KEPENTINGAN AKTIVITI KOKURIKULUM SERTA STRATEGI UNTUK MENARIK MINAT PELAJAR DALAM MENERAPKAN...
description
Transcript of KEPENTINGAN AKTIVITI KOKURIKULUM SERTA STRATEGI UNTUK MENARIK MINAT PELAJAR DALAM MENERAPKAN...
KEPENTINGAN AKTIVITI KOKURIKULUM SERTA STRATEGI UNTUK MENARIK
MINAT PELAJAR DALAM MENERAPKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN DI
KOLEJ KOMUNITI
Oleh:
Uzana Binti Ismail
Jabatan Kejuruteraan & Kemahiran
Kolej Komuniti Temerloh
1.0 PENDAHULUAN
Kolej Komuniti memainkan
peranan utama dalam pembangunan
modal insan masyarakat setempat
dengan menyalurkan pengetahuan dan
kemahiran serta menyemai nilai dan
etika positif melalui pendidikan, latihan
dan program pembelajaran sepanjang
hayat. Abdul Rahim (2000) menyatakan
dalam era pembangunan menuju abad
ke-21, masyarakat dan negara amnya
menuntut supaya Institusi Pengajian
Tinggi (IPT) melahirkan graduan yang
berkualiti dan cemerlang. Dalam
konteks pendidikan di Malaysia,
Falsafah pendidikan merupakan
panduan dan dikenali sebagai FPK.
Pelaksanaan aktiviti kokurikulum di
peringkat Kolej Komuniti merupakan
saluran yang paling berkesan dalam
merealisasikan FPK terutamanya dalam
konteks melahirkan pelajar yang
seimbang dari segi jasmani, emosi,
rohani, intelek dan sosial yang akhirnya
akan menjana tenaga manusia yang
berkemahiran tinggi selaras dengan
misi dan visi Kolej Komuniti.
Dasar dan pelaksanaan aktiviti
kokurikulum di dalam sistem
pendidikan di negara kita bukanlah satu
isu baru yang dibincangkan . Aktiviti
kokurikulum yang diterapkan dalam
sistem pendidikan adalah salah satu
daripada pendekatan strategik untuk
merealisasikan FPK yang merupakan
sumber inspirasi dan menjadi kayu ukur
kepada semua usaha dan rancangan
pendidikan untuk melahirkan
warganegara Malaysia yang mempunyai
sahsiah diri yang seimbang dari aspek
jasmani, emosi, rohani dan intelek. Jika
dilihat daripada intipati FPK, ia bolehlah
ditafsirkan sebagai suatu hasrat untuk
memastikan usaha berterusan dalam
bidang pendidikan. Antara lainnya
memperkembangkan potensi individu
secara berterusan melalui proses
pendidikan meliputi keseimbangan
rohani, jasmani, emosi dan
intelek.Kokurikulum dikenali sebagai
kurikulum tambahan, pendidikan untuk
waktu lapang ataupun aktiviti kelas
tambahan. Aktiviti-aktiviti kokurikulum
adalah sebahagian kurikulum formal
yang merangkumi aktiviti-aktiviti
persatuan, kelab, sukan dan permainan
serta unit beruniform yang dijalankan di
luar bilik darjah. Collins (1973)
merumuskan bahawa apa jua aktiviti
selain kurikulum di sekolah-sekolah
dalam konteks pembelajaran murid
dianggap sebagai kokurikulum. Abdul
Alim (1994) pula menganggap
kokurikulum sebagai aktiviti-aktiviti
yang masih bersifat pendidikan yang
dilaksanakan di dalam dan di luar
institusi pendidikan tanpa mengabaikan
aspek-aspek kurikulum.
Aktiviti kokurikulum diasaskan
berdasarkan falsafah bahawa semua
pelajar perlu mempunyai keseimbangan
rohani, jasmani, emosi dan intelek. Para
pelajar juga dipercayai mempunyai
minat, bakat serta kemahiran yang
boleh dimajukan. Dalam falsafah
kokurikulum turut menyatakan bahawa
semua pelajar boleh dididik dan
mempunyai kemahiran untuk mendidik
diri sendiri dan orang lain. Malah, kolej
komuniti serta institusi yang
bertanggungjawab perlu membantu
pelajar tersebut untuk merealisasikan
bakat dan potensi mereka.
2.0 AKTIVITI KOKURIKULUM
DAPAT MENERAPKAN FPK DI
KALANGAN PELAJAR KOLEJ
KOMUNITI.
Tujuan utama kokurikulum
adalah berlandaskan kepada FPK itu
sendiri iaitu untuk memupuk minat,
kegemaran dan kepandaian istimewa
pelajar, mengembangkan keperluan
intelek, kebolehan dan bakat kreatif,
meluaskan bidang ilmu pengetahuan,
mempertingkatkan kesihatan jasmani
dan kemahiran pemikiran, memupuk
nilai moral, estetik, rohani dan sosial
serta melapangkan jiwa murni. Di
samping itu, pelaksanaan aktiviti
kokurikulum adalah bertujuan
mengembangkan potensi mental, sosial,
jasmani dan rohani pelajar secara
optimum. Ini kerana pendidikan yang
dijalankan di dalam kelas lebih
memfokuskan kepada kecerdasan
intelektual perkembangan bakat dalam
kemahiran seseorang individu. Justeru
itu, aktiviti kokurikulum adalah
pendidikan di luar kelas dan merupakan
pendidikan tidak formal serta perlu
dilaksanakan bagi memberi ruang
seseorang individu untuk
memperkembangkan kemampuan
rohani dan jasmani mereka serta
keperluan emosi dan intelek. Apabila
keseimbangan ini tercapai maka secara
tidak langsung akan melahirkan
generasi Malaysia yang memenuhi ciri-
ciri yang terkandung dalam pengertian
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Kesemua aktiviti kokurikulum ini
memainkan peranan tersendiri dalam
mengimbangi potensi individu dari
aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek
pelajar ke tahap yang cemerlang serta
secara menyeluruh dan bersepadu.
Potensi individu mengikut setiap aspek
boleh dihuraikan seperti dibawah:
i) Unsur rohani : Mengandungi sifat
kejiwaan dan kebatinan yang baik
serta berupaya berdisiplin kendiri
dan membentuk akhlak mulia.
ii) Unsur Jasmani : Berupaya memberi
tumpuan kepada perkembangan
angota-angotatubuh badan dengan
cekap dan sihat.
iii) Unsur Emosi : Mempunyai perasaan
jiwa yang sihat serta berupaya
memperkembang kecerdasan emosi
ke tahap yang matang.
iv) Unsur Intelek : Berupaya memberi
tumpuan kepada daya berfikir
secara kritis dan kreatif
Melalui pelaksanaan aktiviti
kokurikulum di Kolej Komuniti, pelajar
banyak didedahkan dengan program
pembangunan modal insan yang
bertujuan untuk membangunkan
sahsiah diri pelajar dan menjadikan
pelajar insan yang mempunyai
keseimbangan rohani. Aspek
kerohanian dalam diri pelajar ini
dibentuk menerusi aktiviti-aktiviti
kokurikulum yang berteraskan
kerohanian dan ilmiah seperti program
ceramah motivasi dan ceramah agama
yang biasanya dikelolakan melalui unit
bimbingan kaunseling dan kerjaya.
Melalui aktiviti kokurikulum ini,
pelajar juga dilatih untuk mengamalkan
akhlak yang baik serta didedahkan
dengan cara untuk membentuk
kekuatan dalaman yang berkonsepkan
kepada pegangan agama dan amalan
kepercayaan kepada tuhan. Para
pensyarah yang mengurus aktiviti
kokurikulum bertindak memberi
bimbingan dan nasihat yang berkaitan
dengan akidah, ibadah dan akhlak.
Pelaksanaan dan penganjuran aktiviti
dan program-program ilmiah ini akan
dapat membangunkan sahsiah diri
pelajar. Di samping itu, program-
program yang berunsurkan prinsip-
prinsip kerohanian secara tidak
langsung akan membentuk pelajar
supaya mempunyai sifat-sifat percaya
kepada Tuhan, beradab, berusaha, taat,
bertanggungjawab, jujur, ikhlas, dapat
mengawal diri, tolong menolong,
berkemahiran, berdaya tahan dan
sebagainya.
Aspek jasmani amat ditekankan
dalam proses pendidikan kerana akal
yang sihat bermula pada tubuh yang
sihat. Kesihatan jasmani perlu dijaga
supaya tubuh dapat memikul jiwa yang
besar dan dapat membantu akal untuk
belajar. Nabi SAW juga menyuruh
umatnya memelihara kesihatan dan
tubuh badan. Sabdanya yang bermaksud
“Badan itu juga memerlukan hak yang
harus engkau penuhi” ( Riwayat Bukhari
). Kepentingan pengisian jasmani yang
akan dapat melahirkan generasi pelajar
yang mempunyai sahsiah diri yang
seimbang yang mementingkan
kesihatan jasmani dalam menjalani
kehidupan seharian. Program-program
kokurikulum tersebut dirangka melalui
aktiviti sukan. Aktiviti kokurikulum
sukan dan permainan misalnya, adalah
satu-satunya aktiviti yang dapat
memberikan sumbangan terhadap
kesuburan jasmani, kemahiran dan
kecergasan serta ciri-ciri sosial yang
juga terdapat dalam aktiviti badan
beruniform mahupun dalam kelab dan
persatuan. Kegiatan sukan di sekolah
dan institusi pendidikan merupakan
saluran yang amat berkesan untuk
membina kecergasan di dalam diri
pelajar menerusi aktiviti fizikal dan
amalan kecergasan. Sukan dan
permainan memberi peluang kepada
pelajar untuk memperkembang fizikal,
sosial, mental dan emosi mereka sama
ada secara individu mahupun
berkumpulan. Menerusi aktiviti sukan
ini juga, pelajar akan dapat membina
kesihatan badan dan memperkembang
jasmani, rohani serta semangat
kesukanan mereka. Secara teori sains,
apabila badan sihat, kecerdasan otak
iaitu perkembangan intelek akan dapat
ditingkatkan secara optimum. Secara
tidak langsung kegiatan aktiviti
kokurikulum menerusi aktiviti sukan
akan dapat memberi sumbangan positif
terhadap kesegaran dan pertumbuhan
mental, sosial dan emosi.
Sebagai contoh, pertandingan
sukan bola sepak di peringkat institusi
pengajian. Acara sukan ini dapat
melahirkan individu yang cergas dari
segi fizikal dan mental serta memupuk
semangat kerja berpasukan dikalangan
para pelajar. Program seperti ini
melahirkan pelajar yang mempunyai
jasmani yang sihat yang tidak hanya
tertumpu kepada kecemerlangan
akademik semata-mata tanpa bergiat
aktif dalam bidang kokurikulum. Selain
itu, pelajar dapat membina emosi yang
positif melalui semangat bekerjasama
serta menjana minda pelajar dalam
mengurus sesuatu aktiviti apabila
mereka berada di alam pekerjaan nanti.
Pengalaman sebegini akan melahirkan
pelajar yang bersikap progresif, dan
berdaya saing.
Selain itu, keseimbangan dari
aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek
turut dapat dibangunkan menerusi
aktiviti kelab dan berpersatuan.
Persatuan dan kelab boleh dibahagikan
kepada dua kumpulan iaitu persatuan
akademik dan bukan akademik.
Persatuan akademik adalah
berdasarkan kepada kurikulum
manakala persatuan bukan akademik
adalah berdasarkan hobi, rekreasi dan
seni bela diri. Menurut Abd.Rahman
(1994), persatuan akademik adalah
aktiviti-aktiviti yang masih bersifat
pendidikan yang dilaksanakan di dalam
dan di luar sekolah tanpa mengabaikan
aspek-aspek kurikulum. Dalam kelab
dan persatuan, pelajar mendapat
peluang untuk memupuk dan
seterusnya mengamalkan nilai-nilai
murni yang akan dapat membantu
membina perkembangan emosi
menerusi sikap yang ditonjolkan seperti
kerjasama di antara ahli persatuan yang
lain, semangat kekitaan dan perpaduan
dalam usaha untuk menjayakan projek-
projek yang dirancang oleh kelab dan
perstauan tersebut. Kelab dan
persatuan yang berasaskan kepada
mata pelajaran diwujudkan bagi tujuan
menambah minat dan kemahiran
pelajar-pelajar dalam mata pelajaran
tersebut. Persatuan-persatuan dalam
kategori ini adalah Persatuan Bahasa
Malaysia, Persatuan Sains dan
Matematik, Persatuan Bahasa Inggeris
dan sebagainya.
Penglibatan pelajar dalam
persatuan akan dapat mengembangkan
potensi mereka untuk mengaplikasikan
kemahiran yang dipelajari dalam bidang
berkaitan untuk diaplikasikan di dalam
aktiviti persatuan seperti aktiviti kuiz,
bahas dan pidato serta projek pelajar.
Sebagai contoh, aktiviti kuiz dalam
persatuan memberi peluang kepada
pelajar untuk meningkatkan ilmu
pengetahuan dalam bidang yang
berkaitan. Aktiviti bahas dan pidato
pula memberi peluang kepada pelajar
untuk menggunakan kemahiran bahasa
dalam mengeluarkan hujah dan
keupayaan berfikir untuk mematahkan
hujah dengan menggunakan fakta dan
kemahiran berfikir secara kreatif dan
kritis. Apabila seseorang pelajar terlibat
dalam aktiviti pertandingan, secara
tidak langsung pelajar akan membuat
persediaan yang rapi bagi menghadapi
pertandingan tersebut. Melalui aktiviti
ini wujudnya sifat berusaha, berani dan
yakin diri di kalangan pelajar dalam
menunjukkan bakat mereka di
pertandingan tersebut. Sifat-sifat ini
adalah perlu dalam diri setiap pelajar
bagi memastikan pelajar bukan sahaja
dapat menonjolkan diri dalam akademik
tetapi juga bukan akademik. Situasi ini
amat baik bagi membantu pelajar
mengawal emosi mengikut situasi yang
bakal dihadapi. Selain itu, sesetengah
aktiviti persatuan dan kelab
menggalakkan pelajar untuk melibatkan
diri dalam aktiviti projek. Pelajar dapat
menggunakan peluang tersebut untuk
mengaplikasikan pengetahuan
berasaskan bidang mereka di samping
dapat meningkatkan daya kreativiti.
Menerusi pengisian kokurikulum yang
dijalankan ini, pelajar dapat
meningkatkan penguasaan intelek yang
memberi tumpuan kepada daya berfikir
secara lebih kritis dan dinamis.
Selain itu, persatuan dan kelab
yang berunsur hobi dan rekreasi
bertujuan untuk menarik minat dan
mendedahkan pelajar dengan ilmu
pengetahuan dalam sesuatu bidang atau
hobi yang tertentu misalnya Persatuan
Senifoto, Seni Mempertahankan Diri,
Kelab Rekreasi dan sebagainya.
Kegiatan kokurikulum ini membolehkan
pelajar mengisi masa lapang dengan
aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan
menyeronokkan di samping dapat
membina kesihatan jasmani dan
kecerdasan emosi di kalangan pelajar.
Di dalam aktiviti ini juga, pelajar dapat
mengamalkan sikap toleransi terhadap
rakan-rakan sehingga melahirkan
pelajar yang bersikap progresif, berdaya
saing dan mempunyai kebolehpasaran.
Keseimbangan dari aspek
jasmani, emosi, rohani dan intelek juga
dapat dipupuk melalui aktiviti
kokurikulum yang berbentuk unit
beruniform. Kerajaan telah mengambil
langkah yang drastik dengan
mewujudkan badan berunfiorm di
institusi pendidikan. Umpama
serampang dua mata, kerajaan
memperkenalkan badan beruniform ini
bagi mengurangkan isu gejala sosial dan
juga memenuhi sukatan aktiviti di
samada di sekolah mahupun di institusi
pendidikan. Melalui unit beruniform di
Kolej Komuniti khususnya, setiap
pelajar dapat mempelajari dan
membentuk diri memiliki kemahiran
insaniah yang seimbang iaitu disiplin
dan ketrampilan diri. Kedua-dua
komponen ini akan disemaikan kepada
semua pelajar agar mampu menjadi
generasi yang mempunyai tahap disiplin
yang tinggi, semangat daya saing dan
daya juang yang kental di disamping
semangat cintakan Negara yang
berterusan dengan sentiasa bersyukur
kepada Allah S.W.T iaitu berpegang
teguh kepada kepercayaan agama
masing-masing dalam setiap perkara
yang dilakukan.
Melalui aktiviti yang dianjurkan
oleh kelab rekreasi biasanya melibatkan
aktiviti perkhemahan di hutan atau
tempat-tempat rekreasi. Aktiviti
perkhemahan dipenuhi dengan pelbagai
aktiviti yang mencabar minda dan
menguji kesabaran. Aktiviti tersebut
memerlukan pelajar mempunyai tahap
keberanian yang tinggi dalam diri.
Keyakinan yang tinggi apabila
melakukan aktiviti yang sihat tersebut
pasti dapat memberikan kepuasan yang
sangat mengujakan. Selain itu, aktiviti
tersebut turut memerlukan kita untuk
mempamerkan riak-riak keseronokan.
Justeru, apabila kita melibatkan diri
dalam aktiviti rekreasi kita bukan sahaja
berupaya membina ketahanan emosi
dan jasmani bahkan kita dapat
menghindarkan diri daripada sebarang
gejala sosial yang kurang sihat dan tidak
bermoral. Jadi di sini, jelaslah akan
kepentingan aktiviti rekreasi dalam
mencapai kehendak yang terkandung
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Selain itu, aktiviti kokurikulum
juga melatih pelajar untuk memupuk
nilai-nilai murni dalam personaliti diri.
Pelajar akan diberi tanggungjawab
untuk menjalankan tugas melalui
jawatan-jawatan yang dibentuk samada
dalam aktiviti berpersatuan, unit
beruniform dan juga sukan. Justeru itu,
sikap bertanggungjawab akan
mendorong pelajar untuk melaksanakan
tugas yang diamanahkan dengan
bersungguh-sungguh. Pelajar juga
didedahkan dengan pelbagai masalah
yang timbul dalam aktiviti kokurikulum.
Masalah merupakan cabaran dan
latihan terbaik untuk melahirkan
generasi pelajar yang bijak mengambil
dan membuat keputusan bagi
menyelesaikan masalah yang timbul
tersebut. Setiap kali masalah berjaya
diselesaikan, keyakinan diri pelajar
akan meningkat dan pelajar akan
terdidik secara berterusan menerusi
pengalaman sebenar yang dialami.
Pengalaman bukan sahaja boleh
memperkaya dan mengukuhkan ilmu
tetapi juga mencabar dan mengubah
ilmu yang sedia ada pada pelajar. Secara
tidak langsung, pelajar dapat melatih
diri untuk berani membuat keputusan
dan melatih diri untuk menjadi ketua
yang dapat memimpin yang seterusnya
dapat dijadikan bekalan sebaik saja
melangkah keluar dari Kolej Komuniti
dan beroleh kerjaya. Keadaan ini jelas
menunjukkan kokurikulum mempunyai
peranan dan pengaruh secara langsung
atau tidak langsung di dalam
pembentukan diri dan personaliti
pelajar Kolej Komuniti yang seimbang
selaras dengan aspirasi Falsafah
Pendidikan Negara.
3.0 STRATEGI UNTUK MENARIK
MINAT PELAJAR KOLEJ
KOMUNITI DALAM AKTIVITI
KOKURIKULUM.
Setelah kita memami
kepentingan kokurikulum dalam
merealisaiakan FPK langkah dan
strategi-strategi yang berkesan perlu
dirancang oleh pelbagai pihak
berkenaan untuk mengalakkan
penglibatan pelajar dalam kegiatan
kokurikulum. Justeru itu, sebagai
langkah permulaan, pihak kementerian
iaitu Kementerian Pengajian Tinggi
seharusnya menekankan kepentingan
penyertaan kegiatan kokurikulum di
kalangan pelajar melalui pengenalan
sistem pendidikan baharu. Menurut
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi
Yang Berhormat Dato Saifudin, dalam
mencapai kepada matlamat melahirkan
insan yang sepadu dan seimbang,
paradigma yang sepatutnya digunakan
ialah memberikan penekanan seimbang
terhadap kedua-dua komponen-
akademik dan kokurikulum-dalam
sistem pendidikan kita hari ini. Intipati
yang ingin disampaikan oleh beliau
ialah kedua-dua komponen penilaian
kurikulum dan komponen kokurikulum
perlu diberikan perhatian yang
sewajarnya.
Salah satu cadangan yang boleh
diambil di peringkat Kolej Komuniti
ialah aktiviti kokurikulum perlu
dijadikan sebahagian daripada
komponen penilaian mata pelajaran
wajib. Setiap pelajar perlu diwajibkan
menyertai sekurang kurangnya 2
aktiviti kokurikulum. Kehadiran pelajar
juga hendaklah diwajibkan dan
kehadiran pelajar direkod dan dipantau
oleh pihak yang terbabit. Pendekatan ini
walaupun dilihat bersifat paksaan,
sekiranya diimplimentasikan secara
berterusan, holistik dan konsiten
mampu meningkatkan penyertaan
pelajar dengan berkesan.
Selain itu, wajaran yang boleh
diambil adalah mengadakan pemberian
insentif seperti biasiswa danbantuan
kewangan serta kelonggaran syarat bagi
kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi
khususnya kepada pelajar yang
melibatkan diri secara aktif dalam
kegiatan kokurikulum. Penglibatan yang
cemerlang dalam aktiviti kokurikulum
boleh dijadikan sandaran pelajar untuk
mencapai cita-cita mereka. Kerajaan
juga seharusnya memberi anugerah
khas yang diambil kira sebagai markah
bonus untuk memohon kemasukan ke
Institut Pengajian Tinggi kepada para
pelajar yang telahberjaya mengambil
bahagian dalam pertandingan di
peringkat kebangsaan danjuga di
peringkat antarabangsa.
Kajian yang dibuat oleh Mohd.
Suzli (1997) mendapati sekolah-sekolah
yang dikaji menghadapi masalah
kewangan, kemudahan dan peralatan
yang tidak mencukupi. Kebanyakan
pelajar kurang berminat untuk
menyertai aktiviti kokurikulum
disebabkan ciri-ciri kemudahan atau
program terutamanya aktiviti bersukan
seperti kesesakan penggunaan dan
kedudukan yang tidak strategik yang
menyebabkan kemudahan tidak dapat
digunakan dan program tidak dapat
diikuti. Halangan ini mengakibatkan
pelajar-pelajar terpaksa berkongsi
alatan dengan rakan mereka semasa
menjalankan aktiviti kokurikulum dan
keadaan ini sedikit sebanyak
menjejaskan minat mereka. Justeru itu,
kerajaan perlu menyediakan pelbagai
peruntukkan berupa kewangan dan
barangan untuk menjadikan program
kokurikulum lebih bermakna dan tidak
akan disia-siakan. Bagi mengatasi
masalah ini, kerajaan hendaklah
menambah peruntukkan pembelian
peralatan sukan mengikut jumlah
pelajar dalam sesebuah institusi
pendidikan. Kerajaan juga perlu
menambahbaik kemudahan
infrastruktur di kolej komuniti.
Kemudahan infrastruktur yang baik
dapat menarik minat dan penglibatan
pelajar untuk bergiat aktif dalam aktiviti
kokurikulum. Kemudahan yang baik
serta selamat sebenarnya mampu
mengelakkan kecederaan yang boleh
menimpa pelajar serta memastikan
segala aktiviti yang dijalankan berlaku
dengan lancar dan sempurna dan situasi
ini sudah pasti akan menambah
keyakinan diri dan minat pelajar untuk
menglibatkan diri dalam setiap aktiviti
yang diadakan.
Langkah seterusnya adalah
memperkasakan aktiviti kokurikulum
dengan mewujudkan aktiviti yang
pelbagai dan mampu memancing minat
pelajar untuk menyertainya. Lantaran
itu, pihak kolej komuniti perlu
melakukan perubahan seperti
mewujudkan aktiviti kokurikulum yang
menarik dan segar sebagai contoh
aktiviti papan luncur, aktiviti berkayak
dan juga aktiviti basikal lumba. Aktiviti
berpersatuan dan kelab juga perlu
disesuaikan mengikut peralihan masa
yang memenuhi citarasa pelajar. Aktiviti
yang pelbagai memberi ruang kepada
pelajar untuk membuat pilihan
mengikut minat dan keserasaian dengan
personaliti mereka.
Peranan pensyarah adalah tidak
terkecuali dalam membantu memupuk
minat dan memberi galakan dalam diri
pelajar. Berdasarkan kepada kajian yang
dilakukan oleh Mohd. Suzli (1997),
kebanyakan pensyarah kokurikulum
tidak mempunyai kemahiran dalam
aktiviti kokurikulum. Faktor-faktor ini
menyumbang kepada ketidakhadiran
pelajar dan menjejaskan minat mereka
untuk tidak melibatkan diri dalam
aktiviti tersebut. Justeru itu, penyertaan
dan penglibatan pensyarah memainkan
peranan terbesar dalam menjayakan
aktiviti kokurikulum. Pensyarah perlu
menyertai aktiviti bagi memastikan
keberkesanan perlaksanaan gerak kerja
kokurikulum di Kolej Komuniti
berlangsung dengan berkesan.
Semangat pensyarah dalam
menguruskan aktiviti kokurikulum
secara tidak langsung akan membantu
memupuk minat dan mengalakkan
pelajarnya hadir serta melibatkan diri
dalam kegiatan kokurikulum.
Pensyarah juga seharusnya bijak
memainkan peranan dan mengambil
pendekatan yang strategik semasa
proses pembelajaran dan pengajaran
kokurikulum untuk menarik minat
pelajar menyertai aktiviti
kokurikulum.Oleh itu, bagi memastikan
objektif penyampaian tercapai para
pensyarah perlu dilengkapi dengan
kepakaran dan ilmu pengetahuan dalam
bidang kokurikulum. Pengagihan tugas
kepada pensyarah kokurikulum juga
haruslah berlandaskan minat,
kebolehan serta kelayakan yang dimiliki
agar pelaksanaan aktiviti kokurikulum
lebih berkesan. Langkah ini sekiranya
dilaksanakan secara bersepadu dan
terancang sudah pasti akan
meningkatkan peratus kehadiran
pelajar yang menyertai aktiviti
kokurikulum.
4.0 KESIMPULAN
Kokurikulum dilihat sebagai
medium serta wadah terbaik bagi
penerapan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Kegiatan kokurikulum
amat penting dalam usaha melahirkan
generasi yang berkualiti dan cemerlang
dalam semua aspek mengikut acuan
Malaysia selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang
menekankan kepada perkembangan
potensi individu secara menyeluruh dan
seimbang supaya menjadi seorang
insan, warganegara yang berilmu,
bertanggungjawab, berakhlak mulia dan
berbakti. Pembangunan pelajar
yang menekankan aspek-aspek tersebut
merupakan salah satu elemen penting
dalam usaha membangunkan mutu
pendidikan negara serta melaksanakan
wawasan negara.
Menyedari hakikat ini, tindakan
yang proaktif perlu diambil dengan
menggubal dasar pendidikan dan
merangka kurikulum dan kokurikulum
yang lebih holistik agar konsep untuk
membina modal insan yang mempunyai
keseimbangan sahsiah diri dapat
dilaksanakan dengan sepenuhnya.
Peranan daripada semua pihak
terutamanya pihak pengurusan Kolej
Komuniti amat perlu dalam memastikan
keberkesanan pelaksaan ini. Oleh itu,
secara kesimpulannya, aktiviti
kokurikulum memberi arah dan hala
tuju kepada pelajar supaya
menceburkan diri dalam kegiatan yang
berfaedah. Berikutan penceburan dalam
kegiatan ini, diharapkan dengan
kemahiran-kemahiran yang dipelajari
oleh pelajar Kolej Komuniti melalui
aktiviti-aktiviti tersebut akan
melahirkan modal insan kelas pertama
dan seterusnya menyokong teras Misi
Nasional dalam meningkatkan
keupayaan pengetahuan dan inovasi
Negara.
RUJUKAN
1. Abdullah Hassan & Ainon Mohd
(2005). Bakat Dan Kemahiran
Mempimpin. Kuala Lumpur: PTS
Publications & Distributors
Sdn.Bhd.
2. Abu Bakar Nordin (1991).
Kurikulum Perspektif dan
Pelaksanaan. Kuala Lumpur:
Pustaka Antara.
3. Abu Bakar Nordin & Ikhsan Othman
(2003). Falsafah Pendidikan Dan
Kurikulum. Perak : Quantum Books.
4. Alim Abu Rahim (1997).
Pengurusan Kokurikulum. Shah
Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.
5. Asiah Abu Samah (1985).
“Kokurikulum Dalam Pendidikan Di
Malaysia. Kertas Kerja Seminar
Kebangsaan Mengenai
Kokurikulum.” Jitra: Universiti
Utara Malaysia.
6. Mohd Suzli Abdullah. ( 1997).
Permasalahan aktiviti kokurikulum
sekolah sekolah menengah agama
Yayasan Islam Kelantan di Daerah
Pasir Mas. Tesis tidak diterbitkan.
Universiti Utara Malaysia.
7. Mook Soon Sang (2008).
Pengurusan Kokurikulum &
Pendidikan Sukan. Selangor :
Penerbitan Multimedia.
8. Http://www.ipislam.edu.my/index.
php/research/read/18/ Faktor-
faktor yang menghalang
penglibatan pelajar dalam kegiatan
Kokurikulum Sukan Di
9. Dato Saifudin Bin Abdullah. (2006).
Kolum Berita Harian Kokurikulum
Pelengkap Akademik
10. 50 Tahun Pembangunan
Pendidikan Tinggi di Malaysia
(1957-2007) -USM, 2007.