JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM...
Transcript of JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM...
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
89
KEPERLUAN NILAI AGAMA DALAM KEMAHIRAN KEBOLEH PASARAN DALAM KALANGAN MAHASISWA AKADEMI ISLAM
KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR
Sahlawati Abu Bakar
Zaidul Amin Suffian Ahmad
ABSTRAK
Saban tahun Institusi Pengajian Tinggi mengeluarkan
lambakan graduan yang menyebabkan majikan boleh
memilih pekerja menepati kehendak mereka. Fenomena
menganggur dalam kalangan graduan merupakan
situasi yang serius dan ianya berlaku disebabkan
graduan tidak mempunyai kemahiran kebolehpasaran
yang diperlukan oleh majikan. Kajian ini dijalankan
bertujuan untuk mengemukakan nilai agama sebagai
kemahiran tambahan yang penting dalam kemahiran
kebolehpasaran. Kajian ini adalah berbentuk kualitatif
dan menggunakan temubual semi-struktur untuk
mengumpulkan data. Peserta kajian terdiri daripada
pembuat dasar, pakar akademik dan pemegang saham.
Dapatan kajian menunjukkan industri sangat menitik
beratkan nilai agama serta turut menjadi faktor
pemilihan pekerja yang berintegriti dan profesional.
Kata kunci: Graduan; Kemahiran Kebolehpasaran;
Nilai agama
ABSTRACT
Every year there are numerous students graduated from
Higher Learning Institutions which allows employers to
select employees that truly meets their needs.
Unemployed phenomenon among the graduates is a
serious situation and it occurs due to lack of
employability skills required by employers. This study
was conducted to emphasize the elements of Islamic
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
90
value as an important additional skills in employability.
This is a qualitative research design and the method of
collecting data is interviews. The findings show that
from the standpoint of industrial needs, the value of
religion is also an important criteria in the selection of
employees embeded with integrity and responsibility.
Keywords: Graduates; Employability Skills; Religious
Values
PENDAHULUAN
Kajian-kajian terdahulu membuktikan keperluan kemahiran
kebolehpasaran dalam kalangan graduan. Graduan dilihat masih perlu
kepada penerapan elemen-elemen ini dalam kurikulum yang
dilaksanakan. Namun demikian belum ada kajian yang meneliti
keupayaan dan kelayakan graduan sama ada dari aspek keperibadian,
pengetahuan, agama dan komunikasi dalam memberikan mutu kerja
yang cemerlang sehingga berupaya memberikan hasil kerja yang
optima.
Sehubungan dengan itu, penyelidikan ini dijalankan bagi
mengenal pasti keperluan nilai agama yang perlu dimantapkan dalam
kalangan graduan Sarjana Muda Akademi Islam untuk membantu para
pelajar yang masih menuntut supaya kemahiran-kemahiran tersebut
dapat diterapkan semasa belajar lagi.
PERNYATAAN MASALAH
Terdapat banyak faktor yang mendorong kebolehpasaran graduan dalam
bidang kerjaya mereka. Menurut Abdul Hair (2013), graduan yang
mempuyai penampilan yang baik dalam aspek komunikasi dan
interpersonal, nilai dan etika kerja serta penguasaan kemahiran
teknologi maklumat berupaya menguasai dan mengadaptasi bidang
pengkhususan dengan dunia pekerjaan mereka. Kajian beliau juga
mendapati terdapat hubungan positif dan signifikan antara prestasi kerja
dengan penguasaan bidang pengkhususan, pembuatan keputusan, kerja
berpasukan, perancangan kerja, kemahiran berfikir, inovasi, prestasi
kerja dengan komunikasi dan interpersonal, etika dan nilai dan
keseluruhan kualiti pekerja.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
91
Prestasi siswazah yang berkhidmat di organisasi perlu merentasi
beberapa elemen (Zanuddin, 2010) seperti pengetahuan dalam bidang
pengkhususan, kemahiran praktikal, kecekapan dalam Bahasa Inggeris,
kemahiran dalam komunikasi asas, kemahiran ICT, kemahiran
interpersonal dan etika kerja.
Program yang dipilih dan pencapaian akademik graduan
menjadi faktor tahap kompetensi kemahiran employabiliti yang
dimiliki (Shahidan, 2012; Hazril Azmin Saari, 2013; Mohd Samsol
Paijo & Hamdan Said (tt). Manakala Maidatulakmal Othman (2012)
pula berpendapat hasil pembelajaran sesuatu kursus atau program akan
menentukan keupayaan dan pengalaman pembelajaran yang berbeza.
Ianya juga berkaitan dengan domain psikomotor seseorang individu.
Kajian-kajian terdahulu yang telah dilaksanakan lebih tertumpu
kepada tahap kebolehpasaran pelajar di institusi masing-masing seperti
di Kolej Komuniti (Abdul Hair, 2013; Nurhasyinda, 2012), Vokasional
(Hazril Azmin, 2013), Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti
Malaya (Hasmah Zanuddin, 2010) dan Pelajar Sastera serta Pendidikan
(Fizik) (Mohd Samsol Paijo, Hamdan Said (tt). Pengkaji mendapati
tidak terdapat kajian berkaitan kebolehpasaran yang dilakukan terhadap
pelajar program pengajian Islam di Akademi Islam, KUIS.
Kajian ini perlu dilakukan bagi mengemukakan keperluan
elemen agama yang dibina berasaskan aqidah, ibadah dan akhlak dalam
kemahiran kebolehpasaran pelajar. Elemen agama ini diutarakan dalam
kajian kerana tidak terdapat kajian yang memberikan fokus terhadap
elemen ini sebagai keperluan utama dalam diri graduan.
OBJEKTIF KAJIAN
Berikut adalah objektif kajian ini:
i. Mengemukakan keperluan asas agama dalam mahasiswa oleh
industri
ii. Mengenal pasti sumbangan nilai agama terhadap keperluan
industri.
iii. Menjelaskan signifikasi nilai integriti dalam pemilihan pekerja.
KERANGKA KAJIAN
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
92
METODOLOGI KAJIAN
Reka Bentuk Kajian
Maklumat bagi kajian diperolehi daripada responden mengenai
keperluan nilai agama dalam elemen kemahiran kebolehpasaran.
Maklumat yang dikumpulkan dapat difahami melalui intepratsi dari
pembuat dasar, pakar akademik dan pemegang saham. Unsur
interpretasi ini memenuhi falsafah interpretavism yang digunakan
dalam kajian kualitatif. Maka kajian ini menggunakan pendekatan
kualitatif dalam reka bentuknya.
Metode Pengumpulan Data
Kebenaran Menjalankan Kajian
Kesemua peserta kajian dihubungi melalui telefon bagi memberikan
penerangan ringkas mengenai tujuan kajian sebelum menghantar surat
kebenaran menjalankan kajian. Setelah memberikan persetujuan untuk
turut serta dalam kajian, penyelidik menghantar surat kebenaran
menjalankan kajian yang dikeluarkan oleh Research Management
Center (RMC) KUIS. Tarikh temubual ditetapkan oleh peserta kajian
dan penyelidik menemubual mereka pada tarikh, tempat dan masa yang
telah dipersetujui bersama.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
93
Pemilihan Sampel Kajian
Sampel kajian dipilih berdasarkan kepada latarbelakang mereka yang
mewakili pembuat dasar, pakar akademik dan pemegang saham. Teknik
persampelan yang digunakan ialah persampelan bertujuan. Pembuat
dasar yang dipilih mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
i. Berkhidmat dalam agensi kerajaan.
ii. Bertanggungjawab menggubal dasar.
iii. Mempunyai autoriti dalam memilih penjawat.
Manakala pakar akademik yang dipilih pula mempunyai ciri-ciri
berikut:
i. Berkhidmat di IPTA.
ii. Terlibat dalam penggubalan kurikulum akademik.
iii. Terlibat dalam pengurusan latihan industri.
Bagi pemegang saham pula ia mempunyai ciri-ciri berikut:
i. Terlibat dengan industri yang memerlukan kepakaran yang
tinggi.
ii. Ramai dalam kalangan pelajar KUIS yang menjalani latihan
industri atau berkhidmat di organisasi beliau.
Peserta Kajian Pertama
Pakar Runding pertama adalah Ustaz Mohamed bin Din, Penolong
Pengarah Kanan Cawangan Kefahaman Islam, Bahagian Dakwah
JAKIM, Bahagian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),
juga merupakan Penolong Setiausaha di Kementerian Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia. Sebagai penceramah dalam
pelbagai kursus dan program yang dijalankan oleh JAKIM dan
sebagainya seperti, kursus pra-perkahwinan, mengetuai delegasi
Malaysia dalam Program Leadership Training Belia MABIMS pada
tahun 2009.
Peserta Kajian Kedua
Pakar Runding Kedua pula ialah Prof. Dr. Mahmud bin Ali yang
merupakan Ketua Jaringan Industri dan Masyarakat di Jabatan
Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti
Kebangsaan Malaysia. Beliau memegang kelayakan akademik sebagai
Doktor Falsafah/Phd pada tahun 2008, manakala Sarjana Pendidikan
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
94
Islam pada tahun 2004, dan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin pada tahun
1995. Kepakaran beliau ialah dalam bidang pendidikan Islam, Reka
Bentuk Kajian, dan Pembinaan Instrumen, manakala dalam bidang
penyelidikan pula menjurus kepada aspek kepelbagaian budaya,
pendidikan Islam, pengajaran dan pembelajaran serta pembinaan
instrumen. Antara kajian yang telah dijalankan oleh beliau adalah
seperti Kepelbagaian Budaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Pendidikan Islam: Teori dan Amalan. Selain itu, beliau juga
menghasilkan buku yang bertajuk Pemikiran Pendidikan Islam, terbitan
Fakulti Pendidikan pada tahun 2015.
Peserta Kajian Ketiga
Seterusnya, pakar runding yang ketiga ialah Tuan Ahmad bin Bakar,
merupakan seorang peguam syarie yang sekarang ini mempunyai firma
guamannya sendiri iaitu Firma Ahmad Bakar Associates. Ia ditubuhkan
pada tahun 2003 sehingga kini yang beralamat di Wangsa Maju. Beliau
juga memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Peguam
Syarie Malaysia (PGSM) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) yang ditubuhkan dengan rasmi pada Jun 2001, yang menaungi
semua Peguam Syarie di Malaysia. Selain itu, beliau menerima
pendidikan tertinggi dalam Sarjana Muda Syariah di Universiti
Malaysia (UM) dan juga Diploma in Shari’ah Law & Legal Practice di
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Proses Pengumpulan Data
Data dikumpul melalui kaedah temubual separa struktur
memandangkan temubual adalah cara terbaik dalam mengumpul data
kualitatif (Merriam, 1998).
Analisis Data Temubual
Data-data yang akan dikutip tidak akan memberi makna tanpa membuat
analisis. Menurut Dey (1993) “analysis too involves breaking data
down into bits and the `beating’ the bits together” Pelbagai aktiviti
perlu dibuat semasa menganalisis data seperti proses menggabung,
mengurang dan membuat interpretasi berdasarkan apa yang dikatakan
oleh peserta kajian dan apa yang diperhati atau dibaca untuk memberi
makna kepada data (Merriam 1998; Bogdan dan Biklen 1998).
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
95
Penganalisisan data dalam kajian ini akan dibuat berdasarkan cadangan
Miles dan Huberman (1994) dan Merriam (1998). Analisis data akan
dibuat pada dua peringkat, iaitu analisis semasa dan selepas
pengumpulan data. Analisis selepas pengumpulan data dibuat
menggunakan kaedah Atlas.ti.
DAPATAN KAJIAN
Dapatan kajian akan membincangkan mengenai kepentingan asas
agama dalam kalangan mahasiswa, nilai agama memberi sumbangan
terhadap keperluan industri serta nilai integriti yang dianggap signifikan
dalam pemilihan pekerja. Analisa kajian ini secara terperinci adalah
seperti berikut.
Kepentingan Asas Agama Dalam Mahasiswa Pengajian Islam Oleh
Industri.
Secara amnya elemen agama amat penting dan sememangnya
mahasiswa perlu mempunyai ilmu yang mendalam berkaitan ilmu asas
agama seperti akidah, ibadah dan akhlak bagi memastikan kejayaan dan
kecemerlangan dalam proses kerjaya yang bakal diceburi. Perkara
berkaitan akidah, ibadah dan akhlak ini amat signifikan walaupun
mereka adalah mahasiswa pengajian Islam. Ini adalah kerana penerapan
dan penghayatan agama adalah bertujuan melahirkan insan yang sedar
tentang tanggungjawab mereka sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.
Perkara ini disokong oleh Prof. Dr. Mahmud yang mengatakan
bahawa;
“Apatah lagi perkara yang melibatkan akidah, ibadah dan
akhlak ini penting. Bagaimana menjadi bebanan pula
kepada industri untuk memastikan pekerja sempurna solat
lima waktu, tidak mengikuti ajaran sesat dan ekstrem serta
etika dalam pekerjaan seharian. Tegasnya pembentukan
adab merupakan unsur asas dalam diri yang merangkumi
kehidupan rohaniah dan kebendaan seseorang serta kualiti
kebaikan yang ingin ditanamkan dalam diri manusia. Ini
perkara yang menjadi keprihatian industri, kerana
kegagalannya akan memusnahkan kecemerlangan
industri.”(PR2/UKM//KAA:01:13)
Mahasiswa seharusnya mempunyai asas agama yang kukuh. Asas
agama terbina daripada tiga elemen penting iaitu pertama dari sudut
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
96
pegangan akidah yang diperkuatkan dengan mendalami ilmu-ilmu
berkaitan dengannya, kedua amalan dalam ibadah dan ketiga berakhlak
mulia. Justeru akidah, ibadah dan akhlak adalah asas yang penting
dalam pembinaan agama.
Kepentingan asas agama ini disokong oleh pakar runding ketiga,
Tuan Ahmad sepertimana yang diperkatakan oleh beliau iaitu,
“….. pendidikan agama itu penting dalam industri
terutamanya dalam industri saya iaitu jabatan syariah dan
undang-undang ini, memang keperluan agama itu penting.
Dan saya melihat senario ataupun keadaan semasa
sekarang ini pun kebanyakan akan melihat extra kriteria
dan extra itu maksud saya lebih ke arah kepada pendidikan
Islam sendiri ataupun graduate-graduate yang ada asas
agama.” (PR3/ PGSM/KAA:00:17)
Selain itu, keperluan asas agama turut dikatakan menjadi satu
kelebihan utama kepada mahasiswa dalam industri ini kerana ia menjadi
sumber kekuatan dalam menjalankan pekerjaannya. Kenyataan ini
disokong oleh pakar runding pertama, Ustaz Mohamed iaitu,
“….. kalau mahasiswa yang mempunyai kelulusan agama
seperti dalam bidang syariah, bidang usuluddin, ataupun
contoh pengurusan dakwah masjid mungkin sebenarnya
mempunyai kelebihan daripada mahasiswa lain tentang
pemahaman agama dan hukum, daripada situ daya ataupun
kekuatan ilmu atau kekuatan integriti mereka sebenarnya
lebih baik daripada keluaran mahasiswa yang lain. Ini
pada pandangan saya.” (PR1/ JAKIM//KAA:00:10)
Kesimpulannya mahasiswa yang mempunyai asas agama ini
mempunyai kualiti yang lebih baik di samping mempunyai kemahiran
yang lain seperti bahasa. Ia disokong dengan kenyataan seperti berikut,
“Maknanya kalau mereka ini mempunyai kekuatan begitu,
daripada sudut agama juga berkemahiran contohnya:
bacaan Al-Qurannya baik, tajwidnya baik, taranumnya
baik, itu satu kelebihan daripada dia. Dan satu lagi kalau
dia berkemahiran berbahasa Inggeris itu juga satu
kelebihan. Sudah pasti dia lebih baik daripada orang lain.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
97
Itu kelebihan jurusan agama. Disamping, bahasa Melayu
itu sudah tentu. Dan berkemahiran bahasa Inggeris satu
kelebihan. Dan kemahiran berbahasa Arab lagi satu
kelebihan.”(PR1/ JAKIM//KAA:03:01)
“Saya yakin kelulusan daripada IPTA/IPTS yang
berteraskan agama mempunyai kualiti yang lebih baik
dengan syarat mereka juga mempunyai ilmu-ilmu
kemahiran seperti pelajar-pelajar di IPTA lain, jadi mereka
mempunyai kelebihan sebab mereka ini lebih mendalam
dari sudut agama dan mungkin ada kemahiran tambahan
daripada sudut bahasa tadi.” (PR1/ JAKIM//KAA:05:01)
Selain itu, dalam kajian ini juga, ia turut menyentuh tentang
kepentingan akhlak atau dalam erti kata lain adab seseorang itu yang
perlu dititikberatkan oleh mahasiswa dalam melakukan pekerjaan
tersebut. Kenyataan ini disokong dengan kenyataan pakar runding
kedua yang menyebut bahawa,
“Mereka tidak nanti membebankan industri dari aspek
perkara asas yang sepatutnya dimiliki. Khususnya perkara
asas tersebut melibatkan perkara yang mesti bagi seorang
muslim. Walaupun mereka bekas mahasiswa pengajian
Islam, akan tetapi jika tidak menghayati nilai-nilai asas
akhlak contohnya akan mencampakkan mereka ke kancah
yang lebih teruk dari mereka yang tidak berlatar
belakangkan pengajian Islam. Kita sendiri menyaksikan
kes-kes salahlaku berkhalwat, kes moral, kes menganut
ideologi yang keluar dari landasan ahli Sunnah wal
jamaah dan tidak komited dengan amalan agama adalah
daripada kalangan mereka yang berlatar belakangkan
pendidikan agama. Sedangkan mereka yang tidak
mempunyai didikan agama yang formal lebih komited
dalam aspek amal Islami. Oleh itu hal berkaitan asas
agama amat penting walaupun kepada mahasiswa
pengajian Islam agar mereka mempunyai nilai islamik,
marketable, cemerlang teori, amali, amalan dan
penghayatan. (PR2/ UKM//KAA: 00:18)
Ia turut disokong oleh Tuan Ahmad yang mengatakan akhlak ini
sangat berperanan dalam kemahiran kebolehpasaran seseorang
mahasiswa, iaitu dengan kenyataan bahawa,
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
98
“Contoh dalam bidang guaman sendiri, maknanya kalau
kata benda itu kita sudah belajar, benda itu memang tidak
boleh buat, jadi kita tidak boleh untuk memutarbelitkan
sesuatu perkara itu, dan ia sangat penting, jikalau tidak ada
asas agama itu sebagai lawyer, mungkin kita akan
pusingkan perkara itu supaya menjadi boleh. Jadi, bila ada
asas seperti ini iaitu pendidikan Islam ini, In shaa Allah,
saya sendiri akan terapkan jika A dikatakan tidak boleh,
jadi kita tetap kena A. Kita tidak boleh untuk mengatakan ia
B. Jadi, perkara ini bagi saya penting terutama dalam
undang-undang syariah ini nak gunakan guaman
mahkamah syariah ini pun saya rasa benda itu sangat
penting. Bagi saya memang memerlukan orang-orang yang
berpendidikan ini, untuk saya terapkan apa yang saya
praktikkan selama ini.” (PR3/ PGSM/KAA:01:52)
Beliau turut menambah dengan menyatakan bahawa;
“Begitu juga dari segi tatasusila, mungkin kalau yang tidak
ada asas pengajian Islam ini, yang tidak ada latarbelakang
agama ini mungkin, tatasusilanya hendak berhadapan
dengan orang ataupun peradaban dengan orang tua
mungkin akan lebih berbeza, tetapi, tidak semua yang
begitu, maksud saya cuma asas itu saya rasa memainkan
peranan dalam kehidupan ketika di pejabat atau ketika
bermuamalah di pejabat ataupun bersama dengan public
atau dengan klien.” (PR3/ PGSM/KAA:03:50)
Elemen asas agama dalam kemahiran kebolehpasaran ini
sememangnya, saling berkaitan antara satu sama lain, baik dari sudut
akidah, akhlak dan ibadah. Maka, dalam sudut pandang ibadah juga
penting dan berperanan, ia turut disokong oleh Tuan Ahmad yang
menyatakan bahawa,
“Dari segi majikan itu juga, tidak susah dan kita akan lebih
selesa apabila staf-staf kita menunaikan solat 5 waktu,
puasa, jadi perkara itu tidak menjadi satu bebanan dan kita
hidup pun seperti saya sendiri hidup dalam keluarga office
saya ini. Perkara-perkara itu sememangnya saya
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
99
mengutamakanlah, maksudnya kita hendak staf-staf kita
buat apa yang wajib selain bagi komitmen kerja dengan
bagus di samping tidak lupa nilai-nilai Islam itu. Maknanya
apa-apa yang Islam ajar, kita kena terapkan dalam kerja,
contohnya dari segi amanah klien, ataupun amanah office
sendiri, dari segi cara kerja itu, contohnya apa yang tidak
boleh, Islam tidak boleh buat, jadi kita tidak boleh hendak
pusingkan ia supaya dijadikan boleh.” (PR3/
PGSM/KAA:01:01)
Kesimpulannya, dalam memperolehi kemahiran kebolehpasaran
yang mantap dan untuk meningkatkan kemahiran tersebut, ini perlu
disokong oleh asas-asas agama yang terdiri daripada akidah yang
mantap, akhlak yang mulia dan juga ibadah yang terjaga. Maka, tidak
hairanlah bahawa ia memberi peranan penting kepada mahasiswa
khususnya.
Nilai Agama Memberikan Sumbangan Terhadap Keperluan
Industri.
Kajian ini juga, ia menyentuh berkenaan dengan sumbangan nilai
agama yang dapat memberi impak terhadap keperluan industri secara
amnya. Ianya diulas oleh Prof. Dr. Mahmud yang menyatakan bahawa;
“Nilai agama merupakan asas perlakuan manusia. Apatah
lagi manusia yang mengaku beriman dan muslim. Potensi
ini perlu dibangunkan selaras dengan matlamat penciptaan
manusia sebagai khalifah di bumi di samping untuk
kecemerlangan industri. Majikan yang muslih amat
mementingkan perkara ini dalam menentukan
kecemerlangan organisasi selain kelayakan akademik.
Demikian juga dalam menentukan mahasiswa yang soleh
dan muslih. Isu ilmu yang tidak bersepadu iaitu
meminggirkan nilai agama boleh menyebabkan mahasiswa
atau pekerjanya mengejar tuntutan dunia tanpa mengambil
berat terhadap tuntutan untuk kecemerlangan di akhirat.”
(PR2/ UKM//KNA:01:21)
Nilai agama dalam berkepentingan menyumbang kepada
keperluan industri secara khususnya. Ianya dilihat perlu kerana dapat
membentuk akhlak seseorang itu dan juga sikap yang baik malah
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
100
meningkatkan lagi kemahiran-kemahiran yang pelbagai serta
mempunyai peribadi yang dipandang mulia, bukan sahaja oleh majikan
malah masyarakat setempat.
Kenyataan ini disokong oleh Prof. Dr. Mahmud yang
menyatakan bahawa;
“Nilai agama akan mengarah mahasiswa atau pekerja ke
arah pembentukan sikap, kemahiran, keperibadian dan
pandangan hidup yang melahirkan hamba Allah yang
mempunyai amanah dalam membangunkan diri,
masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah kebahagiaan
di dunia dan akhirat.” (PR2/ UKM//KNA:01:35)
Namun begitu, hasil dari kajian ini, menurut pakar runding yang
pertama dan ketiga, mereka bersependapat dan menyatakan bahawa
terdapat beberapa kelompongan yang ada untuk menguasai nilai agama
itu secara menyeluruh dan lengkap. Ini kerana, kadang-kadang, mereka
melihat terdapat kebanyakan graduan yang kurang berkemahiran dari
satu sudut yang lain. Sebagai contoh, kemahiran berbahasa seperti mana
yang disokong oleh Ustaz Mohamed yang menyatakan bahawa,
“Saya setuju kalau mereka diberi kemahiran dari sudut
penguasaan bahasa-bahasa tertentu yang memang biasa
digunakan di pasaran.” (PR1/ JAKIM//KNA:06:12),
“Kemahiran bahasa Inggeris adalah satu kelebihan.
Maknanya paling tidak mereka ini perlu didedahkan
dengan kemahiran bahasa seperti ini.” (PR1/
JAKIM//KNA:06:24)
Malah ditambah pula oleh Tuan Ahmad yang menyatakan bahawa,
“Tidak dinafikan memang akan ada lompong-lompong, dari
segi penguasaan bahasa Inggeris itu, memang lompongnya
banyak, dan ia sememangnya perlu belajar sebab saya
percaya perkara ini penting juga sebab kadang-kadang kita
berhadapan dengan orang yang pelbagai. Klien yang
pelbagai. Tidak semestinya Melayu. Ada yang mat saleh
(orang asing). Tetapi bila tidak ada asas English atau
bahasa-bahasa lain itu, susah untuk kita berkomunikasi,
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
101
dan kadang-kadang dokumentasi kita perlu membuatnya
dalam bahasa Inggeris dan contohnya yang luar negara
yang tinggal di sini memang tidak faham untuk pihak yang
lagi satu. Jadi kita terpaksa buat dua. Satu Bahasa Melayu
dan satu lagi presentation. Dan mahkamah juga akan
arahkannya begitu. Sebab katakan ada yang berkahwin
dengan mualaf, mat saleh dan sebagainya.” (PR3/
PGSM/KNA:07:35)
Kemahiran komunikasi dalam berdakwah adalah penting dan
perlu ada dalam diri graduan. Kemahiran bahasa ini menjadi satu
kelebihan dalam nilai agama itu sendiri bagi memastikan komunikasi
yang disampaikan itu berkesan dan maklumat yang diberikan itu turut
difahami oleh klien atau orang yang berurusan serta memudahkan
dalam urusan pekerjaan. Ini disokong oleh Tuan Ahmad yang
menyatakan bahawa:
“….penguasaan bahasa itu juga penting, selain
pemahaman enakmen itu. Jadi, saya rasa, itu satu kelebihan
dan terutamanya dalam bidang sayalah iaitu peguam syarie
memang penting. Senang untuk kita bagi maklumat atau
cari maklumat atau hendak suruh baca kitab, mencari dalil-
dalil aqli dan naqli.” (PR3/ PGSM/KNA:06:45)
Selain itu kemahiran mengurus sama ada pengurusan diri atau
masa perlu diterapkan sejak dari universiti lagi. Ini dinyatakan oleh
pakar runding yang pertama dengan kenyataannya seperti berikut:
“….mereka perlu untuk diberikan pendedahan dari sudut
berpersatuan, maknanya kolej universiti atau universiti ini
perlu memberi peluang seluas-luasnya. Walaupun ia
bergantung kepada pelajar bahawa dia aktif atau tidak
aktif. Tetapi dengan peluang yang sewajarnya maksudnya
dia perlu ada sekatan based on Akta ataupun sebagainya
tetapi tidaklah tiada langsung, maknanya memberi peluang
menyatakan mereka punya hasrat ataupun mereka punya
objektif berpersatuan ataupun sebagainya.” (PR1/
JAKIM//KNA:06:33)
Seterusnya perkara seperti mengubah perspektif individu itu juga
perlu dilakukan di samping memberi keyakinan kepada mahasiswa
supaya cekap dalam kemahiran mengurus dan ditambah juga dengan
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
102
kemahiran yang lain seperti kemahiran profesionalisme. Ini ditegaskan
oleh Tuan Ahmad lagi yang menyatakan bahawa:
“Dan satu lagi yang lompongnya, mungkin profesionalism,
maksud saya walaupun ada asas agama tidak semestinya
dia boleh bergiat secara professional, yang itu mungkin kita
kena berpandukan kepada individu, tidak semua, kadang-
kadang ada yang belajar agama ini, dia pun professional.
Dia boleh hidup profesional dan bergaul dengan
professional ada juga yang tidak. Tapi kalau boleh
terapkan nilai-nilai professional itu, maksud saya dari segi
kerja, dari segi hubungan dengan klien, komunikasi dan
sebagainya, kalau boleh diterapkan dengan sikap seperti
itu, maknanya sikap, dedikasi dengan penuh professional
ini, saya rasa akan lebih berjaya geng-geng pengajian
Islam termasuk kitalah.” (PR3/ PGSM/KNA:08:33)
Tambahannya lagi:
“Kadang-kadang perkara itu, yang kita fikir kadang-
kadang kita terlalu jumud, atau rigid, kadang-kadang tidak
boleh bercakap dengan perempuan, sedangkan benda
tersebut tidak ada masalah as long as kita ada batas-
batasnya, rasa yang itu kadang-kadang pembawaan
daripada universiti, tarbiah kita di universiti itu sendiri,
contohnya, perempuan tidak boleh langsung bercampur
dengan lelaki, tetapi bila dia keluar di sini, mereka terpaksa
berhadapan dengan benda itu, jadi maknanya kalau kita
boleh terapkan benda itu daripada awal, maknanya mereka
tidak akan kekok dan kita perlu terapkan sikap professional,
dan juga dedikasi dengan kerja itu sendiri, maknanya dari
segi komitmen, dari segi cara pergaulan, tetapi ada batas-
batasnya, mungkin lompong itu yang kadang-kadang kita
terlepas pandang.” (PR3/ PGSM/KNA:09:23)
Secara keseluruhannya, hasil daripada dapatan nilai agama ini
merangkumi beberapa kemahiran yang penting yang perlu
dipertingkatkan oleh mahasiswa dalam industri. Bagi menambah nilai-
nilai tersebut mereka memerlukan beberapa langkah yang diuji oleh
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
103
majikan sepertimana yang diperkatakan oleh Ustaz Mohamed, seperti
berikut:
“….. mentaliti masyarakat bila sebut kelulusan kolej Islam
atau jurusan agama, dia sesuai jadi Imam. Tidak pada
sekarang ini, persepsi sudah berbeza, jurusan daripada
kolej Islam, jurusan daripada UIA, jurusan daripada UM
fakulti Syariah, UKM juga KUIS fakulti apa-apa jua
pengajian, mereka juga mempunyai peluang yang sama
untuk menjadi pegawai tadbir diplomatik asal mereka
mampu melepasi beberapa step. “Step pertama, lulus ujian.
Step kedua, lulus assessment. Step ketiga, lulustemuduga.”
(PR1/ JAKIM//KNA:07:13)
Tambahnya lagi,
“Maksudnya dua step itu atas kemahiran diri sendiri.
Ujian: kemahiran dan pengetahuan. Assessment:
kemahiran, pengetahuan dan keupayaan. Temuduga:
kemahiran berfikir dan boleh menjawab ataupun boleh
menganalisis apa yang disoal oleh penemuduga.” (PR1/
JAKIM//KNA:07:51)
“Maknanya, kalau dia tidak menambah nilai diri dia
dengan kemahiran-kemahiran lain, based on apa yang dia
belajar. Kalau syariah, syariah sahaja. Saya takut mereka
tidak ada kekuatan dan kurang nilai bila mereka berada
dalam pasaran.” (PR1/ JAKIM//KNA:08:09)
Kesimpulannya, nilai agama dianggap penting dalam industri
yang dapat dibina melalui asas agama yang teguh.
Nilai Integriti Dianggap Signifikan Dalam Pemilihan Pekerja
(Mahasiswa).
Integriti merupakan elemen yang penting dalam kemahiran
kebolehpasaran. Ia akan merujuk kepada majikan untuk menilai integriti
seseorang itu dalam urusan pekerjaan sehariannya. Dalam Islam istilah
yang selalu digunakan ialah ihsan.
Ianya diperakui oleh Prof. Dr. Mahmud yang melihat integriti ini
terkandung dalam kemahiran insaniah,
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
104
“Integriti ini lahir dari pekerja yang mempunyai
Kemahiran Insaniah (sikap individu, budaya etika,
kepimpinan, komunikasi) yang cemerlang. Kepentingan
Kemahiran Insaniah sebagai pelengkap kesempurnaan
pekerja. Kemahiran Insaniah mampu menjadikan pekerja
untuk menjalankan kewajipan dalam pelbagai aspek
kehidupan serta membina masa hadapan negara yang
gemilang. Kegagalan komunikasi yang berkesan contohnya
menyebabkan banyak idea-idea yang bernas sepatutnya
disampaikan untuk membantu idea dan sokongan pihak
atasan industri bagi melancarkan pengurusan. Oleh itu
komunikasi berkesan menjadi aspek penting yang diambil
kira dalam satu-satu organisasi untuk terus maju dan
efisyen.” (PR2/ UKM//NI:01:56)
Ia juga disokong oleh pakar runding yang pertama, Ustaz
Mohamed yang mengatakan bahawa untuk melihat seseorang itu
mempunyai integriti atau tidak, adalah dengan solat. Seperti kenyataan
berikut,
“Integriti pada pandangan saya adalah mudah sahaja,
biasanya kelulusan daripada jurusan agama tidak kiralah
IPTA /IPTS/Kolej ataupun sebagainya, biasanya mereka
akan menjaga solat. Ini jelas. Walaupun ada sebahagian
jujurnya/honestly ada juga sebahagiannya yang ambil
mudah tentang solat.” (PR1/ JAKIM/NI:11:12)
“Saya nak kaitkan dengan janji Allah dalam Al-Quran itu:
Sesungguhnya solat itu akan mencegah daripada perbuatan
keji dan mungkar” (PR1/ JAKIM/NI:11:34)
“Siapa yang solat ini, akan menjadi firewall atau menjadi
antivirus atau menjadi pendinding kepada mereka daripada
melakukan perbuatan keji dan mungkar. Jika disebut keji,
kita tahu ia berkait dengan nafsu syahwat, tetapi mungkar
mungkin berkait dengan kerja, curi masa, curi tulang, tidak
amanah.” (PR1/ JAKIM/NI:11:52)
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
105
“Di sini saya hendak kaitkan bahawa orang yang jaga solat
ini, biasanya dia tidak akan melakukan perkara atau
perbuatan yang bertentangan dengan agama. Di situlah
pentingnya perkara ini dapat dilakukan. Walaupun kita
tahu orang cina, orang bukan Islam ini juga mempunyai
integriti tetapi mereka ditekankan dengan ilmu pendidikan
sivik, kesedaran sivik, dan kelulusan agama ini juga
menjadi lebih baik. Sebab di samping dia menjaga solat
secara tidak langsung akan prevent dia daripada
melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Dan mereka
juga diberi pendidikan yang mana baik dan yang mana
tidak baik.”(PR1/ JAKIM/NI:12:03)
Seterusnya, hasil daripada kajian ini juga melihat kepada
kepentingan integriti itu sendiri yang boleh menjadi faktor perubahan
hidup seseorang. Ini boleh dilihat melalui kenyataan tambahan beliau
yang menyatakan bahawa:
“ ….Integriti memang penting dalam suasana sekarang
kerana suasana di mana cost of living now is very high.
(Kos sara hidup yang cukup tinggi). Ini kadang-kadang
impian melebihi daripada kemampuan.
Dan walaupun mereka boleh mengambil tindakan
menurunkan impian itu ke tahap kemampuan mereka, tetapi
kadang-kadang suasana/environment di sekeliling itu
mengajak dan mendesak mereka untuk mendapat sesuatu
dengan cara yang tidak betul. Tetapi paling kurang, jikalau
mereka ini daripada kelulusan agama atau daripada yang
berteraskan agama, mereka mempunyai persepsi yang
cukup baik bahawa setiap perbuatan yang menyalahi
peraturan kadang-kala akan memberi impak yang yang
tidak baik kepada mereka. Ini pada pandangan sayalah.”
(PR1/ JAKIM/NI:12:43)
Kenyataan beliau turut disokong oleh Tuan Ahmad dengan
menyatakan bahawa pentingnya integriti ini adalah kerana ia
merupakan kayu ukur dan memberi persepsi yang utama dalam
sesebuah organisasi dan individu itu sendiri. Sebagaimana yang
dinyatakan oleh beliau seperti berikut:
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
106
“Sebab bagi saya, ia membawa nama kita dan juga kita
punya standard ataupun, kita sudah ada satu guideline
yang perlu dijaga, jadi apabila kita mengambil mahasiswa
yang berketrampilan, yang ada semua benda seperti saya
katakan tadi itu, maknanya secara tidak langsung ia
mengekalkan apa yang telah ada itu, sebab itu integriti itu
penting.” (PR3/ PGSM/NI:10:43)
“Tetapi, jika kita mengambil mahasiswa yang jenis tidak
boleh membuat kerja, contohnya hidup pun hidup seorang,
tidak boleh untuk bekerjasama, jadi, apabila urusan-urusan
dengan customer atau klien benda itu sedikit sebanyak akan
menjejaskan apa yang telah kita praktikkan, maknanya
kalau kata dia teruskan dengan cara yang kita ajar itu,
dengan sikap dia yang bagus, maknanya integriti kita itu, In
shaa Allah, itu pentingnya integriti itu.” (PR3/
PGSM/NI:11:15)
Persepsi itu juga akan memainkan peranan yang penting dalam
nilai integriti dan ia sememangnya dianggap signifikan. Kenyataan ini
disokong oleh Ustaz Mohamed yang menyatakan:
“Jikalau kita kaji balik, orang yang ada background agama
melakukan kesalahan dari sudut integriti di Malaysia
sebenarnya terlampau sedikit berbanding yang lain. Tetapi
media menghighlightkan. Sebab hendak menunjukkan
persepsi yang tidak baik kepada kelulusan agama.
Sememangnya ia terlampau sedikit.” (PR1/
JAKIM/NI:13:42)
“Ia juga berkait dengan persepsi. Persepsi memainkan
peranan yang penting. Kita dilihat tinggi berbanding yang
lain, u all jurusan agama, apabila disebut ustaz u all lebih
tinggi daripada kelulusan ekonomi. Orang melihat „A‟
jurusan syariah. „B‟ ekonomi. Daripada sudut itu, orang
sudah melihat „A‟ ini mesti lebih baik daripada yang
ekonomi.”(PR1/ JAKIM/NI:14:40, 14:46)
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
107
Masyarakat juga menaruh harapan dan memberikan perhatian
terhadap mahasiswa yang berlatar belakangkan agama. Ianya diulas
oleh Ustaz Mohamed:
“Masyarakat kita masih lagi memandang, menilai,
mengharap. Maknanya tanggapan itu (perception) more
better than another. Sebab itu, bukan setakat mereka
belajar agama sahaja memberi kekuatan integriti, tetapi
mereka juga berusaha untuk mencari kekuatan menghalang
diri mereka daripada melakukan perkara yang tidak baik.
Memang kita sebut secara auto apabila kita solat, Kita ada
iman. Itu sememangnya Allah janji.” (PR1/
JAKIM/NI:15:07)
“Tetapi kita juga perlu ada usaha untuk prevent diri kita
daripada perkara-perkara yang tidak baik. Ini pada
pandangan saya. Sebab cubaan, godaan nafsu ini semua
bukan daripada seseorang itu, tetapi mungkin daripada
environment luaran.” (PR1/ JAKIM/NI:15:36)
“Saya suka memberi gambaran Nabi Adam a.s, berstatus
Nabi dan Rasul. Beliau mempunyai integriti. Beliau
mempunyai kekuatan. Tetapi oleh kerana syaitan dan Iblis
juga sentiasa berusaha dan tidak pernah penat. Dan
akhirnya isterinya juga terpengaruh. Dan sebagaimana kita
tahu kekuatan dan kelemahan orang sekeliling yang
menjadikan bos ini turut terpengaruh juga. Dia ada leak.
Atau lompong-lompong dan sebagainya. Jika dia tidak
boleh attack orang itu, dia akan attack orang ini. Dalam
erti kata lain attack orang sekeliling/ persekitarannya.”
(PR1/ JAKIM/NI:16:26)
Berdasarkan keterangan yang dinyatakan oleh pakar-pakar
runding ini, secara keseluruhannya integriti itu merupakan elemen yang
utama dan menjadikan satu persepsi yang paling penting bagi seseorang
khususnya majikan dalam industri dan kemahiran kebolehpasaran ini.
Justeru, mereka ini akan menilai atau mengambil seseorang itu
dengan melihat pelbagai aspek bagi memastikan nilai integriti
mahasiswa terserlah atau tidak sebelum mereka yang berkenaan
menemuduga pekerja tersebut. Sebagaimana yang diterangkan oleh
pakar runding pertama seperti berikut:
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
108
“Dia sebenarnya, merujuk kepada disiplin, keupayaan. Ada
beberapa part iaitu: Comunication, cooperation, dan
disiplin.” (PR1/ JAKIM/NI:18:02)
“Tetapi semua itu berteraskan kepada atau kembali kepada
kita punya background pendidikan dan juga background
penglibatan sebagai pelajar dalam universiti ataupun
sebagai komuniti dalam masyarakat. Secara umumnya, dia
ada cuma tidak secara directly, maknanya jaga
sembahyang atau tidak, ia cuma pengurusan masa,
maknanya kita boleh kaitkan bila sebut mengurus masa
that‟s mean dia seorang yang beriman, jika dia seorang
yang berdisiplin, dia seorang yang beriman, bila kita sebut
beriman, dia mestilah ada agama, bila dia ada agama,
mesti asas dia adalah sama ada dia belajar secara fulltime
ataupun dia belajar semasa sekolah menengah ataupun di
sekolah rendah ataupun dia mempunyai mak ayah yang
berpegang kuat pada agama, dan sentiasa memberi nasihat.
Sebab itu saya katakan, jika dia belajar agama more better
than yang tidak belajar agama. Kadang-kadang yang tidak
belajar agama ini kuat sebab environmentnya membantu
dan support dia. Mungkin dia selalu pergi ke masjid, selalu
mendengar tazkirah, ataupun dia sendiri, mak ayahnya
memang strong. Ini pandangan sayalah.”(PR1/ JAKIM/NI
:18:46)
“Melihat kepada pegawai penilai yang akan
menilai/memikirkan pekerjanya secara abstrak. Tetapi
bezanya, kadang-kadang penilaian manusia ini 365 hari dia
bekerja, seorang bos hanya menilai 10-15 minit, kadang-
kadang penilaian itu tidak 100% based on apa kapasiti
pegawai itu. Ini pandangan saya.” (PR1/ JAKIM/NI:
20:30, 20:40)
Manakala, merujuk kepada pakar runding ketiga, beliau menilai
pekerjanya dengan melihat kepada elemen keterampilan dan
komunikasi seseorang itu. Ini kerana ia akan memperlihatkan integriti
seseorang itu. Kenyataannya seperti berikut:
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
109
“Untuk memilih sebagai pekerja, melalui pengalaman saya,
pertamanya saya memilih dari sudut keterampilan dan
komunikasi seseorang itu. Itu dari segi yang first bagi saya,
maknanya saya akan tengok dari sudut keterampilan dan
personaliti, dan bagaimana dia berkomunikasi dengan
semua orang, termasuk saya dan termasuk staf-staf lain. Itu
antara perkara yang awal kita lihat.” (PR3/
PGSM/NI:12:58)
Keberanian juga salah satu elemen yang dinilai bagi memastikan
integriti seseorang itu adalah yang terbaik. Ini merujuk kepada
kenyataan yang disokong oleh pakar runding ketiga seperti berikut:
“Selain daripada itu, saya tengok juga kalau kata dalam
tempoh awal, mungkin tidak nampak, bagaimana
keberanian dia untuk adaptasi cara kerja saya dengan ada
idea-idea baru. Dan di situ saya akan tengok, tetapi yang
first impression saya, saya akan tengok ketrampilan dia.
maknanya dari segi cara dia bercakap, cara dia komunikasi
bukan dengan saya sahaja, bahkan dengan orang-orang
lain, jika dia datang jenis senyap sahaja, susah untuk
menjadi seorang lawyer. Kerana lawyer perlu banyak deal
dengan public, sebab itu kadang-kadang kita kena panggil
untuk bagi talk. Maknanya di situ personality itu penting,
kita hendak pergi mahkamah pun, kalau jenis suara kita
senyap, hakim pun walaupun kita ada point, tapi tidak tahu
bagaimana untuk melontarkan isi tersebut. Itu
penting.”(PR3/ PGSM/NI:13:48)
Oleh yang demikian, jika tidak ada keupayaan untuk melahirkan
kerjasama dalam berpasukan dan kesepakatan perpaduan, secara tidak
langsung, keperibadian seseorang itu juga akan turut gagal dan nilai
intergriti juga akan turut hilang.
Ini disokong oleh pakar runding kedua yang menyatakan
bahawa; “Kegagalan wujudnya kesepaduan dalam semua aspek untuk
membentuk integriti akan menyebabkan diri khasnya dan organisasi
amnya menuju kepada kegagalan peribadi dan keruntuhan organisasi.
Oleh itu pemilihan pekerja perlulah menitik beratkanKemahiran
Insaniah iaitu sikap individu, budaya etika, kepimpinan dan
komunikasi. Aspek integriti dinilai penting dalam pemilihan mahasiswa
demi untuk melahirkan umat Islam yang berdaya tahan serta mampu
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
110
menghubungkan ilmu yang dipelajari oleh mahasiswa dengan realiti
kehidupan sebenar.
Kesimpulannya, hasil daripada dapatan membuktikan nilai
integriti itu saling berkait rapat dan dianggap signifikan dalam
pemilihan pekerja.
PERBINCANGAN
Program-program pemantapan ibadah seperti ibadah solat, puasa, zakat,
sedekah, zikir dan sebagainya perlu ada dalam kemahiran
kebolehpasaran pekerja dan ianya lahir daripada sumber kekuatan iman.
Program-program pemantapan ibadah inilah yang akan menjadi
platform pembenihan iman dalam diri sekaligus menjadi komponen
utama kepada pembentukan integriti.
Kesan daripada integriti ini para pekerja akan menghayati nilai
kerja sebagai ibadah dan berusaha untuk mengelakkan diri daripada
terjebak ke dalam aktiviti yang memberikan kesan negatif kepada
keberkatan sumber rezeki mereka. Ini adalah kerana secara prinsipnya,
Allah SWT telah mengharamkan sebarang usaha memakan harta
daripada jalan yang salah. Sememangnya tidak syak lagi, sifat-sifat
luhur yang terkandung dalam nilai integriti adalah merupakan akhlak
Islami dan bertepatan dengan ajaran Islam yang mesti dihayati oleh
pekerja. Sememangnya pendekatan seumpama ini adalah selaras dengan
tuntutan ajaran Islam yang amat menitik-beratkan aspek integriti dan
ketelusan dalam apa jua lapangan kehidupan termasuklah soal
pengurusan dan kepimpinan.
Aspek keinsanan dan nilai murni adalah merupakan komponen
penting dalam pembentukan nilai integriti. Aspek ini tidak boleh
diketepikan begitu sahaja sebaliknya mestilah diberikan penumpuan
yang jitu. Konsep-konsep seperti yang dianjurkan oleh agama adalah
perisai penting selain menjadi sumber kekuatan dalaman untuk menolak
segala anasir negatif. Penghayatan nilai-nilai murni seperti ini di
kalangan pekerja akan melonjakkan usaha pelbagai industri melonjak
ke arah kelas pertama.
RUMUSAN DAN IMPLIKASI
Kajian ini mengemukakan implikasinya kepada pihak yang
berkepentingan seperti berikut:
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
111
i. Menerapkan nilai agama berkaitan akidah, ibadah dan akhlak
dalam diri graduan kerana kepentingannya di dalam industri dan ia
menjadi satu nilai tambah dalam memilih pekerja.
ii. Menyediakan program dan seminar yang berbentuk ilmiah dan
modul yang mempunyai hubungkait dengan industri dan agama sebagai
garis panduan bagi pelajar.
iii. Menyediakan finishing schoolbagi bakal graduan untuk
memberikan pengalaman dan ilmu yang berkaitan sebelum tamat
program pembelajaran khususnya dari aspek pemantapan agama.
RUJUKAN
Al-Ghazali. Ihya‟ Ulumuddin. Darul Fajr: Kuala Lumpur, 2006.
Ahmad Rizal Madar, Malyia Afzan Abd Aziz & Mohamad Zaid
Mustafa. Kemahiran Kebolehpasaran di Kalangan Pelajar Kolej
Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Prosiding Seminar
Kebangsaan Kemahiran Insaniah dan Kerja Sosial,2009.
Aycan , Z., & Fikret-Pasa, S. Choices, Job Selection Criteria and
Leadership Preferences in a Transitional Nation : The Case of Turkey.
Journal of Career Development , 30(2), 129-144, 2003.
Ballantine, J., & Larres, M. P. Cooperative Learning: A Pedagogy To
Improve Students’ Generic Skills? Journal Education And Training, 49
(2), 126-137, 2007.
Buck, L.L. & Barrick, R.K. They’re Trained, But Are They
Employable? Vocational Education Journal 62(5): 29-31,1987.
Cano, J. “Graduate Employability: What Employers Really Want.” The
Agricultural Education Magazine. 78.5, 2006.
Dunne, E., Bennett, N & Carre, C. Skill Development In Higher
Education And Employment. Bristol., 2000.
Gainer. ASTD update: Basic skills. Alexandria, VA:American Society
for Training and Development (ERIC No. ED 291 882),1988.
Haslinda @Robita Hashim, Muhammad Nubli Abdul Wahab & Zarina
Mohd Ali. Pembangunan Sahsiah Mahasiswa Bersepadu: Konsep dan
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
112
Pelaksanaannya di Kolej Universiti Kejuruteraan. Prosiding Seminar
Kebangsaan Kursus Sokongan Kejuruteraan, 2005.
Hoddinot, J. dan Young, D. “Generic Skills Teaching In Materials
Science and Engineering.” Journal of Engineering Education. 707-711,
2001.
Ismail Md. Salleh. Strategi bagi Rancangan Malaysia ke Sembilan
untuk Meningkatkan Pembangunan Insan. Universiti Malaya: Kuala
Lumpur, 2005.
Kamaruddin Husin. Kemahiran Berfikir dan Komunikasi. Kumpulan
Budiman Sdn.Bhd.: Petaling Jaya, 2003.
Shyamal Majumdar.Emerging Generic Skills & Challenges of Learning
Systems:Training K-workers. Philippines : Metro Manila, 2002.
Kearns, P. Generic Skills for the New Economy. Kengsington Park:
NCVER Ltd. 41-64, 2001.
Koffel, L.Teaching Workplace Skills: Creative Ways to Teach Students
the Skills Employers Want. Texas:Gulf Publishing Company. 1-2,1994.
Lange, D.L dan Technicon, P.E. The Identification of The Most
Important Non-technical Skills required by Entry Level Engineering
Students When They Assume Employment.Journal of Cooperative
Education. 35. 21-32, 2000.
Mohd Safarin Nordin & Kamaruddin Mohd Tahir. Kemahiran Generik-
Kepentingan Dalam Memenuhi Keperluan Majikan Masa Kini.
Universiti Teknologi Malaysia: Johor, 2004.
Mohamad Sattar Rasul,et al. Aspek Kemahiran Employability yang
dikehendaki Majikan Industri Pembuatan Masa Kini. Jurnal Pendidikan
Malaysia,35. 45-55, 2009.
Muhammad Hazrul Ismail. Kajian Mengenai Kebolehpasaran Siswazah
Di Malaysia: Tinjauan Dari Perspektif Majikan. Prosiding PERKEM
VII : 906-913, 2012.
Queck. Learning for the Workplace: A Case Study In Graduate
Employees Generic Competencies. Journal of Workplace Learning.Vol
2, 34-57, 2005.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 3 (EK):2015
113
Rahimin Affandi Abd. Rahim, Lazim Omar, Nor Adina Abd Kadir &
Norhayati Dahlal. Kemahiran Insaniah di Institusi Pengajian Tinggi
Awam Islam Malaysia dan Indonesia: Satu Analisis Perbandingan.
Universiti Malaya: Kuala Lumpur, 2009.
Ahmad Ramlee. The Role Of Vocational And Technical Education In
The Industrialization Of Malaysia As Perceived By Educators And
Employers. Doctoral Dissertation. Purdue University, 2002.
Rodiah Idris, Siti Rahayah Ariffin, & Noriah Mohd Ishak. Pemeriksaan
Differential Item Functioning (DIF) Instrumen Pentaksiran Kemahiran
Generik. Seminar Psikologi dan Pembangunan Manusia, 2008.
Rohlfing, J. E., Nota, L., Ferrari, L., Soresi, S., & Tracey, T. J. G.
Relation of Occupational Knowledge to Career Interests and
Competence Perceptions in Italian Children. Journal of Vocational
Behavior, 81, 330–337, 2012.
Seo, Andy K.H. Smart- Partnership Between Vocational and Technical
Training Institution in Creating Skill Workers. Persidangan Kebangsaan
Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional, 2003.
Shaharuddin Ahmad, Noriah Mohd Ishak, Khaidzir Ismail dan Jumali
Selamat. Generic Competency Profile Among Students In Institute Of
Higher Learning: A Case Of Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Malaysia. College Student Journal, 44(3): 811-820, 2010.
Sidek, M.N. Perkembangan Kerjaya: Teori dan Praktis. Penerbit
Universiti Putra Malaysia: Serdang, 2002.
Siti Rahayah Ariffi n, Noriah Mohd Ishak, Abdul Ghafur Ahmad,
Rodiah Idris, & Nur’ Ashiqin Najmuddin. Communication, Leadership,
And Teamwork Skills As Core Competencies Among Higher Education
Students. Proceeding ASAIHL International Conference. Bangkok,
149-158, 2008.
The Conference Board of Canada Employability Skills Profile: The
Critical Skills Required Of The Canadian Workforce. The Corporate
Council on Education, a program of the National Business and
Education Center. Ottawa Ontario, 1996.
Warwick, D. Interpretation and Aims. Dalam Warwick, D.1989.
Linking Schools and Industry. Oxford: Basil Blackwell Ltd,1989.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM KUIS
SAHLAWATI ABU BAKAR ZAIDUL AMIN SUFFIAN AHMAD
114
Yahya Buntat.Integrasi Kemahiran “Employability” Dalam Program
Pendidikan Vokasional Pertanian dan Industri Di Malaysia. Thesis
Phd., 2004.
Yulpisman Asli. Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah (Soft
Skills) untuk Institusi Pengajian Tinggi Malaysia. Universiti Putra
Malaysia (UPM), Serdang. http://www.utusan/com/my/utusan/content
(19 September 2007)
Zainudin, Mohd Anuar, Mohd Najib & Kamriah. Penerapan
Kemahiran Generik dalam Pengajaran Kejuruteraan di Sekolah
Menengah Teknik. Seminar Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia,
2005.
BIOGRAFI
Nama: Sahlawati Abu Bakar
Emel: [email protected]
Jawatan: Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Sunnah, Akademi Islam
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Alamat pos: Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Selangor
Tel:03-89254251(off.), 019- 6015308 (h/set)
Fax: 603-89254402