KHUTBAH JUMAAT SEBAGAI PLATFOM INTRA-DIALOG: ANALISA...
Transcript of KHUTBAH JUMAAT SEBAGAI PLATFOM INTRA-DIALOG: ANALISA...
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 720
KHUTBAH JUMAAT SEBAGAI PLATFOM INTRA-DIALOG: ANALISA KONSEPTUAL
Zulkefli Ahmad 1 & Khairulnizam Mat Karim2
College of Foundation & General Studies, UNITEN
Bandar Muadzam Shah, Pahang, MALAYSIA
ABSTRAK
Kertas kerja ini adalah kertas kerja konsep. Objektif utama kertas kerja ini adalah untuk menganalisa
khutbah Jumaat sebagai platfom intra-dialog dalam masyarakat Muslim. Kajian ini adalah sebahagian
daripada siri kajian untuk membangunkan khutbah Jumaat sebagai model intra-dialog dalam
masyarakat Muslim di Malaysia yang difokuskan kepada isu-isu dan konflik hubungan antara agama
di antara Islam dan bukan Islam. Kajian ini berkonsepkan kajian perpustakaan. Hasil utama kajian
awal ini menunjukkan bahawa Khutbah Jumaat yang didefinisikan sebagai suatu medium atau
platfom untuk menyampaikan mesej Islam atau dakwah Islam dalam kekerapan seminggu sekali
adalah amat sesuai dijadikan platfom intra-dialog dalam masyarakat Muslim. Ini adalah kerana di
antara fungsi Khutbah Jumaat adalah (1) platfom penerangan, (2) peringatan mingguan, (3) medium
amar ma’ruf nahi mungkar, (4) platfom menanam kefahaman Islam dan menolak salaf faham, (6)
platfom pendidikan dan pembentukan akhlak dan (6) lidah kebenaran dan komunikasi dakwah.
Maka dengan peranan-peranan ini kajian mendapati bahawa Khutbah Jumaat sangat sesuai
digunakan sebagai platfom Intra-Dialog dalam (1) menanam kefahaman bagaimana Islam membina
hubungan dengan bukan Islam, (2) menerangkan hal-hal yang melibatkan Islam dan bukan Islam, (3)
melakukan justifikasi mahupun penerangan berkaitan sebarang keputusan yang dibuat di peringkat
tertinggi negara dalam hal hubungan antara agama mahupun konflik antara agama khususnya Islam
dan bukan Islam.
Katakunci: Khutbah Jumaat, Intra-Dialog.
1. Pendahuluan
Dakwah adalah satu program yang terancang dan boleh membawa kepada pengamalan
dan penghayatan Islam terhadap seseorang individu atau masyarakat. Dalam Islam, dakwah adalah
satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang Islam sama ada secara individu atau
secara kolektif. Masyarakat Arab keluar dari kegelapan kepada cahaya semestinya dengan
sumbangan dakwah yang menyeluruh dan peranan medium-medium dakwah yang ada. Khutbah
Jumaat merupakan salah satu medium terpenting dalam penyebaran dakwah.
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 721
Kajian ini akan membincangkan fungsi khutbah Jumaat dalam penyebaran dakwah kepada
masyarakat. Melalui kajian ini, fungsi khutbah sebagai platfom intra-dialog turut akan diteliti bagi
menunjukkan bahawa pentingnya khutbah Jumaat ini digunakan sebagai platform intra-dialog
terutama dalam hal-hal hubungan dan konflik antara agama.
2. Definisi
2.1 Khutbah Jumaat
Definisi khutbah dari beberapa kamus dan takrifan yang diberikan oleh sebahagian besar penulis
menunjukkan persamaan yang ketara bahawa khutbah tidak lari dari dikaitkan dengan beberapa
kata kunci seperti ‘pidato’, ‘ucapan’, ‘perkataan’, ‘kata-kata’, ‘seni ucapan’ ‘seni pertuturan’ dan
seumpamanya. Khutbah juga didefinisikan sebagai pidato yang biasanya mengandungi ajaran atau
nasihat keagamaan atau syarahan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005).
Berkhutbah bermaksud berpidato atau bersyarah mengenai hal-hal agama dan lain-lain.
Menurut Ibnu Manzur (1990) dalam Lisan al-‘Arab, khutbah dari kata kerja khataba bererti ucapan
yang disampaikan di atas mimbar kepada orang ramai. Menurut Kamus Syawarifiyyah, (2007)
khutbah berasal dari perkataan khitab yang bermaksud; percakapan, perbincangan dan dialog.
Dalam konteks bahasa Inggeris, khutbah diterjemahkan sebagai sermon. Menurut Oxford
Fajar Edisi Keempat (2008), perkataan sermon bermaksud; talk on a religious service. Istilah Friday
sermon juga digunakan secara meluas bagi memberi maksud khutbah Jumaat.
Ainuddin (2010) mentakrifkan bahawa khutbah ialah kata-kata yang bersifat kesenian
tersusun yang dipersembah atau disampaikan dengan maksud untuk memberi kesan dan
perubahan.
Ghazali (2005) mentakrifkan bahawa khutbah adalah pidato yang diucapkan dihadapan
jemaah pada hari Jumaat. Mengikut kesusasteraan Arab, khutbah bermaksud seni pertuturan yang
diucapkan kepada orang ramai bertujuan untuk memberi kepuasan serta menarik perhatian mereka
secara pendengaran dan penglihatan. Khutbah ialah satu seni ucapan yang boleh menarik minat
orang ramai terhadap ucapan tersebut dari segi pengajarannya.
Menurut A. Chodri (1998), khutbah dari segi bahasanya membawa ucapan atau pidato.
Manakala menurut istilah syariah, khutbah bermaksud sebagai pidato yang diucapkan oleh seorang
khatib di depan jemaah pada hari Jumaat sebelum solat dilaksanakan dengan syarat-syarat dan
rukun-rukun tertentu.
Khutbah atau pidato sebagai suatu ilmu dalam tamadun manusia telah bermula sejak
beratus-ratus tahun sebelum Masihi. Menurut Ainuddin (2010), sebelum kedatangan Islam terdapat
tiga bangsa di dunia yang menguasai ilmu pidato. Pertama, bangsa Yunani. Bangsa ini menggunakan
pidato baik dalam keadaan aman mahupun perang. Kedua, bangsa Romawi. Kemahiran pidato lahir
di kalangan masyarakat ini kerana empayar Rom terkenal sebagai empayar yang mengasaskan
pelbagai undang-undang. Ketiga, bangsa Arab. Orang Arab sebelum Islam telah menggunakan pidato
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 722
secara meluas antaranya dalam urusan perniagaan, urusan kemasyarakatan dan peperangan.
Kemahiran berpidato di kalangan masyarakat Arab adalah sangat tinggi. Antara sebabnya adalah
mereka merupakan bangsa yang buta huruf, tidak menulis dan tidak membaca. Maka pidato menjadi
medium utama komusikasi antara masyarakat dan antara kabilah-kabilah Arab.
Daripada takrifan-takrifan yang dinyatakan, dapatlah disimpulkan bahawa khutbah ialah
suatu bentuk seni pengucapan awam atau pidato yang ditujukan kepada kumpulan orang ramai
bertujuan menyampaikan nasihat dan peringatan, disampaikan di suatu tempat khusus seperti
mimbar, penyampai atau khatib merupakan orang yang fasih. Ini secara langsung meletakkan suatu
sifat khusus kepada pengkhutbah iaitu sifat fasih dengan maksud pemidato atau pengkhutbah yang
fasih sebenarnya layak untuk berkhutbah.
2.2 Intra
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) bermaksud awalan asing di sebelah dalam atau di
dalam. Beberapa takrifan lain yang terkandung dalam kamus adalah meliputi maksud ‘dalaman’,
‘sebelah dalam’, ‘whitin’ dan seumpamanya.
2.3 Dialog
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) dialog bermaksud perbincangan atau perundingan
antara dua pihak yang bertelingkah kepentingannnya, bertukar-tukar pendapat atau pandangan
mengenai sesuatu isu secara terbuka.
Menurut Kamus Oxford Fajar, Edisi Keempat (2008) maksud dialog ialah talk between two
people. Dalam bahasa Arab pula perkataan hiwar, muhawwarah bermaksud conversation, dialogue,
argument, dispute, debate.
Dari aspek etimologinya, perkataan dialog berasal daripada gabungan perkataan Greek iaitu
‘dia-‘ dan ‘logos’ yang bermaksud melalui atau menembusi. Manakala maksud logos pula bermaksud
perkataan atau makna perkataan. Maka dialog membawa maksud sesuatu pandangan atau
perbincangan “talking together” antara dua pihak atau lebih dengan unsur-unsur pertemuan,
komunikasi, persepakatan, pemahaman, perhubungan dan persefahaman secara kolektif.
Khairulnizam Mat Karim (2009) menyimpulkan definisi dialog merangkumi beberapa
perkara,
“(1) Dialog adalah perbualan, perbincangan, persidangan antara dua pihak atau
lebih. (2) Dialog berlaku dalam suasana yang formal dan terancang. (3) Di dalam
perlaksanaan dialog wujud perbezaan pendapat, pandangan dan idea terhadap
perkara yang dibincangkan di antara pihak yang terlibat. (4) Dialog berlangsung
dengan keadaan terbuka, terkawal serta wujud rasa hormat. (5) Tujuan dialog
adalah untuk mendengar, mempelajari, mengetahui dan bertukar-tukar pandangan
sama ada bermanfaat untuk semua yang terlibat atau pihak-pihak tertentu. (6)
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 723
Selain itu di dalam aspirasi pendifinisian Islam definisi dialog dilihat amat
komprehensif. Ini adalah kerana definisi melibatkan keseimbangan akal, penekanan
kepada konsep mengakui kesilapan untuk mencapai kebenaran di dalam berdialog.
Definisi juga diasaskan kepada mesej dan panduan Islam yang terangkum di dalam
asas-asas berdialog.”
Secara dasarnya dalam lingkungan perbahasan ini, penulis melihat bahawa dialog adalah
suatu perbincangan kelompok antara kepelbagaian agama, budaya dan bahasa yang berlaku dalam
bentuk perdebatan atau perbincangan yang harmoni. Bertitik tolak dari itu juga akan mewujudkan
suatu pendekatan dakwah yang sempurna bagi mencari jalan penyelesaian dan pendamaian dalam
aktiviti dakwah yang diperjuangkan.
2.4 Intra-dialog
Di dalam huraian maksud ‘intra-dialog’, penulis akan cuba memperhalusi maksud kedua-duanya agar
tidak tersasar daripada persoalan intra-dialog yang menjadi fokus asas kepada kajian ini.
Dengan berdasarkan maksud kedua-dua perkataan yang telah dijelaskan ianya membawa
pengertian perlaksanaan dialog yang berlaku di dalam komuniti sendiri. Ini amat penting kerana
sebagai agen (pendialog) harus memaklumkan kepada masyarakat yang diwakili berkaitan informasi-
informasi yang dibincangkan di dalam dialog di antara agama sama ada fakta-fakta atau keputusan-
keputusan yang telah dicapai bagi mengelakkan berlakunya salah faham.
Perbezaan antara agama, budaya serta adat tidak seharusnya menimbulkan masalah jika
semua pihak saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Melalui interaksi inilah
anggota masyarakat yang terdiri daripada perlbagai etnik dapat bersama-sama memahami budaya
dalam kalangan etnik-etnik yang berbeza.
2.5 Khutbah Jumaat Sebagai Platform Intra-Dialog
Khutbah Jumaat berperanan sebagai lidah penyiaran rasmi pada zaman Rasulullah S.A.W
ketika peringkat awal perkembangan Islam. Selain bersifat sebagai lidah kebenaran, khutbah Jumaat
juga menjadi medium penting menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat agar mendapat
kefahaman yang menyeluruh. Bahkan ianya merupakan sesuatu penyebaran yang sangat
berpengaruh serta mampu mengubah situasi masyarakat Arab dahulu. Sehingga ke hari ini, peranan
tersebut masih lagi dikekalkan dan dipertingkatkan lagi bagi mengembalikan kehormatan umat Islam
pada mata dunia, serta memastikan agama Islam berada di tempat yang tertinggi.
Khutbah Jumaat hari ini didengar oleh para jemaah yang hadir ke masjid sekali setiap
minggu. Bagi kalangan masyarakat Islam yang jarang ke masjid, tidak mengikuti kuliah-kuliah harian
di masjid atau surau, khutbah Jumaat menjadi satu-satunya wasilah bagi mereka memperolehi ilmu
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 724
agama. Bahkan juga mungkin satu-satunya kesempatan bagi sebahagian ahli jemaah untuk
mendengar pesanan-pesanan agama dan ayat-ayat suci al-Quran dalam seminggu.
Sejak akhir-akhir ini kita mendengar pelbagai isu-isu yang melibatkan hubungan antara
agama yang amat serius seperti (1) isu penggunaan kalimah Allah, (2) pembinaan rumah ibadat, (3)
urusan pentadbiran agama (4) isu pengkebumian saudara baru, (5) kefahaman adat-budaya agama
masing-masing dan sebagainya dilihat belum lagi menemui jalan penyelesaiannya. Justeru itu, pada
pandangan penulis sewajarnya perlu dimanfaatkan sepenuhnya pentas khutbah ini dengan
membincangkan perkara yang lebih menjadi keutamaan dalam Islam seperti hubungan antara
agama, perpaduan ummah dan sebagainya.
Peranan yang dimainkan oleh khutbah amat penting dalam kehidupan masyarakat kerana
melaluinya masyarakat Islam memperoleh ilmu pengetahuan bagi meningkatkan kefahamannya
tentang Islam. Ilmu tersebut bukan hanya untuk dirinya kerana ilmu tersebut akan dibawa pulang ke
rumah dan boleh disampaikan pula kepada isteri, anak-anak atau saudara mara atau jirannya yang
tidak ke masjid.
Secara tidak langsung ini merupakan suatu gerakan dakwah kerana seseorang muslim itu
bukan sekadar menggalas tanggungjawab kepada dirinya sahaja bahkan kepada agama yang
dianutinya dan masyarakat secara umum sekiranya melibatkan kepentingan negara.
3. Khutbah Menurut Shara’
Penulis akan menerangkan dengan ringkas pandangan daripada ulama’ kontemporari berkaitan
hukum, rukun dan syarat sah khutbah Jumaat.
3.1 Hukum Khutbah Jumaat
Sebagaimana dinyatakan dengan jelas dalam kitab-kitab fiqh, fardhu Jumaat terdiri daripada dua
perkara iaitu dua khutbah dan solat dua rakaat berjamaah. Menurut Dr. Wahbah Al-Zuhaily (2006),
jumhur ulama berpendapat bahawa khutbah Jumaat adalah wajib hukumnya untuk dilaksanakan
dan ia menjadi salah satu syarat sah bagi solat Jumaat. Dalam ertikata lainnya, solat Jumaat yang
dilaksanakan secara berjemaah sebanyak dua rakaat menjadi tidak sah jika tidak dilaksanakan
khutbah Jumaat pada hari tersebut.
3.2 Rukun-Rukun Khutbah
Dr. Wahbah Al-Zuhaily (2006) menegaskan berdasarkan pandangan Imam al-Syafi’e, bahawa rukun
khutbah ada lima iaitu; Pertama, memuji Allah dalam apa jua bentuk lafaz. Kedua, berselawat ke
atas Nabi S.A.W. Ketiga, berwasiat dengan taqwa. Keempat, membaca satu ayat al-Quran dalam
salah satu dari mana-mana khutbah. Kelima, berdoa untuk kaum muslimin dan muslimat dalam
urusan akhirat.
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 725
3.3 Syarat-Syarat Sah Khutbah
Mengikut mazhab Shafi’e syarat sah pelaksanaan khutbah iaitu; Pertama, khatib hendaklah berdiri
sekiranya mampu dan duduk di antara dua khutbah. Kedua, khutbah hendaklah tidak melewati solat
Jumaat. Ketiga, khatib hendaklah berada dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan besar dari
kotoran-kotoran sama ada pada badannya, pakaiannya mahupun tempatnya berkhutbah. Keempat,
rukun-rukun khutbah hendaklah dibaca dalam bahasa Arab. Kelima, rukun-rukun khutbah hendaklah
didengari oleh empat puluh orang ahli jemaah yang duduk di dalam masjid (Ainuddin Kamaruddin,
2010).
4. Pengaruh Khutbah
Penulis melihat pengaruh khutbah berdasarkan pertimbangan berikut:
4.1 Politik
Menurut Rosli Jaafar (2013), khutbah dapat mempengaruhi dari sudut politik khususnya di Negeri
Pahang. Ini adalah kerana sebelum tahun 2000, pengurusan khutbah negeri Pahang adalah di bawah
tanggungjawab Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Segala yang berkaitan dengan khutbah adalah
dibawah seliaan JAIP sendiri termasuklah penulisan teks khutbah itu sendiri. Namun selepas
Pilihanraya Umum tahun 1999, kontroversi timbul dan wujud dakwaan bahawa khutbah Jumaat di
Pahang bersifat ‘pro-pembangkang’.
Khutbah Jumaat didakwa sebagai salah satu punca Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun
Abdul Razak hampir tewas di tangan calon parti pembangkang dengan majoriti tipis iaitu sebanyak
241 undi sahaja mengalahkan calon PAS, Ramli Mohamed. Secara umumnya masyarakat telah
dikelirukan dengan khutbah Jumaat hasil tulisan pegawai-pegawai JAIP pada masa itu kerana isi-isi
khutbah banyak membicarakan tentang perkara-perkara tidak sealiran dengan kehendak kerajaan.
Bahkan juga dikatakan bahawa penulis-penulis khutbah khasnya cenderung kepada
pembangkang dan anti kerajaan lantas perkara ini tidak disenangi oleh pihak atasan. Berdasarkan isu
ini adalah antara penyebab yang membawa kepada pengambilalihan Jabatan Mufti Negeri Pahang
sebagai badan yang bertanggungjawab untuk menguruskan hal yang berkaitan dengan khutbah.
(Rosli Jaafar, 2013)
4.2 Ilmu
Menurut Ainuddin (2010), khutbah atau pidato sebagai suatu ilmu dalam tamadun manusia telah
bermula sejak beratus-ratus tahun sebelum Masihi. Namun jika dilihat dari perspektif sirah
Rasulullah S.A.W, khutbah Jumaat yang pertama telah disampaikan pada 12 Rabiul Awwal tahun
pertama Hijrah bersamaan 28 Jun 622 Masihi oleh Rasulullah S.A.W di hadapan pengikut Baginda di
Madinah. Sebelum itu, Rasulullah S.A.W sememangnya sudah melazimi penyampaian khutbah di
peringkat dakwah baginda secara sembunyi-sembunyi lagi. Kemudian barulah diteruskan sehingga
ke peringkat terang-terangan.
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 726
Masyarakat Arab keluar dari kegelapan kepada cahaya semestinya dengan sumbangan
dakwah yang menyeluruh dan peranan medium-medium dakwah yang ada. Khutbah merupakan
salah satu medium terpenting dalam penyebaran dakwah.
4.3 Roh Islam
Sesungguhnya khutbah Jumaat mempunyai peranan yang asasi di dalam kehidupan masyarakat
Islam. Ia memainkan peranan yang besar di dalam aspek dakwah, memberikan pendidikan dan
pelajaran kepada orang ramai. Akan tetapi ruh bagi satu-satu masjid adalah para imam dan
khatibnya yang boleh membangkitkan atau menidurkan orang ramai (Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi,
2002).
Semua itu adalah bergantung kepada bahan yang disampaikannya kepada orang ramai di
dalam khutbah Jumaat. Sekiranya khatib menyampaikan kepada mereka agama Islam dalam bentuk
akidah yang sejahtera, ibadah yang sahih, ilmu-ilmu yang mendatangkan manfaat maka akan
memberi kebaikan kepada masyarakat Islam.
Menurut Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi (2002), pada awal abad yang kedua puluh masihi ini
tokoh-tokoh gerakan kristian di Mesir telah menyedari betapa pentingnya khutbah dan
perhimpunan hari Jumaat. Salah seorang dari ketua gerakan tersebut menulis bahawa :
“Sesungguhnya Islam akan terus menjadi batu pejal yang akan menggagalkan gerakan kristianisasi
selagi mana ia mempunyai empat kekuatan berikut: Al-Quran, Al-Azhar, perhimpunan hari Jumaat
dan muktamar haji setiap tahun”.
Ainuddin (2010) menambahkan bahawa faktor khutbah yang lebih mempengaruhi seseorang
itu adalah apabila mempunyai ciri-ciri yang berkualiti dan berkesan seperti berikut:
a. Bersesuaian dengan kehendak semasa.
Rasulullah S.A.W memilih tajuk yang sesuai iaitu yang berupa masalah semasa yang masih
diperbincangkan oleh orang ramai. Misalnya dalam musim kemarau Rasulullah S.A.W
menyampaikan khutbah berkenaan dengan keutamaan bersedekah manakala ketika waktu menuai
baginda akan menyampaikan khutbah berkenaan dengan kewajipan zakat. Apabila hampirnya
Ramadhan, baginda akan menyampaikan khutbah berkenaan kewajipan berpuasa.
b. Keutamaan
Kandungan khutbah Jumaat haruslah menyeluruh bagi menjawab dan menghuraikan
persoalan yang berlaku dalam masyarakat. Khutbah yang membincangkan sesuatu perkara yang
dianggap remeh hendaklah dijauhi seperti membincangkan tentang fungsi jalanraya, keutamaan
buah-buahan tempatan dan sebagainya kerana terdapat banyak lagi perkara utama yang berlaku
dalam kehidupan masyarakat yang perlu diambil perhatian sewajarnya.
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 727
c. Tepat dan padat
Teks khutbah perlulah mementingkan kepadatan isi dan setiap kandungan perlu ada kaitan
antara satu sama lain. Isi yang berbunga-bunga perlu dijauhi bagi mengelakkan tumpuan jemaah
hilang.
d. Mengambilkira situasi jemaah
Khatib perlulah prihati terhadap latarbelakang jemaah yang hadir bagi mengelakkan dakwah
yang disampaikan tidak sampai kepada mad’u yang dimaksudkan. Sebagai contoh jemaah yang
terdiri dari kalangan petani maka tidak sesuai diberikan contoh yang berkaitan dengan intelektual.
Begitu juga menceritakan berkenaan dengan permasalahan di bandar besar sedangkan para
jemaahnya terdiri dari kalangan penduduk desa.
5. Peranan dan Fungsi Khutbah Dalam Masyarakat
5.1 Sebagai pusat penerangan
Khutbah memainkan peranan yang amat penting bagi menyalurkan ilmu, maklumat dan nasihat
pada zaman lampau (Ainuddin Kamaruddin, 2010). Pada zaman ini pula peranan yang dimainkan
hampir sama. Selain menyampaikan dakwah keagamaan, khutbah juga boleh dijadikan medium
menyampaikan maklumat-maklumat umum berkaitan situasi semasa, pengumuman peristiwa,
bencana, wabak penyakit, mesej dari pemerintah, mesej pasukan keselamatan dan sebagainya.
Pendedahan isu semasa boleh dibincangkan dalam khutbah Jumaat bagi mendedahkan
kepada masyarakat tentang pendirian Islam terhadap isu yang berlaku seperti isu penolakan hadis,
isu gejala sosial, isu mempersendakan al-Quran dan Nabi Muhammad S.A.W isu penggunaan kalimah
Allah serta isu-isu berkaitan hubungan dan konflik antara agama.
5.2 Sebagai maui’zah (peringatan) mingguan.
Para jemaah yang terdiri daripada manusia biasa sememangnya tidak lari dari melakukan kesilapan.
Mereka ini perlu sentiasa diberi peringatan dan pesanan-pesanan keagamaan supaya sentiasa
memperbaharui taqwa mereka kepada Allah. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T yang
bermaksud:
“Dan tetap tekunlah Engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan
itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.”
[Surah al-Dhariyat :55]
Berdasarkan ayat tersebut, maka apa juga masalah yang berlaku dalam masyarakat Islam
sama ada yang melibatkan jiwa, diri, harta benda dan perkara-perkara yang berkaitan dengan orang
Islam seharuslah diselesaikan dengan cara memberi peringatan atau nasihat (Mustafa Kamal Haudin,
2002).
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 728
Dengan nasihat maka lahirlah motivasi yang tinggi untuk melakukan kebaikkan,
bertanggungjawab, bertolak ansur, hormat-menghormati, tolong-menolong, ihsan, ikhlas dan sifat-
sifat mahmudah yang lain. Nasihat yang baik boleh menjadi pemangkin dalam usaha dakwah.
Walaupun nasihat yang baik lebih senang untuk difahami pengertiannya kerana selalu dilakukan oleh
orang ramai, namun ia juga mengandungi berbagai-bagai bentuk dan keadaan. Pada asasnya
manusia tidak suka dinasihati kerana dia akan dianggap lemah. Oleh yang demikian, nasihat untuk
tujuan dakwah hendaklah dilakukan dengan cara yang baik supaya sasaran dapat menerima dan
memahami adanya kejujuran penasihat, dia sendiri yang memerlukan nasihat dan akan mengalami
kerugian jika menolaknya.
Nasihat yang baik bererti kata-kata yang dilakukan secara halus, lembut dan tenang sehingga
boleh menyejukkan kepanasan dan jauh sekali daripada menyinggung dan terpancar dari hati yang
ikhlas. Nasihat seperti ini memerlukan kefahaman orang yang dinasihati bahawa tujuan daripada
nasihat tersebut ialah untuk kebaikan dan semata-mata menjaga kepentingan sasaran untuk masa
depan di dunia dan akhirat. (Ab. Aziz 2001)
5.3 Sebagai agen amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Khutbah Jumaat membawa saranan amar ma’ruf dan nahi mungkar untuk diambil tindakan oleh
setiap jemaah. Bukan sekadar itu sahaja bahkan mampu menyarankan agar masyarakat mengubah
ke arah kebaikan serta mencegah segala kemungkaran yang berlaku dalam kehidupan seharian.
Saranan ini telah dijelaskan oleh Allah dalam firmannya yang bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada
kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat
demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
[Surah al-Imran :104]
5.4 Pusat penyampaian ilmu pengetahuan dan kefahaman Islam.
Rasulullah S.A.W amat menitikberatkan pendidikan. Baginda S.AW menganjurkan agar umat Islam
mendidik anak-anak dengan ajaran agama seawal mungkin. Tempat yang paling sesuai untuk
pendidikan agama ialah di masjid. Masjid Nabawi merupakan masjid pertama mengeluarkan
generasi Islam yang dikenali sebagai generasi al-Quran, yang kemudiannya mempelopori semua
bidang kepimpinan Islam.
Rasulullah S.A.W menjadikan masjid sebagai tempat mengajar dan belajar al-Quran, dan
Rasulullah S.A.W sendiri bertindak sebagai guru pada waktu itu. Baginda S.A.W menyampaikan
khutbah Jumaat, ceramah fatwa agama dan ajaran agama kepada mereka. Sekiranya baginda tidak
dapat hadir, baginda S.A.W akan mewakilkan sahabat-sahabat seperti Ubadah bin Shamit, Abi
Ubadah bin al-Jarrah dan lain-lain. Masjid adalah anjung pengembangan ilmu pengetahuan,
khususnya ilmu keagamaan dan tempat pemindahan ilmu dari Rasulullah S.A.W kepada para
sahabat. Rasulullah S.A.W kerap kali menerima wahyu dari Allah S.W.T sewaktu baginda berada di
dalam masjid. (Asmak Haji Ali Cik Hashim Mat Said, 2008)
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 729
5.5 Pusat pendidikan dan pembentukan akhlak.
Peranan pendidikan daripada segi memberi ilmu, dilakukan melalui khutbah Jumaat, kelas pengajian,
ceramah dan penyebaran bahan bercetak. Kaedah pembelajaran dewasa (adult learning) atau
pembelajaran berterusan (continous learning) lama dilaksanakan oleh masjid. Fungsi khutbah adalah
jelas untuk menyampaikan sesuatu berkaitan dengan hubungan manusia dengan Allah dan sesama
manusia. Semasa khutbah, sentiasa diperingatkan bahawa makmum tidak boleh berkata-kata supaya
perhatian diberikan kepada khutbah. Ini bertepatan dengan penemuan tentang komunikasi, bahawa
komunikasi yang berkesan ialah mencerap dengan baik kerana lebih 53% komunikasi ialah
mendengar atau mencerap berbanding bercakap atau menulis. Mencerap dengan cara yang
sempurna membolehkan penerima dapat diberi maklumat dan didikan secara berkesan. (Hashim
Fauzy Yaacob, 2008)
Melalui khutbah Jumaat juga, dapat mengajar manusia bukan sahaja tentang pengetahuan
atau ilmu khususnya ilmu agama, tetapi cuba membentuk jiwa manusia dan memperadabkan
mereka. Dengan sebab itu manusia diajar bagaimana harus menjaga adab apabila beribadah kepada
Allah S.W.T. Di samping itu melatih manusia dengan adab atau akhlak tertentu apabila
berkomunikasi bersama-sama manusia.
5.6 Sebagai lidah kebenaran dan komunikasi dakwah.
Menurut Hashim Fauzy Yaacob (2008), Islam melihat komunikasi sebagai suatu yang lebih holistik
iaitu merangkumi hubungan manusia dengan Allah dan hubungan sesama manusia merangkumi
kehidupan dunia dan akhirat. Apa yang dilakukan di dunia mempunyai kaitan dengan kehidupan
akhirat. Dengan sebab itu hukum komunikasi dalam Islam berasaskan kepada perintah Tuhan yang
mana setiap komunikasi manusia akan dibalas oleh Allah.
Pelanggaran kepada hukum komunikasi dalam Islam bukan sahaja memberi kesan negatif
kepada komunikasi tetapi memberi kesan dari segi dosa dan pahala kepada pelakunya. Islam juga
melihat komunikasi sebagai suatu yang berterusan kerana ia berlaku semasa hidup, di alam kubur, di
padang mahsyar dan dalam kehidupan yang abadi. Oleh sebab itu manusia diperintah oleh Allah
berkomunikasi dengan baik, bercakap soal kebenaran, menyeru kepada kebaikan, bersifat jujur,
ikhlas, amanah, menghindar fitnah, tidak mengadu domba, melakukan pembohongan dan
sebagainya.
6. Khutbah Jumaat – Platfom Intra-Dialog.
Maka dengan peranan-peranan khutbah yang dihuraikan seperti di atas, kajian mendapati bahawa
Khutbah Jumaat sangat sesuai digunakan sebagai platfom Intra-Dialog dan dalam kajian penuh yang
akan dijalankan adalah memberi fokus kepada hal-hal hubungan antara agama dan konflik antara
agama. Di antara peranan yang dilihat sangat signifikan yang boleh menggunakan platfom khutbah
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 730
sebagai platfom intra-dialog ini adalah (1) menanam kefahaman bagaimana Islam membina
hubungan dengan bukan Islam, (2) menerangkan hal-hal yang melibatkan Islam dan bukan Islam
sebagai contoh yang berlaku di peringkat negara, (3) melakukan justifikasi mahupun penerangan
berkaitan sebarang keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi negara dalam hal hubungan antara
agama mahupun konflik antara agama khususnya Islam dan bukan Islam dan (4) menerangkan
kepada masyarakat berkaitan cara-cara penyelesaian yang telah di ambil dalam menangani konflik
yang berlaku. Maka dengan berlakunya intra-dialog, maka masyarakat akan memahami dengan jelas
serta dapat mengurangkan salah faham dan salah tafsir terhadap perkara yang berlaku terutama
yang melibat hal-hal agama Islam dan bukan Islam. Dalam hal ini Khairulnizam et al(2014) telah
menerangkan dengan terperinci di antara kandungan-kandungan penting yang boleh dimuatkan di
dalam teks-teks khutbah Jumaat terutama prinsip-prinsip asas hubungan antara agama.
7. Kesimpulan
a) Khutbah yang didefinisikan sebagai ajaran atau nasihat mengandungi maksud yang sangat
penting sebagai agen pendialog bagi memaklumkan kepada masyarakat berhubung sesuatu
perkara yang disampaikan. Dalam ertikata lainnya, khutbah merupakan medium yang penting
untuk menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat.
b) Khutbah Jumaat bukan sekadar memainkan peranan besar dalam aspek dakwah malah juga
bersifat sebagai saluran mendapatkan ilmu pengetahuan di samping pengetahuan dalam isu-isu
hubungan antara agama sebagaimana fokus kajian ini. Melaksanakan penyebaran agama Allah
kepada semua lapisan masyarakat dengan bijaksana adalah sangat penting. Sasaran dakwah
dapat ditarik dengan kebijaksanaan dan bukannya dengan kekerasan dan dapat diseru dengan
nasihat pengajaran atau nasihat yang cukup mudah difahami mengikut petunjuk al-Quran.
c) Khutbah Jumaat yang didefinisikan sebagai suatu medium atau platfom untuk menyampaikan
mesej Islam atau dakwah Islam dalam kekerapan seminggu sekali adalah amat sesuai dijadikan
platfom intra-dialog dalam masyarakat Muslim.
d) Di antara peranan khutbah yang dilihat dapat berperanan sebagai platfom intra-dialog terutama
dalam hal-hal dan konflik antara agama adalah; (1) menanam kefahaman bagaimana Islam
membina hubungan dengan bukan Islam, (2) menerangkan hal-hal yang melibatkan Islam dan
bukan Islam, (3) melakukan justifikasi mahupun penerangan berkaitan sebarang keputusan yang
dibuat di peringkat tertinggi negara dalam hal hubungan antara agama mahupun konflik antara
agama khususnya Islam dan bukan Islam.
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 731
Rujukan
A Chodri Ramli, 1998. Solat Jumaat : Sejarah dan Tatacara Pelaksanaannya. Kuala Lumpur, Al-
Hidayah Publishers.
Ab. Aziz Mohd Zin (2001). Methodologi Dakwah. Kuala Lumpur : Universiti Malaya.
Ainuddin Kamaruddin. (2010). Khutbah Jumaat Masjid-Masjid Daerah Kuantan: Kajian Terhadap Isi Kandungan dan Penerimaan Jemaah. Disertasi Sarjana Pengajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Asmak Haji Ali Cik Hashim Mat Said (2008). Fungsi dan Peranan Masjid Dalam Masyarakat Hadhari. Selangor: Univision Press
Hashim Fauzy Yaacob, 2001. Komunikasi Antara Manusia. Skudai: Penerbitan Universiti Teknologi
Malaysia.
Ghazali Basri. (2005). Dialog Antara Agama Di Malaysia. Kuala Lumpur: Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya.
Ibn Manzur, Muhammad ibn Mukarram.(1995). Lisan al-‘Arab, j.4, Beirut: Dar-Sadr. Kamus Syawarifiyyah Arab – Indonesia. (2009). Dr. Kamaluddin Nurdin Marjuni. Ciputat Press:
Jakarta. Kamus Dwibahasa Oxford Fajar Edisi Keempat. (2008). Joyce M. Hawkins. Selangor: Oxford Fajar Sdn.
Bhd. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Khairulnizam Mat Karim, Suzy Aziziyana Saili & Khadijah Mohd Khambali .(2014). Role of Religious Leader in Interfaith Dialogue towards Conflict Resolution: An Islamic Perspective, International Journal Of Education and Research, Vol.2 No. 6 June 2014, pg:77-88 (International Refereed Journal)
Khairulnizam & Suzy Aziziyana Saili. (2009). Dialog Antara Agama: Perspektif Islam dan Realiti di Malaysia. Bangi: Pusat Pengajian Islam dan Peradaban, Universiti Tenaga Nasional
Mustafa Kamal Haudin (2002). Nasihat Sebagai Satu Disiplin Ilmu Yang Tinggi. Himpunan Jurnal Kolej Islam Pahang Sultan AhmadShah-KIPSAS bil.3 Jilid 1. Kuantan: Copy Print Express (M) Sdn. Bhd.
Nor Idayu Zulpabli (2011). Persepsi Pelajar Muslim Di Fakulti Pendidikan Terhadap Kandungan Khutbah Jumaat Berbantukan Teknologi Multimedia Di Masjid Sultan Ismail, UTM Skudai, Johor. Disertasi Ijazah Sarjana Muda, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.
Nor Raudah Siren. 2005. Retorik pengucapan khutbah Jumaat di Surau Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Dlm. Norrodzoh Siren & Yusmini Md. Yusoff (pnyt.) 2003. Membangun Institusi Masjid, hlm. 59-76. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
E-Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2015
(e-ISBN 978-967-0792-04-0). 8 & 9 June 2015, Meliá Hotel Kuala Lumpur, Malaysia.
Organized by http://WorldConferences.net 732
Prof Madya. Dr Jawiah Dakir. (2007). Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Prof. Dr. Yusuf Abdullah Al-Qardhawi (2002), Khutbah. Ustaz Hasnan bin Kasnan (terj.) RMi Multimedia Publishing : Selangor Darul Ehsan.
Rosli Jaafar, 2013. Jabatan Mufti Negeri Pahang. Temu bual. 22 Februari.
Wahbah al-Zuhaili (2006). Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu. Damsyiq : Dar alFikri.
Wahbah al-Zuhayli (1985), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, j.2,c.2., Dimashq: Dar al-Fikr.
1 Penolong Pensyarah, Kolej Pengajian Asas dan Umum, Universiti Tenaga Nasional, Kampus Sultan Haji Ahmad
Shah, Pahang. 2 Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Asas dan Umum, Universiti Tenaga Nasional, Kampus Sultan Haji Ahmad
Shah, Pahang. Bidang kajian: Perbandingan Agama, Dialog Antara Agama, Pemikiran Islam dan Kontemporari