Globalisasi Pendidikan Di Malaysia
Transcript of Globalisasi Pendidikan Di Malaysia
Globalisasi Pendidikan Di Malaysia
(1) Pengenalan
Negara kita merupakan sebuah Negara yang kian membangun dan
mengembang selepas era kemerdekaan. Dalam usaha untuk mencapai
kegemilangan dalam aspek politik, sosial dan ekonomi di Malaysia, haruslah
diingati bahawa salah satu aspek penting yang perlu diberi penekanan adalah
sistem pendidikan di Negara kita. Ini menjelaskan sebab Negara Malaysia
telah memberi penekanan berat terhadap pendidikan kerana percayai
bahawa pendidikan memainkan peranan kritikal dalam mencapai visi Negara.
Sesungguhnya, pendidikan dapat dijadikan sebagai :
“wadah untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat iaitu melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai-nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan para pelajar.”
(Muhammad Hilmi etc., 2006:1)
Justeru, wujudnya satu cabaran kepada para pendidik di Negara kita
supaya menyediakan perkhidmatan pendidikan bermutu, berkualiti dan
bertaraf dunia demi merealisasikan potensi individu sepenuhnya dan
mencapai aspirasi Negara Malaysia. Para pendidik yang dimaksudkan, sudah
tentu tidak lain tidak bukan merujuk kepada para guru yang menjawat di
institusi sekolah, dimana mereka sebenarnya sedang memikul suatu amanah
untuk menjalankan tanggungjawab mereka terhadap hal-hal pendidikan di
Negara kita. Namun, laluan ke arah menjayakan amanah ini sudah pasti
menemukan banyak isu dan cabaran pendidikan.
Menurut Kamus Dewan (2007), isu merujuk kepada “perkara pokok
atau persoalan yang dibincangkan” , manakala cabaran pula bermakna “
sesuatu unsur atau faktor yang menguji kemampuan dan ketabahan sesuatu
organisasi.” Dalam perkataan lain, dalam usaha mencapai pembentukan
sistem pendidikan bermutu dan berkualiti,organisasi yang diamanahkan untuk
melaksanakan tugas ini telah menghadapi satu ujian, dimana individu-individu
yang tertakluk dalam organisasi tersebut diuji untuk memastikan mereka
1
mempunyai kemampuan dan ketabahan yang kuat bagi menghadapi
kekangan dalam usaha tersebut.
Secara khususnya, beberapa cabaran berkaitan dengan pendidikan
Negara kita dapat dikenal pasti dan persoalan-persoalan ini sebenarnya
merupakan isu hangat di Malaysia. Antaranya isu yang dapat dikenal pasti
ialah intergrasi nasional, pendemokrasian pendidikan di Negara kita, tonggak
pendidikan UNESCO, globalisasi pendidikan, kepelbagaian budaya, pengaruh
perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan dan
gejala sosial (Noriati A. Rashid etc., 2010:2). Bagi mengenali dan
menganalisis isu dan cabaran pendidikan di Negara kita secara lebih
mendalam, topik globalisasi pendidikan telah dipilih dan dibincang pada
penulisan lanjutan.
1.1 Apakah maksud globalisasi pendidikan?
Globalisasi merupakan “fenomena yang menjadikan dunia kelihatan
mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan
perkembangan teknologi maklumat” (Kamus Dewan Edisi Ketiga). Ini
bermakna dalam era globalisasi ini, dunia kita telah dikecilkan ruangnya
daripada yang asal. Jika dahulu dunia ini seluas mata memandang dan
dipagari dengan sempadan-sempadan namun kini ia tidak berlaku lagi. Dunia
kini tidak bersempadan geografi tetapi pengaruh globalisasi telah membawa
kesan menjangkau sempadan ekonomi, teknologi, bahasa, budaya, ideologi,
politik dan dari semua aspek kehidupan sesebuah masyarakat.
McGrew (1992) dalam Matthew Adams (2007) telah menggambarkan
globalisasi sebagai “intensification of global interconnectedness.” Dalam
konteks ini, McGrew telah menyatakan peningkatan hubungan jaringan global
pada wakti ini telah membuat sempadan Negara tidak lagi menjadi rintangan
dalam kehidupan kita. Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) pula memberi
pengertian globalisasi sebagai satu proses yang membolehkan sesuatu
aktiviti seperti ekonomi dan kebudayaan dan lain-lain disebarkan ke peringkat
antarabangsa terutamanya melalui kemudahan sistem komunikasi, dasar
2
terbuka dan sebagainya. Maka, globalisasi secara ringkasnya dapat
diterangkan sebagai “satu transisi meletakkan dunia di bawah satu unit yang
sama tanpa dibatasi oleh sempadan atau kedudukan geografi sesebuah
Negara” (Mohd Aliff, 2011).
Jika dilihat perspektif dunia pendidikan, penglobalisasian pendidikan
dapat diertikan sebagai pengubahan sikap atau tatalaku seseorang individu
atau sekelompok manusia melalui dunia tanpa sempadan dan saling
berkaitan antara satu sama lain. Penglobalisasian pendidikan juga boleh
didefinisikan sebagai proses menyingkirkan batasan atau sempadan antara
Negara supaya mewujudkan dunia terbuka dan tanpa sekatan dalam hal-hal
latihan dan pengajaran di sebuah institusi pengajaran dan sekolah.
1.2 Penglobalisasian Pendidikan Di Malaysia
Jika diteliti fenomena di Negara kita, Malaysia merupakan sebahagian
daripada komuniti kehidupan global yang pada realitinya tidak terlepas dari
menghadapi transformasi akibat penglobalisasian. Sehubungan itu, Mahatir
Mohamad (2002), bekas Perdana Menteri Malaysia mempunyai satu senarai
semak untuk menjelaskan kesan atau hasil daripada fenomena kesan atau
hasil daripada fenomena globalisasi ini. Kesungguhan kerajaan dalam
menyahut panggilan globalisasi dapat dilihat melalui penubuhan Koridor Raya
Multimedia (MSC) di Negara kita.
Walaupun secara umumnya, globalisasi itu nampaknya memberi
kesan kepada ekonomi Malaysia, namun impak globalisasi terhadap bidang
lain seperti pendidikan, juga tidak dapat dinafikan. Merujuk kepada petikan
Rancangan Malaysia Kesembilan 2006, “Pendidikan merupakan bidang yang
akan menerima kesan atau impak yang terus dari era globalisasi kerana
pendidikan adalah berkait dengan pembangunan sumber manusia yang amat
dipengaruhi oleh persekitarannya.” Dengan perkataan lain, sistem pendidikan
di Negara kita telah sedikit sebanyak mengalami perubahan akibat daripada
pengaruh globalisasi ini.
3
Antara pengaruh yang paling ketara adalah penggunaan Bahasa
Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantarabangsaan, pendidikan
Negara terbuka kepada dunia luar, pertumbuhan cawangan universiti luar di
dalam Negara kita, peluang pendidikan semakin banyak dengan penubuhan
institusi pengajian tinggi swasta, pentingnya pengajaran Sains dan Teknologi,
pembelajaran menggunakan teknologi untuk menguasai ledakan maklumat,
perubahan peranan guru di dalam bilik darjah dan pembudayaan teknologi
dalam pelaksanaan tugasan harian (Noriati A. Rashid, 2010:18).
Persoalannya sekarang, adakah impak-impak dalam bidang
pendidikan akibat penglobalisasian pendidikan di Negara kita ini telah
membawa satu arus atau pengaruh yang baik serta memanfaatkan kepada
klien yang tertakluk kepada sistem pendidikan Malaysia? Ataupun
sebenarnya impak-impak ini telah memberi kesan negatif kepadanya?
Persoalan ini sering diungkapkan, memandangkan senario kesan globalisasi
pendidikan semakin hangat di Negara kita, sehinggakan telah timbulnya isu-
isu berkaitan dengan tajuk ini.
(2) Perkembangan dan Implikasi
2.1 Isu : Globalisasi pendidikan telah mencabar kepakaran guru?
Antara isu yang sering dikemukakan akibat penglobalisasian
pendidikan di Malaysia adalah globalisasi pendidikan ini telah mencabar
kepakaran guru. Globalisasi sebagai makna cara hidup dunia tanpa
sempadan dan saling berkaitan antara satu sama lain telah menyebabkan
dunia pendidikan kita ini menghadapi keterbukaan terhadap semua pihak
tidak kira pengajar atau pelajar. Menurut kata-kata sesetengah pihak,
Malaysia sebagai salah sebuah Negara yang menerima impak hasil dari
ledakan globalisasi juga telah mengalami situasi kebanjiran maklumat, akses
mudah serta layaran tanpa bayaran ke alam siber yang mana ini telah
membawa kepada isu bahawa penglobalisasian pendidikan di Malaysia telah
mencabar kepakaran guru. Namun,adakah benar ini mencabar guru sebagai
seorang yang berprofesional?
4
Seperti mana yang kita bincangkan sebelum ini, penglobalisasian
pendidikan ini sebenarnya membuka ruang kepada murid-murid untuk
mengetahui dan mempelajari sesuatu yang di luar sukatan pelajaran.
Tuntasnya ada yang akan bersetuju bahawa guru era globalisasi yang
menjawat di sekolah harus mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang
lebih mantap berbanding guru pada zaman dahulu. Jikalau guru-guru zaman
dahulu hanya menyediakan rancangan pengajaran berdasarkan apa yang
terkandung dalam Huraian Sukatan Pelajaran, guru-guru sekarang
sememangnya tidak dapat melakukan sebegitu lagi. Penyediaan pelaksanaan
proses Pengajaran dan Pembelajaran dengan merujuk kepada Huraisan
Sukatan Pelajaran dipercayai adalah tidak memadai untuk memenuhi
kepuasan murid-murid pada zaman sekarang. Barang-kali, apa yang
disampaikan oleh guru dalam kelas sudah diketahui atau dipelajari oleh
murid-murid melalui pelayaran internet justeru menyebabkan mereka tidak
lagi berminat dengan penyampaian pelajaran guru.
Omar Hashim (1991: 428-429) telah mengemukakan pendapat beliau
seperti berikut:
“Apakah antara kemahiran yang harus ada pada seseorang guru sebagai persediaan abad 21 ini? …Para guru harus mempunyai bekalan secukup-cukupnya baik dari segi kemahrian mahu pun pengetahuan. Guru abad 21 mestilah merupakan pendidik serba boleh serta lincah dalam beberapa kemahiran termasuk keupayaan menggunakan media elektronik serta computer untuk meningkatan keberkesanan pengajaran mereka.”
Memang tidak dapat dinafikan bahawa penglobalisasian pendidikan
telah menambahkan bebanan tugas dan tanggungjawab seorang guru. Beliau
bukan sahaja perlu berusaha menguasai segala pengetahuan dan kemahiran
dalam komputer agar dirinya sendiri dapat mengakses maklumat terkini
dalam dunia global, malah guru tersebut juga perlu menyediakan bahan bantu
mengajar yang lebih mendalam atau luar dari sukatan pelajaran yang
difikirkan sesuai, supaya kepuasan diri murid dapat dipenuhi. Tugas-tugas ini
sememangnya menjadi satu tugas yang mencabar terutamanya kepada guru-
5
guru yang telah berusia. Bahkan timbulnya isu globalisasi pendidikan telah
mencabar kepakaran guru.
Namun, pada pendapat penulis, golongan pendidik seharusnya
mengubah pemikiran tersebut ke suatu cara fikir yang lebih positif.
Sebenarnya, globalisasi pendidikan di Malaysia secara tidak langsung telah
menyediakan diri murid lebih bersedia untuk belajar, dan guru lebih bersedia
untuk mengajar dalam sesuatu bidang ilmu. Contohnya, jika guru perlu
menyediakan rancangan pengajaran yang lebih menarik berbanding zaman
dahulu, bukankah ini sebenarnya memberi peluang kepada guru-guru di
sekolah untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan sendiri dalam
bidang yang diceburi masing-masing? Dalam konteks ini, sekiranya guru
sanggup menerima sahut dan cabaran akibat globalisasi pendidikan di
Negara kita, sudah pasti beliau akan berusaha untuk menguasai dan
meningkatkan kemampuan diri dalam bidang kepakaran masing-masing,
malah dalam bidang luar pakar mereka juga.
Menurut Stonier (1981, dalam Perkins, 1992), tenaga kerja yang
terlatih akan belajar memanfaatkan teknologi, manakala golongan yang
selesa di bawah tempurungnya akan menjadi mangsanya. Jadi
penglobalisasian pendidikan di Negara kita sebenarnya telah memberi nafas
baru kepada guru-guru untuk menangani fenomena baru dalam sistem
pendidikan yang lebih mencabar dalam ‘sistem langit terbuka ini (Lee, 1997).
Natijahnya, pada pendapat penulis, penglobalisasian pendidikan di Negara
kita bukan sahaja tidak mencabar kepakaran guru tetapi secara tidak
langsung memberi peluang kepada guru-guru di sekolah untuk meningkatkan
penguasaan kemahiran dan ilmu serta memartabatkan profesion keguruan.
6
2.2 Isu: Globalisasi pendidikan mencabar kewibawaan Bahasa Melayu
sebagai identiti dan keunikan Negara kita?
Hallinger (1998), seorang penulis dalam terbitan jurnal beliau telah
menyatakan bahawa globalisasi telah mendorong Negara untuk mencari
makna terhadap kualiti pendidikan dan juga kurikulum yang ditawarkan,
malah ada pula Negara yang terpaksa mengalami transformasi yang agak
radikal bermula sekitar tahun 1990-an sebagai reaksi kepada perubahan di
peringkat global tersebut. Selaras dengan transformasi tersebut, sistem
pendidikan di Malaysia juga telah membuat beberapa pengubah-suaian
kurikulum bagi menyediakan murid-murid di Negara kita supaya dapat
menyesuaikan diri dalam era global kelak. Antara pengubah-suaian yang
paling ketara ialah apabila Bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran
bidang Sains dan Matematik di sekolah rendah dan sekolah menengah, atau
lebih dikenali sebagai “PPSMI”.
Kamal Shukri Abdullah Sani (2002) telah menyatakan dalam kajian
beliau bahawa fakulti yang menggunakan Bahasa Inggeris sehingga 91%
sebagai bahasa pengantar bagi kursus-kursus yang ditawarkan. Dalam
konteks ini, hanya 9% kursus yang menggunakan Bahasa Melayu untuk
pendidikan di peringkata menengah atas di Negara kita. Dengan erti kata
yang lain, kepentingan Bahasa Inggeris akibat penglobalisasian pendidikan
tidak dapat dinafikan dan Bahasa Melayu kini bukanlah satu-satunya bahasa
ilmu yang digunakan di Negara kita.
Pelaksanaan dasar PPSMI serta pengaruh penggunaan Bahasa
Inggeris sebagai salah satu bahasa ilmu di Malaysia akibat globalisasi
pendidikan ini sekali lagi telah menimbulkan isu yang mana wujudnya kata-
kata suara yang menegaskan bahawa kewibawaan Bahasa Melayu sebagai
keunikan dan identiti Negara kita telah tercabar memandangkan penggunaan
Bahasa Inggeris yang pesat dalam pengajaran bidang Sains dan Teknologi.
Persoalannya sekarang, adakah benar bahawa kedaulatan Bahasa Melayu
akan tergugat dengan penggunaan Bahasa Inggeris yang semakin pesat itu?
7
Pada pendapat penulis, fenomena globalisasi pendidikan ini tidak
membawa kesan negatif seperti yang dinyatakan. Cabaran kehidupan global
village dan bordless world ini sesungguhnya telah memberi impak positif
kepada kehidupan pelajar dalam perkampungan global ini. Pertalian yang
signifikasi telah wujud sesama manusia seluruh dunia melalui perkembangan
teknologi serta komunikasi dan perhubungan yang wujud. Penulis
berpendapat bahawa penglobalisasian pendidikan sebenarnya tidak
mencabar kewibawaan Bahasa Melayu sebagai identiti dan keunikan Negara
kita.
Mungkin ada yang menyatakan bahawa pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia juga sudah terikut-ikut dengan arus perubahan akibat globalisasi
pendidikan ini yang mana pihak kementerian telah melaksanakan strategi
penggunaan Bahasa Inggeris dalam proses pengajaran dan pembelajaran
bagi mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan di sekolah
menengah. Sebenarnya ini hanya menunjukkan usaha kementerian untuk
menyediakan murid-murid di Malaysia supaya menghadapi persekitaran
global terutama berkaitan dengan perkembangan Sains dan Teknologi
bertaraf antarabangsa. Tetapi pada masa yang sama, mata pelajaran yang
lain masih diajar dengan Bahasa Melayu. Dengan erti kata lain, murid-murid
masih perlu berfasih dalam Bahasa Kebangsaan Negara kita kerana mereka
masih perlu mempelajari mata pelajaran dalam Bahasa Malaysia lagi.
Jadi penulis ingin memberi pandangan sendiri bahawa
penglobalisasian pendidikan di Negara kita memang memberi pengaruh
kepada sistem pendidikan di Negara kita dengan memberi peluang kepada
murid untuk memperkayakan perbendaharaan melalui dunia bahasa orang
lain, tetapi pengaruh tersebut tidak sampailah dapat mencabar atau
mengugat kewibawaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi di Malaysia.
Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa
kedua di Negara kita sebenarnya memainkan peranan yang sama penting
tetapi berbeza. Bahasa Rasmi adalah alat penyatuan Negara, bahasa kedua
pula digunakan sebagai alat komunikasi dengan dunia luar. Masing-masing
tidak mencabar dan tidak mengugat sekiranya pengguna bahasa itu pandai
8
untuk membezakan peranan kedua-dua bahasa itu. Penglobalisasian
pendidikan sesungguhnya tidak mencabar kewibawaan Bahasa Malaysia
sebagai Bahasa Kebangsaan Negara kita tetapi sebenarnya memberi
peluang kepada murid-murid untuk membuka mata, menimba ilmu secara
lebih mendalam, malah memperkayakan intipati kesenian bahasa rasmi
Negara kita melalui sumber yang berbeza.
Apabila kita menyebut mengenai bahasa, sudah pasti kita akan
mendengar ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa”. Dengan ini, banyak yang
mengatakan bahawa “jiwa Malaysia” telah mulai hilang dengan penggunaan
Bahasa Inggeris yang pesat akibat globalisasi pendidikan. Namun, pada
pandangan penulis, masalah itu sememangnya tidak wujud. Memang tidak
dapat dinafikan bahawa penglobalisasian pendidikan di Malaysia telah
memberi peluang kepada pengaruh asing untuk terdedah kepada masyarakat
Malaysia. Namun, pengaruh tersebut sebenarnya merupakan suatu impak
positif kepada Negara kita. Walau apa pun rakyat kita menerima dan
membuka mata dengan budaya Negara-negara Barat, keunikan dan identiti
Negara kita tidak tercabar dengan pendedahan tersebut, tetapi sebaliknya
memberi satu peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengenali perbezaan
budaya diri kita sendiri dengan budaya asing. Pemahaman dan pengetahuan
mengenai budaya Negara asing sebenarnya mengajar kita lebih mengetahui
siapa diri kita sebenarnya, dan seterusnya lebih bangga dengan identiti dan
menghayati keunikan Negara kita. Ini secara tidak langsung telah menyuntik
semangat patriotism, memupuk jiwa kewarganegaraan malah membantu
mengukuhkan identiti dan keunikan Malaysia. Justeru, penulis kurang
bersetuju dengan kenyataan bahawa penglobalisasian pendidikan di Malaysia
mampu mencabar identiti dan keunikan Malaysia.
9
2.3 Isu: Globalisasi Pendidikan mempersoalkan kualiti guru?
Penglobalisasian pendidikan di Malaysia yang dimangkin oleh
perkembangan mendadak dalam teknologi maklumat telah mengakibatkan
satu lagi senario di Negara kita. Perkembangan infotek yang begitu pesat
telah menyebabkan leadakan maklumat serta prasarana maklumat menjadi
begitu hebat hasil daripada penggabungan high performance communication
dengan high performance computing (Sharifah Nor Puteh,1997). Menurut
Hamdan Said (2000), hal ini berlangsung di setiap penjuru glob ini. Dengan
perkataan lain, mana-mana pihak di rantau dunia ini mempunyai hak bukan
sahaja dalam mendapatkan maklumat, malah mereka berhak untuk berkongsi
maklumat dan ilmu dalam alam dunia tanpa sempadan ini. Memandangkan
hak muat naik dan muat turun yang begitu bebas pada era globalisasi ini,
timbulnya isu dimana kualiti guru dalam globalisasi pendidikan perlu
dipersoalkan.
Seperti mana yang dibincangkan sebelum ini, perkembangan pesat
pada era teknologi siber serta kebebasan hak setiap individu untuk
mendapatkan maklumat serta berkongsi maklumat telah memberi peluang
kepada sesiapa sahaja di sudut dunia ini memuat turun maklumat yang
disebarkan melalui internet, serta memuat naik maklumat yang difikirkan ingin
berkongsi bersama komuniti seluruh dunia. Menurut Akta Pendidikan 1996:
“‘Guru’ ertinya seseorang yang –(a) Mengajar murid di sesuatu institusi pendidikan; atau(b) Menyediakan atau mengeluarkan bahan pelajaran atau
memeriksa jawapan yang dikembalikan di, bagi atau melalui pusat pendidikan jarak jauh”
Namun, apa yang kita lihat sekarang adalah sesiapa sahaja berhak
menjadi “guru” dalam alam maya. Tiada pihak yang akan meminta “guru”
tersebut untuk menunjukkan sijil kelayakan perguruan atau sijil bertauliah
beliau malah tiada sesiapa yang dapat membuktikkan bahawa ilmu
pengetahuan yang dikongsi di internet akibat penglobalisasian pendidikan itu
adalah benar dan tepat. Jadi, pada pandangan penulis, pengglobalisasian
pendidikan di Malaysia sememangnya menimbulkan isu bahawa kualiti guru
10
akan sememangnya dipersoalkan dengan kebebasan berkongsi maklumat di
dunia global ini.
2.4 Isu: Globalisasi Pendidikan mencabar pembentukan jati diri masyarakat
Malaysia?
Jati diri bermaksud sifat atau ciri yang unik dan istimewa dari segi adat,
bahasa, budaya dan agama (Kamus Dewan, 2005). Menurut Datuk Seri
Utama Dr. Rais Yatim pula, jati diri ialah unsur-unsur kehidupan yang
mencerminkan lahiriah individu atau masyarakat. Ia merupakan “ identiti
individu, masyarajat dan Negara bangsa yang punya sifat-sifat keutuhan yang
dibanggakan”. Amirullah Andi Nur dan Nur Aishah Zainal telah
mengemukakan definisi jati diri sebagai teras dan lambang keperibadian
seseorang individu atau sesuatu bangsa. Jati diri dikatakan akan
menunjukkan citra identity sesebuah bangsa dan membentuk ketahanan diri
bagi membolehkan seseorang berhadapan hidup yang semakin mencabar
dan membentuk ketrampilan diri yang memberi gambaran mengenai sesuatu
bangsa atau Negara asal mereka (Hasliza Hassan ,etc.). Menurut Abdullah
Hassan (2009), ciri jati diri bangsa dapat disenaraikan seperti mempunyai
leluhur yang sama, menuturkan bahasa yang sama, mengamalkan
kebudayaan yang sama, berpegang kepada agama yang sama serta
bermastautin di daerah geografi yang sama.
Menurut Hussein Ahmad (2001), proses globalisasi yang melanda
dunia telah membawa perubahan mendadak kepada perlakuan hidup dan
norma kehidupan manusia di seluruh dunia. Sama ada sesebuah Negara itu
kecil atau besar, pedalaman benua mahupun di kepulauan kecil, di
pergunungan tinggi mahupun di lereng, kaki dan lembah bukit, kesemuanya
telah menerima tempias dan pengaruh fenomena globalisasi. Realitinya,
masyarakat Malaysia kini juga sedang berhadapan dengan arus globalisasi
yang bersamanya membawa masuk budaya asing yang berlainan dengan
budaya setempat. Persoalannya, adakah benar bahawa penglobalisasian
pendidikan di Malaysia telah menyebabkan kehilangan jati diri murid?
11
Menurut kata-kata Ketua Dua Gabungan Penulis Nasional Malaysia
(GAPENA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, globalisasi yang
bercanggah dengan jati diri menggugat usaha membina Negara bangsa
hingga berlaku kecelaruan dalam menetapkan identiti sesuatu bangsa.
Namun, penulis mempunyai pandangan yang berbeza dengan beliau.
Penglobalisasian pendidikan seperti mana yang dikatakan sebelum ini
telah membawa kecairan sempadan dalam dunia pendidikan antara Negara
kita dengan Negara-negara asing. Pada pendapat penulis, proses globalisasi
yang semakin berkembang di Negara kita sebenarnya bukan sebab yang
menyebabkan kehilangan jati diri masyarakat khususnya golongan muda di
Malaysia. Sebaliknya, penulis berpendapat bahawa proses penglobalisasian
pendidikan sebenarnya merupakan satu proses untuk menjana jati diri
masyarakat kita samada pembinaan “dalaman” tersebut adalah kukuh dan
mampu mengharungi segala cabaran dan dugaan di dunia ini. Bahkan,
penulis berasa bahawa penglobalisasian pendidikan ini yang telah membuka
mata, menjana minda, memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam jati diri
masyarakat Negara kita. Bukankah ini sebenarnya telah membantu
mendukung matlamat kea rah menegakkan keperibadian bangsa dan
kejatidirian dalam koteks pembangunan Negara?
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penglobalisasian dalam
dunia pendidikan yang secara tidak langsung telah mengeksport dua komoditi
utama iaitu ilmu pengetahuan dan budaya serta pemikiran mereka. Keadaan
ini juga dikatakan telah “menjajah” rakyat Negara kita tanpa menggunakan
senjata seperti pisau, pistol dan bom. Namun, pada pendapat penulis,
kenyataan ini sebenarnya tidak dapat menyalahkan pengaruh yang dibawa
oleh pihak asing yang dikatakan merupakan sebahagian daripada impak
globalisasi pendidikan. Sesungguhnya, sekiranya kita sebagai warga di dunia
sebelah sini cukup berhati-hati dan bijaksana dalam proses memilih yang
mana wajar ditelan dan yang mana harus diluahkan agar jati diri kita tetap
utuh, proses penglobalisasian pendidikan itu tidak memberi sebarang kesan
kepada pembentukan jati diri masyarakat Negara kita dan juga jati diri murid
di Malaysia.
12
Dewasanya, kita dapat lihat banyak pelajar yang melanjutkan peringkat
pendidikan tinggi di luar Negara. Kita dapat lihat pelajar-pelajar berstatus
warganegara Malaysia ini bukan sahaja terpaksa menyesuaikan diri dengan
perubahan zon masa, malah mereka perlu mempelajari cara-cara orang Barat
berucap, makan dan minum, memberi salam, dan kadang-kala cara
berpakaian ala Barat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada yang
menjadi “Mat Saleh” selepas mereka balik dari luar Negara. Namun, kita tidak
dapat menutup mata, menafikan sesetengah pelajar yang tidak mengalami
masalah ini. Sebaliknya, pelajar-pelajar ini masih mempraktiskan amalan
“budaya Malaysia” yang sudah menjadi kebiasaan serta kekaguman kepada
mereka semenjak usia muda sebelum mereka berangkat ke luar Negara.
Sebagai contoh, Michael Teoh, seorang pelajar berbangsa Malaysia
yang menerima Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dan Antarabangsa dengan
Kepujian di Universiti Teknologi Auckland pada tahun 2008 telah menyatakan
bahawa beliau berasa kagum dengan kelebihan belia Negara kita yang
melanjutkan pelajaran di luar Negara dimana mereka dikatakan mempunyai
nilai positif sendiri secara tidak sedar. Menurut beliau, “Saya berpeluang ke
Stamford dan Harvard dan saya dapati orang Barat sangat proaktif dan
agresif, suka tinggikan suara apabila memberikan pendapat. Jika pergi ke
aspek budaya, masyarakat kita tidak suka apabila seseorang itu bersuara
lantang atau bongkak. Orang barat tidak akan bersetuju, dan menyatakan kita
tidak menghormati hak peribadi mereka. Tetapi di Malaysia kita ada budaya
kita sendiri. Kita diingatkan supaya merendah-rendahkan diri, tidak
mengagungkan kelebihan sendiri.”
Dalam perkataan lain, penulis mempunyai idea bahawa proses
penglobalisasian pendidikan di Negara kita sebenarnya tidak membawa
kesan yang serius sehinggakan dapat meruntuh pembentukan jati diri dalam
diri masyarakat Malaysia, khususnya golongan remaja dan belia di Negara
kita. Sesungguhnya, pada pendapat penulis, sikap dan kesediaan
keterbukaan dalam diri individu itu yang membawa kepada keruntuhan jati diri
akibat “kejutan budaya” yang mana banyak pihak yang mengatakan ini adalah
akibat dari penglobalisasian pendidikan. Ini bermakna, sekiranya seseorang
13
individu mempunyai imam dan pendirian yang cukup mantap, maka, mustahil
jiwa dalam diri individu itu akan “tergoda” atau tercabar dengan berlakunya
proses globalisasi pendidikan di Negara kita. Jika masyarakat Negara kita
sudah bersedia dan sentiasa terbuka untuk menerima budaya asing, maka
tidak kira betapa sungguh usahanya untuk menjaga budaya sendiri, akhirnya
tergugat juga budaya Negara kita.
Pendek kata, proses penglobalisasian pendidikan di Malaysia
sememangnya telah membawa sedikit sebanyak pengaruh kepada
masyarakat Negara kita, baik dari aspek bidang pendidikan, ekonomi, cara
hidup atau amalan budaya setempat. Namun realitinya, penulis berpendapat
bahawa kebijaksanaan masyarakat Malaysia untuk menguruskan intergrasi
budaya di Negara kita yang menjadi sebab utama kesan ini berlaku. Beralih
kepada pemikiran yang lebih positif, jika kita mempunyai iman dan pendirian
yang teguh, masyarakat Negara kita sebenarnya dapat mengadaptasikan
budaya asing ke budaya tempatan dan akhirnya menghasilkan sebuah
budaya baharu ala Malaysia yang mana budaya ini diperkembangkan
mengikut acuan Negara kita. Dengan perkembangan budaya baharu tersebut,
yakni akan turut mengukuhkan malah memperkembangkan pembentukan jati
diri masyarakat dan murid di Negara.
14
(3) Rumusan dan Cadangan
Dunia pendidikan di Malaysia kini sedang melalui suatu era
transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Namun, perubahan yang
berlaku pada hari ini sebenarnya mengajar masyarakat supaya bersikap lebih
prihatin terhadap bidang pendidikan. Dalam konteks ini, walaupun globalisasi
pendidikan telah memberi kesan positif kepada sistem pendidikan Negara
kita, tetapi kesan negatif yang hadir bersama tidak dapat dinafikan dan
diabaikan. Mustahil kita dapat mengelak daripada menghadapi globalisasi
kerana tanpanya kita akan terus ketinggalan. Sesungguhnya semua pihak
harus menyedari kesan globalisasi ini dan bersedia dengan langkah
komprehensif untuk mengatasi sebarang cabaran yang wujud daripada
fenomena globalisasi ini.
Sebagai seorang guru pula, beliau haruslah menerima kenyataan
dengan hati terbuka bahawa dalam proses meningkatkan kualiti pendidikan
dan status profesion keguruan, beliau pasti akan menemui banyak isu dan
cabaran pendidikan. Kesedaran dan kefahaman tentang isu-isu dan cabaran-
cabaran pendidikan semasa adalah penting untuk membantu guru agar
berfikiran luas dan mantap. Seperkara lagi yang sangat perlu diberi perhatian
serius adalah keperluan guru mempertahankan dan seterusnya melonjakkan
martabat profesion perguruan yang mereka ceburi, seperti yang dinyatakan
oleh Hamdan Said (2000). Guru sepatutnya sentiasa mengambil azam diri
untuk menjadikan diri sebagai seorang guru berkesan supaya melahirkan
generasi pelajar yang mempunyai kemampuan dan ketabahan dalam
menempuh segala perubahan dan cabaran masa kini dan akan datang.
15