Kepentingan Hijrah Dalam Proses Pembangunan Masyarakat
-
Upload
mohamad-nazmie-mohamed-tarmizi -
Category
Documents
-
view
123 -
download
3
description
Transcript of Kepentingan Hijrah Dalam Proses Pembangunan Masyarakat
Kepentingan Hijrah Dalam Proses Pembangunan Masyarakat
Pembangunan Jiwa
Pembangunan jiwa merupakan suatu proses yang bertujuan untuk melahirkan jiwa yang
bertakwa. Ianya merupakan unsur yang perlu difahami dan dititikberatkan oleh semua umat.
Ketiadaan jiwa yang bertakwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh.
Manusia secara umumnya akan menggunakan kecerdasan akal dan juga kekuatan yang
ada pada tubuh badannya untuk membina tamadun material. Justeru pembangunan jiwa ini
seharusnya diaplikasikan dengan sebaik mungkin untuk memastikan tamadun material yang
akan terbina kelak tidak akan sia-sia. Akidah yang betul memandu manusia tentang adanya
Pencipta. Kewujudan Pencipta membina asas iman bahawa Pencipta berkuasa atas segala-
gala. Darinya lahir keinsafan yang membawa kepada takwa bahawa dari Allah manusia
datang dan kepada Allah manusia akan kembali. Kehidupan umat Islam tidak saja
mengambil pertimbangan dunia tetapi juga mengambil pertimbangan akhirat. Apabila
pertimbangan akhirat menjadi agenda utama, kehidupan di dunia akan menjadi lebih
sempurna kerana manusia terus ingat akan hari pembalasan. Ia menyebabkan manusia
lebih berhati-hati dan sentiasa dipandu untuk melakukan kebaikan dan mengelak dari
melakukan kejahatan.
Namun untuk memastikan cita-cita tersebut tercapai, jiwa insan perlulah diisi dengan
perasaan cintakan Allah dan Rasul serta cinta kepada kehidupan akhirat. Hal ini seterusnya
akan dapat menyedarkan manusia tentang matlamat hidupnya di atas muka bumi ini. Dan di
sini seluruh manusia perlu memikul dua tanggungjawab utama iaitu selaku hamba Allah dan
selaku khalifah Allah. Sebagai hamba Allah, manusia dikehendaki mengabdikan diri kepada
Allah semata-mata. Mengabdikan diri kepada Allah termasuklah melaksanakan seluruh
perintah dan menjauhi segala larangan-Nya dan juga mengekalkan rasa kehambaan.
Sebagai khalifah Allah pula, manusia telah dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan
muka bumi Allah ini berpandukan segala hukum-hakam dan syariat Allah dalam segenap
aspek kehidupan seperti bidang ekonomi, perubatan, pertanian, sains, teknologi, pendidikan
dan sebagainya. Justeru kesedaran terhadap tanggungjawab ini yang lahir dari jiwa
seorang mukmin yang sebenar, sudah pasti dapat membawa perubahan kepada ummah
dan seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam seperti suatu waktu dahulu.
manusia yang diutuskan Allah ke bumi sebagai khalifah perlulah diisi dengan
perasaan cintakan Allah dengan sebenar-benarnya cinta di bawah rahmat dan keredaan-
Nya, jangan menyekutukan Allah. Pengertian mengabdikan diri kepada Allah adalah
melaksanakan semua perintah dan menjauhi laranganNya dan juga mengekalkan rasa
kehambaanNya. Manakala pengertian khalifah pula, manusia dipertanggungjawabkan untuk
memakmurkan bumi dalam segala aspek kehidupan seperti bidang ekonomi, sosial,
perubatan, pertanian, sains, teknologi, pendidikan dan sebagainya. Oleh itu kesedaran
terhadap tanggungjawab ini yang lahir dari jiwa seorang mukmin sejati, sudah tentu dapat
membawa perubahan kepada pembangunan ummah, seterusnya mengembalikan
kegemilangan Islam sesuai dengan semangat hijrah diasaskan oleh Rasulullah SAW sejak
dahulu lagi.
Pembangunan Mental
Pembangunan insan juga mestilah menitikberatkan pembangunan mental (akal).
Akal manusia mestilah diisi dengan pelbagai jenis ilmu yang dianjurkan oleh Islam untuk
mempelajarinya. Antara ilmu yang perlu dititikberatkan ialah ilmu berkenaan dengan Fardhu
Ain seperti ilmu Tauhid, Feqah dan juga Tasawwuf serta ilmu-ilmu pengetahuan yang lain
seperti ilmu Sains dan Geografi. Melalui ilmu tersebut, para pelajar tidak akan sahaja
mengenali hakikat sesuatu kejadian berdasarkan kepada sifat tabiinya sahaja, bahkan
mereka akan cuba berfikir bahawa di sebalik segala kejadian tersebut, ada Penciptanya iaitu
Allah s.w.t. Kesan sampingan yang akan timbul ialah mereka akan berasa takjub atas
kekuasaan Allah ini dan seterusnya akan mendorong jiwa mereka untuk tunduk patuh
kepada perintah-Nya.
Selain daripada pengisian ilmu yang bermanfaat, akal juga haruslah dibangunkan
dan dibentuk melalui perbincangan, penyelidikan dan juga pembacaan. Aktiviti-aktiviti lain
seperti mengembara dan melancong juga akan dapat menajamkan akal. Sewaktu
mengembara, kita tentunya akan memperolehi banyak pengalaman, pengajaran dan hikmah
kejadian alam sejagat. Bermusyawarah dan berbincang juga secara tidak langsung akan
dapat menghasilkan kefahaman yang lebih mendalam kepada akal kita. Di samping itu,
Islam juga menganjurkan kita supaya menjaga adab-adab bermusyawarah supaya
manfaatnya akan terhasil semaksima mungkin. Hasil perbincangan dan penyelidikan
tentang sesuatu perkara seperti muzakarah tentang hukum, sudah tentu dapat
dimanfaatkan oleh sekalian muslimin. Bagaimanapun, untuk mendapatkan kesan serta
manfaat daripada semangat hijrah Rasul itu, ia perlu diiringi dengan niat dan jihad atau
usaha untuk menegakkan agama Islam.
Peristiwa hijrah Rasul itu sendiri mengajar, jika umat Islam mahu menegakkan
agama Allah SWT atau menegakkan apa jua perjuangan, ia memerlukan beberapa elemen
tertentu. "Ia meliputi persiapan minda, persiapan spiritual atau kerohanian, persiapan fizikal
serta persiapan strategi dan organisasi. "Lantas jika kita melihat mengapa umat Islam
ditindas, sebagai contoh, mungkin ada elemen yang tidak sempurna, mungkin ada
kelemahan organisasi, fizikal yang merangkumi kekuatan harta benda dan juga kelemahan
pengetahuan atau kepakaran," kata beliau dalam wawancara dengan Bernama baru-baru
ini. Dalam menyentuh soal kekuatan dalaman atau kerohanian, beliau mengaitkannya
kepada kekuatan akhlak dan adab.
"Tamaddun atau peradaban Islam dibina atas asas peradaban dan akhlak dan runtuhnya
tamaddun itu bila mana umat Islam lemah akhlak dan adab. "Kita boleh membina bangunan
yang tinggi-tinggi tetapi jika akhlak dan adabnya lemah, ia akan menjadi seperti apa yang
disebut bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, kemudahan kelas pertama,
mentaliti dunia ketiga," tambahnya. Ir Ahmad Jais juga berpendapat umat Islam khususnya
di negara ini turut berdepan dengan pelbagai cabaran pemikiran yang cukup hebat. Ia
termasuk dari segi pemikiran Islam itu sendiri yang mempunyai pelbagai pandangan dan
mazhab .Umat Islam turut terdedah kepada pelbagai pengaruh luar, falsafah barat,
pengaruh materialisme, pengaruh kemodenan yang menolak ketuhanan serta fahaman yang
menyesatkan. Ia juga termasuk fahaman mistik yang dilihat sebagai semakin meningkat
termasuk dalam bentuk cerita yang disiarkan di televisyen serta sikap segelintir masyarakat
Islam di negara ini yang masih berjumpa bomoh atau pawang atas pelbagai alasan.
"Itu belum lagi mengambil kira generasi muda Islam yang semakin diasak dengan ledakan
maklumat di dalam internet. "Kadang-kadang mereka ini tidak tahu bagaimana hendak
menilai, yang mana satu betul dan yang mana salah," tambah beliau. Golongan muda
termasuk remaja hari ini sinonim dengan pelbagai masalah sosial termasuk merempit,
menagih najis dadah dan melakukan seks bebas. Ir Ahmad Jais melihat kecelaruan itu
berlaku kerana golongan itu tidak mempunyai contoh akhlak yang mulia."Di dalam Quran
ada disebut pembentukan akhlak itu memang memerlukan contoh teladan atau 'role model'
yang baik. "Para sahabat ketika zaman Nabi Muhammad SAW, terdidik dengan akhlak Nabi
kerana baginda memiliki akhlak yang paling mulia. Ini termasuk cara Nabi bertutur, cara
Nabi memaafkan orang, cara Nabi menyampaikan kebenaran.
Sains dan teknologi selamanya alat untuk menemukan manusia dan faktor alamiah dan
menemukan manusia dengan ilmu alat untuk memudahkan kehidupan. Dalam tradisi Islam
sains mendekatkan manusia dengan pencipta. Teknologi memudahkan manusia melakukan
kebaikan dan membina kesejahteraan. Komputer sebagai alat komunikasi dan sistem
maklumat tidaklah salah. Tetapi perisian dan program dalam komputer yang menyebabkan
maklumat yang salah tersebar dan program yang lucah menjadi subur mencetuskan
masalah kepada minda dan pemikiran manusia.
Tanpa akidah yang memandu manusia ke arah keperkasaan dan kebesaran Allah,
pengguna komputer akan merasakan komputer itu segala-gala. Pengguna yang mempunyai
akidah mantap melihat komputer selamanya alat. Input, perisian dan program yang
bermanfaat berkait rapat dengan matlamat. Alat dan matlamat yang baik bakal
membangunkan minda dan ilmu yang baik dan ia akan membebaskan manusia daripada
belenggu. Mengambil peristiwa Hijrah Rasullullah s.a.w. remaja Islam perlu mengambil
iktibar. Amalan jahiliah yang wujud pada zaman Rasulullah boleh berlaku pada zaman kini.
Apabila sebahagian remaja hari ini amat mengagumi budaya asing hingga menyebabkan
cara hidup mereka menjadi lepas bebas ia bermakna amalan jahiliah itu sedang berlaku.
Apabila terdapat dalam kalangan remaja yang terlibat dengan salahguna dadah, memuja
idola dan diva, gemar melalui hidup secara berpoya-poya, ia juga menggambarkan elemen
jahiliah sedang mencengkam. Faham jahiliah tidak melihat agama itu penting. Pedoman
baik buruk akan sesuatu dianggap sebagai ketinggalan zaman. Untuk menjadi moden dan
maju remaja dikatakan harus melepaskan diri dari ikatan salah-benar dan dosa-pahala.
Untuk menjadi global, apa yang datang dari Barat adalah lambang maju dan moden. Yang
lahir dari tradisi dan agama dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Oleh itu untuk menjadi
remaja yang maju dan terkini, Baratlah menjadi segala-gala. Bukanlah Barat yang harus
dibenci oleh remaja. Di Barat terdapat sumber ilmu dan teknologi yang bermanfaat. Tetapi
agenda pembaratan yang menyebabkan ramai remaja kita terjebak seharusnya
menimbulkan kewaspadaan. Lebih-lebih lagi mengambil faktor kebebasan Barat sebagai
ukuran hidup yang maju boleh menjebak remaja kepada elemen-elemen jahiliah yang
menjauhkan remaja dari agama. Oleh itu, semangat hijrah yang dirintis oleh Rasulullah
harus hidup pada jiwa remaja di sepanjang zaman. Cintakan ilmu-ilmu yang bermanfaat dan
membina jiwa tadabbur yang tinggi untuk kesejahteraan manusia adalah hijrah yang amat
bermakna. Menjaga kepentingan akhlak dan tingkahlaku adalah pra syarat ke arah membina
peribadi yang baik. Berhijrah ke arah pembinaan akhlak yang tinggi adalah asas untuk
perubahan yang bermakna.
Memiliki upaya menyaring yang tinggi terhadap faktor baik dan buruk adalah syarat penting
untuk berinteraksi dengan kehidupan dan zaman. Darinya harus mendorong remaja untuk
membina kekuatan ilmu, akhlak dan keterampilan supaya tenaga muda dapat digerakkan ke
arah perubahan dan kemajuan yang lebih bermakna. Jiwa hijrah ke arah kebaikan perlu ada
di kalangan remaja. Menebus kehinaan umat Islam mesti bermula dengan ilmu. Ilmu yang
benar dan bermanfaat bakal membimbing remaja ke arah hidup yang fitrah. Mengembalikan
tradisi sains dan teknologi yang Islami sewajarnya menjadi tekad remaja supaya pendidikan
sains bakal mendekatkan manusia dengan pencipta dan membangunkan teknologi yang
memberi menafaat kepada umat manusia. Jiwa hijrahlah yang mampu mencetuskan
kesedaran dan keinsafan di kalangan remaja bahawa tanpa akidah yang benar, iman yang
mantap dan takwa yang tinggi tidak mungkin hijrah dalam erti kata yang sebenar boleh
berlaku. Hijrah yang didukung oleh kekuatan ilmu, akhlak dan amal bakal merobah corak
hidup manusia ke arah perubahan yang lebih bermakna. Hijrah seperti inilah yang amat
diperlukan oleh remaja dan umat manusia.
Umat Islam juga harus mengambil contoh umat terdahulu yang sanggup berkorban
semata-mata menyelamatkan akidah mereka. Umat Islam pada ketika itu banyak melakukan
pengorbanan. Mereka terpaksa meninggalkan keluarga, harta dan kedudukan. Contohnya,
Saidina Ali sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menggantikan Rasulullah di tempat
tidur walaupun pada ketika itu, rumah Rasulullah terkepun dan menerima ancaman bunuh
oleh pemuda Quraisy. Begitu juga dengan sahabat Nabi iaitu Abu Bakar. Beliau sanggup
meninggalkan kedudukannya dan hartanya di Mekah semata-mata ingin menjaga
keselamatan Nabi SAW. Mereka mengorbankan pekara yang sedia ada untuk
mendapatkan perkara yang lebih baik dan mereka yakin dengan itu. Mentaliti sebeginilah
perlu ada pada pemuda-pemudi sekarang. Misalnya, meninggalkan kampung dan keluarga
untuk mencari rezeki dan menuntut ilmu merupakan sesuatu yang amat-amat digalakkan.
Disamping itu, umat Islam pada masa kini perlulah merancang strategi yang begitu
detail untuk berjaya. Umat Islam perlu diterapkan mentaliti merancang dengan baik dan
bersedia dengan sebarang kemungkinan. Walaupun niat seseorang untuk berjaya sudah
ada dan mereka berusaha sekeras-kerasnya, namun tanpa strategi yang baik sudah pasti
mereka akan gagal. Mereka tiada panduan dan mungkin mereka akan berusaha sekerat
jalan dan berhenti di tengah jalan. Oleh itu umat Islam perlulah mengambil iktibar terhadap
peristiwa hijrah dimana Nabi dan Umat Islam merancang keluar daripada Mekah dengan
begitu baik sekali. Sekiranya mereka tidak ada strategi yang baik. Sudah pasti mereka gagal
keluar daripada Mekah dan dibunuh Quraisy. Hijrah dilakukan pada tengah malam. Pada
ketika itu udara di Mekah mula berubah. Hawa sejuk mulai turun dari atas deretan gunung-
gunung Sarat. Bagi orang Mekah yang tinggal di tengah-tengah keliling gunung, yang
sentiasa mendapat hawa panas, perubahan hawa yang datang itu besar sekali ertinya,
Biasanya mata terus mengantuk apabila hawa menjadi sejuk. Pada ketika itu, dapatlah
dilihat pemuda-pemuda yang berkawal di tengah malam menjadi tidak fokus akibat
keletihan. Hal inilah yang menjadi faktor mengapa Nabi dan pengikutnya berhijrah pada
waktu malam. Nabi sendiri mengambil kira faktor cuaca dalam strategi baginda walaupun
perubahan cuaca tidaklah membawa kesan yang banyak jika dilihat pda mata kasar.
Pembangunan Fizikal
Sekiranya jiwa dan akal sahaja dibangunkan, tetapi fizikal lemah, maka tamadun Islam dan
peribadi muslim juga akan terhalang pembinaannya. Kalau diamati, apakah faedah yang
dapat diperolehi daripada seorang manusia yang lemah tubuh badannya, tidak bermaya dan
lesu? Setiap masa ditimpa dengan pelbagai jenis penyakit. Kita tidak menafikan bahawa
sakit itu merupakan ujian dari Allah s.w.t. Namun demikian, seseorang manusia itu tidak
boleh menempah maut dengan membiarkan dirinya diselubungi dengan pelbagai jenis
penyakit yang mungkin boleh membawa maut. Oleh itu, kita perlu memiliki fizikal yang sihat
untuk membina tamadun Islam selaras dengan kehendak Allah s.w.t yang mahukan hamba-
Nya menjadi khalifah di muka bumi ini. Tubuh yang sihat akan melahirkan akal yang sihat,
seterusnya dapat merancang pelbagai perkara untuk manfaat umat Islam sejagat.
Untuk meningkatkan taraf kesihatan diri, kandungan makanan yang diambil perlulah
seimbang iaitu memenuhi segala keperluan seperti protein, karbohidrat, garam galian,
vitamin dan sebagainya. Makanan yang akan diambil juga mestilah berpunca daripada
sumber yang halal dan cara penyediaannya juga mestilah mengikut kehendak syarak.
Segala adab makan dan minum yang telah dianjurkan oleh Islam juga perlulah diamalkan.
Di samping itu juga, kita perlu melakukan aktiviti senaman untuk membina badan yang sihat
dan minda yang cerdas. Setelah memenuhi kesemua aspek yang telah diterangkan tadi,
maka kita akan dapat merasakan berlakunya suatu perubahan yang amat ketara di dalam
jiwa dan minda kita. Dan di sini sudah tentunya proses pembinaan insan sudah mula
tercapai dengan sebaik yang mungkin.
Perpaduan
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah" membawa makna yang sangat besar sekiranya
difahami dan dijayakan bersama-sama. Seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sempena sambutan besar dalam kalendar Islam ini.
Agama Islam amat menitikberatkan kepada umatnya supaya hidup saling bekerjasama dan
bersefahaman dalam masyarakat. Kerana itulah satu-satunya cara yang boleh memberikan
kehidupan yang aman damai dan sejahtera. Umat Islam adalah umat yang terbaik dan
sentiasa berusaha menzahirkan kebaikan dan menghapuskan keburukan. Allah SWT telah
menegaskan dalam kitab suci Al-Quran, surah Ali 'Imran, ayat 110 yang bermaksud: "Kamu
wahai umat Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia kerana
kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang segala yang salah. Serta
kamu beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya". Islam adalah agama rahmat
kepada manusia dan alam ini. Rasulullah SAW memerintahkan untuk memudahkan dan
tidak menyulitkan. Pengertian mudah di sini bererti mengikuti manhaj yang memberi
keluasan dan toleransi, juga keringanan yang jauh dari tindakan yang sulit, sukar dan berat.
Allah mengutus Nabi Muhammad SAW untuk membawa rahmat. Bukan sahaja kepada
sukunya iaitu Quraisy, mahupun kepada bangsa Arab sahaja. Beliau diutus sebagai
pembawa rahmat ke seluruh alam. Ia meliputi semua bangsa manusia termasuk tumbuh-
tumbuhan, haiwan bahkan jin. Rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW
menjangkau batasan masa. Tidak hanya sekadar untuk zamannya sahaja, bahkan
mengunjur sehingga zaman berikutnya. Satu daripada bentuk rahmat yang dibawa oleh
Baginda ialah mengajak manusia untuk bersatu-padu mentauhidkan Allah dan tidak
berpecah-belah sesama manusia.
Secara umum, mengikut perspektif Islam, perpaduan terjalin melalui dua ikatan, iaitu
perpaduan sesama anggota masyarakat, dan perpaduan antara kaum Muslimin. Perpaduan
juga dapat dilihat daripada dua dimensi, iaitu, pertama: perpaduan luaran yang tergambar
sebagai kerukunan muafakat, memperteguh suasana sosiopolitik negara demi kepentingan
bersama. Kedua: perpaduan yang jauh lebih asasi, iaitu kesatuan dalaman setiap individu
yang terzahir daripada persefahaman antara pautan kejiwaan dan kerohanian.
Mengimbas kembali peristiwa hijrah Baginda Rasulullah SAW, usaha pertama baginda
untuk membina masyarakat di Madinah ialah dengan mendirikan masjid sebagai asas
perpaduan. Seterusnya Baginda mempersatukan dua golongan yang telah beratus-ratus
tahun bermusuhan sesama sendiri iaitu golongan Aus dan Khazraj, lalu dikenali sebagai
Ansar. Begitu juga dengan golongan yang datang dari Mekah yang diberi nama golongan
Muhajirin. Hasilnya, terbentuklah satu masyarakat yang bersatu padu di bawah ikatan
ukhuwah Islamiah bercirikan kehendak Allah dan Rasul. Perpaduan dalam Islam bukan
sekadar hubungan baik sesama orang Islam semata-mata, malah merangkumi kaum bukan
Islam. Sejarah pada zaman Rasulullah SAW mencatatkan bahawa masyarakat Yahudi dan
Kristian ketika itu hidup aman dan damai di Madinatul Munawwarah kerana hak mereka
tidak dicerobohi oleh umat Islam.
Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan
Islam, model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah SAW perlu dijadikan contoh. Pada
awal hijrah, umat Islam adalah golongan minoriti berbanding penganut Kristian dan Yahudi
yang mendominasi Madinah ketika itu. Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang
terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan
pengurusan Islam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu, maka akhirnya
tertegak sebuah negara yang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi
Muhammad SAW. Islam sebagai sebuah agama sekaligus ideologi sangat mementingkan
perpaduan, ini dapat dilihat melalui perintah-perintah atau hukum-hukum dalam Islam.
Contohnya konsep kenegaraan dalam Islam. Kaum muslimin di seluruh dunia diwajibkan
hanya memiliki satu daulah khilafah. Mereka juga dibenarkan hanya membai’at seorang
khalifah sahaja. Bahkan Allah telah mengharamkan kaum muslimin mempunyai lebih dari
satu negara.
Hadith yang pertama menjelaskan, bahwa ketika memberikan kepimpinan, atau Khalifah
kepada seseorang maka menta’atinya adalah wajib. Jika ada orang lain yang datang
merebut jawatan tersebut, memeranginya adalah wajib selagimana dia masih meneruskan
cita-citanya. Hadith kedua menjelaskan, bahawa ketika jama’ah kaum muslimin telah
bersatu di bawah pemerintahan seorang Khalifah, jika ada orang lain yang datang ingin
memecahkan kesatuan jamaah kaum muslimin, maka membunuh orang itu adalah wajib.
Kedua hadith di atas menjelaskan makna kinayah (kiasan) terhadap larangan memecah
atau membahagi-bahagi negara, serta memerintahkan agar tidak membenarkan sesiapa jua
untuk memecahkan kesatuan jama’ah, daulah dan kepimpinan kaum muslimin. Kesimpulan
dari pembahasan di atas memberikan kita pengertian yang tegas bahawa wujudnya lebih
dari 50 buah negara Islam pada waktu ini adalah haram dan sesiapa yang menerima
keadaan ini adalah berdosa.
Kebelakangan ini gerakan penyelewengan terhadap pengertian hijrahnya Rasulullah SAW
telah sangat berleluasa. Pengertian hijrah dihadkan sebagai perubahan dari keadaan yang
tidak baik kepada yang lebih baik sahaja, atau hijrah bermakna memperbaiki akhlak atau
dari melakukan dosa kepada tidak melakukan dosa atau seperti slogan maal hijrah iaitu
iktibar hijrah untuk perpaduan atas asas dan matlamat yang kabur. Makna di atas adalah
makna bahasa. Hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. juga bukan perlarian dari
rancangan bunuh. Tetapi atas bimbingan wahyu dari Allah SWT. Bahkan perancangan
hijrah ini telah dilakukan terlebih awal dari yang didakwakan, maknanya bukan gerakan
tergesa-gesa takut dibunuh. Kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah sebenarnya adalah
sebagai ketua negara yang telah diangkat semasa Bai’atul Aqabah yang kedua. Beliau
datang untuk memulakan sebuah masyarakat baru di Madinah dalam konteks masyarakat
sebagai kelompok individu yang hidup dalam satu wilayah yang berlaku interaksi yang
intensif antara anggota masyarakat yang mempunyai pemikiran yang sama (wahdatul afkar),
perasaan yang sama (wahdatul masyaair) dan diatur oleh satu set peraturan yang mengatur
urusan kehidupan (wahdatul andzimah).
Tindak-tanduk Rasulullah SAW sebagai ketua negara dapat dilihat dari peristiwa Bai’atul
Aqabah II iaitu perlantikan sebagai ketua negara. Pembentukan Piagam Madinah adalah
perlembagaan sebuah negara yang baru ditubuhkan. Dilihat dari timbunan hadith-hadith
yang menceritakan tentang aktiviti Rasulullah SAW di Madinah yang berbeza dengan di
Mekah adalah dari sifat aktiviti sebagai ketua negara yang menjalankan fungsi ri’ayatu suunil
ummah dakhilian wa kharijian (menjaga hal ehwal ummah dalam dan luar negara). Antara
urusan dalam negara yang ditangani oleh beliau adalah mengurus urusan pemerintahan
negara, mengurus aktiviti ekonomi, sosial, pendidikan, pengadilan dan ketenteraan.
Hubungan luar negara berupa dakwah kepada negara sekitar dapat dilihat dari surat-surat
Rasulullah SAW kepada lebih 30 buah negara di sekitar Madinah hingga ke Afrika, Eropah
dan Asia tengah. Perkembangan dakwah yang berlaku selepas hijrah adalah sangat pesat
dimana dalam masa 10 tahun seluruh Jazirah Arab telah berada di bawah naungan Islam.
Manakala dalam masa 100 tahun Islam telah menjalar meliputi 2/3 dunia. Kesan atau makna
hijrah ini adalah sangat besar ertinya kepada kaum muslimin sehinggakan Saidina Umar
tidak memulakan pengiraan tahun Islam dari lahirnya Rasulullah seperti yang dilakukan oleh
penganut agama Masehi tetapi penghijrahan Rasul yang menandakan bermulanya episod
kehidupan yang baru bagi kaum muslimin di mana seluruh kehidupan mereka diatur oleh
Islam. Jadi peringatan kepada peristiwa hijrah kepada selain yang dihuraikan di atas
merupakan penyelewengan yang besar perhatian umat dari yang sepatutnya. Ini akan
melalaikan umat dari Sunnah yang berbentuk af’al Rasul yang hukumnya wajib dikala
kehidupan kaum muslimin tidak diatur oleh Islam sejak 75 tahun yang lampau.