Liku-Liku Gerakan Islam di Malaysia - Satu Catatan Awal

16
1

description

This book lays down the brief history of the Islamic Movement in Malaysia started way back in 1950's. It also touches some brief history about the struggle to overthrown western colonialism in the Malay Archipelago.

Transcript of Liku-Liku Gerakan Islam di Malaysia - Satu Catatan Awal

RINGKASAN SEJARAH GERAKAN ISLAM

LIKU-LIKU GERAKAN ISLAM DI MALAYSIA SATU CATATAN AWAL

PENDAHULUAN

1.Perjuangan menentang pencerobohan atau kezaliman telah berlangsung sejak begitu lama di muka bumi ini. Tidak ada bangsa yang akan berdiam diri jika bumi mereka dijajah atau kaum mereka dizalimi. Banyak pihak akan berusaha mengumpul kekuatan untuka menentang pencerobohan atau kezaliman. Ini di fahami dan dimaklumi. Di Tanah Melayu, perjuangan menentang pencerobohan atau kezaliman berlangsung begitu lama. Setakat yang ditemui, penulisan sejarah awal penentangan kezaliman muncul apabila Portugis cuba menawan Melaka. Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511 merupakan saat bermulanya penentangan orang Melayu terhadap penjajahan kuasa luar.[footnoteRef:1] [1: Arkib Negara Malaysia 2015). Getir Perjuangan Kemerdekaan. http://www.arkib.gov.my/web/guest/getir-perjuangan-kemerdekaan]

2.Selepas Belanda mengalahkan Portugis dan menduduki Melaka pada tahun 1641, perjuangan menentang penjajah oleh pemerintah dan rakyat tempatan berterusan seperti yang berlaku di Naning, Kuala Perak, Riau dan Kuala Selangor. Pada ketika ini, lahirlah tokoh seperti Raja Haji yang bangun berjuang dalam tahun 1784 menentang Belanda sehingga beliau akhirnya terkorban di Telok Ketapang, Melaka pada 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M dan dimakamkan di Pulau Penyengat Indera Sakti,Kepulauan Riau,Indonesia.[footnoteRef:2] [2: Wan Mohd. Shaghir Abdullah (2006). Raja Haji Pahlawan Teragung Nusantara. Utusan Online: Arkib 12/6/2006.]

3.Namun penulis-penulis sejarah yang dikesan mula membukukan penulisan melalui episod Melayu menentang penjahjahan Barat dan sedikit mengenai penentangan orang Melayu terhadap kerajaan Siam. Perjuangan pemimpin-pemimpin tempatan menentang penjajahan terutamanya penjajah British adalah antara episod termasyhur dalam sejarah. Antaranya ialah perjuangan mengembalikan kedaulatan Kedah, Sultan Mahmud Shah menentang Portugis, Tun Perak, Imam Rasu atau Tok Gajah, Datuk Dol Said Pahlawan Naning, Rentap dan Sharif Masahor Wira Sarawak, Dato Maharaja Lela Pejuang Perak, Abdul Rahman Bin Tuanku Nuh atau lebih dikenali dengan nama Dato Bahaman Orang Kaya Semantan, Pahlawan Pahang, Mat Salleh dan Rosli Dobi menentang Syarikat Borneo Utara British (SBUB), Antanom Pahlawan Murut, Tok Janggut[footnoteRef:3], Hj. Abdul Rahman Limbong pejuang tani, Yamtuan Antah, Mat Kilau, Dato Muhammad Salleh Bin Perang atau lebih dikenali dengan panggilan Dato Bentara Luar, Yusuf Bin Adil atau Buyung Adil di Perak. Banyak lagi nama-nama pejuang yang tidak dapat disebutkan dalam nukilan ini. Sekadar menukilkan beberapa nama untuk pembaca menggali sejarah perjuangan mereka yang sebahagian besarnya digelar pemberontak oleh British atau pemerintah waktu itu. [3: Nik Anuar (2008). Tok Janggut: Pejuang atau Penderhaka? Kajang: Hazco Print.]

Al-fatihah buat semua mujahid Islam.

4.Buku ringkas ini tidak bermaksud untuk memperincikan kisah pejuang-pejuang yang disebut di atas. Buku ini hanya akan membincangkan secara khusus dan cuba menukilkan secara terperinci liku-liku perjuangan gerakan Islam di Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Ia disediakan dalam usaha untuk meneliti sejarah gerakan Islam di Malaysia yang ditinjau dari perspektif sejarah dan akademik berasaskan dokumen sedia ada. Ini dilakukan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan Islam yang wujud, sama ada yang menjadi pencetus kepada gerakan itu, mahupun yang meneruskan usaha-usaha gerakan Islam tersebut di negara kita sehingga ke hari ini.

5.Buku kecil ini diharap bakal menjadi sebahagian daripada himpunan catatan-catatan sejarah yang boleh menjadi rujukan generasi hari ini dan akan datang. Ini kerana terlalu banyak sejarah gerakan Islam di Malaysia yang tidak dibukukan dengan sempurna untuk menjadi rujukan masyarakat dan ahli akademik. Adalah terlalu penting masyarakat mengetahui sejarah perkembangan gerakan Islam di Malaysia agar mereka tidak keliru atau dikelirukan oleh tulisan-tulisan yang tidak bertanggungjawab dan tidak disokong dengan fakta. Perlu diketahui bahawa sejarah membentuk peradaban, sejarah membentuk pemikiran dan sejarah juga membentuk lorong-lorong untuk menghasilkan tamadun hari ini. Oleh kerana itulah kita temui beberapa peradaban yang berbeza meskipun datang dari sumber yang sama, hanya kerana ia terbentuk melalui lorong yang berbeza.

6.Perjuangan menegakkan Islam dimulakan oleh para Rasul terawal sehingga ke zaman Rasulullah SAW. Perjuangan yang telah berlangsung selama ribuan tahun yang jika dibaca dan dibuat perbandingan, kita akan dapati corak perjalanan yang hampir sama. Kemunculan Madinah sebagai Negara Islam pertama adalah kemuncak perjuangan 13 tahun Nabi SAW di Makkah menentang puak musyrikin[footnoteRef:4]. Sirah dan Sunnah Rasulullah SAW menjadi ikutan para sahabat dan para ulamak salihin yang meneruskan perjuangan Baginda mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini. Dari Makkah, Islam tersebar luas ke seluruh pelosok dunia, ke barat hingga Eropah dan ke Timur hingga ke Tanah Melayu sebelum terbentuknya negara kita, Malaysia. [4: Lihat ulasan menarik oleh Profesor Dr. Zakaria Bashier (The Meccan Crucible, Leicester: The Islamic Foundation, United Kingdom, 1991).]

7.Kedatangan Islam ke Tanah Melayu mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Berbagai teori dikemukakan oleh para sarjana dan sejarawan berdasarkan maklumat dan bukti yang mereka temui dan miliki. Ada sarjana yang mengemukakan teori Islam sampai di Kepulauan Melayu atau lebih dikenali dengan panggilan Nusantara yang merangkumi Tanah Melayu (Malaya) menerusi pedagang-pedagang dari China,[footnoteRef:5] India, Hadramawt (Yaman) dan sebagainya seawal tahun 927M. Tidak kurang juga yang mengemukakan teori bahawa Islam tiba ke Kepulauan Melayu disebabkan oleh perkembangan pesat Dawah Islamiyyah yang bermula dengan pembentukan Negara Islam Madinah, kemudian tersebar ke seluruh pelosok dunia. [5: Lihat karangan ilmiah lagi mendalam oleh Profesor Dr. Syed Muhammad Naguib al-Attas dalam Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay-Indonesian Archipelago (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969) dan juga The Correct Date of the Terengganu Inscription (Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1970). Profesor Naguib al-Attas menekan bahawa Islam tersebar luas di Nusantara disebabkan misi dakwah yang dibawa oleh para duat (pendakwah) dan ahli-ahli sufi Tanah Arab meskipun terdapat bukti pedagang India-Muslim tiba di Alam Nusantara untuk berdagang. Teori-teori awal bahawa Islam mula-mula tersebar di Nusantara dibawa oleh kaum pedagang semata-mata oleh para Orientalis seperti Snouck Hurgronje (1924), Vlekke (1965), J.B.O Shrieke (1955) dan G.W.J Drewes (1968) telah dipatahkan dengan teliti oleh Profesor al-Attas berdasarkan bukti-bukti persuratan sebagaimana terpahat di atas Batu Bersurat Terengganu. ]

8.Namun penemuan dinar emas di Kelantan pada tahun 1914 telah sedikit sebanyak mengubah pendapat-pendapat ini. Bahagian pertama dinar emas tersebut bertulis al-julus Kelatan dan angka arab 577H yang bersamaan dengan tahun 1161[footnoteRef:6] atau 1181M[footnoteRef:7]. Bahagian kedua dinar itu pula bertulis l-Mutawakkil, iaitu gelaran pemerintahan Kelantan. Ini bermakna Batu Bersurat Terengganu bukan lagi menjadi bukti terawal kedatangan Islam ke Tanah Melayu kerana telah ada bukti lain yang menunjukkan penggunaan istilah Islam di Tanah Melayu lebih awal daripda Batu Bersurat. Walau apapun teorinya, jika benar Islam disebarkan kerana perdagangan, maka aspek dakwah yang dibawa oleh para duat (pendakwah) terawal tidak dapat diketepikan begitu sahaja kerana sememangnya golongan pendakwah awal adalah juga para pedagang yang termasyhur. Berdasarkan kepada beberapa banyak Hadith mengenai kepentingan perniagaan dalam Islam[footnoteRef:8], ia menyebabkan para sahabat berlumba-lumba berniaga dan bermusafir untuk belajar dengan tujuan memenuhi tuntutan sunnah dan pada masa yang sama juga membawa risalah untuk menyebarkan Islam (berdakwah). [6: Dewan Redaksi Ensiklopedia Islam,Ensiklopedia Islam Jilid III, (Cet. II; Jakarta: Ichtiar Baru Van Hoeve, 1994), h. 137.7 Sa`ad Shukri Haji Muda (1971), Detik-Detik Sejarah Kelantan. Pustaka Aman Press. Kota Bharu. hlm 7.] [7: ] [8: Rujuk Hadith Riwayat Imam Bukhari di dalam Kitab al-Buyu, Bab Kasbir Rojuli wa Amalihi Biyadihi II/730no. 2072.]

9.Selain dari itu, memang terdapat tulisan sarjana Arab dan Sejarawan terkenal seperti at-Tabari yang menyebut bahawa selepas zaman Khulafa al-Rasyidun, ramai pendakwah bergerak ke Asia Timur mengembangkan Islam.[footnoteRef:9] Catatan-catatan Sejarawan ini dengan jelas menukilkan perkara ini dalam nukilannya. Hubungan Nusantara dengan Timur Tengah pada awal abad ke-9 amat rapat dan ini dapat dilihat menerusi prasasti[footnoteRef:10] dan karya sufi yang amat terkenal di Dunia Melayu pada abad ke-15 hingga 18 menerusi karya-karya agama khususnya disiplin tasawwuf dalam kalangan ulamak Melayu ternama seperti Syaikh Hamzah al-Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf al-Singkel dan Shamsuddin al-Sumatrani menyinari, menyuluh dan membajai ruh Islami di seluruh Nusantara dengan ilmu-ilmu tasawwuf dan metafizika Islam, fiqh, akhlak, adab dan sebagainya. [9: Franz Rosenthal, trans., The History of al-abar (State University of New York Press, 1989), Vol. 1.] [10: Prasasti adalah piagam atau dokumen yang ditulis di atas bahan yang keras dan tahan lama.]

10.Mengungkap kembali kata-kata Profesor Naguib al-Attas, kedatangan Islam ke alam Melayu memberikan bukan sahaja nafas tetapi juga jiwa baru kepada umat Melayu Nusantara yang sudah lama diselaputi faham animisme, Hindu dan Buddha sejak zaman-berzaman lagi. Umat Islam-Melayu menapis nilai-nilai hidup Melayu yang tidak cocok dan dibawa dari saki-baki fahaman Hindu dan Buddha. Faham-faham baru yang dibawa Islam mengenai kebenaran, ketuhanan, diri, akal, ilmu, akhlak, keadilan, hukum dan undang-undang yang serba lengkap telah menggantikan pengaruh sebelumnya. Kedatangan Islam telah benar-benar sebati dengan jiwa Melayu sehinggakan pengaruh falsafah Islam benar-benar menunjangi alam pemikiran umat Melayu yang dapat kita saksikan sendiri dalam istilah-istilah Melayu seperti akal, ilmu, kalam, kitab, surat, fikir, alam dan sebagainya. Malah tulisan Jawi Melayu yang berasaskan huruf-huruf Arab-Islam telah ditambah beberapa huruf yang bersesuaian dengan bunyi lafaz Bahasa Melayu seperti huruf cha ( ), nya (), pa () dan ga ().[footnoteRef:11] [11: Huraian dan pemikiran yang amat saintifik serta mendalam ini telah dikemukakan oleh sarjana tempatan kelahiran Malaysia sendiri, iaitu Profesor Dr. Syed Muhammad Naghuib al-Attas dalam Syarahan Pidato penerimaan Gelar Profesor Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1972 yang telah dibukukan berjudul, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (Kuala Lumpur: Institut Bahasa, Kesusateraan dan Kebudayaan Melayu [IBKKM], Universiti Kebangsaan Malaysia, 1972).]

11.Secara ringkas kedatangan Islam di Alam Melayu dapat dilihat seperti berikut:-900M 1500M-Zaman kemasukan Islam-Islam mula diamalkan1500M 1940an-Zaman penjajahan- Islam dijajah & ditindas 1940-an 2000-Zaman selepas merdeka-Kebangkitan Islam2000 kini-New Millenium-Cabaran baru Islam

11