dengan tidak disedari mereka menjadi agen pembawa
“kuman kesalahan bahasa” untuk disebarkan kepada orang ramai
yang tidak berhati-hati dan tidak teliti apabila hendak
menggunakan bahasa Malaysia secara formal.”
1.2 Objektif Kajian
1 Awang Mohd. Amin. (1987). Kekerapan kesalahan bahasa peringkat kata (morfologi) bahasa Melayu “(satu tinjauan khusus terhadap prestasi kemahiran bahasa tulisan pelajar-pelajar Melayu tingkatan 4)” kesalahan bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
2
Kajian kes ini cuba meninjau masalah penguasaan bahasa Melayu di kalangan
pelajar tahun enam di bawah Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dari sudut
umum. Melalui penyelidikan ini, pengkaji ingin mengenalpasti faktor-faktor yang
mempengaruhi kelemahan bahasa pelajar iaitu mencari punca kepada masalah
penguasaan bahasa Melayu di kalangan para pelajar di pinggir bandar, di Sekolah
Kebangsaan Dato’ Wan Mohd Saman. Pengkaji juga ingin melihat bagaimana faktor-
faktor yang terlibat boleh mempengaruhi prestasi pelajar dalam bahasa Melayu.
Kajian terhadap masalah ini dirasakan perlu memandangkan kegagalan yang
berlaku adalah secara berterusan. Dalam masa yang sama, masalah penguasaan atau
kegagalan sering dikaitkan dengan kelemahan diri individu atau pelajar semata-mata
sedangkan pada realitinya, banyak faktor lain yang boleh dipertanggungjawabkan.
Melalui kajian ini juga, pengkaji ingin memberikan sedikit cadangan untuk mengatasi
masalah yang berlaku berdasarkan pengenalpastian terhadap faktor-faktor tersebut.
1.3 Kaedah Kajian
3
Kaedah yang digunakan dalam kajian ini melibatkan kaedah kepustakaan yang
meneliti beberapa naskah buku yang berkaitan dengan bidang kajian dari penerbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka iaitu Penilaian Pengajaran dan Pembelajaran bahasa
Melayu oleh Zulkifley Hamid, Satu Kajian Khusus Penguasaan Bahasa Melayu
Peringkat Sekolah Menengah oleh Awang Mohamad Amin, dan Konsep Kesalahan
Bahasa Dalam Bahasa Melayu oleh Awang Sariyan. Manakala buku terbitan Nurin
Enterprise pula adalah Beberapa Aspek Kesalahan Tatabahasa Dalam Penggunaan
Bahasa Melayu yang dihasilkan oleh Awang Sariyan. Buku-buku yang diperolehi dari
Perpustakaan Awam Negeri Kedah ini dijadikan sebagai rujukan oleh pengkaji selama
berada di Alor Setar, Kedah.
Selain itu pengkaji juga turut merujuk hasil latihan ilmiah yang telah dilakukan
oleh beberapa orang penyelidik dari Universiti Malaya iaitu Analisis Penguasaan
Imbuhan Bahasa Melayu di Kalangan Pelajar Tingkatan Empat di Dua Buah Sekolah di
Petaling Jaya, Selangor oleh Zianuddin B. Sharuddin, Punca-Punca Kelemahan
Bahasa Melayu Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah: Satu Kajian Kes di Kuala
Lumpur Dan Petaling Jaya oleh Kamisan B. Siham, Penguasaan Bahasa Melayu di
Kalangan Pelajar Tingkatan Enam Atas oleh Mohd Nizar B. Idris, dan Analisis
Kesalahan Tatabahasa Bahasa Melayu Murid-Murid Tahun Enam KBSR oleh
Norhazlina Bt. Hashim. Kesemua latihan ilmiah ini diperolehi dari perpustakaan
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
4
Pengkaji juga tidak ketinggalan dalam merujuk beberapa laman web yang
berkaitan dengan bidang kajian iaitu mengenai Satu Tinjauan Pelbagai Aspek
Membaca Murid-Murid Tadika yang dipetik dalam laman
http://members.tripod.com/ipdares/baca.htm. Kajian ini telah dilakukan oleh tiga orang
penyelidik iaitu Lee Lai Guan, Rahmah bt. Hanafi dan Salihah bt. Yusof dari Jabatan
Pendidikan.
Kajian lapangan juga turut digunakan dalam penyelidikan ini iaitu melibatkan
temubual dengan guru dan juga pelajar serta pemerhatian ikut serta dalam kelas.
Seramai 14 orang murid lelaki dan 20 orang murid perempuan di dalam satu kelas telah
terlibat dalam pemerhatian ikut serta kajian ini. Terdapat juga beberapa orang pelajar
lelaki dan perempuan yang ditemubual secara rambang mengatakan bahasa Melayu
merupakan bahasa yang paling mudah untuk dikuasai. Manakala guru bahasa Melayu
tahun enam pula ditemubual bagi memperolehi maklumat tentang persekitaran sekolah
dalam membantu murid-murid. Guru Penolong Kanan 1 juga turut mengeluarkan
pendapatnya melalui perbualan yang melibatkan penguasaan pelajar tahun enam. Hasil
kajian mendapati bahawa kebanyakkan murid kajian mempunyai minat yang tinggi
dalam mata pelajaran bahasa Melayu.
1.4 Batasan Kajian
5
Kajian ini menfokuskan kepada bahasa Melayu dalam bidang pendidikan di
negara ini iaitu sekolah rendah. Kajian yang dimaksudkan ialah untuk mengenalpasti
masalah penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar sekolah rendah. Kajian
dilakukan terhadap pelajar sekolah rendah yang terdiri daripada pelajar tahun enam.
Kajian hanya dilakukan di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan. Kawasan atau
kajian kes hanya dilakukan di Alor Setar, Kedah. Sekolah ini berada di kawasan pinggir
bandar. Kajian dilakukan di sebuah Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Mohd Saman.
Seramai 34 orang pelajar dipilih disamping guru bahasa Melayu tahun enam dan juga
guru Penolong Kanan I. Kajian ini bergantung sepenuhnya kepada maklum balas
daripada responden melalui temuramah dan juga pemerhatian ikut serta dalam kelas.
Kajian ini tidak menganalisis aspek lisan mahupun tulisan dalam bahasa Melayu.
Kajian ini hanya meninjau masalah penguasaan bahasa Melayu secara keseluruhan
bagi pelajar tahun enam di sebuah sekolah. Masalah-masalah yang dikenalpasti akan
diberikan langkah untuk mengatasinya. Langkah-langkah yang dikemukan melibatkan
pelajar, guru-guru, dan para ibu bapa pelajar sekolah tersebut sahaja. Selain itu
masalah yang dikenalpasti akan dinilai dari pelbagai sudut yang membolehkan ianya
menjadi punca utama kepada masalah penguasaan bahasa Melayu pelajar tahun enam
di sekolah tersebut.
1.5 Definisi Konsep
6
Awang Sariyan (1985:153) telah menegaskan maksud penguasaan bahasa ialah
penguasaan secara sistematis, iaitu bahasa keseluruhan bukannya setakat
penguasaan lisan saja. Kekurangan dalam penguasaan bahasa pasti akan
menimbulkan kesan buruk kepada bahasa Melayu yang masih dalam peringkat
permanpatan.2
Masalah penguasaan bahasa Melayu sama ada secara keseluruhan atau aspek-
aspek tertentu dalam bahasa Melayu memang telah lama mendapat perhatian oleh
pihak-pihak tertentu. Abdul Razak Ismail (1977) pernah menyatakan bahawa
diperingkat sekolah menengah masih terdapat sebilangan murid yang masih lemah
penguasaan mereka dalam perbinaan ayat. Ini mempengaruhi kemampuan mereka
mengarang. Perkara sedemikian tidak wajar berlaku memandangkan mereka telah
lama diberi pendedahan terhadap bahasa Melayu, terutama murid yang bahasa
ibundanya bahasa Melayu.
2.0 Pencapaian UPSR
2 Norhazlina Bt. Hashim. 1994. ‘Analisis Kesalahan Tatabahasa Bahasa Melayu Murid-murid Tahun Enam KBSR’ (Latihan Ilmiah, Akademi Pengajian Melayu)
7
Pencapaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah dianalisis oleh
pengkaji mendapati tahap keseluruhan pencapaian pelajar adalah pada tahap yang
memuaskan. Mengenai keputusan peperiksaan dan tahap kemampuan pelajar, guru
yang ditemubual menyatakan bahawa dari segi kuantiti keputusan adalah memuaskan
tetapi tidak memuaskan dari segi kualiti. Statistik keputusan peperiksaan Ujian
Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dianalisis dari tahun 2004 hingga terbaru tahun
2007. Keputusan peperiksaan ini dibahagikan kepada dua ketegori iaitu ketegori calon
menguasai bahasa Melayu yang mendapat gred A, B dan C. Manakala bagi kategori
calon tidak menguasai bahasa Melayu mendapat gred D dan E. Pembahagian ketegori
ini adalah mengikut skala yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Secara keseluruhan jumlah calon yang dapat menguasai bahasa Melayu untuk
kertas pemahaman dan penulisan pada tahun 2004 adalah sebanyak 134 calon
daripada 153 orang. Pada tahun berikutnya jumlah calon meningkat kepada 143 orang
daripada 161 orang. Tahun 2006 pula menunjukkan perubahan daripada 169 orang
pelajar yang menduduki peperiksaan, hanya 142 orang sahaja yang dapat menguasai
bahasa Melayu. Manakala pada tahun 2007, jumlah calon yang berjaya mendapat gred
A, B dan C adalah seramai 136 orang daripada 152 orang calon.
8
Bagi calon yang tidak menguasai kertas pemahaman dan penulisan bahasa
Melayu pula adalah sebanyak 19 orang daripada 153 calon pada tahun 2004. Jumlah
tersebut berkurangan pada tahun berikutnya menjadi 18 orang calon daripada 161
orang. Malangnya jumlah tersebut bertambah kepada 27 orang calon daripada 169
calon bagi tahun 2006. pada tahun 2007 pula jumlah pelajar yang menduduki UPSR
adalah seramai 152 orang dan calon yang tidak menguasai adalah seramai 16 orang.
3.0 Masalah-Masalah
3.1 Sikap Pelajar
Masalah penguasaan bahasa Melayu bukan perkara baru dalam masyarakat
Malaysia. Masalah penguasaan bahasa Melayu tidak hanya berlaku dikalangan
masyarakat bukan Melayu, tetapi masyarakat Melayu sendiri banyak melakukan
kesalahan bahasa; baik dalam pertuturan mahupun penulisan. Pelajar-pelajar Melayu
beranggapan bahawa mereka tidak perlu mempelajari bahasa Melayu kerana bahasa
tersebut merupakan bahasa ibunda mereka, bahkan boleh dikatakan semua orang
Melayu telah menggunakan bahasa Melayu sejak kecil, mengikut pertuturan
masyarakat sekeliling. Pembelajaran bahasa Melayu tidak dititikberat kerana
masyarakat Melayu beranggapan mereka sudah menguasai kemahiran menggunakan
bahasa Malaysia memandangkan mereka boleh bertutur dengan baik dalam bahasa
Melayu. Sebenarnya orang Melayu perlu sedar bahawa anggapan sedemikian adalah
9
tidak benar. Bahasa Melayu yang digunakan oleh mereka dalam pertuturan harian
bukanlah sama dengan struktur bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa ilmu.
Hasil temubual penyelidik dengan responden, menunjukkan bahawa kebanyakkan
mereka menyatakan sikap pelajar itu sendiri yang menyebabkan mereka lemah dalam
bahasa Melayu. Sikap pelajar yang malas dan tidak mahu membuat latihan yang
diberikan guru, tidak mengulangkaji mata pelajaran tersebut, kurang membaca bahan
bacaan yang berbentuk akademik dan menganggap bahasa Melayu mudah. Apabila hal
ini berlaku, mereka tidak mengambil berat terhadap mata pelajaran tersebut.
3.2 Persekitaran Rumahtangga
Persekitaran rumahtangga merupakan salah satu faktor masalah penguasaan
murid-murid. Pesekitaran rumahtangga terdiri daripada tahap pendidikan keluarga,
sosioekonomi, pendapatan dan sebagainya. Setiap satu berkait rapat dan
mempengaruhi antara satu sama lain. Buktinya, diantara contoh yang diberikan oleh
guru yang ditemuduga ialah faktor ibubapa pelajar yang tidak mempunyai latar
belakang pendidikan atau pendidikan tidak tinggi. Pekerjaan keluarga juga
mempengaruhi pencapaian akademik anak-anak mereka. Jenis perkerjaan berkait rapat
dengan tahap pelajaran. Jenis perkerjaan pula akan menentukan jumlah pendapatan
yang seterusnya akan menentukan tahap kelas sosial dan kemampuan mereka untuk
menyediakan kemudahan-kemudahan pelajaran yang lebih baik kepada anak-anak
mereka.
10
3.3 Peranan Guru
Selain itu, guru memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dalam
pelajarannya. Guru seharusnya kreatif dalam pengajaran agar mampu menarik minat
murid-murid untuk mempelajari bahasa Melayu. Guru-guru seharusnya memiliki teori,
pendekatan, kaedah dan teknik-teknik pengajaran yang terkini. Pada tahap umur 11-12
tahun, iaitu masih pada peringkat kanak-kanak, murid-murid ini cepat merasa bosan,
terutamanya bagi murid Melayu yang kebanyakkannya mempunyai tanggapan
tersendiri tentang bahasa Melayu. Rata-rata mereka menganggap bahasa Melayu
mudah kerana mereka bertutur dalam bahasa tersebut. Murid-murid Melayu biasanya
tidak menganggap mata pelajaran bahasa Melayu sebagai satu mata pelajaran yang
penting memandangkan mereka merupakan penutur jati bahasa ini. Faktor-faktor ini
ditambah dengan cara pengajaran guru yang mendatar, mengurangkan lagi minat dan
sekaligus merendahkan peluang mencapai tahap penguasaan yang baik dalam bahasa
Melayu di kalangan mereka.
11
4.0 Langkah Mengatasi
4.1 Ujian Diagnostik
Guru-guru perlu memberi perhatian dan penekanan kepada pengajaran bahasa.
Mereka perlu mengetahui aspek bahasa yang dikuasai dengan lemah atau belum
dikuasai sepenuhnya oleh pelajar. Penekanan yang lebih perlu diberikan kepada aspek
yang menjadi masalah. Para pelajar perlu diberi keterangan tentang sesuatu bidang
dan dipastikan bahawa mereka benar-benar memahaminya. Setelah itu, ujian terhadap
tahap pemahaman pelajar mungkin boleh dibuat, misalnya melalui latihan membuat
ayat. Melalui ujian diagnostik, kelemahan pelajar dalam aspek ini akan dapat diketahui.
Ini dilakukan dengan cara mengenal pasti apakah aspek-aspek yang menjadi masalah
kepada mereka. Secara langsung, guru akan dapat mengetahui aspek-aspek yang
telah dan belum dikuasai oleh mereka. Hasil ujian ini boleh dijadikan sebagai maklumat
bagi program pengajaran pemulihan, iaitu langkah-langkah untuk mengatasi masalah-
masalah dalam penguasaan bahasa Melayu. Ujian diagnostik juga hendaklah
dijalankan dari semasa ke semasa, iaitu sama ada sebelum atau selepas pengajaran
dilakukan. Ini bertujuan untuk melihat sama ada pelajar-pelajar telah mencapai
kemajuan atau sebaliknya. Dengan cara ini juga dapat dinilai keberkesanan kaedah
pengajaran yang digunakan oleh guru.
12
4.2 Peranan Guru
Guru memainkan peranan besar dalam kejayaan pelaksanaan dan pembelajaran
bahasa Melayu. Seseorang guru perlu mempunyai pengetahuan yang mantap tentang
teori, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu
serta mampu mengaplikasikannya dalam suasana yang sebenar di dalam kelas. Ini
juga bermakna, seseorang guru tidak sahaja perlu mempunyai pengetahuan yang
cukup dalam aspek-aspek yang dinyatakan di atas, tetapi ilmu yang dimiliki harus
ditingkatkan dari semasa ke semasa. Untuk mencapai hasrat ini, pihak-pihak yang
berkenaan seperti Bahagian Pendidikan Guru, Pusat Perkembangan Kurikulum,
Jabatan Pendidikan dan Institusi-institusi Perguruan harus mengambil inisiatif untuk
menjalankan tindakan-tindakan yang sewajarnya. Sebagai contoh, guru-guru pelatih
yang akan mengajar bahasa Melayu perlu diberi latihan yang khusus dalam aspek
tatabahasa semasa mengikuti kursus pendidikan di Maktab Perguruan atau Fakulti
Pendidikan. Guru-guru yang sudah lama mengajar juga perlu didedah kepada teori,
pendekatan, kaedah dan teknik-teknik pengajaran yang muktahir melalui kursus-kursus
dalam perkhidmatan, penyertaan dalam seminar-seminar yang berkaitan, maklumat
daripada makalah-makalah pendidikan dan sebagainya.
13
4.3 Kesedaran Dan Sikap Pelajar
Selain bahan-bahan pengajaran dan peranan guru, pelajar sendiri harus ada
kesedaran untuk memperbaiki penguasaan bahasa Melayu mereka melalui
pembacaan. Pelajar-pelajar digalakkan menambahkan pembacaan mereka, iaitu
pembacaan bahan yang berbentuk ilmiah, dan bukannya bentuk hiburan ringan. Bahan
bacaan ringan yang terdapat dipasaran mampu memberi kesan yang buruk kepada
penguasaan bahasa Melayu mereka. Hal ini kerana, dalam bahan bacaan tersebut
terdapat banyak kesalahan bahasa dari pelbagai aspek. Dikhuatiri pelajar akan
terpengaruh dengan penggunaan sesuatu aspek bahasa. Pelajar-pelajar juga
hendaklah membuang sikap memandang rendah terhadap bahasa Melayu. Mereka
perlu sedar bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa utama di negara ini dan bahasa
Melayu telah terbukti mampu menjadi bahasa ilmu. Hal ini telah ditegaskan lagi oleh
guru yang ditemubual mengatakan bahawa pelajar-pelajar mengetahui akan
kepentingan bahasa Melayu sebagai syarat untuk melanjutkan pelajaran dan
seterusnya berjaya dalam bidang pekerjaan yang dicita-citakan, namun pelajar sendiri
yang mengambil sikap sambil lewa dengan melepas tangan terhadap pembelajaran
bahasa Melayu kerana mereka beranggapan bahasa Inggeris lebih penting dalam dunia
pekerjaan sebenar berbanding bahasa Melayu.
14
4.4 Peranan Ibu Bapa
Ibu bapa perlu turut memainkan peranan untuk menggalakkan anak-anak
mereka supaya lebih rajin membaca. Mereka hendaklah menyediakan suatu suasana
berbahasa yang sempurna di rumah. Mereka juga hendaklah memberikan kesedaran
kepada anak-anak mereka tentang pentingnya bahasa Melayu dalam kehidupan
mereka. Membaca akan menambahkan pengetauhan mereka di samping
menambahkan perbendaharaan kata dan mendedahkan mereka kepada pelbagai
bentuk ayat. Secara tidak langsung, pembacaan meningkatkan penguasaan bahasa
Melayu pelajar.
5.0 Penutup
5.1 Kesimpulan
Pada keseluruhannya, tahap penguasaan bahasa Melayu pelajar menunjukkan
pencapaian yang baik dalam UPSR. Namun masih terdapat sekumpulan kecil yang
menghadapi masalah penguasaan bahasa Melayu. Terdapat beberapa faktor yang
telah dikenalpasti mempengaruhi masalah penguasaan bahasa Melayu pelajar tahun
enam. Faktor-faktor ini perlu diberi perhatian sewajarnya bagi mengatasi kelemahan
15
yang berlaku. Akhirnya, beberapa cadangan dikemukakan untuk dijadikan bahan
renungan guru, ibu bapa dan pihak-pihak lain yang berkepentingan.
5.2 Cadangan Untuk Kajian Seterusnya
Kajian ini meliputi aspek penguasaan bahasa Melayu keseluruhan secara umum.
Oleh itu, pengkaji mencadangkan agar kajian dijalankan secara menyeluruh yang
meliputi bidang sintaksis, morfologi dan fonologi. Kajian menyeluruh ini penting kerana
untuk menguasai bahasa Melayu, ketiga-tiga bidang perlu dikuasai sebagai aspek
kajian. Hasil penulisan yang baik tidak hanya bergantung kepada ayat yang gramatis,
pemilihan kata yang tepat tetapi juga ejaan yang betul. Kajian keseluruhan ini juga akan
membantu guru-guru menyusun program yang teliti dan merangkumi ketiga-tiga aspek
tersebut untuk mempertingkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
16