Gaya Dunn and Dunn
-
Upload
ahmad-ghazali-wafa -
Category
Documents
-
view
279 -
download
0
description
Transcript of Gaya Dunn and Dunn
PENGENALAN
Nazamud (2005) menafsir gaya pembelajaran merupakan cara bagaimana seseorang itu
belajar. Gregorc dalam Sang (2008) pula mentakrifkan gaya pembelajaran sebagai tingkah
laku yang dimanifestasikan oleh seseorang individu apabila menggunakan mindanya
berinteraksi dengan persekitaran, kemudiaannya mengumpul dan memproses maklumat
daripadanya. Garger (1985) menyatakan setiap orang dilahirkan dengan gaya pembelajaran
yang tersendiri. Warisan baka dan persekitaran memainkan peranan yang penting dalam
pembentukan gaya pembelajaran seseorang.
Pembelajaran adalah kebolehan seseorang mengambil maklumat, mengkod dan failkan
maklumat tersebut supaya ianya mudah untuk digunakan apabila diperlukan. Gaya
pembelajaran tidak berkait dengan kecerdasan atau apakah kemahiran yang telah anda
pelajari. Tetapi gaya pembelajaran berkait rapat dengan bagaimana minda kita berkerja
dengan berkesan terhadap pembelajaran maklumat baru. Gaya pembelajaran seseorang itu
telah wujud dalam diri seseorang sejak dilahirkan. Guru seharusnya mengetahui setiap
pelajar mempunyai gaya pembelajaran yang berlainan dan oleh kerana itu tiada satu kaedah
mengajar yang boleh dikatakan keadah mengajar yang terbaik untuk semua murid. Pada
asasnya terdapat tiga gaya pembelajaran yang berbeza dan gaya-gaya ini memberikan
kesan di dalam penerimaan pembelajaran.
Peranan guru dalam menampilkan kaedah dan aktiviti pengajaran yang sesuai merupakan
anjakan penting menjamin keberkesanan pembelajaran.
Terdapat pelbagai gaya pembelajaran dan pada asasnya terdapat tiga jenis gaya
pembelajaran iaitu gaya pembelajaran pelajar visual yang gemar belajar dengan huruf,
perkataan, benda, gambar atau gambarajah, demontrasi, tindakan atau lakonan. Pelajar
audio pula gemar belajar dengan mendengar cerita, penerangan, syarahan atau huraian,
berbual dan memberi pendapat manakala pelajar kinestetik gemar belajar dengan menulis,
melukis, membuat latihan, kerja amali, eksperimen, lakonan, simulasi atau projek. Dalam
model Sistem 4MAT pula, yang dicipta oleh Dr. Bernice McCarthy, terdapat empat jenis
pelajar iaitu pertama pelajar imaginatif yang suka belajar menggunakan deria dan berkongsi
idea, pelajar analitik yang suka belajar dengan memikirkan idea-idea baru, pelajar praktik
yang suka menguji teori dan menakul dan pelajar dinamik yang suka belajar secara cuba
jaya dan penemuan secara individu. Oleh kerana gaya pembelajaran ini merupakan satu
bidang yang sering diperdebatkan di kalangan pendidik, maka berbagai lagi gaya
pembelajaran telah diperkenalkan seperti Gaya Pembelajaran Paragon, Gaya Pembelajaran
Kolb, Gaya Pembelajaran Canfield, Gaya pembelajaran Gregorc dan Gaya Pembelajaran
Dunn dan Dunn yang akan diperbincangan di dalam tajuk seterusnya.
MODEL DUNN AND DUNN
Ciri-ciri pembelajaran yang berbeza memerlukan satu pendekatan pengajaran bersepadu
yang mengambil kira perbezaan individu bukan saja dari segi gaya kognitif tetapi juga dari
aspek-aspek lain. Cadangan oleh Dunn dan Dunn (1993) dilihat sebagai altenatif yang lebih
sesuai di dalam menzahirkan pendekatan pengajaran yang bersepadu. Menurut Rita dan
Kenneth Dunn dalam Meng (1997) menyatakan;
If children cannot learn the way we teach them than we must teach them the way the learn
Dunn dan Dunn juga telah mengenal pasti lima jenis pemboleh ubah utama di dalam model
pembelajaran iaitu alam sekitar, sosial, emosi, fisiologi dan psikologi. Jadual 1 menunjukkan
lima rangsangan dalam Model Dunn and Dunn.
Pemboleh Ubah Model Dunn and Dunn
Persekitaran
Bunyi: Suka belajar tanpa bising atau bunyi latar belakang seperti muzik.
Cahaya: Suka belajar di tempat yang cerah atau di temapt kurang cahaya.
Suhu: Suka belajar di tempat yang panas atau di temapt yang nyaman.
Pola: Suka belajar di tempat formal yang ada kerusi dan meja atau di tempat tidak formal
seperti berbaring atau duduk di lantai
Emosi
Motivasi: Boleh merangsang diri untuk belajar atau perlu dirangsang oleh guru.
Ketabahan: Boleh belajar dalam masa yang panjang atau belajar dalam masa yang
pendek.
Tanggungjawab: Bertanggungjawab untuk belajar atau perlu bimbingan guru.
Struktur: Suka belajar mengikut jadual waktu atau suka belajar sekiranya diberikan lebih
banyak masa untuk sesuatu mata pelajaran atau perkara.
Sosiologi
Sendiri: Suka belajar sendiri.
Pasangan: Suka belajar secara berpasangan.
Rakan sebaya: Suka belajar bersama rakan sebaya
Pasukan: Suka belajar dalam kumpulan
Guru: Suka belajar bersama guru di sebelahnya
Pelbagai cara: Suka belajar dengan kombinasi beberapa cara di atas.
Fisiologi
Persepsi: Suka belajar dengan benda atau pengalaman maujud atau perkara abstrak.
Makan: Suka atau tidak suka makan dan minum ketika belajar.
Waktu: Suka belajar pada waktu yang sesuai atau bila-bila masa sahaja.
Gerakan: Suka atau tidak suka bergerak ketika belajar
Psikologi
Global atau analitik: Murid global suka belajar secara menyeluruh; murid analitikal suka
belajar mengikut ututan dan membuat analisis.
Otak kiri atau otak kanan: Murid otak kiri cenderung untuk memproses maklumat, belajar
bahagian demi bahagian, pengiraan dan analisis; otak kanan, belajar secara keseluruhan,
sintesis, melukis, membuat gerakan dan mencipta sesuatu.
Impulsif atau reflektif: Murid impulsif bertindak secara spontan manakala murid yang reflektif
akan berfikir sebelum bertindak melakukan sesuatu.
Lima eleman atau rangsangan yang diketengahkan di dalam model ini sememangnya
memberikan kesan atau implikasi terhadap proses pengajaran dan pembelajaran. Implikasi
ini akan saya huraikan berdasarkan lima elemen tadi.
1. Elemen Persekitaran
1.1 Unsur Bunyi
Persekitaran di sini lebih menjurus kepada persekitaran pembelajaran sama ada
persekitaran bilik darjah atau elemen-elemen di luar bilik darjah yang boleh memberikan
impak kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Kajian telah menunjukkan ada
sebahagian pelajar akan belajar dengan lebih berkesan apabila adanya muzik dan ada pula
yang perlu belajar dengan berkesan dalam keadaan senyap (Meng, 1997).
Jadi sudah tentulah guru perlu kreatif di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid-
murid selalunya akan tertarik terhadap persekitaran pembelajaran yang bercorak
multimedia. Menurut Shaikh Mohd Saifuddeen (2002), sistem multimedia yang
menggabungkan pendengaran dan penglihatan membolehkan pelajar memproses maklumat
dengan berkesan. Oleh itu penggabungan aplikasi budaya berfikir dan budaya teknologi
khususnya multimedia mampu mewujudkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran
secara lebih menarik dan berkesan ( DickW. Dan Reiser, R.A., 1998).
Pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan multimedia menurut Dunn and Dunn
perlulah menyokong keperluan dan kehendak individu kerana individu mempunyai
pendekatan pembelajaran tersendiri. Oleh kerana itu semua sekolah di Malaysia ini telah
dibekalkan LCD projektor dan Komputer kepada guru Matematik dan Sains supaya dapat
menyokong proses pengajaran dan pembelajaran subjek tersebut. Malahan makmal
komputer juga telah diwujudkan bagi membantu pengajaran dan pembelajaran. Bunyi yang
dihasilkan melalui alat multimedia mewujudkan perhatian terhadap murid yang sukakan
bunyi muzik seperti murid dalam golongan audio dan visual.
Sebaliknya, terdapat juga pelajar yang hanya boleh menumpukan perhatian terhadap
pembelajarannya dalam keadaan yang senyap, senyap sunyi dan tenteram. Oleh itu
paparan multimedia tanpa bunyi boleh digunakan bagi membantu murid yang tidak sukakan
bunyi tetapi sukakan cahaya dan warna yang dipancarkan melalui alat multimedia seperti
projector dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Implikasi yang wujud dari rangsangan
ini memerlukan guru bertindak secara kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran dengan
menggunakan peralatan audio dan multimedia seperti computer riba, LCD projector,
pembesar suara dan memiliki kemahiran untuk mengendalikan perkakasan dan perisian
yang sesuai berkaitan dengan Alat Bantu Mula multimedia.
1.2 Unsur Cahaya, Suhu dan Pola
Model ini juga melihat aspek cahaya, suhu dan pola atau corak pembelajaran juga akan
memberikan implikasi. Cahaya merujuk kepada nisbah cahaya yang sesuai semasa proses
pengajaran dan pembelajaran. Kanak-kanak muda memerlukan cahaya yang kurang untuk
belajar, namun begitu apabila mereka membesar, keperluan untuk cahaya terang meningkat
(Meng, 1997). Entwistle (1988) menyatakan murid yang mempelajari sesuatu subjek secara
mendalam akan lebih mudah tertarik dan mudah memahami terhadap subjek tersebut. Oleh
itu sudah tentulah murid ini memerlukan jumlah cahaya yang terang untuk memudahkan
pembelajaran. Secara amnya, tidak ramai orang suka belajar di bawah cahaya yang malap
atau terlalu terang (Sang 2008).
Suhu sememangnya memberikan implikasi dalam P&P. Bilik darjah yang tidak memiliki
peralatan untuk menstabilkan suhu bilik pasti menimbulkan kerimasan kepada pelajar dan
guru. Bilik darjah yang tidak memmiliki kipas angin mahupun penghawa dingin sudah pasti
akan menggangu gaya pembelajaran seseorang individu. Bilik darjah yang berhawa dingin
adalah lebih selesa serta mendorong pembelajaran (Meng, 1997). Tambahan murid
pendidikan khas dalam ketegori hiperaktif sememangnya memerlukan bilik penghawa dingin
kerana menurut pakar perubatan, keaktifan murid-murid hiperaktif boleh dikurangkan jika
diletakkan di dalam bilik yang sejuk.
Pola atau reka bentuk tempat belajar pula merujuk kepada kesesuaian tempat seseorang
murid untuk belajar. Ada murid yang memiliki gaya pembelajaran yang suka belajar dengan
cara duduk, ada juga yang suka berbaring, dan ada juga yang tidak sukakan suasan
pembelajaran yang formal. Perkara ini sudah semestinya memberikan implikasi kepada
pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya ada murid yang lebih selesa duduk di atas lantai
ketika melihat tayangan filem atau cerita, lebih baik murid-murid ini terus berada dalam
keadaan tersebut sekiranya itulah cara mereka dapat menumpukan sesuatu subjek yang
dipelajari. Selain itu tempat duduk murid juga perlu selesa. Kelesaan tempat duduk dapat
mengurangkan keletihan murid dalam sepanjang masa persekolahan. Maka, ramai pelajar
suka belajar di tempat duduk yang sesuai dengan gaya duduk yang tersendiri. Oleh itu guru
perlu memastikan suasana bilik darjah berada dalam keadaan kondusif supaya dapat
menyerap apa jua gaya pembelajaran yang ditunjukkan oleh murid. Cahaya, suhu dan
susun atur bilik darjah merupakan perkara penting di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Sekiranya berlaku kejadian bekalan elektrik terputus, sudah tentulah suasana
kelas tidak lagi menjadi kondusif kerana wujud keadaan panas dan gelap. Dalam kes ini
guru perlu mengambil tindakan secara pantas seperti mencari lokasi di luar bilik darjah yang
sesuai untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran sekaligus membantu gaya
pembelajaran murid.
2. Elemen Emosi
2.1 Motivasi
Perkara pertama yang dilihat oleh model ini dari aspek emosi ialah motivasi. Motivasi
penting untuk pembelajaran yang berkesan. Motivasi merupakan penggerak yang
mendorong murid melakukan sesuatu. Misalnya , murid yang menunjukkan prestasi yang
baik boleh mendapatkan hadiah atau kotak pensil. Pemberian tersebut yang mendorong
murid-murid belajar dan ini merupakan motivasi insentif (Meng, 1997).
Motivasi tidak seharusnya disifatkan dengan pemberian semata-mata dan berlaku dengan
bersebab tetapi terdapat motivasi yang hadir secara semulajadi iaitu motivasi yang sudah
wujud dalam diri seseorang individu. Ada murid yang bermotivasi untuk mendapatkan
pencapaian yang baik untuk kepuasan diri tanpa memikirkan ganjaran yang bakal muncul
ataupun diberikan kepada dirinya hasil dari kejayaannya di dalam bilik darjah. Jadi sudah
pastilah unsur motivasi ini memberi implikasi kepada gaya pembelajaran seseorang yang
dapat dilihat melalui tingkah laku seseorang individu dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Azali Azlan berjaya mendapatkan 21A dalam peperiksaan Sijil Terbuka
Pelajaran Malaysia hasil motivasi diri dan motivasi luaran yang diterimanya tanpa
mengharapkan ganjaran tetapi untuk kepuasan peribadi dalam menimba ilmu. Jadi unsur
motivasi ini memerlukan guru memberikan sesuatu kepada murid di dalam pengajaran
supaya murid lebih rajin dan berusaha untuk berjaya. Memberikan ganjaran yang bersifat
maujud seperti token ekonomi dan ganjaran yang bersifat peneguhan seperti puji-pujian
amat bertepatan untuk membantu membentuk motivasi murid.
2.2 Ketabahan
Unsur ini beerti ada murid pasti menunjukkan tingkah laku yang berbeza antara satu sama
lain di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebahagian murid boleh
menyempurnakan tugasan dengan segera dan ada pula yang memerlukan rehat dan
hentian seketika sebelum satu-satu tugasan boleh diselesaikan. Menurut Khalid Mohamad
Nor (2002), pembelajaran merupakan kegiatan yang bergantung kepada akal manakala
menurut Shaharom Noordin (1996), kewujudan perbezaan individu dikalangan pelajar
merupakan salah satu faktor penyebab kepada kesulitan pelajar menerima sesuatu
pembelajaran kerana penguasaan pembelajaran sangat mementingkan aspek perbezaan
individu.
Menurut Gagne (1985), untuk memahami sesuatu konsep pembelajaran, pelajar perlu
mengulangi pelajaran beberapa kali. Oleh itu, waktu pembelajaran fleksibel mengikut
kemampuan pelajar diperlukan. Jika ditinjau dari aspek perbezaan individu, sudah pastilah
akal dijadikan sebagai salah satu kreteria ukuran untuk menilai perkembangan seseorang
murid itu. Perbezaan kematangan akal ini sudah pasti menguji ketabahan seseorang murid
itu untuk menyempurnakan tugasan yang dilakukannya.
Tindakan guru haruslah selaras dengan tahap ketabahan seseorang murid itu. Sekiranya
terdapat murid yang merasa sukar untuk menyiapkan sesuatu tugasan yang dalam kuantiti
item yang terlalu banyak, maka guru perlulah mengurangkan kadar tugasan supaya tahap
ketabahan ini tidak mudah luntur tetapi sekiranya terdapat murid yang mampu menyiapkan
tugasan dengan pantas, maka guru perlu memberi tugasan yang berpadanan dengan
supaya tidak wujud suasana jemu kerana tugasan yang diberikan telah disiapkan dengan
lebih awal.
2.3 Tanggungjawab
Emosi juga boleh diukur dari segi nilai tanggungjawab yang diamalkan. Murid yang
bertanggungjawab akan menunjukkan tingkah laku yang sentiasa menghasilkan mutu kerja
yang lebih berkualiti atau mengalami pembelajaran yang lebih berkesan. Mereka juga
mampu menyempurnakan tugasan hanya dengan sedikit pengawasan dari guru dan tidak
terlalu bergantung pada bimbingan guru di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Hanya sedikit maklumat dan tunjuk ajar, mereka dengan rasa tanggunjawab mencari
maklumat-maklumat yang diperlukan bagi menyiapkan latihan atau tugasan yang diberikan.
Namum begitu guru perlu memberikan perhatian dan bimbingan yang lebih terhadap murid-
murid yang kurang memiliki sikap tanggungjawab. Hal ini kerana mereka pasti tidak dapat
mencari maklumat yang diperlukan tanpa panduan dan tunjuk ajar guru. Tugasan juga
mungkin tidak dapat disiapkan pada tempoh masa yang ditetapkan tanpa bimbingan guru.
Implikasi dari unsur tanggungjawag ini akan mencerminkan emosi seseorang murid dan
memerlukan guru sentiasa peka terhadap tingkah laku murid-murid supaya proses
pengajaran dan pembelajaran mencapai target atau sasaran yang telah ditetapkan.
2.4 Struktur
Emosi juga dapat dikesan melalui struktur ataupun corak tingkah laku seseorang murid di
dalam pengajaran. Ada murid yang suka membuat tugasan mengikut arahan guru dan ada
pula murid yang gemar menyempurnakan sesuatu atas inisiatif sendiri. Ada juga murid yang
mempunyai struktur belajar mengikut jadual waktu, namun ada juga suka belajar sekiranya
diberikan banyak masa untuk sesuatu mata pelajaran atau perkara. Struktur-struktur tingkah
laku ini pasti memberikan impak terhadap pengajaran dan pembelajaran. Atan (1980),
mentafsirkan hak mendapatkan autonomi merupakan salah satu keperluan individu.
Mendapatkan autonomi merupakan keinginan seseorang individu untuk membebaskan diri
dari sebarang kongkongan, arahan dan peraturan. Seterusnya seseorang individu itu akan
melakukan sesuatu dengan struktur gayanya yang tersendiri dan bebas serta berlainan
dengan orang lain.
Terdapat guru yang membuang banyak masa ketika menandakan tugasan murid-murid
dengan menyuruh murid-murid beratur untuk menunjukkan kerja mereka (Atan, 1980). Cara
ini sebenarnya boleh memberikan kesan negatif terhadap struktur gaya pembelajaran
seseorang murid kerana boleh menimbulkan perangai malas dan membuang masa serta
menjadi punca masalah disiplin. Sekiranya seseorang murid itu memiliki struktur
pembelajaran yang gemar menyempurnakan tugasan secara pantas dan atas inisiatif diri
sendiri, sudah pasti sikap guru tadi boleh membunuh semangat murid-murid yang tidak suka
menghabiskan masa dengan menunggu tugasan diperiksa oleh guru. Malahan murid-murid
yang memerlukan banyak masa untuk belajar akan merasa tertekan kerana tugasan
mungkin tidak dapat disiapkan sekiranya masa yang digunakan oleh guru dapat
dimanafaatkan oleh mereka untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.
3. Elemen Sosiologi
Elemen sosiologi pasti memberikan implikasi terhadap kesediaan murid untuk menerima
pendidikan. Kesediaan dari sudut ini merujuk kepada keupayaan seseorang murid untuk
berinteraksi dengan individu-individu lain. Pada peringkat awal kanak-kanak, mereka lebih
bersikap egosentrik iaitu pemikiran dan tingkah laku mereka hanya tertumpu pada diri
mereka sehingga tidak mempedulikan pandangan dan pendapat orang lain (Meng, 1997).
Namun begitu senario ini berubah ketika kanak-kanak berada di Tahun 1 kerana mula
belajar untuk berkongsi, bertolak ansur, bertoleransi, bersabar, bertimbang rasa dan
bekerjasama. Tahap kesediaan sosialogi ini akan meningkat secara berperingkat apabila
kanak-kanak meningkat kepada remaja dan mencapat tahap dewasa.
Tempoh perkembangan sosialogi ini mempengaruhi diri seseorang individu itu. Apabila
menerima tugasan, adakah murid-murid akan melakukan secara sendiri atau secara
berkumpulan?, namun seseorang murid lebih suka dan selesa untuk belajar sesuatu subjek
secara bersendirian tanpa bantuan atau individu lain. Bagi dirinya keadaan ini merupakan
zon selesa untuk belajar. Mengikut Maslow, mendapatkan autonomi merupakan keinginan
seseorang itu untuk membebaskan diri dari sebarang kongkongan, arahan dan peraturan.
Seseorang individu itu seterusnya akan melakukan sesuatu dengan cara dan gayanya yang
tersendiri, bebas dan berlainan daripada orang lain seperti suka belajar secara bersendirian
(Atan, 1986). Keinginan ini bertentangan dengan sifat akur di dalam penemuan keperluan
untuk berdampingan dengan orang lain apabila umur semakin meningkat tetapi tetap
memberikan implikasi kepada proses pengajaran dan pembelajaran. Jika ditinjau dari sifat
akur keperluan untuk berdampingan sudah tentu murid juga memerlukan rakan di dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Ada murid yang memerlukan atau suka belajar
bersama rakan karibnya kerana boleh memperoleh lebih banyak kemajuan melalui interaksi
dua hala yang mujud.
Ada juga murid yang suka belajar bersama-sama dengan rakan sebaya, kumpulan atau
pasukan iaitu merujuk kepada pembelajaran secara kumpulan. Gaya pembelajaran ini
merangkumi ciri-ciri perbincangan, sumbangsaran dan kerjasama yang melibatkan diri
dalam permainan, pertandingan atau menjalankan sesuatu projek. Oleh keran murid dalam
ketegori ini suka belajar secara kumpulan, guru boleh menggunakan strategi pedagogi
bestari yang berpusatkan pelajar sebagai salah satu cara menerima kehadiran implikasi
gaya pembelajaran berkumpulan ini. Strategi kolaborasi dan koperatif yang memerlukan
murid bekerjasama dalam kumpulan bagi mengatasi sesuatu masalah, memberi maklum
balas dan berkomunikasi serta berinteraksi antara satu sama lain sacara berstruktur boleh
digunakan dengan gaya pembelajaran secara kumpulan.
Menurut Sang (2008) orang dewasa pula boleh mempengaruhi gaya pembelajaran
seseorang murid, khasnya orang dewasa yang disanjungi. Ini bermaksud sekiranya
seseorang murid itu berasa selesa atau suka belajar dengan seseorang guru yang
disanjunginya, maka mereka akan mengemukakan soalan-soalan tentang masalah yang
dihadapi semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Apabila wujud suasana sanjungan
ini, mengikut prinsip asas teori pembelajaran sosial, murid akan meniru perlakuan
seseorang guru atau model yang menarik minat mereka seperti bakat, sikap dan
kepandaian (Ab. Rahim, 2000).
4. Elemen Fisiologi
Elemen fisiologi merangkumi unsur-unsur seperti persepsi, pemakanan, masa belajar dan
mobilliti atau pergerakan. Pelajar selalu mendapat maklumat atau pengalaman melalui
persepsi visual, auditori ataupun kinestetik-tactile. Sekiranya seseorang murid memiliki
persepsi visual yang tajam, dia sudah tentulah suka belajar dengan alat bantu mengajar
seperti carta, gambar,graf, slaid, video, komputer dan sebagainya (Sang, 2008). Implikasi
dari gaya pembelajaran ini, sudah tentulah guru perlukan alat bantu mengajar yang
dinyatakan untuk meningkatkan daya pemahaman dan menyuntik motivasi ke dalam diri
murid-murid yang memiliki persepsi visual ini.
Murid-murid yang mempunyai persepsi auditori yang baik pula suka belajar dalam keadaan
yang ada suara latar belakang seperti muzik, radio atau kaset manakala yang mempunyai
kinestetik-tactile yang cekap dan kuat, suka belajar dengan menyentuh dan merasa
kehadiran benda maujud yang digunakan. Implikasi dari gaya-gaya pembelajaran ini, sudah
tentulah guru perlukan alat bantu mengajar yang dinyatakan untuk meningkatkan daya
pemahaman dan menyuntik motivasi ke dalam diri murid-murid yang memiliki tiga bentuk
persepsi yang berlainan ini.
Aspek pemakanan, terdapat pelajar yang suka makan atau minum semasa belajar.
Sekiranya mereka tidak dapat makan seperti makan gula-gula atau minum semasa belajar,
implikasi yang timbul ialah pembelajaran akan menjadi kurang seronok dan seterusnya
menjejaskan keberkesanan pembelajaran.
Kesesuaian waktu belajar juga boleh memberikan kesan kepada pengajaran dan
pembelajaran. Kebiasaannya ramai murid suka belajar pada waktu pagi dan waktu malam
mewujudkan suasana segar, kondusif, nyaman dan lebih tenteram berbanding waktu
petang. Ada juga pelajar yang suka bangun tidur di waktu tengah malam untuk
mengulangkaji pelajaran kerana suasan senyap sunyi.
Dari sudut pergerakan atau mobaliti, terdapat murid yang suka berdiri atau berjalan kesana
sini semasa belajar. Ada juga yang tidak suka berada pada satu tempat yang sama, tetapi
akan menukar tempat duduk dari semasa ke semasa semasa proses pembelajaran. Namun
ramai murid yang suka belajar di satu tempat duduk sahaja kerana ia menimbulkan suasana
selesa kepada mereka. Jadi sudah pasti gaya-gaya pembelajaran ini memerlukan guru
sentiasa peka terhadap kehendak dan keperluan murid-murid.
5. Elemen Psikologi
Rangsangan psikologi merangkumi unsur-unsur seperti analitikal atau global, gerak hati,
refleksi dan pemprosesan otak kiri atau otak kanan.
Murid yang mempunyai gaya pembelajaran analitikal merupakan murid yang teliti terhadap
sesuatu perkara, tugasan mahupun aktiviti yang dilakukan. Gaya pembelajaran analitikal
bermaksud pembelajaran yang menggunakan pemikiran analitikal iaitu satu bentuk
pemikiran logik yang berdasarkan fakta dan maklumat (Azman, 2007). Pemikiran ini
menganalisis sesuatu situasi masalah kepada unit-unit yang lebih kecil atau mengikut urutan
demi urutan supaya dapat difahami dan kemudiannya dapat ditangani atau diselesaikan
dengan berkesan. Implikasi gaya pembelajaran analitikal tidak sama dengan gaya
pembelajaran global. Implikasi dari gaya pembelajaran global ialah seseorang murid suka
belajar sesuatu perkara dengan secara keseluruhan (Sang, 2008). Ini bermakna murid suka
mengamati aspek-aspek atau perkara secara menyeluruh atau holistik.
Gaya pembelajaran yang mengandungi unsur gerak hati merujuk kepada angin atau mood
seseorang murid di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jika anginnya pada hari
itu, maka murid ini akan memberikan tumpuan dan belajar dengan tekun tetapi kalau
moodnya adalah sebaliknya, sudah tentu akan belajar sambil lewa, berangan-angan dan
tidak memberikan tumpuan kepada P&P.
Murid yang mempunyai gaya pembelajaran bersifat refleksi ialah murid yang suka belajar
dengan cara berfikir, dengan erti kata lain menggunakan kemahiran berfikir dalam
menyelesaikan sesuatu masalah. Murid mungkin menggunakan gaya pemikiran yang
berlainan terhadap sesuatu masalah atau menggabungkan beberapa kemahiran berfikir
untuk menyelesaikan masalah atau mendapatkan jawapan yang terbaik dan tepat. Terdapat
pelbagai jenis kemahiran berfikir seperti pemikiran analitikal, pemikiran literal, pemikiran
sainstifik, pemikiran proaktif, pemikiran kreatif dan pemikiran sistematik. Jadi murid-murid
bersifat refleksi akan mengaplikasi pemikiran-pemikiran tersebut sepeti pemikiran sainstifik
untuk membuat kajian, membentuk hipotesis, menganalisis, mentafisr dan membuat
kesimpulan terhadap sesuatu perkara, tugasan mahupun masalah yang wujud.
Mengikut Roger Sperry dalam Sang (2008), otak kiri manusia mempunyai kemahiran berfikir
dalam bidang logik, kuantitatif, analitis, urutan bahasa, fakta, matematik dan ingatan.
Manakala, otak kanan manusia mempunyai kemahiran berfikir dalam bidang kreatif, sintesis,
warna, reka bentuk, perasaan, irama, muzik dan imiginasi. Jadi gaya pembelajaran yang
menggunakan pemprosesan otak kiri akan membawa implikasi kepada pembelajaran
bahasa, penulisan, logik, sains dan matematik manakala penggunaan otak kanan pula akan
cenderung kepada pembelajaran muzik, pendidikan seni, mereka bentuk dan aktiviti-aktiviti
yang bersifat kreatif.
KESIMPULAN
Model Dunn and Dunn sememangnya memberikan kesan kepada gaya pembelajaran
individu. Guru-guru perlu memahami implikasi model ini dalam kelas supaya langkah-
langkan atau tindakan yang sesuai boleh diambil dalam pengajaran dan pembelajaran agar
menjadi lebih menyeronokkan dan bermakna.
Model ini telah mengenal pasti beberapa prinsip yang perlu ditadbir oleh guru dan guru-guru
perlu menunjukkan komited yang tinggi dalam merencana prinsip-prinsip ini. Prinsip semua
individu boleh belajar; struktur persekitaran, sumber, dan pendekatan merupakan respon
kepada kepuasan dalam kepelbagaian gaya pembelajaran; dan semua orang memiliki
kekuatan tetapi kekuatan ini berbeza merupakan antaran prinsip pembelajaran yang harus
diperhatikan oleh guru-guru.
Prinsip-prinsip ini pula telah diterjemahkan melalui elemen atau rangsangan yang telah
disyorkan oleh Dunn and Dunn. Rangsangan alam sekitar, emosi, sosiologi, fisiologi, dan
psikologi merupakan cermin atau pemboleh ubah yang dapat mengesan gaya pembelajaran
seseorang dan implikasi yang dicetuskan melalui rangsangan-rangsangan ini.
Oleh itu model ini telah memudahkan para guru untuk melihat gaya pembelajaran seseorang
individu dan mengatur strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk
mereka.
Bibliografi
Ab. Rahim Selamat, (2000). Pengurusan Sekolah Bestari (Satu Pengenalan). Johor: Badab
Cemerlang Sdn. Bhd.
Atan Long, (1980). Pedagogi Kaedah Am Mengajar. Selangor : Fajar Bakti Snd. Bhd
Azman Azwan Azmawati, (2007). Pengaplikasian Teknik Berfikir. Pulau Pinang: Penerbitan
Universiti Sains Malaysia
Bryan Coombs, (1999). Pengajaran Cemerlang. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan Negara
Malaysia Berhad.
Dick ,W., Dan Reiser, R.A. (1989). Planning Efective Instruction. Landon: Prentice-Hall.
Ee Ah Meng, (1997). Psikologi Pendidikan II. Selangor: Fajar Bakti Snd. Bhd.
Mak Song Sang, (2008). Ilmu Pendidikan Untuk KPLI Sekolah Rendah: Psikologi Pendidikan
dan Pedagogi. Selangor: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Nazamud-din Bin Alias. (2005). Gaya Pembelajaran Guru Pelatih Kursus Pengajian
Lepasan Ijazah Maktab Perguruan Batu Lintang. Atas Talian : www.yahoo.com.my Carian:
mpbl.edu.my/inter/penyelidikan/jurlkkknalpapers/jurnal2005/nazjp2005.pdf (Tarikh: 20 April
2008).
Prof. Madya Dr. Othman Lebar dan Nur Haziyanti Mansor. (2000). Pencapaian pelajar
Mengikut Gaya Belajar dan Bentuk Pentaksiran. Atas Talian: www.yahoo.com.my Carian:
jpnperak.edu.my/portal/modules.php (Tarikh: 20 April 2008).
Prof. Lourdusamy. (1994). Perbezaan Gaya Kognitif Individu dan Implikasinya Terhadap
Pendidikan. Atas Talian: www.penerbit.usm.my/pen2006/SSU/lourd/index.html (Tarikh: 20
April 2008).
Shaharom Noordin (1996). Pengajaran Individu Menggunakan Modul Pengajaran
Kendiri di Sekolah Menengah. Jurnal Akademik. 6. 1.13
______Pengurusan Masa dan Gaya Pembelajaran. Atas Talian: www.yahoo.com.my
Carian: myschoolnet.ppk.kpm.my/bhn_pnp/modul/bcb9. (Tarikh: 20 April 2008)
______ Pengajaran dan Pembelajaran Ke Arah Pembelajaran Masteri. Atas Talian:
www.teachersrock.net/masteri3.htm (Tarikh : 20 April 2008)