Kesantunan Masyarakat Malaysia IPGM
-
Upload
nadiahnoornano -
Category
Documents
-
view
1.974 -
download
9
description
Transcript of Kesantunan Masyarakat Malaysia IPGM
KESANTUNAN MASYARAKAT MALAYSIA
( GSB 1012 )
SOALAN-SOALAN TUTORIAL PPISMP SEMESTER 1 2013
1. Berikan contoh-contoh amalan berbudi bahasa yang sesuai diamalkan dalam
masyarakat majmuk di Malaysia.
Jawapan:
Budi bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tatatertib,
akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan tercantum dalam kata-kata mulia,
dengan kata lain, setiap gerak laku, tutur kata, pemikiran dan perasaan baik
terhadap orang lain sebagai peribadi mahupun pergaulan masyarakat. Terdapat
beberapa contoh amalan berbudi bahasa yang sesuai diamalkan dalam
masyarakat majmuk di Malaysia antaranya ialah membuang sampah ke dalam
tong sampah, memandu dengan berhemah, bertegur sapa sesama manusia,
tolong-menolong antara satu sama lain, dan menghormati orang yang lebih tua
daripada kita.
2. Berikan takrif kesantunan berbahasa mengikut pendapat tokoh-tokoh dunia.
Jawapan:
Kesantunan berbahasa ialah kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan
bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan. Mengikut
pendapat tokoh-tokoh dunia seperti:
i) Awang Sariyan (2007) : Kesantunan berbahasa ialah penggunaan bahasa
yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan
menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman
bicaranya.
ii) Held : Kesantunan berbahasa sebagai suatu fenomena bahasa yang
boleh dikaji secara empirikal menerusi pemerhatian terhadap komunikasi
lisan melibatkan interaksi bersemuka antara penutur dengan pendengar.
iii) Siti Hajar Abdul Aziz (2009) : Kesantunan berbahasa ialah cara
penggunaan kata dan ujaran secara sopan dan beradab.
3. Bagaimanakah konsep penjagaan muka dapat menjadi asas kesantunan
berbahasa.
Jawapan:
Konsep penjagaan muka sebagai asas kesantunan berbahasa merujuk kepada
air muka yang berkait rapat dengan maruah diri. Terdapat pelbagai peribahasa
yang berkaitan dengan muka seperti muka tembok, muka papan dan
sebagainya. Ini menunjukkan orang Melayu mementingkan malu dan air muka.
Sesuatu perlakuan yang buruk yang mendatangkan malu akan menjejaskan imej
sendiri dan juga keluarga. Sewaktu berinteraksi, orang Melayu ditegah menghina
dan merendah-rendahkan peribadi seseorang. Penggunaan bahasa dan
perkataan yang keluar dari bibir hendaklah santun, tidak mengandungi unsur-
unsur yang memalukan diri, keluarga dan pihak lain walaupun yang dihujah itu
benar. Percakapan juga tidak boleh berlebih-lebih kerana ini boleh menimbulkan
kebosanan orang lain. Kata-kata menggambarkan hati. Hatilah yang mendorong
sesuatu ungkapan yang ditugaskan kepada lidah dan mulut. Oleh itu, hati yang
baik akan mengungkapkan bahasa yang santun dan sebaliknya.
4. Jelaskan maksud kesantunan merentas budaya dengan memberikan contoh-
contoh yang sesuai.
Jawapan:
Kesantunan merentas budaya bermaksud kesantunan yang tidak hanya
tertumpu kepada satu-satu bangsa sahaja bahkan juga merupakan konsep
kesantunan merentas budaya yang pelbagai. Pemahaman tentang apa yang
dikatakan santun dalam pelbagai budaya harus diberi penekanan dalam proses
berkomunikasi. Apabila proses komunikasi melibatkan pelbagai budaya maka ia
dipanggil komunikasi silang budaya. Tahap silang budaya boleh diukur
berdasarkan pandangan terhadap dunia, kepercayaan dan tingkah laku, sistem
kod serta tanggapan terhadap hubungan.
Contoh-contoh kesantunan merentas budaya antaranya ialah seperti CEO
berbangsa Jepun berinteraksi dengan pengurusnya yang berbangsa Cina
Malaysia tentang projek perniagaan mereka. Seterusnya, seorang pakar
penasihat kepada Trading Sdn. Bhd bermesyuarat dengan ahli lembaga
pengarah Trading Sdn. Bhd. yang mana lembaga mesyuarat tersebut terdiri
daripada orang Malaysia, orang Jepun, orang Kanada dan orang UK.
5. Huraikan pengertian :
a) Kesantunan verbal
b) Kesantunan non-verbal
c) Kesantunan lisan
d) Kesantunan tulisan
Jawapan:
a) Kesantunan verbal bermaksud percakapan, lisan dan pertuturan iaitu merujuk
kepada semua aspek komunikasi secara lisan.
b) Kesantunan non-verbal pula bermaksud perbuatan, ekspresi wajah, bahasa
tubuh dan isyarat iaitu merujuk kepada semua perlakuan yang tidak
menggunakan bahasa lisan untuk menyampaikan mesej yang dapat
difahami.
c) Kesantunan lisan ialah bersikap sopan santun dengan menggunakan kata-
kata yang sesuai dengan situasi untuk menjaga air muka seseorang.
d) Kesantunan penulisan pula bermaksud bersikap sopan santun dengan
menggunakan gaya bahasa yang sesuai mengikut format penulisan daripada
perkara yang boleh mengancam kehormatan orang lain.
6. Huraikan maksud peraturan-peraturan bahasa dalam aspek-aspek yang berikut:
a) Jarak sosial
b) Konteks percakapan
c) Tujuan/Matlamat
d) Giliran bercakap
e) Memula dan mengakhiri percakapan
f) Pemilihan kata
Jawapan :
a) Maksud peraturan bahasa dalam aspek jarak sosial ialah bersopan santun
dengan tidak melihat status sosial pihak lain dan memberi tumpuan
sepenuhnya terhadap isi yang disampaikan oleh pihak lain.
b) Maksud peraturan bahasa dalam aspek konteks percakapan ialah memahami
relevensi pembicaraan dengan menguasai masalah yang sedang
dibincangkan, menggunakan bahasa yang efektif dan mudah difahami, serta
mengusahakan isi pembicaraan relevan dengan topik. Dan jika terjadi
perbezaan pendapat, selesaikan secara halus tanpa menimbulkan sebarang
konflik atau pertelingkahan.
c) Maksud peraturan bahasa dalam aspek tujuan/matlamat ialah
mengutamakan tujuan percakapan dalam pergaulan harian. Kita patut
menitikberatkan perkara yang penting dahulu dan tujuan perkara itu mestilah
menimbulkan sesuatu kesan terhadap orang lain atau sesuatu objek.
d) Maksud peraturan bahasa dalam aspek giliran bercakap iaitu harus
mengutamakan status dan kedudukan semasa bercakap. Secara umumnya,
giliran bercakap bergantung pada tempat kita berada dan orang yang
bercakap dengan kita.
e) Maksud peraturan bahasa dalam aspek memula dan mengakhiri percakapan
ialah memulakan percakapan seperti ucapan “Assalamualaikum”, “Selamat
Pagi” atau “Helo” manakala ungkapan mengakhiri percakapan pula ialah
bergantung pada situasi yang rasmi atau tidak rasmi. Salah satu contoh untuk
mengakhiri percakapan dengan ungkapan pemisahan ialah “Selamat jalan”.
f) Maksud peraturan bahasa dalam aspek pemilihan kata ialah memula dan
mengakhiri percakapan dengan menggunakan bahasa yang bersesuaian
dengan situasi atau sesuatu majlis sama ada formal atau tidak formal.
7. Pilih sebuah cerita atau drama Melayu yang pernah anda tonton dan analisis
contoh strategi kesantunan verbal dan non-verbal.
Jawapan:
Tajuk Filem: Ali Baba Bujang Lapok
Filem ini mengisahkan cerita tentang Ali Baba (Aziz Sattar) adalah seorang yang
miskin dan papa kedana. Dia sering menghantar isterinya ke rumah Kassim
Baba untuk meminjam gandum supaya mereka dapat makan, tetapi Kassim
Baba yang kedekut (S. Shamsuddin) kecewa dengan adiknya itu dan seringkali
memberitahu isterinya bahawa Ali Baba ialah seorang yang tidak berguna. Suatu
hari, semasa Ali Baba sedang keluar mencari kayu api, dia terlihat sekumpulan
40 penyamun berkawad melalui hutan sambil membawa hasil rompakan. Dia
bersembunyi di sebatang pokok dan melihat ketua penyamun (P. Ramlee) berdiri
di hadapan sebuah gunung batu sambil menyanyikan mentera di dalam Bahasa
Jawa untuk membuka mulut gua batu tersebut. Ali Baba menunggu sehingga
kesemua penyamun meninggalkan gua sebelum dia turun dari atas pokok dan
menggunakan mentera itu untuk membuka mulut gua tersebut. Dia mendapati di
dalam gua tersebut penuh dengan harta-benda dan barang kemas, tetapi dia
hanya mengambil satu peti berisi syiling emas sahaja. Dengan wang emas
tersebut Ali Baba mampu membayar balik kesemua hutangnya pada abangnya
serta hidup dalam keadaan mewah. Kassim Baba berasa ingin tahu lalu
memujuk Ali Baba untuk memberitahunya bagaimana dia boleh jadi cepat kaya.
Ali Baba terus memberitahu mengenai gua tersebut serta mentera untuk
membuka gua itu, tetapi belum sempat dia memberitahu mentera penutup
ataupun mengenai penyamun yang menggunakannya, Kassim Baba terus
meluru untuk mencari gua tersebut. Kassim Baba, dengan penuh rasa tamak,
cuba mencuri kesemua yang ada di dalam gua penyamun tersebut. Dia
tertangkap semasa para penyamun pulang semula ke gua sementara dia masih
ada. Setelah beberapa cubaan untuk melengahkan mereka, kumpulan
penyamun tersebut membunuhnya. Memandangkan Kassim Baba masih belum
pulang, Ali Baba pergi semula ke gua itu dan menemui mayat abangnya itu. Dia
membawa pulang mayat itu dan menghantar mayat Kassim Baba untuk dijahit
dan dikebumikan. Ketua penyamun tersebut menyedari kekayaan Ali Baba dan
menjadikannya sasaran untuk rompakan seterusnya. Setelah anak buahnya dua
kali gagal, si ketua itu sendiri pergi ke rumah Ali Baba dan menyamar sebagai
saudagar minyak, sementara anak-anak buahnya bersembunyi di dalam tong
minyak yang disimpan di halaman rumah. Hamba Ali Baba, Marjina, menemui
rancangan untuk menewaskan para penyamun itu, di mana minyak sebenar
yang mendidih dicurahkan ke dalam setiap tong minyak. Setelah kesemua
penyamun ditewaskan, dia sendiri menyerang dan membunuh ketua penyamun
itu. Ali Baba yang terhutang budi kepada Merjina seterusnya membebaskannya.
Contoh strategi kesantunan verbal:
1. Meminta maaf
Norsiah, isteri kepada Ali Baba meminta maaf kepada abang ipar dan kakak
iparnya, Kassim Baba dan Aloya kerana selalu meminjam gandum daripada
mereka. Dia juga meminta maaf bagi pihak suaminya kerana disebabkan
suaminya malas untuk mencari kerja, dia terpaksa meminjam gandum bagi
menampung kehidupan mereka suami isteri.
2. Terima kasih
Ali Baba mengucapkan terima kasih kepada Marjina, orang gaji Kassim Baba
kerana telah menyelamatkan keluarganya daripada serangan penyamun-
penyamun yang ingin merompak dan merampas harta kekayaannya. Marjina
juga berterima kasih kepada tuannya, Ali Baba kerana membebaskannya
setelah peristiwa tersebut..
Contoh strategi kesantunan non-verbal:1. Bertimbang rasa
Kassim Baba diperlihatkan sebagai seorang yang bertimbang rasa kepada
isterinya, Aloya apabila dia menyediakan orang gaji, iaitu Marjina untuk
membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Selain itu, Ali Baba juga
sangat bertimbang rasa kepada isterinya, Norsiah iaitu dia tidak
membenarkan Norsiah mencari kerja sebaliknya biarlah dia sendiri yang
mencari kerja.
2. Menepati janji
Ali Baba seorang yang menepati janji. Apabila Ali Baba sudah kaya, dia
sudah mampu untuk membayar balik kesemua hutangnya pada abangnya,
Kassim Baba.
3. Tidak tamak
Ali Baba diperlihatkan sebagai seorang yang bersederhana dan tidak tamak.
Sewaktu dia berada di dalam sebuah gua, dia mendapati di dalam gua
tersebut penuh dengan harta-benda dan barang kemas, dan dia hanya
mengambil sebuah peti berisi syiling emas sahaja.
4. Baik hati dan tolong-menolong
Ali Baba seorang yang baik dan suka menolong orang yang dalam
kesusahan. Sewaktu Ali Baba sudah kaya-raya, dia memberi sedekah
kepada orang-orang yang miskin dengan menaburkan wang emas kepada
mereka. Seterusnya, Marjina, orang gaji Kassim Baba juga diperlihatkan
sebagai seorang hamba yang baik dan suka membantu orang lain. Hamba Ali
Baba, Marjina, telah mendapat tahu bahawa ketua penyamun yang
menyamar sebagai saudagar minyak dan anak-anak buahnya itu mempunyai
niat yang tidak baik kerana kehadiran mereka ke rumah Kassim Baba adalah
ingin merompak hartanya dan Marjina menemui rancangan untuk
menewaskan para penyamun itu, di mana minyak sebenar yang mendidih
dicurahkan ke dalam setiap tong minyak. Setelah kesemua penyamun
ditewaskan, dia sendiri menyerang dan membunuh ketua penyamun itu.
5. Mengenang budi
Ali Baba telah memberi beberapa kantung wang emas kepada saudara
kandungnya, Kassim Baba sebagai mengenang budinya yang pernah
membantunya semasa dia hidup miskin dahulu. Dia juga sangat terhutang
budi dengan hamba Kassim Baba, Marjina kerana disebabkan
kebijaksanaannya itu dalam menewaskan penyamun-penyamun, dia dan
keluarganya selamat daripada serangan penyamun tersebut. Disebabkan dia
sangat terhutang budi dengan Marjina, maka dia pun membebaskan Marjina
seperti manusia yang lain.
6. Bersyukur
Marjina, orang gaji Kassim Baba berasa sangat bersyukur dengan
mengucapkan “Alhamdulillah” kerana dia telah dibebaskan oleh Ali Baba.
8. Bincang tentang strategi kesantunan lisan dengan merujuk kepada amalan
masyarakat Malaysia.
Jawapan:
Merujuk kepada amalan masyarakat Malaysia, orang Melayu menganggap
kesantunan lisan amat menitikberatkan perlakuan yang menjaga air muka atau
maruah pendengar. Oleh itu , mereka akan cuba mengelak daripada berhadapan
dengan konflik semasa berinteraksi secara lisan. Justeru, orang Melayu
menggunakan pelbagai strategi semasa berinteraksi.
Antara strategi kesantunan lisan yang digunakan ialah :
Strategi ikhlas : Menegur secara tidak langsung sesuatu perbuatan yang tidak
disukai.
Strategi merendah diri : Menggunakan ungkapan-ugkapan membawa maksud
penutur merendah diri dengan mengaku kelemahan dan kekurangan diri.
Strategi maaf : Meminta dengan baik untuk bercakap atau berbuat sesuatu.
Strategi penyelesaian : Mengambil keputusan memudahkan sesuatu urusan
supaya penyelesaian cepat dicapai tanpa mendapat banyak bangkangan.
Strategi memberi peluang : Memberi peluang kepada yang lebih berumur atau
berjawatan dalam masyarakat untuk bersuara.
Strategi penghargaan dan pujian : Urusan yang menunjukkan seseorang itu
dihargai kerana sesuatu tindakan yang disenangi.
Strategi berterima kasih : Penghargaan secara ucapan terima kasih terhadap
seseorang yang telah membuat sesuatu kebaiankan atau pertolongan.
Strategi kiasan : Ujaran yang diucapkan secara tidak langsung untuk menjaga
air muka seseorang.
Strategi berhemah dan lemah-lembut : Menggunakan ujuran yang halus dan
tidak kasar untuk membuat teguran atau nesihat supaya pendengar tidak
berkecil hati.
Strategi kecindan : Menggunakan ujuran dalam bentuk jenaka untuk
menimbulkan perasaan gembira.
Strategi menyapa/menegur : Ujaran yang dibuat apabila bertemu dengan
seseorang untuk menunjukkan keramahan walaupun telah mengetahui apa yang
dibuat oleh seseorang.
Strategi ungkapan Rabani : Menggunakan ujaran seperti Bismillah,
Alhamdulillah, atau doa untuk menunjukkan kekuasaan Allah.
9. Analisis strategi kesantunan penulisan yang terdapat dalam artikel atau bahan-
bahan penulisan yang dipilih.
Jawapan:
ARTIKEL: BUDI BAHASA MAKIN TERHAKIS
SASTERAWAN Negara Usman Awang semasa hayatnya pernah menghasilkan
sebuah puisi menggambarkan sikap orang Melayu yang begitu menjunjung tinggi
adab dan kesantunan.
" Melayu itu orang yang bijaksana, Nakalnya bersulam jenaka,
Budi bahasanya tidak terkira, Kurang ajarnya tetap santun,
Jika menipu masih bersopan, Bila mengampu bijak beralas tangan. "
Demikian bait-bait puisi nukilan beliau yang melambangkan bagaimana orang
Melayu begitu mementingkan perihal kesantunan, adab dan budi bahasa.
Namun, bak kata pepatah, 'lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang'.
Orang Melayu kini dilihat semakin hilang arah apabila pengamalan nilai budi
bahasa dan sopan santun semakin terhakis. Walaupun pahit untuk diterima,
tetapi itulah hakikatnya apabila orang Melayu sudah tidak mahu lagi mengangkat
martabat Melayu itu sendiri. Berbicara soal budi bahasa, kita boleh lihat
bagaimana cara pertuturan generasi muda zaman sekarang. Mereka sudah tidak
lagi segan silu bercakap kasar bukan saja ketika di kalangan rakan sebaya
bahkan pada mereka yang lebih berusia.
Pendapat sama turut diakui Karyawan Tamu, Universiti Malaya, Profesor
Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim. Menurutnya, fenomena terhakisnya amalan
berbudi bahasa dalam kalangan orang Melayu terjadi akibat perubahan sistem
nilai masyarakat hari ini. "Sistem nilai orang Melayu sekarang sudah berubah
kerana orang Melayu zaman dahulu lebih pentingkan orang lain seperti orang
tua, dan guru. Ini kerana orang dahulu amat menghormati golongan yang lebih
tua, dan bukannya kedudukan dan pangkat seperti sekarang," katanya.
Nik Safiah yang terkenal sebagai pejuang mendaulatkan bahasa Melayu turut
memberitahu, sistem nilai orang Melayu kini lebih cenderung menghormati dan
mengangkat martabat seseorang dari segi kedudukan dan pangkatnya. Katanya
lagi, orang Melayu juga semakin hilang jati diri dan tidak lagi memegang budi
bahasa sebagai lambang kedaulatan Melayu kerana pemikiran mereka telah
dipengaruhi unsur luar.
Artikel yang dipilih adalah Budi Bahasa Makin Terhakis. Antara strategi
kesantunan penulisan yang digunakan dalam artikel ialah:
a) Memperkenalkan tokoh-tokoh ternama yang menyampaikan pandangan mereka
terhadap tajuk, iaitu Budi Bahasa yang Semakin Terhakis.
b) Penulisan mematuhi hukum tatabahasa
c) Kritikan disampaikan dengan sifat sederhana tetapi berkesan
d) Tiada bahasa kasar atau bahasa pasar digunakan
e) Penulisan secara formal dan sesuai dengan format penulisan
f) Memberi nasihat dan cadangan kepada pembaca dan masyarakat secara
bersopan
g) Penulisan yang jelas dan mudah difahami
10.Cadangkan langkah-langkah yang sesuai untuk menangani isu-isu yang
berkaitan amalan kesantunan masyarakat Malaysia yang berikut:
a) Isu pendidikan
b) Isu media
c) Isu teknologi maklumat dan komunikasi
d) Isu gejala sosial
e) Isu sikap ibu bapa dan masyarakat
f) Isu pertembungan budaya
Jawapan:
Sejak kebelakangan ini, amalan berbudi bahasa dalam masyarakat kita semakin
hari semakin luntur. Walaupun kerajaan telah melancarkan pelbagai program
dan kempen kesedaran seperti Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni,
namun perkara ini dilihat masih gagal untuk membina budi bahasa dan jati diri
masyarakat yang kian terhakis dalam arus pascamodenisasi. Terdapat beberapa
langkah untuk menangani isu-isu yang berkaitan amalan kesantunan masyarakat
Malaysia.
a) Antara langkah yang sesuai untuk menangani isu pendidikan yang berkaitan
amalan kesantunan masyarakat Malaysia ialah melalui institusi pembelajaran
iaitu antara guru dan pelajar. Guru sepatutnya sentiasa mendidik murid-murid
bukan sahaja dengan segala ilmu bahkan dengan budi bahasa dan akhlak. Dari
awal persekolahan lagi, mereka harus belajar menghormati guru.Sekolah juga
mesti mendidik disiplin yang membolehkan setiap pelajar berkelakuan baik,
teratur dan aman. Mereka mesti berdisiplin termasuk beratur pada masa
perhimpunan mingguan, duduk di bilik darjah dan ketika bertemu para guru dan
Pengetua. Ucapan ‘Selamat Pagi’, ‘Assalamualaikum’ dan sebagainya
merupakan amalan terbaik. Para guru dan kakitangan sekolah yang menjadi
teladan tentang kelakuan baik dan budi bahasa. Manakala pelajar pula perlu
membiasakan diri mengucapkan salam dan terima kasih. Mereka juga hendaklah
menggunakan bahasa yang sopan dan beradab, iaitu tidak menggunakan kata-
kata yang kotor dan kasar serta berunsur cacian dan lucah terhadap guru-guru
mereka.
b) Selain itu, langkah-langkah untuk menangani isu media pula antaranya ialah
mengehadkan penyiaran budaya luar. Hal ini adalah kerana penyiaran tersebut
telah mempengaruhi minda remaja kita untuk meninggalkan budi bahasa yang
menjadi pegangan masyarakat kita suatu masa dahulu itu. Jelaslah, remaja tidak
lagi berbudi bahasa kerana terpedaya dengan kandungan media massa yang
diimport itu. Oleh itu, pihak media seharusnya menyiarkan program-program
atau rancangan-rancangan yang bermanfaat yang berunsurkan kesantunan
seperti rancangan ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ manakala untuk kanak-kanak pula,
pihak media hendaklah menyiarkan rancangan seperti ‘Adik-adikku dan juga
‘Mari Mengaji’ agar anak-anak dapat mengamalkan nilai-nilai murni sekaligus
menerapkan amalan kesantunan dalam diri melalui rancangan yang ditonton.
c) Seterusnya, antara langkah yang sesuai untuk menangani isu teknologi
maklumat dan komunikasi yang berkaitan amalan kesantunan masyarakat
Malaysia ialah peranan remaja itu sendiri agar tidak menyalahgunakan internet.
Seringkali kita melihat ramai dalam kalangan masyarakat kita majoritinya remaja
telah menyalahgunakan internet sewaktu dalam laman sosial. Kemunculan
jaringan sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tumblr, Youtube, Google
dan banyak lagi menjejaskan kesantunan berbahasa. Penggunaan bahasa yang
suka membangga diri, memaki hamun, memfitnah, memprovokasi, mengejek
dan merendahkan orang lain sedang berleluasa. Perkara ini jelas menunjukkan
penghakisan budaya ketimuran dan kesantunan berbahasa selain
menggambarkan citra dan peribadi bangsa yang negatif.
Seterusnya peranan institusi keluarga. Dalam sesebuah keluarga, ibubapa dan
anak-anak hendaklah mempraktikkan gaya pertuturan atau perbualan yang
sopan dan teratur. Ibubapa pula perlu tegas dalam mendidik anak-anak mereka.
Hal ini demikian agar generasi muda ini alpa dengan disiplin dan pertuturan
bahasa yang sopan tidak kira di mana mereka berada terutamanya ketika
menggunakan laman sosial. Selain itu juga,peranan pihak sekolah. Pihak
sekolah perlu memantau para pelajar dari segi tingkah laku mereka, malahan
peradaban mereka terutama sekali dari segi pertuturan yang diucapkan semasa
mereka berada di dalam dan luar sekolah. Pihak sekolah juga sewajarnya
menganjurkan kempen-kempen yang berkaitan dengan budi bahasa untuk
diterapkan oleh mereka dan menerapkan penggunaan bahasa yang santun
dalam teknologi maklumat dan komunikasi.
d) Tambahan pula, langkah-langkah untuk menangani isu gejala sosial berkaitan
dengan kesantunan masyarakat Malaysia antaranya ialah melalui peranan ibu
bapa dan keluarga. Hal ini demikian kerana kita sedia maklum bahawa
kebanyakan masa para remaja banyak dihabiskan di rumah terutamanya
sewaktu cuti persekolahan. Ibu bapa sewajarnya memberikan perhatian dan
kasih sayang kepada anak-anak remaja. Sebagai analoginya ibu bapa
hendaklah bertanya kepada anak-anak remaja tentang permasalahan yang
dihadapi dan berusaha untuk membantu mereka menyelesaikannya atau dengan
kata lain ibu bapa adalah pakar rujuk kepada anak-anak semasa di rumah. Hal
ini menyebabkan anak-anak akan berasa diri mereka dihargai dan disayangi oleh
ibu bapa mereka. Bak kata mutiara anak adalah anugerah Tuhan yang tidak
ternilai. Tegaslah, perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa amat penting
dalam usaha menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.
Sesungguhnya, selain ibu bapa, pihak masyarakat setempat juga perlu
memainkan peranan yang signifikan dalam menangani masalah ini. Hal ini
tercetus kerana para remaja merupakan ahli kepada masyarakat setempat yang
perlu diberikan perhatian. Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa jika
masyarakat mendapati terdapat remaja yang melakukan perbuatan negatif,
mereka mestilah menegur dan memberi nasihat secara berhemah. Dengan kata
lain, pihak masyarakat setempat perlu menjadi mata dan telinga dalam
membentuk tingkah laku remaja. Contoh yang ketara paling dekat dengan kita
ialah masalah vandalisme. Justifikasinya, sekiranya masalah ini berlaku,
masyarakat boleh menegur para remaja yang melakukan masalah tersebut
dengan berhemah dengan harapan remaja akan lembut hati dan makan nasihat.
Bertepatanlah dengan kata-kata mutiara iaitu tunjuk menjadi telaga budi, ajar
menjadi suluh hati. Dengan keadaan sedemikian sekiranya masyarakat setempat
sentiasa ambil cakna terhadap permasalahan remaja, masalah ini akan dapat
diatasi.
e) Langkah-langkah yang sesuai untuk menangani isu sikap ibu bapa dan
masyarakat yang berkaitan amalan kesantunan masyarakat Malaysia ialah
sentiasa memantau perkembangan anak-anak disamping menerapkan nilai-nilai
murni sebagai asas tunggak budaya kita. Peranan institusi keluarga tidak boleh
dipinggirkan. Para ibu bapa perlu mengambil sikap bersungguh-sungguh apabila
memberi didikan kepada anak-anak. Ibu bapa harus menyemai sikap berbudi
bahasa yang tinggi kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah
kuihnya. Hal ini kerana remaja sering dikaitkan dengan gejala sosial seperti
pergaulan bebas, lepak, lumba haram dan sebagainya. Perlakuan mereka sudah
melanggar adab dan tatasusila yang menjadi norma dalam masyarakat. Pada
masa inilah masyarakat harus mempunyai keupayaan untuk menegur perlakuan
remaja dengan cara berhemah agar mereka dapat menerima teguran dengan
sebaik-baiknya.
Sebaliknya, masyarakat hari ini lebih menekankan aspek materialisme, sekali
gus meminggirkan nilai moral seperti berbudi bahasa. Ibu bapa dan guru-guru
sepatutnya berganding bahu dengan masyarakat dalam memainkan peranan
membentuk peribadi anak-anak kerana remaja diibaratkan seperti sehelai kain
putih yang mudah menerima dan seterusnya mengamalkan nilai budi bahasa
yang terpuji. Dalam kehidupan bermasyarakat, para remaja perlu sentiasa
menggunakan tutur kata yang sopan, mempunyai budi pekerti yang mulia,
bertegur sapa, sedia memohon maaf, membiasakan diri memberi salam atau
ucap selamat dan bantu-membantu ibarat berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing.
f) Tambahan lagi, beberapa langkah yang sesuai untuk menangani isu
pertembungan budaya yang berkaitan amalan kesantunan masyarakat Malaysia
antaranya ialah peranan individu itu sendiri. Setiap individu sewajarnya menjaga
imej bangsa kita daripada terpengaruh dengan budaya barat dalam pelbagai
aspek seperti cara percakapan, fesyen barat, pergaulan bebas dan sebagainya.
Pada masa kini, banyak bahasa barat telah campur kepada bahasa kita.
Contohnya, "Malam ini kita pergi dinner.". Ini membuktikan betapa hebatnya
pengaruh barat terhadap kita. Bahasa melayu kita yang kita sering gunakan
sekarang sudah "bercampur" dengan bahasa dari barat menjadi satu cara
percakapan yang baru. Sebenarnya, kita perlulah menjaga imej bangsa kita
melalui cara percakapan kita. Selain itu, ini jugalah untuk meneruskan tradisional
kita dan supaya bahasa Melayu dapat terus digunakan oleh bangsa kita pada
masa akan datang. Seterusnya peranan masyarakat. Masyarakat perlulah
bekerjasama bagi membanteras kegiatan-kegiatan yang tidak sihat seperti
minum arak, berjudi dan juga pergaulan bebas. Sesungguhnya, pengaruh
budaya Barat telah membawa kesan buruk kepada keruntuhan akhlak seseorang
mahupun masyarakat pada masa kini.
Generasi muda merupakan salah satu sasaran utamanya. Antara kesan yang
amat membimbangkan ialah serangan budaya barat kepada pemikiran dan
moral masyarakat. Semakin ramai golongan pemuda hari ini sentiasa mengejari
gaya hidup global yang ditandai oleh pelbagai ciri kehidupan barat. Misalnya,
memakai pakaian berjenama barat, media barat yang semakin membanjiri
masyarakat muda, makanan segera keluaran barat dan lain-lain lagi. Dalam era
pasca modenisme, mereka tidak suka menjalani kehidupan yang tiada
keseronokan, samada nilai, adat dan sejarah-sejarah dahulu, termasuklah
agama. Kesan intelektualan Barat ini telah memaparkan sifat negatif dalam
kalangan mereka apabila sesuatu perkara yang tetap dan stabil tidak digemari
seperti institusi agama yang menimbulkan nilai dan cara bertindak yang tidak
serasi dengan mereka. Oleh itu, kerjasama semua pihak perlulah dititikberatkan.