DIARI HARIAN
-
Upload
jennyricaldekon -
Category
Documents
-
view
1.852 -
download
2
Transcript of DIARI HARIAN
Refleksi-Jurnal Harian
JURNAL HARIAN
Dalam bahagian ini, saya akan cuba mencatatkan segala aktiviti sepanjang
berada di sekolah dalam menjalankan Program Induksi Kendiri selama lima minggu.
Walaubagaimanapun, kehadiran saya tidaklah penuh selama 25 hari, tetapi saya hanya
hadir selama 18 hari sepanjang lima minggu. Ini telah menepati syarat program
induksi ini iaitu kehadiran minima ialah 10 hari sepanjang lima minggu. Catatan yang
saya dokumentasikan di sini juga merupakan antara pengalaman yang saya fikir
menarik dan perlu dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Berikut adalah catatan
saya mengikut kehadiran ke sekolah.
17.5.2006 (Rabu-Minggu 1)
Hari ini adalah hari pertama saya ke sekolah untuk Program Induksi Kendiri
latihan mengajar. Sebelum ini, saya telah melapor diri terlebih dahulu dan berjumpa
dengan pengetua sekolah ini untuk meminta kebenaran menjalankan program induksi
latihan mengajar selama 5 minggu di sekolah ini. Saya memilih sekolah ini (Sek. Men
.Keb. Munshi Abdullah) kerana saya pernah bersekolah di sini dari tingkatan dua
hingga tingkatan lima.
Saya diberikan seorang guru pembimbing iaitu En Zainordin (kaunselor) dan
beliau juga merupakan antara guru senior yang pernah menjadi idola saya suatu masa
dulu. Setelah berjumpa dengan En Liew Ngian Kwee (GPK 1) saya pun
memperkenalkan diri dan saya ditempatkan di bilik kaunseling sepanjang tempoh
program induksi ini.
Saya juga diberikan dua kelas ganti tingkatan tiga iaitu di sebelah pagi dan
tengahari. Oleh kerana pada waktu ini peperiksan setengah tahun sedang
berlangsung, saya hanya berpeluang menjaga peperiksaan di kelas.
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
18.2006 (Khamis-Minggu 1)
Hari kedua di sekolah. Masih ramai dalam kalangan guru-guru yang tidak
menyedari kehadiran saya ke sekolah. Justeru, saya menggunakan kesempatan masa
yang ada dengan berjumpa dengan guru-guru senior dan menjelaskan tujuan saya ke
sekolah. Melalui perbualan tidak formal juga saya berpeluang mengenali guru-guru
lain semasa minum di kantin dan ketika waktu senggang mereka di bilik guru. Bagi
guru-guru senior, mereka menyatakan rasa bangga dan bersyukur kerana anak
didiknya sudah berjaya dalam pelajaran dan bakal menjadi pendidik sepertinya.
Seperti biasa juga, saya diminta untuk menggantikan kelas. Hari ini saya
diberikan tiga kelas untuk relief iaitu sekitar waktu pagi hingga tengahari. Oleh
kerana peperiksaan masih berjalan, saya hanya menjaga peperiksaan sahaja. Tidak ada
masa untuk berinteraksi bersama pelajar secara langsung.
Sebelum pulang dari sekolah, saya terlebih dahulu telah memaklumkan kepada
guru pembimbing tentang kehadiran saya ke sekolah untuk minggu hadapan. Saya
berjanji untuk hadir ke sekolah pada hari selasa dan rabu minggu hadapan. Ini kerana,
sepanjang program induksi ini, kami perlu hadir ke sekolah sekurang-kurangnya 2
hari sahaja. Tetapi jika ingin hadir 5 hari seminggu pun tidak menjadi masalah. Oleh
kerana minggu ini peperiksaan sedang berlangsung, saya merasakan tidak banyak
aktiviti yang dapat saya lakukan selain menjaga peperiksaan di kelas. Justeru itu, saya
mengambil keputusan untuk hadir dua hari sahaja seminggu sepanjang minggu
peperiksaan.
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
23.5.2006 (Selasa-Minggu 2)
Hari ini adalah minggu kedua saya menjalani program induksi di sekolah ini.
Berlaku salah faham sedikit antara saya dan En Liew (GPK 1) tentang format
program induksi ini berbanding universiti lain seperti UPSI. Dia meminta saya borang
kehadiran lengkap yang disediakan universiti seperti yang lazimnya disedikan oleh
universiti lain. Namun demikian, saya menjelaskan secara terperinci kepada beliau
tentang format program induksi yang dijalankan oleh USM. Saya menyatakan bahawa
kami perlu menjalankan program ini selama 5 minggu tetapi kehadiran minima hanya
2 hari seminggu. Salah faham timbul kerana beliau beranggapan saya perlu hadir 5
hari seminggu. Namun begitu, untuk memudahkan pengurusan beliau untuk
pentadbiran, saya telah menyediakan satu jadual kehadiran sepanjang tempoh
program induksi ini. Jadual kehadiran tersebut juga mengandungi tandatangan saya
dan guru pembimbing.
Saya diberi satu kelas ganti sahaja iaitu kelas tingkatan 2 pada jam 11.20 pagi.
Pada hari ini juga diaadakan satu mesyuarat guru pada jam 2.30 petang. Mesyuarat di
adakan di bilik Wawasan. Saya meminta kebenaran kepada guru pembimbing untuk
turut serta dalam mesyuarat. Satu pengalaman baru saya perolehi. Mesyuarat berjalan
seperti mana-mana mesyuarat yang biasa saya ikuti. Namun demikian saya lihat
mesyuarat ini berpusat kepada pengetua. Antara intipati mesyuarat yang disampaikan
oleh pengetua ialah tentang:
i. Amanat dan pesanan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
kepada guru dalam satu perjumpaan bersama pengetua-
pengetua.
ii. Lawatan Nazir ke sekolah bermula semester kedua
persekolahan. Guru-guru ddiminta bersiap sedia dengan
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
melengkapkan buku rekod P&P, memastikan kelas berada
dalam keadaan baik dan menjalankan P& P seperti biasa.
iii. Guru-guru juga diingatkan tentang pemakaian baju batik pada
setiap 1hb dan 15hb pada tiap-tiap bulan.
iv. Pengetua juga meminta program kelas tambahan bagi pelajar
PMR dan SPM dapat dilaksanakan dengan kerjasama guru-
guru pada minggu pertama cuti sekolah.
Saya berpendapat semua guru memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang
mesyuarat berlangsung. Namun begitu, saya merasakan bahawa penjelasan oleh
pengetua adalah terlalu meleret-leret sedangkan sesuatu perkara itu boleh dijelaskan
dengan ringkas dan padat. Keadaan ini menyebabkan mesyuarat berlanjutan hingga
jam 3.45 petang. Kelihatan juga guru-guru tidak selesa kerana masing-masing ingin
pulang ke rumah dan ada urusan yang perlu diselesaikan.
24.5.2006 (Rabu-Minggu 2)
Saya hadir ke sekolah seperti biasa. Oleh kerana musim peperiksaan masih
berjalan, tidak banyak yang dapat saya lakukan sepanjang dua minggu pertama di
sekolah ini. Iklim sekolah sibuk dengan pelajar yang mengulangkaji pelajaran dan
guru-guru pula sibuk dengan penandaan markah kepada jawapan pelajar. Saya juga
diminta menggantikan dua waktu kelas tingkatan 3 pada sebelah pagi.
Namun begitu, saya juga mengambil kesempatan yang ada ini dengan
berbincang beberapa perkara bersama kaunselor yang juga guru pembimbing saya.
Antara perkara yang kami bincangkan ialah untuk melaksanakan beberapa program
kem untuk Pembimbing Rakan Sebaya, Kem Motivasi Kecemerlangan PMR & SPM,
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
lawatan sambil belajar dan lain-lain. Saya dengan hati terbuka menyatakan hasrat
untuk membantu dalam pelaksanaan program tersebut untuk menimba pengalaman.
12.6.2006 (Isnin-Minggu 3)
Hari ini seperti biasa diadakan perhimpunan rasmi di sekolah dari jam 7.30-
8.05 pagi. Satu perkara menarik disini, teringat saya ketika zaman persekolahan, di
dewan inilah saya bersama rakan-rakan dan kini saya berada di dewan ini sebagai
guru. Saya mengikuti perjalanan perhimpunan ini. Antara agenda perhimpunan rasmi
ini ialah:
i. Bacaan doa oleh pelajar
ii. Bacaan ikrar diketuai wakil pelajar
iii. Nyanyian tiga buah lagu (Negeri Johor, Lagu Sekolah dan
Jalur Gemilang)
iv. Laporan guru bertugas minggu lepas
v. Ucapan pengetua
vi. Nyayian Lagu Negaraku sebagai penutup
Selepas tamat perhimpunan, seperti biasa saya diberi kelas ganti. Hari ini saya
diberi tiga waktu kelas ganti iaitu dari jam 11.20 pg hingga 1.05 tgh (waktu 7,8&9).
Selain itu juga, satu Karnival Anti-Dadah peringkat daerah Kulai akan dijalankan
sekitar akhir Jun ini. Saya pun bertanya kepada guru pembimbing, mungkin ada apa-
apa yang saya boleh sumbangkan. Kebetulan ada satu pertandingan mendeklamasikan
sajak yang akan diadakan pada 29 Jun ini. Saya diberi tugas untuk melatih peserta
sekolah untuk pertandingan tersebut. Saya juga telah berjumpa dengan pelajar
tersebut. Pertemuan pertama ini lebih kepada perbincangan dan pemilihan sajak yang
sesuai untuk dideklamasikan nanti.
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
13.6.2006 (Selasa-Minggu 3)
Seperti biasa saya sampai ke sekolah seawal 7.15 pagi. Saya terus ke pejabat
dan memberi ucapan salam kepada guru dan staf di pejabat. Hari ini saya diberi dua
kelas ganti iaitu jam 8.40 pagi hingga 9.50 pagi (waktu 3&4) untuk kelas tingkatan 3.
Kelas ini adalah waktu pendidikan Islam dan ustazahnya mengikuti kursus. Saya
diminta untuk memastikan pelajar menyiapkan latihan yang telah diberikan.
Suasana kelas agak terkawal. Saya meminta agar pelajar menyiapkan tugasan
yang diberikan dalam masa lebih kurang 45 minit. Ini kerana baki masa dalam 25
minit lagi, ada sesuatu yang ingin saya berikan pada mereka. Setelah mereka
menyiapkan tugasan, saya menggunakan masa yang ada ini sebaik mungkin untuk
sesi interaksi bersama pelajar. Saya juga sempat memberikan pesanan dan panduan
kepada mereka dalam menghadapi kecemerlangan dalam PMR tidak lama lagi.
14.6.2006 (Rabu-Minggu 3)
Hari ini saya ke sekolah seperti biasa. Saya terus mengikuti perhimpunan
harian pelajar di tapak perhimpunan. Ketika seorang guru sedang memberikan
ucapan, terdengar jeritan Cikgu Zaharah (GPK HEM) terhadap sekumpulan pelajar
yang bising di bahagian belakang barisan. Sememangnya suara beliau cukup digeruni
oleh para pelajar walaupun beliau seorang wanita. Kemudian, kelibat sekumpulan
pelajar yang lewat pun tiba. Jujur saya katakan, saya kagum dengan pendekatan yang
digunakan oleh Cikgu Zaharah dalam menangani pelajar bermasalah khususnya
pelajar lewat yang boleh dikatakan setiap hari ada pelajar yang lewat dan mereka ini
adalah pelajar yang sama. Pelajar yang lewat ini dikenakan denda dengan mereka
perlu menulis surat rasmi menyatakan kelewatan mereka dan mereka ditahan di tapak
perhimpuna sekitar 15 minit. Bagi pelajar yang kerap-kali lewat ke sekolah, satu surat
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
untuk memanggil ibu bapa mereka ke sekolah untuk memaklumkan tentang salah laku
anak-anak mereka.
Pada pagi ini juga, terdapat satu kes pelajar yang jatuh ketika menuruni bas di
stesen bas. Pelajar ini mengaku rasa sakit di bahagian belakang badan. Setelah
perbincangan ringkas antara guru bertugas dan kaunselor, pelajar tersebut di hantar
pulang ke rumah untuk tindakan susulan oleh ibunya. Saya turut serta dalam
menghantar pelajar tersebut ke rumahnya bersama kaunselor.
Pada hari ini juga, saya telah membuat temujanji dengan GPK HEM dan GPK
Ko-Kurikulum untuk meminta bantuan mereka memberikan maklumat berkaitan hal
ehwal murid dan aktiviti ko-kurikulum sekolah.
15.6.2006 (Khamis-Minggu 3)
Seperti yang telah ditetapkan, setiap 1hb dan 15hb setiap bulan guru-guru
dikehendaki memakai baju batik. Jadi, pada hari ini, saya turut memakai baju batik
apabila ke sekolah. Walaubagaimanapun, terdapat sebilangan kecil guru-guru yang
tidak memakai baju batik, mungkin kerana terlupa atau sebab lain.
Hari ini juga, saya dan seorang lagi guru pelatih dari UPSI berjumpa dengan
Pn. Zaharah (GPK HEM) untuk membuat sesi temuduga secara tidak formal berkaitan
dengan sekolah dan tugas beliau berhubung hal ehwal murid. Sebelum ini, saya
terlebih dahulu telah membuat janji temu dengan beliau dan hariini adalah hari yang
dipersetujui bersama.
Walaupun sibuk dengan karenah pelajar-pelajar, beliau tetap menerima
kehadiran kami dengan hati terbuka. Perbualan ringkas kami telah menyentuh tentang
beberapa aspek seperti tahap displin sekolah, isu merotan pelajar dan etika dalam
mengenakan tindakan undang-undang kepada pelajar.
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
19.6.2006 (Isnin-Minggu 4)
Hari ini telah diadakan pelancaran Sambutan Hari Koperasi Sekolah Peringkat
Sekolah 2006. Sambutan ini berlangsung semasa seminggu iaitu bermula 18-24 Jun
2006. Selepas majlis pelancaran, diadakan kuiz lisan secara ringkas kepada para
pelajar dan hadiah diberikan kepada mereka yang berjaya menjawab soalan dengan
tepat.
Hari ini juga seperti biasa saya diberikan kelas ganti sebanyak dua kelas iaitu
tingkatan 3B dan 4A sekitar pada waktu selepas rehat. Selain itu, saya juga
menggunakan masa yang ada dengan mengumpul bahan dan maklmat untuk laporan
yang perlu disiapkan. Dalam proses mengumpul maklumat dan bahan, guru
pembimbing saya iaitu Cikgu Zainordin banyak membantu. Saya juga dibenarkan
menggunakan kemudahan komputer di bilik kaunseling untuk tujuan menyiapkan
laporan.
20.6.2006 (Selasa-Minggu 4)
Hari ini di awal pagi, saya dan rakan (guru pelatih UPSI) telah berjumpa
dengan pengetua dan mengadakan sesi temubual secara tidak formal. Isu yang
dibincangkan adalah berhubung pengalaman beliau sepanjang menjawat jawatan
pengetua sekolah, pandangan beliau mengenai sekolah ini, matlamat dan perancangan
beliau dalam meningkatkan pencapaian sekolah ini di masa depan.
Secara ringkasnya, Datin Pengetua SMK Munshi Abdullah mengatakan
bahawa sekolah ini telah menunjukkan peningkatan dalam beberapa aspek sebelum
beliau ditugaskan di sini. Antaranya pencapaian akademik PMR dan SPM yang
semakin meningkat, pentadbiran dan pengurusan sekolah yang cekap dan kebanyakan
guru juga dedikasi dalam menjalankan tugas mereka. Beliau juga menyatakan, dalam
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
rangka untuk terus meningkatkan pencapaian akademik sekolah ini, beliau telah
memperkenalkan Program Latih Tubi Terancang bagi para pelajar yang bakal
menduduki peperiksaan PMR dan SPM. Menurut pengalaman beliau di sekolah lama
sebelum ini, program ini amat berkesan dalam membantu para pelajar meningkatkan
pencapaian akademik.
Hari ini juga diadakan Festival Nasyid Peringkat Daerah Kulai, Johor. Justeru
itu, saya mengambil peluang ini dengan mengikuti Cik Rohaya yang bertugas sebagai
penyelaras festival. Festival nasyid ini dijalankan di Sek. Men. Keb. Sultan Alauddin.
Walaubagaimanapun, tiada penyertaan bagi pihak sekolah kerana atas dasar kekangan
masa yang terbatas.
Ini kerana para pelajar baru sahaja melalui peperiksaan setengah tahun
sebelum cuti sekolah yang lalu. Sedangkan untuk pasukan nasyid, ia memerlukan
latihan dan persiapan yang awal. Demi kebajikan para pelajar, guru sekolah ini
mengambil keputusan untuk tidak menyertai festival ini dan memberi peluang kepada
pelajar menumpukan sepenuh perhatian kepada peperiksaan.
Saya mengambil keputusan untuk mengikuti guru yang bertugas pada festival
ini adalah untuk melihat perjalanan program di peringkat daerah Kulai yang
melibatkan semua sekolah di daerah ini. Sememangnya program sebegini memang
baik kerana selain dapat mengembangkan potensi pelajar dalam bidangnasyid, ia
mampu mengeratkan silaturrahim dalam kalangan guru-guru daripada pelbagai
sekolah. Dalam pertemuan sebegini, kemungkinan berlaku perkongsian idea dan
pendapat berhubung profesion perguruan itu sendiri.
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
21.6.2006 (Rabu-Minggu 4)
Hari ini saya ke sekolah seperti biasa dan menggantikan beberapa kelas yang
tiada guru samada guru menghadiri kursus ataupun menghantar pelajar menyertai
pertandingan peringkat daerah.
Selain itu saya juga menggunakan masa yang ada ini untuk mengemaskini
segala bahan-bahan dan maklumat berkaitan sekolah yang telah diperolehi. Terlalu
banyak maklumat yang perlu dimasukkan dalam laporan folio yang wajib disediakan,
namun hanya beberapa criteria dan aspek penting sahaja dilaporan dan dinyatakan
dalam laporan folio itu nanti.
22.6.2006 (Khamis-Minggu 4)
Hari ini diadakan Pertandingan Pencak Silat Sekolah-sekolah Peringkat
Daerah Kulai yang dijalankan di Dewan Terbuka Felda Penggeli Timur, Kota Tinggi.
Saya mengambil peluang ini untuk turut sama menjadi guru pengiring bersama
seorang lagi guru menghantar wakil pelajar dalam pertandingan tersebut.
SMK Munshi Abdullah menghantar dua orang wakil pelajar dan kedua-dua
mereka berjaya mendapat Naib Johan dalam kategori Seni Tari Solo dan Johan dalam
kategorii Silat Olahraga. Saya juga berpeluang berkenalan dan berkomunikasi dengan
guru-guru dari sekolah lain dalam daerah Kulai.
23.6.2006 (Jumaat-Minggu 4)
Hari ini diadakan Hari Terbuka Sekolah 2006. Pada hari ini ibu bapa pelajar
diminta hadir ke sekolah untuk berjumpa dengan guru tingkatan anak-anak mereka
dan membincangkan tentang prestasi akademik anak-anak mereka. Saya juga
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
mengambil peluang dengan meninjau beberapa kelas sepanjang hari terbuka ini
berlangsung.
Sepanjang pemerhatian, saya dapati kebanyakan ibu bapa pelajar telah hadir
ke sekolah untuk berjumpa guru tingkatan anak masing-masing. Ini kerana, mereka
merasakan ini adalah waktu yang sesuai untuk berjumpa guru dan berbincang tentang
pencapaian akademik anak masing-masing. Namun begitu, daripada maklumatyang
saya perolehi daripada guru-guru, kebanyakan ibu bapa pelajar daripada kelas
peperiksaan PMR dan SPM mencatatkan kehadiran yang mengecewakan.
Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan beberapa sebab. Antaranya ialah
para pelajar sengaja tidak memberitahu ibu bapa tentang makluman hari terbuka
kerana keputusan peperiksaan pertengahan mereka yang merosot atau mengecewakan.
Kemungkinan lain ialah ada kemungkinaan ibu bapa yang bekerja pada hari tersebut.
Namun begitu, pihak sekolah telah menetapkan bahawa ibu bapa pelajar perlu hadir
berjumpa guru tingkatan pelajar pada hari lain.
26.6.2006 (Isnin-Minggu 5)
Hari ini diadakan perhimpunan mingguan seperti biasa di dewan sekolah.
Minggu ini juga dilancarkan Minggu Kempen Anti Dadah peringkat sekolah.
Terdapat beberapa aktiviti yang telsah dirancang sepanjang minggu ini (26.6.06-
30.6.06). Antaranya ialah:
Ceramah 5 minit dalam perhimpunan pagi
Pertandingan melukis poster
Pertandingan buku skrap
Pameran Anti Dadah
Pertandingan Kuiz Dadah
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
Tema Minggu Kempen Anti Dadah pada kali ini ialah “Hidup Cemerlang
Tanpa Dadah”. Minggu Kempen Anti Dadah ini dilaksanakan di setiap sekolah di
seluruh Malaysia mempunyai objektifnya tersendiri iaitu:
i. Untuk memberi pendedahan yang menyeluruh kepada para
pelajar khasnya dan masyarakat amnya.
ii. Untuk memastikan semua pelajar khasnya dan masyarakat
amnya tahu tentang bahaya-bahaya dadah dan melibatkan diri
dalam usaha pencegahan dadah.
iii. Untuk melahirkan masyarakat yang prihatin dan peka terhadap
masalah semasa khasnya dadah.
Secara peribadi, saya merasakan Minggu Kempen Anti Dadah ini sangat baik
dilaksanakan di sekolah. Hal ini kerana diperingkat umur remaja, pendedahan kepada
najis dadah perlu dijalankan secara berterusan dan dengan pelbagai aktiviti yang
dijalankan ia dapat membantu pelajar melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan
terhindar dari pengaruh najis dadah.
27.6.2006 (Selasa-Minggu 5)
Saya hadir ke sekolah seperti biasa. Hari ini juga saya diberi tiga kelas ganti
kerana ada guru yang terlibat dengan kursus. Hari ini juga saya bersama peserta
pertandingan sajak giat melakuan latihan yang akan berlangsung pada hari khamis
(29.6.2006). Ada satu pengalaman baru yang saya perolehi hari ini. Untuk makluman,
program 2M (Membaca dan Menulis) telah diperkenalkan di peringkat daerah Kulai
dan dilaksanakan di sekolah. Sasaran program ini adalah kepada para pelajar yang
tidak boleh membaca dan menulis.
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
Jadi, oleh kerana guru yang terlibat mengajar pelajar dalam program ini
menghadiri kursus, saya telah diminta untuk mengendalikan kelas tersebut di sebelah
petang iaitu dari jam 1.15-2.15 petang. Kira-kira 10 orang pelajar telah menghadiri
kelas tersebut dan saya dapati ada beberapa orang pelajar yang tidak hadir
berdasarkan rekod kedatangan. Daripada pemerhatian saya sepanjang mengendalikan
kelas ini, saya dapati agak sukar untuk mengajar mereka membaca. Ini kerana
kebanyakan mereka adalah dalam tingkatan dua dan terdiri daripada pelajar Cina dan
India. Latarbelakang mereka pula, kebanyakan mereka bersekolah di Sek Ren. Jen.
Keb. Cina atau Sek. Ren. Jenis Tamil semasa di sekolah rendah.
Dari segi penampilan dan personaliti diri pula, saya dapati para pelajar yang
tidak boleh membaca ini tidak menitikberatkan kebersihan diri dan pakaian. Displin
mereka juga rendah dan kerap kali tidak hadir ke sekolah. Namun begitu, mereka
masih ada kemahuan untuk belajar membaca dan sebagai guru, saya merasakan kita
bertanggungjawab dalam mengajar sehingga mereka boleh membaca. Ini kerana
kemahiran membaca dan menulis adalah antara kemahiran asas penting yang perlu
dikuasai oleh pelajar bagi membolehkan mereka mengikuti pengajaran dan
pembelajaran dalam kelas dengan berkesan.
28.6.2006 (Rabu-Minggu 5)
Hari ini saya ke sekolah seperti biasa. Hari ini adalah hari terakhir sesi latihan
mendeklamasi sajak kerana pertandingan tersebut akan dijalankan pada esok hari.
Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan tahap pelajar tersebut setelah melalui
beberapa sesi latihan sejak 2 minggu yang lepas. Hari ini juga saya ada menggantikan
kelas-kelas tertentu kerana ada guru yang cuti atau menjalani kursus.
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
Pada sebelah petang iaitu kira-kira 1.15-2.15 petang, saya juga sekali lagi
diberi peluang untuk mengendalikan kelas pemulihan melalui program 2M (Membaca
dan Menulis). Pada kali ini, saya menggantikan kelas tersebut kerana guru yang
berkenaan perlu menghadiri mesyuarat pada waktu tersebut. Walaubagaimanapun,
saya merasakan ini adalah satu pengalaman menarik yang mungkin tidak diperolehi
oleh rakan-rakan lain semasa menjalankan Program Induksi Kendiri ini. Oleh kerana
saya juga minor dalam matapelajaran Bahasa Melayu, peluang sebegini sebenarnya
sedikit sebanyak mampu mendedahkan saya kepada situasi sebenar dalam proses
pengajaranb dan pembelajaran kelak.
29.6.2006 (Khamis-Minggu 5)
Hari ini merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh saya dan wakil pelajar
yang telah saya latih dalam pendeklamasian sajak. Hal ini kerana, pada hari ini
diadakan Pertandingan Mendeklamasikan Sajak sempena Karnival Anti Ddah
Peringkat Daerah Kulai. Seramai kira-kira 16 buah sekolah telah menyertai dan setiap
sekolah menghantar seorang wakil untuk pertandingan tersebut. Pertandingan ini telah
dilaksanakan di kompleks Pasaraya IOI Mall Kulai. Ini bertepatan dengan objektif
pertandingan ini dilaksanakan iaitu untuk memberi informasi kepada remaja tentang
bahaya najis dadah.
Saya bertindak sebagai pengurus peserta dan merangkap jurulatih pelajar yang
mewakili sekolah. Sebagai jurulatih yang telah melatih wakil sekolah kira-kira 2
minggu lepas saya ada juga menaruh harapan agar pelajar tersebut mampu meraih
tempat dalam pertandingan tersebut. Walaubagaimanapun, saingan daripada semua
sekolah sangat hebat dan saya melihat ianya sebagai satu perkembangan baik bagi
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
anak-anak muda kini yang masih mampu dan mengetahui cara-cara mendeklamasi
sajak dengan kaedah yang betul.
Saya juga sempat menyampaikan amanat terakhir kepada wakil sekolah
sebelum dia membuat persembahan. Secara jujur, setelah menyaksikan persembahan
pelajar tersebut, saya berpuas hati atas penyampaian yang dipersembahkan. Setelah
semua peserta menyampaikan sajak masing-masing, tibalah pengumuman pemenang
dilakukan. Saya bersyukur kerana ‘anak buah’ saya berjaya meraih tempat Naib
Johan dalam pertandingan tersebut. Terbit rasa puas dalam diri kerana usaha yang
dilakukan membuahkan hasil.
30.6.2006 (Jumaat- Minggu 5)
Hari ini adalah hari terakhir saya di sekolah. Pada hari ini juga saya telah
diminta untuk menyampaikan beberapa nasihat kepada pelajar Muslim sekolah
tersebut. Kesempatan ini adalah atas dasar saya merupakan bekas pelajar sekolah
tersebut dan saya diminta berkongsi rahsia kejayaan sehingga mampu melanjutkan
pelajaran ke menara gading. Hari ini juga, mengikut amalan murni sekolah ini para
pelajar akan membaca surah Yasin bersama-sama guru. Tetapi, ruang ini diisi dengan
slot tazkirah ringkas kepada pelajar.
Jujur saya katakan, ruang yang diberikan kepada saya ini adalah satu
penghargaan dan penghormatan daripada guru-guru Muslim khususnya dan pihak
sekolah amnya. Walaubagaimanapun, saya menerima amanah ini dengan penuh
tanggungjawab dan hati terbuka. Pengalaman dan penglibatan dalam program
motivasi di kampus sebelum ini ternyata banyak membantu saya dalam menyediakan
diri menyampaikan tazkirah yang berkesan.
Program Induksi Kendiri
Refleksi-Jurnal Harian
Hari ini juga, saya mengemaskini semua data dan maklumat sekolah yang
diperlukan untuk menyiapkan laporan Program Induksi Kendiri ini. Saya juga ada
memberi sedikit cenderamata kepada beberapa orang guru sebagai tanda ingatan.
Saya juga telah memulangkan kembali bahan-bahan sekolah yang telah dipinjamkan
kepada saya sebelum ini. Tidak lupa juga, saya berkesempatan berjumpa dengan
barisan guru-guru sekolah dan pentadbir serta mengucapkan terima kasih di atas
segala tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang saya menjalankan Program Induksi
Kendiri di sekolah ini.
Program Induksi Kendiri