KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana...

26
Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan 36 2 KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: ANALISIS KAJIAN GURU-GURU BAHASA MELAYU Hafidzoh Sirri Sajani Sekolah Rendah Park View [email protected] Abstrak Dalam kerjaya seorang guru, penelitian terhadap aspek kesantunan berbahasa amat dititikberatkan demi membina dan membentuk keprofesionalannya dalam bidang pendidikan. Sehubungan itu, kesantunan berbahasa dalam komunikasi secara tulisan antara guru dengan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam pendidikan sering kali dipandang enteng, lantas boleh menimbulkan pelbagai konflik dan masalah di sekolah. Oleh sedemikian, guru harus menggalas tanggungjawab yang berat dalam menerapkan kesantunan berbahasa semasa berkomunikasi. Justeru, bertunjangkan konsep teori kesantunan Asmah Hj. Omar, kajian kepustakaan dan lapangan secara kualitatif deskriptif ini merungkai unsur-unsur kesantunan asas dan berkendala yang seharusnya menjadi garis pandu setiap guru. Dalam hal ini, dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas peperiksaan, rubrik penilaian, surat, e-mel, dan mesej WhatsApp digunakan sebagai paksi penganalisisan kajian ini. Kata Kunci: kesantunan berbahasa; komunikasi tulisan; pendidikan; kesantunan asas; kesantunan berkendala; guru Bahasa Melayu

Transcript of KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana...

Page 1: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

36

2 KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN:

ANALISIS KAJIAN GURU-GURU BAHASA MELAYU

Hafidzoh Sirri Sajani Sekolah Rendah Park View

[email protected]

Abstrak

Dalam kerjaya seorang guru, penelitian terhadap aspek kesantunan berbahasa amat

dititikberatkan demi membina dan membentuk keprofesionalannya dalam bidang

pendidikan. Sehubungan itu, kesantunan berbahasa dalam komunikasi secara

tulisan antara guru dengan pelbagai pihak yang berkepentingan dalam pendidikan

sering kali dipandang enteng, lantas boleh menimbulkan pelbagai konflik dan

masalah di sekolah. Oleh sedemikian, guru harus menggalas tanggungjawab yang

berat dalam menerapkan kesantunan berbahasa semasa berkomunikasi. Justeru,

bertunjangkan konsep teori kesantunan Asmah Hj. Omar, kajian kepustakaan dan

lapangan secara kualitatif deskriptif ini merungkai unsur-unsur kesantunan asas dan

berkendala yang seharusnya menjadi garis pandu setiap guru. Dalam hal ini,

dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan

pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas peperiksaan, rubrik penilaian, surat, e-mel,

dan mesej WhatsApp digunakan sebagai paksi penganalisisan kajian ini.

Kata Kunci: kesantunan berbahasa; komunikasi tulisan; pendidikan; kesantunan

asas; kesantunan berkendala; guru Bahasa Melayu

Page 2: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

37

Pengenalan

Budaya Melayu memang selalu dikaitkan dengan aspek kesantunan. Hal ini dapat

dilihat melalui cara hidup orang Melayu yang penuh dengan penghormatan, tutur

kata lembut, berbudi bahasa dan bersopan santun, baik dalam komunikasi lisan

mahupun tulisan. Berbahasa santun tidak hanya diperlukan dalam komunikasi lisan,

tetapi juga dalam bentuk penulisan. Ketika menulis surat secara formal dan rasmi

misalnya, haruslah disertai kepala surat dan ditulis dengan ungkapan hormat seperti

‘dengan segala hormatnya’ dan juga penyataan hasrat seperti ‘untuk makluman

tuan/puan’ dan sebagainya. Contoh situasi komunikasi secara penulisan yang

terdapat dalam bidang pendidikan pula ialah ulasan atau komen yang diberikan

apabila guru perlu menegur kesilapan pelajarnya dari segi penggunaan bahasa

dalam karangan naratif.

Secara amnya, kesantunan dalam berkomunikasi sangat diperlukan untuk

menghindari kesalahan interpretasi atau pentafsiran. Dalam kertas kerja ini,

tumpuan khusus akan diberikan kepada kesantunan berbahasa dalam konteks

situasi komunikasi penulisan guru-guru bahasa Melayu. Bertunjangkan konsep teori

kesantunan Asmah Hj. Omar, kajian kepustakaan dan lapangan secara kualitatif-

deskriptif ini akan merungkai unsur-unsur kesantunan asas dan berkendala yang

seharusnya menjadi garis pandu setiap guru permulaan.

Dalam konteks pendidikan di Singapura, seseorang guru harus sentiasa

bersifat sopan santun ketika menggalas tugasnya, semasa berkomunikasi baik

dengan pelajar, ibu bapa, guru-guru, dan pendukung kurikulum yang lain. Jika

diperhatikan daripada aspek komunikasi secara bertulis dengan pelajar misalnya,

guru perlu bersikap objektif dan tidak boleh menyinggung perasaan mana-mana

pelajar semasa menyemak dan menilai lembaran kerja ataupun skrip karangan

murid. Begitu juga dengan pihak ibu bapa. Kesantunan berbahasa harus dijaga

ketika menyampaikan hal tentang prestasi dan pencapaian anak murid, seperti yang

tertulis dalam kad laporan kemajuan. Apabila meminta kerjasama guru-guru serta

pihak-pihak berkepentingan yang lain pula, seseorang guru harus juga mengetahui

cara dan masa yang sesuai dalam pengiriman surat atau e-mel agar mesej dapat

disampaikan secara padat, efektif, dan tidak bersifat merendah-rendahkan orang lain.

Page 3: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

38

Pendek kata, seseorang guru haruslah bersantun dalam komunikasi secara bertulis

dengan kesemua pihak pada setiap masa.

Dalam hal yang sama, amatlah mustahak bagi guru untuk bersikap santun

dalam komunikasinya kerana setiap guru mencerminkan watak yang semestinya

boleh dijadikan sumber ikutan kepada pelajar. Dengan kesantunan berbahasa dalam

menghargai setiap pendapat dan usaha pelajar, ianya juga membuat pelajar lebih

mudah untuk menerima pelajaran. Selain daripada itu, setiap guru juga harus

mempunyai kesantunan berbahasa yang tinggi kerana pendidikan di sekolah

merupakan salah satu pendidikan alternatif yang penting bagi setiap individu selain

daripada pendidikan informal di rumah. Sehubungan itu, apabila seseorang pelajar

meluangkan banyak masa di sekolah, pelajar tersebut akan lebih cenderung

terpengaruh dan terikut perilaku dan gaya orang di sekeliling mereka. Tambahan

pula, perwatakan seorang guru itu bukan hanya mencerminkan keperibadian dirinya,

tetapi juga mencitrakan nama dan imej sekolahnya. Oleh yang demikian, setiap guru

harus sentiasa bersopan santun kerana kesantunan juga dapat menjadikan anak

bangsa lebih beradab sekali gus dapat melahirkan ketamadunan generasi muda

yang akan datang.

Dengan adanya penjelasan yang mendalam di sini, guru-guru Melayu

diharapkan dapat mempertingkat tahap kesantunan mereka agar pengajaran serta

komunikasi dengan pihak-pihak yang berkepentingan dalam pendidikan menjadi

lebih lancar dan berkesan. Hal ini boleh mengelakkan kemungkinan timbulnya

sesebuah konflik. Dalam hal ini, kertas kerja ini secara tidak langsung menegaskan

cara-cara teguran yang berhemah supaya tidak menjatuhkan air muka pelajar

malahan, meningkatkan lagi minat dan semangat mereka untuk mempelajari Bahasa

Melayu. Selain daripada itu, hasil penelitian ini boleh juga memberikan sedikit

sumbangan untuk perkembangan teori-teori bahasa dan juga untuk membantu

penyelidikan selanjutnya khususnya yang berkaitan dengan kesantunan berbahasa

secara bertulis.

Pernyataan Masalah

Mutakhir ini, banyak isu yang timbul mengenai pelajar dan juga ibu bapa yang

kurang santun atau kurang peka terhadap kesantunan. Hal ini boleh menyebabkan

konflik antara pihak yang terlibat. sehinggakan terjadinya kes tumbuk-menumbuk

Page 4: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

39

antara guru dengan pihak ibu bapa pelajar. Jika diteliti perkara ini, penyebab

utamanya ialah masalah komunikasi yang kurang santun dalam menegur pihak

pelajar atau ibu bapa. Berkomunikasi secara baik sebenarnya tidak terlepas

daripada penggunaan bahasa secara baik. Dalam erti kata lain, etika berbahasa

perlu dijaga. Kesantunan berbahasa, baik secara lisan mahupun penulisan,

bertujuan untuk menciptakan keharmonian komunikasi. Pemilihan kata, kalimat atau

tuturan secara santun diharapkan tidak menyinggung perasaan pembaca atau yang

mendengar, lantas mengelakkan kemungkinan timbulnya konflik.

Selain daripada timbulnya konflik, nilai kesantunan berbahasa dalam

kalangan pelajar juga didapati semakin berkurangan berbanding dengan zaman

dahulu. Kini, ada pelajar yang menggunakan kata ganti nama diri yang kurang

sesuai sehingga ada pelajar yang meng‘awak’kan guru yang mengajarnya. Hal ini

amat memalukan masyarakat kita yang sememangnya memberatkan erti

kesantunan. Oleh itu, kesantunan berbahasa dalam berkomunikasi tentunya penting

buat guru kerana ianya diharapkan dapat diteladani oleh pelajarnya. Kesantunan

berbahasa harus diupayakan tidak kira bila atau di mana, bukan sahaja dalam

lingkungan pendidikan atau sekolah. Penggunaan bahasa antara guru dengan guru

atau guru dengan pelajar hendaklah memperhatikan dan mengambil kira tata santun

lebih-lebih lagi jika situasi komunikasi tersebut disaksikan di hadapan para pelajar.

Jika demikian halnya, maka secara tidak langsung, guru telah meneladani pelajar-

pelajarnya dengan contoh praktik komunikasi yang baik.

Oleh hal-hal yang demikian, kajian ini cuba mengetengahkan suatu pemikiran

tentang keterkaitan kesantunan berbahasa dengan profesionalisme seseorang guru

bahasa. Kajian ini tidak mahu membatas kepada guru satu-satu bahasa tertentu,

kerana pada dasarnya semua bahasa mengenal dan menekankan perihal

kesantunan. Namun, bagi tujuan yang lebih fokus, hanya komunikasi penulisan

guru-guru bahasa Melayu yang akan dikaji kerana kajian ini memilih bahan-bahan

dalam bahasa Melayu untuk mendapatkan korpus data. Kajian ini

berlatarbelakangkan kenyataan dalam kerja lapangan yang mendapati bahawa

ramai guru bahasa di sekolah yang mempraktikkan bahasa secara santun. Kajian

tentang kesantunan dari aspek lisan banyak dibicarakan tetapi aspek kesantunan

dalam penulisan sememangnya kurang diperhatikan.

Page 5: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

40

Berhubung dengan kepentingan kesantunan yang dinyatakan tadi, jelaslah di

sini bahawa kesantunan berbahasa sememangnya ada dalam cara bertulis dan

merupakan nilai yang perlu dijaga termasuk dalam aspek linguistik mahupun bukan

linguistik. Lantas, kertas kerja ini akan menyentuh tentang unsur-unsur kesantunan

yang ada dalam korpus kajian. Unsur-unsur kesantunan yang dikenal pasti ini akan

dihuraikan berserta contoh-contoh yang bersesuaian.

Merujuk kepada fenomena yang telah dikemukakan di atas, maka perlu

dirumuskan masalah agar kajian ini terarah dan dapat mencapai objektif. Rumusan

masalah dalam penelitian ini adalah bagaimana kesantunan dapat dilihat dan

ditonjolkan dalam komunikasi penulisan guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah

Park View. Setelah mendapat pengertian tentang kesantunan berbahasa, dapatlah

dilihat unsur-unsur kesantunan yang ada dalam komunikasi penulisan guru-guru

bahasa Melayu. Aspek-aspek bukan linguistik yang mempengaruhi kesantunan

berbahasa juga perlu dikaji dalam komunikasi penulisan guru-guru kerana adanya

penggunaan simbol-simbol seperti ‘smiley face’, bintang, dan sebagainya.

Tujuan Kajian

Tujuan kertas kerja ini adalah seperti berikut:

1. Berdasarkan prinsip kesantunan Asmah Hj. Omar (1996), kertas kerja inimempunyai tujuan untuk mengenal pasti dan menghuraikan unsur-unsurkesantunan asas yang digunakan oleh guru-guru Bahasa Melayu di SekolahRendah Park View (Singapura) semasa berkomunikasi secara penulisan; dan

2. Dalam bahagian perbincangan, kajian yang bertunjangkan konsepkesantunan Asmah Hj. Omar ini akan mengenal pasti dan menganalisiskendala-kendala yang ada semasa guru Bahasa Melayu mengaplikasikankesantunan berbahasa dalam komunikasi penulisan mereka.

Kajian Literatur

Terdapat pelbagai definisi istilah kesantunan yang dikaji oleh sarjana-sarjana di

rantau ini. Asmah Hj. Omar (2002) mengaitkan ‘kesantunan berbahasa’ dengan

penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan

dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Bagi Noriati A. Rashid (2005) pula,

‘kesantunan’ ditakrifkan sebagai penggunaan kata-kata yang sesuai, tidak

menimbulkan konflik, dan sentiasa menjaga air muka pendengar. Awang Sariyan

(2007) pula, menerusi bukunya Santun Berbahasa, berpendapat bahawa

Page 6: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

41

‘kesantunan bahasa’ merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan,

beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada

pihak yang tertentu.

Menurut Sa’adiah Ma’alip (2000) dalam sebuah rencana terbitan Dewan

Bahasa pula, aspek ‘kesantunan berbahasa’ merujuk kepada pengetahuan dan

penguasaan komponen bahasa untuk tujuan penyaluran maklumat yang berkesan.

Melalui penguasaan komponen tersebut, akan mewujudkan kefasihan bahasa

semasa berkomunikasi dari pelbagai aspek, iaitu penyebutan, pembentukan

perkataan dan pembinaan ayat yang lebih tepat dan bermakna.

Secara ringkas, kesantunan berbahasa bermaksud kesopanan dan kehalusan

bahasa ketika berkomunikasi. Kesantunan juga merujuk kepada maksud timbang

rasa yang diberikan kepada pihak yang membaca perkara yang ditulis. Sehubungan

dengan kesantunan orang Melayu, mereka memandang tinggi terhadap budi bahasa.

Orang yang berbudi bahasa, berbudi mulia dan sopan dalam berbahasa diberi nilai

yang sangat tinggi. Orang yang tidak berbudi bahasa dan berkomunikasi dengan

tidak sopan dianggap berperangai rendah.

Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja merujuk kepada latar

sosiobudaya masyarakatnya yang berpegang pada adat resam, malah diperkukuh

oleh pegangan Islam yang dianuti. Hal ini tergambar dalam perbilangan adat yang

berbunyi: “Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah”. Jadi, konsep

kesantunan tidak lengkap jika perbincangannya terbatas kepada aspek berbahasa

dan perlakuan semata-mata, jika tidak dikaitkan dengan konsep keikhlasan.

Seseorang itu boleh menuturkan kata-kata yang indah atau menunjukkan tingkah

laku yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi perlakuan tersebut belum pasti

menggambarkan keikhlasannya. Manusia boleh bertopeng dengan pelbagai wajah

untuk mencapai hasratnya, sedangkan hakikatnya tiada sesiapa yang tahu.

Dalam konsep kesantunan berbahasa, Asmah Haji Omar (2007) ada

menyebut tentang hal kesantunan asas dan kesantunan berkendala. Kesopanan

asas merupakan kesopanan sedia ada yang menjadi pedoman kepada ahli

masyarakat untuk berhubung antara satu sama lain dengan cara menunjukkan sikap

berbaik-baik antara mereka. Asmah malah berpendapat bahawa kesantunan asas

berkait rapat dengan didikan awal yang diterima oleh seseorang.

Page 7: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

42

Sehubungan itu, kesantunan berkendala pula merupakan usaha yang

dilakukan dalam sesuatu interaksi dengan menekankan kendala tertentu iaitu:

a. Taraf dan peranan orang yang bercakap dengan kita.b. Di mana dan bagaimana keadaan percakapan itu berlaku?c. Apa yang dipercakapkan?d. Mengapa percakapan itu berlaku?e. Cara percakapan itu disampaikan.

(Asmah Hj. Omar, 2007:22)

Kesantunan berkendala ini menekankan perhatian terhadap peranan sosial

pihak yang terlihat dalam pertuturan, latar belakang pertuturan, judul pertuturan,

sebab pertuturan dan cara bertutur serta penyesuaian penutur dengan keadaan itu.

Asmah juga merumuskan bahawa kesantunan berkendala ialah kesantunan asas

yang disertai strategi komunikasi.

Kaedah Kajian

Kajian ini merupakan kajian lapangan dan juga kepustakaan. Bahan-bahan bertulis

yang didapatkan daripada kajian lapangan dianalisis bersandarkan kajian

kepustakaan atau literatur bagi tujuan mendapatkan data-data kajian yang

diperlukan.

Sebagai usaha mencapai tujuan kajian, kajian lapangan berdasarkan

pendekatan kualitatif dilakukan dengan menggunakan kaedah deskriptif. Bogdan

dan Biklen (2003) juga mentakrifkan ‘metodologi kualitatif’ sebagai prosedur kajian

yang menghasilkan data deskriptif. Kaedah lapangan deskriptif ini digunakan untuk

menggambarkan hasil dari pengumpulan data yang telah dilakukan. Dalam konteks

kajian ini, pendekatan deskriptif kualitatif adalah prosedur penelitian dengan hasil

sajian data deskriptif berupa unsur-unsur kesantunan dalam komunikasi secara

bertulis. Kaedah deskriptif dipilih kerana kaedah ini dapat memberikan gambaran

yang secermat mungkin mengenai guru-guru serta pihak-pihak berkepentingan yang

terlibat serta keadaan bahasa dalam komunikasi secara bertulis. Lagipun, dalam

bidang bahasa dan kesantunan, kaedah penyelidikan deskriptif sebegini sangat

sesuai digunakan memandangkan banyak faktor yang sering mempengaruhi

sesuatu fenomena seperti kesantunan berbahasa.

Page 8: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

43

Bahan Kajian

Bahan kajian yang digunakan dalam penelitian ini adalah data primer, iaitu

data yang secara langsung berkaitan atau berkenaan dengan masalah yang diteliti

dan secara langsung dari sumber. Sumber tersebut antara lainnya berupa ulasan

guru pada skrip latihan jawapan pelajar yang di dalamnya terkandung unsur-unsur

kesantunan.

Bahan-bahan bertulis oleh guru-guru Bahasa Melayu di Sekolah Rendah Park

View merupakan bahan utama dalam pemerolehan data yang berkaitan. Tidak ada

ketetapan tertentu bagi bahan-bahan bertulis yang dikumpulkan daripada setiap

guru yang menjadi subjek kajian. Hal ini kerana kesantunan berbahasa yang ada

pada guru-guru boleh hadir dalam apa jua bahan tulisan, tidak kira e-mel, ruangan

ulasan dalam rubrik mahupun skrip karangan murid atau kertas latihan.

Prosedur Kajian

Data dikutip dengan membuat lawatan ke Sekolah Rendah Park View dan membuat

permohonan agar kajian ini diberi keizinan untuk dijalankan. Guru besar Sekolah

Rendah Park View, Puan Diane Goh Ling Ling, telah pun memberikan kebenaran

bagi kajian kesantunan berbahasa ini. Namun, bahan-bahan bertulis, menurut beliau,

boleh diambil atau difotokopi terlebih dahulu jika guru-guru memerlukan bahan

tersebut untuk dipulangkan kembali. Ada juga beberapa guru yang meminta nama

mereka dan nama pelajar mereka dirahsiakan.

Kajian Rintis

Kajian rintis tentang kewujudan unsur-unsur kesantunan berbahasa guru-guru

Bahasa Melayu dijalankan dengan pemilihan 2 orang subjek (33.3 peratus daripada

populasi 6 orang guru). Beberapa dokumen bertulis daripada 2 orang subjek ini, iaitu

seorang guru lelaki dan seorang lagi guru perempuan, telah dikumpulkan untuk

dibuat pemerhatian dan analisis mengenai kewujudan kesantunan berbahasa dalam

komunikasi mereka secara bertulis. Ternyata kedua-dua subjek sedar akan

kepentingan kesantunan berbahasa ketika menjalankan kerja mereka sebagai

seorang pendidik yang profesional.

Page 9: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

44

Kajian Sebenar

Kajian yang sebenar dijalankan selepas kelemahan alat-alat kajian dalam kajian

rintis diperbaik. Ada beberapa ulasan guru yang amat sukar untuk dibaca kerana

tulisan subjek yang tidak begitu baik. Oleh itu, alat atau bahan kajian dipilih dengan

lebih rapi dalam kajian sebenar supaya dapat memudahkan proses analisis bagi

kajian ini. Kajian masih tetap dijalankan di Sekolah Rendah Park View. Namun,

sampel yang sama tidak diambil daripada kajian rintis.

Penganalisisan Data

Analisis mengandungi pengertian penentuan satuan lingua berdasarkan teori

tertentu dan dengan ujian teknik tertentu pula (Sudaryanto dan Djihat Hisyam,

2000:51). Dalam kajian ini, pendekatan kualitatif dan kaedah deskriptif diterapkan

menggunakan dokumen-dokumen bukti komunikasi secara bertulis sebagai alat

penentu dalam korpus kajian.

Kaedah Pembentangan Hasil Analisis Data

Hasil analisis data kajian kesantunan guru-guru Bahasa Melayu ini disajikan secara

formal. Dengan kata lain, hasil kajian yang berupa kewujudan unsur-unsur

kesantunan berbahasa dalam kalangan guru Bahasa Melayu, disajikan dalam

bentuk kata-kata yang huraian analisisnya merupakan bentuk deskriptif.

Dapatan Kajian dan Perbincangan

Bagi Asmah Hj. Omar (2000), kesantunan bukan strategi semata-mata sebaliknya

kesantunan merupakan ciri budaya yang menghendaki ahli masyarakatnya

bersopan santun dan menghormati antara satu sama lain. Pembinaan tingkah laku

yang santun dalam kalangan orang Melayu adalah menerusi proses didikan yang

panjang dan berterusan. Hal ini menjadi ciri budaya orang Melayu dan agama Islam

juga merupakan tunjang pembinaan budaya masyarakat Melayu.

Kesantunan Asas

Menurut teori kesantunan Asmah Hj. Omar (2000), kategori pertama dalam teori

beliau ialah kesantunan asas. Kesantunan asas ialah kesantunan sedia ada yang

merupakan pedoman bagi masyarakat berhubung antara satu sama lain dengan

Page 10: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

45

cara menunjukkan adanya sikap berbaik-baik antara satu sama lain yang

menghendaki ahli masyarakat bersopan santun antara satu sama lain. Hal ini

disebabkan, dalam apa jua masyarakat yang bertamadun, wujudnya kesantunan

asas yang dikaitkan dengan didikan sejak awal lagi seperti yang terdapat dalam

ajaran Islam atau agama-agama lain. Berhubung dengan kajian ini, unsur-unsur

kesantunan asas ternyata boleh diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu:

a. Penggunaan kata sapaan/gelaran;b. Penggunaan pujian;c. Penggunaan ungkapan rabbani.

Penggunaan Kata Sapaan/Gelaran

Kesantunan berbahasa banyak bergantung kepada pemilihan kata sapaan dan

gelaran yang tepat. Ada ketikanya, bahasa sapaan mengambil alih bentuk kata ganti

diri untuk memuliakan orang yang ditujukan. Amat Juhari Moin (1989:xiii) yang

mengkaji sistem panggilan (bahasa sapaan) dalam bahasa Melayu mendapati

bahawa sistem panggilannya lebih halus dan kompleks. Beliau berpendapat bahawa

sistem panggilan masyarakat Melayu membezakan golongan, pangkat dan

keturunan orang yang disapa.

Kata Ganti Nama Diri Pertama

Terdapat dua kategori kata ganti diri orang pertama, iaitu kata ganti nama diri orang

pertama tunggal dan kata ganti nama diri orang pertama jamak. Kata ganti nama diri

orang pertama tunggal ialah ‘aku’, ‘-ku’, ‘saya’, ‘beta’, dan ‘patik’. Manakala, kata

ganti nama diri orang pertama jamak (ramai) ialah ‘kami’, ‘kita’, ‘patik’, dan ‘sekalian’

(Asmah Hj. Omar, 2007:70-71).

Dalam korpus kajian ini, kata ganti nama diri pertama tunggal yang ada ialah

‘saya’ dan kata ganti nama diri pertama jamak pula ialah ‘kami’ dan ‘kita’. Contoh

penggunaan kata sapaan jenis ini boleh dilihat dalam ayat yang berikut.

Contoh Ayat:Taufiq, jalan cerita kamu serta bahasa agak baik...cuma saya risaukan,

cerita kamu terlalu naratif...

Unsur kesantunan dapat dilihat dalam penggunaan kata ganti nama diri ‘saya’

yang digunakan oleh guru ketika berkomunikasi dengan pelajarnya. Penggunaan

Page 11: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

46

‘saya’ dalam bahagian akhir skrip karangan pelajar ini menunjukkan bahawa guru

yang memberikan ulasan kepada pelajarnya itu tidak begitu mementingkan

statusnya sebagai seorang guru kerana telah membahasakan dirinya sebagai ‘saya’

dan bukan pula ‘Cikgu’. Penggunaan kata sapaan ‘saya’ dengan cara ini lantas

melihatkan keperibadian guru yang menginginkan perhubungan yang lebih mesra

dan ramah supaya pelajar itu tidak berasa bahawa guru tersebut merendah-

rendahkannya.

‘Kami’ merupakan kata ganti nama diri bagi ahli kumpulan. Perkataan ‘kami’

lazimnya digunakan oleh penutur yang mewakili ahli kumpulan mereka ketika

bercakap dengan seseorang/sekumpulan orang. Misalnya, kata ganti diri seorang

guru yang mewakili guru-guru lain dalam jabatannya ketika bercakap dengan

seorang ibu atau bapa, atau beberapa orang ibu bapa atau waris secara am.

Contoh Ayat: Di sini kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama

yang telah diberikan kepada jabatan untuk memastikan segala aktiviti-

aktiviti pada tahun ini telah berjalan dengan lancar.

Penggunaan ‘kami’ dalam contoh ayat ini terdapat dalam surat

pemberitahuan yang ditulis oleh seorang guru yang memegang jawatan Ketua

Subjek Bahasa Melayu/Tamil di Sekolah Rendah Park View. Lantas, kata ganti

nama ‘kami’ dalam hal ini merujuk kepada kesemua guru-guru dalam Jabatan

Bahasa Melayu di sekolah itu.

Seperti ‘kami’, ‘kita’ juga merupakan kata ganti nama diri bagi ahli kumpulan.

Kata sapaan jenis ini digunakan oleh penutur ketika berkomunikasi dengan ahli

kumpulan mereka sendiri dan penutur tersebut merupakan salah seorang ahli dalam

kumpulan berkenaan.

Contoh Ayat: Seperti yang kita bincang hari itu, kita akan memberikan buku

panduan tentang cara perisian itu untuk para pengunjung booth.

Bagi contoh ayat di atas pula, unsur kesantunan dapat dilihat dalam

penggunaan ‘kita’ apabila seseorang guru berkomunikasi dengan guru lain secara

berkumpulan. ‘Kita’ dalam hal ini merujuk kepada ahli-ahli sesuatu

golongan/kumpulan seperti Jabatan Bahasa Melayu. Menerusi contoh ayat dalam

komunikasi e-mel di atas, salah seorang ahli Jabatan Bahasa Melayu Sekolah

Page 12: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

47

Rendah Park View telah menunjukkan sikap kesantunan ketika menggunakan ‘kita’

sewaktu meminta kerjasama guru-guru lain dalam jabatannya. Selain itu,

penggunaan ‘kita’ sebegini dianggap santun kerana wujudnya keterikatan dan

kebergantungan setiap ahli jabatan yang terlibat dalam suasana komunikasi tersebut.

Kemesraan dan keakraban yang terjalin antara ahli jabatan seolah-olah dapat

dirasakan oleh setiap ahli dan hal ini sememangnya dapat merancakkan lagi sifat

kolektif dan memupuk sikap tanggungjawab bersama dalam sesebuah jabatan.

Kata Ganti Nama Ketiga

Kata ganti nama diri orang ketiga seperti ‘beliau’ digunakan untuk merujuk kepada

orang yang dihormati atau tokoh masyarakat, baik dalam situasi rasmi mahupun

dalam situasi tidak rasmi. Memandangkan kajian ini terhad pada pengajaran dan

pembelajaran di sekolah, maka penggunaan kata ganti nama diri ini hanya terdapat

dalam bentuk konteks situasi rasmi.

Contoh Ayat: Ckg Iszal cuma sempat kumpulkan untuk Darjah 4 MYE melalui e-mel

sebelum beliau tukar sekolah.

Kata ganti nama diri orang ketiga ‘beliau’ merupakan antara jenis yang paling

santun yang digunakan oleh guru. ‘Beliau’ lazimnya merujuk kepada orang yang

dihormati seperti contoh guru yang mapan atau yang berjawatan tinggi seperti

pengetua atau guru besar, dan sebagainya.

Gelaran Pergaulan

Dalam konteks pendidikan di sekolah Singapura, terdapat sekatan-sekatan sosial

tertentu. Misalnya, sekatan pangkat dalam pekerjaan atau kedudukan sosial. Unsur

kesantunan dalam konteks sebegini lazimnya berbentuk gelaran pergaulan. Gelaran

formal ini menunjukkan adanya sekatan sosial tertentu disebabkan si penghantar

mesej dan penerima mesej tidak begitu kenal antara satu sama lain. Contoh gelaran

yang digunakan dalam pergaulan formal ialah ‘encik’, ‘tuan’, dan ‘puan’.

Contoh Ayat:Saya ingin meminta bantuan Encik Anuar mengenai beberapa perkara.

Daripada korpus kajian, penggunaan ‘encik’ boleh dilihat dalam e-mel

seorang guru kepada salah seorang wakil syarikat pembekal perkhidmatan. Dalam

perutusan rasmi sebegini, ianya agak biadab jika memanggil seseorang melalui

Page 13: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

48

namanya sahaja. Oleh itu, panggilan gelaran ‘encik’ sebelum nama sebenar

merupakan hal yang santun dan patut dipraktikkan guru.

Gelaran Ikhtisas

Bagi gelaran kurniaan ikhtisas pula, ‘Cikgu’ digunakan sebagai kata ganti diri sapaan

yang merujuk kepada orang-orang tertentu. Bentuk panggilan sebegini serupa

dengan gelaran ikhtisas yang ada pada mereka. Gelaran ‘Cikgu’ digunakan oleh

guru terhadap guru yang mengajar subjek bahasa Melayu, sama ada apabila

merujuk kepada guru secara perseorangan atau golongan guru.

Contoh Ayat: Boleh saya minta bantuan Cikgu Rasyidah untuk buat bahagian ini?

Penggunaan gelaran ‘Cikgu’ ini menunjukkan bahawa guru sememangnya

mengakui dan menghormati kerjaya seorang guru. Gelaran ‘Cikgu’ sebelum nama

sebenar meletakkan kerjaya guru itu sebagai antara kerjaya yang amat penting dan

dimuliakan dalam masyarakat Melayu. Hal ini kerana gelaran ‘Cikgu’ itu akan kekal

terpahat jika seseorang itu sudah menjadikan guru sebagai kerjayanya. Dalam

komunikasi penulisan, ada kala gelaran ‘Cikgu’ itu ditulis sebagai ‘Ckg’, ‘Cgu’, atau

‘Cg’. Singkatan gelaran ‘Ckg’, ‘Cgu’, atau ‘Cg’ ini digunakan kerana komunikasi

berlaku dalam situasi separa formal dan ada kala dalam bentuk mesej WhatsApp

yang mengutamakan keringkasan.

Penggunaan Pujian

Kesantunan berbahasa dari segi pujian pula merupakan kesopanan asas yang sedia

ada dalam kalangan masyarakat Melayu. Hal ini kerana masyarakat Melayu amat

mementingkan air muka dan maruah diri serta tidak suka membuat orang lain rasa

kecil hati atau tersinggung dengan sikap atau tindakan mereka. Maka itu, ternyatalah

di sini bahawa unsur kesantunan berbahasa dapat jelas dilihat daripada aspek kata-

kata pujian dan simbol-simbol yang digunakan oleh guru, tidak kira kepada pelajar

atau ibu bapa.

Bentuk Kata-Kata

Hal tadi juga selari dengan model kawalan perlakuan murid yang diperkenalkan oleh

Haim G. G. (1975). Dalam teori beliau, Haim Ginott telah mengutamakan cara

layanan yang baik atau berperikemanusiaan (humane) dan juga corak komunikasi

Page 14: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

49

yang ikhlas sebagai alat kawalan perlakuan murid2. Dari teori tersebut, didapati

bahawa unsur kesantunan dan faedahnya boleh dilihat dengan jelas. Antara contoh

cara layanan yang baik ialah penggunaan pujian.

Contoh Ayat: Zalifah dapat menjawab soalan yang diajukan dengan yakin.

Responsnya padat dan menarik. Teruskan usaha baik ini, Zalifah!

Syabas!

Secara umum, pujian dari segi kata-kata melibatkan gugusan kata kunci yang

bersifat positif. Kata-kata pujian yang paling kerap digunakan oleh guru-guru di

sekolah ialah ‘baik’. Dengan adanya kata kunci yang positif sebegini, khalayak

pembaca, sama ada pelajar mahu pun ibu bapa, akan berasa senang hati kerana

terasa diri mereka dihargai lantas membuat mereka berasa bahawa usaha atau

inisiatif mereka sangat berbaloi. Setelah menganalisis korpus kajian, kata-kata

pujian didapati bersifat lebih santun apabila guru menyebut nama murid yang dipuji

itu. Dengan menuliskan nama dalam pujian yang diberi, murid mahu pun pihak ibu

bapa yang dipuji itu akan berasa lebih terkesan kerana pujian tersebut dikhususkan

buat diri mereka.

Pujian yang berbentuk kata-kata boleh wujud dalam bentuk yang panjang

atau pendek. Hal tersebut bergantung pada konteks dan gaya guru itu sendiri. Ada

kalanya pujian padat dan tepat yang diperlukan namun ada masanya pula, pujian itu

perlu diberikan huraian supaya pelajar dapat memahami mesej yang disampaikan

oleh guru dengan setepatnya. Kesantunan seorang guru itu bukan meliputi

pemilihan kata sahaja malah cara penyampaian kata-kata itu juga merupakan salah

satu unsur kesantunan berbahasa. Hal ini sejajar dengan pendapat Siti Hajar Abdul

Aziz (2009) yang mendefinisikan kesantunan bahasa sebagai cara penggunaan kata

dan ujaran secara sopan dan beradab.

Bentuk Simbol

Selain daripada kata-kata, pujian juga boleh wujud dalam bentuk simbol. Dalam

komunikasi bertulis, simbol sememangnya tidak boleh diambil remeh sahaja kerana

ianya dapat memberikan kesan atau impak yang serupa seperti pujian yang

2 Haim G. Ginott (1975). Teacher and child: A book for parents and teachers. New York, NY:

Macmillan.

Page 15: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

50

berbentuk kata-kata. Melalui lukisan simbol seperti bintang dan ‘smiley face’

misalnya, pelajar akan berasa bangga dengan hal yang dipuji serta mendapat mesej

bahawa sesuatu yang telah dilakukannya itu telah mencapai tahap cemerlang,

berdasarkan pada penilaian guru.

Rajah 1: Contoh Penggunaan Simbol sebagai Pujian

Penggunaan Ungkapan Rabbani

Selain daripada penggunaan kata ganti nama diri dan pujian, kesantunan asas juga

boleh dilihat dari segi penggunaan ungkapan rabbani. Ungkapan rabbani, menurut

Noriati A. Rashid (2005), ialah ujaran yang mengandungi ungkapan-ungkapan yang

menunjukkan kebesaran Allah s.w.t. secara langsung. Ianya turut menggolongkan

ungkapan-ungkapan dalam bahasa Arab. Ungkapan rabbani juga menunjukkan

kekerdilan manusia yang sentiasa percaya bahawa setiap perkara hanya boleh

berlaku dengan izin Allah s.w.t.. Ungkapan rabbani ini kerap muncul dalam

komunikasi orang-orang Melayu tidak kira bila dan di mana mereka berada.

Alhamdulillah

Antara contoh ungkapan rabbani yang menunjukkan kesantunan berbahasa ialah

alhamdulillah yang membawa maksud ‘segala puji bagi Allah s.w.t.’. Ungkapan

alhamdulillah ini menggambarkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah

s.w.t. kerana memberi kebaikan kepada guru. Penggunaan ungkapan sebegini jelas

menunjukkan hubungan antara manusia dengan Allah s.w.t. kerana ungkapan

alhamdulillah menunjukkan bahawa seseorang guru itu mengakui setiap kebaikan

yang diterima daripada Allah s.w.t. Secara tidak langsung, penggunaan ungkapan

sebegini mengelak sikap sombong dan meninggi diri.

Page 16: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

51

Berdasarkan korpus kajian, contoh penggunaan ungkapan alhamdulillah

adalah seperti berikut: Seperti e-mel saya yang lalu, alhamdulillah Arfan telah

menunjukkan prestasi yang agak memuaskan dalam peperiksaan yang lalu.

Melalui penggunaan ungkapan alhamdulillah seperti dalam contoh tadi, dapat

dilihat bahawa guru yang mengajar bahasa Melayu di Sekolah Rendah Park View itu

jelas mengamalkan nilai berunsur keislaman dan meletakkan Allah s.w.t. di tempat

utama dalam kehidupannya.

Salam

Selain daripada ungkapan alhamdulillah, kesantunan asas juga boleh dilihat melalui

penggunaan ungkapan salam. Seperti ungkapan alhamdulillah, salam juga

merupakan perkataan pinjaman daripada bahasa Arab dan kini sudah pun sebati

dalam komunikasi seharian masyarakat Melayu beragama Islam. Ungkapan salam

ini bermakna ‘selamat sejahtera ke atas kamu semua’.

Dalam kajian yang dijalankan, dapatan menunjukkan bahawa amalan

memberi dan menjawab salam ditemui dalam bahagian awal komunikasi penulisan

dan boleh dianggap sebagai salah satu cara untuk bertegur sapa dengan cara yang

mesra dan santai. Penggunaan ungkapan rabbani seperti memberi dan menjawab

salam ini dapat dilihat dalam konteks kerja seharian guru di sekolah semasa guru

menulis surat, dan menghantar e-mel atau pun mesej WhatsApp.

Contoh Ayat: Salam Cikgu Zahidah, maaf kerana mengganggu.

Pemberian salam pada awal komunikasi penulisan sebegini merupakan

tuntutan kepada setiap orang Islam. Penggunaan ungkapan salam sedemikian

melambangkan sifat, kesantunan dan budaya yang diterima dan diamalkan dalam

masyarakat Melayu. Oleh itu, memberi dan menjawab salam seperti dalam contoh

tadi merupakan satu unsur kesantunan asas kerana ianya melibatkan sikap dan

etika seorang guru yang menghormati dan mendoakan kebaikan ke atas orang lain,

sejajar dengan nilai prinsip agama Islam.

Insya-Allah

Selain ungkapan alhamdulillah dan salam, ungkapan insya-Allah digunakan sewaktu

guru memberikan respons terhadap sesuatu pernyataan yang berkaitan dengan

Page 17: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

52

tindakan pada masa akan datang. Walaupun insya-Allah merupakan ungkapan

dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘dengan izin Allah s.w.t.’, penggunaan

ungkapan ini sudah pun mendarah daging dalam masyarakat Melayu-Islam di

Singapura dan diungkapkan secara spontan sama ada untuk menunjukkan

persetujuan atau sebagai ungkapan janji.

Dalam konteks kajian ini, lazimnya, penggunaan ungkapan ini ditemui apabila

seseorang guru memperkatakan hal-hal akan datang, yang tiada siapa dapat

memastikan sama ada sesuatu yang diharapkan, dijangkakan dan dirancang akan

terlaksana. Dalam komunikasi tulisan guru-guru bahasa Melayu di Sekolah Rendah

Park View, terdapat banyak harapan dan perancangan yang dirundingkan untuk

dilaksanakan pada masa akan datang. Berikut ialah contoh ungkapan insya-Allah

yang dipetik daripada data kajian: Insya-Allah dengan keyakinan diri yang telah

mula diperlihatkan olehnya, saya yakin Arfan akan mendapatkan keputusan yang

mungkin di luar dugaan kita.

Daripada contoh yang dinyatakan tadi, ungkapan insya-Allah menunjukkan

bahawa seseorang guru tidak mempunyai kuasa untuk menentukan apa yang

diharapkan atau dirancang itu akan tercapai atau terlaksana. Daripada contoh

tersebut, walaupun guru mengutarakan harapannya dengan penuh keyakinan,

penggunaan ungkapan insya-Allah membuktikan bahawa guru masih bersikap

rendah diri terhadap Allah s.w.t.. Dengan pengertian lain, meskipun dianggap

sebagai guru yang mapan, guru itu sedar bahawa hal yang dijangkakan hanya akan

berjaya dicapai apabila diizinkan oleh Allah s.w.t. Makanya, hal sebegitulah yang

menjadi unsur kesantunan asas dalam komunikasi penulisan guru-guru bahasa

Melayu di Sekolah Rendah Park View.

Kesantunan Berkendala

Kesantunan berkendala, menurut Asmah Hj. Omar (1996), ialah kesopanan yang

menggambarkan usaha yang dilakukan oleh ahli masyarakat ketika berhubungan

antara satu sama lain dengan memberikan perhatian kepada kendala tertentu.

Dalam konteks kajian ini, kesantunan berkendala dapat dilihat jika difahamkan

terlebih dahulu usaha yang dilakukan oleh para guru. Usaha yang ada ini boleh

dirangkumkan sebagai faktor-faktor yang menimbulkan kesantunan ketika

berkomunikasi.

Page 18: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

53

Menurut Dell Hymes (1974), terdapat beberapa faktor yang menentukan

kesantunan berkendala. Antaranya termasuklah faktor siapa yang memperkatakan

hal itu dan kepada siapa hal itu diperkatakan, apa yang diperkatakan, di mana hal itu

diperkatakan, mengapa hal itu diperkatakan, dan bagaimana hal itu diperkatakan.

Dengan erti kata lain, ada beberapa faktor yang menunjukkan usaha yang dilakukan

oleh guru-guru dalam menyisipkan kesantunan semasa berkomunikasi secara

bertulis. Antara faktornya ialah perkaitan peranan, perbezaan taraf sosial, kewujudan

kuasa, penjagaan air muka, kepatuhan kepada tajuk atau bidang, dan juga

kepatuhan kepada peraturan.

Perkataitan Peranan

Pendidikan di sekolah merupakan bidang yang melibatkan dan memerlukan

komitmen semua pihak berkepentingan (stakeholders), baik di dalam sekolah mahu

pun di luar. Keupayaan seseorang guru mengenal pasti pemeran yang terlibat dalam

komunikasinya dan memanfaatkan sepenuhnya jalinan kerjasama boleh

menentukan kejayaan kerjaya profesionalnya sebagai seorang guru. Semua guru

sewajarnya menyedari dan menerima hakikat bahawa agenda pendidikan perlu

dijayakan secara kolaborasi daripada semua pihak yang berkepentingan dalam

pendidikan. Oleh hal yang demikian, amatlah penting bagi guru-guru untuk

mengenal pasti setiap pemeran yang terlibat dalam komunikasi mereka serta

peranan pemeran itu sendiri.

Dalam hal ini, guru-guru perlu menimbangkan faktor mengenai siapa yang

memperkatakan hal yang memerlukan komunikasi tersebut. Dalam konteks kajian ini,

jelas bahawa pemeran yang ada dalam hubungan komunikasi secara penulisan ini

melibatkan guru yang mengajar di Sekolah Rendah Park View itu sendiri, pelajarnya,

serta pihak-pihak yang berkepentingan di dalam dan juga di luar sekolah, seperti

panitia mata pelajaran, ibu bapa, dan juga syarikat korporat. Unsur kesantunan

perkaitan peranan ini amat penting dalam kerjaya guru kerana jalinan kerjasama

antara pihak-pihak berkepentingan menjadi pemangkin untuk mengimbangi jasmani,

Page 19: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

54

emosi, rohani dan intelek pelajar serta meningkatkan prestasi akademik mereka

(Norazinah Yaacob, 2008)3.

Perbezaan Taraf Sosial

Unsur kesantunan berkendala yang kedua terletak pada perbezaan taraf sosial yang

ditunjangi oleh faktor kepada siapa hal komunikasi itu dituliskan. Di dalam sesuatu

situasi komunikasi yang berlangsung secara bertulis, guru menyedari hubungannya

dengan pihak pemeran yang lain seperti dari segi pangkat sosial, pangkat jawatan,

pangkat umur dan sebagainya. Kesemua ini terkandung dalam konteks hubungan

komunikasi yang perlu menitikberatkan kesantunan berkendala supaya keharmonian

serta keberkesanan komunikasi dapat dikekalkan sepanjang komunikasi

berlangsung.

Khususnya dalam konteks kajian ini, perbezaan taraf sosial dalam komunikasi

guru boleh dilihat dengan jelas dalam konteks pendidikan di sekolah kerana

komunikasi secara penulisan secara umumnya bersifat formal (atau paling kurang

pun, separa formal), dan ianya juga secara automatik, merupakan suatu dokumen

yang masih lagi terkawal. Oleh hal yang demikian, kesedaran terhadap perbezaan

taraf sosial ini amat penting kerana ianya menunjukkan seseorang guru itu akur

kepada kedudukannya dan kedudukan pemeran yang lain dari segi pangkat dalam

tata tingkat sosial seperti encik, tuan, puan, atau pun pangkat dalam jawatan atau

tugasnya seperti Doktor, Ketua Subjek, Guru Kanan, dan sebagainya.

Kewujudan Kuasa

Selain daripada perkaitan peranan dan perbezaan taraf sosial, unsur kesantunan

berkendala juga dapat dilihat daripada aspek kewujudan kuasa-kuasa tertentu.

Kewujudan kuasa sebenarnya adalah untuk memastikan penghormatan diberikan

kepada pihak-pihak tertentu. Lazimnya, pihak-pihak itu merupakan pihak dari atasan

yang terlibat dalam bidang pendidikan secara tidak langsung. Hal ini kerana pihak-

pihak atasan mengawal perkara-perkara lebih besar dan memantau secara ‘aerial

3 Kertas Kerja ini adalah hasil tulisan Norazinah Yaacob dan telah dibentangkan rumusannya dalam

bahasa Inggeris di Hotel Berjaya, Pulau Pinang pada Mac, 2008 sebagai memenuhi syarat kenaikan gred melalui Penilaian Kompetensi PTK 44.

Page 20: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

55

view’. Pihak berkenaan melihat sistem pendidikan dari sudut kaca lensa makro dan

membuat keputusan-keputusan yang berat dan besar.

Kewujudan kuasa yang menandai kesantunan berkendala ini melibatkan

faktor mengapa hal itu diperkatakan. Oleh kerana kewujudan kuasa ini, secara sedar,

seseorang guru itu tahu bahawa dia perlu menjaga etika dan etiket yang digariskan

oleh beberapa pihak berkuasa yang tertentu. Secara amnya, guru bukan hanya

menonjolkan diri sendiri kepada pihak-pihak lain yang berkepentingan dalam

pendidikan, seperti pelajar, ibu bapa, guru-guru lain, dan syarikat korporat. Malahan,

guru juga menjadi sebuah entiti yang sebenarnya mewakili institusi Sekolah Rendah

Park View, mencerminkan identiti keprofesionalan Kementerian Pendidikan

Singapura dan menjalankan amanah serta tanggungjawab yang dipergalaskan oleh

Jawatankuasa Penasihat Sekolah. Tindak-tanduk dan perilaku seseorang guru

seolah-olah dibayangi oleh kesedaran sesuatu kewujudan yang tidak zahir secara

nyata. Justeru, antara kewujudan kuasa yang menentukan unsur kesantunan

berkendala dalam kajian ini ialah pentadbir atau pengurusan sekolah, Jawatankuasa

Penasihat Sekolah (School Advisory Committee), dan juga Kementerian Pendidikan

Singapura.

Dengan kesedaran tentang hal yang demikian, tidak syak lagi bahawa setiap

guru, yang sememangnya tertakluk di bawah Kementerian Pendidikan, akan

memastikan bahawa mereka akan mencerminkan sikap leluhur yang terbaik kepada

setiap pihak yang terlibat, secara langsung atau pun tidak, dalam bidang pendidikan.

Hal ini menunjukkan bahawa guru cukup akur dengan kewujudan kuasa yang

sentiasa ada sepanjang kerjaya mereka sebagai pendidik, iaitu Kementerian

Pendidikan (Singapura).

Namun demikian, jika menyentuh tentang kuasa terbesar, tentunya ada

yang mempunyai kuasa yang lebih besar daripada kuasa yang dipegang oleh

pengurusan Sekolah Rendah Park View, Jawatankuasa Penasihat Sekolah, dan

juga Kementerian Pendidikan, yakni kuasa Allah s.w.t.. Kuasa Allah s.w.t. ini

mengatasi segala pihak yang berkuasa yang ada di dunia ini. Sehubungan itu,

segala peraturan hidup, termasuk kesantunan dan budi bahasa turut terangkum di

dalamnya.

Page 21: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

56

Oleh hal yang demikian, kuasa yang tersembunyi dalam bidang pendidikan

bukanlah pentadbir sekolah atau Kementerian Pendidikan kerana pihak-pihak yang

disebutkan itu sendiri tertakluk di bawah kekuasaan seseorang yang lebih tinggi,

iaitu Presiden. Walaupun Presiden tampak paling berkuasa di Singapura, tingkah-

lakunya dan gerak-jalannya kesemuanya ditentukan dan dikawal oleh kuasa

tersembunyi, iaitu Allah s.w.t.. Hal ini boleh digambarkan dalam rajah seperti berikut:

Rajah 2: Kewujudan Kuasa Tersembunyi yang Mengatasi Kuasa-kuasa yang lain

Penjagaan Air Muka

Berdasarkan korpus kajian, terdapat beberapa situasi yang berkaitan dengan unsur

kesantunan berkendala seperti penjagaan air muka. Unsur kesantunan berkendala

dari segi penjagaan air muka ini sememangnya berpunca daripada faktor bagaimana

hal itu diperkatakan. Bagi seorang guru yang perlu menegur kesilapan pelajarnya

misal kata, guru dengan sendirinya akan tertanya-tanya dan mencari tahu cara yang

terbaik untuk menjaga air muka para pelajarnya tetapi pada masa yang sama juga

menyampaikan mesej kepada pelajarnya dengan berkesan.

Contoh Ayat: Fatimah dapat membaca petikan dengan jelas dan lancar. Dialog

dapat digayakan dengan agak baik. Namun, dia harus lebih berhati-

hati agar tiada perkataan disalah sebut dan diulang.

Daripada contoh tadi, dapat dilihat bahawa guru telah cuba menjaga air

muka pihak lain, iaitu pelajar dan juga pihak ibu bapa. Guru tersebut telah

Allah

Presiden

Kementerian Pendidikan

Jawatankuasa Penasihat Sekolah

Pentadbir Sekolah

Page 22: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

57

memberikan ulasan positif dahulu sebelum memberikan teguran yang bersifat

negatif. Hal ini ditandai dengan perkataan ‘namun’ antara ulasan positif dan negatif.

Selain daripada itu, ketiadaan kata-kata kesat atau bahasa kasar menunjukkan

bahawa guru ternyata bersikap santun dalam hubungan komunikasinya.

Kepatuhan Kepada Tajuk Atau Bidang

Salah satu lagi unsur berkendala yang terdapat dalam komunikasi guru secara

penulisan ialah kepatuhan kepada tajuk atau bidang. Unsur ini berdasarkan kepada

faktor apa yang diperkatakan dalam komunikasi secara tulisan. Dalam hal ini,

perlulah diambil kira kesesuaian tajuk atau bidang yang diperkatakan dengan ciri-ciri

dokumen tertentu. Terdapat bermacam jenis dokumen yang boleh menjadi bukti

adanya unsur kesantunan berkendala. Antaranya ialah skrip karangan, kertas

peperiksaan, surat atau e-mel, rubrik serta bahan pengajaran seperti kerja lembaran.

Rajah 3: Contoh Lembaran Kerja (Kefahaman Subjektif)

Komunikasi guru dengan pelbagai pihak itu perlu dan hubungan komunikasi

itu kadang kala merangkumi bermacam-macam jenis perkara dan matlamat. Guru

jarang terpesong dari tajuk yang timbul dalam komunikasi penulisannya. Semua hal

yang ditulis pasti ada kaitan dengan tajuk atau bidang yang diungkapkan. Soalan-

soalan yang direka oleh guru ini dengan sendirinya perlu berkaitan dengan tajuk

yang dibincangkan iaitu teks petikan kefahaman. Jika guru menulis soalan yang

terpesong daripada bidang teks kefahaman yang diberikan, pelajar pasti tidak akan

dapat menjawab soalan guru itu dengan tepat.

Namun demikian, terdapat juga soalan yang kelihatan seperti tidak

berdasarkan teks kefahaman sepenuhnya. Soalan sebegini biasanya merupakan

Page 23: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

58

antara soalan terakhir dalam set soalan kefahaman. Kadang kala, jawapan bagi

soalan ini tidak boleh didapati daripada teks kefahaman yang telah diberikan tetapi

ianya memerlukan penaakulan tulen serta perasaan seseorang pelajar itu sendiri.

Soalan jenis ini selalunya dimulakan dengan ‘pada pendapat kamu’. Dalam hal ini,

walaupun soalan yang direka oleh guru kelihatan seperti tidak berdasarkan

sepenuhnya pada teks kefahaman yang diberikan, tindakan guru ini tidak sama

sekali dianggap sebagai pemesongan daripada tajuk atau bidang. Hal ini disebabkan

niat atau matlamat guru yang membuat soalan jenis ‘higher-order thinking’

berteraskan Taksonomi Bloom 4 . Dalam erti kata lain, guru ingin melihat daya

penaakulan pelajarnya dalam memberikan penilaian terhadap sesuatu tajuk yang

dibincangkan. Oleh yang demikian, dalam hal ini, guru tetap tidak terpesong

daripada tajuk dan masih lagi patuh kepada tajuk atau bidang yang diperkatakan

lantas menunjukkan unsur kesantunan berkendala dalam komunikasinya secara

bertulis.

Kepatuhan Kepada Peraturan

Selain daripada kepatuhan kepada tajuk atau bidang yang dibincangkan sebelum ini,

kesantunan bahasa juga diukur berdasarkan kepatuhan seseorang guru kepada

peraturan. Kesemua situasi komunikasi mempunyai peraturan yang tersendiri untuk

dipatuhi oleh semua yang terlibat. Secara umum, peraturan di sini merujuk kepada

penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia, dan

menunjukkan penghormatan kepada pihak pemeran yang lain.

Nilai berbahasa sangat dititikberatkan oleh orang Melayu. Oleh itu, wujudlah

bentuk bahasa yang dikelaskan sebagai bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar,

bahasa biadab, dan seumpamanya. Dengan ini, seseorang guru itu perlu memahami

di mana sesuatu hal itu diperkatakan. Dalam hal ini, guru harus tahu cara

berkomunikasi yang betul dan sesuai bertepatan dengan wahana komunikasi yang

digunakan. Wahana komunikasi yang dimaksudkan ialah jenis-jenis dokumen yang

menjadi dokumen komunikasi secara bertulis, seperti surat atau e-mel, rubrik, skrip

4 Taksosonomi Bloom merujuk pada taksonomi yang dibuat untuk tujuan pendidikan yang terbahagi

kepada tiga ranah (domain). Konteks kajian ini memfokuskan hanya pada Ranah Kognitif yang mengandungi perilaku-perilaku yang menekankan aspek intelektual seperti pengetahuan, pengertian, pemahaman, aplikasi, sintesis, dan penilaian (B.S. Bloom et al., 1956).

Page 24: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

59

karangan dan sebagainya. Sesungguhnya guru yang santun ialah guru yang tahu

meletakkan dirinya sesuai dengan keadaan tertentu.

Daripada korpus kajian, didapati bahawa guru telah mematuhi peraturan

dalam pengiriman e-mel. Apabila mengirim e-mel, kepala e-mel atau bahagian awal

e-mel distrukturkan kepada ruang-ruang seperti pengirim, penerima, subjek, dan

maklumat lain mengenai e-mel. Kesemua ini perlu dinyatakan terlebih dahulu di

bahagian atas e-mel. Hal ini dapat dilihat dalam contoh yang berikut:

From: Ramlah Begam ABDUL HAMEED (MOE) Sent: Thursday, 2 May, 2013 6:12 PM To: Rahmat SUBADAH (MOE); Abidah Bibi KADER ASANA MARIKAR (MOE); Fadilah ISNIN (MOE) Subject: ML Seminar 2013 -update 8 for presenters (02/05/13) - Preparation of Slides and Checking of Names of Presenters

Salam hormat Cikgu,

Terima kasih kerana telah mengirimkan kertas kerja seminar dan kini kami sedang dalam proses menyemak semua kertas kerja.

1) Kami memerlukan bantuan Cikgu untuk memastikan nama penulis utamakertas kerja, nama rakan-rakan guru yang terlibat dalam kajian dan nama sekolah dieja dengan betul. Jika terdapat kesilapan, sila beritahu saya selewatnya 6 Mei 2013.

2) Kami juga ingin menyarankan agar Cikgu membuat persiapan-persiapan lain,seperti menyiapkan slaid PowerPoint dsb. untuk peserta yang akan menghadiri pembentangan. Setiap bilik akan mempunyai 25-30 peserta.

Terima kasih.

Ramlah Begam Abdul Hameed (Mdm)

Walaupun subjek dalam contoh e-mel tadi terlampau panjang, ianya perlu

kerana dalam kesibukan kerja seharian seorang guru, kemungkinan besar ada guru

yang tidak sempat membuka e-mel dan membaca isi kandungannya. Guru-guru

yang terlalu sibuk akan membuka inbox e-mel dan membaca subjek-subjek e-

melnya secara sepintas lalu. Jika sesuatu subjek itu dirasakan penting, barulah guru

itu akan membuka e-mel tersebut dan membaca isi kandungannya. Dengan itu,

kepadatan serta keterkaitannya dengan tajuk menjadi unsur kesantunan berkendala

kerana ianya menunjukkan bahawa guru telah menepati peraturan dan format

pengiriman e-mel.

Page 25: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

60

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat kesantunan asas dan kesantunan berkendala dalam

komunikasi guru secara bertulis. Bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan

gelaran mengikut situasi dan konteks yang sesuai. Kesalahan penggunaan kata

sapaan dalam konteks secara bertulis ini boleh menimbulkan hubungan yang tidak

harmoni antara penulis dan pembaca. Hal ini disebabkan kata-kata yang membawa

implikasi berbeza apabila digunakan dalam situasi yang berlainan.

Kesantunan berbahasa menjadi pemangkin kepada pembentukan

keperibadian murid lantas kesantunan perlu dipupuk dan disemaikan terhadap

pelajar dari semasa ke semasa. Prosesnya sangat panjang dan tidak ada jalan

pintas. Oleh itu, guru perlu memperkukuh iltizam setiap masa untuk memantapkan

pengajaran dan pembelajaran secara menarik, berkesan dan bermakna. Setiap

ulasan yang diungkapkan perlulah dibuat secara berhemah agar tidak menjatuhkan

air muka mana-mana pihak lantas mengelakkan konflik dan masalah komunikasi di

sekolah. Yang nyata, kesantunan bukanlah sesuatu bidang yang setakat dipelajari

sahaja tetapi merupakan juga nilai yang perlu ada dalam diri seseorang guru

sebagai model kepada murid.

Selain daripada itu, kajian ini boleh diperluaskan dengan meneliti secara lebih

mendalam mengenai aspek air muka. Mungkin boleh dianalisis secara kualitatif dan

kuantitatif untuk mengetahui pemberatan sama ada masyarakat Melayu lebih

mengutamakan air muka orang lain atau lebih memberatkan penyampaian mesej

secara berkesan dalam satu-satu keadaan komunikasi berbahasa, terutama sekali

dalam bidang pendidikan yang menitikberatkan kemahiran abad ke-21 (21st-century

skills).

Dengan kesedaran mengenai keindahan bahasa, satu lagi cadangan untuk

memperkembangkan kajian kesantunan berbahasa ialah dengan membina skala

kesantunan (scale of politeness) dari kaca mata orang Melayu. Nilai kesantunan

berbahasa dalam masyarakat Melayu sememangnya jauh berbeza dengan nilai

yang dititikberatkan oleh masyarakat-masyarakat lain. Oleh itu, kajian kesantunan

berbahasa sebegini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada generasi Melayu

akan datang dalam meningkatkan lagi kesedaran untuk bersikap santun antara satu

sama lain.

Page 26: KESANTUNAN BERBAHASA DALAM KOMUNIKASI TULISAN: … Ilmu... · dokumen-dokumen yang menjadi wahana komunikasi secara tulisan seperti bahan pengajaran, skrip karangan pelajar, kertas

Perkongsian Profesional Bagi Guru-Guru Permulaan

61

Rujukan

Amat Juhari Moain. (1989). Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu: Suatu Analisis Sosiolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Hj. Omar. (1996). Wacana Perbincangan, Perbahasan dan Perundingan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. (2000). “Managing languages in conflict situation: A special reference to the implementation of the policy on Malay and English in Malaysia” dalam Journal of Asian Pacific Communication, 10 (hlm. 239-253).

Asmah Haji Omar. (2002). Setia dan Santun Bahasa. Tanjung Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Asmah Haji Omar. (2007). Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan Pentadbiran dan Media. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. (2007). Santun Berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Bogdan, R. C dan Biklen, S. K. (2003). Qualitative Research for Education. An introduction to Theories and Methods (edisi ke-4). New York: Pearson Education group.

Hymes, D. (1974). Foundations in Sociolinguistic. Philadelphia: University of Pennsylvania.

Norazinah Yaacob. (2008). “Jalinan Kerjasama dalam Bidang Pendidikan” dalam kertas kerja yang dibentangkan di Hotel Berjaya, Pulau Pinang.

Noriati A. Rashid. (2005). “Nilai Kesantunan dalam Konteks Sosiobudaya Masyarakat Melayu” dalam Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 15 (hlm. 241-244).

Sa’adiah Ma’alip. (2000). Kata Panggilan Kekeluargaan Masyarakat Portugis: Tinjauan di Perkampungan Portugis Melaka dalam Dewan Bahasa, Oktober (hlm. 177 – 186).

Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Bahasa Melayu I. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Sudaryanto dan Djihat Hisyam, (2000). Refleksi dan Reformasi Pendidikan di Indonesia Memasuki Milenium III. Yogyakarta: Adicita.