MANHAJ DAN PENDIRIAN MEREKA TERHADAP ILMU...
-
Upload
nguyenxuyen -
Category
Documents
-
view
227 -
download
1
Transcript of MANHAJ DAN PENDIRIAN MEREKA TERHADAP ILMU...
1
ULAMA’ SALAF DAN KHALAF:
MANHAJ DAN PENDIRIAN MEREKA TERHADAP ILMU TASAWWUF
Dr. Mohd Kamil Abdul Majid
Dr. Abdul Muhsien Sulaiman
Universiti Malaya
SINOPSIS
Makalah ini disediakan untuk mendapatkan garis panduan terhadap
ilmu Tasawwuf berasaskan kaedah dan pendekatan serta pendekatan
ulama’ muktabar salaf dan khalaf dari kalangan ulama’ Ahli Sunnah wa
al-Jama’ah. Perlu untuk diketahui umum bahawa yang paling penting
adalah tidak ada percanggahan secara nyata (ta’arud sarih) di sisi
kedua-dua golongan ulama’ ini. Namun sekiranya wujud pertentangan,
ketahuilah ia lahir daripada salah faham terhadap perkataan ulama’
tersebut. Antara yang terpenting dalam makalah ini ialah menonjolkan
bahawa tasawwuf di sisi ulamak salaf dan khalaf adalah satu ilmu yang
digarap dari kesucian al-Qur’an dan al-Sunnah. Persoalan kaitan ilmu
tasawwuf dan bimbingan kerohanian (tarbiyyah) sebagai satu manhaj
utuh yang diwarisi sejak dari nubuwwah juga diutarakan. Antara lain
isu-isu terhadap hubungan guru-murid akan turut dibincangkan
berdasarkan perspektif kedua-dua aliran ulama’ ini.
Kata kunci: al-salaf wa al-khalaf, tazkiyat al-nafs, al-suhbah al-
sufiyyah , tarbiyah ruhaniyyah, , mujahadah.
MUQADDIMAH
Maksudnya; “Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada
Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar
(sadiqin)”. al-Tawbah: 119.
Persoalan taqwa seringkali dibincangan dalam skop i’tiqadat imaniyyah atau ilmu akidah. Hal
yang demikian berkemungkinan disebabkan keterkaitan langsung iman dan taqwa dalam
2
akidah Islam. Namun persoalan berkaitan dengan manual dan teknikaliti atau secara lebih
tepatnya bagaimana mendapatkan taqwa jarang disentuh oleh ulama’ usul al-din dan
mutakallimin. Perbincangan mereka dilihat hanya dalam perkara polemik mazhab pemikiran
isu-isu ketuhanan, kenabian dan perkara sam‘iyyat. Bagi mengisi kekurangan ini sebilangan
besar dari kalangan ulamak awal Islam iaitu al-salaf al-salih dan kemudiannya disambung
oleh ulamak terkemudian iaitu al-khalaf dari kalangan al-zahidin menyusun ilmu ini dengan
jayanya. Disebabkan pemerhatian mereka yang mendalam dalam isu ini, maka lahirlah ilmu
yang disebut sebagai tasawwuf (Abdul Halim Mahmud, 1972). Dalam makalah ini, beberapa
pandangan akan dikemukakan bagi menjelaskan manhaj dan pendirian ulamak salaf dan
khalaf terhadap ilmu tasawwuf.
TASAWWUF DAN KESUFIAN SEPANJANG SEJARAH
Penggunaan istilah tasawwuf dan kesufian dalam sejarah Islam sebagaimana yang direkodkan
oleh Ibn Khaldun (t.t) dalam al-Muqaddimah hanya digunakan sekitar akhir abad kedua
Hijrah. Menurut Ibrahim Bayyumi (1978) hidup bertasawwuf di abad pertama adalah
berdasarkan penjagaan terhadap sunnah Baginda s.a.w, dan jika ada pun golongan yang
menumpukan ibadah secara total, mereka digelar al-nussak, al-zuhhad dan al-bukka’un.
Kemudian kemunculan hidup tasawwuf pula dikatakan berpunca dari munculnya aliran-aliran
pemikiran dan ideologi politik dalam Islam seperti Syiah, Khawarij, Muktazilah, Ahl al-
Sunnah wa al-Jama‘ah dan sebagainya sebagaimana direkodkan oleh Ibrahim Madkour
(1990). Setiap kelompok memiliki orang-orang yang zuhud dan ahli ibadat. Justeru itu, kedua-
dua istilah ini tidak digunakan, bahkan tidak diketahui di zaman sahabat dan tabi‘in.
Perkataan al-sufi pula mula digunakan apabila Abu Hamzah al-Kufi memakai gelaran al-Sufi
dibelakang namanya. Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa ia juga dinisbahkan
kepada Jabir Bin Hayyan Al-Kufi seorang ilmuwan kimia terkenal dari kelompok Syi‘ah.
Terdapat juga sebilangan pengkaji sejarah sufiyyah muncul sekitar tahun 199H merujuk
kepada suatu tempat peribadatan yang digunakan oleh golongan Syi‘ah di Kufah, namun ia
ditolak oleh sebahagian pengkaji sejarah tasawwuf Islam. Bagaimanapun Ibn Taymiyyah
menyatakan ketika kesufian mula-mula muncul di Basrah ia dipelopori oleh anak-anak murid
Abdul Wahid Bin Zaid iaitu salah seorang murid Al-Hasan Al-Basri (110H).
Apapun pandangan terhadap tasawwuf dan kesufian ini, perlu diketahui bahawa
tasawwuf sebenarnya menekankan matlamatnya yang asal iaitu tasfiyat al-qalb. Melalui
istilah tasfiyat al-qalb ini tasawwuf berfungsi sebagai agen pengembangan potensi individu
sebagai insan yang benar-benar bertaqwa. Ia dibentuk dengan tujuan melahirkan insan yang
3
bergelar hamba Allah yang dapat memainkan peranannya dalam semua aspek terutamanya
sahsiah, ilmu pengetahuan, mu’asyarat insaniyyah, dan memiliki nilai kerohanian yang
positif.
Dengan itu, hidup kesufian dilihat sebagai satu usaha murni bagi melahirkan lebih
ramai manusia yang berakhlak mulia serta taat kepada Allah. Semua ini akan terhasil jika
seseorang itu memiliki kualiti rohaniah yang cemerlang. Pembinaan sahsiah mulia ini amat
diharapkan terutamanya bagi mendepani cabaran hidup yang dilihat semakin mencabar. Ia
perlu dianggap sebagai satu usaha yang berterusan dalam memupuk kembali penghayatan
Islam berdasarkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Inilah antara manhaj utama para ulama’ salaf dan
khalaf dalam bertasawwuf, bertepatan dengan pendirian Abu al-Qasim Junaid al-Baghdadi
yang berbunyi: ”Ilmu kami ini terikat rapi (musyayyad) dengan prinsip al-Qur’an dan al-
Sunnah”.
Keterikatan ini bertujuan untuk melahirkan insan yang berilmu, berperibadian mulia,
berkemahiran dan bersikap positif untuk membangun diri, masyarakat kearah mencapai
kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat melalui kehidupan tasawwuf yang
berasal dari cara hidup Nabi s.a.w, para sahabat dan tabi’in. Memetik pandangan al-Syaikh
Husain Nasir al-Mas’udi al-Banjari atau Tuan Husain Kedah dalam kitab Qatr al-Ghaithiyyah
fi ’Ilm al-Sufiyyah:
”Bermula ilmu ini (tasawwuf) ini yaitu datang dari kurun pertama lagi...dan
asalnya bermula mereka (dalam kurun itu) berjalan atas perjalanan
(kehidupan) ahli al-Haq dan al-hidayah pada hal mereka mengikut perjalanan
para salaf dari umat ini yaitu jalan orang besar-besar dari sekalian sahabat
Nabi s.a.w dan tabi’in” (al-Qatr, halaman 4).
Menurut Abu Talib al-Makki (386H/966M) dan kitabnya Qut al-Qulub fi Mua’alamat
al-Mahbub ial ‘Allam al-Ghuyub, ilmu tasawwuf di kalangan para salaf itu memiliki prinsi-
prinsipnya tersendiri. Prinsip ini juga diwarisi oleh sebahagian besar ulamak selepas mereka.
Prinsip-prinsip tersebut ialah :
i. Mempunyai keilmuan dan kefahaman (al-fahm) yang kuat terhadap agama.
Dengan wujudnya prinsip yang pertama ini maka ajaran tasawwuf akan dapat
ditegakkan dengan jayanya. Bagi mengukuhkan prinsip ini, terdapat beberapa
syarat yang harus dilengkapi iaitu;
a) kemahuan yang benar (sidq al-iradah),
4
b) menolak keburukan dan maksiat untuk menjaga takwa kepada
Allah (dar’ al-mafasid li salah al-taqwa),
c) mengetahui kelemahan diri (ma‘rifat ‘ilal al-nafs),
d) selalu mengingati Allah (dawam al-dhikr),
e) taubat (al-tawbah),
f) menjaga kehalalan makanan (ma‘rifat al-ta‘am min haithu
halalihi),
g) bergaul dengan orang yang baik (suhbat al-salihin).
ii. Mempunyai kekuatan untuk menjalani hidup sufi yakni al-mujahadah, maka
beberapa manazil perlu dilepasi iaitu;
a) berkeadaan lapar (dawam al-ju‘),
b) sentiasa sembahyang dan mendirikan malam (qiyam al-lail),
c) melazimi diam (al-samt) dan tidak banyak berbicara, hanya
berbicara perkara yang penting sahaja,
d) memberikan tumpuan maksimum semasa berzikir (al-inqita‘ fi
al-dhikr) dan menyendiri dalam berzikir itu satu keperluan untuk
memenuhi tuntutan ini.
Dua prinsip ini akan dikupas secara ringkas dalam makalah ini untuk memberi
pandangan dasar terhadap manhaj dan pendirian ulamak salaf dan khalaf terhadap tasawwuf.
KEILMUAN SYARI’AT DAN TASAWWUF DARI AL-QUR’AN DAN AL-SUNNAH:
SEBAGAI SUMBER MUJAHADAH
Maksudnya: “Dan Jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat Dengan
orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan
petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah
5
Engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana Engkau
mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah Engkau mematuhi orang
yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi
pengajaran kami di dalam al-Qur’an, serta ia menurut hawa nafsunya, dan
tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. al-Kahf: 28.
Semestinya tasawwuf yang didokongi oleh para ulamak salaf dan khalaf yang mulia dari
kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w ini adalah dari al-Qur’an dan al-Sunnah. Tunjang
utama ilmu kerohanian ini adalah dari kedua-dua sumber Islam yang berstatus wahyu. Bagi
ulamak salaf dan khalaf, sebarang ayat yang datang daripada perbendaharan al-Qur’an
mempunyai nilai kehidupan manusiawi yang amat tinggi.
Sebagaimana petikan surah al-Kahfi (28) ini, disinilah terbentuknya teori maqamat1
yang dirumuskan oleh ulamak salaf sebagai maqam al-sabr2dan dari itu sabar dilihat sebagai
satu mata pelajaran besar dalam tasawwuf, sementelahan pula ia adalah satu bahagian
perbahasan quranik yang penting dalam kehidupan manusia. Perbahasan teori-teori sufi inilah
dirumuskan oleh al-Qaradawi (2004) sebagai fiqh al-suluk. Bolehlah juga kita fahami bahawa
ilmu (teori) untuk mendapatkan maqamat yang mulia itu satu kemestian atau dengan kata lain
ilmu dan amal saling tidak bercerai antara satu sama lain. Demikianlah ujaran al-Imam al-
Syafi’i yang berbunyi: “ Jadilah kamu ahli fiqh dan sufi sekaligus bercerai jangan (faqihan wa
sufiyyan fa kun laisa wahidan), sesungguhnya demi diri dan hak Allah Ta’ala inilah nasihatku
kepadamu (fa inni wa haqq Allah iyyaka ansahu)”. Antara lain, al-Bayhaqi r.a mendatangkan
satu wasiat penting juga dari al-Imam Syafi’i dalam kitab al-manaqib sebagaimana tuturan al-
Syafi’i: “jika kamu melihat seorang lelaki bertasawwuf di waktu pagi, saksikanlah di waktu
zohor ia menjadi bebal”. Pernyataan ini disebut oleh Syaikh al-Hasyimi bahawa ia bukanlah
bermaksud al-Syafi’i membenci tasawwuf tapi ini mungkin dari teguran al-Syafi’i terhadap
para mutasawwif (pseudo-sufi) yang hidup bertasawwuf tanpa amal.
SUHBAH SUFIYYAH DALAM TASAWWUF SEBAGAI PLATFORM PENDIDIKAN
ROHANI
1 Peringkat latihan kerohanian yang mampu diusahakan oleh seseorang manusia dengan kaedah -kaedah
kerohanian Islam yang ditetapkan oleh ulamak tasawwuf. Lihat al-Mawlawi, Fadh Yusuf, Abjadiyyat, hal. 51.
2Peringkat kesabaran ini adalahan peringkat mujahadah kerohanian yang begitu sekalui rumit pada
permulaannya menurut sebilangan sufiyyah. Ibn Ajibah, Bahr al-Madid fi tafsir al-Quran al-Majid.
6
Dari satu sudut pandang tasawwuf Islam yang lain pula, sepanjang pemerhatian yang
dijalankan oleh Khalid Hamid al-Hazimi (2000) dan Yahya Hasan ‘Ali Murad (2003) boleh
dikatakan tokoh-tokoh sufi dari aliran suuni sama ada salaf atau khalaf seolah-olah
mewajibkan perbincangan tarbiyyah ruhaniyyah ini melalui perincian sifat guru mursyid dan
peranannya dalam dunia pendidikan kerohanian. Sejarah Islam mencatatkan tokoh-tokoh
seperti Abu Hanifah al- Nu‘man, Muhammad bin Idris al-Syafi‘i (w.204/813M)3 Sahnun al-
Basri (w.240H/850M)4, Muhammad bin Sahnun (w.256H/866M)5, ‘Amru al-Jahiz6, Ibn
Jama‘ah7, Ibn ‘Abd al-Barr, al-Khatib al-Baghdadi (w.463H/1073M)8, al-Qabisi, Ibn Khallad,
dan sebagainya adalah dari kalangan tokoh besar sufi walaupun mereka lebih dikenali di
kalangan ulamak pendidikan. Disini kita dapati bahawa tasawwuf dan pendidikan (dengan
istilah: tarbiyyah) adalah dua entiti yang tidak terpisah dalam pemfokusan ibadat kepada
Allah, walaupun perkara sebaliknya telah berlaku pada zaman sekarang. Ini dapat dilihat
dengan apa yang terjadi kepada sebilangan masyarakat semasa yang memisahkan kedua-dua
3 Beliau ialah Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Idris bin ‘Abbas yang terkenal dengan gelaran al-Imam al-
Syafi‘i. Beliau adalah berketurunan Rasulullah s.a.w yang bersambung hingga ‘Abd al-Manaf dari sebelah
ibunya. al-Syafi‘i dikenali sebagai imam dari kalangan ahl al-hadith menguasai pemikiran logik (al-ra’y). Rujuk
al-Bayhaqi (t.t). Manaqib al-Syafi‘i. Edt. Ahmad Saqr. Lubnan; Dar al-Turath, al-Subki, ‘Abd al-Wahhab
(1986). Tabaqat al- Syafi‘iyyah. Edt. ‘Abd al-Fattah al-Hulw et.a al. Maktabah ‘Isa al-Babi al-Halabi, Yaqut al-
Himawi (t.t). Mu’jam al-Buldan wa al-Udaba’. Dar al-Ma’mun dan Min a‘lam al-tarbiyyah al-islamiyyah: al-
mujallad al-awwal. Maktab al-Tarbiyyah al-‘Arabi li Duwal al-Khalij. 4 Menurut al-Qadi ‘Iyad (w. 544H/1149) Sahnun adalah gelarannya namun nama sebenarnya ialah ‘Abd al-
Salam. Menurut beliau juga, Sahnun itu adalah nama sejenis burung yang mempunyai paruh yang halus dan
runcing. Beliau mendapat gelaran tersebut disebabkan kepetahan percakapannya disamping mempunyai akal
tajam yang dapat menyelesaikan masalah-masalah yang rumit. Beliau meninggal pada bulan Rajab 240H dengan umurnya 80
tahun. Ramai tokoh ulama’ Mu‘tazilah menghadiri majlis pengebumiannya sehinggakan ramai ulama Ahl al-Sunnah
mengatakan beliau dipengaruhi pemikiran Muktazilah. Rujuk al-Faytur, Syadhili (1988). Ara’ al-Imamayn: Sahnun wa ibnihi
Muhammad fi al-tarbiyyah dalam Min a‘lam al-tarbiyyah al-islamiyyah: al-mujallad al-awwal. Maktab al-Tarbiyyah al-
‘Arabi li Duwal al-Khalij. 5 Beliau lebih dikenali dengan jolokan Ibn Sahnun dalam bidang pendidikan. Namun perlu diberi perhatian, ay ah beliau juga
merupakan antara tokoh yang menyumbang kepada dunia pendidikan iaitu Sahnun al-Basri (w.240H/850M). Risalah Ibn
Sahnun , Adab Mu’allimin wa al-Muta’allimin dan Adab al-Muta‘allimin adalah ketiga-tiga ini adalah rujukan penting untuk
memahami pemikiran Muhammad Ibn Sahnun . Rujuk al-Tujibi, ‘Ali Muhammad. (1988). Min a‘lam al-tarbiyyah al-
islamiyyah: al-mujallad al-awwal. Maktab al-Tarbiyyah al-‘Arabi li Duwal al-Khalij. 6 Nama sebenar al-Jahiz ialah Abu ‘Uthman ‘Amru bin Bahr. Digelar al-Jahiz disebabkan kerana matanya yang luas. al-Jahiz
merupakan seorang ulama’ yang tersohor dalam bidang Sastera Arab melalui kitab al-Bukhala’. Ia merupakan karya sastera
Arab yang mempunyai nilai bahasa yang amat tinggi khusus dari sudut Ilmu al-Ma‘ani. Namun pada masa tumpuan al-Jahiz
dicurahkan seoptimum mungkin dalam bidang tersebut, beliau juga sempat membukukan pemikirannya dalam bidang
pendidikan Islam iaitu Risalat al-Mu‘allimin. Rujuk Risalat al-Mu‘allimin oleh al-Jahiz. 7 Rujuk Yahya Hasan ‘Ali Murad. (2003). Adab al-‘Alim wa al-Muta‘allim ‘Inda al-Mufakkirin al-Muslimin: min muntasaf
al-qarn al-thani al-hijri wa hatta nihayat al-qarn al-sabi‘. Lubnan; Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah hal. 259. Lihat juga Ibn
Jama’ah, Badr al-Din Muhammad bin Ibrahim bin Sa‘d Allah al-Kinani al-Syafi‘i. (2009). Tadhkirat al-sami‘ wa al-
mutakallim fi adab al-‘alim wa al-muta‘allim. edt. Muhammad Mahdi al-‘Ajmi. Lubnan: Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah.
Hal.7-9 8 Karya al-Baghdadi yang meletakkan beliau sebaris dengan tokoh-tokoh Pendidikan Islam ialah al-Faqih wa al-Mutafaqqih.
Rujuk al-Baghdadi, Abu Bakr Ahmad al-Khatib. (t.t). al-Faqih wa al-Mutafaqqih. Edt. Isma‘il al-Ansari. al-Maktabah al-
‘Ilmiyyah.
7
perkara ini, sebilangan mereka hanya menumpukan tasawwuf sebagai semata-mata disiplin
ilomu (subject matter) dan sebahagian yang lain menumpukan ibadat tanpa ilmu.
Konsep pendidikan (tarbiyyah) dalam Islam diasaskan di atas dasar-dasarnya yang
jelas dan kukuh terhadap sebarang pemahaman, penjelasan dan perbincangannya (Wan Mohd
Nor Wan Daud, 2005). Menurut beliau lagi, setiap perbincangan tersebut memerlukan ilmu
pengetahuan yang betul-betul disahkan kewibawaannya. Oleh kerana pendidikan dan
pembentukan akhlak adalah suatu proses yang melibatkan perhubungan penerapan nilai-nilai
secara bersepadu, maka ilmu dan budaya yang tersebar melalui hubungan secara langsung
dan tidak langsung akan mempengaruhi perkembangan fizikal, sosial dan khususnya rohani
manusia. Proses ini berlaku sehingga manusia mencapai keserasian dalam kehidupannya yang
perlu berinteraksi dengan individu dan masyarakat serta alam dan dalam keperluan
perhubungan beribadah kepada tuhannya (Ab. Rahman Abu Bakar, 1992).
Pendidikan dan pembentukan akhlak adalah suatu proses yang melibatkan
perhubungan atau komunikasi dan interaksi diantara individu dengan individu yang lain.
Contohnya seperti seorang ibu dengan anaknya atau seorang pengikut dengan ketuanya atau
seumpamanya (‘Abd Allah Nasih ‘Ulwan, 1997). Ia juga boleh berlaku di antara individu
dengan beberapa individu yang lain seperti di antara seorang anak dengan kedua ibu bapa atau
keluarganya atau dengan rakan sebaya, seorang guru dengan murid-muridnya atau
seumpamanya. Ia juga merupakan suatu proses komunikasi dan interaksi di antara manusia
dengan persekitarannya seperti sekolah, media massa, tempat tinggal, pekerjaan dan tempat
bekerja serta institusi masyarakat lainnya.
Dalam salah satu sudut pandangan Islam iaitu kerohanian Islam, seseorang yang
dikatakan seorang guru tidak akan dikatakan menjadi guru sehingga dia mempunyai murid
(al-Sya‘rani, 1998 & ‘Abd al-Qadir ‘Isa, 1993). Dalam pada memiliki jumlah murid yang
tertentu, para guru ketika itu menganggap semua murid adalah sahabat. Hal ini sengaja
ditimbulkan untuk tidak membuat jarak antara si guru dengan murid sebagaimana yang
dicerminkan dalam peribadi Rasulullah s.a.w dalam membimbing para sahabatnya.
Rasulullah s.a.w adalah seorang guru yang berjaya membimbing dan mendidik para sahabat
melalui pendekatan persahabatan (al-suhbah). Maka, pendekatan ini harus diamati dan
seharusnya dipraktikkan khususnya dalam memperkasakan pendidikan Islam semasa.
Dalam membicarakan hal ini para ulamak salaf dan khalaf berpandangan bahawa
prinsip tasawwuf utama yang perlu ditekankan ialah al-suhbah. Persahabatan dan pergaulan
kerana Allah merupakan sifat bagi mereka yang beramal dengan tasawwuf-tariqah. Ia
dianggap sebagai pemacu untuk melonjakkan skala keimanan supaya menjadi lebih baik (al-
8
Makki, 1997). Dalam menentukan takrif suhbah para ulama’ telah berbeza pendapat
berdasarkan pengalaman masing-masing dan juga sumber pengetahuan yang diperolehi.
Menurut al-Makki (1997), asas penting dalam suhbah ialah sikap prihatin yang
menimbulkan ikatan hati yang kuat. Menurut beliau semakin panjang tempoh persahabatan
maka semakin tebal dan makin mendalam sikap prihatin yang akan terhasil. Dalam
menerangkan asas tersebut al-Makki membawa contoh persahabatan dalam kalangan tokoh-
tokoh agung dunia tasawuf seumpama persahabatan Sufyan al-Thawri dengan Ibrahim
Adham, Dawud al-Ta’iyy dengan Fudail bin ‘Iyad, Sulaiman al-Khawas dengan Yusuf bin
Asbat, Hudhaifah al-Mar‘ashiy dengan Bisyr al-Hafi dan sebagainya.
”Dari [sebahagian] mereka (yakni salaf) yang cenderung ke arah pandangan
[suhbah] ini sebagaimana yang dipraktikkan oleh: Sufyan al-Thawri dan
Ibrahim bin Adham, Dawud al-Ta’i dan Fudail bin ‘Iyad, Sulaiman al-
Khawwas dan Yusuf al-Asbat, Hudhaifah al-Mar‘asyi dan Bisyr al-Hafi. Dan
[ramai] dari kalangan tabi‘in begitu sekali suka meramaikan kenalan pada
[jalan] Allah ‘azz wa jalla seperti [mempraktikkan sifat] saling berkasih-sayang
antara mukmin, demikian [usaha] yang menjadi hiasan tika kesusahan
ketenangan ketika kesempitan (memerlukan pertolongan)” (al-Makki, 361).
Antara sifat para tabi’in dan para salaf ialah mereka gemar untuk memaksimumkan
bilangan sahabat dan menjalinkan hubungan dengan orang salihin sebagai penenang jiwa
masa susah dan senang. Dari penjelasannya itu, jelaslah bahawa persahabatan dan
perhubungan dalam konteks ini lebilh dominan kepada unsur kerohanian. Dengan bergaul,
berinteraksi dan berhubung dengan golongan yang mempunyai keistimewaan (ashab al-fadl)
ini, hati akan menjadi tenang. Ini disebabkan mereka yang mempunyai ketajaman mata hati
dan pekerti yang mulia dalam membimbing mereka yang mendampinginya (Chittick, 1989).
Ikatan hubungan yang berlaku sesama tokoh salaf ini bukan sekadar perkenalan biasa
bahkan hubungan tersebut mengambil masa berpuluh-puluh tahun dan mereka saling
mendapat manfaat hasil keterjalinan hubungan itu. Bertitik tolak dari itulah, nama mereka
terpahat sebagai nama-nama tokoh masyhur sepanjang zaman yang diperoleh manfaat yang
berpanjangan. Kesimpulannya di sini, bahawa perdampingan bersama ulamak sufi itu adalah
antara pendirian utama para ulamak salaf dan suhbah inilah menjadi lestari sufistik sepanjang
zaman yang turut diikuti para ulamak khalaf. Al-makki mencatat:
9
”Sesungguhnya persaudaraan (mu’akhat) pada [jalan] Nya dan persahabatan
(suhbah) keranaNya serta berkasih sayang untukNya di dalam apa jua
keadaan (hadr wa safar) merupakan ciri [sebenar] orang yang beramal
[dengan PerintahNya]. Ini kerana di setiap perjalanan itu [perlu wujudnya]
perkumpulan. Dengannya terdapat kelebihan untuk saling memahami
perintah dan larangan [Allah]. Hal ini kerana persaudaraan kerana Allah
merupakan [simbol] keteguhan iman (awthaq ‘ura al-iman). Dan setiap
keserasian (ulfah), persahabatan (suhbah) dan keprihatinan keranaNya
merupakan contoh terbaik tanda-tanda orang yang bertakwa” (al-Makki).
KESIMPULAN
Para ulamak salaf dan khalaf sebenarnya adalah ulamak yang benar-benar menghargai
kehadiran tasawwuf dalam Islam. Pendirian utama mereka ialah selagi ilmu tasawwuf ini
bersumberkan al-Quran dan al-sunnah maka selama itulah mereka berteduh di bawah ilmu
mulia ini. Ilmu tasawwuf menurut mereka mempunyai prinsip dan pendekatan pendidikan
kerohanian yang teguh antara prinsip suhbah yang menjadi amalan para salaf, dan
kemudiannya diikuti para khalaf. Kesepaduan antara keilmuan tasawwuf garapan al-Qu’ran
dan al-Sunnah serta amalan perdampingan (suhbah) inilah amalan bertasawwuf para ulamak
Ahli sunnah wal Jama’ah dar tradisi warisan salaf dan khalaf dalam menelusuri kehidupan
kerohanian Islam (al-hayat al-ruhaniyah al-Islamiyah) tanpa campur aduk falsafah dan isme-
isme mistik asing.
**************
10
RUJUKAN
‘Abd al-Qadir ‘Isa (1993). Haqa’iq ‘an al-tasawwuf. Halab: Maktabah al-‘Irfan.
‘Abd al-Halim Mahmud (1986). Al-‘ibadah : ahkam wa-asrar. al-Qahirah: Dar al-Sya‘b.
‘Abd al-Rahman Badawi (1978). Tarikh al-tasawwuf al-Islami min al-bidayat hatta nihayat
al-qarn al-thani. Kuwait : Wakalat al-Matbu‘ah.
al-‘Almawi, ‘Abd al-Basit bin Musa Muhammad. (2004). Adab al-‘ilm wa al-mu‘allim wa al-
muta‘allim. Edt. Marwan al-‘Atiyyah. Kaherah. Maktabah al-Thaqafat al-Diniyyah. al-
Ahwani, Ahmad Fu’ad. (1955). al-Ta‘lim fi al-Islam aw al-ta‘lim fi ra’y al-Qabisi.
Kaherah. Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah.
al-Ahwani, Ahmad Fu’ad. (t.t). al-Tarbiyyah fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Ma‘arif bi Misr.
Chittick, William C. (1989). The Sufi Path of Knowledge, Albany : State University of New
York Press.
Ibrahim Madkour (1989). Tarikh al-Tasawwuf . Maktabah Anglo: kaherah.
al-Makki, Muhammad bin ‘Ali bin ‘Atiyyah al-Harithi (1997). Qut al-qulub fi mu‘amalat al-
mahbub wa wasf tariq al-murid ila maqam al-tawhid. edt. Basil Yasin al-Sud.
Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
W. Mohd Azam W. Amin. (1991). An evaluation of the qut al-qulub of Al-Makki with an
annotated translation of his Kitab Al-Tawba. Ph.D. Thesis, University of Edinburgh.