Interaksi Dalam Organisasi
-
Upload
foo-shu-fong -
Category
Documents
-
view
72 -
download
2
Transcript of Interaksi Dalam Organisasi
Interaksi Dalam Organisasi (Bah I)
Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Dalam berinteraksi dengan sesebuah organisasi, pastilah banyak halangan yang akan kita hadapi. Oleh
yang demikian, kita memerlukan ilmu yang cukup untuk dapat mewujudkan suasana amal kolektif yang
ideal.
Adalah sesuatu yang mustahak untuk kita memahami adab-adab dalam berinteraksi dengan organisasi
sebagai panduan untuk kita praktikkan bersama.
"Sesungguhnya jika engkau tidak bersama mereka, maka engkau tidak akan bersama orang-orang
selain mereka. Sementara jika mereka tidak bersamamu, mereka tetap wujud bersama yang lain."
Ungkapan di atas menyedarkan kita tentang keperluan kita akan sebuah organisasi dan untuk sentiasa
berada dalam ruang lingkupnya kerana apabila kita tidak lagi bersama mereka, tidak mungkin kita
bergaul dengan orang-orang yang mempunyai tahap kebaikan di bawah dari mereka, sementara
organisasi dan mereka yang ada di dalamnya akan terus wujud dan berjalan samada dengan kita atau
tanpa kita.
Secara terangnya , masuk dan keluarnya kita dari sebuah organisasi tidak akan memberi pengaruh yang
kuat apalagi sampai mampu menggoncangkan organisasi tersebut.
Dengan kata lain, jika kita keluar dari organsasi tersebut, kitalah yang rugi sementara bagi organisasi,
boleh dikatakan hampir tidak ada kerugian kerana begitu ramai lagi mereka yang bersedia untuk
menggantikan kita.
Oleh kerana itu, keberadaan kita di dalam sebuah organisasi adalah anugerah Allah yang mesti disyukuri
dan dipelihara.
Salah satu usaha untuk menjaga kurniaan penyertaan kita dalam organisasi ini adalah dengan sentiasa
berinteraksi secara intensif dengan dakwah itu sendiri dan semua elemen-elemen dakwah atau elemen
organisasi.
Yang terpenting dari semua itu tentu sahaja adalah dengan dakwah atau organisasi itu sendiri, kemudian
dengan murabbi serta dengan sesama sahabat seperjuangan dan juga dengan mutarabbi.
A. INTERAKSI DENGAN DAKWAH
PERTAMA : Melepaskan diri dari segala keterikatan dengan institusi-institusi atau organisasi-
organisasi lainnya (terutama apabila diminta oleh kepimpinan organisasi untuk melakukan itu).
Salah satu rukun ba'iah adalah ‘tajarrud’ yang memberi maksud bahwa kita memberikan kesetiaan,
keterikatan dan ketaatan secara total kepada organisasi.
Adalah difahami bahwa kadang-kadang kita memiliki kritikan-kritikan yang konstruktif terhadap
organisasi, di mana ia bukanlah kerana kita tidak ‘tsiqah’ kepada organisasi itu atau sudah cenderung
kepada organisasi lain.
Namun, apabila organisasi telah membuat penilaian di mana kita dikehendaki memutuskan ikatan
dengan yayasan atau organisasi tertentu yang mungkin boleh menjejaskan halatuju organisasi, maka
sayugialah kita menerima dan mentaati kecuali apabila organisasi menugaskan kita untuk tetap di
sesebuah lembaga atau organisasi tertentu untuk tujuan tertentu.
KEDUA : Menghidupkan kebiasaan-kebiasan Islam.
Tujuannya adalah agar kita tetap terpelihara di dalam ruang lingkup organisasi dengan hidayah yang
diberikan oleh Allah. Di antara usaha untuk terus meningkatkan kualiti keislaman dan keimanan adalah
dengan sentiasa menghidupkan kebiasaan-kebiasaan Islam seperti menyebarkan salam, membaca doa-
doa harian, mendahulukan anggota tubuh yang kanan dan lain-lain.
Ini adalah kerana, hanya dengan berusaha untuk meningkatkan kualiti diri sahajalah, kita akan tetap
terjaga kebersamaannya dengan organisasi dengan keserasian kebaikan yang dimilikinya.
KETIGA : Berkenalan dengan para pendakwah dengan pengenalan yang sempurna dan sebaliknya
mereka juga mengenal kita dengan sempurna.
Selain untuk menunaikan hak-hak dan kewajiban ukhuwah, perkenalan yang intensif dan sempurna
dengan para pendakwah akan membuatkan kita saling bercermin diri dan meningkatkan keperibadian
kita. Lebih-lebih lagi interaksi dengan saudara-saudara kita yang lebih dahulu memasuki organisasi
dibandingkan dengan kita. Bukankah Rasulullah saw bersabda :
“Mu'min adalah cermin bagi saudaranya”.
KEEMPAT : Menunaikan kewajiban-kewajiban harta seperti zakat, infaq, kerjasama kewangan dan
lain-lain.
Tidak dipertikaikan lagi bahwa masalah ekonomi, mata pencarian atau kewangan adalah perkara-
perkara yang penting yang perlu diperhatikan oleh anggota organisasi.
Untuk menunaikan kewajiban harta di dalam Islam dan organisasi seperti zakat, infaq, kerjasama
kewangan dan lainnya tentu sahaja perlu diwujudkan dahulu asas-asas atau ciri-ciri “Mampu bekerja” di
dalam diri anggota tersebut.
KELIMA : Menyebarkan dakwah di setiap tempat dan membentuk keluarga-keluarga dakwah.
Pembentukan peribadi muslim di dalam organisasi dimaksudkan bukan sahaja untuk membentuk
seorang muslim menjadi soleh semata-mata bahkan juga mesti menjadi ‘musleh’.
Jadi, bukan sekadar mengusahakan nilai-nilai kebaikan yang melekat dalam dirinya, melainkan juga
mengusahakan agar keluarga dan masyarakatnya pun diwarnai oleh nilai-nilai kebaikan tersebut. Bahkan
lebih dari itu, ia perlu pula berusaha menjadikan keluarganya juga sebagai pendukung-pendukung
utama dalam dakwah.
KEENAM : Mengenali harakah-harakah Islam.
Keberadaan kita sebagai anggota di dalam organisasi ini tentu sahaja membuatkan kita semakin
mengenali organisasi kita, sejarah, visi dan misinya, tokoh-tokohnya dan lain-lain sebagai sebuah
harakah Islam. Namun sebagai bahan perbandingan, kita perlu juga mengenali harakah-harakah Islam
yang lainnya.
Tujuan mengenali harakah-harakah lainnya adalah bagi :
1. Mengambil kebaikan dari harakah lain.
2. Meninggalkan dan jika mampu meluruskan kekurangan dan keburukan dari harakah lain.
3. Berusaha saling bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati dan saling berlapang dada dalam
hal-hal yang diperselisihkan untuk menjaga tali silaturahim dan komunikasi paling minima
antara kepimpinan harakah.
B. INTERAKSI DENGAN KEPIMPINAN
Kepimpinan dalam dakwah memiliki hak :
1. Seorang ayah dari sudut ikatan hati.
2. Seorang ustaz dalam hal penyampaian ilmu.
3. Seorang syeikh dalam memberikan tarbiyah ruhiyah.
4. Seorang komandan dalam menentukan atau memberikan polisi-polisi umum di lapangan
dakwah.
Dalam proses interaksi dengan kepimpinannya, seorang anggota organisasi dituntut supaya mampu
merealisasikan hubungan dengan baik sebagai tanda kewujudan kepimpinan yang terdekat dengannya.
Di antaranya ialah memperhatikan hak-hak kepimpinan seperti yang tersebut di atas. Selain itu juga, ia
hendaklah berusaha untuk memenuhi perkara-perkara berikut :
PERTAMA : TAAT.
Seorang anggota hendaklah sentiasa taat melaksanakan perintah-perintah dan arahan-arahan
kepimpinan samada dalam keadaan senang atau susah begitu juga ketika dalam keadaan bersemangat
atau dalam keadaan terpaksa kecuali perintah maksiat kerana tidak boleh mentaati makhluk dalam
keadaan bermaksiat kepada Allah swt.
Organisasi, dalam merealisasikan tujuannya pastilah memerlukan pengikut yang taat dan memahami
akan tuntutannya. Ini menjadi sebab kenapa Imam Hasan Al Banna meletakkan syarat bagi mereka-
mereka yang ingin bekerja dalam organisasi ini iaitu sepuluh rukun : Faham, Ikhlash, Amal, Jihad,
Pengorbanan, Taat, Tajarrud, Tsabat, Ukhuwwah, Tsiqah.
Tuntutan sedemikian adalah sesuatu yang logik dan bukan suatu yang diada-adakan kerana organisasi
musuh yang bertaraf antarabangsa sekalipun menuntut perkara yang sama dan bahkan kadang-kadang
tidak masuk akal misalnya, para agen ‘Mossad Yahudi’ tidak akan segan-segan untuk membunuh
anggotanya jika terbukti ia telah berkhianat kepada organisasi mereka.
Namun organisasi dakwah tidaklah sampai sedemikian di mana sesiapapun boleh masuk dan juga tidak
akan menahan mereka yang mahu keluar darinya. Masing-masing akan memetik buahnya sendiri, baik di
dunia mahupun di akhirat.
Organisasi kita mempunyai tujuan yang amat mulia di mana perjuangannya melibatkan antara generasi
dalam rentang waktu yang tidak terbatas dalam menegakkan ketinggian kalimah Allah sehingga dunia ini
kiamat. Hanya tentera Allah swt sahajalah yang mampu menegakkannya, bukan orang yang berjiwa
kecil.
KEDUA : TSIQAH
Seorang anggota dikatakan ‘tsiqah’ kepada kepimpinannya jika ia memiliki ketenangan dan
ketenteraman jiwa terhadap apa-apa yang datang dari pihak kepimpinan, iaitu tenteramnya jiwa
dengan seluruh yang keluar darinya dan ia tidak pernah ragu-ragu terhadap arahan yang datang darinya.
Ibarat seorang tentera yang merasa puas dengan komandannya dalam hal kapasiti kepimpinannya
mahupun keikhlasannya dengan kepuasan yang mendalam yang menghasilkan :
1. Rasa cinta.
2. Penghargaan.
3. Penghormatan.
4. Ketaatan.
“Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim
terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka
sesuatu keberatan terhadap sesuatu keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan
sepenuhnya”. (QS An Nisaa’ : 65)
Pemimpin adalah unsur penting dalam dakwah dan tidak ada dakwah tanpa kepimpinan. Kadar ‘tsiqah’
yang timbal balik antara pemimpin dengan yang dipimpin menjadi neraca yang menentukan sejauh
mana :
1. Kekuatan sistem organisasi.
2. Ketahanan perancangannya.
3. Keberhasilannya mewujudkan tujuan.
4. Keteguhannya dalam menghadapi tentangan.
‘Tsiqah’ kepada pemimpin adalah segala-galanya dalam keberhasilan dakwah. Untuk mengetahui kadar
ketsiqahaan dirinya terhadap mas’ulnya, bertanyalah kepada diri sendiri dengan tulus mengenai
beberapa perkara berikut :
1. Sejauhmana kita mengenali mas’ul tentang riwayat hidupnya.
2. Kepercayaan terhadap kapasiti dan keikhlasannya.
3. Kesediaan menerima perbezaan pendapat dengan mas’ul apabila mas’ul telah memberi
perintah atau larangan yang berbeza dengan pendapat kita.
4. Kesiapan untuk meletakkan seluruh aktiviti dakwahnya dalam kendalian mas’ulnya.
KETIGA : ILTIZAM.
Seorang anggota mestilah berusaha untuk menjaga serta meneruskan iltizam atau komitmennya kepada
kepimpinan dan organisasi dengan jalan keterbukaan dalam memberi informasi akan keadaan dirinya
secara objektif sehingga terjaga pula hubungan ruhiyah dan amaliyah dalam ruang lingkup
berorganisasi.
Sebenarnya bergerak dalam suatu organisasi adalah tugas, tanggungjawab dan amanah yang mesti
dipikul oleh pemimpin beserta seluruh anggotanya.
Kesemuanya mesti dikoordinasikan secara rapi ibarat sebuah bangunan yang kukuh. Tidak boleh saling
membiarkan, berperilaku bahaya atau saling membahayakan. Tidak menyimpang dari organisasi atau
hilang dari peredaran organisasi dalam kurun waktu tertentu. Mesti ada jalinan komunikasi yang efektif
serta terus menerus bergaul mesra.
Ustaz Mustafa Masyhur pernah memberi ‘taujihat’ yang luar biasa:
“Mutu organisasi bergantung kepada mutu ‘harakah’ (gerakan), mutu ‘harakah’ bergantung kepada
mutu ‘musyarakah’ (pergaulan), mutu ‘musyarakah’ bergantung kepada mutu ‘muhawarah’
(komunikatif, saling mempunyai sikap keterbukaan) dan mutu ‘muhawarah’ bergantung kepada
bagaimana mutu ukhuwahnya (persaudaraannya)”.
KEEMPAT : MEMILIKI SIKAP ‘IHTIRAM’ (MENGHORMATI) KEPIMPINAN.
Memuliakan dan menghormati mas’ul tidak semata-mata didasarkan kepada diri mas’ul itu semata-
mata tetapi kerana dirinya dipandang sebagai lambang organisasi yang mengibarkan bendera Islam
untuk menyerukan hidayah kepada umat manusia. Setiap gerakan yang merugikan kedudukan
pemimpin akan merusak citra dan keutuhan organisasi.
Bukanlah suatu ciri ‘feudalisma’ jika kita menghormati orang atasan kita yang memang layak dihormati
apalagi ia sekaligus berfungsi sebagai orang tua, guru, syeikh dan ketua.
Bukankah Islam mengajarkan kita menghormati orang yang lebih tua dari kita dan banyak memberikan
kebaikan untuk kita seperti orang tua, guru, syeikh dan ketua.
KELIMA : MEMBERI NASIHAT, MASUKAN, SARANAN DAN KRITIKAN SECARA HALUS DAN SEMBUNYI-
SEMBUNYI DAN TIDAK SECARA TERBUKA.
Memang tidak boleh dimungkiri lagi bahwa kepimpinan adalah juga manusia biasa yang mempunyai
kekurangan dan kelemahan, namun bila kita ingin mengkritik atau memberi nasihat, hendaklah dengan
memperhatikan adab agar martabat atau kemuliaannya sebagai kepimpinan tidak terjejas di hadapan
orang lain.
Di antara sifat mu’min adalah suka nasihat menasihati dengan kebenaran dan saling berwasiat dengan
kesabaran. Ketinggian kedudukan mas’ul tidak boleh menjadi penghalang untuk itu dalam rangka untuk
memperbaiki amal dan menghindarkan hal-hal yang negatif. Tidak boleh merasa berat dalam memberi
nasihat, begitu juga mas’ul mesti berlapang dada dan bersyukur dalam menerimanya.
“Agama itu adalah nasihat. Kami bertanya, ‘untuk siapa?’ Rasulullah saw menjawab, ‘Bagi Allah,
RasulNya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan orang orang awamnya’” (HR Muslim)
Adapun adab yang mesti kita jaga dalam memberi nasihat kepada mas’ul adalah dengan memilih
ketepatan suasana dan cara.
Paling tidak ada tiga perkara yang perlu diperhatikan :
1. Berilah nasihat dalam bentuk yang paling baik dan nasihat tersebut hendaknya diterima
menurut bentuknya.
2. Menasihatinya secara diam-diam bererti telah menghormati dan memperbaikinya kerana jika
kita menasihatinya dengan cara terang-terangan di hadapan orang ramai, seolah-olah kita telah
memalukannya dan merendahkannya.
3. Tatkala memberi nasihat, hati atau niat kita tidak boleh berubah walau sehelai rambut pun.
Tidak merasa lebih mulia atau menganggap diri seperti guru sehingga menjadikan objek nasihat
seolah-olah seorang pesakit yang penuh dengan kekurangan. Rasa cinta dan hormat kepadanya
tidak boleh berkurang sedikitpun.
Ya Allah, sesungguhnya kami bersyukur berada di dalam suatu organisasi dakwah yang mempunyai
ikatan yang kukuh antara anggotanya dengan kepimpinannya. Bersihkanlah hati kami serta luruskanlah
tujuan kami sehingga kami mampu berinteraksi dengan baik di antara elemen-elemen yang wujud di
dalam organisasi ini dengan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan dalam Islam sehingga setiap
anggota mendapat manfaat yang besar dari organisasi ini yang akan menyebarkan dakwah ke seluruh
pelusuk bumi dan mendokong DeenMu di muka bumi ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
Interaksi Dalam Organisasi (Bah II)
Sesungguhnya kita perlu mengenal saudara-saudara pendakwah kita dengan pengenalan yang sempurna
sebagaimana firman Allah swt :
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara.” (QS Al Hujurat : 10)
Setelah berlalu generasi pertama umat Islam, ‘Ukhuwah Islamiyah’ atau persaudaraan Islam telah
menjadi sekadar kata-kata penghias bibir kaum muslimin atau khayalan yang bersarang di benak
mereka, namun kita perlu mengusahakan kembali kemunculannya serta berusaha untuk
menerapkannya di kalangan kita dan menginginkan kembalinya ikatan umat yang saling bersaudara
dengan jiwa “Ukhuwah Islamiyah”.
Memang, kalau kita teliti dengan mendalam, untuk menghidupkan persaudaraan Islam di dalam
masyarakat, kita seharusnya mewujudkannya terlebih dahulu dalam kalangan kita sendiri.
“Ikhwah” bererti saudara sedarah atau sekandung. Setiap mu’min kita jadikan sebagai saudara
sekandung kita melebihi dari sekadar teman atau sahabat karib.
Rukun ‘Ukhuwah’ adalah ‘ta’aruf’, ‘tafaahum’ dan ‘takaaful’.
Ta’aruf yang sempurna adalah dengan mengenali seluruh jati dirinya meliputi :
1. Fizikalnya.
2. Pola berfikirnya.
3. Jiwanya.
C. INTERAKSI DENGAN SAUDARA-SAUDARA SEPERJUANGAN (IKHWAH)
Kita juga dituntut untuk memiliki adab yang benar dalam berinteraksi terhadap sesama anggota
organisasi.
Beberapa perkara di bawah ini penting untuk diwujudkan dalam interaksi dengan sesama anggota agar
suasana ‘ukhuwah’ benar-benar tercipta di dalam organisasi.
PERTAMA : Sentiasa ‘husnuz zhan’ (bersangka baik) dan bahkan berusaha mencari-cari alasan untuk
membelanya jika ada orang lain yang menuduh saudaranya tanpa alasan yang benar.
KEDUA : Memperlihatkan ‘mahabbah’ atau rasa cinta pada mereka dan berusaha menahan emosi atau
memaklumi kelalaian-kelalaian mereka.
“Janganlah kamu meremehkan perbuatan ma’ruf sedikitpun, walaupun sekadar menunjukkan wajah
yang berseri ketika bertemu dengan saudaramu”. (HR Muslim)
“Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah menyukai
orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS Ali Imran : 134)
Manusia adalah objek kepada berlakunya kesalahan dan kelalaian. Samada diri kita mahupun saudara
kita tidak luput dari sifat ini. Adalah tidak adil jika kita memarahi saudara kita apalagi memutuskan
hubungan dengannya ketika ia lalai.
Justeru yang paling baik adalah dengan menasihatinya. Setinggi-tinggi martabat pergaulan adalah
dengan tetap menjalin kasih sayang samada ketika lalai mahupun ingat kerana itu adalah salah satu dari
ciri-ciri kehidupan masyarakat muslim.
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah bersikap keras
terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.” (QS Al Fath : 29)
Bahkan kadangkala kecintaan itu kita ikrarkan.
Sabda Rasulullah saw :
“Jika seseorang mencintai saudaranya, maka beritahukanlah kepadanya bahwa ia mencintainya
kerana Allah.” (HR Abu Dawud)
Sedangkan anjuran untuk menahan marah cukuplah nasihat Rasulullah saw ketika seseorang datang
kepada beliau dan berkata:
“Nasihatilah saya!, kemudian Nabi saw bersabda: “Jangan marah”, kemudian orang itu meminta
mengulangi nasihat lagi, jawab Nabi : “Jangan marah” (HR Bukhari).
Marah itu menghimpun berbagai kejahatan dan setiap kejahatan membawa dosa sedangkan
menahannya adalah menangkis dosa yang bererti memetik pahala syurga.
Rasulullah saw bersabda :
“Siapa yang menahan marah padahal ia mampu memuaskannya, maka kelak di hari kiamat Allah akan
memanggilnya di depan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya.”
(HR Abu Daud dan At Tirmizi)
KETIGA : Mendoakan mereka ketika kita berpisah atau sedang tidak bersama mereka.
Dalam hadits disebutkan doa seorang muslim untuk saudaranya ketika berpisah atau sedang tidak
bersamanya adalah mustajab. Di sisi kepalanya ada malaikat yang setiap kali ia berdoa untuk saudaranya
meminta kebaikan berkata malaikat : “Amin dan bagimu hal yang seperti itu pula.”
“Mintalah ampun untuk dosamu sendiri dan untuk kaum muslimin lelaki dan perempuan” (QS
Muhammad : 19)
‘Ukhuwah Islamiyah’ yang telah dibina oleh Rasulullah saw setelah berhijrah ke Madinah adalah
sesuatu yang nyata dan bukan hanya seruan di bibir semata-mata.
a. Mereka saling mengutamakan keperluan saudaranya yang baru dibina itu.
b. Mereka saling memberikan harta bahkan jiwanya untuk sebuah persaudaraan kerana Allah swt.
c. Mereka juga menitipkan doa sesama mereka.
“Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa: “Ya
Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu
dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-
orang yang beriman” (QS Al Hasyr : 10)
Abu Darda’ ra berkata bahwa Rasulullah saw bersabda :
“Doa seorang muslim untuk saudaranya di luar pengetahuan yang didoakan itu doa yang mustajab, di
atas kepala orang yang berdoa itu ada Malaikat yang ditugaskan supaya tiap kali ia berdoa baik untuk
saudaranya itu supaya disambut: ’amin wa laka bi mitslin’ (semoga diterima dan untukmu sendiri
seperti itu).” (HR Muslim)
KEEMPAT : Tolong-menolong sesama saudara seperjuangan sebagai realisasi ‘ukhuwah’.
"Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim atau dizalimi." (Al Hadits)
yakni engkau menghalanginya dari berbuat kezaliman atau membebaskannya dari penganiayaan.
KELIMA : Mengakui dan menghargai bantuan mereka di waktu lapang dan sempit, serta merasakan dan
menyedari bahwa kekuatannya, tidak dapat bergerak dengan sendirinya tanpa saham dan bantuan
saudaranya yang lain seperti isu yang dialami dalam masaalah pekerjaan, penyimpangan atau terkena
fitnah.
KEENAM : Tidak menyukai atau tidak rela jika saudaranya berada dalam bahaya dan bersegera berbuat
untuk mencegah atau menolak dan menyelamatkan saudaranya tersebut dari bahaya.
KETUJUH : Memberikan ‘tadhiyah’ (pengorbanan) terhadap sesama saudara seperjuangan.
Imam Hasan Al Basri berkata :
"Tidak ada yang kekal dalam kehidupan ini, kecuali tiga perkara :
1. Saudaramu yang kau dapati berkelakuan baik.
2. Apabila engkau menyimpang dari jalan kebenaran ia meluruskanmu dan mencegahmu dari
keburukan. Tidak ada seorang pun selainnya yang mengawalmu.
3. Solat berjamaah menghindarkanmu dari melupakannya dan meraih ganjarannya."
Berkata Harits Al Muhasibi : “Ketahuilah orang yang menasihatimu sungguh dia mencintaimu dan barangsiapa yang memuji kamu maka dia menipumu / mengujimu dan siapa yang tidak menerima nasihatmu bukanlah saudaramu.”
KELAPAN : Mempermudahkan urusan-urusan yang sukar. Salah satu dari ciri seorang muslim adalah suka mempermudahkan segala urusan yang dialami oleh saudaranya. “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesulitan.” (QS Al Baqarah : 185) “Ajarilah olehmu dan mudahkanlah olehmu dan jangan kamu mempersukarkan, dan jika salah seorang di antara kamu ada yang marah, maka hendaklah kamu diam.” (HR Bukhari) Dari Ummul Mu’minin ra: “Jika menghadapi dua perkara, Rasulullah akan memilih yang termudah, jika kiranya tidak mengandungi dosa. Maka jika urusan itu mengandungi dosa, seluruh manusia harus menjauhinya. Dan apa yang menjadi pendirian Rasulullah saw dalam menghadapi sesuatu, ialah tidak membalas dendam kepada siapapun jika yang disakiti itu hanya dirinya sendiri, kecuali jika larangan Allah telah dilanggar, maka beliau akan marah, dan membalasnya semata-mata hanya kerana Allah.” (HR Muttafaq ‘alaih) Abu Qatadah ra berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda : “Barangsiapa yang memudahkan kesulitan muslim lainnya, untuk mendapatkan keselamatan dari Allah dari kesulitan-kesulitan hari kiamat, maka mudahkanlah kesulitan (orang lain) atau melepaskan bebannya.” (HR Muslim) E. INTERAKSI DENGAN PENDUKUNG DAKWAH (MUA’YYIDIN) Seorang anggota organisasi adalah seorang ‘murabbi’ bagi para ‘mutarabbinya’. Ia menjadi pintu gerbang yang akan menghantarkan ‘mutarabbinya’ ke dalam organisasi.
Untuk mampu menjadi daya tarikan dalam merekrut dan menghantarkan pendukungnya ke dalam organisasi, ia dituntut agar dapat berinteraksi dengan baik dan tepat dengan ‘mutarabbinya’ di antaranya ialah : PERTAMA : Menghargai dan menempatkan diri ‘mutarabbi’ secara seimbang atau seadilnya. Mereka bukan segala-galanya atau yang paling hebat dan penting sehingga seolah-olah tidak akan ada yang boleh menggantikan mereka. Tetapi tidak pula meremehkannya, merendahkannya atau menempatkannya secara tidak adil di tempat yang tidak bernilai atau rendah dan tidak sesuai dengan mereka sehingga terkesan tidak menghargai potensi dan bakat mereka. KEDUA : Mendahulukan perkara yang paling penting di atas semua perkara yang penting atau menggunakan skala keutamaan dan yang pertama mesti dilakukan adalah menumbuhkan akidah di hatinya. KETIGA : Berhemat dalam menasihati ‘mutarabbi’ sehingga mampu masuk dan meresap ke dalam hatinya. KEEMPAT : Meninggalkan cara-cara yang keras atau kasar walaupun dengan hujah yang benar. KELIMA : Menghindarkan diri dari jawaban secara langsung atau terus kepada fakta atau sanggahan yang boleh mematahkan. KEENAM : Menghindarkan diri dari penghancuran potensi dalam merawat atau mengatasi permasalahan ringan atau dengan jalan memberi bebanan berat yang tidak seimbang serta tidak mendidik. KETUJUH : Hati-hati terhadap pemborosan tenaga. Hendaklah kita memperhatikan tingkat kecerdasan dan ilmu ‘mutarabbi’ sehingga tidak perlu berpanjang-panjangan dalam membahas perkara yang sudah jelas. KELAPAN : Setiap perkataan memiliki tempatnya masing-masing dan setiap tempat memiliki jenis perkataan yang sesuai. Rasulullah saw bersabda : “Berbicaralah pada manusia sesuai dengan kemampuan akal mereka." KESEMBILAN : Mempelajari keadaan mereka dan mengenali permasalahan–permasalahan mereka. Contohnya, sebagai seorang murabbi, ia tidak terus mencerca apabila ‘mad'u’ terlambat datang kerana boleh jadi ada uzur syar'ie yang tidak dapat diatasinya. Kemudian tidak mencari-cari kesalahan dalam pekerjaannya dan tidak membebankan dirinya dengan bebanan yang tidak sanggup ditanggungnya kerana ada pepatah mengatakan bahwa : “Bandar tidak dibangunkan dalam waktu satu hari.”
KESEPULUH : Jadilah contoh tauladan baginya dalam segala situasi. KESEBELAS : Berterusan mendakwahkannya hingga nampak hasilnya. F. INTERAKSI DENGAN PENDIDIK (MURABBI) Seorang anggota kebiasaannya masuk ke dalam organisasi kerana jasa murabbinya. Perkara ini tidak akan pernah hilang dari catatan malaikat ‘Raqib’ sehingga sayugialah, catatan ini tidak terhapus dari fikiran ‘mutarabbi’ tersebut. PERTAMA : Menghormati mereka kerana walaubagaimanapun, Allah telah menjadikan mereka sebagai sebab kepada bergabungnya kita menjadi anggota organisasi tersebut. Dengan kata lain merekalah yang telah menghantarkan kita masuk ke dalam organisasi ini walaupun kini kita telah menyamai atau bahkan mungkin melebihi atau melampaui mereka dalam perkara kewajiban organisasi, misalnya. KEDUA : Sesungguhnya mereka tetap guru kita dan bukan mantan guru atau sekadar orang yang pernah menjadi guru kita. KETIGA : Terus mengingati kebaikan-kebaikan mereka dan melupakan kelemahan-kelemahan mereka jika memang ada. Akhirnya, jika kesemua interaksi dengan keseluruhan elemen-elemen organisasi itu terjalin dengan baik, insyaAllah akan terpeliharalah kekukuhan iltizam kita dengan organisasi itu sendiri. Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebijaksanaan sehingga kami mampu berinteraksi dengan setiap elemen di dalam organisasi ini dengan sempurna dan seadilnya tanpa kami mengurangi hak-hak yang sepatutnya dimiliki oleh mereka yang berhak. Bantulah kami dalam usaha kami untuk merealisasikan semula makna “Ukhuwah Islamiyah” di kalangan kami dan dalam organisasi kami sehingga moto ‘Ukhuwah Teras Kegemilangan” benar-benar hidup dan mengeluarkan haruman yang wangi di dalam taman-taman ikatan hati yang segar dan mekar kelopaknya. Ameen Ya Rabbal Alameen WAS